21 October 2010

Siswa UKM sertai raptai perhimpunan Umno?


12 Zulkaidah 1431H.

Dua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa turut mengambil bahagian dalam raptai penuh perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Oktober lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai Kesatuan Mahasiswa Mahasiswa Sedar (KEMAS) mendakwa ia dapat mengecam kedua-dua mahasiswa UKM itu di dalam foto yang disiarkan akhbar Berita Harian pada hari berikutnya

Perasmian perhimpunan agung Umno tahun ini akan disempurnakan oleh Presiden Umnno, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC esok.

KEMAS mendakwa mahasiswa terbabit adalah daripada Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan UKM.

"Kehadiran mereka ini juga berkaitan rapat dengan pernglibatan pentadbiran universiti dengan parti Umno," kata jurucakap KEMAS, Fathi Hisham (dua dari kiri) yang membaca satu kenyataan hari ini.

Katanya, KEMAS juga yakin penglibatan mahasiswa UKM dalam perhimpunan agung Umno kali ini melebihi dua orang.

Fathi yang juga pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata gambar tersebut menunjukkan mahasiswa terlibat memakai baju Melayu Putih, bersongkok dan bersampin yang mempunyai logo Umno.

Kejadian itu, katanya, adalah sama sepertimana kes mahasiswa yang telah dikenakan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) - Saudara Soh Sok Hua - yang dihukum kerana gambarnya tersiar di akhbar dengan memakai pakaian yang mempunyai logo parti politik beberapa tahun lalu.

Sementara itu, setiausaha KEMAS Syamir Zulkefli (Foto atas: yang pegang mikrofon) - dalam kenyataannya - menggesa pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan supaya segera menyiasat perkara ini mengikut undang-undang dan prosedur seharusnya.

Beliau juga mendesak agar Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin supaya menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penglibatan pentadbiran universiti dan mahasiswa dalam perhimpunan agung Umno itu.

Sementara dalam sidang media selepas itu, Fathi berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara tersebut melalui sumber yang dipercayainya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti dan jumlah individu sebenar yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

"Mungkin satu pasukan diarahkan (menyertai perhimpunan)....Saya tidak mahu menyatakan (jumlahnya) pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini telah cuba menghubungi ketua penolong pendaftar kanan hal ehwal pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Bagaimanpun, Malaysiakini dimaklumkan oleh pejabatnya bahawa beliau sedang menghadiri bengkel di Sabah dan dijadualkan pulang esok.

Malaysiakini/-

Tu Qiong Bi Xian : Setelah Gulungan Peta Dibuka, Pisau Belati Pun Terlihat


12 Zulkaidah 1431H.

Asal Usul:

Pada penghujung zaman Negeri-Negeri Berperang (tahun 475-221 Sebelum Masihi), negeri Qin mula menunjukkan hasrat untuk menakluk negeri-negeri yang lain demi menyatukan seluruh negara. Pada tahun 228 sebelum Masihi, selepas berjaya menawan sebuah negeri, tentera negeri Qin bersiap sedia pula untuk menyerang sebuah lagi negeri yang bernama Yan. Setelah mengetahui hal tersebut, putera negeri Yan pun menghantar Jing Ke, seorang perajuritnya yang gagah berani, ke negeri Qin untuk membunuh raja negeri Qin.

Untuk mendapatkan kepercayaan raja negeri Qin, Jing Ke telah membawa bersamanya sekeping peta yang terlukis wilayah-wilayah yang paling subur di negeri Yan untuk dihadiahkan kepada baginda. Padahal, sebelum itu, dia sudah menyembunyikan sebilah pisau belati yang sangat tajam di dalam gulungan peta itu.

Setelah tiba di negeri Qin, Jing Ke telah dibenarkan untuk menghadap raja di istana. Maka, dengan penuh hormat, Jing Ke mengeluarkan peta yang dibawanya itu, lalu membuka gulungannya dengan perlahan-lahan. Ketika gulungan peta itu dibuka sepenuhnya, dia segera mencabut keluar pisau belati yang disembunyikannya itu, dan cuba menikam raja negeri Qin. Bagaimanapun, raja itu telah menyelinap ke belakang sebatang tiang yang besar dengan pantas. Pada saat itu, pengawal istana segera bertindak mengepung Jing Ke, dan terus membunuhnya. Berikutan gagalnya rancangan untuk membunuh raja negeri Qin itu, negeri Yan akhirnya tidak terlepas juga daripada ditakluk oleh negeri Qin.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Tu Qiong Bi Xian" atau "Setelah Gulungan Peta Dibuka, Pisau Belati Pun Terlihat" ini membawa erti, apa jua niat jahat yang tersembunyi, akhirnya akan terbongkar juga. Ia menasihati kita supaya jangan cuba berbuat jahat, seperti menipu dan mencuri, kerana lambat laun kita pasti menanggung akibatnya. CRI/-

Rendahkanlah hati mu

12 Zulkaidah 1431H.
Oleh : Ust. Salman Maskuri
http://akhisalman.blogspot.com/

Nabi saw bersabda:

إن الله أوحى إلي أن تواضعوا حتى لا يفخر أحد على أحد ولا يبغى أحد على أحد

“ Sesungguhnya Allah mewahyukan kepada ku agar kamu semua bersikap merendah hati mu supaya kamu tidak bermegah kepada yang lain dan tidak menzalimi orang lain.”

Hadis riwayat Muslim

Tawaduk adalah perasaan kita adalah yang paling banyak dosa dan kesalahan diantara orang lain. Imam Malik bin berkata dalam mendefinasikan tawaduk:

أن ترى نفسك دون كل جليس

Kamu melihat dirimu lebih rendah dari setiap orang yang bersama.

Kalau berada dalam kelas, kita rasa lebih banyak dosa dan kesalahan dari rakan sekelas. Sekalipun kita sebagai guru kena rasa kita yang banyak dosa dari orang lain.

Kalau berada di tempat kerja kita rasa kita lah paling banyak dosa dan kesalahan dari rakan sekerja lain. Walaupun kita bos kita kena rasa lebih banyak dosa.

Kalau dalam rumah , kita rasa lebih banyak kesalahan dan dosa dari housmate lain. Even kita senior.

Nabi saw pun disuruh untuk merendahkan diri dengan para sahabatnya. Allah berfirman :

واخفض جناحك لمن تبعك من المؤمنين

“ Dan rendahkanlah dirimu kepada orang-orang beriman yang mengikuti kamu.”

Sifat merendah diri terhadap sesame mukmin dan muslim adalah dituntut dalam al-Quran. Inilah golangan yang dikasihi tuhan. Firman Allah swt:

“ mereka (orang yang dikasihi tuhan dan mengasihi tuhan) merasa hina terhadap orang-orang beriman dan merasa megah terhadap orang-orang kafir.”

Berpakaian cantik tidak menafikan tawaduk

Rasulullah saw bersabda:

“ Tidak masuk syurga orang yang mempunyai sebesar biji sawi sifat kesombongan dalam hatinya.”

Sahabat bertanya:

Bagaimana kalau orang yang suka pakai baju cantik dan kasut cantik.

Nabi saw menjawab:

Sesungguhnya Allah cantik dan sukakan kecantikan. Kesombongan adalah menolak kebenaran dan menghina manusia (walau dalam hati).

Hadis sahih Bukhari

Cerita tentang tawaduk

Ketika mana salman al-farisi menjadi gabenor pada salah satu wilayah Islam, seorang kenamaan telah membeli barang. Apabila dia melihat salman yang disangkannya pembawa barang, dia telah berkata “ Mari angkat barang-barang ini.” Lalu salman membawa barang tersebut. Di pertengahan jalan, orang ramai telah berkata “ Semoga Allah memberi kebaikan pada mu wahai gabenor. Biar kami yang membawa barang-barang yang kau bawa.” Namun salman enggan untuk menyerahkan barang itu kepada mereka. Ketika itu barulah kenamaan tadi tersedar dan berkata pada dirinya “ Celaka engkau ini , aku telah mempergunakan gabenor.” Dia pun meminta maaf kepada salman dan berkata “ Maaf aku tidak mengenalimu , semoga Allah memberikan kebaikan kepada mu. “ Salman pun berkata “ tidak mengapa, engkau balik rumah.” Salman membawa barang itu ke rumah kenamaan tersebut. Dia pun berkata “ Aku tidak akan mempergunakan sesiapa selepas ini.”

Cerita ini disebut dalam kitab Tanbihul Mugtarrin.

Kes Aminulrasyid: Tertuduh lepaskan 21 tembakan

12 Zulkaidah 1431H.

Tertuduh dalam kes perbicaraan membabitkan kematian Aminulrasyid Amzah didakwa menggunakan 21 daripada 100 peluru yang diperuntukkannya semasa bertugas ketika remaja berusia 15 tahun itu ditembak mati.

Menurut Korporal Ismail Daud, yang bertanggungjawab menjaga senjata api dari simpanan di balai polis Seksyen 11, tertuduh Korporal Jenain Subi dibekalkan dengan 100 peluru semasa dia bertugas daripada jam 10 malam 25 April sehingga jam 6 pagi, keesokan hari.

Remaja itu ditembak mati antara jam 1.10 pagi hingga 2 pagi, 26 April selepas dikejar oleh kereta peronda polis.

"Saya kira peluru apabila Jenain memulangkan senjatanya sekitar jam 6.42 pagi, 26 April dan mendapati kelopak di senjata itu hanya tinggal empat peluru,” katanya sambil merujuk kepada catatan rekod balai polis berkenaan.


Setiap kelopak senapang sub-mesin jenis Helper dan Koch MP5 itu yang diberikan kepada Jenain itu berisi 25 butir peluru, katanya.

Ismail juga mengakui bahawa tiga kelopak yang lain tidak digunakan.

Pada 12 Oktober lalu, mahkamah diberitahu 19 kelongsong peluru dijumpai sekitar lokasi kejadian.

Awal hari ini, seorang lagi saksi, Muhammad Radhi Abdul Hamid daripada bahagian persenjataan berkata ada kemungkinan seseorang penembak tepat akan tersasar dalam beberapa keadaan.

Beliau bersetuju dengan cadangan peguam pembelaaan bahawa antara keadaan itu termasuk jalan yang tidak rata, mengejar suspek dengan kelajuan tinggi dan sasaran ya ng bergerak.

Katanya, berat senjata api juga boleh menjejaskan ketepatan sasaran dan bersetuju bahawa senjata MP5 itu adalah berat tetapi tidak dapat menganggarkan jumlahnya.

