08 January 2011

Isteri Pramoedya Ananta Teor Meninggal Dunia

4 Safar 1432H.

JAKARTA: Isteri novelis prolifik Indonesia Pramoedya Ananta Toer, Maemunah Thamrin meninggal dunia Sabtu pada usia 82 tahun setelah menderita strok sejak 2008.

Kematian beliau pada pukul 11.45 pagi di rumahnya di Jalan Multikarya, Utan Kayu, Jakarta Timur, diumumkan kepada media tempatan petang Sabtu oleh anak perempuannya Astuti Ananta Toer.

Pramoedya, yang meninggal dunia pada 30 April 2006, merupakan antara pengarang produktif Indonesia, dan semasa hayatnya menghasilkan lebih 50 karya yang diterjemahkan ke lebih 41 bahasa asing.

Salah satu novelnya yang berjudul "Keluarga Gerilya" pernah dijadikan teks untuk matapelajaran sastera bagi peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).-

Strategi media baharu menjelang PRU 13

04 Safar 1432H.
Harakahdaily

Blog-blog Umno sejak kebelakangan ini gemar mengeluarkan senarai blog mereka yang paling dilawati, dijadikan sebagai satu pendorong kepada mereka untuk meneruskan penulisan.

Sebahagian besar blog bukanlah sumber maklumat yang sahih atau kredibel, malah sebahagian besar menulis menggunakan nama samaran.

Tetapi, kredibiliti seperti media berita, sama ada bercetak atau di internet bukan matlamat mereka ini.

Bagi mereka, yang utama ialah serangan terhadap parti-parti Pakatan Rakyat, untuk menjejaskan kredibiliti dan menghakis sokongan orang Melayu kepada Pakatan.

Sekiranya dinilai daripada pelawat yang menjenguk blog-blog tersebut, boleh dikatakan isu sensasi yang dimainkan secara berterusan menarik minat pengguna internet.

Betul atau salah berita tersebut bukan isu, kerana matlamatnya hanya persepsi, yakni menghasilkan dan menguatkan lagi persepsi negatif terhadap PAS dan parti-parti Pakatan.

Trend penggunaan media seluruh dunia membuktikan media “ringan,” dan sensasi lebih menarik ramai pengguna berbanding isu politik yang lebih berat seperti federalisme, perwakilan dan sebagainya.

Di sinilah peranan blog-blog Umno, iaitu menerbitkan tulisan-tulisan sensasi, berbentuk gosip, dan gambar-gambar diubahsuai untuk memberi kesan sensasi itu.

Tidak dapat dinafikan, sama ada seseorang pengguna itu bersetuju atau tidak dengan isu-isu yang disensasikan itu, tulisan-tulisan di blog itu tetap menarik minat mereka.

Budaya media di negara kita mudah suka dengan berita-berita sensasi telah menyuburkan lagi minat ini dalam kalangan pembaca.

Banyak blog Umno ini dibaca sebagai hiburan oleh sesetengah pembaca internet dan bukan sumber berita, tetapi hiburan juga boleh menjadi satu medium menyampaikan maklumat.

Walaupun tidak mempercayai semua cerita yang dihidangkan, pengunjung blog-blog tersebut mungkin akhirnya akan mempercayai atau cenderung untuk percaya kepada gosip-gosip yang diterbitkan.

Dengan jumlah blog pro-Umno yang banyak dan bercambah menjelang pilihan raya umum nanti, kebarangkalian untuk mereka menyampaikan kempen mereka kepada umum semakin tinggi.

Umno yang satu ketika dulu ketinggalan jauh dalam memanfaatkan media baharu seperti blog kini berjaya menyaingi Pakatan, atau menurut sesetengah pihak, sudah pun mengatasi parti-parti Pakatan.

Pemimpin tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak secara peribadi mengambil tahu dan berperanan dalam memperkemaskan jentera media baharu Umno.

Banyak daripada blog dan laman berita pro-Umno mendapat sokongan pelbagai bentuk daripada pemimpin tinggi parti itu.

Apa yang dicetuskan dan dibawa oleh blog-blog Umno sering kelihatan seragam dan sekata, walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam sokongan kepada pemimpin tertentu.

Di sinilah blog-blog oleh PAS, pro-PAS dan Pakatan perlu menyedari perang siber yang sedang berlaku dengan rancak ini.

Kejayaan Pakatan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu disifatkan oleh ramai pihak sebagai hasil pertarungan ide di internet.

Walaupun hal ini masih boleh diperdebatkan, sememangnya tidak boleh dinafikan sebagai salah satu sumber maklumat, internet mempunyai peranannya yang besar.

Malang sekiranya blog-blog pro-PAS dan Pakatan ketika ini teralih fokus daripada melawan serangan media baharu Umno dan terlibat dalam polemik sesama sendiri.

Blog-blog pro-PAS kelihatan mudah terlibat dalam perdebatan sesama sendiri, termasuk ketika bahang pilihan raya umum semakin dirasakan ketika ini.

Banyak isu – ataupun isu yang dibuat-buat – dipanaskan lagi oleh blog-blog yang selama ini dianggap pro-PAS dan akhirnya memberi kesan negatif kepada parti dan Pakatan.

