28 December 2010

Disebalik pesanan Taqwa

Ahmad Baei Jaafar

“Bertaqwalah...” itu pesanan setiap minggu. Tetapi berapa orang yang mendengarnya dengan penuh perhatian? Yang saya pasti mereka berkata di dalam hati, “asyik-asyik taqwa, benda yang sama setiap minggu. Tidak perlu dengarlah, mari tidurlah.” Bayangkan kalau sudah tidur, apalagi yang kita nak kata, memang tidak fahamlah.

Khatib selalu berpesan, takutlah kamu kepada Allah dengan melaksanakan hukum Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Taqwa diterjemahkan sebagai takut, iaitu takut akan kehebatan Allah. Takut kepada Allah membawa kepada ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Kita rasa Allah hebat hingga segala perintahnya kita wajib ikut dan kita rasa kagum dengan kekuasan Allah lalu larangan-Nya kita sanggup tinggalkan.


Inilah taqwa yang seharuskan kita faham dan hayati. Bayangkan kalau semua jemaah sesuatu masjid itu faham mesej taqwa itu, masih ada lagikah umat Islam yang ponteng solat lima waktu, masih ada lagikah umat Islam yang cuai dengan perintah zakat? Masih ada lagikah umat Islam yang main judi, berzina, minum arak dan membuat fitnah dan sebagainya?

Realitinya, umat Islam masih ramai yang cuai dalam melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Mengapa? Selain faktor di atas, taraf umat Islam pada masa kini masih rendah imannya. Hal ini kerana mereka tidak pernah didik bagaimana untuk memperkasakan iman mereka.

Sebenarnya perintah supaya bertaqwa ini merujuk kepada orang yang beriman. Maknanya taqwa banyak bergantung kepada tahap iman seseorang. Jika tahap imannya rendah maka rendahlah taqwanya dan jika imannya tinggi, tinggilah pula taqwanya. Jadi, orang yang beriman sahaja yang mampu memikul watak taqwa.

Tahniah untuk Felda dapat Pengerusi baru

PARIT BUNTAR, 28 Dis : Berhubung isu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang akan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa pada 1 Jan 2011, FELDA bakal diterajui oleh seorang yang berwibawa setelah selesai hukuman gantung keahlian Umno.

“Tahniah kepada Felda kerana mendapat seorang Pengerusi yang wibawa,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, YB Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Tambahnya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pernah mempunyai rekod rasuah yang mana pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail.

“Beliau telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan,” jelasnya. “Sekurang-kurangnya pilihlah individu yang mempunyai rekod yang bersih, mana-mana majikan pun mereka akan lihat rekod calon dulu, baru setuju dan lantik sebagai keperja, ini tidak betul dan tidak sesuai dengan NKRA yang telah diputuskan oleh Kabinet iaitu membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, katanya.

“Adakah ahli Umno sudah ketandusan kepimpinan? Soalnya. Menurutnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Pakatan Rakyat konsisten serta komited menjaga isu integriti kepimpinan bagi menerajui mana-mana badan kerajaan yang penting, lebih-lebih lagi badan yang melibatkan aset Negara berbilion ringgit.

Tahniah Cina Islam - 11 juta Hits

11 JUTA Hits. Debaran makin kuat untuk melihat capaian itu akan diperolehi selewat-lewatnya pada petang ini, InsyaAllah. Hanya tinggal kurang dari 300 klik, Blog CINA ISLAM akan berada ditahap tersebut. Bila-bila masa dari sekarang. Countdown 11 JUTA !

Bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan blog ini terus diminati sebagai media penyalur ilmu dan maklumat. Tidak ada ucapan yang selayaknya melainkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat sehingga kami telah mencapai ketahap yang dicapai sekarang. Terima kasih juga diberikan kepada krew IT Cina Islam yang tungkus lumus update bahan berita terkini.

Harapan kami semuga blog ini terus mendapat nasihat dan bimbingan dari pelbagai pihak, serta sumbangan berterusan dari pelbagai pihak sebagai bahan paparan untuk kami terbitkan.

Semuga Allah SWT memberkati segala kerja kita.

DRS. KHALIL IDHAM LIM

1Sudu vs 1Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

1Sudu

Ketika ini aku percaya ramai ibubapa bergelut dengan persiapan persekolahan anak. Ketika inilah ramai yang kalut nak pakai duit lebih. Ganti pakaian lama, beli baju baru, atau beli buku baru dan pelbagai lagi keperluan sekolah. Tidak kurang juga yang baru dapat orang baru macam aku, terpaksa fikir belanja diaper, belanja pengasuh dan sebagainya. Lebih parah apabila kita baru sahaja menerima kenaikan harga barangan baru-baru ini.

Walaupun isu kenaikan harga barang terkesan kepada semua pihak, tapi isu ini tidak diperbesarkan. Pembaca berita hanya berpesan supaya berbelanja dengan berhemah dan jangan membazir. Itu sahaja. Nasihat lain adalah 1 sudu sudah cukup, kurang lebih baik. Alahai Malaysia.

1Malaysia atau 2Malaysia?

Berbalik kepada isu 1Malaysia yang sekarang ini muncul dengan beberapa isu. Satunya 1Malaysia dikatakan berinspirasikan 1Israel, dicetuskan ideanya oleh APCO. Keduanya isu Kerajaan Selangor yang tidak mesra lambang 1Malaysia. Mungkin selepas ini isu ini wujud di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang?

Aku tinggalkan dahulu perihal 1Malaysia dan APCO. Aku pejamkan mata seketika 1Malaysia dan 1Israel. Aku lebih suka melihat apakah 1Malaysia itu benar-benar bukan alat politik menarik sokongan seperti mana didakwa Najib? Apakah 1Malaysia itu?

1Malaysia jika dirujuk kepada laman web 1Malaysia tidak lebih dan tidak bukan hanyalah satu laman web peribadi Najib. Web tersebut menjadi satu platform bagi Najib mendapatkan maklum balas rakyat terhadap pelbagai isu. Konon kerana membuka maklum balas rakyat inilah slogan "Rakyat Di dahulukan" disebut-sebut sebelum ini. Apakah masih kedengaran slogan tersebut?

Jika dirujuk pula kepada matlamat 1Malaysia adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan di dalam kepelbagaian ini yang selama ini menjadi kekuatan kita dan akan kekal sebagai bekalan terbaik kita untuk masa hadapan.

Semuanya nampak baik bukan?

Aku tertarik dengan tulisan Faekah Husin, SU Politik MB Selangor yang disiarkan di Malaysiakini. Beberapa pendedahan juga menunjukkan 1Malaysia tidak ke mana. Tidak lebih dari retorik semata apabila menunjukkan 1Malaysia mempunyai bayang-bayangnya.

Pada pendapat aku, sudah jelas lagi bersuluh tentang 1Malaysia yang tidak lebih dari menarik populariti politik semata. Jika Pak Lah ketika menjadi PM memperkenalkan "Islam Hadhari", begitu jugalah Najib. Tidak lebih dari itu. Akhirnya Islam Hadhari ditelanjangkan oleh Pak Lah sendiri. Begitulah yang sedang berlaku kepada 1Malaysia sekarang.

Dengan menggunakan slogan 1Malaysia, Najib dengan terang dan jelas berkempen bagi UMNO dan BN. Kewujudan NGO 1Malaysia untuk berkempen bagi pihak UMNO mendedahkannya. Himpunan atau apa jua program 1Malaysia adalah program UMNO dan BN. Tanyalah siapa sahaja, dan aku percaya mereka akan mengiyakannya. Kenapa perlu ada 1UMNO dan 1BN?

Jika benar 1Malaysia itu bertujuan kepada perpaduan, kenapa royalti Terengganu dan Kelantan tidak dipulangkan. Jika benar 1Malaysia itu mendengar suara bawahan, kenapa harga barang terus dinaikkan? 1Malaysia cukup-cukuplah... Tiada lebih baik!(sumber dipetik : Blog Amdang81)

Petanda ?

Ahmad Said Dikembalikan Jawatan: Apa Petandanya?
Oleh : Dr Azman Ibrahim

Setiausaha Agong Umno mengumumkan rombakan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri bagi tiga Negeri; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah. Sekadar catatan, selain Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah, dua lagi negeri iaitu Selangor dan Wilayah Persekutuan juga bukan dipengerusikan oleh anak tempatan negeri. Menariknya kerana sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang dirombak tersebut disandang oleh 3 orang Naib Presiden, Hishamuddin, Zahid Hamidi dan Shafie Afdhal sementara Selangor dan Wilayah Persekutuan dipengerusikan sendiri oleh Presiden dan timbalan Presiden Umno.

Apakah misi ketiga-tiga Naib Presiden ini untuk memulihkan masalah yang melanda Umno di negeri-negeri tersebut telah berjaya (mission accomplished) lalu melayakkan ianya dikembalikan semula kepada anak negeri untuk memimpin atau hakikat sebaliknya, mereka gagal sehingga Najib terpaksa akur kepada desakan supaya mereka bertiga digantikan.

