17 October 2010

Timbalan: Pertandingan 3 penjuru - Azmin, Zaid, Mus

8 Zulkaidah 1431H.

Persaingan merebut jawatan nombor dua PKR adalah pertandingan tiga penjuru membabitkan naib presiden parti itu, Azmin Ali, ketua Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dan ketua Perak Mustaffa Kamil Ayub.

Azmin yang juga adalah ketua Selangor, merupakan calon pertama mengemukakan borang penerimaan pencalonan manakala Zaid pula mengesahkan bahawa beliau akan bertanding menerusi blognya.

"Pada tepat jam 11.05 pagi tadi, dengan penuh keinsafan, saya menerima pencalonan sebagai timbalan presiden.

"Saya berharap anggota terus memberi sokongan dan selepas pemilihan ini parti (kita) akan lebih kuat, anggota menjadi matang, demokrasi akan terus subur dan reformasi ditegakkan di Putrajaya," katanya.

Turut berada di atas pentas, adalah exco Selangor Dr Xavier Jayakumar yang menyokong Azmin. Beliau pula pula menawarkan diri untuk bertanding naib prtesiden.

Zaid kemudiannya menghantar wakil untuk mengemukakan penerimaan pencalonannya.


Menurut sumber parti, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan puteri reformasi PKR yang juga ahli parlimen Nurul Izzah Anwar dijangka menolak pencalonan masing-masing.

Dipercayai anak ketua umum PKR dan presiden parti itu akan bertanding merebut satu daripada empat jawatan naib presiden yang dipertandingkan.

Sementara itu, Mustaffa Kamil Ayub juga mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut.

Beliau menyerahkan borang tawarannya itu kira-kira jam 12.50 pagi di ibu pejabat parti.

"Saya tawarkan diri untuk berkhidmat dengan parti kerana saya yakin demokrasi ada dalam parti.

"Saya akan meneruskan agenda kepimpinan dan kekuatan dalam parti sehingga ia terus diyakini," katanya dalam ucapan selepas mengemukakan penawarannya.

Menurutnya lagi, beliau mempertaruhkan segala pengalaman beliau sewaktu memimpin pertubuhan belia Islam dan selaku bekas setiausaha politik Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perjuangan reformasi.

Tambahnya, beliau menawarkan politik baru yang menekankan politik nilai yang berteraskan profesionalisme dan menolak politik perkauman.


Sementara itu, ahli parlimen Batu, Tian Chua, yang juga merupakan bekas naib presiden PKR telah memilih untuk tidak bertanding jawatan timbalan presiden meskipun telah mendapat lima pencalonan.

Beliau juga seperti Nurul Izzah, dikatakan akan merebut jawatan naib presiden.

Semua calon mempunyai masa sehingga jam 5 petang ini untuk mengesahkan sama ada mereka menerima pencalonan untuk bertanding jawatan masing-masing. 24 Oktober ini telah ditetapkan sebagai tarikh pengumuman calon yang sedia bertanding.

Penerimaan pencalonan dibuka mulai jam 10 pagi ini di luar pusat pencalon yang ditubuhkan di ibu pejabat parti di Tropicana, Kuala Lumpur.

Penyokong Azmin dilaporkan penuh sesak sebagai sokongan moral kepadanya.

Suasana di sana dilaporkan bagaikan pesta dengan lima kanopi besar dipasang untuk proses pengambilan borang penerimaan calon.

Sejak beberapa hari kebelangkangan ini, terdapat usaha sengit bagi mengatur percaturan dalam usaha menentukan kepimpinan PKR.

Jawatan naib presiden juga dijangka amat sengit dengan hampir 30 calon yang layak bertanding meskipun ramai dijangka akan mengundurkan diri.

“Hari penerimaan calon Pemilihan Pimpinan PKR. 252 dicalonkan untuk pelbagai jawatan. Ramai akan tarik diri. Tentu ada memeranjatkan,” kata timbalan presiden PKR Syed Husin Ali yang tidak akan mempertahankan jawatannya menerusi tweeter.

Bagi kerusi Pemuda - AMK, - ketuanya sekarang Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatannya.

Shamsul sebelum ini dikatakan berminat menjawat jawatan lebih tinggi dalam PKR tetapi menukar hasratnya kerana dipercayai sedar bahawa peluangnya agak tipis.

Dipercayai Shamsul akan dicabar oleh Badrul Hisham Shahrin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Rafizi Ramli.

Malaysiakini/-

Bajet "seluar dalam", Rosmah juga diheret dalam Bajet 2011

8 Zulkaidah 1431H.

Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri 1Malaysia terganggu seketika dengan nama isterinya ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat ketika beliau mengumumkan langkah menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di rantau Asia.

Ia bermula apabila Najib mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan pelancongan dan rakyat tempatan dimansuhkan.

“Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut...” kata Najib sambil kedengaran gelak ketawa dari ahli parlimen.

Beberapa ahli parlimen kemudiannya melaungkan “Rosmah!” disambut gelak ketawa rakan-rakan mereka.

Najib senyum sinis dan memperlahankan bacaan teks ucapannya sambil menyambung: “Pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.”

Dan sekali lagi lebih ramai yang ketawa.

Namun, sindiran paling tajam dilemparkan ketika Najib mengumumkan peruntukan RM111 juta untuk program PERMATA yang dinaungi oleh Rosmah.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dengan kuat menjerit “Rosmah! Rosmah!”, sambil sekali lagi disambut Najib dengan senyuman sinis.

Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Mahfuz: Bajet seluar dalam

Walaupun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi, namum program PERTAMA yang diuruskannya didakwa seakan mendapat bajet 'istImewa'.

Ini berbanding peruntukkan RM95 juta sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Rasa tidak puas ahli parlimen berlarutan sehingga akhir pembentangan. Ramai yang membidas bajet 2011 yang disifatkan mereka gagal memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Jadi, nampaknya tidak apa yang menarik daripada pembentangan tersebut dan lebih bersifatkan retorik. Saya sifatkan sebagai bajet 'seluar dalam' di mana ia memainkan yang penting untuk kerajaan mencapai matlamat Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP) dan pertumbuhan 7 peratus yang bergantung kepada 'seluar dalam' dan juga 'kelambu'," sindir Mahfuz lagi.

Pembentangan bajet ini juga mendapat sambutan serta bidasan di twitter dan facebook.

"Pengurangan cukai untuk beg, penyembur rambut, minyak wangi... hadiah Krismas awal Najib untuk Rosmah? Tulis MP Serdang Teo Nie Ching.

"Ini macam Bajet RM (Rosmah Mansor)," jawab MP Bukit Bendera Liew Chin Tong.

Bajet: 'Rosmah' dapat RM111 juta, SAR RM95 juta

8 Zulkaidah 1431H.


KUALA LUMPUR, 15 Okt: Program Permata yang dipopularkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri turut mendapat manfaat dari Bajet 2011.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan I mengumumkan sebanyak RM111 juta diperuntukkan bagi agenda Permata memperkasa pendidikan awal negara.

Peruntukan itu meliputi projek pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.

Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

Walaupun Rosmah tidak mempunyai sebarang jawatan rasmii dalam kerajaan, khususnya Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi program Permata yang diuruskannya nampaknya seakan mendapat bajet 'istemewa'.

Ini kerana, pertadbiran Najib hanya memperuntukan RM95 juta sebagai bantuan perkapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Harakahdaily/-

Bajet utamakan BN, petanda pilihan raya dekat

8 Zulkaidah 1431H.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan pembentangan Bajet 2011 hanya berpihak kepada negeri-negeri di bawah naungan Umno-BN.

Berikutan itu, beliau yang juga setiausaha agung DAP akan mengemukkan rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya ilusi untuk memerangkap perhatian rakyat dengan imbuhan.

"Pembentangan bajet memperlihatkan imbuhan yang pelbagai oleh kerajaan, namun adakah rakyat akan merasai imbuhan tersebut?" soalnya.

Menurut Lim, bagi mempertingkatkan pendapatan negara, kerajaan harus beri tumpuan terhadap tenaga kerja yang akan menjana ekonomi.

"Mengapa perlu bangunan 100 tingkat? Mereka perlu beri tumpuan kepada orang (rakyat) yang akan menjana ekonomi. Kita perlukan skil (kemahiran) dan pengalaman. Bukan insfrastruktur mega," kata ahli parlimen Bagan itu.

Ahli parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar pula kecewa dengan Bajet 2011 yang langsung tidak menyentuh peruntukan untuk negeri Kelantan.

"Saya amat kecewa sebagai ahli parlimen daripada Kelantan, tidak ada apa-apa projek pun yang disebut menyentuh Kelantan sama ada jalan raya, lebuh raya, pangkalan, lapangan terbang ataupun laluan kereta api tak ada satu pun yang memberi nikmat kepada rakyat Kelantan.

"BN tidak mempedulikan Kelantan kerana merasakan seolah-olah mereka tidak mempunyai apa-apa harapan lagi terhadap Kelantan," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad melahirkan kebimbangan dengan cara kerajaan berbelanja yang jelas menunjukkan defisit.

Pancing orang kampung

"Saya rasa ini bajet terakhir sebelum pilihan raya. Najib cuba sedapat yang boleh memberikan kemudahan kepada orang kampung, belia, sekolah agama rakyat yang dahulunya dipinggirkan, tidak ketinggalan juga Permata.

"Saya nampak semua diambil kira dan beliau meramalkan defisit RM5.4 bilion. Kalau beginilah cara kerajaan berbelanja dengan tidak memberikan fokus kepada bagaimana langkah-langkah untuk mendapatkan pelaburan asing, saya tidak nampak satu langkah untuk mendapatkan pelaburan asing atau swasta dan membantu pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Bagi ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula, bajet yang dibentangkan Najib itu memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka.

"Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada sama ada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa, contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainya dan juga industri yang ingin diperkembangkan dalam negara kita," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

"Bagaimana pula nasib rakyat yang tertekan dengan harga keperluan harian yang meningkat?

"Apa perlunya membina bangunan 100 tingkat sedangkan pada masa rakyat susah menghadapi tekanan kenaikkan harga barang keperluan?" soal Nasharudin lagi.

Ahli parlimen Kubang Kerian yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentang, menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi sebenarnya satu perangkap yang akan membebankan rakyat.

Pilihan raya semakin dekat

"Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.

"Ia tidak mencapai matlamat rakyat bawahan. Transformasi ekonomi ini tidak dapat diterjemahkan dengan bajet kepada golongan sasar tapi lebih kepada projek mega yang akan mensasarkan golongan tertentu sahaja," kata Salahuddin.

Ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli parlimen yang lain bahawa ia merupakan gula-gula pilihan raya.

"Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

Malaysiakini/-