28 October 2010

Rakyat jangan terpedaya projek mi segera

19 Zulkaidah 1431H.
Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 27 Okt: Drs Khalil Idham Lim menyifatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Gua Musang sebagai projek mi segera sebagaimana lazim diamalkan BN setiap kali menjelang pilihan raya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Perak itu menggesa supaya rakyat di Galas khususnya tidak terpengaruh dengan tipu daya Umno BN kerana apa yang berlaku di Galas adalah perkara serupa yang diulang-ulang setiap kali pilihan raya.

Khalil yang juga Adun Titi Serong menambah janji-janji itu hanya retorik, gimik politik Umno BN bagi mengumpan rakyat.

“Pilihan raya kecil yang telah diadakan sebelum ini banyak projek yang dijanji Umno tapi masih belum dilaksanakan contohnya janji jambatan di Manek Urai dulu tapi sampai sekarang pun tidak ada.

“Sekarang di Galas janji projek perumahan rakyat pula. Tadi Rais pula umum hendak pasang sistem internet wi-fi di Gua Musang. Persoalannya kenapa projek-projek ini timbul ketika menjelang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada ceramah umum di Kampung Kerinting, malam tadi.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan Pusat memperuntukkan RM180 juta untuk membina 1,500 unit rumah di bawah PPR Gua Musang yang kononnya dapat memberi manfaat kepada 10,000 rakyat miskin di kawasan itu.

Pakatan Rakyat Pilihan Terbaik Untuk Rakyat di Galas dan Batu Sapi?

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafizi pauzi

PARIT BUNTAR, 27 Oktober :-Dalam situasi Malaysia sekarang yang menuju ke arah Negara hutang, rakyat sepatutnya sudah mula memikirkan masa depan Negara yang kukuh dan stabil, soal memilih pemerintahan ini suatu yang cukup perlu kepada informasi benar tentang situasi Negara terkini.

Tan Sri Joseph Kurup dipetik berkata kerajaan BN juga telah melaksanakan kerja dengan baik sehingga berjaya merubah lanskap pembangunan negara.

“Saya ingin bertanya kepada beliau, dalam situasi Negara yang berhutang dengan jumlah RM362.39 bilion, adakah kerajaan BN yang menerajui pemerintahan Negara cukup bukti untuk mengakui bahawa kerajaan kini dalam landasan cemerlang?,” soal Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong yang juga merupakan Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak terhadap kenyataan Tan Sri Joseph Kurup baru-baru ini.

Hutang Negara sehingga kini bukannya makin menurun, malah semakin meningkat, saya amat khuatir sekiranya kerajaan terus diterajui oleh BN dan seluruh parti komponennya, Kerana itu rakyat perlu berubah, dan beri peluang kepada Pakatan Rakyat menerajui Malaysia.“Marilah kita selamatkan Malaysia yang kita sayangi itu” Tegasnya.

Buktinya dapat kita lihat dengan mata kita sendiri di 5 negeri di semenanjung, bermula dari Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan juga Selangor, Pakatan Rakyat tetap stabil memerintah, bahkan ia mampu bertahan dengan baik sekali walaupun menerima tekanan dari Kerajaan Pusat, ditambah pula dengan sekatan media oleh BN.

Rakyat perlu bangkit, nafikan kuasa BN bermula Di Batu Sapi dan Galas bagi meneruskan momentum PRU 13 nanti, rakyat tidak boleh hanya membiarkan BN melakukan dengan sewanang-wenangnya terhadap aset Negara,

bazirkan, belanjakannya dengan membelakangkan suara rakyat, kemudian menghebahkan bahawa hanya UMNO sahajalah yang memperjuangkan slogan rakyat didahulukan. Slogan hanya tinggal slogan nampaknya., tegasnya semasa dihubungi hari ini.

RASUAH, JIKA BN TERUS MEMERINTAH

19 Zulkaedah 1431 H
OOleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 27 Oktober : -Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek bin Hj. Hassan mengatakan bahawa negara kerugian akibat rasuah setiap tahun sebanyak RM10 bilion”.

Negara kian menuju ke arah Negara rasuah, memetik ulasan dari (KSN), ketua setiausaha Negara itu menyatakan demikian kepada media baru-baru ini.

Persoalannya, mengapakah Perdana Menteri beria-ia bersorak, menjerit mengatakan bahawa UMNO sahaja tempat rakyat bergantung harap? Label ini seolah-olah datang dari pihak yang benar, bukti demi bukti menunjukkan kepimpinan Negara amat bernafsu ingin menipu rakyat, demiian ujar Drs Khalil Idham Lim yang perupakan Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak ketika ditemui disini.

Slogan demi slogan muncul sebaik sahaja selesai perhimpunan UMNO, natijahnya, kosong, yang kaya hanyalah beberapa kerat pemimpin BN.

Memetik kata-kata DS Najib Tun Razak ketika berucap di Perhimpunan UMNO baru-baru ini, beliau menyatakan, “Saya hendak kita bekerja kuat sebab orang Melayu dan negara tidak boleh berharap kepada orang lain melainkan UMNO saja.”

Tambahnya Pakatan Rakyat menyambut baik sekiranya mereka benar-benar berhasrat menjaga rakyat, namun perlu diingatkan membantu rakyat mestilah melangau batas-batas agama dan bangsa. Sikap pilih bulu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab yang sering diamalkan oleh pemimpin BN.

Perkara sebenar yang sedang melanda hanyalah keruntuhan nilai moral kewangan, dengan rasuah yang saban hari meningkat, menyebabkan runtuhnya sesebuah institusi Negara yang bermoral.

Kesanya Negara berhutang dalam jumlah yang sangat besar dan rakyat terpaksa menanggunya sebanyak RM 14,000 setiap orang.

Kenyataan Ketua Setiausaha Negara cukup menggambarkan bukti yang kukuh bahawa pemimpin UMNO hanya memberi dakyah jahat serta cakap kosong terhadap seluruh ahli dan perwakilan setiap kali perhimpunan umno dan seterusnya rakyat tidak didahulukan, yang didahulukan ialah rakyat membayar pelbagai cukai .

Husam pertikai kos tinggi bina PPR di Gua Musang

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mempersoalkan kos pembinaan yang tinggi bagi setiap unit rumah dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang yang dilancarkan timbalan perdana menteri Sabtu lalu.

"Harga (peruntukan kos untuk membina) terlalu tinggi, RM120,000 bagi (unit seluas) 700 kaki persegi di Gua Musang untuk flat 5 tingkat 18 blok.

"Jadi kos di Kelantan ini saya rasa paling tinggi RM50,000 atau RM60,000 setiap unit. Kalau kita pergi Damansara Damai (Petaling Jaya) itu, (rumah seluas) 300 kaki baru dijual dengan harga RM95,000," katanya lagi.

Menurutnya, beliau membuat perkiraan itu berdasarkan peruntukan sebanyak RM180 juta yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membina 1,500 unit rumah berkenaan.

Laporan sebelum ini menyebut, subsidi yang diberikan kerajaan bagi setiap unit rumah tersebut adalah antara RM45,000 hingga RM85,000.

Ia juga boleh disewakan pada kadar serendah RM124 sebulan manakala harga jualannya pula ditetapkan supaya tidak melebih RM35,000.

"(Dengan subsidi sebanyak itu) baik kita bagi rumah itu free saja," kata Husam lagi ketika ditemui di pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas, di Gua Musang pagi ini.

Dengan sinis, beliau turut mencadangkan supaya jumlah unit rumah tersebut ditambah kepada 2,000 unit. Melalui langkah itu, kesemua pengundi Cina yang berdaftar bagi pilihan raya kecil itu akan berjaya menduduki rumah berkenaan, katanya lagi.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan perkiraan mudah sekiranya setiap keluarga berkenaan terdiri daripada sepasang ibu bapa dan seorang anak.

Husam juga membangkitkan sedemikian dengan mengaitkan janji yang diberikan BN untuk membahagikan rumah berkenaan secara sama rata, selari dengan pendekatan inklusif mereka.

"Barulah semua orang Cina akan dapat rumah dan rumah mereka sekarang akan kosong dan mereka boleh sewa kepada orang lain. Jadi saya rasa tak berapa masuk akal (cadangan bina PPR) itu," katanya lagi.

Malaysiakini/-

DEBAT DAP - MCA: RAKYAT PERLU MENILAI

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengalu-alukan dan menyokong satu pentas debat yang akan diadakan pada 1 November ini di antara Ketua Pergerakan Pemuda MCA Negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon yang juga Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) Negeri Perak bersama Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak yang bakal diadakan di Taiping.

Pertamanya, DPPN Pk ingin menegaskan bahawa Datuk Ngeh adalah wakil pimpinan PR Perak di dalam perdebatan tersebut dan sudah tentunya Datuk Mah juga sepatutnya mewakili BN Perak di dalam perdebatan yang sama.

Tindakan BN untuk tidak mengiktiraf Datuk Mah sebagai mewakili BN Perak adalah pelik, menunjukkan ketidakpercayaan dan memalukan beliau sebagai pimpinan komponen BN mewakili masyarakat Cina dan sebagai Exco Kerajaan Negeri BN Perak yang terlibat secara langsung dalam menentukan semua polisi dan keputusan kerajaan negeri BN Perak.

Yang keduanya, difahamkan bahawa perdebatan tersebut akan diadakan dalam bahasa Cina atas permintaan Datuk Mah dan bukannya dalam bahasa kebangsaan kita atau bahawa Melayu. Perkara ini amat menyedihkan kerana ianya datang dari pemimpin yang memperjuangkan slogan satu Malaysia yang sepatutnya menerima bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu menjadi bahasa utama.

Penggunaan bahasa Melayu adalah penting kerana kedua-dua pimpinan tersebut adalah pemimpin di peringkat pemerintahan negeri dan isu yang ingin dibincangkan juga ialah isu yang melibatkan kepentingan semua rakyat negeri Perak dan bukannya isu berkaitan kaum cina semata-mata. Oleh yang demikian, DPPN Pk merasakan rakyat Perak seluruhnya, tanpa mengira kaum, perlu mengetahui kandungan perdebatan tersebut dan seterusnya menilai setiap apa yang akan diperkatakan.

DPPN Pk merasakan rakyat akan membuat pernilaian disetiap persoalan yang telah diperkatakan selama ini. Sudah tentu bahang Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti, akan menjadikan perdebatan sihat ini sebagai kayu ukur bagi menentukan pemerintahan yang akan datang. DPPN Pk juga mengalu-alukan usaha semua pihak menganjurkan perdebatan seumpama ini bagi merungkai setiap permasalahan rakyat selama ini.

Hab hiburan: NGO Islam tunggu pilihan raya

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri

Seperti dijangkakan, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam mula mendapat tentangan kumpulan NGO Islam.

Bagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), tindakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu 'disambut' mereka secara amat sinis.

"Tahniah kerana (kerajaan) berjaya menghancurkan rakyatnya," kata Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Ma'amor Osman (kiri) sambil menyifatkannya sebagai pengkhianatan kepada pentadbiran perdana menteri sebelum ini, khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan kelmarin, pentadbiran Najib mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan "mempakejkan" semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Lebih mengejutkan, EPP mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Ketika dihubungi Malaysiakini tengah hari ini, Dr Ma'amor - pemimpin NGO Islam yang dilihat agak 'rapat' dengan kerajaan - berkata, rancangan ETP itu menyalahi pelbagai perkara, termasuk gagasan Wawasan 2020 yang mahu negara ini maju dengan acuan sendiri.

"Budaya kelab malam ini bukan budaya Timur. Ia budaya Barat, budaya berfoya-foya.

"Saya ucap tahniahlah kerana berjaya mengkhianati negarawan negara (Dr Mahathir)," katanya.

Ditanya berhubung tindakan susulan PPIM bagi menyatakan menangani rancangan itu, Ma'mor berkata:

"Kita tak pergilah (ke kelab malam). Boikot pun tak guna. Tak ada ahli kita yang pergi ke kelab malam. Tunggu pilihan rayalah nanti."

PPIM antara NGO pengguna Islam yang diingati kerana kempen boikot produk barangan tertentu seperti barangan keluaraan Yahudi dan Amerika Syarikat sebelum ini.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Jais Karim pula menggesa kerajaan memikirkan semula kewajaran tindakan itu kerana ia "punca kepada masalah sosial".

"Kita risau (jika) spa dan disko diperbanyakkan, keupayaan kita untuk membendung masalah sosial bertambah buruk," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, rancangan itu "tidak sesuai" sebaliknya kerajaan perlu memikirkan kelainan untuk ditunjukkan kepada pelancong seperti melalui pusat makanan tradisional, muzium budaya atau program homestay.

"Saya berpendapat pelancong luar datang bukan nak untuk melihat kelab malam sebab di negara mereka kelab malam lebih canggih dan menarik," katanya.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula mahukan perdana menteri menarik balik rancangan dalam program ETP itu bagi menghormati kedudukan agama Islam di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"PPMM juga merafak sembah kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong agar mempertahankan jati diri kebangsaan yang berteraskan kepada Islam dalam setiap tindakan kerajaan," kata presidennya Zainul Rijal Abu Bakar dalam satu kenyataan.

Zainul Rijal berkata rancangan itu juga tidak selari dengan satu prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan," katanya.

Malaysiakini/-

Pulau Pinang catat hasil paling tinggi

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Regina Lee

Pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang mencatatkan hasil pendapatan paling tinggi buat dua kali berturut-turut - ia berjaya memungut RM1.1 bilion dalam dana terkumpul bagi seluruh tahun 2009.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, Pulau Pinang adalah negeri tunggal Pakatan Rakyat yang menerima penarafan 'baik'berhubung kedudukan kewangannya - mereka juga mengumpul 29.1 peratus dalam pendapatan sebenar, membawa jumlah keseluruhan kepada RM376.51 juta.

Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang memecahkan rekod apabila dana terkumpulnya mencecah RM1.025 bilion seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri BN, dana terkumpul Pulau Pinang adalah RM847.45 juta bagi 2007.

Dana terkumpul itu adalah kombinasi pendapatan akaun, pinjaman dan juga dana saham amanah.

Pungutan hasil juga naik dengan ketara daripada RM296 juta pada 2007 kepada RM371 juta pada 2008. Hasil bagi 2009 pula adalah pada RM376 juta.

Laporan Audit itu juga mendedahkan bahawa Dana Amanah Perumahan Bumiputera telah buat kali pertama ditubuhkan dengan RM12.65 juta disalurkan untuk tujuan berkenaan.

Tiga agensi negeri menerima penarafan 'sangat baik' berbanding hanya dua pada 2008. Agensi berkenaan adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, jabatan kewangan negeri dan pejabat daerah bahagian barat daya.

Selangor ketinggalan

Dua lagi negeri yang dikuasai oleh Pakatan - Kedah dan Kelantan, mencatatkan peningkatan dalam dana terkumpulnya pada 2009 berbanding tahun sebelum itu.

Kelantan mencatatkan pertumbuhan besar 252 peratus kepada RM97.23 juta berbanding RM27.58 juta pada tahun 2008.

Hasil di Selangor pula, pada masa yang sama jatuh 7.3 peratus kepada RM1.32 bilion berbanding RM1.42 bilion pada 2008.

Pada RM1.32 bilion, ia juga adalah jauh lebih rendah daripada dana terkumpul RM1.39 bilion yang diperolehi semasa pentadbiran BN pada 2007.

Pentadbiran negeri Kedah pula menunjukkan peningkatan 5.1 peratus dana terkumpulnya kepada RM265.52 juta bagi tahun 2009.

Perlis diklasifikasi kurang memuaskan

Laporan Ketua Audit Negara 2009 juga mendedahkan Perlis sebagai satu-satunya negeri yang diklasifikasikan sebagai kurang memuaskan dari segi sistem penyampaian, terutama selepas gagal memastikan semua agensi negeri diaudit sebelum tarikh tamat 30 April.

Berdasarkan laporan itu, hanya tiga agensi iaitu Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis (PPANP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menyerahkan penyata kewangan untuk diaudit sebelum tarikh tutup, manakala baki enam lagi dilaporkan gagal.

Sementara itu, Bernama melaporkan Laporan Ketua Audit Negara 2009 menyatakan lapan projek pembinaan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak disiapkan
melewati tempoh kontrak, sementara satu projek terbengkalai.

Perak juga ada masalah

Lapan projek itu kelewatan antara 144 hingga 629 hari.

Projek-projek itu ialah Rumah Rehat Kampar, Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping, Pusat Rehat dan Rekreasi Changkat Jering, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Kompleks Pusat Penjaja Glutton Square Teluk Intan, Padang Seri Iskandar, Bangunan Kompleks Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), dan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar.

"Semakan mendapati empat daripada lapan projek telah disiapkan setelah mendapat Perakuan Kelewatan dan Lanjutan Masa (PLKM) dan tempoh masa berdenda antara RM60,000 hingga RM214,220.

"Manakala tiga projek telah siap setelah diberikan PLKM dan satu lagi projek iaitu Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar masih belum disiapkan dan dalam tempoh masa berdenda.

"Kelulusan PLKM kedua tanpa sebab telah diberikan kepada kontraktor untuk pembinaan Bangunan Tiga Tingkat Rumah Rehat Kuala Kangsar," kata laporan itu.

Laporan itu berkata punca kelewatan menyiapkan projek disebabkan oleh kelewatan kerja-kerja ujian tanah, kelewatan pihak kontraktor menerima arahan perubahan kerja, perubahan skop kerja dan kerja-kerja tambahan.

Menurut laporan itu, kelewatan telah menyebabkan kos projek Kompleks Kesihatan Haiwan Zoo Taiping meningkat sejumlah RM168,152 atau 3.5 peratus daripada RM4.91 juta kepada RM5.08 juta.

"Kos projek Bangunan Kompleks Pejabat MPTI meningkat sejumlah RM2.21 juta atau 39.9 peratus daripada RM5.54 juta kepada RM7.75 juta.

Manakala kos projek Bangunan Kompleks Perniagaan dan Pejabat MPKK meningkat daripada RM3.98 juta kepada harga kontrak baru berjumlah RM5.33 juta atau 33.9 peratus kerana penamatan kontraktor pertama," menurut laporan itu.

Dalam pada itu, projek Pembinaan Dewan Serba Guna Padang Bandaran Kuala Kangsar bernilai RM6.7 juta yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Perak sebagai agensi pelaksana dan dibina oleh Serata Johor Sdn Bhd terbengkalai dan tidak disiapkan mengikut jadual asal kontrak.

Peruntukan membiayai pembinaan diterima daripada kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan berjumlah RM10 juta dan berdasarkan kontrak, tempoh projek selama 52 minggu itu bermula Mac 2008 dan dijangka siap Jun tahun lepas.

"Berdasarkan laporan kemajuan kerja, pelaksanaan kerja telah mencapai 63 peratus siap. Surat penamatan dikeluarkan terhadap kontraktor pada 30 Jun 2009 kerana tiada kerja dilakukan semenjak 25 Mei 2009," kata laporan itu.

Menurut laporan itu juga prestasi pelaksanaan projek adalah lemah kerana kurang pemantauan oleh PBT dan Jabatan Kerja Raya terhadap perunding dan kontraktor.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara mencadangkan kerajaan negeri Perak dan PBT membuat pemantauan terhadap projek pembinaan secara berterusan supaya siap mengikut jadual bagi mengelakkan kelewatan dan peningkatan kos serta menyenaraihitamkan kontraktor berkenaan.

Malaysiakini/-

Malaysia 'tersangkut' di tangga 56 indeks rasuah

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Aidila Razak

Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Tempat teratas dikongsi oleh tiga negara - Singapura, New Zealand dan Denmark daripada 178 negara yang dikaji.

Menurut TI Malaysia, meskipun laporan yang dikeluarkan petang tadi, menunjukkan negara menuju ke arah yang betul, namun masalah timbul ketika pelaksanaannya.

Presidennya, Paul Low berkata kejatuhan dalam markah itu “secara statistik tidak signifikan”.

Beliau berkata kegagalan menangani rasuah akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi memandangkan pertalian terus antara rasuah dan pendapatan per kapita.

Di samping itu, katanya lagi, usaha yang dibuat oleh kerajaan melalui GTP belum lagi menghasilkan sebbarang kejayaan kerana faedah daripada usaha yang dilakkukan akan mengambil masa sebelum kesannya dapat dirasai oleh rakyat di negara ini.

Menurut setiausaha agung TI Malaysia, Ngooi Chu-Ing, antara yang paling ketara adalah persepsi umum bahawa kerajaan kurang azam politik untuk menangani rasuah.

"Kita boleh lihat sebagai contoh, terdapat kebimbangan di kalangan umu bahawa tiada "ikan besar" yang didakwa dan juga kemajuan yang lembab dalam mengenalpasti serta mendakwa individu yang terbabit dalam skandal PKFZ (Port Klang Free Trade Zone).

"Begitu juga dengan keputusan "tiada sebarang tindakan"" (NFA) oleh peguam negara terhadap individu-individu yang didakwa mempengaruhi pelantikan hakim dalam badan kehakiman dan amalan berterusan memberikan kontrak projek-projek Mega secara tidak telus," katanya.

TI-Malaysia, katanya mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa mendakwa disamping membolehkan badan itu melaporkan secara terus kepada ahli jawatankuasa parlimen.

"Pada masa kini, menteri kabinet mengistiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri namun butir-butir pengisytiharan harta mereka tidak pernah diumumkan kepada awam...kami juga menggesa ditegakkan kebebasan maklumat melalui pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan dan Percetakan," katanya.

Malaysiakini/-

KTMB catat kerugian RM1.45b sehingga 2008

19 Zulkaedah 1431 H

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatatkan kerugian terkumpul berjumlah RM1.45 bilion sehingga 2008 dan kerugian yang ditanggung menyebabkan syarikat pengangkutan keretapi milik kerajaan berkenaan tidak mampu menanggung kos operasi sendiri dan hutang.

