16 June 2011

Militan Islam tawan banyak bandar Yemen

14 Rejab 1432H. [MOD] -

SANAA, Yemen - Militan-militan Islam melancarkan serangan mengejut pada waktu subuh di Houta, selatan Yemen semalam dan menawan beberapa kawasan bandar berkenaan selepas bertempur dengan tentera pemerintah, kata pegawai-pegawai keselamatan.

Beberapa kawasan penduduk di Houta yang merupakan ibu negeri wilayah Lahj, jatuh ke tangan kumpulan terbabit yang turut dianggotai anggota Al-Qaeda.

Serangan berlaku sehari selepas seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) menyatakan, AS bimbang kekacauan berterusan di Yemen akan mengukuhkan kerjasama di antara militan Al-Qaeda rantau Arab dengan kumpulan pemisah Al-Shabab di Somalia.

Koordinator antipengganas Jabatan Negara AS, Daniel Benjamin turut berkata, anggota-anggota pemisah Yemen kini semakin berani untuk beroperasi secara terbuka dan berupaya menguasai lebih banyak wilayah.

Beberapa pegawai keselamatan Yemen pula memberitahu, sejumlah militan bergerak menerusi beberapa kawasan penduduk di bandar pelabuhan Aden, selatan negara itu awal semalam dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, mereka tidak memberikan butiran lanjut berhubung insiden itu.

Kekacauan di Yemen itu berlaku ekoran tunjuk perasaan dilakukan rakyat bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh. - Agensi

No comments: