19 October 2010

Kelantan mara ke separuh akhir Piala Malaysia

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Utusan Malaysia

PEMAIN Kelantan, Mohd. Nor Farhan Mohamad (atas) berjaya melepasi asakan pemain pertahanan Selangor, Hardi Jaafar pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Kota Bharu, malam tadi. Kelantan menang 3-0

Gol Ke-2 Jaringan Akmal Rizal :-

KOTA BHARU – Naib Juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan berada dalam kelas tersendiri apabila mara sebagai pasukan pertama ke separuh akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Selangor dengan agregat 3-0 pada pertemuan suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.

Beraksi di hadapan lebih 25,000 penyokong, tuan rumah menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri dengan mempamerkan corak permainan menyerang sebaik sahaja wisel dibunyikan.

Kelantan membuka jaringan menerusi pemain sayap lincah Mohd. Nor Farhan Mohamad yang bijak menyudahkan hantaran rakan sepasukan untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0

Kelantan mengukuhkan kedudukan dengan menyumbat gol kedua pada minit ke-24 menerusi Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menanduk hantaran lintang ketua pasukan Indra Putra Mahyuddin.

Selangor yang tergamam dengan corak permainan tuan rumah cuba bangkit dengan mempamerkan rentak berbeza pada babak kedua apabila sering mengancam kubu Kelantan.

Peluang terbaik Selangor hadir pada minit ke-59 menerusi R. Surendran, namun rembatannya diselamatkan oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Khairul Fahmi sekali lagi membuktikan kematangan apabila berjaya menyelamatkan sepakan kapten Selangor, Amri Yahyah.

Tersentak dengan asakan Selangor, Kelantan mula memperkemaskan jentera serangan.

Mohd. Badri Radzi melengkapkan malam cemerlang Kelantan apabila memperdayakan pemain pertahanan Selangor untuk memastikan Kelantan layak ke pusingan seterusnya.

Menanti Kelantan di separuh akhir ialah pemenang antara Kedah menentang Terengganu dalam satu lagi saingan suku akhir, hari ini.

Rakyat terima RM100, bukan bangunan 100 tingkat

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (gambar) menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengambil pengajaran daripada kezaliman pemerintahan Firaun yang zalim.

Perdana Menteri dinasihatkan demikian kerana sanggup mengetepikan tuntutan bonus dua bulan gaji oleh 1.2 juta kakitangan awam walhal dalam masa yang sama bercadang membina bangunan Menara Warisan.

"(Bajet 2011) tidak sanggup berbelanja RM3.1 bilion (bonus sebulan), tetapi kerajaan boleh mengeluarkan RM5 bilion untuk bina bangunan 100 tingkat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pagi tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, rancangan membina menara tersebut seakan mengulangi sejarah Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri membina Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mengutamakan kebajikan rakyat dari membina projek-projek mega yang nyata memberi kepentingan kepada kroni-kroni tertentu.

Lim menyuarakan rasa yakin bahawa kakitangan kerajaan di Pulau Pinang lebih rela menerima bantuan kewangan dari projek mega tersebut.

"Kalau rakyat Pulau Pinang, mereka lebih rela terima RM100 bantuan daripada kerajaan negeri dari terima bangunan 100 tingkat," beliau menambah.

Beliau turut mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Najib itu suatu belanjawan yang tidak mengutamakan rakyat dan pembaziran yang nyata bertentangan dengan Islam.

Jumaat lalu, Najib ketika membentangkan Bajet 2011 mengumumkan kakitangan kerajaan hanya mendapat RM500 Bantuan Khas Kewangan.

Najib sehari kemudian berkata, sekiranya pentadbirannya memberi RM3.1 juta kepada 1.2juta kakitangan awam, kerajaan akan menanggung perbelanjaan yang lebih besar.

Harakahdaily/-

Hadi kritik PERMATA Rosmah

10 Zulkaedah 1431 H

Peruntukan besar sebanyak RM111 juta kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dinaungi isteri perdana menteri Rosmah Mansor disifatkan PAS sebagai tidak masuk akal kerana ia didakwa hanya melibatkan segelintir pihak.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) berkata, fokus kerajaan telah tersasar memandangkan pusat itu juga masih di peringkat percubaan.

Anggota parlimen Marang itu juga membandingkan peruntukan kepada PERMATA berbanding usaha bagi meningkatkan taraf Orang Asli dan pribumi yang diberikan RM100 juta, manakala sekolah agama rakyat pula diberikan hanya RM95 juta.

Dalam pembentangan Bajet 2011 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak, PERMATA dimumkan bakal mendapat peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program PERMATA yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi agenda ekonomi dan transformasi yang dinyatakan dalam pembentangan bajet 2011 hanyalah satu penjenamaan semula yang "ditaburkan dengan angka yang indah-indah dengan mengkesampingkan aspek pembinaan manusia".

"Apa yang penting bukannya angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa pendapatan per kapita meningkat sebanyak 6.1 peratus kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5 peratus; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian, bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini!" kata Abdul Hadi.

Beliau juga menyelar perdana menteri dengan gelaran yang digunakan dalam pembentangannya Jumaat lalu - "saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan" kerana didakwa mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian.

Mengulas cadangan projek seratus tingkat menara Warisan Merdeka, beserta kemudahan yang menelan belanja asas RM5 billion, Abdul Hadi mempertikaikan kenapa peruntukan bagi tujuan itu hanya "secebis" jika dibandingkan dengan projek koridor yang didakwanya lebih bermanfaat kepada rakyat.

"Contohnya peruntukan untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka.

"Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan Umno-BN."

Malaysiakini/-

Mata oh Mata, Kenapa Engkau Liar?

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : newsforwarder

Babak 1

Sop: Kau tahu tak, Zetty TU dulu free hair.. Tiba-tiba je datang kesedaran nak pakai tudung.

Meon: Ye ke??!! Macam tak percaya je..

Sop: Ha ah.. Ok gak la.. Dalam majalah sekolah Ada lagi gambar dia.. Kau nak tengok?

Babak 2

Pada suatu Hari Sop Dan Meon sedang berjalan-jalan di kotaraya London. Tiba-tiba mereka terlihat kelibat seorang wanita bertudung labuh Ala-Ala filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB).

Sop: Eh, Ada gadis mcam dalam KCB la...

Meon: Mana? Mana? Mana?

Sop: Tuuu...tengah jalan ramai2 depan Madame Tusod..

Meon: Ooooooo..... Macam kenal, yang pakai tudung kaler merah jambu TU ke?

Babak 3

Sop Dan Meon menyambung kembara cuti musim bunga mereka di bandaraya Dublin. Cuaca semakin panas.

Sop: Astaghfirullahal azim, singkatnya skirt minah saleh TU...tak solehah langsung...! !

Meon: Eh ye ke? Yang mana satu? Yang skirt Oren TU ke?

Sop: Tak, yang kaler biru , blouse biru muda TU..

Meon: Ha ah la..betul lah cakap kau...

Ada apa dengan Mata?

Untuk jadi hebat, Kita perlu menutup Dan menundukkan pandangan. Ini bukanlah bermaksud semuanya kena pejamkan Mata 24 jam (penat juga TU), atau membina dinding Dan tembok batu sepanjang masa atau semasa kuliah-kuliah agama sahaja, tetapi menjaga Dan memelihara kedua Mata Kita daripada MENJADI LIAR.

Apabila datangnya peluang terbentang di hadapan Kita, samada semasa sedang berseorangan, atau sedang berdua bersama rakan karib, atau bersama masyarakat umum, Kita mestilah bertindak SEGERA Dan PINTAR untuk tidak mengamati kecantikan wanita yang terbentang Dan segeralah mengalihkan pandangan daripadanya sambil bersyukur Dan beristighfar.

''Alhamdulillah, Allah jaga Mata Dan hati aku. Ya Allah, ampunlah dosa aku, moga Allah beri yang lebih baik''

Allah berfirman :

"Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya Yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperoleh ampunan Dan pahala yang besar." - [Surah Al-Mulk :12]

Kalau dahulu dia tidak bertudung, atau kurang menutup aurat, perlukah Kita menatap gambar-gambar 'lama' itu lagi? Fear Allah brothers... Malulah sebab mereka itu sudah diberikan hidayahnya. Kita bila lagi?

Kalau ternampak kelibat wanita yang berjilbab Dan menutup aurat samada di majlis ilmu atau di jalanan, malulah Dan pandanglah tempat lain. Itu bukan HAQ mu.. Allah boleh ganti dengan yang lebih baik.

Kalau diberikan peluang melihat aurat wanita, takut Dan malulah, kerana itu akan merendahkan darjat matamu Dan merosakkan amal, sekaligus hati menjadi lali Dan tidak tenteram.

Resepi Sata Ikan

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : fariz fauzi

Bahan-bahan:
½ biji kelapa
3 ekor ikan kembung
3 ulas bawang merah
1 biji cili merah
1.2 sm halia
Daun pisang secukupnya dibuat kelongsong kecil-kecil.

Cara menyediakan:
1. Ikan dibersihkan setelah itu kukutkan isinya kemudian gilingkan dengan kelapa hingga lumat dan sebati.
2. Masukkan pula bawang merah, cili merah dan halia sambil digiling lagi hingga sama bergaul semuanya.

3. Isikan bahan yang telah digiling ini ke dalam kelongsong kemudian tutupkan bahagian atas kelongsong. Buat begini hingga selesai semuanya.
4. Bila telah selesai diisikan di dalam kelongsong, cucukkan kelongsong ini pada buluh kemudian bakarlah sehingga masak.

Panduan Memilih Isteri

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : newsforwarder

"Yang paling kukuh keimanan ialah berkawan kerana Allah, bermusuhan kerana Allah, cinta kerana Allah Dan membenci kerana Allah." (Hadis Riwayat Tabarani dari Ibnu Abbas r.a)

Mengapakah teruna memilih gadis jelita? Kata orang, gadis seperti ini menyejukkan serta menggembirakan hati. Betulkah begitu?

