16 June 2011

Adik bongsu kembar 3 mati dipercayai didera

14 Rejab 1432H. [MOD] -

GAMBAR lama kembar tiga yang dilahirkan pada 8 Mac 2008, Khoo Jin Ghi (kanan) meninggal dunia di rumahnya di Parit Jawa, Isnin lalu.

MUAR: Keceriaan hidup pasangan kembar tiga yang dilahirkan ketika hari mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dekat Parit Jawa di sini, berakhir tragedi apabila adik bongsu mereka mati dipercayai akibat didera.

Khoo Jin Ghi, tiga tahun, turut dikenali sebagai Patrick Tey, meninggal dunia selepas dirujuk untuk rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta dekat Batu Pahat pada Isnin lalu.

Jin Ghi bersama ibu bapanya serta dua lagi saudara kembarnya dikenali sebagai Jin Siang dan Jin Teng, menetap di Parit Bulat dekat Parit Jawa di sini, sejak dilahirkan pada 8 Mac 2008.

Kesan kecederaan pada pipi dan kepala mangsa menimbulkan kecurigaan kepada doktor yang merawatnya, mendorong pengurusan hospital terbabit membuat laporan polis terhadap kemungkinan kanak-kanak itu menjadi mangsa deraan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintendan Lee Choon Guan berkata, susulan kejadian itu, polis menahan bapa mangsa yang berusia 39 tahun untuk membantu siasatan lanjut terhadap punca kematian anaknya.

“Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan dan menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian kanak-kanak terbabit. Sehingga ini, saya tidak boleh mengesahkan, sama ada ia kes dera atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, difahamkan kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu tinjauan Berita Harian ke rumah mangsa, mendapati rumah dua tingkat yang didiami keluarga mangsa terletak agak jauh daripada jiran terdekat dan ketika tinjauan dibuat, rumah itu tidak berpenghuni.

Sementara itu, pengurusan sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang terletak berhampiran, mengakui tiga beradik kembar itu dihantar ke situ oleh ibu mereka sejak April lalu untuk mendapatkan asuhan itu.

“Biasanya, sebelah pagi ibu kanak-kanak terbabit akan menghantar tiga beradik itu ke sini, dan mereka akan dihantar pulang ke rumah oleh pengurusan pusat ini pada sebelah petang,” katanya yang enggan dikenali, ketika ditemui.

Petugas itu berkata, beberapa hari sebelum cuti persekolahan pada 28 Mei 2011 lalu, mangsa tidak dihantar ke pusat terbabit bersama dua saudaranya dengan alasan berada di rumah kerana sakit.

Difahamkan ibu pasangan kembar tiga itu bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat ukur, manakala bapa mereka menjalankan perniagaan jual beli sawit.

beritaharian/-

No comments: