30 December 2010

Bolasepak Suzuki AFF 2010 : Kelantan dan Kedah juga umum cuti Ahad 2 Jan

25 Muharram 1432H.
Hafizi pauzi

PARIT BUNTAR, 30 Dis.:-Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Negeri Kedah juga mengisytiharkan Ahad, 2 Januari 2011 sebagai hari cuti umum bagi meraikan kejayaan skuad bolasepak negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 yang dilangsungkan di Gelora Bung Karno, Indonesia, malam tadi. Malaysia menang dengan aggregat 4-2.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Jumaat ini (31 Disember) sebagai cuti umum sempena kejayaan sulung pasukan bola sepak kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

"Saya mengucapkan tahniah dan penghargaan diatas keperihatinan yang ditunjukkan oleh kedua kerajaan negeri yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat itu" Demikian antara kenyatraan ringkas dari ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa dihubungi sebentar tadi.

Beliau juga mendedahkan pada awal pagi tadi telah menghubungi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah dengan memberikan cadangan tersebut.

"Saya juga mencadangkan perkara yang sama dalam satu tajuk posting dalam blog Cina Islam pada awal pagi tadi" jelasnya.

Menurut beliau lagi dengan pengumuman cuti umum di tiga negeri yang bercuti pada hari Jumaat iaitu, Kelantan, Kedah dan Terengganu maka kejayaan yang diperolihi oleh pasukan malaysia itu disambut oleh seluruh kakitangan awam dan rakyat Malaysia.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Malaysia yang telah menunjukkan prestasi permainan yang baik sehingga melayakkan pasukan negara menjuarai piala tersebut" Jelasnya yang juga merupakan ketua penerangan PAS Perak.

Cuti Bola : Terengganu umum cuti Ahad ini.

25 Muharram 1432H.

Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan Hari Ahad 2hb Januari, 2011 adalah hari Kelepasan Am (CUTI UMUM) bagi negeri Terengganu sempena meraikan Kejayaan Malaysia menjuarai Bolasepak Suzuki AFF 2010. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terangganu mengumumkan perkara tersebut pada hari ini seperti dipetik "Hari Ahad 2 Januari 2011adalah hari CUTI UMUM bagi negeri Terengganu".

Saya menyarankan perkara yang sama kepada kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan dan Kedah namun setakat ini belum ada pengumuman mengenainya dikedua negeri yang ditadbir oleh Menteri Besar dari PAS itu.

Namun begitu Harakahdaily menyiarkan satu berita satu kenyataan dari seorang Exco Kerajaan Kelantan yang dipetik sebagai berkata Kelantan melahirkan rasa terkilan berikutan kerajaan pusat memutuskan esok, (Jumaat) sebagai cuti umum berikutan pasukan bolasepak Malaysia berjaya merangkul Piala AFF Suzuki 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Datuk Nik Mohd Amar Abdullah, berkata tindakan kerajaan berkenaan akan merugikan beberapa buah negeri yang telah bercuti hari Jumaat.

Alasan yang diberikan oleh Datuk Nik Amar ialah Kelantan tidak boleh membawa ke hadapan cuti umum berkenaan kerana ianya jatuh pada hari Jumaat.

Namun saya tidak pasti alasan apakah yang digunakan oleh kerajaan Terengganu dalam mengumumkan cuti tersebut.

Kuliah PAKSI di Alor Setar.

TARIKH: 25 MUHARRAM 1431/ 31 DISEMBER 2010

JAM :9.00 - 11.30 PAGI

TEMPAT: DEWAN KULIAH MENARA ZAKAT KEDAH

PENCERAMAH: 1.
US KHAIRUL ANUAR BN AHMAD (MANTAN PENGERUSI PAKSI PERAK)

PENCERAMAH 2:
S.SAMAHAH DATO SYEIKH BADERUDDIN BIN HAJI AHMAD : MUFTI KERAJAAN NEGERI KEDAH
(PENASIHAT KEHORMAT YAYASAN PAKSI)

UNTUK MAKLUMAT: 019- 5987842 (CIKGU SUKARNO: SU KEHORMAT YAYASAN PAKSI)

U.P: Selepas kuliah kepada peserta Rehlah Ilmiah Ke Pusat Kajian Hadis Jakarta (14-17.01.2011) akan diadakan sesi taklimat.

Mengapa BN pertahan undi pos

24 Muharam 1432H
Oleh : M Faqih

PERSOALAN sekarang mengapa pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beriya-iya benar mempertahankan sistem pengundian pos.

Mereka seolah-olah bermati-matian bagi memastikan sistem itu terus relevan, biar pun negara sudah lama keluar dari status darurat. Komunis yang pernah menggugat negara sudah lama meletak senjata.

Contoh mudah dapat dilihat berlaku di Galas pada 4 November lalu. Undi pos yang diterima PAS hanya 26 undi (17.68 peratus) berbanding dengan BN (82 peratus).

Begitu juga di mana-mana sahaja pilihan raya undi pos menjadi penyelamat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kecuali pilihan raya umum 1999.

Di Jeli undi pos di kalangan askar wataniah di Kem 301 dan Kem 302 berjaya menyelamatkan karier politik Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi mempertahankan kerusi parlimen Jeli masuk penggal kedua.

Begitu juga Datuk Mohd Alwi Che Ahmad diselamatkan undi pos di Kem Desa Pahlawan untuk meneruskan penguasaan Umno di Dun Kok Lanas.

Ramai menyebut undi pos menjadi penyambung hayat kerajaan BN dan menyelamatkan maruah Umno.

Maka bagi memastikan kubu tersebut tidak dirobek Pakatan Rakyat dalam misi melangkah ke Putrajaya, kerajaan BN merancang mewujudkan satu kompeni askar wataniah di semua 222 kawasan Parlimen.

Malah kerajaan BN tanpa berselindung menyebut hampir mencapai sasaran apabila 172 kawasan parlimen telah diisi dengan pasukan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian itu menjangka askar wataniah akan ditempatkan di 50 kawasan lagi menjelang tahun hadapan.

Malah kementerian itu mensasarkan seramai 66,600 anggota dalam tempoh lima tahun akan datang, di mana kini difokus di Sarawak dan Perak.

Tahun lepas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan satu kompeni askar wataniah di 222 kawasan Parlimen bagi memantapkan sistem pertahanan negara.

Difahamkan satu kompeni mengandungi sekurang-kurang tiga plakton atau 105 anggota. Jumlah itu tidak termasuk isteri setiap askar wataniah yang turut didaftar sebagai pengundi pos.

Ini bermakna seramai 210 pengundi pos dari kalangan askar wataniah terdapat di setiap kawasan parlimen. Kalau didarab 222 bermakna terdapat 46,620 pengundi pos baru di seluruh negara.

Sedangkan sasaran kerajaan mempunyai 66,600 askar wataniah di seluruh negara. Dan jumlah itu kalau didarab isteri setiap anggota menjadikan jumlah undi pos seramai 133,200 orang.

Bermotif politik

Seorang bekas pegawai tentera ketika ditemui berkata, penubuhan satu kompeni askar wataniah di setiap kawasan parlimen sebenarnya lebih bermotif politik dan bukan semata-mata bagi memantapkan pertahanan negara.

Katanya, setiap anggota wataniah akan didaftar di bawah undi pos sebagai strategi bagi menyelamatkan Umno dan BN.

”Itu belum lagi dicampur dengan isteri setiap anggota askar wataniah. Kewujudan kem askar wataniah merupakan pakej penyelamat kerajaan BN,” katanya di sini.

Difahamkan bilangan anggota tentera termasuk unit infantri, Askar Melayu Diraja dan renjer sebelum ini berjumlah lebih 130,000 orang.

Bagaimanapun daripada jumlah tersebut anggota tentera yang benar-benar berkhidmat di luar kem termasuk di sempadan hanya dalam jumlah agak kecil.

Selebihnya anggota bahagian sajian dan perkhidmatan yang bertugas di unit gaji dan perbekalan. Mereka tidak dikerah berkhidmat di luar kem untuk melayakkan disenarai sebagai pengundi pos.

Namun kerajaan BN tetap menyenaraikan setiap anggota tentera dan polis sebagai pengundi pos biar pun mereka tidak berkhidmat di tempat yang kritikal.

”Malah pegawai tentera yang berpangkat Jeneral tidak pernah bertugas di perbatasan untuk disenaraikan sebagai pengundi pos.

”Mengapa mereka dibolehkan keluar bermain golf, sedangkan untuk keluar mengundi sebagai pengundi biasa tidak boleh,” kata bekas pegawai tentera terbabit.

Seorang lagi bekas pegawai tentera, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman turut mempersoalkan mengapa kerajaan BN beriya-iya benar mahu mempertahankan undi pos kalau tidak bermesej politik.

Katanya, undi pos sudah tidak sesuai lagi digunakan sekarang memandangkan keadaan negara sudah aman dan bukan kacau bilau seperti zaman darurat.

Menurut beliau anggota tentera yang hanya berkhidmat di kem boleh keluar mengundi seperti pengundi awam.

”Lebih menghairankan lagi mengapa isteri anggota tentera juga disenarai sebagai pengundi pos. Ini sesuatu yang tidak masuk akal sama sekali.

”Tengok sedikit masa lagi setiap kawasan parlimen akan mempunyai kompeni askar wataniah. Tidakkah itu semua memberi undi percuma kepada Umno dan BN,” katanya yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Persempadanan baru

Persempadanan baru kawasan pilihan raya memerlukan undian dua pertiga anggota Dewan sebelum diluluskan.

BN tidak memiliki dua pertiga daripada 141 anggota parlimennya. Biar pun dibantu lima anggota parlimen Keadilan yang belot, BN belum mempunyai kekuatan untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan persempadanan pilihan raya diadakan.

Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Wee Chong Keong (Wansa Maju) yang menggelarkan diri mereka sebagai blok Bebas belum mampu membantu BN memiliki kuasa dua pertiga.

Kalau mengikut ayunan sejarah pilihan raya di negara ini sejak merdeka, BN akan bangkit semula selepas lemah. Misalnya pada PRU-8 (1990) BN kehilangan Kelantan.

Namun pada PRU-9, BN bangkit semula biar pun gagal dalam misi merampas semula Kelantan. Kemudian pada PRU-10 (1999) menyaksikan BN merosot ekoran gelombang reformasi.

Namun pada PRU-11 (2004) BN bingkas semula dengan kedudukan paling selesa dalam sejarah pilihan raya. BN mendapat undi popular sehingga 90 peratus. Ketika itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengetuai jentera BN.

Apakah sebenarnya faktor menyebabkan kedudukan BN paling selesa pada pilihan raya tersebut. Selain momokan ’Mr Clean’ yang disinonimkan dengan Pak Lah, namun faktor persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 turut menjadi penyumbang penting.

Di bawah Perkara 113(2), Perlembagaan Persekutuan tanggungjawab bagi menjalankan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri diberikan kepada SPR.

Persempadanan hanya boleh dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun selepas selesai kajian semula persempadanan sebelum itu.

Prinsip mengagihkan wajaran di kawasan luar bandar dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, di mana variasi saiz (jumlah pemilih) di antara mana-mana dua kawasan haruslah tidak melebihi 15 peratus.

Sejak 1952 persempadanan semula dilakukan sebanyak lapan kali. Malangnya wajaran 15 peratus yang dipersetujui tidak digunakan selepas beberapa pindaan kepada Perlembagaan sejak 1973.

Persempadanan semula perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun. Kali terakhir dibuat pada Mei 2003. Dan sepatutnya persempadanan dilaksanakan pada tahun 2011.

Dan sekiranya persempadanan menjadi kenyataan, kalau mengikut teori ayunan, BN akan bangkit semula pada PRU-13.

Namun, dengan kekurangan majoriti dua pertiga proses ke arah persempadanan semula kawasan pilihan raya masih tidak kedengaran.

Undi pos selamatkan Najib

Tanpa faktor itu BN tentunya lebih gundah bagi menghadapi PRU-13. Ini kerana faktor persempadananlah yang pernah memenangkan Dato’ Seri Najib Razak di parlimen Pekan Dalam pilihan raya 1999.

Ketika itu beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi. Sedangkan di Pekan ada 2,400undi pos.

Kemudian pada persempadanan semula 2003, Kem Batu 10, Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan.

Maka tidak salah kalau dikatakan undi pos menjadi penyelamat karier politik Najib di Pekan, Mustapa di Jeli dan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang.

Bagi mendepani isu berkenaan, Pakatan Rakyat seperti tidak banyak pilihan. Kalau dalam isu saman ekor ada NGO yang dikenali sebagai KASE, manakala bagi menentang ISA atau GMI.

Isu undi pos perlu ditangani secara berterusan. Gerakan kesedaran bagi mendedahkan keburukan sistem pengundian tersebut perlu dijaja dari mulut ke mulut. Natijahnya bagi memastikan mereka yang mengundi akhirnya menjadi malu, kerana tanpa sedar mereka merosakkan demokrasi.

Biar pun ada sedikit ruang membolehkan wakil calon yang bertanding memasuki kawasan kem, namun mereka hanya mampu memerhati dari jarak jauh. Alasan pegawai tentera bertugas, kem merupakan kawasan keselamatan.

Calon PAS di Dun Bukit Bunga, Jeli, Sufely Abdul Razak pernah mendakwa peti undi pos disimpan di dalam kem tanpa ada jaminan kawalan keselamatan selepas pengundian dijalankan.

Sekarang apa yang mampu diharapkan dengan sistem demokrasi alaMalaysia. Undi pos boleh menjadi penghalang impian Pakatan Rakyat menghayung langkah ke Putrajaya.

Sejak merdeka sehingga sekarang gelanggang pilihan raya dibina di lantai yang senget. Mangsanya pembangkang yang kini bernama Pakatan Rakyat. Akhirnya impian Pakatan hanya sekadar retorik sekiranya gelombang kesedaran rakyat masih di tahap lama.

Harakahdaily/-

Khusrin: Umno pentingkan politik, ketepi rakyat

24 Muharam 1432H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor membuktikan bahawa Umno lebih pentingkan politik mereka dari menjaga kepentingan rakyat negeri itu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) ketika diminta mengulas isu perlantikan itu berkata, semua orang yakin dan percaya bahawa kemasukan Khusrin tidak ada maksud lain melainkan untuk menggagalkan segala usaha yang dirancang oleh kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.

Menurutnya, selain membelakangi semangat faderalisme, perlantikan itu juga merupakan percubaan Umno mensabotaj kerajaan negeri dalam usaha merampas kembali Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan berlaku awal tahun hadapan.

"Perlantikan itu bukan sahaja tidak menghormati rakyat Selangor, malah nak sabotaj usaha kerajaan Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan betapa tidak demokrasinya kerajaan BN yang telah mengancam faderalisme," katanya ketika ditemubual Harakahdaily.

Khusrin yang kini Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Beliau menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini.

Perlantikan itu bagaimanapun dipertikai pihak kerajaan negeri yang mendakwa tidak dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Khalid Samad yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam secara peribadi menasihatkan Khusrin agar menolak perlantikan tersebut jika beliau bermaruah.

Menerima jawatan itu katanya, hanya akan menjadikan diri beliau sebagai musuh rakyat negeri itu yang telah memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri.

"Islam ajar kita, macam kenduri lah, kalau orang tak jemput, tak payah la nak datang.

"Jadi kalau orang tak nak kat kita, tak payah la nak kedepan juga seperti, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong," katanya sinis.

Khalid sebelum ini antara yang sering mempertikai tindakan Khusrin sebagai pengarah Jais khususnya dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid yang pernah menghangatkan politik tanah air baru-baru ini.

Khusrin dakwanya dilihat berpihak kepada Umno BN dalam banyak tindakannya khususnya berkaitan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama di negeri itu.

Dalam isu orang bukan Islam memasuki masjid, Khalid mendakwa Khusrin bermati-matian mendakwa tindakan pemimpin Pakatan Rakyat itu salah, namun berdiam diri bila perkara sama berlaku kepada Umno BN.

"Saya rasa itulah sebab kenapa dia dilantik oleh Umno sebagai SUK walaupun dari segi kelayakan, dia tidak penuhi kreteria," katanya.

Harakahdaily/-

SUK: Selangor nafi lewat serah nama

24 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Kerajaan Negeri Selangor menyangkal dakwaan kenyataan Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Datuk Munir Bani yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lewat menghantar senarai calon untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Hussin menegaskan tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan bahawa pelantikan SUK perlu dibuat dalam tempoh atau masa tertentu.

Tambahan pula jelasnya, jawatan Datuk Ramli Mahmud selaku Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya hanya tamat pada 20 Mac 2011.

"Pakatan Rakyat Selangor kesal dengan perkembangan mutakhir ini dan merasakan ia adalah tindakan yang didalangi individu tertentu yang mahu menggunakan istana demi kepentingan politik mereka.

"Isu Datuk Khusrin Munawi ini timbul sejurus sebelum Umno mengumumkan Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Ketua Perhubungan Umno Selangor," katanya.

Menurutnya, kerajaan Selangor telah menjalankan proses pemilihan pada 27 November 2010 dengan menubuhkan Panel Pemilihan yang sejajar dengan Nota Amalan Perkhidmatan Awam.

Panel yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim serta dianggotai oleh dua Ahli Majlis kerajaan negeri iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan Dr Xavier Jayakumar, telah menemuramah enam calon dari lapan nama yang telah dicadangkan oleh Pejabat Setiausaha Negeri dan Pejabat Sumber Manusia.

Panel Pemilihan katanya telah menyenarai pendek calon-calon dan pada 17 Disember 2010, Menteri Besar telah mempersembahkan nama-nama tersebut untuk pertimbangan DYMM Sultan Selangor bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan.

Meskipun penubuhan panel ini bukanlan satu kemestian, kerajaan negeri Pakatan Rakyat ujarnya mahu menyemai satu tatacara yang baik yang mana pelantikan jawatan tinggi perlu melalui proses telus, bebas dan bertanggungjawab.

"Menteri Besar tidak mahu menggunakan kuasa penentu untuk memilih pegawai tinggi kerajaan," katanya lagi.

Justeru, Pakatan Rakyat Selangor memohon rakyat Selangor bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan provokasi yang tidak akan membantu dalam mencari penyelesaian terbaik.

Mereka turut menggalakkan persatuan dan pertubuhan masyarakat mengadakan solat hajat di seluruh negeri bagi memberi kekuatan dan kebijaksanaan kepada DYMM Sultan Selangor dan pemimpin Negeri dalam menangani salah faham ini (miscommunication).

"Begitu juga kepada masyarakat bukan Islam digalakkan menjalankan upacara keagamaan menurut kepercayaan masing-masing," katanya.

Malaysiakini/-

Cuti umum Piala AFF-Suzuki, Saya cadang Kelantan dan Kedah cuti Ahad ini.

24 Muharram 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim

Kemenangan Malaysia menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 dalam perlawanan akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala AFF-Suzuki 2010 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia malam tadi menggembira banyak pihak khususnya peminat bolasepak negara yang sudah lama menunggu kejayaan Malaysia tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lewat malam ini mengisytiharkan 31 Disember sebagai cuti umum. Tetapi yang menimbulkan pertanyaan kenapakah cuti tersebut sehari selepas kemenangan dimana sebelum ini cuti yang sedemikian jatuh pada hari berikutnya selepas kemenangan.

Dalam kenyataannya Najib mengisytiharkan cuti umum berkenaan bagi meraikan kemenangan pertama Malaysia dalam sejarah 14 tahun kejohanan berkenaan.

Persoalannya negeri yang menikmati cuti mingguan pada hari Jumaat seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu tentunya Kakitangan kerajaan dan peminat bolasepak di negeri tersebut tidak dapat merasakan sama nikmat kemenangan Malaysia menjuarai Piala AFF-Suzuki 2010.

Kerana itu suka saya cadangkan supaya Negeri yang berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Kelantan untuk mengumumkan cuti umum dinegeri tersebut pada hari Ahad 2 Jan 2011.

Kewajaran saya mencadangkan perkara ini kerana melihat kepada kejayaan yang besar diperolehi oleh malaysia yang mana sepanjang tujuh edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali berpeluang melangkah ke perlawanan akhir iaitu pada edisi sulung kejohanan yang dahulunya dikenali sebagai Piala Tiger pada 1996 .

Kejayaan bergaya Malaysia tersebut haruslah dinikmati sama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Perlulah diingatkan walaupun Kelantan dan Kedah mengumumkan Ahad sebagai cuti umum, namun ia selaras dengan cuti 3 hari berturut-turut jumaat hingga ahad dinegeri lain yang mula bercuti esok.

Walaupun ada sedikit gangguan kepada pesekolahan yang bermula dinegeri kelantan dan Kedah pada hari ahad, namun ia tidak banyak menjejaskan disamping memberi pesedian yang lebih sehari kepada guru dan ibu bapa dan pelajar untuk kembali ke sekolah pada isnin 3 Jan 20111.

Tahniah, pasukan negara boleh mara jauh

24 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan tahniah di atas kejayaan pasukan bola sepak negara yang berjaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 setelah menewaskan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

“Tahniah! Itulah yang boleh saya katakan bagi mewakili seluruh warga Pemuda PAS Malaysia yang turut berkongsi bangga dan gembira dengan skuad pasukan bolasepak negara setelah mereka selama ini sering menjadi mangsa kritikan ekoran persembahan dan kualiti permainan yang merosot,” ujar ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya,kini pasukan Malaysia berpotensi untuk bangkit dan mara lebih jauh di peringkat antarabangsa.

“Saya juga mengharapkan agar kejayaan ini menjadi inspirasi buat pasukan pelapis negara untuk menjejak kejayaan pasukan utama negara hari ini,” katanya.

Pada perlawanan malam ini, pasukan Harimau mendapat gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54, gol Garuda dihasilkan Mohammad Nasuha pada minit 72 dan gol sendiri pemain negara Mohamad Muslim Ahmad pada minit 88.

Pada saingan pertama di Stadium Bukit Jalil, Ahad lepas, skuad negara menang 3-0 menjadikan keputusan Malaysia mengatasi Indonesia dengan agregat 4-2.

Berikut ialah kenyataan penuh Nasrudin.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT tatkala meraikan kegembiraan bersama seluruh rakyat Malaysia di atas kemenangan membawa pulang Piala Suzuki buat pertama kalinya menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Syabas buat keseluruhan wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada sukan bolasepak antarabangsa sekurang-kurangnya di peringkat Asean.

Pengamatan saya, mutu permainan skuad bolasepak negara kini mempunyai peningkatan taktikal yang baik dan cukup berpotensi untuk terus meningkat di peringkat antarabangsa. Kepercayaan FAM yang diberikan kepada pemain-pemain pemuda negara di samping pendedahan latihan di peringkat antarabangsa amat berbaloi.

Tahniah! Itulah yang boleh saya katakan bagi mewakili seluruh warga Pemuda PAS Malaysia yang turut berkongsi bangga dan gembira dengan skuad pasukan bolasepak negara setelah mereka selama ini sering menjadi mangsa kritikan ekoran persembahan dan kualiti permainan yang merosot.

Kini pasukan Malaysia berpotensi untuk bangkit dan mara lebih jauh di peringkat antarabangsa. Saya juga mengharapkan agar kejayaan ini menjadi inspirasi buat pasukan pelapis negara untuk menjejak kejayaan pasukan utama negara hari ini. Kekentalan fizikal dan mental serta pengalaman yang luas di arena antarabangsa akan terus membina potensi dan kualiti pasukan negara.

Syabas juga saya ucapkan kepada penyokong yang terus sabar memberi doa dan sokongan untuk melihat pasukan Malaysia terus bangkit biarpun pernah melalui zaman kejatuhan yang perit. Jelas semangat Malaysia Boleh! terus membawa Malaysia ke puncak jaya.

Kesempatan ini, suka saya tegaskan agar kejayaan dalam sukan yang berteraskan semangat kesukanan akan menyumbang kepada penyatuan rakyat Malaysia keseluruhannya. Agar negara terus harmoni dan sejahtera dengan rakyatnya yang matang dan memiliki semangat persaudaraan yang baik tanpa sengketa.

Terima kasih wira negara! Terima kasih jurulatih, terima kasih FAM dan terima kasih seluruh rakyat Malaysia atas kejayaan skuad bolasepak Malaysia meskipun tewas di Stadium Bung Karno mendepani provokasi media dan tekanan bermain di tempat lawan. Namun mereka mampu menyerap tekanan dan mendepani situasi tertekan dengan baik dan akhirnya pulang dengan kejayaan gemilang.

Semoga kejayan ini berulang lagi di masa hadapan insya Allah.

Tahniah juga kepada pasukan Garuda kerana bermain dengan penuh semangat kesukanan dan memberi tekanan yang sengit kepada pasukan Harimau.

Harakahdaily/-

UMNO - Hentikan 'perdaya' Raja Melayu

KUALA LUMPUR, 29 Dis: Umno hendaklah menghentikan serta-merta tindakannya memperdayakan Raja-Raja Melayu bagi kepentingan kuasanya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Umno kini dilaporkan begitu bernafsu menghasut Raja-Raja Melayu kononnya kuasa Raja-Raja terancam setelah mereka merasa berjaya menipu rakyat termasuk sebahagian ahli politik kononnya kuasa dan kepentingan Melayu akan terancam tanpa parti perasuah itu.

"Kita sentiasa mendapat laporan dari sumber dalaman yang tidak senang dengan tindak-tanduk Umno cuba memperdayakan Raja-Raja Melayu itu. Tidak semua boleh menerima apa yang dilakukan oleh Umno itu," katanya.

Malah, katanya lagi, semakin ramai orang-orang Melayu yang berfikiran waras yang sedar bahawa yang sebenarnya terancam ialah Umno dan bukan orang-orang Melayu.

"Orang-orang Melayu tidak akan terancam selagi mereka memperjuangkan perintah Allah dan tidak membiarkan diri mereka diperdayakan oleh Umno yang terang-terangan menghina hukum Allah," tegas beliau.

Mahfuz menggesa orang-orang Melayu menyedari tabiat jahat Umno dan segera menghukum parti itu.

"Ketika mereka kuat dan mendapat kemenangan besar dalamn pilihan raya, mereka menelanjangkan Raja-Raja Melayu seperti yang berlaku ketika Perlembagaan dipinda untuk mengurangkan imuniti Raja-Raja dahulu.

"Hari ini, apabila kuasa mereka terancam, parti yang busuk hingga ke usus itu menghasut dan memperdayakan Raja-Raja Melayu supaya mempertahankan kuasa mereka," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berharap Raja-Raja Melayu tidak lupa bahawa perlembagaan negara sudah mencukupi untuk menjamin sistem raja berperlembagaan.

"Sistem yang terpakai dalam negara ini seperti yang termaktub dalam perlembagaan tidak memerlukan Umno sama sekali untuk mempertahankannya.

"Malah, (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri menyatakan dalam perhimpunan Umno yang lalu bahawa hak Melayu terkunci kemas dalam perlembagaan tanpa dapat digugat lagi.

"Oleh sebab itulah, Umno yang menggelupur kerana takut kehilangan kuasa sebenarnya tidak relevan dan tidak diperlukan sama sekali," tegas beliau.

Mahfuz menegaskan, pihaknya akan berkempen secara ofensif dan habis-habisan ke seluruh negara untuk mendedahkan pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu.

Menurut beliau, pihaknya akan mendedahkan kepada seluruh rakyat bahawa Umno sering dibuktikan menggadai kepentingan bangsa sendiri semata-mata mahu menjaga kepentingannya.

"Bukan sahaja bangsa sendiri yang digadaikan, agama Islam pun sanggup digadaikan oleh Umno apabila ia mencantas bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).

"Bukan setakat mencantas bantuan sahaja, para pemimpin Umno termasuk Najib malah melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas kepada SAR apabila mereka memberi gambaran seolah-olah SAR menjadi tempat melahirkan pengganas," katanya.

Mahfuz berkata, antara pengkhianatan terbesar Umno terhadap orang-orang Melayu sepanjang lebih 50 tahun memerintah negara ini ialah apabila tanah-tanah rizab Melayu semakin pupus.

"Akibat perbuatan Umno menggadai bangsa sendiri, kini hanya tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja tanah rizab Melayu, sedangkan waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah-tanah tersebut.

"Bohong sama sekali dakwaan kononnya Umno membela kepentingan Melayu. Umnolah yang memusnahkan kepentingan Melayu," katanya.

Antara kemuncak pengkhianatan Umno terhadap orang-orang Melayu, kata beliau lagi, ialah apabila kerajaan Najib kini mengambil firma Yahudi Zionis, Apco Worldwide, sebagai penasihat dan pemberi petunjuk kepadanya.

Tenang : Perbanyakkan Buku Jingga untuk setiap rumah.

24 Muharam 1432H
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 29 Dis : Pilihan raya kecil DUN Tenang bakal menyaksikan pertemuan dua penjuru, iaitu PAS dan UMNO, berikutan kamatian penyandangnya, Sulaiman, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Seramai 14,753 pengundi iaitu kaum Melayu 49.66%, kaum Cina 38.13% dan kaum India 12.11% amat penting, jadi kesemua faktor perlu diambil kira,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, YB Drs Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya lagi yang juga merupakan ADUN Titi Serong, Pakatan Rakyat mestilah berkerja kuat dengan mengatasi BN dalam gerak kerja kempen terhadap para pengundi du DUN Tenang.

“Pakatan Rakyat telah mengorak langkah dengan mengumumkan 10 tawaran dalam 100 hari Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat perlulah dimanfaatkan sepenuhnya, strategi perlu disusun bagi memastikan rakyat tahu apakah tawaran-tawaran ini,” jelasnya.

Menurutnya yang merupakan ADUN Titi Serong, 10 tawaran besar ini untuk rakyat, beliau juga menegaskan bahawa tawaran ini bukan sekadar janji politik sebagaimana yang dituduh oleh BN, rakyat mestikan diyakinkan dengan hakikat itu.

"Rakyat yang sudah muak dan mual dengan rasuah, kezaliman, salah guna kuasa, boros berbelanja dan pelbagai lagi penyelewengan, kerana itu Tenang merupakan titik tolak dari segala usaha untuk menyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat mampu menggantikan tempat BN".jelasnya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa, BN gusar dengan gelombang kebangkitan Pakatan Rakyat yang kian kuat selepas konvensyen di Kepala Batas baru-baru ini, tawaran yang diuar-uarkan kepada rakyat dari kandungan Buku Jingga telah menjadi senjata yang paling ditakuti oleh pemimpin BN.

“Pakatan baru perkenal tawaran permulaan melalui buku jingga, BN sudah gusar dan tidak senang duduk dan dah mula melatah yang bukan-bukan.” Katanya.

"Oleh itu saya cadangkan Buku Jingga diperbanyak kan segera dan diedarkan kepada setiap rumah dalam DUN Tenang" cadangnya.

Dalam pada itu, YB Drs. Khalil Idham Lim mengingatkan kepada seluruh penyokong Pakatan Rakyat agar memanfaatkan media baru seperti blog,facebook dan twitter, selain medium bahan cetak bagi menyebar segala maklumat tawaran sebagaimana terkandung di dalam buku jingga.

“Saya juga inginkan mengucapkan setinggi tahniah kepada Pemuda Pakatan Rakyat yang telah menurunkan seramai 1500 tenaga jentera utama bagi melicinkan lagi gerak kerja sepanjang kempen di Tenang nanti, berdoalah kepada Allah SWT semoga beroleh semangat jihad ketika bertugas nanti untuk memastikan kemenangan memihak kepada PR,” katanya.

“Misi Pakatan Rakyat bukan sahaja mahu majoriti undi BN dapat dikurangkan, kita juga konsisten dan mahu menang di DUN Tenang, kedua-dua situasi ini sudah cukup untuk memberi satu tamparan kepada BN dan kita benar-benar ikhlas mahu bela rakyat Johor” jelasnya.

Juara Piala AFF - Jumaat 'cuti' umum di Malaysia

December 29, 2010
KUALA LUMPUR, 29 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengisytiharkan Jumaat ini sebagai cuti umum bagi meraikan kejayaan sulong pasukan bola sepak kebangsaan pada kejohanan Piala Suzuki AFF. – Bernama