Gadis itu pada asasnya bererti wanita yang belum bernikah. Walaupun begitu, perkataan 'gadis' juga digunakan bagi menggambarkan kesucian seseorang wanita. Wanita yang sudah ternoda sebelum berkahwin digelar 'sudah tiada gadis' atau 'sudah tiada dara'. Umumnya, pengertian pertama iaitu wanita yang belum bernikah digunakan secara formal sedangkan yang kedua itu adalah gelaran yang diberikan secara berbisik-bisik.

Alam gadis merupakan alam yang paling manis bagi seseorang wanita. Semasa inilah seseorang wanita itu akan mencapai tahap mekarnya Dan keayuannya. Pada masa inilah wanita itu mula dipanggil 'bergetah' jika Kita hendak meminjam bidalan Soekarno.

Bila dipandang, banyak hati lelaki akan tergoda. Ada gadis yang 'boleh tahan' Dan Ada gadis yang 'tak boleh tahan'. Gadis yang 'boleh tahan' biasanya dianggap manis tapi tidaklah jelita. Yang 'tak boleh tahan' pula adalah gadis yang sungguh cantik menawan. Ramai lelaki yang tergoda kepada gadis 'tak boleh tahan' ini apatah lagi jika gadis itu sendiri pandai pula menggoda Dan mempermainkan perasaan lelaki.

Tidak dapat dinafikan bahawa lelaki teruna sememangnya tertarik pada rupa Dan bentuk fizikal gadis. Itulah yang menjadi asas mengapa mereka lebih memberi perhatian. Ada orang berpendapat bahawa gadis yang cantik lebih beruntung kerana lelaki melayaninya dengan lebih baik, mesra Dan lemah-lembut.

"Janganlah sekali-kali seorang lelaki berduaan saja dengan seorang wanita, melainkan dengan didampingi seorang muhrim." (Hadis riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas r.a.)

Biasanya teruna akan terpikat Dan terpesona dengan kecantikan si gadis dahulu, kemudian barulah si teruna menyelidiki perangai si gadis. Ini menyebabkan ramai lelaki terperangkap, menyesal atau menderita, terutamanya bila sudah terlanjur Dan tidak boleh berundur lagi sedangkan baru tahu bahawa si gadis itu teruk perangainya atau sudah ternoda.

Walaupun 'Mata yang belum berisi pengalaman' itu tertarik pada rupa yang cantik, sebenarnya jodoh bagi hati adalah hati juga, bukannya rupa. Maksudnya pada akhirnya gadis yang hatinya paling suci sesuci hatinyalah yang dipilih oleh teruna untuk dikahwini.

Berikut adalah petua-petua sekiranya anda ingin memilih gadis jelita menjadi isteri anda:

Elakkan Dari Berkawan Dengannya

Dengan merapati Dan berkawan dengan si gadis, kecantikan hati ini sebenarnya sukar untuk dinilai oleh lelaki. Selalunya yang dilihat semuanya 'baik, sopan Dan elok' apatah lagi pada masa itu sang teruna sedang mahu, dia hanya nampak yang elok. Si gadis pula mungkin hanya berpura-pura jadi baik Dan sopan untuk memikat teruna. Itulah sebabnya Ada yang membidalkan bahawa:

'Yang bercahaya tidak semestinya emas' Dan 'yang cantik tidaklah semestinya permata'. Maka elakkan dari berkawan dengannya untuk mengelakkan anda dari terpesona Dan terpedaya.

Lakukan Risikan Secara Rahsia

Kecantikan hati biasanya boleh dinilai oleh pengamatan rahsia si teruna bersama keluarga teruna terhadap si gadis. Risikan rahsia ini adalah untuk mengetahui bagaimanakah tingkahlaku si gadis itu bila dia berada bersama keluarganya sendiri. Adakah si gadis dari jenis yang suka berjalan, bergaul bebas, atau suka menolong ibunya memasak, rajin berkemas Dan taat dalam beribadat akan dapat ditentukan dengan lebih jelas.

Pihak teruna juga boleh mengetahui perihal moral si gadis dengan menyelidiki ke manakah si gadis itu suka pergi di hujung minggu atau di masa lapangnya. Jika dia gemar pergi ke tempat yang kurang baik, besar kemungkinan dia mempunyai sifat-sifat yang kurang baik pula.

Walaupun pada asasnya cara menyelidik begitu, atau dipanggil 'merisik' ini tidak begitu disukai oleh si gadis sendiri, IA adalah jalan yang dianggap lebih baik dari cara berkawan dengan si gadis, membawanya ke mana suka, Dan 'menyelidik' dengan bertanya pada gadis itu atau hasil memperhatikan tingkah lakunya di depan Mata.

Cari Yang Pandai Mengurus Rumahtangga

Pada zaman sekarang, masa remaja si gadis bererti masa sebagai pelajar sekolah menengah, pra-universiti Dan pusat pengajian tinggi. Bagi gadis-gadis ini, masa untuk mereka belajar menjadi 'wanita' dari ibu adalah amat terhad, jika Ada, praktikannya hanya dalam jangkamasa pendek.

Kesempatan untuk berada di dapur amatlah terhad pada hujung minggu serta semasa cuti. Akibatnya, semakin ramai gadis yang berorientasikan kerja makan gaji Dan tidak berorientasikan mengurus rumahtangga.

Cari Yang Hormat Kepada Orang Tua

Selidiklah apakah dia gadis yang tahu menghormati orang tua. Ini penting kerana dia nanti akan bersua, bertandang ataupun duduk bersama ibu bapa anda. Walau betapa cantik pun dia, jika dia tidak menghormati ibu Dan bapa mertuanya, dia akan menyebabkan anda menjadi serba-salah dalam menangani kehidupan anda.

Cari Yang Pandai Menjaga Kehormatan

Hal ini juga dapat diperhatikan di kalangan gadis-gadis yang tidak begitu berjaya dalam pelajaran. Lebih ramai yang suka bekerja makan gaji dari membantu ibu di rumah atas alasan meringankan beban keluarga. Bagi gadis yang mudah 'lupa' masa inilah mereka akan jadi rosak.

Mereka akan keluar dengan lelaki tanpa segan silu, mula memakai pakaian yang ketat Dan menjolok Mata serta belajar berbagai cara dari rakan sebaya untuk memikat lelaki. Lbubapa yang tidak mengawasi gerak-geri anak gadisnya mungkin akan menyebabkan gadis itu menjadi gadis murahan.

Cari Yang Tidak Bebas Dengan Lelaki

Pada zaman dahulu, Ada ibu bapa yang sengaja tidak menghantar anak perempuannya ke sekolah. Takut nanti jadi perempuan jahat akibat dapat bergaul dengan lelaki secara bebas. Bila zaman semakin moden, pemikiran cara ini dianggap sudah usang.

Ramai pula menganggap adalah lebih baik bagi wanita bersekolah asalkan saja di sekolah dia dilengkapi dengan input tatasusila dan adat apatah lagi agama.

Cari Yang Didikan Agamanya Cukup

Beredarnya zaman perlu mengambil kira faktor sekeliling si gadis. Jelas pada kita bahawa cara hidup gadis sekarang sudah jauh berbeza berbanding gadis satu atau dua dekad silam. Namun, dari sudut nalurinya adalah sama saja. Zaman gadis adalah zaman mencari identiti dan cuba mengekalkan identiti itu. Jika terdedah dia kepada yang buruk maka buruklah jadinya.

Walaupun begitu, gadis yang mendapat didikan yang baik besar kemungkinan akan menjadi wanita yang berguna kepada negara dan agama malah boleh menjadi contoh teladan sama ada kepada wanita mahupun lelaki.

Cari Yang Berpegang Teguh Pada Suruhan Agama

Ada empat sebab utama mengapa teruna memilih seseorang gadis, kerana kecantikannya, kerana hartanya, kerana keserasian taraf dan kerana agama. Yang akan membahagiakan ialah memilih gadis yang beragama.

Dimanakah letaknya nilai gadis yang cantik? Letaknya ialah pada keimanan gadis itu. Jika dia cantik dan dia pula beriman, berharta dan setaraf pula, maka dialah yang masuk ke dalam kategori gadis yang 'tak boleh tahan'. Tapi sedarlah, dia akan memilih lelaki yang baik-baik pula!

INSYAALLAH, TIADA PRK DI PARLIMEN PASIR MAS

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

INNA LILLAH,'WA INNA ILAIHI ROJI'UUN. MP Pasir Mas, YB Ibrahim Ali kini diberitakan sedang menerima rawatan di sebuah hospital pakar di Kuala Lumpur akibat sakit jantung.

Beliau yang juga merupakan MP yang `bertenggek' di kerusi yang dipinjamkan oleh PAS Kelantan itu juga sebagai Presiden Perkasa dikhabarkan akan menjalani pembedahan Isnin ini.

Sebagai Muslim, marilah kita mendoakan kebaikan untuk beliau. Mudah-mudahan beliau dipanjangkan usia sehingga sempat menyertai Pilihanraya Umum Ke 13 yang akan datang. Moga-moga hajat kita ingin melihat Ibrahim Ali bersuara lebih lantang dan garau di Pasir Mas akan menjadi kenyataan. Bersamalah kita doakan.

UMNO didakwa pinggir roh agama dalam pemerintahan

10 Zulkaedah 1431 H

SKUDAI – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlalu sekular dan berorientasikan semangat perkauman yang sempit.

Nik Abdul Aziz mendakwa, akibat meminggirkan roh agama dalam pentadbiran menyebabkan berlakunya penindasan, rampasan hak dan ketidakadilan kepada rakyat.

“Pemimpin BN tidak nampak asas dosa dan pahala mengikut acuan Islam. Oleh kerana itu mereka menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyekat kebebasan bersuara kepada pembangkang dengan tidak memberikan permit (berceramah),” katanya pada forum anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang diadakan di Taman Universiti, di sini, semalam.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, bersandarkan faktor tersebut, Pas mengambil keputusan menjadikan strategi menggunakan ilmu ketika berhadapan dengan UMNO dan BN.

“Pas akan tetap lawan UMNO tetapi dengan ilmu. Sebab itu saya suka dan setuju jika dijemput untuk memberikan ceramah dan forum seperti ini.

“Sebagai contoh setiap hari Jumaat, umat Islam semua akan ke masjid untuk mendengar ceramah, ertinya Islam mementingkan ilmu,” katanya.

Nik Abdul Aziz turut menyelar penularan aktiviti rasuah politik sebelum dan menjelang musim pilihan raya yang dianggap sebagai cara terkutuk memenangi hati rakyat.

Menjawab soalan adakah Pas bersedia berkongsi pemerintahan negara dengan kaum lain khususnya Cina sekiranya diberi mandat oleh rakyat, Nik Abdul Aziz berkata, Pas sentiasa bersikap terbuka dalam pemerintahannya terutama sepanjang 20 tahun mentadbir Kelantan.

“Berapa ramai rakyat Cina di Kelantan yang memeluk Islam, sila ke Kelantan dan tanyalah mereka,” katanya.

SinarHarian/-

Batu Sapi: Pakatan belum putuskan calon

10 Zulkaedah 1431 H

Dua parti pembangkang, DAP dan PKR di negeri ini belum memutuskan wakil mereka dalam Pakatan Rakyat untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Chew berkata parti itu akan berbincang dengan parti lain dalam pakatan tersebut di negeri ini sebelum memutuskan nama calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Katanya nama calon yang bakal diputuskan untuk mewakili Pakatan Rakyat akan diumumkan selepas dikemuakakan kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

"Biarlah pucuk pimpinan menentukan, kami tidak mengira calon daripada parti mana dalam Pakatan Rakyat yang akan dihantar bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Pejabat Pehubungan DAP Sandakan di Sandakan hari ini.

Belia berkata DAP sudah bersedia menggerakkan jentera dari akar umbi untuk berkempen dan pelbagai isu akan dibangkitkan dalam pilihan raya kecil itu nanti bagi membolehkan mereka mendapat sokongan daripada masyarakat secara keseluruhannya.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu adalah pada 26 Okt dan jika ada pertandingan pengundian didakan pada 4 Nov.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil Parlimennya daripada Barisan Nasional (BN) Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Okt lepas.

Malaysiakini/-

DAP: PM nyalakan 'api perkauman'

10 Zulkaedah 1431 H

DAP menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan "kepalsuan dan retorik" untuk orang mengapi-apikan kemarahan pegawai kerajaan daripada kalangan orang Melayu bagi memastikan mereka terus menyokong kerajaan.

"Perdana menteri menunjukkan sikap sebenarnya apabila beliau menghukum pegawai kerajaan yang tidak menunjukkan kesetiaan membuta tuli kepada Umno," kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada ucapan perdana menteri ketika melancarkan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya semalam.

Pua menuding kepada dua kenyataan Najib semalam yang didakwa membangkitkan prejudis kaum:

"Saya nak tanya siapakah yang mempersoalkan 153 Peruntukan dalam Perlembagaan? Hak keistimewaan orang Melayu, siapa yang persoalkan?

"Siapa yang wujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah? Siapa yang mahu buka UiTM (kepada bukan Melayu)? Bukan UMNO tapi orang sebelah sana," Najib dipetik sebagai berkata.

Pua yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Utara menyifatkan kenyataan Najib itu menggambarkannya "sebagai hulubalang PERKASA sebenar".

Ini, menurut Pua, antara sebab kenapa Najib mengambil tindakan tidak mengkritik PERKASA untuk "kedudukan ekstrim dan rasis yang berterusan" walaupun NGO itu didakwa meningkatkan etegangan antara kaum.

Malaysiakini/-

Kelab Umno Pesara kitar semula ahli lama

10 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 17 Okt: PAS berpandangan penubuhan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan hanyalah sebagai kitar semula ahli Umno yang lama, bukan penambahan kekuatan Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS berpandangan penubuhan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan tidak memberi apa-apa kesan kepada PAS.

Katanya, seperti sedia maklum yang menjadi Presiden Kelab, Tan Sri Aseh Che Mat bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang memang terkenal sebagai kaki ampu Umno sewaktu berkhidmat lagi.

Baginya, orang seperti Aseh ada pun tidak genap, hilang pun tidak ganjil dalam perjuangan untuk rakyat dan negara.

Sebagaimana sedia maklum, ujarnya kebanyakan kakitangan kerajaan yang berada di pusat pentadbiran majoritinya bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat.

Ini, katanya kerana mereka orang yang cerdik boleh membandingkan antara intan dan kaca, yang tidak bergantung dari maklumat 20” X 10” (televisyen) sahaja.

Menurutnya, mereka lebih mengetahui banyak maklumat ketirisan dan penyelewengan dalam kerajaan BN.

“Ini yang menjadi kehairanan Presiden Umno, kenapa masih ramai pesara menyebelahi pembangkang.

“Jawapannya mudah, kerana mereka tidak mahu menghabiskan sisa hayat mereka untuk menyokong parti yang terkenal sebagai pengkhianat bangsa, agama dan negara,” ujarnya.

Tujuan kelab itu ialah untuk mewujudkan Model Politik Baru bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.

Datuk Seri Najib Razak sendiri menyatakan bahawa strategi seperti ‘politik pembangunan’ tidak lagi berkesan jika digunakan sekarang.

