13 March 2011

Bencana Tsunami - Allah pelihara masjid

07 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

MALAPETAKA paling tragis di alaf ini yang melanda Aceh Nanggroe Darus Salam pada tahun 2004, meninggalkan apa yang dinamakan kampung-kampung (dieja gampoeng dalam bahasa Aceh) tsunami dan termasuk juga masjid-masjid tsunami.

Kampung-kampung yang menjadi laluan tsunami itu hampir kesemuanya musnah sambil menelan korban yang tidak terhitung jumlahnya.

Di sebalik kemusnahan yang dahsyat akibat tsunami itu ada juga yang tegak dan kukuh berdiri terutama beberapa institusi masjid di Aceh.

Masyarakat menjadi pelik dan hairan apabila masjid-masjid berkenaan, kekal utuh walaupun beribu-ribu tan kubik air merempuh dan mengamuk dengan kelajuan hampir 300 kilometer sejam dengan ketinggian sehingga 30 meter terutama yang berhampiran dengan laut.

Masjid-masjid tsunami, seperti Masjid Raya Baitur Rahman di tengah-tengah Kutaraja (nama lama Banda Aceh) dan Masjid Raya Baitur Rahim di Pantai Ulee Lheuu, di Daerah Meuraxa, sempat penulis kunjungi.

Namun Masjid Rahmatullah di Lampuuk, di daerah Aceh Besar berdekatan dengan pusat peranginan pantai yang terkenal, Pantai Lhoknga adalah paling meninggalkan kesan di hati.

Ia satu-satunya masjid yang masih mengekalkan dan menyimpan kesan-kesan tsunami sebagai iktibar, ingatan dan pengajaran kepada seluruh umat manusia.

Sebaik melangkah masuk di penjuru kiri masjid tersebut jelas kelihatan bukti berlakunya rempuhan tsunami.

Rempuhan itu menyebabkan penduduk Lampuuk kini hanya tinggal 700 berbanding hampir 6,300 sebelum ditelan tsunami.

Kesan-kesan tsunami itu dikepung dan dipagar, sengaja ditinggalkan dan tidak akan dipulihkan sehingga bila-bila.

Tiang-tiang masjid yang diperbuat daripada konkrit ada yang patah, tumbang dan bergelimpangan di atas lantai. Jubin lantai masjid tercabut dan pecah akibat rempuhan tsunami itu.

Dipamerkan juga gambar-gambar suasana seperti padang jarak padang tekukur iaitu keadaan Lampuuk seusai tsunami. Semua ini menyebabkan hati jadi sebak!

Masjid Rahmatullah kini masih dalam proses pemulihan melalui pembiayaan besar dari pihak luar, terutama dari Turki.

Ini kerana Lampuuk dianggap sebagai 'anak angkat' kepada Turki berikutan dalam aspek sejarah telah ada penempatan bangsa Turki di daerah itu sejak dahulu.

Lampuuk tidak lagi berwajah duka. Perkampungan baru telah dibina yang menyajikan suasana cukup berbeza pada hari ini bagi menggantikan perkampungan yang disapu bersih oleh tsunami.

Kesempatan menziarahi Masjid Raya Baitur Rahim di Pantai Ulee Lheeu, juga membangkitkan keinsafan kepada setiap pengunjung.

Bagaikan satu keajaiban dan kuasa Allah, masjid ini tetap berdiri kukuh dan tidak musnah dihempas gelombang tsunami. Sedangkan kedudukannya hanya beberapa meter sahaja dari pantai.

Sedangkan perkampungan di sekitar masjid ini bersih disapu tsunami. Namun, Masjid Raya Baitur Rahim bukan sahaja utuh berdiri tetapi turut menjadi 'pelampung' penyelamat kepada mangsa ketika ombak tsunami ganas menerjah.

Ada yang berlindung di bahagian kubah masjid, akibat dilambung ombak ke bahagian itu.

Sehingga kini tiada siapa dapat menjawab bagaimana Masjid Raya Baitur Rahman di Banda Acheh, Masjid Lampuuk, Masjid Raya Baitur Rahim dan beberapa lagi masjid di lokasi-lokasi tsunami di Aceh mampu bertahan daripada pukulan ombak tsunami.

Adakah disebabkan struktur binaan bangunan semata-mata yang kukuh dan mantap atau mukjizat Allah?

Allah Maha Mengetahui. Namun ombak tsunami seolah-olah meninggalkan pesanan, 'pulanglah' ke masjid untuk kembali kepada Allah jika mahu selamat dalam hidup!

No comments: