30 October 2010

11 Tips Menghindari Marah

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : nina mazrina

MARAH

“Saya seorang yang pemarah”… Bila saya terbaca artikal ini… saya rasa diri saya terlalu kerdil…saya sedar terlalu banyak kekurangan dalam diri saya… kadangkala terfikir juga… entah bagaimana rupa saya ketika marah…huhuhu…tentu hodoh kan!!!…

IMAM Syafie ada menegaskan: “Marah adalah satu di antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”.

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:

1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita. Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca istighfar kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita berdiri, duduklah. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan mula reda.

Hak seorang balu terhadap agihan harta

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Uda Firdaus Abd Rahim

Suami merupakan tulang belakang yang mencorak dan menjamin kesinambungan serta keutuhan sebuah institusi kekeluargaan. Tanpa suami, secara tidak langsung berlaku kepincangan dalam hidup isteri.

Sehubungan itu wanita perlu bersedia mental dan fizikal menghadapi segala kemungkinan khususnya apabila suami meninggal dunia. Ini kerana mereka bakal kehilangan tempat bergantung sedangkan hidup mereka mesti diteruskan dan nasib mereka yang bergelar balu terbela. ).

Janganlah kerana ceteknya pengetahuan mengenai hak, ada pihak yang menuding jari menyalahkan undang-undang syariah yang menjadi teras dalam agama Islam dan didakwa sebagai tidak adil.

Tidak kurang juga yang menganggap undang-undang pembahagian harta dalam Islam 'tidak terpakai' sehinggakan mereka sanggup memanjangkan tuntutan ke Mahkamah Tinggi Sivil apabila tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Justeru, kepintaran seseorang balu membuat tuntutan setelah mengetahui haknya adalah penting. Ini kerana semuanya sudah termaktub dalam undang-undang dan tiada siapa yang boleh mempertikaikan hak mereka jika mahkamah telah membuat satu ketetapan.

Malahan terdapat balu yang tidak mengetahui bahawa mereka juga berhak menuntut nafkah mengikut Seksyen 72(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, daripada waris suami untuk membesarkan anak yang masih belum mencapai umur baligh agar hidup lebih terjamin.

Sebagai pengamal undang-undang yang berpengalaman bertahun-tahun mengendalikan tuntutan harta, peguam sivil dan syarie, Dr. Mohd. Radzuan Ibrahim berpendapat stigma negatif terhadap undang-undang syariah khususnya hak seorang balu ke atas harta peninggalan arwah suaminya perlu diperbetulkan.

Dalam soal ini, Mohd. Radzuan memberikan sedikit panduan apakah yang perlu dilakukan oleh isteri sebaik-baik sahaja bergelar balu.

Sebenarnya seseorang balu perlu memfailkan tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah untuk menuntut hak sepanjang perkongsian hidup bersama arwah suami. Ia bagi menjamin kebajikan balu supaya mendapat bahagian harta yang lebih sebelum ia dibahagikan mengikut faraid kepada waris yang lain.

Mahkamah Syariah akan mempertimbangkan sumbangan langsung dan tidak langsung si balu dalam pemerolehan harta sepencarian tersebut. Turut diambil kira dan diberikan merit yang munasabah adalah sumbangan balu menjaga anak dan menguruskan rumah tangga.

Beliau berkata, setelah Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah bagi prosiding harta sepencarian, baharu seseorang balu boleh memfailkan permohonan pembahagian harta pusaka mengikut kaedah faraid.

Dari segi hukum, faraid telah menetapkan bahawa balu berhak ke atas 1/4 bahagian harta suami sekiranya tidak mempunyai cahaya mata berbanding 1/8 bahagian jika ada anak. Ibu si mati pula akan memperoleh 1/3 bahagian jika si mati tidak mempunyai anak, sementara bapa akan mewarisi 1/6 harta peninggalan jika si mati meninggalkan zuriat.

''Bahagian tersebut akan dibahagikan sama rata jika isteri si mati lebih daripada seorang dan bakinya pula dibahagikan kepada waris. Sehubungan itu anggapan yang menyatakan bahawa ibu si mati mendapat bahagian yang lebih adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana isteri (balu) juga mendapat bahagian yang banyak menerusi tuntutan harta sepencarian dan faraid,'' jelas peguam itu.

Namun tidak semua wanita menyedari hak tersebut kerana mereka hanya memohon mendapatkan bahagian secara faraid. Malahan terdapat juga kes pemohon yang berhajat mendapatkan sijil faraid bukanlah isteri si mati sebaliknya waris lain.

''Saya berpendapat, adalah lebih baik balu mengemukakan tuntutan harta sepencarian sejurus kematian suami bagi memudahkan proses menuntut faraid dan tuntutan hutang piutang si mati,'' ujar Mohd. Radzuan.

Pembahagian faraid kepada yang berhak, hukumnya wajib ditunaikan dan fardu kifayah kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, samalah hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah.

''Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil lagi sistematik kerana Allah selaku pencipta manusia mengetahui di manakah kekurangan dan kelebihan hambanya.

''Pentadbir harta pusaka pula tidak semestinya Amanah Raya Berhad (ARB) kerana di kalangan ahli waris sendiri boleh mentadbir menurut kaedah pembahagian lain. Tidak perlu terikat dengan pecahan faraid jika persetujuan diperoleh di kalangan waris menurut bahagian yang disepakati,'' ujar Mohd. Radzuan.

Sungguhpun begitu, tidak salah malah amat digalakkan bagi seseorang Islam yang layak menerima harta walhal dia lebih berkemampuan dan atas dasar perikemanusiaan secara sukarela melepas dan menyerahkan haknya kepada waris yang lebih memerlukan.

Sehubungan itu, Mohd. Radzuan mengesyorkan agar balu yang ingin menuntut harta arwah suami perlulah menemui dan mendapatkan nasihat serta pendedahan daripada pakar undang-undang terlebih dahulu supaya membuat tuntutan yang wajar.

'(Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah! hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.' (ar-Raad : 28).

Lelaki Dari Pinggir Kota

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Uda Firdaus Abd Rahim

Pada kali ini saya ingin ajak para pembaca sekalian merenungi sebuah kisah yang dirakam oleh Allah SWT dalam surah Yasin, ayat 13 hingga 25

Dan ceritakan lah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul(Kami).

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakan nya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: “Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu.

” Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatu pun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta.”

Rasul-rasul berkata: “Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata.

” Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”

Rasul-rasul berkata: “Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata.

” Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”

Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patut kah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau.”

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari pinggir bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaum ku! Turut lah Rasul-rasul itu.

Turut lah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayat petunjuk.” Dan (apabila ditanya: “Sudah kah engkau menerima agama mereka?”

(Maka jawabnya): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepada Nya lah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? Patut kah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepada ku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).”

Saya tertarik dengan kisah atau lebih tepat, sikap lelaki dari pinggir kota itu. Tentu saja ada pengajarannya sehingga Allah merakamkan kisah beliau di dalam al-Qur’an. Pertama, lelaki itu bukanlah orang penting. Ini diisyaratkan oleh lokasinya yang datang dari pinggir kota dan tidak duduk di dalam kota.

Namun statusnya sebagai “bukan orang penting” tidak menjadi penghalang bagi dirinya untuk membela hujah ketiga-tiga utusan Allah yang diutus kepada penduduk kota itu.

Lelaki dari pinggir kota ini datang bukan dengan berjalan, bukan dengan air muka yang malas, bukan dengan harapan mendapat sampul surat imbalan, namun dia datang dengan berlari-lari. Demikianlah tingginya motivasi dan kesungguhan lelaki ini yang patut menjadi teladan bagi kita semua.

Jika hendak difikirkan, apakah gunanya, apakah manfaatnya, apakah logiknya, seorang lelaki dari pinggir kota hendak berlari-lari membela bukan seorang tetapi tiga orang daripada kalangan utusan Allah? Tiga orang tersebut bukan pendakwah biasa, bukan ustaz, bukan imam, bukan mufti tetapi utusan Allah.

Sekalipun demikian, lelaki tersebut tetap datang membantu dan bantuannya diiktiraf oleh Allah SWT sehingga dirakam kisahnya di dalam al-Qur’an.

Saya membaca satu kaitan yang amat istimewa antara tiga utusan Allah dan lelaki tersebut. Ia menunjukkan bahawa usaha berdakwah, berhujah dan membela agama tidak terhad kepada kalangan agamawan sahaja. Akan tetapi ia meliputi semua umat Islam tanpa mengira apa latar belakangnya, apa statusnya, apa kelulusan kertasnya dan apakah dia memiliki tauliah atau tidak.

Jika tiga – bukan seorang – utusan Allah dibantu oleh seorang lelaki, maka apatah lagi di kalangan para agamawan yang bukan berstatus utusan Allah. Tentu mereka sepatutnya memerlukan, bahkan meraikan bantuan dari sesiapa yang bukan agamawan, yang sudi membantu.

Seterusnya perhatikan apa yang menjadi subjek pembelaan lelaki dari pinggir kota itu. Beliau tidak membela tentang negara Islam, beliau tidak membela tentang sistem Khalifah, beliau tidak membela tentang jamaah-jamaah.