Namun ketika disoal pihak pendakwaan, saksi itu yang mengakui beliau adalah pakar senjata api berkata perkara berkenaan adalah hanya pendapatnya dan beliau belum pernah menembak sasaran yang bergerak pada kelajuan tinggi.

Pada 10 Mei lalu, Jenain, 48, mengaku tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 in Section 11, Shah Alam pada 26 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda jika didapati bersalah.
malaysiakini/-

Khairy: BN mungkin hilang 50 kerusi parlimen...

12 Zulkaidah 1431H.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 50 kerusi parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya sekiraya Umno masih lagi berkhayal boleh menang dalam pilihan raya tanpa sokongan bukan Melayu.

Katanya, sekiranya tidak ada usaha untuk mengamalkan kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang "bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi."

"Kita harus belajar dari keputusan pilihanraya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu," katanya yang juga ahli parlimen Rembau.

Ketika berucap di perhimpunan agung pergerakan tersebut hari ini, Khairy berkata, keadaan itu bermakna, untuk menang mestilah dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

"Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya," katanya.

Sementara itu, berhubung isu ekonomi, Khairy mempersoalkan kenapa terdapat anggota parti itu yang takut dengan gusar dengan ekonomi berteraskan merit melalui Model Baru Ekonomi (MBE),

Maaf, apa saya dapat dari DEB

"Mengapa kita perlu gusar apabila mereka yang berkebolehan, yang genuine, diberi peluang untuk ke depan? Apakah kita terlalu dengki dengan bangsa sendiri yang rajin dan berbakat sehingga kita sanggup menghalang kejayaan mereka?

"Adakah kita umpama ketam di dalam bakul yang menarik turun sesama sendiri?" soal Khairy bertubi-tubi.

Beliau juga mengakui terdapat persepsi negatif terhadap pendekatan terdahulu Dasar Ekonomi Baru (DEB) di kalangan anak muda.

"Apabila saya ceritakan soal DEB dan perjuangan bangsa, mereka jawab: 'Minta maaf. Apa yang saya dapat dari DEB?' Gaji mereka di bawah paras kemiskinan, ramai di kalangan mereka berhijrah ke bandar di mana kos sara hidup meningkat dengan lebih pantas dari pendapatan. Mereka Melayu, Bumiputera tetapi nikmat DEB tidak mereka rasai.

"Tanggapan mereka – persepsi yang mereka ada – DEB hanya menguntungkan segelintir Bumiputera elit yang ada kabel besar. Bagi golongan ini, sasaran ekuiti 30 peratus tidak bermakna kerana kebanyakkan mereka tidak pernah dan tidak mampu untuk membeli saham," katanya.

Sehubungan itu, Khairy berkata, realiti itu menuntut kerajaan membuat perubahan melalui MEB yang didakwa sebagai "pengemaskinian terhadap cara pelaksanaan agar segala kelemahan DEB dapat diatasi".

Malaysiakini/-

Muzakarah Adun lompat parti, persoalan cuba disembunyikan

12 Zulkaidah 1431H.
Dr Khairuddin Abd Malik

Saya ingin memberikan beberapa penjelasan tambahan berkenaan isu ADUN lompat parti khususnya kejadian 26/01/09 hingga 03/02/09 yang berlaku di Perak. Merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Puteri UMNO Perak dan Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Perak (MS PK4 Akhbar Sinar Harian 18/10/10). Juga merujuk (MS PK5 akhbar yang sama) tentang pandangan Mufti Perak bahawa lompat parti adalah dibenarkan dalam Islam dengan syarat ADUN lompat terus berkhidmat kepada pengundi.

Berikut penjelasan saya :

i) Muzakarah 17/10/10 yang diadakan di sebuah Hotel di Ipoh adalah sepenuhnya inisiatif peribadi.

Dato Thasleem Mohd Ibrahim, Pengerusi Majlis Tindakan India Muslim Malaysia (MTIMM). Faktor utama yang beliau rasakan ‘wajib’ mengadakan majlis tersebut adalah kerana sebagai seorang Muslim beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena tentang fenomena ADUN lompat dari segi perspektif Islam. Sementelahan pula pelbagai surat yang beliau hantar kepada pihak-pihak yang berkelayakan termasuk kepada majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti-mufti Negeri tidak mendapat jawapan. Yang adapun daripada mufti Perak bukan jawapan dari Majlis Fatwa Perak tetapi pendapat peribadi yang tidak langsung disertakan hujjah-hujjah Al Quran, Al Hadis ataupun pandangan ulama muktabar. Untuk berlaku adil, penganjur telah menjemput semua pihak yang berkepentingan Islam termasuk ulama-ulama , parti politik, Kedutaan Asing dan NGO-NGO Islam.

ii) Untuk pemimpin-pemimpin UMNO mengatakan muzakarah tersebut retorik dan membuang masa adalah keterlaluan. Membedah siasat kemungkaran untuk dijadikan satu iktibar kepada generasi mendatang bukan membuang masa! Menentang kemungkaran bahkan berkait langsung dengan persoalan keimanan dan persoalan dosa serta pahala.

iii) Islam adalah agama yang syumul (sempurna). Jika persoalan sekecil masuk keluar tandas pun ada adab dan nilai pahala/dosa tidak mungkin persoalan politik yang besar seperti ADUN lompat, pecah amanah tentang janji kepada pengundi, kepada pekerja dan pemimpin parti (yang berhabis-habisan semasa kempen piliharaya) tidak ada hukumnya dalam Islam. Pecah amanah adalah sifat-sifat orang munafiq.