Harakahdaily/-

Bajet raih undi, bukan ekonomi pendapatan tinggi

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Dr Azman Ibrahim

Bajet 2011 berjumlah RM213 bilion, RM162.8 bilion untuk belanja mengurus, RM49.2 bilion untuk pembangunan. Maknanya belanja mengurus 3 kali ganda belanja pembangunan. JPM sendiri terima peruntukan sehingga RM15 bilion berbanding RM78 juta untuk parlimen.

Bajet ini satu petunjuk yang sangat jelas, pilihan raya sudah dekat. Bajet yang disasarkan untuk mendapat undi, bukan ekonomi berpendapatan tinggi. GST tak jadi dibuat, elaun pengerusi JKKK dan elaun mesyuarat JKKK naik, elaun Tok Batin naik, elaun Tok Imam naik (tapi kenapa bilal tak naik),

elaun guru KAFA naik, imbuhan yang pelbagai tapi adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut? Atau imbuhan-imbuhan ini hanya perangkap. Apa perlunya dibina Menara Warisan PNB setinggi 100 tingkat dengan kos RM5 billion tetapi beban hidup rakyat tidak diringankan.

Menarik kononnya untuk menghargai kaum wanita, cuti bersalin dianjalkan 60 hari ke 90 hari, ada orang kata kerajaan pusat tiru dasar cuti bersalin 90 hari kerajaan PR Selangor. Sebenarnya tidak. Dianjalkan dari 60 hari kepada 90 hari,

maknanya kakitangan awam wanita boleh tentu sendiri berapa hari mereka nak cuti bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan maksima 300 hari sepanjang perkhidmatan. Berapa puluh tahun pun seorang wanita bekerja dengan kerajaan, cuti bersalin mesti tak lebih 300 hari.

Tak ada tambahan apa-apa. Maknanya boleh beranak setakat 3 orang saja. Lepas itu tak ada dah cuti. Kalau siapa nak beranak 5 tetap kena ambil cuti bersalin 60 hari sebab 60 x 5 = 300. Tak sama dengan dasar cuti bersalin 90 yang kerajaan Selangor buat. Jangan cepat rasa seronok. Kena kira betul-betul.

First Lady Rosmah bukan menteri kabinet tetapi Program TADIKA PERMATA PINTAR Rosmah seakan ambil alih dan mengecilkan peranan kementerian Shahrizat. Walaupun Rosmah tak ada sebarang jawatan rasmi,

tapi program PERMATA yang dia urus dapat bajet istimewa. RM111 juta peruntukan hasil duit rakyat diberikan seorang suami kepada first lady tersayang sedangkan untuk SAR rendah dan menengah hanya RM95 juta diperuntukan. Satu lagi projek kerajaan BN. Isteri didahulukan, SAR dianak tirikan.

Duti import antara 3 hingga 5 peratus dimansuhkan untuk kira-kira 300 jenis barang-barang kegemaran pelancong dan rakyat tempatan seperti beg tangan berjenama, kasut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, pakaian dalam, seluar dalam, minyak wangi. Mampukah rakyat biasa beli beg tangan berjenama? Kalau mampu pun, apakah ini keperluan mendesak.

Penyembur rambut, minyak wangi, seluar dalam import. Semua ni keperluan siapa? Keperluan orang kampung atau keperluan mak datin. Seluar dalam pun masuk bajet. Ada orang kampung pakai minyak wangi import, penyembur rambut import? Berapa ramai rakyat biasa pakai dompet berjenama?

Kalau Bajet untuk rakyat, rakyat mana? Apakah rakyat dengan makna kita masyarakat bawahan atau dengan makna ahli politik dan kroni. Kalau bukan untuk rakyat biasa maknanya ia satu lagi bajet untuk kemudahan dan keselesaan warga yang berada.

Mereka sebut projek mega di situ, projek mega di sini, hakikatnya berbillion ringgit akan dapat kepada kroni, rakyat hanya dapat ratusan ringgit.

Masa Najib bentang bajet kelmarin, saya tengah memandu di Lebuh Raya Utara Selatan menuju ke Perak, sambil mengikuti perbentangan bajet di dalam kereta. Menarik bila diumumkan, untuk pengguna-pengguna Lebuh Raya PLUS saya dengan sukacitanya mengumumkan…

PM berhenti sekejap, saya menjangkakan kalau tak dimansuhkan tol mesti sekurang-kurangnya kerajaan mengurangkan kadar tol. Rupa-rupanya… dengan sukacitanya saya mengumumkan kadar tol di semua 4 lebuh raya kendalian PLUS tidak akan dinaikkan dalam tempoh 5 tahun.

Ingatkan nak diumumkan tol dimansuhkan atau sekurang-kurangnya diturunkan. Mungkin ada pemandu di lebuh raya PLUS yang senak perut, tergelak dengar pengumuman ini. Rupanya nak bagi tahu tol tak naik.

Tak naik tak payahlah diumumkan. Saya yakin PLUS tak terjejas apa-apa ekoran kadar tol tidak dinaikkan kerana mereka mempunyai perjanjian dengan kerajaan: Sebarang kekurangan pendapatan PLUS ekoran kadar tol yang tidak dinaikkan akan ditampung pihak kerajaan. Ditampung pihak kerajaan maknanya duit rakyat akan digunakan.

