15 January 2011

Isu azan: Peguam buat aduan sudah pindah tempat tinggal

11 Safar 1432H MOD..

KUALA LUMPUR, 15 Jan — Gabungan NGO Malaysia menganggap isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini “sudah selesai” dengan pengadunya — mendakwa dia seorang anggota MCA dan juga peguam — telah berpindah dari kawasan tersebut baru-baru ini. Setiausaha Agung gabungan itu, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menulis e-mel kepada pihak yang dia pernah mengadu mengatakan mahu berpindah dari kondominium tempat tinggalnya di Pantai Hill Park atas faktor keselamatan.

Kondominium Pantai Hill Park terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pihak yang menerima salinan aduannya bahawa mereka ada menerima e-mel dua tiga hari yang lalu mengatakan dia sudah mengambil pendekatan mahu berpindah kerana bimbang keselamatan diri dia... itu maklumat yang kami terima,” kata Jurit kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Jurit berkata, pihak yang menerima salinan surat peguam berkenaan meminta pihak-pihak yang mengadakan tunjuk perasaan semalam supaya tidak memanjangkan isu azan ini dan melihat ia “sudah selesai” selepas dia memutuskan untuk berpindah.

“Jadi kami pun menganggap ini sudah selesai. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan lagi.

“Kita mahu persekitaran yang aman, kalau keadaan tidak tenang, kita tidak boleh hidup tenang dan tenteram,” kata beliau.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah ISA.

Kumpulan itu terdiri daripada anggota kumpulan NGO Pekida dan Perkasa mendakwa peguam terbabit menuntut agar masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara bagi tujuan azan.

Penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan menamakan peguam terbabit, malah mempamerkan alamat rumah dan nombor telefonnya pada kain rentang ketika berdemonstrasi.

Ditanya tindakan susulan Gabungan NGO Malaysia, Jurit berkata, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

“Tetapi tindakan penduduk kawasan itu, kami tidak tahu. Kami menganggap isu ini sudah selesai,” kata beliau lagi.

Katanya walaupun pihaknya menganggap isu ini sudah selesai tetapi sekurang-kurangnya pengadu perlu memohon maaf kepada umat Islam.

“Tindakan ini perlu untuk meredakan keadaan dan kita mahu setiap kaum hormat-menghormati agama dan kaum lain,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengunjungi unit kediaman peguam itu sebelum ini, Jurit berkata:

“Tidak, kami tidak menemui pengadu, tetapi hanya menerima maklumat daripada salinan surat aduan.”

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak termasuk pengurusan masjid agak memperlahankan laungan azan atau menghentikan penggunaan pembesar suara untuk tujuan azan.

Jurit berkata, pihak berkuasa dan pengurusan tidak seharusnya melayan aduan-aduan daripada orang perseorangan.

“Dalam kes ini, aduan daripada seorang individu, mengapa perlu kita layan? Melainkan dia mewakili mana-mana pertubuhan atau parti, kita boleh melayan... sepatutnya kita tidak melayan surat individu,” kata beliau lagi.

“Surat dan aduan orang perseorangan, kita pun tidak pasti boleh percaya atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun Jurit berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya memang tiada arahan rasmi tetapi difahamkan ada perbincangan mengenai aduan yang diterima daripada peguam berkenaan.

Dalam salinan surat yang diperoleh dari Internet, peguam itu berkata, “sebagai seorang peguam dan ahli seumur hidup MCA sejak 1998, saya merasa amat kesal kerana sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak Jabatan Perdana Menteri walaupun berkali-kali saya telah menulis surat menyuarakan masalah saya termasuk kepada JPM, MCA dan Gerakan.”

“Sebagai seorang penghuni yang telah lebih daripada lima tahun menghuni di Pantai Hill Park, saya sudah biasa kedengaran bunyi sembahyang subuh dari Masjid Al-Ikhlasiah yang berdekatan dan tidak menghadapi apa-apa masalah,” katanya.

Bagaimanapun kata peguam itu, sejak beberapa bulan lalu dia mendapati bunyi laungan azan tiba-tiba menjadi “amat lantang sehingga mengejutkan saya pada setiap pagi 5.45 pagi.”

“Ambil perhatian bahawa saya tinggal di tingkat paling tinggi iaitu tingkat 21, dan jarak Pantai Hill Park dari masjid tersebut adalah lebih kurang satu kilometer.

“Menurut khabar angin, imam yang baru telah ditukar ke masjid ini,” katanya.

Dia seterusnya menulis, “saya juga pernah menelefon pejabat polis Kuala Lumpur dan menurut pegawai atasan di sana, tiada sebarang peraturan atau undang-undang yang mengawal bunyi sembahyang masjid dan lagi kuat bunyi itu lagi baik, untuk mengingatkan lebih banyak Muslim tempatan bangun bersembahyang.”

“Saya menghormati kedudukan Islam sebagai agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi hak saya untuk tidur dan rehat serta bersembahyang agama sendiri dengan aman dalam permis persendirian juga harus dihormati.

“Saya berpandangan kekuatan pembesar di mana-mana tempat sembahyang tanpa mengira agama, mesti dikawal oleh pihak-pihak berkuasa tertentu, melalui peraturan yang saintifik dan rapi seperti pengiraan decibel (dB), tidak boleh mengatasi undang-undang,” katanya sambil menambah, “seperti di rumah kampung saya di Seremban, didapati bunyi masjid itu adalah lebih rendah dan terkawal.” (MalaysianInsider)

Harakahdaily antara paling popular - IAM

11 Safar 1432H MOD.

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Harakahdaily telah disenaraikan oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM) atau Malaysian Press Institute - MPI sebagai laman web Malaysia yang paling tinggi jumlah muka yang dibaca bagi setiap pelawat laman web negara ini.

Menurut IAM, purata muka surat yang dibuka oleh setiap pelawat Harakahdaily adalah adalah 38 muka berbanding portal berita paling popular di Malaysia iaitu Thestar.com.my iaitu 18 manakala Malaysiakini 33.

Ini bermakna, setiap pelawat Harakahdaily, secara puratanya membuka 38 muka laman web itu. Angka ini diperolehi oleh IAM berdasarkan maklumat pada bulan Julai 2010. IAM juga menyenaraikan Harakahdaily sebagai salah satu laman portal berita yang paling popular.

Menurut buku daftar media edisi 2011 yang dikeluarkan oleh MPI itu, Harakahdaily berada di tempat ke lapan dalam senarai laman portal berita dari Malaysia.

Laman portal berita Malaysia paling popular berdasarkan jumlah Unique Visitors adalah milik akhbar The Star iaitu thestar.com.my dan diikuti oleh Malaysiakini. Ia dibuat berdasarkan jumlah Unique Visitors untuk laman berkenaan.

Menurut MPI, Harakahdaily mempunyai 200,000 Unique Visitors berbanding dengan laman paling tinggi The Star iaitu 788,000 Unique Visitors manakala Malaysiakini 547,000.

Bagaimanapun, tempoh masa yang diambil oleh setiap pelawat Harakahdaily bagi setiap minit lebih tinggi berbanding The Star. Purata masa setiap minit bagi setiap pelawat bagi Harakahdaily adalah 19.1 manakala The Star adalah 16.2 dan Malaysiakini 16.3.

Menurut Datuk Chamil Wariya, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IAM dalam kata pengantar buku ini, angka yang diperolehi ini bergantung kepada angka yang disahkan oleh dua badan iaitu Audit Bureau Circulation (ABC) dan Nielson Media Research.

Dalam buku itu, IAM juga menyatakan, akhbar paling laris di Malaysia pada tahun 2009 adalah Metro Ahad iaitu sebanyak 404,994 purata naskah sehari diikuti oleh akhbar Cina, Sin Chew Daily (380,742).

Metro Ahad juga mengungguli dalam kelas Akhbar Bahasa Malaysia yang paling laris. Untuk Bahasa Inggeris pula, akhbar paling laris adalah Sunday Star iaitu sebanyak 295,815 naskah.

TV3 pula, menurut IAM adalah saluran tv yang paling popular iaitu menguasai sebanyak 30.3 peratus penonton pada tahun 2009. Namun peratusannya semakin menurun berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu 33 peratus (2007) dan 32 peratus (2008).

Ia diikuti oleh saluran TV2 iaitu menguasai 10.3 peratus pada tahun 2009, TV9 (8.7 peratus) dan NTV7 (6.1 peratus). TV1 berada ditangga ke enam dalam senarai IAM itu. (HarakahDaily)

Utusan gantung kerja presiden NUJ

11 Safar 1432H MOD..

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari akan digantung kerja mulai Isnin ini hingga proses siasatan dalam oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media selesai.

“(Saya) dah kena gantung kerja tak boleh pergi pejabat lagi dan tak boleh keluar dari rumah,” tulis Hata dalam SMS kepada Malaysiakini, pagi ini.

Hata enggan mengulas lanjut tetapi menghantar Malaysiakini sesalinan surat penggantungan kerja yang bertarikh 11 januari lalu.

“Setelah mengambilkira keadaan sekeliling dan keseriusan dakwaan salah laku tuan, maka Syarikat akan menggantung perkhidmatan tuan bermula dari 17 Januari 2 011 hingga proses siasatan dalaman terhadap tuan selesai,” petik surat yang ditandatangani oleh pengurus besar, jabatan sumber manusia, Utusan Melayu.

Menurut surat itu lagi, sepanjang tempoh penggantungan kerja, Hata tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis Utusan Melayu kecuali jika beliau dikehendaki hadir untuk memberi penjelasan atau mendapat kebenaran pihak syarikat terlebih dahulu.
Berada di tempat boleh hubungi

“Sila maklumkan kepada syarikat alamat terkini surat menyurat serta nombor telefon kediaman dan telefon bimbit sebelum tuan meninggalkan kawasan syarikat kepada ketua jabatan tuan.

“Sepanjang tempoh penggantungan perkhidmatan ini, tuan diminta sentiasa berada di tempat yang boleh dihubungi oleh pihak syarikat dan tuan tidak dibenarkan keluar daripada lingkungan tempat tinggal,” petik surat itu lagi.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan sepanjang tempoh berkenaan Hata akan mendapat gajinya ataupun tidak.Siasatan dalaman ke atas Hata dijadualkan bermula pada Isnin ini, jam 10 pagi.

Sebelum ini, Hata diberi surat tunjuk sebab dan dikenakan siasatan dalaman kerana didakwa menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita, antaranya mengkritik Utusan Malaysia.

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'. Kesatuan itu mempunyai keanggotaan daripada kira-kira 1,300 wartawan.

Pandangan dan kritikan terbukanya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Jika dipecat, Hata bukan wartawan pertama dari Utusan yang akan menerima nasib sedemikian. Ini kerana pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (MalaysiaKini)

Isu azan: PM tak harus membisu - Nurul Izzah

11 Safar1432H MOD..

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan beberapa menteri kabinet yang didakwa telah menerima surat aduan berhubung permohonan supaya laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur diperlahankan diminta tampil memberi penjelasan.

Naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar melalui tulisan di blognya, berkata jawapan pemimpin berkenaan penting bagi menegakkan kebenaran dalam isu tersebut.

“Jika benar surat ini secara rasminya telah dihantar dan telah diterima oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), Datuk Raja Nong Chik, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Mohd Nazri (Aziz), Tan Sri Koh Tsu Koon dan penasihat agama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Mat Zain, jadi apakah respon mereka?” tulisnya.

Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, melalui tulisan di blognya, berkata jawapan pemimpin berkenaan penting bagi menegakkan kebenaran dalam isu tersebut. Beliau merujuk kejadian petang semalam, di mana kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan masjid berkenaan bagi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang dikatakan ahli MCA - meminta laungan azan diperlahankan.

Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan.

Malaysiakini, Khamis lalu berjaya mendapat penjelasan daripada ketua imam masjid tersebut - Mahadi Abdullah yang berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan atas arahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.

"Selepas berjumpa dengan JAWI, kita memperlahankan sedikit laungan azan (pembesar suara) pada setiap waktu solat.

Mahadi berkata keputusan pihak masjid itu menimbulkan 'rasa tidak puashati' di kalangan penduduk yang majoritinya orang Melayu tetapi beliau beliau "tidak boleh buat apa-apa kerana ia adalah arahan pihak atasan".

Dakwanya lagi, beliau difahamkan aduan peguam tersebut yang tinggal di Pantai Hill Park - diajukan terus kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.

Sehubungan itu, Nurul Izzah berkata respon Perdana Menteri dan pihak yang terbabit amat penting kerana surat peguam itu dihantar terus kepada Najib dan pimpinan tertinggi kerajaan Umno-BN.

"Pihak yang membantah wajib bertanya pada penerima surat-surat ini apakah jawapan mereka?" kata Nurul.

Beliau juga berkata siasatan juga harus dijalankan bagi mengenal pasti terhadap siapa sebenarnya yang mengeluarkan arahan supaya pembesar suara masjid itu diperlahankan.

"Sekiranya JAKIM mengeluarkan arahan itu, kita harus mendapatkan penjelasan bertulis sama ada wujudnya garis panduan berkenaan laungan azan di semua masjid-masjid dan surau di seluruh negara, yang memungkinkan JAWI mengeluarkan arahan kepada Masjid Al-Ikhlasiah," kata Nurul Izzah.(MalaysiaKini)

Anwar: Cabaran debat Ummi Hafilda "soal nyamuk"


11 Safar 1432H MOD..

"Itu hanya soal nyamuk", kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas cabaran Ummi Hafilda Ali untuk berdebat dengannya berhubung kebenaran kes salah laku seks beliau.

Ummi Hafilda yang merupakan adik kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pernah menjadi saksi penting kes liwat Anwar pada 1998.

Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai cabaran debat itu ketika ditemui pada majlis "Himpunan Kebangkitan Rakyat PAS Ganti Umno" di Kampung Geliga, di Kemaman, hari ini yang dirasmikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai cabaran debat yang dibuat oleh Ummi Hafilda pada Khamis lalu itu, Anwar berkata beliau menyerahkan kepada Presiden PAS untuk menjawab isu berkenaan.

Abdul Hadi sebelum itu ketika ditanya berhubung kenyataan Ummi Hafilda yang mahu memfailkan saman berjumlah RM700 juta terhadap Anwar, Azmin, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, peguam Karpal Singh dan parti PAS kerana salah laku mereka terhadapnya pada 1997, berkata:

"Itu nyamuk saja yang dilepaskan, jadi biarlah nyamuk yang jawab".

Daripada jumlah RM700 juta itu, Ummi Hafilda berkata saman terhadap Anwar berjumlah RM300 juta dibuat atas dakwaan salah guna kuasa selaku Timbalan Perdana Menteri pada 1997 yang mengarahkan dia ditangkap dan didera bagi mendapatkan pengakuan palsu berhubung skandal seks.

Ummi Hafilda berkata saman berjumlah RM200 juta terhadap Karpal, RM100 juta terhadap Wan Azizah dan RM100 juta lagi terhadap PAS.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Harun Taib yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.- Bernama

Sabtu Hari tanpa plastik - Malaysia terkebelakang ?

11 Safar 1432H MOD..

Kira-kira dua minggu yang lalu, saya ada tertonton sebuah iklan daripada kementerian perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan iaitu iklan kempen Hari Tanpa Beg Plastik.

Menerusi kempen ini, pengguna tidak lagi dibekalkan dengan beg plastik secara percuma setiap kali berbelanja di pasaraya pada setiap hari Sabtu, - mereka digalakkan untuk membawa beg atau bakul sendiri dari rumah bagi menampung barangan yang dibeli.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kementerian perdagangan kerana berani mengikut jejak langkah Pakatan Rakyat yang telahpun menjalankan dan melaksanakan kempen yang sama di negeri Selangor dan Pulau Pinang sejak tahun lalu dengan jayanya, walaupun Pakatan Rakyat telah mendapat kritikan daripada kerajaan persekutuan pada awalnya.

Kalau hendak dibandingkan dengan beberapa buah negara maju, negara kita adalah sangat terkebelakang di dalam implementasi penjagaan alam sekitar menerusi undang-undang.

Milenium sudah masuk tahun ke-11, tetapi kita masih bercakap tentang kitar semula barangan yang diperbuat daripada plastik, kertas dan aluminum sedangkan di beberapa negara lain seperti Jepun misalnya, undang-undang telah menyebut secara spesifik bahawa pengguna diwajibkan mengitar semula barangan seperti komputer lama, barangan eletronik, bateri, telefon lama dan sebagainya.

Wajib ambil semula

Yang menarik, undang-undang ini bukan sahaja dikenakan ke atas pengguna, tetapi juga ke atas pengeluar barangan tersebut yang diwajibkan mengambil semula produk daripada pengguna tanpa mengenakan apa-apa kos. Sekiranya kos dikenakan, pengeluar hendaklah mengumumkannya supaya menggalakkan orang ramai mengitar semula barang-barang tersebut.

Di negara kita, cadangan untuk melaksanakannya sudah kedengaran, tetapi sehingga kini, ia hanya kekal sebagai cadangan sahaja. Kalau adapun perlaksanaannya, maka saya anggap ia gagal kerana berita mengenainya adalah hampir tiada.

Hanya di beberapa tempat, kita dapat menemui syarikat-syarikat swasta yang menjalankan program pelupusan barangan eletronik terutamanya komputer, tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana kekurangan kempen.

Persoalannya, adakah kita perlu menunggu sehingga undang-undang dikenakan ke atas kita, barulah kita akan menjaga alam sekitar? Bagaimana pula dengan undang-undang atau kempen yang telah dijalankan oleh kerajaan kita beberapa tahun lalu, tetapi terbengkalai atau tidak dilaksanakan sepenuhnya ibarat hangat-hangat tahi ayam?

Ketika saya tinggal di Bangsar bersama-sama beberapa orang rakan, kami telah mengagih-agihkan tugas menjaga kebersihan rumah sesama sendiri.

Saya ditugaskan untuk membersihkan halaman belakang rumah sekurang-kurangnya seminggu sekali. Manakala, rakan serumah saya, Joy, yang tugasnya membuang sampah telah meletakkan tiga buah kotak di sudut dapur rumah kami. Beliau meminta kami semua membuang botol dan pembalut plastik serta kertas di dalam sebuah kotak, sisa makanan di dalam sebuah kotak lain dan lain-lain sampah di dalam yang satu lagi.

Setiap hujung minggu, Joy akan mengasing-asingkan sampah-sampah yang boleh dikitar semula tersebut dan menghantarnya ke tempat kitaran semula.

Melecehkan

Apabila saya berpindah ke tempat lain, saya masih cuba mengamalkan pembuangan sampah seperti yang diajar oleh Joy, tapi hanya seketika sahaja. Ini adalah kerana, saya tidak jumpa tempat mengitar semula yang berhampiran dengan tempat kediaman saya.

Membuang sampah menjadi sesuatu yang melecehkan. Masalah ini bukan sahaja dialami oleh saya, tetapi juga oleh beberapa orang rakan yang berniat untuk mengamalkan yang sama.

Apabila kami menghubungi ahli majlis perbandaran masing-masing, jawapan yang diterima adalah sangat menghampakan. Akhirnya kami terpaksa bergantung dengan 'brader' naik lori yang menjalankan perniagaan mengutip dan membeli barangan kitar semula. Itupun hanya sekali sekala sahaja beliau muncul.

Ini membuat saya tertanya-tanya, bukankah beberapa tahun dahulu, kerajaan telah menyediakan pusat kitar semula yang cukup banyak di beberapa bandar utama?

Kempen 3R (Reduce, Reuse and Recycle), mana perginya semua itu? Adakah hanya terdapat di dalam sekolah sahaja? Bagaimana pula dengan orang dewasa? Jangankan pusat, tong besar tiga warna itupun saya jarang nampak, kecuali di beberapa pusat-pusat membeli belah.

Perlukah saya mengangkut sampah sarap saya sehingga ke pusat membeli belah dan membuangnya secara berasingan di tong-tong yang disediakan di setiap tingkat?

Tidak kira samada anda adalah penguatkuasa atau penyokong kerajaan persekutuan atau negeri, kebersihan alam sekitar harus diutamakan. Pada pendapat saya, kempen sehari tanpa beg plastik itu adalah sesuatu yang baik, tetapi saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik lagi.

Tidak perlu gubal undang-undang baru, hanya perketatkan dan laksanakan kempen yang telah dibuat, perbanyakkan pusat dan bekas kitar semula dan jadikannya sesuatu yang mudah ditemui.

Atau perlukah saya menunggu sehingga pilihanraya baru, dan mungkin ada calon-calon yang akan memasukkan kempen alam sekitar di dalam manifesto mereka? (MalaysiaKini)

Berita baik buat suami di Selangor

10 Safar 1432H.
Ahmad Baei Jaafar

Kerajaan Selangor telah melonggarkan prosedur permohonan untuk berpoligami mulai tahun ini. Kalau sebelum ini isteri pertama mesti hadir di mahkamah bagi mendengar permohoan suaminya untuk berpoligami, tetapi kini mahkamah boleh dengan budi bicara hakim tidak memanggil isteri pertama bagi memberi keterangan.

Dengan prosedur baru ini, diharapkan tidak ada lagi rakyat Selangor yang mengambil tindakan kahwin lagi ke negara jiran. Kelonggaran ini boleh membantu mereka yang berhasrat untuk berkahwin lebih tanpa menyusahkan mana-mana pihak baik suami mahupun isteri.

Walau bagaimanapun bagi merealisasikan agenda poligami ini saya ingin berpesan kepada suami dan isteri.

Wahai suami, jika anda berhasrat hendak berkahwin lebih daripada satu, jangan bertindak membelakangkan isteri anda. Jangan kerana hendak berkahwin isteri muda anda sanggup menipu isteri yang pertama kali dalam hidup anda. Ertinya, beritahulah dia hasrat anda dengan baik.

Memang betul, dia akan membantah, dia akan menangis kerana dia sayangkan anda.

Tetapi percayalah kalau dia membantah, sedangkan dia tahu anda tetap hendak berkahwin, nescaya dia akan merelakan atas keikhlasan anda memberitahunya. Dia akan marah dan sedih tidak lebih daripada tiga bulan, tetapi kalau anda dapat memberi kebaikan yang sama kepadanya, segala duka nestapanya akan hilang.

Pendekatan ini lebih baik daripada anda merahsiakan perkahwinan anda yang kesannya anda akan mencuri masa untuk bersama isteri pertama atau kedua. Mahukah anda hidup seperti seorang pencuri, terhendap sana terhendap sini, takut isteri tahu.

Pada masa yang sama anda akan menipu isteri pertama, hendak metinglah, ada jumpa pelangganlah dan sebagainya, sedangkan anda tahu penipu itu adalah dosa besar. Apa kata, setelah beberapa lama berkahwin, tiba-tiba isteri anda mendapat tahu yang anda sudah ada isteri baru, kesannya anda akan berperang besar dengannya. Kalau sudah perang besar, tiga tahunpun belum tentu reda.

Jadi, mana yang anda hendak pilih, isteri marah hanya selama tiga bulan atau perang besar yang belum tentu reda selepas tiga tahun? Anda tentu bijak untuk memilih yang terbaik untuk anda dan keluarga anda.

Wahai isteri, kalau suami anda menyatakan hasrat untuk berkahwin satu lagi, jangan bimbang tentang kasih sayang kepada anda akan berbelah bahagi. Sebenarnya, kasih sayang dia kepada anda tetapi 100 peratus jika selama ini memang dia sayang anda seratus peratus. Tetapi ingat, kalau selama ini dia hanya memberi kasih sayang kepada anda hanya 70 peratus, mungkin selepas anda meredai perkahwinannya dia akan memberi kasih sayang 100 peratus kepada anda pula.

Kasih sayang suami banyak bergantung kepada sejauhmana kometmen anda kepada suami anda. Jika anda memberi persembahan yang baik kepadanya, makan minum yang dihidangkan, budi bahasa, pergaulan yang menceriakan tentulah semua pengikat kasih sayang yang berpanjangan. Jadi, kalau anda lihat suami seperti kurang saying kepada anda, cek semulalah kometmen anda kepadanya. Mungkin ada kelompangan di sana sini.

Baiki kekurangan itu dengan segera, nescaya kasih suami akan bertambah semula.
Ingatlah wahai isteri, kalau pun suami anda ada empat orang isteri, kasih sayang suami anda tetap tidak berubah jika kometmen anda tidak berubah. Suami boleh beri 100peratus kasih sayang kepada semua isterinya tanpa mengurangi mana-mana pihak jika semuanya memberi kometmen yang terbaik kepadanya. Malah suami mahu dan mengharapkan setiap kali pertemuan dengan isterinya itulah malam pertamanya.

Bayangkan kalau suami balik ke rumah anda, dan hari ini anda anggap sebagai hari pertama anda berkahwin tentu mesranya amat tinggi. Kalau itu yang anda boleh lakukan pasti kasih sayang 100 peratus adalah milik anda. Kalau begitu kenapa hendak sekat dia berkahwin dengan wanita lain, bukankah dengan itu anda boleh membantu kaum sejenis anda mendapat kasih sayang daripada orang yang anda sayang. Bayangkan betapa besarnya pahala anda ketika itu sedangkan kasih sayang suami anda tetap sama.

Selain itu wahai isteri, anda perlu sedar kelemahan anda. Sewaktu anda hanya berdua dengan suami anda sayanginya 100 peratus, tetapi setelah ada anak seorang sayang anda kepada suami anda sudah berkurangan dan dilebihkan kepada anak. Layanan kepada suami sudah berkurangan dan suami kadangan terpaksa membawa diri. Bayangkan kalau anak sudah sepuluh, tentu suami dilupakan langsung. Anda tidak boleh beri kasih sayang kepada suami anda 100 peratus seperti yang mampu diberi oleh suami anda walaupun ramai isteri.

Jika anda sedar kelemahan itu, ubahlah sikap segera. Berilah kometmen yang terbaik kepada suami jika anda sayang dan cinta kepadanya. Sesungguhnya suami anda seorang yang amat manja lalu dia hendak bermanja dengan anda dan dia mahu dimanjai. Inilah kunci kebahagiaan rumah tangga. Wallahu aklam

Masjid Haopan dan Xiaodongying di bandar Guangzhou

10 Safar 1432H.

Pada zaman dahulu telah menjadi kelaziman bagi etnik Hui di China bersolat di tempat berasingan dengan umat Islam etnik yang lain. Pada masa itu, beberapa buah masjid dibina untuk memenuhi keperluan tersebut. Masjid Haopan yang dibina pada zaman Dinasti Ming (iaitu pada tahun 1465) merupakan salah satu daripadanya.

Masjid Haopan ini dibina semula pada tahun 1706 semasa zaman Dinasti Qing. Luasnya mencapai 1491 meter persegi.

Menurut catatan sejarah, para sarjana Islam tempatan pernah menubuhkan kolej dalam masjid ini.Sekolah bahasa Arab telah ditubuhkan pada September, 1998.



Masjid Xiaodongying (Gmabar di atas) yang dibina pada zaman Dinasti Ming mempunyai sejarah selama kira-kira 500 tahun. Masjid ini telah memberi sumbangan yang besar kepada usaha pendidikan di Guangzhou sama ada pada masa silam atau zaman moden ini.