iv) Persoalan ADUN lompat kerana kononnya demi menyelamatkan bangsa adalah juga perkara yang sangat subjektif dan perlu di adili. Benarkah ada penggadaian bangsa oleh Kerajaan PR Perak (KPRP) (March 2008 – Februari 2009). Jika memberikan geran bantuan kepada Sekolah-Sekolah Swasta Cina oleh KPRP dianggap menggadai bangsa kenapa ADUN-ADUN yang sama tidak mengistiharkan tidak lagi menyokong Kerajaan BN Perak (KBNP) apabila Dr. Zambry mengumumkan bantuan RM 400,000 kepada setiap Sekolah Swasta Cina dan menyerah tanah seluas 1,000 Hektar kepada Sekolah-Sekolah yang sama pada awal tahun ini. Bahkan antara acara rasmi awal Dr. Zambry sebagai MB Perak pada 08/02/2009 (hari ke 3 menjadi MB) adalah lawatan dan anugerah RM 100,000 kepada sebuah kuil di Ipoh. ADUN-ADUN Behrang dan Changkat Jering tak pernah pula membantah . Tidak hairan kerana mufti pun tidak beri respon!

v) Adakah sesuatu yang wajar bagi satu parti politik yang memperjuangkan bangsa dan agama (UMNO) dan ADUN-ADUN lompat yang keluar PR dengan alasan nak selamatkan bangsa terpalit dengan pelbagai perkara yang memalukan agama dan bangsa (ingat bagi orang-orang Melayu Islam dan Melayu itu sinonim). Bagi Umno & agen-agen upahannya, mereka terpalit dengan perangkap rasuah, perangkap sex, culik dan ugut ADUN (26/01/09 – 03/02/09). Bagi ADUN-ADUN lompat pula rela untuk di culik, ugut dan diberikan pelbagai imbuhan. Ingat Islam tidak pernah mengizinkan perlakuan dosa demi sesuatu perjuangan yang kononnya benar. Falsafah “tujuan menghalalkan cara” ciptaan laknatullah Machiavelli yang dianuti secara taat oleh UMNO adalah falsafah neraka.

vi) Untuk Mufti Perak secara ‘Superficial’ memberikan hukum lompat ADUN adalah harus (atau? Sunat) tanpa kajian teliti, tanpa merujuk kepada rakan-rakan Ahli majlis Fatwa Negeri yang lain adalah satu tindakan tidak amanah kepada tugasnya. Tidakkah Mufti ingin mengambil kira faktor-faktor : latar belakang kes, perangkap-perangkap mungkar yang digunakan, imbuhan-imbuhan yang diberi dan pelbagai lagi. Menjatuhkan hukum tidak semudah memberikan ceramah “Melayu hilang kuasa jika berpecah” yang menjadi zikir dan mantera Mufti Perak kini. Yang pasti adalah Melayu akan hilang kuasa jika Islam tidak dijadikan dasar perjuangan dan pemerintahan. Kerana Melayu-Melayu yang nak diajak bersatu sudah mencapai angka jutaan adalah penghidap-penghidap HIV, penagih dadah, pelaku zina & anak-anak luar nikah, perasuah-perasuah, pembunuh dan pelaku bunuh diri (suicide).

vii) Jika pula Mufti Perak mengetahui latar belakang kes (perangkap sex, culik, rasuah dan sebagainya) tetapi akur tentang lompat parti dan rampas kuasa BN terhadap Kerajaan PR Perak itu sesuatu yang absah, tindakan mufti tersebut adalah merupakan amalan-amalan dan sikap assobiyah yang sangat klasik. Menyokong kezaliman kerana pelakunya kawan atau puak-puak yang kita suka adalah tindakan yang sama zalim dan ditolak oleh Rasulullah sebagai bukan dari golongan orang-orang yang beriman. Untuk mufti mengatakan ADUN lompat tersebut bersih dari segala noda mungkar tajaan pemimpin-pemimpin besar UMNO adalah petunjuk bahawa mufti sangat naïf dan tidak berwibawa. Jika beliau mendakwa memang naïf, penulis dapat membuktikan ianya satu pembohongan. Pada 03/02/09 jam 10.00 malam di kediaman mufti, penulis sendiri bersama 5 orang saksi memperdengarkan bukti sahih bagaimana rintihan seorang isteri ADUN lompat minta ditolong kerana suaminya diculik oleh agen-agen UMNO. Takkan mufti sudah lupa.

viii) Akhir kalam untuk UMNO menolak hadir muzakarah ilmiah dan syarie anjuran NGO bebas pada 17/10/10 sedangkan PAS hadir dengan segala amanahnya adalah bukti dan testimoni bahawa UMNO tidak berani berhadapan dengan kebenaran hujjah-hujjah agama. Setakat berani berhujjah dengan retorik bangsa Melayu dan agenda pembangunan yang entah kemana adalah terlalu rapoh. Bahkan terkini Presiden UMNO Dato Najib juga mengakui isu pembangunan sebagai agenda mendapatkan sokongan sudah tidak berkesan. Maknanya apa ? Rakyat semakin berilmu, celik, kritis dan bijak untuk menilai : Ilmu & intelek Vs retorik, moraliti Vs korupsi dan demokrasi, syura Vs anarki & Machiavelli.

Sekian, untuk renungan terakhir, mari bersama meneliti hadis berikut:

“Tiada seorang pun pemimpin yang mengendalikan urusan orang-orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh menguruskan mereka dan tidak memberikan nasihat (agama) kepada mereka, melainkan dia tidak akan dapat masuk syurga bersama-sama mereka”. (H.R. Muslim)

Saudaramu dalam Iman,

Dr. Hj. Khairuddin Bin Dato’ Abd. Malik
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak
Ahli Majlis Perunding MAPIM.

Ubat penyakit takbur

12 Zulakidah 1431H.
Email : aizi aizi

Imam al-Ghazali ada mencatatkan lima cara untuk mengikis sikap takbur dalam diri seseorang iaitu dengan cara:

Apabila kita bersuara dengan anak-anak kecil, maka kita anggaplah yang sebenarnya dia lebih bersih dan mulia daripada kita kerana mereka masih belum mempunyai dosa-dosa berbanding dari kita yang telah dewasa.

Apabila kita bersuara dengan orang tua pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya doanya lebih mulia daripada kita kerana dia lebih lama beramal ibadah kepada Allah dari kita.

Apabila kita bersuara dengan orang alim pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya beliau lebih mulia daripada kita kerana insan sebegini memiliki lebih banyak ilmu yang beliau ketahui tetapi kita belum mengetahuinya.

Apabila kita bersuara dengan orang jahil pula, maka kita anggaplah yang sebenarnya dia lebih mulia dari kita kerana dia melakukan dosa disebabkan kejahilannya, sedangkan kita berdosa akan tetapi memiliki ilmu pula dengan sengaja kita melakukannya walaupun hakikatnya kita tahu yang mana satu perkara buruk dan baik.

Apabila kita bersuara dengan orang kafir pula, katakanlah dalam hati bahawa suatu hari nanti mungkin dia akan insaf dan akan memeluk islam. Maka semua dosa yang dilakukan sebelum dia masuk Islam akan diampunkan oleh Allah s.w.t. Sedangkan kita pula sebagai umat islam sejak lahir terus -menerus melakukan dosa tanpa mengenal balasan Allah yang bakal tiba kelak.

..Dan yang sebenarnya telah banyak manakah dosa dan pahala yang tidak mampu kita pastikan..?

UMNO tidak nampak tanda-tanda untuk berubah.

12 Zulkaidah 1431H.

PARIT BUNTAR, 20 Oktober : Drs. Khalil Idham ADUN Titi Serong berkata bahawa UMNO masih gagal dalam usaha meyakinkan rakyat dan segala usaha terakhir yang dilakukan UMNO masih menemui jalan buntu.

Selain itu UMNO menerima tamparan bila salah seorang pimpinan UMNO veteran keluar parti iaitu ahli politik veteran yang membawa UMNO ke Sabah, Datuk Karim Ghani mengumumkan keluar parti itu.

"Kelmarin bangunan yang pejabat jadi Pejabat UMNO di Kota Bharu dibeli oleh Pemuda PAS kelantan , dan ini bagi saya satu tamparan kepada UMNO dan BN" Kata Drs. Khalil.

Selain itu, Dr Asri yang juga Bekas mufti Perlis bila mengulas mengenai perkembangan UMNO kini, menurutnya,“saya kira mengapa orang menolak parti-parti yang banyak berjasa dahulu kerana parti itu tidak berubah. Parti itu dilihat sebagai kaku dan tidak dinamik. Mereka tidak berubah mengikut masa,”katanya .

Disamping itu, menurut Drs. Khalil yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, UMNO selama ini hanya memandang bahawa rakyat “kebulur” dengan politik pembangunan dan ini berlaku secara maksima setiap kali PRK diadakan, "Keadaan yang sama akan berlaku di Galas" , tegasnya.

"Hakikatnya janji pembagunan tersebut hanya “gula-gula” buatan UBN setiap kali pilihanraya , dan kini UMNO sedang menerima balasan di atas perbuatan mereka (BN) kerana memperbodoh dan cuba mengelirukan rakyat Malaysia" katanya.

Selain itu Drs. Khalil juga menegaskan usaha UMNO untuk menunjukkan dia adalah juara dan pejuang bangsa Melayu dan Agama adalah usaha terakhir UMNO yang pastinya akan ditolak oleh rakyat.

"Sekarang ini pemimpin UMNO bercakap bahawa sikap UMNO yang memperjuangkan bangsa adalah sesuatu yang tidak salah. Namun perlu saya tegaskan yang salah kerana UMNO terus berjuang dengan asas Melayu UMNO yang telah khianat kepada bangsanya sediri dan khianat kepada agama Islam, Orang Cina dan India tidak bencikan Melayu tetapi mereka bencikan UMNO yang rasisi itu" Jelas Drs. Khalil

Drs. Khalil juga menegaskan yang paling menyedihkan ialah sikap pemimpin UMNO , dan malah melahirkan pegawai-pegawai yang rasis sehingga sanggup menghina bangsa lain secara terbuka dan dalam majlis rasmi. Macamlah Melayu saja yang selamat di dunia ini.

Kerana itu baginya yang merupakan ADUN Perak dari PAS yang berbangsa Cina itu, UMNO tidak nampak tanda-tanda untuk berubah dan terus mempertahankan perjuangannya.

"Eloklah UMNO bertegas dengan perjuangan salahnya dan ditolak oleh bangsa lain, dan kerana itu mempercepatkan kemenangan Pakatan Rakyat kembali berkuasa di Perak dan Putrjaya" Tegasnya dalam pertemuan singkat di pejabatnya di sini.

Maju dengan kebendaan, akhlak musnah

12 Zulkaidah 1431H.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Marilah kita mengkaji satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar r.a. Daripada Amirul Mukminin Umar ibnu Khattab, katanya: Sedang kami duduk bersama-sama Rasulullah s.a.w., tiba-tiba muncul seorang lelaki yang putih bersih pakaiannya, yang terlalu hitam rambutnya, tidak ada tanda-tanda musafir dari jauh dan tidak ada seorang pun daripada kami yang mengenalinya.

Tiba-tiba dia duduk terlalu dekat dengan Rasulullah s.a.w. sehingga berlaga lutut dengan Rasulullah s.a.w. Dia meletak kedua belah tangannya di atas kedua paha Rasulullah s.a.w. dan berkata:

Wahai Muhammad, khabarkan kepadaku apa dia Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.: Islam itu ialah bahawa engkau menyaksikan yakin bahawa tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dan Muhammad itu rasulullah, kamu mendirikan sembahyang, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa pada bulan Ramadan dan kamu mengerjakan haji ke Baitullahilharam sekiranya mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata: Betul.

Sayidina Umar berkata: Kami merasa hairan, dia bertanya Rasulullah s.a.w. kemudian membenarkannya apa yang ditanya. Dia bertanya lagi, apa dia iman. Sabda Rasulullah s.a.w. iman itu engkau percaya kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul, kepada hari akhirat dan kepada qadar baik dan jahatnya. Dia berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, apa dia ihsan. Jawab Rasulullah s.a.w. ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, maka yakinlah bahawa Dia melihat kamu. Lelaki itu berkata: Ya, benar! Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku berkenaan dengan kiamat, bilakah berlaku kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Bukanlah orang yang ditanya lebih mengetahui daripada orang yang bertanya. Dia bertanya lagi, ceritakan kepadaku tanda-tanda kiamat. Jawab Rasulullah s.a.w.: Engkau melihat hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya, orang-orang yang bangsat dan papa, bertelanjang kerana tidak ada pakaian, yang berkaki ayam dan gembala-gembala kambing, tiba-tiba mereka berlumba-lumba mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi, kemudian lelaki itu berundur.

Sayidina Umar berkata: Kami terdiam. Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. bertanya: Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah yang bertanya tadi. Jawab Umar: Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah s.a.w.: Itulah Jibril, dia datang kepada kamu mengajar tentang agama kamu. (Riwayat Muslim)

Hadis ini menerangkan keseluruhan ajaran Islam yang terdiri daripada iman, Islam dan ihsan. Ia merupakan agenda pembangunan manusia dan masyarakat daripada Allah SWT di atas muka bumi ini agar mereka dapat mengabdikan diri kepada Allah dengan sebaik-baiknya.

Allah sentiasa menguji manusia di atas muka bumi ini sebagaimana firman-Nya (yang bermaksud): Maha suci Tuhan yang berada dalam tangan-Nya kerajaan, Dia Maha Berkuasa di atas tiap-tiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menjadi hidup dan mati bagi kamu untuk menguji dan mencuba kamu dalam kehidupan dunia ini siapakah di kalangan kamu yang baik amalannya, Dia ialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk: 1-2)

Allah SWT tidak menjadikan manusia dengan membiarkan mereka begitu sahaja tetapi mengutuskan para nabi dan rasul dengan membawa ajaran Islam supaya manusia hidup dengan betul, melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada mereka di dunia dan akhirat.

Mengapa hari ini kita berada dalam dunia yang penuh dengan bencana sedangkan manusia berada pada tahap yang paling mewah dan kaya? Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. (maksudnya): Berlumba mendirikan bangunan-bangunan tinggi (dengan menamakan sebagai bangunan pencakar langit), begitu sombong dan angkuhnya manusia sedangkan di sana masih ada mereka yang miskin, kebuluran, terbiar sakit yang tidak ada wang untuk membiayai kos perubatan, tidak ada harta untuk menyara keluarga dan pendidikan anak-anak.

Dalam masa yang sama berlakunya keruntuhan akhlak, maksiat dan kemungkaran yang berleluasa, jenayah yang membahayakan masyarakat, keganasan yang menjadikan manusia lebih jahat daripada binatang buas.

Marilah kita membuat muhasabah diri dan melihat bahawa puncanya adalah kerana manusia meninggalkan ajaran daripada Allah SWT. Manusia telah merosakkan iman, Islam dan ihsan. Iman itu ialah kepercayaan kepada Allah dan segala perintah Allah SWT. Tetapi hari ini kita melihat umat Islam lemah dan ada yang runtuh musnah. Mereka lari daripada petunjuk Allah SWT dengan mencipta petunjuk sendiri dan mereka sesat dalam petunjuk tersebut. Allah SWT mengajar mereka dengan kemusnahan itu agar mereka sedar dan insaf.

Islam itu ialah syariat Allah yang mengatur kehidupan manusia sama ada diri, keluarga, masyarakat dan pembangunan negara. Manusia telah meninggalkan syariat Allah SWT dengan membuat peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah SWT serta berlagak seolah-olah lebih pandai daripada Allah SWT. Ada juga yang terlibat dalam makanan, minuman, pakaian, pergaulan yang haram serta melakukan perbuatan yang melampaui batas-batas syarak. Manakala ihsan itu ialah akhlak dan hubungan yang baik dengan Allah SWT.

Manusia hari ini memutuskan hubungan dengan Allah SWT, mengadakan hubungan secara tipu dan tidak ikhlas di hadapan Allah SWT, kononnya menunjuk-nunjuk Islam tetapi dalam masa yang sama merobek-robekkan Islam. Berlakunya keruntuhan dalam rumah tangga iaitu ibu bapa tidak menunaikan tanggungjawab terhadap anak dan isteri serta sebaliknya. Hubungan keluarga musnah dan hancur. Sudahlah meninggalkan hubungan dengan Allah SWT, berlagak sombong dengan Allah, berbangga-bangga dengan kemegahan dan kemewahan.

Marilah kita melihat dengan cahaya petunjuk daripada Allah SWT, adakah amaran Rasulullah s.a.w. telah berlaku. Perhatikanlah dengan hati yang ikhlas.

Firman Allah (maksudnya): Dan apabila Kami menghendaki untuk menghancurkan sesuatu kampung dan negeri, Kami jadikan orang-orang yang senang dan mewah di negeri itu dengan perintah Kami, tiba-tiba mereka melakukan kejahatan, maksiat. Maka benarlah ke atas Allah firman-Nya, maka Kami membinasakan mereka sehancur-hancurnya. (Al-Israk: 16)

Email:Zamri Kecik's

Kesan Radiasi / Pancaran Kepada Kesihatan Fizikal, Mental & Emosi

12 Zulkaidah 1431H.
Zamri Kecik's

Kemajuan teknologi moden yang berlaku hari demi hari telah mengubah gaya hidup manusia menjadi lebih mudah. Untuk ke sesuatu destinasi samada yang dekat mahupun yang jauh tidak lagi perlu menunggang unta atau berjalan berbulan-bulan lamanya untuk sampai. Dengan terciptanya enjin kenderaan, hanya beberapa jam sahaja masa yang diambil untuk sampai ke sesuatu destinasi yang dituju. Manusia masa kini boleh mengembara ke seluruh pelusuk dunia dengan hanya perlu menekan beberapa suis dengan kewujudan peralatan moden seperti televisyen (tv), komputer dan internet, radio dan sebagainya.

Segala maklumat, rujukan, informasi dan sebagainya berada di depan mata tanpa perlu bersusah payah untuk ke sana ke mari. Begitu juga jalinan hubungan antara dua benua terjalin dengan kewujudan peralatan teknologi moden seperti telefon bimbit, internet dan sebagainya. Malah perlawanan bola sepak di Brazil boleh ditonton secara langsung oleh penduduk Malaysia dengan kewujudan satelit yang tidak terfikir oleh manusia terdahulu.

Namun disebalik kecanggihan dan kemudahan yang disumbangkan oleh teknologi moden hari ini kepada manusia, terdapat kesan negatifnya kepada kesihatan mental, fizikal juga emosi. Tanpa kita sedari sedikit demi sedikit kesihatan kita terjejas akibat terdedah secara berterusan kepada peralatan canggih seperti ini kesan daripada radiasi atau pancaran.

Kajian menunjukkan monitor komputer sebagai sumber radiasi elektrik dan magnetik (elektromagnetik) yang agak kuat. Pendedahan yang berterusan kepada pancaran ini boleh meningkatkan risiko keguguran, kecacatan bayi, beberapa jenis kanser, leukemia dan lain-lain penyakit. Walaupun bukti kukuh masih belum dijumpai, tetapi tetap dilihat ada kaitannya. Dari segi emosi, seseorang yang terdedah secara berterusan pada radiasi atau sinaran akan mengalami simtom-simtom ketidakstabilan emosi seperti panas baran (cepat marah), keliru, cemas, tidak tenteram dan sebagainya.

Kabel elektrik, transformer, peralatan elektrik, radar, television, enjin kenderaan, talipon bimbit dan semua peralatan yang menghasilkan medan elektromagnet yang dianggap bahaya kepada kesihatan mental, fizikal juga emosi.

Radiasi elektrik dan radiasi magnetik adalah berbeza, tetapi ia sering wujud secara bersama kerana semua alat yang menggunakan kuasa elektrik mengeluarkan radiasi elektromagnetik. Masalahnya material yang melindungi kita dari radiasi elektik tidak melindungi dari radiasi magnetik dan sebaliknya. Sangat sedikit produk yang melindungi kita bila terdedah secara terus kepada radiasi magnetik. Ini kerana radiasi magnetik dapat menembusi kayu, besi, batu dan tentu sekali tubuh manusia. Bagaimanapun kita bernasib baik kerana kedua-dua jenis radiasi ini menjadi semakin lemah semakin jauh ia dari puncanya.

Sel tubuh mempunyai tenaga elektrik halus yang dihasilkan melalui pergerakas elektron sel. Elektron sel menghasilkan sistem tenaga yang seimbang dan harmoni untuk membolehkan sel berhubung dengan sel-sel tubuh yang lain. Radiasi tenaga elektromagnetik asing yang berpunca dari talipon bimbit dan peralatan elektrik yang lain mengganggu dengan gelombang yang merosakkan sistem harmoni tubuh dan dalam jangka panjang merosakkan sistem komunikasi sel tubuh dan akhirnya menyebabkan penyakit.

Penggunaan BAE Synergy Sticker atau BAE Synergy Touch dapat mengurangkan risiko radiasi elektromagnetik dengan meneutralkan tenaga radiasi tersebut dan dalam waktu yang sama mempertenagakan sel-sel tubuh kerana tenaganya yang selari dengan tenaga sel tubuh. Jarak gelombang BAE ini bertindak mencegah penyinaran merbahaya daripada telefon bimbit, televisyen dan monitor komputer dengan bertindak ke atas spektrum elektromagnet. Ianya boleh dilekatkan di monitor komputer, televisyen (tv), enjin kenderaan, telefon bimbit dan sebagainya. Ianya boleh berfungsi sehingga dua tahun. Untuk maklumat lanjut, rujuk :

http://www.geocities.com/sihat2u4u/BAE.html

LEMAH KERANA NAJIB WARISI KERAJAAN DARI PAK LAH, MAHATHIR TIDAK SEBUT PAK LAH WARISI DARI SIAPA?

12 Zulkaidah 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

TUN MAHATHIR sendiri merasa kurang yakin Najib mampu memperolehi 2/3 majoriti di dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Mantan PM itu berkata ini adalah disebabkan Najib mewarisi kerajaan yang lemah daripada Pak Lah. Cumanya, beliau tidak sebut pula Pak Lah mewarisi kerajaan diktator itu daripada siapa.

Adakah Pak Lah telah mewarisi kerajaan yang kuat daripada Mahathir? Hakikatnya Pak Lah menerima jawatan PM daripada Mahathir di dalam keadaan Bn tidak lagi kuat dan berlakunya perpecahan orang-orang Melayu sehingga tertubuhnya Parti KeADILan Nasional atau sekarang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di zaman Mahathir beliau banyak mencipta kerosakan politik orang-orang Melayu bermula dengan tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46. Mahathir telah menjadikan Umno sendiri diharamkan, dan beliau tubuhkan semula Umno (Baru) dan Umno (Baru) inilah sebenarnya yang diwariskan kepada Pak Lah seterusnya kepada Najib.

Mahathir yang dahulu sinonim digelar `Mahafiraun' mencetuskan perpecahan di kalangan rakyat akibat perbuatannya yang rakus untuk mengekalkan kuasa. Pemecatan DS Anwar dari kerusi Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden Umno adalah kemuncak kezaliman Mahathir. Semenjak itu kerosakan dan perpecahan di kalangan rakyat tidak dapat dibendung lagi. Justeru itu, mahu atau tidak Mahathir terpaksa lepaskan jawatan sebagai PM dengan meninggalkan kesan daripada `kediktatoran'nya kepada pengganti beliau iaitu Pak Lah.

Pak Lah hampir sahaja mampu memperbaiki imej Umno apabila slogan `Islam Hadhari'nya berjaya mempengaruhi rakyat terutamanya di kalangan orang-orang Melayu. Maka, di dalam Pilihanraya Umum tahun 2004, Pak Lah berjaya tingkatkan imej Umno/Bn dengan mendapat keputusan cemerlang di dalam pilihanraya tersebut. Sememangnya sudah menjadi tabiat Umno, mereka lupa dan sombong apabila mempunyai kuasa yang besar.

Pak Lah yang digelar sebagai PM yang `suka tidor' itu mengambil kesempatan dengan prestasi Bn yang semakin meningkat untuk terus melakukan sesuka hati beliau. Kerajaan di bawahnya banyak dibayangi oleh menantunya iaitu KJ. Pak Lah gagal mengurus ekonomi negara dengan baik dan beliau tampil dengan gelaran PM yang banyak menyusahkan rakyat. Akhirnya, rakyat kembali menolak Umno dan Bn apabila merasakan dua PM sebelum ini tidak boleh diharapkan. Pembangkang mencipta rekod kemenangan besar di dalam Pilihanraya Umum tahun 2008.

Najib mengambil alih kerusi PM daripada Pak Lah secara `lembut'. Malangnya ketika Najib berkuasa, rakyat sudah tidak percaya dan mengharapkan lagi Umno/Bn. Apatah lagi, Kerajaan PR yang berjaya mentadbir beberapa buah negeri telah berjaya meyakinkan rakyat dengan sistem pemerintahan yang adil dan telus. Najib sudah terlalu lewat memperkenalkan slogan `1 Malaysia'. Rakyat sudah mula memandang kepada slogan Negara dan Negeri Berkebajikan yang dibawa oleh PR.

Kesilapan Pak Lah seterusnya Najib untuk tidak memperbaiki imej negara yang tercalar di mata dunia akibat fitnah terhadap DS Anwar menjadi salah satu faktor mengapa negara ini masih ketinggalan. Najib gagal lakukan perubahan dan kepimpinan beliau kini digelar sebagai kepimpinan Rosmah. Bahkan, bajet 2011 yang baru diumumkan baru-baru ini digelar orang `Bajet RM' atau `Bajet Rosmah Mansor'. Maka, memang wajar Mahathir tidak lagi percaya Najib mampu mengembalikan 2/3 majoriti di dalam Pilihanraya Umum Ke 13 nanti./wfauzdin.blogspot.com