Dalam mood menjelang pilihan raya umum kini, rakyat bukan sahaja disajikan dengan tulisan-tulisan sensasi di blog malah juga akhbar-akhbar dan televisyen.

Dalam hal ini, PAS dan parti-parti Pakatan sendiri perlu bertindak pertama dengan menyusun dan memperkemas blog yang dikendalikan sendiri oleh pemimpin dan ahli parti di semua peringkat.

Serangan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional ini akan terus meningkat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 nanti semakin hampir.

Blog-blog pro-PAS dan Pakatan perlu menjadi pesaing yang setara dengan blog-blog pro-Umno dan sekali lagi menjadi faktor penting dalam usaha memenangi pilihan raya umum.

Pemuda anjur forum perjelas Janji 100 Hari Pakatan

04 Safar 1432H.
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mengadakan forum "Janji 100 Hari Pakatan Rakyat' bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak mengenai program 100 hari yang terkandung dalam buku jingga Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, selepas buku jingga itu dikemukakan sewaktu konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang 19 Disember lalu, ianya belum dinilai secara terbuka oleh mana-mana pihak melainkan mendapatkan kritikan daripada Umno BN.

"Dalam forum ini kita akan bahas pro dan kontra program 100 hari ini dan kita akan bagi peluang kepada rakyat untyuk menyatakan pandangan," kata Nasrudin dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Menurutnya, forum itu akan diadakan pada 15 Januari ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) jam 9.30 hingga 12 malam dan terbuka kepada semua.

Ianya akan menampilkan panel daripada pimpinan PAS, PKR, DAP,Umno dan Gerakan manakala moderatornya ialah penganalisis politik, Prof mohd Agus Yusof.

Bagaimamapun, pihak DPP masih dalam proses mendapatkan nama daripada wakil-wakil parti berkenaan untuk manjadi panel.

"Kita mahu panel-panel ini memberikan penilaian mengenai program 100 hari ini, di mana asasnya, apa relevannya.

"Kita juga ingin beri peluang kepada NGO-NGO untuk menyatakan pandangan mereka menegani program ini melalui forum tersebut," katanya.

Selain itu, DPPP juga akan mengadakan Malam Anugerah Budayawan Islam bagi memberikan pengiktirafan kepada seniman dan budayawan yang membangunkan seni tanah air yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Ianya juga sebagai langkah membuka minda ahli PAS agar menggunakan seni dan budaya untuk menyanpaikan dakwah kepada masyarakat.

Sebelum malam anugerah yang dijangka berlangsung pada Mac itu, pemuda akan mengarahkan satu teater Islam yang akan dipersembahkan pda malam tersebut.

"Kita akan jemput seniman yang aktif menggerakkan seni Islam seperti Dinsman dari Paksi dan pemuda sendiri akan menghasilkan teater dan persembahan lain," katanya.

Tambahnya,bekas vokalis Wings yang merupakan kumpulan rock Malaysia, akan turut menghadiri malam anugerah itu bagi menarik golongan muda.

"Kita berhasrat untuk pergi jauh dalam bidang Islam yang tidak mengenepikan nilai-nilai Islam sebab itu kita berusaha melancarkan produk-produk seni kita sendiri," katanya.

Dalam pada itu , beliau turut melancarkan logo Himpunan 30 ribu pemuda PAS yang akan berlangsung pada 19 Februari depan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Himpunan itu sebagai persiapan pemuda menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang melibatkan pemuda dari seluruh negara.

Sementara itu, menurut Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiyat, DPPP akan mengadakan pertemuan dengan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 12 atau 13 Februari depan di sekitar Lembah Klang.

Pertemuan itu sebagai langkah mencari formula penyelesaian ekoran rungutan daripada peminjam yang terbeban akibat tidak dapat membayar balik pinjaman sehingga tidak membolehkan mereka ke luar negara.



Harakahdaily/-

Kenapa pasangan suami isteri tidak serasi?

03 Safar 1432H.
Ahmad Baei Jaafar

Apabila perkahwinan sudah menjangkau enam bulan, salah dan silap sesuatu pasangan akan mula diungkit, padahal sebelumnya dibiarkan sahaja, konon masih baru. Lalu suami yang tidak senang hati dengan sikap isteri, cuba menasihati isterinya begitu dan begini. Percayalah ketika itu, nasihat suami sudah tidak bernilai lagi, sebaliknya isterinya menjawab, “dulu tak salah, kenapa baru sekarang salah?”

Ternyata pasangan itu memang sudah tidak serasi. Tetapi demi cinta, mereka tetap mengharungi rumah tangga walaupun dalam keadaan tidak selesa. Walaupun dalam tidak selesa itu, mereka tetap menikmati saat-saat kebahagiaan rumah tangga. Anihnya dalam keadaan benci, isteri tetap mengandung dan mereka terus dikurniakan anak.

