12 November 2010

PAS sedia ganti Umno

05 Zulhijjah 1431H.

Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat akan mengadakan satu seminar esok bagi membincangkan persediaan PAS untuk menggantikan Umno dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU 13).

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, seminar "PAS sedia ganti Umno" itu terbuka kepada ahli merangkumi pimpinan pusat, dewan harian, pimpinan negeri, kawasan dan cawangan termasuk ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti itu.

"Kita sudah menghantar jemputan kepada semua pimpinan pusat, ahli Parlimen, Adun, dewan harian, negeri, kawasan dan cawangan untuk menghadiri seminar esok," kata Idris kepada Harakahdaily.


Seminar yang akan berlangsung sehari di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor itu bertujuan menanamkan keyakinan kepada ahli bahawa PAS sudah bersiap sedia menggantikan Umno pada PRU 13 selain membentangkan agenda bertindak parti bagi mencapai matlamat itu.

"Kita buat seminar ini untuk bagi penjelasan kepada ahli tentang kesediaan PAS menggantikan Umno.

"Kita mahu daripada seminar ini, ahli akan lebih berjiwa besar untuk merealisasikan matlamat menggantikan Umno dan dapat bekerja dengan lebih kuat lagi," katanya lagi.

Selain itu kata Idris, PAS turut mengundang pihak luar bagi mendapatkan pandangan mereka berkenaan parti itu dan langkah-langkah untuk mencapai matlamat yang ditetapkan.

Justeru, beliau berharap agar mereka yang menghadiri seminar tersebut akan lebih jelas mengenai perjananan gerak kerja PAS selepas ini.

"Kita harap daripada seminar ini, semua ahli dapat menanamkan dalam fikiran untuk menguasai Putrajaya dan bersiap sedia menghadapi sebagarang kemungkinan PRU diadakan dalam masa terdekat ini, katanya.
Dianggarkan seramai 800 ahli dari seluruh negara akan menghadiri seminar bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Seminar itu akan dirasmikan oleh Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, manakala ucapan penutup akan disampiaknaoleh Timbalannya, NasharudinMat Isa.

Dua kertas kerja akan dibentangkan iaitu "PAS Ganti Umno, Rasional dan Tindakan oleh Idris sendiri dan "Umno dan Krisis Ketuanan Melayu" oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga ahli Parlimen Tumpat.


Manakala di sebelah petangnya pula akan berlangsung forum bertajuk "PAS Ganti Umno:Harapan dan Cabaran" yang menampilkan penganalisis politik, Ghazali Mayudin dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Wadah dan akan dipengerusikan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat.

Kes Aminul: Inspektor titis air mata

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Hafiz Yatim

Seorang inspektor forensik sebak ketika memberitahu perbicaraan Aminulrasyid Amzah mengenai kedudukan mayat remaja yang mati ditembak oleh polis itu.

Inspektor Mazli Jusoh, kemudiannya memohon kepada hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Latifah Mohd Tahar untuk berehat seketika untuk menenangkan dirinya.

Katanya, mayat remaja itu dijumpai dalam keadaan tertiarap dengan mukanya tersembam pada tempat duduk pemandu manakala badannya berada di luar kereta Proton Iswara Aeroback berwarna putih.

"Boleh saya henti selama lima minit,” katanya sebelum menuju ke bilik air setelah mendapat kebenaran.

Mazli dilihat berjalan keluar dari kamar mahkamah dengan matanya yang kelihatan agak kemerahan dan berair.

Mazli, menganggotai pasukan polis pada 2000 dan dipindahkan ke unit forensik pada Julai 2007.

Sebelum itu, beliau memaklumkan mahkamah bahawa kedudukan mayat Aminulrasyid amat menyedihkan dan percaya ia telah dialihkan.

Darah dari hidung

Katanya, beliau terlihat darah mengalir keluar dari hidung mangsa dan terjumpa sebutir kelongsong peluru di rumput, kira-kira lapan kaki dari kereta.

Kelonsong peluru itu dipercayai yang terakhir ditembak yang meragut nyawa remaja itu.

Menurut Mazli lagi, beliau tiba di lokasi kejadian pada sekitar jam 3.20 pagi dan sebelum itu di satu lagi lokasi pembunuhan, di Ampang.

Selepas berehat perbicaraan bersambung dengan Mazli memberikan semula keterangannya.

Katanyanya melihat kedudukan badan Aminulrasyid yang cukup menyayatkan itu, dia mengerakkannya supaya mayat itu diletakkan dalam keadaan yang lebih dihormati.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Mazli berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai penyiasat asal ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin bahawa mayat mangsa telah dialihkan oleh anggota MPV polis dan kemudian telah diperiksa oleh pihak ambulans.

"Pada pendapat saya kedudukan mayat telah dialih daripada kedudukan asalnya dan mayat pada masa itu dalam keadaan kedudukan yang begitu menyedihkan. Bagi saya cara itu...," kata Mazli sebelum beliau tiba-tiba terdiam dan menundukkan wajahnya.

Korporal Jenain Subi, 48, (tiga dari kanan) didakwa atas tuduhan membunuh tanpa niat di kejadian yang berlaku di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2pagi, 26 April.

Dakwaan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara 30 tahun jika didapati bersalah.

Terlupa ambil gambar

Mazli berkata beliau memutuskan untuk meletakkan mayat mangsa dalam keadaan lebih baik iaitu dengan membaringkannya di atas tanah yang berumput kerana siasatan beliau di tempat kejadian mungkin akan mengambil masa agak lama.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada mengambil gambar mayat mangsa, saksi itu berkata beliau terlupa untuk berbuat demikian.

Mazli berkata beliau kemudian membuat pemeriksaan dan penandaan pada kesan-kesan tembakan dan barangan yang dijumpai pada kereta bernombor pendaftaran BET 5023 itu termasuk sebilah parang serta mengambil kesan tumpahan cecair disyaki petrol.

Saksi itu berkata berdasarkan kesan petrol yang ditemui di tempat kejadian, beliau mendapati kereta itu dipandu laju dan bergerak dengan lurus sebelum melanggar sebatang pokok menyebabkan kereta itu berubah sedikit arahnya menghala ke tembok dinding rumah no: 2 di Jalan Makyong 11/2G.

Kereta itu kemudian melanggar tong sampah plastik depan tembok tersebut sehingga kereta itu berhenti.

Seterusnya Mazli berkata pada 28 April lalu (dua hari selepas kejadian) beliau telah diminta oleh pegawai penyiasat ASP Abd Halim Ismail (pegawai penyiasat yang menggantikan Ahmad Fauzi) untuk merakam gambar keseluruhan kereta tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Beliau juga merakam gambar tempat kejadian bagi melihat kesan-kesan tanah yang dikatakan kereta itu kemungkinan cuba untuk mengundur semasa kejadian.

"Saya dapati tidak ada kesan tanah yang terhasil akibat daripada tayar berpusing. Di tepi longkang berhampiran tayar kiri yang tergantung (semasa kejadian) juga tidak ada kesan tayar bergesel dengan permukaan kasar.

Ditarik keluar

"Pada pendapat saya kesan-kesan tanah berlaku lebih kepada apabila kereta terbabas dan kemudian ditarik keluar dari tempat kejadian," katanya.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh pada hari kejadian, Mazli berkata pada permulaan beliau menerima taklimat daripada Ahmad Fauzi bahawa mangsa ditembak semasa cuba mengundur setelah terbabas ketika dikejar oleh polis, maka siasatan pihaknya adalah lebih terarah kepada kawasan tempat kejadian kereta terbabas.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa lewat dua hari untuk menjalankan pemeriksaan semula di tempat kejadian, saksi itu berkata pihaknya menjalankan siasatan lanjut pada 28 April apabila diminta pegawai penyiasat.

Mengenai keadaan kereta tersebut ketika beliau menjalankan pemeriksaan keseluruhan, Mazli berkata kereta itu diletak di tempat letak kereta awam di IPD Shah Alam tanpa sebarang garisan polis.

"Kebiasaannya barang kes untuk buat pemeriksaan tidak diganggu oleh eksibit lain. Pegawai penyiasat akan memasang garisan polis jadi anggota polis lain yang tiada kaitan dengan kes akan faham bahawa kereta itu tidak boleh dihampiri atau diganggu.

"Kalau tiada garisan polis kemungkinan ada anggota polis lain atau orang awam boleh menghampirinya," katanya.

Mazli seterusnya berkata pada tarikh yang sama (28 April) pihaknya turut diminta oleh pegawai penyiasat untuk mencari kelongsong peluru dan serpihan anak peluru bermula dari Bulatan Kayangan, Seksyen 11 sehingga ke tempat kejadian bagi mengetahui dari mana tembakan dilepaskan berikutan terdapat dua anggota polis yang telah melepaskan tembakan dalam kes itu.

Saksi itu berkata daripada pemeriksaan di kawasan tersebut pihaknya menemui sejumlah 15 kelongsong peluru dan dua sepihan anak peluru.

Perbicaraan bersambung pada 22 Nov ini.

Malaysiakini/-

Artikel 13 Mei, speaker enggan layan soalan MP

05 Zulhijjah 1431 H

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini menolak soalan berhubung artikel di Utusan Malaysia yang mencadangkan program khas diadakan pada 13 Mei setiap tahun bagi mengingatkan rakyat khususnya golongan belia kepada peristiwa hitam berkenaan.

Ia berlaku selepas Timbalan Menteri, Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop baru selepas menjawap pertanyaan daripada Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung perkara yang berkaitan dengan peraturan media cetak.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) (kiri) kemudian mengemukakan soalan tambahan mengenai tindakan yang telah diambil ke atas Utusan Malaysia kerana menyiarkan artikel yang berbaur perkauman, khususnya lidah pengarangnya mengenai 13 Mei.
"Semalam Utusan Malaysia ada mengeluarkan satu laporan yang menyifatkan 13 Mei satu tarikh keramat dan perlu disambut meskipun ia satu hari hitam dalam sejarah Malaysia di mana nyawa semua kaum terkorban.

"Bukankah ini merupakan satu hasutan dan sangat berbahaya? Apa pandangan Menteri dan adakah ia satu tajuk berita yang perlu dikaji oleh jawatankuasa sensitiviti kerana Utusan Malaysia dianggap sebagai lidah rasmi Umno.

Tak perlu jawap

"Adakah ini pendirian Umno dan Barisan Nasional dan bolehkah ada satu sikap yang serius untuk mengutuk laporan seperti ini," kata Lim.

Pandikar kemudiannya berkata tidak perlu bagi Abu Seman menjawap soalan itu kerana dari pemahamannya, Lim hanya ingin mengetahui pandangan peribadi timbalan menteri itu.

"Saya nak ingatkan kalau soalan itu bertentangan dengan peraturan mesyuarat 23(1) andaian, spekulasi mengenai soalan ditanya, pendapat seorang Menteri yang ada hubungan dengan politik, saya rasa tak payah jawablah.

“Ini tidak ada kaitan dengan kementerian. Ia soalan hipotesis. Saya tidak akan benarkan soalan ini. Saya tidak mahu,” kata Pandikar meskipun Lim berulang-kali berkata beliau cuba menegakkan hakikat.

“Saya faham soalan anda merujuk kepada pendapat politiknya yang tidak ada kena mengena dengan kementerian,” tegas Pandikar (kiri).

Rencana pengarang semalam menimbulkan rasa amat tidak puas hati di kalangan pemimpin DAP kerana mereka dipersalahkan berhubung apa yang berlaku pada pertumpahan darah 1969 itu. Malah, Utusan Malaysia juga mencadangkan tarikh 13 Mei setiap tahun 'diraikan' sebagai peringatan terhadap bermulanya Dasar Ekonomi Baru.

Antara petikannya: “Kerana tarikh itu jugalah rakyat hari ini hidup aman, damai dan sentosa (walaupun belum sepenuhnya lagi). Tidak pastilah kita sekiranya DAP terlalu bencikan DEB itu sehinggakan tarikh 13 Mei pun dia tidak mahu ia disebut.

“Apa yang Lim Guan Eng takut sangat apabila ada pihak yang menggunakan perkataan bersejarah 13 Mei itu? Ia adalah tarikh keramat di negara ini kerana disebabkan tarikh itulah rakyat pelbagai kaum di negara ini dapat disusun semula menjadi lebih baik dan makmur. Kerana tarikh itu jugalah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk.”
76 akhbar diluluskan
Sebelum itu, Abu Seman memaklumkan kepada Dewan Rakyat, 19 penerbitan telah diberi peringatan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana mencabuli Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 tahun ini.

Abu Seman (kiri) berkata semua syarikat berkenaan telah dinasihat, diberi amaran atau juga dikeluarkan surat tunjuk sebab tetapi tidak ada yang lesen penerbitan mereka digantung.

Katanya, tindakan itu jelas membuktikan bahawa kerajaan tidak menyekat kebebasan akhbar di negara ini.
"Tindakan yang diambil ke atas akhbar dalam semua bahasa sangat jelas membuktikan Malaysia tidak menyekat atau mengekang kebebasan media.

"Langkah ini (jawatankuasa pengukuhan) diambil bagi memastikan amalan media di negara bersih daripada elemen hasutan fitnah tohmahan dan perkara negatif ke atas pembangunan negara kita," katanya.

Abu Seman berkata setakat ini Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan sebanyak 76 akhbar dalam pelbagai bahasa.

Jumlah akhbar dalam Bahasa Melayu ialah 18, Bahasa Inggeris (19), Bahasa Cina (29) dan Bahasa Punjabi/Tamil (10).

Abu Seman berkata pada masa sama kementerian juga telah meluluskan sebanyak 42 permit akhbar tabloid yang bercorak hal ehwal semasa dan 16 permit bagi surat khabar berita parti-parti politik dalam negara.

Majlis Media Malaysia

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid meminta kementerian menjelaskan mengenai cadangan kerajaan mewujudkan Majlis Media Malaysia (MMC) yang dibatalkan kerana dibantah oleh pengamal media.

"Dahulu ada ura-ura untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) tetapi dibantah oleh wartawan khususnya Persatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan ia dibatalkan.

"Adakah kerajaan bercadang mewujudkan MMC dengan syarat memasukkan akta penerbitan dan percetakan akhbar Malaysia dan beroperasi dengan bebas, dikawal sendiri oleh pengawal media dan mempunyai perwakilan yang seimbang antara orang awam dan media?" soalnya.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, kerajaan sedang mengkaji akta mesin cetak dan penerbitan 1984 sebelum menubuhkannya.

"Malaysia bercadang untuk mewujudkan MMC dan kementerian sedang meneliti akta mesin cetak dan penerbitan 1984. Kita akan melihat yang terbaik," katanya.

Malaysiakini/-

MP tuntut gaji menteri pertahanan dipotong RM10

05 Zulhijjah 1431 H

Sebuah usul dikemukakan di Dewan Rakyat supaya gaji Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipotong sebanyak RM10 berhubung kenyataannya bahawa masyakat bukan Melayu kurang menganggotai angkatan tentera kerana kurang semangat patriotik.

“Ketidak-sensitif Zahid dan tuduhan tanpa asasnya di Parlimen telah menghiris perasaan bukan Melayu,” kata M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), yang mengemukakan usul berkenaan.

Zahid menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat pada Selasa lau apabila membuat kenyataan bahawa golongan bukan Melayu kurang semangat patriotik dalam penjelasannya mengenai kurangnya rekrut bukan Melayu dalam angkatan tentera negara.

Beliau mendedahkan rekruit berbangsa Cina dan India masing-masing hanya berjumlah 1.2peratus daripada jumlah yang diterima sepanjang tahun 2008 dan 2009.

Pembangkang yang tidak puas hati dengan kenyataan itu membidas Zahid yang didakwa mempersoalkan kesetiaan masyarakat bukan Melayu, manakala MCA pula mendakwa ada masalah dengan perkhidmatan ketenteraan yang menyebabkan golongan itu meminggirkan kerjaya di angkatan tentera.

Zahid semalam menjelaskan beliau tidak mempersoalkan kesetian masyarakat bukan Melayu dan menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak pernah ada prasangka kaum dalam pengambilan anggotanya dan oleh itu tidak timbul persoalan bukan Melayu kurang semangat patriotisme.

Katanya rakyat daripada semua kaum boleh menyertai ATM dan berpeluang menyandang jawatan berpangkat tinggi.

"Sebagai buktinya, ada beberapa Jeneral dalam Tentera Darat, dua Jeneral dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan satu Jeneral dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kalangan bukan Melayu pada masa ini," katanya.

Malaysiakini/-

13 Mei: Kit Siang mahu Utusan dikena tindakan

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersikap tegas terhadap laporan akhbar yang berbau hasutan.

Kit Siang sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia semalam yang disifatkannya boleh menimbulkan rasa tidak senang di antara kaum di Malaysia.

Laporan bertajuk "Syor 13 Mei hari perpaduan" dalam akhbar itu katanya hanya mewujudkan kebencian antara kaum.

"Semalam Utusan Malaysia ada mengeluarkan satu laporan yang menyifatkan 13 Mei satu tarikh keramat dan perlu disambut meskipun ianya satu hari hitam dalam sejarah Malaysia di mana nyawa semua kaum terkorban.

"Bukankah ini merupakan satu hasutan dan sangat berbahaya? Apa pandangan Menteri dan adakah ianya satu tajuk berita yang perlu dikaji oleh jawatankuasa sensitiviti kerana Utusan Malaysia dianggap sebagai lidah rasmi Umno.

"Adakah ini pendirian Umno dan Barisan Nasional dan bolehkah ada satu sikap yang serius untuk mengutuk laporan seperti ini," kata beliau.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun mengarahkan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop (BN-Masjid Tanah) tidak menjawab soalan itu kerana menganggap ianya tidak berkaitan dengan kementerian itu.

"Saya nak ingatkan kalau soalan itu bertentangan dengan peraturan mesyuarat 23(1) andaian, spekulasi mengenai soalan ditanya, pendapat seorang Menteri yang ada hubungan dengan politik,saya rasa tak payah jawablah," kata Pandikar.

Sementara itu, Abdullah Sani (PKR-Kuala Langat) meminta kementerian menjelaskan mengenai cadangan kerajaan mewujudkan Majlis Media Malaysia (MMC) yang dibatalkan kerana dibantah oleh pengamal media.

"Dahulu ada ura-ura untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMC) tetapi dibantah oleh wartawan khususnya Persatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan ianya dibatalkan.

"Adakah kerajaan bercadang mewujudkan MMC dengan syarat memasukkan akta penerbitan dan percetakan akhbar Malaysia dan beroperasi dengan bebas,dikawal sendiri oleh pengawal media dan mempunyai perwakilan yang seimbang antara orang awam dan media," soalnya.

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, kerajaan sedang mengkaji akta mesin cetak dan penerbitan 1984 sebelum menubuhkannya.

"Malaysia bercadang untuk mewujudkan MMC dan kementerian sedang meneliti akta mesin cetak dan penerbitan 1984. Kita akan melihat yang terbaik," katanya.

Harakahdaily/-

Kerajaan penting ubah suai kediaman PM dari naikkan Cola

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa negara akan mengalami implikasi kewangan yang besar jika menaikkan elaun sara hidup (Cola) kepada kakitangan awam.

Mahfuz berkata, kerajaan sering memberikan alasan sedemikian apabila melibatkan keperluan rakyat namun berbelanja besar untuk kepentingan pemimpin Barisan Nasional."Saya kesal dengan pendirian kerajaan itu. Untuk kakitangan awam,kerajaan selalu berhujah ia akan beri implikasi yang besar kepada negara.

"Bila Ceupacs minta bonus,alasan yang sama diberikan,mereka kata akan menelan belanja RM3.1 bilion. Tapi kerajaan tak kisah pun untuk beri peruntukan RM65 juta untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri," kata Mahfuz dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu turut menegaskan, beliau tetap berpendirian bahawa elaun Cola mesti dinaikkan untuk meringankan beban kakitangan awam.

"Saya tetap pertahankan bahawa kerajaan harus beri bayaran Cola tambahan kepada kakitangan awam.

"Saya cadangkan paling kurang kenaikannya sebanyak RM100. Itu paling kurang kerana beban yang ditanggung kakitangan awam ini dengan kos hidup yang meningkat.

"Tidak memadai dengan kerajaan memberikan bayaran penuh sebanyak RM500 yang diumumkan dalam bajet 2011 kononnya untuk bantu persekolahan.

Petang semalam, Nazri sewaktu penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 di peringkat Jabatan Perdana Menteri memberitahu cadangan kenaikan elaun itu tidak dapat dipertimbangkan kerana memberi kesan kepada kewangan negara.

Harakahdaily/-

Baiki mutu, bukan tuduh kurang patriotik

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar) mahu Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memikirkan cara untuk menarik minat rakyat untuk menyertai tentera.

Beliau berkata, kementerian berkenaan harus merangka satu pelan jangka panjang, sebelum menuduh orang bukan Melayu kurang menyertai bidang ini kerana kurang semangat patriotik.

"Kalau perkhidmatan dalam tentera itu boleh dirangka dengan satu corak,sehingga apabila seseorang bersara dari angkatan tentera pada usia 40 tahun, mereka mempunyai kerjaya yang jelas sebagai jurutera,pegawai pentadbir,pegawai logistik dan sebagainya kerana mereka mendapat latihan yang profesional dalam bidang tertentu.

"Ini boleh menarik orang bukan Melayu menyertai bidang ini kerana pilihan kerjaya ini bagus.

"Ini yang sepatutnya difikirkan oleh Menteri Pertahanan. Jangan fikir bila masuk tentera,bila dah pencen jadi pemandu teksi atau pun cukup dengan pencen yang diperoleh," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Beliau juga menyifatkan dakwaan Zahid itu sebagai mencerminkan pemikiran pemimpin Umno yang masih dibelenggu dengan prejudis perkauman.

"Kenyataan ini adalah berasaskan kepada corak pemikiran yang masih kuat tersemat di kalangan pemimpin Umno bahawa orang-orang bukan Melayu ini adalah orang asing dan lebih setia kepada negara mereka.

"Inilah asas kepada perkauman yang berjaya ditimbulkan Umno dalam permainan politik mereka.

"Saya rasa masa dan zaman itu telah berakhir. Saya yakin semua rakyat Malaysia telah memutuskan hubungan kerakyatan mereka dengan negara-negara asing. Mereka semua rakyat Malaysia yang mempunyai kesetiaan yang sepenuhnya kepada Malaysia," katanya.

Sementara itu, bercakap dalam sidang media sama, M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) memberitahu, beliau akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat bagi mencadangkan gaji Menteri Pertahanan dipotong RM10 setiap bulan.

Tegasnya,usul di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) itu bagi membantah dakwaan Zahid yang disifatkan telah menyinggung perasaan orang bukan Melayu.

"Zahid tidak boleh melarikan diri dengan menafikan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang bukan Melayu," katanya.

Zahid Selasa lalu membuat dakwaan itu sewaktu menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang meminta beliau menyatakan jumlah anggota tenteta baru yang diambil dalam tempoh dua tahu lalu mengikut pecahan kaum.

Zahid bagaimanapun menafikan beliau mendakwa demikian dalam sidang medianya kelmarin.

Harakahdaily/-

Putrajaya bukan milik mutlak parti 'umno', biar rakyat putuskan

Pertubuhan bukan kerajaan pilihan raya adil, Bersih 2.0 mengingatkan parti-parti politik agar tidak mendakwa Putrajaya adalah milik mereka ketika mempersiapkan jentera bagi menghadapi saingan pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan tahun depan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) seringkali menggunakan tema “Menuju Ke Putrajaya” dalam ceramah dan kempen manakala dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri dan Presiden Umno, mahu Putrajaya dipertahankan walau apa pun terjadi.
“Putrajaya bukan milik mana-mana pihak, tetapi kepunyaan rakyat Malaysia, kita (rakyat) akan menentukan siapa yang layak memiliki Putrajaya,” kata Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan pada majlis pelancaran pergerakan itu di sini malam tadi.

“Kita, rakyat, akan memutuskan siapa yang akan mentadbir Putrajaya,” kata beliau pada majlis dihadiri sekitar 600 orang. Bersih 2.0 dilancarkan sebagai badan madani, sebagai sebuah badan bebas berbanding 2005 yang digerakkan oleh parti-parti politik.

Pada 2007, Bersih mengadakan demonstrasi besar-besaran di ibu negara meminta diadakan pilihan raya bebas. Bersih 2.0 diberi nafas baru di sebaliknya gesaan PAS dan Parti Keadilan Rakyat pertengahan tahun ini akan badan itu digerakkan semula bagi menuntut pilihan raya umum ke-13 yang adil.

Ia tidak dipimpin oleh ahli-ahli politik. Kelmarin ia mengadakan pertemuan sulung dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan memorandum 11 perkara bagi memperbaiki sistem pilihan raya negara agar telus dan adil.

Menurut Ambiga, sistem demokrasi yang adil dan bersih akan mendorong rakyat memilih pemimpin impian mereka masing-masing. Ambiga yang juga bekas Presiden Majlis Peguam berkata, kerajaan dan SPR sepatutnya menerima 11 tuntutan Bersih 2.0 iaitu pembersihan sepenuhnya daftar pemilih, penggunaan dakwat kekal elak pengundian berganda dan penyelewengan undi, reformasi proses pengundian, kebebasan pada semua parti untuk mengakses media, memanjangkan tempoh berkempen minimum 21 hari, pendaftaran automatik serta umur turun mengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun dan proses kewangan pilihan raya diurus dengan telus.

“Semua parti mesti memberi perhatian dan angkat cadangan-cadangan ini, kalau SPR masih tidak mendengar dan meletakkan cadangan ini di belakang, kita tahu ke mana kami harus pergi (dan) apa yang kami wajar buat,” katanya.

sumber -The Malaysian Insider

GEMPAR - ZUL KULIM KOSONGKAN KERUSI DAN ZAID WAKILI DIRINYA BERTANDING DI SITU ?

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

LAGI sekali penyakit `gila babi' Zul Kulim menyerang. Kali ini dia meroyan cabar DS Anwar lawan Zaid bagi jawatan Presiden PKR. Sebelum kita ulas panjang, mahu tanya `firaun besar' Kulim ini berani ke dia kosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru dan dia pilih seseorang atau letak Zaid bertanding bagi pihaknya, kita tengok apa keputusannya. Agak-agak berani ke Zul Kulim ini buat?

Jika Zul Kulim berani, itu bukan Zul Kulim namanya. Zul Kulim terkenal dengan sikap pengecutnya, beliau hanya berani terhegeh-hegeh depan TV dan media pencacai sahaja. Bila YB Khalid Samad, MP Shah Alam dari PAS cabar beliau berdebat tentang isu Kalimah Allah, `Ustaz' kaki temberang ini terus jadi bisu.

Tentang cabaran Zul Kulim kepada DS Anwar agar menentang Zaid Ibrahim sebagai Presiden PKR, itu hanya cabaran bodoh dari Zul Kulim. Jika adanya pertandingan sekali pun, sudah pasti akan timbul dakwaan dari Zaid bahawa pemilihan itu tidak adil sepertimana yang beliau dakwa sekarang apabila tertinggal jauh oleh Azmin. Itu baru Azmin, budak yang Zaid kata perlu belajar banyak lagi.

Jadi untuk lebih lojik, kita cabar Zul Kulim kosongkan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru dan letakkan Zaid sebagai `lambang' dirinya. PKR akan letakkan calon di situ dan kita lihat siapa yang menang. Berani ke Zul? Biar saya jawab dulu, mampus Zul tidak akan berani.

Pengerusi Kada lebih minat tumpu bola sepak

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Wartawan Kita

KOTA BHARU, 12 Nov: Sepatutnya Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memberi fokus kepada pembangunan tanaman padi, namun pengerusinya sekarang memberi tumpuan lebih kepada bola sepak.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri dan pihak lain terpaksa membantu Kada dengan mengambil inisiatif memperluaskan tanaman padi.

Usaha tersebut termasuk dilakukan Kijang Care dengan menanam padi organik menggunakan kaedah SRI (Sistem of Rice Intensification) di bendang Tunjung.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) berkata, kawasan seluas 20 ekar di Tunjung dikhususkan bagi menanam padi organik dan sekarang memasuki musim keempat.

“Kawasan itu tetap dikekalkan sebagai kawasan penanam padi biar pun di kawasan sekelilingnya sedang pesat membangun,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS- Kemuning) pada persidangan Dun, semalam.

Husam berkata, peranan bagi membangunkan tanaman padi sebenarnya berada di bawah Kada, namun pengerusinya sekarang Tan Sri Annuar Musa nampaknya memberi tumpuan kepada bola sepak.

“Jadi kita bantu popularkan tanaman padi organik yang sepatutnya diusahakan oleh Kada,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Gaal), kata beliau kerajaan negeri dicadang menyediakan tempat khusus sebagai membangunkan ladang padi secara besar-besaran.

Menurutnya kawasan berbukit juga boleh dimanfaatkan dengan tanaman padi seperti di Indonesia yang diusaha secara optimum oleh penduduk.

Pada persidangan Dun Isnin lalu Datuk Omar Mohamad (PAS-Perupok) mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan bagi membolehkan sektor pertanian dibangunkan dengan lebih tersusun.

Hujah itu turut disokong Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) dan Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) supaya Perbadanan Kemajuan Pertanian benar-benar diwujudkan bagi mencapai hasrat menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.

Ketika menjawan soalan asal Noor Zahidi, Husam berkata, Perbadanan Kemajuan Tunjung diwujudkan sebagai agensi yang mengawal pembangunan di kawasan berkenaan.

“Namun tugas bagi membangunkan bandar baru itu di bawah Tunjung Development Corporation iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan menyediakan ruang perniagaan kepada peniaga kecil di Dataran Rakyat di Tunjung.

Kata beliau bangunan setinggi tiga tingkat akan dibina bagi menyediakan 300 lot perniagaan berkeluasan 10 x 13 kaki persegi ditawar dengan harga RM75,000.

Peniaga kecil yang berminat boleh mendapat pinjaman bank dan hanya perlu menjelaskan bayaran bulanan sebanyak RM519.

Sementara itu pagi tadi Adun baru Galas, Abdul Aziz Yusoff mengangkat sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Pada pilihan raya kecil Dun Galas 4 November lalu, Abdul Aziz mengatasi calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1190 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima dari PAS.

Harakahdaily/-

Muhammad Bin Abdullah (Rasulullah s a w)

05 Zulhijjah 1431 H
Oleh : naruto

"MAULID AL-RASUL SAW" Pepatah Melayu ada mengatakan "Tak Kenal, Maka Tak Cinta". Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW,

seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ` St.. Valentino` daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih

mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru, saya berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH SAW

BIODATA RASULULLAH SAW

· Nama: Muhammad bin `Abdullah bin `Abdul Muttalib bin Hashim
· Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka'abah)(terdapat perbezaan pendapat)

· Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
· Nama bapa: `Abdullah bin `Abdul Muttalib bin Hashim
· Nama ibu: Aminah binti Wahab bin `Abdul Manaf
· Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa

Rasulullah SAW)

· Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
· Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa'diah (lebih dikenali Halimah As-Sa'diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

USIA 5 TAHUN

· Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN

· Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
· Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya `Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN

· Datuknya, `Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
· Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

· Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
· Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

· Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab `Sirah' , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.

· Menyaksikan ` perjanjian Al-Fudhul'; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN

· Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
· Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
· Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.(terdapat perbezaan pendapat)
· Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN

· Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka'abah.
· Pembinaan semula Ka'abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
· Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan `Hajarul-Aswad' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

· Menerima wahyu di gua Hira' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN

· Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
· Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
· Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.

§ Khadijah Binti Khuwailid
§ Saudah Binti Zam'ah
§ `Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
§ Hafsah binti `Umar (anak Saidina `Umar bin Al-Khattab)
§ Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
§ Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
§ Zainab Binti Jahsy
§ Maimunah Binti Harith
§ Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
§ Zainab Binti Khuzaimah (digelar `Ummu Al-Masakin'; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra'

ANAK TIRI RASULULLAH SAW

Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW

IBU SUSUAN

SAUDARA SUSUAN

1.. Thuwaibah
1. Hamzah
2. Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad
1. Halimah Al-Saidiyyah
1. Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
2. Abdullah bin Harith bin Abdul `Uzza
3.. Syaima' binti Harith bin Abdul `Uzza
4. `Aisyah binti Harith bin abdul `Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith
2. Muqawwam
3. Zubair
4. Hamzah ***
5. Al-'Abbas ***
6. Abu Talib
7. Abu Lahab (nama asalnya `Abdul `Uzza)
8. Abdul Ka'bah
9. Hijl
10. Dhirar
11. Umaimah
12. Al-Bidha (Ummu Hakim)
13.. `Atiqah ##
14. Arwa ##
15. Umaimah
16. Barrah
17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-'Awwam) ***

Sempat masuk Islam.

## Ulama' berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

MEROKOK HARAM DISISI ISLAM : Jom Sama-Sama Kempen

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Mr. President

Sejauh manakah kempen ini dibuat dan bagaimanakah reaksi dan kerjasama dari semua pihak? Jika Merokok Haram, adakah perkara2 yang berkaitan dengannya akan menjadi haram? Membeli, menjual, membawa, membungkus, tolong beli, tolong jual, dan sebagainya sebagaimanya haramnya jika berkaitan dengan ARAK..Fikir dan renungkanlah...

PESURUHJAYA PAS PERAK : ISTIQAMAHLAH, KITA SEMAKIN HAMPIR DENGAN KEMENANGAN.

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : mohd hafez sabri

IPOH, 11 November – Pesuruhjaya PAS Perak hari ini mengingatkan kepada seluruh ahli PAS di setiap peringkat supaya terus tetap dan sabar dalam membawa perjuangan Islam untuk sampai kepada masyarakat.

Beliau mengingatkan agar penggerak-penggerak parti supaya terus istiqamah dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan kerana sudah menjadi sunnatullah atau adat perjuangan, pastinya mereka akan diuji sepertimana yang dinyatakan oleh Allah SWT.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,

maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.(Al Ankabut : 2-3)

Beliau juga menambah, istiqamah merupakan suatu perkara yang mudah untuk dikatakan akan tetapi, pelaksanaannya amat sukar dan memerlukan kepada kesabaran dan pengorbanan yang tinggi. Istiqamah merupakan perkara yang amat berat sehingga tumbuh uban Rasulullah ketika mana turunnya ayat yang menyuruh untuk istiqamah.

Mengulas lanjut, beliau menambah, PAS merupakan parti yang amat komited di dalam memperjuangkan Islam sejak dari zaman kemerdekaan lagi. “Kita tidak pernah berundur daripada medan mendaulatkan syariat Allah di muka bumi ini kerana kita komited dengan perjuangan suci ini,” tegas beliau menjelaskan kewujudan PAS di muka bumi Malaysia.

“Maka tidak harus kita berundur sekarang kerana kita yakin kemenangan sudah semakin hampir dengan kita,” jelas beliau lagi mengajak seluruh ahli supaya terus tetap berada di jalan perjuangan dan seterusnya mengatakan bahawa untungnya menjadi pejuang Islam adalah kerana dihujungnya, pasti akan mencapai kemenangan samada kemenangan di dunia ataupun mendapat syahid sambil membacakan ayat ke-23 surah al-Ahzab yang bermaksud

Di antara orang-orang yang beriman itu terdapat pemuda-pemuda yang membenarkan janji mereka kepada Allah. Di antara mereka ada yang telah menyempurnakannya dan ada yang masih menunggu. Mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka. (Al-Ahzab: 23)

Seterusnya, beliau menambah, UMNO kini sudah tua untuk memerintah Malaysia. Malaysia memerlukan pembaharuan untuk membawa masyarakat kini dan beliau menyeru agar penggerak-penggerak parti untuk bekerja dengan untuk lebih kuat.

“Dengan izin Allah dan kesungguhan kita bergerak kerja, UMNO dan Barisan Nasional akan menjadi sejarah pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti,” tegas beliau.

UPACARA TIANG SERI: RAKYAT MANGKIN KELIRU

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengesahkan masih belum menerima surat rasmi daripada Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria Mufti Kerajaan Negeri Perak berkaitan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar,

Manong baru-baru ini walaupun Berita Harian telah mengeluarkan kenyataan Tan Sri Harussani pada hari ini. Berikutan laporan media tersebut, pihak DPPN Pk akan menghantar surat rasmi memohon penjelasan Tan Sri Harussani yang telah berjanji untuk memberikan jawapan setelah berjumpa dengan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pertamanya, DPPN Pk amat menyokong tindakan Tan Sri Harussani yang telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Zambry untuk mendapatkan penjelasan terus dari beliau. Tindakan ini amat tepat bagi mendapatkan kenyataan yang lebih bersifat adil berdasarkan keadaan yang sebenar.

Namun DPPN Pk melihat Tan Sri Harussani seharusnya mendapatkan penjelasan seumpama ini bukan hanya dari pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi juga melibatkan pihak Pakatan Rakyat (PR) dan lain-lain yang mana perkara ini tidak berlaku sebelum ini.

Yang keduanya, tanpa membahaskan status syirik atau tidaknya Datuk Seri Zambry secara peribadi, syariat Islam secara jelas tidak sesekali membenarkan majlis tersebut untuk diamalkan dalam masyarakat Islam sebagaimana yang ditegaskan sendiri oleh Tan Sri Harussani yang disiarkan di dalam Sinar Harian pada Ahad lepas. Perkara ini amat penting kerana Datuk Seri Zambry,

sebagai seorang Ketua Kerajaan Negeri dan juga seorang EXCO Agama Islam, tidak sepatutnya membenarkan sama sekali amalan tersebut yang jelas boleh merosakkan aqidah umat Islam.

Cumanya, DPPN Pk juga hairan bagaimana aktiviti program tersebut berada di luar pengetahuan Datuk Seri Zambry kerana setiap program-program yang akan dihadiri oleh mana-mana pimpinan kerajaan negeri sudah tentu pegawai-pegawainya mendapatkan maklum balas setiap aturcara yang akan diadakan.

Walaupun Datuk Seri Zambry menafikan penglibatannya pada majlis tersebut, ada gambar yang jelas menunjukkan Datuk Seri Zambry menepung tawar serta mengikat satu daun kepada tiang tersebut dengan kain berwarna merah. Ini juga seolah-olah mencerminkan bahawa majlis khurafat seumpama ini masih subur malah cuba dihidupkan kembali di Negeri Perak ini.

DPPN Pk juga ingin menegaskan, dengan tanpa niat untuk mencari salah mana-mana pihak, bahawa gambar-gambar yang telah diberikan kepada kami jelas menunjukkan perbuatan tersebut adalah amalan khurafat serta syirik yang menjejaskan akidah sebagai seorang yang beragama Islam.

Setelah pihak DPPN Pk menerima satu lagi bahan bukti berbentuk rakaman video, DPPN Pk akan menyerahkan dalam masa terdekat ini kepada Tan Sri Harussani bagi menilai sendiri penjelasan Datuk Seri Zambry. Perkara ini penting agar kekeliruan yang tercetus akibat majlis tersebut akan mendapat penjelasan yang tegas.

DPPN Pk secara tegas tidak mahu budaya khurafat tersebut bakal mengundang ikutan rakyat yang telah lama meninggalkan upacara tersebut kerana ajaran Islam jelas menolak perkara tersebut selama ini.

DPPN Pk secara insaf menyatakan bahawa tindakan ini sedikit pun tidak bertujuan untuk menjatuhkan kedudukan Datuk Seri Zambry tetapi lebih bermatlamat untuk menyelamatkan akidah umat Islam yang selama ini menjadi keliru kembali kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh pemimpin nombor satu negeri yang memegang bidang kuasa agama Islam.

DPPN Pk sedar tindakan ini bakal mendatangkan kemarahan banyak pihak, tetapi apa yang penting adalah kebaikan yang akan diperolehi setelah kesamaran selama ini diperjelaskan dan diperbetulkan.

Adab Berbicara yang dianggap remeh

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Ahmad Baei Jaafar

Kita sering marah kepada anak muda kini kerana tidak ada abab ketika berbicara dengan ibu bapa dan orang ramai. Tetapi kita lupa untuk melatih mereka supaya beradab dalam semua keadaan. Tentu tidak wajar kita terus salahkan anak-anak kita. Di sini saya senaraikan 12 adab sopan untuk kita amalkan bersama.

1. Semua pembicaraan harus berunsurkan kebaikan. Firman Allah: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka Kami akan memberi pahala yang besar.” (QS 4/114))

Firman yang lain: “Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (QS 23/3)

Dan dalam hadis nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa yang beriman pada ALLAH dan hari akhir maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (HR Bukhari Muslim)

2. Berbicara harus jelas dan benar, sebagaimana dijelaskan dalam hadis Aisyah ra:
“Bahawasanya perkataan rasulullah s.a.w. itu selalu jelas sehingga boleh difahami oleh semua yang mendengar.” (HR Abu Daud)

3. Seimbang dan menjauhi bercakap kosong, berdasarkan sabda nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku nanti di hari Kiamat ialah orang yang banyak cakap dan berlagak dalam berbicara.

” Maka dikatakan: Wahai Rasulullah kami telah mengetahui erti al-thartharun dan mutasyaddiqun, lalu apa makna al-mutafayhiqun? Maka jawab nabi s.a.w.: “Orang yang sombong.” (HR Tirmidzi dan dihasankannya)

4. Menghindari banyak berbicara, kerana dikhuatiri boleh membosankan orang yang mendengar, sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wa’il:
“Adalah Ibnu Mas’ud r.a sentiasa mengajar kami setiap hari Khamis, maka berkata seorang lelaki: Wahai abu Abdul Rahman (gelar Ibnu Mas’ud)!

Bolehkah anda mahu mengajar kami setiap hari? Maka jawab Ibnu Mas’ud : Sesungguhnya tidak ada yang menghalangiku memenuhi keinginanmu, hanya aku khuatir membosankan kalian, kerana aku pun pernah meminta yang demikian pada nabi s.a.w. dan baginda menjawab dikhuatiri boleh membosankan kami.” (HR Muttafaq ‘alaih)

Namun tidak salah mengulangi kata-kata yang penting jika diperlukan, daripada Anas r.a bahawa adalah nabi s.a.w. jika berbicara maka baginda mengulanginya tiga kali sehingga semua yang mendengarkannya menjadi faham, dan apabila baginda mendatangi rumah seseorang maka baginda pun mengucapkan salam tiga kali. (HR Bukhari)

5. Menghindari daripada mengucapkan yang bathil, salah berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
“Sesungguhnya seorang hamba yang mengucapkan satu kata yang diredhai ALLAH s.w.t. akan dicatat oleh ALLAH s.w.t.

keredhaan-NYA bagi orang tersebut sehingga hari Kiamat. Dan seorang lelaki mengucapkan satu kata yang dimurkai ALLAH s.w.t. maka ALLAH s.w.t. mencatatnya yang demikian itu hingga hari Kiamat.” (HR Tirmidzi dan ia berkata hadis hasan shahih; juga diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

6. Menjauhi perdebatan sengit, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Dalam hadis lain baginda bersabda:“Aku jamin rumah didasar syurga bagi yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya.” (HR Abu Daud)

7. Menjauhi kata-kata keji, mencela, melaknat, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Bukanlah seorang mu’min jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (HR Tirmidzi dengan sanad shahih)

8. Menghindari banyak bergurau, berdasarkan hadis nabi SAW:
“Sesungguhnya seburuk-buruk orang di sisi ALLAH s.w.t di hari Kiamat kelak ialah orang yang suka membuat manusia tertawa.” (HR Bukhari)

9. Menghindari menceritakan aib orang dan saling memanggil dengan gelar yang buruk, berdasarkan firman Allah: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.” (QS 49/11)

Sabda nabi s.a.w.:
“Jika seorang menceritakan suatu hal padamu lalu ia pergi, maka ceritanya itu menjadi amanah bagimu untuk menjaganya.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi dan ia menghasankannya)

10. Menghindari dusta, berdasarkan hadis nabi s.a.w.:
“Tanda-tanda munafik itu ada tiga, jika ia bicara berdusta, jika ia berjanji mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat.” (HR Bukhari)

11. Menghindari ghibah dan mengadu domba, berdasarkan hadis nabi s.a.w:
“Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah kalian saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling meng-ghibbah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara.” (HR Muttafaq ‘alaih)

12. Berhati-hati dan adil dalam memuji, berdasarkan hadis nabi s.a.w. daripada Abdur Rahman bin abi Bakrah daripada bapaknya berkata:

“Ada seorang yang memuji orang lain di depan orang tersebut, maka kata nabi s.a.w: ‘Celaka kamu, kamu telah mencelakakan saudaramu! Kamu telah mencelakakan saudaramu!” (dua kali), lalu kata baginda s.a.w.:

“Jika ada seseorang ingin memuji orang lain di depannya maka katakanlah: Cukuplah si fulan, semoga ALLAH mencukupkannya, kami tidak mensucikan seorangpun disisi ALLAH, lalu barulah katakan sesuai kenyataannya.” (HR Muttafaq ‘alaih dan ini adalah lafzh Muslim)

Dan dari Mujahid dari Abu Ma’mar berkata: “Berdiri seseorang memuji seorang di depan Miqdad bin Aswad secara berlebih-lebihan, maka Miqdad mengambil pasir dan menaburkannya di wajah orang itu, lalu berkata: Nabi s.a.w. memerintahkan kami untuk menaburkan pasir di wajah orang yang gemar memuji.” (HR Muslim).

Sumbangan Bencana Alam Banjir & Kuliah Paksi

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : kharul anuar

1. PENGUMUMAN

1.1 KULIAH PAKSI Di menara zakat, A.Setar pada 12.11.2010 (Jumaat) berjalan seperti biasa.

Kuliah Pertama: Dato' Abd Hamid bin Tahir

Kuliah Kedua: Us Khairul Anuar bin Ahmad (Mantan Pengerusi PAKSI Perak)

U.P: selepas kuliah kepada peserta PAKEJ ZIARAH ULAMA' HIJAZ 02-13 December 2010 (SYRIA, JORDAN, MESIR), akan diadakan taklimat khas. Mohon bawa pasport asal, gambar dan baki bayaran.

1.2. KULIAH di kediaman MB pada 13.11 2010 DIBATALKAN. kawasan persekitaran masih dalam pembersihan akibat banjir.

20.11 - BERCUTI HARI RAYA HAJI.

27.11 - KULIAH DATO DR. HARUN DIN

2. POSTER UNTUK DISUMBANGKAN:

MARI KITA HULURKAN SUMBANGAN KEPADA SAUDARA KITA MANGSA BANJIR

SUMBANGAN YANG KEKAL LAMA

KEDAH dilanda banjir, ramai yang mahu meraih pahala dari bala yang datang lalu ramailah yang menyumbang. Samada wang ringgit, barang keperluan , tenaga , kenderaan ,buah fikiran apa sahaja yang termampu. Namun dicelah-celah bala terdapat manusia yang mahu cari bala lagi.

Tangan kiri menghulur tangan ....kanan menerjah penumbok. Manusia apa ini ?.. Siapa mereka ? MOga Allah memberi hidayat kepada mereka.

Sepanjang 7 hari membantu mangsa banjir terlalu banyak barang keperluan harian disalurkan oleh pelbagai pihak. Beras, gula, sardine,susu lampin pakai buang , biskut, roti, air mineral dan pelbagai lagi. Sikap prihatin rakyat Malaysia amat tinggi. Tapi hati ini terasa ada yang kurang. Ada lagi sumbangan yang belum kita sampaikan. Ada yang terlepas pandang.

Dalam keadaan seumpama ini kita jangan lupa Allah. Sumbangkan kepada mereka PERINGATAN ALLAH DAN PESANAN RASULULLAH. Ini lah yang utama dan kekal lama. Oleh itu bagi melengkapkan sumbangan kita kepada saudara kita yang ditimpa musibah ini YAYASAN PAKSI menerbitkan sekeping poster untuk diedarkan kepada mereka. Saiz A3 warna penuh dengan peringatan berikut

KETIKA DITIMPA MUSIBAH

UCAPKANLAH

(Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH KEPUNYAAN ALLAH DAN KEPADA ALLAH JUALAH KAMI KEMBALI."

Al baqarah 156

BERAMALLAH

Wahai sekalian orang-orang Yang beriman! mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah) DENGAN BERSABAR DAN DENGAN (MENGERJAKAN) SEMBAHYANG; kerana Sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang Yang sabar.(Al-Baqarah, 2:153)

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu;

kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman, di mana apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan, ia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.

Jenis-Jenis Burung Paling Berbahaya Di Dunia

4 Zulhijjah 1431H.
Email : Roslan Mohd

9. Burung Rhea



The Rhea, asli Amerika Selatan, merupakan burung besar yang dapat tumbuh hingga berat 60-80 kilogram. Meskipun lebih kecil dari burung unta dan tidak seagresif seperti kasuari, rheas memiliki kaki berotot, taji keras pada kaki mereka dan tendangan mereka dapat menghasilkan kekuatan sebesar 800 pon per inci persegi.


8. Burung Hering


Jika terpojok, seekor burung hering dapat mendesis atau membuat suara mendengus untuk Anda. Mereka, tentu saja, juga memiliki paruh melengkung tajam yang bisa mengoyak daging, dan juga memilik penglihatan yang sangat baik.



7. Burung Elang


Elang adalah binatang yang kuat, cukup kuat untuk mengangkut sesuatu yang memiliki berat empat pon, burung ini agresif dan meskipun mereka tidak terlalu bahaya bagi manusia di alam liar, dalam ruang tertutup cakar dan paruh mereka dapat membahayakan dan menyerang manusia dengan mudah. Mereka bisa makan sekitar setengah kilo ikan dalam empat menit.

6. Burug Falcon


Seperti burung pemangsa lainnya, mereka memiliki cakar tajam dan paruh kuat yang digunakan untuk berburu, bersama dengan kecepatan dan kelincahan, menciptakan bahaya serius bagi manusia, bahkan walaupun masih bayi, paruhnya juga dapat dikonfigurasi secara khusus untuk memotong melalui saraf tulang belakang dari mangsa mereka.

5. Burung Hantu


Burung hantu adalah raptors, atau burung pemangsa, dan mereka menggunakan cakar dan paruh untuk membunuh, menangkap dan makan. Dalam sebuah ruang tertutup, atau jika burung itu ada dalam ketakutan atau gelisah, bisa berakibat sangat buruk kepada Anda.

4. Burung Camar


Burung camar sangat agresif dan dikenal sering menyerang dan bahkan mematuk di kepala orang-orang untuk melindungi sarang dan anaknya. Bahkan, orang-orang Inggris terpaksa membawa payung untuk menghindari serangan itu, setidaknya pernah ada seorang wanita dibawa ke ruang gawat darurat dengan paruhnya karena luka mendalam di kepala, dan anjing-anjing dibunuh oleh burung-burung.

3. Angsa Kanada


Angsa Kanada sangat agresif, terutama jika Anda sengaja atau tidak sengaja mendekati sarang mereka atau anak mereka, maka mereka akan mengejar Anda hingga pergi dan bahkan menggigit Anda.

2. Burung Unta


Burung unta adalah burung gugup dan dapat berbahaya. Mereka merupakan burung terbesar yang masih ada, mereka dapat mencapai berat 350 pon dan kecepatan mereka berlari mencapai 30 mil per jam selama 10 mil lurus. Seperti burung kasuari, mereka memiliki kaki yang kuat dan juga mempunyai cakar tajam. Tendangan mereka dapat membunuh seekor hyena.

1. Burung Kasuari


Kasuari, salah satu spesies yang terancam punah. Burung besar ini hidup di hutan hujan, hutan dan rawa di Australia. Kasuari tidak bisa ditebak, agresif dan dikenal untuk dengan serangan kaki besar mereka yang suka menendang dan mencakar. Tendangan mereka mampu meremukkan tulang, dan cakar mereka bisa disamakan dengan ketajaman belati.
__._,_.___

Masjid Huaisheng Guangzhou

04 Zulhijjah 1431 H

Masjid Huaisheng yang dibina pada tahun 627, iaitu pada zaman Dinasti Tang merupakan salah sebuah masjid yang awal dibina setelah agama Islam tersebar di tanah besar China.

"Huaisheng" bermaksud peringatan Nabi dalam bahasa Mandarin. Nama ini diberikan sebagai memperingati pengasas ajaran Islam, Nabi Muhammad.

Masjid ini mempunyai keluasan kira-kira 3,200 meter persegi. Seni bina bangunan masjid ini menggabungkan unsur klasik China dan ciri-ciri Arab. Ketika memasuki pintu masjid ini, terdapat bangunan bernama Bangunan Menikmati Bulan.

Walaupun bangunan yang dibina semula pada tahun 1695 ini tidak berapa besar, tetapi ia kelihatan begitu cantik jika dilihat dari jauh. Dua serambi yang panjang terletak di kedua-dua belah Bangunan Menikmati Bulan. Di dalamnya terdapat kira-kira 10 buah batu bersurat yang mencatatkan sejarah Masjid Huaisheng.

Berhampiran dengan dewan sembahyang yang menghadap ke arah tanah suci Mekah ialah bilik simpanan kitab. Ia disediakan untuk menyimpan pelbagai salinan Al-Quran.

Selain itu, terdapat sebuah Menara Bercahaya setinggi 36.3 meter berdiri tegak di bahagian barat daya halaman masjid tersebut. Badan menara ini berbentuk bulat bujur manakala bahagian atasnya tajam. Sehubungan dengan itu, Masjid Huaisheng juga dipanggil masjid Guangta oleh penduduk tempatan.

Pejabat-pejabat Persatuan Islam Guangzhou juga terletak dalam masjid tersebut.

Add: No.56, Jalan Guangta, Daerah Yuexiu, Guangzhou

Tel: +86-20-83333593


Panduan perjalanan ke Masjid Huaisheng, Guangzhou
Subway Line 1 (Stesen Ximenkou)
Bus No.58、56、233、286、250、102 (Stesen Jalan Guangta atau Jalan Chaotian)

CRI/-

Sandiwara Zambry

Ingat Melayu aje mudah lupa! Rupa-rupanya sepesis mamak sorang ini lagi teruk pelupanya. Tun Mahathir bin Mohamed Kutty kena tulis buku ‘Mamak Dilemma’ selepas tahun 1970 beliau menulis buku kontreversinya ‘ The Malay Dilemma’. Kerana di alaf millennium, penyakit pelupa ini singgah juga kepada mamak ni.

Bukan lupa projek! Lupa jawatan MB! Lupa jugak asal-usulnya. Tetapi Zambry selaku MB Perak tetapi lupa fatwa negeri beliau sendiri. Mufti Harrusani yang dikucup tanggannya. Adakah semua ini sandiwara? Adakah ini cerita Hindustan??

Pertamanya ketika rakyat heboh tentang fatwa Tan Sri Harrusani yang telah memfatwakan konsert Sure Heboh itu haram. Bahkan dirujuk kepada keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia yang dibuat pada30 Julai 2004 memutuskan bahawa konsert Sure Heboh (sebelum ditukarnama Jom Heboh) TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkanmaksiat di kalangan anak-anak muda. Dan sekian lama Konsert seperti itu tidak dibaw masuk ke Perak khusus dizaman pemerintahan PR yang DS Nizar sebagai MBnya tetapi setelah rampasan kuasa UMNO-BN di perak lalu Zmbry telah memberi kelulusan untuk penganjuran Konsert Jom Heboh yang diadakan di pengkalan Tentera Laut Diraja. Lumut pada 25 dan 26 April 2009.

Selepas itu timbul pula isu apabila MB Zambry yang turut sama terlibat dalam meletakkan ancak ketika mendirikan rumah. Upacara masyarakat melayu lama yang khurafat dan boleh membawa kepada syirik itu cuba dihidupkan kembali dan nak dikomersialkan. Mungkin sebagai produk pelancongan kot. Tetapi sedia maklum perkara sedemikian dicegah syarak.

Tak cukup dengan isu itu yang masih lagi berpanjangan dan kini didedahkan dengan video pula setelah ianya dinafikan oleh MB Zambry. Mungkin kot dia berlakun je kot. Bersandiwara?

Apa kata mufti tentang amalan ini? mungkin ulama muda ada pandangan!
Fatwa negeri Perak yang dipetik dari Laman Web Jabatan Mufti Perak

Haram merayakan perayaan orang-orang kafir
Orang-orang Islam adalah dilarang sama sekali mencampuradukkan perayaan orang Islam dengan perayaan orang-orang kafir dalam apa jua bentuk sekalipun. Menyentuh tentang para peniaga yang menggunakan perkataan "Deeparaya" yang dipercayai dari perkataan Deepavali dan Hari Raya, adalah haram bagi umat Islam menggunakan perkataan itu meskipun bagi gimik melariskan jualan mereka.

Ustaz Zamri Hashim berkata demikian melalui Radio Malaysia 3 Ipoh dalam siaran Soal Jawab Agama, pagi ini. Menurut Ustaz Zamri lagi, umat Islam adalah diingatkan kepada surah Al-Kafirun yang menyebutkan amaran Allah bermaksud " Bagimu (orang kafir) agamamu dan bagi ku agamaku"

Hukum merayakan perayaan orang-orang kafir sudah disepakati oleh Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sebagai salah satu perbuatan yang diharamkan.Justeru itu umat Islam adalah dilarang merayakan perayaan orang-orang kafir biar dalam apa bentuk, secara bersama atau menghadiri perayaan itu. Biarkanlah orang-orang kafir merayakan mereka mengikut cara mereka tanpa melibatkan diri kita selagi kita mengakui keIslaman kita - JMNPk

http://mufti.perak.gov.my/berita/berita041022-2.html
Apabila PM sendiri lakukan apa kata Mufti Perak?

Malangnya MB Zambry telah meganjurkan sendiri perayaan tersebut dirumah MB sendiri di Ipoh. Bahkan takde pemimpin UMNO sendiri pun sebelum ini yang menganjurkannya dirumah rasmi mereka. Biasanya mereka hadir upacara yang dilakukan di rumah pemimpin parti kompenen mereka. Kalau Depavalli akan dianjurkan oleh pemimpin MIC atau kuil. Dan apabila Tahun Baru Cina mereka hadir dirumah pemimpin MCA.

Habis Zambry ni bangsa apa? Beliau menganjurkan sambutan Tahun baru Cina. Nak katakana beliau itu cina. Tak munabah dengan warna kulit beliau. Kalau YB Idham Lim yang anjurkan atau YB Anuar Tan menganjurkan di Kelantan munasabah juga sebab dia cina. Ini mamak. Adakah semua ini sandiwara untuk menarik undi cina?

Setahu kita pula MB Zambry beragama Islam. Habis macamana pula beliau menganjurkan perayaan Deepavalli dikediaman rasminya. biasa? Biasanya ia dianjurkan oleh penganut Hindu? Tidakkah ia bertentangan dengan fatwa negeri Perak sendiri.

Ahad Februari 14, 2010
Rumah Terbuka MB Perak Dapat Sambutan
IPOH: Majlis rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina anjuran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada hari ini mendapat sambutan masyarakat pelbagai kaum. Majlis itu yang julung kali diadakan oleh seorang Menteri Besar bagi meraikan perayaan kaum lain, berlangsung dari pukul 1 tengah hari hingga 3 petang di kediaman rasmi Menteri Besar di sini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan negeri bercadang untuk menganjurkan salah satu perayaan utama dalam kalendar masyarakat Sikh iaitu perayaan Vaisakhi peringkat kebangsaan di tempat sama (kediaman rasmi MB) pada April ini jika mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.– BERNAMA

Dan yang terbaru pada 7 nov 2010. Ahad baru-baru ini Zambry mengadakan rumah terbuka perayaan depavalli. Di kediamannya di Ipoh.


Sepatutnya Mufti Perak memangil MB Zambry untuk diberi garis panduan yang melibatkan perkara yang menyentuh aqidah. Ia bukan sekadar untuk pemimpin UMNO-BN tetapi akan menjadi panduan juga kepada rakyat amnya. Manusia itu mengikut agama pemimpinnya.
Ketika Mufti Harrusani berceramah sebuah masjid di Terengganu, beliau cukup tegas menyuarakan tentangan beliau tentang Islam Liberal dan Pluralisme agama. Nampaknya apabila ianya dilakukan oleh pimpinan UMNO sendiri di negeri beliau sendiri, beliau diam membisu. Kenapa?

Adakah ianya haram jika PR yang lakukan. Heboh dan bising seperti nyalaan lilin sebagai protes kematian Teo Beng Hock dulu. Habis mufti, agamawan yang beri fatwa. Habis kalau kena dengan pimpinan UMNO-BN macam ni. Mana pergi ulardalam semak ni? takkan nak jadi setan bisu?? mana ulama muda UMNO yang nak nasihat UMNO tu?

Pemimpin BN jenis 5 tahun sekali jumpa rakyat

04 Zulhijjah 1431 H

KUALA LUMPUR, 10 Nov: “PAS berpandangan inilah jenis pemimpin 5 tahun sekali, dekat dengan rakyat apabila hampir dengan pilihan raya, apabila lepas pilihan raya muka tidak nampak,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas gesaan Tan Sri Muhyidin Yassin semua pimpinan parti komponen BN supaya sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat agar mereka tahu bahawa BN merupakan satu-satunya parti yang terus berjuang untuk kepentingan rakyat.

Sepatutnya, kata beliau mereka menjadi pemimpin bukan hanya hendak mendapat undi sahaja tetapi kena memikirkan bagaimana hendak membawa rakyat dan negara ini hidup selesa dan bahagia.

Perlu diingat, ujarnya bahawa menjadi pemimpin bukan satu kemuliaan tetapi satu tanggungjawab.

Menurutnya, PAS berpandangan pemimpin BN hanya memperkudakan rakyat untuk dapat undi sahaja.

“Selepas pilihan raya penderitaan rakyat tiada siapa yang peduli. Tekanan hidup rakyat semakin teruk kerana kuasa membeli semakin berkurangan,” ujarnya.

Katanya, Belanjawan 2011 sebagai bukti, menunjukkan bahawa pemimpin masih berbelanja seolah-olah macam berada di dalam lubuk emas.

Tambahnya, pembinaan Menara Warisan 100 tingkat dengan kos RM5 bilion, ketika masih ramai rakyat yang tidak ada rumah, walaupun dibantah ia tidak dipedulikan.

Beliau berkata, mereka buat tuli sahaja, kerana mereka memiliki media untuk mempropagandakan kepada rakyat.

Katanya, peruntukan Sekolah Agama Rakyat hanya RM95 juta berbanding dengan Permata milik isteri Perdana Menteri sebanyak RM111 juta.

Begitu juga, ujarnya peruntukan untuk Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang boleh dimanfaatkan hampir 3 juta rakyat di tiga negeri hanya RM178 juta iaitu 3.6% daripada kos pembinaan Menara Warisan.

Maka tidak peliklah, tambah beliau kagi, komen Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali, mengenai kuasa beli di kalangan rakyat semakin merosot di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat.

Tambah Alsetdek lagi, kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidakseimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sebuah negara.

“Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai.

“Persoalannya adakah pemimpin negara ini mengambil berat hal ini? Apakah mereka hanya hendak berlakon menjadi pemimpin yang cakna rakyat apabila dekat musim pilihan raya?” soalnya.

Justeru, katanya PAS menyeru rakyat bangkit menolak pemimpin BN dan berilah mandat baru kepada PAS dan Pakatan Rakyat untuk mentadbir urus dengan baik, kerana terbukti dan teruji.

Harakahdaily/-

Orang Asal luar Kelantan mengundi di Galas

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Wartawan Kita

KOTA BHARU, 10 Nov: Agak luar biasa apabila peratusan keluar mengundi di Dun Galas pada pilihan raya kecil 4 November lalu meningkat kepada 83 peratus, sedangkan banyak pusat pengundi berada di pedalaman Kelantan.

Malah lebih meragukan lagi apabila enam pusat pengundian membabitkan penduduk Orang Asal meningkat lebih 90 peratus, sedangkan kedudukan mereka jauh di pedalaman.

Lebih menghairankan lagi banyak bas dilihat di pusat-pusat pengundian di pos Orang Asal pada hari mengundi.

Menurut sumber, bas terbabit digunakan bagi mengangkut pengundi Orang Asal yang dipercayai tinggal di luar Kelantan untuk datang mengundi di Galas.

Ini kerana katanya, penduduk Orang Asal yang tinggal di pendalaman Kelantan tidak boleh diangkut menggunakan bas memandangkan ia hanya boleh dihubungi kenderaan pacuan empat roda.

Kehadiran begitu banyak bas di pusat pengundian menimbulkan banyak tanda tanya. Lagi pun kesemua penempatan Orang Asal dikawal Jabatan Hal Ehwal Orang Asal sejak bekas Adun Galas, Chek Hashim Sulaima sakit tenat.

Mengulas perkembangan tersebut Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, peratusan keluar mengundi sehingga 83 peratus merupakan suatu pencapaian yang luar biasa memandangkan kedudukan Galas di kawasan pedalaman.

”Ini jarang berlaku di kawasan orang kurang celik mengenai politik. Kawasan hulu Kelantan di mana kesedaran politik masih lagi rendah.

”Mungkin ada sesuatu yang cuba disembunyikan apabila pengundi di kalangan Orang Asal hampir kesemua keluar mengundi.

”Sedangkan di tempat orang yang celik politik pun tidak sampai sehingga 83 peratus keluar mengundi. Ini tentunya meragukan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pada pilihan raya kecil tersebut jumlah keluar mengundi sebanyak 83 peratus, sedangkan di Batu Sapi yang juga terletak di pedalaman Sandakan hanya 61 peratus.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, lebih menghairankan lagi apabila ada menteri awal-awal lagi sudah memberitahu akan menang banyak.

”Kalau sekadar kata menang sahaja tak apa. Ini seolah-olah menggambarkan mereka sudah tahu apa yang akan berlaku berdasar gerak kerja awal yang dilakukan,” katanya.

Harakahdaily/-

Majlis Sukan Kelantan tidak sah

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Wartawan Kita

KOTA BHARU, 10 Nov: Majlis Sukan Negeri (MSN) yang kini dipengerusikan Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub didapati bercanggah dengan Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971.

Subseksyen 7(a) akta itu menjelaskan pengerusi hendaklah dilantik oleh menteri dengan berunding dengan menteri besar atau ketua menteri negeri itu.

Manakala 7(b) menjelaskan dua orang timbalan pengerusi yang dilantik oleh menteri besar atau ketua menteri negeri itu, seorang daripadanya ialah Setiausaha Kerajaan Negeri.

Namun apa yang berlaku di Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang pelantikan pengerusi MSN tidak pernah dirundingkan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, Menteri Besar menjelaskan sehingga kini beliau tidak pernah ditemui menteri atau MSN bagi pelantikan pengerusi badan sukan itu.

”Saya bukan seorang peguam, namun dari awal lagi pelantikan pengerusi MSN tidak ikut apa yang tercatit dalam akta.

”Saya mendapat pengesahan daripada Menteri Besar pagi tadi sebelum beliau berlepas ke Makkah,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

MSN Kelantan sejak 1990 diketuai pemimpin Umno. Sebelum ini badan itu dipengerusikan bekas Adun BN Dun Selising, Amran Mat Nor.

MSN dalam banyak keadaan mengambil sikap berkonfrantasi dengan kerajaan negeri.

Malah pengerusi MSN yang dilantik tanpa persetujuan kerajaan negeri tidak pernah datang mesyuarat biar pun dijemput.

Menjawab soalan asal dikemukakan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) Abdul Fattah berkata, menteri yang bertanggungjawab tidak pernah merundingkan dengan kerajaan negeri mengenai pelantikan pengerusi dan anggota lembaga MSN sebagaimana dikehendaki di bawah akta.

”Saya berharap pihak MSN mengambil perhatian terhadap masalah tersebut. Bukan hasrat kerajaan negeri untuk mempolitikkan bidang sukan.

”Kerajaan negeri tidak diberi suara mengenai pelantikan pengerusi MSN di Kelantan sekarang, sedangkan ia bidang kuasanya termaktub dalam Akta Majlis Sukan Malaysia,” katanya.

Malah, kata beliau sejak 2004 kerajaan negeri berkali-kali menjemput pengerusi MSN datang mesyuarat, namun tidak diendahkan.

Malah, katanya biar pun cuba diketepikan dalam MSN, namun kerajaan negeri tetap membantu membangunkan sukan di negeri ini.

Menurutnya atlet-atlet yang berjaya dalam acara sukan Malaysia turut diraikan kerajaan biar pun program itu tidak mendapat kerjasama MSN.

”Oleh itu kita minta kerajaan pusat insaf terhadap perkara yang berlaku di Kelantan sekarang. Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan mempolitikkan bidang sukan, biar pun ada pihak bertindak sebaliknya,” katanya.

Abdul Latif ketika ditemui kemudian berpendapat keseluruhan organisasi MSN yang ada sekarang tidak sah kerana secara terang-terangan melanggar akta.

Harakahdaily/-

Hiburan rosakkan usaha dakwah Orang Asal

04 Zulhijjah 1431 H

KOTA BHARU, 10 Nov: Usaha bertahun-tahun dilakukan pendakwah bagi menyebarkan syiar Islam kepada penduduk Orang Asal di pedalaman Gua Musang dirosakkan pihak tertentu ketika kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini.

Pihak terbabit telah menganjur persembahan hiburan secara tidak sihat di penempatan terbabit sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, usaha memberi kesedaran Islam telah lama dilakukan Jakim, mualim dari Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dan sukarelawan dari Abim Outrech punah dalam sekelip mata.

“Program hiburan yang dianjurkan mereka telah merosakkan usaha dakwah dilakukan agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan,” katanya menjawab soalan Abdul Fatah Harun (PAS-Bukit Tuku) pada persidangan Dun hari ini.

Isu kempen pilihan raya Dun Galas membabitkan masyarakat Orang Asal dibangkitkan pada persidangan Dun Kelantan sejak kelmarin.

Semalam perkara serupa ditimbulkan anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood apabila memberitahu kegiatan tidak bermoral dilakukan pihak tertentu di penempatan Orang Asal termasuk menganjurkan disko dan persembahan hiburan.

Menjawab soalan asal Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) Mohd Amar berkata, Maik telah menghantar mualim di penempatan Orang Asal sejak dua tahun lepas.

“Bermula Januari hingga Oktober mualim terbabit tinggal di penempatan Orang Asal bagi mengajar Orang Asli yang menganut Islam.

“Pendakwah tinggal bersama mereka bagi mengelakkan ada Orang Asal yang beberapa kali menganut Islam kerana mahu mendapat saguhati,” ujarnya.

Menurutnya biar pun Jakim juga menghantar tenaga pendakwah namun mereka tidak tinggal bersama masyarakat Orang Asli dan hanya masuk ke penempatan Orang Asal sekali sekala.

Beliau juga berkata tumpuan dakwah di penempatan Orang Asal menjadi fokus utama kerajaan negeri tahun ini.

“Tahun lepas kita mengambil 12 pelajar Orang Asli belajar di sekolah agama, malangnya sekarang cuma tinggal dua orang sahaja kerana pelajar yang pulang ke penempatan mereka tidak datang semula,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Kelantan lantik wakil pasarkan Dinar di China

04 Zulhijjah 1431 H

KOTA BHARU, 10 Nov: Kerajaan Kelantan bercadang melantik wakil (wakalah) bagi memasarkan mata wang syariah di China, kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan bagi memperluaskan penggunaan Dinar dan Dirham ke seluruh dunia.

Kata beliau Dinar dan Dirham digunakan secara meluas di Indonesia yang lebih dikenali sebagai logam mulia.

Begitu juga katanya Dinar digunakan di Granada, Sepanyol dan Amerika Syarikat dalam bentuk syiling emas.

”Di Amerika Syarikat gold coin sama berat dengan standard emas 22 karat yang telah digunakan dalam sistem perdagangan antarabangsa.

”Standard yang digunakan itu sama dengan Dinar yang digunakan oleh pemerintah Islam di zaman Khalifah Othamiah,” katanya menjawab soalan Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau juga mencadangkan bayaran deposit pembantu rumah dari Indonesia digunakan menggunakan Dinar berbanding Rupiah yang digunakan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, sehingga sekarang lebih 2,000 wanita dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran di Pusat Pengembangan Wanita Kelantan (PPWK).

Bidang kemahiran yang diajar termasuk jahitan, sulaman dan masakan.

”Sebelum ini seramai lapan wanita mendalami bidang sulaman di Bukit Tinggi, Indonesia dan sekarang mereka mengajar kemahiran itu kepada wanita di sini,” katanya menjawab soalan Zulkefli Mamat (PAS-Pulai Chondong).

Harakahdaily/-

Bandar Satelit Islam dijangka siap 2012

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 11 Nov: Kemajuan Projek Bandar Stalite Islam, Pasir Tumboh kini telah sampai ke tahap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2012 atau pun awal 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, projek itu sebagai penambahbaikan kepada Pondok Pasir Tumboh, dengan mengekalkan struktur asalnya.

“Dijadikan sebagai tempat ibadat, pusat pengajian agama Islam, dilengkapkan dengan hotel serta kedai,” katanya pada persidangan Dun, kelmarin.

Beliau berkata, Projek Bandar Satelit Islam satu projek usahasama antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan sebuah syarikat swasta, MSO Corporation Sdn Bhd.

Sementara Produk Pelancongan Kandis, Bachok seluas tujuh ekar dalam kawasan Pondok Moden (Pusat Pengajian Pondok), Bachok pula dibangunkan dengan kos RM18 juta.

Dibangunkan hotel apartmen yang ketinggiannya 16 tingkat, mempunyai 107 unit bilik apartmen, sama ada berbentuk satu bilik, dua bilik dan juga tiga bilik bagi satu-satu unit, terletak di dalam kawasan Pondok yang berkonsepkan berkonsepkan ‘Bakti Katil’ dan ‘Perkongsian Masa’ (times sharing syarie) di samping disediakan untuk pesara-pesara dan pelajar IPTA.

“Dengan konsep ‘Bakti Katil’ di mana sasarannya ialah untuk jutawan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan, mereka boleh menempatkan keluarga mereka, manakala konsep ‘Perkongsian Masa’ pula membolehkan pembeli memberi sewa kepada orang lain atau menetap sendiri dalam tempoh beberapa hari atau waktu.

“Sementara ‘Hotel Untuk Pesara’ pula membolehkan sama ada pesara berkenaan menetap di situ atau menetap ketika pulang dari perantauan.

“Dan pembinaan hotel itu ‘mengadunkan’ suasana antara masjid dan pondok serta antara laut dan kawasan rekreasi untuk percutian,” katanya.

Mengenai pelancongan kesihatan, Takiyuddin menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri tidak bermasalah dalam membangunkan sektor itu.

“Setakat ini kerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan tidak timbul masalah,” katanya.

Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini pada 2009 ialah seramai 4.8 juta orang yang terdiri daripada 4.2 juta pelancong domestik, manakala pelancong antarabangsa ialah 0.6 juta.

Sementara itu, jumlah kemasukan pelancong bagi 2010 ialah 78.76 peratus.

Harakahdaily/-