02 January 2011

Pasar raya tanpa plastik.

28 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Saya amat menyokong langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menetapkan semua pasar raya besar (hypermarket), pasar raya, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar dan kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak) diminta melaksanakan "hari tanpa beg plastik" setiap hari bermula kelmarin

Walaupun pada masa yang sama Kerajaan Pusat cuma menetapkan sehari dalam seminggu kepada pelanggan pasar raya, pasar raya besar dan premis terpilih seluruh negara yang tidak membawa beg sendiri akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dibekalkan premis berkenaan jika membeli-belah pada setiap Sabtu. Namun langkah yang dilakukan oleh Pulau Pinag lebih ke hadapan dan mempercepatkan langkah memulihkan masalah alam sekitar akibat dari pembuangan sisa platik.

Hasil yang dikumpul itu akan disimpan dalam dana khas bagi melaksanakan program kepenggunaan serta kemasyarakatan menjurus ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kepenggunaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Abdul Majid Abdul Rahim, berkata pengguna tidak akan lagi dibekalkan beg plastik percuma ketika membeli belah setiap Sabtu di premis perniagaan terbabit. “Kita minta orang ramai kurangkan penggunaan beg plastik untuk memulihara alam sekitar selain menyemai budaya hidup lestari selaras kempen setiap Sabtu sebagai Hari Tanpa Beg Plastik,” katanya ketika menyerahkan risalah sempena Kempen Kurangkan Penggunaan Beg Plastik dan Hari Tanpa Beg Plastik.

Kempen itu juga diharap mampu mengurangkan kesan penggunaan plastik terhadap alam sekitar, ekonomi dan kesihatan pengguna.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata "hari tanpa beg plastik" itu adalah langkah negeri ini untuk menjadi negeri hijau yang pertama di Malaysia. Kerajaan negeri akan menghebahkan program itu melalui pelbagai pendekatan seperti mendirikan papan iklan dan mengedarkan 500,000 risalah untuk menerangkan kepentingan 'hari tanpa beg plastik'," kata dalam sidang DUN Pulau Pinang akhir tahun lepas.

Menurut Guang Eng semasa membentagkan Bajet 2011 itu, 73 pengusaha yang menandatangani deklarasi pengurangan penggunaan beg plastik menunjukkan bahawa mulai 1 Julai 2009 hingga 26 Oktober 2010, Pulau Pinang berjaya menjimatkan 32,508,418 beg plastik.

Hari tanpa plastik cuma bermasalah kepada yang baru mengalaminya, namun selepas pembeli tahu tempat yang dikunjunginya tidak menyediakan plastik percuma berarti dia bebes membawa apa sahaja jenis beg yang disimpna dirumah untuk mengisi barangan yang dibelinya.

Ataupun kalau terlupa apalah salahnya dengan membayar wang sebanyak RM 0.20 yang saya kira cukup kecil nilainya dan sudah tidak boleh membeli sebiji gula-gulapun.

Awas, Teh timbang berbahaya: Jabatan Kesihatan

28 Muharram 1432H.

JELI: Teh timbang atau teh sukat yang amat digemari penduduk di negeri ini sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Ahmad Nadzri Sulaiman, berkata teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna sintetik (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan. "Teh berkenaan tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di kedai runcit di negeri ini. Ia berbahaya kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa yang lama," katanya. Beliau berkata, penjualan teh perlu mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 iaitu tidak membenarkan serbuk teh ditambah bahan pewarna.

Katanya, sesiapa yang didapati menjual, mengimport, mengguna dan menyimpan teh timbang ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Beliau berkata, berdasarkan rekod JKK dari Januari hingga Oktober 2010, sebanyak 1,858 kilogram serbuk teh timbang bernilai RM22,296 dirampas dalam operasi yang dijalankan JKK.

Peniaga restoran, Meriyam Sholah, 45, berkata beliau tidak mengetahui bahaya penggunaan teh itu dan telah menggunakannya sejak sepuluh tahun lalu.
"Makcik memang suka guna teh timbang ni, pekat molek untuk buat air teh terutama teh susu, kalau guna yang uncang tu nampak pucat dan tak sedap, pelanggan pun bising," katanya.

Katanya, harga teh timbang juga lebih murah berbanding teh uncang dan perkara itu penting bagi perniagaannya.

Puad Zainudin, 50, pula berkata beliau pernah mendengar mengenai bahaya penggunaan teh timbang bagaimanapun tetap menggunakannya.

"Saya beli yang harga RM12 sekilo, yang murah RM7 sekilo...yang murah aroma teh tak kuat," katanya. - BERNAMA

Flat Ladang Gemilang Rintihan Penghuni Bandaraya Warisan Pesisir Air




28 Muharram 1432H.
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Status penghuni Bandaraya Warisan Pesisir Air yang dimiliki oleh penduduk Bandaraya Kuala Terengganu bukanlah suatu kemegahan andai suasana kehidupan semakin menekan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sepatutnya pengistiharan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya pada pada 1 Januari 2008 daripada Majlis Perbandaran ketika itu akan membantu mempertingkatkan kualiti kehidupan penduduk, menambahbaik segala kemudahan, , meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk dan seterusnya membentuk ke arah kehidupan bandar yang lebih sejahtera.

Bukanlah perkara yang patut berlaku andai kemegahan dengan status Bandaraya akhirnya memangsakan rakyat bawahan. Tambahan pula Ahmad Said meletakkan slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ sebagai motto Kerajaan Negeri.

Mudah difahami, kepentingan rakyat tentunya menjadi keutamaan bagi setiap agenda pentadbiran dan pembangunan. Disokong dengan Bajet tahunan negeri yang melebihi RM1.8 bilion, tentunya tidak sukar bagi Ahmad Said untuk memastikan janji mampu dikota.

Jangan sampai rintihan rakyat kecil di kesampingkan, nanti slogan akan tinggal slogan. Lebih malang kalau rakyat mula menyindir benarkah ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ atau lebih tepat ‘Mengkronikan Pentadbiran dan Pembangunan’?

Dilema yang dihadapi penghuni Flat Ladang Gemilang, Kuala Terenggganu adalah antara siri retetan rintihan rakyat berpendapatan rendah yang rata-ratanya terdiri dari nelayan, peniaga kecil dan pemandu teksi.

Sebahagian besar dari penduduk yang menghuni Flat yang dibangunkan oleh Terengganu SEDC (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu) ini adalah penduduk yang dipindahkan ekoran pengambilan balik tanah oleh kerajaan di Kampung Ladang Tok Pelam dan Ladang Mengabang, Kuala Terengganu dengan kadar bayaran pampasan yang tidak seberapa. Keseluruhan penduduk amat menyesali kadar pampasan yang diterima hanya sebanyak RM6,000.00 sahaja apatah lagi dengan lokasi tanah mereka terletak di pusat bandar dan mereka telah mendiaminya semenjak turun temurun.

Faktor pertimbangan kemanusian juga mungkin tidak diambil kira apabila arahan supaya penduduk berpindah serta merta sebelum hari raya puasa yang lalu, seolah-olah bagaikan ada projek penting dan mustahak perlu didirikan segera di atas tanah tapak rumah yang telah begitu lama menyimpan suka duka memori kehidupan mereka sekeluarga. Rayuan penduduk agar diberikan sedikit masa untuk berpindah sekurang-kurangnya selepas menyambut hari raya tetap tidak diendahkan. Malangnya sehingga hari ini belum ada sebarang projek yang bermula.

Walaupun menyedari beban yang dipikul untuk berpindah amat berat, penduduk secara paksa rela berpindah juga ke Flat ini dengan janji kadar bayaran sewa sebanyak RM126 sebulan secara sewabeli. Sekurang-kurangnya suatu hari nanti unit-unit Flat ini akan menjadi milik mereka dan mereka akan memiliki sebuah kediaman.

Kelegaan penghuni nyata tidak berpanjangan apabila baru-baru ini mereka mendapat sepucuk surat dari Terengganu SEDC memaklumkan bahawa semua penduduk perlu membayar sewa bulanan sebanyak RM300 dan status sewabeli flat hanya akan dilaksanakan selepas berlalu tempoh tiga tahun mereka menduduki flat, bukannya serta merta sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

Penduduk sebelumnya amat berharap, dengan duit bayaran pampasan itu, walaupun tidak seberapa akan membantu sedikit sebanyak mereka memiliki kediaman sendiri tetapi segalanya hampa apabila janji dimungkiri dan mereka kini hanya berstatus penyewa dengan kadar sewa melebihi dua kali ganda dari yang dijanjikan.

RM300 mungkin murah bagi yang tinggal di Bandaraya Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgetown, Kuching atau Bandaraya-Bandaraya lain tapi bukan bagi Bandaraya Kuala Terengganu yang sehingga kini masih terdengar suara-suara yang mempertikaikan kelayakkannya dari segi kemudahan infrastruktur, bilangan penduduk dan jumlah perolehan hasil tahunan untuk melayakkannya bergelar Bandaraya. Sesiapa pun yang pernah berkunjung ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu tentu dengan mudah, tanpa ragu-ragu boleh menyatakan bahawa Kota Bharu lebih besar dan lebih ketara pembangunannya walaupun cuma bertaraf Majlis Perbandaran.

Apatah lagi penghuninya adalah rakyat bawahan ditambah lagi dengan peningkatan kos sara hidup yang mencengkam di segenap sudut kehidupan. Tolonglah Dato’ Seri dengar rayuan dan rintihan rakyat. Jangan ulangi kesilapan sama yang dilakukan Idris Jusoh.

Perak : Saya cadang bonus awal tahun .

28 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Penghujung tahun 2010 membawa sejuta keperitan kepada seluruh rakyat malaysia khususnya di Negeri Perak. Saya mengira semua poket dan simpanan habis dibelanjakan demi meneruskan kehidupan pada tahun 2011 khususnya dalam soal penyediaan dan persiapan bagi anak-anak yang masih bersekolah dari peringkat tadika sehingga di pusat pengajian tinggi.

Sebagai menghargai jasa dan hasrat supaya semua kakitangan Kerajaan negeri Perak berkerja dengan lebih kuat untuk membangunkan negeri yang kita cintai ini maka saya cadangkan :-

1.Pemberian bonus awal tahun RM 500 kepada kira-kira 7,000 kakitangan Kerajaan negeri Perak sebelum berakhir Januari ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta.

2. Bonus RM500 tersebut dicadang diberikan kepada semua kakitangan awam sehingga gred 54 termasuk pesara.

3. Cadangan ini mengambil kira kemampuan Kerajaan Negeri Perak seperti yang digambarkan dalam pembentangan bajet 20111 pada sidang DUN Perak dari 30 November hingga 3 Disember yang lepas.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN TITI SERONG

Dr Asri: Jangan 'guna agama untuk cari makan'

28 Muharram 1432H.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan golongan agama supaya tidak "menyempitkan Islam dalam batasan yang terhad", dengan melupakan 'kerakusan' sesetengah golongan atasan, seperti dalam isu kenaikan harga barang.

"Jangan hanya ceramah agama di media elektronik dan cetak sekadar menekan orang bawahan semata, tetapi melupai 'kerakusan' sesetengah golongan atasan.

"Ceramah (disampai) dalam isu yang remeh temeh tetapi membiarkan rakyat hidup dalam (suasana) keadilan sosial yang tidak seimbang.

"Para penceramah jangan sekadar 'guna agama untuk cari makan', tetapi hendaklah agama berfungsi dalam menegakkan hak dan keadilan," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, ulama muda yang terkenal dengan kelantangannya itu turut mengingatkan golongan peniaga supaya beretika dalam perniagaan.

"Kerakusan peniagaan akan merosakkan merosakkan negara dalam jangka masa panjang dan akhirnya tiada pihak yang dapat hidup senang. Bagi yang muslim, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dalam urusan perniagaan mereka," katanya sambil menyeru media massa turut aktif menentang kenaikan harga barang.

Mengulas peranan rakyat pula, Dr Mohd Asri berkata, jika golongan itu tidak memprotes dari awal, tahun baru ini bakal menyaksikan kenaikan harga barang yang membimbangkan.

"Kesannya akan dirasai oleh rakyat bawahan terutama mereka yang berpendapatan rendah. Para peniaga di pelbagai peringkat akan mengambil kesempatan dalam hal ini."

Beliau juga menekannya beberapa perkara dalam kenyataannya itu, antaranya:

•Jika kerajaan tidak mengambil langkah yang berkesan dalam mengawal kenaikan harga barang, bererti slogan 1Malaysia: "Rakyat didahulukan" bermaksud rakyat didahulukan menanggung beban hidup, sedangkan pembesar negara dan istana terus kemewahan.
•Rakyat juga mesti menjadi pengundi yang bijak dan bersedia menghukum pihak yang membiarkan kenaikan harga barang dan 'mengumpulkan' kekayaan negeri atau negara dalam kalangan mereka sahaja.
•Rakyat mesti menjadi pembeli yang bijak memilih kedai atau pasaraya.

Malaysiakini/-

Pulau Pinang akan bina universiti di Penanti

28 Muharram 1432H.
Fakhri Ali

PENANTI, 2 Jan: Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mewujudkan sebuah universiti di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dalam tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman berkata demikian selepas menyerahkan bantuan keperluan persekolahan kepada golongan yang tidak berkemampuan di Yayasan Aman, Penanti pagi tadi.

Ketika ditemui beliau berkata, adalah menjadi aspirasi utama kerajaan negeri memberi peluang pendidikan yang terbaik bagi masyarakat negeri ini untuk meningkatkan taraf pendidikan mereka.

"Lokasi kawasan telah pun dikenal pasti. Segala perkara berkaitan dengan penubuhan insititusi tersebut sudah pun berada pada peringkat terakhir. Kita sekarang berada dalam proses pembangunan sahaja.

"Selain dari universiti dalam kawasan Penanti yang juga berada dalam Parlimen Permatang Pauh, kerajaan negeri juga akan mewujudkan sebuah lagi institusi yang akan memberi fokus kepada pembangunan ummah yang dikenali sebagai Yayasan Islam Pulau Pinang," tegasnya lagi.

Tambahnya, dengan kewujudan institusi tersebut, ia membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan nasib orang Melayu di Pulau Pinang.

Difahamkan, yayasan yang akan beroperasi awal tahun ini, akan memberi penekanan kepada keperluan masyarakat Islam seperti pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Kita bukan saja mahu masjid berperanan sebagai tempat ibadah, tetapi juga merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat yang menitikberatkan ilmu agama semata-mata, tetapi juga membuka ruang sebagai tempat untuk meningkatkan ekonomi dan membentuk peribadi atau pembangunan insan, " katanya lagi.

Beliau yang juga Adun Penanti, optimis apa yang termaktub dalam manifesto pilihan raya yang lalu bagi mewujudkan institusi ini ternyata berjaya direalisasikan sepertimana yang dinyatakan dalam pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.Harakahdaily/-

2011: Padamkah cahaya kebebasan media?

Amran Ahmad | MReview |

Menutup tirai 2010 dan membuka lembaran baru 2011 tidak sarat dengan maknanya bagi sesetengah orang walaupun banyak perkara menarik dijangka berlaku tahun 2011 dengan pelbagai ramalan tarikh pilihanraya umum ke-13 bagi Malaysia, kemungkinan berlakunya gelembong pasaran hartanah, berita baik untuk pekerja sektor swasta, prospek pertumbuhan ekonomi negara dan sebagainya.

Hal-hal sedemikian mungkin antara acara atau perkara baru yang dijangka berlaku, namun jangan pula dilupakan banyak isu-isu tertunggak yang turut sama terheret ke tahun 2011 kerana masih ada yang membelenggu, belum diselesaikan dan mengalami evolusi berterusan terutama kebebasan media yang masih menjadi duri dalam daging kerana rakyat dahagakan berita yang seimbang dari media arus perdana dalam usaha mewujudkan masyarakat yang kritis lagi kritikal menjelang tahun 2020 dengan Malaysia mencapai status negara maju.

Walaupun hari ini adalah lebih baik berbanding semalam dengan kewujudan beberapa portal berita dan akhbar bersaiz tabloid yang mengamalkan keterbukaan dan keseimbangan pemberitaan terutama hal-hal berkaitan politik Malaysia, namun kebebasan sebenar masih belum tercapai kerana parti-parti politik masih menguasai media arus perdana.

Selagi parti-parti politik menguasai media terutama akhbar arus perdana, maka selagi itulah rakyat pelbagai kaum akan disajikan dengan berita-berita yang tidak seimbang, jumud dan kadang-kala menyemarakkan api perkauman yang jika terus ditiupkan, maka bencananya akan menghancurkan negara atau setidak-tidaknya menarik negara terkebelakang.

Apa yang terngiang-ngiang di telinga penulis sehingga menyebabkan bulu roma meremang ialah bertiup kencang khabar angin yang membawa pengkisahan seorang lagi pejuang kesatuan sekerja dalam industri media negara yang begitu lantang dalam memperkatakan mengenai isu kebebasan media akan dikenakan tindakan oleh syarikat di mana beliau bekerja pada masa ini.

Beliau mungkin mengalami nasib yang sama seperti penulis yang bukan sahaja kehilangan pekerjaan ekoran mengeluarkan kenyataan sebagai pemimpin kesatuan sekerja, malah bakal mengalami trauma dan bahana dalam mendapatkan pekerjaan baru untuk menyara kehidupan dengan segala kesukaran dan keperitan akibat status buang kerja yang diraih.

Jika ini berlaku, maka negara boleh mengisytiharkan tarikh itu sebagai hari hitam kebebasan media kerana pemimpin kesatuan sekerja tidak lagi dibolehkan untuk bercakap tentang kebebasan media sedangkan antara asas perjuangan kesatuan sekerja dalam industri media ialah memperjuangkan isu kebebasan media sejak sekian lama dan demi profesionalisme kerjaya kewartawanan.

Apa gunanya ada kesatuan sekerja yang memayungi ribuan ahli-ahlinya jika mahu ia bergerak ala-ala persatuan tanpa mampu untuk membicarakan isu-isu nasional yang melibatkan kepentingan rakyat pelbagai kaum di negara ini terutama kebebasan media selain hanya bercakap mengenai kebajikan dan gaji ahli-ahli semata-mata.

Jika ini berlaku, satu lagi episod hitam dalam kebebasan media negara ini bakal berlaku buat kali kedua selepas 50 tahun semenjak peristiwa mogok Utusan tahun 1961 yang dikepalai oleh Said Zahari (gambar kiri) bagi menghalang penguasaan parti politik dalam akhbar keramat masyarakat Melayu itu yang menjadi ingatan dan kenangan buat pendokong kebebasan media.

Justeru, sebagai membuka tirai baru 2011, penulis ingin mengulangi peringatan mengenai keperluan untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, supaya para penerbit tidak perlu lagi memohon lesen penerbitan akhbar dan majalah bagi memberi lebih ruang dan keterbukaan dalam penerbitan akhbar arus perdana.

Dalam semangat untuk terus berjuang ke arah kebebasan media yang lebih terbuka dan seimbang, sesekali wajarlah untuk terus menjenguk kepada aspek terpenting kalau bukan utama mengenai pemilikan akhbar-akhbar arus perdana oleh parti-parti politik, seperti UMNO memiliki Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan NSTP, MCA pula menguasai The Star manakala MIC menguasai saham dalam syarikat yang menaungi akhbar Tamil Nesan.

Rakyat Malaysia harus terus memujuk semua parti komponen BN untuk melepaskan pegangan dalam semua akhbar-akhbar arus perdana ini bagi merealisasikan impian kalau bukan angan-angan untuk melihat kebebasan media yang lebih seimbang, terbuka, bukan berteraskan perkauman dan mendapat perhatian oleh kebanyakan rakyat "atas pagar".

Pada masa yang sama, pemimpin kesatuan sekerja di negara ini perlu terus dilindungi dari segala bentuk ancaman, ugutan serta tindakan yang boleh menamatkan kerjaya mana-mana individu kerana perjuangan murni ke arah kebangkitan bangsa yang lebih dinamik harus dipertahankan walaupun realitinya, setiap perjuangan itu ada risikonya tersendiri.

Bagi orang kebanyakan seperti penulis yang sedang menghadapi perbicaraan kes buang kerja oleh Utusan Melayu (M) Berhad yang baru mula didengar pada 21 Disember yang lalu dan bakal memasuki pusingan kedua pada 24 Januari akan datang, tahun 2011 tidak lebih dari sekadar kesinambungan untuk mencari keadilan untuk diri sendiri, kesatuan sekerja yang pernah dianggotai dan dunia kewartawanan tempatan secara amnya.

Jika diambil beberapa kes buang kerja sebelum ini yang biasanya mengambil masa sehingga tiga tahun melibatkan lebih 10 pusingan kesemuanya sebagai penanda aras, maka tahun 2011 ini hanya perjalanan seterusnya untuk mendapat pengadilan sewajarnya sebelum menjengah tahun berikutnya.

*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu.

Najib jumpa Ahli Parlimen BN, Pakatan Rakyat bagaimana ?

28 Muharram 1432.

Drs. Khalil Idham Lim.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberitakan akan mengadakan pertemuan dengan Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional Nasional (BNBBC) minggu depan bagi membincangkan pelbagai isu nasional termasuk insiden membabitkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat baru-baru ini dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Permukiman atau `retreat’ bersama BNBBC itu walaupun sudah menjadi kelaziman setiap kali sidang Dewan Rakyat berehat panjang bagi mendapatkan pandangan, buah fikiran serta laporan daripada semua ahli BNBBC. Namun ianya tetap istemewa dalam keadaan hangat diperkatakan bahawa pilihan raya umum yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat seperti digembar-gemburkan.

Perjumpaan itu akan membabitkan Perdana Menteri, Timbalannya , Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua menteri Kabinet bersama Ahli Parlimen BN.

Bagi saya pertemuan yang bakal diadakan adalah langkah Najib untuk menyakin orang bawahannya apabila banyak kemelut dan masalah yang langsung dikaitkan dengan namanya yang banyak mencalar keyakinan rakyat kepada kepimpinannya.

Najib dilihat perlu memberi arahan terbaru memastikan semua Ahli parlimen BN untuk terus berkerja kuat disaat akhir sebelum piliharaya menjelang. Tidak mustahil ada beberapa peruntukan tambahan secara langsung dan tidak langsung untuk melicinkan pergerakan semua Ahli Parlimen.

Selain itu saya melihat Najib sangat terdesak dengan gencarnya berita yang mengaitkan seorang menteri kabinetnya yang dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumah dari Indonesia. Berita ini semacam sengaja dibocorkan untuk mengaibkan Najib dan tertuduh berkenaan.

Apapun banyak rahsia yang tentunya tidak dapat kita tahu dalam banyak perbincangan yang dilakukan, namun yang penting Pakatan Rakyat mestilah telah pun bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi mengahadapi gelombang BN sebelum PRU ke 13.

Kerana itu program yang perlu disegerakan saya cadangkan ialah satu pertemuan antara Ahli Parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat dalam bentuk yang sesuai dan difikirkan wajar bagi memastikan gerak kerja mereka terancang dan terarah disaat rakyat memerlukan sesuatu bukti nyata bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil tempat BN di Putrajaya dan semua negeri yang masih dikuasai oleh BN.

Presiden Wanita Pertama Brazil angkat sumpah.

28 Muharram 1432H.

BRASILIA : Dilma Rousseff mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Brazil pada Sabtu (1/1/2011), menggantikan presiden yang sangat populer di Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Rousseff (63) yang merupakan bekas ketua kabinet Lula, mengangkat sumpah sebagai presiden di Parlimen Brazil setelah upucara perarakan ringkas sambil dia melambaikan tangan ke arah 70.000 rakyat yang berbaris di sepanjang jalan.

Ia bersumpah di depan para anggota parlimen sebelum menandatangani dokumen resmi yang menjadikannya ketua negara Brazil. Pemimpin baru itu kemudian memberi ucapan kenegaraan pertamanya sebagai presiden.

Ia juga menyampaikan rasa hormatnya kepada bekas Presiden Lula, seraya mengatakan ia telah merasa sangat dihargai semasa berada di bawah pemerintahan presiden Lula dan berjanji untuk meneruskan "masa kemenangan" pendahulunya itu.

Rousseff yang mengenakan pakaian putih dan terlihat ceria dan gembira , bergegas dari bangunan Parlimen menuju istana presiden, di sana bekas Presiden Lula menunggu untuk secara simbolik menyerahkan selendang presiden berwarna hijau dan kuning emas kepadanya, serta meraikan para presiden dari negara-negara Amerika Latin.

Lula, yang wajib mengundurkan diri setelah mencapai umur pencen menurut Perlembagaan Brazil iaitu setelah dua penggal memegang jawatan presiden, ia meninggalkan kegemilangan dan populariti serta karismanya untuk memberikan peluang bagi Rousseff agar terpilih menggantikannya.

Ia belum mengumumkan tentang rencananya di masa pencennya, namun beberapa bulan lalu ia pernah memaklumkan bahwa ia tidak akan mengabaikan peluang untuk kembali ke kursi presiden setelah mandat empat tahun Rousseff berakhir.

Batal naik harga minyak, bolehkan kalau di Malaysia?

28 Muharram 1432H.

LA PAZ , BOLIVIA 1 Jan. – Presiden Bolivia, Evo Morales semalam membatalkan arahan menaikkan harga minyak petrol dan diesel selepas menerima kecaman dan bantahan kuat daripada penduduk.

Morales dalam satu ucapan selama 90 minit sebelum tengah malam berkata, selepas mendengar daripada kesatuan dan kumpulan sosial, beliau membuat keputusan ‘menuruti kehendak rakyat’ dengan memansuhkan arahan menaikkan harga petrol dan diesel serta pendekatan yang berkaitan.

Kerajaan Bolivia pada Ahad lalu mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 73 peratus kepada 92 sen seliter (AS$3.48 satu gelen) bagi petrol biasa, peningkatan daripada 50 sen (AS$1.89)

Harga diesel meningkat kepada 97 sen seliter (AS$3.67 satu gelen) daripada kira-kira 50 sen. Harga minyak lain meningkat dua kali ganda.

Kenaikan harga bahan api tersebut menyebabkan pemandu bas dan teksi menghalang lalu lintas dan mengadakan demonstrasi di jalan-jalan raya pada Khamis lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 15 cedera.

Penduduk terus buru buaya baham imam

28 Muharram 1432H.

SAMARAHAN 1 Jan. - Seekor buaya sepanjang 3.6 meter berjaya ditangkap di Sungai Batang Samarahan di Kampung Reban, dekat Serian hari ini selepas tragedi Imam Ketiga, Masjid Darul Ihsan, Sidi Samad, 66, dibaham oleh reptilia itu pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, buaya yang ditangkap kira-kira pukul 9 pagi itu dengan menggunakan pancing berumpankan anjing dan ayam ternyata bukan reptilia yang dikatakan membaham mangsa tersebut.

Penghulu Ladang Samarahan, Boh Sabeli, 70, memberitahu, penduduk kampung telah membelah perut buaya berkenaan, namun hanya menemui bulu ayam dan bangkai anjing sahaja.

Katanya, ia menjadi bukti buaya itu bukan reptilia yang membaham mangsa lalu bangkai buaya itu dibuang semula ke dalam sungai.

"Setakat ini, penduduk kampung telah menangkap dua ekor buaya dan membelah perutnya, namun kedua-duanya bukan reptilia yang mengganas dan membaham Allahyarham.

"Maka, operasi memburu buaya terbabit akan terus dijalankan bersama Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memandangkan kita telah mendapat kebenaran untuk berbuat demikian (menangkap serta membunuh buaya)," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini hari ini.

Penangkapan buaya tersebut di tebing Sungai Batang Samarahan hari ini turut menarik perhatian apabila ratusan penduduk berpusu-pusu menyaksikan proses membelah perut buaya terbabit bagi mendapatkan balik dua kaki, dua tangan dan kepala mangsa yang dibaham itu.

Dalam kejadian pada 18 Disember lalu, Sidi maut dibaham buaya kira-kira pukul 6.30 pagi ketika menjala udang galah bersendirian di sungai berkenaan yang dikenali sebagai habitat reptilia tersebut.

Difahamkan, seorang penduduk yang turut serta dalam operasi memburu reptilia berkenaan sebaik mangsa dilaporkan hilang telah melihat seekor buaya sebesar perahu berada kira-kira 30 meter dari tebing sedang timbul dan bergerak mengikuti arus sungai dengan rahangnya terdapat sesuatu benda yang dipercayai sebagai kaki mangsa.

Boh memberitahu, pada hari ini juga, penduduk kampung telah berjaya menangkap seekor lagi buaya menggunakan pancing, namun tidak dapat membawanya naik ke darat pada petang ini disebabkan lokasinya agak jauh.

Dalam pada itu, beliau berkata, Sungai Batang Samarahan sememangnya mempunyai banyak reptilia berkenaan bahkan jika seseorang menyusuri sungai terbabit dari Kampung Reban ke Kampung So, pasti akan terserempak dengan hampir 40 ekor buaya.

Katanya, kejadian dibaham buaya di Kampung Reban baru-baru ini merupakan kes yang kedua selepas kejadian seorang pelajar dibaham buaya di sungai yang sama pada 1992.

"Tidak dinafikan bahawa Sungai Batang Samarahan ini memang terdapat banyak buaya dan penduduk sentiasa berwaspada menggunakan sungai ini sama ada sebagai pengangkutan atau menangkap ikan dan udang.

"Justeru, kita berharap penduduk kampung akan berjaya menangkap buaya yang mengganas itu supaya keluarga mangsa dapat semula bahagian-bahagian anggota badan mangsa untuk disemadikan dengan sempurna," ujarnya. UM/-