Apa pula keperluan ubah suai Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri dengan kos mencecah RM65 juta. Bukankah ia baru saja diubah suai. Apakah ubah suai ini atas kehendak Rosmah? Sekiranya begini duduk perkara maka amat malang bagi rakyat Malaysia mempunyai ‘First Lady’ yang berselera dan bernafsu tinggi sehingga sang suami perlu membelanjakan puluhan juta ringgit duit rakyat demi memenuhi selera isteri tercinta.

Termasuk tahun ini telah 14 tahun berturut-turut kerajaan BN membentangkan bajet defisit. Untuk Bajet 2011, jumlah defisit kira-kira RM1 billion. Menjadi persoalan kenapa perlu kerajaan berbelanja melebihi pendapatan. Berbelanja melebihi pendapatan bermakna negara perlu berhutang.

Setakat tahun ini sahaja jumlah hutang Negara telah mencapai hampir RM400 billion. Kalau kita terus berhutang tanpa mampu menjelaskannya, memang jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Idris Jala, Negara kita menuju bankrap menjelang 2019, setahun sebelum kita mencapai status negara maju 2020.

Harakahdaily/-

Najib rasis, rakyat tidak akan terpedaya.

10 Zulkaidah 1431H.
Oleh : Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 18 Oktober :- “Saya nak tanya siapakah yang mempersoalkan 153 Peruntukan dalam Perlembagaan? Hak keistimewaan orang Melayu, siapa yang persoalkan?

Siapa yang wujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah? Siapa yang mahu buka UiTM (kepada bukan Melayu)? Bukan UMNO tapi orang sebelah sana.” Najib dipetik sebagai berkata pada pelancaran Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya pada 16 Oktober baru-baru ini.

“Persoalan sebegini telah menzahirkan siapakah juara perkauman, jelas ia barbaur perkauman yang dicetuskan oleh Perdana Menteri sendiri,” kata ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim.

Beliau merujuk ucapan perdana menteri tersebut bahawa ia sengaja diwujudkan dan menzahirkan beliaulah sebenarnya “orang kuat” PERKASA.

Menurut Drs. Khalil Perdana Menteri berlakon dan cuba memberitahu rakyat bahawa Umnolah pejuang bangsa dan agama yang tulen dengan menyalahkan Pakatan Rakyat telah mengkhianati peruntukan Perlembagaan Negara yang sedia ada iaitu Perkara 153, walhal Pakatan Rakyat telah membuat resolusi bahawa kita akan sokong malah akan pertahankan Perlembagaan Negara termasuk Perkara 153,” katanya.

"UMNOlah penghianat kepada bangsa dan agama yang sebenarnya" jelas Drs. Khalil.

Drs. Khalil Idham Lim yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Perak,berkata “sebagaimana diketahui bahawa NGO tersebut amat sinonim sebagai pencetus sentimen perkauman yang ekstrim, tetapi tidak dikritik oleh Najib selaku pelopor slogan “1 Malaysia” dan ini menggambarkan sikap sebenar Najib.

Sebelum ini pegawai Najib yang mengeluarkan ucapan yang mengguris hati orang Cina dan India iaitu Nasir Safar.

"Saya berharap rakyat tidak terpengaruh dengan lakonan baru dari Najib dan terus bertekad untuk menolak parti rasis UMNO demi menyelamatkan negara Malaysia yang kita cintai" Tegas Drs. Khalil.

Najib amal politik perkauman, adu domba

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Gagasan 1Malaysia yang diperkenal Datuk Seri Najib Razak terbukti hanya retorik apabila Perdana Menteri itu masih mengamalkan politik perkauman dan adu domba.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, jika benar Najib ikhlas dengan gagasan 1Malaysianya, sudah tentu beliau tidak menyalakan api perkauman dengan cuba menuduh Pakatan Rakyat mempersoal perlembagaan.

"Saya rasa Najib ketinggalan dan tidak mengikuti poilitik semasa. Pakatan Rakyat telah buat resolusi bahawa kita akan sokong malah akan pertahankan Perlembagaan Negara termasuk Perkara 153," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri ketika melancarkan Kelab Umno Pesara Kakitangan Kerajaan di kediaman rasminya di Seri Perdana di Putrajaya semalam.

Najib dalam ucapannya menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat mempersoal perkara 153 Perlembagaan termasuk isu hak orang Melayu.

Najib juga menuduh Pakatan Rakyat mewujudkan peristiwa tidak mendoakan Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah dan mahu membuka UiTM kepada bukan Melayu.

Semua itu dipersoal Najib bagi menunjukkan betapa Umno memperjuangkan Melayu manakala Pakatan Rakyat pula sebaliknya.

"Najib lupa, Umno lah yang membuat dasar membuka 5 peratus kepada bukan Melayu memasuki MRSM (Maktab Rendah Sains Mara).

