31 October 2010

Lima negeri dapat ketua polis baru

22 Zulkaedah 1431H.

Empat naik pangkat, satu berpindah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam mengumumkan penstrukturan semula kepemimpinan pasukan itu yang membabitkan kenaikan pangkat dan pertukaran ketua serta timbalan ketua polis negeri.

Pelantikan berkuat kuasa serta-merta itu membabitkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang menggantikan Datuk Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Selangor dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abd Ghani menggantikan Datuk Robiah Abdul Ghani sebagai Ketua Polis Pahang. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, ketika mengumumkannya pada persidangan media selepas mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di Bukit Aman semalam, berkata penstrukturan semula semua jawatan adalah lanjutan daripada pelantikan empat Pengarah Jabatan yang diumumkan pada 13 Oktober lalu.

"Pelantikan dibuat dengan mengambil kira semua aspek termasuk pengalaman, kebolehan, kemampuan dan kredibiliti mereka. Saya yakin mereka mampu mengendalikan dan memastikan kesinambungan era baru ke arah memartabatkan pasukan polis," katanya.

Mesyuarat SPP di Bukit Aman semalam, dipengerusikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Pada 13 Oktober lalu, Ismail mengumumkan Khalid dilantik Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman; Robiah sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman; Datuk Noor Rashid Ibrahim sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Bukit Aman dan Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan sebagai Pengarah JSJ Komersial.

Ismail turut mengumumkan jawatan Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan diisi oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Perkhidmatan/Jawatan PDRM, Datuk Ahmad Ibraham, manakala Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Hamzah Taib menggantikan Datuk Noor Rashid Ibrahim sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah pula dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, menggantikan Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, manakala Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Datuk Amar Singh Ishar Singh dilantik Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, menggantikan Datuk Abdul Samah Mat.

Beliau berkata, jawatan ketua polis negeri serta jawatan berkaitan yang belum diisi akan dilaksanakan pada pertengahan bulan depan selepas SPP bermesyuarat buat kali ketiga.

Selain itu, beliau mengumumkan tiga Pengarah Jabatan PDRM dinaikkan gred ke Jusa A, iaitu Pengarah Cawangan Khas Datuk Akhil Bulat; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin; dan Khalid.

“Mesyuarat turut mengesahkan jawatan yang dipangku seramai 53 pegawai kanan polis berpangkat Superintendan sehingga Deputi Komisioner Polis. Nama pegawai lain yang belum disenaraikan bagi tujuan kenaikan dan pertukaran pangkat akan diumumkan pertengahan November apabila SPP dijadualkan bermesyuarat," katanya.

PRK DUN GALAS - PAS JANGAN TERLALU MENJAGA MARUAH KU LI, MARUAH PAS PERLU DIUTAMAKAN

22 Zulkaedah 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

MEMANG benarlah ramalan ramai pihak bahawa perlantikan Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas sedikit sebanyak membuatkan Umno `lega'. Tidak seperti sebelum ini, Umno akan diserang habis-habisan oleh PAS sehinggakan Umno `sesak nafas' dan semput di petengahan kempen. Kali ini kita lihat Umno begitu `rehat' sekali dan ini menunjukkan PAS masih belum `menukar gear'nya dari `gear satu' selepas hari penamaan calon.

Faktor Ku Li dikatakan menjadi penyebab PAS kelihatan `slow'. Mungkin PAS Kelantan khususnya lupa bahawa Ku Li kini sedang bertungkus lumus berjuang untuk Umno, bukannya berjuang untuk mendapatkan royalti minyak Kelantan. Memang benar, Ku Li tetap berprinsip membela hak Kelantan untuk mendapatkan royalti minyak yang dirampas itu tetapi pada waktu ini, di saat ini Ku Li sedang berjuang untuk Umno. Ku Li mahu rampas kerusi Dun Galas dari PAS untuk di`sedekah'kan kepada Umno. PAS jangan lupa hal ini.

Justeru itu, PAS tidak lagi boleh terlalu memandang tinggi atau menghormati Ku Li lebih daripada menghormati maruah PAS. Jatuhnya nanti kerusi Dun Galas kepada Umno akan menyebabkan maruah PAS tercalar dan jika Umno menang sekalipun, adakah PAS Kelantan akan mendapat semula royalti minyak yang dirompak itu? Sudah tentu tidak. PAS mesti bangun dan berani berdepan dengan Ku Li untuk menunjukkan kepada Ku Li dan Umno bahawa PAS tidak akan menjual maruahnya semata-mata `budi' Ku Li.

Dikatakan jentera Umno kini sedang giat mempengaruhi pengundi-pengundi terutamanya di kalangan kaum Cina dan masyarakat orang Asli. Jika PAS lambat untuk bertindak atau bertindak sambil lewa, tidak mustahil Dun Galas berjaya dirampas oleh Umno. Pakatan Rakyat juga harus turun semaksima mungkin membangunkan PAS, bersama-sama berdepan dengan Umno/Bn. Strategi mestilah diatur sebaik mungkin dan kempen perlu dipergiatkan seperti di dalam beberapa pilihanraya yang lalu.

Sebenarnya terlalu banyak isu yang boleh diketengahkan oleh PAS di dalam pilihanraya kecil ini. Isu royalti minyak sebenarnya sudah difahami oleh sebilangan besar rakyat Kelantan. Isu tempatan juga patut didedahkan oleh PAS kerana isu tempatan kini menjadi berita dan propaganda media mereka. Isu nasional juga boleh diketengahkan terutamanya yang melibatkan isu agama seperti langkah kerajaan untuk menubuhkan Hub-Hiburan termasuk isu Festival Busana Islam yang ditaja oleh isteri PM itu. Bajet `seluar dalam' mungkin memberi kesan kepada rakyat bawahan yang kini tertekan dengan kenaikan harga barang. Isu wang rakyat dibazirkan dengan membina bangunan 100 tingkat juga isu nasional yang memberi kesan kepada rakyat bawahan.

Mengikut kenyataan di dalam Malaysiakini, PAS kini `menyimpan' beberapa isu untuk melihat terlebih dahulu apakah isu dari pihak Umno. Ini bererti PAS akan menyerang apabila diserang. Ini satu strategi yang tidak bijak kerana membenarkan Umno menyerang terlebih dahulu. Membuat serangan adalah lebih baik dari membalas serangan. Pasukan bola sepak Kelantan yang berjaya ke Final Piala Malaysia juga adalah kerana strategi B.Sathianathan yang mahukan pasukannya menyerang seawal tiupan wisel lagi. /wfauzdin.bogspot.com

Gagal salur peruntukan, MP heret k'jaan ke mahkamah

22 Zulkaedah 1431H.

Ahli parlimen Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr D Jeyakumar menjadi wakil rakyat pertama yang mengheret kerajaan persekutuan ke mahkamah kerana tidak menyalurkan dana yang diperuntukkan untuk kawasan pilihan rayanya.

Dalam permohonan semakan kehakimannya, Jeyakumar yang memenangi kerusi parlimen Sungai Siput, selepas menewaskan presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu pada 2008, mendakwa beliau tidak pernah melihat sebarang dana diperuntukkan kepada Sungai Siput sejak beliau menang.

Beliau juga mendakwa bahawa tindakan menyekat dana tersebut, melanggar Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
Dalam permohonannya itu, Jeyakumar berkata, dalam kontaks tersebut, Perkara 8 (1) menyatakan bahawa "peruntukan khas bagi kawasan pilihan raya hendaklah dilaksanakan secara sama rata di antara semua ahli parlimen, tanpa mengira kaitan politik."

"Saya menulis surat kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan diberitahu bahawa RM1.72 juta diberikan (pada 2010), termasuk kepada dua buah sekolah dan sebuah rumah anak yatim, tapi apabila saya menelefon (penerima yang didakwa itu) mereka kata belum menerimanya," kata Jeyakumar (gambar tengah).

Dinamakan sebagai responden dalam saman tersebut ialah ketua pengarau ICU, pengarah pejabat pembangunan negeri Perak, dan kerajaan Malaysia.

Jeyakumar meminta responden menjelaskan kuasa mereka dalam menyalurkan dana peruntukan khas kawasan pilihan raya, dan prosedur bagi peruntukan dana sejak tahun 2008.

Malaysiakini/-