23 December 2010

Pimpinan PR, masanya turun padang perjelas tawaran 100 hari.

17 Muharam 1432H
Oleh : Hafizi Pauzi.

PARIT BUNTAR, 22 Dis :- Mengulas mengenai kenyataan PM dan TPM yang disifatkan sebagai cuba memperkecilkan tawaran Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia menggambarkan bahawa isu ini sudah melahirkan keresahan yang bukan kepalang bagi pimpinan tertinggi parti itu.

Dalam isu ini, Pakatan Rakyat perlu membentuk satu pelan jangka masa pendek, dalam masa yang sama tidak mengabaikan pelan jangka masa panjang dalam misi menawan Putarajaya.

Pelan tersebut haruslah merangkumi gerak kerja dari peringkat pimpinan tertinggi parti dan disemua peringkat dalam Pakatan Rakyat turun padang, bersua dengan rakyat bertujuan memperjelaskan program 100 hari sebagaimana yang termaktub di dalam buku Jingga yang menjadi topik perbahasa dalam Konvesnsyen pada Ahad baru-baru ini.

“Pakatan Rakyat mesti melakukan sesuatu supaya rakyat faham dengan tawaran itu dan mereka kekal dengan momentum anti BN, pimpinan PAS,DAP dan PKR perlu turun padang bagi menjelaskan program 100 hari tersebut,” kata ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya lagi, rakyat khususnya menaruh harapan tinggi agar pihak kerajaan mampu mengatasi masalah besar yang melanda Malaysia pada hari ini, antaranya masalah jenayah, rasuah, salah guna kuasa, kemerosotan ekonomi, kemusnahan sistem kehakiman, dan yang paling mengusarkan hati ialah masalah salah faham Islam dalam kalangan umat Islam sendiri.

Selain itu bila pemimpin Pakatan turun kebawah menjelaskan iisu berkenaan sekaligus menyakinkan rakyat bahawa itu adalah suatu kenyataan yang boleh dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

“BN nampaknya seperti sudah tidak mampu menangani permasalahan ini, respon awal Najib dan Muhyiddin menanmapkan mereka menggelabah, Saya kira strategi Pakatan Rakyat sudah mengena dan usaha turun kebawah menjelasakan kepada rakyat mestilah disegerakan,” tegasnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan "Buku Jingga" yang dilancarkan dalam konvensyen pakatan Rakyat Ahad lalu diperbanyakkan dan disebarkan kepada seluruh rakyat malaysia secara percuma bagi memastikan pelbagai tawaran lain sampai kepada rakyat.

"Waktu sekarang mereka ada masa untuk baca kalau parlimen dan DUN dibubarkan nanti mereka tidak baca lagi waktu itu sudah terlambat" Katanya.

Rumah, pejabat tertuduh kes Sosilawati disita

17 Muharam 1432H

Polis telah mendapat perintah mahkamah untuk menyita rumah dan pejabat peguam N Pathmanabhan yang dituduh membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, berkuatkuasa 16 Disember lepas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan berkata perintah yang diperoleh oleh Pasukan Petugas Khas Operasi/Anti Keganasan Bukit Aman itu, bagi membolehkan siasatan dibuat berhubung satu laporan polis di Teluk Panglima Garang membabitkan kes pengubahan wang haram.

Menurut kenyataan itu, Timbalan Pendakwa Raya telah memutuskan untuk melaksanakan tindakan penyitaan terhadap satu unit rumah teres dua tingkat dan satu unit bangunan pejabat tiga tingkat, kedua-duanya terletak di Banting, Selangor.

Pada 13 Okt lepas, Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 19, R. Matan, 20, dan R.Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di satu kawasan di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, pada 30 Ogos lepas.

Kes itu akan didengar semula pada 27 Jan tahun depan.

Malaysiakini/-

Pengendali facebook hina sultan ditahan

17 Muharam 1432H

Polis telah menahan pemilik akaun facebook "Sultan Yang Setan" yang diburu sejak Ogos lepas kerana menyiarkan komen menghina institusi diraja Johor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, berkata lelaki berumur 40 tahun itu yang dipercayai mewujudkan akaun itu selepas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail Januari lepas, diberkas di ibu negara pada 29 November lepas.

Turut dirampas ialah lima telefon bimbit dan PDA pelbagai jenis, empat komputer riba, dan perkakas komputer, katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Satu pasukan petugas telah menyiasat kes itu selepas lima laporan polis dibuat tentang kewujudan laman itu.

Syed Ismail berkata siasatan mendapati lelaki yang berasal dari ibu negara dan bergerak sendiri itu menyiarkan komen-komen yang mempunyai unsur menghina institusi diraja.

Akaun tersebut menggunakan alamat e-mel 'pendekar.bentan@gmail.com' namun identiti yang digunakan adalah kepunyaan individu lain, katanya.

Syed Ismail berkata lelaki itu adalah bekas pelajar sebuah universiti tempatan.

"Motif suspek mewujudkan akaun itu adalah untuk memperjuangkan idealisme sendiri kerana siasatan mendapati beliau tidak terlibat dengan mana-mana politik," katanya.

Syed Ismail berkata, lelaki mendapat pengetahuan untuk menggunakan internet melalui pembelajaran sendiri selain menggunakan perisian tertentu yang boleh menyembunyikan identitinya.

Katanya tiga orang telah ditahan berhubung kes seumpamanya.

"Kertas siasatan telah diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," katanya.

Beliau menasihati para pengguna internet supaya menjaga keselamatan alat-alat yang digunakan untuk membuat capaian internet seperti 'wireless
router' supaya mendaftar keluar jika tidak lagi digunakan.

"Jika tidak mahir dalam penggunaannya dapatkan nasihat pakar cara untuk menggunakannya selain berhati-hati jika ada orang yang tidak dikenali
menggunakan capaian internet di rumah," katanya.

Bagi pengguna laman sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster, Syed Ismail menasihatkan mereka supaya tidak mendedahkan maklumat diri dan gambar kepada individu tidak dikenali.

"Jangan tulis sebarang unsur fitnah dan hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam dalam laman-laman sosial kerana polis mampu mengesan sebarang hebahan yang salah," katanya.

Malaysiakini/-

GMI: Tahanan ISA meningkat 150%

17 Muharam 1432H
Oleh : Kow Gah Chie

Dua puluh lima orang ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - meningkat daripada 10 orang tahun lalu, demikian menurut Gerakan Mansuhkan ISA hari ini.

Dalam satu sidang akhbar, presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata mereka termasuk lapan pegawai imigresen dan seorang rakyat asing yang ditangkap pada 13 Oktober.

"Kami mengesyaki kerajaan mempunyai agenda tersembunyi. Ini mungkin menekan dan mengancam 'ikan kecil' daripada mendedahkan penyangak sebenarnya," katanya.

Syed Ibrahim berkata, ini bukan kes pertama, kerana pegawai Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen, pernah ditahan sebelumnya, yang menurutnya, untuk menghalang mereka memberi keterangan di mahkamah untuk mendedahkan sindiket jenayah.

Undang-undang, dakwanya, juga telah digunakan untuk penganiayaan keagamaan seperti dalam kes serbuan terhadap sebuah kelas agama di Sg Cincin, Gombak di Selangor.

Menurutnya, perintah penahanan selama 60 hari dikeluarkan terhadap 10 orang yang menghadiri kelas tersebut. Bagaimanapun, sembilan rakyat asing kemudianya dihantar pulang ke negara masing-masing.

Manakala satu-satunya rakyat Malaysia dalam kumpulan tersebut, Azzahari Murad, telah dikenakan Perintah Kediaman Terhad selama dua tahun.

Malaysiakini/-

Exco S'gor: PM keliru, bawa bencana nuklear

17 Muharam 1432H

Exco kerajaan Selangor Elizabeth Wong menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak keliru apabila kerajaan pimpinannya merancang membina loji janakuasa nuklear ketika rakyat Malaysia terus membantahnya.

"Ini akan mengakibatkan bencana ekonomi dan alam sekitar. Najib ingin membazirkan RM21.3 bilion walaupun kita sepatutnya memandang ke arah tenaga suria," katanya.

Menurut Elizabeth lagi, panel solar antarabangsa seperti Q-Cells dan FirstSolar sudah mula bertapak di dua negeri Pakatan Rakyat, Selangor dan Kedah.

"Kita sepatutnya memperkuatkan sektor (tenaga hijau) ini dan bukan terperangkap dalam jalan mati yang (dipenuhi) toksik," katanya yang bertanggungjawab dalam pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar di Selangor.

Kelmarin, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, Malaysia merancang untuk membina dua loji nuklear - masing-masing menjana 1,000 megawat - sebagai sebahagian daripada rancangan mengimbangi bekalan tenaga.

Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Elizabeth juga menyuarakan kebimbangannya terhadap "kekurangan ikhtiar dari kerajaan pusat" dalam isu-isu alam sekitar.

"Walaupun pada tahun lalu di persidangan iklim Copenhagen, perdana menteri telah menyuarakan janji-janji untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau sebanyak 40 peratus pada tahun 2020, kami belum melihat sebarang tindakan bermakna dari kerajaan pusat," katanya.

Malaysiakini/-

Loji nuklear: S'gor tanya PM hasil kajian menyeluruh

17 Muharam 1432H

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengulangi pendiriannya membantah projek tenaga nuklear yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan pusat kerana ia akan mengakibatkan bencana ekonomi dan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan hari ini, sekretariat akhbar kerajaan negeri itu juga mendakwa perdana menteri "kurang jujur kepada rakyat mengenai rancangan nuklear itu".

"Beliau berjanji dalam blognya awal tahun ini, bahawa satu kajian menyeluruh akan dijalankan sebelum projek nuklear ini diteruskan. Teknologi hijau seperti tenaga angin, suria dan biomass sepatutnya dikaji bersama.

"Dimanakah kajian tersebut? Lebih membimbangkan lagi, kini projek nuklear Najib ini digandakan menjadi dua stesen penjanakuasa nuclear setelah dimasukkan ke dalam Rancangan Transformasi Ekonomi (ETP) beliau," kata sekretariat itu.

"Apakah alasan untuk keputusan ini? Siapakah yang akan untung? Rakyat berhak mendapat jawapan," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, sekretariat tersebut menyeru Najib supaya menerbitkan kajian menyeluruh yang kononnya dijalankan, ataupun memberi penjelasan mengapa kajian tidak pernah dibuat.

Ia juga penjelasan mengenai di mana sumber RM21.3 bilion untuk dua stesen penjanakuasa nuklear tersebut.
Menurut sekretariat itu, ketika mula-mula dicadang pada Oktober 2008, kerajaan Pakatan Selangor menyuarakan bantahan terhadap tenaga nuklear di negeri ini.

"Kami ingin menyatakan pendirian kami sekali lagi. Tiada rakyat Malaysia yang perlu didedahkan kepada bahaya sebegini. Bukan sahaja di Selangor, tetapi seluruh Semenanjung. Sabah dan Sarawak.

"Kami mendesak negara Malaysia kekal sebagai Zon Bebas Nuklear," tambahnya.

Kini, kata sekretariat itu lagi, sudah jelas perdana menteri berhasrat memaksa rakyat Malaysia menerima projek tenaga nuklearnya.

"Sepertimana projek Empangan Bakun diteruskan walaupun ditolak oleh rakyat, pendirian Najib membuktikan cara angkuh BN masih tidak berubah.

"Kedua-dua projek tersebut juga mempunyai persamaan yang lain, iaitu mengakibatkan bencana ekonomi dan alam sekitar di Malaysia," kata sekretariat itu lagi.

Ia mendakwa BN tidak boleh diharap untuk mengurus dengan selamat teknologi sebahaya ini.

Malangnya, tambah sekretariat itu, Menteri Tenaga Datuk Seri Peter Chin hanya mengumumkan "lebih kempen perhubungan awam untuk memperdayakan rakyat."

"Ini bukan pentadbiran yang bertanggungjawab dan telus. Pentadbiran Najib tidak ada rancangan jangka panjang yang selamat untuk membuang sisa-sisa nuklear yang toksik.

"Sebenarnya, tiada negara di dunia yang ada penyelesaian kepada masalah ini. Negeri manakah di Malaysia yang akan dijadikan tapak pembuangan sisa-sisa nuklear?

"Kerajaan negeri Selangor akan berjuang untuk melindungi negeri dan rakyat kami dari sisa-sisa nuklear," katanya lagi.

Menurut sekretariat itu lagi, isu-isu keselamatan negara dan kedamaian antarabangsa juga perlu dipertimbangkan.

"Perlindungan stesen penjanakuasa nuklear ini dari unsur-unsur pengganas tidak pernah dibangunkan oleh pihak BN. Bolehkah kita menghalangkan bahan nuklear dari dicuri dan dijual apabila enjin kapal terbang kita pernah dicuri sebelum dijumpai di Uruguay?

"Negara Malaysia bakal menjadi pengeluar panel solar ketiga besar di dunia. Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baru telah dibaca di Parlimen
baru-baru ini.

"Macam manakah projek yang berisiko tinggi ini dipertimbangkan sedangkan kita mempunyai pilihan yang lain?" tambahnya.

Menurutnya, menyelesaikan masalah tenaga Malaysia bukan sekadar membina stesen penjanakuasa dan "ini hanya menguntungkan pemilik stesen-stesen tersebut".

Pengurusan tenaga secara bertanggungjawab, tegas sekretariat itu, memerlukan penggunaan tenaga dengan lebih cekap, mengurangkan subsidi melampau yang diberi kepada penjana tenaga bebas (IPP).

"Dan memastikan sambungan kepada masyarakat-masyarakat luar bandar yang terpinggir, khususnya Orang Asli dan Sabah dan Sarawak.

"Penggunaan sumber tenaga yang hijau juga penting untuk mengurangkan kesan perubahan iklim," tambahnya.

Menurut sekretariat itu lagi, kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya:

1. Membuat kajian menyeluruh bagi menyelesaikan masalah tenaga Malaysia secara menyeluruh, melibatkan kesemua pihak yang terlibat, bukan sahaja Tenaga Nasional dan penyokong nuklear;

2. Menerbitkan keputusan kajian tersebut untuk semua;

3. Mengadakan perbincangan bersama rakyat, badan bukan kerajaan, kerajaan negeri, agensi kerajaan, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan;

4. Membuat keputusan yang telus setelah menimbang baik-buruk. Malangnya, keputusan meneruskan projek nuklear ini dibuat secara tertutup, dan janji kosong kajian menyeluruh tidak ditunaikan.

"Keputusan untuk bergantung pada tenaga nuklear amat tidak bertanggungjawab dan membazirkan, sedangkan tiada usaha untuk membetulkan kelemahan sektor tenaga elektrik di Malaysia.

"Jika BN tidak dapat menyelesaikan masalah Malaysia secara bertanggungjawab, rakyat perlu menolak mereka melalui peti undi," tambahnya.

Malaysiakini/-

Kos sidang wanita pertama RM4.5 juta

17 Muharam 1432H
Oleh : Regina Lee

Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang diilhamkan dan dinaungi isteri perdana menteri Rosmah Mansor mencatatkan perbelanjaan kerajaan hampir RM4.5 juta.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil mendedahkan perbelanjaan untuk program tiga hari itu sebanyak RM4,498,949.99.

Program melibatkan 15 wanita pertama dariapda seluruh dunia - kebanyakan yang hadir daripada negara-negara Africa - berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober.

Ekoran penjelasan itu, senator Syed Husin Ali daripada PKR membangkitkan persoalan kewajaran Rosmah dianjurkan oleh isteri perdana menteri sedangkan menurutnya dalam negara ini wanita pertama adalah Permaisuri Agong.

Dalam sidang media hari ini, Syed Husin yang juga bekas timbalan setiausaha agong mempertikaikan asas peruntukan sebanyak itu diberikan sedangkan tiada peranan oleh Permaisuri Agong.

Malaysiakini/-

CUEPACS JANGAN TUTUP MULUT TERHADAP TAMBAHAN 2 JUTA OLEH KERAJAAN PUSAT

17 Muharam 1432H
Oleh :Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 23 Dis :-Berhubung dengan penambahan Geran tahunan kerajaan kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan dinaikkan kepada RM2 juta setahun bermula tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut mengumumkan pemberian RM1 juta untuk kongres berkenaan bagi membaik pulih ibu pejabatnya.

“Mereka (CEUPACS) dinasihat supaya jangan mengambil sikap berdiam diri dengan penambahan tersebut,” kata Ketua Penerangan PAS Perak ketika ditemui di sini.

CEUPACS perlu menjalankan peranan mereka sebagaimana sepatutnya, peranan dalam membela nasib pekerja-pekerja amat diperlukan di Negara ini, sesuai dengan slogan BN mendahulukan rakyat, CEUPACS jangan biar rakyat tidak tahu isu penambahan dana ini, perlu maklumkan dahulu kepada rakyat tentang berita gembira ini.

“Amanat yang diberi oleh PM perlu dijalankan dengan ikhlas dengan memperjuangkan hak para pekerja dalam situasi apa pun, tegasnya.

Menurutnya yang juga Ketua Sekretarit Pakatan Rakyat Perak, CEUPACS diharap tidak terpedaya dengan habuan tambahan ini, penambahan Geran ini perlu dimanfaatkan sebaiknya kearah menjaga kepentingan pekerja, dalam banyak hal berkaitan keadilan, BN telah menolak suara rakyat yang menentang sebarang unsur kezaliman, jadi CEUPACS perlu membela pekerja yang merupakan rakyat Malaysia dalam soal kebajikan pekerja.

“CEUPACS diharap sudah bersedia dari segenap aspek untuk bekerjasama dengan kerajaan baru di Putrajaya selepas PRU 13 nanti, sebab Pakatan Rakyat sentiasa konsisten dan komited dengan gelombang Malaysia baru yang lebih selamat dan sentiasa ingin menyelamatkan setiap rakyat Malaysia dari ditindas oleh sebarang bentuk kezaliman,” katanya mengakhiri sesi temuramah.

Pinda ISA: GMI dakwa Umno BN bohong

17 Muharam 1432H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa Kerajaan Umno BN berbohong dan sengaja melengah-lengahkan pindaan ke atas akta berkenaan yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat lebih setahun lalu.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh mempersoal sikap kerajaan yang bertegas untuk meneruskan Akta Keselamatan Dalam Negeri itu dan mengambil masa yang panjang untuk memindanya.

"Sekarang ini sudah penghujung tahun 2010, tak ada pun pindaan yang dijanjikan. Mana janji-janji mereka?

"Suatu yang sangat ketara ialah kerajaan tidak akan mudah melepaskan tongkat paling berkuasa ini. Mereka sedang cuba bersungguh-sungguh menjual idea pindaan dan bukan mansuh," kata beliau dalam sidang media di ibu negara hari ini.

GMI, tegasnya amat yakin pindaan yang dicanangkan kerajaan itu hanyalah pindaan kecil berbentuk kosmetik semata-mata.

Pindaan itu tegasnya, tidak akan mengubah apa-apa untuk mencegah ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia selagi tidak mengambil kira lima perkara asas akta zalim itu.

Lima perkara tersebut ialah penahanan tanpa bicara, kuasa-kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan, hak dan layanan terhadap orang tahanan dan isu persepsi awam bahawa ISA digunakan untuk kepentingan politik.

"GMI percaya bahawa sebarang pindaan terhadap kelima-lima perkara ini tidak akan membawa sebarang makna kerana kielima-lima aspek ini adalah antara yang membenarkan parti pemerintah untuk terus memerintah.

"Mungkin atas sebab itu, terdapat desas desus mengatakan hanya tempoh penahanan akan dipinda daripada 60 hari kepada 30 hari.

"Isu persepsi awam terhadap ISA hanya boleh ditangani dengan pemansuhan ISA, tindakan siasatan profesional polis, kewujudan semakan mahkamah dan pendekatan serta sikap yang lebih prihatin terhadap keadilan dan hak asasi manusia tanpa menjejaskan keselamatan negara," kata beliau.

Terus desak kerajaan mansuh ISA, bukan pinda

Sehubungan itu, GMI memutuskan untuk terus mendesak kerajaan memansuhkan ISA, membebaskan tahanan dan menutup Kem Kamunting (Kemta) menjelang tahun baru 2011.

Selain ISA, GMI juga menuntut semua undang-undang yang melanggar Perlembagaan Negara dan Artikel 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948 serta Artikel dalam Deklarasi Islam Hak Asasi Manusia Sejagat (UIDHR) 1981.

"GMI mengajak dan menyeru rakyat dan anggota alam gabungannya menyokong tuntutan memansuhkan ISA.

"GMI tidak akan sekali-kali tunduk kepada prinsip yang melibatkan penahanan tanpa bicara," tegasnya.

Selain itu katanya, GMI mahu laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ddibahaskan di parlimen dan melaksanakan syor yang dikemukakan.

Syed Ibrahim sebelum itu membentangkan aktiviti yang dilaksanakan GMI sepanjang tahun 2010 yang menyedarkan rakyat mengenai kewujudan akta ini.

Program paling besar yang berjaya membuka mata kerajaan terhadap tuntutan rakyat ialah Himpunan Mansuh ISA di ibu negara 1 Ogos lalu yang menghimpunkan ribuan rakyat selain program-program penerangan di seluruh negara.

Selain itu, GMI turut mendapat sokongan antarabangsa dengan tertubuhnya GMI UK oleh warganegara Malaysia yang tinggal di negara itu dan mengadakan program dan bantahan berterusan setiap bulan di hadapan pejabat Pelanciongan Malaysia di sana.

Sokongan padu juga daripada World Againts Torture (OMCT), (Amnesty International) AI, Human Rights Watch (HRW), Islamic Human Rights Commission, UK (IHRC) dan International Bar Association's Human Rights Institute (Ibahri).

Penambahan blok di Kemta

Sementara itu, peguam dari Majlis Peguam yang turut hadir, Syamsuriatina Ishak mendakwa kerajaan tidak berhasrat menutup Kem Kamunting apabila terdapat penambahan blok di kem berkenaan.

"Kita tidak fikir kerajaan akan tutup Kem Kamunting kerana terdapat penambahan 4 blok dua tingkat untuk penahan di Kamunting.

"Saya pergi ke sana untuk jumpa klien, dan saya nampak penambahan blok ini," katanya.

Sehingga ke hari ini terdapat 25 orang masih ditahan di Kamunting.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah Khairunnizah Mohd Akhir, isteri tahanan Mustawan Ahbab yang ditahan pada 4 Oktober lalu kerana dituduh terlibat dengan Jemaah Islam (JI).

Harakahdaily/-

KOS PERSIDANGAN WANITA PERTAMA 4.5 JUTA MEMBAZIR

17 Muharam 1432H
Oleh : Drs, Khalil Idham Lim

23 Disember 2010

Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang diilhamkan dan dinaungi isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor mencatatkan perbelanjaan kerajaan hampir RM4.5 juta.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil mendedahkan perbelanjaan untuk program tiga hari itu sebanyak RM4,498,949.99, kenyataan media berhubung isu ini dalah seperti berikut :

1. Pakatan Rakyat Perak kesal dengan perbelanjaan yang boleh disifatkan sebagai satu pembaziran wang rakyat, pembaziran sebegini tidak boleh diterima dalam situasi Malaysia yang memerlukan kepada cara belanja wang kerajaan secara berhemah.