"Najib nampaknya sudah mainkan politik adu domba. Di majilis pesara kakitangan kerajaan dia kata PR tidak menghormati perkara 153, waktu rasmi mesyuarat MCA dia kata PAS akan melaksanakan dasar Islam jika PR memerintah," katanya.

Sementara itu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini menuduh Najib menggunakan "kepalsuan dan retorik" untuk orang mengapi-apikan kemarahan pegawai kerajaan daripada kalangan orang Melayu.

Pua yang juga anggota Parlimen Petaling Jaya Utara juga menyifatkan kenyataan Najib itu menggambarkannya "sebagai hulu balang Perkasa sebenar".

Sebab itu kata Pua, Najib mengambil pendirian tidak mengkritik Perkasa biarpun NGO tersebut didakwa ekstrem dan rasis.

Harakahdaily/-

Memo taubat kerja orang jahat, kecewa

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Ali Hashim

PENANTI, 17 Okt: Pengerusi PKR Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mansor Othman menyifatkan tindakan sekumpulan pemuda yang mendakwa menyerahkan memorandum taubat kepada ibu pejabat Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah kerja orang jahat yang kecewa.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan bagi meraikan 105 orang bakal jemaah haji dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, petang tadi.

"Mereka ini adalah orang upahan yang telah diasuh untuk mencemarkan imej baik Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini bukanlah perkara baru yang berlaku setelah melihat kekuatan yang ada pada PKR semakin menggugat kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Dakwaan mereka adalah sebagai mengisi kehendak orang atasan bagi memenuhi hasrat mencemarkan Pakatan Rakyat (PR) menjelangnya pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi. Tidak menghairankan banyak lagi desperado yang akan muncul sepertimana skrip yang telah mereka rancang, " ujarnya yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Semalam sekumpulan pemuda yang mendakwa dari Cabang PKR Pulau Pinang dan Perak telah menyerahkan memorandum taubat meminta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera bertaubat.

Memorandum satu muka surat itu didakwa telah dihantar oleh 60 ahli dari tiga cabang yang mewakili Pulau Pinang dan Perak.

Namun begitu, Mansor berkata bahawa sebenarnya hanya enam orang sahaja yang mengiringi menghantar memorandum tersebut. Manakala Nor Hilmi Ismail yang mendakwa mewakili 3 cabang PKR adalah anak kepada seorang pegawai khas Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

"Mereka ini bukannya ahli PKR dan tindakan ini adalah dipercayai didalangi oleh sebahagian dari mereka yang kalah dan kecewa dalam mencapai hasrat mereka.

“Oleh kerana itu satu siasatan akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan keahlian mereka terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan susulan dilakukan," tambahnya lagi.

Mansor menyangkal dakwaan pihak terbabit dan menyeru masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan yang semakin liar cuba direncanakan oleh pihak lawan bagi menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Menurutnya lagi, menjelang pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dun Galas, maka pelbagai dakwaan akan timbul sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini, termasuklah keluar parti beramai-ramai dan pengakuan sumpah palsu yang sudah menjadi lumrah dan mainan Umno BN.

Harakahdaily/-

Air: Umno takut penyelewengan terbongkar

10 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Ali Hashim

PERMATANG PAUH, 18 Okt: Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah membidas Umno negeri yang cuba menjadi juara dalam memburukkan kerajaan negeri setelah penyelewengan dalam isu air didedahkan.

Katanya, kenaikan tarif air di negeri Kedah adalah suatu pelarasan yang telah dilakukan setelah 17 tahun lalu bagi menampung kos yang semakin meningkat dalam pengurusan air tersebut.

Pada akhir September yang lalu Syarikat Bekalan Air Darul Aman (Sada) telah mengumumkan kenaikan tarif air di negeri Kedah setelah mendapat kelulusan dari Kerajaan Pusat.

"Kerajaan Pusat melalui Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air dan Kadar Bekalan Air Negeri Kedah 2010 telah menetapkan tarif air ini. Mereka juga yang memberi kelulusan terhadap kenaikan ini.

"Oleh kerana itu Umno tidak harus menuding jari kepada Kerajaan Negeri. Sebenarnya mereka takut penyelewengan yang telah mereka lakukan terbongkar," ujarnya lagi ketika menyampaikan ceramah isu semasa di markas PAS Kampung Pelet, Penanti, kelmarin.

Amiruddin yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, antara penyelewengan yang telah dikenal pasti berlaku ialah kos pembinaan loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai.

Bagi projek pembinaan di Lubuk Buntar kos sebenar adalah dalam lingkungan antara RM25juta hingga RM30 juta sahaja. Namun begitu apa yang tertera ialah peningkatan mendadak sehingga RM65 juta.

Kos pembinaan loji pembersihan di Padang Sanai pula apa yang menjadi kesangsian ialah kos yang sebenarnya antara RM50 juta hingga RM60 juta, telah melambung sehingga RM155 juta.

"Ini semua adalah antara penyelewengan yang berlaku semasa Kerajaan Negeri belum dikuasai oleh Pakatan Rakyat lagi. Oleh kerana itu kita amat mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersikap adil dan cekap dalam menangani masalah ini setelah ianya dipaparkan melalui pelbagai sumber dan saluran," tegasnya lagi.

Harakahdaily/-