20 October 2010

Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan



11 Zulkaidah 1431H.

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Harakahdaily/-

Persiapan Sukan Asia 2010 di Guangzhou Selesai

11 Zulkaedah 1431 H

Selepas usaha yang berterusan selama enam tahun, persiapan bagi Sukan Asia 2010 dan Sukan Asia DKU 2010 di Guangzhou sudah pun selesai.

Pihak penganjur telah menerima borang penyertaan dari 45 buah negara dan kawasan. Seramai 10,156 orang atlet dan 4,202 orang pegawai petugas akan menyertai temasya sukan ini. Manakala 2,206 orang atlet kurang upaya pula akan mengambil bahagian dalam pertandingan Sukan Asia DKU.

CRI/-

Jemaah Haji China Kumpulan Pertama pada Tahun Ini Berlepas ke Arab Saudi

11 Zulkaedah 1431 H

Pesawat penerbangan carter yang membawa 332 orang umat Islam warga China, iaitu jemaah haji China kumpulan pertama yang akan menunaikan fardu haji tahun ini dan petugasnya berlepas dari Lanzhou, ibu kota provinsi Gansu, China ke Arab Saudi.

Dijangka seramai 2460 orang umat Islam dari Gansu akan menunaikan fardu haji tahun ini, dan angka ini merupakan jumlah paling besar dalam sejarah.

Mereka akan berlepas ke Arab Saudi menaiki pesawat penerbangan carter dalam ombongan bermula hari ini.

CRI/-

Siapa pengkhianat Melayu sebenarnya?

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : WAN NORDIN WAN YAACOB

Mutakhir ini isu 'pengkhianatan' terhadap Melayu dimainkan oleh pemimpin Umno/BN dan juga beberapa pertubuhan yang kononnya mewakili suara Melayu. Secara sedar atau tidak, isu-isu yang dibangkitkan hanya membibitkan sentimen perkauman yang menebal antara kaum yang ada dinegara ini, walaupun 'perpecahan' sebenar hanya berlaku dalam komponen Umno/BN.

Suara-suara tidak puas hati terhadap hak Melayu yang kononnya dikikis lantaran terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat di empat buah negeri dimainkan sebagai fokus serangan.

Malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri melagukan kebimbangan berhubung kononnya Melayu akan hilang kuasa seandainya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Suara 'perkauman sempit' ini diistilahkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat sebagai suara terdesak Umno/BN yang mutakhir ini semakin bimbang akan hayat politik mereka sampai ke penghujung.

Namun leteran Tun Mahathir itu kini sudah tidak sepopular dahulu kerana masyarakat Melayu khasnya tidak lagi mudah termakan serangan perkauman yang dimainkan Umno/BN.
Masyarakat Melayu tidak akan dapat melupakan penghakisan hak Melayu yang berlaku lantaran 50 tahun Umno memerintah Malaysia, antaranya.

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu dengan meminda perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu di era 90-an dahulu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara dengan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti rakyatnya orang Melayu.

4. Memperkenalkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI); menghapuskan bahasa Melayu dan tulisan jawi.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu sedangkan di dalam perlembagaan jelas memperuntukkannya.

8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu. Akhirnya bilangan parlimen majoriti tidak bertambah. 9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana. Tanah orang melayu semakin kecil saiznya.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.

20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.

Dewan Pemuda PAS Gopeng Gesaan Transformasikan pendidikan negara melalui Bajet 2011

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nuruddin Muhammad

Dewan Pemuda PAS Gopeng memandang serius mengenai pembentangan Bajet 2011 terutama skop yang meliputi sektor pendidikan. Pendidikan bukan suatu institusi yang bersifat kilang untuk menghasilkan tenaga manusia berkemahiran sahaja, malah pendidikan di Malaysia masih jauh daripada menyelami hasrat sebenar mendidik manusia ke arah komuniti yang beradab.

Sebagaimana saranan Prof Naquib Al Attas, ta’dib atau mendidik ke arab peradaban, kesopanan dan ketatasusilaan adalah matlamat mutlak pendidikan menurut Islam.

Pemuda PAS Gopeng meneliti gagasan kerajaan dalam bidang pendidikan dengan penuh kerisauan memandangkan kerajaan masih lagi berbahas soal infrastruktur, material (maddiyyah) dan latihan sekadar jangka pendek untuk para guru dan tenaga pendidik.

Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Adalah diharapkan, kerajaan memperuntukkan dana yang tersendiri untuk ramai tenaga intelegensia dan cendiakawan tempatan meneliti dan mengkaji perjalanan falsafah pendidikan negara dan implimentasinya. ‘Retreat’ dalam pendidikan adalah satu kemestian.

Menurut kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin, pembentukan modal insan yang disasarkan adalah melalui pembangunan daya inovasi dan kreativiti pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajara (P&P).

Warganegara yang dinamik dan progresif juga dijadikan sasaran untuk dicapai melalui transformasi pendidikan yang dipacu melalui Bajet 2011 dan Model ekonomi baru yang mengimpikan status Negara yang berpendapatan tinggi.

Inovasi dan kreativiti bukanlah perlambangan sesuatu masyarakat yang berpeadaban malah ia hanya salah satu cabang minor untuk mengukuhkan peradaban.

Peradaban yang diimpikan melalui pemerkasaan negara Malaysia perlu difikirkan melalui pemugaran sistem moral dan kemanusiaan agar bajet dan belanjawan berjaya memanusiakan rakyat dan pemimpinnya.

Belanjawan yang boros untuk mengurus PLKN sebagai salah satu struktur pendidikan juga amat dikesali oleh rakyat. PLKN masih jauh daripada menghasilkan manusia berakhlak berdasarkan banyak testimoni rakyat.

Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh beberapa NGO sosial, hanya 15% peserta PLKN solat 5 waktu. Dengan ketiadaan undang-undang mewajibkan solat berjemaah dan mendengar kuliah agama di PLKN ditambahi dengan jadual kem yang bermula seawal 6 pagi menyebabkan institusi solat menjadi murah dalam PLKN.

Peruntukan PLKN kini mencecah RM 500 juta setahun kerana kos penyelenggaraan tinggi. Namun baget sebegini tinggi masih gagal menepati hasrat kerangka pendidikan jangka panjang negara. Jurulatih PLKN yang dilatih juga tidak berjaya menjadi contoh baik kepada pelatih.

Belanjawan 2011 : Apa yg rakyat tak dapat ?

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : AFRAR YUNUS

Apa yang penduduk Malaysia mahukan dari belanjawan negara 2011. Mereka mahu supaya:

Harga bawang putih yang naik RM9.50 sekilo diturunkan pada harga baru RM1.60 sekilo.

IPCMC alat untuk mengawal aktiviti polis tetap diadakan supaya keadilan dilihat dilaksanakan.

Ombudsman - jentera menilai Dan menerima aduan orang ramai terhadap penjawat awam Dan politikus di Malaysia dikuatkuasakan kewujudannya serta merta.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diletakkan di bawah Parlimen Dan tidak lagi di bawah kawalan Perdana Menteri dari parti UMNO.

Hakim-hakim akan dilantik oleh satu jawatankuasa khas parlimen. Peruntukan diberikan dalam Belanjawan untuk Jabatan Kehakiman. Bebaskan badan ini dari cengkaman eksekutif.

Konsep baru insuran kenderaan diwujudkan di mana pengguna tidak akan dibebankan dengan premium yang mencekik darah.

Harga susu, ikan, tepung, ayam, gula, cabai, sayur-sayuran Dan keperluan dapur dimansuhkan cukai jualannya serta merta sama seperti yang dilakukan terhadap barangan kelambu, seluar dalam, minyak pewangi Dan sebagainya.

Duti impot kenderaan akan dikurangkan 70% sama seperti di negara Thailand, Singapura, Indonesia Dan lain-lain negara yang dipimpin oleh manusia bertamadun.

Jalur lebar akan dibekalkan percuma kepada masyarakat di kampung-kampung sebagai agenda mencelikkan mereka yang buta IT.

Kadar baru Tol dengan penurunan 40% akan berkuatkuasa serta merta.
Semua sekolah agama rakyat akan dibiaya percuma termasuk bayaran utilitinya ditanggung oleh kerajaan.

Semua menteri Dan penjawat akan diwajibkan mengistiharkan harta berkuatkuasa pagi 01 Januari 2011.

Hak asasi akan diperluaskan lagi selari dengan kehendak NGO.
Peguam Negara diberi peruntukan untuk mengkaji perlembagaan Reid bagi digantikan dengan hukum hudud.

Tambang pengangkutan awam diturunkan 40% sesuai dengan kekayaan minyak negara bagi memudahkan orang kampung menikmati kewujudan kapalterbang, keretapi, bas, Lori Dan lain-lain lagi.

SPR juga akan diletakkan di bawah jawatankuasa khas parlimen.
Pembiayaan untuk mendapatkan hak pendidikan diberikan percuma sehingga ijazah pertama.

Kementerian kesihatan dirombak Dan masyarakat diberikan rawatan kelas pertama secara percuma.

Hapuskan segera 'menternak' rasuah di PDRM, Pejabat Tanah, JKR, Jabatan Kastam , Pengangkutan Jalan Dan Imigresen.

Kembalikan kebebasan media Dan hapuskan akta-akta Dracula.
Cuti bersalin yang baru. Cuti yang diumumkan sama seperti jumlah sebelum ini.
Kecilkan saiz kabinet Malaysia Dan perkhidmatan awam.

Hapuskan cukai bahan-bahan binaan rumah supaya pembeli pertama dapat menikmati harga rumah yang lebih rendah.

Turunkan kadar pinjaman rumah Dan kenderaan penjawat awam pada 1%.

Inilah diantara apa yang rakyat tidak dapat dapat.

FDI merosot 81% - Anwar

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulihkan ekonomi negara melalui Program Tranformasi Ekonomi (ETP) terus dipersoal.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, era pentadbiran Najib menyaksikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara merosot sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 kepada RM4.43 bilion pada tahun 2009.

"Ini merupakan kemasukan FDI paling rendah sejak 20 tahun lalu selain tahun 2001 di mana negara mencatat kemasukan FDI RM1.54 billion," ujarnya ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, petang ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, World Investment Report 2010 baru-baru ini turut melaporkan yang negara mengalami kemerosotan ketara dalam kemasukan FDI serta peningkatan dalam pengaliran keluar FDI yang menunjukkan ketidakyakinan pelabur dalam ekonomi negara.

"Di kalangan negara-negara Asean, hanya Malaysia mengalami negative inflow," ujarnya yang ditujukan kepada Najib selaku Menteri Kewangan I.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, Thailand walaupun bergelumang dengan pelbagai kacau bilau politik dan boikot sepanjang 2009 dan 2010 dijangka tumbuh pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus; iaitu setanding atau lebih baik dari sasaran Malaysia, 6 peratus.

Singapura pula katanya, dijangka berkembang pada kadar 13 peratus hingga 15 peratus, iaitu dua kali ganda lebih pantas dari kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Pun begitu, Indonesia ujarnya tidak mengalami apa-apa penguncupan dan pertumbuhan ekonominya kekal 6 peratus.

Bagaimanapun katanya lagi, pertumbuhan 6 peratus ekonomi Indonesia adalah lebih baik.

Ini kerana katanya, 7 peratus yang dijangka capai oleh Malaysia adalah pertumbuhan ekonomi negarah selepas penguncupan.

Melihat pada senario ekonomi Asean, beliau berpendapat kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah setara dengan Cambodia, Mynmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste.

"Ini merupakan pertama kali dalam sejarah FDI Filipina mengatasi Malaysia," ujarnya.

Walhal, katanya lagi, FDI negara-negara Asean yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam jauh meninggalkan Malaysia.

Tambahnya lagi, laporan terbaru Bank of America dan Merill Lynch turut tidak menyenaraikan Malaysia sebagai 10 destinasi kemasukan pelaburan asing berbanding China.

Tidak cukup dengan itu, dilaporkan Malaysia diketegorikan sebagai antara negara yang paling kurang diminati oleh pelabur luar.

Harakahdaily/-

Menangani politik perkauman BN

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Li Fook Gao

MINDA NAIB PRESIDEN PAS

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini.

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Selamat membaca!

Soalan 1:

Apa pandangan dan strategi Naib Presiden sekalian terhadap serangan MCA dan Umno terhadap PAS dan DAP di mana:

i. Umno sering memberitahu orang Melayu, PAS kuda DAP dan jikalau Pakatan Rakyat berkuasa, Melayu akan hilang kuasa...

ii. MCA pula sering memberitahu orang Cina, bahawa DAP memperkuatkan PAS dan memberi amaran kepada orang Cina bahawa PAS akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat menang.

TITM: Apabila BN dan Umno menggunakan isu perkauman bagi menyerang PAS dan DAP; maka ia telah melakukan kesilapan besar; kerana isu perkauman walaupun boleh menimbulkan sentiman perkauman dan kebimbangan antara sesuatu kaum, tetapi ia boleh menjerumuskan negara kepada krisis perkauman dan mengancam ketenteraman awam.

Ini bermakna Umno dan komponen-komponen parti BN akan melakukan apa sahaja isu demi menarik sokongan rakyat kepada mereka.

Isu PAS jadi ‘kuda tunggangan DAP” atau ‘DAP memperkudakan PAS dan kalau PR menang, PAS akan menerajui negara dengan dasar negara Islamnya’ dan pelbagai bentuk yang berkisar pada isu yang hampir sama.

Bagi saya untuk menjawab persoalan ini ialah data dan fakta yang menunjukkan di Malaysia, tiada satu pun parti politik yang boleh memerintah secara sendirian; melainkan saling perlu antara semua parti dalam gabungan untuk membentuk kerajaan, maka isu seperti ‘kuda tunggangan’ tidak akan timbul.

Bilamana PAS berjaya memerintah Kelantan lebih 20 tahun, apakah wujud kegelisahan di kalangan masyarakat Cina kerana ia diabaikan demi menjaga orang Melayu?

Demikian juga, bilamana DAP menguasai Pulau Pinang, apakah ada pencabulan hak Melayu di Pulau Pinang berlaku?

Soal isu kemiskinan Melayu dan pelbagai isu yang dibangkitkan di Pulau Pinang kini oleh pimpinan Umno ia tidak lebih dari mendedahkan kegagalan pemerintahan mereka selama lebih 50 tahun di sana.

Di samping itu, isu perkauman sempit yang dimainkan oleh media yang kononnya Melayu akan hilang kuasa kalau PR menang, ternyata hanya provokasi bagi menakutkan orang Melayu sahaja; sedangkan hakikatnya kalau PAS menang berjaya mengalahkan Umno, maknanya ia masih di kalangan orang Melayu; hanya bertukar daripada Melayu yang rasuah, menyeleweng, khianat kepada Melayu yang lebih baik-InsyaAllah.

SA: They are singing the old songs. Mereka masih menggunakan pendekatan lama yang telah usang. Dalam era politik baru hari ini, saya yakin rakyat Malaysia telah faham dan ketahui track record setiap parti yang berada di negara kita ini.

Jadi, saya tidak perlu bimbang dengan tohmahan-tohmahan itu – kerana itulah senjata mereka untuk menjadi lebih rasis, mereka cuba untuk menggunakan politik ugut, yang menjadi modal penting mereka dengan menggunakan media di negara kita.

Bagi saya, kita jangan hiraukan dengan serangan-serangan itu, yang penting parti-parti yang wujud dalam Pakatan Rakyat ini – kita kena menunjukkan satu rekod yang baik dan persembahan yang menyakinkan, dan apa yang lebih penting daripada itu ialah terus bekerja kuat untuk mencapai matlamat kita untuk mencapai Malaysia ke arah yang lebih baik.

MO: Ini politik dongeng dan lama yang dibawa oleh Umno dan MCA. Mereka tak berupaya untuk mengajak orang Melayu untuk menyokong Umno ataupun orang Cina menyokong MCA dan mereka tahu kemarahan orang Cina terhadap MCA itu begitu tinggi.

Tendensi orang Melayu sekarang pula semakin menjauhkan diri daripada Umno, jadi mereka cuba menjauhkan orang Cina dan orang Melayu ini daripada DAP dan juga PAS. Realitinya, itu menunjukkan politik terdesak Umno dan MCA yang sedang ditolak masyarakat dan rakyat.

Soalan 2:

Bagaimana Naib Presiden melihat peranan penulis blog dalam menyemarakkan sokongan rakyat kepada PR dalam PRU ke 13, dan bagaimana untuk menangani penulis blog yang tidak membina kekuatan jamaah, sebaliknya menjadi golongan yang menyusahkan jamaah?

TITM: Penulis blog memainkan peranan yang sangat besar dalam menyalurkan maklumat yang betul dan menyemarakkan sokongan rakyat kepada PR; terutamanya dalam menghadapi PRU ke 13.

Kerana itu, setiap maklumat yang disampaikan mestilah mendapat maklumat yang benar dan boleh dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia bahkan apa yang ditulis akan juga perlu dipertanggungkan di akhirat.

Lantaran itu, penulis blog perlu membina kekuatan jamaah, bukan sebaliknya. Ada di antara maklumat yang ditulis, mungkin tidak sesuai untuk tatapan umum dan tidak membina kekuatan jamaah; maka ia tidak perlu dibentang untuk tatapan umum, tetapi perlu dsalurkan kepada orang berkenaan sahaja; kerana itu, setiap artikel yang ditulis berlu ada asas bagi membantu jamaah dan parti; bukan sebaliknya.

Persoalan utama ialah kesedaran bahawa apa jua yang ditulis mempunyai implikasi dosa dan pahala, maka tentulah amat besar pahala andainya kita dapat melahirkan kesedaran pembaca untuk menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa; dan alangkah besarnya dosa seandainya tulisan atau blog yang berupa fitnah, berita palsu dan kefasadan lainnya.

Bagi saya kalau tidak mampu membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah dengan penulisan dan link blog kita kepada blok yang tidak syarie.

SA: Keywordnya cuma satu sahaja – penulis blog ini mesti bertanggungjawab. Fakta yang dikemukakan mesti tepat, dan tidak terjebak dalam satu scenario di mana orang boleh kata kita sama saja dengan puak-puak atau penulis-penulis blog yang berada di sebelah sana itu.

Jadi, kita perlu jadi penulis yang bertanggungjawab, kita mempunyai komitmen yang begitu tinggi untuk membuat penambahbaikan kepada parti dan mesti dalam kerangka disiplin dan akhlak yang boleh menjadi contoh kepada orang lain.

MO: Saya melihat bahawa kedua-dua kelompok itu mempunyai peranan masing-masing – satu penulis blog yang menyemarakkan sokongan masyarakat dan rakyat kepada PAS and khususnya PR… ini satu yang sangat berharga kerana kita memanfaatkan teknologi yang ada ini untuk menyalurkan mesej dan membentuk fikiran kepada masyarakat dan rakyat.

Ini merupakan ruang yang sangat berkesan ketika ini kerana teknologi ini digunakan oleh ramai orang. Saya mengucapkan terima kasih kerana penulis-penulis blog yang menulis tanpa sebarang bayaran atau imbuhan daripada parti, tetapi mereka sanggup menghabiskan masa berfikir dan kewangan mereka untuk menyalurkan maklumat.

Pada masa yang sama, saya juga menghormati penulis-penulis blog yang terdiri daripada anggota jamaah yang agak begitu kritikal terhadap parti dan juga kepimpinan.

Jadi, walaupun kadang-kadang tulisan mereka itu boleh memberikan kesan yang tidak baik dari sudut menjadikan persepsi masyarakat dan rakyat kepada parti PAS agak negatif, tetapi saya melihat di sebaliknya tulisan-tulisan itu saya hargai dari sudut untuk mengingatkan diri saya agar tidak terlanjur, tidak tersilap dalam membawa haluan parti.

Soalan 3:

Bagaimana caranya rakyat dapat menghubungi pemimpin-pemimpin PAS dengan senang?

TITM: Pimpinan PAS bukan jenis pimpinan yang penuh dengan protokol untuk berjumpa. Pengalaman saya dan sepanjang pengetahuan saya, kebanyakan pimpinan PAS adalah pimpinan yang sangat mudah ditemui, dari Mursyidul Am sehinggalah pimpinan cawangan.

Kalau sukar berjumpa, bukan kerana protocol, tetapi kerana kesibukan memenuhi program parti atau masyarakat.

Paling mudah berjumpa di masjid selepas solat waktu kerana itu, merupakan rutin wajib bagi pimpinan.

SA: Saya rasa mereka boleh berhubung dengan mudah sahaja, boleh sms dan berhubung terus nombor handphone kami – dan boleh menegur kami di mana-mana saja kami berada sehingga kami duduk di warung-warung di kaki lima pun, kami rasa itulah peluang terbaik untuk rakyat berbual dengan kami.

Bagi saya sendiri, saya rasa itu tidak menjadi satu halangan – di mana-mana sahaja kita boleh berjumpa, apatah lagi dengan era IT yang ada pada hari ini – melalui Facebook, blog dan Twitter, kita lebih senang dihubungi.

MO: Bagi saya, untuk rakyat berhubung dengan kepimpinan PAS – pertama sekali kita kena memanfaatkan teknologi-teknologi moden yang ada sekarang ini, teknologi IT Facebook, Twitter dan sebagainya.

Yang pentingnya bukan bagaimana untuk rakyat menghubungi tetapi bagaimana pimpinan parti itu menyediakan ruang untuk rakyat menghubungi mereka – inilah yang paling baik dan penting.

Namun kalau ruang berhubung itu diberi, dan kita gagal memberikan apa-apa respon kepada rakyat dan masyarakat yang bertanya – saya rasa itu amat tidak wajar sebab setiap orang yang menghubungi kita itu sangat mengharapkan untuk diberi maklum balas, dihargai dan paling tidak pun, jika pandangan mereka tidak betul, kita harus betulkan kembali pendapat mereka.

Sebab itu, saya rasa kedua-dua pihak mempunyai peranan. Pada masa yang sama, orang yang menghubungi pemimpin itu harus melihat kesibukan-kesibukan pemimpin tersebut dan apabila kedua-dua ini dapat memahami antara sama lain, saya percaya bahawa kita dapat mewujudkan satu suasana hubungan yang lebih mesra di antara rakyat dan pemimpin-pemimpin PAS.

Dan pemimpin haruslah ambil peluang untuk lebih banyak turun ke padang untuk mendekati rakyat. Pemimpin juga harus memprogramkan dirinya dan bukan diprogramkan – kalau diprogramkan beliau sudah bertukar menjadi seorang bangsawan - pemimpin tidak boleh bersifat bangsawan,

pemimpin mesti bersifat negarawan – beliau mesti memprogramkan dirinya – beliau mesti turun padang dan bukan mengharapkan sanjungan orang kerana beliau mesti menyantuni dan menyanjungi orang lain – itulah seorang negarawan yang ulung.

Jika beliau seorang yang mengharapkan sanjungan dan sirih pinang orang, beliau seorang pemimpin bangsawan yang tidak mungkin faham realiti sebenar keadaan rakyatnya.

Harakahdaily/-

Elak kanak-kanak daripada makanan kantin tidak sihat

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : SM Mohamed Idris

Kanak-kanak menghabiskan masa sekurang-kurangnya satu pertiga dalam sehari di sekolah dan ketika ini mereka makan sekurang-kurangnya satu hidangan di kantin sekolah. Ini terutamanya di kebanyakan kawasan bandar, di mana kedua ibu bapa mereka bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan bekalan makanan untuk anak mereka.

Makanan merupakan faktor penting untuk perkembangan dan kesihatan manusia terutama sekali bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Ia bukan hanya berkhasiat tetapi juga menyihatkan. Ini bermakna kita mesti memastikan hidangan yang disediakan di sekolah berkhasiat dan menyihatkan.

Tabiat makan pelajar sebahagian besarnya dipengaruhi oleh makanan yang didapati di persekitaran sekolah. Makanan yang mereka makan menyumbang sebahagian besarnya kepada pengambilan pemakanan mereka dan akan mempengaruhi perkembangan tabiat makan mereka, corak pertumbuhan dan paras tenaga.

Mengambil makanan yang berkhasiat dan menerapkan gaya hidup sihat akan membolehkan pelajar membesar dan mengembangkan potensi optimum mereka, membawa kepada prestasi pendidikan yang lebih baik.

Diet yang sihat juga memainkan peranan pencegahan berhubung dengan keadaan yang berkaitan dengan pemakanan dan penyakit seperti berat berlebihan, obesiti dan penyakit gigi dan osteoporosis, penyakit kardiovaskular, diabetes mellitus dan pelbagai kanser di kemudian hari.

Jadi apakah yang didedahkan kepada anak-anak kita di kantin sekolah mereka? Kebanyakan kantin sekolah measih menjual makanan dan snek yang tidak sihat!

Ini diakui oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau dipetik oleh pihak akhbar pada 15 Ogos sebagai berkata: Pemeriksaan menunjukkan banyak kantin masih menjual makanan bergoreng yang tidak memenuhi garis panduan kementerian berhubung makanan yang sihat.

Beliau berkata kajian terhadap 10,000 kanak-kanak berusia antara enam dan 12 tahun mendedahkan bahawa 24% daripada mereka mempunyai berat berlebihan atau obes.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat sedih dengan penemuan ini. Sejak bertahun-tahun lamanya kami mendedahkan makanan dan minuman yang tidak sihat yang dijual di dalam dan sekitar sekolah, tetapi masalahnya masih terus wujud.

Panduan Pengurusan Kantin Sekolah dengan jelas menyatakan gula-gula, jeruk dan snek yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan tidak dibenarkan.

Garis panduan itu juga menyatakan makanan yang mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan, mi segera, kek, aiskrim, minuman dengan pewarna tiruan, minuman berperisa, teh, kopi dan minuman ringan tidak digalakkan.

Garis panduan itu juga menyediakan beberapa perkara yang jelas bagi pengendali makanan kantin bagaimana untuk menyediakan makanan yang kurang gula, garam dan lemak dan juga kepentingan untuk memasukkan makanan yang kaya dengan serat dalam setiap hidangan mereka. Tiada alasan untuk pihak pengendali kantin tidak mempedulikannya.

Kajian yang dijalankan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2008 menunjukkan kanak-kanak mengambil makanan seperti ayam goreng, kentang goreng, nugget, coklat, aiskrim, minuman berkarbonat, biskut berkrim dan jeruk di sekolah.

Kini dua tahun sudah berlalu, Menteri Kesihatan memberitahu kita bahawa tiada yang berubah. Pengendali kantin sekolah melakukan apa yang mereka suka!

Jadi siapakah yang bertanggungjawab terhadap keadaan ini? Adakah pihak berkuasa Persekutuan yang tidak mengawasi atau mengambil tindakan? Atau pihak berkuasa sekolah yang tidak mematuhinya?

Mungkin kita boleh persalahkan kepada kanak-kanak yang menuntut untuk makanan yang tidak sihat itu!

Kami menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bertindak menguatkuasakan garis panduan itu. Memastikan pihak kantin sekolah menyediakan hidangan sihat dan berkhasiat untuk kanak-kanak dan mengenakan hukuman yang tegas ke atas pengendali gerai yang enggan untuk bekerjasama.

Menyediakan hidangan yang sihat dan berkhasiat juga bermakna mendidik kanak-kanak mengenai makanan yang sihat dan makanan yang perlu dielakkan di luar sekolah.

Jika diperlukan, pihak sekolah juga seharusnya menyediakan ruang di kantin secara percuma kepada pengendali yang menyediakan hidangan yang sihat dan berkhasiat.

Memandangkan sejumlah besar wang yang dibelanjakan oleh kerajaan di lain tempat, adalah lebih mudah untuk memberikan subsidi kepada sekolah untuk kos kantin, sekiranya wajar.

Adalah penting juga bagi ibu bapa, guru-guru dan pelajar bekerjasama untuk menyokong pendekatan menyeluruh untuk menerapkan budaya di mana pelajar sekolah rendah dan menengah secara aktif memilih makanan berkhasiat dan gaya hidup yang lebih sihat.

Harakahdaily/-

Tengku Fa-iz dimasyhur Tengku Mahkota Kelantan

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 18 Okt: Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra hari ini sah bergelar Tengku Mahkota Kelantan.

Gelaran sebagai pewaris raja itu telah diperkenankan sendiri oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, setelah keputusan mesyuarat berhubung perkara itu diangkat sembah oleh wakil Majlis Perajaan Negeri (MPN), di Istana Telipot, tengah hari tadi.


Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Aiseri Alias, dalam sidang medianya berkata, perkara itu (mengangkat sembah nasihat) telah diangkat kepada Sultan Kelantan setelah ianya diputuskan dalam mesyuarat khas MPN di Kota Darulnaim, pagi tadi.

Katanya, mesyuarat yang berlangsung pagi tadi telah memenuhi Perkara 14 dan Perkara 27 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

“Peristiwa hari ini menyentuh dua perkara penting, iaitu Majlis Permasyhuran Pemilih dan Pelantikan Waris dan Majlis Pengurniaan Gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurutnya telah berlaku pemasyhuran perlantikan waris dan majlis pengurniaan gelaran Tengku Mahkota Kelantan tengah hari tadi di Istana Negeri.

“Dengan itu, mulai hari ini Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra telah bergelar Tengku Mahkota Kelantan,” ujarnya.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi MPN Datuk Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibn Almarhum Sultan Ibrahim telah dihadiri oleh 15 orang ahli, tidak termasuk Tengku Muhammad Fa-iz yang tidak mengambil dalam mesyuarat itu.

Hadir sama pada majlis pemasyhuran itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri termasuk Pengelola Istana, Datuk Abdul Halim Ahmad.

Harakahdaily/-

Cina kumpul duit bantu Chek Hashim berubat di China

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 18 Okt: Biarpun hanya sempat dua tahun lebih bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), namun nama Allahyarham Che Hashim Sulaima tidak lekang dari bibir masyarakat Galas.

Sikapnya yang bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.

Tidak hairanlah jika rata-rata masyarakat sama ada Melayu, Cina, India mahupun Orang Asli sangat sayang kepada Adun PAS tersebut.

Menurut Penghulu Kampung Bandar, Chong Loi San, 60, (gambar) Allahyarham Chek Hashim seorang yang mudah didampingi dan tidak pernah berlagak seperti seorang Yang Berhormat.

"Saya kenal dia lebih 20 tahun, dia orang bagus, bukan senget-senget punya.

"Dia dulu jual rotan, saya beli dengan dia buat niaga kerusi.

"Dia suka tolong sama kita. Pagi ke, petang ke, malam ke, bila kita panggil dia mesti sampai.

"Banyak kaum Cina undi dia sebab dia mudah kira," ceritanya menggambarkan peribadi Allahyarham semasa hayatnya.

Tambah Chong lagi, beliau mengenali bekas Adun Galas itu seorang yang pemurah dan melayan masyarakat berbilang kaum di kawasannya dengan adil.

Antara jasa paling besar Allahyarham katanya, adalah menyelesaikan masalah geran tanah kepada masyarakat Dun itu.

"Kita Cina, India, Melayu Gua Musang bukan nak kaya sangat, kita nak tanah ada geran dan YB ni banyak bantu kita dapatkan geran," tambahnya lagi.

Kehilangan Allahyarham jelasnya sangat dirasai kaum Tionghua Gua Musang yang banyak terhutang budi pada beliau.

"Dia meninggal memang orang Cina sayang sangat. Waktu dia sakit, kita orang Cina kumpul duit nak bawa dia pergi berubat dekat negeri China.

"Saya sendiri suruh sepupu saya teman dia pergi sana sebab Chek Hashim tak tahu cakap Cina," katanya.

Biarpun hanya dua tahun Allahyarham sempat menjadi wakil rakyat mereka, namun tempoh itu katanya sudah cukup membuktikan Adun PAS boleh diberi mandat.

"Kalau YB PAS memang tidak ada masalah. Dia tolong kita, dan kita mesti tolong dia," ujarnya menggambarkan sokongan.

Chek Hashim Sulaima meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.

Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.

Harakahdaily/-

Kerajaan gagal laksana gaji minimum kerana boros

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan gagal melaksanakan tuntutan gaji minimum di kalangan pekerja kerana amalan boros mereka.

Ahli Parlimen Marang itu sewaktu membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan lebih mementingkan projek mewah yang hanya memberikan keuntungan kepada segelintir golongan daripada kebajikan rakyat bawahan.

"Bagaimana untuk pencapaian taraf negara maju kalau pekerjanya masih mengemis. Isu gaji minima baru di peringkat menubuhkan majlis konsultasi.

"Amalan boros masih diteruskan dengan pembiayaan projek mewah untuk kemegahan dan kepentingan segelintir manusia dan mengabaikan majoriti rakyat," kata beliau yang juga Presiden PAS.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parliman, beliau menegaskan PAS tetap mendesak kerajaan melaksanakan tuntutan gaji minimum seperti yang diamalkan oleh negara maju yang lain.

"PAS tetap mahu tuntutan gaji minima dilaksanakan kerana sudah banyak negara di dunia memberi gaji minima dan dianggap salah kalau tidak beri gaji minima untuk sara hidup rakyat," katanya.

Menurutnya juga, masih banyak kakitangan sama ada awam atau swasta menerima gaji yang tidak mencukupi untuk menyara keluarga terutamanya mereka yang tinggal di bandar-bandar.

"Masih banyak kakitangan awam dan swasta khususnya di ibu kota dapat gaji tak cukup pun untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak dan sebagainya.

"Sepatutnya diambil kira kerana mereka ini jumah yang besar. Malanganya di saat kita tak selesaikan masalah ini, kita tonjolkan bangunan-bangunan yang tinggi yang memberikan keuntungan kepada kroni mereka sahaja," katanya lagi.

Dalam ucapannya juga, Abdul Hadi turut menekankan bahawa orang awam juga harus diberi hak yang sama untuk memantau bajet kerana masyarakat awam adalah sasaran utama.

"Individu yang berkepakaran melalui NGO dan media juga berhak memantau perjalanan jentera kerajaan dan politik bagi menggunakan jumlah wang yang diamanahkan kerana kadang-kadang pendedahan pihak ini menyedarkan yang salah dan silap," katanya.

Beliau yang juga Adun Rhu Rendang turut menegaskan bahawa Akta Rahsia Rasmi (OSA) adalah langkah yang sangat negatif kerana menghalang hak yang adil terhadap negara bagi kebaikan kerajaan dan rakyat.

"Undang-undang ini lebih bersifat menyembunyikan kesalahan dan kelemahan. kerajaan yang kuat dan teguh bersifat berani walaupun menghadapi tuduhan dan tohmahan.

"Tuduhan yang benar memberi kesempatan melakukan pembaikan dan pembetulan, tuduhan yang salah perlu dijawab, dan ada cara lain untuk bertindak terhadap penyebar fitnah.

OSA, tegasnya hanya menjadikan kerajaan berlagak bersih sepanjang masa. dan mendakwa hanya mereka yang berjuang mengekalkan kuasa sahaja bersifat demikian.

Selain itu, Abdul Hadi turut berkata, pembangunan insan tidak terletak kepada pembinaan materialistik semata-mata tetapi juga bergantung kepada dasar pendidikan dan sistem yang merangkumi aspek naluri manusia.

"Persediaan pembangunan insan bukan sahaja bangunan pusat-pusat pendidikan di semua peringkat yang tersergam indah dan kakitangan yang bergaji lumayan, tetapi juga sangat bergantung dengan dasar pendidikan dan sistem yang merangkumi aspek naluri manusia," katanya.

Harakahdaily/-

Janji di Manek Urai belum selesai

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : M Faqih

PENDUDUK di kampung Manek Urai hairan tiba-tiba dua papan iklan projek Barisan Nasional (BN) didirikan berhampiran jambatan menuju ke Kampung Manek Urai Lama.
Pada awalnya hanya di sebelah kampung baru dipasang papan tanda projek tertera gambar dacing. Tidak lama kemudian dipasang pula papan projek BN di Kampung Manek Urai Lama.

Namun papan tanda yang didirikan di Kampung Manek Urai Lama tidak tertera nama kontraktor, sedangkan di kampung baru ada nama kontraktor iaitu Salabumi (M) Sdn Bhd.

Kata orang kampung mengapa seperti tergesa-gesa sangat sehingga ada kepincangan di sana-sini. Lebih mengelikan lagi apabila rumah kontena pula diangkut ke tanah milik penduduk tidak jauh dari jambatan sedia ada Sabtu lepas.

Kemungkinan besar pemilik tanah tersebut pun belum dimaklumkan mengenai penggunaan tanahnya dijadikan tapak pejabat kontraktor.

Lebih menghairankan segala permohonan ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai bagi pengambilan tanah belum dibuat sehingga sekarang.

Malah difahamkan cadangan projek berkenaan juga tidak dibawa ke pejabat JKR Kuala Krai.

Menurut sumber mesyuarat mengenai cadangan membina jambatan baru yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Julai 2009 dibincang pada mesyuarat di JKR Kesedar di Tanah Merah, semalam.

Perbincangan itu katanya hanya melibatkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan JKR Kesedar.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, jelas kelihatan projek jambatan baru di Manek Urai dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga kelihatan banyak kecacatan.

”Orang kampung sedar pada awalnya papan tanda projek pembinaan jambatan tidak dilekatkan nama kontraktor, tetapi beberapa hari kemudian baru ditampal.

”Penduduk yang tinggal berdekatan dengan projek pun belum diberitahu pengambilan tanah yang akan dibuat. Ini betul-betul projek mee segera kerana pilihan raya kecil di Galas,” katanya di sini.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya projek itu benar-benar menjadi kenyataan, ia dapat memberi keselesaan kepada penduduk kerana jalan di atas jambatan menjadi dua lorong.

Namun hairannya mengapa baru ketika kehangatan kempen pilihan raya di Galas JPP tergesa-gesa mahu memberitahu penduduk janji membina jambatan baru tetap ditunaikan.

Agak melucukan juga cadangan pembinaan kompleks sukan di Manjor yang disebut menteri sudah siap 20 peratus, rupa-rupa baru diratakan tanah.

Kerja-kerja menyodok pula baru dilakukan seminggu dua ini. Jauh sekali untuk sampai 5 peratus.

Bahan-bahan binaan seperti kayu atau besi pun tidak kelihatan. Ini keanehan yang dipamerkan Umno dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil Galas.

Belum sempat segala janji di Manek Urai menjadi kenyataan tiba-tiba dinukil pula janji baru di Gua Musang.

Projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta ditabur pula di Gua Musang. Projek itu dijangka akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada 24 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti, Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, sebelum menabur janji-janji baru lebih baik kerajaan pusat mempercepatkan pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua yang sudah melewati tempoh.

Isu yang cuba digimikkan di Gua Musang hanya terbeban di bahu pengarah pilihan raya BN di Galas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Banyak pihak hairan dengan kemunculan Ku Li secara tiba-tiba.

”Mengapa tiba-tiba baru sekarang pemimpin tertinggi Umno mahu cari Tengku Razaleigh Hamzah,” tulis veteran Umno, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Abdullah juga menulis seorang pegawai tadbir memberitahunya, dahulu Umno berpeluang baik tetapi perkembangan muktahir dalam situasi Kelantan nampaknya tidak memihak kepada Ku Li dan Umno.

Ku Li galas beban Umno

Nampaknya percaturan Umno menghadapi pilihan raya kecil diletak sepenuhnya di bahu anggota parlimen Gua Musang.

Ada pihak berhujah taktik tersebut menjadi penyambung hayat kepada Ku Li dalam karier politik.

”Menang Ku Li di Galas bermakna masa depan politik masih ada, tetapi kalau sebaliknya, ’hayat’ politiknya berakhir di situ,” kata seorang penduduk dari Kampung Batu Papan.

Kampung tersebut merupakan kubu kuat Umno di Gua Musang. Namun pada pilihan raya umum Mac 2008, PAS mendapat kedudukan agak selesa dengan sokongan 54.03 peratus.

PAS mendapat kelebihan 92 undi di ketiga-tiga saluran mengundi di kubu tradisi Umno di Batu Papan.

Sedangkan sebelum itu PAS sukar menembusi kubu tersebut. Malah tenaga pengkuliah agama kerajaan negeri juga tidak mendapat ruang untuk mengajar di masjid dan madrasah kampung berkenaan.

Penempatan terbabit mempunyai kira-kira 500 rumah.

Seorang pendakwah, Mohd Zaki Mat Zin, 38 berkata, guru agama dari Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan belum mendapat ruang mengajar di kampung tersebut.

”Sehingga sekarang Unit Dakwah Halaqat tidak diberi peluang biar pun di tempat-tempat lain masalah seperti itu tidak timbul,” katanya ketika ditemui sini.

Seorang warga emas Harun Majib, 67 mengakui Batu Papan menjadi kubu tradisi Umno sejak zaman berzaman.

Katanya, kawasan itu sukar ditembusi PAS kecuali pada pilihan raya umum lalu apabila Chek Hashim Sulaima menang.

”Itu merupakan satu sejarah. Pakcik melihat itu kelebihan yang ada pada Chek Hashim sehingga mudah diterima penyokong Umno,” katanya.

Bagaimanapun di tujuh peti undi lain terutamanya membabitkan pengundi di kalangan Orang Asal, kekuatan PAS di bawah 40 peratus, kecuali di Unit Peti Undi (UPU) Hau.

Kekuatan PAS juga agak seimbang berbanding Umno/Barisan Nasional (BN) di UPU Kampung Pulai iaitu 47 peratus.

PAS juga mempunyai kedudukan agak selesa di kawasan pengundi bercampur Melayu dan Cina.

Umno benar-benar mengharapkan sentuhan Ku Li bagi mendapat kekuatan baru di Galas, selepas tercicir ke tangan PAS pada Mac 2008.

Malah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Ku Li.

Sebaik sahaja Chek Hashim meninggal dunia, Muhyiddin membuat kenyataan melantik Ku Li sebagai pengarah pilihan raya BN di Galas.

Biar pun kenyataan itu melukakan perasaan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, namun dalam situasi Gua Musang, pemimpin Umno di Kuala Lumpur belajar ’melutut’ semula kepada Ku Li.

Mustapa perlu menerima hakikat Gua Musang bukannya Jeli yang menjadi kubunya sejak dua penggal lalu.

Namun dalam konteks Gua Musang Mustapa perlu membisu dan hanya akur segala arahan Ku Li sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun mengapa pula tiba-tiba Ku Li menafikan mempunyai hubungan dingin dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri terbabit.

Ku Li vs Mustapa

”Saya tidak ada masalah bekerja dengan Mustapa bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Galas,” kata Ku Li sekembali dari bercuti di London.

Penafian Ku Li itu mengundang rasa pelik. Kata orang kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang.

Inilah realiti yang berlaku di Kelantan sekarang. Ku Li pernah dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan ketika menghadapi pilihan raya umum 1999.

Namun tidak lama selepas Ku Li gagal mengulangi kejayaan merampas Kelantan pada 1978, Mustapa pula menggantikan Ku Li di Perhubungan Umno.

Peristiwa lama Mustapa ’merebut’ tempat Ku Li menyebabkan luka lama berdarah kembali. Maka tidak hairanlah tiba-tiba Ku Li menyebut hubungan dengan Mustapa elok.

Kecamuknya dapat juga dilihat apabila Ku Li Isnin lalu memberitahu pucuk pimpinan Umno belum lagi membincangkan soal siapakah calon BN pada pilihan raya kecil Galas.

"Belum ada sebarang keputusan dibuat, tiada perbincangan mengenainya," kata Ku Li selepas mengadakan pertemuan dengan Najib di parlimen.

Malah katanya calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan selepas Perhimpunan Agung Umno yang akan berakhir 23 Oktober nanti.

"Pengumuman itu akan dibuat Perdana Menteri," ujar Ku Li kepada media.

Konflik menentukan calon BN di Galas lebih ketara berbanding pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai tahun lepas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien memberitahu pucuk pimpinan parti menyerah kepada Ku Li untuk memutuskan sama ada bersedia menjadi calon atau sebaliknya.

Penglibatan langsung Ku Li di Galas juga memberi ruang isu royalti minyak geger semula. Namun, kata Ku Li tiada siapa berhutang dengan sesiapa pun dalam isu royalti.

“Saya ke depan dalam isu itu kerana Allahyarham Tun Abdul Razak mahu rakyat di Pantai Timur memperoleh manfaat dari pendapatan minyak," katanya.

Pusingan awal ini menampakkan isu calon menjadi stigma agak kronik bagi Umno.

Ku Li juga sedia mempertaruhkan anak didiknya iaitu setiausaha bahagian, Abdul Aziz Yusof atau Naib Ketua Pemuda Gua Musang, Zamzani Harun boleh menjadi galang ganti dirinya di Galas.

Apa yang seakan pasti Ketua Pemuda, Bazlan Baharudin atau Ketua Wanita, Datuk Hazani Mohd Nor bukan pilihan Ku Li.

Sebaliknya situasi berlainan berlaku dalam PAS. Tidak kedengaran ribut kecuali sekadar kocakan air dalam cawan.

PAS Gua Musang tidak ketandusan tokoh muda. Pemangku Yang Dipertua (YDP) kawasan, Dr Zulkifli Muhamad, 44, (kiri) Naib YDP, Husin Embong, 45, (tengah) dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Abdullah Husien, 38 boleh menjadi pilihan terbaik.

Kesemua mereka lulusan universiti dalam dan luar negara. Dr Zulkifli lulusan perubatan Universiti Malaya. Pernah berkhidmat di Hospital Kota Bharu dan terakhirnya di Pusat Kesihatan Ciku 3. Sekarang mengendali klinik sendiri di Cikuu 3.

Hussin pula lepasan bidang kejuruteraan di England. Kini seorang ahli perniagaan yang berjaya di Gua Musang.

Ustaz Abdullah pula lepasan Universiti Al Azhar, Mesir. Selama lima tahun beliau belajar agama di Mesir. Pernah menekuni ilmu di Pondok Kandis Bachok.

Sekarang berkhidmat tenaga pengajar di Unit Dakwah Halaqat. Isterinya, Ramlah Abu Samah juga lepasan Al Azhar.

Biar apa pun calon PAS dijangka diketahui pada malam 21 Oktober ini. Ceramah perdana pengisytiharan calon tersebut turut menampil Penasihat Keadilan, Datuk seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Apa yang pasti pusingan awal memperlihatkan Umno tenggelam dengan masalah dalaman. Silap percaturan misi Umno gagal lagi di bawah Ku Li.

Harakahdaily/-

Jerebu kerana 244 titik panas Sumatera

11 Zulkaedah 1431 H

Keadaan berjerebu yang dialami terutamanya di sekitar kawasan Utara Johor, Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Negeri Selangor sejak kelmarin disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Menurut kenyataan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, ini ekoran peningkatan bilangan titik panas di Sumatera meningkat kepada 244 kelmarin, berbanding 80 yang dikesan pada 16 Oktober.

"Imej satelit NOAA-18 pada 17 Oktober 2010 juga menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Wilayah Sumatera Selatan dan Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia," kata jabatan itu.

Sepanjang 24 jam juga, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada 51 buah stesen pengawasan kualiti udara JAS yang direkodkan pada jam 11.00 pagi tadi mencatatkan 23 kawasan berada pada tahap baik.

Manakala 27 kawasan berada pada tahap sederhana dan satu kawasan berada pada tahap tidak sihat, kata JAS dalam kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu juga menyebut, jarak penglihatan sehingga pukul 12.00 tengah hari ini di beberapa kawasan tertentu seperti Batu Pahat, Muadzam Shah, Ipoh, Melaka, Temerloh dan Kuantan sedikit merosot kepada 3km hingga 7km.

"Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka," kata jabatan itu.

Sekiranya berlaku kebakaran terbuka, orang ramai dinasihatkan melaporkannya kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727.

Malaysiakini/-

Karim Ghani keluar Umno

11 Zulkaedah 1431 H

Ahli politik veteran yang membawa Umno ke Sabah, Datuk Karim Ghani, hari ini mengumumkan keluar parti itu.

Beliau adalah antara bekas pemimpin parti Usno, termasuk Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno), yang memainkan peranan penting membawa Umno ke negeri itu pada 1990-an.

Usna dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno bertapak di Sabah.

Karim berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibupejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat parti itu di Kota Kinabalu, awal hari ini.

Beliau berkata, keputusannya untuk meninggal Umno itu berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, beliau akan kekal tanpa parti sehinggalah menemui parti politik yang sesuai untuk disertainya.

Karim berkata, beliau sudah bosan dengan kegagalan Umno untuk memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah.

Bekas naib presiden Usno itu menyertai kumpulan yang setia kepada Usno yang baru-baru ini meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar mengkaji semula keputusannya menolak permohonan mereka memulihkan Usno.

Ada laporan menyatakan majoriti bekas pemimpin Usno merasa mereka dipinggirkan dan mahu parti itu dipulihkan untuk membolehkan mereka meneruskan perjuangan politik mereka.

Malaysiakini/-

Projek mega Mekah siap menjelang 2012

11 Zulkaedah 1431 H

Datuk Bandar Mekah Dr Osama Al-Bar berkata beberapa projek mega yang dilaksana di kota suci ini dijamin siap menjelang 2012.

Dipetik berkata demikian oleh akhbar Saudi Gazette hari ini, Osama yang juga Pengerusi serta Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Mekah berkata jaminan itu bersandarkan kepada arahan Raja Abdullah.

Antara projek berkenaan ialah Lebuh Raya Raja Abdul Aziz yang menghubungkan Mekah dan Jeddah, katanya.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya itu sudah bermula dan ia akan menjadi prototaip untuk pembinaan jalan raya di wilayah tersebut pada masa depan.

Satu lagi projek yang hampir siap ialah lapan rumah penyembelihan yang dilengkapi peralatan moden dan akan diurus oleh Bank Pembangunan Islam.

Juga dalam pembinaan sekarang ialah empat terowong pejalan kaki yang menghubungkan daerah Al-Hujun dan Al-Jarwal dengan Masjidil Haram, dan dipercayai dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

Osama juga dilapor berkata projek membina 5,000 unit rumah juga telah bermula dan apabila siap kelak akan diberi kepada penduduk terutama mereka yang rumahnya dirobohkan.

Selain itu, sembilan stesen monorel yang menghubungkan Padang Arafah, Mina dan Mudzalifah juga hampir siap, katanya.

Projek-projek lain yang diarahkan siap menjelang 2012 oleh Raja Abdullah ialah pembinaan ruang tambahan di timur Masjidil Haram, projek Jabal Omar dan sistem keretapi laju antara Mekah dan Madinah.

Malaysiakini/-

P'raya Galas: PAS telah pilih calon

11 Zulkaedah 1431 H

PAS telah memutuskan calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas dan pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam masa terdekat.

Bakal calon PAS dipersetujui sebulat suara Dewan Harian PAS yang bermesyuarat mewakili Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini, kata setiausaha agungnya, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa enggan mendedahkan identiti calon berkenaan tetapi berkata beliau adalah anak tempatan, tidak pernah menjadi wakil rakyat dan merupakan pemimpin parti itu di Gua Musang.

"Esok nama itu akan diserahkan kepada Mursyidul Am (Nik Aziz) yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan untuk diumumkan," katanya dalam satu sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut beliau nama berkenaan dipilih daripada enam nama yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan termasuk seorang pemimpin Orang Asli di situ.

Katanya tarikh sebenar pengumuman bagaimanapun belum dimuktamadkan lagi namun difahamkan, parti itu akan memperkenalkan calonnya 20 Oktober ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Ketika ditanya peluang PAS berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata parti itu masih berada di belakang Barisan Nasional (BN) kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat Umno dan beberapa faktor lain.

Mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Mustafa berkata tidak dinafikan tokoh veteran itu mempunyai pengaruh tersendiri di Gua Musang.

"Bagaimanapun itu tidak semestinya diterjemah sebagai undi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah SPR mengadakan serentak pilihan raya kecil DUN Galas dan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah, akan memberi kelebihan kepada BN terutama dari segi logistik berbanding pembangkang.

"Bila diadakan dua serentak, bagi kita susah untuk kita beri tumpuan, tapi ini tak halang untuk kita berusaha mencapai kemenangan," katanya.

Mengulas politik Terengganu terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata PAS dan BN negeri itu dilihat mempunyai kekuatan seimbang dan masing-masing terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi atas pagar untuk membentuk kerajaan.

Malaysiakini/-

Peruntukan tambahan RM147 juta bina istana baru

11 Zulkaedah 1431 H

Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan tambahan RM147 juta untuk pembinaan istana baru di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Ini menjadikan kos keseluruhan pembinaan komplek Istana Negara sebanyak RM797 juta.

Kos yang ditetapkan sebelum ini untuk membina Kompleks Istana Negara seluas 100,000 meter persegi ialah RM650 juta.

Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis kepada Lim Lip Eng (DAP-Segambut), Kementerian Kerja Raya berkata kos itu tidak melibatkan beberapa skop komponen projek yang sepatutnya diambil kira untuk melengkapkan keseluruhan istana tersebut.

"Sehubungan itu, kerajaan telah bersetuju meluluskan peruntukan tambahan RM147 juta, menjadikan keseluruhan projek pembinaan Kompleks Istana Negara ini adalah RM797 juta," katanya.

Menurutnya, tambahan peruntukan itu diperlukan bagi menampung kos-kos yang tidak termasuk dalam kontrak asal.

Ia antaranya termasuk untuk meningkatkan sistem kawalan keselamatan, bayaran 'capital contribution' kepada syarikat-syarikat utiliti dan lain-lain kos berkaitan termasuk hiasan dalaman.

Menurut jawapan itu lagi, pembinaan kompleks Istana Negara memerlukan jalan akses yang sempurna.
Berikutan, kos kontrak bagi pembinaan jalan susur keluar masuk ke Kompleks Istana Negara telah ditetapkan seperti berikut:

1. Persimpangan bertingkat Istana Negara dari/ke Jalan Duta RM106 juta - berbanding dddengan kos asal RM130 juta.

2. Menaik taraf jalan Changkat Semantan (Pintu 2) RM32.5 juta.

Menurut jawapan bertulis itu lagi, kos operasi dan pengurusan Kompleks Istana Negara akan ditentukan setelah keseluruhan projek tu disiapkan sepenuhnya pada 30 Jun tahun depan.

Malaysiakini/-

Najib sukar perolehi majoriti 2/3, kata Dr M

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Aidila Razak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal berdepan dengan laluan sukar untuk memperolehi semula majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang ekoran prestasi suram pendahulunya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"(Najib) warisi kerajaan yang buruk. Beliau lebih hebat daripada (perdana menteri) nombor lima (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang tidak cekap," katanya perdana menteri keempat itu kepada pemberita hari ini.

Ditemui di sebuah forum antarabangsa di Kuala Lumpur, Dr Mahathir (kiri) terus mengkritik Abdullah, penggantinya yang didakwanya mensia-siakan mandat besar yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004 lalu.

"Bila kamu mendapat dua pertiga majoriti, ia patut digunakan untuk perkara yang betul. Dalam empat tahun, daripada 2004 hingga 2008 Abdulllah lakukan banyak perkara salah yang menyebabkan beliau kalah pada 2008," katanya.

Dr Mahathir bagaimanapun kelihatan lebih berlembut kepada Najib yang disifatkan "cuba membetulkan keadaan".

Menyuarakan penghargaannya kepada usaha Najib itu, perdana menteri paling dalam sejarah Malaysa itu turut mengambil peluang menyelar bekas timbalannya yang kini menjadi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Beliau lalui masa sukar sekarang. Najib ada beberapa idea yang bagus dan yang tidak berapa bagus.

"Saya harap beliau mendapat sokongan kerana parti alternatif yang lebih buruk akan mengambil alih tampuk kekuasaan," kata Dr Mahathir.

Malaysiakini/-

Tengku Fa-iz Petra dilantik Tengku Mahkota K'tan

11 Zulkaedah 1431 H

Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad ke-V, dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta kesultanan Kelantan berkutkuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada jam 2 petang tadi.

Mohd Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.

Tengku Muhammad Fa-iz, 36, adalah anakanda kedua Sultan Ismail Petra daripada empat beradik. Dua lagi ialah Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Muhammad Fa-iz, yang diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Jan 1974, dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 21 Jun 2009.

Mohd Aiseri berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz bakal menjadi raja atau Pemangku Raja apabila baginda Sultan Kelantan berangkat ke luar negara melebihi 12 bulan atau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Sultan dalam tempoh berkenaan.

Beliau juga berkata, mesyuarat MPN itu tidak membincangkan mengenai pelantikan Tengku Temenggong kerana mesyuarat hari ini adalah untuk menentukan pewaris yang bakal menjadi Raja.

"Pelantikan Tengku Temenggong hanya sebagai pelengkap sahaja dan tidak melibatkan pewaris yang bakal mewarisi takhta kesultanan Kelantan," katanya.

