26 December 2010

Perhimpunan Bekas pelajar SMA Al Tahzib Titi Serong.

19 Muharram 1432H.

TITI SERONG,26 Dis.:- Binaan bangunan dan institusi pendidikan atas nama Allah dan kerana tuntutan Allah tanpa mengharapkan pujian dan sanjungan manusia pasti akan terus kekal walaupun terdapat usaha untuk merobohkannya, Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi ucapan perasmian dalam Perhimpunan Bekas Pelajar Tahzib di sini pagi tadi.

Himpunan yang dihadiri oleh sekitar 200 orang bekas pelajar tahzib itu turut dihadiri oleh Isteri ADUN berkenaan dan Pengetua Sekolah.

Sekolah Menengah Agama Al Tahzib pernah menggemparkan banyak pihak bila pihak pengurusan sekolah mengambil langkah yang drastik dengan bertindak untuk keluar dari senarai Sekolah Agama Bantuan kerajaan (SABK) pada tahun lepas. Sekolah itu pernah berada dalam senarai SABK sejak tahun 2006.




Pada kesempatan itu Drs. Khalil telah memberikan beberapa contoh besar dengan usaha pihak tertentu untuk meruntuhkan binaan atas nama Allah. Antaranya bangunan Kaabah yang pernah ingin dirobohkan oleh Abrahah dengan tentera bergajahnya namun digagalkan oleh Allah SWT yang mengirim gerombolan burung yang melampari mereka dengan batu yang membinasakan musuh Islam itu.

"Terdapat juga usaha untuk melihat PASTI ditutup namun ianya masih gagal sampai sekarang" Tegasnya.

Pada kesempatan itu beliau mendedahkan perkembangan institusi agama seperti sekolah menengah, rendah dan maahad tahfiz terus berkembang waaun terdapat pihak yang tidak senang dengan usaha itu.

"Sekarang pemimpin suruh Islam ikut dia sedangkan yang sepatutnya kita kena ikut Islam" Jelas Khalil.

Drs. Khalil lawat PASTI Al Mu'tasim

19 Muharram 1432H.

TITI SERONG, 26 Dis.:-ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim bersama dengan isteri membuat peninjauan proses pendaftaran pelajar baru PASTI Al Mu'tasim Jalan Terusan Titi Serong pagi ini.Beliau dan Isteri bergambar dengan Jawatankuasa PASTI dan guru-guru yang mengajar di situ.

Pada hari pendaftaran pada hari, PASTI Al Mu'tasim menerima 20 orang pelajar baru.

Lawatan yang singkat itu digunakan oleh Drs. khalil untuk meninjau kemajuan dan keperluan yang mendesak bagi PASTI itu.

Ceramah Umum di Lenggong .

19 Muharramn 1432H.

Ceramah umum sempena pelancaran Badan Bertindak Peserta Felcra (BAPA) di Lenggong, penceramah utama Yb. Ust Nasaruddin Mat Isa dan Sdr Mazlan Aliman. Kehadiran baik sekitar 1000 orang penduduk tempatan termasuk kaum Cina dalam keadaan cuaca yang baik.

RM500: Kenapa Muhyiddin takut sangat?

19 Muharram 1432H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Dis: PAS mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar jangan mudah melatah ataupun hanya akan memperlihatkan sikap takut dan gelabah beliau terhadap janji Pakatan Rakyat.

Ketua Penenrangan PAS, Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS merasa pelik dengan sikap Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno yang sangat emosi terhadap komitmen Pakatan Rakyat untuk menaikkan RM500 sebulan kepada guru jika Pakatan memerintah negara seperti diumum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS merasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

"Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang.

"Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa tawaran Pakatan Rakyat untuk pendidik itu hanya janji politik dan sukar dilaksana untuk guru sahaja dan memberi alasan dengan mempersoal imbuhan kepada kakitangan awam lain.

Menurut Idris, untuk peringkat awal janji tersebut hanya diberikan kepada guru namun semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga selepas ini.

"Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.

"PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat, jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas," ujarnya lagi.

Sambil menasihatkan Muhyiddin sabar dan tidak emosi, Idris juga mahu timbalan perdana menteri itu meneliti ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang merupakan manifesto Pakatan yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga jelasnya tentu lebih arif dalam hal kewangan negara berbanding pendapatan kerajaan negeri yang terlalu kecil.

"Jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.

"Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan.

"Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan," katanya.