Akan tetapi beliau membela tentang aqidah, tauhid dan syirik. Inilah yang menjadi prioriti beliau dan inilah yang juga sepatutnya menjadi prioriti kita apabila berbicara tentang Islam.

Sekalipun ayat-ayat di atas tidak menerangkan subjek apa yang disampaikan oleh ketiga-tiga utusan Allah tersebut, dapat kita pastikan bahawa ia tetap berkenaan aqidah, tauhid dan syirik sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat yang lain:

“Dan Kami tidak mengutus sebelum mu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku, oleh itu beribadatlah kamu kepada Ku.” [al-Anbiya’ 21:25]

Sama-samalah kita renung kisah dan sikap lelaki dari pinggir kota ini. Marilah kita jadikan ia sebagai sumber motivasi untuk turut membantu para ulama’ pewaris Nabi menyebar dan membela Islam.

Pada zaman mutakhir ini, terdapat pelbagai sarana untuk kita membantu, maka gunakanlah segala kreativiti dan kemampuan yang ada. Usah jadikan perasaan lemah dalam diri sendiri atau perasaan dengki dalam diri segelintir agamawan sebagai alasan untuk kita sia-siakan pengajaran ayat-ayat al-Qur’an di atas.

'(Yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah! hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.' (ar-Raad : 28).

Lima Tanda Hati Keras Membatu

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Uda Firdaus Abd Rahim

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah lah.a. berkata,

"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud,

"Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya,

"Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat.

"Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126).

DAP DITUDUH `KAFIR HARBI', YANG MENUDUH ITU MAHU DIGELAR APA?

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

PRK Dun Galas telah memulakan medan pertarungan yang dijangka sengit di antara calon Umno dan PAS. Umno sebuah parti sekular berteraskan kebangsaan mempunyai cita-cita tinggi untuk merampas kerusi tersebut dari PAS sebuah parti yang berteraskan Islam.

Pertembungan ini adalah di antara golongan sekular iaitu yang memisahkan ugama dan politik serta urusan keduniaan yang dibawa oleh Umno dengan satu lagi golongan yang berjuang untuk mendaulatkan Islam.

Di antara kedua-dua golongan ini, siapakah yang dipilih oleh pengundi-pengundi di Dun Galas? Biarpun PAS yang mewakili PR bertanding di situ, namun Umno seperti tidak bersedia untuk berdepan dengan PAS.

Maka, serangan Umno dilihat tertumpu kepada DAP yang juga merupakan sekutu PAS di dalam PR. PAS dilihat lebih `gentleman' dengan berdepan terus dengan Umno dan tidak mensasarkan MCA mahupun MIC. Inilah kehebatan PAS di dalam setiap pilihanraya.

Diberitakan terdapat sepanduk yang menggelar DAP sebagai `Kafir Harbi'. Mereka mempersoalkan mengapa PAS berkawan dengan DAP.

Sebelum kita menjawab persoalan bodoh mereka itu, kita ingin bertanya kepada mereka adakah mereka faham apa yang dikatakan `Kafir Harbi' itu? Jika mereka tidak faham, mereka perlu bertanya kepada `Ularmak Muda' yang ada bersama mereka.

Jika `Ularmak Muda' itu membenarkan dakwaan mereka yang menyebut DAP adalah `Kafir Harbi' ini bermakna memang wajar `Ularmak Muda' tersebut berada di dalam parti sekular yang mereka dokongi itu.

Seandainya hujah mereka berpandukan kepada fahaman mereka bahawa DAP menolak perlaksanaan hukum hudud yang dicita-citakan oleh PAS sebagai dalil bahawa DAP itu `Kafir Harbi', kita bertanya kembali adakah Umno yang mengaku Islam itu menyokong hukum hudud? Bahkan,

kita turut ingin tahu semenjak Umno memegang tampuk pemerintahan negara, pernahkah Umno bercita-cita untuk melaksanakan hukum hudud iaitu salah satu dari hukum Allah itu? Jika bercita-cita pun tidak pernah, jauh sekali untuk merancang melaksanakan hukum tersebut.

DAP sekadar menentang secara lisan, itu pun oleh beberapa kerat pemimpinnya akibat mereka tidak beriman dengan Islam. Karpal Singh menentang hukum hudud semata-mata berdasarkan Perlembagaan Negara dari aspek perundangannya.

Manakala Umno menentang hukum tersebut bukan lagi secara lisan, bahkan Umno telah pun menggunakan kuasanya untuk menentukan hukum ini tidak akan dilaksanakan. Buktinya, pemimpin Umno dan Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh Umno pernah menggunakan kuasanya untuk menyekat hukum tersebut dari dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Justeru itu, siapa lebih `Harbi'? Orang yang tidak beriman dengan Al-Quran menolak hukum dari Al-Quran atau orang yang mengaku beriman dengan Al-Quran tetapi secara terang-terangan menolak hukum Al-Quran? Sebelum ini, pemimpin Umno bercita-cita untuk memperkenalkan judi bola sepak Piala Dunia.

Terbaru pula, ada rancangan untuk memperluaskan Pusat-Pusat Hiburan demi para pelancung. Amat memalukan, sebuah negara yang mengaku Negara Islam sanggup mengkhianati amanah Allah semata-mata untuk pelancung asing.

Tidak cukup dengan itu, ada pula isteri pemimpin Islam yang menjadi Penaung kepada `Festival Busana Islam' yang sesat itu.

Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menghancurkan golongan sesat seperti ini. Menyokong mereka bererti kita juga lebih teruk dari DAP yang dikatakan `Kafir Harbi' itu.

Syabas kepada DAP yang menjadi teman penerang semak samun sepanjang perjalanan kita menuju ke arah mendaulatkan Islam.

ETP : Ekonomi Tidak Hanya Wang Semata-Mata, Fokus Usaha Membasmi Kemiskinan

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Ibnu Ir fadzil

KAHERAH, 27 Oktober - Ketua Badan Ekonomi PMRAM, Saudara Al-Hidayat Khalid mengulas berkaitan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang bakal membuka ruang hiburan sosial dan kelab malam yang lebih banyak bagi meningkatkan tarikan terhadap pelancong luar negara adalah suatu perancangan yang tidak tepat.

Dalam memacu masa depan negara ke arah yang lebih maju dan moden, nilai etika akhlak tidak boleh dipisahkan daripada ekonomi atas alasan kemajuan semata-mata. Bahkan sektor ekonomi amat menekankan mengenai etika sosial dan akhlak dalam membangunkan modal insan serta kemajuan negara.

"Sebab itu kita lihat bagaimana sejarah kaum nabi-nabi terdahulu yang maju dari sudut ekonomi dan pembangunan namun dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan keruntuhan akhlak mereka yang sangat parah," ujar beliau ketika ditemui dalam Program Kutub Sittah Siri II di Nadi Riadhi, Hayyu Sabik.

Mengenai dengan rancangan menjadikan Malaysia sebuah hub hiburan dengan memperbanyakkan kelab-kelab malam, beliau menyatakan bahawa ia merupakan perancangan yang tidak sepatutnya dilakukan demi meraih keuntungan wang semata-mata.

Bahkan sekiranya perancangan tersebut dilaksanakan ia akan memberikan impak negatif yang sangat besar ke atas masyarakat, dengan keruntuhan akhlak yang semakin parah.

Selain itu, Timbalan Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman menyifatkan bahawa ETP yang sepatutnya ingin dijalankan mestilah melihat kepada bentuk perancangan yang sentiasa berusaha untuk membasmi kemiskinan secara serius, selain memperbanyakkan projek-projek pelaburan.

"Kita risau, apabila kita hanya menumpukan satu skop sahaja iaitu hanya menarik pelaburan luar tanpa memperkasakan perancangan dalam membasmi kemiskinan di negara kita maka ia semestinya suatu perkara yang tidak seimbang, bahkan negara tetap tidak menjadi negara yang maju dan moden.

Bimbang sekiranya ia tetap berlaku, hanya mereka golongan yang kaya akan bertambah kaya, namun secara tidak langsung akan menindas golongan yang sedia ada miskin dan kurang kemampuan," Jelas beliau lagi apabila merujuk kepada 75% golongan termiskin adalah daripada kalangan keluarga melayu dan peribumi, yang merupakan golongan majoriti di Malaysia.

Sambung beliau lagi bahawa selagimana golongan majoriti yang menjadi golongan termiskin di Malaysia, maka bagaimana perancangan yang dijalankan mampu memaju ekonomi negara dalam menjadikan Malaysia negara yang maju menjelang tahun 2020.

Tambahan beliau lagi, perancangan ekonomi yang dilakukan itu terlalu mengharapkan pelaburan dari sektor swasta semata apabila peratusan yang besar diletakkan iaitu sebanyak 92% daripada jumlah pelaburan yang diperlukan oleh Malaysia iaitu sebanyak 2.2 trilion.

Maka, ia merupakan perancangan kewangan yang rapuh memandangkan selama 12 tahun ini Malaysia begitu bergantung kepada "pump priming" dan pertumbuhan swasta adalah begitu kecil.

Justeru, perancangan ekonomi yang dilakukan dalam membawa Malaysia ke kelompok negara yang maju mestilah memastikan ia tidak hanya fokus wang semata-mata, bahkan etika akhlah dan sosial mesti diambil kira.

Selain itu, pastikan gerak kerja yang dijalankan fokus ke arah membasmi kemiskinan, bagi menjamin bukan hanya sebelah pihak sahaja yang akan merasai kemewahan.

Tsunami Di Sumatera : "Bersabar Dengan Ujian Allah"

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Ibnu Ir fadzil

KAHERAH 28 Oktober - Presiden PMRAM Saudara Shahrizan bin Mohd Hazime berharap agar semua keluarga mangsa letusan Gunung Merapi dan keluarga mangsa bencana tsunami yang berlaku dapat bersabar dengan ujian Allah SWT tersebut.

Katanya, sesungguhnya Allah SWT tidak akan menguji hamba-hambaNya dengan ujian yang tidak mampu dilalui oleh mereka.

Justeru, Islam mengajar umatnya untuk bersabar dan redha dengan segala takdir yang telah ditentukan olehNya.

"Allah SWT sengaja menguji keimanan hamba-hambaNya dengan bala bencana yang berlaku di sekeliling demi menilai sama ada mereka bertambah keimanan kepada Allah SWT ataupun berkurangan".

"Sebab itulah umat Islam diajar supaya bersabar dan redha dengan ujian Allah SWT agar keimanan dan ketaqwaan mereka bertambah". Ujar beliau ketika ditemui di Dewan Nadi Riadhi, Madinah Nasr, Kaherah Mesir selepas majlis perasmian Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri II.

PMRAM mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa korban letusan Gunug Merapi yang berlaku di Yogyakarta, Indonesia. Ucapan yang sama juga dirakamkan kepada keluarga mangsa yang maut dan hilang dalam bencana tsunami di Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat.

"Kami berdoa agar semua keluarga dan sahabat handai yang kehilangan anggota keluarga dan menerima kecederaan akibat bencana ini bersabar dan menerima takdir ini dengan penuh keimanan kepada Allah SWT" katanya.

Beliau menambah, PMRAM juga sentiasa mendoakan agar kesemua mangsa yang hilang akibat bencana ini ditemui semula dalam masa yang terdekat ini.

Dilaporkan bahawa terdapat bencana tersebut telah mengorbankan 58 orang manakala lebih 270 lagi hilang.

Naib Presiden III Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan, Saudara Mohd Farkhan B Md Zain ketika mengulas, musibah ini merupakan kedua terbesar selepas tsunami yang pernah berlaku pada 2004.

Pada tahun ini, tsunami yang melanda di Kepulauan Mentawai berlaku setelah gempa bumi yang terjadi dengan ukuran 7.7 skal ritcher berbanding 2004 dengan ukuran 9.2 skala ritcher.

Pihak PMRAM juga telah menghubungi Presiden PPMI Saudara Falah bagi berbincang mengenai sumbangan dan pertolongan yang boleh disalurkan kepada ahli keluarga mangsa disini.

Dalam panggilan telefon tersebut, Presiden PPMI mengucapkan sekalung penghargaan dan tahniah di atas keprihatinan PMRAM membantu keluarga mahasiswa Indonesia yang terlibat dalam musibah terbabit.

Terdekat satu pertemuan anjuran PPMI akan dibuat untuk pelancaran tabung kutipan dan sumbangan bagi ahli keluarga mangsa yang berada di Mesir.

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK HANTAR SURAT MOHON PENJELASAN MUFTI

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafizi Pauzi

IPOH, 28 Oktober :- Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) telah menghantar sepucuk surat kepada Mufti negeri-negeri di seluruh semenanjung berkenaan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang masih meneruskan amalan khurafat dalam upacara meletakkan ancak ke tiang seri rumah yang berunsur syirik‏.

Amalan tersebut secara terang-terangan syirik dan menyalahi aqidah Islam, amalan tersebut bakal mengundang kekeliruan terhadap aqidah umat islam khususnya rakyat negeri perak dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Dalam surat tersebut DPPN Pk menyatakan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terlibat dalam upucara khurafat itu dalam program projek infra bina upaya (IBU) pada 17 oktober 2010 di kampong Guar, Manong .

Pada majlia tersebut, telah diadakan upacara meletakkan ancak tiang seri rumah yang dahulunya merupakan amalan khurafat serta bertentangan dengan aqidah Islam.

Di dalam surat tersebut juga disediakan alamat sesawang bagi mengakses gambar di web Pemuda PAS Perak bagi tujuan penilaian oleh pihak Al Fadzil Sohibul Samahah iaitu di alamat web (Error! Hyperlink reference not valid. bahan video di alamat web berikut (http://www.youtube.com/watch?v=TT3vrpD3Les).

Pada kandungan akhir surat tersebut pihak DPPN Pk ingin menarik perhatian serius seluruh Mufti temasuk Mufti Perak di dalam perkara tersebut untuk bertindak atas sifat ilmu dan kedudukan mereka agar dapat memperjelaskan kepada rakyat dan umat Islam akan kekeliruan tersebut.

Pihak DPPN Pk berharap pihak Mufti dapat mengeluarkan satu ketetapan atau fatwa yang jelas supaya umat Islam negara ini tidak terus terkeliru.

Jenis-jenis Cinta dalam Islam (antaranya syirkul Mahabbah)

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : AKHISALMAN

INTRO
Cinta ini mengasyikkan sehingga si Majnun melupakan dirinya dan asyik mengingati kekasihnya laila. Dia berkata dalam rangkap syairnya:

“ Aku cuba untuk melupakan untuk mengingatinya tetapi seolah-olah
Laila menjelma dalam diriku pada setiap keadaan”

Setiap manusia ada benda yang dicintainya samada wanita, harta, tahkta, dunia, dirinya dan sebagainya. Kita hendak lihat ditahap mana cinta kita. Di bawah ulama telah menggariskan lima jenis cinta.

LIMA JENIS CINTA

Lima jenis cinta adalah seperti berikut:

PERTAMA: Cinta kepada Allah swt. Cinta Allah sahaja tidak cukup untuk bebas dari azab Allah swt kerana orang-orang musyrikin dan penyembah berhala juga mencintai Allah swt. Mereka mempunyai jenis cinta yang keempat iaitu syirkul mahabbah.

KEDUA: Menyintai apa yang Allah cintai. Inilah yang membezakan diantara orang Islam dan orang kafir. Orang yang paling disayangi oleh Allah adalah orang yang paling kuat cinta jenis ini. Apa yang dicintai oleh Allah swt adalah begitu banyak disebut dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw. Antaranya yang disebut dalam al-Quran adalah:

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”

Ayat 4 surah as-Saff.

Ada lapan golongan yang dikasihi Allah seperti dalam al-Quran iaitu 1. Al-Muttaqun. 2. Al-Muhsinun. 3. As-Sabirun. 4. At-Tawwabun. 5. Al-Mutatahhirun. 6. Al-Mutawakkilun. 7. Al-Muqsitun 8. Al-Muqatilun fi sabilillah. InsyaAllah saya akan terangkan dalam artikel akan datang.

Adapun perkara yang dikasihi Allah swt dalam hadis adalah seperti berikut:

“ Seseiapa yang cinta untuk bertemu dengan tuhan , Allah juga cinta untuk menemuinya.”

Hadis sahih Bukhari (2443)

Allah swt berfirman dalam hadis qudsi:

“ Tidak ada perkara yang lebih mendekatkan hambaku denganku daripada kefarduan yang aku fardukan kepadanya. Hambaku sentiasa mendekatkan diriku dengan amalan-amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya.”

Hadis sahih riwayat Bukhari (6137)

KETIGA: Menyintai sesuatu kerana Allah swt.

Nabi saw bersabda:

“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.”

Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.

Nabi saw juga bersabda:

“ Tidak ada dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah melainkan yang terbaik diantara keduanya adalah yang paling mengasihi saudaranya.”

Hadis riwayat Hakim dan diakui oleh zahabi akan kesahihannya.

KEEMPAT: Cinta sekutu (partnership love) atau syirkul mahabbah

Setiap benda yang dicintai bukan kerana Allah dan bukan diperintah oleh Allah maka dia telah mensyirikkan cinta. Ramai yang menyintai Allah , tapi dalam masa yang sama dia menyintai benda lain bukannya kerana Allah. Inilah yang dirakamkan dalam al-Quran:

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.”

Ayat 165 surah al-Baqarah

KELIMA: Cinta yang semula jadi.

Inilah yang disebut oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Ayat 14 surah Ali Imran

Imam Ibnu Qayyim berkata:

“ Cinta ini tidak dicela kecuali sekiranya melalaikan dari mengingati Allah dan menjauhkan dari cintaNya.”

Firman Allah swt:

"Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi."

Ayat 9 surah al-Munafiqun.

SPR: 246,962 mendaftar sebagai pengundi baru

21 Zulkaedah 1431 H

Sebanyak 246,962 orang telah mendaftar sebagai pengundi baru semasa tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun ketiga dari Julai hingga September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata dalam tempoh yang sama, 32,494 pemilih sedia ada memohon pertukaran alamat pusat mengundi.

Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun ketiga 2010 telah mula dipamerkan sejak semalam sehingga 2 Nov di 997 tempat pameran di seluruh negara, menurut kenyataan SPR hari ini.

Mereka yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihatkan untuk menyemak rang itu.

"Mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2010, boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B," petik kenyataan itu.

Sementara itu, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam rang itu boleh membuat bantahan dengan mengisi Borang C.

Antara tempat pameran rang daftar pemilih ialah Pejabat Pilihan Raya Negeri (14 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (457 tempat), kompleks/pejabat kerajaan (103 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (157 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (52 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (183 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat).

Selain itu, SPR juga turut mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.

"Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya," kata SPR.

Justeru, SPR memohon kerjasama waris untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera serta membawa permit mengubur sebagai bukti kematian bagi membolehkan JPN mengeluarkan Sijil Kematian kepada waris.

"Tanpa memperolehi pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah pun meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama-nama pemilih berkenaan daripada pengkalan data Daftar Pemilih," kata kenyataan itu.

SPR juga menasihatkan pemilih-pemilih berdaftar untuk membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih bagi memastikan pemilih-pemilih ini didaftarkan di lokaliti yang betul.

Manakala bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di satu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter-kaunter bergerak SPR, kaunter ibu pejabat SPR di Putrajaya atau di kaunter-kaunter pejabat pilihan raya negeri.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my atau menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana pejabat pilihan raya negeri.

Malaysiakini/-

Dr Zulkefli ajak calon BN lumba lari atau tarik tali

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

dikemaskini Calon PAS bagi pilihan raya kecil DUn Galas, Dr Zulkefli Mohamad tidak berkecil hati dengan ejekan kem BN mengenai fizikalnya yang gemuk, tetapi melihat perkara itu dengan berlapang dada.

Malah, secara berjenaka juga beliau menyatakan kesudiannya untuk bertanding dengan calon BN Abdul AzizYusof – sama ada dalam lumba lari ataupun tarik tali.

Beliau juga berkata demikian dalam semangat “perlawanan persahabatan” yang dianjurkan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas kali ini.

"Saya tidak ambil (ejekan itu) sebagai satu isu, sebab pertandingan di sini sebenarnya adalah pertandingan antara BN dengan PAS.

"Kata-kata itu hanya untuk memeriahkan suasana sahaja," katanya dalam sidang media di markas PAS, Gua Musang pagi ini.

Keadaan “perlawanan persahabatan” ini dapat dilihat melalui suasana kempen yang masuk hari ketiga hari ini.

Diperhatikan, kempen di Galas berlangsung dengan sederhana dan agak tenteram. Walaupun bendera parti sudah banyak dipasang di sekitar kawasan tumpuan pengundi, poster bagi calon yang bertanding tidak banyak yang dilihat.

Seperti biasa, anggota polis melakukan rondaan seperti rutin mereka dalam pilihan raya kecil yang lain, namun tidak banyak insiden ketegangan antara penyokong kedua-dua parti yang berlaku kali ini.

Pendekatan kempen BN kali ini berbeza kerana parti itu melihat kerusi DUN ini hanyalah satu bonus memandangkan PAS sudahpun dapat membentuk kerajaan dengan selesa di Kelantan.

BN tidak akan mengadakan ceramah besar, seperti yang dilihat dalam pilihan raya kecil sebelum ini. Fungsi yang lebih besar juga diberikan kepada pemimpin tempatan untuk menguruskan program kempennya, menurut pengarah jenteranya Tengku Razaleigh Hamzah.

Namun, anjuran “perlawanan persahabatan” itu juga tidak dipandang mudah oleh PAS. Diperhatikan, jenteranya tetap menjalankan tugas masing-masing.

Pada hari kedua kempen semalam, peraih undi PAS telahpun cuba mendekati kakitangan Kesedar, sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Jumlah kakitangan agensi itu merupakan antara kumpulan kakitangan kerajaan yang paling besar di Gua Musang.

Di sebuah program makan malam bersama pengundi di Kampung Pulai semalam, para pengundi di sebuah restoren Cina itu dilihat ceria apabila bergambar dengan Dr Zulkefli.

Kawasan berkenaan, dengan kira-kira 250 orang pengundi, merupakan “kawasan putih” bagi PAS.

Walaupun dengan kehadiran beberapa ekor anjing peliharaan masyarakat Cina di situ, para petugas parti PAS di sebuah bilik gerakannya di situ nampaknya tidak mengendahkan keadaan tersebut.

Di dalam bilik gerakan itu pula, petugas parti dilihat sedang menjalankan perbincangan untuk menetapkan hidangan bagi satu majlis “Cakna Jalinan Kasih” yang akan berlangsung pada hari Ahad.

Seorang wakil masyarakat Cina dalam perbincangan itu berkata: “Orang Cina di sini tak kisah. Kita buat biar semua orang boleh makan. Nasi lemak ke, nasi dagang ke, nasi kerabu dengan budu, ada ayam sikit pun boleh,” katanya.

Malaysiakini/-

Korban tsunami mencecah 311 orang

21 Zulkaedah 1431 H

Jumlah korban tsunami yang melanda kepulauan terpencil Indonesia sehingga ini meningkatkan kepada 311 orang, sekaligus mencetuskan persoalan sama ada sistem amaran gagal berfungsi.

Pada masa yang sama, kebimbangan semakin meningkat mengenai nasib ratusan lagi yang masih hilang selepas gempa bumi Isnin lalu mencetuskan gelombang besar yang melanda kepulauan Mentawai berhampiran pantai barat Sumatera.

Sementara itu, majlis pengkebumian beramai-ramai diadakan hari ini untuk mensemadikan korban letupan gunung berapi, yang terjadi sejurus selepas berlaku gempa bumi yang mencetuskan tsunami tersebut.

Para pegawai berkata mayat-mayat ditemui di kawasan pantai di Mentawai, selepas tsunami memusnahkan keseluruhan perkampungan di kepulauan itu.

"Seramai 311 terkorban dan 379 lagi masih hilang," kata pegawai pengurusan bencana di Sumatera, Agus Prayitno.

Mangsa yang selamat berkata, mereka tidak menerima sebarang amaran dan ramai yang bertanya apakah sistem amaran mahal - yang diwujudkan selepas tsunami di Asia pada 2004 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 168,000 orang di Indonesia sahaja - gagal berfungsi.

Satu amaran rasmi tsunami dikeluarkan selepas berlakunya gempa bumi dengan kekuatan 7.7 di skala Richter, tetapi ia mungkin terlambat dikeluarkan atau tidak sampai kepada masyarakat yang terdedah kepada bahaya besar bencana itu.

Seorang petani, Borinte, 32, berkata gelombang menghempas perkampungannya di kepulauan Pagai Utara, hanya 10 minit selepas penduduk merasakan gegaran gempa bumi itu.

"Kira-kira 10 minit selepas gempa bumi, kami terdengar bunyi gemuruh. Kami keluar dan terlihat gelombang menuju ke arah kami. Kami cuba menyelamatkan diri ke kawasan tinggi tetapi gelombang jauh lebih cepat daripada kami," katanya kepada AFP.

Katanya, dia terselamat dengan menggenggam sepotong kayu. Isteri dan tiga anaknya terkorban.

Sementara itu, gerakan mencari mangsa yang masih hilang diteruskan.

"Mereka mungkin berlindung di kawasan bukit, atau tertimbus dalam runtuhan atau dihanyut ke laut," kata pegawai pengurusan bencana wilayah Sumatera Barat, Ade Edward.

Di Jawa Tengah, pasukan penyelamat menemui sekurang-kurang 32 mayat selepas Gunung Merapi meletup Selasa lalu.

Para pegawai berkata hampir 42,000 orang mencari perlindungan sementara di sekitar bandarayua Yokyakarta, tetapi ada kebimbangan mengenai nasib ribuan lagi penduduk yang enggan meninggalkan rumah mereka.

Gunung Merapi setinggi 2,914 meter adalah antara 69 gunung berapi di Indonesia yang mempunyai sejarah pernah meletup sebelum ini. Ia pernah meletup pada Jun 2006, membunuh dua orang.

Malaysiakini/-

Chua: Ada pemimpin Umno 'tak berapa cerdik'

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Lee Way Loon

Rakaman video di internet yang memaparkan seorang pemimpin bahagian Umno yang membuat ucapan bahawa partinya tidak memerlukan sokongan Cina dan India, dijangka tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Cina dalam pilihan raya kecil DUN Galas, kata presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Katanya, pemimpin seumpama itu tidak mencerminkan pandangan pemimpin atasan Umno.“Jika kita mahu jawapan yang jelas, tanya perdana menteri. Perdana Menteri dengan jelas mempromosikan polisi 1Malaysia untuk setiap kaum. Ini amat jelas," katanya kepada wartawan di pekan Gua Musang hari ini.

Chua berkata MCA tidak akan menyokong pemimpin akar umbi seumpama itu dan malah akan mencadangkan kepada pemimpin Umno agar mereka tidak dikemukakan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, pemimpin Umno itu gagal bertindak atas semangat BN bagi menjaga kepentingan semua kaum.

“Ini (klip vedeo) memberitahu kita bahawa ada pemimpin akar umbi Umno yang tidak berapa cerdik dari segi politik. Mereka ini kurang bijak. Kita akan laporkan kepada perdana menteri.

“Mereka tidak sepatutnya keluar. Kita akan ikuti kes ini. Mereka tidak tidak mewakili BN dan sepatutnya bersara dan pulang,” kata Chua.

Chua mengulas klip video yang memaparkan ucapan ketua Umno bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani di Pusat Dagangan Dunia Putra pada tarikh yang tidak disebut.

Menurut Johari, bagi membolehkan Umno menawan semula kerusi parlimen Titiwangsa, mereka memerlukan sokongan 70 peratus undi Melayu di sana.

“Tuan-tuan, jika kita dapat 70 peratus daripada 32,000 undi Melayu, maka kita tidak lagi perlu undi Cina dan India,” kata Johari sambil disambut tepukan gemuruh daripada hadirin di majlis itu.

Ketika berita ini ditulis, video yang dimuat-naik di Youtube itu telah menarik minat 50,000 orang menontonnya dengan 600 komen yang kebanyakan mereka membidas Johari.

Malaysiakini/-

Kepuasan.

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

‘’Seandainya anak cucu Adam (manusia) telah memperoleh dua lembah berisi emas, niscaya ia masih menginginkan lembah emas yang ketiga” (HR Imam Ahmad).

Banyak perakara yang boleh diraih manusia di dunia ini. Namun, yang tidak dapat diraih oleh semua orang adalah kepuasan. Di kala belum pernah, rasanya akan puas bila mendapatkan suatu jawatan biasa.

Namun ketika mendapatkannya, rasanya masih tidak puas dan berhasrat untuk memegang jabatan yang lebih tinggi lagi.

Ketika mendapatkan yang lebih tinggi lagi, kita rasanya puas bila mendapatkan yang lebih tinggi lagi.

Demikian seterusnya. Begitulah kira-kira hawa nafsu manusia yang diisyaratkan dalam hadits di atas. Kerana itu, penting hawa nafsu dikendalikan agar tidak menimbulkan kecelakaan. Rasulullah SAW mengingatkan, “Cintamu terhadap sesuatu membuatmu buta dan tuli” (HR Ahmad).

Peringatan itu terbukti. Betapa banyak orang yang sudah terlalu cinta pada suatu jawatan, kemudiannya menjadi tuli terhadap peringatan dan buta dalam melihat kenyataan.

Ia menjadi oran yang tidak memperdulikan dengan kenyataan bahawa dirinya dan kemampuan dirinya rendah untuk memegang jawatan tersebut.

Selain itu dia tidak mahu tahu terhadap akibat-akibat buruk yang akan timbul terhadap orang lain dibawahnya akibat rendahnya kemampuannya.

Hanya satu yang boleh menghentikan keinginan manusia dan dia akan mendapat kepuasan. Iaitu, kematian. Nabi SAW mengingatkan, “Tidak akan pernah penuh perut anak Adam kecuali ditutup dalam tanah (mati).

” Namun peringatan Rasulullah SAW ini tidak juga berguna, kecuali untuk orang-orang yang masih lapang hatinya.

KENYATAAN MEDIA : PR PERAK KUTUK KEMPEN SERANGAN CALON DI GALAS

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

Berhubung dengan kempen menyerang calon PAS dan DAP yang cuba dimainkan dalam kempen BN di DUN Galas. Sehubungan dengan itu, Sekretariat Pakatan Rakyat Perak suka untuk memberi beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Pakatan Rakyat Perak membantah tindakan BN yang berkempen dengan menyerang calon PAS dengan tuduhan palsu bahawa calon PAS pernah ditangkap khalwat dan terbaru memperlekeh calon PAS dengan mengatakan Dr Zulkefli kelihatan obese.

2. Pakatan Rakyat Perak juga membantah dengan sekeras-kerasnya tulisan di banner dengan mengatakan sebagai merujuk kepada laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal lebih 10 tahun lalu yang bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh".

Meskipun semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein memberikan amaran supaya semua pihak tidak menggunakan isu agama dan kaum dalam kempen mereka, namun PAS mendakwa lawannya telah memulakan serangan dengan isu agama dan isu tersebut sudah lapuk.

3. Sekterariat Pakatan Rakyat Perak menegaskan bahawa BN sudah tidak ada modal berkempen dengan memainkan isu yang sudah lapuk dan tidak relevan pada waktu ini .

4. Pakatan Rakyat Perak menaruh harapan besar kepada semua jentera PAS supaya terus berkerja kuat bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat di N.45 DUN Galas dan semoga seluruh Jentera Pakatan Rakyat dapat terus berdepan bagi menangani tindakan kempen BN yang tidak bertamadun setiap kali pilihanraya.

Tazkirah Jumaat : Lidah tidak betulang

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

“Setiap ucapan anak-anak Adam itu membahayakan dirinya (tidak bermanfaat), kecuali kata-kata berupa amar makruf nahi mungkar dan zikrullah” (HR Tirmidzi).

Bila ada suatu perbuatan yang dianggap ringan, tetapi dahsyat akibatnya, itu adalah ucapan dari lidah yang kita miliki. Dengan ucapan, seseorang boleh masuk surga dan dengan ucapan pula seseorang boleh masuk neraka.

Bahkan, orang yang paling banyak masuk neraka, menurut Rasul, adalah kerana sesuatu yang keluar dari mulutnya (ucapan). Balasan ini sangat wajar mengingatkan besarnya kesan buruk dari ucapan dalam masyarakat, baik ataupun yang buruk.

Tidak sedikit hubungan baik antara manusia yang terputus setiap hari, hanya kerana ucapan yang menyakitkan hati. Dan perlu diingatkan untuk membina hubungan yang terputus kerana ucapan lebih susah berbanding membina hubungan dalam keadaan tanpa sebab apa-apa.

Ucapan yang keluar dari mulut seseorang juga boleh menimbulkan fitnah dalam kelompok masyarakat banyak. Banyak orang menjadi salah sangka terhadap seseorang hanya kerana ucapan jahat dari orang-orang yang tidak mampu berpikir tentang kesannya.

Makanya, sangat dianjurkan untuk berhati-hati dengan ucapan dan memikirkan kesannya sebelum mengucapkan sesuatu. Namun, hal ini akan sulit, bila tidak dibiasakan. Lazimnya, orang yang terbiasa berkata tanpa berfikir terlebih dahulu dan kelaziman dirinya yang suka melakukan kejahatan,

akan latah menyemburkan kata-kata jahatnya. Sebab, fikirannya selalu terlambat mengawal kecepatan mulut yang mucah mengucapkan sesuatu, sebagi kata pepatah bagaikan lidah tidak bertulang.

Xiang Jing Ru Bin

21 Zulkaedah 1431 H

Melayan Satu Sama Lain dengan Hormat Seperti Tetamu

Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu atau Musim Bunga dan Gugur (tahun 770-476 Sebelum Masihi), ada seorang pegawai kanan di negeri Jin yang bernama Jiu Ji. Dia sering "turun padang" untuk melihat sendiri masalah rakyat.

Pada suatu hari, Jiu Ji ternampak seorang petani yang sedang mengerjakan sawah padinya. Pada waktu makan tengah hari, isteri petani itu pun menghidangkan makanan yang masih panas kepadanya dengan cara yang sangat hormat.

Melihat pasangan tersebut melayan satu sama lain dengan begitu hormat seperti melayan tetamu, dia berasa sangat terharu. Setelah mendapat tahu bahawa petani itu ialah anak kepada seorang bekas pegawai kerajaan yang dibunuh kerana didapati bersalah,

Jiu Ji pun membawanya pulang ke istana untuk menghadap raja negeri Jin. Dia memohon kepada baginda supaya memberikan jawatan yang penting kepada petani itu. Katanya kepada raja negeri Jin itu,

"Sifat hormat-menghormati ialah budi baik yang patut kita junjung tinggi. Hanya orang yang berakhlak mulia sahaja yang akan memiliki sifat ini. Sifat baik ini hendaklah dipupuk di kalangan rakyat kita."

Raja tersebut bertanya dengan hairan,"Ayahnya ialah seorang yang bersalah. Wajarkah jika kita melantiknya sebagai pegawai kerajaan?"

Jiu Ji menjawab dengan serius,

"Cubalah tuanku teliti sejarah kita yang lalu. Guang Zhong pernah menjadi musuh kepada raja negeri Qi, tetapi dia akhirnya dilantik oleh raja itu sebagai Perdana Menterinya.

Dia berjaya membantu baginda mencapai cita-cita untuk memperluaskan kuasa hegemoninya. Pada zaman purba kala pula, raja Shun telah membuang negeri seorang pewagai bernama Gun, tetapi melantik anaknya sebagai pegawai kanan kerajaan. Tuanku hanya perlu memanfaatkan kelebihannya sahaja."

Akhirnya, raja negeri Jin telah menerima nasihat Jiu Ji, dan memberikan satu jawatan yang penting kepada petani itu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Xiang Jing Ru Bin" ini membawa erti, pasangan suami dan isteri melayan satu sama lain dengan penuh hormat seperti melayan tetamu.

Sampai hari ini, ia masih dianggap oleh orang China sebagai suasana yang paling sempurna dalam hubungan suami isteri.

CRI/-

Nik Aziz janjikan insentif jika Kelantan menang

21 Zulkaedah 1431 H

BERITA baik jika Kelantan muncul juara Piala Malaysia Sabtu ini kerana Kerajaan Negeri menjanjikan pemberian insentif wang tunai kepada semua pemain, namun tiada cuti peristiwa diumumkan.

Walaupun jumlah wang tunai berkenaan tidak dinyatakan namun Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, langkah pemberian insentif seumpama itu diharap mampu dinikmati bersama antara pemain dan ahli keluarga mereka.

“Jika Kerajaan Negeri memberikan peluang mereka (pemain) ke Mekah, hanya pemain sahaja yang menikmatinya. Jadi Insya-Allah jika menang kami akan berikan wang tunai pula biar sebuah rumah dapat merasainya termasuk isteri dan anak-anak.

“Mengenai pengumuman cuti jika pasukan Kelantan memang, kami rasakan tidak wajar kerana pada 4 November kita baru umumkan cuti peristiwa sempena hari pengundian dan takkan hendak cuti lagi,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Menurutnya, pegawai-pegawai yang terlibat ke pertandingan bola sepak itu boleh memohon cuti mereka sendiri kerana Kerajaan Negeri merasakan tidak wajar asyik memberikan cuti lagi.

Mursyidul Am Pas itu berkata, beliau mendoakan kejayaan The Red Warriors untuk mengalahkan Negeri Sembilan Sabtu ini dan turut berdoa semoga tiada keganasan berlaku.

“Saya berdoa dua perkara, supaya Kelantan menang dan tidak berlaku keganasan (kekecohan). Kita malu jika Kelantan ganas sepanjang perlawanan itu.

“Kepada penyokong, saya nasihatkan supaya tanamkan semangat kesukanan dengan menjaga akhlak mereka. Nak sorak-soraklah jangan lempar botol dan sebagainya kerana ia budaya Eropah,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak pergi menyaksikan pertandingan itu tetapi Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya tetap menghargai pasukan Kelantan walaupun jika pasukan itu kalah kelak kerana mereka mampu melayakkan diri ke final pada kejohanan bola sepak berprestij itu.

SinarHarian/-

ETP: Di mana nilai keimanan?

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Abu Ridhwan Husaini

Menurut perancangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan kelmarin (25/10), kerajaan Malaysia mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan, antara perancangannya adalah dengan penubuhan kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama,

melonggarkan garis panduan penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP, mencadang menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020.

Di Mana Nilai Keimanan?

Apakah dasar dan halatuju ini membantu keberkatan ekonomi bagi sebuah Negara yang bermajoritikan Islam? Apakah kepimpinan Negara sudah tidak ada idealisma tulen, cadangan dan strategi lain sehinggakan masih menggunapakai pemikiran penjajah dalam merangka perancangan ekonomi negara?

Apakah kepimpinan Negara merasakan pelaburan ekonomi tersebut akan dapat menyekat pengaruh budaya barat dan kerosakan akhlak yang teruk melanda umat, khususnya generasi muda? Ke manakah sebenarnya halatuju dan agenda Negara dalam membangun bangsa yang bermodal insan kelas pertama?

Apakah nilai kelas pertama modal insan Negara terjana dengan memiliki pusat hiburan terbesar Negara? Apakah kepimpinan Negara merasakan projek gempak ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah swt. ?

Pada Februari 2010 yang lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa bergantung model ekonomi lama.

"Sebab itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berbincang bagaimana model ekonomi baru boleh membantu meningkatkan pertumbuhan," kata TPM itu. (Utusan Malaysia 07/02/10).

Apakah dengan menghidupkan kembali budaya hiburan sebagai punca pendapatan ekonomi Negara merupakan pendekatan baru yang telah difikirkan oleh cerdik pandai ekonomi Negara yang terlibat dalam ETP?

Apakah Pandangan Islam?

Menurut Muhammad Asad, dalam bukunya The Principles of State and Government in Islam, dalam Islam, Kerajaan yang dipilih bertanggungjawab untuk:

a.Menyediakan satu sistem pendidikan yang membolehkan setiap rakyat, lelaki dan wanita, mendapat ilmu dengan mudah. Dengan ilmu, setiap insan akan mendapat kebebasan yang sebenar daripada pelbagai sudut; dan

b.Menyediakan kemudahan terutama peluang-peluang ekonomi yang membolehkan setiap rakyat mencapai dan mengekalkan kebahagiaan (happiness ) dan maruah diri (dignity).
Prinsip asas sistem ekonomi Islam adalah unik berbanding sistem ekonomi lain waima sistem ekonomi British yang diagung-agungkan oleh Barat.

Adam Smith, ahli ekonomi Barat pada abad ke-18 menegaskan prinsip asas ekonomi Barat seperti berikut: hak harta persendirian, kuasa individu seperti pemerintah atau raja (pemonopoli mata wang), keyakinan, rasional dan keadaan ekonomi itu sendiri. Tiada nilai akhirat diambil kira.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya Ulumuddin” mentakrifkan ekonomi sebagai `Iqtisad`. Sementara itu, As-Sadr mengulas mengenai `Iqtisad` dengan meletakkan tiga prinsip asas yang digabung jalin secara teoritikal dan praktikal dalam sistem ekonomi Islam.

Prinsip-prinsip itu adalah prinsip pemilikan harta bersandarkan bahawa semua harta adalah kepunyaan Allah, prinsip keadilan sosial dan prinsip kebebasan berekonomi dengan batasan tertentu (mengikut syariah Islamiah).
Allah berfirman yang bermaksud:

“Kepunyaan Allah segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati atau kamu sembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu.

Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendakiNya dan menyiksa siapa yang dikehendakiNya. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 284)

Jelas di sini, bahawa Islam meletakkan umat manusia sebagai pengurus, pelaksana segala apa yang diwujudkan oleh Allah di atas muka bumi ini sebagai khalifah. Justeru, dalam ekonomi Islam,

pelaku ekonomi adalah khalifah yang memakmurkan, menjana segala sumber alam dalam proses mentadbir jagat raya ini. Ini bermakna manusia bertanggungjawab secara langsung terhadap Allah kerana sumber ekonomi manusia datangnya daripada Allah yang memiliki alam ini.

Oleh yang demikian, tugas pemakmuran ekonomi ini dipertanggungjawabkan kepada pemerintah dan individu itu sendiri bertunjangkan prinsip syariah Islamiah. Soal halal-haram termaktub dalam prinsip ekonomi berlandaskan Islam ini.
Maruah dan Ruhiyah Bangsa

Inilah peranan asasi bagi sebuah Negara umat Islam dalam membina halatuju ekonominya. Memelihara maruah dan membina ruhiyah bangsa. Islam sangat prihatin dengan pembangunan ekonomi di mana perkara ini dilihat sebagai sebahagian daripada yang penting daripada masalah yang lebih besar iaitu pembangunan insani. Fungsi utama Islam ialah untuk memandu pembangunan manusia berlandaskan asas arah tuju yang betul.

Justeru, kerangka pembangunan ekonomi Islam mempunyai ciri-ciri yang komprehensif yang meliputi aspek-aspek pembangunan moral, kerohanian dan kebendaan (material). Pembangunan menjadi aktiviti yang berorentasikan matlamat dan nilai, yang ditumpukan kepada mengoptimumkan kemaslahatan manusia dari semua segi.

Teori ekonomi konvensional setidaknya menumpukan kepada dua perkara fundamental berkaitan dengan tujuan pembangunan ekonomi. Pertama memperbaiki tingkat pendapatan sebenar individu / rakyat dan yang kedua menegakkan keadilan agihan pendapatan.

Namun sebagai sebuah Negara yang bermajoritikan Islam, tujuan pembangunan ekonomi Negara tidak boleh lari daripada peranannya untuk membentuk iklim yang kondusif bagi keagungan nilai-nilai Islam dalam suatu masyarakat yang sejahtera.

Dengan demikian, pembangunan ekonomi yang memiliki karakteristik Islami harus dapat meningkatkan komitmen umat Islam terhadap agamanya, menseimbangkan pembangunan ekonomi dengan kewajiban-kewajiban keagamaan.

Menurutnya Dr. Yusof Qhardawi, tujuan pembangunan ekonomi harus dapat merubah masyarakat dari keadaan yang tidak diredhai Allah kepada keadaan yang diredhai-Nya

Iman dan Akhlak Paksi Membangun Model Ekonomi Islam

Islam memandang ekonomi sebagai perkara serius kerana Islam menilai bahawa harta itu sendiri meruapakan salah satu daripada lima keperluan asas dalam kehidupan. Lima keperluan asas itu ialah: Agama, Jiwa, Akal, Nasab Keturunan dan Harta.

Inilah lima perkara asas yang tidak boleh dilengahkan oleh manusia. Sebab melengahkan perkara sedemikian boleh membahayakan diri sendiri.

Islam merupakan risalah akhlaqiyah dan tamadun Islam merupakan tamadun akhlaqiyah. Seluruh misi dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. mengandungi unsur akhlak.