Dalam laporan dari 2006 hingga 2008 yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang dibentangkan di Parlimen semalam, prestasi kewangan KTMB mempamerkan tahap yang tidak memuaskan berikutan kerugian yang ditanggungnya untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

Beliau berkata KTMB menanggung kerugian berjumlah RM118.91 juta pada tahun 2008 berbanding RM82.81 juta pada tahun sebelumnya.

"Berikutan itu,bermula 1994 sehingga 2008, KTMB terpaksa mendapatkan bantuan kewangan dalam bentuk suntikan dana tunai berjumlah RM760 juta dari kerajaan," kata Tan Sri Ambrin lagi dalam laporan audit yang dibentangkan.

Laporan Ketua Audit Negara juga menyebut, peningkatan kerugian berjumlah RM36.60 milion iaitu sebanyak 44.5 peratus pada 2008 adalah disebabkan peningkatan mendadak kos operasi KTMB yang berjumlah RM49.03 juta.

Menurutnya lagi, peningkatan berkenaan adalah 9.6 peratus lebih tinggi daripada jumlah kos operasi bagi tahun 2007.

Laporan iu juga menyebut, KTMB masih belum membayar bayaran faedah yang sudah matang setakat Julai 2010 daripada lima pinjaman berjumlah RM880.5 juta yang diperolehi daripada kerajaan persekutuan sehingga Disember 2008.

Laporan audit berkenaan menambah, KTMB tidak membuat sebarang pembayaran balik kepadda hutangnya sejak dua hingga lapan tahun lalu.

Ini bermakna, pembayaran faedahi terhadap kelima-lima pinjaman terbabit perlu dibuat pada 2010 dan keadaan itu bakal menjurus kepada jumlah pembayaran faedah tertunggak meningkat kepada RM703 juta," sebut laporan Ketua Audit Negara berkenaan lagi.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran semula hutang-hutang terbabit yang berakhir selewat-lewatnya pada 2025 akan menyebabkan kepada pembayaran aliran tunai berjumlah RM1.43 bilion.

Malaysiakini/-

Gempa: 40 maut dalam tsunami di Sumatera

19 Zulkaedah 1431 H

Seramai 40 orang dilaporkan terkorban dan lebih 300 lagi hilang dalam bencana tsunami yang berlaku selepas gempa bumi kuat berukuran
7.2 pada skala richter yang melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Isnin malam.

Perkara itu disahkan pegawai daerah Kepulauan Mentawai, Edison Saleleobaja, lapor Bernama.Sehingga pukul 2 petang ini, pihak Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) belum memastikan identiti korban dalam kejadian itu.

Mereka yang hilang dipercayai melibatkan 10 rakyat Australia dan Jepun yang berada dalam sebuah kapal bernama Southern Cross milik Sumatran Surfariis.

Pihak kedutaan Australia di Jakarta juga yakin bahawa rakyatnya berada di dalam kapal itu. Bagaimanapun BNPB belum mengesahkan kebenaran maklumat itu.

"Maklumat itu sedang kami sahkan, belum jelas maklumat dari lokasi kejadian dan kami masih menunggu," kata Maryadi, petugas BNPB kepada Bernama.

Beliau berkata pasukan daripada badan itu belum berada di Mentawai kerana sedang memberi tumpuan kepada ancaman letusan Gunung Merapi di sempadan Yogyakarta dan Jawa Tengah serta banjir di Wassior (Papua Barat).

"Tsunami itu berketinggian tiga meter dan meluap hingga 400 meter ke darat," katanya.

Media Online Nasional melaporkan dua perkampungan disapu bersih oleh tsunami yang berlaku di kawasan penggemar sukan luncur air itu, namun Maryadi belum dapat mengesahkan perkara itu.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) mengumumkan gempa bumi berukuran 7.2 pada Skala Richter berlaku pada pukul 9.42 malam Isnin, pada kedudukan 78 kilometer Barat Daya Pagai Selatan, Mentawai Sumbar, pada kedalaman 10 km.

Badan itu mengeluarkan amaran potensi tsunami kepada masyarakat sejurus selepas gampa itu, namun menarik balik amaran ancaman itu kemudiannya.

Sementara itu AP pula memetik Mujiharto, yang mengetuai pusat krisis Kementerian Kesihatan Indonesia sebagai berkata, gelombang setinggi tiga meter menghanyutkan ratusan rumah di Pagai dan Silabu - yang merupakan sebahagian rangkaian pulau Mentawai.

"Kami ada 200 beg mayat dihantar ke sana, sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Indonesia sering dilanda gempa bumi dan aktiviti gunung berapi kerana lokasinya dalam Lingkaran Api Pasifik.

Kawasan yang dilanda gempa bumi semalam, berlaku di sepanjang pantai barat Kepulauan Sumatera, yang dilantik gempa 9.1 skala Richter, yang mencetuskan tsunami besar di sekitar Lautan Hindi pada 2004 yang mengorban 230,000 orang di beberapa negara.

Mentawai merupakan pusat luncur popular 280km dari pantai Sumatra. Perjalanan ke pulau tersebut - hanya boleh sampai dengan menaiki bot - mengambil masa 12 jam.

Sekumpulan rakyat Australia berkata mereka berlindung di dek belakang kapal sewa mereka yang berlabuh di teluk berhampiran ketika berlaku gempa bumi itu.

Ia mengakibatkan ombak yang mengakibatkan mereka menghentam sebuah bot lain, dan mengakibatkan kabin mereka terbakar.

"Kami buang keluar apa sahaja yang boleh terapung dan kami terjun ke laut dan bergayut padanya," kata Rick Hallet kepada stesen TV Australia - Nine Network.

"Mujurlah, ada benda yang dapat kami bergayut... dan kami dihanyutkan dan kemudiannya bergantung pada pokok tinggi yang kami temui dan duduk di situ selama satu setengah jam."

Ade Edward, pegawai agensi pengurusan bencana berkata, mayat-mayat ditemui di kampung-kampung di pesisiran pantai - terutama di pulau yang paling teruk dilanda gempa - Pagai - dan 167 orang lagi masih hilang.

Air di beberapa tempat mencecah mencapai paras atap, dan di Muntei Baru - sebuah desa di Silabu - 80 peratus rumah rosak.

Kira-kira 3,000 orang mencari perlindungan di kem-kem kecemasan hari ini, kata Edward. Manakala nasib krew beberapa buah kapal di Lautan Hindi, masih belum diketahui.

Gempa bumi itu juga menggegarkan bandar-bandar di sepanjang pantai barat Sumatera - termasuk Padang - yang dilanda gempa sekuat 7.6 tahun lalu, yang mengorban lebih 700 orang. Masjid-masjid pula membunyikan amaran tsunami melalui pembesar suara.

"Semua orang bergegas keluar rumah mereka," kata Sofyan Alawi, sambil menambah, jalan-jalan menuju ke bukit-bukit di sekitar kawasan itu sesak dengan ribuan kereta dan motosikal.

"Kami sering menoleh ke belakang untuk melihat sama ada gelombang datang," kata seorang lagi penduduk Ade Syahputra.

Malaysiakini/-

Ku Li: Saya sokong Abd Aziz, royalti minyak K'tan

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah membuktikan bahawa calon yang dipilih BN bagi pilihan raya kecil Galas menerima sokongan daripada beliau sendiri.

Lewat malam tadi, beliau hadir menemui sekumpulan penduduk di Kampung Baru, salah sebuah daripada dua daerah mengundi dengan majoriti pengundi Cina dalam DUN Galas.

