01 December 2010

MINYAK NAIK LAGI, RAKYAT TERTEKAN

24 Zulhijjah 1431H
Hafizi Pauzi

IPOH, 2 Dis :- Rakyat kini makin tertekan dengan harga minyak yang naik 3 kali dalam tahun ini sahaja. Pada 15 Julai 2010, RON97 telah dinaikan harganya dari RM2.05 kepada RM2.10, manakala pada bulan berikutnya iaitu 2 November 2010, RON97 sekali lagi dinaikkan harganya kepada RM2.15, dan yang terbaru, pada 1 Disember 2010 ia dinaikkan lagi dengan harga RM2.30 seliter.

Ini menunjukkan dalam tahun 2010 sahaja RON97 mengalami kenaikan sebanyak 30 sen, manakala RON95 mengalami kenaikan 5 sen sahaja dalam tahun 2010.

”Ada di kalangan rakyat yang rasa tidak selamat dengan penggunaan RON95 di dalam tangki kenderaan mereka, berikutan banyak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa akibat kenderaan mereka terbakar, dikatakan peratusnya meningkat sejak RON95 diperkenalkan, ada yang mengaitkannya berpunca dari petrol tersebut,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

“Kita ingin menggesa agar pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia mengeluarkan perangkaan statistik terkini kenderaan yang terbakar dan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut bagi menghilangkan kebimbangan rakyat menggunakan RON95"tegasnya.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) baru-baru ini mendesak supaya kerajaan Malaysia mengkaji dakwaan RON95 mencetuskan api dalam nahas jalan raya.

Menurut dakwaan mereka, Gesaan itu dibuat berikutan terdapat dakwaan penggunaan bahan bakar berkenaan menjadi salah satu faktor kenderaan mudah terbakar apabila terbabit kemalangan.

“Berdasarkan fakta yang diterima, data yang kita dapat dari laman web BOMBA menyatakan dari tahun 2004 hingga 2008 sejumlah 9,370 kes kenderaan terbakar, ujarnya.

Kebimbangan rakyat makin terasa dengan pendedahan kajian ringkas seorang jurutera petroleum yang memberitahu terdapat kimia mudah terbakar di dalam petrol tersebut.

“Saya yakin dan percaya, rakyat khususnya inginkan penjelasan dan maklumat sahih tentang fakta petrol yang menjadi kegunaan harian mereka, kerajaan seharusnya lebih bertanggungjawab dalam hal ini, jangan hanya lepas tangan sahaja dalam mengkaji bahan kimia yang terdapat di dalam RON95 yang dkatakan mudah terbakar, ini soal kebajikan rakyat, tegasnya.

"Persoalannya rakyat Malaysia mungkin mahu menggunakan RON95 yang lebih berkualiti namun mereka tidak mampu dan rasa tertekan dengan kenaikan harga minyak yang berterusan" katanya lagi..
24 Zulhijjah 1431H.

TANAH MERAH, 1 Dis: Bekas Adun Gual Ipoh, Muhamad Kamil Harun, 68, meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira jam 7 pagi tadi.

Beliau meninggal dunia ketika berada di kebunnya di Kampung Sokor, terletak di pedalaman pekan Gual Ipoh.

Difahamkan sebelum ini bekas wakil rakyat terbabit pernah mendapat rawatan jantung.

Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa berkata, Allahyarham berada di kebunnya ketika diserang sakit jantung.

“Saya bagi pihak rakyat di Gual Ipoh merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya di atas kematian Paksu Kamil. Didoakan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya di sini.

Muhamad Kamil yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Kamil dilahirkan di Kampung Bukit Durian, Tanah Merah.

Pernah dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS Tanah Merah pada 1993. Beliau menang di kerusi Gual Ipoh pada pilihan raya umum 1999.

Mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup dengan Rohani Hussin.

Turut menziarahi jenazahnya Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood.

Selain itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kub dan pemimpin PAS Tanah Merah.

Jenazahnya dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Durian.

Bekas Adun Gual Ipoh meninggal dunia

Muhamad Kamil yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Kamil dilahirkan di Kampung Bukit Durian, Tanah Merah.

Pernah dilantik sebagai anggota jawatankuasa PAS Tanah Merah pada 1993. Beliau menang di kerusi Gual Ipoh pada pilihan raya umum 1999.

Mempunyai tiga anak hasil perkongsian hidup dengan Rohani Hussin.

Turut menziarahi jenazahnya Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, anggota-anggota Exco, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Abdul Fattah Mahmood.

Selain itu Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan, Abdullah Ya’kub dan pemimpin PAS Tanah Merah.

Jenazahnya dijangka dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Durian.

Piala Malaysia: Kelantan hadiah RM200,000

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 1 Dis: Kerajaan Kelantan hari ini meluluskan ‘hadiah’ sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) setelah Red Warriors berjaya membawa pulang Piala Malaysia, baru-baru ini.

Sumbangan itu sebagai memenuhi janji kerajaan negeri sebelum ini terhadap pasukan Kelantan itu yang telah berjaya menjulang Piala Malaysia setelah 55 tahun menunggu.

Hadiah wang tunai tersebut juga bagi menggantikan hadiah Umrah yang diberi oleh kerajaan negeri tahun lalu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, selepas mesyuarat exco, di sini sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan negeri melihat kejayaan besar itu perlu diraikan untuk mereka.

“Kerajaan negeri akan menyerahkan sumbangan itu pada Kafa dan terpulang pada Kafa tarikh yang sesuai perlu diadakan untuk diadakan majlis khas.

“Kita cadangkan biarlah ianya diadakan di Kompleks Kota Darulnaim dan kita raikan sama-sama,”ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya bagi meraikan kejayaan Red Warriors juga kerajaan negeri turut melupuskan Cukai Hiburan yang perlu dibayar oleh Kafa kepada Stadium Sultan Muhammad Ke-IV sebanyak RM378,341.11.

Menurutnya, tahun ini kerajaan negeri telah dua kali mengecualikan bayaran itu, iaitu pada bulan April lalu.

Ianya dilakukan sebagai sumbangan terhadap kecemerlangan Kafa dan Red Warriors.

Harakahdaily/-

PRU ke 13 tahun hadapan ?

24 Zulhijjah 1431H.
Hafizi Pauzi

IPOH, 1 Dis :- UMNO mengeluarkan kenyataan bahawa pemilihan UMNO bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) yang dijadualkan diadakan padatahun depan ditangguh selama 18 bulan .

“Desas desus mengenai tarikh PRU 13 yang sedang hangat dibual oleh rakyat, petunjuknya kita sudah dapat berikutan pengumuman yang dibuat oleh mereka (BN), kata Ketua Penerangan PAS Perak , Drs. Khalil Idham Lim, ketika ditemui di sini.

“Kemungkinan besar PRU 13 bakal diadakan dalam tahun depan kerana pemilihan tersebut telah ditangguhkan, saya jangkakan sekitar bulan Mac 2011” ujarnya lagi.

Tambahnya, Umno sedang melakukan persiapan untuk menghadapi PRU dengan “merehatkan” dahulu gerak kerja pemilihan.

Kita sudah tiada masa lagi untuk mencari kelemahan pihak lawan, Pakatan Rakyat perlu bersiap sedia dari sekarang bagi menebus kekalahan di kawasan strategik pada PRU12 pada 2008, tegasnya.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan, PM menafikan bahawa keputusan ini tiada kaitan dengan PRU 13, ianya adalah bagi menumpukan perhatian serta tenaga pemimpin dan ahli UMNO terarah kepada usaha pemantapan parti.

Menurut beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Walau apa pun perancangan PM, saya percaya ia ada kebaikan serta keburukannya, malah lebih kepada keburukan jika umno terus memerintah.

“PRU adalah satu medan bagi rakyat, medan yang bersifat sebagai keperluan rakyat bagi mengambil kesempatan untuk terlibat dalam urusan Negara Malaysia tercinta iaitu memilih pemimpin,” tegasnya.

Negara Islam - PAS akui ada kekangan tapi..

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Sambil menyedari wujudnya tentangan berhubung idea negara Islam daripada kalangan sesetengah pihak, PAS menegaskan, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu akan berusaha ke arah negara Islam dengan undang-undang hudud sebagai asasnya secara berperingkat jika dapat menawan Putrajaya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui konsep itu belum menerima tarikan kalangan parti komponen PR sendiri tetapi mendakwa bangkangan terhadap idea itu hanya kerana kurangnya fahaman mengenai konsep negara Islam.