Gelaran Tengku Temenggong sebelum ini adalah milik Tengku Muhammad Fakhry Petra namun ia ditarik balik oleh Sultan Muhammad ke-V baru-baru ini.

Malaysiakini/-

Husam dakwa sikap Pusat punca masalah

11 Zulkaedah 1431 H

KOTA BHARU – Rungutan pelabur mengenai tahap kemudahan asas tidak memuaskan di Kelantan berpunca daripada sikap Kerajaan Pusat sendiri yang tidak memberikan layanan sama rata kepada Kelantan berbanding negeri lain.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, masalah air sebenarnya dari dulu lagi berpunca daripada Kerajaan Persekutuan kerana tidak melayan Kelantan dari segi bekalan air.

“Kelantan diberikan soft loan dan kenapa tidak berikan kita geran seperti di negeri lain.

Soft loan itu digunakan Kerajaan Negeri untuk membina loji-loji air yang ditentukan Kerajaan Pusat.

“Kementerian Kewangan yang menentukan pembinaan loji-loji itu. Contohnya loji di Kampung Putih tergendala disebabkan kontraktor yang memajukannya dipilih oleh Kerajaan Pusat,

” katanya mengulas gesaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, supaya Kerajaan Negeri tingkatkan kemudahan asas termasuk masalah air, sampah dan elektrik seperti di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

Masalah kemudahan asas itu dibangkitkan pelabur luar kepada Mustapa dan jika Kelantan gagal menanganinya dikhuatiri pelabur akan lari dan ia merugikan negeri itu di masa akan datang.

Husam, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri itu berkata, masalah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra juga mengalami nasib sama apabila landasannya gagal dipanjangkan.

Menurutnya, Kerajaan Pusat diminta segerakan peruntukan yang diminta untuk menaik tarafkan lapangan terbang berkenaan.

“Atau izinkan Kerajaan Kelantan untuk mencari pelabur sendiri memajukan landasan itu.

“Bagi saya kenyataan menteri berkenaan adalah cara berpolitik dan bukannya cara selesaikan masalah berkenaan,” katanya.

Husam menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Jumaat lalu, sebagai kekeringan idea.

SinarHarian/-

Rasuah: Bekas timbalan KP Imigresen diarah bela diri

11 Zulkaidah 1431H

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Timbalan Ketua Pengarah 1 Jabatan Imigresen Yusof Abu Bakar membela diri terhadap 14 tuduhan menerima rasuah bagi meluluskan lanjutan pas warganegara China.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Yusof, 56.

Pada 15 Okt lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don atas tuduhan menerima rasuah melibatkan wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Malaysiakini/-

“Tengku Mahkota berjiwa rakyat”

11 Zulkaedah 1431 H

KOTA BHARU – Rata-rata rakyat jelata di negeri ini menerima baik pelantikan adinda kedua Sultan Muhammad ke-V, Tengku Muhammad Faiz sebagai Tengku Mahkota Kelantan, semalam.

Norzaidah Shahul Hamid, 50, berkata, beliau sangat berbesar hati menerima pelantikan Tengku Muhammad Faiz yang lebih dikenalinya sebagai kerabat yang berjiwa rakyat dalam kalangan masyarakat setempat.

“Tengku Mahkota sering dilihat berada bersama baginda Sultan ketika mengikuti program anjuran bersama rakyat yang dijalankan di bandar dan luar bandar di negeri ini.

“Tengku juga sangat peramah dan sentiasa melemparkan senyuman menjadikan rakyat jelata sentiasa kagum dengan kewibawaan Tengku Faiz sebagai Tengku Mahkota Kelantan yang baru,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Mohd Bakhri Ismail, 22, pemasyhuran itu dilihat bertepatan dengan keadaan pentadbiran diraja pada masa ini.

“Ramai yang mengharapkan dengan pelantikan ini, Tengku Faiz dapat membantu melicinkan pemerintahan Sultan Muhamad ke-V untuk membawa Kelantan lebih berkembang maju di mata dunia,” kayanya.

Imam 1 Masjid Mahmudi, Mohd Zaman @ Suhaimi Ibrahim berkata, dengan kemasyhuran yang diberikan kepada Tengku Faiz itu, rakyat akan dapat lebih mengenali dan mendekati pemimpin diraja di negeri ini.

“Kami sebagai rakyat jelata akan sentiasa mengalu-alukan kedatangan tengku ke tempat kami untuk mengimarahkan masjid dan surau-surau bagi kesemua daerah di negeri ini,” katanya.

SinarHarian/-

Calon diumum hari ini

11 Zulkaedah 1431 H

JOHOR BAHRU – Pas Pusat telah bermesyuarat dan akan mengumumkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 19 Oktober (hari ini).

Timbalan Presiden Pas Pusat, Nasharudin Mat Isa berkata, Pas sudah bermesyuarat dan menentukan calon PRK DUN Galas.

”Kita sudah mempunyai calon, Insya-Allah kami akan umumkannya pada 19 Oktober ini,” katanya ketika merasmikan pelancaran dana pilihan raya Pas Johor di Sangkar Kristal, di sini, kelmarin.

Keadaan dewan riuh seketika apabila Ahli Parlimen Bachok itu berseloroh menyatakan Pas akan meletakkan orang asli sebagai calon parti itu.

“Memang sah kita akan meletakkan calon dalam kalangan orang asli, bukan orang batu ataupun orang besi,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU: Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, calon tersebut dipersetujui sebulat suara jawatankuasa Dewan Harian Pas yang bermesyuarat pada 13 Oktober.

“Esok (hari ini) kita akan sampaikan nama kepada Mursyidul Am (Nik Aziz) yang akan tentukan tarikh untuk isytihar calon... tidak muktamad bila Tok Guru (Nik Aziz) akan isytihar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di Jalan Sultan Omar, di sini, semalam.

Mustafa berkata, pihaknya telah memilih calon yang diterima rakyat, kelahiran Gua Musang, pimpinan kawasan, selain tidak pernah menjadi wakil rakyat.

Beliau yang enggan mengulas lanjut mengenai ciri calon yang dipilih itu hanya tersenyum ketika ditanya sama ada calon tersebut merokok atau tidak.

Sebelum ini, Pas Kelantan menyenarai pendek enam calon kepada Pas Pusat untuk dipilih bagi ditempatkan di DUN Galas.

Mustafa berkata, pihaknya yakin Pas Kelantan bersetuju dengan pilihan tersebut tetapi tidak menolak mempertimbangkan kembali keputusan sekiranya terdapat perbezaan pendapat dengan pimpinan di negeri itu.

SinarHarian/-

KEPERLUAN SERTA AKTIVITI MASJID DAN SURAU MENDAPAT PERHATIAN ADUN TITI SERONG

11 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafizi Pauzi

TITI SERONG :- Drs. Khalil Idham Lim terus komited menjalankan tugas dalam usaha memastikan kebajikan rakyat terjaga sejak kemenangan berpihak kepada PAS pada PRU 12 lalu.

“Walaupun jumlah masjid mencecah 16 buah dan surau 55 buah dalam DUN Titi Serong, namun dengan jadual yang disusun oleh pejabat insyaallah saya akan berusaha untuk turun berjemaah dengan rakyat sebulan sekali pada setiap tempat,” katanya.

Tambahnya, “Mengenai keadaan rumah ibadah tersebut, saya dapati hampir semua sudah berada dalam keadaan lengkap segi fasislitinya namun terdapat sekitar 5 pratus darinya memerlukan bantuan segera dari pelbagai pihak.”

Beliau juga mencadangkan agar beberapa lokasi tertentu diwujudkan surau baru, misalnya di Jalan Terusan didapati jemaah Di Surau Syed Ali sudah melimpah dan taman sekitarnya perlu memikirkan langkah untuk membina surau yang baru.
Ujarnya lagi, “Bagi surau yang mengadakan program kuliah dan pengajian tetap sangat saya alu-alukan .”

Disamping itu program berbentuk keremajaan di masjid dan surau juga perlu difikirkan untuk melahirkan generasi pelapis yang cintai masjid dan surau.

Selain itu program remaja geng surau dan sebagainya perlu difikirkan bagi menarik hati remaja khususnya supaya menjadikan masjid serta surau sebagai destinasi yang diminati bagi mereka terutamanya setelah masuk waktu solat fardhu, ulasnya ketika ditemui di sini.