Tindakannya juga memadamkan desas-desus bahawa beliau berkecil hati dengan tindakan BN mencalonkan Abdul Aziz Yusof.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga pengarah pilihan raya kecil BN di Galas, turut mengambil peluang untuk menjelaskan ketidakhadiran beliau ke pusat penamaan calon hari ini, selepas berbual-bual selama kira-kira 40 minit dengan penduduk setempat di sebuah restoran.

“Sebenarnya saya tak biasa ke pejabat DO tempat menyerah kertas penamaan calon. Ramai kawan-kawan saya yang akan bersama-sama calon untuk menyerahkan kertas penamaan calon.

“Jadi saya kata elok saya berada di luar untuk bersama-sama penyokong untuk kerja kita di merata tempat ke seluruh negara berhimpun di situ. Jadi tak semestinya semua orang ke sana. Tak jadi masalah. Itu saja," jelasnya.

Beliau hanya ketawa kecil apabila diajukan pertanyaan oleh wartawan sama ada beliau berkecil hati sehingga tidak memasuki pusat penamaan calon semalam.

Turut hadir di pusat penamaan calon semalam ialah mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin lain yang pernah bersamanya ketika dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

“Itu perkara biasalah nak cari sebab supaya nak laga-lagakan kita tapi takkan berhasil kerana calon ini calon yang saya sokong seratus peratus.

“Dia telah dipilih oleh jawatankuasa Umno bahagian semasa kita mengadakan rundingan dengan undi yang banyak sekali. Dan itulah nama yang saya kemukakan kepada Datuk Seri Najib supaya dia menentukan pilihan yang sebenar.

“Jadi dia membuat pilihan daripada apa yang diputuskan semua orang. Orang lain semua tak dapat undi seperti dia. Dia dapat undi terbanyak," kata Tengku Razaleigh yang juga ketua Umno bahagian Gua Musang.

“Kita rasa kempen kali ini seolah-olah satu pertandingan 'friendly contest' (pertandingan persahabatan). Iyalah apabila berlaku pertandingan tidak berlaku 'friendly contest' lagi barangkali tetapi bagaimanapun saya ingin anjurkan 'friendly contest' sesama kita,” katanya.

“Satu hari anda bersahabat, satu hari anda jadi seteru, tapi tidak ada rugipun (kepada saya),” katanya lagi yang mesra dengan panggilan Ku Li.

Mengulas mengenai sokongannya kepada tuntutan royalti minyak oleh Kelantan, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini dalam isu tersebut.

“Penjelasan saya sudah cakap, saya rasa apa yang terpakai dalam undang-undang yang terpakai kita akan teruskan. Itulah pendapat saya,” katanya lagi.

Malaysiakini/-

Fesyen busana: Pemuda PAS buat aduan pada Jakim

19 Zulkaedah 1431 H

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) hari ini menyerahkan memorandum aduan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung Festival Fesyen Islam (IFF) yang diadakan di Monte Carlo pada 9 Ogos lalu kerana dikatakan satu penghinaan kepada Islam.

Festival busana tersebut dinaungi oleh isteri perdana menteri Rosmah Mansor.Rombongan enam pemimpin Pemuda PAS Wilayah diketuai oleh pemangku ketua Herman Samsudeen memasuki Jakim pada jam 11.15 pagi.

Memorandum tersebut, diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Jakim Asiah Al-Kharib Shah dipejabatnya pagi ini.

"Penganjuran Festival Fesyen Islam, walaupun namanya Islam, tetapi ia jelas menghina Islam apabila menampilkan model yang berpakaian menjolok mata. Lebih menyedihkan apabila model terbabit memakai baju yang tertulis 'Muhammad' dalam bahasa Arab dalam keadaan terbalik.

"Soalnya, apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penganjur dalam festival ini melainkan berniat mahu menghina Islam? Lebih dari itu, mengapakah Datin Seri Rosmah Mansor terlibat secara langusng merasmikan dan menaungi festival ini.

"Ia pasti akan memburukkan imej Malaysia di mata dunia Islam yang lain memandangkan ia melibatkan nama perdana menteri Malaysia sendiri," kata Herman dalam memorandum tersebut.

Dalam memorandum itu juga, Herman juga turut menyenaraikan aduan mereka mengenai konsert penyanyi 'gay' Adam Lambert yang didakwa "tidak wajar diadakan".

Sehubungan itu, Herman meminta agar Jakim mengambil peranan bersungguh-sungguh serta melibatkan diri secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan dalam negara serta melibatkan pemimpin negara.

"Justeru itu, di atas dua perkara ini DPPWP memohon agar Jakim memainkan peranan lebih aktif sebagai penasihat kepada kerajaan dan pemimpin negara agar tidak menganjurkan program maksiat atau terlibat dengan mana-mana program mungkar," kata Herman.

Sementara itu, dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Herman berkata Jakim perlu mengambil inisiatif untuk mengawal program yang tidak menepati syariat Islam.

"Kita minta Jakim memainkan peranan lebih besar memberi teguran kepada kerajaan," katanya.

Herman juga bersetuju dengan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin berhubung cadangan menubuhkan panel syariah sebelum pertunjukkan fesyen diadakan.

"Kita menyokong satu panel khusus (ahlinya) daripada wakil Jakim atau majlis fatwa kebangsaan.

"Kita tak halang festival fesyen. Buatlah, tapi mesti betul ikut cara Islam," katanya sambil menambah festival fesyen Islam dijangka sekali lagi akan diadakan di Kuala Lumpur pada 5 November depan.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan agar Jakim dinaik taraf sebagai satu kementerian kerana ia mempunyai bidang kuasa yang luas antaranya dalam bidang penguatkuasaan.

Malaysiakini/-

Salah Laku JPMK : PMRAM Menghantar Memorandum Ke Kedutaan

19 Zulkaedah 1431 H
ibnuirfadzil.blogspot.com

Semalam 24 oktober, sekitar jam 10.30 pagi (waktu Mesir) PMRAM telah menghantar memorandum kepada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, En. Saiful, tentang tuntutan mahasiswa terhadap salah laku Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, yang telah banyak menyusahkan mahasiswa. Beberapa keping gambar boleh dilihat di bawah ini. Tahniah.
Video : http://www.youtube.com/watch?v=-4wjMxJKZO0


Mengapa rakyat termiskin tanggung caj sambung air

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony a/l R Santiago menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membatalkan RM50 caj penyambungan semula bekalan air yang umumnya dihadapi oleh rakyat termiskin.

Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I didesak demikian kerana polisi itu mengakibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mendapat manfaat 'percuma' sebanyak RM45 juta daripada mereka yang terbabit.

"Kalau kita terus mengenakan caj penyambungan ini kepada orang miskin, lagi sukarlah orang miskin untuk hidup.

"Ini adalah rintihan rakyat dan mereka (Syabas) membuat wang atas kemiskinan rakyat ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," ujarnya petang tadi di lobi Dewan Rakyat.

Beliau membuat anggaran perolehan RM45 juta tersebut berdasarkan penyata Parlimen Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui yang dikeluarkan hari ini.

Penyata tersebut mendedahkan sebanyak 890,178 bekalan air rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dipotong oleh Syabas sejak tahun 2005 hingga 2009.

Penyata tersebut turut mendedahkan sebanyak 100,000 bekalan air rakyat dijangka akan dipotong oleh Syabas antara Januari hingga September tahun ini.

Pendedahan terbaru itu baginya memberi isyarat kepada semua pihak bahawa masih ramai lagi rakyat gagal menikmati bekalan air yang bersih disebabkan faktor kemiskinan hidup.

