22 December 2010

UMNO Jangan Berlakon Pertahankan Surau dan Masjid

16 Muharam 1432H
Oleh : Khaulah Azwar

Bandar Baru Selayang - UMNO/BN digesa agar jangan sesekali suka berlakon kononnya membela agama kepada rakyat dalam setiap perkara yang berlaku yang ada kaitannya dengan agama.

Rakyat kini semakin cerdik menilai mana intan dan permata, tegas Tn Hj Mohamad Abd Rahman YDP PAS Kawasan Selayang merangkap Penyelaras DUN Tmn Templer, ujarnya selepas balik daripada Baiah (Majlis Mengangkat Sumpah) sebagai Penyelaras DUN Tmn Templer di S.Alam pagi semalam.

Berikutan dengan isu demonstrasi bantahan Surau Al-Hidayah yang di katakan bakal dirobohkan, beliau menegaskan bahawa demonstrasi tersebut adalah satu provokasi yang didalangi oleh UMNO/BN yang mencari populariti murahan untuk menghasut rakyat supaya membenci dan dengan niat agar rakyat keliru mengenai pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) yang kononnya tidak perihatin tentang masalah agama islam.

Pihak (UMNO/BN) telah membuat provokasi Demostrasi Bantahan dan dengan mewar-warkan kepada rakyat terutamanya penduduk sekitar Rawang seolah olah berlaku kelemahan dan ketidakcekapan Kerajaan Negeri sekarang, menyebabkan satu-satunya tanah orang melayu di Pekan Rawang jatuh ketangan syarikat swasta. Kita bukan sekadar mempertahankan tanah tetapi lebih dari itu yang kita pertahankan adalah Islam.

"Kenyataan tersebut adalah tidak berasas lansung, kerana yang menggadainya maruah orang melayu dan Islam adalah UMNO/BN. Demonstrasi yang di buat adalah memakan diri. Sekarang daripada rakyat tidak tahu, ia sebenarnya telah memecahkan tembelang mereka sendiri.

Saya menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar Selangor Faekah Husin bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat langsung dengan pelan pembangunan tapak seperti mana yang dituduh oleh mereka yang terlibat dalam demonstrasi kelmarin.

Kita pun telah mengenal pasti yang hadir majoritinya terdiri daripada pemimpin UMNO/BN termasuk Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Dato' Zainail Abidin Sakom. Kita mencadangkan agar Kerajaan Selangor mengambil tindakan terhadap beliau kerana menghentam kerajaan sedangkan sifatnya Pengerusi YBK juga adalah sebahagian daripada kerajaan".

"Tanah yang terlibat dalam projek pembangunan tersebut dimiliki oleh SAP Holdings Sdn Bhd yang akan menjalankan projek tersebut bersama syarikat swasta Mahumas Sdn Bhd dan rekod menunjukkan SAP Holding Sdn Bhd bukan lagi anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor semenjak 2002 lagi.

Sebenarnya bukan setakat Surau Al-Hidayah sahaja yang kita sentuh tetapi ada beberapa isu lain berkaitan dengan tanah dan agama Islam di Rawang di dan PAS Selayang akan cuba bongkarkan dan sedang mengumpul bukti termasuk tergadainya sebahagian tanah Masjid Nurul Iman yang untuk pembinaan jalan oleh Mahumas, tanah surau dan rezab kubur di Taman Rawang Perdana yang sudah digezetkan telah bertukar statusnya. Semuanya itu berlaku semasa UMNO/BN memerintah.

Mohamad berkata, "Mungkin tidak ramai penduduk sekitar Rawang yang tahu sejarah Surau Al-Hidayah di Kg Melayu, Rawang termasuk bagaimana berlakunya kronologi surau tersebut.

Oleh itu pihak kami meminta agar rakyat dan penduduk sekitar rawang tidak cepat melatah dan mudah percaya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh UMNO/BN dan diminta merujuk kepada Nazir dan Jawatankuasa Pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang sebagai Penaung untuk semua surau-surau di dalam pentabirannya. Kita bersetuju dengan kenyataan di akhbar bahawa tiada isu perobohan".

Beliau juga Penasihat Pemuafakatan Nazir-Nazir Masjid Selayang mengajak rakyat membuka minda dan mengingati setiap peristiwa yang telah berlaku dalam aspek menjaga rumah ibadah seperti surau dan masjid bukan cara seperti yang diamalkan oleh UMNO.

Mohamad juga menggesa agar rakyat berfikir dan menilai dengan sebijak-bijaknya kerana sepanjang Kerajaan (PR) memerintah tidak pernah berlaku lagi peristiwa berlakunya meroboh masjid/surau begitu juga rumah ibadah bangsa agama lain. PR amat menghormati mana-mana rumah ibadah.

Ini jelas terbukti, hampir 3 tahun PR memerintah rumah ibadah masjid /surau sentiasa diimarahkan oleh rakyat yang mendapat sokongan penuh melalui kehadiran jemaah kariah dalam program dilaksanakan.

Amat berbeza semasa zaman pemerintahan kerajaan UMNO/BN, dimana surau/masjid tidak mendapat sambutan rakyat kerana tiada pengurusan yang tulus, majlis ilmu tidak dijalankan secara sempurna bahkan rumah ibadah ditutup apabila sudah habisnya waktu solat fardhu isyak.

Rumah ibadah boleh dikatakan seperti kubur yang sunyi kerana tiada majlis-majlis ilmu dan zikrullah semasa dibawah pengurusan UMNO/BN.

Disini UMNO/BN harus menerima kenyataan dan hakikat bahawa mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat, khususnya orang melayu islam katanya dengan tegas di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tmn Templer.

Sehubungan dengan itu, beliau sebagai YDP PAS Kawasan Selayang menyokong Kerajaan Negeri Selangor sepenuhnya agar pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan lanjut berkenaan isu surau Al-Hidayah termasuk dari sudut pengutipan sewa kepada gerai-gerai yang dibina secara haram dan dikenakan bayaran oleh Bekas Pengerusi Ahli Jawatankuasa Surau.

Kita mendapat maklumat daripada Ahli Jawatankuasa Surau yang baru mendakwa kutipan tersebut tidak pernah disalurkan Ke Tabung surau.

Insya-ALLAH pihak kami sentiasa memberi kerjasama denagan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi keterangan dan siasatan untuk menegakkan kebenaran ketulusan pentadbiran kerajaan PR, katanya.

Pakatan Rakyat - Jangan leka dengar sajak !

16 Muharram 1432H.
Aziz Muda

Ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi yang diakhiri dengan sajak ciptaannya berjudul 'Pakatan Rakyat' pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 di Pulau Pinang, 19 Disember lalu, memberikan gambaran yang tepat tentang Pakatan Rakyat sejak mula ditubuhkan hingga kini.

Pakatan Rakyat sememangnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dari Barisan Nasional (BN) sejak mula ditubuhkan, tetapi kekuatannya untuk bangkit lebih jauh tidak dapat dinafikan lagi oleh sebarang pihak, malah semakin digeruni BN.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan, menerusi sajaknya itu, Nasrudin turut mengingatkan para pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat agar terus berusaha membina kekuatan itu, di samping segera mencari penyelesaian bagi menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.

"Walaupun dah ada kekuatan, ia perlu diperkuatkan lagi. Kalau ada masalah dalam Pakatan Rakyat, carilah penyelesaian dengan jalan terbaik dengan segera. Itulah antara intipati sajak itu," katanya ketika dihubungi harakahdaily hari ini.

Rakyat negara ini, katanya, kini sememangnya mengharapkan Pakatan Rakyat menerajui tampuk kepimpinan negara bagi menggantikan Kerajaan BN. Jadi harapan itu tidak seharusnya dilengah-lengahkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.

"Itulah mesej akhir Ustaz Nasrudin yang terdapat pada rangkap akhir sajaknya itu. Mesej itu perlu dipandang serius oleh kesemua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat dengan menyusun langkah yang lebih kemas dan berkesan untuk membolehkan Pakatan Rakyat memerintah negara.

"Antara langkah yang perlu dilakukan dengan mengadakan pelbagai program dari semasa ke semasa. Selain program-program tersendiri, PAS, PKR dan DAP perlu terus mengadakan program-program bersama. Dengan itu, Pakatan Rakyat akan menjadi lebih kuat," tegasnya.

Setiap program yang diadakan oleh Pakatan Rakyat, katanya, memberikan makna yang tersendiri dan kesan yang besar kepada negara sehingga ia akan diberikan tindak balas yang baik oleh para pemimpin BN.

"Terbaru, setelah Pakatan Rakyat mengadakan Konvensyen Ke-2 di Pulau Pinang 19 Disember lalu dengan mengetengahkan perancangan yang akan dilaksanakan setelah 100 hari Pakatan Rakyat memerintah negara, ternyata telah disambut baik oleh para pemimpin BN.

"Dalam akhbar harian hari ini, Perdana Menteri sendiri sudah menjelaskan BN akan jawab perkara itu. Ini tentunya satu perkembangan yang baik yang membuktikan sebahagian dari kehebatan Pakatan Rakyat.

"Lebih jauh dari itu, ia turut disiarkan akhbar Utusan Malaysia. Ini bermakna akhbar Utusan Malaysia yang pro Umno-BN sendiri turut berkempen untuk Pakatan Rakyat. Disebabkan laporan itu, jika sebelum ini hanya 1,800 orang sahaja yang tahu tentang perancangan kita setelah 100 hari memerintah negara, kini semua rakyat negara ini turut mengetahuinya.

"Baguslah tu. Terima kasihlah saya ucapkan kepada akhbar Utusan Malaysia. Utusan Malaysia nampaknya dah mainkan peranan dengan betul. Baguslah tu," katanya.

SAJAK PAKATAN RAKYAT

Oleh: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi)
Yang dibacakan pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, 19 Disember lalu:

Pakatan Rakyat Namanya hebat
Gelombangnya dahsyat

Pakatan Rakyat Pemimpinnya berbakat
Pendokongnya sepakat Berjuang membawa berkat

Pakatan Rakyat Mendokong negara berdaulat
Menentang pemimpin yang jahat
Agar generasi kita selamat Pakatan Rakyat
Perjalanannya tidak dekat Walau mereka halang dan sekat Namun pejuangnya tidak pernah penat

Pakatan Rakyat Pemimpinnya bijak dan handal bersilat
Sekalipun difitnah dan diumpat
Mereka mendada bisa menyengat

Pakatan Rakyat Untuk sampai ke Putrajaya dengan cepat Saf – saf kita mesti rapat
Sedikit berkhilaf segera tangan berjabat
Jangan dibiarkan masaalah busuk berulat

Pakatan Rakyat Bersatu kita kerana hormat menghormat
Gagah kita kerana muafakat
Wibawa kita kerana tolak maksiat

Pakatan Rakyat Kini menjadi harapan masyarakat bangkitlah sebelum terlambat
Jangan sampai rakyat meluat bangkitlah , bangkitlah , bangkitlah sebelum terlambat
Jangan sampai rakyat meluat.

Saman untuk pertahan kebenaran

16 Muharam 1432H
Oleh : Fakhri Ali

PULAU PINANG, 21 Dis: Ekoran mengalami tekanan dan fitnah yang berleluasa ekoran penyiaran berita doa khutbah Jumaat yang didakwa menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Utusan Melayu, NST dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan, Shabudin Yahaya disaman oleh Ustaz Zakaria Ahmad.

Dalam kenyataannya kepada media di sini malam tadi, beliau berkata saman itu adalah bagi mempertahankan kebenaran yang dibawa oleh beliau sebagai seorang tokoh agama daripada terus diperlekehkan oleh mereka yang mempunyai motif tertentu dalam membesarkan isu yang tidak benar lagi batil itu.

"Saman ini adalah bagi mengingatkan mereka yang jauh tersasar supaya tidak dengan sewenang-wenangnya menggunakan platform agama untuk mencari pengaruh.

"Saya bercakap atas dasar agama Islam yang sebenarnya. Mereka telah memfitnah saya melalui akhbar sehingga memberi satu impak yang negatif terhadap kepercayaan, kewibawaan dan reputasi masyarakat terhadap saya," tegasnya lagi.

Seperti mana dalam salinan saman yang diperolehi menyebut penyiaran dalam Mingguan Malaysia bertarikh 22 Ogos dengan perkataan fitnah oleh Shabudin 'tindakan menyebut nama Guan Eng dalam doa khutbah itu seolah-olah ada agenda politik dan membawa imej beliau'.

Begitu juga dengan penyiaran berita mengenai unsur fitnah yang mengaitkan isu khutbah dalam Berita Harian bertarikh 23 dan 25 Ogos lalu.

"Kenyataan yang menyatakan etika khutbah juga dah tak betul apabila melebihkan Guan Eng berbanding pemimpin agama Islam yang lain serta pengesahan Shabudin sebagai bekas Yang Dipertua Majlis Agama Islam bahawa saya tidak memiliki tauliah untuk membaca khutbah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam adalah bersifat fitnah sedangkan saya mempunyai tauliah sejak 29 Mac 2003 lagi," tambahnya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mendedahkan penyalahgunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam khutbah Jumaat di beberapa buah masjid di Pulau Pinang ketika mempengerusikan mesyuarat perhubungan di Tasek Gelugor.

Ekoran pendedahan tersebut Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang melalui Pemuda Umno bahagian telah membuat beberapa laporan polis supaya perkara itu disiasat.

Zakaria memfailkan saman itu Oktober lepas di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melalui Tetuan Aswar, Simon dan Azhar.

Katanya lagi, apa yang diharapkan ialah keadilan tertegak tanpa menidakkan kebenaran yang sepatutnya dijadikan asas dalam penyiaran oleh mana-mana media dalam negara ini.

Beliau juga turut dipanggil untuk memberi keterangan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang pada 24 Ogos lalu.

Namun begitu, tiada apa-apa tindakan diambil terhadap beliau setelah keterangan yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ellias Zakaria diadakan pada 24 Ogos lalu.

Harakahdaily/-

BN gelisah janji 100 hari, membazir 100 tingkat

16 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 21 Dis: Pemimpin Umno BN gelisah mengenai janji 100 hari Pakatan Rakyat (PR) yang diisytiharkan di Konvensyen Pakatan Rakyat ke-2 pada Ahad lepas.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata ini jelas kelihatan daripada kenyataan pemimpin BN termasuk daripada NGO Umno menuduh ini janji yang tidak realistik.

Mereka, katanya mengeluarkan kenyataan bahawa program ini membazir dan memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.

“PAS merasa pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno BN yang menuduh ini suatu usaha yang membazir,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, semua program yang menguntungkan rakyat dianggap membazir seperti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memberikan air percuma 20 meter padu kepada rakyat di negeri tersebut.

“Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hendak membina Menara Warisan 100 tingkat tidak dianggap membazir. Untuk kroni dan anak beranak tidak membazir,” katanya lagi.

Sebenarnya, tambah beliau pemimpin BN resah dengan janji 100 hari yang akan dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk mentadbir negara ini.

Menurutnya, rakyat yang berada di bawah pemerintah BN mula membuat perbandingan dengan negeri Pakatan, mereka melihat rakan mereka di negeri Pakatan hidup selesa kerana pemimpinnya siang malam memikir bagaimana untuk memberi kepada rakyatnya, manakala pemimpin BN memikir apa yang boleh diambil daripada rakyat.

Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, berkata janji pembangkang itu tidak lebih daripada ‘wayang politik’ bagi menutup kegagalan mereka.

“PAS hendak cabar pemimpin BN, siapa yang temberang rakyat?

“Bukankah pemimpin BN memberi tahu rakyat pada 3 November 2010 minyak tidak akan naik hingga hujung tahun, tiba-tiba 4 Disember minyak RON 95 naik 5 sen,” ujarnya.

Sekurang-kurangnya, kata beliau dengan kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan Pakatan Rakyat, tetap dapat melaksanakan iltizam untuk rakyat seperti yang dijanjikan dalam menifesto.

“Dalam usia yang muda sudah banyak habuan rakyat dapat, walaupun dalam nilai yang kecil. Jelaslah bahawa Pakatan Rakyat teruji dan terbukti,” katanya.

Harakahdaily/-

Guan Eng tidak pertikai hak warga Malaysia

16 Muharam 1432H

PULAU PINANG, 21 Dis: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak pernah mempersoalkan dan mempertikaikan kerakyatan mana-mana warga Malaysia dalam ucaptama pada Konvensyen Pakatan rakyat Ke-2 di Kepala Batas, Ahad lepas.

Setiausaha akhbarnya, Cheong Yin Fan berkata, kenyataan itu boleh dibaca teks ucapan penuh beliau di bawah tajuk "Kerajaan Berjiwa Rakyat Untuk Rakyat Malaysia Sebenar".

Jelas, katanya Utusan Malaysia dan pemimpin Umno Pulau Pinang seperti Dr Novandri Hasan Bari sekali lagi bertindak jahat menabur fitnah dengan menggembar-gemburkan kononnya Guan Eng mahu kerakyatan warga Malaysia dipersoalkan.

Beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini memetik apa yang disebutkan oleh Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP pada konvensyen tersebut.

"Rakyat Malaysia (the real Malaysians) yang sebenarnya adalah rakyat biasa yang pentingkan hak ekonomi dan masa depan agar kehidupan mereka bukan sahaja lebih senang tetapi masa depan untuk anak-anak adalah lebih cerah dan baik. Rakyat Malaysia sebenar mahukan sebuah masayarkat aman, tenteram dan penyayang serta menyokong prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan.

“Yang bukan rakyat Malaysia sebenar adalah yang hanya tahu benci-membenci dengan menggunakan fahaman eskstrimis baik aspek kaum, jantina mahupun agama, yang tamak haloba di mana demi godaan wang rasuah atau yang lain rela menjualkan segala-galanya serta kaki fitnah dan tohmah. Yang kesemua ini bukan rakyat Malaysia sebenar, mereka ini Malaysia celup or pseudo-Malaysians," kata Guan Eng.

Harakahdaily/-

Jana kekayaan dari bumi hijau

16 Muharam 1432H
Oleh : Ismail Hashim

SHAH ALAM, 21 Dis: Buat pertama kali, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPN) khususnya di peringkat Negeri Selangor yang mana perasmiannya telah disempurnakan oleh pihak istana.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian HPN oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah AlHaj petang tadi di pekarangan Stadium Malawati, dekat sini.

Menurutnya, sempena HPN kali ini, kerajaan negeri telah memberikan pengiktirafan kepada 23 petani, penternak dan nelayan dalam berbagai kategori dan juga kepada agensi yang gigih membantu sektor pertanian.

“Tema sambutan kali ini adalah Inovasi Pertanian Pemangkin Pertumbuhan yang mana era sebelum ini mengutamakan pengeluaran bagi memenuhi keperluan sara hidup, menjual baki, hasilnya seorang petani itu terbelenggu di dalam arus kemiskinan.

“Masyarakat tani perlu menganggap mencari pendapatan dari bumi hijau bukan sekadar satu pekerjaan tetapi satu perniagaan yang berupaya menjana kekayaan yang melimpah ruah dan bukan sekadar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang,” tegasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri telah membuktikan dengan pemantauan berterusan dan melalui kerja bersistem, ada dalam kalangan pesawah yang mendapat 14 tan per hektar semusim dan terdapat pesawah memperolehi pendapatan RM32 ribu sebulan.

Untuk penternak pula, jelasnya, kerajaan negeri mengenalpasti lokasi bagi penempatan semula 39 penternak tenusu dalam kawasan PBT dan nelayan pula, seluas 9,200 hektar di kawasan Pantai Klang hingga Sabak Bernam sesuai untuk kebun kerang.

Yaakob juga menyatakan, pada tahun ini, HPN diadakan serentak dengan Selangor Ria sebagai showcase jualan produk-produk yang dikeluar dan dipasarkan di dalam Negeri Selangor yang meliputi keseluruhan jenis hasil pertanian dan produk IKS.

Katanya pada 2009, seramai 520,000 pengunjung telah membanjiri Selangor Ria dengan jualan tunai sebanyak RM2.1 juta dan nilai kontrak sebanyak RM4.2 juta bererti jumlah seluruhnya melebihi RM6.2 juta.

Dengan semangat kusahawanan dan budaya kerja yang mengutamakan pembahruan dan inovasi serta kerjasama pintar di kalangan Kerajaan Pusat, Kerajaan-kerajaan Negeri, Usahawan Tani, tegasnya, bakal mencetuskan transformasi besar untuk memajukan bidang pengeluaran makanan di dalam sektor pertanian negara ini.

Harakahdaily/-

Gantung: Ekonomi negara jahanam, Apco untung

16 Muharam 1432H
Oleh : Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Tindakan menggantung Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga yang lain akhirnya akan menjahanamkan ekonomi negara dan menguntungkan Apco Worldwide, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, Anwar (PKR-Permatang Pauh), Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) adalah sebahagian dari Ahli Parlimen yang merupakan penggubal dasar dan undang-undang negara.

"Pasaran dan masyarakat perniagaan tempatan dan antarabangsa melihat sendiri bagaimana penggubal dasar dan undang-undang negara pun dizalimi dan dianiaya dengan mengetepikan undang-undang, peraturan dan prinsip asas keadilan," kata beliau.

Menurut Mahfuz, perkara itu boleh mengakibatkan terancamnya rasa selamat mereka untuk menjalankan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

"Jika penggubal dasar dan undang-undang negara pun dizalimi dan dianiaya dengan mengetepikan undang-undang, peraturan dan prinsip asas keadilan, ia boleh menyebabkan masyarakat perniagaan dan para pelabur dihantui kebimbangan bahawa mereka juga boleh dizalimi sedemikian dan perkara itu dengan sendirinya menghakis serta menjejaskan rasa selamat mereka untuk menjalankan perniagaan dan pelaburan di negara ini," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.

Umno dan Barisan Nasional (BN), katanya, sanggup mensabotaj ekonomi negara semata-mata untuk memuaskan kehendak mereka.

"Akhirnya, apabila ekonomi negara menghadapi krisis kepercayaan dan keyakinan masyarakat perniagaan antarabangsa terhadap sistem keadilan negara ini jatuh merudum, Apco jugalah yang akan mendapat untung kononnya dengan melaksanakan usaha-usaha perhubungan awam dan komunikasi untuk memulihkan keyakinan masyarakat perniagaan antarabangsa dan para pelabur," katanya.

Mahfuz yakin, rakyat negara ini akhirnya akan sedar bahawa kebanyakan tindak-tanduk Umno BN akhirnya hanya menguntungkan firma Yahudi Zionis itu.

Harakahdaily/-

Media BN kian gelabah

16 Muharram 1432H.
Oleh : Moderator CIFG

"Terima kasih atas pendirian terbaru Tuan Karpal Singh." Ucap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan percaya sikap terbaru Pengerusi DAP Karpal Singh berhubung isu negara Islam akan menjadi cabaran kepada Umno-BN.

Mengulas pendirian yang sama, dari siaran twitter nya, Drs.Khalil Idham Lim pagi tadi turut menyatakan bahawa " Media BN semakin pening dengan 'serangan' baru untuk permain kenyataan pemimpin DAP yang sudah mula berubah dan dekat dengan Islam.

Malah ketegasan PAS dalam menjunjung prinsip perjuangan biarpun berada didalam gabungan dengan DAP dan PKR, membuatkan PAS kian dihormati oleh rakan gabungan dan hebatnya ketika ini apabila PAS mampu dan berupaya pula memberi faham kepada rakan-rakan gabungan tentang Islam.

Jika dahulu beliau(Karpal) bercakap anti Negara Islam dan menentangnya bersungguh-sungguh kerana Umno telah kelirukan mereka, dimana orang-orang bukan islam telah ditakut-takutkan dengan dasar islam yang dibawa oleh PAS, namun kini suasana itu telah jauh berubah biarpun tempoh kebersamaan didalam Pakatan Rakyat masih baru, tetapi dari apa yang telah beliau nyatakan ketika ucapannya di Konvensyen Pakatan Rakyat baru - baru ini benar-benar telah memberi tamparan kuat kepada UMNO-BN.

Drs Khalil Idham Lim yang juga Adun Titi Serong turut mempertikaikan kegagalan UMNO-BN dalam memberi faham baik berkaitan islam kepada ahli-ahli khususnya dari MIC dan MCA, bilamana setelah lebih 50 tahun bersama, UMNO jelas gagal memberi faham tentang islam kepada mereka biarpun ketika era Islam Hadhari dilaungkan oleh kerajaan BN ketika itu, namun hasilnya terus gagal dan kabur.

Menurut beliau lagi, " maka dengan itu semakin terserlah dan jelas UMNO-BN itu sebenar-benar pengkhianat kepada bangsa dan agama kerana menafikan hak orang bukan melayu lain untuk faham islam biarpun telah lebih 50 tahun memerintah.

Hebatnya di sini, ingin dijelaskan bahawa setelah lebih 20 tahun saya memeluk islam, saya sungguh bersyukur kepada Allah dimana akhirnya telah memberi peluang kepada bangsa saya cina untuk fahami islam apabila duduk bersama di dalam gabungan(Pakatan Rakyat) dan ingin menyatakannya bahawa Pakatan Rakyat telah menyelamatkan akidah dan kefahaman orang melayu terhadap islam serta turut menyelamatkan bangsa lain dari terus terkeliru tentang Islam yang selama ini dikelirukan oleh UMNO-BN, ujar beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Perak ketika menutup temubual ringkas dipejabatnya pagi tadi.

PR perlukan hak sama rata di media

16 Muharam 1432H

TANAH MERAH – Malaysia agak berbeza dengan negara demokrasi lain di dunia kerana tidak memberikan hak sama rata kepada parti pembangkang menggunakan media masa untuk mengetengahkan hala tuju serta berkempen kepada rakyat akar umbi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood berkata, negara luar lebih demokratik apabila parti pembangkang mempunyai rangkaian televisyen serta radio mereka sendiri.

Menurutnya, kerajaan yang ada pada hari ini seharusnya mengambil langkah serupa memberikan peluang sama rata kepada Pakatan Rakyat (PR) supaya dapat bersama-sama kerajaan parti memerintah berkempen.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana adanya teknologi terkini seperti internet membolehkan kita menyampaikan segala mesej penting kepada rakyat.

“Bagi membolehkan PR dapat menyalurkan mesej kepada masyarakat, kita telah memohon untuk kelulusan mendapatkan radio serta televisyen sendiri, tetapi hingga kini belum diluluskan,”

katanya bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mencabar Barisan Nasional (BN) mengadakan Pilihan Raya Umum secara adil kerana mendakwa banyak media berpihak kepada BN.

Sinar Harian/-

Lamanweb Sarawak Report 'digodam'

16 Muharam 1432H

Lamanweb Sarawak Report, yang sering menerbitkan dokumen-dokumen yang didakwanya bukti kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud, nampaknya telah digodam.

Menurut satu kenyataan akhbar, yang dikeluarkan melalui seorang ahli politik pembangkang yang tidak mahu namanya disebut, lamanweb itu kini "offline" untuk sementara.

Menurutnya, ini ekoran beberapa ancaman bunuh yang dihantar melalui emel mereka.

Lamanweb ini mendakwa mereka menjadi mangsa serangan 'edaran penolakan perkhidmatan (DDOS), yang mengarahkan laluan besar ke lamanweb tersebut supaya tidak dapat diakses.

Kenyataan itu berkata, tindakan mematikan lamanweb itu dengan menggunakan berjuta-juta hits adalah proses yang sangat mahal, bahkan lebih mahal daripada mendapat khidmat peguam terbaik.

"Jadi ini mengecilkan senarai suspek dalam kes ini terhadap mereka yang sangat kaya dan mempunyai kepentingan langsung untuk menutup (lawanweb) kami, tetapi tidak suka dihadapkan di mahkamah terbuka," katanya.

Kenyataan itu juga melampirkan sebuah foto "eksklusif" isteri baru Taib, yang dilaporkan berketurunan Lebanon, yang identitinya masih lagi misteri.

Berasaskan kepada barang kemas yang dipakai pengantin tersebut di majlis perkahwinannya, Report Sarawak mendakwa permata itu "tak ternilai harganya pada saiz berkenaan".

Perkahwinan itu dikatakan berlangsung pada hari Ahad di kediaman mewah peribadi Taib di Demak Laut, Kuching.

Majlis itu dilaporkan dihadiri 200 tetamu eksklusif, yang terdiri daripada tokoh politik Sarawak.

Isteri pertama Taib, Laila, yang berketurunan Polish-Australia, meninggal dunia pada April 2009 kerana kanser.

Malaysiakini/-

Program 100 Hari : Najib dan Muhyiddin menggelabah.

16 Muharram 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

PM 1Malaysia, dilihat sangat gusar dengan tawaran 100 hari bila berkuasa yang diberikan oleh Pakatan Rakyat, Najib Tun Razak memberi reaksi segera dengan menyifatkan kenyataan Pakatan Rakyat sebagai tidak berpaksi kepada realiti kemampuan sebenar apabila mahu melaksanakan Program 100 Hari jika berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ahad lepas Pakatan Rakyat menawarkan kepada rakyat Malaysia Program 100 Hari mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika Pakatan Rakyat menang pada pilihan raya umum akan datang.

Najib memberi reaksi segera dan menjanjikan kenyataan lebih terperinci sebagai jawapan balas kepada janji Pakatan Rakyat dalam konvensyen di Pulau Pinang Ahad lalu.

‘‘Kita akan beri reaksi yang lebih jelas sebab apa yang dia nyatakan itu tidak berpaksi kepada realiti kemampuan sebenar,” katanya.

Sejak tawaran ini dikeluarkan pada Ahad lepas saya melihat pemimpin BN sangat menggelabah dan mula memberi jawapan dengan memperkecil tawaran itu. Tawaran ini tidak mengambil kira pelbagai tawaran lain dalam buku Jingga yang menjadi topik perbahasa dalam Konvesnsyen sehari itu.

Muhyiddin Yassin pula menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.

Satu kenyataan yang saya lihat memperbodohkan dirinya sendiri dan rakyat Malaysia bila menafikan satu tawaran yang selama ini diperjuangkan oleh rakyat. Ianya sudah lama sepatutnya dilaksanakan oleh Kerajaan BN .

Lucunya Muhyiddin menganggap kenyataan Pakatan Rakyat itu sekadar umpan untuk menarik pengundi dengan bermacam-macam tawaran istimewa tanpa membuat perkiraan betul terutama dari segi kewangan dengan menyifatkan Pakatan Rakyat tidak mempunyai pengalaman mengepalai Kerajaan Pusat berikutan setiap keputusan memerlukan kajian, penelitian dan kesan tempoh masa panjang.

Perlulah ditegaskan bahawa tawaran itu adalah susuatu yang telah dibuat setelah mengambil kira berbagai aspek kemampuan kewangan negara hasil dari kajian dari sebuah panel dan pakar ekonomi yang dilantik.

Tawaran itu juga mengambil kita pengalaman di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat sehingga sekarang iaitu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Sebelum itu kita buktikan semasa 11 bulan berkuasa di Perak.

Adalah diakui pandang Najib dan Muhyiddin adalah dalam kotak pemikiran pemimpin BN yang berbelanja boros dan tidak mengutamakan kan sesuatu perojek yang perlu diutamakan. Pemimpin BN lebih bangga dengan projek mega dari memberi subsidi kepada rakyat.

Sikap mementingkan kroni dan rasuah serta penyelewengan sehingga berbillion wang negara lesap begitu sahaja memastikan kegagalan usaha memulihkan ekonomi negara yang semakin tenat.

Kerana itu janji 100 hari hanya mampu dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat dengan menjanjikan pemberantasan rasuah secara serius serta mengutamakan rakyat serta berhemat dalam berbelanja.

Terbaru projek pembinaan menara Warisan dengan biaya sebanyak 5 billion mebuktikan itulah watak dan wajah sebenar pemimpin BN dalam membangunkan negara.

Pakatan Rakyat akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan di dalam Dasar Bersama.

Sebagai permulaan kepada reformasi tersebut, dalam 100 hari kami mendapat mandat rakyat, pakatan Rakyat menjanjikan akan melaksanakan program berikut:

1. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

2. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

3. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

4. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

5. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.

9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.

10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

PBB nafi dakwaan 'dana siber RM10 juta'

16 Muharam 1432H
Oleh : Leven Woon Zheng Yang

Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) menafikan bahawa BN Sarawak menyediakan dana sebesar RM10 juta untuk usaha pengkaderan penulis blog bagi menyerang pembangkang.

ADUN Asajaya Karim Hamzah (kiri) dan ahli parlimen Petra Jaya Fadilah Yusof, yang dinamakan di lamanweb, menafikan kewujudan dana seperti itu.

"Tiada perkara sebegitu. Semua ini bohong," demikian respons senada mereka apabila dihubungi hari ini.

Fadilah malah mencabar pemberi maklumat itu mendedahkan nama semua penulis blog yang telah dilatih.

Beberapa lamanweb Sarawak baru-baru ini menerbitkan laporan mendakwa Karim dan Fadilah menawarkan RM5,000 sebulan kepada "rakyat Sarawak yang mempunyai jiwa kewartawanan' untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri.

Menurutnya, sesiapa yang disenaraipendek akan dilatih oleh New Straits Times, The Malay Mail dan Utusan Melayu di Pusat Latihan Umno di Janda Baik, Pahang.

"Setiap penulis blog berpeluang mendapat geran RM30,000 untuk memulakan blog...," dakwa laman terbabit.

Malaysiakini/-