Bahkan baginda telah mendifinisikan risalahnya dalam sabdanya:
Maksudnya: Sesungguhnya (tujuan) saya diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia.

Sejarah telah menceritakan kepada kita betapa banyak tamadun masa silam yang maju dan gemilang tetapi runtuh dan musnah dalam masa yang singkat kerana tidak diiringi dengan kawalan akhlak dan budi pekerti yang baik.

Akhlak merupakan salah satu unsur-unsur yang paling utama dalam ekonomi Islam. Unsur ini begitu menyerlah sehingga seorang cendekiawan Perancis mendefinisikan ekonomi Islam itu sebagai ekonomi yang berakhlak.

Di samping akhlak, terdapat nilai-nilai lain yang mewarnai ekonomi Islam, iaitu nilai Rabbani (ketuhanan), nilai Insani (kemanusiaan) dna nilai Wasathi (moderat dan sederhana).

Ekonomi Rabbani mempunyai dua konotasi makna. Makna pertama daripada ekonomi Rabbani ialah: hak untuk mengatur dan menetapkan hukum-hakam ekonomi ini hanya milik Allah. Allah yang mengharam riba, penipuan, memakan harta manusia dengan cara yang batil dan lain-lain, dan Allah juga yang mensyariatkan dan mengesahkan transaksi urus niaga yang bersih dan benar.

Makna kedua daripada ekonomi Rabbani ialah: ekonomi yang merupakan sarana dan bukan tujuan. Ekonomi merupakan satu fasiliti yang boleh dimanfaatkan oleh setiap Muslim untuk membantunya dalam memenuhi perintah Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Sebab bagaimanapun juga seluruh kehidupan ini akan berakhir dan bermuara di sisi Allah.

Terjemahan: Dialah (Allah) yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekiNya. Dan hanya kepadaNya lah kamu (kembali setelah) dibangkitkan. (surah al-Mulk 67: 15)

Ekonomi Insani pula membawa maksud perhitungan kemanusiaan sebagai asas dan prinsip ekonomi. Tidak boleh manusia dikorbankan untuk memperolehi materi. Sebaliknya materilah yang harus dikorbankan demi kepentingan manusia.

Ekonomi Wasathi bermaksud ekonomi yang mengambil sikap pertengahan dan moderat. Jika sistem ekonomi kapitalis menjadikan kepentingan individu sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi,

dan sistem ekonomi komunis pula menjadikan kepentingan negara sebagai paksi kepada seluruh aktiviti ekonomi, maka Islam mengambil jalan pertengahan yang menyeimbangkan antara kepentingan individu dengan negara sehingga tercapailah kehidupan yang harmoni.

Dan kriteria yang terakhir ialah Ekonomi yang berakhlak. Seluruh aspek dalam ekonomi seperti aspek pengedaran, urus niaga, pengeluaran dan penggunaan bersatu padu dengan nilai akhlak dan budi pekerti yang baik.

Allah tidak membenarkan seseorang untuk memperolehi harta dengan cara yang batil untuk membina masjid atau rumah-rumah kebajikan. Sebab Allah itu suci dan baik dan Allah hanya menerima perkara-perkara yang suci dan baik pula. (Innallaha Tayyibun La Yaqbalu Illa Tayyiba)

Soal halal-haram dan impaknya ke atas pihak lain, tidak pernah ada dalam kamus ekonomi Barat. Apa yang dipentingkan adalah sistem ekonomi yang dilaksanakan itu dapat memberikan keuntungan kepada pelaku ekonomi.

Dalam ertikata lain ‘matlamat menghalalkan cara’ tidak kira walau apa pun sistem yang dilaksanakan, keuntungan tetap menjadi isu utama bukannya soal keadilan sosial sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

Umat Islam seharusnya bersyukur dengan wujudnya satu sistem ekonomi Islam yang benar-benar mapan ke arah merealisasikan ummah yang cemerlang daripada aspek sahsiah, jasmani, emosi, rohani dan ekonominya.

Peringatan Allah swt. buat kita semua;

“Bekerjalah kalian maka Allah dan RasulNya , dan orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan itu, dan kalian akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata (At Taubah:105)

Harakahdaily/-

Bajet 2011 abai masalah hutang isi rumah

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Bajet 2011 yang dibentang pada 15 Oktober lalu tidak menyebut sebarang langkah konkrit untuk menangani masalah hutang isi rumah.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 mendedahkan hutang isi rumah negara tahun ini jika dinisbah pada Keluaran Dalam Negeri Kasar Negara (KDNK) adalah tertinggi di Asia.

"Hutang isi rumah teleh meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun ini daripada 63.9 peratus KDNK (RM389 bilion) pada tahun lepas," ujarnya petang tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) ketika memetik Laporan Petunjuk Perbankan dan Monetari BMN mendedahkan, pinjaman isi rumah pada April hingga Jun tahun ini masing-masing berada pada 10 peratus, 11.7 peratus, 12.5 peratus, 11.9 peratus dan 11.8 peratus.

Tambahnya, pihak Kaunseling Kredit dan Agensi Pengurusan Hutang Kebangsaan (AKPK) tahun lalu turut merakamkan, hampir 50 peratus dari 3000 yang datang mendapatkan khidmat AKPK adalah dalam likungan umum 30 tahun hingga 40 tahun.

AKPK, katanya lagi turut mendedahkan sebanyak 15 peratus mereka yang terbabit adalah dalam likungan usian 20an.

Beliau yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPPP) berkata, CiMB Invenstment Bank Bhd. mendedahkan, hutang isi-rumah berpunca daripada hutang rumah dan hartanah (50 peratus); pinjaman kereta (27 peratus); pinjaman peribadi (8.9 peratus); dan hutang kad kredit (6.3 peratus).

"Mier dan pelbagai pihak termasuk Malaysian Rating Corp Bhd. (MARC) telah melahirkan kekhuatiran bahawa trend ini mempunyai potensi untuk mencetuskan pelbagai risiko, termasuk kebankrapan (insolvency) dan menjejaskan pencapaian pertumbuhan ekonomi seandainya penggunaan (consumption) terjejas," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, urus tadbir ekonomi oleh Datuk Seri Najib, seakan dijamin baik oleh Gabenor BNM Tan Sri Ungku Dr. Zetti Athar Ungku Abdul Aziz sebelum ini.

"Gabenor BNM menyebut bahawa mereka (BNM) bersedia dengan pelbagai langkah institutional supaya paras hutang tidak melebihi paras pruden," beliau menambah.

Harakahdaily/-

PAK hutang Kelantan RM30 juta

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Ahli Parlimen Pasir Putih, Muhammad Husein meminta Menteri Pengangkutan Malaysia memberikan penjelasan mengenai hutang Perbadanan Aset Keretapi (PAK) kepada Kelantan.

Muhammad ketika membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, PAK belum menjelaskan bayaran cukai tanah tahun 2010 bagi tanah-tanah negeri itu yang digunakannya sebanyak RM 30,216,658.70.

"Saya mendapat satu surat rupanya KTMB ini yang masuk ke Kelantan tak bayar hutang kepada Kelantan,cukai tanah berjumlah lebih RM30 juta. Jadi saya nak minta jawapan daripada Menteri apa sebenarnya yang terjadi," kata beliau.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen selepas itu turut menunjukkan surat tuntutan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan kepada PAK yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Menurut surat berkenaan, isu tuntutan bayaran cukai tanah tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Hasil Negeri pada 16 Mei lalu.

Mesyuarat itu memutuskan PAK menjelaskan terlebih dahulu bayaran cukai tanah yang tertunggak bagi tahun 2009 dan cukai tanah tahun 2010 yang berjumlah RM 3,958,273.70 iaitu jumlah sebelum 1 Julai tahun ini sebelum permohonan PAK untuk dikecualikan daripada menjelaskan jumlah baki bayaran cukai tanah mengikut kadar baru daripada tahun 1994 sehingga tahun 2008 berjumlah RM 26,258,385 diberi pertimbangan lanjut.

Berikutan PAK belum membuat apa-apa bayaran, mereka telah didenda lewat bayaran cukai tanah selepas 30 Jun tahun semasa dikenakan selaras dengan peruntukan kaedah 17, kaedah-kaedah Tanah Kelantan 1966.

Sehubungan itu, PAK perlu menjelaskan hutang sebanyak RM 4,552,016.70 sebelum penghujung tahun ini.

Harakahdaily/-

Jentera Pakatan tawan hati masyarakat Tionghua

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 28 Okt: Kesungguhan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad begitu terserlah dalam pilihan raya kecil Dun Galas kali ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, kerjasama jentera Pakatan Rakyat dalam setiap pilihan raya menggambarkan keutuhan parti yang menakutkan Barisan Nasional.

“Kita tengok pergerakan jentera parti ini boleh memberi kelebihan dan keyakinan kepada semua pihak untuk menyokong calon PAS,” ujarnya.

Beliau ditemui ketika bersama Dr Zulkefli dalam siri kunjungan muhibbah ke Kampung Pulai yang mempunyai 471 pengundi, majoritinya kaum Tionghua.

Nurul Izzah juga berkata dalam masa berkempen, penerimaan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS amat memberangsangkan seperti lawatan di Kampung Baru dan Kampung Pulai.

“Di Kampung Pulai sudah ada pos yang didirikan oleh kaum Tionghua dan mereka sanggup bertungkus lumus untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat ini, saya ucapkan syabas kepada penduduk di kampung ini yang sanggup berubah dalam memberi sokongan,” katanya lagi.

Katanya, kempen kali ini akan digunakan oleh PKR untuk menjelaskan soal penindasan terhadap masyarakat Tionghua di Kampung Pulai yang sebelum ini menerima bantuan baja.

Namun, katanya setelah mereka tidak lagi berpihak kepada BN dan mendirikan pos untuk Pakatan Rakyat, nama mereka dengan serta merta dibuang dari senarai penerimaan baja tersebut.

Menurutnya, usaha jentera parti kali ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat Tionghua akan dapat meningkatkan jumlah undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PAS.

“Masyarakat Tionghua di Kelantan mempunyai pendirian politiknya tersendiri kerana mereka sudah lama berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan mereka tahu apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mereka,” kata beliau lagi.

Harakahdaily/-

Kerjasama: Umno umpama Lebai Malang

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 28 Okt: Umno terus membayangkan fobianya terhadap PAS apabila terus bertindak menghentam parti itu dalam isu kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti bertaraf elit sebelum ini tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

“Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) amat jelas.

“Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia semalam di bawah tajuk ‘TPM bidas ‘fatwa’ ikut suka Pas’.

“Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,” Muhyiddin dipetik sebagai berkata ketika berkempen di Galas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, secara umumnya pemimpin DAP hari ini tidak lagi menjadi kumpulan yang anti Islam sebaliknya beransur-ansur mengenali kesucian agama ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Tuan Guru menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

“Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.“Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja,” jelasnya.

Harakahdaily/-

Masjid mati dulu sebelum manusia angkara Umno

21 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam mematikan majlis ilmu, meletakkan ahli jawatankuasa masjid bukan ahlinya sebagai orang yang mengendalikan masjid.

Akhirnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, masjid dan surau telah mati sebelum manusia mati.

Sehubungan itu, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Tan Sri Muhyidin Yassin yang mengatakan bahawa PAS meniru Umno dalam soal kerjasama dengan parti bukan Islam.

“Perlu ditegaskan kerjasama PAS dengan bukan Islam ialah tahaluf siasi tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS, sedangkan kerjasama Umno dalam Barisan Nasional dalam dalam bentuk wala’, yang menggadaikan prinsip Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, rujukannya pula ialah al-Quran,as-Sunnah, ijmak dan qias.

PAS, tegasnya sekali-kali tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, semata-mata untuk mendapatkan kuasa kerana perjuangan yang menuntut mardhatillah tidak akan menggadaikan prinsip Islam.

“Jika dunia dan kuasa menjadi perhitungan, lebih baik PAS bekerjasama dengan BN untuk sama-sama menaja program mungkar yang terbaru seperti pusat hiburan malam yang bakal meruntuhkan tamadun negara ini,” ujarnya sinis.

Sehubungan itu, tegasnya PAS mencabar Muhyiddin jelaskan bila PAS menggadaikan prinsip Islam dan memusnahkan Islam di negara ini.

Katanya, tidak ada sebuah masjid dan surau yang ditutup dan diroboh ketika PAS bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata beliau Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam dalam BN telah bertindak biadab dengan agama, antaranya ialah merobohkan Masjid Bujal Kemaman, Surau Kampung Berembang Ampang Jaya, menutup Surau al-Rahman Seksyen 8 Shah Alam dua minggu sebelum puasa 2007.

Jelasnya lagi, tahaluf siasi membolehkan PAS melaksanakan dakwah dengan lebih cergas di mana masjid dan surau meriah dengan majlis ilmu.

Harakahdaily/-

Fatwa 'Ikut Suka PAS': Umno keliru dan terus keliru

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"

Nampaknya pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Perbezaan kerjasama antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan.

Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.

Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya.

Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi.

Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut.

Seterusnya peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula ditendang supaya lemas keseorangan.

Dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjama dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS.

Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, UMNO masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang.

Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang dibuat atas nama Islam ini, di mana pula ’keris’ pemimpin UMNO?

Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?

Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru?

Hairan saya, tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..

Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja.

Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga,

apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata.

Harakahdaily/-

Gua Musang patut lebih maju jika BN prihatin

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Muhammad Yusri Amin

GUA MUSANG, 29 Okt: Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kota Belud, Suzie Faizah Antong berkata, sekiranya Umno Barisan Nasional (BN) betul-betul prihatin terhadap nasib rakyat di Gua Musang, sudah tentu pembangunan meningkat.

Namun pada hakikatnya sejak lebih 50 tahun lalu, kata Faizah, tidak terjadi begitu.“Pengalaman di Gua Musang, saya melihat sepatutnya ia lebih maju sekiranya Umno BN prihatin dengan nasib rakyat di Gua Musang.

“Saya melihat Gua Musang ini lebih maju daripada Ranau, Sabah, tetapi tidak membayangkan keadaannya yang sebenar, seolah-olah sama saja.

“Keadaan sebenarnya tidak jadi begitu walau pun Parlimen Gua Musang dipegang Umno BN sudah lebih 50 tahun lalu,” katanya kepada media di sini, semalam. Beliau yang berasal dari Kota Belud berada di Gua Musang mewakili Dewan Muslimat PAS Sabah sejak 25 Oktober lalu bagi membantu calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Galas.

Mengulas perkembangan di Sabah khususnya dalam PRK Parlimen Batu Sapi, beliau berkata apabila berada di Gua Musang, teringat daerah Ranau di Sabah di mana dikelilingi bukit-bukit.

Cuma, katanya kelebihan daerah di Ranau itu ia menjadi kawasan pelancongan oleh kerana terdapat Gunung Kinabalu di situ.

Mengenai Batu Sapi, ujar beliau sebenarnya ia berada di tepi laut dan di pinggir bandar, ramai penduduknya orang Islam, namun kawasan penempatan itu kebanyakannya telah diambil pihak berkuasa sementara nasib penduduk di situ belum tentu dipindah ke mana.

Tambahnya, tanah di situ memang sudah digazet untuk diambil selain sudah menjadi isu hangat sejak bertahun lalu di Sabah.

“Oleh sebab itu, apabila Saudara Mazlan Aliman datang pada awal 2010, dimulai dengan isu tanah Felda sebelum menyentuh ‘tanah adat’.

“Sementara tanah bertaraf peribumi sendiri banyak yang telah diambil oleh syarikat-syarikat besar, malah tanah itu ada yang sudah pun diusahakan dan ditanam dengan getah dan rakyat sudah boleh makan hasilnya,” katanya.

Selain isu tanah, beliau turut mendedahkan bekalan elektrik yang selalu terputus, demikian juga masalah bekalan air.

Beliau mendakwa, pada sesetengah tempat di Sabah, terdapat tiang elektrik tanpa lampu dan terdapat batang paip yang tiada air termasuk di Sandakan.

Harakahdaily/-

Harga kereta pasaran domestik lebih mahal

21 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengkaji semula polisi protektisme dalam industri automotif negara.

Menurut beliau, dasar melindungi kepentingan pasaran domestik Proton tersebut mengakibatkan konsumer terbeban oleh pinjaman hutang yang tinggi.

"Kita perlu menangani masalah ini supaya negara kita tidak terus terbeban dangan keperluan pinjaman," ujarnya di lobi Parlimen, petang semalam.

Ini kerana katanya, polisi itu memaksa konsumer membeli kereta di pasaran domestik dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal berbanding harga di pasaran global.

"Ini semua adalah suatu masalah lanjutan pada dasar automobil negara yang telah pun kita laksanakan selama 25 tahun untuk lindungi Proton," ujarnya.

Walhal, beliau berkata, polisi 'protektisme' yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri itu hanya menguntungkan Proton sahaja.

Akibat dari itu, katanya mengakibatkan impak berantai pada pertambahan peratus hutang isi rumah rakyat dalam negara.

"Sebagaimana yang kita tahu, hutang (isi rumah) untuk kereta berlaku oleh kerana harga kereta (domestik) adalah antara yang tertinggi di Asia," ujarnya.

CIMB Investment Bank Bhd, katanya mendedahkan, sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah (76.6 peratus dari KDNK) konsumer adalah berpunca oleh hutang pinjaman kereta.

Akibat dari itu, beliau mendakwa polisi protektisme Proton adalah suatu polisi yang tidak membantu rakyat mengurangkan peratusan hutang isi rumah jika dinisbahkan pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun ini.

"Masalah hutang kereta yang mahal, masalah gaji yang kecil seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak menghiraukan masalah-masalah sampingan ini.

"Masalah Proton dengan kos pengeluarannya yang masih terlalu tinggi, maka kerajaan tidak melihat persoalan-persoalan ini untuk mengatasinya," beliau menambah.

Tuntas dari itu, beliau mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I pada 15 Oktober lalu sebagai suatu belanjawan yang gagal menangani masalah peningkatan peratusan hutang isi rumah rakyat.

Harakahdaily/-