06 January 2011

Harga getah tertinggi dalam sejarah negara

1 Safar 1432H.

LABIS 6 Jan. - Harga pasaran getah SMR 20 yang kini mencecah paras RM15.06 sekilogram merupakan kadar tertinggi kenaikan harga komoditi itu yang dicapai dalam sejarah negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kenaikan harga berkenaan sekali gus memberi kebaikan kepada pekebun kecil dengan mendapat keuntungan yang tinggi kepada mereka.

"Unjuran kenaikan ini merupakan unjuran yang tinggi. Getah adalah komoditi yang stabil. Kalau harga turun pun, ia tidak banyak.

"Saya lihat dari segi purata, kalau mereka (pekebun kecil) mempunyai dua hektar tanah, mereka mendapat RM5,600 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen tanam semula peringkat Johor, di sini, hari ini

Banjir: 16 sekolah di Kelantan tutup

1 Safar 1432H.

KOTA BAHARU 6 Jan. - Seramai 4,913 murid dan pelajar di 16 sekolah di negeri ini diarah pulang secara berperingkat bermula pukul 9 pagi tadi apabila kawasan sekolah mulai dinaiki air.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Hussain Awang berkata, 16 sekolah yang ditutup itu membabitkan tiga daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah.

Beliau berkata, sekolah terlibat ialah enam di Pasir Mas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Setol, Rantau Panjang, SK Bakong, Rantau Panjang, SK Kedondong, Pasir Mas, SK Kampung Baru, Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Fallah, Rantau Panjang dan SABK Diniah, Rantau Panjang.

"Di daerah Tumpat pula empat sekolah ditutup iaitu SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan, SK Chenderong Batu dan SABK Nurulhuda, manakala di Tanah Merah pula membabitkan enam sekolah iaitu SK Tebing Tinggi, SK Ladang Kerilla, SMK Ladang Kerilla, SK Sokor, SK Kampung Panjang dan SK Kulim,” katanya. BERNAMA/-

Akur, Muhyiddin arah kaji semula penggunaan novel Interlok

1 Safar 1432H.

Akhirnya Kerajaan dilihat akur kepada desakan beberapa pihak bila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran mengkaji semula penggunaan novel bertajuk "Interlok" sebagai buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia Tingkatan Lima sekolah menengah mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi, berkata kajian itu perlu dilakukan secara serius supaya penggunaan novel itu tidak mendatangkan pelbagai masalah terutamanya membabitkan keharmonian kaum di negara ini. "Tan Sri Muhyiddin (Menteri Pelajaran) berharap kajian itu akan merumuskan satu keputusan yang baik bagi memuaskan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gali, di sini, hari ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan bantahan kepada kerajaan kerana muka surat 211 dan 220 novel itu didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyentuh perasaan sesetengah kaum.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah mendakwa, buku teks sastera Tingkatan Lima itu telah ditarik balik kerana dikatakan mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.

Puad berharap agar semua tidak mempolitikkan isu novel itu kerana niat kerajaan adalah untuk menambahkan pengetahuan di kalangan pelajar dan rakyat negara ini.
"Sepatutnya tidak timbul masalah itu kerana novel yang tulis Abdullah Hussain itu adalah berdasar kepada apa yang berlaku pada masa lampau.

"Sebarang keputusan untuk menentukan sama ada novel komponen sastera itu akan digunakan atau tidak akan diketahui dalam masa terdekat nanti," katanya.

Sebelum ini sebuah gabungan NGO masyarakat India mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel Interlok sekiranya buku karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian daripada teks sastera SPM.

Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia Datuk A Vaithilingam (ketiga dari kanan) berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk tidak menarik balik ketetapan menjadikan buku tersebut sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

Mereka berpandangan isu sebenar bantahan kepada novel ini ialah tindakan memperkecil-kecilkan masyarakat India melalui buku tersebut.

Hadi : Hormati pilihan rakyat Selangor

1 Safar 1432H.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap bahawa krisis perlantikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang sedang berlaku ini adalah akibat sikap kerajaan pusat yang tidak menghormati pilihan rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri tersebut.

Perlu diketahui bahawa segala peraturan pengurusan perjawatan dan perkhidmatan pegawai adalah sebenarnya dirangka dengan matlamat melaksanakan urusan pentadbiran sesebuah kerajaan supaya lebih efisyen, menjaga kepentingan rakyat, jauh dari sikap menekan apatah lagi menzalimi mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Dalam pilihanraya yang lalu rakyat sudah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang sah di Selangor. Di atas asas yang sama maka sepatutnya agensi yang membuat pelantikan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan memahami hasrat rakyat tersebut.

Mereka sepatutnya mengambilkira budi bicara dalam membuat pelantikan, dengan memahami hasrat serta kehendak kerajaan negeri Selangor ini khususnya dalam perlantikan SUK. Sikap melawan kehendak pentadbiran kerajaan Selangor ini dilihat suatu tekanan dan berlaku akibat dari fahaman salah konsep federalisma yang dianut oleh kerajaan pusat pimpinan UMNO-BN.

Kita semua menyedari bahawa UMNO-BN tidak pernah menghormati undang-undang yang mereka sendiri gubal, sehingga mereka sanggup melanggarnya demi kepentingan politik sempit mereka. PAS mengingatkan bahawa usaha pencabulan konsep Federalisma ini akan mengakibatkan berlakunya kebangkitan luar biasa rakyat di peringkat nasional. Kerajaan UMNO-BN ini berusaha untuk merampas kerajaan Selangor dengan menggunakan peruntukan pentadbiran bagi mewujudkan suasana keresahan dalam pentadbiran kerajaan, semuanya dengan cara yang tidak bertamadun dan di luar batas demokrasi. Rampasan ini jugalah yang mereka telah lakukan di negeri Perak dengan menjadikan rakyat sebagai pertaruhannya. Apapun, kita percaya bahawa rakyat akan memberi respon di seluruh negara dalam pilihanraya yang akan datang dengan menukar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

PAS juga ingin mengingatkan kepada UMNO-BN, bahawa langkah apa sekalipun yang digunakan untuk menongkat kelemahan di pihak mereka, ianya tidak akan menjamin BN untuk terus kekal sebagai pemerintah. Dunia telah membuktikan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya termasuk UMNO-BN.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
1 Safar 1432 H/ 6 Januari 2011

Biar Khusrin ‘macam cacing kepanasan’

01 Safar 1432H.
Oleh : Mohd Rashidi Hasan

6 JAN — Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, dengan jelas mengambil sikap menolak pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Khusrin ditolak kerana, sejak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, beliau memang sengaja mencari pasal untuk menyusahkan PAS, KeADILan dan DAP, dengan pelbagai alasan.

Alasan yang sering disebut-sebut beliau, khususnya dalam soal agama di Selangor, ialah inilah “titah tuanku” (titah Sultan Selangor). Terlalu banyak larangan yang beliau nyatakan, sama ada secara kenyataan atau bertulis.

Sama ada betul atau tidak ianya titah Sultan, memang susah hendak disahkan. Sama ada ia rasional atau tidak, itu Khusrin tidak peduli asalkan “hasrat beliau” tercapai.

Sebagai rekod untuk memudahkan pemahaman pembaca Khusrin sebelum ini adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Mohd Taib.

Jika latar belakang sudah menjadi SU Sulit MB dari Umno, dan berdasarkan banyak tindakannya dalam Jais menindas PAS khususnya, bermakna, Khusrin adalah spesies Umno tegar.

Sebab itu Khusrin tidak peduli soal Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menerimanya sebagai SUK, kerana tuannya adalah Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru pelantikannya ke jawatan SUK, tidak dapat ditolak, ianya adalah bermotifkan, bertujuan politik untuk kepentingan Umno-BN.

Maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi tiga parti PAS, KeADILan dan DAP, tidak ada pilihan lain. Mereka mesti bekerjasama sepenuhnya bagi menyekat balaci Umno ini dalam kerajaan.

Berdasarkan “track record”, Khusrin bukan sahaja menjadi alat, malah menjadi “key player” Umno-BN untuk merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Soal beliau lompat jawatan dari gred Jusa C, terus naik ke Jusa A dengan mengetepikan penjawat gred Jusa B, biar pegawai kerajaan sendiri menilai ketidakadilan yang dilakukan.

Jelas, kenaikan pangkat secara mendadak Khusrin, dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Umno-BN.

Amalan ini bukan baru, dalam soal institusi kehakiman misalnya, banyak hakim-hakim junior dinaiktaraf secara mendadak, akibat kedangkalan politik pemimpin Umno-BN.

Justeru, dalam soal Khusrin ini, biarpun beratus kali beliau menafikan menjadi alat Umno-BN, tetapi jelas pada tindakannya semasa menjadi Pengarah Jais, semuanya dibuat mengikut kehendak politik Umno.

Namun, beberapa persoalan besar sudah terungkai selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor.

Di mana Sultan dilaporkan bertitah, bahawa baginda tidak ada kuasa menerima atau menolak pelantikan seseorang ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana kuasa baginda sudah dicabut dalam pindaan Perlembagaan 1993.

Seolah-olahnya ia berbentuk keluhan Sultan, betapa di dalam negeri di bawah naungannya, kuasa baginda terbatas. Keterbatasan itu wujud, akibat kerakusan pemimpin Umno-BN juga.

Oleh itu kenyataan awal Datuk Munir Bani sebelum ini, bahawa Sultan sudah memperkenankan pelantikan Khusrin, ternyata tidak berasas sama sekali.

Ianya mengundang persepsi dan menguatkan hujah bahawa, wujudnya tangan-tangan ghaib dalang Umno-BN, yang membuat onar, semata-mata untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Persoalan besar yang tercetus berikutan pertemuan MB dengan Sultan ialah, hari ini rakyat Selangor baru tahu, betapa rakusnya ketamakan kuasa Umno-BN, sehingga habis kuasa Sultan dicabut.

Sehingga dalam isu pelantikan SUK ini, berdasarkan pindaan Perlembagaan 1993, bermakna Sultan harus menerima siapa sahaja yang dilantik. Dalam ertikata lain, Sultan terpaksa akur dengan telunjuk Umno.

Hebatnya kuasa Umno sehingga mengatasi kuasa Sultan! Ini baru dalam satu perkara, entah berapa banyak lagi yang rakyat tidak ketahui, betapa besarnya kuasa Umno-BN.

Rakyat sebenarnya tidak sedar, dengan Pindaan Perlembagaan 1993, kuasa sebenar, ada kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Terma yang digunakan dari sudut perundangan agak lunak. Iaitu, Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah bertindak “di atas nasihat” PM atau MB. Walhal, hakikat sebenarnya dari sudut Perlembagaan, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan atau tidak, ianya tetap akan menjadi peraturan dan ketetapan.

Semua ini berlaku kerana kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno ketika itu, melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, seterusnya dibawa ke Parlimen.

Oleh kerana itu tiada sebab orang-orang Umno hendak “memekik melolong” dengan pekikan “Daulat Tuanku”, sedangkan pemimpin mereka, parti mereka yang mereka sokong, mencabut habis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tiada sebab untuk media talibarut Umno-BN untuk menuduh pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja, sedangkan mereka juga yang “menelanjangkan kehormatan” Raja-Raja Melayu.

Tidak ada sebab juga pada waktu ini, Umno dan media talibarut, memberikan sepenuh sokongan kepada Khusrin, kononnya mendapat perkenan Raja, kononnya begitu marah terhadap golongan yang tidak menghormati Raja.

Malah mereka sering memainkan agenda ketuanan Melayu, agenda kedaulatan Raja, juga mereka kononnya parti yang mendaulatkan agama Islam di Malaysia.

Umno-BN merosakkan ketuanan Melayu dengan pelbagai dasar rasuah, kronisme dan nepotisme selama lebih 50 tahun, sehingga bilangan kependudukan Melayu menyusut, membiarkan ramai Melayu miskin. Kini mahu mendakwa mereka juara mempertahan hak istimewa Melayu?

Mereka sebenarnya yang “menelanjangkan” kuasa Raja-Raja Melayu, kini cuba bermain wayang bahawa merekalah “hulubalang” yang mempertahankan Raja.

Umno-BN sebenarnya yang menghalang perkembangan Islam dalam negara, menempelak dan menghina peraturan Islam di Kelantan dan Terengganu (semasa PAS memerintah), mempergunakan orang seperti Khusrin untuk menyekat pemimpin PAS menyampaikan kuliah di surau dan masjid. Kini mereka hendak mendakwa mereka mempertahankan kesucian Islam?

Si bodoh mana hendak percaya lawak semacam ini? Si bodoh mana yang hendak mempercayai kesucian dan keikhlasan pemimpin Umno dalam soal masa depan orang Melayu, soal kedaulatan Raja dan pemartaban agama Islam?

Ingat pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika semua keikhlasan ini wujud dalam hati pemimpin Umno, sudah lama PAS dibubar, tidak perlu wujud PAS.

Berbalik kepada soal krisis di Selangor. Pakatan Rakyat mahu Umno-BN berkompromi dalam isu pelantikan SUK. Jangan lantik Khusrin, biar satu panel pemilihan dibuat secara bebas. Tetapi nampaknya Umno-BN berkeras.

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat tiada pilihan lain selain meminda Perlembagaan Negeri. Usaha Pakatan Rakyat untuk memanggil sidang khas untuk mengembalikan kuasa pelantikan SUK kepada Sultan dan MB harus disokong semua rakyat.

Pindaan tersebut sudah tentunya akan memerlukan sokongan dua pertiga dari anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.

Oleh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai dua pertiga daripada 56 kerusi Dun Selangor, maka usaha pindaan ini harus mendapat sokongan Adun Umno-BN jika hendak diluluskan.

Maka sekarang ini, rakyat Selangor ternanti-nanti, apakah Adun Umno-BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Dalam hal ini Umno-BN Selangor sendiri yang akan tersepit, jika mereka menentang pindaan, bermakna mereka menghina Sultan, jika mereka menyokong, ia bertentangan dengan kehendak Umno-BN Pusat.

Jelas, keengganan Umno-BN menghormati kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim, mempertahankan Khusrin dan keengganan mereka berkompromi, merupakan suatu “back-fire” kepada mereka.

Jangan sesiapa pedulikan Khusrin di pejabat SUK, dia memang jenis “muka tebal”. Biar dia macam “cacing kepanasan”, biar dia macam “kupang tembaga”, biarpun dia terus tersengih macam “kerang busuk”, Khusrin tidak harus ada tempat dalam kerajaan negeri.

Teoh Beng Hock masih hidup?

01 Safar 1432H.
Oleh : Hafizi Pauzi.

PARIT BUNTAR, 6 Jan :- Koroner Azmil Muntapha Abas yang membacakan keputusan Mahkamah Koroner penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh Beng Hock kelmarin tidak dapat memutuskan samada mendiang dibunuh atau membunuh diri
Walau bagaimanapun,

seperti yang telah dilapor, Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Keputusan ini jarang sekali kita dengar di mana-mana mahkamah, Negara yang memiliki Jabatan Forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah terulung gagal mencekup pembunuh malah suspek, dan kes ini berlaku di bangunan pentadbiran awam,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khali Idham Lim ketika ditemui di sini.

Tambahnya, kes tersebut bukannya berlaku di dalam hutan, seperti kes pembunuhan Sosilawati yang telah diketahui suspeknya, mengikut perkiraan logik akal, jenayah tersebut berlaku dalam ladang yang terpencil dan milik perseorangan, Sudah pasti amat sukar menemukan penjenayahnya.

Baginya adalah sesuatu yang sangat mudah untuk mengatakan sebab kematian TBH dan juga mudah untuk menjejak penjenayahnya. Namun timbul berbagai persoalan bila keputusan yang diumumkan menimbul persoalan dan tandatanya pelbagai pihak.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, kes ini nampak tiada kesudahannya, Namun jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menubuhkan Sururahjaya Siasatan Diraja bagi menjalankan siasatan yang telus terhadap kes TBH.

“Rakyat Malaysia khususnya pasti terkejut dengan keputusan yang dibaca oleh Koroner Azmil Muntapha Abas, mana boleh orang yang telah mati dengan kesan-kesan pada mayat yang boleh dikelas sebagai kes pembunuhan, ini amat meragukan, amat muslahil tiada suspek pembunuh,” jelasnya.

“Teoh Beng Hock tidak membunuh diri dan tidak dibunuh, adakah beliau masih hidup? mayat siapakah yang dicampak dari Pejabat SPRM ? mayat siapakah yg dikorek kembali untuk tujuan analisis forensik ? persoalan ini patut diajukan kepada Koroner Azmil Muntapha Abas,” katanya.

Treler rempuh tiga kedai di Chemor

01 Safar 1432H.

IPOH: Seorang pemandu treler nyaris maut selepas merempuh tiga kedai di Jalan Kuala Kangsar, Chemor, hari ini.

Ketua Polis Trafik Ipoh, DSP Mohd Rodzi Rejab, berkata dalam kejadian 9.30 pagi itu, mangsa Mat Lazim Osman, 51, yang berasal dari Kampung Tunku Husin, Manjoi hanya cedera ringan di kaki.

"Mangsa yang tersepit dalam treler berkenaan dikeluarkan dengan bantuan Pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rodzi berkata, nahas berlaku ketika Lazim memandu treler membawa muatan simen dalam perjalanan dari Kuantan ke Ipoh.

"Treler berkenaan dikatakan gagal dikawal lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga buah kedai," katanya.

Katanya, sebuah Proton Gen-2 yang diletakkan di tepi kedai berkenaan turut rosak akibat dihempap oleh runtuhan kedai terbabit.

Beliau berkata, pemilik kedai terbabit juag tidak berada di premis berkenaan ketika kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sinar Harian/-

Dialog bersama TG Nik Aziz, daftar segera

Nazri Abdullah
Harakahdaily.

KUALA LUMPUR, 6 Jan: Sebagai persiapan dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, kerajaan negeri Kelantan akan menganjurkan pertemuan dengan kumpulan blogger pro Pakatan Rakyat.

Program yang dinamakan Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama Blogger itu akan diadakan pada 15 Januari ini di Hotel Grand Seasson, Kuala Lumpur bermula jam 8 malam.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu, selain Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, hadir sama pada majlis itu nanti termasuklah beberapa exco kerajaan negeri yang lain.

"Majlis ini kita akan adakan secara tertutup dan ada beberapa perkara yang kita akan bincangkan," katanya.

Selain bersemuka dengan Tuan Guru, ianya juga dilihat medan terbaik kepada para blogger Pakatan Rakyat untuk menyumbang idea dalam usaha membantu Pakatan Rakyat berdepan PRU nanti.

Sehubungan itu, semua blogger pro Pakatan Rakyat diminta mendaftarkan diri dengan menghantar emel kepada alamat editorxkutif@yahoo.com.my kelolaan Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam untuk mendapatkan pas masuk.

Pendaftaran haruslah disertakan dengan nama penuh dan nama blog yang sedang beroperasi.

"Kita akan adakan mesyuarat terakhir pada 10 Januari ini untuk menilai penyertaan.

"Kita mintak kepada blogger, paling lewat untuk pendaftaran adalah pada 9 Januari," kata Abdul Rahman.

Minta solat hajat, kami dah tak larat

1 Safar 1432H.
Harakahdaily

SHAH ALAM, 6 Jan: Semua ahli PAS dirayu supaya mengadakan solat hajat serta doa qunut nazilah untuk mempertahankan kerajaan negeri Selangor yang sedang diserang sekarang.

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam mesejnya yang penuh imosi memohon bantuan semua pihak bagi menghadapi serangan ini.

"Kami dah cuba mempertahankan kerajaan ini selama ini.

"Kami perlukan bantuan anda semua. Maaf kami tak larat untuk melakukan semua perkara," tulis Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang dalam mesejnya kepada Harakahdaily.

Halimah (gambar) juga memaklumkan, Menteri Besar dan semua Exco kerajaan negeri terpaksa menyertai majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru yang disekalikan dengan majlis penganugerahan darjah kebesaran di istana negeri hari ini.

"Umno mahu menggunakan tektik sembah derhaka untuk ambil alih kerajaan Selangor seperti modus operandi Perak kalau kami tidak pergi," kata Halimah yang merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor.

Tidak bermakna kami rela

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataan medianya sebelum ini memaklumkan, pemergian mereka ke istana hari tidak bermakna mengiktiraf perlantikan Khusrin.

"Kami ingin menegaskan kehadiran kami ini tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA terhadap pentadbiran ini. Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," kata Khalid dalam kenyataannya.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri, kata Khalid adalah "sebagai bukti dan tanda kasih serta taat setia kami kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor."

Kerajaan Negeri Selangor, katanya, telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam ( SPA ) dan menyatakan rasa terkilan Negeri Selangor di dalam isu pelantikan SUK.

"Kita nyatakan dengan tegas bahawa tindakan mereka telah membelakangkan semangat Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya.

Kerajaan Negeri juga memohon agar proses perbincangan dapat dilakukan dan akhirnya penyelesaian terbaik boleh dicapai.

Pentadbiran Negeri Selangor juga telah memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor beberapa perkembangan hasil dari pertemuan pada 3 Januari, termasuk cadangan memulakan proses penyelesaian dengan SPA.

Pentadbiran Kerajaan Negeri kesal apabila berlaku manipulasi pihak tertentu dan berkepentingan dalam soal ini.

Media pula menggambarkan seolah-olah berlaku krisis di antara Istana dan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, katanya.

"Kita juga telah memberi maklum kepada DYMM Sultan bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri akan mengadakan Sidang Dewan Negeri Selangor dalam tempoh terdekat untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar khusus dalam melantik tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.

"Tindakan ini sekali gus menolak dakwaan pihak-pihak yang menuduh kami menderhaka dengan Sultan dan Kerajaan negeri Selangor sebaliknya kamilah yang akan mengembali dan mempertahan kuasa Sultan dan Negeri yang terhakis sejak 1993 kesan dari krisis Perlembagaan," katanya.

Cadangan Kenaikan Cukai Pintu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Rupanya Belum Mampu Berdikari?

01 Safar 1432H.
Oleh : Azman Ibrahim

Memetik laporan akhbar harian pada hari ini (5 Januari 2011), Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar cukai pintu bandar raya ini dalam usaha meningkatkan prasarana dan perkhidmatan kepada warganya.

Menteri Besar juga dilaporkan berkata bahawa kadar cukai pintu sedia ada dalam zon pentadbiran MBKT tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun lalu walaupun telah dua kali melaksanakan kajian terhadap cadangan itu.

Katanya lagi, jika kenaikan tersebut dapat dilaksanakan, kerajaan negeri yakin dapat mengurangkan beban kerajaan sebanyak RM50 juta setahun untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM366 juta untuk membantu PBT di negeri ini bagi membolehkan perancangan bandar dan daerah dilaksanakan. Daripada RM366 juta tersebut, RM50 juta diperuntukkan untuk MBKT, Bandaraya Warisan Pesisir Air.

Menteri Besar juga memaklumkan bahawa setakat ini hanya tiga buah PBT iaitu Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Besut dan Majlis Daerah Hulu Terengganu dilihat berpotensi untuk berdikari seperti yang berjaya dilakukan oleh Majlis Perbandaran Kemaman. Bermakna MBKT bukan setakat tidak mampu berdikari malah belum dilihat
berpotensi untuk berdikari.

Membaca kenyataan ini, timbul dua persoalan besar:
Pertama, jumlah pendapatan tahunan sesebuah PBT adalah antara kriteria yang diambil kira sebelum sesebuah bandar layak diistiharkan sebagai bandaraya. Saya tidak mempunyai data lengkap tentang jumlah pendapatan tahunan MBKT.

Tetapi mudah difahami apabila kerajaan negeri terbeban dengan peruntukkan tahunan sebanyak RM50 juta kepada MBKT, bermakna jumlah pendapatan PBT ini masih jauh dari mencukupi dengan makna lain belum mampu berdiri sendiri.

Mempertikaikan statusnya sebagai bandaraya mungkin sekadar seumpama rumah siap pahat berbunyi. Ianya tidak akan memberi sebarang faedah kepada rakyat. Tambahan pula tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia sesebuah bandar ditarik balik status bandarayanya kerana sebab-sebab tertentu.

Tumpuan fokus dalam konteks permasalahan ini adalah bagaimana perancangan kerajaan untuk kesejahteraan dan kemakmuran penduduk bandaraya. Mungkin bukan suatu langkah yang tepat dan bijak dalam rangka untuk mengurangkan bebanan kerajaan bagi menyalurkan peruntukan tahunan kepada PBT amnya dan MBKT khususnya, cadangan kenaikan cukai pintu dikemukakan. Natijahnya, rakyat dipaksa menanggung beban cukai tambahan di samping berbagai lagi beban kenaikan kos sara hidup yang telah sedia dipikul.

Kedua, Ahmad Said menyatakan bahawa kadar cukai pintu ini tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun dulu, tetapi beliau tidak memaklumkan bahawa cukai pintu ini pernah dimansuhkan ketika era pemerintahan PAS 1999-2004. Tentunya pemansuhan ini dibuat setelah melalui suatu proses kajian teliti dengan semua faktor diambil pertimbangan sewajarnya.