Pendedahan itu juga katanya, wajar membuka hati kerajaan Pusat untuk menerima cadangan kerajaan negeri untuk membeli kepentingan Syabas dan beberapa syarikat konsesi air lain di Selangor.

"Ini menunjukkan bahawa walaupun kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat telah memberi 20 meter padu air percuma, tapi nampaknya masih banyak orang miskin di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih tidak mampu menikmati air bersih," ujar lagi.

Sedangkan katanya, bekalan air bersih adalah hak asasi setiap rakyat yang wajib dijamin oleh kerajaan yang memerintah.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat memberi sokongan moral kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu memiliknegerikan serta menyelamatkan kesemua syarikat konsesi air terbabit dari terus menjadi 'telaga duit' pemimpin tertentu yang dekat dengan Umno BN.

Harakahdaily/-

Galas: PDRM bersikap mesra rakyat

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 26 Okt: Proses penamaan calon PRK Galas dan perarakan penyokong Pakatan Rakyat dan BN berjalan dengan baik dan tiada sebarang insiden antara kedua-dua penyokong parti.

Justeru, Ketua Polis Kelantan, Datuk Rahim Hanafi ketika ditemui media di tempat penamaan calon hari ini berharap kedua-dua parti berkempen secara berhemah dan tidak menimbulkan isu-isu sensitif seperti perkauman dan agama.

“Saya berpendapat ini adalah satu proses penamaan calon yang paling baik dan harmoni dan diharapkan dapat diteruskan oleh kedua-dua parti yang bertanding,” ujar beliau.

PDRM juga telah mewujudkan empat kumpulan dalam proses pemantauan proses pengundian kali ini, iaitu Zon A, B, C dan D.

“Sepanjang tempoh berkempen ini, PDRM akan menggunakan konsep mesra rakyat serta pencegahan jenayah, PDRM juga akan memastikan sepanjang tempoh berkempen ini, ketenteraman akan dapat dinikmati semua yang berada di Dun Galas ini,” katanya lagi.

Rahim juga berkata kerjasama kedua-dua parti agar mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa kesemasa amat diperlukan dan dengan bilangan anggota polis yang bertugas amat kurang jika dibandingkan dengan PRK yang lain menggambarkan PDRM mengambil sikap mesra rakyat dan ketenteraman awam masih terkawal.

Ketika ditanya berhubung dengan pengurangan anggota PDRM dalam pemantauan kempen di Dun Galas, beliau berkata setakat ini hanya terdapat lebih kurang 500 sahaja yang digunakan, kebanyakannya ialah anggota tugas mm sahaja.

Beliau juga berkata pemerhatian PDRM jumlah penyokong PAS yang hadir di hari penamaan calon antara lapan hingga sembilan ribu sedangkan di pihak BN hanya sekitar tiga ribu lebih sahaja.

Menyentuh permohonan permit ceramah, beliau juga berharap mana-mana parti politik yang ingin berceramah mestilah menghantar borang permohonan sehari sebelum ia diadakan.

“Kita akan bersikap adil dan secepat mungkin dalam mengeluarkan permit ceramah tersebut dan bagi yang berceramah tanpa permit,tindakan akan diambil,” katanya.

Harakahdaily/-

Khairy setuju PAS guna masjid solat hajat

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 26 Okt: Tindakan PAS menggunakan masjid untuk mengadakan solat hajat bagi memohon proses penamaan calon dan pengundian berjalan lancar disambut baik oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata pendekatan yang diambil oleh PAS tersebut tidak boleh dipandang serong kerana bagi setiap umat Islam, mereka seharusnya memohon dengan Allah dalam segala urusan.

“Bagi saya PAS menggunakan masjid untuk berhimpun dan mendirikan solat hajat adalah satu perkara yang amat baik dan kita harap mana-mana pihak tidak mempertikaikan hal tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihanraya Umno bagi PRK Dun Galas, Datuk Mustapha Mohamed ketika ditemui media berkata, BN mengambil pendekatan yang berbeza dalam pilihan raya kecil kali ini apabila mereka menggerakkan jentera kempen dengan memasuki kampung ke kampung dan bertemu dengan akar umbi secara terus tanpa menggunakan peringkat pertengahan.

Beliau berkata langkah tersebut adalah lebih bermanfaat jika dibandingkan dengan mengharapkan pihak tertentu kerana bimbang segala maklumat tidak dapat disampaikan secara terus kepada pengundi.

Menyentuh pertandingan satu lawan satu, beliau berkata ia adalah satu petunjuk yang baik dan berharap tidak akan berlaku soal fitnah memfitnah antara kedua-dua pihak.

Mustapa juga berharap jentera dari kedua-dua pihak akan bertindak secara profesional dalam masa tempoh berkempen kali ini.

Harakahdaily/-

Kereta tempur: RM8 bilion lebih bermanfaat untuk rakyat

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Keputusan kerajaan meneruskan hasrat membeli 257 unit kereta tempur berperisai AV8 (APC) bernilai RM8 bilion wajar dipersoal, kata Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D. Jayakumar.

Menurut beliau, sebut harga yang ditawarkan oleh DRB-Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) adalah tiga kali ganda lebih mahal dari harga pasaran sebuah APC terbaik di peringkat dunia; iaitu tidak melebihi RM10 juta seunit.

"Dengan hara RM31 juta sebuah sedangkan harga sebuah APC terkemuka di dunia hanya RM10 juta, maka tiga kali gandalah," ujarnya petang tadi di Dewan Rakyat.

Difahamkan, kerajaan sepatutnya memerlukan RM2.57 juta sahaja untuk membeli 257 APC, bukannya RM8 bilion seperti yang dipersetujui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid bersama Deftech.

Disebabkan itu, katanya Ahmad Zahid tidak wajar mengaku di Dewan Rakyat untuk meneruskan rundingan tertutup itu apabila ditanya oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua pada 12 Oktober lalu.

"Jawapan kepada YB Tony Pua, 'ya' mereka (Kementerian Pertahanan) mahu buat (rundingan)," ujarnya ditujukan kepada Ahmad Zahid.

Beliau turut menolak pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 10 Jun lalu untuk memastikan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) akan meningkatkan ketelusan kerajaan serta mengutamakan rakyat.

"Mengapa tidak mahu mencari syarikat yang lain yang tidak buat 'mark up' (harga) yang seteruk ini?" soalnya ditujukan kepada Najib yang juga Menteri Kewangan I.

Beliau berkata, GDP sepatutnya mengajar Najib untuk membelanjakan wang rakyat untuk kepentingan serta kebajikan rakyat.

"Ertinya RM8 bilion ini dibazirkan dengan membeli kereta APC ini dengan (harganya) tiga kali ganda, RM8 bilion ini lebih bermanfaat untuk rakyat," ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 160,000 rumah kos rendah boleh dibina menggunakan RM8 bilion tersebut.

Katanya, lebih kurang 800 keluarga di setiap Parlimen (222) boleh memiliki rumah kos rendah bernilai RM50,000 seunit.

Melihat pada urus tadbir kewangan kerajaan yang kian korup, tiris, rasuah serta tidak mengutamakan kebajikan rakyat, beliau mengajak rakyat memberi peluang Pakatan Rakyat membersihkan pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Harakahdaily/-

Hub hiburan: Pemuda PAS sifatkan mundur, jahiliah

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Rusli Yasmin

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menjadikan Malaysia hub pusat hiburan malam dilihat sebagai ekonomi ‘pumping' (turun naik), kata Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi.

"Jika benar apa yang dilakukan oleh kerajaan ini, peringkat awal mungkin ia akan dapat menjana pendapatan tetapi kesan sosial yang diterima akan menjadikan kita rugi besar," katanya ketika dihubungi petang tadi.

Katanya, kerajaan terpaksa pula membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk kempen dan menangani masalah keruntuhan sosial seperti masalah buang bayi, penyakit Aids, penyakit kelamin dan lain-lain masalah sosial.

"Ini kerja sia-sia, kerja korek dan kemudian timbus. Pertumbuhan gejala sosial juga akan parah daripada apa yang sedia parah.

"Ini sebenarnya nak membawa Malaysia ke arah kehancuran kerana dia lupa modal insan merupakan asas yang sangat penting untuk menjadi negara maju," tegas beliau dalam nada yang kecewa.

Nasrudin juga melihat apa yang dirancang oleh kerajaan pimpinan Najib sebagai suatu yang mundur, bersifat jahiliah dan tidak sepatutnya terfikir oleh seorang pemimpin di dunia moden kini.

"Langkah ini, langkah mundur kebelakang kerana negara sepatutnya dipacu untuk menjadi negara maju kehadapan dengan mendidik rakyat kerja keras dan menjadikan rakyat berdikari, rajin dan bermoral, tetapi malan dia mahu menjadikan rakyat malas, bodoh dan tenggelam dalam dunia hiburan," katanya.

Nasrudin juga hairan pada masa Najib menjadi Perdana Menteri, beliau memperbanyakkan program-program hiburan, berbeza dengan zaman Dr Mahathir yang tidak menjadikan hiburan sumber utama dalam penjanaan ekonomi.

"Saya bukan menolak hiburan, tetapi menjadikan hiburan sebagai suatu tumpuan, industri besar akan melumpuhkan modal insan dan kerajaan pula terpaksa membelanjakan perbelanjaan yang besar untuk membangunkan modal insan," tambahnya.

Harakahdaily/-

Mujahadah Melawan Nafsu Jadi Agenda Utama

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Ahmad Baei Jaafar

Mujahadah Melawan Nafsu menjadi fokus Solusi Isu no25 kali ini. Mengapa perlu kita melawan hawa nafsu? Bagaimana hendak melawan hawa nafsu dalam diri kita sendiri? Semua persoalan itu akan dikupas dan dijelaskan penyelesaiannya.

Nafsu merupakan musuh manusia yang sangat hampir dengan manusia. Nafsu bersama dengan syaitan tidak pernah mengisytiharkan genjatan senjata dengan manusia. Oleh sebab itu, mereka akan terus berusaha menggagalkan manusia daripada taat kepada Allah.

Jalan Keluar kepada isu ini ialah masing-masing perlu bertindak mengawal nafsu dan syaitan dan kita perlu menunggang kedua-duanya bukan kedua-duanya menunggang kita. Dalam hal ini ulama perlu mampu menundukkan nafsu dan syaitan, dan selepas itu baru orang ramai boleh mengikutnya.

Semoga kita berjaya menyelamatkan diri kita daripada dikudai nafsu dan syaitan. Solusi akan memberi panduan kepada anda semua. Selamat Membaca.

PENAMAAN CALON DUN GALAS - MENGAPA TOK GURU NIK AZIZ MENANGIS ?

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

Tok Guru Nik Aziz menangis ketika membaca doa selepas selesai solat hajat diikuti laungan amin oleh para penyokong.(Harakahdaily)

MENGAPA Mursyidul Am PAS juga MB Kelantan ini menangis tatkala kesekelian para penyokong PR begitu bersemangat untuk `mengubur'kan Umno sekali lagi di Bumi Serambi Mekah ini? Tiada siapa yang tahu melainkan Tuan Guru sendiri serta Allah SWT Tuhan yang menjadi tempat beliau mengadu.

Kita semua tahu, Tuan Guru Nik Aziz bukan lemah jiwanya untuk menangis sedemikan rupa. Beliau telah ditekan dan diasak begitu hebat sepanjang perjalanan politiknya, apatah lagi semenjak beliau memegang jawatan MB Kelantan.

Namun, beliau begitu kuat semangatnya, begitu juga tatkala keluarganya diburukkan bahkan pemergiannya ke Mekah pun menjadi fitnah oleh musuh-musuh politiknya. Saya cuba meneka apa yang ditangiskan oleh Tuan Guru Nik Aziz itu.

Pertamanya, beliau merasa sedih kerana masih ada umat Islam di Negeri Kelantan yang mahu menentang dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Apabila Umno yang mengaku Melayu Islam itu meletakkan calon untuk bertanding, ini bermakna parti sekular itu begitu serius untuk menumbangkan PAS di Kelantan.

Mengapa Umno sanggup menentang PAS? Bagi Tuan Guru Nik Aziz, sepatutnya tiada sebab umat Islam di Kelantan khususnya menentang Kerajaan PAS. Apa penyelewengan atau salah laku sepanjang PAS memerintah Kelantan? Jika kemajuan atau pembangunan menjadi sebab, mengapa Kerajaan Pusat yang ditunjangi Umno tidak mahu membantu rakyat Kelantan yang majoritinya Melayu dan berugama Islam itu? Tuan Guru merasa sedih bila memikirkan sampai bila rakyat Kelantan ingin di anak tirikan.

Kedua, Tuan Guru merasa sedih mungkin kerana memikirkan mengapa tergamaknya Umno mempergunakan Ku Li untuk menentang PAS. Semua orang tahu bahawa Ku Li selama ini berjuang untuk mendapatkan hak rakyat Kelantan di dalam isu royalti minyak. Malahan Ku Li sanggup sepentas bersama Tuan Guru untuk berjuang di dalam mendapatkan hak yang dirampas oleh Umno/Bn itu.

Di saat PAS bergelut di dalam perjuangan tersebut, tiba-tiba Ku Li menjadi orang kuat Umno untuk menentang PAS. Tidak terfikir oleh kita mengapa Ku Li sanggup terus meng`gurkha'kan dirinya sepanjang masa. Tentu pada fikiran Tuan Guru, tidak wajar PAS `menyerang' Ku Li kerana besarnya jasa Ku Li terhadap perjuangan PAS di dalam isu royalti.

Berlawan dengan Ku Li bukanlah pilihan yang menggembirakan PAS. Namun, PAS terpaksa berbuat demikian kerana Islam mengajar untuk menentang sesiapa sahaja yang ingin meruntuhkan Islam hatta ibu dan ayah kita sendiri.

Ketiganya pula, tangisan Tuan Guru Nik Aziz adalah tangisan seorang hamba yang menyerahkan segala ketentuan kepada Allah SWT. Setelah PAS berjuang dan melaksanakan segala yang terdaya dan termampu, maka PAS berserah kepada Allah. Mudah-mudahan Allah memberi pertunjuk dan jalan yang mudah untuk PAS terus berkuasa di Kelantan demi agama yang maha suci ini.

Tuan Guru sedar, sepanjang kempen ini nanti sudah pasti Umno akan menggunakan apa jua cara untuk merampas kerusi Dun Galas tersebut. Tuan Guru tetap berdoa ke hadrat Illahi agar seluruh rakyat Kelantan khususnya di Galas akan istiqomah dengan Islam.

Umno akan terus memperlecehkan kepimpinan Tuan Guru di Kelantan. Menjadi kewajipan kita semua untuk berada di saf hadapan berdepan dengan Umno. Lupakan sementara Ku Li, dan jika kita ingin menyelamatkan maruah Ku Li maka PAS mesti tumbangkan Umno di Galas.

Apabila Umno tewas, maka InsyaAllah, Ku Li akan dapat pertunjuk mengapa beliau harus bersama rakyat Kelantan untuk mempertahankan Kerajaan PAS. Apabila Ku Li kembali bersama kita, ini bermakna Umno akan gagal `memperhambakan' Ku Li lagi.

Kes anak derhaka meningkat, Melayu menuju kehancuran

19 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Rozmal bin Malakan

Semalam kes anak nak campak ibu dari rumah pangsa di Cheras. Hari ni akhbar melaporkan anak tumbuk ibu sampai koma di Kemaman, anak ugut bakar rumah ibu di Ampang, isteri dibelasah suami dah 18 tahun di Ipoh. Apa nak jadi dengan masyarakat kita? Adakah ini Bala Gejala Sosial? Kita sentiasa dimomokkan dengan pembangunan fizikal, tetapi pembangunan mental dan spiritual sering dikesampingkan.

Semua pihak, semua parti politik, semua individu harus menumpukan pembangunan mental dan spiritual ketika ini yang semakin parah.

Sebanyak 3 juta daripada 26 juta penduduk termasuk kanak-kanak di negara ini disahkan menghidap masalah gangguan mental atau emosi. Dalam Negara ini mengikut statistik, purata 6 orang bunuh diri setiap hari , 2500 orang setiap tahun dan 50,000kes cuba bunuh diri setiap tahun. Analisis kes sakit mental di Malaysia di http://waghih.blogspot.com/2010/04/makin-ramai-orang-remaja-1malaysia.html Tumbuk ibu sampai koma Harian Metro 27 Okt 2010

KEMAMAN: Akibat berang dengan sikap ibunya yang dikatakan lambat membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya, seorang lelaki sanggup menumbuk muka ibunya itu sehingga terjatuh dan koma.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari di Kampung Mak Chili Paya, di sini, kelmarin, ibu malang itu yang juga seorang suri rumah mengalami pendarahan teruk di muka akibat kesan tumbukan kuat anaknya sebelum terjatuh dan mukanya tersembam pada meja kayu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, akibat kesan tumbukan itu, mangsa mengalami patah tulang kening manakala hidung dan mulutnya mengalami pendarahan teruk sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Kemaman (HK) oleh seorang anak saudaranya yang melihat kejadian itu.

“Bagaimanapun wanita berusia 49 tahun itu dikatakan koma ketika dalam perjalanan ke HK dan dirawat di unit rawatan rapi sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, mangsa mula sedar pada awal petang semalam dan menunjukkan tanda pulih.

Abdullah berkata, pemeriksaan imbasan yang dilakukan terhadap wanita berkenaan di HTAA bagaimanapun menunjukkan tidak berlaku sebarang pendarahan dalam otak dan dia dirujuk semula ke HK untuk rawatan lanjut.

“Susulan itu polis menahan reman seorang lelaki yang juga anak ketiga mangsa berumur 25 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu suspek yang bekerja di sebuah syarikat petroleum di sini dikatakan baru pulang dari tempat kerjanya sementara ibunya sedang mengemas rumah.

Abdullah berkata, suspek dikatakan akan melangsungkan perkahwinan pada 6 November depan dan inginkan kepastian daripada ibunya mengenai perkembangan persiapan perkahwinan seperti kelengkapan pelamin, barangan hantaran dan jamuan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tumbukibusampaikoma/Article/index_html

Ugut bunuh, bakar rumah emak
Harian Metro 27 Okt 2010

AMPANG: Seorang anak sanggup mengugut mahu membunuh dan membakar rumah didiami ibunya hanya semata-mata mahu rumah itu yang terletak di Kuala Ampang, di sini dijual.

Akibat perbuatan anak derhaka terbabit, ibu malang berkenaan yang baru bersara daripada perkhidmatan kerajaan melarikan dan menumpang di rumah saudara kerana khuatir anak kandungnya itu akan bertindak di luar dugaan.

Malah, anaknya yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu sanggup menakut-nakutkan ibunya apabila membawa sebatang besi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan ibunya yang enggan menjual rumah itu.

Menurut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari Sabtu lalu, ketika mangsa berada di rumahnya sebelum didatangi anak lelakinya itu yang berusia lingkungan 30-an.

“Dalam keadaan marah, anaknya mengamuk dengan menyepak perkakas rumah dan turut mengugut akan membunuh ibunya itu jika enggan menjual rumah dan memberikan wang yang diperolehi kepadanya. “Bagaimanapun, si ibu cuba mententeramkan keadaan dan menerangkan kepada anaknya itu yang dia kini dalam proses untuk menjual rumah berkenaan dan memintanya bersabar,” katanya.

Menurutnya, mangsa turut memberitahu akan mendapat hak sewajarnya selepas segala urusan jual beli rumah selesai kelak.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan suspek.

“Lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutbunuh_bakarrumahemak/Article/index_html
18 tahun dibelasah suami
Harian Metro 27 Okt 2010

IPOH: “Saya tak pernah kenal erti kebahagiaan sejak berkahwin dengannya lebih 18 tahun lalu. Sudah kering air mata mengenangkan nasib diri kerana syurga rumah tangga diimpikan pada awal perkahwinan bertukar menjadi igauan ngeri,” kata seorang suri rumah, Salina, 39, yang mendakwa didera suaminya secara fizikal dan mental sejak 18 tahun lalu.

Ibu kepada tiga anak perempuan berusia lima, 16 dan 18 tahun itu akhirnya nekad membuka mulut kelmarin selepas tidak sanggup lagi menanggung sengsara diperlakukan seperti ‘beg pasir’ oleh suaminya yang berusia 40 tahun.

“Saya dilayan seperti hamba oleh suami. Malah, nasib saya juga seperti digantung tidak bertali sejak lima tahun lalu apabila terpaksa mengerah kudrat dan menebalkan muka bekerja di kilang dan kedai makan bagi menyara perbelanjaan harian dan anak-anak kerana suami tidak lagi memberi nafkah.

“Sikap buruknya tak berubah. Dia hanya pulang ke rumah seminggu sekali dan setiap kali pulang, meminta wang daripada saya. “Jika tidak diberi, dia pukul saya malah dia juga pernah beberapa kali menghalau saya keluar dari rumah tapi disebabkan tiada tempat dituju dan memikirkan nasib anak, saya pulang semula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Pengkalan, dekat sini, kelmarin.

Salina berkata, dalam kejadian terbaru minggu lalu, suaminya bertindak ganas memukul kepalanya dengan kerusi sehingga dia terpaksa melarikan diri ke rumah anak sulung tidak jauh dari rumahnya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pasir Puteh.

Salina yang cedera di kepala dan menerima rawatan pesakit luar di sebuah hospital berkata, sebelum ini dia tidak berani melaporkan kejadian dia didera kepada polis kerana takutkan suami yang juga bekas askar tetapi dibuang kerja atas kesalahan disiplin pada 2002.

“Tidak lama selepas berkahwin dengan saya, suami bernikah seorang lagi tapi isteri keduanya diceraikan tidak lama kemudian kerana perkahwinannya tidak mendapat persetujuan saya. “Dia kemudian berkahwin sekali lagi tapi bercerai kerana isteri ketiganya kerana menerima nasib sama seperti saya tetapi dia berkahwin kali keempat pada 2008,” katanya.

“Saya pernah beberapa kali minta cerai tapi dia enggan melepaskan saya. Saya berharap ada pihak sudi membantu menguruskan proses perceraian saya dan kini saya hanya bergantung hidup atas bantuan bulanan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.