12 January 2011

5 pemain AFF Kedah dapat ganjaran.

7 Safar 1432H.

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah hari ini mengumumkan pemberian ganjaran sebanyak RM5,000 seorang kepada lima pemain negeri itu yang mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini.

Ganjaran turut diberikan kepada seorang penolong jurulatih skuad terbabit. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pemain yang menerima ganjaran itu ialah pemain sayap Mohd Khyril Muhymeen Zambri, pemain pertahanan Mohd Sabre Mat Abu dan Khairul Helmi Johari serta pemain tengah Mohammad Faizal Abu Bakar dan Amar Rohidan. Penolong jurulatih yang menerimanya ialah Tan Cheng Hoe yang berasal dari Kedah dan pernah bermain untuk skuad Kedah.

Azizan berkata, kerajaan negeri turut menimbangkan untuk memberi ganjaran tanah yang akan diumumkan kemudian.

"Kita rancang untuk beri tanah di Pokok Sena kerana kawasan itu membangun. Kita akan dapatkan maklumat lanjut dan umumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Malaysia muncul juara Piala Suzuki AFF selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Budaya cantas halang BN tawan semula Kedah: Tun M

7 Safar 1432H.

JITRA: Barisan Nasional (BN) mampu menawan semula Kedah sekiranya budaya 'cantas' dihapuskan di kalangan pucuk pimpinan khususnya dalam Umno.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, selagi budaya itu subur dalam Umno Kedah, BN tidak akan berupaya memenangi semula negeri terbabit. "Yang jadi masalah bila orang lain naik, yang tak naik cantas, bila yang tak naik ni naik, orang lain pula cantas dia, jadi tabiat ni patut dihapuskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan jubli perak GiatMara di GiatMara Prima Kubang Pasu, di sini hari ini. Bekas Presiden Umno itu berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang BN merampas semula Kedah selepas rombakan badan perhubungan Umno negeri yang mana Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dilantik sebagai pengerusi dan anaknya, Datuk Mukhriz menjadi timbalan pengerusi.

Mengulas pelantikan Mukriz, Dr Mahathir berkata, beliau tidak campur tangan dalam karier politik anaknya itu.

"Waktu jadi perdana menteri dulu pun saya larang anak saya terlibat politik takut orang kata dia anak perdana menteri, dan sekarang ni bapa dia dah tak jadi perdana menteri pun, tapi masih tidak pernah campur tangan," katanya.

Sementara itu mengenai GiatMara, Dr Mahathir berkata, organisasi itu harus mengembangkan sayapnya ke peringkat antarabangsa untuk mendapatkan kemahiran baru bagi pelatihnya.
Setakat ini katanya, beliau berpuas hati dengan prestasi organisasi itu yang telah banyak membantu golongan muda.

GiatMara ditubuhkan pada November 1986 dan sehingga kini terdapay 209 pusat di seluruh negara yang menawarkan pelbagai latihan kemahiran kepada belia. - BERNAMA

PM umum habuan skuad Harimau Malaya

7 Safar 1432H.


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan pemberian insentif kepada setiap pemain skuad Harimau Malaya yang berjaya membawa pulang kali pertama Piala Suzuki AFF, bulan lalu.

Beliau berkata, setiap pemain diberi 50,000 unit Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 dan wang tunai RM15,000. Wang tunai RM15,000 itu adalah RM10,000 menerusi insentif khas kerajaan manakala RM5,000 adalah menerusi skim hadiah kemenangan sukan Majlis Sukan Negara (MSN).

Hassan Ali diingatkan patuhi pendirian PAS

7 Safar 1432H.
Harakahdaily/-

PAS hari ini memberikan ingatan kepada pimpinannya di Selangor supaya tidak bertindak atau membuat kenyataan yang berbeza dengan pendirian yang telah diputuskan parti itu seperti yang dinyatakan oleh presidennnya baru-baru ini.

Harakahdaily memetik setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu bersama dengan Pakatan Rakyat telah membuat keputusan bahawa mereka akan menyokong penuh pucuk pimpinan kerajaan negeri di Selangor dalam menghadapi isu perlantikan setiausaha kerajaan negeri.

Antaranya adalah menyokong penuh cadangan meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam perlantikan pegawai kanan kerajaan negeri sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

"Saya ingin mengingatkan semua pihak khususnya pimpinan PAS Selangor supaya tidak membuat kenyataan atau tindakan yang berbeza dengan apa yang telah dinyatakan sebagai pendirian parti.

"Saya mengikuti perkembangan di Selangor secara dekat dan berharap tidak ada pimpinan di Selangor yang mengambil pendekatan berbeza ini," katanya hari ini.

Pemimpin utama PAS pada Ahad lalu, berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam bagi menunaikan solat hajat dan menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kerajaan negeri Selangor.

Selain Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, majlis yang dihadiri tidak kurang 12 ribu penyokong PAS itu turut dihadiri oleh presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Majlis ini dianjurkan oleh pimpinan PAS untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN.

“Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," kata Hadi dalam perhimpunan besar-besaran itu.

Turut hadir di majlis ini adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin kanan dari kedua-dua parti Pakatan Rakyat ini.

Hari ini pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Mohamad Ali dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang antara lain berkata, beliau boleh bekerja dengan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang dilantik kerajaan Pusat iaitu Datuk Khusrin Narawi kerana beliau pernah bekerja dengan kerajaan.

Hassan juga memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak menyerang Khusrin secara peribadi kerana "ia tidak adil dan boleh menimbulkan masalah dengan 28,000 kakitangan kerajaan yang ada."

"Jika mereka buat piket, kita akan bermasalah," kata Hassan.

Khir Toyo serah balik gelaran Dato' Seri

7 Safar 1432H.

Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo telah memulangkan sementara darjah kebesaran Selangor yang membawa Dato' Seri.

Katanya, beliau telah telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memulangkan sementara pingat darjah kebesaran Selangor Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S).

"Surat tersebut dibuat berikutan kejadian saya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam beberapa hari sebelumnya atas tuduhan salahguna kuasa," tulis Dr Mohd Khir dalam blognya hari ini.

'Pemulangan semula pingat ini bagi mengelak darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung," tambahnya.

"Hari ini Dewan Diraja telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut," kata Dr Mohd Khir yang turut melepaskan jawatan ketua pembangkang DUN Selangor baru-baru ini.

"Justeru mulai hari ini semua media dan dan penganjur program hendaklah menggugurkan nama Dato Seri dari pangkal nama saya dan menggunakan nama Dr. Mohamad Khir bin Toyo sahaja," tulisnya.

Apabila Anwar Cabar Najib !

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA DS Anwar mencabar Najib untuk berdebat di dalam isu ekonomi kerana Najib telah `berkokok' di dalam TV memperlekehkan janji 100 hari oleh PR jika memerintah negara, maka inilah peluang para `penjilat dan pengampu' Najib untuk menonjolkan diri membela atau `cover' bos mereka itu. Cuba rujuk laporan oleh Malaysian Insider tentang kisah pengampu-pengampu ini.

Pertamanya, tentulah `pencacai nombor Wahid' iaitu Nazri Aziz. Di zaman Mahathir, muka inilah yang tidak lekang mencium tangan Mahathir. Selepas itu di zaman Pak Lah, muka ini juga mengipas gila Pak Lah sehingga sanggup menghina Mahathir sebagai nyanyuk. Sekarang, muka yang sama ini juga membodek dan `menjilat' Najib. Begitulah kaedah cari makan oleh Menteri tidak ada standard ini.

Beliau mencabar DS Anwar untuk berdebat dengannya sebelum mahu berdebat dengan Najib. Perasan sungguh Nazri Aziz ini, apa `standard' beliau untuk `bersilat 'dengan DS Anwar? Nazri bukan lawan bagi DS Anwar, kerana sejarah telah membuktikan betapa Shabery Cheek `berbuih mulut' apabila berdepan dengan Ketua Pembangkang ini. Mungkin kali ini tidak sampai hati DS Anwar `bersilat' dengan anak murid Najib yang baru belajar `silat pulut atau silat pengantin' itu. Kita berharap DS Anwar menolak bertemu dengan Nazri ini kerana ianya akan menjatuhkan darjat DS Anwar sahaja sepertimana ketika beliau bertarung dengan Shabery Cheek dalam isu minyak dahulu. Ketika itu ramai memberi komen betapa jauhnya taraf Menteri berkenaan dengan DS Anwar sehinggakan tidak tentu hala hujahnya sepanjang perdebatan isu minyak tersebut.

Bersuara pula orang Jelebu, YB Rais Yatim yang pernah dikaitkan dengan kes keji baru-baru ini yang mana beliau telah nafikan. Samada disiasat atau tidak, Wallahu Aklam. Rais lagi tidak layak untuk memberi komen kerana manusia yang pernah `membakar jambatan 'dengan Umno ini sememangnya mahu hidup lebih lama di dalam politik. Lebih baik Rais Yatim buat kerja di Jelebu kerana orang Jelebu sudah bertahun bermasalah dengan kemudahan bas awam. Selesaikan masalah bas di Jelebu terlebih dahulu. Sediakan WIFI di Jelebu dahulu sepertimana beliau mahu sediakan WIFI di Gua Musang sewaktu PRK Dun Galas baru-baru ini. Di Jelebu, usahkan WIFI, komunikasi 3G pun banyak kawasan yang yang tiada. MP menjawat jawatan Menteri yang jaga komunikasi, tetapi hampeh. Jangan Rais fikir bila beliau menyampuk isu debat ini rakyat boleh lupa kisah beliau? "Sori, tak dapek den nolong eh."

Memang dijangka, suara `raja katak' Ibrahim Ali dari Pasir Mas pasti berbunyi. Beliau menyebut DS Anwar tidak layak berdebat dengan Najib tentang ekonomi kerana DS Anwar tiada kelulusan. Betapa bodoh punya `raja katak' kita tidak tahu. Najib ada kelulusan apa? `Raja Katak' ini pula kelulusan dan pengalaman apa? Pengalaman jadi `katak dan melompat ' beberapa kali? Kerusi Parlimen yang beliau duduk itu pun atas ihsan PAS. Tidak tebal muka ke atau menggerutu seperti katak puru?

Tanpa kelulusan ekonomi sekali pun DS Anwar pernah menjadi Menteri di beberapa Kementerian dan menjadi Menteri Kewangan bertahun-tahun bahkan pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri serta memangku tugas Perdana Menteri. Mahathir pernah memuji DS Anwar sebagai Menteri Kewangan terbaik ketika Mahathir menjadi PM. `Raja Katak 'pula apa pengalamannya? Ketika beliau menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga undang-undang dahulu, adakah beliau pakar di dalam bidang perundangan? Bodoh teramat bodoh punya hujah, nasib baik bukan MP dari PR.

Saya malas untuk mengulas komen seorang `Profesor kangkung' yang turut mahu `cover' Najib. Saya tidak tahu macam mana beliau boleh jadi Profesor dengan komen sedangkal itu. Saya lebih loya dengan kenyataan Ketua Pemuda Umno Perak yang mahu DS Anwar berdebat dengan KJ. Hilang akal agaknya puak-puak Umno ini apabila disergah oleh DS Anwar untuk berdebat dengan Najib. Siapa KJ mahu berdebat dengan DS Anwar? KJ hanya Ketua Pemuda, lawan beliau memadai kita letakkan Chegu Bard sahaja jika beliau takut untuk bertemu dengan Ketua AMK, Shamsul Iskandar. Kita masih ingat sewaktu Pilihanraya Umum yang lalu, entah di mana KJ menyorok tatkala Chegu Bard mencabarnya berdebat di Rembau. Itu baru Chegu Bard sudah bisa buat KJ kecut. KJ harus cermin muka dia dahulu, dan bertanya kepada Ketua Pemuda Umno Perak yang kecut perut apabila dicabar oleh Ketua Pemuda PAS Perak untuk berdebat baru-baru ini.

Saya malas mahu ulas komen `beberapa ekor lagi mengkarung ' di dalam Umno yang cuba membela Najib daripada dimalukan oleh DS Anwar nanti. Kita cuma mahu tanya, Najib berani atau tidak berdepan dengan DS Anwar, itu sahaja. Persetankan suara-suara pengampu dan pencacai yang lain itu kerana mereka membela bos hanyalah untuk mencari makan. Teringat saya akan kata-kata Ezam sesumpah dahulu, "tunjukkan pada saya siapa yang masuk Umno ikhlas?". Inilah wajah-wajahnya yang dimaksudkan oleh Ezam sesumpah termasuk dirinya sendiri./wfauzdin.blogspot.com

KES LIWAT DS ANWAR - JAMIL KHIR PENGHALANG UNTUK BICARA DI MAHKAMAH SYARIAH?