Menurut catatan pada tahun 1948, Imam Besar Masjid Xiaodongying, Ma Jixian telah menubuhkan sebuah sekolah. Jumlah penuntut sekolah ini ketika itu kira-kira 20 orang. Sekarang ini, sekolah tersebut sudah menjadi Sekolah Rendah Jalan Yuehua yang terletak berhampiran dengan Masjid Xiaodongying dan merupakan salah pengkalan pendidikan yang penting di Daerah Yuexiu, bandar raya Guangzhou. CRI/-

S'gor bantu orang Islam henti kerja di premis arak

10 Safar 1432H.

Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang sedar untuk meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaaan Selangor prihatin dengan perbincangan mengenai pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis berkenaan.

"Kami telah meminta ahli Exco negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Hajjah Rodziah Ismail untuk menubuhkan satu sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan isu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri besar berkata, LZS akan diminta untuk bersama-sama menubuhkan tabung khas tersebut.

Katanya, kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi.

Rezeki halal

Oleh itu, tegas menteri besar lagi, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini.

"Kami menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memelihara umat Islam untuk mencari rezeki yang halal.

"Pada masa yang sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat," katanya.

Berikutan itu, Khalid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Kenyataan menteri besar itu bertujuan meredakan percanggahan pendapat berhubung penakrifan larangan orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyajikan minuman keras.

Jika semalam, exco perumahaan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu berkata umat Islam dibolehkan berbuat demikian kerana larangan berkenaan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah diarahkan ditarik balik, namun hari ini, exco hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam, Datuk Hasan Mohamed Ali mempunyai definisi yang berlainan.

Tindakan wajar

“Berhubung dengan isu orang-orang Islam yang dilarang bekerja di tempat-tempat menjual minuman keras seperti yang dikuatkuasakan di MPSJ, saya sebagai exco yang menjaga
hal ehwal Islam di negeri Selangor mendapati bahawa tindakan tersebut adalah wajar.

“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan MPSJ yang telahpun menguatkuasakan peraturan ini. Saya difahamkan peraturan ini telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan dari semua pihak termasuk ahli-ahli majlis yang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Liu pula semalam mengesahkan pekeliling menarik balik larangan itu telah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan dengan alasan “kerajaan negeri tidak menyedarinya.”

"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” katanya, sambil menambah isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat exco Rabu lalu.

Malaysiakini/-

Nik Aziz akan hadir majlis bersama blogger malam ini.

10 Safar 1432H.

KOTA BHARU, 14 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tetap menghadiri majlis bersama blogger pro-Pakatan Rakyat yang dijadual diadakan malam ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur mulai 8.00 malam.

Beliau yang juga Menteri Besar menaruh keyakinan bahawa program yang diatur sempena Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama blogger itu memberi ruang yang baik kepadanya untuk berucap.

Majlis yang dijangka turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu diadakan bagi membincangkan banyak perkara termasuk peranan yang mungkin boleh dimainkan peserta itu bagi membantu Pakatan Rakyat dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-13 khususnya.

“Oleh itu besok saya akan memberi penerangan sama ada mereka mahu mendengarnya atau pun tidak, terserah kepada mereka.

“Saya bersedia berjumpa mereka yang dianggarkan seramai 150 orang, dan perjumpaan itu tidak sulit,” katanya kepada media pada kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini kelmarin.

Mengulas terdapat tulisan ‘mengarut’ yang ditulis sesetengah blogger di laman mereka, beliau berkata, usahkan blogger berbuat demikian, bahkan anak sendiri sekiranya menulis perkara ‘mengarut’ akan dimarahi.

“Sama ada blogger, tuk guru atau ibu bapa, serupa saja. Hidup atas dunia ini mestilah faham bahawa kita adalah menumpang di bumi Allah SWT.

“Oleh kerana kita menumpang segala perkara termasuk padi beras yang dimakan atau udara untuk bernafas, hatta manusia itu sendiri dijadikan Allah SWT, maka kita tidak boleh menderhakan Allah,” katanya.

Beliau menolak bahawa perjumpaan itu memberi ruang kepadanya untuk memberi penjelasan tentang perjumpaan yang turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Harakahdaily/-