18 December 2010

PAS sedia mewakili Pakatan Rakyat di Tenang

12 Muharram 1432H.

KEPALA BATAS, 19 Dis: PAS sedia meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dun Tenang, Johor yang akan diadakan nanti.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, beliau telah dihubungi oleh PAS Negeri Johor yang mahu meletakkan calon di Dun berkenaan.

“Saya telah dihubungi oleh Pesuruhjaya dan juga Setiausaha Perhubungan Johor yang memaklumkan bahawa PAS Perhubungan Johor telah mengadakan mesyuarat malam tadi dan membuat keputusan untuk bertanding di kawasan yang telah ditandingi oleh PAS pada pilihan raya umum lepas,” ujarnya.

“Insya Allah jentera pilihan raya akan mula digerakkan selepas Konvensyen Pakatan Rakyat esok,” ujarnya pada sidang media di sini, petang ini.

PRK Tenang penentu tarikh PRU13

12 Muharram 1432H.
Shaharul Shafie

Sekali lagi negara bakal melihat satu lagi pilihanraya kecil yang akan diadakan selewat-lewatnya sebelum perayaan Tahun Baru Cina tahun hadapan apabila penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Sulaiman Taha bagi DUN Tenang di Johor meninggal dunia semalam akibat komplikasi selepas berada di Hospital Pakar Ampang Puteri lebih dari sebulan yang lalu. PRK ini adalah pilihanraya kecil yang ke-14 sejak pilihanraya umum yang lalu.

Kedua-dua pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dikatakan sudah bersedia menghadapi pilihanraya yang dilihat sebagai ujian kepada kemampuan mereka benar-benar menguasai undi daripada pengundi berbangsa Melayu. PRK ini juga bakal melihat bagaimana kemampuan PR untuk mengesahkan kedudukan mereka di sebuah negeri iaitu Johor yang selama ini dianggap sebagai ’tabung deposit’ atau kubu kuat BN sejak negara mencapai kemerdekaannya.

Bagi PR, sewajarnya kemenangan ke atas DUN Tenang pastinya memberikan satu impak kepada semangat baru apabila kebelakangan ini menghadapi banyak masalah dalaman dan perpecahan di dalam parti terutamanya di dalam PKR. Jika PR mampu menang kali ini bermakna hala tuju yang diwar-warkan PR untuk merampas Putrajaya di dalam PRU akan datang mungkin boleh diperjudikan semula. Malah, jika PR dapat mengurangkan majoriti yang pernah diperolehi oleh penyandangnya dalam PRU 2008 juga memberi harapan cerah untuk Putrajaya ditawan.

Tenang adalah ’maruah’ UMNO dan BN

Bagaimana pula jika majoriti meningkat semula untuk BN? Pastinya ini menjadi igauan ngeri kepada PR kerana situasi berkenaan meletakkan harapan mereka menawan Putrajaya sebagai satu perkara yang mustahil.Walau apapun, BN pastinya akan melakukan sedaya yang mungkin untuk mempertahankan maruah mereka di Tenang dengan menggerakkan semangat kemenangan besar di PRK DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada awal bulan lepas ke dalam jentera mereka di Tenang nanti.

Bagi BN, mengekalkan kotak undi Melayu di Johor sebagai miliknya akan memberi persepsi kepada umum bahawa kuasa BN amat sukar dicabar adalah suatu yang diidam-idamkan oleh BN sebenarnya. Jika mereka kalah ataupun berlakunya penyusutan majoriti yang ada walaupun menang boleh membuatkan umum mempunyai tanggapan bahawa BN terutamanya UMNO semakin lemah. Di dalam politik Malaysia yang ramai dengan mereka yang berada di atas pagar, persepsi sebegini memainkan peranan di dalam menentukan bakal siapa yang akan menjadi kerajaan sehingga di peringkat akhir di kotak undi.

Kuasa Ketiga bertanding di Tenang?

Bagaimana dengan ’Kuasa Ketiga’ di PRK Tenang? Kemungkinan besar akan ada calon yang mendakwa diri mereka ’Kuasa Ketiga’ turut meletakkan calon. Namun begitu, persediaan dalaman mereka seharusnya diperbaiki dulu sebelum mula memikirkan tentang ’test power’ di sini. Yang pastinya ’Kuasa Ketiga’ yang mungkin berminat ialah parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang dikini dipimpin oleh bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.

Namun begitu, pelbagai isu dalaman KITA memerlukan masa untuk diperhalusi dan diselesaikan seperti penukaran nama secara rasmi dari Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) kepada KITA, organisasinya, perlembagaan parti dan pemupukan perpaduan sesama pemimpin-pemimpinnya supaya selaras dengan aspirasi Zaid.

Sungguhpun begitu, sekiranya KITA meletakkan calon, bantuan dari sebuah lagi parti yang dilihat lebih kecinaannya iaitu Parti Cinta Malaysia (PCM) sewajarnya dialu-alukan di dalam jentera kempennya kelak yang pasti menyemarakkan pertandingan tiga penjuru nanti di Tenang dan menjadi ’pengacau’ undi.

Semasa PRU 2008, meskipun BN kehilangan 5 buah negeri (sebelum Perak kembali kepada BN) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kepada PR, BN Johor masih mampu mengekalkan kekuasaannya ke atas negeri itu. Namun begitu, buat pertama kalinya dalam sejarah DUN Johor, calon-calon dari PR ketika itu membuat kemajuan apabila menambah dengan banyaknya kerusi mereka di negeri itu terutamanya DAP yang memenangi 4 kerusi. PAS pula memenangi 2 kerusi daripada sejumlah 56 kerusi DUN di negeri itu.

Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu, lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India. Jumlah pengundinya ialah 14,511 orang. Menurut daftar ini, sekiranya daftar pemilih terbaru diumumkan (yang mana penulis merasakan tidak akan berbeza sangat) merupakan satu situasi pertandingan yang adil kerana komposisinya melambangkan pembahagian populasi seperti di peringkat nasional dan juga mencerminkan senario pilihan rakyat secara keseluruhan.

Oleh itu, komposisi daftar pemilih berkenaan menjadi satu tanda jelas kepada parti-parti yang bertanding sebagai mewakili sentimen nasional di kalangan kaum-kaum yang ada. Hasil daripada PRK ini nanti memudahkan analisa pemerhati politik dan juga cerdik pandai politik mengenai persoalan-persoalan seperti kecenderungan pengundi Cina sebenarnya dalam politik, impak oleh pengundi India selepas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengundur diri, pandangan orang Melayu mengenai ketuanan Melayu dan ketuanan Rakyat dan banyak lagi indikator-indikator sentimen yang boleh terjawab.

Tenang bakal membantu Najib tetapkan PRU ke-13

Di saat suasana politik nasional hari ini masing-masing meramalkan Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen sebelum penggal persidangan seterusnya bermula pada bulan Mac tahun hadapan, Tenang sepatutnya menjadi perhatian Najib sebagai menguji terlebih dahulu persepsi rakyat mengenai BN dan sambutan ke atas program-program transformasinya. Mungkin kematian ADUN Tenang ada hikmahnya kepada BN kerana PRK yang bakal diadakan dalam masa 60 hari selepas Speaker DUN Johor memberikan notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bakal membantu BN menguji kekuatan mereka sebenarnya di dalam satu PRK yang berkomposisi populasi nasional.

Hanya selepas apa sahaja keputusan selepas PRK Tenang nanti, Najib masih mempunyai masa untuk menentukan sama ada pilihanraya umum ke 13 berbaloi atau berisiko untuk dianjurkan selepas Mac tahun hadapan bersama-sama dengan pilihanraya Dewan Negeri Sarawak. Jika BN tewas di Tenang, mungkin Najib boleh biarkan Sarawak teruskan dahulu pilihanraya negerinya. Bagi BN yang kini dilihat menguasai lebih 60 peratus undi Melayu, mereka lebih bimbangkan dengan trend pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina.

Walaupun dalam PRK Galas melihat kepada pertambahan undi pengundi Cina kepada BN, perkara tersebut tidak boleh dijadikan sebagai satu petanda aras kerana semua sedia maklum hubungan baik antara Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dengan komuniti Cina yang memungkinkannya berlaku. Namun di Tenang nanti, trend pengundi Cina seharusnya tidak dilihat sebagai penanda aras terbaik tetapi boleh diterimapakai setidak-tidaknya. Lebih-lebih lagi Tenang yang terletak di bawah Parlimen Labis yang didakwa sebagai ’kubu kuat’ Presiden MCA sendiri, Datuk Seri Chua Soi Lek dan kini anaknya menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Sejauh mana Tenang kubu kuat Chua Soi Lek,biar rakyat tentukan

Penganalisa politik melihat selain daripada isu tsunami politik nasional melanda Labis semasa PRU 2008, isu ’disiplin’ Soi Lek juga menjadi penyebab kepada penurunan banyak majoriti BN hampir separuh ketika itu. Pengundi Melayu dan juga pengundi Cina sama-sama melihat Soi Lek sebagai seorang yang rosak akhlak dan inilah menyebabkan bukan sahaja Parlimen Labis tetapi di DUN Tenang itu sendiri, menjadi kerusi DUN yang paling banyak kehilangan majoriti di antara semua kerusi DUN yang dimenangi oleh BN pada PRU 2008 di negeri Johor.

Allahyarham Sulaiman memperolehi majoriti yang banyak pada PRU 2004 dengan memperolehi 5,507 majoriti tetapi berjaya mempertahankan kerusinya itu dengan majoritinya berkurangan sehingga lebih separuh apabila memperolehi majoriti sebanyak 2,492 undi. Situasi ini jelas sekali melihat peralihan undi besar dari kaum Cina dan India kepada calon PAS ketika itu mewakili PR.

Pastinya bagi MCA, pertandingan PRK ini bakal melihat sejauh mana Soi Lek sebenarnya diterima di negeri tersebut dan sama ada rakyat sudah memaafkan ’kecurangannya’ di dalam aktiviti yang dilihat rakyat sebagai tidak sihat itu. Penulis menjangkakan isu pita kontroversi seks Soi Lek pasti akan menggamatkan semula PRK Tenang nanti dan kesempatan ini bukan sahaja digunakan oleh parti lawan tetapi juga oleh pihak-pihak dalaman partinya sendiri sebagai menekan Soi Lek sepertimana yang mereka pernah buat dahulu untuk menjatuhkan Soi Lek sebagai Naib Presiden MCA pada tahun 2007.
Peluang PR lebih baik dengan PAS

Bagaimana dengan peluang PR? Sebelum menghuraikannya, jika diikut resam pembahagian kerusi di antara komponen PR, komposisi kaum di dalam daftar pemilih menjadi petunjuk. Sebelum ini, PRU 2008, PR meletakkan calon PAS yang mana sepatutnya mengikut pembahagian komposisi, PKR lebih berhak meletakkan calon sebenarnya.

Namun begitu, sehingga kini, dilaporkan bahawa PAS Johor dan PKR Johor masing-masing dikatakan cuba melobi untuk meletakkan calon di kerusi tersebut dan usaha ini dilakukan sejak mereka mendapati Sulaiman berada dalam keadaan ’kritikal’ di hospital. Tidak dinafikan ada kemungkinan PKR akan bertanding di sana tetapi tidak menolak jika PAS kekal di sana bergantung kepada apa yang difikirkan dalam benak fikiran pemimpin PR dan persetujuan mereka.

Di dalam keadaan PKR yang baru sahaja tamat pemilihan pimpinannya pada bulan lepas dan hasil darinya menyebabkan perpecahan dan masalah dalaman kini berlaku di dalamnya, bagi penulis, PKR seharusnya membiarkan PAS kekal meletakkan calonnya di situ. Maafkan saya jika terpaksa berkata, andaikata saya diberi pilihan sama ada PKR atau DAP meletakkan calon di Tenang, saya terpaksa menolak PKR dan terpaksa memilih DAP. Ini menggambarkan betapa gerunnya saya akibat masalah dalaman PKR yang mampu menggugat kemenangan PR. Tetapi dalam kes ini, PAS adalah calon terbaik jika dilihat pada senario dan tanggapan umum ke atas masalah dalaman PKR walaupun pemimpin PKR dilihat seperti menafikan pergolakan dalamannya di kaca mata rakyat. Dan penafian inilah meresahkan rakyat dan penyokongnya kerana ’state of denial’ pemimpin utama PKR.

Kesilapan PKR memilih Chua Jui Meng sebagai Ketua PKR Johor

Walaupun tiada masalah dalaman di dalam PKR sekali pun, saya masih memilih PAS. Anda mahu tahu kenapa? Mungkin ramai tidak sedar bahawa keadaan di dalam PKR Johor sendiri dan penerimaan rakyat Johor ke atas PKR masih jauh lagi rendah. Saya boleh katakan semakin teruk apabila PKR tidak sensitif kepada ’ketuanan Melayu’ yang wujud di negeri itu. Sebagai sebuah negeri yang menjadi kubu kuat UMNO, kesilapan besar PKR adalah melantik bukan Melayu sebagai Ketua PKR negeri. PKR telah melantik bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng menjadi Ketua PKR negeri. Kita tidak bercakap tentang hak Chua ataupun orang Cina memegang jawatan tersebut tetapi kita bercakap tentang situasi sebenar di negeri yang majoritinya orang Melayu yang kini UMNO berbangga kerana menguasai lebih 60 peratus undi Melayu.

Oleh itu, penulis berharap pemimpin kanan PAS dan DAP supaya faham akan realiti semasa dan tidak membiarkan lagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin mendesak mereka menerima PKR sebagai calon di Tenang. Jika PAS dan DAP benar-benar mahu menyelamatkan kemampuan dan persepsi umum ke atas PR yang kebelakangan ini banyak menurun disebabkan masalah dalaman PKR, maka PAS dan DAP perlulah berkata ’Tidak!’ untuk kali ini.

Chua Jui Meng sebagai calon PR?

Saya melihat ada kemungkinan Anwar berhasrat untuk menjadikan medan Tenang ini untuk mengenengahkan Datuk Chua Jui Meng sebagai calon. Meletakkan beliau sebagai calon tidak salah kerana ini negara demokrasi tetapi satu langkah ke belakang jika melakukannya di kerusi DUN yang ramai Melayu yang kini kukuh bersama UMNO dan BN. Jui Meng mungkin mampu menarik undi orang Cina tetapi menarik undi orang Melayu dilihat sebagai sesuatu yang mustahil dalam senario semasa.

Namun begitu, dasar PAS yang lebih liberal bukan sahaja menarik undi orang Cina tetapi sekurang-kurangnya dapat menarik sebahagian daripada undi Melayu jika dibandingkan dengan kemampuan PKR sendiri walaupun PKR meletakkan calon Melayu dan bukannya Jui Meng. Bukan itu sahaja, PKR akan lebih bermasalah untuk meyakinkan pengundi sekiranya AKIM@KITA memasuki gelanggang lawan. Yang pastinya Zaid mempunyai sebab, bukti dan hujah politik bagi membongkarkan masalah dalaman PKR di dalam kempennya.

Penggantungan 4 ahli Parlimen PR boleh dijadikan bahan kempen berkesan

Episod terbaru di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyaksikan penggantungan empat ahli Parlimen PR memang mampu memberi nafas politik kepada PR untuk menggunakan isu-isu mengenai salahguna kuasa doktrin pengasingan kuasa, APCO-Israel, Speaker Dewan Rakyat yang tidak adil dan sebagainya bagi meningkatkan semula waima perjuangan keadilan dalam diri rakyat yang kembali terpendam sejak setahun lalu.

Namun, calon PAS adalah lebih mampu dan sesuai menggunakan kesempatan isu Dewan Rakyat itu untuk menarik sokongan orang Melayu di Tenang terutamanya mereka yang berada di atas pagar yang pernah mengundi PR semasa PRU 2008. Apa yang PAS perlu lakukan sekarang bersama-sama dengan komponen lain dalam PR ialah memainkan semula sentimen rakyat supaya meningkat ke tahap ’rakyat penentu’ seperti semasa di PRK di Batu Gantang iaitu selepas beberapa bulan BN menguasai DUN Perak dengan cara yang diragui.

Andaikata PR tetap mahukan calon dari PKR, isu dalamannya yang berlaku sebelum ini tidak cukup bagi mengambil kesempatan dalam menyemarakkan gelombang rakyat kali ini, maka PAS adalah jentera terbaik buat masa sekarang. Namun begitu, secara jujurnya, jika PR dapat mengurangkan majoriti BN sudah cukup baik kerana ini mampu memberi semangat baru kepada PR dan menakutkan BN. Sekiranya PR menang, ia adalah satu bonus besar di dalam merealisasikan impian Putrajaya nanti.

Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com

RM1.887 billion, Apa Rakyat Terengganu Perolehi?

12 Muharram 1432H.
Oleh: Dr Azman Ibrahim

Bajet Terengganu 2011 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berakhir khamis 16 Disember 2010 lepas memperuntukkan anggaran perbelanjaan negeri sebanyak RM1.887 billion. Menakjubkan walaupun Terengganu adalah antara negeri termiskin di Malaysia tetapi Terengganu antara negeri yang mengemukakan bajet tertinggi untuk tahun 2011. Sebagai bandingan, Selangor sebuah negeri maju hanya memperuntukkan RM1.43 bilion bagi Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM1.699 bilion diperolehi dari kerajaan pusat yang disebut oleh Menteri Besar semasa pembentangan Bajet sebagai royalti petroleum tetapi kerajaan pusat masih menganggapnya sebagai bayaran Dana Khas sahaja dan bukannya bayaran royalti. Bakinya RM188 juta atau hanya 10 peratus sahaja adalah sumber kerajaan negeri.

Bayangkan di mana Terengganu tanpa dana khas ini? Pastinya kakitangan kerajaan negeri tidak akan dapat dibayar gaji apatah lagi untuk belanja pembangunan. Kerajaan Terengganu memerlukan RM213.34 juta setahun hanya bagi pembayaran gaji dan emolumen sahaja. Untuk berlaku jujur, kita boleh mengambarkan bagaimana kesukaran dihadapi Kerajaan PAS Terengganu era 1999-2004 untuk menguruskan pentadbiran negeri apabila royalti dirampas. Kakitangan kerajaan masih mendapat gaji dan pembangunan masih berterusan walaupun seadanya.

Dato’ Seri Ahmad Said juga mengakui semasa pembentangan Bajet bahawa disebabkan Kerajaan Negeri tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas oleh kerajaan persekutuan seperti mana yang diperuntukkan dalam anggaran bajet bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 menyebabkan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar sebanyak RM699.01 juta bagi tahun lepas berbanding RM424.96 juta bagi tahun sebelumnya.

Seorang ahli Dewan Undangan Negeri dari kawasan Sura, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyatakan; mengikut pengalamannya sepanjang menjadi Ahli Dewan Negeri semenjak 2008, walaupun anggaran Bajet Terengganu adalah yang tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi ianya tidak pernah mencukupi. Apabila berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos nanti, biasanya permohonan Bajet Tambahan akan dikemukakan kepada dewan.

Ironinya dengan Bajet 2011 RM1.887 bilion, Bajet 2010 RM1.881 bilion, Bajet 2009 RM1.799 bilion, Bajet 2008 RM1.673 billion, bermakna Bajet pasca Pilihanraya Umum ke 12, sebanyak RM7.24 bilion telah diperuntukan dalam keseluruhan Bajet.

Sungguh! suatu angka yang sangat besar tapi di mana bahagian yang dapat dinikmati oleh rakyat? Bagaimana mungkin dengan peruntukkan sebanyak ini, rakyat Terengganu masih kekal sebagai antara yang termiskin di Negara ini. Sekadar satu contoh remeh, rakyat Selangor sekurang-kurangnya merasai bekalan air percuma walaupun nilanya hanyalah RM11.30. Di Terengganu kita masih bermimpi untuk merasai nikmat air percuma walaupun nilainya mungkin sekadar RM5.

Kuasa beli rakyat Terengganu juga antara yang terendah dengan bukti jelas apabila Pasaraya Mydin Mall di buka di Kuala Terengganu, ramai peniaga kecil dan kedai runcit yang gulung tikar sedangkan di Kelantan walaupun pasaraya demi pasaraya dibuka, peniaga-peniaga kecil masih boleh meneruskan perniagaan mereka disamping pasaraya-pasaraya besar mencatatkan keuntungan luar biasa. Maklumat yang boleh dipercayai menyatakan, jualan harian biasa sebuah pasaraya besar di Lembah Sireh Kota Bharu mencecah RM500 ribu. Dimusim-musim perayaan, jualan hariannya boleh mencecah RM1 juta.

Ketika bulan-bulan awal menduduki kerusi Menteri Besar, Ahmad Said ada mendedahkan bagaimana banyak projek-projek era pemerintahan Idris Jusoh dibuat tanpa kajian teliti dan tidak jelas manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat malah banyak projek menyalahi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Kenyataan ini tentu sahaja ternyata kebenarannya. Monsun Cup, Taman Tamaddun Islam, Masjid Kristal, Projek Tanaman Strawberi, Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Stadium Bolasepak, Jerteh Souq serta pembangunan Pulau Duyong semuanya menelan kos ratusan juta ringgit.

Hasilnya, samada gagal disiapkan atau sekadar menjadi monumen kemegahan untuk dipamerkan tanpa rakyat marhain dapat menikmati manfaatnya.

Sekarang, Sebagai seorang Menteri Besar yang berkuasa, tugas beliau bukan hanya sekadar mengkritik dan memburukkan pentadbiran terdahulu yang memang terbukti buruk dalam rangka untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri. Rakyat sebenarnya tidak berminat untuk mengikuti episod seterusnya perseteruan dua pemimpin yang saling berkepentingan ini. Yang diinginkan rakyat bagaimana kerajaan yang memerintah boleh melakukan yang terbaik untuk mereka sesuai dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Nah! Sekarang, Kerajaan Negeri pimpinan Ahmad Said telah diperuntukkan sebanyak RM7.24 bilion sepanjang 2008-2011. Suatu jumlah yang sangat besar dan mengkagumkan walaupun sebahagian besarnya adalah peruntukkan Dana Khas dan bukannya melalui kebijaksanaan Kerajaan menambahkan hasil negeri. Ahmad Said tidak sepatutnya bersikap lepas tangan dan mengulangi kesilapan sama sabagaimana yang dilakukan Idris Jusoh.

Menyedihkan apabila dengan peruntukkan yang sebegini besar, masih terdengar berita rakyat Terengganu tidur dibasahi hujan disebabkan atap rumah yang bocor, masih kedengaran ada anak-anak yang keciciran pendidikan disebabkan kemiskinan, masih terdengar kisah keluarga yang makan ubi kayu menggantikan nasi dan pelbagai lagi cerita memilukan. Sumbernya bukan akhbar pembangkang tetapi media arus perdana.

Pergilah ke tepi pantai, dengarlah keluhan nelayan-nelayan pantai yang masih dihimpit kemiskinan, dengarlah rintihan para petani, peniaga-peniaga kecil dan rakyat-rakyat bawahan di sebalik kemilau projek-projek mega untuk ‘memahat sejarah mencipta tamaddun’.

www.drazmanibrahim.com

PKR umum perlantikan.

12 Muharram 1432H.

Pasca pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi, barisan kepemimpinan baru PKR yang diumumkan hari ini menyaksikan kemunculan beberapa muka baru.

Namun begitu masih ramai menunggu pengumuman Pengerusi beberapa negeri termasuk negeri Perak yang dianggap panas dengan persoalan Pengerusi sebelum ini, Hj. Mustafa Kamil adakah dilantik kembali ke jawatan itu.

Pengumuman hari ini bagaimanapun tidak banyak menyaksikan pelantikan dari kem timbalan presiden Azmin Ali seperti spekulasi sebelum ini.

Bagaimanapun, ia tetap menarik perhatian apabila peguam hak asasi N Surendran, 44, dilantik ke jawatan naib presiden. Surendran tidak menawarkan diri sebagai calon dalan pemilihan yang baru-baru ini.

Selain itu, dua lagi jawatan naib presiden diisi bekas menteri kesihatan Datuk Seri Chua Jui Meng dan ketua PKR Sarawak Baru Bian.

Pelantikan turut melibatkan calon yang tewas dalam pemilihan, termasuk bekas calon ketua AMK Badrul Hisham Shaharin ke jawatan timbalan setiausaha agung.

Mustaffa Kamil Ayub yang tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden kini dilantik menjadi ahli biro politik dan juga ke jawatan ketua biro latihan.

Orang-orang kuat Anwar seperti Rafizi Ramli dan ADUN Jerejak Sim Tze Tsin pula masing-masing kini menjawat kedudukan pengarah strategik dan timbalan ketua penerangan.

Di samping itu, peguam Latheefa Koya dilantik mengetuai biro perundangan yang baru ditubuhkan, manakala Dr Mohd Nor Manuty dilantik sebagai ketua penerangan.

Pengarah pilihan raya yang sebelum ini diisi oleh Fuziah Salleh kini diambil alih oleh Azmin Ali.

Provokasi menjelang Konvensyen Pakatan Rakyat

12 Muharram 1431H.
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 18 Dis: Awal pagi ini, petugas PAS yang memasang bendera terkejut apabila melihat ribuan poster bersaiz F4 digantung semacam poster pilihan raya dari Dewan Millenium ke persimpangan susur keluar tol Bertam.

Poster tersebut hanya ada gambar Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tanpa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kemungkinan ia dibuat untuk tujuan provokasi agar jentera PKR marah kenapa gambar Anwar tidak dicetak bersama sedangkan Anwar merupakan tokoh penting menggerakan Pakatan Rakyat atau kerana Anwar telah digantung sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Tetapi, apa pun ia dipercayai adalah usaha musuh Pakatan Rakyat bagi menggagalkan Konvensyen Pakatan Rakyat yang mahu mengambil kata sepakat menjelang pilihan raya umum nanti di samping meretakkan hubungan yang terjalin antara PKR, PAS dan DAP.

"Bila kami tanya kepimpinan, mereka menjawab tidak tahu menahu, maka kami pun buang semua poster berkenaan," kata salah seorang petugas Unit Amal ketika menghubungi Harakahdaily awal pagi tadi.

Ancak: Nizar cabar 'fatwa' Harussani

12 Muharram 1432.
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mencabar penjelasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini, yang tetap mempertahan tindakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dalam isu ancak sebagai tidak khurafat.

Nizar yang juga bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat negeri itu berkata, penjelasan yang dibuat Harussani itu tidak lebih dari menjaga kepentingan pihak tertentu.

"Yang saya bangkitkan dalam sidang Dun baru-baru ini ialah saya menuntut penjelasan mufti sama ada upacara yang dilakukan Zambry itu syarie atau tidak.

"Tak kisah la letak ancak ke (kiri), renjis tepung tawar ke, yang penting syarie atau tidak," katanya kepada Harakahdaily semasa dihubungi, hari ini.

Biarpun dipertikai banyak pihak, Harussani seperti dilapor sebuah akhbar hari ini, bertegas bahawa tindakan Menteri Besar BN Perak itu, termasuk merenjis dan menepung tawar dalam upacara memasang ancak tiang seri baru-baru ini adalah amalan biasa dalam masyarakat Melayu dan tidak bercanggah dengan syarak.

Penjelasan terbaru itu dibuat Hasrussani selepas Nizar yang juga Adun Pasir Panjang membangkitkan semula perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini.

"Semasa saya bangkitkan dalam sidang Dun itu, Zambry cuba alih isu kata saya tuduh dia pasang ancak, sedangkan kata dia, dia hanya tepung tawar.

"Saya nak tahu syarie ke tidak, dan kenapa lebih dua bulan baru mufti nak bersuara, dan mengatakan tidak khurafat?" soalnya.

Pakatan Rakyat sebelum ini mendakwa amalan meletakkan ancak tersebut adalah khurafat, bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh menjejaskan akidah si pelakunya.

Isu tersebut juga telah panjangkan oleh Dewan Pemuda PAS Perak kepada Sultan Perak, selaku ketua agama negeri.

Biarpun banyak pihak berpendirian sama, namun hanya Harussani setakat ini dilihat lantang mempertahan tindakan Zambry itu.

Nizar sebelum ini turut mempertikai tindakan Harussani yang dilihat cepat menghukumkan 'haram' kepadanya dan Adun Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim kerana berada di majlis nyalaan lilin sebagai memprotes ketidakadilan dalam kes kematian pembantu exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Lebih malang kata Nizar, tindakan menghukum yang dibuat Harussani itu tanpa mendengar penjelasan dari mereka berdua dahulu.

Berbeza dalam kes Zambry, Harussani katanya dilihat seperti terdesak dalam mengeluarkan 'fatwa'nya sehingga memanggil dan mendengar penjelasan Menteri Besar Perak itu.

Namun menurutnya, hasilnya adalah seperti dijangkakan, iaitu perbuatan Zambry itu 'dihalalkan' oleh Harussani.

Tindakan Harussani itu, katanya lagi bukan sahaja boleh mengelirukan umat Islam di negara ini, malah turut mencalarkan kredibiliti ulamak termasuk mufti.

"Saya waktu isu nyala lilin itu, bukan menteri besar lagi pun.

"Tapi kes Zambry ini kesannya sangat besar sebab dia exco agama, menteri besar lagi, ada doktor falsafah yang didakwa dalam bidang agama dan juga ada penasihat agama.

"Lebih bahaya, perbuatan dia itu dibuat di dalam kawasan kampung yang sekaligus memberi gambaran amalan itu boleh terus diamalkan dan tidak khurafat," katanya.

Selain itu, Nizar juga mahu Harussani menyatakan pendirian berhubung isu Zambry membenarkan bomoh mengasapkan kemenyan di dalam dewan persidangan Dun yang pernah dibangkitkan oleh Khalil Idham.

Khalil Idham kini dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan ekoran membangkitkan perkara itu.

Harakahdaily/-

Selamat Berkonvensyen......


Saya ucapkan SELAMAT BERKONVENSYEN kepada semua perwakilan dari seluruh negara dari PAS, DAP dan PKR yang akan berhimpun di Dewan Millennium di Kepala Batas, Pulau Pinang esok. Harapan saya konvensyen kali ke 2 ini berhasil merumuskan beberapa tindakan dan agenda penting bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam persiapan menghadapi PRU ke 13 tidak berapa lama lagi.

Sebenarnya PR tidak ada masa lagi untuk memikirkan perbezaan dan melayan perkara remeh temen dan memikirkan hanya satu agenda iaitu tumbangkan BN.

Musuh PR ialah BN bukan sesama parti dalam Pakatan Rakyat.......SELAMAT BERKONVENSYEN.

Bersiap hadapi pilihan raya umum

12 Muharram 1432H.
Li Fook Gao

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1: Apakah harapan Naib Presiden sekalian terhadap konvesyen Pakatan Rakyat ke 2?

TITM:

Harapan saya untuk konvesyen ini ia dapat ditumpukan perbincangan bagi melihat masa depan Pakatan Rakyat, khususnya sebagai persiapan PRU 13.

Ia tidak seharusnya menjadi medan menoleh ke belakang atau menimbulkan polemik dalaman antara satu sama lain.

Pakatan Rakyat punyai agenda besar bagi membina keyakinan rakyat kepada perubahan. Agenda perubahan ini bukan sahaja perlu diharap keyakinan rakyat tetapi ia turut melibatkan persiapan kepimpinan yang meyakinkan.

Hubungan antara parti komponen yang telus, disamping sama melihat parti komponen yang saling memerlukan dan saling menguat boleh meningkatkan keyakinan rakyat.

Konvesyen ini juga diharap dapat mencari kaedah mengatasi cabaran media perdana yang tidak berhenti menabur fitnah kepada negeri Pakatan Rakyat dan saluran info bagi rakyat.

SA:

Konvesyen ini merupakan cara kita bergerak ke hadapan untuk merealisasikan apa yang kita telah persetujui dan sepakati dalam konvesyen yang pertama.

Kita perlu lebih tangkas dan pantas hari ini kerana pilihanraya umum yang akan datang pada bila-bila masa, dan ini perlu dijadikan priority untuk semua.

Selepas konvesyen ini, saya rasa Pakatan Rakyat akan menampakan sesuatu imej dan keterampilan, satu pasukan yang benar-benar diyakini rakyat dan membina satu kepercayaan tinggi terhadap team Pakatan Rakyat yang akan mengambil alih Barisan Nasional dan mengurus tadbir negara pada tahap yang lebih bertanggungjawab.

MO:

Diharapkan konvesyen ini dapat memberikan satu garis pada semua pimpinan dan ahli seluruh peringkat bagi parti-parti komponen Pakatan Rakyat ini untuk membawa satu usaha untuk membentuk mood masyarakat dan rakyat untuk menghadapi PRU yang akan datang ini.

Konvesyen ini merupakan satu konvesyen persediaan Pakatan Rakyat untuk menghadapi pilihanraya akan datang.

Dan saya juga harap dapat melalui konvesyen ini, memberikan satu gambaran awal yang menyakinkan masyarakat tentang apa yang akan dilakukan Pakatan Rakyat dalam tempoh 100 hari selepas rakyat memberikan PR kuasa untuk mentadbir negara selepas PRU nanti.

Ini sangat, sangat, sangat penting untuk rakyat melihat daripada sekarang. Kita tidak mampu untuk membawa apa yang kita lakukan ini selepas pembubaran Parlimen dan penamaan calon. Sebaliknya, kita harus mengwar-warkannya daripada sekarang ini.

Apa yang akan disebut seperti pengistiharan resolusi dan deklarasi sebagaimana yang telah pun kita gariskan di konvesyen yang pertama, ia perlu ada satu mekanisme penyaluran untuk sampai kepada masyarakat dan rakyat, ini yang lebih penting.

Pengistiharan dan deklarasi yang kita buat pada konvesyen yang pertama itu sangat baik dan diakui oleh rakan-rakan saya yang bekas ahli UMNO – yang turut berkata itu adalah sangat baik – Cuma masalah sekarang ini ialah bagaimana untuk diperturunkan kepada masyarakat supaya masyarakat dapat melihat kebaikan yang ada kepada Pakatan Rakyat.

Dan saya percaya konvesyen kedua ini akan lebih menyakinkan rakyat, namun yang lebih penting ialah bagaimana pimpinan dan ahli-ahli Pakatan Rakyat ada satu mekanisme dari sudut media dan penyampaiannya kepada masyarakat dan rakyat.

2. Apakah kelebihan utama PAS untuk mempertahankan kubu sendiri dan memerangi kubu kuat UMNO di:

Pahang:

TITM: Kelebihan PAS ialah kekuatan asas perjuangan iaitu aqidah serta dasar Islam yang diperjuangkan. PAS mampu bertahan dengan pelbagai bentuk tekanan kerana dasar tersebut.

Dalam konteks negeri Pahang, PAS terus beristiqamah dalam meyakinkan rakyat untuk melakukan perubahan.

Kejayaan negeri Pakatan Rakyat akan menjadi inspirasi bagi rakyat untuk membuat perubahan. Kelebihan besar di Pahang ialah permuafakatan yang terbina dalam Pakatan Rakyat.

Semua pimpinan negeri sering berjumpa dan menyatakan masalah bagi diatasi bersama. Di samping itu, kesemua wakil rakyat yang kita menangi menunjukkan prestasi yang baik dn memuaskan.

Kelantan:

SA: Di Kelantan, kita mempunyai trak rekod yang bersih, yang paling muktahir apabila SPRM telah membebaskan isu-isu yang mungkin menjadi polemik dan juga kontroversi iaitu isu Tok Guru Nik Aziz dan PMBK (Perbandaran Menteri Besar Kelantan).

