24 October 2010

Umno tetap perkauman selepas 50 tahun merdeka

15 Zulkaidah 1431H.

KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ternyata setelah lebih 50 tahun merdeka, Umno tetap berwajah perkauman dan bersikap berpura-pura, bahkan menentang Islam.

“Justeru, kita tidak mempunyai pilihan dalam membangunkan negara yang makmur dan masyarakat yang adil, melainkan dengan mendaulatkan Islam dan ianya tidak akan tercapai melainkan dengan kita memperkasakan jihad,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 di Kampung Tanjung, Batuk Rakit, pagi ini.

Mutakhir ini, katanya Umno BN sedang mengukuhkan strategi gerakan Islam Liberal melalui pengisytiharan kemasukan sekumpulan mereka yang dianggap sebagai ‘ulama muda’.

Menurutnya, mereka diharapkan oleh Umno menjadi barisan hadapan untuk menentang gerakan PAS di bawah kepimpinan ulama.

Mutakhir ini juga, tambahnya apabila PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Umno BN menjadi sangat bimbang sehingga mereka mengambil langkah mempertajamkan semula gerakan perkauman dengan didokongi oleh beberapa NGO seperti Perkasa.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, seperti yang sedia maklum Kerajaan Umno BN telah menyalahgunakan undang-undang untuk menghalang pelaksanaan Islam yang syumul.

Mereka, katanya komited untuk menghalang kemaraan PAS di mana pada hari ini bersama Pakatan Rakyat atau menyekat PAS daripada memerintah.

Katanya lagi, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA 1960, Akta Hasutan 1948, Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU 1971, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan undang-undang yang berkaitan.

Mereka, ujarnya sentiasa menakut-nakut dan memperbodohkan rakyat seperti yang digambarkan di dalam surah az-Zukhruf, ayat 54 yang bermaksud: (dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik derhaka.

“Di atas kenyataan seperti inilah kerajaan Umno BN menggunakan jentera-jentera kerajaan untuk menekan rakyat.

“Mereka mempunyai kuncu-kuncu dan agen-agen dari golongan tertentu yang sanggup menindas dan merampas hak rakyat demi survival kepentingan mereka,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai media yang berat sebelah di Malaysia juga menjadi faktor besar penghalang kepada jihad yang didokongi PAS.

“Lihatlah siapa yang memiliki media elektronik negara kalau bukan Umno BN. Siapakah pemilik TV3, RTM, NTV9?

“Siapa pula pemilik akhbar arus perdana Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times kalau bukan Barisan Nasional?

Baginya, media itulah yang digunakan untuk memberi persepsi yang negatif terhadap PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat di mana kerap kali PAS digambarkan sebagai parti ekstrimis.

Tambahnya lagi, dengan media itulah mereka menguasai minda rakyat yang mana propaganda demi propaganda dilancarkan melalui media demi meneruskan kezaliman mereka.

“Setiap waktu, musuh selalu menakut-nakutkan kita melalui media dengan menyebarkan berita-berita bohong dan membentuk persepsi negatif bagi memecahbelahkan saf perjuangan kita.

“Didiklah diri kita agar tidak mengikuti apa yang kita tidak ketahui tentangnya,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pendukung PAS agar jangan tergolong dalam orang yang disebut oleh Nabi s.a.w. sebagai pembohong hanya kerana menceritakan apa sahaja yang dia dengar walaupun berita yang dibawa adalah bohong.

Beliau juga menyentuh mengenai rakyat dan pengundi yang jahil di mana pepatah ada menyebut "kamu adalah musuh kepada apa yang kamu jahil".

Ini, katanya kerana rakyat dan pengundi yang tidak mendapat maklumat yang sepatutnya menyebabkan persepsi mereka terhadap PAS menjadi negatif.

“Kejahilan inilah menjadi senjata Umno BN untuk memancing undi mereka setiap kali pilihanraya berlangsung,” ujarnya.

Menurutnya, punca rakyat menjadi jahil adalah disebabkan dua faktor penting iaitu malas membaca dan penguasaan media oleh Umno Barisan Nasional.

Tambahnya lagi, memang jelas bahawa antara penghalang kepada rakyat untuk bersama dengan jihad PAS ialah kejahilan mereka terhadap kebenaran jihad perjuangan PAS dek kerana tipudaya melalui propaganda media Barisan Nasional.

“Inilah gerak kerja golongan munafik yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan semangat juang umat Islam untuk berjihad menentang kebatilan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya PAS haruslah memainkan peranan sebagai pendidik masyarakat melalui program-program ilmu seperti kuliah, ceramah, tazkirah dan seumpamanya yang hendaklah diatur dengan sebaiknya bagi menangani kejahilan masyarakat terhadap Islam dan perjuangan PAS itu sendiri. Harakahdaily/-