Pemimpin veteran ini memberitahu The Malaysian Insider, PAS akan memfokus usaha memperkenalkan undang-undang seperti yang diamalkan di Kelantan dan Kedah terlebih dahulu bagi membolehkan rakyat Malaysia menilai merit prinsip Islam dan undang-undang hudud. “Kita akan melaksanakan peringkat demi peringkat kerana kita perlu sedar bahawa yang pertama perlu difahami adalah perkataan Islam itu sendiri,” katanya.

Hadi menjelaskan Islam tidak boleh diterjemahkan kerana perkataan agama itu sendiri tidak memenuhi makna Islam dengan menyeluruh.

“Islam bukan sahaja agama tetapi adalah satu cara hidup bagi orang Islam yang melibatkan segala aspek.

“Yang kedua, kena sedar bahawa negeri kita mengamalkan sistem federalisme iaitu adalah ada bidang kuasa negeri-negeri,” katanya.

Kata Hadi, jika federalisme ini dapat diamalkan dalam konsep yang tepat yang mana PAS diberi peluang untuk menunjukkan konsep Islam yang sebenar dalam perjuangan dan negeri yang memerintah seperti Kelantan dan Kedah, ia dapat dilihat seluruh rakyat Malaysia mengikut pandangan mereka.

Kini PR memerintah empat negeri dengan Kelantan dan Kedah Menteri Besarnya adalah pemimpin PAS.

PAS memerintah Kelantan sejak 1990 dan pernah menerajui Terengganu antara 1999 dan 2004.

“Ini boleh menyebabkan kita mendirikan sebuah negara yang diterima semua, oleh sebab itu kita tidak mahu dari segi slogan sahaja sebagai negara Islam tetapi isinya tidak Islam.

“Ia perlu dilakukan secara peringkat,” kata bekas Menteri Besar Terengganu ini, dari 1999 hingga 2004.

Pada Julai lalu, pakar perlembagaan Prof A Aziz Bari berkata, debat mengenai negara Islam dan negara sekular tidak perlu dibangkitkan kerana polemik itu tidak akan menguntungkan sesiapapun, sebaliknya hanya mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam.

Oleh itu menurut Aziz, semua orang harus berhenti dari bercakap tentang negara Islam kerana berpendapat orang Islam tidak akan jatuh kafir hanya kerana tidak bercakap tentang negara Islam.

“Tetapi bagi orang politik mereka lain, bagi mereka ini soal prinsip.

“Orang politik dari parti mana puan asyik prinsip saja. Atau pun mereka bertindak demikian kerana takut nanti orang tanya kenapa tidak persoal tentang perkara itu (negara Islam).

“Ini sebenarnya masalah antara Karpal dan Nik Aziz tadi,” katanya mengulas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu yang mengatakan bahawa PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat termasuk DAP.

Sehubungan itu beliau mahu Pengerusi DAP Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah.

Nik Aziz menganggap kenyataan Karpal, Pengerusi DAP yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika Pakatan Rakyat dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.

Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider awal Julau lalu juga Karpal mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.

Bagaimanapun, setakat ini Nik Aziz berkata beliau tidak nampak DAP secara terus-terang menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS, cuma yang ada suara-suara sumbang beberapa kerat pemimpinnya dari luar.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider yang diadakan di pejabatnya di bangunan Parlimen kelmarin, Hadi menambah, sudah tentu pihaknya akan membuat perubahan berasaskan daripada konvensyen sulung PR Disember 2009 di Shah Alam iaitu berpegang teguh pada prinsip perlembagaan diterima oleh semua.

PR akan mengadakan konvensyen kedua pertengahan bulan ini di Pulau Pinang.

“Kita akan terjemahkan prinsip Perlembagaan, ini sangat penting yang mana kita perlu meletakkan Islam sebagai Islam yang sebenar, agama yang memerintah, agama yang memerintah yang membuktikan keadilan kepada semua,” kata Ahli Parlimen Marang ini.