Kelangsungan pentadbiran di semua PBT mampu diteruskan seperti biasa ditambah lagi dengan kengkangan kewangan apabila royalti hak rakyat Terengganu dirampas kerajaan pusat Umno/BN.

Lantas bagaimana mungkin Ahmad Said dengan peruntukan bajet negeri tahun 2011 sebanyak RM1.887 bilion masih tergamak merancang untuk menambahkan beban yang sedia digalas rakyat.

Betulkah harga minyak masak tidak akan naik ?

01 Safar 1432
Cina Islam

Rakyat mungkin menarik nafas lega bila Jemaah Menteri memutuskan harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini. Namun setiap kali janji begitu keluar dari mulut pihak kerajaan tidak berapa lama sesudah itu harganya akan naik seperti yang berlaku kepada harga minyak petrol. Adakah ianya akan berulang kepada harga minyak masak, kita tunggu dan lihat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa harga bahan tersebut akan dinaikkan menjelang sambutan Tahun Baru Cina kelak.

"Sehubungan itu, kepada pengguna yang panik membeli (minyak masak) secara banyak, cukuplah buat kerja itu," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Beliau juga menjelaskan kekurangan minyak masak yang berlaku di sesetengah tempat adalah akibat tindakan sebuah syarikat yang menghentikan penjualan sebanyak 4,000 tan metrik bahan itu pada bulan lepas, selain berlaku penyelewengan pada kalangan pemborong dan syarikat membungkus semula minyak.

Sebagai penyelesaian, Ismail Sabri berkata bekalan bahan itu akan ditambah sebanyak 14,000 tan metrik, menjadikan jumlah pengeluarannya meningkat kepada 84,000 tan metrik pada bulan ini.

Walaupun begitu krisis kekurangan minyak masak berlaku di negara antara pengeluar utama minyak sawit dunia ini agak meruncing dengan mendapat liputan meluas media pada hari ini.

Sesetengah tempat harga syiling yang ditetapkan dengan harga dari rm2.50 (harga kawalan) dan sekarang telah mencecah rm3.50 sekilogram.

Ada alasan bahawa kenaikan ini adalah seiring dengan kenaikan harga kelapa sawit yang mencecah harga teritingginya sejak beberapa minggu lepas.

Demikian lah pelbagai masalah yang membelit rakyat 1Malaysia dengan slogan rakyat didahulukan, setiap nafas yang disedut dan dihembuskan adalah wajah yang suram dengan tekanan hidup yang akan berterusan selagi BN memerintah Malaysia.

MB: Hadir tak bermakna rela

01 Safar 1432H.
Oleh : Jimadie Shah Othman

Kehadiran menteri besar dan seluruh exco kerajaan Selangor ke majlis angkat sumpah Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) yang baru tidak bermakna tindakan itu direlakan, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Memandangkan hari ini juga ditetapkan untuk majlis angkat sumpah Datuk Khusrin, kami ingin menegaskab kehadiran kami tidak bermakna kami rela dengan tindakan arbitrasi SPA(Suruhanjaya Perkhidmatan Awam) terhadap pentadbiran kami.

"Kami tetap dengan pendirian bahawa isu pelantikan SUK belum muktamad dan perlu penyelesaian bijaksana," katanya dalam kenyataan bertulis kepada media yang diedarkan di Istana Bukit Kayangan Shah Alam.

Malaysiakini/-

Kenapa ADUN BN perlu sokong usul pindaan?

01 Safar 1432H.
Oleh : Ahmad Baei Jaafar

Hari ini 300 penunjuk perasaan berhimpun di perkarangan Bangunan SUK yang kononnya rakyat Selangor mendesak supaya Menteri Besar, Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim letak jawatan. Mereka mendakwa Menteri Besar itu menderhaki Sultan kerana membantah perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Alasannya MB berkata sultan tiada kuasa melantik dan menolak seseorang yang dicadangkan.

Saya tidak tahu pula bila MB itu berkata begitu, tetapi apa yang saya baca dalam laporan media beliau menyebut akan mengusulkan pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa sultan.

"Kita dapati enakmen yang ada sekarang tidak memberikan kuasa jelas kepada Tuanku Sultan dan seterusnya Menteri Besar dalam atur cara pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Penasihat Undang-undang," kata Menteri Besar Selangor pada sidang media, di Shah Alam hari ini.

Adakah dengan kata-kata MB itu bermakna beliau derhaka? Berdasarkan kenyataan itu beliau mengatakan enakmen yang sedia ada tidak memberi kuasa kepada sultan. Maknanya kalau seseorang itu dicadangkan untuk jawatan, sultan kena terima dan tidak boleh menolak.

Rasanya kenyataan itu tidak ada penghinaan. Penjelasan itu bagi menyatakan realiti yang berlaku pada hari ini. Jadi, usul yang akan dibawa nanti akan memberi kuasa kepada sultan bukan menggugurkan. Dengan sebab itu ADUN dari BN wajar menyokong usul pindaan itu kalau mereka mahu mendaulatkan Sultan. Kalau mereka menolak usul itu bermakna mereka yang menderhakai sultan.

Sebagai rakyat Selangor, kita mengharapkan kepimpinan negeri bijak menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat. Segala keadaan yang tidak menyenangkan rakyat hendaknya dapat diatasi dengan berhikmat.

6 orang mendapat doa para malaikat

01 Safar 1432H.
Oleh : Markisa Razak

Allah SWT berfirman, “Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan, mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka mengerjakan perintah-perintah-Nya.

Allah mengetahui segala sesuatu yang di hadapan mereka dan yang di belakang mereka, dan mereka tidak memberikan syafa’at melainkan kepada orang – orang yang diredhai Allah, dan mereka selalu berhati-hati kerana takut kepada-Nya”
*(QS Al Anbiyaa’ 26-28)

Berikut adalah senarai orang-orang yang mendapat doa oleh para malaikat:

1. ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa ‘Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci‘”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37)

2. ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia”
* (Sahih Muslim no. 469)

3. ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.

Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra’ bin ‘Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada pada saf-saf terhadapan”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)

4. ORANG YANG MENYAMBUNG SAF (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al Hakim meriwayatkan dari Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf”
*(Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/272)

5. KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.

Imam Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang Imam membaca ‘ghairil maghdhuubi ‘alaihim waladh dhaalinn’, maka ucapkanlah oleh kalian ‘aamiin’, kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang lalu”
*(Sahih Bukhari no. 782)

6. ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu’nya, (para malaikat) berkata, ‘Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia‘”
*(Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadith ini)

Himpunan 30,000 pemuda PAS hadapi p'raya

01 Safar 1432H.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan mengadakan satu himpunan besar sebagai persediaan awal menghadapi pilihan raya Umum ke-13 yang semakin hampir.

Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil, yang juga pengarah himpunan tersebut, berkata ia mengumpulkan para pemuda PAS dari seluruh negara.

Bertemakan "Masa Untuk Berubah" perhimpunan 30 000 pemuda PAS itu akan diadakan pada 19 Februari depan di Kota Sarang Semut, Kedah.

Menurutnya, ini merupakan perhimpunan kali ketiga selepas perhimpunan pertama di Markas Tarbiyyah PAS di Taman Melewar pada 2002 yang mengumpulkan 5,000 Pemuda PAS.

Manakala perhimpunan kedua pula di Kota Bharu, Kelantan pada 2006 yang berjaya mengumpulkan 15,000 Pemuda PAS dari seluruh negara, kata Khairul dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perhimpunan kedua itu telah meletakkan tanda aras serta ukurannya melalui sistem Komuniti UKJ yang dibangunkan setahun sebelum itu.

"Seramai lima pemuda dari setiap cawangan yang telah didaftarkan melalui Sistem Komuniti UKJ telah menyertai perhimpunan tersebut," tambahnya.

Manakala perhimpunan bulan dirancang dengan jangkaan 30,000 peserta - sekali ganda lebih besar daripada jumlah peserta tahun 2006, kata Khairul.

Menurutnya, bagi merealisasikan kehadiran 30,000 peserta, sasaran kali ini ahli baru dan anak muda yang menyokong PAS dari semua kawasan di seluruh negara.

"Sebagai nilai tambah kepada kekuatan pemuda, himpunan ini juga turut melibatkan anak-anak muda yang telah mendaftarkan diri di dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)," katanya.

Perhimpunan sehari itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak, dan ditutup oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Menurutnya, mantan pimpinan Pemuda PAS Pusat seperti Abu Bakar Chik, Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz Omar, salahuddin Ayub dan lain-lain akan turut meraikan program tersebut

"Pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan motosikal, klinik bola sepak, dan pameran pemuda juga bakal diadakan dalam program itu.

"Satu perlawanan bola sepak yang akan menemukan pimpinan Dewan Pemuda PAS dengan bekas pemain bolasepak kebangsaan akan diadakan pada sebelah petang," tambah Khairul.

Malaysiakini/-

Beng Hock: Pakatan gesa tubuh Suruhanjaya Diraja

01 Safar 1432H.
Oleh : Hazayani Zakaria

SHAH ALAM, 5 Jan: Pakatan Rakyat mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan segera bagi mendapatkan keadilan bagi pihak Teoh Beng Hock yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Desakan ini ekoran Mahkamah Koroner hari ini tidak dapat memutuskan sama ada Beng Hock membunuh diri atau dibunuh.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Yaakob Sapari menganggap keputusan Koroner Azmil Muntapha Abas sebagai satu drama.

"Kita harap rakyat buka mata bahawa kematian pegawai khas kepada exco ini satu perkara serius.

"Kita menuntut supaya kes ini dibawa ke Suruhanjaya Diraja untuk kita meneliti kes ini. Siasatan awam dan keputusan hari ini satu drama sahaja," kata beliau yang juga Adun Kota Anggerik.

Adun Pandamaran, Ronie Liu pula berkata, Malaysia memerlukan mahkamah rakyat memandangkan mahkamah yang ada ketika ini tidak dapat membuat keputusan secara adil.

"Kita perlukan mahkamah rakyat dan mahkamah tuhan kerana mahkamah yang ada hari ini tidak dapat membantu lagi," katanya.

Sementara itu, bekas majikan Beng Hock, Ean Yong Hian Wah yang merupakan Adun Sri Kembangan melahirkan kesedihan di atas keputusan tersebut dan turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja.

"Saya berasa sedih dengan keputusan hari ini kerana koroner sudah mengesahkan beberapa bukti tapi katanya masih tidak cukup.

"Inilah masanya Perdana Menteri membuat kenyataan adakah beliau akan tubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk siasat kes ini sebab tidak ada satu jawapan yang konkrit," katanya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut hadir mendengar keputusan hari ini pula berkata, adalah sesuatu yang sangat malang apabila persoalan selama 18 bulan siasatan tidak dapat dirungkai hari ini.

"AMK dan Pakatan Rakyat kesal kerana persoalan tidak terungkai dalam tempoh 18 bulan siasatan sedangkan kita ada pasukan peguam.

"Rakyat tak tahu siapa sebenarnya yang bertanggungjawab terhadap kematian ini dan keptusan ini tidak dapat memberikan keadilan kepada keluarga Beng Hock.

"Saya tegaskan sudah sampai masanya SPRM mengambil sikap yang lebih bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan siasatan terhadap mana-mana suspek dalam kes rasuah ini," katanya.

Pengerusi Persatuan Pegawai-pegawai Khas Wakil Rakyat Selangor, Abdul Razak Ismail pula mendakwa keputusan itu menggambarkan tidak ada perlindungan terhadap pegawai-pegawai khas exco yang disoal siasat atas dakwaan tertentu.

"Open verdict ini menunjukkan tidak ada perlindungan terhadap pegawai-pegawai khas Exco Pakatan Rakyat dan ini menidakkan hak kami.

"Tak mungkin Beng Hock mati begitu sahaja. Oleh itu beliau perlukan pembelaan yang sewajarnya," katanya.

Terdahulu, Koroner Azmil Muntapha Abas yang membacakan keputusan kes kematian Teoh Beng Hock hari ini tidak dapat memutuskan samaada mendiang dibunuh atau membunuh diri, justeru mengumumkan kes tersebut "open Verdict".

Keputusan terbuka itu bermaksud keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekodkan keputusan.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai, 2009, selepas beliau memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Harakahdaily/-

Berhibur tidak jadi kesalahan

01 Safar 1432H.

KOTA BHARU – Kelantan memperkenalkan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebagai mengingatkan rakyat bahawa berhibur tidak menjadi kesalahan selagi tidak melakukan perkara yang dilarang Allah SWT.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apa yang dilakukan manusia di luar masjid sama sekali tidak boleh bertentangan dengan apa yang dilakukan di dalam masjid.

“Allah yang dihadapkan solat kita di masjid itulah juga Allah sewaktu kita berhibur. Alhamdulillah, di Kelantan kita mengajar rakyat agar sentiasa ingat kepada Allah yang merupakan Tuhan bukan sahaja di dalam masjid tetapi juga di luar masjid.” Katanya.

Nik Aziz berkata, baik di awal tahun, pertengahan dan akhirnya, Allah tetap merupakan satu-satunya Tuhan yang layak untuk dipuja.

Rakyat katanya, diajak meyakini bahawa hidup ini hanyalah satu persinggahan semata-mata, tiba saat dan waktunya mereka akan dipanggil untuk dihisab di hadapan.

“Seorang Menteri Besar bukan lagi menjadi Menteri Besar di waktu itu. Begitu juga seorang Raja atau Perdana Menteri, apatah lagi Menteri atau pegawai, tidak lagi memegang jawatan yang disandang di dunia,” katanya dalam perutusan tahun baru 2011.

Setiap aktiviti menyambut tahun baru katanya, tidak boleh melanggar dasar Membangun Bersama Islam yang ditetapkan.

Apapun, beliau berharap agar tahun baru 2011 ini terus menerus membekalkan rakyat dengan semangat untuk meningkatkan mutu kerja sebagai hamba Allah SWT di dalam mencari bekalan untuk mengadapNya di hari akhirat kelak.

“Azam baru di setiap awal tahun tidak menjadi kesalahan, namun lebih tepat lagi azam dilakukan setiap pagi dan petang.

“Oleh yang demikian saya berpandangan bahawa kesukaan dan kegembiraan menyambut tahun baru dengan mengadakan pesta besar-besaran tidak lebih hanyalah merupakan satu pesta untuk bersuka ria semata-mata,” katanya.

Sinar Harian/-

Jangan tunggu lama untuk ubah

1 Safar 1432H
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 6 Jan : Setelah lebih separuh abad Malaysia diurus tadbir BN, sepatutnya rakyat menikmati segala kemudahan Negara yang setanding negara maju yang lain, tetapi malangnya rakyat Malaysia sedang dihimpit kemiskinan dan kedudukan negara yang masih mundur. Kata ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Hakikatnya, rakyat Malaysia masih tidak berpeluang menikmati fasiliti yang dijanjikan seperti di dada-dada akhbar serta media BN. Janji pembangunan di Malaysia tidak lebih dari janji politik BN untuk kekal berkuasa.

Tambahnya, rakyat juga berhak ditadbir oleh kerajaan yang mempunyai barisan kepimpinan yang mantap dari segi mutu kepimpinan serta berkarisma dan komited dengan amalan federalisme yang menjadi asas Negara dalam hal pentadbiran. Kerana itu rakyat berhak memilih kerajaan selain dari BN.

"BN terus menyesatkan rakyat dengan kononnya hanya BN yang layak dan mampu perintah Malaysia" Katanya.

“Rakyat tidak boleh menunggu lama untuk melakukan perubahan di peringkat pentadbiran persekutuan di Putrajaya, perlu bertekad dari sekarang, jangan tunggu lama lagi untuk berumah" Jelasnya.

Menurutnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, senario politik Negara terkini lebih memalukan dengan menyaksikan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara yang tidak bermoral di segenap aspek. Kesannya Malaysia semakin tidak dihormati di mata dunia.

"Negara luar termasuk para pelabur melihat Malaysia dengan memandang kepada pemimpinnya dahulu, bukannya melihat kepada bangunan KLCC semata." Katanya.

“Cuba anda bayangkan jika pemimpin Negara terdiri dari kalangan yang dituduh dan dikaitkan rasuah, perogol, penzina, kaki perempuan, pengebom mayat dan berbagai lagi tuduhan yang tidak dibersihkan oleh individu terlibat. Tentunya negara terus dipandang rendah oleh negara luar.” jelasnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa pemimpin Negara haruslah dari kalangan mereka yang benar-benar berintegriti serta komited membawa agenda kebajikan serta keadilan buat rakyat. Inilah perkara yang ada kepada pimpinan Pakatan Rakyat.

Drs. Khalil Idham Lim juga mengingatkan supaya rakyat jangan fikir panjang terhadap 10 tawaran permulaan seperti termaktub di dalam buku jingga yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat terhadap seluruh rakyat Malaysia. Janji yang dikemukan adalah hasil kajian dan dalam ruang kemampuan ekonomi negara.

“Katakan tidak dan tolak Umno dan Barisan Nasional, beri undi kepada pakatan Rakyat dari calon PAS, DAP dan PKR dalam PRU 13 nanti,” tegasnya mengakhiri sesi temu ramah.[MOD]

Talkin untuk UMNO Perlis?

01 Safar 1432H.

KANGAR - Satu majlis talkin untuk UMNO Perlis akan diadakan dalam masa terdekat bagi memberi amaran kepada pucuk kepimpinan UMNO Pusat bahawa parti itu kini berada dalam keadaan tenat dan hampir terkubur.

Bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh berkata, pelaksanaan majlis itu bagaimanapun bergantung kepada tindak balas pucuk pimpinan UMNO Pusat sama ada berani melakukan perubahan dalam menyelesaikan krisis kepimpinan parti di negeri itu ataupun tidak.

Menurutnya, majlis itu sepatutnya diadakan pada malam Sabtu lalu di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini oleh beberapa pemimpin veteran UMNO Perlis yang tidak berpuas hati dengan keputusan mengekalkan Menteri Besar, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan setelah saya berbincang dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 30 Disember lalu dan beliau bersetuju untuk menyampaikan luahan hati kami kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.

“Kami sepakat untuk memberi peluang kepada Najib menggunakan kebijaksanaannya menyelesaikan krisis kepimpinan parti di negeri ini dan sekiranya beliau gagal, satu majlis talkin akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Hashim turut mempersoalkan tindakan UMNO Pusat tidak mengekalkan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Timbalan Pengerusi UMNO negeri, sebaliknya mengekalkan jawatan Dr Md Isa kerana mendakwa prestasi Zahidi dilihat jauh lebih baik daripada Md Isa.

“Adakah kepimpinan UMNO Pusat melihat Zahidi sebelum ini bermasalah sehinggakan jawatan beliau tidak dikekalkan?