2. Pakatan Rakyat Perak membantah perbelanjaan tersebut, wang tersebut merupakan wang rakyat, isteri PM tidak berhak dan tidak sepatutnya membelanjakan dana tersebut sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira kemampuan serta keperluan rakyat khususnya.

3. Perbelanjaan wang rakyat tersebut sepatutnya disalurkan kepada rakyat yang kini dihimpit dengan tekanan hidup berikutan kos sara hidup yang meningkat saban hari, harga barang yang meningkat rentetan harga keperluan asas yang dinaikkan oleh kerajaan.

4. Pakatan Rakyat Perak ingin mengemukakan persoalan tujuan penganjuran persidangan tersebut, juga adakah wajar Rosmah bertindak sebagai penganjur sedangkan dalam negara ini wanita pertama adalah Permaisuri Agong, dalam masa yang sama sehingga sekarang, tiada resolusi yang bersifat merakyat muncul dari persidangan tersebut.

5. Pakatan Rakyat Perak ingin menegaskan bahawa persidangan tersebut merupakan satu pembaziran yang membelakang keperluan rakyat, dalam soal berbelanja urusan Negara, rakyat yang lebih penting, bukannya isteri Perdana Menteri bermewah dan selesa menginap di hotel-hotel terkemuka.

Drs, Khalil Idham Lim

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak

Beri Pakatan Rakyat Perintah, Baru Buat Tuduhan

Oleh : Moderator
PAS menasihatkan pemimpin Umno BN supaya bertenang dan rasional sebelum membuat tuduhan mengatakan janji 100 hari adalah pembohong besar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat. Pakatan Rakyat belum lagi memerintah negara ini, sedangkan BN sudah 53 tahun memerintah Malaysia. Beri kami perintah dulu, kemudian baru nilai prestasi dan banding dengan pemerintahan BN.

Macam mana seorang Timbalan Perdana Menteri bercakap dengan penuh emosi seolah-olah takut dengan bayang-bayang kekalahan yang akan dihakim oleh rakyat dalam PRU akan datang. Sebenarnya yang banyak berbohong ialah pemimpin Umno yang memberi rakyat dengan berbagai slogan pelali, berbagai-bagai jenama untuk melekakan rakyat. Antaranya rakyat didahulukan apa yang berlaku ialah rakyat yang kena dulu, tradisi membela rakyat apa yang berlaku ialah tradisi menindas rakyat, pencapaian yang diutamakan apa yang berlaku ialah pemimpin diutamakan. Bergegar dengan slogan transformasi apa yang berlaku ialah negara dilanda inflasi sehingga rendahnya kuasa membeli.

Tan Sri Muhyidin juga mengatakan janji 100 hari menyebabkan negara akan bankrap. PAS hendak mengingatkan kepada Tan Sri Muhyidin Yasin anak Pak Kiai Muar jangan membayangkan cara pemerintahan PR sama seperti cara BN menguruskan negara ini. Telahan bankrap datang daripada Datuk Seri Idris Jala Menteri Jabatan Perdana Menteri, yang mengatakan negara akan bankrap pada 2019, yakni bankrap dulu, baru negara maju pada tahun 2020.

Ustaz Idris Ahmad

Kelantan peruntuk RM300 ribu anjur nikah perdana

17 Muharam 1432H
Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 22 Dis: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menganjurkan program perkahwinan perdana yang julung kali diadakan di Kelantan pada 25 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, program berkenaan berkenaan diadakan lebih berbentuk kebajikan bagi membantu golongan belia dan beliawanis berkahwin.

“Peruntukan itu termasuk membiayai mas kahwin, jamuan dan peralatan perkahwinan.

”Seramai 100 pasangan akan mengambil bahagian pada program itu yang akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya di sini.

Menurutnya, mas kahwin sebanyak RM1,000 disediakan kepada pasangan terbabit.

Katanya juga pasangan orang kelainan upaya (OKU) turut mengambil bahagian.

“Kita juga berusaha mendapatkan Emas Dinar sebagai sebahagian dari mas kahwin pada majlis berkenaan,” katanya.

Wan Ubaidah berkata, program berkenaan diadakan bertujuan memberi galakan kepada golongan muda berkahwin bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala kurang sihat.

Menurutnya mas kahwin sebanyak RM1,000 dicadangkan Menteri Besar supaya umat Islam mendapat keberkatan.

“Jangan menyusahkan soal perkahwinan kerana mas kahwin yang terlalu tinggi boleh mengundang gejala tidak sihat,” ujarnya.

Pada majlis berkenaan pengantin lelaki akan berkumpul di Masjid Muhammadi bermula jam 7 pagi. Kemudian mereka akan diiringi perarakan motosikal klasik dan Persatuan Kereta Viva Kelantan ke Putik.

Manakala pengantin perempuan akan menunggu pasangan masing-masing di Putik. Majlis akad nikah akan disempurnakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Harakahdaily/-

100 Hari: PAS bidas Najib

17 Muharam 1432H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hairan dengan sikap Perdana Menteri serta Timbalannya yang mendakwa 'janji 100 hari Pakatan Rakyat' tidak berpijak kepada realiti.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Najib itu, Tuan Ibrahim berkata janji Pakatan bukannya kosong malah sudah menilai kemampuan sebenar dari segala aspek termasuk kemampuan ekonomi negara.

"Kita pelik bagaimana Perdana Menteri dan timbalannya mengatakan bahawa janji Pakatan ini diluar kemampuan kerajaan.

"Untuk memberikan imbuhan RM500 kepada guru-guru tidak ada kemampuan, tetapi membina menara warisan berharga RM5 bilion mereka mampu. Malah memberi RM500 juta seorang kroni sebagai komisyen pembelian kapal selam BN mampu lakukan.

"Begitu juga BN mampu berikan subsidi sehingga RM20 bilion untuk IPP (penjana tenaga bebas), tetapi untuk rakyat dikurangkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, Pakatan Rakyat yakin berkemampuan melaksanakan janji 100 hari Pakatan memerintah negara kerana ianya telah dibuat melalui kajian terperinci melibatkan tenaga pakar pelbagai bidang.

Keyakinan itu juga jelasnya berasaskan kepada perubahan pengurusan kewangan negara yang akan dilakukan dengan menghapuskan amalan rasuah, penyelewengan, pembaziran dan salah urus pentadbiran kerajaan BN.

Perkara tersebut tegasnya telah berjaya dibuktikan dalam pemerintahan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak ketika Pakatan memerintah negeri itu.

"Di Kedah, ketelusan pengurusan kewangan negeri menyebabkan hasil balak meningkat daripada RM7 juta zaman BN kepada RM35 juta dibawah pemerintahan Pakatan.

"Di Pulau Pinang, bajet negeri berlebih sebanyak RM77 juta pada tahun 2009 dan RM88 juta pada tahun 2008 dalam keadaan negeri dibawah BN difisit teruk dalam perbelanjaan negeri," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Ujarnya lagi, rakyat perlu mengetahui, bahawa sebahagian besar janji Pakatan ini hanya melibatkan perubahan polisi yang selama ini hanya menguntungkan BN sahaja dan memangsakan rakyat.

"Antaranya usaha kita untuk menghapus Felda Plantation bagi melibatkan peneroka dikalangan generasi kedua Felda memang sesuatu yang mampu dilakukan. Selagi Umno BN memerintah, ianya memang tidak boleh dilaksanakan.

"Rakyat tidak perlu bimbang untuk menukar kerajaan kepada Pakatan, kerana mereka tetap diberi hak untuk mengubah kerajaan dimasa akan datang, sekiranya janji Pakatan tidak ditunaikan," katanya.

Harakahdaily/-

Buku Jingga: Najib takut, Muhyiddin gentar

17 Muharam 1432H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin Umno BN lain berkenaan program 100 hari Kerajaan Pakatan Rakyat yang diumumkan pada Konvensyen Pakatan Rakyat lalu dilihat seolah-olah ‘amat terdesak’ untuk menyembunyikan suatu kebenaran dari pengetahuan rakyat.

“Mengapa perlu PM dan TPM bersungguh-sungguh membidas andai selama ini pentadbiran Umno BN cukup cemerlang seperti yang dicanang?” tanya ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Inilah, katanya bukti bahawa Buku Jingga telah menggugat Umno BN, menakutkan PM dan menggentarkan TPM.

Tambahnya, andai Program 100 Hari Pakatan dikatakan sebagai 'politik janji' semata-mata, bagaimana pula dengan janji-janji kerajaan Umno BN selama 53 tahun mentadbir Malaysia.

“Sejak era Tunku Abdul Rahman, semua tahu 1001 janji telah dibuat tetapi adakah semua dilaksanakan?” soal Ketua Wanita PKR itu lagi.

Baginya, kenyataan Najib itu seolah-olah menampar mukanya sendiri kerana kejadian janjinya di Sibu, Batu Sapi dan Hulu Sealangor pun masih belum tertunai sehingga kini.

Menurutnya lagi, janji sewaktu Bajet 2010 agar tiada kenaikan harga barang, nampaknya didustai Najib sendiri.

“Janji Projek Terminal Puduraya juga sudah menjadi janji Gajah Putih akhirnya. Janji Jambatan Labuan sehingga ke hari ini dilupakan.

“Inilah bukti, konsep 1Malaysia - keuntungan Syabas, Plus dan Uda Mall diutamakan, rakyat dipinggirkan,” ujarnya.

Malahan, katanya untuk rekod tiada satu pun projek Gajah Putih sepanjang hampir 3 tahun pentadbiran Kerajaan Pakatan, berbanding 3 tahun pentadbiran Pusat Kerajaan BN.

“Andai PM kata Program 100 hari Pakatan tidak berpaksi realiti, inilah realiti apabila semakin banyak janji Umno BN yang tertimbun,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau sejak pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di 4 buah negeri, dan Perak buat seketika telah membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat telah melaksanakan agenda merakyatkan ekonomi dengan jayanya.

Harakahdaily/-

Pertis cipta ‘soft copy’ al Quran Braille

17 Muharam 1432H

BACHOK, 21 Dis: Insan yang sempurna anggota badan tentunya tidak sukar untuk memperlajari cara-cara membaca al Quran, namun lain pula bagi mereka yang cacat penglihatan.

Membaca al Quran yang menggunakan bahasa Arab sukar bagi mereka yang tidak dapat melihat. Bagi golongan itu al Quran dipelajari dengan cara menghafal.

Namun sekarang kesukaran mereka berjaya diatasi apabila Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berjaya mencipta ‘soft copy’ al Quran Braille.

Al Quran tersebut mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri melalui surat bertarikh 13 Oktober lalu.

Pengerusi Pertis Wilayah Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, pembikinan al Quran Braille sudah lama diusahakan di negara ini oleh pelbagai pihak.

”Manakala al Quran Braille cetakan berkomputer pula telah diusahakan seawal tahun 1990-an.
”Pada 1997 pihak kami telah memperolehi kebenaran dari Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencetak AlQuran secara berkomputer dengan pembetulan-pembetulan tertentu.

”Dan sehingga tahun 2010 beberapa pembetulan telah dibuat terhadap naskah asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu kata beliau pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap penerbitan al Quran Braille cetakan berkomputer oleh mana-mana pihak yang berkemungkinan salinan soft copy telah diperolehi dari simpanan Pertis.

Menurutnya juga mereka yang berminat mendapat soft copy al Quran Braille boleh menghubungi Pertis bagi maklumat lanjut di alamat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan, Kedai Beris Kubur Besar,16050 Bachok, Kelantan.

Atau menghubungi talian 09 764 9203 dan Ibu Pejabat Pertis di Kuala Lumpur (03 4021 2631).

Harakahdaily/-

Tuntutan melampau: Pakatan Pahang lapor SPRM

17 Muharam 1432H
Oleh : Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 22 Dis: Pakatan Rakyat Negeri Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perbelanjaan melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku penyelewengan dana kerajaan.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Pahang yang dikeluarkan baru-baru ini, di mana didapati terlalu banyak item-item tuntutan yang tidak munasabah kerana harga yang terlalu tinggi berbanding di pasaran.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang, Roslan Zainal yang mewakili Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyerahkan laporan memohon diadakan siasatan segera itu kepada Penolong pengarah SPRM Pahang Cawangan Temerloh Abdul Malik Mohd Yusof.

Turut mengiringi ialah Penasihat Undang-undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Setiausaha Penerangan PAS Pahang Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Cabang PKR Temerloh Abdul Kadir Abdul Manap serta kira-kira 30 orang penyokong.

Roslan yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Pahang dalam sidang medianya selepas itu berkata, Abdul Malik telah berjanji untuk membawa laporan tersebut ke atas untuk disiasat.

“Dalam laporan Ketua Audit Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran barang tersebut hanya berharga RM65.

“Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga berjumlah RM38,700. Dan banyak lagi item lain,” jelasnya.

Roslan juga dalam laporannya menggesa SPRM menyiasat bagaimana kerajaan negeri membuat syarat perjanjian pinjaman yang tidak menjamin kepentingan kerajaan melalui terma perjanjian pinjaman kepada syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti Aspa dan PKNP.

“Kelemahan ini telah mendapat teguran keras Ketua Audit Negara. Bayangkan tidak ada syarat yang melindungi kepentingan kerajaan negeri sedangkan itu amanah rakyat. Bagi kami, apa yang berlaku merupakan kelemahan pengurusan mega yang boleh menjerumuskan kerajaan negeri kepada suatu keadaan yang terdedah kepada penyelewengan dan kebankrapan,” tambahnya.

Roslan juga turut membangkit bahawa betapa perlunya SPRM bertindak demi memulihara persepsi umum terhadap agensi tersebut.

Katanya, sebelum ini banyak laporan telah dibuat tetapi hasil siasatannya tidak kedengaran termasuk isu penyelewengan balak oleh bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakub yang telah dilaporkan oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman 10 tahun lalu.

Harakahdaily/-