Hadi menambah, apa yang berlaku hari ini ialah Umno mewarisi sekularisme yang ditinggalkan British yang tidak boleh menunjukkan model Islam kepada bukan Islam.

Oleh itu kata beliau, penting bagi pihaknya memastikan Islam menunjukkan model yang baik bukan sahaja kepada orang Islam tetapi bukan Islam juga iaitu “model tak rasuah, model bersih dan model pemimpin yang adil dan baik... ini yang perlu kita tunjukkan.” Hadi juga yakin perubahan model ini akan menghasilkan satu anjakan besar kepada politik negara apabila orang bukan Islam melihat konsep yang sebenar.

“Ini yang perlu dilakukan yang mana keadilan untuk semua dapat dibuktikan.

“Perubahan ini kita akan lakukan termasuk melibatkan institusi diraja, kita tidak mahu raja ini jadi tempat mengampu, kita mahu raja ini adalah seorang raja yang berdaulat, seorang raja yang hebat, raja yang boleh bersama rakyat bukan raja seperti yang dibuat Umno sekarang ini,” kata beliau lagi.

“Umno sesekali guna raja, sesekali tendang raja... itu kita tidak lakukan,” kata beliau dilihat merujuk kepada pindaan perlembagaan pada 1980-an dan 1990-an untuk mengurangkan kekebalan raja-raja Melayu.

Ditanya jika PAS memenangi kerusi daripada Umno, adakah ia akan menjadikan parti itu mendapat kerusi majoriti, Hadi menjelaskan sekiranya orang-orang Melayu berubah dari segi pemikiran mereka untuj menjadikan PAS sebagai alternatif kepada Umno, maka ia boleh berlaku.

“Kita boleh menang dan tidak mustahil ia boleh berlaku, undi Melayu boleh berubah dan di Johor yang kuat Umno hari ini pun kita sudah ada dua kerusi,” kata beliau yang pernah menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

“Secara jelas dan terang sehingga hari ini sudah tentu kita akan mempertahankan Kelantan, Kedah, sudah tentu Terengganu kita akan ambil balik manakala negeri-negeri lain adalah kerusi campuran yang akan kita bincangkan,” kata Hadi.

Mengenai kedudukan di Sabah dan Sarawak pula, kata beliau, PAS akan berbincang dalam PR.(Malaysian Insider)

KUNUNNYA AKULAH PEJUANG ISLAM......

24 Zulhijjah 1431H
Oleh : WFAUZDIN NS

KECOH puak-puak tu apabila seorang Perwakilan PKR bukan berugama Islam membaca terjemahan dari ayat Al-Quran yang tidak tepat. Membaca terjemahan ayat Al-Quran dengan silap, dibandingkan dengan sengaja memutar-belitkan ayat Al-Quran, mana lebih besar salahnya? Jawab sendiri.

Perwakilan tersebut bukan berugama Islam, cuba membaca terjemahan dari ayat Al-Quran tetapi kerana kejahilannya tanpa merujuk kepada yang arif di kalangan orang Islam, maka pada saya salahnya kerana tidak bertanya atau merujuk ayat tersebut terlebih dahulu.

Niatnya baik, iaitu ingin memetik apa yang terkandung di dalam Al-Quran itu. Beliau sedikit pun tidak menghina mana-mana hukum atau ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran, cuma beliau salah dari segi membaca terjemahan. Itu saja.

Bagaimana pula mereka yang mengaku Islam, arif tentang terjemahan malahan tafsir Al-Quran itu dengan sengaja memutarbelitkan ayat Al-Quran demi politik dan kepentingan mereka? Golongan ini menolak hukum Islam, menghalalkan Akta zalim ISA, tidak menggunakan Mahkamah Syariah di dalam satu-satu kes tertentu seperti kes Qazaf DS Anwar, dan banyak lagi yang mereka langgar ajaran Islam yang terkandung di dalam Al-Quran tersebut.

Bagaimana dengan kerja Khurafat seorang pemimpin politik di Perak? Golongan manakah yang selama ini memutarbelitkan ajaran Islam sehingga tercetusnya isu orang bukan Islam memasuki masjid dan tidak menutup aurat? Ajaran Islam secara terang-terang mengharamkan judi tanpa ada khilaf, tetapi golongan mana yang menyokong dan membenarkan lesen judi ini?

Siapa lebih tidak berakal? Perwakilan bukan Islam tadikah atau golongan ini? Jadi, usahlah cuba menjadi seolah-olah pejuang Islam sedangkan tangan itulah yang membenarkan maksiat berleluasa dan tangan itulah yang menentang hukum Islam dulu, kini dan selamanya.

ETIKA ORANG YANG TERLIBAT DENGAN URUSAN PERTUKARAN HARTA (MUAMALAT)

24 Zulhijjah 1431H
Oleh : AKHISALMAN

Jujur dan Amanah (akhlak yang baik)

Nabi saw bersabda: “ Peniaga yang Jujur dan Amanah bersama para Nabi, orang-orang Siddiq dan orang-orang syahid.” Hr Tirmizi.

Tidak ada penipuan (gisy) pada harga dan barang (sembunyikan aib).

Tidak melalaikan dari ibadah.

Firman Allah: ayat 37 surah an-Nur(24).

Bermuamalat dalam barang yang halal

Firman Allah “Dan Rasul menghalalkan benda-benda yang baik dan mengharamkan benda-benda yang keji.” 157 surah al-A’raf

Menunaikan Hak

Firman Allah “ Wahai orang-orang beriman hendaklah kamu menunaikan akad-akad” (ayat 1 surah al-Maidah). Sama ada hak manusia seperti hutang, bayar upah, serah barang dan sebagainya atau hak Allah seperti zakat (ayat 34, 35 surah at-Taubah).

Menjauhi riba

Allah mengisytihar perang kepada pemakan riba dalam ayat 278 surah Al-Baqarah. Ia ada dalam peminjaman, pertukaran, pelaburan dan sebagainya.

Tidak memakan harta manusia dengan cara haram

Ia jelas dalm firman tuhan dalam ayat 29 surah an-Nisa. Ia seumpama penipuan (gisy), Ketidakpastian (gharar), penyebab naik harga (najasy), Jual atas jual dan monopoli.

Tidak memudaratkan manusia lain

Firman Allah ayat satu surah al-Mutaffifin.

Belajar hukum muamalat

Umar berkata: “ Tidak ada yang berurusan di pasar kami dan tidak mendalami ilmu agama kecuali dia akan memakan harta riba sama ada senghaja ataupun tidak.”

Nizar anggap Speaker aniaya Kesavan

IPOH, 30 Nov: “Kita dapati ada penganiayaan Speaker (Ganeson) dengan apa kesalahan sebenar Hutan Melintang (Kesavan) dihalau keluar (dewan),” kata Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Adun Pasir Panjang itu menyifatkan R Ganesan kurang arif berkaitan peraturan dewan yang telah menyebabkan Adun Hutan Melintang diusir keluar pada persidangan Dun hari ini.

“Hal ini sangat mendukacitakan. Beliau (Ganesan) merujuk kepada peraturan apa dan di mana rujuknya,” ujarnya pada sidang media petang ini yang diadakan di Wisma DAP, di sini selepas pembentangan bajet negeri 2011 oleh menteri besar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, apa yang berlaku itu adalah satu penganiayaan yang jelas lagi terang kepada anggota dewan dari Pakatan Rakyat.

Katanya, kes yang dibawa oleh Kesavan adalah persoalan besar mengenai penempatan penduduk.

“Apakah kerana usul besar yang diketengahkan berhubung penempatan penduduk oleh Hutan Melintang itu membuatkan kezaliman berlaku ke atas beliau,” soalnya.

Mengenai bajet yang dibentangkan oleh Datuk Seri Dr Zambry, beliau mempersoalkan bajet defisit itu.

“Kita hendak tanya dari mana akan diambil mana bajet tambahan,” ujarnya.

Baginya, bajet itu ada unsur bajet pilihan raya seperti pertambahan elaun baru kepada ketua JKKK selain mengandungi unsur untuk beli dan mengula-gulakan rakyat.

“Kami akan jawab dalam ucapan dan akan bentang bajet alternatif,” katanya lagi.

Katanya, isu-isu besar mengenai permasalahn rakyat masih tidak dibentang dan bajet itu menggambarkan tidak ada peruntukan yang menyeluruh. (Harakahdaily)