16 June 2011

Tadbiran Najib mula tunjuk ‘kuku besi’, dakwa Mat Sabu

14 Rejab 1432H. [MOD] -

KLANG, 16 Jun — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak sudah mula mengamalkan sistem pemerintahan kuku besi dengan menyekat kebebasan rakyat mendapatkan keadilan terutamanya dalam menuntut sistem pilihan raya adil dan bebas.

Tegas beliau, BN yang kini diketuai Najib mula menggunakan pendekatan mengongkong kebebasan bersuara kerana bimbang akan tewas dalam pilihan raya umum ke-13.

Mohamad atau lebih dikenali “Mat Sabu” menjelaskan, Pakatan Rakyat sudah pasti telah menawan Putrajaya kini sekiranya pilihan raya umum 2008 diadakan secara adil dan bebas tanpa campur tangan BN.

“Pemerintahan Malaysia seperti Singapura yang mengamalkan sistem pemerintahan kuku besi, tapi di Singapura telah berlaku perubahan.

“Ketika pilihan raya Singapura bulan lalu, kita perhatikan semua pemimpin parti politik bebas untuk akses dalam media, mereka boleh gunakan radio atau televisyen untuk menyampaikan hasrat mereka.

“Tapi di Malaysia adakah perkara begitu akan berlaku? Tidak . . . media dikawal oleh kerajaan, kita tidak boleh akses kepada media, sepatutnya TV3 beri pemimpin Umno cakap sejam kemudian bagi kita boleh cakap sejam, tapi ia tidak berlaku,” katanya pada ceramah pelancaran Bersih 2.0 peringkat Selangor di Dewan Hamzah di sini malam tadi.

Justeru beliau meminta agar seluruh rakyat Malaysia harus menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini menuntut agar pilihan raya diadakan dengan adil dan telus.

“Kita tidak mahu negara kita menjadi seperti di Timur Tengah, saya sendiri tidak mahu (ia berlaku) tapi biarlah rakyat rasa puas hati terhadap pilihan raya.

“Biar rakyat rasa puas hati, BN kalah pun tiada masalah . . . Pakatan Rakyat menang pun tiada masalah,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh kira-kira 250 orang yang hadir.

Dalam ucapan itu, Mohamad juga berkata himpunan Bersih 2.0 terpaksa diadakan bagi mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas tanpa diperkudakan BN.

“Kalau kita lihat pilihan raya umum 2008 rakyat sudah lihat bahawa kerajaan BN boleh ditumbangkan tapi bolehkah kita menang tanpa pilihan raya yang adil? Tidak boleh . . . kita tidak akan boleh menang selagi pilihan raya tidak adil dan bebas.

“Sebab itu dalam Himpunan Bersih ini kita menuntut beberapa perkara yang harus dilakukan SPR untuk memastikan sistem pilihan raya di negara kita diadakan dengan betul,” katanya.

Pada himpunan Bersih kali pertama yang diadakan pada 2007, badan bukan kerajaan (NGO) itu menuntut empat tuntutan utama iaitu menggunakan dakwat kekal, undi pos dikaji semula, media yang adil dan daftar automatik kepada rakyat yang berusia 21 tahun namun ia tidak dipenuhi.

Pada himpunan kali kedua ini Bersih menuntut empat tuntutan tambahan iaitu tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan, mengukuhkan institusi kerajaan, menghentikan rasuah politik dan menghindari politik kotor.

Mohamad, yang juga Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS pusat berkata, pihaknya juga mahu agak pihak berkuasa terutamanya polis mengawal keadaan sepanjang perhimpinan itu diadakan bagi menjaga keselamatan.

“Kita mahu polis bekerjasama, kawal keadaan dan kita tidak mahu polis kita jadi macam polis di negara-negara Timur Tengah . . . benarkan kita mengadakan perhimpunan kita, beri kita menyampaikan hasrat kita.

“Kita bukan mahu buat huru-hara, saya percaya jika tiada pihak yang membuat provokasi sudah tentu ia boleh dijayakan,” katanya.

Himpunan Bersih 2.0 bertemakan “Walk For Democracy” dan dijangka akan disertai kira-kira 300,000 terdiri daripada NGO, parti politik dan rakyat.

Pada 2007, Bersih menggunakan slogan “Gelombang Kuning” telah menganjurkan perhimpunan aman, bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara atas alasan sama.

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

1 comment:

Anonymous said...

Abang MAT, kita ada masalah dengan PERKASA yang tak bertamadun ni.Dia juga sibuk nak buat perhimpunan PROVOKASI.Haram jadah punya PERKASA.Kalau nak tunjuk terror buat la di hari lain.Tengok ramaikah yang datang menyokong PERKOSA ni??? Ni nak tumpang orang punya populariti.Tidak ada prinsip perjuangan langsung pemimpin PERKOSA ni.Tu lah perangai pimimpin KATAK.