Saya berpendapat faktor kegagalan mereka lebih menjadi penyebab utama kepada perubahan ini. Persoalan yang mungkin timbul, apakah Najib sendiri dan Muhyiddin berjaya dalam misi mereka untuk memulihkan Umno Selangor dan Wilayah Persekutuan sehingga mereka masih kekal sebagai Pengerusi Perhubungan bagi dua negeri berkenaan.

Kenapa Jawatan Pengerusi Perhubungan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak turut dikembalikan kepada anak negeri sama seperti Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang. Mustahil tidak ada di kalangan pemimpin negeri yang bermimpi dan bercita-cita cuma mereka belum berani untuk mengistiharkan secara terbuka sebagaimana beraninya Mukhriz.

Berbanding dengan Umno Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dilihat lemah dan bermasalah setelah negeri mereka dikuasai Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, senario di Terengganu agak unik dengan negeri kekal dikuasai Umno/BN tetapi krisis perebutan jawatan Menteri Besar membawa perpecahan parah dalam Umno negeri. Ahmad Said yang disokong oleh minoriti ADUN Umno negeri tetapi dengan sokongan dan dokongan istana membolehkan beliau menduduki kerusi Menteri Besar mengatasi kemahuan Pak Lah yang masih inginkan Idris Jusoh menerajui negeri.

Episod panjang perbalahan kekal berterusan sekalipun kerajaan negeri berjaya juga akhirnya dibentuk sehingga sengketa yang tidak mampu lagi dirungkai mengundang campur tangan Umno Pusat dengan perlantikan Panglima Keris Panca Delima sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu. Perlantikan ini dilihat sebagai kompromi jalan tengah walaupun ianya terlalu jauh untuk menuju titik penyelesaian. Apatah lagi bila pihak yang bertelingkah sebenarnya bukan mengambil kira agenda rakyat tetapi lebih memikirkan kepentingan puak, bukan untuk mencari damai tetapi untuk membuktikan siapa lebih handal dan jaguh dalam permainan ini.

Berulang-alik lah Hishamuddin ke Terengganu kononnya untuk menyusun semula barisan. Kadang-kadang Muhyiddin pun campur tangan sekali walaupun kerap program mereka diboikot begitu sahaja. Setiap kali berkunjung ke negeri angkatnya, Hishamuddin mencanangkan segala masalah telah berlalu dan Umno sedang diperkuatkan semula. Tetapi realiti yang dilihat berlaku amat berbeza.

Senario 10 budak hitam yang bisu di Sidang DUN masih berterusan, kemudiannya berkurangan kepada 4 budak hitam sahaja. Mungkin 6 budak hitam lagi yang mula bersuara melihat mereka perlu bersuara walaupun bercakap dengan nada menghentam kerajaan sendiri, lebih teruk dari pembangkang. Kehadiran Muhyiddin merasmikan Persidangan Agong Umno Bahagian Setiu tahun ini diboikot dengan ketidak hadiran kesemua empat ADUN dari Parlimen Setiu.

Isu agihan kontrak dan projek yang mementingkan kroni dan puak menjadikan kudis lebih bernanah. Idris Jusoh tentu sama sekali tidak akan mengalah. Puak-puak sekelilingnya yang sanggup membujur lalu melintang patah mempertahankannya walaupun sehingga Baginda Sultan yang bersemayan digelar ‘natang’. Majlis perdamaian demi perdamaian diatur tetapi lebih kepada simbolik dan retorik. Kita berdamai di dalam majlis, di luar nanti cerita lain. Kamu puak kamu, aku puak aku!

Dengan kedudukan Ahmad Said sebelum 1 Januari 2011 hanya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri tentu ianya akan mencetus dilema bagi seorang Menteri Besar yang tidak menerajui kepimpinan parti di negeri sendiri dalam rangka menghadapi PRU 13 nanti. Tentu sekali percaturan susun atur calon-calon tidak berada di tanganya apatah lagi dengan kedudukan Idris Jusoh sebagai Pengarah Pilihanraya Umno Malaysia.

Hubungan rapat Idris dengan orang yang berkuasa di Putrajaya boleh menggugat peluang orang-orang Ahmad Said. Apatah lagi kepimpinan Ahmad Said dilihat tidak begitu dihirau dan dihormati oleh kerajaan pusat. Timbul juga cakap-cakap politik, apakah penggal ini, penggal pertama dan terakhir Ahmad Said menduduki kerusi Menteri Besar?
Mungkin atas senario ini beberapa orang ADUN Umno dilihat berani menjadi pembangkang kepada kerajaan sendiri tanpa mereka bimbang dengan peluang mereka untuk dicalonkan semula nanti. Pernah terdengar mereka berkata, “Apa kita nak takut dengan Mad Said, dia bukan Pengerusi Perhubungan. Kita lok (biar) dia duduk situ penggal ni saja, lepas ini kita bubuh (letak) dia dalam Zoo Kijal.” Begitulah optimisnya mereka tentang singkatnya hayat politik Ahmad Said. Itu pun belum diambil kira peluang Umno/BN untuk kembali memerintah Terengganu selepas PRU 13 nanti.

Ketika perwakilan Umno Kedah mendesak di dalam Persidangan Agong Umno supaya dikembalikan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri kepada pemimpin dari negeri jelapang padi tersebut, perwakilan Terengganu nyata membisu. Apakah betul bagai dikata, perwakilan Terengganu sendiri tidak menghendaki Ahmad Said dikembalikan jawatan tersebut? Kalau bukan Menteri Besar, maka siapa lagi yang layak dilantik ke jawatan ini. Idris Jusoh, Nasir Ibrahim Fikri, Ahmad Razif Abdul Rahman atau siapa lagi...?

Mampukah pengumuman Tengku Adnan Mansor semalam (Isnin 27 Disember 2010) memberikan nafas baru kepada hayat politik Ahmad Said? Mungkinkah ini khabar duka untuk Idris Jusoh dan penyokong setianya? Episodnya masih terlalu panjang...!
www.drazmanibrahim.com

Khusrin - belum muktamad !

Pemilihan Setiausaha Kerajaan Negeri Belum Muktamad, Kata MB Selangor

SHAH ALAM, 27 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru belum muktamad.

Ini kerana katanya, selain beliau tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu kerajaan negeri juga telah menubuhkan sebuah panel temuduga yang menyenarai pendek tiga nama.


Senarai nama itu telah dihantar kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendapat perkenan baginda, kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan, di sini hari Isnin.

Abdul Khalid berkata beliau juga akan mengadap Sultan Selangor itu pada Rabu ini berhubung perkara tersebut.

Pelantikan Mohd Khusrin diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini, bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang akan menamatkan perkhidmatan pada 31 Dis ini. Pelantikan Mohd Khusrin, 54, berkuatkuasa 1 Jan depan. -- BERNAMA

Anwar - Undi kerana sentimen, itu salah!

Tendensi pengundi Melayu memberi undi untuk mengangkat sesebuah kerajaan berpandukan sentimen adalah satu percaturan yang silap. Kesilapan berlaku apabila mereka malas mengangkat darjat akal. Akal yang menjadi aset paling berharga dalam diri manusia dipenyek oleh nafsu sehingga nafsu mendapat ruang udara yang begitu selesa untuk membuat percaturan bagi pihak tuannya. Nafsulah yang mencipta sentimen dan melenyapkan kewarasan budi..

Mana mungkin seseorang itu dapat mencipta keputusan yang bijak dengan berpandukan sentimen?

Mengundi ialah kerja politik yang amat penting dalam sistem demokrasi. Sebelum mengundi, masing-masing sudah memahat simbol parti yang akan dipangkah. Simbol itu bukan dipahat sebaik Parlimen atau DUN dibubarkan. Malah bagi sesetengah orang pahatan itu telah berpuluh tahun usianya. Kalaulah pahatan itu besi, maka sudah berkarat besi itu.

Ada pengundi Saluran 1 berkata, “Pakcik dah pangkah dacing sejak kapal layar lagi.” Kapal layar itu merujuk kepada Parti Perikatan sebelum tertubuhnya Barisan Nasional. Seolah-olahnya sejak merdeka hingga alaf baru ini, dunia tidak pernah berubah. Bagi mereka UMNO sentiasa moleh sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Mereka tidak dapat membezakan kepimpinan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dengan kepimpinan Tun. Dr. Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib. Apalagi untuk mereka sedari bahawa UMNO sebenar telah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah UMNO Baru yang dibuang perkataan ‘Baru’nya.

Sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, UMNO bukan lagi berjuang untuk rakyat. Mereka juga tidak layak dipanggil wakil rakyat. Sebahagian besar ADUN atau AP-nya adalah wakil perut dan kroni. Mereka mengaut keberuntungan ekonomi yang tidak pernah berkecukupan. Mereka mencari sekawah lauk konon untuk dijamu bersama rakyat. Namun senduk mereka cukup besar untuk mengaut segala isi yang lazat-lazat maka ditinggalkanlah untuk rakyat yang mengundinya kuah agar dapat dihirup beramai-ramai. JKKK-lah yang menjadi tukang membahagikan kuah itu. Sempat juga JKKK merasai seketul dua daging yang ditinggalkan oleh wakil-wakil mereka.

Sikap politik masyarakat Melayu lebih berpaksikan sentimen terutamanya golongan tua dan golongan pengundi luar bandar. Mereka menyokong UMNO/BN macam golongan muda dan golongan bandar menyokong pasukan bolasepak. Menjadi satu fenomena bagi golongan ini memuja pasukan Manchester United (MU), Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Pasukan bolasepak gergasi ini tiada kena-mengena pun dengan harta dan jatidiri rakyat Malaysia. Namun mereka yang gila bola boleh saja bersengkang mata kerana menunggu perlawanan yang melibatkan pasukan pujaan mereka. Mereka rela berhabis duit mengumpul jersey, mafla dan logo kebanggaaan EPL itu. Apabila pasukan pujaan mereka menang, mereka tidak mendapat apa-apa pun. Seduit pun tidak dihulurkan oleh juara EPL kepada mereka. Hendak dibanggakan pun tak layak dan dketawakan orang. Bila pula mereka membuat MOU dengan pasukan itu?

Inilah analogi sikap pengundi yang meletakkan sentimen sebagai asas sokongan mereka. Mereka buat parti politik bagaikan pasukan bolasepak. Mereka bertindak dalam pilihanraya seperti tindakan penyokong fanatik bolasepak. Mana mungkin begini? Di manakah letaknya akal yang waras? Mengapa diperbodohkan diri sendiri?

Menyokong dan memilih pasukan bolasepak tidak melibatkan dosa dan pahala. Siapa-siapa pun secara peribadi boleh meminati pasukan itu dan ini walaupun tanpa sebab yang konkrit. Itu diharuskan sahaja selagi pasukan yang disokong itu tidak membawa imej yang bercanggah dengan Islam. Malah kini telah pun heboh isu simbol syaitan dan minum keras yang terpapar pada jersey pasukan-pasukan berkenaan. Ini bermakna dalam hal sukan pun kita kena teliti agar tidak syirik atau rosak akidah sedangkan sukan pada dasarnya diharuskan oleh syarak.

Apalagi dalam hal politik dan memilih pemimpin. Semestinya melibatkan dosa pahala dan nasib diri serta generasi. Penulis tertarik dengan perbahasan pemuda kampung dalam isu hudud. PAS memperjuangkan hudud manakala UMNO menolak hudud dengan pelbagai alasan.

Kata pemuda itu sebagai konklusi perbahasannya, “ Agama saya kata orang mencuri mesti dipotong tangannya”. Dia berkata demikian kerana oponennya berkeras menolak hukum hudud. Pemuda yang mempertahankan hudud itu menggunakan ‘agama saya’ tidak ‘agama Islam’. Ini yang menarik bagi penulis. Apabila oponennya bertanya, “ Apa agamamu?” Pemuda itu menjawab, “Islamlah.” Lalu oponennya yang mendokong perjuangan UMNO berkata,“ habis, kau seorang saja Islam?” Maksudnya, aku juga Islam macam kamu. Lalu pemuda itu berkata lagi, “Agama aku kata pencuri perlu dipotong tangan. Agamamu kata pencuri sesuai dipenjara. Mana sama agama kita? Kalaulah agama kita sama tentulah hukumnya juga sama.”

Demikianlah satu misalan yang jelas bahawa politik PAS dan UMNO melibatkan hukum dosa dan pahala. Apalagi dalam memilih pemimpin. Tentulah perlu dipilih pemimpin yang jujur, tidak rasuah, boleh memimpin demi kebahagiaan dunia sampai ke akhirat yang kekal abadi. Mana boleh pilih pemimpin kaki rasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki tipu dan kaki sapu.

Kesimpulannya, masyarakat mestilah memilih parti dan mengundi bertolak dari keimanan di dada ( meskipun sedikit) dan disinari oleh akal yang bermaruah lagi bijaksana. Kita akan ditanya di akhirat kelak tentang amalan dan tindakan kita. Sebelum sampai di sana, di dunia ini pun kita inginkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk diri dan terutamanya anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Kesilapan kita memilih pemimpin bererti kita meletakkan nasib anak-anak kita dalam bahaya, gejala sosial yang menakutkan dan kesesatan hidup yang nyata. Janganlah berpegang kepada dakyah UMNO bahawa hidup hanya sekali sedangkan Islam mengajar kita bahawa hidup dua kali iaitu, sekali di dunia sekadar 60 tahun dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi. Ya, ingat-ingat sesungguhnya hidup ini dua kali, bukan sekali.(sumber:Sabahdaily.com)

Piala Suzuki - Gelora Bung Karno !


JAKARTA, 28 Dis — Perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF antara Malaysia dan Indonesia esok tetap berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno di sini, selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberi ‘lampu hijau’ semalam.

Keputusan itu dinyatakan Naib Presiden AFF Rafi Khyk selepas melakukan pemeriksaan ke atas stadium tersebut yang mengalami kerosakan pada rumput dan kemudahan lain, angkara sekumpulan penyokong Indonesia yang merusuh petang semalam kerana tidak mendapat tiket ke perlawanan berkenaan.

“Padang ini layak digunakan untuk pertandingan 29 Disember (esok) nanti, tetapi dalam dua hari ini masih tidak boleh digunakan untuk latihan,” kata Khyk.

AFF juga memutuskan semua kemudahan termasuk pagar pemisah penonton dan ruang untuk warga media boleh digunakan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Nugraha Besoes berkata usaha pemulihan stadium tersebut akan terus dijalankan dalam masa dua hari, terutamanya pada rumput yang kini ditanam semula.

Berikutan kejadian rusuhan itu, AFF mengancam untuk memindahkan perlawanan tersebut ke tempat neutral jika keadaan stadium tidak lagi sesuai.

Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi, Malaysia menewaskan Indonesia 3-0.

Kira-kira 12 jam setelah menumpaskan Indonesia pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Bukit Jalil, pasukan Malaysia tiba di Jakarta pagi semalam dengan berkeyakinan menghadapi perlawanan akhir kedua.

Berbekal dengan kelebihan agregat 3-0, jurulatih skuad “Harimau Malaya” itu K. Rajagobal berkata pasukan Malaysia tampil dengan keyakinan untuk menghadapi skuad “Garuda”.

“Sudah tentu kami datang dengan keyakinan dan semangat kesukanan yang tinggi. Jika ditanya kepada sesiapa sekalipun pastinya masing-masing mahu menang dan tiada siapa mahu tewas.

“Jadi kita tunggu dan lihat sahaja,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tangerang, Banten ketika ditanya pemberita sama ada beliau yakin pasukan akan muncul juara Piala AFF kali ini.

Sebelum menaiki bas bersama anak-anak buahnya menuju hotel penginapan di Jakarta, Rajagobal sempat berseloroh apabila ditanya pemberita sama ada pemain Malaysia ada yang cedera.

Terdahulu ketibaan skuad “Harimau Malaya” itu di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Cengkareng, Tengerang, Banten disambut dengan nyanyian lagu patriotik oleh sekumpulan pelajar Malaysia di Indonesia.

Pertandingan bola sepak Piala AFF kali ini menarik minat besar warga Indonesia setelah pasukan “Garuda” muncul unggul dalam perlawanan di peringkat penyisihan dan peringkat separuh akhir, kesemuanya di gelanggang sendiri.

Kekalahan Indonesia 0-3 ke atas Malaysia di Kuala Lumpur semalam mengecewakan para penyokong pasukan itu namun mereka tetap berharap, pasukan mereka pasti akan berjaya mengatasi Malaysia di gelanggang mereka sendiri esok.

Indonesia sekurang-kurangnya harus menang dengan 4-0 pada perlawanan akhir kedua bagi memenangi pertandingan itu. — Bernama

Generasi Masa Depan Dan Perjuangan

Selamatkan Generasi Masa Depan,Pastikan perjuangan diteruskan

IPOH : Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan agar seluruh ahli PAS memastikan kesinambungan perjuangan dapat dipelihara dengan baik dengan memastikan anak-anak dan anggota keluarga mereka menjadi ahli PAS dan mendaftarkan diri masing-masing dalam daftar pemilih bagi menjalankan tanggungjawab memastikan kemenangan dalam setiap kali pilihanraya diadakan.


Menurut beliau (foto-Ustaz Abu Bakar ditengah) anak-cucu kita adalah antara golongan penting yang perlu membuat perubahan politik secara besar-besaran dalam pilihanraya akan datang bagi menyelamat negera kita dari penyelewengan Umno BN.

Memetik kata-kata beliau “Kita sebagai ahli PAS perlu sedar tanggungjawab besar untuk membuat perubahan politik yang bermula dari diri kita dan memastikan generasi kita menjadi ahli dan pendukung parti bagi kesinambungan perjuangan

“ Kita tak mahu lihat ada ahli kita yang semangat berkobar-kobar menentang Umno tetapi tidak pula mahu mengikat anak-anak dalam jamaah yang akhirnya mereka menentang Islam yang kita perjuangkan”

Beliau juga menyatakan kini rakyat sangat memerlukan perubahan politik besar-besaran bagi menyelamatkan negara ini dari penyelewengan dan segala bencana termasuk masalah gejala sosial yang semakin dashyat.

Justeru Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik kepada rakyat Malaysia untuk menggantikan kepimpinan negara yang selama ini dikemudi oleh pemimpin Umno BN yang telah banyak menggadaikan hak negara dan kepentingan rakyat dan ia bertambah buruk apabila generasi muda di Malaysia kini semakin rosak akhlaknya disebabkan punyai pemimpin negara yang juga lebih teruk rosak akhlaknya, tegas beliau.

Susahnya 'melayu' menjelang tahun baru ?

Ahmad Baei Jaafar
Selepas menyambut Maal Hijrah baru-baru ini, kita bersiap-siap pula untuk menyambut tahun baharu Masihi, 2011. Kalau Maal Hijrah kita diingatkan tentang hijrah, tahun Masihi pula kita diingatkan dengan pakaian anak sekolah. Itulah realiti orang Melayu di negara ini.


Walaupun orang lain turut sebuk menguruskan hal itu, namun orang Melayu lebih nampak serius. Bukan serius kerana terlalu mengambil berat hal pendidikan anak-anak tetapi, baru gelabah mencari wang. Ada yang mengharapkan wang zakat, harapkan bonus kerajaan dan belas kasihan orang ramai.

Kenapa orang Melayu tidak membuat persiapan awal dari awal tahun lagi? Miskin sangatkah orang Melayu sehingga soal pendidikan anak terpaksa mengharapkan kerajaan dan bantuan zakat dan orang ramai? Bayangkan kalau sebulan seseorang bapa atau ibu boleh menyimpan RM10 sudah tentu pada akhir tahun sudah ada RM120. Rasanya jumlah itu cukup untuk membeli baju dan kasut serta peralatan sekolah anak-anak.

Sepatutnya orang Melayu tidak susah kerana Allah selalu memerintahkan mereka dengan solat dan mengeluarkan zakat. Dua ibadah itu adalah pakej yang wajib diutamakan oleh umat Islam. Orang Melayu yang beragama Islam pasti taat perintah Allah lalu mereka akan menunaikan solat dan berzakat. Soalnya bolehkah orang miskin mengeluarkan zakat?

Terfikirkah kita kalau Allah perintahkan orang Islam mendirikan solat, dan menunaikan zakat, maka wajiblah ditunaikan. Jadi, bagaimana orang Islam atau orang Melayu boleh mengeluarkan zakat kalau mereka miskin. Maknanya secara tidak langsung Allah perintah kita supaya menjadi orang kaya yang masing-masing boleh mengeluarkan zakat. Bayangkan kalau semua orang Islam kaya, semua orang Melayu banyak wang, akan berlakukan senario yang disebut di atas?

Kalaupun kita tidak jadi kaya, setidak-tidaknya kita pandai berjimat berbelanja dan pandai menabung. Menabung di mana? Bukankah kita ada Tabung Haji, kita ada bank, kita ada syarikat saham dan kita boleh sertai koperasi. Tetapi berapa ramai yang menabung dalam syarikat tersebut? Memang terlalu sedikit.

Hakikatnya ramai orang Islam tidak sedar atau terlepas pandang bahawa mereka seharusnya menabung dan tempat yang paling sesuai buat masa ini ialah di dalam syarikat takaful. Kenapa? Ya, dengan menyimpan di dalam syarikat takaful, mereka secara langsung mendapat tiga manfaat. Pertama menyimpan sekali gus melabur, kedua melakukan kebajikan dengan menyumbang khairat kepada peserta lain, dan yang akhir mendapat perlindungan harta dan pendapatan.

Bayangkan kalau semua orang Melayu berbuat begitu, bila anaknya ingin memasuki universiti, wang itu boleh digunakan sehingga tamat pengajian. Apatah lagi kalau bapa-bapa anak-anak tersebut telah menabung secara khusus untuk mereka dalam takaful. Selepas tamat ijazah pertama, boleh disambung lagi untuk membuat master.

Inilah yang tidak pernah difikirkan oleh ibu bapa semasa anak mereka masih kecil. Bila ditanya, kenapa tidak mahu menabung semasa anak itu masih kecil, katanya masih awal lagi. Nanti besar tahulah apa yang hendak dilakukan. Yalah, kena pinjam PTPTN. Jadi, kita telah mengajar anak kita supaya berhutang sejak bersekolah lagi.

Betapa zalimnya kita, ibu bapa termasuk saya. Semasa muda tidak sedar hal ini. Kita biarkan anak kita dalam keadaan terpaksa pinjam PTPTN. Atas kesedaran inilah saya pada hari ini mengajak anda kalian agar menabung dengan takaful dari sekarang. Sayangilah anak-anak sebelum anda tiada.

Sokong Toleransi antara Kaum

Kenyataan Media
Sokong Toleransi antara Kaum dalam mengekal perjuangan PR
Dewan Pemuda PAS Kaw Gopeng

28 Dis : Dewan Pemuda PAS Gopeng bersetuju penuh saranan Ketua penerangan KeADILAN Dr Mohd Nur Manuty (Harakah 24-26 Dis) agar Pakatan Rakyat menyelami falsafah perjuangan atas landasan toleransi kepelbagaian agama.


Tidak dapat dinafikan perjuangan melalui landasan dimensi baru seperti Pakatan Rakyat adalah suatu perjuangan yang realiti dan pastinya mewakili komposisi kaum, stratafikasi sosial serta pluralisasi budaya yang wujud di bumi Malaysia.

Namun begitu, para pendokong pakatan Rakyat dan ahli PAS terutamanya tidak seharusnya larut dengan kempen dan idea-idea perkauman sempit yang kian dikumandangkan oleh UMNO menjelang pilihanraya akan datang. Idea yang menghalang kelancaran persefahaman antara kaum dan agama dalam komponen Pakatan Rakyat perlu diketepikan.Malah menurut beliau juga, pegangan kaum Muslim (ahli PAS) berkenaan konsep Agama Islam yang hanya diiktiraf oleh Allah (In Addin Indallah Al Islam) adalah perkara ‘thabat’ yang menjadi tulang belakang aqidah tidak akan merosakkan saranan agama untuk berinteraksi dan memakmurkan bumi ini secara adil dan mengajak ke arah kebaikan. Perinsip aqidah adalah teras agama dan ia bukan alasan untuk umat Islam menolak toleransi antara agama dalam negara ini.

Malah kata-kata Setiausaha Dewan Ulama’ PAS P.Pinang juga mencerminkan hasrat yang sama dalam usaha PAS mengenepikan sikap perkauman dan ketuanan bangsa yang mengakibatkan keutamaan menolak kezaliman gagal.

Apakah kita tidak boleh bersatu? Persoalan ini mesti kita rungkaikan supaya tidak menjadi kusut dari unsur-unsur yang kita sendiri kadang-kadang tersasul kerana perbezaan Agama, Bangsa serta Adat Budaya yang berbeza. Mari kita bersama-sama memahami masaalah ini agar kita dapat bertaut di antara satu sama lain bagi mencapai maksud yang sama tanpa ada sebarang halangan serta tembok pemisah. ( Teks ucapan untuk Konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang 21-November 2010 Dewan Tunku KOMTAR)

Berdasarkan gagasan ini, kami Pemuda PAS Gopeng menginsafi bahawa kerusi DUN Sungai Rapat yang sekian lamanya ditandingi oleh PAS disini terdiri daripada hanya 62.39 % kaum Melayu manakala lebihannya adalah kaum bukan islam ( Cina 28%, India 9%). Begitu juga bagi Parlimen gopeng yang hanya terdiri daripada 42% kaum melayu sahaja.

Jelas, pertautan kerja erat antara kaum di parlimen Gopeng dan DUN Sungai rapat adalah perlu untuk mengekalkan kemenangan PR. Dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS kawasan Gopeng juga sedikit sebanyak bakal menyemarakkan lagi agenda penerangan kepada kaum bukan islam dan menimbulkan kesedaran kepada kaum melayu betapa tegarnya sikap kaum bukan Melayu terhadap agenda perubahan kerajaan yang lebih baik.

Jentera PAS Perak dan Gopeng terutamanya perlu mulai bertindak atas kesepaduan kerja antara kaum serta mengeratkan hubungan dengan parti Pakatan Rakyat yang lain untuk menghadapi jentera BN PRU-13 akan datang serta mengambil resolusi Konvensyen PR di Pulau Pinang sebagai landasan kefahaman kerja.

Muhammad Nuruddin Bashah
Ketua Penerangan DPPK Gopeng