Itu juga membuktikan bahawa urus tadbir yang diterajui oleh Tok Guru benar-benar bersih pada tahap ini, dan ini akan menjadi satu aset dan hujah yang kuat untuk kita terus mengurus tadbir Kelantan dalam jangka waktu yang lebih lama dan menyakinkan.

Untuk Kelantan, saya harus ada satu perkiraan iaitu rakyatnya sangat peka dan bijak berpolitik sekiranya kita boleh menampilkan yang terbaik untuk mereka, mereka akan terus mendokong kita, tapi kalau kita dilihat tidak bertanggungjawab dan tidak berupaya mengurus tadbir Kelantan, rakyat Kelantan juga boleh membuat keputusan yang mengejutkan.

Kita, PAS harus berdiri atas satu garis yang lebih realistik, lebih praktikal dan yang penting ialah terus membangunkan Kelantan dengan slogan “Membangun dengan Islam.”

Kedah:

MO: Kelebihan PAS di Kedah ialah memiliki kekuatan akar umbi yang dibina sejak dulu di mana kita mempunyai cawangan-cawangan dan keahlian yang begitu banyak.

Jadi, dari segi rangkaian jentera kita, PAS kukuh dan meluas kepada setiap daerah mengundi dan malah di sebahagian besarnya lokaliti terletak di kampung-kampung di Kedah. Inilah kekuatan asas kita di Kedah.

Keduanya, di setiap peringkat parti, cawangan dan kawasan memiliki pusat pergerakan – kita tidak bergerak di rumah-rumah ahli dan sebagainya iaitu kita tidak melaksanakan operasi dengan sekadar menumpang di rumah ahli-ahli – semua gerak kerja berpusat di markas, dan ini bagi saya satu yang sangat unik pada kelebihan PAS di Kedah.

Yang ketiganya, kita mempunyai kepimpinan dan ahli yang terlatih dalam konteks latihan parti (latihan perjuangan dan tarbiyah) dan latihan menghadapi pilihanraya.

Ini semua akan memberikan satu kelebihan kepada PAS di Kedah.

Terengganu:

TITM: Harapan kita sangat besar untuk kemenangan Terengganu, kerana ia negeri Presiden dan ia pernah berada dalam gengaman kita pada tahun 1999 - maknanya rakyat Terengganu pernah merasai nikmat berada di bawah kerajaan pimpinan PAS, mereka telah merasai bagaimana kerajaan pimpinan PAS menghapuskan tol jambatan Sultan Mahmud, menghapuskan cukai pintu rumah kediaman di kawasan bandar, adanya kuliah di seluruh masjid dan surau, exco mengadakan dialog terbuka dengan rakyat, menyerahkan 25,000 geran tanah kepada rakyat yang memerlukan, bahkan pelbagai nikmat lainnya.

Dengan kata lain, harapan kita agar nikmat ini akan memudahkan kita mencapai kemenangan dalam PRU ke 13 kali ini.

Saya dapat melihat kesungguhan jentera pilihanraya menjalankan tugas, namun kita menyedari betapa besarnya cengkaman wang ehsan kepada golongan miskin, tekanan ekonomi bagi rakyat miskin, serta wujudnya jurang yang besar antara para penyokong PAS dan UMNO.

Diharap dengan kesedaran generasi kedua, mereka akan bangkit untuk melakukan perubahan dan InsyaAllah kita akan mencapai kemenangan.

SA: Terengganu kita juga mempunyai kelebihan yang agak kukuh seperti pengalaman memerintah walaupun sepenggal pada tahun 1999 dan kita ada satu trak rekod yang baik pada urus tadbir dan tiada apa-apa yang diheret ke mahkamah oleh SPRM.

Kelebihan satu lagi pada PAS ialah pasukannya berpengalaman dari segi politik dan perpecahan UMNO yang berlaku hari ini. Itu harus diambil kesempatan yang sebaiknya untuk kita maksimakan tahap keyakinan rakyat terhadap PAS.

MO: Setiap negeri mempunyai kelebihan tersendiri – ditambah pula dengan kepimpinan PAS Terengganu yang berpengalaman dan perpecahan UMNO antara kem Menteri Besar Datuk Ahmad Said dengan bekas Menteri Besar Idris Jusoh, PAS berpeluang agak cerah untuk merampas semula Terengganu ke pangkuannya.

Kes Perak buktikan Speaker boleh dicabar

12 Muharram 1432H
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah boleh mengenepikan keputusan Speaker Dun Perak kini bakal makan tuan apabila Pakatan Rakyat mahu mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat.

Oleh itu, pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar oleh mahkamah telah tertolak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Demikian kata peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Mohd Nazri melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah.

Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.

“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Menurut Nazri, telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.

Karpal yang merupakan seorang peguam sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Haji Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.

Bagi Hanipa, Umno telah terbelit dengan tindakannya sendiri apabila seolah-olah membenarkan tindakan Mahkamah Persekutuan campur tangan dalam kes keputusan Speaker Dun Perak V Sivakumar apabila beliau menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco haramnya.

"Adakah Nazri tidak sedar dalam kes Perak, Umno telah menyalahgunakan mahkamah untuk cabar keputusan V Sivakumar, Speaker Dun Perak.

"Bukankah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan Sivakumar sebagai Speaker boleh dicabar. Sekarang kes Perak ini dah makan tuan," kata Hanipa dalam kenyataannya.

Ini kerana, kedudukan Speaker Dun dan Speaker Dewan Rakyat tidak ada bezanya dalam konteks sistem dewan perwakilan di Malaysia. Jika keputusan Speaker Dun boleh dicabar, maka keputusan Speaker Dewan Rakyat juga boleh dicabar.

Pakai baju berlogo parti ke Konvensyen Pakatan

12 Muharram 1432H.
Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 17 Dis: Semua peserta termasuk kepimpinan parti yang menyertai Konvensyen Pakatan Rakyat di Dewan Milenium, di sini pada 19 Disember ini dikehendaki memakai baju berlambangkan parti masing-masing.

Pengarah program, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, baju mesti kemas tidak kira ia bertulisan mahupun berlambang kerana yang penting ialah menggambarkan parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS, PKR dan DAP.

"Semua jentera parti dan kepimpinan dikehendaki pakai baju berlambangkan parti masing-masing sepanjang konvensyen berlangsung pada hari Ahad ini agar ia nampak seragam dam ketrampilan sebagai gabungan yang mantap," katanya.

Katanya, jika sesiapa yang mahu memakai kemeja 'T'berlambangkan parti pastikan yang berkolar dan jangan sekali-kali berselipar.

Peserta juga sambungnya, digalakkan datang awal sebelum pukul 8.00 pagi untuk mengelak daripada kesesakan di bahagian pendaftaran.

Peserta akan dibekalkan sebuah buku berwarna 'oren' di mana di dalamnya bercetak polisi dan dasar Pakatan.

"Semua peserta kena datang awal dan tuju terus ke bahagian pendaftaran di samping pastikan mendapat bekalan buku berwarna oren mengandungi dasar dan polisi Pakatan Rakyat," tambahnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Selepas sahaja majlis bermula satu gimik perasmian akan diadakan namun beliau tidak memberitahu caranya kerana mahukan kelainan.

Harakhadaily/-

Ambil pedoman Al Quran sepakatkan Pakatan

12 Muharram 1432H.
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

“Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,”ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua,” ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Harakahdaily/-

Taib terbabit dengan tanah NCR berjumlah RM90 juta?

12 Muharram 1432H.

Laman sesawang Sarawak Report terus mendedahkan pembelian tanah yang mencurigakan membabitkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya. Kali ini, membabitkan kawasan sekitar Sri Aman dan dikatakan bernilai dehingga RM90 juta.

Tanah 8,800 hektar itu terletak di daerah Bijat di Sungai Tisak, timur dari Kuching. Mengikut kumpulan pejuang pribumi, Sadia Native Customary Rights (NCR) tanah itu kepunyaan masyarakat Iban.

sri aman land grabSadia melaporkan 15 komuniti Iban menduduki tanah itu akan terjejas apabila tanah berkenaan dikatakan akan diberi secara percuma kepada anak lelaki Taib, Mahmud Abu Bekir Taib, dijual kepada Felcra untuk penanaman semula kelapa sawit.

“Masyarakat tempatan Iban berkata pembalak masuk ke kawasan mereka tanpa sebarang makluman empat bulan lalu. Mereka baru menyedari apa yang terjadi dan sekrang ini benar-benar berang.

“Tiada sesiapa yang memberitahu mereka siapa sebenarnya pembalak itudan mereka juga tidak tahu mengenai pembabitan rancangan anak Taib yang mahu menukarkan kawasan itu menjadi ladang kelapa sawit,” lapor laman sesawang itu, Rabu lalu.

Katanya lagi, Pejabat Tanah Daerah, beberap hari lalu mengeluarkan surat kepada 16 ketua masyarakat Iban memanggil mereka untuk bermesyuarat tanpa dimaklumkan agendanya.

NONEMenurut Sarawak Report, ketua-ketua Iban itu percaya mesyuarat adalah berkaitan dengan pengambilan tanah mereka sambil berkata tanah mereka juga dirampas dua tahun lalu.

Laporan itu mendakwa perjanjian yang dibuat pada Disember 2008 di mana Jabatan Ukur dan Pemetaan yang dikuasai oleh Taib Mahmud atas kapasiti sebagai menteri perancangan dan pengurusan sumber telah dengan rasminya menyerahkan tanh itu kepada Titanium Management Sdn Bhd.

Titanium dimiliki hampir sepenuhnya oleh anak ketua menteri, Mahmud dan seorang kroni perniagaan yang dikenali sebagai Chris Chung Soon Nam (bawah, kiri).

Tanah adat NCR itu dianugerahkan kepada Mahmud sebagai balasan untuk 'bayaran tertentu yang tidak dijelaskan' kata laporan itu sambil menambah urusniaga seumpama itu adalah cara lazim oleh kerajaan Sarawak yang mempunyai kepentingan keluarga Taib.

Mahmud Abu Bekir Taib, taib mahmud's son and titanium shareholder“Titanium terkenal dengan beberapa 'skandal berprofil tinggi' termasuk menerima beberapa kontrak kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu.”

Tahun lalu, semasa wawancara Al-Jazeera dengan Menteri Pembangunan Tanah, Sarawak, Datuk James Masing mengakui pembinaan beberapa jambatan diserahkan kepada Titanium tanpa tender terbuka.

Chung dilaporkan cuba menjual tanah adat Iban itu kepada Felcra 'untuk sekurang-kurangnya RM 3,200 seekar tetapi cuba mendapatkan harga RM 4,200 bagi setiap ekar,” kata laporan sesawang itu. Malaysiakini/-

SPR daftar 177,857 pengundi baru

12 Muharram 1432H.

Sebanyak 177,857 permohonan pengundi baru telah didaftarkan bagi tempoh Julai hingga 30 Sept lalu mengikut Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Ketiga 2010 yang diwartakan semalam.

NONESuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan hari ini berkata DPT itu mengandungi 205,183 pemilih, termasuk 27,326 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Dengan pewartaan itu, jumlah keseluruhan pemilih berdaftar pada masa ini ialah 11.53 juta orang.

Pada masa yang sama, sebanyak 57,036 orang telah dikeluarkan daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak warganegara, kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu menyebut SPR belum dapat menyelesaikan 580 bantahan melibatkan 37 Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diterima sepanjang pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Ketiga 2010 pada 27 Okt hingga 2 Nov lalu.

"Oleh itu, sebanyak 50,206 permohonan baru dan 6,094 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi 37 bahagian berkenaan tidak dapat disahkan dan perlu ditangguh sehingga semua bantahan diselesaikan," kenyataan itu dipetik.

Sebanyak 1,290 tuntutan melibatkan lapan bahagian pilihan raya Parlimen juga diterima sepanjang pameran itu dan telah dapat diselesaikan dan nama-nama pemilih yang terlibat telah dicadangkan untuk dimasukkan dalam DPT suku ketiga tahun ini.

Orang ramai yang berminat untuk membeli DPT Suku Ketiga ini boleh membuat tempahan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya dan sebarang pertanyaan berkaitan hal itu boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8885 6500 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Malaysiakini/-