16 June 2011

2 rakan karib mati berpelukan

14 Rejab 1432H. [MOD] -

Nasional Cetak . Emel Rakan .
2 rakan karib mati berpelukan
Oleh Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@bharian.com.my
2011/06/16

Amierul Hakim (kiri) dan Mohd Adhamerudin.
Mangsa lemas ketika mandi di pusat perkelahan bersama dua rakan lain

KUANTAN: Menyayat hati apabila mayat dua sahabat karib yang lemas ketika mandi di pusat perkelahan Pasir Kubur, dekat Sungai Lembing di sini, semalam, ditemui dalam keadaan berpelukan.
Mayat mangsa, bekas pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Amierul Hakim Mustafa, 19, dari Indera Mahkota 8, di sini dan pelajar jurusan Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, Mohd Adhamerudin Omar, 21, dari Taman GPT, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, Kedah ditemui kira-kira jam 9.15 pagi oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan misi mencari mangsa.

Bapa Amierul, Mustafa Awang, 51, ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata beliau dimaklumkan anaknya bersama tiga rakan pergi ke lokasi kejadian kira-kira jam 8 pagi selepas selesai mendaki Bukit Panorama, di situ.

Beliau yang sedang berniaga di Stadium Darul Makmur, di sini, dimaklumkan mengenai kejadian terbabit melalui seorang rakannya sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk melihat keadaan anaknya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat sepasukan anggota penyelamat sedang mengangkat mayat Amierul selepas ditemui dalam sungai berkenaan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah petang kelmarin dan tidak sempat untuk bertemu dengannya pagi ini (semalam) kerana arwah tiada dalam bilik dan menyangka dia ke masjid untuk menunaikan solat Subuh,” katanya.
Mustafa berkata, beliau langsung tidak mengetahui arwah pergi berkelah kerana rutin hariannya setiap pagi ke masjid untuk menunaikan solat Subuh atau mengadakan aktiviti lain namun tetap reda dengan kejadian terbabit.

“Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuin 2, di sini, selepas Asar,” katanya.

Difahamkan, Amierul sedang menunggu panggilan untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) manakala Mohd Adhamerudin adalah pelajar semester empat di UIAM dan bekerja sambilan di sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Ubi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi di sini mengesahkan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua mangsa bersama dua rakan menunaikan solat Subuh di Masjid Jamek Sungai Lembing sebelum mendaki Bukit Panorama, Sungai Lembing.

"Selepas pendakian, kedua mangsa mandi manakala dua lagi rakan Mohd Adhamerudin, Mohd Ezuan Mohd Adnan, 22, dari Taman Rapat Setia, Ipoh dan Arif Kamal Nasir, 21, dari Indera Mahkota, di sini, sedang memasak untuk menyediakan sarapan pagi.

"Bagaimanapun, tiba-tiba seorang daripada rakan mangsa berkenaan mendakwa terdengar bunyi jeritan meminta pertolongan sebelum melihat tangan mangsa terkapai-kapai dan cuba membantu namun gagal berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa kemudian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota bersama Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Indera Mahkota dan penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan gerakan mencari mangsa.

"Bagaimanapun, kedua-dua mayat mangsa ditemui polis dalam keadaan berpeluk di sungai itu tidak jauh daripada tempat kejadian sebelum dibawa ke tebing dan dihantar ke Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini untuk bedah siasat," katanya.

berita harian/-

2 comments:

belogkiter said...

Alfatihah untuk arwah

YoungMoM said...

Al fatihah...