05 January 2011

Angkat Sumpah Rahsia Khusrin Selepas Sidang DUN Selesai: MB

01 Safar 1432H.

SHAH ALAM: Majlis angkat sumpah simpan rahsia Datuk Mohd Khusrin Munawi selaku Setiausaha Kerajaan Negeri hanya akan diadakan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor selesai.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat memohon sidang itu diadakan telah dihantar kepada Speaker DUN Teng Chang Khim hari ini.

"Sidang itu bertujuan meminda undang-undang tubuh untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif negeri, iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang, kepada Sultan dan Menteri Besar.

"Kita dapati enakmen yang ada sekarang tidak memberikan kuasa jelas kepada Tuanku Sultan dan seterusnya Menteri Besar dalam atur cara pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan juga Penasihat Undang-undang," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pelantikan Mohd Khusrin diumum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Disember lepas dan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu dengan membelakangi Menteri Besar Selangor.

Sedangkan Kerajaan negeri melalui satu panel yang dilantik juga mempunyai cadangan calonnya sendiri untuk dipilih menjadi SUK.

Beliau dijadual mengangkat sumpah taat setiap kepada Sultan Selangor esok.

Bagaimanapun mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor hanya boleh mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Menteri Besar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pindaan itu, Abdul Khalid berkata pembentangan akan dibantu Penasihat Undang-undang Negeri Datin Paduka Zauyah Be T.Loth Khan, peguam Datuk Param Cumaraswamy dan pensyarah undang-undang Prof Datuk Abdul Aziz Bari.

Cadangan pindaan juga akan dipersembah kepada Sultan Selangor, katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan negeri gagal mendapat majoriti dua pertiga bagi meluluskan pindaan itu, Abdul Khalid berkata: "Kita tunggu dan lihat."

DUN Selangor terdiri daripada 56 kerusi yang mana 14 daripadanya milik Parti Keadilan Rakyat, 13 diwakili DAP, lapan wakil PAS, seorang wakil Bebas dan 20 diwakili Barisan Nasional.

Pelantikan Mohd Khusrin menjadi isu kerana pemilihan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat tanpa mendapatkan pandangan Khalid selaku Menteri Besar.

Kenyataan Munir Bukan Titah Sultan Selangor - MB

01 Safar 1432H.

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu menyifatkan kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru, Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai pandangan peribadi dan bukannya mewakili baginda.

Abdul Khalid berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memahami kemelut yang berlaku memandangkan krisis Perlembagaan pada 1993 jelas memperlihatkan kuasa Sultan dan Menteri Besar telah ditarik balik.

Menurutnya, beliau bukan menolak kenyataan Mohamad Munir sebaliknya ia merupakan fakta sejarah yang menyatakan bahawa selepas pindaan dilakukan pelantikan tiga jawatan eksekutif tertinggi dinegeri itu diberikan kepada kerajaan Pusat.

"Saya bukan tolak kebenaran. Itu hanya pendapat Mohamad Munir. Setiap kenyataan saya berdasarkan fakta sejarah.

"Sultan faham dengan keadaan ini dan kami telah berbincang mengenai kesan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor. Jika ikut secara logiknya krisis perlembagaan pada tahun 1993 itu jelas menunjukkan Sultan mahupun menteri besar tidak mempunyai kuasa di atas perlantikan tiga pegawai ekskutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Isnin lalu, Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi membincangkan mengenai isu pelantikan SUK yang kini dipegang Mohammed Khusrin.

Semalam media melaporkan, Mohamad Munir berkata baginda menitahkan bahawa tindakan Abdul Khalid berbincang dan memilih calon-calon lain bagi jawatan SUK adalah tidak wajar.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor telah menitahkan Menteri Besar mengadakan perbincangan bagi memilih calon sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sebelum dipersembahkan kepada Baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid menegaskan bahawa nama Mohammed Khusrin tidak pernah disenarai pendek sebagai calon yang diserahkan bagi mendapat perkenan Sultan Selangor .

"Sebaliknya, ada pegawai tinggi kerajaan di Selangor telah lebih awal serahkan kepada baginda tanpa mendapat kelulusan daripada Menteri Besar.

"Sebenarnya kita sudah ada calon kita sendiri dan calon ini dipilih oleh sebuah panel yang dilantik bagi memilih calon SUK terdiri daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selagor, Datuk Teng Chang Kim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr Hassan Ali dan ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar," katanya.

Mengenai kemungkinan sidang DUN tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor itu diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Tenang, Abdul Khalid berkata perkara itu tidak timbul kerana sidang tergempar itu akan diadakan dalam tempoh sehari sahaja.

"Keputusan mensyuarat Exco tadi mereka bersetuju untuk adakan sidang dewan lebih awal iaitu sambungan pada sidang yang terakhir.

"Saya jangka ia dibuat sehari sahaja. Maka tiada masalah mengenainya," jelasnya.

Mengenai draf rang Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor yang akan dibawa dalam sidang tergempar nanti, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik dua penasihat undang-undang, mereka termasuklah peguam Datuk Param Cumaraswam dan juga pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari.

"Kepakaran mereka akan digunakan bagi membantu dalam memberi sebarang nasihat berhubung cadangan rang undang-undang yang bakal dibentang di sidang DUN akhir Januari ini," katanya. mStar/-

Pelajar hilang dapat perhatian ADUN.


30 Muharram 1432H.
http://adunsemanggol.blogspot.com/

Intan Liana Bt Abu Bakar(Yana/Gambar),15,adalah pelajar SMK Abu Bakar Al Baqir,berasal dari Parit Haji Taib 3,Bagan Serai.Anak bongsu dari 3 beradik ini dilaporkan hilang sejak 3 hari yang lepas iaitu pada 3hb Januari 2011 ketika sesi persekolahan sesi 2011 bermula.Menurut ibunya,Puan Norhayati Bt Mokhtar,43,pada pagi 3hb,sebelum ke sekolah anaknya dilihat hanya memakai baju t shirt dan seluar trek,ketika ditanya alasan yang diberikan adalah tidak mengapa berpakaian begitu kerana masih di awal persekolahan.Puan Norhayati ada berpesan kepada anaknya supaya pulang awal hari itu kerana hendak membawa dia berjumpa doktor kerana Yana mengidap penyakit sesak nafas.




Apabila pelajar-pelajar lain sudah pulang,namun Yana yang bermotosikal tidak juga timbul-timbul dan ini menyebabkan Puan Norhayati berasa tidak sedap hati.Sehinggalh pada pukul 6 petang Puan Norhayati ada menerima SMS dari Yana yang bertulis "Mak jangan bimbang,Yana di rumah kawan perempuan".Selepas itu Puan Norhayati cuba menelefon namun gagal kerana telefon bimbit anaknya itu ditutup.

Menurut bapanya Abu Bakar B Haji Mustafa,44,pada keesokan hari iaitu pada 4hb,beliau dan isteri pergi ke sekolah untuk bertanyakan perihal anaknya dan pihak sekolah memberitahu bahwa Yana tidak datang ke sekolah pada hari Isnin.Ini menambahkan lagi kebimbangan mereka lalu mereka terus membuat laporan polis pada tengaharinya.

Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat diminta membuat panggilan ke 012-5843783(Puan Norhayati) atau 019-5748618(En Abu Bakar).Juga boleh berhubung dengan Balai Polis yang berdekatan.

Ada baiknya Khairy ‘berehat’ dulu

30 Muharram 1432H.
Shaharul Shafie

Akhirnya, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilaporkan bersedia untuk ‘berehat’ dari politik buat sementara waktu untuk beberapa tujuan dan sebab. Namun begitu, tidak mengejutkan jika Khairy yang lebih mesra dikenali di kalangan media dan ornag politik sebagai KJ yang merasakan beliau perlu berehat kerana melihat harapannya untuk maju lebih hadapan di dalam politik Umno nampaknya tidak kesampaian buat masa ini.

Sebagai ahli Parlimen Rembau untuk satu penggal, Khairy telah mengakui melalui pengumumannya di dalam Twitter dan portal-portal berita bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi tersebut di dalam pilihanraya umum akan datang dan juga kerusinya sebagai Ketua Pemuda Umno. Menjadi satu kelaziman bagi setiap Ketua Pemuda di dalam Umno sejak dahulu lagi akan meneruskan kesinambungan kuasa sebagai Naib Presiden tetapi perkara ini nampaknya tidak bagi Khairy.

Tidak dinafikan tekanan akibat dari persepsi memainkan peranan penting di dalam keputusan yang dibuat oleh Khairy. Persepsi yang dimaksudkan ini ialah Khairy tetap dilihat sebagai anak muda yang menaiki tangga politik Umno disebabkan hubungannya sebagai menantu kepada mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Walaupun hakikat ini dinafikan, namun persepsi tersebut terlalu kuat untuk dilawan. Bukannya persepsi itu wujud disebabkan helah pembangkang tetapi tiupannya yang kencang itu bermula dari kalangan ahli Umno sendiri.

Namun begitu, ramai berpendapat bahawa tindakan Khairy adalah bijak untuk masa hadapan politiknya dan juga Umno. Ini adalah kerana jika Khairy tidak berundur maka di dalam pemilihan Umno akan datang, beliau pasti akan dicabar dan kemungkinan untuk kalah memang ada. Oleh itu, berundur sebelum ’masa terlewat’ itu adalah lebih baik untuk masa sekarang.

Jika dibandingkan dengan tugasan menjadi ketua pemuda dan kalibernya serta kelayakan menjadi pemimpin sejak dua tahun lalu, Khairy boleh dikatakan dilihat lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Umno yang lain terutamanya di dalam turun padang bertemu rakyat. Boleh dikatakan Khairy layak dianggap sebagai antara penyumbang utama kepada kekuatan jentera parti semasa beberapa kempen pilihanraya kecil seperti di Manek Urai, Hulu Selangor, Bagan Pinang dan Galas. Kemampuan Khairy di dalam menggembleng Pemuda Umno dan BN seperti menganjurkan BN Youth Club dan program-programnya boleh dilihat antara sumbangan besar Khairy kepada pengukuhan Umno dan BN sendiri pada hari ini. Tidak dinafikan usaha Khairy berjaya menarik sedikit sebanyak golongan belia yang sebelum ini lebih cenderung kepada pembangkang kembali menyokong kerajaan.

Namun begitu, beban persepsi ke atasnya sebagai menantu Pak Lah sukar dipadam terus lebih-lebih lagi di dalam Umno, dendam untuk menjatuhkan Khairy tetap membara sampai hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri seperti bimbang untuk mempertahankan Khairy walaupun beliau tahu akan kemampuan Khairy selama dua tahun ini. Malah, Najib seperti berhati-hati dan terpaksa mengikut telunjuk kumpulan tertentu dalam Umno yang dipengaruhi kuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad. Ini kita boleh nampak dengan perlantikan lawan kepada Khairy sendiri, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri yang kalah bertanding Ketua Pemuda.

Di dalam pemilihan Umno yang lepas, Khairy mencipta sejarah menjadi pemimpin termuda dilantik menjadi Ketua Pemuda Umno tetapi juga menjadi yang pertama yang tidak mempunyai apa-apa jawatan di dalam kabinet walaupun untuk jawatan Timbalan Menteri. Beliau menjawat jawatan Ketua Pemuda pada umur 33 tahun menewaskan rekod Najib sendiri yang menjadi Ketua Pemuda Umno pada umur 34 tahun.Sememangnya dalam politik, macam-macam alasan boleh diberikan bagi menyenangkan hati orang lain. Najib dilihat sengaja menyenangkan hati Khairy dengan berkata tugasan Khairy lebih berat dalam Pemuda untuk merangkakan perpaduan dan program menawan hati para belia daripada menjadi seorang ahli kabinet. Namun, Khairy dapat menerima amanahnya dengan baik dan menerima ’musuhnya’ itu yang kalah dilantik menjadi Timbalan Menteri dengan tanpa banyak soal.

Masa hadapan Khairy di dalam politik bagi penulis adalah cerah apabila beliau sekarang mengambil keputusan untuk berehat sebentar dari politik. Terus-terang penulis boleh katakan, perjuangan dan arah wadah Umno hari ini tidak bergerak seiiringan dengan perjuangan yang digarapkan oleh Khairy pada hari ini. Melihat kepada ketiadaan konsisten dalam perkara ini, amat molek baginya berundur juga.

Di kala Umno hari ini menjadi lebih fundamental seperti PAS semasa zaman Allahyarham Yusuf Rawa dan PAS kini menjadi lebih terbuka seperti Umno zaman Tun Mahathir, perjuangan yang dibawa oleh Khairy dalam Umno nampaknya tergantung dan sukar mendapat tempat. Penulis melihat aspirasinya lebih menepati kepada usaha yang lebih liberal dan wasatiah di dalam segala-galanya. Maka perjuangannya sebenarnya nampak lebih rapat dan sesuai dengan kaedah yang diamalkan oleh parti-parti di dalam Pakatan Rakyat (PR) setakat ini.

Oleh itu, keputusannya untuk berehat ternyata bijak kerana tidak mahu terperangkap di dalam gelombang perubahan dalaman Umno di samping pihak-pihak di dalam Umno sendiri yang menunggu masa bagi menjatuhkannya habis-habisan. Setakat ini, Khairy boleh berterima kasih kepada naibnya, Datuk Razali Ibrahim yang kurang menumpukan kepada agenda politik dalaman pembangunan pemuda sendiri secara terus yang mana mungkin bagi mengelakkan pertembungan dengan Khairy yang sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang anti-Khairy di dalam Umno. Semua sudah tahu bahawa Razali ketika bertanding dahulu sebagai Naib Ketua Pemuda pada tahun 2009 bukannya dari kem yang sama tetapi dari kem Mukhriz. Namun, tindakan Razali kini yang kurang mengambil kisah pergerakan Pemuda berkemungkinan disebabkan arahan dari Perdana Menteri yang kiranya mahukan Khairy yang tidak diberikan apapun jawatan kabinet boleh melakukan tugasnya tanpa gangguan di dalam Umno.

Di dalam Umno, sebaik mana usaha Khairy tunjukkan kepada Najib masih tidak cukup untuk menghilangkan persepsi menantu Pak Lah ke atasnya. Puncanya ialah Tun Mahathir sendiri. Nama baik Khairy di kalangan ahli Umno sendiri akan lebih baik selepas ini jika Tun Mahathir sudah tiada. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa legasi ’persepsi menantu Pak Lah’ itu mungkin akan disambung oleh anaknya sendiri Mukhriz dengan beberapa pemimpin Umno yang kanan yang nampak rapat dengan Tun Mahathir sendiri seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sememangnya hari ini peluang untuk Khairy majukan diri dalam Umno tidak nampak disebabkan tekanan dalaman ke atas pembangunan ’karier’ di dalam Umno. Dengan membawa dirinya melakukan sesuatu yang berfaedah seperti menyambungkan pengajiannya di bidang Doktor Falsafah dan menulis buku-buku berkaitan sosial dan ekonomi terlebih dahulu akan membuatkan rakyat terutamanya ahli-ahli Umno lupa sebentar kisah naiknya anak muda ini semasa zaman Pak Lah dan juga lebih jelas nampak kemampuannya sebagai pemimpin masa hadapan. Apabila sampai masanya nanti selepas PhD, mungkin Khairy akan nampak semula jalan perjuangan politiknya. Tidak mustahil juga Khairy selepas ini mungkin lebih berminat untuk menyertai PR jika agenda-agenda PR hari ini mengenai rakyat adalah konsisten dan diterima pakai. Malah, dua hari lepas, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi menjemput beliau untuk menyertai PAS kerana melihat kecenderungan Khairy mengenai politik massa.

Penulis semasa zaman Pak Lah sebenarnya amat marah dan geram kepada Pak Lah dan Khairy dengan isu-isu membabitkan Khairy dan rakan-rakannya yang digelar oleh Tun Mahathir sebagai penghuni Tingkat 4 di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika itu. Mereka ini didakwa oleh Mahathir sebagai mereka yang menguasai segala keputusan dan tindakan Pak Lah di dalam mentadbir negara ketika itu. Mungkin permainan politik Tun Mahathir mencacai Pak Lah dan menantunya akhirnya terus menjadi parut yang kekal di dalam hati rakyat terhadap kemampuan Khairy.

Namun begitu, apabila saya melihat kemampuan dan bentuk perjuangan Khairy sejak pilihanraya umum ke-12, penulis akui Khairy mempunyai bakat, ketrampilan dan kepimpinan rakyat. Bukannya penulis berkata Khairy layak menjadi Perdana Menteri tetapi Khairy layak untuk diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin. Jika bukan sebagai Menteri pun, bermula sebagai Timbalan Menteri pun tidak mengapa. Jika Najib boleh menjadi Timbalan Menteri termuda dalam sejarah pada umur 25 tahun, mengapa pula tidak Khairy yang kini mencecah umur 35 tahun pada 10 Januari nanti untuk memegang jawatan. Di negara-negara Barat, seperti United Kingdom sendiri, Perdana Menterinya kini David Cameron baru sahaja mencecah umur 45 tahun boleh pula diberikan kepercayaan memegang jawatan tertinggi di negara itu. Malah, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama belum lagi mencapai umur 50 tahun sudah menjadi orang yang paling berpengaruh dan kuat di dunia.

Tetapi apa boleh buat, walaupun Khairy layak secara peribadinya tetapi cara kenaikannya dulu yang menjadi persoalan yang akhirnya menjadi duri kepada usahanya untuk mara di dalam politik Malaysia. Mungkin hanya kerana Khairy anak kepada rakyat biasa dan tidak seperti Najib anak kepada Tun Razak, Khairy kena berusaha kuat lagi bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kemampuannya menjadi pemimpin. Dan perlu Khairy ingat bahawa orang Malaysia terutamanya orang Melayu ini lebih sukakan imej yang ’matured’ dan nampak tua walaupun pada umur yang muda sebagai syarat menjadi pemimpin.

Tetapi bagi penulis, nampak muda pun bukannya persoalan tetapi itulah hakikatnya di Malaysia ini yang lebih gemar melihat imej luaran walaupun matang di dalamnya. Bak orang putih berkata, ’Don’t judge a book by its cover’.
Saya harap pengumuman Khairy ini tidak mempunyai agenda tersirat. Apa yang saya maksudkan ialah mungkin Khairy mengharapkan perhatian daripada Najib ataupun menunjukkan tanda-tanda ‘merajuk’ kerana tidak mendapat apa yang dicitakan setakat ini. Mudah-mudahan, Khairy gunakan saat ini untuk pembangunan diri, agama dan juga merangka strategi baru sebelum kembali ke dunia politik baru di masa hadapan. Selamat berjaya untuk Khairy.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

Penghakiman terbuka: Teoh tak bunuh diri atau dibunuh


30 Muharram 1432H.

Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini membuat penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh Beng Hock, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Beliau memutuskan punca kematian Teoh bukan kerana bunuh diri mahupun dibunuh.

