10 January 2011

Banjir di kelantan bertambah baik.

6 safar 1432H.

KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan terus bertambah baik malam ini dengan bilangan mangsa pemindahan berkurangan kepada 2,238 orang daripada 715 keluarga, berbanding 2,694 orang pada sebelah petang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata, sehingga 8.30 malam ini sebanyak sepuluh pusat pemindahan masih dibuka di dua daerah iaitu tujuh di Pasir Mas dan dan tiga di Tumpat. Beliau berkata, hanya empat laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu KM3 Jalan Pengkalan Rakit; KM9 Pohon Tanjung-Rantau Panjang (jalan lama) Kampung Siram; Pohon Tanjung-Meranti; dan KM23 Jalan Banggol Kulim Lokasi 2, kesemuanya di daerah Pasir Mas. Jurucakap itu berkata, paras air Sungai Golok semakin surut dan kini pada paras 9.74 meter, tetapi masih melebihi paras bahaya 9 meter.Bernama/-

Interlok hina kaum India?

6 Safar 1432H.
Tumingan Suration

Lazimnya, jarang sekali karya sastera, khususnya novel Melayu mendapat perhatian sebegitu meluas daripada masyarakat umum di negara ini seperti yang diperoleh Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain.

Tetapi malangnya semua perhatian berkenaan atas sebab yang tidak sepatutnya.

Banyak pihak tampil membidas Interlok yang dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk tingkatan lima. Ia dikatakan sebagai karya berbentuk 'rasis' serta menyemai bibit-bibit unsur penghinaan.

Buku setebal 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Ia dibahagikan kepada empat buku, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bahagian kedua tentang Cing Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum semua itu dirangkum dalam bab terakhir.

Ia juga merangkumi sekurang-kurang tiga generasi yang mengambil latar sekitar 1910 dan berakhir pada latar masa 1957 ketika negara menyambut kemerdekaan.

Walaupun semua keempat-empat bahagian buku itu mempunyai kandungan yang kontroversial, namun bab yang mendapat publisiti meluas sekarang adalah yang berkisar mengenai keluarga Maniam.

India melenting!

Tidak seperti kaum lain di negara ini, yang melenting adalah hanya kaum India!

Bermula dengan bidasan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan ia diperpanjangkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam yang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu.

Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dalam kenyataan medianya mendakwa Interlok memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'paria' yang digunakan.

Buku mengenai Maniam itu bermula apabila lelaki berusia 30 tahun itu yang berbadan tegap dan bertulang rangka besar meninggalkan kampungnya di Tricur, Kerala, India kerana tidak tahan dicengkam kemiskinan.

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasaldari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211)

Sekumpulan masyarakat India di negara ini mempertikaikan kebijaksanaan Abdullah yang mengolah ceritanya dengan fakta-fakta sejarah dan hakikat sistem kasta yang membelenggui masyarakat di India ketika itu.

Maniam digambarkan gembira dengan peluangnya mendapat pekerjaan dan begitu serasi bukan sahaja dengan cuaca di Malaya yang hampir sama dengan kampung halamannya, tetapi juga makanan seperti kari yang digemari penduduk tempatan menepati citarasanya.

Di sini, pekerjaan yang membezakan kasta tidak ada. (halaman 216)

Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. (halaman 218)

Di negeri ini, orang daripada kasta Brahma memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu.

Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219)

Tidak puas hati

Bagi kumpulan masyarakat India, perenggan-perenggan di atas terlalu sensitif dan mereka tidak berpuas hati denggannya.

Cerita itu disambung mengenai kebahagian yang dikecapi oleh Maniam bagaimapun tidak lama, apabila orang kampungnya, Raman dan Suppiah datang membawa khabar berita, bahawa isterinya Ambika sudah mengikut lelaki lain.

Esakan Maniam berhenti dan dia mengesat air matanya. Barulah Suppiah, orang yang berair muka seperti keanak-anakan itu bercerita. Isteri Mania, Ambika sudah amat melarat hidupnya. Dia sudah mulai makan pucuk-pucuk kayu. Tukang pinjam wang sudah tidak membenarkan dia tinggal di rumah itu lagi kerana rumah itu sudah menjadi haknya dan lembu Maniam itu diambilnya. (halaman 221)

Malah, Maniam yang tidak berpelajaran, setiap bulan mengirim wang kepada rakannya di India, Pillay supaya diberikan kepada isterinya. Pillay bukan sahaja gagal menunaikan amanah itu tetapi juga melarikan isteri sahabatnya itu.

Akibat tertekan dengan berita itu dan menanggung malu yang besar, Maniam mengambil keputusan meninggalkan Pulau Pinang dan merayau dari satu kebun ke satu kebun sehingga dia tercampak di kebun orang putih di Cangkat Lima.

Dia berjaya mendapat pekerjaan dari tandil kebun kelapa itu - juga seorang India dari Madras, Perumal dan akhirnya berkahwin dengan anak perempuannya Malini dan hidup dengan bahagia, tanpa memberitahu latar perkahwinannya dengan Ambika.

Akibatnya, kebahagian itu tidak berkekalan - Suppiah kemudiannya datang ke kebun itu dan membawa cerita bahawa Maniam pernah berkahwin dan meninggalkan isterinya.

Akibatnya beliau diusir dari ladang itu dan semasa meninggalkan estet berkenaan, Maniam diserang dan cuba dibunuh oleh orang yang tidak dikenali. Mujur kehadiran seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkannya.

Sekilas pandang, tidak dapat dinafikan mungkin ada petikan yang menguris hati dan dikatakan berbaur perkauman, namun kita tidak boleh melihat ayat terpencil atau isu yang diambil di luar konteks novel. Tindakan seumpama itu, hanya menidakkan niat suci dan murni pengarang untuk menyatukan masyarakat Malaysia melalui karyanya itu.

Perlu dibaca menyeluruh

Interlok perlu dibaca secara menyeluruh. Untuk menuduh Abdullah sebagai penulis rasis dan menghina masyarkat India serta membakar karya sasterwan negara itu, sesuatu tindakan melampau.

Pandangan tajam Abdullah Hussain membidas keadaan ketika itu, juga tidak terkecuali ke atas masyarakat Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh dan malas.

Setelah guru besar itu berlalu, Pak Musa ketwa terkekeh-kekeh, diikuti oleh Mak Limah. Dia amat gembira kerana menipu guru besar itu.

“Buat apa sekolah? Tengok tu, tahu membaca dan menulis pun aku yang tak bersekolah ini dapat tipu bulat-bulat.”

Masyarakat Cina pula digambarkan bermata duitan dan sentiasa tidak ikhlas serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang.

Ini jelas dipaparkan dalam Buku Dua - Keluarga Cing Huat. Menghiasi halaman utamanya, dimasukan pepatah Cina yang berbunyi: “Kalau tak berwang, ke mana pergi terbuang.”

Lee Kim Lock yang melarikan diri dari tanah besar Cina akibat hasil tanaman mereka diserang belalang sanggup melakukan apa sekali perkerjaan pun termasuk mengangkat najis manusia.

Selain itu, demi wang, ikatan persaudaraan tidak penting. Malah mereka menikam satu sama lain seperti yang berlaku antara Paman Kok Leng yang menipu keluarga Cina yang dibawanya masuk ke Malaya. Hubungan adik-beradik juga menjadi tegang kerana wang.

Yew Hock lebih percayai oleh bapanya. Dia patuh pada ajaran bapanya, menimbang barang selalu kurang, berjual beli selalu bertegang urat.

Watak positif

Di sebalik watak dan nilai negatif yang ditunjukkan pengarang, pada novel ini menonjolkan watak positif untuk memberi keseimbangan dan memperlihatkan nilai terbaik bangsa dimanfaatkan untuk perpaduan kaum.

Dia terlalu memandang rendah kepada orang Melayu. Dia tidak pernah menganggap mereka manusia beradab seperti dia. Dia selalu mengatakan bahawa mereka malas. Dia mahu menarik keuntungan sahaja daripada mereka. Kalau mereka memberi keuntungan wang kepadanya, dia berbuat baik, kalau tidak dia menganggap mereka seperti sampah. Sekarang baru terasa bahawa kata-kata anaknya itu benar. Orang Melayu itu pun manusia juga. Mereka seperti kita, bukan orang biadap. (Halaman 321)

Satu lagi contoh pada novel ini yang menonjolkan watak positif, bangsa berlainan yang cuba menghormati satu sama lain, boleh dilihat pada petikan ini.

Maniam menyusun jari kedua-dua belah tangannya memberi hormat kepada Mak Limah. Mak Limah tidak tahu apa-apa yang mesti dibuat. Dia melihat Seman dan ketika dia berpaling semula, Maniam telah berjalan jauh sambil menyeret basikalnya.

“Baik orang India tu, Seman,” kata Mak Limah ketika mulai menggobek sirih.

Selain itu, Abdullah Hussain juga cuba memecahkan tembok kasta dengan memperlihatkan bagaimana Maniam diterima bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga penduduk tempatan.

Setelah bapanya meninggal, di kebun yang jauh dari kampungnya itu dia menemui seorang bangsa asing yang dapat dianggapnya sebagai bapanya. Hanyalah kerana berlainan agama dan bangsa yang memisahkan mereka, tetapi dalam pergaulan sebagai manusia Maniam memperlakukannya sebagai anak dan dia menganggap Maniam sebagai bapanya. (Halaman 316)

Justeru, mendakwa Interlok menghina kaum India bukan sahaja tidak tepat tetapi membawa malapetaka terhadap niat murni sasterawan negara itu cuba menegakkan hakikat bahawa masyarakat india memang tahu mengenang budi.

“Orang perempuan Melayu dari Kampung Nyiur Condong juga ada ditahan di sini. Dia ditahan bersama-sama papa, tapi belum disoal siasat lagi,” kata Ramakrrisynan.
“Anaknya mana?” tanya Maniam.

“Anaknya juga ada di sini, tapi tak ditahan. Dia mahu tolong ibunya.”

“Engkau tolonglah dia, Rama. Dia itu macam saudaraku sendiri. Suaminyalah yang menolong menyelamatkan aku dulu.' (Halaman 359)


Kaki kayu

Kisah bangsa Melayu, Cina dan India dalam novel ini sebenarnya dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti terkandung pada bab akhir.

Cerita diakhiri secara simbolik. Yew Seng yang terpaksa dipotong kakinya.

Waktu Yew Seng masih di dalam rumah sakit beberapa tahun yang lalu, mereka dari pekan itu dan dari kampung sekitarnya telah mengumpulkan wang untuk membeli kaki kayu tersebut, tetapi Cing Huat berkeras menolaknya. Dia mahu membeli sendiri. Dia ada wang. Dia tidak mahu menyusahkan orang ramai kerana anaknya itu, tetapi Lazim dan Raman pun berkeras juga. Mereka mahu menolong Yew Seng. Keputusan terakhir diserahkan kepada Yew seng, dan dia memilih kaki kayu yang akan diserahkan oleh masyarakat Melayu dan India. Masyarakat Cina di pekan itu ikut sama kemudian. Itulah khaki kayu yang digunakan oleh Yew Seng sekarang. (Halaman 418)

Malaysiakini/-

Hukum memukul muka

6 Safar 1432H
Ust. Salman Maskuri

Hukum memukul muka adalah haram walau dengan apa jua tujuan sekalipun ,samada dalam hudud, takzir, denda anak, denda anak murid atau tujuan2 yang lain.

Nabi saw bersabda

( إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبْ الْوَجْهَ ). رواه البخاري (2560) ومسلم (2612) واللفظ له ، وفي رواية له بلفظ: ( إِذَا ضَرَبَ أَحَدُكُمْ ... )


" Apabila sesorang kamu hendak memukul saudaranya (dengan tujuan dibenarkan syara') hendaklah dia menjauhi dari memukul mukanya."

Hadis sahih Bukhari dan Muslim

Imam nawawi berkata:

هَذَا تَصْرِيح بِالنَّهْيِ عَنْ ضَرْب الْوَجْه ; لِأَنَّهُ لَطِيف يَجْمَع الْمَحَاسِن , وَأَعْضَاؤُهُ نَفِيسَة لَطِيفَة , وَأَكْثَر الْإِدْرَاك بِهَا ; فَقَدْ يُبْطِلهَا ضَرْب الْوَجْه , وَقَدْ يُنْقِصُهَا , وَقَدْ يُشَوِّه الْوَجْه , وَالشَّيْن فِيهِ فَاحِش ; وَلِأَنَّهُ بَارِز ظَاهِر لَا يُمْكِن سَتْره , وَمَتَى ضَرَبَهُ لَا يَسْلَم مِنْ شَيْن غَالِبًا ". انتهى "شرح النووي على مسلم " (16/165) .

Ini adalah tegahan yang jelas terhadap memukul muka kerana

1. muka ada anggota lembut serta menghimpunkan segala kebaikan.
2. Anggota yang ada padanya sangat bernilai.
3. Anggota yang ada padanya ada anggota panca indera seperti mata.
4. Pukulan boleh merosakkan anggota penting ini , mengurangkannya, menghodohkannya atau cacat.
5. Kerosakan akibat pukulan di muka tidak boleh disembunyikan kerana ia adalah anggota yang jelas.

Imam Ibnu Hajar asqalani berkata:


وَيَدْخُلُ فِي النَّهْيِ كُلّ مَنْ ضُرِبَ فِي حَدّ ، أَوْ تَعْزِير ، أَوْ تَأْدِيب ". انتهى من فتح الباري (5/183)" Termasuklah dalam larangan adalah setiap pukulan ke muka ketika dalam hukuman hudud, takzir dan pukulan didikan."

Imam Sun'ani berkata (pengarang kitab subulus salam):

" وهذا النهي عام لكل ضرب ولطم من تأديب أو غيره ". انتهى "سبل السلام" (1/236).

" Pengharaman pukulan dan tamparan di muka ini merangkumi semua keadaaan samaada untuk mendidik atau sebagainya."

KESIMPULAN

oleh itu hendaklah kita menjauhi memukul muka samaada kepada isteri, anak, pelajar2, orang bawahan atau pun yang lain. Mungkin sebab anak2 atau anak murid semakin nakal dan susah hendak menghafal kerana tindakan memukul muka mereka.

http://akhisalman.blogspot.com

Blackberry tidak akan diharamkan - Rais

6 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR 10 Jan. — Malaysia tidak bercadang untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan telefon mudah alih pintar Blackberry setakat ini kerana ia tidak ada menimbulkan masalah kepada soal keselamatan negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan menyiasat sekiranya ada sesiapa yang mempunyai fakta tertentu mengenai penyalahgunaan kemudahan itu.

"Sekiranya ada (apa-apa masalah mengenai penggunaan telefon itu) saya ingin menerimanya dari masyarakat Malaysia sendiri. Justeru tidak wajar bagi kami membuat keputusan yang tergesa gesa,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pengarah-pengarah Jabatan Kebudayaan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa kerajaan Indonesia bercadang mengharamkan penggunaan Blackberry di negara berkenaan sekiranya aplikasi pornografi dan arahan untuk mewujudkan pelayan (server) di negara berkenaan tidak dipatuhi dalam tempoh dua minggu.

Rais berkata kajian sudah dibuat sebelum ini oleh SKMM dan mendapati bahawa Malaysia tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi di Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan India sebelum ini.

Negara-negara itu telah mengharamkan penggunaan dan penjualan Blackberry kerana dikatakan mengancam keselamatan negara mereka. - Bernama

Pelan 100 Hari : Bidasan Najib Tak Masuk Akal

6 Safar 1432H.
TVSelangor/-

SHAH ALAM 10 JAN : Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak masuk akal apabila membidas Pelan 100 Hari yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat bulan lalu, ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Dalam kenyataan itu Najib berkata apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' sebagai populis dan tidak bertanggungjawab.

Tegas Pua, apa yang dicadangkan Pakatan Rakyat di dalam 'Buku Jingga' hanya separuh daripada bajet yang dibentangkan Najib di dalam Parlimen Oktober lalu.

"Saya rasa Najib kena pergi balik ke sekolah untuk buat kira-kira bajet beliau. Kalau kerajaan mampu bina satu MRT bernilai RM40 bilion, bina Menara Warisan Merdeka RM5 bilion, bina Wilayah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur(KLFID) yang bernilai RM26 bilion.

"Yang kita cadangkan itu hanya sebahagian daripada bajet yang Barisan Nasional ingin gunakan untuk projek mega ini.

"Saya rasa kritikan yang dibuat Perdana Menteri langsung tidak berasas kerana mengikut perkiraan kami kita akan membuat perbelanjaan yang kita cadangkan melalui perbelanjaan yang lebih amanah dan sistem terbuka termasuk tender terbuka," kata beliau

Ujarnya, dengan cara tersebut kerajaan dapat menjimatkan lebih banyak wang dan mengurangkan ketirisan daripada rasuah, pembaziran, kecuaian dan lain-lain.

Berhubung dakwaan Najib negara bakal bankrap disebabkan program tersebut, apa yang pasti kata Pua jika BN terus dengan perbelanjaan cara mereka di mana defisit terus meningkat, apa yang diramalkan Najib pasti berlaku.

Mengulas isu yang sama, dalam pada itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berpendapat kenyataan Najib itu sememangnya sudah dijangka dan hanya retorik semata-mata tanpa memahami matlamat sebenar Pakatan Rakyat.

"Kita sudah jangka beliau akan buat retorik seperti itu. Sebabnya, jelas apa yang kita nampak sekarang, BN tidak ada pendekatan dan cara yang baru untuk mengubahsuai atau perubahan besar kepada ekonomi Malaysia.

Jelasnya lagi, sejak sepuluh tahun kebelakangan ini iaitu pada tahun 2000 sehingga tahun lepas, kita dapati 700,000 anak Malaysia yang belajar di dalam dan luar negara tidak lagi percaya kepada kerajaan BN telah mencari kerja di negara lain seperti di Singapura, Amerika Syarikat, New Zealand, India dan Amerika Syarikat.

"Ini menunjukkan tidak ada keyakinan terhadap kerajaan BN, isu pokoknya kita kehilangan sumber manusia yang merupakan kelebihan dari pesaing-pesaing lain.

"Kalau kita ada pemikir yang baik, peniaga yang canggih, orang yang boleh berinovasikan teknologi yang baru, ini akan membawa perubahan besar kepada ekonomi Malaysia," katanya.

Kontraktor Melayu cakap tak serupa bikin

6 Safar 1432H.

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 10 Jan: Kerajaan negeri ada rakaman video menunjukkan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang, Datuk Mohmad Fadzil Hasan memohon maaf dan menarik balik semua kenyataan akhbar memburukkan Kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya tengah hari tadi tidak menyangka Fadzil bercakap 'tidak serupa bikin' apabila bertindak menafikan kenyataannya dalam akhbar arus perdana semalam.

“Kenapa beliau sanggup memutar belitkan kenyataan walhal beliau sendiri mengungkapkanya di hadapan media serta salah seorang Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malek Abul Kassim.

"Kenapa beliau putar belitkan kenyataan yang dibuatnya sendiri. Tak apa kita ada bukti rakaman sidang media itu. Dan, ia boleh memalukanya dirinya sendiri," jelasnya.

Lim tidak faham kenapa tiba-tiba Mohamed Fadzil bertindak seumpama itu dengan menggunakan media pro Barisan Nasional (BN) bagi memperbetulkan dirinya semula dengan membelakangkan fakta sebenar.

Pada 7 Januari lalu, Mohamed Fadzil dengan rombongan telah berbincang dengan Ketua Menteri sendiri sebelum bertindak memohon maaf secara terbuka pada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri kerana sering melemparkan kenyataan yang kadang-kadang tidak munasabah.

Selepas Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan, Kontraktor Melayu Pulau Pinang acapkali mengeluarkan kenyataan pedas kononnya kerajaan pimpinan Lim menafikan projek untuk orang Melayu sedangkan pada tahun 2008 hingga 2010 di mana 18 projek melibatkan Jabatan Parit dan Saliran diperolehi oleh Melayu melibatkan peruntukan RM40 juta.

Manakala tender Jabatan Kerja Raya pula menyaksikan 17 projek bernilai RM20 juta yang diluluskan antara Januari hingga 30 November 2010 di mana 16 diberikan kepada kontraktor melayu dan hanya satu bukan Melayu.

Harakahdaily/-

Setiausaha PAS Perak kemalangan di Lebuhraya PLUS.

6 Safar 1432H.
Cina Islam MOD.

SLIM RIVER, 10 Jan.:- Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Ust. Misbahul Munir Hj. Masduki (Gambar) terlibat dengan satu kemalangan di Lebuhraya PLUS berdekatan Behrang sekitar jam 5.30 petang tadi.

Dikatakan kereta yang dipandunya yang mengarah ke Ipoh dalam perjalanan balik dari Kuala Lumpur terbabas dalam keadaan hujan yang lebat.

Kenderaan yang dinaikinya mengalami kerosakan teruk namun beliau bersama 2 anaknya hanya mengalami kecederaan ringan.

Ust. Misbah dibawa ke Hospital Slim River sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk pemeriksaan lanjut lewat petang tadi.

PAS Tetap Setia Dengan Pakatan

5 Safar 1432H.
TVSelangor/-

SHAH ALAM 10 JAN : Pemimpin tertinggi PAS semalam memberi jaminan akan tetap setia bersama Pakatan Rakyat dan menolak khabar angin bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Umno.

Jaminan ini dinyatakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang apabila mengulas isu perjumpaan pemimpin PAS dan Umno atas undangan Yang Dipertuan Agong baru-baru ini.

Hadi berkata demikian di Majilis Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati, Shah Alam bagi memohon Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang hebat diserang terutama isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

"Majlis ini dianjurkan oleh Pimpinan PAS Pusat untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN. Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. PR satu Pakatan yang makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," katanya.

Majlis anjuran PAS Pusat ini mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 10 ribu hadirin membanjiri kawasan stadium menyertai acara solat hajat dan memberi sokongan terhadap kerajaan Negeri.

Turut hadir di Majlis tersebut ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul AM PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta pelbagai pemimpin dari kedua parti ini.

Dalam ucapan beliau, Nik Aziz menyentuh pengkhianatan Umno ketika PAS menjadi komponen Barisan Nasional.

"Dia nak bela Melayu tapi Melayu Kelantan tak nak bela. Inilah Umno. Nak suruh PAS berpadu dengan dia. Kita dah masuk BN, itupun dengan permintaan Allahyarham Tun Razak.

"Bila masuk dia tendang kita. Saya ingat pepatah arab. 'Anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik bersungguh minta balik bekerjasama kita kata tidak," kata Nik Aziz .

Kontroversi PAS, Umno Selesai - Anwar


5 Safar 1432H.
TVSelangor/-

SHAH ALAM 10 JAN: Kontroversi pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu 24 Disember lalu sudah selesai, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum PKR itu menjelaskan, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis santapan anjuran Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum,” katanya.

“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar pada sidang media selepas program Solat Hajat dan Pidato Perdana di Stadium Malawati malam tadi.

Sebelum menghadiri program anjuran PAS itu, Anwar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlebih dahulu telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal “pertemuan 24 Disember” itu.

Pada sidang media yang diadakan malam tadi, Hadi berkata, pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada Pakatan Rakyat.

“Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).

“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu, jadi jangan nak soal siasat macam polis,” kata Ahli Parlimen Marang.


Dalam kenyataan terbaru sehari sebelum itu, Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” kata beliau.

Rintihan Warga Miskin Sarawak

05 Safar 1432H.
Oleh : Yahya Bakeri.

Semoga Allah swt selamatkan kita dari bencana dan bala.Saya ingin berkongsi dengan tuan-tuan tentang sebuah kampung sudah wujud sejak sebelum merdeka. Hasil utama dari kampung Sebako ialah hasil laut dan pertanian seperti ikan obor-obor, udang dan lain-lain hasil laut.Hasil pertanian seperti padi dan kelapa sawit.

Saya sebenar taklah mahu apa dari blog ini cuma ingin sama-sama kita boleh simpati akan kedaifan kampun ini sejak sekian lama. Kampung Sebako ini terletak di bahagian Mukah dan di daerah Daro. Kampung ini lama ketinggalan berbanding kampung lain di Pulau Bruit yang mana pulau ini mempunyai sekitar 14-15 buah kampung. Kampung ini yang paling jauh ketinggalan dari segi apa sahaja kemudahan.

Saya sering kali mengeluh melihat kedaiffan warga kampung ini, boleh dikatakan seolah-olah dibiar begitu sahaja. Lihat sahaja di kampung-kapung lain di pulau Bruit, hampir semuanya mempunyai kemudahan sama elektrik atau air. Saya rasa negeri sarawak sangat kaya dengan hasil bumi yang sepatutnya sudah juga diberi untuk warga Sebako. Dulu kampung ini dikenali Sebakau.

Mungkin kampung ini punyai kayu bakau yang banyak. Warga Sebako rata-ratanya nelayan, sebab kedudukan kampung ini berada di tepi pantai. Bila di sebut kampung Sebako, mungkin banyak yang tidak mengenalinya. Bila sebut Sebako Paloh, barulah banyak yang kenal. Keindahan kampung banding kampung lain di pulau Bruit ialah, inilah satu-satunya di Pulau Bruit yang ada pantai yang indah.

Kami warga Sebako sudah terlalu lama hidup berbekalkan air hujan dari langit dan generitor sebagai punca bekalan elektrik. Mungkin saudara terkejut bila saya utarakan jika tiada hujan selama 2 minggu warga Sebako merintih tiada air. Cuba saudara rasakan jika tiada air hidup kita amat sukar.



Kekadang ada simpati datanglah bekalan air meneral percuma yang dibayar kos tambang sahaja 1liter 12 botol RM5 12botol. Itu jika ada duit bolehlah beli.Rata-rata penduduk adalah nelayan.Nelayan memang di ketahui umum adalah warga miskin di mana-mana di Malaysia. Amat jarang kita dengar mereka kaya. Jika air percumapun kena bayar kos tambang apalah nasib untuk mereka yang tiada duit.??????

Saya sedih bila penduduk terpaksa menggunakan generetor persendirian untuk bekalan elektrik yang sangat terhad. Jika dinilai kos untuk dapatkan bekalan ini jika sudah ada generitor sendiri yang di beli sekitar 2K-3K di bandar Sarikei dalam RM200-RM400 sebulan jika generitor dipasang jam 6petang sehingga jam 12malam.

Jika anda fikir anda bayar sebulan untuk bil elektrik dalam RM100 anda sudah mengeluh apakah penduduk Sebako yang bayar lebih mahal dari kita , kita anggap sudah kaya.Hakikatnya bukan semua yang mampu, banyak yang tak mampu dan malam bergelap dan siang kepanasan.Ramai yang mengeluh sampai bila begini?

Jumlah rumah di kampung Sebako 60-70 buah.Memang tak cukup untuk menyediakan bekalan air dan elektrik sebab tak menguntungkan. Jika dibandingkan dengan kampung-kampung lain di pulau Bruit ini memang sangat tak berbaloi, sebab kosnya sangat mahal dan merugikan.Memangpun rugi sebab kita fikir untung. Tapi jika kita fikir tentang tanggungjawab dan selogan "rakyat diutamakan" kita akan kata kasihan, menyedihkan, memilukan sudah 52tahun merdeka masih macam ni.

Saya walau berada di luar kampung sedih bila memikirkan tentang kampung Sebako.Saya lama juga berada di Semenanjung Malaysia. Hampir semua tempat di Semenanjung ada kemudahan elektrik dan air, jika tidakpun ada jalan penghubung dari kampung ke pekan.

Emak ayah masih berada di kampung ini.Rindu kepada mereka sentiasa tersemat di jiwa walau ke mana sahaja berada. Ibu dan ayah cinta kasihku buat mereka tiada tandingan. Sayang kerinduan mereka hanya dapat diubat setahun sekali atau setahun dua kali.

Bukan tak mahu balik kampung tapi kos untuk balik bukan sedikit. Bot catar spetboat kuasa kuda 200 hendak ke kampung perlu dibayar RM350-RM400.Itu untuk balik kampung sahaja belum balik lagi ke bandar Sarikei tambah lagi RM350-RM400.Jadi kos yang perlu anda bayar untuk pergi balik dari bandar Sarikei RM700-RM800. Mujurlah ada Maju Betanak dapatlah jimat banyak bayar tambang dalam RM35-RM40.Pergi balik dalam RM70-RM80.

Jika bawa anak ramai menangislah kawan bayar tambang.Itupun jika Maju Betanak tak penuh.Maju Betanak bot laju Berkuasa kuda 200+200.Lajukan tapi harga tambangnya nak cekek darah. Perjalanan sekitar 1jam 30minit. Saya pernah pergi dari Sibu ke Oya mengambil masa 2 jam 30 minit tapi bayaran cuma RM25 sahaja.Pelikkan mereka berulang dalam sehari 2kali tapi tak diketahui oleh pihak berkuasa.

Mereka mengenakan bayaran membebankan. Saya suka mereka buat perkhidmatan ini untuk kemudahan kami.Tapi biarlah berpatutan dan dipantau oleh pihak berkuasa laut dan sungai Sarawak.Ada jaminan keselamatan.Ni tak tahulah.Boleh lihat sendiri di wap 1 Bahagian Sarikei Sarawak.

Saya sangat suka jika kita berkongsi maklumat. Saya suka jika kita berusaha bersama antara pemimpin dan rakyat. Pemimpin di pilih rakyat dan berkhidmat untuk rakyat.Bukan sebaliknya, rakyat berkhidmat untuk pemimpin.Kita memegang amanah dan tanggungjawab.Jagailah amanah itu agar tidak dilemparkan oleh Allah swt dalam neraka asbab sikap kita yang diberi amanah mengabaikannya.Selogan kita "Rakyat didahulukan, pretasi diutamakan".

Di sini saya mencadangkan agar penduduk Sebako diberikan kemudahan jalan untuk menghubungkannya dengan kampung lain yang punya bekalan air dan elektrik dan kemudahan pengangkutan ekspres seperti Kampung Sai' atau Smoop atau Sedi. Antara kampung terdekat ialah kampung Sedi atau Sai'. Jika guna bot laju perjalanan cuma ambil masa 5 minit. Jika guna jalan darat lagi laju mungkin 2 - 3 minit sahaja. Dengan kemudahan jalan dibuat dahulu kemudahan lain akan lebih cepat, sebab akan menjimatkan kos pembinaan dan bekalan binaan akan dibawa melalui jalan darat.

Selain itu jika tiada bekalan minyak dan air penduduk boleh beli di kampung terdekat.Jadi kegiatan dan aktiviti penduduk akan lebih mudah. Hasil-hasil laut juga akan dapat dibawa ke bandar atau kampung lain, dapat juga nelayan kampung prolehi harga yang munasabah,inyAllah dapat hapuskan kemiskinan di sini.Tambahan lagi memudahkan warga muda balik ke kampung dan tidak lagi bayar mahal untuk tambang.Saya senyum lebar.....tapi bila?????ada jalan ni...???

Kelab Penyokong Kerajaan Selangor pertahan ADUN

5 Safar 1432H.

PETALING JAYA - Kelab Penyokong Kerajaan Selangor mengutuk tindakan sebuah akhbar dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang sengaja memutar-belitkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Bendaharinya, Gan Pei Nie berkata, tindakan tersebut berniat jahat untuk mencetuskan salah-faham serta menghasut atas nama istana, malah insiden pejabat Shuhaimi disimbah cat tidak patut berlaku.

Menurutnya, polis wajib mengambil tindakan tegas ke atas pihak terlibat dan menyiasat serangan bermotif politik ini yang mengancam keselamatan agar budaya ganas ini tidak berleluasa.

“YB Shuhaimi hanya mengutarakan pandangannya sebagai seorang wakil rakyat di dalam sebuah negara demokrasi, jika pun ada sebarang perbezaan pandangan, ia boleh dibahaskan dengan sopan dan berilmiah. Bukan melalui jalan keganasan.

“Pejabat YB Shuhaimi bukan mangsa pertama diserang pengganas politik, sebelum ini kita menyaksikan ADUN Skinchan YB Ng Swee Lim ketika jalankan tugas diserang sehingga masuk hospital beberapa hari. Ahli Majlis Perbandaran Selayang En. Lim apabila jalankan tugasan sebagai ahli majlis dalam kawasannya juga diserang cara ganas,"katanya.

Indonesia arah BlackBerry sekat laman lucah

5 Safar 1432H.

JAKARTA - Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia, Tifatul Sembiring memberikan tempoh dua minggu kepada pengeluar telefon bimbit BlackBerry supaya menghalang akses kepada laman sesawang lucah pada telefon pintar itu.

Syarikat Research in Motion (RIM) diarah menuruti arahan itu atau operasinya di Indonesia akan dihentikan.

"Sudah beberapa kali kami mengarahkan syarikat itu supaya menghalang akses kepada laman lucah dan tempoh masa yang lama telah diberikan.

"Jika mereka masih menangguhkan sekatan itu, kami akan menutup operasi mereka di negara ini kerana syarikat itu gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Kementerian itu dilaporkan mengadakan beberapa perjumpaan dengan wakil RIM bagi menuntut syarikat itu membuka pusat maklumat di Indonesia sebagai mematuhi undang-undang negara itu.

Pembukaan pusat maklumat pengguna akan membolehkan pihak berkuasa menjalankan pintasan e-mel dan mesej pengguna secara sah.

Sajak: Negaraku Malaysia Tercinta...

05 Safar 1432H.
Oleh : Ink Sensei.

Ada sebuah negara

Di dalamnya yang miskin terus derita

Harga barangnya terus menaiki carta

Lalu yang kaya semakin kaya

Yang papa semakin papa

Jangan dimimpikan pendidikan percuma

Bila along kerajaan terus menyapa

Sudah diingatkan Rasul, ini yang akan menimpa

bila umat Islam terus menerus alpa,

maka yang paling bodoh terus memegang kuasa

yang mereka mimpi menara tertinggi dan rekod-rekod dunia

Wang rakyat seolah duit mak bapak mereka

Apalah sangat RM billion dan juta

Peduli apa juga dengan laporan audit negara

Kata mereka yang aman damai itulah Malaysia

Lalu kenapa takut dibiarkan anak-anak di luar tanpa penjaga?

Rogol,bunuh, rompak terus berleluasa

Jenayah kejam menjadi pelaris berita

‘Penjaga keamanan’nya sibuk menyembur gas pemedih mata

Pada rakyat yang hanya minta didengar suara

Rasuah menjadi perkara biasa

Wayang dan tv sibuk dengan cerita puaka

Ataupun program realiti yang membodohkan mereka untuk minta dipuja

Itu belum campur dengan konsert leka yang terbuka

Tak perlu dihairan sedang si gay jijik pun mengaku dengan terbuka

Tua dan muda leka dengan seks, nyanyian, tarian, & dunia

Dan dengan Idola Kecil si kecil digula-gula

Menjadikan generasi mendatang terus bodoh dan leka

Tanggungjawab mencorakkan kain putih itu mereka lupa

Bagaimana kau harapkan anakmu kan mendoakanmu bila kau tiada?

Yang didahulukan hanyalah bangsa dan harta semata

Akhirnya yang dipinggirkan adalah agama

Lalu merekalah sebenarnya pencetus Islamphobia

Dan Islam terus ditakuti dan terus dihina

Islam yang mereka anggap cuma budaya

Bila mereka ambil hanya yang adat mereka suka

Dan terlalu banyak mereka tolak apa yang tak disuka

Walaupun jelas haram di Quran mereka peduli apa

Yang perempuan mendedah aurat dengan bangga

Di malam anugerah dan majalah mereka terus menjolokkan mata

Pakaian si artis perempuan sama saja seperti pelacur hina

Lelaki mereka mendedah lutut bagai tiada apa-apa

Bolehkah diharapkan mereka mengubahnya?

Sedangkan pemimpin-pemimpin it terus dayus dengan isteri mereka

Membiarkan aurat & akhlak terus tercela

Dan mereka sekeluarga sendiri hidup penuh bermain dengan dosa

Mereka lupa nyawa & dunia cuma sementara

Mereka lupa undang-undang Allah yang paling utama

Dan yang memimpin itulah yang paling awal ditanya

Kalau tak bertaubat sebelum diambil nyawa

Jangan harap kau bisa merayu pada Yang Maha Berkuasa

Dan jika kau ditanya cerita ini berlaku di mana

Dan jika kau ditanya di mana negaranya

Inilah negara yang sentiasa ingin hebat di mata dunia

Tapi dalam diam terus fiziknya terus derita

Jawablah dengan benar dan jujurlah berkata

Inilah dia negaraku, Malaysia tercinta!

“Berkatalah benar sekalipun pahit.”

Kembalilah kepada Islam.

Solat Hajat penuh sesak di Stadium Malawati


5 Safar 1432H.
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 9 Jan: Lebih 30 ribu rakyat berhimpun dalam Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana anjuran PAS Pusat yang diadakan di Stadium Malawati, dekat sini sebagai tanda sokongan penuh terhadap kekuatan menegakkan kebenaran dalam negara ini.

Ramai kalangan pimpinan Pakatan Rakyat hadir antaranya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Timbalan Keadilan, Azmin Ali, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.







Selepas majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjamaah di tengah arena diimamkan oleh Ustaz Abdul Hadi, tazkirah disampaikan oleh Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Solat Isyak dan Solat Hajat Perdana diimamkan oleh Ustaz Hadi juga dengan harapan agar Allah SWT. menyelamatkan Malaysia dan Selangor termasuk isu ketidak-adilan yang berlaku di dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar.

Laungan takbir Allahu Akbar berkumandang bagi menyemangati semula suasana himpunan perjuangan Islam yang sememangnya merupakan sumber kekuatan gerakan umat Islam dalam negara selama ini.

Majlis dipengerusikan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dimulakan dengan ucapan Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selaku pengarah program, setakat ini, Tan Sri Khalid dan Tuan Guru Presiden sudah pun berucap.

Harakahdaily



Industri Kereta China Akan Masuk Tempoh Ubahsuai

5 Safar 1432H.

Meskipun jumlah pengeluaran dan penjualan kereta di China pada tahun 2010 terus menduduki tempat pertama di seluruh dunia, ia mungkin akan memasuki tempoh ubahsuai pada beberapa tahun akan datang. Demikian dinyatakan oleh Ketua Eksekutif Persatuan Industri Pembuatan Asia, Luo Jun baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah pengeluaran dan penjualan kereta di China mencecah 18 juta buah. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan kereta dan jumlah kereta yang dimiliki perkapita di China hanya mencapai 1/3 berbanding dengan A.S., pasaran kereta China masih jauh daripada penuh. Di samping itu, industri kereta China juga menghadapi cabaran daripada kesesakan di jalan, perancangan perbandaran, ketinggalan pengurusan dan penjimatan tenaga.

BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP MANTAN SUK SELANGOR

05 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

MANTAN SUK Selangor, Datuk Ramli mengatakan bahawa pencalonan Datuk Khusrin sebagai SUK Selangor bagi menggantikannya telah dimaklumkan kepada MB Selangor sebelum dipersembahkan kepada Sultan Selangor. MB Selangor pula menafikannya, bahkan surat yang didakwa salinan kepada MB Selangor pun tidak diterima.

Ini bermakna, ada salah seorang dari mereka ini telah menipu Sultan Selangor. Salah kecilkah jika ada yang menipu atau mengelirukan Sultan Selangor? Perlukah diwujudkan satu Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat siapa yang berbohong sehingga menjadikan isu perlantikan SUK Selangor sebagai satu krisis Perlembagaan?

Mungkin tindakan boleh diambil kepada bekas SUK Selangor itu sekiranya terbukti beliau tidak melaksanakan tugasnya dengan jujur, lebih-lebih lagi bertindak mengelirukan Sultan Selangor. Bukan sukar untuk menyiasat perkara ini kerana ianya melibatkan pentadbiran dalaman yang mempunyai dokumen-dokumen dan surat sebagai bahan bukti.

Saya cadangkan Kerajaan Negeri Selangor membuat laporan Polis ke atas mantan SUK Selangor sekiranya Kerajaan Negeri menganggap beliau telah bertindak di luar bidang kuasa dan mempunyai niat untuk mensabotaj Kerajaan Negeri.

72 Orang Maut dalam Kemalangan Udara Iran



5 Safar 1432H.

Sebuah pesawat Boeing-727 milik Syarikat Penerbangan Iran jatuh terhempas di bandar Orumiyeh, bahagian barat laut Iran pada pukul 7:45 malam semalam. Setakat ini, kemalangan tersebut telah mengakibatkan 72 orang maut, termasuk 12 orang anak kapal dan 33 lagi cedera.

Dimaklumkan oleh Duta Besar China di Iran, antara 105 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut tiada warga China.

Kemalangan udara, baik penerbangan awam mahupun pesawat ketenteraan telah banyak kali berlaku di Iran pada beberapa tahun ini. Media Iran berpendapat, sekatan ekonomi yang dilakukan oleh negara Barat terhadap Iran menyekang negara itu membeli pesawat baru dan juga aksesori pesawat. Ini menjadi unsur penting yang mengakibatkan kemalangan udara mudah berlaku di Iran.

KUMPULAN BODOH BERHIMPUN DI JALAN KEBUN

05 Safar 1432H.
Oleh : WFAUZDIN NS.

KESIHAN melihat aksi beberapa kumpulan yang dikatakan berjumlah 100 - 300 orang penduduk Kampung Jalan Kebun, Kelang berdemontrasi hari ini. Berita TV3 Suku melaporkan seramai lebih kurang 100 orang sahaja yang berhimpun untuk menunjukkan protes mereka terhadap Adun Seri Muda, YB Shuhaimi Shafie kerana kununnya menghina Sultan Selangor di dalam isu perlantikan SUK Selangor dan bidangkuasa Raja-Raja Melayu.

Mereka membawa sepanduk dan terjerit-jerit menunjukkan kebodohan mereka sambil membakar gambar Adun PR tersebut. Saya percaya jika ditanya kepada semua mereka itu, termasuk ketua kumpulan yang berdemontrasi tersebut tentang siapakah yang membuang kuasa Raja-Raja Melayu, pasti mereka akan tercengang-cengang.

Ini adalah kerana mereka semua tidak tahu satu apa pun tentang bidangkuasa Raja-Raja dan sejarahnya. Mereka telah diperbodohkan oleh sekutu Apco yang mahu mereka terus menjadi bodoh agar mudah dicucuk hidung.

Di dalam TV 3 Suku, seorang pemimpin mereka kembang kempis hidungnya mendakwa Adun tersebut menderhaka dan menghina Sultan. Mereka juga mengaitkan MB Selangor dengan tuduhan penderhakaan kepada Sultan Selangor.

Kita tengok nanti di dalam Sidang Dun sewaktu Kerajaan Negeri Selangor akan membentangkan usul untuk mengembalikan kuasa kepada Sultan, adakah sekutu Apco ini akan bersetuju atau menyorok bawah meja di dalam Dun Selangor nanti.

Bukan kita tidak kesihan mereka yang diperbodohkan ini kerana mereka kebanyakannya adalah berbangsa Melayu. Kita juga malu apabila pemimpin Melayu tipu Melayu. Mereka lupa duit mereka entah berapa milion duit mereka yang telah dipelahab oleh kroni sekutu Apco ini di Selangor.

Mereka tidak tahu berapa gaji dan elaun Pengerusi Syabas dan mereka tidak tahu apa yang Syabas telah lakukan kepada mereka selama ini. Tahukah mereka berapa kekayaan mantan MB Selangor sebelum ini? Banyak yang mereka tidak tahu dan sekutu Apco sememangnya mahu mereka terus jahil begitu.

Apa pun yang mereka lakukan, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah bersabar dan bimbinglah mereka seumpama kita membimbing `Muallaf' yang baru masuk Islam. Di dalam masa yang sama,

Kerajaan Selangor mesti tegas dan berani untuk mempertahankan Selangor dari dijajah oleh sekutu-sekutu Apco yang semakin licik strategi mereka.

Saman RM100 juta: Samy Vellu diarah bekal dokumen

05 Safar 1432H.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memberi tempoh 30 hari kepada pengerusi Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED) Datuk Seri S Samy Vellu dan tujuh pemegang amanahnya membekalkan beberapa dokumen dalam saman RM100 juta terhadap mereka oleh MIED.

Hakim Mahkamah Dagang Datuk Abdul Aziz Rahim yang membuat keputusan itu di dalam kamar memerintahkan mereka membekalkan dokumen berkenaan termasuk yang berkaitan dengan pembinaan Institut Sains Perubatan dan Teknologi Asian (AIMST), yang didakwa telah menyebabkan kerugian besar kepada cabang pendidikan MIC itu.

Abdul Aziz membenarkan permohonan bekas Ketua Pemuda MIC A Vigneswaran supaya para defendan membekalkan salinan surat pelantikan bekas ketua pegawai eksekutifnya P Chitirakala dan skop tugasnya.

MIED memohon sebanyak 12 dokumen selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mah Weng Kwai pada 14 Jun membenarkan permohonan untuk menamakan MIED sebagai plaintif dalam cadangan saman terhadap para pemegang amanah MIED.

Selain bekas Presiden MIC Samy Vellu, penggantinya Datuk G, Palanivel, Tan Sri M Mahalingam, Tan Sri Dr T Marimuthu, Tan Sri Dr SK Ampikaipakam, Datuk G Palanivel, Tan Sri Dr Karnail Singh Nijhar, Tan Sri K Kumaran dan Tan Sri G Vadiveloo dinamakan sebagai defendan.

Abdul Aziz menetapkan esok bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan bagi saman utama.

Antara dokumen yang dipohon yang berada dalam pemilikan dan pengawalan para defendan ialah dokumen yang menyenaraikan wang yang diterima dan dibayar oleh MIED dari 1990 sehingga tarikh Vigneswaran memfailkan saman itu pada 5 Julai tahun lepas.

Dokumen lain ialah:

i) salinan semua dokumen termasuk yuran guaman yang dibayar kepada peguam
bela.

ii) salinan semua dokumen mengenai pembayaran yang dibayar kepada pihak
ketiga berhubung buku mengenai Samy Vellu bertajuk "Samy Vellu: As We Know Him".

iii) laporan audit forensik yang dijalankan bagi tahun (2005-2008)

iv) salinan semua dokumen yang membuktikan pembayaran oleh Tan Sri Abdul
Rashid Abdul Manaf kepada MIED dan sebaliknya

v) pinjaman tanpa faedah kepada Tan Sri Hari Narayanan dan Mumtaz Begum
dengan pembayaran balik pinjaman itu.

vi) salinan dokumen yang membuktikan pembelian semua hadiah daripada MIED
dari 1990

vii) tanah Semeling - bayaran premium kepda kerajaan negeri Kedah

VIII) salinan resolusi syarikat yang diluluskan sejak 1990.

Peguam A Vasanthi dan G Ragumaren yang mewakili MIED dan Vigneswaran berkata hakim membenarkan permohonan itu selepas para pemohon memenuhi semua syarat iaitu semua dokumen yang dipohon itu mesti wujud, mesti berada dalam pemilikan para defendan dan mesti relevan dengan saman.

Vasanthi juga memberitahu pemberita bahawa hakim tidak bersetuju dengan hujahan para defendan bahawa permohonan plaintif itu hanya sekadar "ekspedisi memancing".

Dalam saman yang difailkan pada 5 Julai tahun lepas, MIED mendakwa kesemua defendan telah melakukan kecuaian, kesalahan aturan kewangan, kemungkiran tanggungjawab sebagai pemegang amanah, juruaudit, dan fidusiari, yang telah membawa kerugian besar kapada MIEd.

Ia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang dan menyekat Samy Vellu daripada terus berkhidmat sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah, mahu Samy Vellu dilucutkan keahlian beliau dari MIED dan perintah supaya Samy Vellu mengembalikan kesemua wang dan atau apa keuntungan dan kepentingan dari dana MIED yang telah diterima olehnya (Samy Vellu) sama ada secara langsung atau melalui ahli keluarga beliau atau kawan rapat beliau.

MIED mahu perintah mahkamah bahawa Samy Vellu membayar balik kesemua kerugian yang telah dialami oleh MIED dalam tempoh masa di mana beliau telah mentadbir sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah.

MIED menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi untuk pemecahan kewajipan fidusiari, ganti rugi untuk pecah amanah dan kecuaian dari semua defendan yang kesemuanya berjumlah RM100 juta.

Vigneswaran, yang merupakan seorang anggota MIED, memohon kebenaran mengikut ketetapan Seksyen 181A, Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan pihak-pihak yang mahu dinamakan bagi pihak syarikat sebagai plaintif dalam saman itu, perlu mendapatkan kebenaran daripada mahkamah untuk berbuat demikian.

Kenapa Perlu Ubah Sekarang ?

5 Safar 1432H MOD.
Ustas Idris Ahmad

Tema yang cukup menarik didengar oleh rakyat Malaysia dan tepat pada masanya ketika negara di landa dengan berbagai krisis, lantaran dipegang oleh orang yang tidak amanah dengan rakyat dan negara. Walaupun ia merupakan tawaran yang menarik untuk rakyat, tetapi meresahkan pemimpin yang berada di puncak kuasa. Sekarang pemimpin BN dilanda dengan mimpi ngeri takut kehilangan kuasa, kerana ini merupakan satu azab di dunia. Media Bn diarahkan untuk memburukkan apa yang tercatat dalam buku jingga.

Kenapa perlu ubah sekarang?

1.Pengurusan ekonomi tempang

Keadaan ekonomi negara berada ditakuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/1998telah ditinggal jauh oleh negara-negara Asia dan juga negara jiran, seperti Singapura malahan negara Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Cuma kelebihan Malaysia kaya dengan slogan yang menjadi candu supaya rakyat syok sendiri dan lupa hakikat sebenar. Antaranya slogan Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Ekonomi (PTE).

Walaupun kaya dengan slogan ekonomi negara 12 tahun berturut-turut defisit. Wang Petronas dihisap sampai hendak kering , sejak tahun 2007-2010 sebanyak RM325 bilion. Hutang negara makin meningkat berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2009 sebanyak 53.3%, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998. Pertumbuhan ekonomi 2006-2010 hanya 4.2% sedangkan sasaran adalah 6%.

Contoh pengurusan ekonomi negeri BN seperti yang dilapor oleh Ketua Audit Negara berhubung perbelanjaan melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku penyelewengan dana kerajaan.

Dalam laporan Ketua Audit Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran barang tersebut hanya berharga RM65.

Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga berjumlah RM38,700. Ini hanya sekadar contoh, yang menjadi bukti rakyat wajib tukar kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

2.Institusi Kehakiman Dipertikaikan

Satu ketika dahulu institusi kehakiman negara kita adalah antara yang terbaik, kerana tidak ada campur tangan dipihak eksekutif. Ia berlaku tragedi hitam apabila pemecatan Tun Saleh Abbas 1988. Selepas daripada peristiwa pemecatan Tun Saleh keadaan sudah berubah. Apa yang dilihat oleh rakyat dalam kes Linggam dan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah buktinya. Sebuah negara akan hancur jika institusi yang dianggap oleh rakyat untuk mendapat pengadilan telah diragui. Ianya bukan sahaja oleh rakyat yang cerdik malahan di kalangan pelabur asing yang tidak mahu datang melabur di negara ini.

3.Tahap keselamatan negara membimbangkan.

Bagaimana kerajaan boleh mengambil APCO Yahudi Israel sebagai penasihat komunikasi dengan bayaran RM77 juta setahun. Apa jaminan maklumat keselamatan negara tidak terlepas kepada mereka?. Kenyataan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mendedahkan berlaku pembocoran dan penjualan rahsia penting negara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara. Setakat hari ini isu itu selesai begitu sahaja. Kononnya diselesaikan melalui saluran diplomatik.

Begitu juga dengan isu kehilangan enjin kapalterbang yang besar boleh hilang. Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran tahap keselamatan negara.

4. Tahap keselamatan sosial juga merosot sehingga kerajaan terpaksa berbelanja wang sebanyak RM59 juta untuk memasang CCTV di seluruh negara. Betapa banyaknya wang rakyat terpaksa dibazirkan kerana keselamatan berada ditahap yang parah. Statistik jumlah keseluruhan orang hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 iaitu seramai 7,312 orang yang dilaporkan PDRM amat membimbangkan rakyat.

Daripada jumlah itu, seramai 3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih belum ditemui.

Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih 95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar.

5. Sempadan negara mudah terbolos.

Laporan Berita Harian pada 27 Ogos 2010 amat menggerunkaan tahap keselamatan negara yang mudah dimasuki dengan suapan rasuah. Dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa di percayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan. Apa jaminan pula dengan sempadan negara yang lain?

6.Rasuah telah menjadi barah negara yang sukar diubat daripada atas hingga peringkat bawah. Jika perkara ini tidak dicegah ia akan mendatangkan musibah yang besar. Semuanya berpunca daripada orang yang memimpin negara, naik dengan kuasa rasuah. Laporan audit 2008 sebanyak RM28 bilion hilang kerana ketirisan dalam pentadbiran. Indek rasuah tahun 2010 hanya 4.4 walaupun sasaran 4.9/10 berbanding dengan tahun 2009 2.9/10.

7. Gagal mewujudkan politik yang harmoni, walaupun cuba untuk berlindung disebalik slogan 1 Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku melambangkan kegagalan kerajaan mewujudkan keharmonian kaum yang ada pada hari ini. Contohnya apa yang berlaku kepada Datuk Nasir Safar Pegawai Khas Perdana Menteri, Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin, Ucapan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datp' Johari Abdul Ghani dan ucapan dua orang pengetua sekolah. Umno dan BNlah pihak yang tidak henti-henti mengapi-apikan kebencian perkauman sama ada melalui agensi-agensi kerajaan yang dikuasai oleh kerajaan Umno BN atau media-media arus perdana yang dikuasai mereka.

Ustas Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Malaysia Perlukan Perubahan

05 Safar 1432H.

PARIT BUNTAR, 10 Jan : Negara Malaysia amat terkenal dimata dunia sebagai Negara yang harmoni, kaya dengan sumber yang mendatangkan kemajuan dalam pelbagai sektor.

Baru-baru ini rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kenaikan harga barang seperti petrol, kelapa,minyak sawit, santan serta bawang.Ia boleh disifatkan sebagai tidak masuk akal, bahkan apabila persoalan tentang wajarnya kenaikan ini berlaku, berbagai jawapan yang tidak masuk akal keluar dari mulut pemimpin BN khususnya.

Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Datuk Ismail Sabri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, faktor kenaikan harga barang seperti bawang, ia naik ekoran banjir yang berlaku di India.

“Malaysia sedang dipimpin oleh orang yang tidak bewibawa, perkara ini perlu diubah dengan segera bagi menjamin rakyat menikmati Malaysia yang selamat,” kata Ketua Penerangan Pas Perak, Drs, Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

"'Kenaikan harga barang tidak sering dengan kuasa belia dan pendapatan rakyat yang tidak berganjak dan ini memeritkan kehidupan rakyat." Kata Drs. Khalil

Katanya juga tidak mungkin dalam soal makan dan minum rakyat kena berjimat dan mereka sanggup berlapar , kalau beli pakaian dan lain bolehlah mereka tangguhkan.

Mengusal kenyataan menteri berkenaan Drs. Khalil berkata, India memang pernah ditimpa bencana alam banjir, tetapi sebagaimana dilaporkan bahawa selain meragut puluhan nyawa,

bencana tersebut hanya merosakkan rumah-rumah, menara-menara komunikasi dan bangunan pentadbiran yang ada di Kota Leh serta negara di bahagian Jammu dan Kashmir.“Kita tidak dengar lagi kerosakan teruk di sektor pertanian Negara itu,” tambahnya.

"Alasan yg diberi nampaknya sengaja di ada-adakan" katanya.

Memandangkan Negara
dipimpin oleh individu yang suka berbohong serta tidak amanah dengan rakyat dan Negara, slogan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan amatlah tidak sesuai sama sekali diguna pakai.“Negara yang diperintah BN patut tukar slogan itu kepada rakyat diperbodohkan pencapaian dikemudiankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menyatakan bahawa Pakatan Rakyat telah memperkenalkan 10 tawaran permulaan 100 hari mentadbir Putrajaya .

Menurutnya lagi, akikatnya senarai itu sedang meresahkan pemimpin BN.“Orang-orang kuat BN berada dalam ketakutan sebab takut hilang kuasa, hilang kuasa adalah azab bagi mereka,” jelasnya yang juga ADUN Titi Serong.

Oleh sebab itu, BN sedang memperkuda media mereka iaitu RTM, Media PRIMA serta ASTRO dengan semakisima mungkin bagi memburukkan 10 tawaran yang ada dalam buku jingga supaya rakyat ragu terhadap tawaran tersebut.

“Saya ingin ingatkan BN, jangan terlalu yakin dengan media anda, rakyat sedang bangkit dengan maklumat yang disampaikan oleh Pakatan Rakyat, momentum itu sedang dipergiatkan dari masa ke semasa,” tegasnya.

Ribuan hadiri solat hajat anjuran Pakatan Rakyat

05 Safar 1432H.

SHAH ALAM - Ribuan rakyat hadir pada majlis solat hajat dan pidato perdana anjuran Pas Pusat di Stadium Tertutup Malawati, di sini, semalam.

Program yang bermula pada jam 7.00 malam dimulakan dengan sembahyang maghrib diikuti dengan solat isyak dan seterusnya solat hajat.

Selesai solat maghrib, tazkirah diadakan selepas solat hajat yang disampaikan oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din.

Antara pemimpin utama Pakatan Rakyat yang hadir termasuk Presiden Pas, DatukSeri Abdul Haji Awang; Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat,Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustapa Ali; Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Menteri Besar Selangor; Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khaled Ibrahim.

Bagaimanapun, Musyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik tidak dapat menyertai solat hajat dan tiba jam 9.20 malam dengan berkerusi roda disambut ribuan penyokong dengan laungan takbir.

Manakala pidato perdana pula diadakan selepas solat isyak oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Tujuan program tersebut diadakan adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT dalam menghadapi serangan daripada musuh tertutamanya dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13(PRU-13).

Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, tujuan program ini diadakan untuk memohon kehadrat Allah SWT supaya dapat menyelamatkan negara daripada kerakusan mereka yang tidak bertanggungjawab ketika menguruskan negara.

Jangan mimpi mahu rampas Kelantan

05 Safar 1432H.
Oleh : JMNoor.

Rakyat Kelantan sudah jemu dan muak dengan gelagat pemimpin Umno di Kelantan, jadi macam mana BN berangan-angan hendak tawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Selagi rakyat Kelantan tidak diberikan royalti, lagi susahlah Kelantan hendak terlepas ke tangan BN, kerana rakyat sudah muak dengan tipu helah BN.

Apa yang berlaku di Selangor juga menyedarkan rakyat terhadap campur tangan Umno dalam merancang untuk mengambilalih pemerintahan di Selangor sebagaimana dilakukan di Perak sebelum ini.

Rakyat tidak begitu mudah ditipu pemimpin Umno.

Saya bersetuju dengan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad atau Dolah Kok Lanas (DKL) mengatakan Perdana Menteri dulu tidak meninggalkan kekayaan seperti Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn Jaafar, Tun Razak (bapa Najib) kerana mereka lebih mementingkan kesejahteraan rakyat, ikhlas, tidak rasuah, berlainan dengan pemimpin Umno kebelakangan ini yang lebih `bergomo kumpul kekayaan’.

Inilah antara punca semakin ramai rakyat benci untuk mengundi BN kecuali mereka yang `kenyang dijamu’ pemimpin BN yang kekal menyokong BN.

Pemimpin Umno ini dikeliling ramai ’tukang ampu’ yang mahu mereka kenyang dijamu termasuk dengan projek yang boleh diibarat mereka ini seperti pelihara ayam satu reban, jadi ayam dalam reban itu saja yang diberi makan sampai kenyang dan pecah perut, sedangkan ayam lain yang bukan peliharaannya yang datang untuk makan sama akan dihalaunya.

Mengikut kata orang Kelantan, ’macam pera ayam segot’ jadi ayam segot tu je yang kenyang, yang lapar tetapi dulunya pengundi BN inilah yang akan mengundi parti lain pada pilihan raya umum nanti.

Betullah kata orang kalau nak kaya, nak jadi samseng, jadi gedebe kena sekong Umno kerana undang-undang dan polis dikawal pemimpin kerajaan BN.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed usahlah berangan hendak merampas Kelantan kerana rakyat Kelantan rela lapar daripada menerima wang ehsan daripada Umno/BN dan selagi Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pemimpin Pas yang alim, warak tidak rasuah, tidak kaki betina yang memerintah negeri, selagi itu Pas kekal di hati rakyat Kelantan.

Kemenangan pada pilihan raya kecil Galas tidak boleh dijadikan ukuran bahawa BN mampu tawan Kelantan,

Wanita lwn wanita di Tenang?

05 Safar 1432H.

Besar Kemungkinan pertembungan antara wanita berlaku di Tenang apabila BN dikatakan akan mengemukakan calon wanita manakala PAS juga mempertimbangkan dua calon iaitu seorang lelaki dan seorang wanita.

"Mesyuarat hari ini telah membuat keputusan calon yang akan mewakili PAS tetapi ianya hanya akan diumumkan 16 Januari ini di Tenang," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Katanya, mesyuarat telah memilih salah seorang dari dua calon yang telah disenarai pendek oleh PAS Johor iaitu seorang dari Pemuda dan seorang lagi dari Muslimat PAS.

PAS hari ini mengadakan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut. Ini adalah mesyuarat pertama yang diadakan disitu selepas bangunan itu mengalami kebakaran kecil hujung tahun lalu.

Antara agenda mesyuarat hari ini adalah mempertimbangkan calon untuk pilihan raya kecil Tenang bagi mewakili Pakatan Rakyat.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 19 Disember lalu di Pulau Pinang telah memutuskan calon PAS akan mewakili Pakatan rakyat dalam pilihan raya kecil ini.

Menurut sumber media, BN akan meletak calon wanita dalam pilihan raya kecil ini. Ia dikaitkan dengan lobi MCA. Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek adalah bekas anggota Parlimen Labis manakala dalam pilihan raya umum lalu anak beliau menjadi calon BN dan menang.

PAS Johor pula telah menghantar dua calon, seorang lelaki dan seorang wanita untuk dipilih oleh pucuk pimpinan PAS dalam mesyuarat hari ini.

Sebelum ini, lima nama disebut-sebut untuk dipilih sebagai calon PAS.

"Kita telah pilih salah seorang dari dua calon yang dikemukakan oleh PAS Johor itu," kata Mustafa kepada Harakahdaily hari ini.

PAS dijangka akan memaklumkan keputusan ini kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat dalam pertemuan menjelang ceramah dan solat hajat di Stadium Melawati malam ini.

PAS bersikap terbuka kepada semua kaum

05 Safar 1432H.
Oleh : Hazayani Zakaria.

KUALA LUMPUR, 9 Jan: PAS bersikap terbuka kepada semua kaum di negara ini bukan bertujuan meraih sokongan politik semata-mata sebaliknya kerana mengikut perintah Allah Taala, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata, Islam sememangnya tidak memaksa penganut agama lain memeluk Islam namun umat Islam diwajibkan menjalinkan hubungan baik sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

"Kita berhimpun di sini untuk melancarkan Sua Kasih kita bersaudara melibatkan semua kaum, bukan secara pandai-pandai diatur oleh PAS.

"Sebenarnya inilah perintah Allah SWT yang menurunkan ajaran Islam. Walaupun kita umat Islam mengakui dan percaya bahawa Islam mengajak kaum yang lain bersama kita dan dalam masa yang sama kita dilarang memaksa pengganut agama lain mengikut agama kita.

“Tapi dalam masa yang sama kita diwajibkan menghubungkan kasih sayang sesama manusia, bukan sahaja terdiri darpada pelbagai kaum dan bangsa bahkan terdiri daripada pelbagai agama," katanya sewaktu menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Sua Kasih Kita Bersaudara di tapak Kompleks Pendidikan Titiwangsa, Jalan Gurney, dekat sini petang tadi.

Menurut beliau juga, PAS hanya menjalankan peranannya mewujudkan kemakmuran tanpa diskriminasi kaum seperti yang diperintahkan Allah.

"Peranan manusia di atas muka bumi ini bagi memakmurkannya dan Allah mewajibkan manusia hidup bermasyarakat.

"Allah membahagikan manusia ke seluruh pelusuk dunia, yang hidup di tempat masing-masing, dengan cuaca masing-masing, hasil bumi masing-masing, bangsa dan budaya masing-masing," katanya di hadapan kira-kira seribu tetamu yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

Program anjuran bersama Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat (LPD DMPP) dan pusat khidmat masyarakat parlimen Titiwangsa itu turut dihadiri Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pimpinan-pimpinan yang lain.

Antaranya setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali, Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar, bendahari, Dr. Mohd Hatta Ramli, Ketua Muslimat, Nuridah Salleh dan beberapa pimpinan lain.

Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) daripada beberpa negeri juga memenuhi majlis dengan diketuai pengerusinya, Hu Pang Chau.

Sementara itu, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang juga ahli jawatan kuasa muslimat PAS Pusat berkata, program tersebut terlaksana di atas kesedaran peri pentingnya mewujudkan persaudaraan sesama manusia, bukan lakonan untuk meraih sokongan rakyat.

"Kita tidak bercakap retorik, kita tidak berbelanja jutaan ringgit, kita tidak ada penasihat daripada Apco yang dibayar berjuta ringit untuk melahirkan satu suasana kasih sayang antara satu sama lain.

"Kita tidak boleh pilih nak jadi orang Melayu ke, orang Cina ke, India ke. Ini bukan pilihan kita tapi daripada Allah. Jadi tak ada sebab kita nak prejudis antara satu sama lain.

"Tidak ada formula lain untuk mewujudkan keharmonian antara kaum selain sifat hormat-menghormati," katanya.

Justeru beliau berkata, jika Pakatan Rakyat diberi peluang memerintah negara ini, segala dasar yang digubal akan mengambil kira kebajikan seluruh rakyat tanpa ada diskriminasi kaum.

"Berilah peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membuktikan bahawa kami boleh memastikan setiap rakyat dalam negara kita ini saling berkasih sayang melalui program yang kami disediakan.

"Kalau kami diberi peluang menjadi Kerajaan Pusat, kami akan pastikan seluruh dasar menjurus kepada kebajikan kepada seluruh rakyat tanpa diskriminasi kaum," katanya.