“Konflik kepimpinan UMNO di Perlis bukan sahaja melibatkan dua pemimpin UMNO sahaja, sebaliknya membabitkan ramai lagi ahli lain dan saya menyifatkan tindakan menjadikan Zahidi sebagai ‘kambing hitam’ tidak wajar,” katanya.

Hashim turut menyuarakan harapan agar jawatan kepimpinan tertinggi UMNO negeri diserahkan kepada Najib sendiri bagi menyelesaikan masalah kepimpinan yang berlarutan sejak tiga tahun dahulu.

“Lebih baik serah jawatan pengerusi UMNO negeri kepada Najib kerana isu pokok pertikaian kebanyakan pemimpin akar umbi parti adalah pengekalan jawatan Dr Md Isa yang dianggap tidak sesuai.

“Satu penyelesaian lebih baik perlu dibuat pucuk pimpinan UMNO demi memastikan UMNO Perlis terus kukuh dan mengekalkan sokongan rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Sinar Harian/-

Kembalikan RON97 dan minyak tanah dalam senarai harga yang dikawal kerajaan

01 Safar 1432H.
Cina Islam.

Mengulas mengenai harga petrol RON 97 dan minyak tanah yang masing-masing naik sebanyak 10 sen seliter mulai hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hal itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana harga kedua-dua bahan bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia.

"Memanglah kita tidak umumkan, melainkan minyak Petrol RON 95 yang dikawal kerajaan," katanya.

Semalam Presiden Persatuan Penjual Petrol Malaysia Datuk Hashim Othman memberitahu dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan naik kepada RM2.40 seliter (sebelum ini RM2.30 seliter) sementara minyak tanah kepada RM2.50 seliter.

Namun timbul beberapa pesoalan yang masih kurang jelas dan memerlukan jawapan dari menteri iaitu sekiranya harga dua bahan bakar itu dipasaran turun. Adakah akan ada pengumuman harga diturunkan.

Peliknya sejak dikatakan dua bahan bakar itu akan ikut harga dunia, ceritanya hanya naik sahaja. Tidak pernahkan harganya turun?

Selain itu saya agak musykil dengan asalnya bahan mentah RON97 dan minyak tanah adakah datang dari luar negara sehingga ianya dianggap lagi tidak penting dan dilepaskan dari senarai harga yang dikawal kerajaan.

Sedangkan dari segi kualiti dan daya pakai rakyat masih kuat kepada bahan bakar itu.

Oleh itu saya berpandangan kerajaan mesti bertanggung jawab kepada semua harga barangan yang dipakai oleh rakyat, dan jangan cuba berlepas tangan dengan alasan yang nampaknya diada-adakan.

Saya mendesak supaya RON97 dan minyak tanah mesti dikembalikan kepada senarai barangan yang dikawal oleh kerajaan.

Kejam Dan Hina

01 Safar 1432H.

Membaca kebanyakan tulisan YB Kulim Bandar Baru seringkali meyeramkan bulu roma dan menimbulkan rasa mual, benci kepada yang empunya badan, apatah lagi beliau sering mengulang-ulang perkataan "Pak Jangout" dalam nada atau ayat menghina para ustaz (yang sememangnya tidak maksum dan tidak sunyi dari kesalahan), sedangkan dia juga ada menyimpan sejemput janggut, seperti meludah ke langit kena batang hidung sendiri.

Bertambah meluat lagi apabila beliau sering berhujah seolah-olah beliau seorang ilmuan dan mempunyai taraf kesolehan yang tinggi, pakar dalam penghayatan Islam dan kononnya dialah penegak Islam yang sebenar.

Sejak menjadi MP bebas, beliau tidak sunyi dari menyerang PR, habis semua Parti di dalam PR dilibasnya, segala tindak tanduk PR semuanya dilihat dengan penuh negatif dan dituduh jahat dan sering dihujahkan yang beliau mendapat maklumat dan tahu apa sebenarnya perancangan jahat PR.

Terbaru beliau ada mencadangkan hukuman bunuh kepada mereka yang engkar kepada Titah Sultan, Masya- Allah!!! apa ganjaran yang diidamkannya dengan ampuan sebegitu hanya Allah saja tahu. Baca sini.

Belum selesai rasa marah dengan sikap pengampu berlebihan YB Zul itu, terlihat saya artikel terbaru Dr. Asri yang bertajuk "Bunuh Pengkritik Sultan Satu Cadangan Yang Hina" (klik pada tajuk untuk baca).

Rasa-rasa macam tak ada orang lain dah walaupun tulisan tersebut diumumkan kepada semua orang ia lebih tepat menuju kepada YB Zul. Eloklah YB Zul dengar saranan DR Asri, bertaubatlah dan hidup sederhana serta jangan terlalu over sangat./Wartashubhi

Dr Asri : Raja-Raja Melayu bukanlah Nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik

1 Safar 1432H.

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata kepercayaan sesetengah pihak bahawa adalah haram untuk mengkritik atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan Raja-Raja Melayu, seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan para Nabi.

Sebaliknya, kata Dr Asri, Raja-Raja Melayu bukanlah Nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik.

“Sedang para al-Khulafa al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka.

“Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Dr Asri, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi Muhammad SAW dan membantah keputusan baginda seperti yang berlaku ke atas Umar ketika perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tambahnya, Nabi tidak membunuh beliau.

Justeru, katanya, cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik agar golongan yang mencadangkan pengkritik Raja-raja Melayu dihukum gantung, sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau semua maksiat yang lain.

Dosa besar

“Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain,” katanya.

Menurut Dr Asri, baginya, pencadang hukuman tersebut adalah pengampu yang melebihi had.

“Jika dia Muslim, dia seorang yang 'kering perasaan' dan tidak takutkan Allah mengenai 'darah orang lain'. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak.

"Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut,” katanya.

Pada 3 Januari lalu, dua pertubuhan bukaan kerajaan - Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mahu ADUN Seri Muda dari PKR,Shuhaimi Shafiei dihukum gantung kerana didakwa cuba mencetuskan “peperangan ke atas Raja-raja Melayu”.

Shuhaimi antara lain, dalam blognya menulis - jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, Shuhaimi didakwa seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan majlis mesyuarat berkenaan atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

Sumber : Malaysiakini dengan tajuk asal "Asri: Bunuh pengkritik Raja Melayu, cadangan hina"