Menurutnya, masih ada isu-isu yang belum diselesaikan pada kes bunuh diri dan menegaskan bahawa untuk menentukannya secara telahan adalah tidak boleh diterima.

Berikutan itu, Azmil memutuskan kematian Teoh bukan kerana bunuh diri.

Azmil berkata, ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher Teoh berlaku sebelum dia jatuh, tetapi tidak ada bukti untuk mengesahkan bahawa kecederaan itu menyumbang kepada kematiannya.





Azmil, yang mendengar inkues itu mulai 29 Julai, 2009, juga berkata tidak ada pihak ketiga yang terbabit dengan kematian tersebut.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini sesak dengan penyokong dan media bagi mendengar keputusan inkues berhubung kematian pembantu exco kerajaan negeri Selangor Teoh Beng Hock yang mati dua tahun lalu.

Mendiang Teoh dijumpai tidak bernyawa ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) selepas terjatuh dari tingkat lima pejabat SPRM Shah Alam.

Kira-kira jam 2 petang, ibubapa dan adik perempuannya hadir di perkarangan mahkamah.

Sementara itu, penyokong-penyokongnya menaikkan kain rentang serta melaungkan 'Justice For Beng Hock'.

Tidak kurang juga yang memakai bunga kekwa putih di baju mereka.

Manakala peguam-peguam yang mewakilinya pelbagai pihak pula hadir kira-kira jam 2.30 petang.

Kelihatan juga di perkarangan jumlah anggota polis yang luar biasa ramainya dan sekatan jalan di beberapa jalan utama menuju ke mahkamah.

Malaysiakini/-


Rais Yatim buat penafian dia terlibat.

30 Muharram 1432H.

Selepas lebih seminggu isu hangat yang diperkatakan mengenai keterlibatan seorang menteri dengan skandal sex di media, hari ini Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim menafikan dakwaan beliau terlibat dalam kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.

"Saya menafikan sebarang dakwaan tersebut sama ada yang berkaitan tuduhan memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, "tuduhan liar yang ditujukan terhadap dirinya, susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat."

"Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara," katanya.

Menurut Rais, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siastan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.

Beliau berkata "sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik."

"Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan dakwaan salahlaku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek,
berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang," katanya.

Rais berkata, perkara berkenaan adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.

Tambah ahli parlimen Jelebu itu, laporan polis oleh PAS dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lalu susulan pendedahan blogger itu adalah bukti bahawa dakwaan tersebut bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan.

"Dakwaan pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil Wikileaks." katanya

Berita asal : malaysiakini/-

Yuran tambahan persekolahan bebankan rakyat

30 Muharram 1432H.
Nazli Ibrahim

PETALING JAYA, 5 Jan: Ketika masyarakat di negara ini ditekan dengan beberapa siri kenaikan harga barangan pengguna, mungkin banyak ibu bapa bertambah mengeluh lagi apabila bayaran tambahan persekolahan yang dikenakan bagi sesi 2011 juga meningkat berbanding tahun lepas.

Perbandingan di beberapa sekolah rendah sekitar Selangor didapati bayaran tambahan adalah sebanyak RM36.50 berbanding tahun sebelumnya sekitar RM26.00 hingga RM28 bagi setiap pelajar sekaligus pemansuhan yuran persekolahan RM4 oleh Kementerian Pelajaran sebelum ini kurang memberi kelegaan kepada ibu bapa.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 1 dan SK Damansara Damai 1 bayaran tambahan yang dikenakan berjumlah RM36.50 berbanding tahun lepas RM27.50.

Manakala bagi sekolah-sekolah menengah di sekitar Selangor pula, jumlah bayaran tambahan yang dikenakan juga adalah lebih besar dan berbeza-beza sekitar RM55 hingga RM75 tidak termasuk yuran tahunan PIBG.

Jumlah yang dianggap kecil dan tidak membebankan bagi sesetengah pihak mungkin menjadi keluhan kepada pihak lain khususnya golongan berpendapat rendah apabila mendapati perbelanjaan persekolahan awal tahun yang meningkat.

Lebih-lebih lagi pada masa yang sama, rata-rata para ibu bapa terpaksa menyediakan perbelanjaan untuk pakaian sekolah, buku-buku dan peralatan lain untuk keperluan anak-anak mereka mengikuti pelajaran dalam kelas.

Dianggarkan secara purata setiap ibu bapa perlu memperuntukkan tidak kurang RM300 untuk menyediakan keperluan lengkap bagi seorang anak mereka yang bersekolah dan bertambah mengikut tahap.

Pihak Jabatan Pelajaran Negeri juga telah dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berkenaan isu kenaikan bayaran tambahan persekolahan ini namun kekeliruan timbul di kalangan beberapa kakitangan jabatan itu apabila gagal mengenal pasti unit yang bertanggungjawab berhubung isu ini.

Malahan pemanggil telah dibawa 'melawat' dari satu unit ke satu unit lain, yang rata-rata memberikan nama-nama pegawai berbeza bagi mentangani isu ini.

Seorang kakitangan di jabatan terbabit memberitahu, mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan kepada media kecuali Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, Sulaiman Wak yang sedang menghadiri satu mesyuarat ketika itu.

Bagaimanapun dengan ringkas beliau juga memberitahu, bayaran tambahan di sekolah-sekolah negeri Selangor tidak diselaraskan dan bergantung kepada keperluan sekolah-sekolah terbabit.

Harakahdaily/-

Aduan pembalakan haram tidak diendah menteri

30 Muharram 1432H.
Saifzahran

KENINGAU, 5 Jan: Aktiviti pembalakan haram mengakibatkan penduduk kampung Batu Luriyan Sook berdepan pencemaran sumber air apabila sungai utama di kampung itu kini mengalirkan air lumpur.

Dalam aduan kepada Harakahdaily mereka mendakwa, aktiviti itu sudah berlarutan sejak hampir setahun lalu dan kini menyukarkan penduduk di kampung itu.

Lebih mengecewakan ujar mereka, kawasan Batu Luriyan tersebut adalah di dalam Parlimen Persiangan iaitu di bawah Tan Sri Joseph Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan haram itu tidak menghiraukan peraturan dan undang-undang sedia ada dengan melakukan aktiviti pembalakan di tanah hutan simpan kerajaan.

Masalah mereka turut mendapat perhatian PAS kawasan Keningau yang turun membuat tinjauan bersama penduduk pada 2 Januari lalu..

Mereka diketuai Yang Dipertua PAS Kawasan, Hisammuddin Sulaiman yang turun padang bersama Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul latigu beserta beberapa Ahli Jawatankuasa yang lain.

Hishammudin dalam responnya ketika lawatan itu berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak kementerian yang juga ahli parlimen kawasan tersebut, namun tidak diendahkan.

"Kegiatan pembalakan haram tersebut jelas menceroboh tanah hutan simpan yang telah digazetkan kerajaan, apatah lagi tindakan haram tersebut mengakibatkan pencemaran bekalan air penduduk.

"Yang menghairankan Tan Sri Joseph Kurup tidak lansung mengendahkan aduan walaupun beliau Timbalan Menteri yang jaga alam sekitar,” katanya.

Harakahdaily/-

Slogan "dahulukan rakyat", untuk selamatkan UMNO !

30 Muharam 1432H.
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 5 Jan : Slogan "Umno Dahulukan Rakyat" akan diperkasakan pada 2011 bagi memberi mesej jelas bahawa Umno sentiasa mahu melakukan yang terbaik dalam hal pembangunan rakyat dan Negara kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan juga berkata pelaksanaannya akan digiatkan melalui program Juara Rakyat yang akan dianjurkan sepanjang tahun dan disuntik dengan “gaya baru” dengan tema berbeza setiap bulan.

"Slogan umno yang meloyakan ini patut diberi nafas baru dengan menjadikan ia sebagai tajuk lagu, Kerana ia mustahil direalisasikan setelah BN gagal membuktikan mereka kerajaan yang benar-benar mahu membela rakyat selama 50 tahun lebih berkuasa .

Umno patut bayar mana-mana artis untuk menyanyikan slogan tersebut dalam bentuk lirik lagu dengan rentak terkini cuma untuk hiburan semata-mata,” sindir ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini

Umno pada tahap sekarang disifatkan oleh Drs. Khalil seolah-olah sudah tidak keruan, penipu, , mempersenda rakyat, memperkecil rakyat serta pemimpin UMNO tanpa segan mengaku sebagai pejuang bangsa sejati.

"Bagi saya ini adalah langkah untuk menyelamatkan UMNO yang ditolak oleh rakyat" Katanya.

Tambahnya, ketika slogan ini berkumandang di dada akhbar dan kaca televisyen, rakyat bawahan sedang mengeluh dan sesak nafas ketika membawa anak-anak daftar sekolah di awal tahun. Mereka rata-rata dibebankan dengan pelbagai bayaan tambahan sehingga mencecah ratusan ringgit.

"Sepatutnya rakyat Malaysia sudah sampai pada tahap menikmati pendidikan percuma, bukanya ditindas dengan pelbagai bayaran" Jelasnya.

BN telah menyalahguna amanat rakyat dengan menjadikannya sebagai alat untuk mengkayakan beberapa kerat pimpinan BN serta peluang untuk mengumpulkan kekayaan dari hasil khazanah Negara.

Menurutnya lagi yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak, situasi sekarang dilihat keadaan rakyat semakin terhimpit setelah berulangkali berlaku kenaikan harga barang keperluan utama .

“Pakatan Rakyat ingin mengingatkan kepada rakyat bahawa undi BN bermaksud menempa kesengsaraan yang akan membawa kepada kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian kelak,” jelasnya.

Zi Xiang Mao Dun

30 Muharam 1432H.
Lembing dan Perisai Bercanggah Sesama Sendiri

Asal Usul:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang (tahun 475-221 Sebelum Masihi), di negeri Chu, ada seorang penjual lembing dan perisai yang sangat suka membesar-besarkan kelebihan barang jualannya.

Pada suatu hari, si penjual itu bangun awal, lalu pergi ke pasar untuk menjual lembing dan perisainya seperti biasa. Untuk menarik perhatian pembeli, dia terus mengangkat perisainya, sambil melaung-laung,

"Marilah beli perisaiku ini. Perisaiku ini keras sekali. Ia mampu menahan apa sahaja jenis lembing, tak kira berapa tajamnya!"

Kemudian, dia mengangkat 普拉 lembingnya, sambil terus melaung-laung,

"Marilah beli lembingku ini. Lembingku ini tajam sekali sehingga ia mampu menembusi apa sahaja jenis perisai, tak kira berapa tebalnya!"

Setelah terdengar kata-kata si penjual itu, seorang lelaki yang ada di situ bertanya dengan hairan,

"Menurut kata-kata kamu tadi, lembing kamu mampu menembusi apa sahaja jenis perisai. Perisai kamu pula mampu menahan apa sahaja lembing. Bagaimana pula akibatnya jika menggunakan lembing kamu untuk menikam dan menembusi perisai kamu?"

Mendengar soalan tersebut, lidah si penjual itu pun menjadi kelu kerana tidak tahu bagaimana menjawabnya. Dengan perasaan penuh malu, dia segera mengumpulkan lembing dan perisainya, lalu meninggalkan pasar itu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Zi Xiang Mao Dun" atau "Lembing dan Perisai Bercanggah Sesama Sendiri" ini membawa erti, kenyataan yang dibuat atau perbuatan yang dilakukan oleh seseorang, mengandungi unsur-unsur yang bertentangan sesama sendiri. Ia digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang cakap atau perbuatannya selalu bercanggah sesama sendiri.

Strategi media baharu menjelang PRU 13

30 Muharam 1432H.

Blog-blog Umno sejak kebelakangan ini gemar mengeluarkan senarai blog mereka yang paling dilawati, dijadikan sebagai satu pendorong kepada mereka untuk meneruskan penulisan.

Sebahagian besar blog bukanlah sumber maklumat yang sahih atau kredibel, malah sebahagian besar menulis menggunakan nama samaran.

Tetapi, kredibiliti seperti media berita, sama ada bercetak atau di internet bukan matlamat mereka ini.

Bagi mereka, yang utama ialah serangan terhadap parti-parti Pakatan Rakyat, untuk menjejaskan kredibiliti dan menghakis sokongan orang Melayu kepada Pakatan.

Sekiranya dinilai daripada pelawat yang menjenguk blog-blog tersebut, boleh dikatakan isu sensasi yang dimainkan secara berterusan menarik minat pengguna internet.

Betul atau salah berita tersebut bukan isu, kerana matlamatnya hanya persepsi, yakni menghasilkan dan menguatkan lagi persepsi negatif terhadap PAS dan parti-parti Pakatan.

Trend penggunaan media seluruh dunia membuktikan media “ringan,” dan sensasi lebih menarik ramai pengguna berbanding isu politik yang lebih berat seperti federalisme, perwakilan dan sebagainya.

Di sinilah peranan blog-blog Umno, iaitu menerbitkan tulisan-tulisan sensasi, berbentuk gosip, dan gambar-gambar diubahsuai untuk memberi kesan sensasi itu.

Tidak dapat dinafikan, sama ada seseorang pengguna itu bersetuju atau tidak dengan isu-isu yang disensasikan itu, tulisan-tulisan di blog itu tetap menarik minat mereka.

Budaya media di negara kita mudah suka dengan berita-berita sensasi telah menyuburkan lagi minat ini dalam kalangan pembaca.

Banyak blog Umno ini dibaca sebagai hiburan oleh sesetengah pembaca internet dan bukan sumber berita, tetapi hiburan juga boleh menjadi satu medium menyampaikan maklumat.

Walaupun tidak mempercayai semua cerita yang dihidangkan, pengunjung blog-blog tersebut mungkin akhirnya akan mempercayai atau cenderung untuk percaya kepada gosip-gosip yang diterbitkan.

Dengan jumlah blog pro-Umno yang banyak dan bercambah menjelang pilihan raya umum nanti, kebarangkalian untuk mereka menyampaikan kempen mereka kepada umum semakin tinggi.

Umno yang satu ketika dulu ketinggalan jauh dalam memanfaatkan media baharu seperti blog kini berjaya menyaingi Pakatan, atau menurut sesetengah pihak, sudah pun mengatasi parti-parti Pakatan.

Pemimpin tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak secara peribadi mengambil tahu dan berperanan dalam memperkemaskan jentera media baharu Umno.

Banyak daripada blog dan laman berita pro-Umno mendapat sokongan pelbagai bentuk daripada pemimpin tinggi parti itu.

Apa yang dicetuskan dan dibawa oleh blog-blog Umno sering kelihatan seragam dan sekata, walaupun terdapat beberapa perbezaan dalam sokongan kepada pemimpin tertentu.

Di sinilah blog-blog oleh PAS, pro-PAS dan Pakatan perlu menyedari perang siber yang sedang berlaku dengan rancak ini.

Kejayaan Pakatan dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu disifatkan oleh ramai pihak sebagai hasil pertarungan ide di internet.

Walaupun hal ini masih boleh diperdebatkan, sememangnya tidak boleh dinafikan sebagai salah satu sumber maklumat, internet mempunyai peranannya yang besar.

Malang sekiranya blog-blog pro-PAS dan Pakatan ketika ini teralih fokus daripada melawan serangan media baharu Umno dan terlibat dalam polemik sesama sendiri.

Blog-blog pro-PAS kelihatan mudah terlibat dalam perdebatan sesama sendiri, termasuk ketika bahang pilihan raya umum semakin dirasakan ketika ini.

Banyak isu – ataupun isu yang dibuat-buat – dipanaskan lagi oleh blog-blog yang selama ini dianggap pro-PAS dan akhirnya memberi kesan negatif kepada parti dan Pakatan.

Dalam mood menjelang pilihan raya umum kini, rakyat bukan sahaja disajikan dengan tulisan-tulisan sensasi di blog malah juga akhbar-akhbar dan televisyen.

Dalam hal ini, PAS dan parti-parti Pakatan sendiri perlu bertindak pertama dengan menyusun dan memperkemas blog yang dikendalikan sendiri oleh pemimpin dan ahli parti di semua peringkat.

Serangan yang dilakukan oleh Umno dan Barisan Nasional ini akan terus meningkat ketika Pilihan Raya Umum ke-13 nanti semakin hampir.

Blog-blog pro-PAS dan Pakatan perlu menjadi pesaing yang setara dengan blog-blog pro-Umno dan sekali lagi menjadi faktor penting dalam usaha memenangi pilihan raya umum.

Harakahdaily/-

Remaja curi kabel ditangkap

30 Muharam 1432H.

DESA SATU – Dua remaja yang leka memunggah barangan curi mereka untuk dijual ditangkap penduduk dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi di Apartmen Desa Satu, dekat sini kelmarin.

Seorang penduduk yang ditemui, Justin Musa, 41, berkata, dua remaja itu ditangkap setelah didapati membawa tiga gelungan wayar telefon dan elektrik milik beberapa blok kediaman di sini.

“Kami syak mereka hendak jual barangan yang dicuri mereka kerana wayar ini sudah digulung kemas di dalam plastik lutsinar,” katanya

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua remaja itu mengaku bahawa gelungan wayar itu kepunyaan bapa mereka.

“Salah seorang daripada mereka pernah ditangkap kerana mencuri motosikal sebelum ini namun dibebaskan setelah ditahan polis,” katanya.

Menurutnya, September tahun lalu, penduduk di blok 6 terputus bekalan air selama tiga hari apabila pam tangki tidak berfungsi gara-gara wayar tangki dikebas.

“Keadaan cukup sulit ketika itu kerana bekalan air terputus malah ada juga unit kediaman yang tidak dapat menggunakan talian telefon kerana kabelnya turut dikebas,” katanya.

Justin berkata, meskipun pihak pengurusan bangunan mengambil langkah keselamatan dengan memasang pintu pagar pada bilik elektrik itu tidak bermakna kejadian curi wayar dapat dibendung .

“Mereka licik mengelakkan kerja mereka dikesan penduduk, aktiviti mencuri hanya dilakukan pada waktu malam,” katanya.

Sinar Harian/-

DEBAT PEMUDA PAS & UMNO LARUT: BERJAYANYA ANAK DIDIK ZAMBRY

30 Muharam 1432H.
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Larut yang akur dengan ‘permit Polis’ untuk tidak membincangkan masalah isu Melayu / Islam serta tidak menampilkan diri walaupun tegas mahu agar perjuangan Melayu / Islam diketengahkan di dalam debat yang sepatutnya berlangsung di Parlimen Kawasan Larut dan malangnya hanya menjadi sejarah bahawa memang Pemuda Umno mampu melahirkan mereka tiada semangat juang sebenar.

DPPN Pk melihat Datuk Seri Haji Dr Zambry Abdul Kadir dahulu yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak pernah dipelawa untuk sama-sama dengan Pemuda PAS Perak ketika itu Haji Mohd Misbahul Munir Masduki sebagai ketuanya agar bersama di atas satu pentas di dalam isu Afganistan tetapi malangnya keadaannya tetap sama. Termasuklah ‘anak didiknya’ Maslin Sham Razman yang sehingga kini berjaya dibentuk oleh Datuk Seri Zambry agar berpendirian sepertinya.

DPPN Pk merasakan jika Ketua Umno Bahagian Larut kini disandang oleh Datuk Hamzah Zainuddin dan bukannya Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, sudah tentu debat tersebut berlangsung dengan jayanya.

Ini kerana Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin bukanlah orang yang mampu bercakap menggunakan hujah tetapi lebih kepada emosional semata-mata. Jelas Pemuda Umno mewarisi satu imej buruk yang sehingga kini terbukti akan sikap mereka sebenarnya.

Pemuda Umno bukanlah pemuda yang berani, gagah, kental dan pelbagai citarasa anak muda sebenarnya. Mereka memberikan contoh orang muda yang tiada daya saing yang tinggi yang dihormati oleh masyarakat.

Jika Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak kini, sudah tentu Pemuda Umno sedia ada adalah anak muda yang berdaya saing tinggi malah amat dihormati oleh masyarakat serta terbukti seperti Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang kini sebagai EXCO Kerajaan Negeri.

ZAWAWI HASSAN
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

AG jumpa SPRM, perjelas pemergiannya ke Mekah

30 Muharam 1432H.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam majlis dialog dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi maklum balas mengenai isu beliau dan keluarganya mengerjakan haji di Mekah baru-baru ini.

Selain itu ia berkenaan dakwaan bloger yang membabitkan beliau dengan kes MASKargo, menurut kenyataan akhbar SPRM yang dikeluarkan hari ini.

SPRM berkata sesi dialog antara Abdul Gani dengan ahli-ahli Lembaga Jawatankuasa dan panel SPRM diadakan atas permintaan Abdul Gani sendiri.

Seramai 30 daripada 42 ahli Lembaga Jawatankuasa dan Panel SPRM menghadiri sesi dialog yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Duta, di ibunegara.

Abdul Gani juga turut "memberi maklum balas dan penyelarasan terbuka mengenai kes-kes yang menjadi isu semasa."

Turut hadir pada dialog itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed serta pengurusan tertinggi dan pengarah-pengarah bahagian SPRM.

Portal berita dan bloger telah memainkan gambar Abdul Gani yang dilihat bersama Shahidan Shafie, orang yang dikatakan rapat dengan bekas pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli, semasa beliau mengerjakan haji di Mekah.

Mereka mendakwa Shahidan telah meyakinkan Abdul Gani agar tidak membuat pertuduhan terhadap Tajuddin yang menjadi pengerusi MAS dari 1994 hingga 2001, berhubung kerugian syarikat penerbangan nasional itu.

MAS dilaporkan telah mengemukakan beberapa laporan terhadap Tajuddin dengan SPRM yang menyebut langkah Tajuddin untuk memindah operasi MAS kargo di Amsterdam dan Frankfurt kepada satu hab sahaja di Hahn, Jerman sebagai kerugian terbesar yang dialami di bawah Tajuddin.

Operasi hab tersebut dilaporkan mengelami kerugian bulanan antara RM10 juta hingga RM16 juta sebelum ia ditamatkan dan kerajaan mengambih alih MAS pada 2001.

Malaysiakini/-

NGO ancam bakar buku teks 'Interlok'

30 Muharam 1432H.
Oleh : Salhan K Ahmad

Sebuah gabungan NGO masyarakat India mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel Interlok sekiranya buku karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian daripada teks sastera SPM.

Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia Datuk A Vaithilingam (ketiga dari kanan) berkata, tindakan itu akan diambil sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk tidak menarik balik ketetapan menjadikan buku tersebut sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

"Kita mahu kerajaan tarik balik kelulusan serta merta. Kita beri masa seminggu untuk mereka berbuat demikian," katanya dalam satu sidang media hari ini.

'Tak perlu panggil pariah'

Tambahnya, isu yang dipertikaikan bukanlah penggunaan istilah "pariah" yang digunakan dalam Interlok yang ditulis Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (bawah, kiri) itu.

"Isu yang sebenar adalah (tindakan) memperkecil-kecilkan masyarakat India (melalui buku tersebut).

"Anda perlu ingat, interpretasi yang diberikan di dalam buku ini tidak boleh diterima. Mungkin benar bahawa pekerja (dari India) dibawa untuk bekerja di sini, tapi anda tidak parlulah memanggil mereka dengan nama pariah dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, pengerusi bersama gabungan NGO berkenaan, K Arumugam pula berkata, perkara yang perlu diberi perhatian adalah kesan yang wujud dalam pemikiran pelajar, hasil daripada penggunaan buku berkenaan.

"Novel ini ditulis berdasarkan maklumat sejarah jadi ia perlu tepat. Jika gambarannya salah, ia merupakan satu bencana intelektual," katanya dalam sidang media yang sama.

Katanya, penulis novel berkenaan perlu menjalankan kajian mendalam sebelum ia diterbitkan untuk memahami latarbelakang sejarah yang berlaku ke atas masyarakat tersebut.

Beliau memberi contoh satu kertas berhubung satu kajian ke atas masyarakat India di kawasan bandar yang dijalankan antara tahun 1920 hingga 1940.

"Perkataan pariah langsung tidak disebut dalam kertas itu," katanya yang menjelaskan bahawa kertas berkenaan telah menjelaskan bagaimana masyarakat India dari golongan pekerja berubah menjadi golongan nasionalis.

"Kenapa perkara itu tidak dimasukkan (dalam Interlok)? Buku seperti ini perlu menjadikan kita bangga dengan negara ini, bukan memecah-belahkan kita," tambahnya.

Malaysiakini/-

Tenang: PAS umum calon 16 Jan

30 Muharam 1432H.
Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 4 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu tetap akan ‘bertarung’ menentang calon Umno pada pilihan raya kecil Dun Tenang.