07 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

DS ANWAR dituduh melakukan perbuatan liwat dengan Saiful Bukhari Azlan dan jika difahami dari seksyen pertuduhan yang dihadapkan ke atas beliau, perbuatan itu dilakukan secara `suka sama suka'. Berlawanan dengan apa yang disebut oleh Saiful Bukhari di dalam mahkamah bahawa beliau `dipaksa' melakukannya walaupun pemuda ini telah `bersedia' dengan memakai tuala dan berwangian.

DS Anwar selaku yang dituduh ingin menuntut keadilan bukan sahaja untuk dirinya bahkan juga keadilan buat Saiful. Mencari keadilan, tempat yang sesuai buatnya selaku umat Islam dan kebetulan juga Saiful yang dikatakan menjadi pasangannya juga berugama Islam sudah pastilah beliau memilih Mahkamah Syariah.

Bukankah zina dan liwat `suka sama suka' itu tarafnya sama di sisi Islam dan Mahkamah Syariah sahaja tempat paling layak untuk mencari keadilan dan kebenaran. DS Anwar dari awal lagi menyangkal keras tuduhan terhadapnya, namun tetap mahu merujuk ke Mahkamah Syariah untuk mendakwa Saiful yang telah melakukan fitnah terhadapnya.

Maka, DS Anwar mohon agar kes ini dibicarakan di Mahkamah Syariah di bawah pertuduhan `Qazaf'. Saiful pula memilih jalan mudah iaitu dengan melakukan `sumpah laknat' yang tidak pernah diakui oleh Syarak di dalam menghadapi kes seperti ini.

Mengikut berita yang dilaporkan oleh akhbar Buletin Rakyat edisi 119, DS Anwar memberitahu beliau mempunyai maklumat bahawa kertas pertuduhan kes liwatnya sudah disiapkan untuk pendakwaan di Mahkamah Syariah namun ianya telah ditahan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Mej (Jen) Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Beliau mempersoalkan mengapa Menteri yang tahu tentang hukum Islam ini dan juga sebagai bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera boleh menggunakan kuasa menyekat pendakwaan.

Di dalam berita yang dilaporkan oleh akhbar itu juga menyebut DS Anwar memohon agar DYMM YDP Agong yang bertindak sebagai Ketua Agama agar melihat kedudukan Mahkamah Syariah supaya terpelihara dari dipergunakan demi kepentingan politik.

Begitulah komitmen DS Anwar yang mahukan agar kes beliau dibicarakan secara adil mengikut lunas-lunas Islam dan sewajarnya Menteri yang berada di dalam Umno yang kununnya mengaku sebagai pejuang Islam menyokongnya. Tetapi, ini tidak berlaku dan DS Anwar masih dibawa ke mahkamah sivil yang dilihat semakin cerca merba perjalanannya.

Jelas kepada kita, siapakah yang tidak mahu melihat kepada keadilan di dalam kes ini. Adakah Mahkamah Syariah di negara ini tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil? Adakah perundangan Islam tidak membantu Umno untuk melaksanakan kehendaknya? Adakah Umno tidak percaya kepada keadilan Islam apabila melibatkan Ketua Pembangkang ini?

Sekiranya Umno menolak Islam, Umno menghakis kuasa raja-raja dan Umno juga gagal membela Melayu, maka apa lagi boleh kita harapkan dengan parti ini? Jika Islam dan Melayu pun Umno gagal martabatkan, usah kita bicara lagi tentang keadilan Umno terhadap ugama dan bangsa dan suku yang lain. Maka, wajarlah Umno segera ditalkinkan.

SERUMPUN DOA, SEMOGA CEPAT SEMBUH BUAT USTAZ MISBAHUL MUNIR

07 Safar 1432H.
Oleh : mohd hafez sabri.

Bismillahir Rahman’ nir Rahim

Assalamualaikum wrt

PAS Negeri Perak ingin merakamkan doa kami kepada Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki ( Setiusaha Badan Perhubungan PAS Perak merangkap YDP PAS kawsan Bagan Datoh ) serta keluarga diatas musibah yang menimpa beliau disebabkan terlibat dalam kemalangan jalanraya, Sesungguhnya kami yakin, seluruh ahli PAS Perak khususnya amat mengharapkan agar Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki berada dalam keadaan baik dan selamat.

PAS Negeri Perak juga berharap keluarga Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki dapat bersabar dalam ujian dan ketentuan dari Allah S.W.T ini .Bagi pihak seluruh kepimpinan dan warga PAS Negeri Perak, kami mendoakan semoga Al Fadhil Ustaz Misbahul Munir Masduki dilimpahkan kesihatan dan kekuatan yang jitu dari Allah S.W.T.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain
( Pesuruhjaya PAS Perak )

Rancangan sulit tukar kepimpinan PAS hanya propaganda - Phahrolrazi

07 Safar 1432H.
Oleh : Muhayat Jasmin .

ALOR SETAR, 11 Jan: Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Dato' Ir.Phahrolrazi Zawawi mengingatkan ahli PAS supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya wajud perancangan sulit di kalangan kumpulkan tertentu dalam PAS untuk mengubah pucuk pimpinan parti yang diterajui oleh Ulama.

Malah beliau menyifatkan khabar angin tersebut sebagai propoganda pihak lawan yang sentiasa merancang strategi untuk mencetuskan suasana panas dalam PAS bagi tujuan melemahkan perjuangan PAS selain mengalih tumpuan pendokong PAS daripada agenda yang sepatutnya.

Selain itu, beliau juga tidak menolak cerita yang disebarkan kononnya usaha sedang dilakukan untuk mengambil alih kuasa dari kepimpinan ulama dalam PAS itu juga strategi jangka pendek untuk memecah-belahkan ahli PAS menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Johor tidak lama lagi.

"Sebenarnya golongan ulama dan juga golongan profesional merupakan golongan yang mempunyai peranan tersendiri. Dalam PAS amalan kronisme dan puak tidak pernah wujud.

