03 December 2010

4-dalam-1: Harga petrol, diesel, gas, gula naik lagi

26 Aulhijjah 1431H.

Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula dijangka mengalami kenaikan lagi mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.

Petrol RON95 petrol, dipercayai akan dinaikkan 5 sen menjadikan harga RM1.90 seliter.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.

Harga diesel pula dipercayai dinaikkan 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula dikatakan akan naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.

Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan yang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas.

Menurut sumber, pengumuman rasmi kenaikan itu akan diumumkan lewat hari ini oleh kerajaan.

TERSENTUH HATI APABILA MASIH ADA MASYARAKAT YANG TERPINGGIR

26 Zulhijjah 1431H
Oleh : SAIDI

LENGGONG: 25 Nov. YDP PAS Kawasan Lenggong. Hj. Razman Zakaria, kesal dan terkejut setelah melihat sendiri nasib rakyat yang masih hidup melarat dan tidak mendapat sebarang pembelaan daripada pihak-pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan rakyat dibawah.

Hj. Razman Zakaria berkata demikian semasa datang menziarahi seorang masyarakat berbangsa Tionghua menghidapi penyakit buah pinggang Leong Keat 53, yang tinggal bersendirian diatas tanah rizab jalan berhampiran jalanraya Kuala Kangsar-Gerik di Kg. Sira Lenggong.

Menurut Leong Keat 53, beliau tidak lagi berupaya untuk bekerja menyara hidupnya yang selama ini cuma berusaha menanam sayur di belakang pondok tempat tinggalnya. Penyakit yang dihidapi memaksa beliau berulang-alik ke Hospital Taiping untuk menjalani rawatan Hemodialysis pada setiap minggu.

Jelasnya, beliau tidak dapat menjalani rawatan tersebut pada pada bulan lalu kerana kesempitan wang sehingga menyebabkan beliau terlantar kesakitan ketika kunjungan Hj. Razman sambil menunjukkan kakinya yang semakin membengkak dan menyukarkan pergerakannya.

Sehingga kini, beliau hanya bergantung belas ehsan makan minum diberikan saudaranya sahaja yang juga berasal dari keluarga yang miskin.

Menurutnya lagi, amat menyedihkan apabila kesempitan hidupnya selama ini tidak pernah diambil perhatian oleh pihak-pihak berwajib seperti menerima bantuan bagi meringankan beban kemiskinan yang ditanggungnya.

Kunjungan ziarah YDP PAS Hj. Razman Zakaria dan AJK PAS Kaw. Lenggong bersama Setiausaha DAP Lenggong menghulurkan bantuan pada hari tersebut telah mendapati keadaan hidup Leong Keat 53, adalah amat menyedihkan.

Keadaan pondok yang diduduki nya hanyalah berlantaikan tanah, dinding yang tidak sempurna dan tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan eletrik, air dan tandas.

Ujar Hj. Razman Zakaria dengan rasa kesal, tidak sepatutnya pihak bertanggungjawab sering terlepas pandang atau membiarkan sahaja keadaan hidup masyarakat seperti ini dari terus berlaku.

Sesiapa yang ingin menderma, sila masukkan derma anda melalui akaun Maybank: 108131159089
Liang Ching@Leong Lai Kow.

'Lebih baik TPM Cina yang hormat perlembagaan'

26 Zulhijjah 1431H

Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari berpendapat, lebih baik mempunyai perdana menteri dan timbalannya Cina tetapi menghormati perlembagaan daripada Melayu yang menganggap diri sendiri melampauinya.

Mengimbau kembali bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad mengusahakan pindaan perlembagaan pada tahun 1994 bagi "menghapuskan kuasa Agong", Abdul Aziz berkata, ia menunjukkan contoh bagaimana perdana menteri Melayu "menjadi sombong".

"Mungkin sudah tiba masanya untuk mencuba perdana menteri Cina! Menurut logik, pihak yang datang daripada golongan minoriti akan jadi lebih circumscribed (terhad).

"(Sebagai contoh) setakat ini (Ketua Menteri Pulau Pinang) Lim Guan Eng belum melakukan 'dosa' seperti Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya," kata Abdul Aziz (kanan).

Anwar dalam satu temubual dengan harian berbahasa Cina pada 26 November lepas dilaporkan berkata, Penasihat DAP Lim Kit Siang boleh menjadi timbalan perdana menteri sekiranya Pakatan merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Mengulas perkara yang sama, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula dilaporkan bersedia menerima pelantikan Lim itu.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Abdul Aziz mendedahkan jawatan nombor dua itu sendiri sebenarnya tidak disebut dalam perlembagaan dan terpulang kepada perdana menteri untuk mewujudkannya.

"Jawatan timbalan perdana menteri ini dikira ciptaan Umno. Mereka menganggapkanya sebagai jawatan untuk timbalan presiden Umno dan (sebagai) pengganti perdana menteri," kata Abdul Aziz.

"Kenapa Pakatan Rakyat patut ikut gaya mereka. Anwar betul ketika memberikan respons terhadap isu ini; Pakatan patut mulakan budaya politik baru.

"Nik Aziz juga betul dan patut dipuji kerana mengatakan Lim Kit Siang boleh menjadi timbalan perdana menteri."

Abdul Aziz yang juga pensyarah kanan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga memberitahu, perlembagaan meletakkan hal ehwal Melayu di bawah kuasa Raja-Raja, yang menunjukkan tiada keperluan mensyaratkan Melayu memegang tampuk tinggi kekuasaan dalam negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Nik Aziz mendakwa kenyataannya semalam dimanipulasikan oleh media milik Umno.

“Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini," katanya dalam satu kenyataan.

Malaysiakini/-

Ketuanan Melayu: Usah sorok sebalik songkok

26 Zulhijjah 1431H

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat di negara ini, khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

“Hari ini, isu pelantikan timbalan perdana menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

“Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Umno serah kerusi Ketua Menteri

Nik Aziz mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di negara ini.

“Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

“Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?” soalnya.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini.

Salah lapor budaya media Umno

“Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?” soalnya.

Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan petugas media milik Umno.

“'Islam plastik' yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai 'Islam Palestin'.

Menurut mursyidul am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

“Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.

Songkok tiga jengkal

“Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai,” katanya.

Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.

“Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

“YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!” katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.

Malaysiakini/-

Perangkaan hutang negara: Donald, MP berbalah

26 Zulhijjah 1431H

Ahli parlimen Pakatan Rakyat dan kerajaan sekali lagi bertikam lidah di Dewan Rakyat hari ini berhubung perangkaan yang tidak konsisten yang dibekalkan semasa jawapan daripada kementerian-kementerian terlibat mengenai hutang negara.

Ketika menjawab soalan daripada Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim (kanan) berkata hutang negara adalah wang yang dihutang negara kepada negara asing, dengan lain perkataan adalah hutang asing.

"Hutang asing negara menunjukkan trend yang menurun. Pada September 2010, hutang asing jatuh kepada RM227.5 billion," kata Lim.

Bagaiamanpun, Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) bangkit dan berkata berdasarkan laporan unjuran perbelanjaan 2011 yang diedarkan kepada ahli parlimen, angka yang diberikan tidak sama.

"Menurut laporan itu, jumlah hutang kerajaan persekutuan yang belum dibayar adalah RM446.7 bilion," katanya sambil menambah jawapan timbalan menteri itu cuba memperdayakan Dewan Rakyat.

Azan berkeras hutang negara membawa maksud jumlah keseluruhan hutang kerajaan persekutuan dan tidak terhad kepada hutang asing sahaja.

Lim, sebaliknya menafikan perkara itu dan berkata definisi Azan adalah silap dan menjelaskan bahawa hutang negara adalah wang yang dihutang kepada negara asing dan bukannya hutang kerajaan persekutuan seperti yang dibacakan oleh Azan yang juga memuatkan hutang domestik atau dalam negara.

"Baca la, baca la, angka awak semua salah,” kata timbalan menteri itu.

Pada sidang akhbar di parlimen lobi kemudiannya, Azan berkata maklumat hutang negara yang diberikan oleh kerajaan sangat menyeleweng.

"Maklumat hutang negara sangat menyeleweng, bahkan 100 peratus jauh lebih rendah," katanya.

Malaysiakini/-

Ulama gesa k'jaan kaji semula pendidikan seks

26 Zulhijjah 1431H

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menegaskan bahawa masyarakat Islam di negara ini sedang gelisah dengan keputusan kerajaan untuk memperkenal pendidikan seks kepada murid tahun satu, mulai 2011.

Sehubungan itu, PUM yang prihatin dengan perkembangan tersebut, menggesa kerajaan supaya mengkaji semula langkah tersebut.

"PUM juga meminta supaya kerajaan mengadakan siri penerangan terlebih dahulu kepada wakil masyarakat, NGO, alim ulama, guru agama dan masyarakat awam," kata setiausaha agungnya, Dr Mohd Roslan Mohd Nor.

"Ini bagi mengelak salah faham, salah tanggap terhadap hasrat memperkenalkan pendirikan seks tersebut.

"PUM meminta supaya kita tidak terlalu terikut dengan kaedah pendidikan barat, kerana mereka mengasngkan aspek agama dari pendidikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Dr Mohd Roslan berkata, masyarakat Malaysia terutama umat Islam, sangat prihatin dengan pendidikan agama.

Oleh itu, tambahnya, adalah lebih baik jika pendidikan agama yang lebih menyeluruh dapat diterapkan kepada anak-anak berkenaan.

"Agar mereka faham tentang perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan dari perspektif agama," tegas.

Malaysiakini/-

Rombakan PDRM: 4 negeri dapat ketua polis baru

26 Zulhijjah 1431H
Oleh : Salhan K Ahmad

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumum rombakan peringkat tinggi yang membabitkan pelantikan ketua polis baru di empat negeri yang berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) yang dipengerusikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein petang ini.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis Bukit Aman, Tan Sri Ismail berkata empat negeri yang mendapat ketua polis baru ialah Melaka, Perlis, Terengganu dan Perak.

Mereka ialah SAC Datuk Chuah Ghee Lye (Melaka), DCP Datuk Mohd Shukri Dahalan (Perak), SAC Datuk Tajudin Md Isa (Perlis) dan SAC Datuk Jamshah Mustapha (Terengganu).

Sebelum ini, Chuah merupakan komander Unit Udara PDRM) manakala Mohd Shukri adalah ketua polis Terengganu.

Tajuddin pula adalah timbalan pengarah (II) jabatan siasatan jenayah komersial manakala Jamshah merupakan ketua penolong pengarah pengurusan bahagian latihan.

"Beberapa jawatan lain telah diluluskan oleh suruhanjaya lain iaitu ketua jabatan jenayah Selangor, ketua jabatan jenayah Sabah dan beberapa jawatan kosong lain di dalam PDRM.

"Dengan pengumuman ini, barisan yang saya tetapkan ini akan melengkapkan perubahan sejak saya mengambil alih tugas sebagai ketua polis negara," kata Ismail lagi.
Usaha perkukuh PDRM

Dalam kenyataannya, Ismail berkata mesyuarat SSP itu merupakan usaha untuk memperkukuhkan struktur serta perkhidmatan pegawai dan anggota pasukannya, dengan sokongan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

"Keputusan yang dibuat pada hari ini adalah untuk memastikan PDRM dapat menyusun dan menugaskan pegawai yang sesuai berdasarkan pengalaman masing-masing bagi melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Mesyuarat hari ini juga telah membincangkan langkah-langkah bagi memperkemaskan prosedur dan meperlihatkan ketelusan dalam urusan tatatertib serta disiplin di kalangan anggota PDRM.

"Ini penting bagi menunjukkan keseriusan pihak PDRM dalam mengambil tindakan terhadap anggota dan pegawai yang melakukan salah laku, sekali gus meningkatkan tahap profesional dan kepercayaan anggota masyarakat terhadap pasukan polis," katanya lagi.

Malaysiakini/-

ADUN PAS dakwa Umno guna bomoh di DUN Perak

26 Zulhijjah 1431H

Dua ADUN - masing-masing kerajaan dan pembangkang - akan dihadapkan kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Usul mengenainya terhadap Hasbullah Osmail (BN-Temengor) diterima oleh Speaker Datuk R Ganesan selepas dia menuduh kerajaan Selangor korup.

Manakala Khalil Idham Lim Abdullah (PAS-Titi Serong) pula akan dihadapkan kepada jawatankuasa tersebut kerana menuduh kerajaan negeri menggunakan khidmat bomoh untuk menjampi DUN pada 7 Mei tahun lalu.

"Tujuan saya membangkitkan isu bomoh bukan untuk memalukan sesiapa tetapi untuk menyatakan hal terlarang itu adalah tidak betul.

"Sebab itu, bila didesak untuk menyebut nama adun berkenaan, saya tidak sebut.

"Saya akan sebut bila jawatankuasa itu memanggil saya nanti.

"Saya juga bertanggungjawab dengan kenyataan yang diberikan berkaitan bomoh dan saya ada bukti jelas bila dipanggil nanti," kata Khalil Idham kepada wartawan di luar dewan.

Malaysiakini/-

Syabas tiada mandat kumpul dana

26 Zulhijjah 1431H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) digesa menghentikan segera kegiatan mereka memungut wang daripada pengguna sebanyak RM11.40 sebagai nilai air percuma yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyatnya untuk Tabung Budi Syabas.

Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Charles Santiago (DAP-Klang) dalam satu kenyataan bersama berkata, kegiatan itu adalah bertentangan dengan mandat dan terma perjanjian tiga pihak iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Syabas sendiri seperti juga terkeluar dari bidang kuasa Enakmen Bekalan Air Selangor 1997.

Menurut mereka, mengikut Enakmen Bekalan Air Selangor 1997 atau Selangor Water Supply Enactment 1997, Syabas hanya diberi lesen untuk menjalankan kegiatan dalam hal mengurus dan membekal air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

"Adalah difahamkan bahawa Syabas tidak dimandatkan dan juga tidak diberi kuasa untuk membuat apa-apa pungutan wang dari pengguna-pengguna dan tidak sama sekali diberi mandat untuk mengumpul dana dan memulakan sebuah tabung dari serahan wang hasil dari air percuma yang diberikan oleh Kerajaan Selangor kepada pengguna di Selangor," kata kenyataan itu.

Kegiatan yang didakwa dalam rangka Tanggung Sosial Korporat atau CSRnya itu tidak dapat ditentukan ketelusannya sebaliknya Syabas terlibat dalam membuat dua kali kutipan kepada pengguna tidak dapat ditentukan siapa yang akan menerima dana itu.

"Syabas tidak dihalang untuk menunaikan CSRnya kepada masyarakat kurang berkemampuan dengan keuntungan yang dilaba sekian lama ini.

"Tetapi cara yang dilakukan ini jelas menimbulkan pelbagai pertikaian bahkan bercanggah dengan peruntukan undang-undang khususnya Enakmen Bekalan Air Selangor 1997," kata kenyataan itu.

Harakahdaily/-

Batal pangsapuri RM180 ribu, ganti mampu milik

26 Zulhijjah 1431H

SHAH ALAM, 2 Dis: Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina pangsapuri mampu milik di tapak Kampung Seri Temenggung, Gombak.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, menurut perancangan asal PKNS, mereka akan membina 270 unit pangsapuri dengan harga sekitar RM180,000 sebuah.

Walau bagaimanapun, katanya memandangkan keperluan perumahan mendesak bagi golongan berpendapat rendah dan sederhana, PKNS akan membina pangsapuri mampu milik dengan harga tidak lebih RM70,000 dan keluasan tidak kurang 800 kaki persegi.

“Sekurang-kurangnya 500 pangsapuri akan dibina di atas tanah seluas lebih kurang 10 ekar ittu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, projek pangsapuri itu merupakan sebahagian dari usaha kerajaan negeri di bawah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan untuk memperkenalkan rumah mampu milik generasi baru.

PKNS juga, tambahnya terlibat di dalam projek 125 unit pangsapuri mampu milik di Bandar Baru Bangi yang akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada akhir bulan Disember ini.

Harakahdaily/-

Pakatan mungkin kuasai Johor, Negeri Sembilan

26 Zulhijjah 1431H

KUALA LUMPUR, 2 Dis: PAS dan Pakatan Rakyat mungkin menawan Johor, Negeri Sembilan, Melaka serta lain-lain negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam temubual khas di parlimen kelmarin.

“Tidak ada suatu yang mustahil dalam dunia ini dan tidak ada kerajaan yang kekal selamanya,” katanya.

Menurutnya, tidak mustahil kita berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen walaupun ia tidak mudah kerana Pakatan bertanding di padang yang tidak sama rata.

“Media massa dan jentera kerajaan dikuasai oleh parti pemerintah. Namun jika dilipatgandakan usaha dan kekuatan jentera, kita mampu mendapat kemenangan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa BN mungkin menawan kembali dua atau tiga negeri Pakatan Rakyat.

"Jika beliau katakan mungkin, kita juga hendak katakan mungkin juga PAS dan Pakatan akan kuasai Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Hari ini PAS sudah mempunyai dua Adun di Johor, dan sokongan rakyat juga bertambah, petanda-petanda perubahan juga sudah dilihat," ulas Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Ketika mengulas kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi baru-baru ini, Tun Dr Mahathir mengatakan ia satu isyarat perubahan kepada BN dan mereka mungkin tawan dua atau tiga negeri Pakatan.

Namun bagi Abdul Hadi, kemenangan BN di Galas dan Batu Sapi bukan isyarat sokongan rakyat kepada BN sudah beralih, sebaliknya ia merupakan isyarat kepada Pakatan supaya mengemaskini jentera dan memperbaiki kelemahan.

Menurut beliau, tidak dinafikan adanya kelemahan di pihak PAS dan Pakatan yang perlu diperbaiki.

Dalam masa yang sama ketika menjawab soalan The Malaysian Insider, Isnin lepas sama ada PAS akan melaksanakan agenda negara Islam jika Pakatan menang, Ustaz Abdul Hadi menjawab: "Perlaksanaan Islam akan dilakukan peringkat demi peringkat, kita hendaklah faham bahawa Islam tidak boleh diterjemahkan sebagai religion kerana tidak memenuhi objektif Islam itu sendiri, sebaliknya maksud lebih tepat ialah a way of life, yang meliputi seluruh aspek kehidupan dan juga bukan Islam yang tidak dipaksa menganut Islam.

"Keduanya negara kita mengamalkan sistem faderalisme, yang mana ada kuasa-kuasa negeri. Sudah tentu PAS akan kuasai negeri-negeri tertentu seperti Kedah, Kelantan seperti mana juga PKR dan DAP.

Sekiranya faderalisme diamalkan dengan betul, PAS diberi peluang menunjukkan model pemerintahan Islam sebenar di negeri-negeri ini, ia dapat dilihat oleh rakyat Malaysia untuk dinilai sama ada positif atau negatif, kemudian berlakunya dialog dengan cara lebih demokratik, ini akan mengembangkan matlamat kita untuk mendirikan negara yang diterima oleh semua.

“Kita tidak mahu slogan sahaja, tetapi isinya tidak Islam.”

Harakahdaily/-

Perak bakal muflis, hutang naik 500%

26 Zulhijjah 1431H

IPOH, 3 Dis: Negeri Perak bakal muflis sekiranya hutang yang menggunung sejak 10 tahun lalu tidak dilangsaikan segera, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa membentangkan Bajet 2011 memberitahu ledakan hutang kerajaan negeri semakin hari semakin menggunung di mana pada 1999 sebanyak RM182 juta tetapi 2010 kini mencecah paras RM903 juta.

Tambahnya, hutang tersebut telah meningkat lebih kurang 500 peratus.

“Fakta di depan mata yang tidak dapat dinafikan adalah, kini hutang negeri Perak telah melebihi segala simpanan kerajaan negeri dalam kumpulan wang bersatu kerajaan,” ujarnya ketika membahaskan bajet negeri 2011 pada persidangan Dun, semalam.

Dengan kata lain, beliau yang juga Setiausaha DAP negeri berkata, sekiranya tidak dijelaskan segera hutang tersebut negeri Perak akan muflis.

“Jika tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah...tepuk dada, tanya iman, jika bersalah, sila bertaubat,” ujarnya sinis.

Harakahdaily/-

Mungkar: Ulama Umno guna bahasa isyarat

26 Zulhijjah 1431H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Dis: PAS bersetuju dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya ilmuan agama berani menegur kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat apabila ada unsur-unsur penghinaan kepada Islam.

Namun, kata Ketua Penerangan PAS Puat, Idris Ahmad jangan hanya nasihat itu ditujukan kepada ulamak supaya menegur kesilapan orang yang tidak sealiran dengan kerajaan sahaja.

Malahan, ujarnya teguran itu juga perlu ditujukan kepada pemimpin negara yang melakukan kemungkaran.

“Kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin lebih merbahaya jika tidak dicegah, berbanding dengan kemungkaran yang dilakukan oleh rakyat biasa kerana mereka difokus oleh media dan menjadi ikutan kepada rakyat,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS juga, tambahnya mengharapkan supaya golongan agama dalam Umno berani dan tegas menegur segala bentuk kemungkaran yang semakin teruk kerana ia dinaungi oleh pemerintah.

Katanya, ketika kerajaan mencadangkan di dalam Program Tansformasi Ekonomi dengan memasukkan cadangan supaya hiburan kelab malam dibuka sampai pagi, rakyat tidak mendengar lagi teguran yang dibuat orang agama dalam Umno walaupun program itu akan memusnahkan jiwa manusia.

“PAS tidak tahulah kalau teguran itu dibuat dalam bahasa isyarat kerana kemungkinan kerajaan dan ulamak dalam Umno kurang upaya,” ujarnya sinis.

Tegasnya, teguran yang paling berkesan sekali ialah kepada pemimpin negara sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: Penghulu kepada orang yang mati syahid ialah Hamzah Abdul Mutalib dan lelaki yang bangun menyatakan kebenaran kepada pemimpin yang zalim, lalu dibunuh.

Menurutnya, rakyat tentu masih ingat ketika kabinet mengarahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menyediakan garis panduan hiburan, kerajaan hanya membakulsampahkan sahaja.

Sedangkan, ujarnya orang agama dalam Jakim ialah kakitangan kerajaan, bukan daripada ulamak PAS dan tidak ada mana-mana parti.

“Jika teguran Jakim pun kerajaan tidak mahu dengar apalah yang hendak diharapkan kepada perkara yang lain,” katanya.