Sebab itulah kadang-kadang, kita rasa hairan dan terkejut apabila dalam diam-diam pasangan itu dikatakan bercerai. Lalu orang ramai pun berkata, “kenapa la bercerai, kesian anak terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa.” Kita hairan kenapa setelah lama berkahwin, masih tidak temui serasinya.

Itu kata kita, tetapi sebenarnya mereka berdua sudah lama menderita. Namun hati kecil mereka masih ada harapan. Maka walaupun menderita, hidup masih diteruskan di samping mencari penawarnya. Tetapi apabila sampai kemuncak masalah dan penyelesaian masih tidak ditemui, perceraian terpaksalah dipilih.

Sebenarnya mereka sudah menyedari ketidakserasian itu sejak awal pernikahan mereka, namun mereka gagal untuk merawatnya dengan baik. Tetapi percayalah isu ini masih belum terlewat untuk dirawat.

Sebenarnya isu tidak serasi ini hanya ibarat retak mencari belah. Sebab itu jika pasangan yang terlibat tidak dapat mengesan ketidakserasaian itu lebih awal, perceraian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi, beruntunglah mereka yang berusaha mencari punca penyebabnya.

Sebenarnya punca tidak serasi itu bermula daripada tidak serasinya iman pasangan tersebut. Mungkin suami kuat imannya, tetapi isteri lemah imannya. Apatah lagi kalau kedua-dua mereka tidak ada iman. Hakikatnya mereka tidak meletakkan Allah di dada mereka.

Percayalah mereka yang ada iman, pasti akan takut kepada Allah, iaitu takut untuk melakukan dosa, takut untuk melakukan zalim kepada orang lain apatah lagi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga kalau isteri beriman, sudah pasti dia akan takut untuk menderhakai suaminya, dan akan takut untuk meminta cerai daripada suaminya.

Selain itu pasangan yang beriman itu akan melakukan solat lima waktu dan sunat-sunatnya. Malah mereka yang taat solat, akan berasa tenang sewaktu berhadapan dengan pasangan. Malah jika sesekali mereka berkesempatan melakukan solat berjemaah, pasti hati pasangan itu mudah disatukan Allah.

Percayalah apabila pasangan itu boleh berasa takut kepada Allah, dan dapat pula mendirikan solat dengan sempurna, bibit perceraian tidak akan terjadi. Keserasian pasti akan diperoleh oleh pasangan tersebut semasa berkahwin bahkan sampai bila-bila.
Sungguh pun begitu, jumlah golongan ini tidak ramai. Di sana sini kita temui mereka yang lemah iman, buktinya ramai yang tidak melakukan asolat dengan sempurna, dan ramai juga suami yang takut kepada isteri. Mereka ini kalau pun kelihatan seperti serasi, tetapi hakikatnya mereka mahu hidup secara bebas, berseronok suka dalam kancah dosa dan maksiat.

Peranan Suami Didik Isteri

Mana-mana pasangan yang boleh mengekalkan iman dan taqwa dan boleh melaksanakan solat dengan sempurna, pasti suami dan isteri mampu berperanan dalam rumah tangga seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Inilah pasangan yang serasi malah boleh berkekalan sehingga ke dalam syurga.

Suami dalam keadaan ini perlu berperanan sebagai pendidik selain memimpin isteri ke jalan yang selamat. Maknanya pada malam pertama perkahwinan mereka, suami perlu menjelaskan pantang larang yang perlu isteri taati. Dalam pada itu kalau isteri tersalah dan tersilap, segeralah menegurnya dengan penuh hikmah.

Isteri juga perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi kehendak suami dan meminta izin sebelum melakukan sesuatu pekerjaan yang luar jangkaan. Peringatan ini penting dalam membina kehamonian rumah tangga. Semua ini akan memudahkan suami memimpin isteri ke arah jalan yang bahagia.

Manakala rumah tangga yang telah didapati tidak serasi perlulah menamatkan sengketa itu dengan saling memaafkan kesalahan masing-masing. Percayalah setelah kedudukan telah menjadi kosong-kosong, suami bolehlah membuat penjenamaan baru dengan menyenaraikan garis panduan, pantang larang seperti yang dinyatakan di atas.

Ingatlah selagi mereka mampu mengikut garis panduan dan pantang larang yang ditetapkan Allah dan Rasulullah, mereka akan terdorong ke arah hidup yang bahagia selama-lamanya.

Setpol MB : Pelantikan SUK Selangor tidak telus dan tidak profesional

03 Safar 1432H.

Kenyataan ketua setiausaha negara (KSN) dan bekas setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor Datuk Ramli Mahmud bahawa Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan sebelum 21 Disember berhubung pelantikan SUK baru didakwa ternyata salah.

Setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin sebaliknya berkata, tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Ramli.

"Sebaliknya apa yang berlaku ialah KSN telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Datuk Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Datuk menteri besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

"Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember (setiausaha sulit Sultan) Datuk Munir (Bani) telah menghantar surat kepada setiausaha sulit menteri besar dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Datuk Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Datuk Khusrin sebagai SUK," kata Faekah lagi.

Berikut kenyataan penuhnya sekitar kontroversi pelantikan Datuk Khusrin Munawi:

YAB Dato' MB terharu dengan titah DYMM Tuanku Sultan pada 6 Jan lalu. Tuanku ternyata melihat keikhlasan Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dengan telus cekap dan efisien. Tuanku juga menegur sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan di dalam isu yang hangat ini dengan memberi persepsi silap kepada rakyat. Pakatan Rakyat bersyukur dengan titah ikhlas yang dikeluarkan Duli Tuanku.

Mengambil maklum dan menjunjung titah Tuanku tersebut, Dato' MB ingin memperbetulkan beberapa dakwaan oleh bekas Setiausaha Negeri Dato' Ramli Mahmud dan KSN kononnya Dato' MB telah dimaklumkan berkenaan lantikan Dato' Khusrin Munawi sebelum 21 Disember. Dato' MB menegaskan beliau telah dibelakangkan dalam semua urusan penyerahan nama ke Istana sebelum 17 Disember 2010. Begitu juga maklumat dari KSN diserahkan kepada Dato' Ramli dan beliau tidak memanjangkan kepada Dato' MB.

Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk mentadbir negeri secara profesional dan mantap tanpa ada niat untuk bermain politik dalam soal pentadbiran mahupun mempolitikkan isu-isu tertentu. Namun apabila sesuatu fakta itu diputar belit serta bercanggah dengan bukti yang sedia ada, adalah menjadi tanggungjawab Dato' MB memberi penjelasan. Bukti amat jelas bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan yang melantik Setiausaha Negeri tanpa rundingan dengan Menteri Besar adalah satu tindakan sabotaj yang memang bersifat politik. Tindakan arbitrasi inilah yang telah memulakan segala kekeliruan dan akhirnya menjadi masalah.

Dato' Ramli akan bersara wajib pada 24 Mac 2011. Justeru, pada 26 Oktober Pejabat Menteri Besar telah diberi nota amalan (practice notes) dari Pejabat Setiausaha Negeri melalui Pusat Sumber Manusia (PSM) Negeri. Nota amalan ialah berkenaan amalan yang biasa (convention) yang dilakukan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri ( SUK ). Nota amalan tersebut jelas menyatakan tatacara yang perlu diambil iaitu;

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.

Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.

Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan, Dato' MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

Sebaliknya apa yang berlaku ialah Ketua Setiausaha Negara ( KSN ) telah menyerahkan senarai nama kepada DYMM Sultan Selangor melalui Dato' Ramli. Cara ini ternyata tidak menepati prosedur dan membelakangkan Dato' Menteri Besar serta mengetepikan amalan telus dan profesional.

Hal ini terbongkar apabila pada 21 Disember Dato' Munir telah menghantar surat kepada Setiausaha Sulit Dato' MB dengan mengepilkan surat bertarikh 10 Disember yang beliau hantar kepada Dato' Ramli berkenaan perkenan Tuanku melantik Dato' Khusrin sebagai SUK.

Antara 10 hingga 21 Disember, Dato' Ramli telah hadir pada dua Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Mesyuarat Exco), dua mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Majlis persaraan beliau juga diadakan. Dalam lima pertemuan ini, Dato' Ramli tidak pernah menyebut bahawa Tuanku telah memberi perkenan kepada Dato' Khusrin.

Justeru, kenyataan KSN dan Dato' Ramli bahawa Dato' MB telah dimaklumkan sebelum 21 Disember ternyata salah. Tidak juga terdapat surat berkaitan dengannya sama ada dari KSN mahupun dari Dato' Ramli.

Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas memperjuangkan kebajikan rakyat. Sekiranya kerajaan Persekutuan menghormati semangat Federalisme dan memahami kehendak rakyat yang telah memilih kerajaan Negeri Selangor hari ini, pastinya mereka tidak akan melantik seorang Setiausaha Negeri tanpa sebarang konsultasi dengan Dato' MB yang telah dipilih rakyat.

Dato' MB berharap KSN dan amnya SPA akan sanggup bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik dalam masa terdekat. Tidaklah perlu memanjangkan perkara ini dengan menimbulkan isu lain kononnya Dato' MB terlewat menghantar nama dan sebagainya. Dato MB percaya hanya dengan bertindak secara profesional serta jujur pada amalan, isu ini boleh diselesaikan.

Pejabat MB Selangor : Ramli tidak maklum kepada MB.

03 Safar 1432H.

Pejabat Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan Kenyataan Rasmi bahawa sehingga majlis persaraan Datuk Ramli Mahmud pada 16 Disember lalu, bekas setiausaha kerajaan (SUK) negeri itu tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan penggantinya.

Pejabat MB Selangor juga mendakwa, dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sebelah pagi hari yang sama, Ramli turut 'membisu' mengenai perkara itu.

Kenyataan Rasmi dari Pejabat MB Selangor itu dikeluarkan lewat petang kelmarin, dipercayai sebagai respons terhadap kenyataan Ramli, yang mempertahankan dirinya dengan alasan tindakannya betul dan beliau menyerahkan cadangan penggantinya kepada Sultan Selangor dengan memaklumkan kepada Khalid.

Dalam kenyatannya rasminya beberapa hari lepas Ramli dipetik sebagai berkata "Senarai ini telah disembahkan kepada DYMM Sultan Selangor, diserahkan kepada YAB menteri besar dan saya meminta beliau berbincang dengan DYMM Sultan."

Dengan kenyataan dari Pejabat MB Selangor ini, pelbagai pihak boleh menilai sipakah dalang yang sebenar dalam krisis pelantikan SUK baru di Selangor yang masih hangat diperkatakan.

Berikut kronologi pelantikan SUK yang dikeluarkan oleh pejabat menteri besar yang merakamkan perkara itu:

26 Oktober 2010
PSM memberi Nota Amalan kepada Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:

i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.
ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang
sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.
iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010
Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Dato' Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baharu dan menyenaraikan 8 nama yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010
Pejabat Menteri Besar menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010.
Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon .

1 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.

2 Disember 2010
Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

3 Disember 2010
Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Dato' Menteri Besar bahawa 3 nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa 2 calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010
Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010
Mesyuarat EXCO bersidang. Dato' Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010
2pm: Mesyuarat MTES bersidang Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.
9pm: Majlis Persaraan untuk Dato' Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Dato' Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Dato' Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau

17 Disember 2010
Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Dato' Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010
Dato' Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Dato' Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010
Istana menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato' Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato' Menteri Besar, Haji Mustapha. Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato' Ramli Mahmud sebagai balasan surat yang dihantar Dato' Ramli bertarikh 3 Disember. Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor tiga calon yang layak. Manakala surat 10 Disember memaklumkan kepada Dato' Ramli bahawa DYMM Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Dato' Muhamad Khusrin Munawi. Surat itu juga menyatakan Dato' Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010
Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato' Mohamad Munir bahawa Dato' Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010
Dato' Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011
Dato' Menteri Besar menghadap DYMM Sultan Selangor. Dato' Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Dato' Mohamad Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011
Pejabat Dato' Menteri Besar menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011
Dato' Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Dato' Mohamad Khusrin.

Suasana perkhidmatan awam tidak baik bila federalisma tidak dihormati.

03 Safar 1432H.
Subky Latif

Pandangan dari atas mengira tindakan kerajaan Selangor mempertikai perlantikan SUK Selangor yang baru boleh mewujudkan suasana tidak baik dalam perkhidmatan awam.

Memang benar kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim mempertikai SUK baru yang dibuat oleh KSN dan SPA tanpa berunding dengannya.

Jika kejadian itu menimbulkan suasana tidak baik dalam perkhidmatan awam, maka ia bermula dari tindakan perkhidmatan awam persekutuan, bukan bermula di peringkat negeri.

Apa yang berlaku di peringkat negeri adalah reaksi dari tindakan kerajaan dan perkhidmatan awam pusat.

Menjaga moral, wibawa dan integriti perkhidmatan awam dan pegawainya adalah baik tetapi kerajaan Malaysia yang tidak pernah menghormati sistem federalisma menjadi punca kepada keruntuhan sistem perkhidmatan awam itu.

Apa yang berlaku di Selangor itu bukan perkara baru. Ia telah wujud sejak negara ini berdepan dengan adanya kerajaan negeri yang diperintah oleh parti yang tidak sama dengan yang memerintah kerajaan persekutuan.

Pilihan Raya Umum yang pertama selepas merdeka iaitu tahun 1959 Terengganu dan Kelantan jatuh ke tangan PAS. Antara pegawai kanan di kedua buah negara itu adalah rakan seangkatan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra dan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak semasa pengajian dan semasa dalam perkhidmatan awam sejak zaman penjajah.

Apabila kedua pemimpin itu mengetuai kerajaan sendiri di Tanah Melayu selepas pilihan raya 27 Julai 1955 pegawai-pegawai di semua negeri merasa mereka bekerja di bawah kawan dan kenalan sendiri. Apabila Kelantan dan Terengganu tidak ditadbir oleh Perikatan tahun 1959 antara mereka terasa mereka ditadbir oleh orang lain.

Maka mereka seperti ada pengalaman baru, ada dua ketua iaitu ketua dalam kerajaan pusat dan ketua dalam kerajaan negeri. Antara pegawai-pegawai itu memberi kesetiaan yang lebih kepada kerajaan pusat kerana mereka adalah rakan-rakan Tunku dan Tun Razak sebelumnya.

Semua masalah rahsia kerajaan negeri diketahui oleh pemimpin kerajaan pusat. Politiking ketara antara Perikatan terhadap kerajaan PAS menyebabkan bantuan kerajaan persekutuan kepada kerajaan PAS Terengganu dan Kelantan tidak lancar. Peranan pegawai antara yang menyebabkan kerajaan PAS Terengganu ditumbangkan dalam masa dua tahun.

Banyak rekod perkhidmatan awam kerajaan pusat yang tidak seimbang terhadap pentadbiran Kelantan tidak patut berlaku dalam negara yang memakai sistem federalisma sepanjang Kelantan ditadbir oleh PAS.

Apabila Kelantan ditadbir semula oleh PAS tahun 1990, kerajaan pusat mewujudkan pegawai khas mengepalai jabatan-jabatan persekutruan di negeri itu. Ia seolah-olah mewujudkan satu kerajaan dalam kerajaan negeri. Pegawai awam persekutuan tidak takluk dan tidak menghormati kerajaan negeri.

Inilah suasana yang berlaku di semua negeri yang tidak ditadbir oleh Barisan Nasional hingga hari ini.

Pegawai perkhidmatan awam persekutuan melambat-lambatkan pemberikan geran per kapita kerajaan Kelantan hingga mengganggu kelancaran pentadbiran kewangan negeri. Bantuan yang sepatut diberi awal tahun diberi akhir tahun. Ia beri, bukan tidak beri. Tetapi keadaannya seperti bapa memberi wang sekolah kepada anak selepas anak pulang dari sekolah. Keperluan wang pada anak itu ialah semasa dia di sekolah.

Sebelum Tun Razak jadi Perdana Menteri, merata-merata pegawai awam menghantar bahan dan alat pembangunan menjelang pilihan raya. Apabila calon Perikatan di kawasan itu kalah dalam pilihan raya, habis bahan dan peraliatan itu diambil balik. Pembangunan yang dicadangkan dibatalkan.

Setahun lalu pegawai pentadbiran awam yang bertugas dengan kerajaan Pulau Pinang telah menjadi punca masalah menyebabkan kerajaan Pulau Pinang dan KSN berbalas kenyataan. Puncanya ialah pegawai yang dikirim tidak merasa kesetiaan perlu diberi kepada kerajaan negeri.

Sekarang KSN mempercepatkan penamatan perkhidmatan SUK Selangor yang sepatutnya berakhir beberapa bulan lagi dan melantik seorang yang diketahuinya tidak ngam dengan kerajaan negeri menjadi SUK.

Pemberitahuan diberi kepada Sultan dan Menteri Besar mengetahui melalui media.

Yang menjalankan pentadiran negeri bukan Istana tetapi kerajaan. Apakah KSN tidak tahu? Di mana profesional KSN dalam menjaga moral, wibawa dan integriti perkhidmatan awam. Pegawai-pegawai yang menjadi penasihat Istana pun tidak memberi nasihat yang tepat kepada Istana sebelum memperkenankan nama pegawai yang dicadangkan oleh SPA dan KSN.

Pegawai tadbir yang bertugas di Jabatan Agama Perak bermasalah dengan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Percubaan menukarnya disekat oleh Istana Perak. Beberapa bulan kemudian pegawai itu diperintah tukar pula dari Perak atas kehendak istana. Ia adalah bukti pekhidmatan awam sentiasa dipersoal.

Apa yang dapat kita kata tentang wibawa perkhidmatan awam dalam keadaan diskriminasi seperti itu? Jawapannya ialah ia memang bercelaru. Moral, wibawa dan integriti tidak baik sudah lama berlaku sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat.

Menjaga moral dan wibawa perkhidmatan awam adalah baik, tetapi ia bukan suatu tanggungjawab kerajaan negeri seperti Selangor saja. Ia mesti licin di pusat dulu.

Yang berlaku di Selangor itu tidak lebih dari satu reaksi.

Apakah pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam perlu menjalani sessi kounseling dari semasa ke semasa?

* Subky Latif adalah pengasas lidah rasmi PAS, Harakah, pada tahun 1978.

Ilmu bukan sekadar teori

03 Safar 1432H.

Sufyan ats-Tsauri rahimahullah berkata, “Tidaklah sampai kepadaku suatu hadits dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melainkan aku pasti beramal dengannya.” Amr bin Qais al-Mala’i rahimahullah berkata, “Apabila sampai kepadamu hadits dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam maka beramallah dengannya meskipun hanya sekali agar kamu termasuk penganutnya.”

Syaikh Abdurrazzaq berkata, “Maksud ucapan beliau; beramallah dengannya meskipun hanya sekali, adalah dalam perkara sunnah dan amalan yang dianjurkan sedangkan dalam perkara wajib maka tidak cukup mengamalkannya sekali kemudian boleh disebut sebagai penganutnya.” (lihat Tsamrat al-’Ilmi al-’Amal karya Syaikh Dr. Abdurrazzaq al-Badr, hal. 27)

Jangan tertipu dengan amalmu!

Allah ta’ala berfirman (yang artinya), “Dan ingatlah tatkala Ibrahim membangun tapak Ka’bah dan juga Isma’il, mereka berdua berdoa; ‘Wahai Rabb kami terimalah amal kami’.” (QS. al-Baqarah: 127). Wuhaib bin al-Ward rahimahullah ketika membaca ayat ini maka ia pun menangis dan berkata, “Wahai kekasih ar-Rahman! Engkau bersusah payah mendirikan tapak rumah ar-Rahman, meskipun demikian engkau merasa khawatir amalmu tidak diterima!” (lihat Tsamrat al-’Ilmi al-’Amal, hal. 17)

Jadilah contoh yang baik!

Malik bin Dinar rahimahullah berkata, “Sesungguhnya seorang alim/ahli ilmu apabila tidak mengamalkan ilmunya maka nasehatnya akan luntur dari hati sebagaimana aliran air hujan yang melintasi bongkahan batu.”

Al-Ma’mun pernah berkata, “Kami lebih memerlukan nasihat dengan perbuatan daripada nasihat dengan ucapan.”

Syaikh Abdurrazzaq menceritakan: Suatu saat aku mengunjungi salah seorang bapa yang rajin beribadah di suatu masjid yang dia biasa sholat di sana. Beliau adalah orang yang sangat rajin beribadah. Ketika itu dia sedang duduk di masjid menunggu tibanya waktu sholat setelah sholat sebelumnya- maka akupun mengucapkan salam kepadanya dan berbincang-bincang dengannya.

Aku pun berkata kepadanya, “Masya Allah, di daerah kalian ini banyak terdapat para penuntut ilmu.” Dia berkata, “Daerah kami ini!”. Kukatakan, “ya benar, di daerah kalian ini masya Allah banyak penuntut ilmu.” Dia berkata, “Daerah kami ini!”. Dia mengulangi perkataannya kepadaku dengan nada mengingkari. “Daerah kami ini?!”. Kukatakan, “ya, benar.” Maka dia berkata, “Wahai puteraku! Orang yang tidak menjaga sholat berjama’ah tidak layak disebut sebagai seorang penuntut ilmu.” (lihat Tsamrat al-’Ilmi al-’Amal, hal. 36-37).

Alangkah benar perkataan bapa tua tersebut, Ibnu Umar mengatakan, “Dahulu kami -para sahabat- apabila tidak menjumpai seseorang pada jama’ah sholat subuh dan isyak maka kami pun menaruh prasangka buruk kepadanya -jangan-jangan dia munafik, pent-.” (HR. Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir dll, lihat Tsamrat al-’Ilmi al-’Amal, hal. 37).

Bukankah tolabul ilmi amalan yang utama?

Abdullah bin al-Mu’taz rahimahullah berkata, “Ilmu seorang munafik itu terletak pada ucapannya, sedangkan ilmunya seorang mukmin terletak pada amalnya.”

Sufyan rahimahullah pernah ditanya, “Menuntut ilmu yang lebih kau sukai ataukah beramal?”. Maka beliau menjawab, “Sesungguhnya ilmu itu dimaksudkan untuk beramal, maka jangan kau tinggalkan menuntut ilmu dengan alasan beramal, dan jangan kau tinggalkan amal dengan alasan menuntut ilmu.” (lihat Tsamrat al-’Ilmi al-’Amal, hal. 44-45).

Ya Allah, jadikanlah ilmu kami hujjah untuk membela kami, bukan hujjah yang menjatuhkan kami….

Penulis: Abu Mushlih Ari Wahyudi
Artikel www.muslim.or.id

Pemurnian Undang-Undang Tubuh Negeri Perlu Perhatian Serius

03 Safar 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Isu Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani yang menyatakan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tetap mempunyai kuasa eksekutif bagi memperkenankan sebarang pelantikan pegawai kerajaan negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri baru-baru ini sedikit sebanyak mengelirukan ramai pihak.

Tambahan pula peranan tersebut sebetulnya telah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan membelakangi MB yang telah dipilih dengan sah oleh rakyat negeri Selangor dan diperkenankan pelantikannnya oleh DYMM Sultan.

Oleh itu beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh Datuk Mohamad Munir Bani bagi menjelaskan sebarang kesamaran.

Beliau dipetik sebagai berkata, bahawa baginda sebagai Ketua Esksekutif Negeri tetap mempunyai kuasa eksekutif dan sebarang pelantikan perlu mendapat perkenan Tuanku.

Beliau juga ada menjelaskan bahawa Menteri Besar pula berperanan menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang telah diturunkan oleh baginda kepada beliau.

Persoalannya mengapa dalam hal tertentu Sultan ada peranan, dan dalam hal yang lain tidak pula disebut sebagai peranan Baginda.

Setelah isu ini membabitkan hal istana, maka muncullah sekumpulan manusia yang membawa sepaduk serta baju yang tertera tulisan “DAULAT TUANKU” seperti yang kita boleh lihat mereka di Shah Alam dan kumpulan tersebut ada juga ketika krisis di Perak.

Kronologi demi kronologi muncul dalam isu ini dan perkara tersebut telah memberi petunjuk yang dengan sendirinya menjelaskan situasi sebenar terhadap seluruh rakyat.

Dalam pada itu, tindakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan yang melantik Khusrin yang bertaraf Gred Jusa C ke jawatan Gred Jusa A amatlah meragukan tambahan pula beliau tiada kemahiran berbahasa Inggeris.

Ramai juga yang menyimpulkan bahawa ini adalah satu tindakan yang menafikan hak-hak golongan penjawat awam yang berkelayakan untuk Gred tersebut dinaikkan pangkat mereka dari Gred Jusa B kepada Gred Jusa A.

Dalam masa yang sama beliau (Mohamad Munir Bani) ada menyatakan bahawa SUK perlu rapat dengan Menteri Besar dan anggota Exco, satu perkara yang perlu dipersoalkan ialah latar belakang Khusrin itu sendiri adalah bekas Setiausaha Sulit mantan Menteri Besar Selangor Mohd Taib, beliau juga orang penting PERKASA dan NGO yang cenderung kepada UMNO.

Agak mustahil berlaku persamaan entiti bagi mewujudkan semangat setia kawan, kerana tiada persamaan dari segi dasar perjuangan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dan mustahil ia ada persamaan.

Bagaimana hubungan antara SUK ini akan rapat dengan Menteri Besar Kerajaan Selangor dan barisan Exconya kerana kesemua pasukan pimpinan kerajaan negeri adalah dari Pakatan Rakyat.

Isu ini seakan satu konspirasi politik oleh BN sepertimana yang telah berlaku di Perak, tujuannya sama iaitu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, kerajaan BN komited mematikan amalan demokrasi di negara ini.

Barisan Nasional sejak selepas pilihan raya umum 2008, sememangnya cuba untuk mendapatkan semula negeri Selangor dengan apa cara sekalipun.

Justeru, krisis perlembagan pada 1993 yang mana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor telah dipinda bagi memusatkan kuasa Persekutuan perlu dikaji semula , perkara ini perlu kepada perhatian serius.

Pemurnian semula kepada pelbagai tafsiran adalah penting kerana terlalu banyak kekeliruan pentadbiran yang telah dan akan timbul sekiranya perkara itu dibiarkan.

Harga Minyak Naik, Rakyat Tanggung Beban

03 Safar 1432H.
Mond Hafez Sabri

IPOH , 7 Jan :-Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menyatakan bahawa kehadiran tahunbaru rakyat sekali lagi ditipu oelh kerajaan BN apabila sekali lagi Kerajaan Persekutuan menghadiahkan kenaikan harga bahan petrol RON 97 sebanyak 10 sen secara tiba-tiba baru-baru ini.

Menurut beliau hal ini jelas membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan dibawah tadbiran BN tidak mempedulikan kesakitan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat apabila menambah beban rakyat walaupun kemarahan rakyat masih belum reda ekoran kenaikan sekaligus harga minyak, gas dan gula pada awal disember 2010 lepas.

Pesuruhjaya PAS Perak itu menjelaskan bahawa tindakan ini seolah-olah cuba memeras rakyat supaya dapat mengisi tabung Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil di DUN Tenang tenang pada akhir bulan ini. Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang bagi membiayai pilihan raya kecil mereka dan sumber yang menjadi mangsa mereka sudah tentulah poket kerajaan persekutuan sendiri.

Tindakan terdesak ini juga menunjukkan kerajaan sebenarnya sudah kekurangan wang dan transformasi ekonomi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sudah menampakkan bibit-bibit kegagalan dan janji kerajaan untuk memberi kesenangan dan keselesaan untuk rakyat hanya tinggal janji, tegas beliau.

Pada awal November tahun 2010 kerajaan menjanjikan harga RON 95 dan diesel akan kekal masing-masing pada kadar harga RM 1.85 seliter dan RM 1.75 seliter sehingga hujung tahun selepas menaikkan harga RON 97 sebanyak 5 sen pada masa itu. Walaubagaimanapun kerajaan memungkiri janji mereka apabila menaikkan harga RON 97, RON 95, Gula dan Gas pada awal Disember tahun lepas.

PAS Perak, turut khuatir rakyat akan terus terbeban dan menjangkakan kenaikan RON 95 pula selepas ini, dan tidak mustahil harga bahan mentah lain boleh juga boleh naik sekiranya kenaikan RON 97 semalam gagal menampung keperluan pilihan raya Barisan Nasional di DUN Tenang. PAS Perak juga merasakan tidak mustahil selepas ini, harga minyak akan naik pula menjelang pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan berlaku tidak lama lagi, jelas beliau.

Pesuruhjaya PAS Perak itu beranggapan bahawa kenaikan harga minyak dan bahan mentah di pasaran bukan ditentukan oleh harga pasaran minyak dunia, kedudukan ekonomi negara, kemampuan serta keperluan rakyat, tetapi sebenarnya banyak ditentukan oleh pilihan raya dan keperluan kantong Barisan Nasional.

Beliau mempersoalkan bukankah kerajaan BN menggambarkan keadaan ekonomi negara yang dilaung-laungkan stabil oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi mengapa mereka terus menindas rakyat dengan kenaikan harga barang dan bahan mentah dalam negara. Kerajaan BN mampu memberi peruntukan 5 bilion untuk pembinaan Menara Warisan yang belum tentu memberikan pulangan yang bermanfaat kepada rakyat, 111 Juta kepada PERMATA yang hanya dinikmati segolongan kecil kanak-kanak, menurunkan cukai barang-barang import keperluan pelancong luar negara tetapi sangat kedekut di dalam soal pemberian subsidi kepada rakyat.

Dikala mereka mempersenda janji Pakatan Rakyat yang cuba membantu dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN terus mencekik dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Memetik ucapan beliau “ kini sudah tiba masanya rakyat sedar dengan janji-janji kosong Barisan Nasional kononnya hendak membantu keselesaan rakyat, dan memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat merealisasikan harapan mereka”