Menurutnya, walaupun ianya kubu kuat Umno, namun demokrasi dapat merubah segala-galanya.

“Dalam Islam tidak ada yang kekal melainkan Allah dan kita diajar berhubung perkara itu, jadi kita tidak perlu takut dan akan meneruskan perjuangan ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut mengesahkan, calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Dun Tenang akan diumumkan pada 16 Januari ini.

Bagaimanapun katanya, calon yang bakal bertanding akan diputuskan pada mesyuarat khas 9 Januari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, di JKR 10, di sini tengah hari tadi.

Menurutnya lagi, senarai calon sudah ada bagaimanapun ianya belum diteliti sepenuhnya.

“Tidak kiralah sama ada muslimat ke siapapun, mana yang baik kita akan terima. Lagipun kita telah mempunyai wakil rakyat di peringkat Dun dan Parlimen,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dun Tenang pada 22 Januari dan hari 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Harakahdaily/-

Kes saman Felda RM20 juta dibicara 22 Mac

30 Muharam 1432H.
Oleh : Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 4 Jan: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan perbicaraan kes saman malu Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berjumlah RM20 juta pada 22 Mac 2011.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh, Siti Hajar Mustafa menetapkan demikian selepas meneliti dokumen peguam kedua-dua pihak plaintif dan defendan.

Pada 16 Ogos lalu Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau Awang Sulong, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac lalu kira-kira jam 4.15 Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka berkaitan dengan masalah-masalah dialami mereka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Hamidun merupakan peneroka yang telah melangsaikan semua hutang dengan Felda dan telah mendapat hak milik tanah kediaman dan ladang.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun terdapat satu lagi laporan oleh pengurus rancangan Felda Lembah Klau yang menyebabkan beliau kemudiannya ditahan, direman dan terpaksa merengkok selama dua hari di lokap IPD tersebut.

Dalam pada itu, Wan Rohimi berkata Siti Hajar merupakan majistret yang telah mengeluarkan reman kepada Mazlan ketika beliau merengkok di lokap IPD Raub dahulu.

Wan Rohimi berkata, beliau menganggap kes saman yang dikemukakan ini sangat penting dan keputusannya akan menjadi indikator kepada pemisahan antara kuasa Felda dan kuasa peneroka.

“Saya lihat Felda amat memberi tumpuan kepada kes ini berdasarkan tiga peguam kanan persekutuan yang mewakili defendan kerana mereka amat menyedari implikasi kepada kes ini.

“Keputusan kes ini dengan sendirinya akan menjelaskan had-had kuasa antara Felda dengan peneroka yang telah melunaskan hutang piutangnya dengan agensi tersebut,” katanya.

Turut mengiringi Mazlan ke mahkamah Tinggi temerloh hari ini ialah Penasihat Undang-Undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Naib Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Setiausaha PAS Pahang Hashim Abdullah dan kira-kira 30 penyokong.

Harakahdaily/-

PAS kutuk serang gereja Coptic Orthodox


30 Muharam 1432H.

KUALA LUMPUR, 5 Jan: PAS mengutuk dengan sekeras-kerasnya serangan ke atas gereja Coptic Orthodox di Iskandariah, Mesir beberapa hari lalu yang telah mengorbankan lebih 20 nyawa.

“Bagi pihak PAS, letupan bom yang dilakukan ke atas gereja tersebut sesuatu yang menyedihkan dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan.

Tegasnya, Islam melarang umatnya melakukan serangan ke atas mana-mana rumah-rumah ibadah walaupun di waktu tercetusnya peperangan.

Malah, jelasnya Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran supaya umat Islam tidak mencela berhala-berhala sembahan penganut agama lain.

Tambahan pula, katanya sebilangan besar golongan Kristian Coptic di Mesir ini sejak sekian lama bersama dengan komuniti antarbangsa dalam usaha membebaskan Palestin daripada penaklukan regim haram Israel.

Maka, kata beliau mereka sepatutnya diraikan dengan baik sebagaimana diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, tindakan memusnahkan rumah ibadat sebegitu adalah tindakan paling tidak bertamadun dan amat dikutuk oleh ajaran Islam.

“PAS mengharapkan insiden ini bukanlah satu sabotaj yang bertujuan untuk melaga-lagakan umat Islam dengan penganut Kristian.

“PAS juga berharap supaya penganut semua agama di Malaysia bersikap toleransi sesama mereka dengan meningkatkan kefahaman beragama sesama kita,” ujarnya.

Menurutnya lagi, ia selaras dengan usaha untuk membangunkan negara yang harmoni yang diterima oleh semua.

Harakahdaily/-

Khalid : Sidang khas DUN Selangor hujung bulan ini.

30 Muharram 1432H.
themalaysianinsider

SHAH ALAM, 4 Jan – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar akan diadakan hujung bulan ini.

Khalid berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di sini petang kelmarin.

Dalam pertemuan selama dua jam itu, Khalid juga berkata, majlis angkat sumpah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi di hadapan Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri akan ditunda sehingga keputusan dicapai pada sidang DUN tergempar itu.

“Walaupun secara sah SUK telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tapi kita masih belum anggap ia sah kerana belum mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar dan Exco.

“Dalam pertemuan hari ini juga kita bersetuju ia (majlis angkat sumpah) ditunda sehingga dibuat keputusan dalam sidang DUN yang akan kita adakan dalam masa terdekat dicapai.

“Kita mungkin akan buat sidang DUN dalam minggu ketiga sebelum minggu keempat bulan ini, jadi kita ada tiga minggu buat persediaan,” kata Khalid sambil berkata, sudah menyerahkan surat kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi membincangkan semula pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Saya telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan untuk membincangkan semula mengenai pelantikan SUK.

“Kita ingin perkara ini diperbetulkan dengan konsep ada beberapa kuasa dalam pelantikan jawatan tertinggi di negeri Selangor,” kata Khalid.

Sebelum ini, Khalid berkata, kerajaan negeri akan mencadangkan sidang DUN tergempar untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar.

Pada sidang media itu juga, Khalid sekali mengulangi pendiriannya tidak akan menghadiri majlis angkat sumpah Khusrin di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.

“Saya telah dinasihatkan supaya tidak hadir,” katanya.

Khalid juga berkata, Khusrin boleh menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, namun tidak beroperasi sepenuhnya.

Minggu lalu Mohd Sidek mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung Khamis ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin