09 January 2011

Sangkal Dakwaan PERKASA: Generasi Cina,India Kini Lebih Taat

05 Safar 1432H.
tvsnews.net

SHAH ALAM 9 JAN : Generasi bangsa Cina dan India hari ini merupakan golongan yang lebih taat kepada negara dan memahami adat resam terutama yang berkaitan dengan orang Melayu, ujar Drs Idham Lim.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Perak menolak tanggapan negatif yang dilemparkan Pertubuhan Pribumi Perkasa(PERKASA) yang turut melabel kaum Cina dan India sebagai kaum imigran dan menimbulkan banyak masalah kepada bangsa Melayu.

Idham Lim yang dihubungi Tv Selangor juga menjelaskan tidak timbul soal bangsa lain ingin merampas hak daripada bangsa Melayu itu sendiri.

Sebelum ini, PERKASA mendakwa kaum-kaum pendatang generasi pertama ke negara ini tidak membawa banyak masalah kepada orang Melayu berbanding generasi semasa gambaran yang dilihat akan membawa satu lagi keadaan kurang senang di kalangan orang Cina dan India.

Ketua Penerangannya, Ruslan Kasim berkata, pada peringkat awal kemasukan kaum-kaum pendatang ke Tanah Melayu dahulu, 'tidak banyak berlakunya pergeseran kaum dan pencerobohan hak-hak orang Melayu', justeru mereka tahu untuk menjaga batas dan menghormati orang-orang Melayu.

"Isunya sekarang saya nak tanya apa yang diperjuangkan oleh PERKASA pertama, sebab PERKASA ini kita lihat kenyataan-kenyataannya yang dibuat sekarang dalam isu kedudukan orang Cina dan orang India di Malaysia, saya lihat dia tidak konsisten, hari itu dulu nampak dia tidak setuju dengan semua golongan orang Cina generasi manapun tetapi hari ini dia bandingkan dengan generasi pertama dengan yang ada sekarang.

"Bagi saya generasi yang ada sekaranglah yang betul-betul taat dan setia kepada negara kita, generasi orang Cina dan India termasuk saya ini saya selidik adalah generasi kelima,generasi sekaranglah yang telah fasih berbahasa Melayu, faham adat istiadat terutama dalam Pakatan Rakyat yang lebih memahami Islam yang selama ini disekat maklumat yang baik kepada mereka selama ini," katanya.

Tambah Idham lagi, sebenarnya hak orang Melayu telah dinafikan oleh pemimpin Melayu sendiri khususnya Umno yang memberikan tender kepada bangsa lain.

Tulisan Ruslan dalam akhbar dwimingguan 'Suara Perkasa' edisi 3 Januari, di bawah tajuk "Pemerkasaan Maruah Bangsa Melayu, Sekilas Lintas Sejarah Tanah Melayu" menekankan, keadaan tersebut mengalami perubahan dan mula memberikan masalah selepas negara mencapai merdeka dan kedudukan ekonomi kaum imigran berubah.

"Hak orang Melayu di Malaysia ini dengan sendirinya telah dinafikan oleh pemimpin Melayu sendiri, bukan oleh orang Cina dan India, pemberian tender, pemberian projek-projek besar sepatutnya sudah diagihkan kepada orang Melayu, pemimpin-pemimpin ini tidak mampu mereka tidak ada kekuatan akhirnya pemimpin ini 'rubber stamp' untuk korporat Cina dan India," katanya.

Menurutnya lagi isu ini sengaja ditimbulkan untuk mengapi-apikan semangat perkauman masyarakat pelbagai bangsa bagi menutup kegagalan pemimpin Umno memperjuangkan hak orang Melayu dan memberi penerangan mengenai Islam yang sebenarnya.

"Sebab selama 50 tahun dasar ekonomi baru yang diperjuangkan oleh Umno sendiri tidak berjaya dan kegagalan ini bukan akibat orang Cina dan India merampas, soalnya orang Cina dan India telah memberi peluang, peluang ini tidak dapat dihasilkan dengan pelbagai projek dan dasar yang telah diperkenalkan sebab semuanya telah diagihkan tidak mengikut peraturan, kroni adanya rasuah dan sebagainya," katanya.

PKR umum senarai MPN baru

05 Safar 1432H.
Selangorkini.

KELANA JAYA, 9 Jan – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan senarai baru Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan pengerusi biro-biro PKR bagi penggal 2010 – 2013.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan senarai baru selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) di ibupejabat PKR petang tadi yang menampilkan beberapa muka baru dilantik ke jawatan tertinggi negeri dan juga untuk biro-biro PKR.

Jawatan Pengerusi Pimpinan Negeri (PPN) Wilayah Persekutuan yang kosong selepas Datuk Zaid Ibrahim keluar parti November tahun lalu diisi oleh Ketua Cabang Segambut, Dr Idris Ahmad, manakala jawatan PPN Sabah pula yang dikosongkan oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang menubuhkan parti baru, Barisan Bersatu Sabah (UBF) akan diisi oleh Timbalan Angkatan Muda keadilan (AMK) Sabah, Pajuddin Nordin.

Empat MPN juga turut memperlihatkan muka baru iaitu negeri Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan. Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Kedah merangkap Ketua PKR Cabang Langkawi, Wan Salleh Wan Isa dilantik menjadi PPN Kedah menggantikan Ahmad Kasim yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Mustafa Kamil Ayub akan digantikan oleh Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama, Dr Mohd Nor Manuty sebagai PPN Perak yang baru dan Saifuddin yang menyandang jawatan PPN Kelantan bagi penggal lalu akan digantikan oleh Ahli Parlimen, Ketereh, Abdul Aziz Kadir.

Manakala bagi Terengganu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dilantik sebagai PPN baru menggantikan Haji Abdul Rahman Yusof.

Senarai lengkap ahli MPP adalah seperti berikut:

Ketua Umum : Datuk Seri Anwar Ibrahim

Presiden : Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan Presiden : Mohamed Azmin Ali

Setiausaha Agung : Saifuddin Nasution Ismail

Timbalan Setiausaha Agung: Haji Rosli Abdullah, Steven Choong ,T Kumar , Ignatius Darell Leiking

Naib Presiden : Nurul Izzah Anwar ,Chua Tian Chang, Fuziah Salleh, Datuk Mansor Othman, Datuk Chua Jui Meng, N Surendran ,Datuk John Tenewi Nuek

Ketua Wanita : Zuraida Kamaruddin

Timbalan Ketua Wanita : Rodziah Ismail

Ketua AMK : Shamsul Iskandar Mohd Akin

Timbalan Ketua AMK : Khairul Anuar Zainudin

Bendahari Agung : William Leong

Timbalan Bendahari : Low Chee Chong

Ketua Penerangan : Dr Mohd Nor Manuty

Pengarah Komunikasi : Nik Nazmi Nik Ahmad

Pengarah Strategi : Rafizi Ramli

Pengarah Latihan : Mustafa Kamil Ayub

Pengarah Guaman : Latheefa Koya

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin : Tan Kee Kwong

Ahli MPP (Dipilih) : Elizabeth Wong, Dr Badrul Amin Bahron , Hee Loy Sian , Khalid Jaafar , bdul Rahman Yusof , Johari Abdul , Haniza Talha, Fariz Musa , Zakaria Abdul Hamid , Roland Chia ,Siti Aishah Ismail Yusop ,Latheefa Koya , S Kesavan, Shuhaimi Shafiei , M R Summugam, Yusmadi Yusoff , S Manikumar , Mustafa Kamal Yusoff , Christina Liew

Ahli MPP (Lantikan) : Syed Hamid Ali , S Manickavasagam, Zulrusdi Mohamad Hol, Mohd Rafie ,Abdul Malek, See Chee How, Chang Li Kang

Ahli MPP (Ex-Officio) : Sivarasa Rasiah ,Dr Xavier Jeyakumar, Syed Husin Syed Ali ,Tan Yee Kew, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Pengerusi Majlis Perhubungan Negeri

Perlis – Johari Shafie

Kedah – Wan Salleh Wan Isa

Perak – Dr Mohd Nor Manuty

Wilayah – Dr Idris Ahmad Persekutuan

N Sembilan – Datuk Kamarul Bahrin Abbas

Pahang – Datuk Fauzi Abdul Rahman

Terengganu – Azan Ismail

Kelantan – Abdul Aziz Kadir

Sabah – Syeikh Pajuddin Nordin Tajawi

Sarawak – Baru Bian

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama : Ahmad Kasim

Biro Kemasyarakatan dan Aduan Rakyat: S Manickavasagam

Biro Pelaburan dan Perdagangan : Wong Chen

Biro Integrasi Nasional : Datuk John Tenewi Nuek

Jawatankuasa Dasar : Rafizi Ramli

Biro Sains dan Kesihatan: Dr Lee Boon Chye

Biro Pendidikan : Abbas Awang

Biro Antarabangsa : Yusmadi Yusoff

Biro Pennyelaras Ahli Parlimen Dan DUN : Datuk Kamarul Bahrin Abbas

Biro Masyarakat FELDA & Orang Asal: Suhaimi Said

Biro Pekerja : Abdullah Sani Abdul Hamid

Biro Kepenggunaan : Yahya Sahri

Biro Kerajaan Tempatan : Hee Loy Sian

Biro Srikandi : Siti Aishah

Hati-Hati JPJ Kini Di Mana-Mana

5 Safar 1432HM
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Berita Harian sekejap tadi (09/01/11) melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mempunyai kuasa lebih luas untuk mengambil tindakan terhadap pengguna yang melakukan kesalahan lalu lintas di semua jenis jalan.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad, berkata sebelum ini, tumpuan JPJ hanya di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan perbandaran, namun kini mereka yang menggunakan jalan seperti di ladang, kebun, kampung serta kawasan perumahan juga tidak akan terlepas, sekiranya melakukan kesalahan.

Ismail berkata, penguatkuasaan undang-undang meliputi semua jenis jalan Itu terkandung dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember lalu.

Jangan terasa pelik kalau selepas ini JPJ akan buat sekatan jalan raya dalam ladang sawit atau jalan batas tali air, jalan tanah merah dalam kebun getah atau di belakang rumah kita dalam kawasan perumahan. Semakin ramailah pemandu yang akan termasuk dalam senarai hitam terutamanya penoreh-penoreh getah dan pekerja-pekerja ladang yang sebelum ini menggunakan motosikal cabuk semata-mata untuk ke ladang atau ke kebun.

Apakah ini petanda kerajaan kita benar-benar berhadapan dengan masalah aliran tunai negara sehingga rakyat ditekan segenap sudut dan mereka berdepan risiko penguatkuasaan (baca saman) sekalipun sedang menunggang motosikal buruk untuk ke sawah padi.

Kita menghargai usaha penguatkuasaan ini kalau ianya mengfokuskan demi keselamatan walaupun kita hampir tidak pernah terdengar berita kemalangan maut berlaku di jalan seperti di ladang, kebun serta kampung. Tapi alangkah malangnya kalau penguatkuasaan ini bermatlamatkan supaya lebih ramai rakyat dapat disaman lantas boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

Undang-undang bukan setakat perlu adil tapi perlu kelihatan adil. Penguatkuasaannya perlu kena pada tempat supaya tidak menjadi bahan ketawa masyarakat.

Dialog tuntut penjelasan lanjut Nik Aziz

5 Safar 1432H | MalaysiaKini.

Pertemuan Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan penulis blog dan pengguna Facebook pro-Pakatan Rakyat 15 Januari ini dijangka dipanaskan dengan isu pertemuan mursyidul am PAS itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Seorang peserta program dialog di Kuala Lumpur itu berkata, penggguna media baru yang menentang idea kerajaan perpaduan berhasrat menuntut penjelasan lanjut Nik Aziz kerana masih terdapat kekeliruan berhubung perkara itu.

"Kita hendak tahu cerita sebenar kerana terdapat masih banyak kekeliruan. Antaranya, kenapa undangan kepada Tok Guru (Nik Aziz) disampaikan melalui bekas timbalan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bukannya setiausaha atau wakil istana sendiri.

"Dan, kalau betul (undangan) daripada istana, kenapa tidak dibuat terus kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS?" kata penulis blog terkenal, antara 25 orang yang didatangkan khas dari Kelantan.

Sementara itu, jurucakap program dialog itu Tarmizi Mohd Jam memberitahu, program pada Sabtu depan itu akan diadakan di Hotel Grand Seasson Kuala Lumpur melibatkan 180 orang penulis blog dan Facebook.

Ia antaranya bagi membincangkan isu-isu sekitar pentadbiran kerajaan Kelantan dan bagi menghadapai pilihan umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi. "Ia ekoran laporan media perdana tidak menyebelahi kita," katanya yang juga editor akhbar organ PAS Harakah.

Diminta mengesahkan sama ada itu pertemuan kontroversi 25 Disember lalu antara Nik Aziz dan Najib akan dibangkitkan, Tarmizi (kanan) bagaimanapun enggan mengulasnya.

Program itu akan dimulakan dengan 8 malam diikuti ucapan ringkas Nik Aziz sebelum dibuka untuk sebarang soalan daripada peserta. "Bukan hanya Nik Aziz, exco kerajaan negeri juga akan terlibat sama," kata Tarmizi lagi. [MOD]

Kontraktor minta maaf tamparan buat Umno Penang

5 Safar 1432H | Harakah Daily

GEORGETOWN, 9 Jan: Ustaz Salleh Man menyifatkan tindakan Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi seribu makna kepada kontraktor supaya lebih matang dan bersikap terbuka.

"Kini semua tembelang Umno sudah nampak,” ujarnya selaku Pesuruhjaya PAS negeri. Tambahnya, orang Melayu jangan sewenang-wenangnya menyalahkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang jelas bersih daripada segala rasuah dan penyelewengan.

Bagi Adun Permatang Pasir itu, Umno mendapat tamparan hebat apabila persatuan kontraktor itu dengan rela hati memohon maaf secara terbuka Guan Eng, kelmarin. Persatuan itu memohon maaf kepada ketua menteri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kononnya tidak berlaku adil kepada kontraktor Melayu sejak mengambil alih pentadbiran pada Mac 2008 lalu.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamed Fadzil yang datang bersama kepimpinan persatuan berkenaan ke Pejabat Ketua Menteri di tingkat 28 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sekaligus menangkis semua tuduhan yang selama ini dikira fitnah.

Bagi Lim tindakan tersebut merupakan satu usaha bijak kerana tidak terjerat dengan dakyah yang sengaja dipasang oleh Umno dan BN bagi mengucar-kacirkan kerajaan yang lebih telus terutamanya dalam hal membabitkan pemberian projek kerajaan.

"Saya bersyukur kerana mereka datang bertemu dan memohon maaf secara terbuka di depan media.

“Mungkin selama ini mereka terpengaruh dengan pembohongan Umno yang sengaja mencari alasan agar kontraktor melayu menjauhkan diri kerana kononya DAP sebagai pemerintah," ujarnya semasa berucap pada Program Penganugerahan Warga Emas dan Sumbangan Kepada Waris yang meninggal dunia di Pejabat Jabatan Kerjaraya Bukit Mertajam, semalam.

Bagi timbalannya, Datuk Dr Mansor Othman pula permohonan maaf oleh Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang itu menandakan satu perkembangan terbaru di tahun 2011. Selama ini, katanya mereka menjauhkan diri dengan kerajaan dengan alasan kerajaan membelakangkan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap pembangunan negeri.

"Tahun 2011 membuka sejarah terbaru bagi Persatuan Kontraktor Melayu agar menjalinkan hubungan baik supaya kita bersama menggemblengkan semua tenaga memajukan negeri tercinta," tegasnya.[MOD]

Isu latih anak punca Misbun letak jawatan?

5 Safar 1432H | MalaysianInsider.

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Punca jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek meletak jawatan 31 Disember lalu masih belum terjawab, tetapi sudah ada tanggapan bahawa ia kemungkinan berkaitan dengan hasrat beliau mahu melatih anaknya Misbun Ramdan dalam skuad elit.

Tindakan Misbun yang terus membisu menyebabkan pelbagai andaian timbul di sebalik tindakan nekad itu walaupun beliau menerima gaji lumayan daripada Persatuan Badminton Malaysian (BAM), lapor Berita Minggu hari ini.

Antara andaian itu termasuk keengganan BAM meluluskan permintaannya untuk melatih anaknya, Misbun Ramdan dan beralih ke bidang profesional bersama anak emasnya Datuk Lee Chong Wei.

Misbun yang akan mencecah 51 tahun bulan depan berkata, beliau enggan membicarakan isu peletakan jawatannya bagi mengelakkan ia dipengaruhi emosi yang boleh menyebabkan keadaan bertambah keruh.

“Itu semua andaian dan terpulang kepada apa orang lain hendak kata,” katanya sambil mengakui keputusan itu dibuat tanpa berbincang dengan sesiapa termasuk keluarga dan adik-beradiknya. Presiden Persatuan Badminton Kedah Teoh Teng Chor pula berkata, kemungkinan beliau orangnya yang menyebabkan kemelut tersebut.

“Mungkin saya orangnya,” kata Teoh menjawab soalan sama ada beliau merupakan pegawai yang kurang disenangi Misbun sehingga menjadi punca jurulatih perseorangan negara itu meletak jawatan.

Teoh yang juga ahli jawatankuasa kejurulatihan dan latihan BAM mengakui beliau sering mempersoalkan tindakan Misbun yang meminta anaknya, Misbun Ramdan, 18, disenaraikan dalam skuad elit.

“Dia (Misbun) minta supaya anaknya menjalani latihan di bawahnya dalam skuad elit. Bagaimana saya boleh bersetuju kerana keputusan sudah diputuskan anaknya perlu berlatih di bawah skuad pelapis kendalian Hendrawan.

“Jika keputusan sudah dibuat, mengapa dia tidak boleh patuhi kerana anaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mendapat keistimewaan hanya semata-mata kerana bapanya seorang jurulatih.

“Lagipun, ada pemain ranking lebih baik daripada anaknya dan keputusan tidak memenuhi tuntutannya adalah bagi mengelakkan rasa tidak adil kepada pemain lain yang pasti akan cemburu dan mempersoalkan keputusan BAM,” katanya.

Teoh berkata, keputusan BAM melakukan perubahan dan pembaharuan dalam sistem latihan dan kejurulatihan adalah baik demi meningkatkan kemajuan badminton negara dan Misbun perlu menerimanya dengan hati terbuka.

“Jika sebelum ini jurulatih tidak mempunyai KPI (indeks prestasi utama), menerusi pembaharuan yang diperkenalkan ini, setiap jurulatih mempunyai KPI masing-masing dan ini memudahkan pemantauan dan penilaian.

“Saya yakin jika barisan jurulatih ikhlas dalam tugas, bukan menjadi masalah untuk mereka menghantar laporan yang diminta walaupun mereka gagalmencapai KPI masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Lee pernah mendedahkan antara punca jurulatihnya meletak jawatan adalah kerana tidak sebulu dengan seorang pegawai BAM yang hanya pandai bercakap meminta itu dan ini tetapi tidak arif mengenai badminton.

Ditanya mengenai sama ada keputusan yang diambilnya itu muktamad, Misbun berkata: “Saya sudah hantar surat... Jadi, saya sudah memikirkan mengenainya. Biar masa tentukan.” Sebelum mengakhiri perbualan, ikon itu menegaskan bukan mudah menjadi jurulatih dan mengekalkan prestasi Chong Wei.

“Pokok baka baik sekalipun jika tidak dibaja dan dijaga, ia tidak akan membesar dengan sempurna,” katanya. Bagaimanapun Misbun berjanji akan merungkai segala misteri di sebalik keputusan drastik meletakkan jawatan selaku jurulatih perseorangan negara apa tiba masa dan keadaan yang sesuai.

“Bila sampai masa dan keadaan dah reda, saya akan dedahkan (punca sebenar meletak jawatan),” katanya yang terus mengambil sikap mendiamkan diri sejak menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), 31 Disember lalu. Jurulatih itu menghantar surat berkenaan kepada BAM menerusi emel tanpa memberi sebarang alasan di sebalik keputusan mengejutnya itu. “Ini membabitkan sayadan BAM. Jadi, banyak hati perlu dijaga, hati saya tidak apa. Saya ingin berehat dan apabila tiba masa, saya akan buat kenyataan.”

“Tapi buat masa ini, bagi masa dan ruang supaya keadaan reda,” kata beliau.

Pada 6 Januari lalu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan mengadakan pertemuan enam mata untuk memulihkan keadaan berhubung kontroversi peletakan jawatan Misbun sebelum Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bermula minggu ini.

Menurutnya, beliau akan menguruskan pertemuan tersebut di antara bekas jaguh perseorangan negara itu dan Presiden BAM Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh sebaik sahaja beliau balik dari lawatan rasmi dua hari ke Sarawak. [MOD]

Lebih 3,000 Mangsa Banjir Di Kelantan Dipindahkan

5 Safar 1432H | TVS News.

KOTA BAHARU 9 JAN : Keadaan banjir di Kelantan pagi ini bertambah buruk apabila jumlah mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan meningkat kepada 3,441 orang manakala keadaan banjir di Terengganu semakin pulih.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata sebanyak 27 pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa banjir dari enam daerah iaitu Bachok, Kota Baharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.

"Sehingga pukul 8.30 pagi ini, mangsa banjir terus meningkat kepada 3,441orang berbanding 2,777 orang malam semalam. Kesemua mereka melibatkan 1,011keluarga," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jurucakap itu berkata daerah Pasir Mas paling teruk terjejas dengan 16 pusat pemindahan dibuka manakala enam pusat di Kota Baharu, dua pusat di Tumpat dan masing-masing satu di Bachok, Pasir Puteh dan Tanah Merah.

Enam laluan masih ditutup kepada kenderaan ringan di daerah Pasir Mas iaitu KM3 Jalan Pengkalan Rakit, KM9 Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan lama) Kampung Siram, Pohon Tanjung-Meranti, KM10 Jalan Rantau Panjang-Panglima Bayu, KM23 Jalan Banggol Kulim Lokasi 2 dan KM24 Lebuhraya Pasir Mas-Rantau Panjang

Jurucakap itu berkata paras air Sungai Golok masih melebihi paras bahaya 9 meter bagaimanapun telah menurun kepada 10.22 meter berbanding 10.32 meter yang dilaporkan semalam. [MOD]

PKR dijangka rombak ketua di enam negeri termasuk Perak

TERKINI 5 Safar 1432H
Oleh G Manimaran ( MalaysianInsider).

KUALA LUMPUR, 9 Jan — Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka akan mengumumkan rombakan kepimpinan negeri hari ini dalam usaha merapatkan kembali perpaduan parti itu, susulan pemilihan tahun yang menimbulkan suasana tidak selesa dengan siri dakwaan kecacatan dalam proses pengundian. PKR mengadakan mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini. Komponen Pakatan Rakyat itu telah pun mengadakan mesyuarat biro itu Jumaat lalu dan membincangkan rombakan tersebut.

Lima hingga enam negeri dijangka akan menerima ketua negeri yang baru hari ini. The Malaysian Insider difahamkan negeri-negeri terbabit ialah Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Terengganu.

Difahamkan Sabah dan Sarawak juga mungkin mengalami perubahan ekoran perkembangan semasa termasuk pergolakan semasa di Sabah. Sabah merupakan antara negeri sudah beberapa kali mengalami perubahan kepimpinan negeri dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu.

Perak dipercayai akan diketuai oleh Dr Mohd Nur Manuty yang bulan lalu dilantik sebagai ketua penerangan pusat. Jika pelantikan itu disahkan hari ini, beliau akan menggantikan Mustaffa Kamil Ayub, yang kini menganggotai Biro Politik. Mustaffa dilantik menganggotai Biro Politik selepas tewas dalam pemilihan peringkat cabang dan jawatan timbalan presiden.

“Ini antara negeri yang akan menerima pengerusi baru, perkara ini sudah diputuskan pada mesyuarat Biro Politik hari Jumaat lepas,” kata seorang pemimpin pusat PKR kepada The Malaysian Insider.

“Setakat hari itu, negeri-negeri lain tidak mengalami perubahan manakala kedudukan Sabah dan Sarawak belum diputuskan,” kata sumber itu.

“Ini keputusan yang telah diambil pada mesyuarat Biro Politik Jumaat lalu, dan kemungkinan boleh berubah berdasarkan mesyuarat hari ini, jadi kita kena tunggu sehingga tengah hari esok (hari ini),” katanya lagi.

Laporan media minggu lalu menyebut, PKR Sabah menghadapi masalah kepimpinan apabila 15 daripada 25 ketua cabang meluahkan rasa tidak yakin terhadap ketua mereka Ahmad Thamrin Jaini, sebaliknya mahu Ansari Abdullah dilantik meneraju parti itu. Ansari mewakili PKR-Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi November lalu.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga telah berada di Sabah minggu lalu, mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua cabang menjelang pengumuman pelantikan kepimpinan negeri hari ini. Malah rombakan ini dibuat ketika bekas naib presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan memutuskan untuk keluar PKR minggu lalu.

Sarawak juga dijangka akan memperoleh ketua baru selepas pengerusi semasa Baru Bian dilantik sebagai naib presiden PKR bulan lalu. The Malaysian Insider difahamkan kepimpinan negeri Kedah akan diambil alih oleh timbalannya Wan Salleh Wan Isa manakala Dr Idris Ahamad yang kini memangku akan dilantik sebagai pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Dr Idris memangku jawatan itu selepas ia kosong ekoran keputusan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR di sebalik masalah berkaitan dengan proses pemilihan. Kelantan dan Terengganu juga dilihat akan mengalami perubahan kepimpinan parti.

Ketua cabang Ketereh Ab Aziz Ab Kadir akan menggantikan Saifuddin manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang tahun lalu melepaskan jawatan timbalan pengerusi PKR Pahang akan mengetuai negeri itu. Ab Aziz dan Saifuddin masing-masing merupakan ahli Parlimen Ketereh dan Machang.

Dalam pada itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesej Twitternya pagi tadi juga mengesahkan salah satu agenda mesyuarat hari ini ialah pelantikan kepimpinan negeri.

“Acara penuh, mesyuarat pimpinan parti termasuk pelantikn pimpinan negeri dan menerima laporan jawatankuasa pemilihan,” katanya. [MOD]

Khairy J - "Itu hanya antara saya dan PM'

5 Safar 1432H | MalaysiaKini

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata sebarang perkara berhubung kedudukannya pada pilihan raya akan datang hanyalah antara dirinya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Ia hanya antara saya dan Perdana Menteri," katanya ringkas kepada pemberita selepas menemui Najib pada sesi pertemuan anggota Parlimen Barisan Nasional dengan PM di tingkat 4, Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno mengesahkan spekulasi bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang. Beliau juga dipetik sebagai mengatakan "ya" dan mengesahkan spekulasi mengenai keputusannya untuk tidak bertanding pada pilihan raya umum ke-13, menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Terdahulu, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional mencetuskan kekecohan di laman Twitter apabila mengumumkan keputusannya untuk berehat daripada bidang politik. "Hope to help win more youth support for BN (Barisan Nasional) in 2011 & work hard preparing for elections. Then I'm taking a break from politics. Can't wait" (Harap dapat bantu raih sokongan belia untuk BN pada 2011 dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya. Kemudian saya hendak berehat dari politik. Tidak sabar), katanya menerusi Twitter pada Sabtu lepas. 

Kenyataan itu mendapat respons hebat daripada pengikutnya yang tertanya-tanya sama ada beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya kelak. - [MOD] Bernama

Najib: Jumpa MP bukan hanya untuk p'raya

5 Safar 1432H | MalaysiaKini

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata perjumpaannya dengan ahli parlimen BN hari ini bukanlah semata-mata sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya. Sebaliknya, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada proses transformasi politik yang dipelopori beliau, kata Najib dalam sidang media selepas bertemu seramai 105 ahli parlimen berkenaan hari ini.

"Saya nak kata bahawa ini merupakan proses transformasi politik. Pilihan raya itu sebahagian dariapda apa yang terpaksa kita lalui. Tapi lebih besar daripada itu adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.

"Sepertimana saya telah umumkan dalam perhimpunan agung dulu bahawa kita akan melancarkan program yang berbentuk transformasi politik. "Ertinya, keseluruhan kepemimpinan BN dari peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi iaitu ketua-ketua cawangan akan melalui proses transformasi ini dengan pelbagai kaedah dan program yang kita sedang atur," katanya lagi. Tambahnnya, pertemuan juga lebih mirip kepada usaha untuk mendengar masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan yang diwakili parti itu.

"Saya dapati ia amat berguna untuk saya dapat perspektif yang tepat tentang kedudukan di setiap kawasan parlimen yang diwakili oleh BN," katanya dan menambah beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan wakil rakyat berkenaan.

"Tapi masih ada ruang untuk (MP BN) tingkatkan peranannya dan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kemampuan mereka adalah kalau kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat. Sebab sebahagian besar dairpada masalah itu di luar kemampuan mereka untuk selesaikan sebab memerlukan kelulusan kerajaan," katanya lagi. Namun, beliau berkata pertemuan selama kira-kira lapan jam itu bukanlah khusus untuk menilai prestasi wakil rakyat berkenaan.

"Saya tak tetapkan secara khusus dari segi KPI (indeks prestasi utama) tapi kita ada cara dan kaedah untuk mengukur prestasi setiap ahli parlimen. Ini dijadikan asas untuk kita membuat pertimbangan apabila sampai masanya," tambahnya. Ditanya mengenai isu-isu yang diutarakan dalam pertemuan itu beliau sekadar berkata: "Yang pentingnya semua berkenaan masalah dan kepentingan rakyat. Projek-projek pun, program pun menyentuh soal kepentingan rakyat." Tambahnya lagi, apabila berkesempatan kelak, beliau juga akan bertemu dengan ketua-ketua bahagian parti dan juga ADUN BN.[MOD]

PAS perlu atasi kekuatan Umno

5 Safar 1432H | HarakahDaily.

Datuk Abu Bakar Chik mengingatkan semua pendukung PAS supaya sentiasa berusaha menguatkan parti bagi mengatasi jentera Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti. Ini, katanya kerana PAS lazimnya akan menentang calon Umno yang mewakili BN di kawasan majoriti Melayu pada setiap kali pilihan raya.

“Kita kena atasi kekuatan Umno sebab kita bertanding di kawasan Melayu,” ujarnya selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada Program Motivasi Jentera Pilihan raya Dun Kota Damansara di Pejabat PAS Kawasan Subang, Subang Perdana malam tadi. Beliau menambah, ini bertepatan dengan hasrat parti yang bersedia untuk menggantikan Umno pada PRU 13 nanti. Katanya, semua peringkat organisasi parti perlu menjaga kekuatan masing-masing.

“Kita bina kekuatan parti kita mengikut dasar dan polisi parti,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu. Justeru, tegasnya, kekuatan yang ada pada perjuangan PAS tidak perlu diragui oleh seluruh ahli. “Jangan ragu-ragu dengan perjuangan kita kerana kekuatan kita juga adalah kekuatan Islam dalam negara ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya seluruh jentera parti perlu berusaha keras bagi menghadapi PRU 13 dengan membuat perancangan secukupnya dan strategik bagi mencapai kejayaan.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak terikut-ikut dengan rentak sesetengah pihak yang sering mengkritik kepimpinan tanpa mengikut saluran yang betul. Katanya, sikap sedemikian bukan sahaja boleh merosakkan jemaah sebaliknya membawa kejatuhan kepimpinan kerajaan negeri yang dikuasai. [MOD]

Melayu pertahan Utusan "Lidah Syaitan " , Pertahan warisan Melayu yang masih ada ?

04 Safar 1432H
Drs. Khalil Idham Lim.

Tindakan Guan Eng memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia pada 6 Januari lalu atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadap beliau membawa isu baru untuk pimpin UMNO untuk menyerang kembali Ketua menteri Pualau Pinang itu.

Tetapi sekali ini lucu dan terungkap kalimat baru iaitu mempertahankan utusan melayu adalah pertahankan warisan melayu yang satu-satunya masih tinggal.

Dalam Mingguan Malaysia hari ini, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir dipetik sebagai berkata, sudah menjadi kebiasaan pemimpin pakatan pembangkang menyaman pihak yang membuat pendedahan dan teguran bagi menutup kelemahan mereka.

Menurut Musa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyaman akhbar Utusan Malaysia merupakan satu permainan politik pembangkang dalam usaha menutup antara warisan Melayu di negara ini.

“Tidak terkecuali disaman adalah Utusan Malaysia yang menjadi warisan Melayu di negara ini kerana keberanian akhbar ini mendedahkan kelemahan pembangkang terutamanya di Pulau Pinang." Katanya dalam kenyataan itu

Selain itu Musa menyeru orang ramai terutama sekali orang Melayu perlu sedar permainan politik pembangkang yang menyaman kerana tidak mahu Utusan Malaysia banyak cakap di samping menutup salah satu warisan Melayu yang masih ada.

Tindakan Saman Guan Eng terhadap utusan dilakukan beberapa hari lepas berkaitan dengan artikel yang disiarkan pada 20 Disember tahun lalu yang dianggapnya telah menggunakan perkataan tidak benar serta berniat jahat sehingga menyebabkan beliau mengalami kerosakan dan kerugian.

Tindakannya tidak lebih sebagai seorang warganegara Malaysia yang sedang mempertahankan haknya, apa kah yang salahnya ?

Orang Melayu perlu sedar dan perlulah berfikir dengan tenang dan sematangnya sandiwara terbaru pemimpin UMNO.

Kalau bercakap tentang warisan, adakah benar warisan sebenar orang Melayu yang satu-satunya sedang dipertahankan ini memang benar dipertahankan oleh pemimpin UMNO.

Realitinya budak sekolah rendah pun telah melakukan tindakan saman Kerajaan Malaysia kerana membelakangi Bahasa melayu dalam pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah bila Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar untuk dua matapelajaran utama itu.

Satu penghinaan yang sangat dasyat kepada bahasa melayu oleh pemimpin UMNO sehingga membangkitkan gelombang tentangan rakyat malaysia bukan sahaja dari tokoh-tokoh politik namun para sasterawan negara dan pakar-pakar bahasa itu sendiri.

Termasuk juga pemimpin politik dan masyakarat dikalangan bukan Melayu bangkit sama untuk pertahankan Bahasa Melayu. Tidak malukah pemimpin UMNO yang kononnya mempertahankan hak orang melayu ?

Selain itu sedarkah Musa dan pimpinan UMNO yang lain Isu yang dibawa oleh Guang Eng bukan unuk melihat Utusan Melayu ditutup atau dengki kepada akhbar itu, isunya ialah pembohongan yamg berterusan dari akhbar UMNO itu dalam banyak perkara.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang saya dapati utusan tidak lebih dari penghinat kepada masayarakat negara ini dengan pemberitaan yang tidak lebih dari memburuk-buruk sebuah kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat Pulau Pinang.

Utusan tidak lebih menjadi "lidah syaitan" yang sentiasa membela bos nya walaupun jelas melakukan kemungkaran dan penyelewengan. Namun bila melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat semuanya salah dan diputar belit.

BN gagal menangani Isu setinggan di Miri

04 Safar 1432H.

Kenyataan Media Pas Miri

Pas Miri sangat kesal dengan kenyataan YB Andy Chia dalam Sarawak Update tentang 4 ribu setinggan di Miri perlu penempatan semula. Mengulas lanjut mengenai setinggan di kawasan Miri dimana beliau berkata,"kerajaan memerlukan tempoh tertentu sebelum dapat menempatkan semua penduduk setinggan di bahagian Miri berikutan kekurangan dana dan tanah. " Apa maksudnya "kekurangan dana dan tanah."? Sarawak adalah sebuah negara yang luas tanahnya hampir seluas tanah semananjung Malaysia.

Adalah mustahil kerajaan Sarawak tidak dapat menempatkan para setinggan tersebut di suatu kawasan dimana mereka boleh membina hidupsendiri dengan hasil usaha sendiri seperti ladangperternakan,pertanian dan sebagainya seperti skim-skim penempatan semula yang terdapat di Semenanjung Malaysia ada Felda dan sebagainya. Kalaulah Sarawak ini kecil macam Singapore tiada lagi tanah untuk perumahan memang patut beliau bercakap macam itu tapi Sarawak tanahnya luas dan alasan kekurangan tanah sukar untuk diterima.

Kalau tiada peruntukan kemana perginya peruntukan untuk orang-orang miskin? Adakah dana-dana tersebut sudah digunakan untuk kegunaan lain oleh pihak-pihak tertentu maka peruntukan tersebut sudah habis.

Begitu juga tentang masalah tanah, adakah tanah-tanah di Sarawak sudah disimpan "reserve" untuk pihak-pihak tertentu sehingga rakyat sudah tidak dapat memiliki tanah sendiri? Ini persoalan besar yang perlu dijawab oleh pemimpin BN.

Kita berharap apabila Pas dan Pakatan Rakyat memerintah Sarawak nanti perkara ini akan diberi keutamaan. Rakyat yang tidak memiliki tanah akan diberi secara skim atau projek sara hidup sendiri dimana mereka bukan saja boleh memiliki tanah tempat tinggal sendiri bahkan mereka juga mempunyai tanah untuk bercucuk tanam atau ladang ternakan sendiri dimana hasilnya akan dimiliki oleh penduduk dan juga kerajaan yang memerintah dari hasil cukai pendapatan mereka. Inilah yang dikatakan "win-win situation" dimana rakyat dapat menikmati hasil dan kerajaan pun dapat hasil daripada pendapatan rakyat.

Pas dan Pakatan Rakyat sentiasa perihatin tentang masalah rakyat yang tidak mempunyai tempat tinggal dan tanah sendiri. Insyallah bagilah peluang untuk membuktikan bahawa Pas dan Pakatan Rakyat boleh memerintah Sarawak dengan lebih baik lagi. PAS untuk semua.

Ibrahim Ali semakin cerca merba, petanda disemadikan selepas PRU 13

04 Safar 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

SAYA merasa pelik dengan sikap dan tabiat Presiden PERKASA, IbrahimAli. Di dalam mengulas keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock di dalam kawasan pejabat SPRM, Ibrahim Ali amat menentang penubuhan Suruhanjaya Diraja tersebut. Baca di sini.

Ibrahim Ali berpendapat memadai pihak Polis menyiasat kes tersebut. Kita ingin bertanya kepada beliau, adakah kematian Teoh tidak pernah disiasat oleh pihak Polis sebelum diadakan injues? Adakah siasatan Polis atau inkues lebih baik atau telus jika ingin dibandingkan dengan Suruhanjaya Diraja? Kes mata lebam DS Anwar dahulu boleh dijadikan panduan untuk menjawab persoalan ini.

Melucukan, beliau secara sinis menyebut beliau pelik dengan sikap `keterbukaan dan baiknya' kerajaan apabila bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Mengapa Ibrahim Ali pelik? Mungkin beliau sedar kerajaan selama ini tidak bersikap terbuka dan tidak baik, sebab itu lah beliau merasa pelik. Di dalam Parlimen, MP Pasir Mas yang menenggek atas kerusi ihsan PAS ini berdegar-degar bercakap akan menyokong apa jua yang baik samada dari Kerajaan atau Pembangkang. Adakah Suruhanjaya Diraja ini tidak baik untuk Ibrahim Ali?

Hujah beliau bahawa mengadakan Suruhanjaya Diraja membazirkan wang rakyat adalah satu hujah dungu oleh seorang Ahli Parlimen. Beliau cuba ingin membandingkan nilai atau harga sebuah keadilan dan ketelusan dengan wang ringgit. Beliau tidak tahu menilai nyawa yang hilang dan tidak merasa apa yang dirasakan oleh waris Teoh Beng Hock. Seandainya tragedi ini berlaku ke atas ahli keluarga atau warisnya, mungkin Ibrahim Ali akan menjadi `gila' dan `meroyan'.

Ibrahi Ali yang sinonim digelar `raja katak' ini sempat mengulas isu Datuk Khusrin, SUK Kerajaan Negeri Selangor yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Selangor. Beliau menyebut bahawa perlantikan SUK itu adalah sah dari segi undang-undang. Kita semua tahu, yang dibicarakan sekarang berkaitan isu SUK ini adalah tentang ketelusan dan tahap profesional pihak KSN, SPA dan JPA. Rekod Datuk Khusrin sepanjang berkhidmat sebagai Pengarah JAIS sepanjang PR mentadbir Selangor juga boleh dinilai sebelum mengesahkan perlantikannya.

Saya tidak pelik jika Ibrahim hanya menyebut dari segi undang-undang semata-mata dan tidak mahu menyentuh dari segi moral dan adab. Kita pun tahu dari segi undang-undang, MP Pasir Mas ini memang sah sebagai Ahli Parlimen walaupun tanpa parti kerana beliau `disedekahkan' oleh PAS untuk kerusi tersebut. Tetapi jika ingin membicarakan soal moral dan adab, Ibrahim Ali sewajarnya sudah lama mengosongkan kerusi tersebut kerana bertindak lebih Umno dari Umno apabila menyerang PR, khususnya PAS.

Bermoralkah Ibrahim Ali yang di`beri makan' oleh Tuan Guru Nik Aziz berada di kerusi tersebut, tiba-tiba mendesak Mursyidul Am PAS tersebut meletakkan jawatan sebagai MB Kelantan? Jelas, perjuangan Ibrahim `raja katak' semakin lama semakin cerca merba. Itu pertanda awal beliau akan `disemadikan' selepas Pilihanraya Umum Ke 13 nanti./wfauzdin.blogspot.com