"Kumpulan dari kalangan profesional dan ulama sering bergandingan bagi mencapai aspirasi perjuangan parti untuk menegakkan keadilan dan memartabatkan Islam sebagai wadah perjuangan, " kata beliau.

Phahrolrazi berkata demikian mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendakwa wujudnya perancangan sulit bagi mengubah pucuk pimpinan menjelang pemilihan PAS menjelang Jun yang akan datang.

Sebelum pemilihan pimpinan PAS dua tahun lalu, PAS juga pernah menghadapi krisis yang dilihat seolah-olah berlaku pertembungan antara dua kumpulan dalam parti yang mewakili kumpulan Ulama dan profesional melalu laporan-laporan di media dan internet.

Bagaimanapun isu tersebut semakin kurang diperkatakan selepas muktamar berlangsung.

Harakahdaily/-

Hi-Tea Bersama Blogger Cina Islam dan Ibnu Hashim


7 Safar 1432H MOD.

MENGAMBIL kesempatan sempena Majlis Makan Malam dan Dialog MB Kelantan dengan blogger dan facebooker di Hotel Grand Seassons Kuala lumpur 15 Januari ini, PAS Kawasan Batu menganjurkan "Hi-Tea Mee Goreng Tenang Bersama Adun Titi Serong & Blogger Ibnuhashim".

Demikian menurut Timbalan YDP PAS Batu, Haji Suhaimi Abdul Rahman (gambar kiri) ketika menghubungi Sanggahtoksago.Com sebentar tadi. Katanya, program selama satu jam setengah itu akan diadakan di hadapan Rumah YDP PAS Batu, Haji Ishak Surin, Bandar Dalam, Sentul bermula jam 5 petang.

Adun Titi Serong yang juga Blogger Cina Islam, YB Drs Khalil Idham Lim telah mengesahkan kehadiran ke majlis yang diadakan secara mengejut ini. Begitu juga Blogger Ibnuhashim atau Dr. Mohd Hashim (gambar kanan). Mereka dijangka akan mengulas beberapa isu terkini yang sedang hangat diperkatakan.

Menurut Suhaimi, Yang DiPertua PAS, Haji Ishak Surin akan melancarkan kutipan derma jihad sempena PRK Dun Tenang yang akan berlansung 30 Januari ini. Berikutan itu, PAS Batu akan menghantar lebih ramai sukarelawan ke Tenang untuk membantu jentera pilihan raya di sana.

"Orang ramai, ahli PAS dan para penykong Pakatan Rakyat dijemput hadir beramai-ramai. Hebahkan kepada mereka bagi meraikan kehadiran Adun dan blogger ternama ini. Hi-Tea ini percuma. kalau nak sedekah masukkan dalam tabung PAS kawasan nanti," tegas beliau. (Diangkat dari SANGGAHTOKSAGO.COM)

Rosmah sudah jadi menteri ?

07 Safar 1432H.

RIYADH - Menteri Pelajaran Arab Saudi, Putera Faisal Abdullah Mohamad Al-Saud semalam melakukan kunjungan hormat ke atas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Royal Suite, Intercontinental Hotel di sini. Putera Faisal dan Rosmah,

yang mempengerusikan jawatankuasa kerja dasar Permata Negara, berbincang kira-kira 30minit mengenai kepentingan pendidikan awal dan pembangunan modal insan bagi kedua-dua negara. Rosmah kini melakukan lawatan tiga hari ke Arab Saudi yang bermula 8 Januari.

Delegasi beliau termasuk dua Naib Canselor wanita iaitu Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Profesor Datuk Dr Aminah Ayob dari Universiti Pendidikan Sultan Idris selain 10 anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Semalam, Rosmah melawat Princess Noura Abdul Rahman University (PNU), sebuah daripada enam universiti untuk wanita di Riyadh.

p/s: bukankah sepatutnya menteri atau timbalan menteri pendidikan yg pergi? bukankah ini membazir wang rakyat??

Belanja untuk rakyat tak mampu, tapi kroni lulus


7 Safar 1432H Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Jan: PAS mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya janganlah kalau untuk kepentingan rakyat umum tidak mampu tetapi untuk kepentingan kroni mampu pula diluluskan peruntukan.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad yang turut merasa hairan dengan kenyataan Najib yang mengatakan janji 100 hari Pakatan Rakyat akan membawa anak cucu merana kerana tidak ada kemampuan kewangan.

“Sepatutnya seorang Perdana Menteri mesti berfikiran positif apabila perancangan baik untuk rakyat di negara ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Soalnya, apakah salah apabila Pakatan Rakyat mengemukakan rancangan untuk manfaat majoriti rakyat di samping menghapuskan Felda Plantation dan membuka ladang-ladang baru kepada generasi kedua dan ketiga.

“Salahkah Pakatan Rakyat hendak menyusun kembali tol yang dianggap sebagai penyebab bebanan terpaksa ditanggung oleh rakyat dengan peningkatan kos operasi?

“Salahkah Pakatan Rakyat untuk memberi imbuhan bulanan tambahan kepada guru RM500 sebulan?” soalnya lagi.

Baginya, Najib cuba menimbulkan keraguan tentang kemampuan kewangan jika janji 100 hari dilaksanakan.

“PAS mengucap terima kasih kepada Najib kerana baru sedar tentang hal ini, kalau hendak belanja ukurlah kemampuan dahulu,” katanya sinis.

Beliau mempersoalkan adakah Najib sudah mengambil kira kemampuan kewangan negara ketika mencadang untuk membina Menara Warisan 100 tingkat.

Katanya, wang sebanyak RM5 bilion mampu membina 1,667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah dan mampu memberi biasiswa pelajar perubatan seramai 5 ribu orang di United Kingdom dengan kos RM1 juta seorang dan boleh menampung biasiswa 10 ribu pelajar di fakulti perubatan di Mesir.

Katanya, kenapa peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan.

“Apakah peruntukan untuk Permata yang dikendalikan oleh Datin Seri Rosmah sebanyak RM111 juta tidak membazir, sedangkan untuk Sekolah Agama Rakyat RM95 juta?” tanya beliau.

PAS, katanya merasa hairan dengan kenyataan seorang Perdana Menteri yang mengatakan negara ini akan menjadi seperti negara Greece kalau mengikut perancangan PR.

Katanya, kenyataan yang sama juga ketika PAS memerintah di Kelantan pada tahun 1990.

Ketika itu, ujarnya pemimpin Umno mendakwa PAS hanya mampu memerintah selama 3 bulan sahaja.

Dakwaan mereka itu, katanya hanya menurut kaca mata mereka yang penuh dengan rasuah, ketidak cekapan dan salah urus.

Begitu juga, tambahnya ketika kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu, pemimpin umno kata ini perbelanjaan membazir.

“Pendek kata untuk rakyat semuanya membazir, kerana bimbang apabila rakyat senang, BN tidak ada harapan untuk menjerat leher pengudi dalam setiap pilihan raya,” katanya.

PAS, jelasnya ingin menjawab keraguan Perdana Menteri yang ragu tentang daripada mana sumber yang akan PR perolehi.

“Antara sumbernya ialah kita akan memerangi rasuah yang menyebabkan wang negara hilang sebanyak RM28 bilion,” jelasnya.

Menurutnya, Pakatan Rakyat tidak akan membuat Persidangan Wanita Pertama kendalian Datin Seri Rosmah selama 3 hari hampir RM4.5 juta.

Selain itu, katanya subsidi untuk penjana kuasa bebas sebanyak RM19 bilion perlu dikaji semula kerana membebankan negara.

“PAS berkeyakinan janji 100 hari, Pakatan rakyat mampu laksanakan, berdasarkan pengalaman di Kelantan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat walaupun sumber yang terhad.

“Keadaan berbeza apabila Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat yang mempunyai sumber kewangan yang lebih luas untuk dijanakan bagi manfaat rakyat,” tegasnya. [MOD]

Anwar: Pakatan hanya perlukan RM19 bilion untuk rakyat


7 Safar 1432H Merdeka Review
Kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rayat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi UMNO/BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta. Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan diadakan satu debat terbuka.

Tuduhan Najib bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, UMNO/BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung. Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50% buat kali pertama dalam sejarah negara.

Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Malapetaka ekonomi ini berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan. Dalam tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion.

Tabiat berhutang UMNO/BN akan diperhebatkan tahun ini. Pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011. Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon ini akan membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 bilion.

Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini. Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika UMNO/BN terus berhutang sewenangnya seperti sekarang - tetapi ia bukanlah disebabkan oleh Janji 100 Hari Pakatan Rakyat. Malaysia akan muflis akibat ketagihan UMNO/BN kepada pembaziran dan rasuah yang berleluasa, demi mempertahankan sistem kroni kapitalisme yang didokong UMNO/BN.

Contoh-contoh pembaziran UMNO/BN sudah diketahui rakyat. Perdana Menteri terlampau taksub dengan bangunan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntun golongan berpendapatan rendah dan orang muda. Kerajaan UMNO/BN akan mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada APCO. Senarainya terlalu panjang untuk dihuraikan di sini.

Oleh itu, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik. Ini akan menyelamatkan RM28 bilion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.

Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni. Jumlah RM19 bilion subsidi korporat yang ditanggung oleh PETRONAS untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan kepada Perbendaharaan. Kita juga akan menyemak semula sistem konsesi tol untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 bilion setiap tahun yang kini ditanggung kerajaan.
Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 bilion kepada rakyat - lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan:

Imbuhan khas perguruan berjumlah RM500 sebulan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.

Jaminan Pakatan Rakyat bahawa subsidi minyak akan dikekalkan untuk golongan berpendapatan rendah akan melibatkan penstrukturan semula sistem subsidi, supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak. Kos subsidi di bawah sistem sebegini dianggarkan berjumlah RM4 bilion setiap tahun.

Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneruskan subsidi gas memasak, berjumlah RM4 bilion setiap tahun.

Penstrukturan semula sistem tol di bawah PLUS dianggarkan menelan belanja RM23 bilion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP. Kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan berjumlah RM8 bilion.

Justeru, jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang.

Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kami telah membuktikan ia mampu dilaksanakan.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa UMNO/BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat apabila rakyat tahu bahawa ia mampu dilaksanakan. Tabiat berhutang UMNO/BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat. [MOD]

Malaysia sedang menuju gerbang muflis

07 Safar 1432H.
Oleh : Aziz Muda .

KUALA LUMPUR, 11 Jan: Malaysia sememangnya sedang menuju ke gerbang kemuflisan jika Umno BN terus berhutang sewenang-wenangnya seperti sekarang, tetapi bukanlah disebabkan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tuduhan Perdana Menteri bahawa Janji 100 Hari Pakatan Rakyat akan menjadikan negara muflis adalah dangkal kerana hakikatnya, Umno BN yang berhutang setiap tahun sehingga hutang negara menggunung.

Menurut Ketua Umum PKR itu, laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 25 Oktober 2010 memberi amaran bahawa nisbah hutang negara kepada KDNK telah melepasi paras 50 peratus buat kali pertama dalam sejarah negara.

Katanya, kenyataan Perdana Menteri kononnya Janji 100 Hari Pakatan Rakyat tidak dapat dilaksanakan atas alasan negara tidak berkemampuan membuktikan lagi Umno BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta.

"Maka memandangkan isu ini mendesak dan menyentuh kepentingan rakyat dan negara, kami syorkan diadakan debat terbuka," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Cabaran itu, kata Anwar wajar diterima Najib kerana beliau sering mempersoal dan memperlekehkan tawaran Pakatan Rakyat tersebut yang dikemukakan semasa Konvensyen Ke 11 Pakatan Rakyat 19 Disember lalu.

Pentadbiran Najib, termasuk menteri dan medianya, dilihat begitu kelam kabut menangani Tawaran 100 Hari Pakatan Rakyat itu.

Semalam Najib mengulas dengan panjang lebar mengenainya semasa perjumpaan dengan warga kerja Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Hari ini, kebanyakan media BN menyiarkan panjang lebar pula isu itu termasuklah berita muka depan, RTM1 menyiarkan dalam berita pagi keratan akhbar dan mengulas khusus dalam slot analisis kira-kira setengah jam.

Sebelum Najib menjawab, timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengulas isu itu, khasnya tawaran kenaikan elaun RM500 untuk semua guru di negara ini.

Menurut Anwar, hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7 peratus dari KDNK. Mala petaka ekonomi itu berlaku di bawah pentadbiran Perdana Menteri sekarang sebagai Menteri Kewangan.

"Dalam tahun 2010, kerajaan melancarkan 19 program menjual bon yang membabitkan hutang tambahan bernilai RM58.1 billion," katanya.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR menambah, tabiat berhutang Umno BN akan diperhebatkan tahun ini. Ini terbukti apabila pada 14 Disember 2010, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan kerajaan akan menjual 29 bon tambahan dalam tahun 2011.

"Menurut anggaran Institut Penyelidikan RHB, penjualan 29 bon itu akan membabitkan hutang baru kerajaan persekutuan berjumlah RM83 billion. Makanya, alasan Perdana Menteri untuk menolak Janji 100 Hari Pakatan Rakyat perlu dikaji dengan berlatar belakangkan perkara-perkara ini," katanya.

Contoh-contoh pembaziran Umno BN, katanya, sudah diketahui rakyat. Antara buktinya termasuklah ketaksuban Perdana Menteri dengan bangunan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 billion, sedangkan isu perumahan mampu milik meruntum golongan berpendapatan rendah dan orang muda.

"Kerajaan Umno BN akan mengugut bahawa negara akan muflis setiap kali Pakatan Rakyat memperjuangkan imbuhan tambahan para guru, tetapi ia tidak rasa bersalah apabila meluluskan kontrak RM77 juta kepada APCO," katanya.

Oleh itu, menurut beliau, tindakan pertama Kerajaan Pakatan Rakyat adalah melancarkan perang habis-habisan menentang rasuah di setiap peringkat, bermula dengan pemimpin-pemimpin kanan politik.

"Ini akan menyelamatkan RM28 billion yang tiris dari Perbendaharaan setiap tahun akibat rasuah, seperti yang dianggarkan oleh Ketua Audit Negara.

"Selepas itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menstrukturkan semula sistem subsidi untuk memansuhkan subsidi korporat yang hanya mengkayakan beberapa kerat kroni.

"Jumlah RM19 billion subsidi korporat yang ditanggung oleh Petronas untuk membayar IPP milik kroni akan dipulangkan kepada Perbendaharaan," katanya.

Kerajaan Pakatan Rakyat juga, jelas beliau, akan menyemak semula sistem konsesi toll untuk memansuhkan bayaran pampasan RM4 billion setiap tahun yang kini ditanggung oleh kerajaan.

"Dua tindakan yang mudah ini akan memulangkan RM51 billion kepada rakyat, iaitu lebih dari cukup untuk melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat yang jumlahnya hanyalah satu pertiga dari jumlah yang diselamatkan," tegasnya.

Bukti kemampuan Pakatan Rakyat melaksanakan janji 100 harinya itu diperjelaskan oleh Anwar dengan perkiraan imbuhan khas perguruan sebanyak RM500 sebulan yang hanya menelan belanja RM3.2 billion setahun.

Sementara, penstrukturan semula sistem subsidi supaya hanya golongan yang berkelayakan menikmati subsidi minyak dianggarkan berjumlah RM4 billion setahun.

Manakala subsidi gas memasak berjumlah RM4 billion setahun, penstrukturan semula sistem tol di bawah Plus RM23 billion, berdasarkan harga pasaran yang ditawarkan oleh Khazanah dan KWSP, kos tambahan yang ditanggung oleh kerajaan untuk mengambil alih operasi dari pemegang saham minoriti dianggarkan RM8 billion.

Jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan janji itu, katanya, hanyalah RM19.2 billion, iaitu sama dengan subsidi korporat yang diberikan oleh Umno BN kepada IPP milik kroninya setiap tahun.

"Jumlah itu adalah terlalu sedikit berbanding RM51 billion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang," ujarnya.

Janji-janji lain seperti skim air percuma dan skim wi-fi percuma, jelasnya, telah pun dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, sebagai bukti Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya.

"Oleh yang demikian, Perdana Menteri tidak boleh berdolak dalih lagi kenapa Umno BN tidak mahu melaksanakan Janji 100 Hari Pakatan Rakyat, apabila rakyat sendiri sudah tahu bahawa ia mampu dilaksanakan," tegasnya.

Beliau amat kesal kerana tabiat berhutang Umno BN yang membebankan generasi akan datang adalah sangat tidak bertanggungjawab, apatah lagi apabila wang yang dipinjam tidak dibelanjakan untuk rakyat.

Harakahdaily/-

Pelajar tunggu SPM hutang along RM100,000

7 Safar 1432H MalaysianInsider

JOHOR BARU 12 Jan — Akibat ketagihan judi melalui Internet seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia SPM menanggung hutang kira-kira RM100 000 kepada along. Ekoran masalah itu dia dihalau dari rumah oleh ibunya. Remaja berkenaan bermain judi lumba kuda dan lumba anjing sejak beberapa bulan lalu selepas terpengaruh dengan rakan yang meraih kemenangan menerusi permainan itu.

Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru Michael Tay berkata pada peringkat awal ibunya menyangka remaja itu mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan tetapi dia sebenarnya menghabiskan masa seharian di depan komputer untuk bermain judi.

Bagaimanapun katanya perubahan sikap remaja terbabit termasuk tidak mengendahkan makan dan minum menimbulkan keraguan ibunya sehingga dia sendiri mengaku pembabitannya dengan judi serta hutang yang ditanggung.

“Ia mengecewakan ibunya dan menghalau remaja itu dari rumah mereka di sini dan membuat aduan kepada Biro Aduan Awam MCA. Ibunya memberitahu akibat kejadian itu dia turut diugut along yang mengunjung premis niaganya sambil memberi amaran supaya anaknya melunaskan hutang ” katanya dipetik Berita Harian hari ini.
Tabiat ketagihan judi itu adalah antara 19 aduan diterima biro berkenaan mengenai gejala judi internet sejak November lalu sehingga awal bulan ini yang menular di kalangan pelajar dan remaja berusia awal 20-an termasuk mereka yang sedang menunggu keputusan peperiksaan. [MOD]

Gapena Tolak Campur Tangan Politik Selesai Isu Interlok

7 Safar 1432H TVS Selangor.
KUALA LUMPUR 12 JAN: Gabungan Penulis Nasional (Gapena) tidak mahu campur tangan politik dalam usaha mencari jalan penyelesaian berhubung kontroversi novel Interlok tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, lapor The Malaysian Insider.

Ketua Dua Gapena Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, adalah lebih baik supaya pemimpin politik tidak campur tangan kerana dikhuatiri keadaan akan menjadi lebih teruk.

Beliau juga menolak cadangan Dewan Pemuda PAS pusat yang mahu menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian mengenai novel itu yang dijadikan teks di sekolah mulai tahun ini, yang turut membawa kepada tindakan pihak tertentu membakarnya Sabtu lalu.

“Saya rasa kalau nak selesaikan jangan orang politik, kita kena minta pihak profesional dari penulisan, pensyarah atau mereka yang mahir dalam bidang penulisan,” katanya.

Abdul Latiff berkata perkara itu jika membabitkan campur tangan politik dikhuatiri “nanti jadi kacau.”

“Jadi lebih baik ia dilakukan orang profesional dalam bidang penulisan untuk menyelesaikannya.

“Saya takut nanti masuk politik, jadi lain pula. Saya tidak tolak tapi biarlah kami selesaikan dulu, saya ucap terima kasih kerana bersedia membantu tapi beri peluang kepada kami dulu,” kata Abdul Latiff .

Justeru, Abdul Latiff berharap supaya semua pihak memberikan peluang kepada Gapena untuk mencari jalan penyelesaian termasuk mengadakan sesi dialog dengan pihak yang mempertikaikan Interlok.

“Beri kami peluang selesaikannya dulu, biar kami buat persidangan meja bulat dan panggil mereka yang mempertikaikan novel ini untuk berdialog.

“Buat masa sekarang kami tolak campur tangan politik, biar selesaikan secara profesional. Saya takut kalau masuk campur tangan politik nanti jadi lebih teruk,” katanya.

Kelmarin, Dewan Pemuda PAS pusat melahirkan kesediaan untuk menjadi orang tengah menyelesaikan pertikaian mengenai buku teks sastera Interlok itu.

Sayap PAS itu bercadang mengadakan “pertemuan muhibah” membabitkan pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian bagi mencari jalan penyelesaian.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontrovesi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India.

Ada pandangan yang mengatakan aspek kontroversi juga membabitkan kaum-kaum lain.

Interlok memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Dalam kenyataannya disiarkan media semalam, Abdullah mempertahankan novelnya sambil menegaskan beliau tidak bermaksud mahu menghina masyarakat India negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta mereka yang mempertikaikannya agar membaca kandungan novel itu dengan mendalam sebelum melahirkan pendirian mereka.

Novel itu yang kini berusia empat dekad telah diputuskan oleh Kementerian Pelajaran untuk dijadikan teks sastera mulai tahun ini.

“Baca betul-betul (teks Interlok) apa maksud sebenar saya tulis. (Saya) bukan mahu menghina masyarakat India,” kata beliau.

Selain Gapena, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) juga berharap pertikaian tersebut diselesaikan secara profesional oleh pihak yang arif dalam bidang penulisan.

Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad berkata pihaknya akan menyelesaikan kontroversi itu secara bijaksana tanpa melibatkan mana-mana parti politik.- [MOD]

PRU: Kedah bayangkan tidak ikut pusat

07 Safar 1432H.
Oleh : Muhayat Jasmin.

ALOR SETAR, 11 Jan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak membayangkan negeri itu tidak semestinya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) peringkat pusat.

Menurut Menteri Besar, pembubaran DUN Kedah bergantung kepada keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan rakyat (PR) yang bersepakat untuk memutuskan sendiri tarikh PRU bagi negeri-negeri yang dikuasai.

Ketika ini PR menguasai empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

"Bagi kerusi DUN, kehendak kerajaan BN (menentukan tarikh pilihan raya umum) tidak semestinya menjadi ikutan (negeri)," kata beliau dalam pertemuan dengan seorang wakil media.

Bagaimanapun kata Azizan dalam kontek kerusi parlimen, PAS akan menyertainya tidak kira waktu bila pilihan raya itu akan diumumkan oleh kerajaan pusat.

"Kita tidak akan beri ruang sedikit pun kepada BN walaupun pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat. Tapi bagi negeri yang kita kuasai, ia bergantung kepada Majlis Pimpinan PR untuk memutuskan bila DUN akan dibubarkan," ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pembubaran DUN walaupun lazimnya dilakukan selepas pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum dijalankan serentak tetapi Menteri Besar mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya negeri dengan mendapat perkenan Sultan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor turut menegaskan untuk tidak membubarkan DUN sekiranya kerajaan pusat mengadakan pilihan raya umum tergempar atau dalam masa terdekat.

Keputusan yang diambil hasil perbincangan pimpinan PR peringkat negeri itu antaranya mengemukakan alasan mahu menggunakan mandat lima tahun sepenuhnya bagi melaksanakan janji-janji kepada rakyat tanpa terikat dengan rentak Barisan Nasional.

Mengulas lanjut tentang tarikh pilihan raya umum yang sentiasa menjadi teka-teki di negara ini, Azizan menasihatkan pimpinan kerajaan BN supaya tidak lagi mengamalkan sikap demikian.

Kata beliau, rakyat hari ini tidak boleh diperbodohkan sepertimana yang dilakukan sebelum ini kerana sebahagian besar rakyat sudah celik politik malah menyedari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu kata beliau, teka-teki tarikh pilihan raya yang menjadi permainan BN langsung tidak menggusarkan Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya BN yang takut untul mengumumkan tarikh PRU sekiranya mereka merasa sukar untuk mendapat kemenangan.

Harakahdaily/-

'Belasah' ahli perniagaan, lima polis didakwa

07 Safar 1432H.
Oleh : Kuek Ser Kuang Keng.

Lima anggota polis hari ini dihadapkan ke mahkamah majistret Petaling Jaya hari ini berhubung dakwaan membelasah ahli perniagaan Chia Buang Hing, 35.

Daripada lima anggota itu, empat konstabel didakwa mengikut seksyen 323, Kanun Keseksaan kerana dakwaan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Chia di balai polis Kota Damansara daripada jam 12.30 pagi hingga 3 pagi pada 19 Disember tahun lalu.

Keempat-empat mereka adalah Konstabel Mohd Azwan Hassan, Konstabel Norzali Rosle, Konstabel Ahmad Saifullah Osman dan Konstabel Alizulhafiz Abdul Ghafar.

Mohd Azwan dan Norzali menghadapi pertuduhan kedua atas akta yang sama kerana mencederakan Chia di Jalan PJU 3/15, Persiaran Tropicana, Petaling Jaya antara jam 11.30 malam 18 Disember hingga 12.30 awal pagi hari keesokannya.

Keempat-empat mereka mohon dibicarakan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi anggota yang didaakwa adalah lans korporal Mohadi Adam.

Beliau turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tuduhan mengingkari suatu arahan undang-undang di bawah Seksyen 20 (3) Akta Polis 1967, dengan mengetahui bahawa dengan keingkaran itu telah menyebabkan bencana kepada Chia.

Mohadi mohon dibicarakan. Jika bersalah dia menghadapi hukuman penjara maksimun setahun, denda dan juga kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM3,000 ke atas kesemua anggota polis itu.

Peguam Suraj Singh yang mewakili Norzali dan Mohd Azwan dan peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Ahmad Saifullah, Alizulhafiz dan Mahadi membantah permohonan itu atas alasan tiada peruntukan undang-undang untuk mengenakan jaminan bagi kesalahan saman.

"Anak guam saya hadir ke mahkamah seawal 9 pagi selepas mereka menerima panggilan telefon daripada pihak polis dan hanya menerima surat saman beberapa minit sebelum prosiding kes itu pada 3.40 petang tadi.

"Semua mereka hadir tanpa dipaksa walaupun surat saman belum dikemukakan kepada mereka," katanya.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan bagaimanapun menolak permohonan pihak pendakwaan untuk mengenakan jaminan terhadap kesemua anggota polis itu dan menetapkan 14 Feb untuk sebutan kes.

Chia sebelum ini juga mendakwa anggota polis berkenaan bukan sahaja menyerang tetapi merompak wang tunai RM13,000 daripadanya.

Malaysiakini/-

Saksi kes kematian tahanan polis buat laporan

07 Safar 1432H.
Oleh : Regina Lee.

Seorang saksi yang mendakwa melihat seorang lelaki dipukul sehingga mati ketika dalam tahanan polis, hari ini membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Dengan diiringi peguam daripada Lawyers for Liberty, N Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri, saksi berkenaan, A Sargunan tampil di balai polis Dang Wangi membuat laporan, petang tadi.

Namun, kejadian itu penuh drama apabila rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa, M Krishnan juga berkumpul di balai polis itu yang terletak di tengah-tengah ibu negara.

Lebih 20 daripada mereka membawa kain rentang yang tertera “ Keadilan untuk Krishnan” tetapi diarahkan bersurai oleh anggota polis yang sama ramainya.

Ketegangan berlaku seketika apabila rundingan dilakukan oleh ahli parlimen Subang R Sivarasa dan ahli parlimen Kapar S Manikavasagam dengan pihak polis. Selepas berunding, mereka dibenarkan menunggu di luar sementara laporan polis dibuat oleh saksi.

Krishnan, 36 tahun, seorang juruelektrik ditahan di Taman Miharja pada 3 Januari lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan dadah dan direman selama empat hari di balai polis Bukit Jalil.

Menurut saksi, mendiang dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, tiga hari kemudian selepas mengadu sakit perut.

Namun, Krishnan diisytiharkan mati keesokan hari. Pihak hospital melaporkan mendiang mati kerana mengalami luka dalam perut.

Isteri mendiang P Revathi, 38, bagaimanapun menolak laporan itu sebagai mencurigakan.

"Selepas meninggal, bedah siasat dibuat tanpa izin saya. Siapa yang benarkan hospital buat post-mortem? Saya ada enam orang anak, siapa mau tanggung mereka sekarang ini?" soal beliau.

Keluarga mangsa memfailkan satu laporan polis di balai Jinjang, semalam.

Menurut Revathi, tiada seorang daripada ahli keluarga yang mengetahui suaminya ditahan polis. Mereka hanya mengetahui mengenai kematian Krishnan daripada seorang saksi kejadian.

Dakwanya, di bilik mayat, beliau terkejut melihat kesan koyak pada rusuk mangsa yang disertai lebam pada mata, dan belakang tubuh yang dipercayai akibat kesan dipijak.

Malaysiakini/-

#tanyanajib: Rambut Rosmah jadi sasaran

07 Safar 1432H.
Oleh : Aidila Razak.

Banyak gembar-gembur isu, suara kekecewaan, malah tidak kurang juga tulisan yang menggelikan hati yang timbul hari ini di Twitterjaya - nama jolokan untuk komuniti blog mikro Twitter di Malaysia.

Tulisan berkenaan timbul berikutan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membuka ruang selama sejam untuk menerima soalan-soalan ke laman berkenaan bermula jam 4.30 petang ini.

Najib meminta pengguna Twitter mengemukakan soalan itu melalui label (hashtag) #tanyanajib dan akan "mengambil kira" semua soalan yang diajukan.

Selain Twitter, Najib juga membuka ruang sama di laman sosial Facebook beliau.

Berikutan itu, Najib menerima soalan bertalu-talu daripada para pengguna laman sosial berkenaan sehingga beliau melanjutkan masa untuk menerima soalan yang diajukan.

"Memandangkan respon yang menggalakkan, saya memanjangkan masa #tanyanajib hingga ke 6ptg, supaya anda semua boleh mengajukan soalan," kata Najib kepada lebih 57,000 pengikutnya di laman tersebut.

Langkahnya itu juga membolehkan label #tanyanajib muncul dalam senarai sepuluh trend Twitter paling popular.

Populariti itu bagaimanapun masih belum mengatasi rekod tulisan Twitter untuk penjaga gol kebangsaan Fahmi Che Mat yang menjadi tersohor ketika perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2010 bulan lalu.

Bagaimanapun, ramai di kalangan pengguna Twitter mengambil peluang hari ini untuk menjadikan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai bahan jenaka.

Ada yang menimbulkan isu gaya rambut Rosmah, dan tidak kurang juga yang menimbulkan persoalan berhubung kematian tragis wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pengguna yang lebih serius pula ada di kalangannya yang menimbulkan isu kos sara hidup, undang-undang yang menindas serta tahap perkhidmatan pengangkutan awam dan pendidikan.

Menurut pejabat perdana menteri, Najib akan menjawab soalan terpilih melalui satu siaran video di laman YouTube.