16 June 2011

Indonesia tingkat kawalan keselamatan

14 Rejab 1432H. [MOD] -

ABU BAKAR membaca dokumen di dalam sel tahanan di Jakarta.
3,000 polis, tentera dikerah kawal pusat beli-belah

JAKARTA: Indonesia semalam mengetatkan kawalan keselamatan di pusat beli belah di Jakarta berikutan ancaman bom sehari sebelum perbicaraan pendakwah radikal Abu Bakar Bashir atas tuduhan keganasan, kata polis.

“Saya mengarahkan kawalan keselamatan di pusat beli belah diutamakan, kami akan menghantar lebih banyak pegawai untuk memastikan keselamatan awam,” kata ketua polis Jakarta, Sutarman memberitahu wartawan.

Lebih 3,000 polis dan tentera yang dibantu oleh kenderaan berperisai dan beberapa penembak hendap akan mengawal perbicaraan di mahkamah daerah selatan Jakarta, kata polis.

Polis mengambil beberapa langkah pencegahan khusus selepas menerima pesanan ringkas telefon mengancam berlakunya serangan pengganas berleluasa di negara majoriti Islam itu, kata Suratman.

“Banyak pesanan sms disebarkan dengan beberapa ancaman serius. Kami tidak memandang ringan ancaman ini,” tambahnya.

Abu Bakar, 72, didakwa menyediakan pembiayaian lebih daripada AS$62,000 (RM187,770) kepada kumpulan pengganas mirip al-Qaeda di Acheh yang merancang serangan di Indonesia dan pendakwa memohon untuk hukuman seumur hidup.

Beliau dilihat sebagai pemimpin kerohanian militan Asia Tenggara tetapi beliau menafikan peranannya dalam aktiviti pengganas.

Jurucakap mahkamah, Ida Bagus Dwiyantara berkata, hakim yang mengendalikan kes Abu Bakar turut menerima pesanan ringkas ancaman yang berkata akan ada letupan bom di beberapa tempat.

“Polis akan menyediakan kawalan keselamatan khas kepada hakim,” kata Ida Bagus.

Kawalan keselamatan turut ditempatkan di sekeliling mahkamah dan hanya mereka yang mempunyai pas pengenalan khas seperti wartawan dibenarkan memasuki premis.

Indonesia sudah digegarkan dengan beberapa siri serangan pengganas oleh rangkaian Jemaah Islamiah sejak beberapa tahun termasuk pengeboman Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang. – AFP.

beritaharian/-

No comments: