14 October 2010

Tazkirah : Adab Memotong Kuku Fitrah Rasulullah SAW

6 Zulkaidah 1431H.
http://sidaratul.blogspot.com/

Menurut Kamus Dewan, kuku ialah selaput atau bahagian keras yang tumbuh pada hujung jari manusia, benda keras yang menganjur yang tumbuh pada hujung kaki binatang (ada yang besar dan ada yang panjang dan tajam).

Kuku yang diciptakan Allah Subhanahu wa Ta'ala mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri kepada manusia. Dalam hukum Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak seharusnya diabaikan oleh umat Islam. Walaupun ia dilihat hanya seolah-olah perkara kecil, namun kadang-kadang ia adalah perkara besar, sebagai contoh ketika seorang yang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar dam kerana memotong kukunya. Demikian juga kuku boleh menyebabkan tidak sah wudhu atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang sampai ke kuku.

Beberapa permasalahan yang berhubungkait dengan kuku dari segi hukum, hikmat memotong kuku, memanjangkan dan mewarnanya akan dibincangkan dalam Irsyad Hukum kali ini.

1. Hukum Dan Hikmat Memotong Kuku
Memotong kuku adalah termasuk dalam amalan sunat. Sebagaimana disebutkan dalam hadis dari 'Aisyah Radhiallahu 'anha yang maksudnya: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja), berkata Zakaria: "berkata Mus'ab: "Aku lupa yang kesepuluh kecuali berkumur."

(Hadis riwayat Muslim) Memotong kuku adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku ialah menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celah kuku, yang mana kotoran tersebut boleh menghalang sampainya air ketika bersuci.

Selain daripada itu, jika kuku itu pula dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat di dalamnya, nescaya ia boleh menjejaskan kesihatan.

2. Cara Dan Benda Untuk Memotong Kuku
Sunat memotong kuku bermula daripada tangan kanan kemudian tangan kiri, memotong kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.

Menurut Imam an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya daripada jari telunjuk sehinggalah jari kelingking dan diikuti ibu jari, kemudian tangan kiri daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari.

Sementara kuku kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking sehinggalah ibu jari kemudian kaki kiri daripada ibu jari sehinggalah kelingking.

Harus seseorang itu memotong kukunya dengan menggunakan gunting, pisau atau benda yang khas yang tidak menyebabkan mudharat pada kuku atau jari sepertimana yang dikenali sebagai alat pemotong kuku.

Setelah selesai memotong kuku, sayugia segera membasuh tangan (tempat kuku yang telah dipotong) dengan air. Ini kerana jika seseorang itu menggaru pada anggota lain, ditakuti akan menghidap penyakit kusta.

Menurut kitab al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong kuku dengan menggunakan gigi kerana ia boleh mewarisi penyakit kusta.

3. Waktu Memotong Kuku
Dalam perkara memotong kuku, waktu juga diambil kira dan diambil perhatian dalam Islam. Adapun waktu memotong kuku itu tertakluklah pada panjang kuku tersebut. Bila-bila masa sahaja diharuskan memotong kuku apabila seseorang itu berkehendak pada memotongnya. Akan tetapi janganlah membiarkan kuku tersebut tidak dipotong sehingga melebihi empat puluh hari. Sebagaimana diriwayatkan daripada Anas bin Malik yang maksudnya :

"Telah ditentukan waktu kepada kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada empat puluh malam."

(Hadis riwayat Muslim) Adapun menurut Imam asy-Syafi'e dan ulama-ulama asy-Syafi'eyah, sunat memotong kuku itu sebelum mengerjakan sembahyang Juma'at, sebagaimana disunatkan mandi, bersugi, berharuman, berpakaian kemas sebelum pergi ke masjid untuk mengerjakan sembahyang Juma'at.

Diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah Radhiallahu 'anhuma berkata yang maksudnya :

Maksudnya: "Bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam: "Sesiapa yang mandi pada hari Juma'at, bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang terbaik kemudian keluar rumah sehingga sampai ke masjid, dia tidak melangkahi (menerobos masuk) orang-orang yang telah bersaf, kemudian dia mengerjakan sembahyang apa sahaja (sembahyang sunat), dia diam ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata sehingga selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa di antara Juma'at itu dan Juma'at sebelumnya."

(Hadis riwayat Ahmad) Daripada Abu Hurairah katanya yang maksudnya : "Bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alahi wasallam memotong kuku dan mengunting misai pada hari Juma'at sebelum Baginda keluar untuk bersembahyang."

(Riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani) Sementara menurut Ibnu Hajar Rahimahullah pula, sunat memotong kuku itu pada hari Khamis atau pagi Juma'at atau pada hari Isnin.

4. Menanam Potongan Kuku
Islam sangat perihatin terhadap memuliakan anak Adam termasuk memuliakan anggota badan manusia. Potongan-potongan kuku sunat ditanam di dalam tanah sebagai tanda menghormatinya, kerana ia salah satu daripada anggota manusia. Sebagaimana disebutkan dalam kitab Fath al-Bari, bahawa Ibnu 'Umar Radhiallahu 'anhu menanam potongan kuku.

5. Memotong Kuku Ketika Haid, Nifas Dan Junub
Menurut kitab Al-Ihya', jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. Kerana segala potongan itu di akhirat kelak akan kembali kepadanya dengan keadaan junub.

6. Memanjangkan Kuku Dan Mewarnainya ( Cutex)
Tabiat memanjangkan kuku dan membiarkannya tanpa dipotong adalah perbuatan yang bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihhi wasallam , kerana Baginda menggalakkan supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku itu panjang, nescaya banyak perkara-perkara yang membabitkan hukum seperti wudhu, mandi wajib dan sebagainya.

Adapun dalam hal mewarnai kuku (cutex), perempuan yang bersuami adalah haram mewarnai kuku jika suaminya tidak mengizinkan. Sementara perempuan yang tidak bersuami pula, haram baginya mewarnai kuku. Demikian juga jika pewarna itu diperbuat daripada benda najis adalah haram digunakan melainkan ada hajat seperti berubat.

Jika pewarna kuku itu boleh menghalang daripada masuknya air, maka wajiblah ditanggalkan pewarna tersebut. Jika tidak ditanggalkan ia daripada kuku tangan atau kaki, maka tidaklah sah wudhu apabila dia berhadas kecil, atau mandi wajib apabila dia berhadas besar iaitu haid, nifas atau junub.

Hal ini berbeza pula dengan berinai, kerana perempuan yang bersuami atau perempuan yang hendak berihram sunat baginya berinai atau berpacar. Walau bagaimanapun cara berinai yang disunatkan itu ialah dengan menggunakan daun inai pada seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Disunatkan juga menyapukan sedikit inai kemuka, sebab ketika ihram, perempuan disuruh membuka muka dan kadang-kadang kedua telapak tangannya akan terbuka. Maka dengan berinai itu akan menutupi warna kulit tangan dan muka.

Adapun perempuan yang tidak bersuami, adalah makruh berinai (menginai seluruh dua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan) tanpa ada sesuatu sebab keuzuran dan tidak pula bermaksud untuk melakukan ihram. Ini kerana ditakuti akan menimbulkan fitnah.

Sementara cara berinai dengan hanya menginaikan hujung-hujung jari sahaja dan membuat ukiran-ukiran tertentu adalah tidak dianjurkan, bahkan haram hukumnya berbuat begitu. Akan tetapi diharuskan bagi perempuan yang bersuami berinai dengan cara berkenaan dengan syarat ada keizinan daripada suami. Ini memandangkan ada tujuan isteri berhias untuk suami. Jika tanpa ada keizinan suami maka hukumnya tetap haram.

Manakala hukum berinai bagi kaum lelaki pada dua tangan dan kaki adalah haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya yang maksudnya :

"Bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam melarang kaum lelaki memakai za'faran (kuma-kuma)."

(Hadis riwayat Muslim) Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu terdapat di dalamnya unsur-unsur menyerupai cara kaum wanita berhias. Akan tetapi jika lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu ada keperluan atau hajat seperti untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidak juga dimakruhkan ke atasnya berinai

~NuRaiDiLFaDa aHMaD~

Konsert Lambert: Haram yang dihalalkan

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Edwin Michael

Tertarik sungguh otak pemikiran saya dengan kenyataan Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang meminta kerajaan mengharamkan konsert Adam Lambert yang dijadualkan pada 14 Oktober ini dan sekaligus meminta rakyat Malaysia menolak budaya ‘gay’.

Persoalannya, bagaimana hendak kita menolak budaya ‘gay’ sedangkan sistem sosial kita kini adalah sebahagian daripada budaya tersebut?

Kita sedang berdepan dengan krisis identiti yang melibatkan golongan yang memiliki perlakuan tidak normal, diluar tabii dan dari konteks agama nyata haram!

Namun, mengapa apabila si Lambert hendak ke sini baru kita mula ‘terhegeh-hegeh’ memekik menjerit meminta masyarakat kita menolak budaya songsang ini sedangkan percambahan benih budaya ini di kalangan anak-anak kita sendiri semakin parah dan menakutkan.

Bohonglah jika ahli-ahli politik yang amat dihormati ini mengatakan bahawa isu homoseksual, lesbian, transgender di Malaysia adalah isu terpencil sedangkan hakikatnya bilangan golongan ini bukan lagi sedikit sebaliknya mempunyai kemampuan untuk membentuk undi majoriti dalam pilihan raya.

Masalah kita ialah, apabila para ahli akademik tampil dengan cadangan serta langkah berpaksikan hak asasi manusia untuk membantu golongan-golongan songsang yang terdiri daripada anak-anak belasan umur ini, ahli akademik itu pula akan dipandang sebagai anasir yang menyokong budaya songsang ini sekaligus dihentam kromo tanpa mengambil peduli pendekatan ilmiah yang digunapakai dalam menangani krisis identiti ini.

Jadi, membatalkan konsert Lambert dan menolak budaya ‘gay’ maka apakah itu bermakna negara islam ini benar-benar bebas daripada tempias budaya tersebut?

Otak pemikiran kita yang waras bertambah keliru apabila Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Artis Luar Negara (Puspal) membenarkan konsert artis songsang ini dan juga sebelum ini turut membenarkan penyanyi lucah Pitbull mengadakan persembahan di negara ini. Apakah justifikasi kepada semua ini?

Dalam kekeliruan ini, otak waras terus bertambah sakit apabila Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menyatakan bahawa Dasar Sosial Negara sudah mula di gubal dan kini kementerian sedang dalam proses untuk merangka Model Baru Sosial seperti yang disyorkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di satu pihak kita perlu menolak budaya ‘gay’ tanpa sebarang pendekatan alternatif yang pragmatik dalam menanganinya. Di satu pihak lain pula, kerajaan membenarkan artis-artis barat yang rendah moralnya untuk mengadakan konsert dan pada masa yang sama menggubal Dasar Sosial Negara dalam usaha menyelamatkan anak-anak kita daripada terjebak dalam kancah sosial yang pengaruhnya datang daripada individu-individu seperti Adam Lambert dan Pitbull. Pening!

Dan lebih daripada semua ini, apakah ini petanda bahawa tidak lama lagi rakyat Malaysia akan dihiburkan dengan konsert Lady Gaga?

Malaysiakini/-

Adab Memotong Kuku


05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Markisa Razak

Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayang kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak.

RASULULLAH S.A.W BERSABDA: YANG ERTINYA:.

Barang siapa yang mengerat kukunya pada ;
* Hari Sabtu : Nescaya keluar dari dalam tubuhnya ubat dan masuk kepadanya penyakit
* Hari Ahad : Nescaya keluar daripadanya kekayaan dan masuk kemiskinan
* Hari Isnin : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk sihat
* Hari Selasa : Nescaya keluar daripadanya sihat dan masuk penyakit
* Hari Rabu : Nescaya keluar daripadanya was-was dan masuk kepadanya kepapaan.
* Hari Khamis : Nescaya keluar daripadanya gila dan masuk kepadanya sembuh dari penyakit.
* Hari Jumaat : Nescaya keluar dosa-dosanya seperti pada hari dilahirkan oleh ibunya dan masuk kepadanya rahmat daripada Allah Taala.

PAS putus calon malam ini

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, calon PAS yang akan bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas nanti diputuskan pada malam ini.

Presiden PAS itu memberitahu, senarai calon telah diserahkan oleh Jawatankuasa PAS Pusat kepada Dewan Harian PAS yang akan bermesyuarat malam ini.

"Malam ini parti akan putuskan siapa calon PAS yang akan bertanding, dan kita akan umum pada 22 Oktober nanti.

"Calon yang kita akan pilih bukan sahaja mempunyai ketokohan, malah juga sesuai dengan keperluan lapangan," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang ketika ditemui di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai PRK Dun Galas itu, beliau berkata PAS mahu turun sebagai underdog berdepan Umno BN.

Beliau berkata, biarpun post mortem Pilihan Raya Umum ke-12 lalu menunjukkan PAS mempunyai kelebihan di Dun itu, namun jentera diharap tidak terlalu yakin.

"Post mortem yang kita buat, undi parlimen bagi Dun Galas kita menang, walaupun Tengku Razaleigh yang bertanding.

"Tapi saya minta PAS jangan over confident, kita mesti meletakkan keyakinan di bawah 50 peratus dan mesti membina sokongan lebih dari 50 peratus," katanya.

Selain itu, beliau juga berharap Umno menghadapi PRK Galas pada 4 November nanti secara demokratik dan profesional.

Ianya termasuk membebaskan media dari membuat liputan sebelah pihak, dan tidak menggunakan jentera kerajaan sebagai jentera Umno BN untuk berkempen.

Menyentuh isu yang akan dibawa PAS pula, beliau yakin isu-isu setempat lebih sesuai dengan suasana Galas di kawasan pinggir bandar Gua Musang.

Bagaimanapun ianya mungkin berubah mengikut kesesuaian masa dan suasana kempen nanti.

"Apa pun kita harap perjalanan pilihan raya ini berjalan dengan baik, dan kita bergantung dengan Allah SWT," katanya.

Harakahdaily/-

Konsert artis 'gay': K'jaan terus dibidas

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) terus dikritik pelbagai pihak kerana tetap dengan pendiriannya membenarkan artis 'gay' Amerika Syarikat Adam Lambert mengadakan konsert di negara ini.

Bagi Persatuan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), konsert anjuran Marctensia Entertainment dan syarikat rakaman Sony Music itu harus dibatalkan kerana ia didakwa melanggarkan perlembagaan dan Rukun Negara.

Presiden PPMM, Zainul Rijal Abu Bakar (kiri) berkata, tafsiran undang-undang dalam kes Meor Atiqullah, hakim memutuskan segala dasar yang dilaksanakan hendaklah berdasarkan kaedah hukum Islam.

"Tetapi apa yang berlaku ini jelas bercanggah dengan Islam dan meruntuhkan akhlak," kata Zainul Rijal kepada Malaysiakini hari ini.

Menurutnya lagi, dalam rukun negara juga digariskan soal kesopanan dan kesusilaan dan bukannya "terkinja-kinja" dalam konsert.

Walaupun dibantah kuat, terutamanya oleh PAS, konsert sulung 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dilaporkan boleh diteruskan dengan syarat ia menepati garis panduan, antaranya tidak melibatkan kelakuan melampau ketika persembahan.

Ketua Penolong Setiausaha Puspal Mohd Dian Nais dilaporkan berkata penganjurnya telah diberikan penerangan mengenai peraturan lain yang perlu dipatuhi termasuk jarak 7.5 meter antara pentas dan penonton.

Wabak 'halalkan' gay

Beliau juga memberitahu, Puspal sebelum ini pernah menghentikan konsert Akon di Sunway Pyramid kerana artis tersebut membuka bajunya ketika persembahan.

Sementara itu, dua lagi persatuan mahasiswa Islam - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) - turut menghamburkan 'kemarahan' yang sama kepada Puspal, agensi bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu.

Menurut Presiden Gamis Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (kanan), konsert itu akan menjadi "wabak" dan ikutan remaja Malaysia untuk 'menghalalkan' budaya gay.

"Ambillah iktibar dari sirah kaum Nabi Lut yang akhirnya dtimpakan bala bencana yang dahsyat oleh Allah dan kesannya boleh dilihat hingga hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara Presiden ISIUKM Mohd Nazri Mohd Tahir pula berkata, di negara ini hubungan sejenis ditolak sepenuhnya.

"Jadi mengapa pihak kerajaan masih lagi membenarkan artis tersebut masuk ke negara ini? Perkara ini boleh diibaratkan seolah-olah hendak mengubat penyakit tetapi dalam masa yang sama membiarkan virus-virus yang membawa penyakit terus berlegar-legar dengan bebasnya," katanya.

Konsert sulung Lambert dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran.

Malaysiakini/-

PKR Batu Sapi senaraikan tiga calon

05 Zulkaedah 1431 H

Cawangan PKR Batu Sapi telah menyenarai-pendek tiga calon yang berkelayakan untuk diketengahkan bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi, kata ketuanya Hassnar Ebrahim.

"Tiga nama berkenaan - seorang Bajau, seorang Suluk dan seorang lagi untuk dipertimbang oleh kepimpinan PKR Sabah malam ini.

"Biarkan pucuk pimpinan umumkan keputusan itu. Kami akan adakan juga mesyuarat Pakatan Sabah di Kota Kinabalu tidak lama lagi bagi membincang persiapan pilihan raya kecil.”

PKR diamanahkan untuk bertanding di parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya 2008 tetapi parti itu gagal mengetengahakan sebarang calon pada hari penamaan calon.

Calon ditahan polis

"Apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008 tidak patut dipersalahkan ke atas PKR. Calon kami, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, malangnya ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir,” dakwa Hassnar.

Pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh telah menyatakan minat parti itu untuk bertanding, meskipun DAP dikatakan berminat untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Menurut Hassnar, beliau bukan antara calon PKR meskipun beliau dilantik sebagai ketua cawangan baru-baru ini. Beliau juga menolak spekulasi bahawa PKR akan menyerahkan kerusi itu kepada DAP untuk bertanding.

Batu Sapi adalah kawasan majoriti penduduk Islam, manakala bukan Islam yang dikatakan penyokong DAP mewakili kira-kira 40 peratus daripada pengundi.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

BN dijangka sekali lagi diwakili oleh PBS untuk kerusi Batu Sapi manakala satu lagi parti pembangkang SAPP, juga dikatakan berminat untuk bertanding.

Malaysiakini/-

Exco K'tan: PAS tak bawa isu royalti di Galas

05 Zulkaedah 1431 H

PAS tidak akan membawa isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petronas dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas, kata Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, lapor Bernama.

"Kita akan menggunakan isu bagaimana parti ini dapat meneruskan dasar perjuangannya berteruskan prinsip Islam selain mengekalkan rekod perkhidmatan Chek Hashim Che Sulaima, sepanjang perrkhidmatan sebagai wakil rakyat kawasan itu," lapor Bernama yang memetik Mohd Amar memberitahu pemberita demikian di Kota Bharu hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan ekoran kematian ADUN dari PAS, Chek Hashim, 46, pada 27 September lepas akibat kanser.

Mohd Amar yang juga exco kerajaan negeri dilaporkan berkata, walaupun mengikut peguam, isu royalti itu boleh dibangkitkan dalam kempen dan ianya tidak subjudis walaupun perkara itu telah dibawa ke mahkamah, PAS tidak akan membawa isu berkenaan.

ADUN Panchor itu juga menolak dakwaan yang PAS menurunkan kain pemidang yang menggesa rakyat menyokong tuntutan royalti itu kerana kononnya ia tidak menguntungkan PAS dalam pilihan raya kecil itu.

Mohd Amar berkata beliau yakin PAS akan menang dengan majoriti lebih baik dalam pilihan raya kali ini berdasarkan penerimaan rakyat terhadap parti itu di kawasan berkenaan.

Malaysiakini/-

Lebih ramai ahli Gerakan akan sertai Pakatan, PCM

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Susan Loone

Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Gerakan Pulau Pinang yang berakhir Ahad lalu dilihat masih belum meredakan krisis kepimpinan parti itu. Ia berikutan beberapa bahagian yang tidak berpuas hati, mengugut untuk menyertai parti lawan.

Menurut bekas naib presiden Gerakan, Huan Cheng Guan, parti yang baru ditubuhkannya, Parti Cinta Malaysia (PCM) telah didatangi oleh beberapa ahli Gerakan yang bercadang membubarkan bahagian mereka kerana tidak berpuas hati dengan keputusan EGM berkenaan.

EGM pada 10 Oktober lalu memutuskan bahawa lebih separuh daripada 322 perwakilan yang mengundi menyokong Datuk Dr Teng Hock Nan kekal sebagai ketua Gerakan Pulau Pinang. Beliau menang dengan kelebihan 29 undi, manakala 145 perwakilan mahu Teng dilucutkan jawatannya. Terdapat satu undi rosak.

Di sebalik kemenangan Teng, ada perwakilan yang berpendapat rasa tidak puas hati terhadap mereka yang mahu beliau dipecat diberikan tumpuan khas agara pembaharuan dapat dilakukan.

Huan yang sekarang ini adalah naib presiden PCM berkata beberapa pemimpin peringkat bahagian dan cawangan juga telah menyatakan minat mereka untuk menyertai Pakatan Rakyat atau PCM.

Antara mereka, dakwanya adalah Kebun Sireh yang bercadang membubarkan bahagiannya bagi membolehkan ahlinya menyertai PKR manakala ahli bahagian Bukit Tengah pula dikatakan berminat menyerati DAP.

"Lebih banyak bahagian akan mengambil tindakan yang sama dan membubarkan bahagian masing-masing dan anggota mereka akan menyertai PCM. Orang yang patut dipersalahkan ialah diri Teng sendiri, kerana mengamalkan politik berpuak-puak,” Kata Huan.

Ketika dihubungi, ketua bahagian Kebun Sireh, Sim Chooi Kung mengesahkan anggota bahagiannya bercadang meninggalkan Gerakan kerana tidak berpuas hati Teng kekal ketua parti itu meskipun mereka mengundi menentangnya.

Menurut Sim, anggota Kebun Sireh yang dianggarkan berjumlah 250, bebas menyertai mana-mana parti tetapi kebanyakan mereka memilih PKR, meskipun parti itu tidak mempunyai bahagian di kawasan itu.

“Kami bercadang letak jawatan beramai-ramai dan menubuhkan bahagian PKR yang baru. Ahli akan bermesyuarat minggu ini sebelum kami mengumumkan keputusan rasmi,” katanya.

Ketua bahagian Bukit Tengah Lee Nam Sim pula keberatan untuk mendedahkan rancangan pembubaran bahagian itu tetapi memberitahu mereka akan bermesyuarat dalam sehari dua ini bagi membincangkan tindakan susulan.

"Selepas berbincang, kita akan membuat keputusan rasmi,” kata Lee.

Sementara itu, Teng berkata beliau tidak mempunyai maklumat berhubung desas desus ada bahagian yang mahu meninggalkan Gerakan berikutan EGM berkenaan.

"Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Saya juga tidak akan memanggil untuk bertanyakan mengapa mereka mahu meninggalkan Gerakan. Kita akan lihat apa yang terjadi selepas ini,” katanya ketika dihubungi.

Adalah dipercayai ketua bahagian Kepala Batas Gerakan Jeffrey Beh meletakkan jawatannya hari ini bersama 300 penyokongnya.

Malaysiakini/-

Kematian Aminul: 17 kelongsong peluru dijumpai

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim

Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mendengar perbicaraan seorang koperal yang didakwa menembak mati remaja berusia 15 rahun, Aminulrasyid Amzah, yang bermula hari ini diberitahu 17 kelongsong peluru dijumpai di lokasi kejadian.

Pasukan forensik polis juga menjumpai dua butir peluru hidup daripada jalan di mana adengan mengejar itu berlaku.

Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi pertama dalam perbicaraan ini adalah lans koperal Mohd Sabri Salleh.

Katanya, ketika kejadian pada 26 April lalu, beliau ditugaskan di Bahagian Gerakan di Shah Alam antara tengah malam hingga jam 8 pagi.

Pada sekitar 1.45 pagi Mohd Sabri berkata beliau menerima panggilan dari kereta peronda SL589 memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.

Katanya, kereta peronda berkenaan memohon bantuan bagi menghentikan kereta tersebut.

Hilang kawalan

“Setelah beberapa minit kemudian, Saya menerima panggilan dari kereta peronda SL614 memaklumkan mereka sedang mengejar kereta Iswara dari Hotel Concorde Hotel ke Bulatan Kayangan dan kemudiannya menghala balik."

"Saya panggil anggota di SL614, Koperal Jenain (tertuduh) melalui telefon bimbitnya. Dia memaklumkan bahawa kereta Iswara itu telah hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2."

Mohd Sabri berkata Jenain kemudiannya meminta beliau memanggil ambulans kerana pemandu Iswara itu cedera.

Saksi kedua, detektif lans koperal Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25, memberitahu mahkamah bahawa dia merakamkan 41 keping gambar di lokasi kejadian.

"Saya ambil gambar di jalan, pokok yang dilanggar, kelongsong peluru, juga gambar di dalam kereta dan mangsa,” katanya.

Katanya, beliau merakam gambar kesan tembakan di bahagian belakang kereta seperti di ekzos kereta, bumper sebelah kiri dan tangki minyak sebelah kiri.

Sebilah parang

Menurutnya lagi, sebilah parang turut ditemui di bahagian bawah tempat duduk penumpang di sebelah kiri kereta berkenaan.

Menurut timbalan pendakwa raya persekutuan, DPP Mohd Dusuki Mokhtar, sejumlah lima saksi akan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan yang dijadualkan selama 11 minggu.

Jenain diwakili oleh peguambela Salim Bashir (kanan) manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

Pada 10 Mei lalu, Jenain, dihadapkan ke mahkamah dan membuat pengakuan tidak bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Kematian mengejut remaja itu menimbulkan kemarahan orang ramai berhubung dakwaan polis yang melepaskan tembakan secara membabi-buta dan memaksa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) berhubung penggunaan senjata api.

Sebuah panel yang dipengerusikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Abu Seman Yusop ditubuhkan bagi mengkaji IGSO dan juga menyiasat kejadiaan berkenaan.

Adalah dilaporkan Aminulrasyid dan rakannya , Azamuddin Omar, juga berusia 15 tahun sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah restoran di Seksyen 7, Shah Alam pada malam kejadian itu.

Selepas memotong sebuah kereta polis, mereka dikejar dan beberapa das tembakan dilepaskan.

Kereta yang mereka naiki akhirnya berhenti di bahu jalan, di mana Aminulrasyid dijumpai mati di kerusi pemandu.

Seorang lagi saksi yang memberi keterangan hari ini, Saiful Nizam Abdul Hamid, 31, jurufoto dari IPD Shah Alam pula memberitahu mahkamah bahawa beliau merakam gambar bedah siasat mayat mangsa dan kecederaan di bahagian kepala Aminulrasyid pada 26 April, mulai 3.15 petang hingga 5.30 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Malaysiakini/-

Tarikh pilihan raya Batu Sapi diumum Jumaat ini

05 Zulkaedah 1431 H

Tarikh pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah akan diumumkan pada Jumaat ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas.

SPR dalam satu kenyataannya berkata, notis kekosongan kerusi berkenaan diperoleh daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, hari ini.

"SPR akan mengadakan mesyuarat khasnya Jumaat ini di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas itu bagi mengumumkan tarikh pilihan raya kecil berkenaan," kata kenyataan itu.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu kerana terbabit dalam kemalangan motosikal.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Malaysiakini/-

K'tan nafi rampas tanah bangun ladang rakyat

05 Zulkaedah 1431 H

Kerajaan Kelantan hari ini menafikan dakwaan ia merampas tanah rakyat bagi memajukan Program Pembangunan Ladang Rakyat, termasuk di Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata sebaliknya ada antara tanah yang dimajukan untuk program itu adalah tanah kerajaan yang diduduki peneroka secara haram dan tidak sah.

Beliau berkata tanah yang dibangunkan menerusi program itu terutama di Gua Musang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit di tanah milik kerajaan negeri.

"Mungkin ada antara rakyat yang terlibat dengan pembukaan tanah bagi melaksanakan program itu tinggal di situ secara haram dan tidak sah, yang
terpaksa akur berpindah dari situ lalu mendakwa kerajaan rampas tanah mereka," katanya.

Ahmad memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat berkata, peserta Ladang Rakyat diberi dividen RM200 sebulan hasil keuntungan melalui program itu sejak berpuluh tahun lalu.

Malaysiakini/-

Campur tangan PDRM: KDN tak cadang siasat

05 Zulkaedah 1431 H

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk membuat siasatan ke atas dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam urusan polis.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian juga tidak bercadang untuk mengambil tindakan ke atas dakwaan berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu hasil siasatan dakwaan bekas Ketua Polis Negara itu, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 6 September lalu, Musa melahirkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.Kementerian berkenaan kemudiannya menafikan dakwaan berkenaan.

Malaysiakini/-

Generasi kedua jawab fitnah Ahmad Maslan

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: DUMEXjiman_76

Saya adalah generasi kedua Felda iaitu FELDA KAHANG BARAT, terpanggil saya untuk menjawab "FITNAH" daripada Datuk Ahmad Maslan. Terlebih dahulu ingin saya memulakan dengan isu TABUNG TANAM SEMULA yang di wujudkan oleh FELDA. Tidak dinafikan tabung ini memberi manafaat kepada warga Peneroka.

Pernah kami merayu kepada FELDA untuk tidak membuat pemotongan ketika HARI RAYA memandangkan ketika itu harga kelapa sawit tidak begitu baik dan rayuan kami tidak dihiraukan. Maka kami adik-beradik menangis kerana tidak dapat pulang kekampung akibat kesempitan wang.

Walupun ada pemotongan untuk tabung tanam semula, bapa saya masih juga membuat "PINJAMAN ASB" di MAYBANK pada tahun 1995 sebanyak RM20,000. Pelik juga saya, bila ditanya kepada ayah apa tujuan dia membuat pinjaman tersebut. Ayah menyatakan ia adalah wang untuk persediaan menampung kos untuk tanam semula kelapa sawit.

Setelah 10 tahun berlalu, wang tersebut telah pun matang maka tibalah masa untuk pokok kelapa sawit ditebang. Betapalah sedih bila diberitahu oleh FELDA bahawa duit tanam semula yang di kumpul hanya boleh dikeluarkan sekiranya pokok TUA ditebang dan pokok MUDA telah pun tumbuh.

Selepas itu perlu ada pemeriksaan dari pihak FELDA. Mujur Ayah saya telah membuat perancangan awal.

Tahukah rakyat malaysia, mereka yang mempunyai keupayaan mengusakan sendiri penanaman semula terpaksa membuat pinjaman BANK untuk kos PENEBANGAN POKOK, RACUN, ANAK BENIH, BAJA yang kosnya menelan belanja hampir RM20,000. Sedangkan FELDA senang lenang menguruskan tanah tersebut dengan duit yang telah tersedia dalam tabung tanam semula.

Pihak FELDA perlu sedar, Mereka BOLEH MEMPERBODOHKAN warga peneroka yang rata-ratanya tidak mempunyai taraf pendidikan yang rendah akan tetapi kami anak-anak warga Felda yang mempunyai MENTALITY tinggi tidak akan membiarkan ibu bapa kami diperlakukan sebegini.

MAKA, saya nak bangkitkan persoalan yang daripada DATUK AHMAD MASLAN, memang wujud 2 golongan:

1. Beliau juga mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah. Golongan ini mempunyai modal sendiri [simpanan@pinjaman bank] untuk menguruskan kebun dan duit tanam semula tersebut di keluarkan oleh felda selepas melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

Maka wang tanam semula adalah satu "bonus" atas mereka dan terpulang pada mereka untuk mebelanjakannya.

2.Antaranya kenyataan Ahmad yang mendakwa kebun peneroka tanam sendiri menjadi hutan, penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang.

Golongan ini tidak mempunyai Modal untuk menguruskan kebun dan sepatutnya golongan ini dibantu oleh FELDA dengan mengeluarkan WANG TANAM SEMULA yang menjadi HAK mutlak peneroka. Mereka mempunyai keupayaan tetapi tiada modal.

Maka, dengan ini saya menolak sekeras-kerasnya, tuduhan bahawa pihak peneroka Felda MENYALAHGUNAKAN WANG TANAM SEMULA dan saya mengangap ia satu FITNAH.

Harakahdaily/-

Kenapa hanya 14 wanita pertama sertai sidang?

05 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 12 Okt: Mengapa hanya 14 negara dan hanya dari negara-negara Afrika sahaja menghantar wanita pertama mereka ke persidangan pertama Wanita Pertama Dunia menjadi tanda tanya.

Bagi Speaker Dun Selangor, Teng Chan Kim, jawapannya hanya satu sahaja iaitu tuan rumah sidang ini bukannya wanita pertama Malaysia iaitu Raja Permaisuri Agung.

"Kecuali Laos, tidak ada negara di Asia yang menghantar Wanita Pertama mereka ke sidang pertama Wanita Pertama. Ia lebih sesuai di namakan Sidang Wanita Pertama Afrika," kata Teng Chang Kim.

Sidang pertama ini dianjurkan oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Dr Rosmah Mansur. Sebelum ini, Rosmah menimbulkan kekeliruan apabila menyiarkan iklan bernilai RM1.5 juta di akhbar The New York Times di Amerika dan menamakan beliau sebagai wanita pertama Malaysia.

Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terpaksa membuat penjelasan di Parlimen dan mempertahankan gelaran untuk isteri beliau itu.

Persidangan Wanita Pertama yang bermula hari ini di hotel Palace of The Golden Horses disertai 14 wanita pertama iaitu kira-kira 7.3 peratus dari 192 negara di dunia. Ia turut dihadiri enam perwakilan wanita pertama dan 20 menteri.

Antara negara yang menghantar wanita pertama mereka adalah Albania, Congo, Gambia, Ghana, Jamaica, Kiribati, Laos, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Sierra Leone, Sri Lanka dan Zambia.

Sidang hari ini bermula dengan ucaptama oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Perbincangan panel membabitkan lima wanita pertama yang terdiri daripada Ernestina Naadu Mills dari Ghana, Lorna Golding dari Jamaica, Nyama Koroma dari Sierra Leone, Mercedes Lugo De Maidana dari Paraguay dan Thandiwe Banda dari Zambia.

Harakahdaily/-

Wang judi: Warga emas tolak fitnah Umno

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 12 Okt: Warga emas sekitar Seberang Perai Utara mengatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng serta meminta meneruskan program penghargaan kepada golongan veteran pada masa depan.

Seramai 70 orang warga emas yang datang dari Penaga, Kepala Batas, Bagan, Teluk Air Tawar, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pokok Sena, Lahar Yooi dan kawasan lain turut kesal dengan tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim yang tiba-tiba mengajak mereka mengembalikan RM100 dan RM1,000 untuk para waris jika terdapat kematian warga emas kononnya berpunca dari wang judi.

Bagi mereka, semua itu merupakan mainan politik jahat yang sengaja dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican yang menuduh pemberian wang pada pertengahan tahun ini berpunca dari wang Kelab Lumba Kuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man pula meminta warga emas usah terpengaruh dengan dakyah jahat pembangkang negeri ini yang sudah kehabisan modal.

Beliau berkata, sebenarnya wang itu adalah lebihan perbelanjaan Kerajaan Pakatan Rakyat tahun ini sebanyak RM88 juta dan RM20 juta diperuntukkan kepada warga emas sebagai menghargai pengorbanan mereka terhadap kemajuan Pulau Pinang.

"Wang hasil pemberikan Lumba Kuda memang ada tapi ia tidak dimasukkan pada tabung sumbangan kepada warga emas sebaliknya digunakan untuk Rancangan Anti Kemiskinan (RAK) khas untuk masyarakat bukan Islam, " jelasnya lagi.

Seorang warga emas, Zainab Mat (kanan) dari Butterworth menyifatkan, apa yang diperjelaskan oleh kerajaan negeri cukup meyakinkan bahawa semua itu pembohongan.

"Bila datang mendengar sendiri keterangan yang disampaikan oleh Adun dan Ahli Majlis Seberang Perai (MPSP) baru tahu hal sebenar," ujarnya.

Bekas ahli Umno, Abu Bakar Said (kiri) dari Bagan Ajam pula menambah, di zaman BN tidak pernah berlaku ketua menteri melawat surau atau masjid tetapi berlaku di era kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Bila KM sendiri turun padang menziarahi umat Islam di samping memberikan penghargaan warga emas, ia satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Bagi Sambasivam (kanan) pula, kini baru beliau tahu hal sebenar mengenai perkara itu kerana selama ini mendengar sebelah pihak sahaja.

Sesi penerangan untuk menolak fitnah Umno itu diadakan di Bangunan Datuk Ahmad Badawi disampaikan oleh beberapa orang Adun termasuk Adun Bagan Dalam, Thanasekharan dan Adun Bagan Jermal, Lim Hock Seng.

Harakahdaily/-

HUKUM QISAS: Penjelasan Kepada yang Keliru

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Nasrudin Hassan

Penjelasan Hukum Qisas Menurut Perspektif Islam
1. Pertamanya saya ucapkan terima kepada semua di atas komentar yang diberikan, terhadap artikel saya sebelum ini yang bertajuk [ Mencari Keadilan Melalui Syariat Islam ] semoga ianya mencambahkan lagi perbincangan secara tanpa emosi,

tetapi lebih akademik dan berfakta tentang realiti Qisas yang sedang dibincangkan ini.Secara ringkas point yang dilontarkan oleh mereka yang mempertikai artikel saya sebelum ini berkisar tentang 3 perkara penting, iaitu

* adakah Qisas boleh dilaksanakan di dalam konteks kes pembunuhan Dato’ Sosilawati,

* adakah hudud hanyalah hukuman (Hudud is merely the punishment), dan

* ketiganya punca korupsi puncanya adalah akhlak individu pemerintah, bukan sistem.

2. Berkenaan point pertama, realiti hukum Islam, isu sama ada non-muslim tertakluk kepada hukuman Islam atau tidak , ia bukanlah satu isu yang dilihat secara bundle dan ia juga tidak lah distandardizekan ke atas semua jenis kesalahan, tetapi ianya berbeza mengikut case by case.

Dalam kes Qisas yang melibatkan pembunuhan dan begitu juga kecederaan, maka non-muslim yang terlibat dalam jenayah tersebut turut tertakluk kepada hukuman jika keluarga mangsa [ muslim ] menuntut supaya hukuman dilaksanakan.

Ini kerana, Maqasid dan Hikmat pengsyariatan hukuman Qisas antaranya ialah untuk menjadikan mangsa kes berpuas hati yang diistilahkan sebagai Al-Jabr di dalam Fiqh Islam. Justeru itu, hukuman itu dipilih dan diputuskan oleh keluarga mangsa, bukan oleh penjenayah sebagaimana yang digambarkan oleh sebahagian pihak yang mempertikaikannya.

3. Justeru itu, tidak timbul dalam kes Dato’ Sosilawati hukuman ini tidak praktikal atau tidak relevan jika di dapati pembunuhnya adalah non-muslim, justeru pemutus hukuman itu ialah keluarga Dato’ Sosilawati, bukan pembunuh dan penjenayah.
Ini adalah realiti hukum Qisas , terdapat perbezaan dengan sebahagian hukum hudud. Sebagai contoh, kesalahan meminum arak hukumannya adalah hudud.

Kes ini menggariskan syarat pesalah yang tertakluk kepada hukuman Hudud berbeza dengan pesalah kes Qisas, di mana pesalah yang tertakluk kepada hukuman ini hanyalah golongan muslim . [ tidak kepada non-muslim. ]

Titik perbezaan ialah, kesalahan membunuh bukan sahaja diakui oleh Islam sebagai jenayah, tetapi juga diakui oleh semua agama, semua bangsa, semua kaum, semua etnik dan semua manusia.

Ini berbeza dengan kesalahan meminum arak, di mana kesalahan itu hanya menurut agama Islam dan beberapa agama samawi, tetapi ia tidak dianggap kesalahan bagi agama yang lain dan juga bagi mereka yang tidak beragama, sehinggalah kemabukan yang hasil dari minum arak itu membawa kepada kemalangan atau jenayah.

4. Justeru itu, dalam bab meraikan kebebasan beragama dan berfahaman, kerajaan Islam tidak boleh menghalang golongan non-muslim meminum arak apatah lagi menjatuhkan hukuman hudud bagi non-muslim yang meminum arak.

Ini kerana, kesalahan itu bersifat kesalahan agama, maka hukuman hudud dalam kes ini hanya tertakluk kepada orang Islam, bukan kepada non-muslim. Ini sebenarnya bagi merealisasikan maksud firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi ‘tiada paksaan dalam agama’.

Jadi, semua kes yang melibatkan kesalahan dari sudut pandangan agama seperti tidak bersolat jumaat, tidak berpuasa dan seumpamanya, ia hanya melibatkan muslim , sementara non-muslim tidak terlibat langsung dalam kes seperti ini .

Tambahan pula, dalam kes Qisas terdapat mangsa yang memerlukan pembelaan, manakala di dalam kes Hudud arak, tidak terdapat mangsa yang memerlukan pembelaan. Yang ada hanyalah pesalah, iaitu peminum arak yang muslim, tetapi bukan mangsa.

5. Berkenaan point ke dua pula, adakah hudud hanyalah bersifat hukuman semata - mata sehingga tidak melibatkan penyiasatan dan lain-lain .

Jawapannya ialah, perundangan Islam seperti hudud, qisas dan ta’zir bukan sahaja bersifat penjatuhan hukuman, tetapi ia adalah sistem yang lengkap, iaitu bermula daripada berlakunya pembunuhan,

penyiasatan, pembuktian, pendakwaan, penghakiman, penjatuhan hukuman dan sehinggalah kepada kesan penjatuhan hukuman seperti isu siapakah yang akan menanggung keluarga mangsa dan keluarga pesalah selepas si pesalah di jatuhkan hukuman bunuh.

Sememangnya banyak media terutamanya media arus perdana milik pemerintah banyak memomokkan hanya point ‘bunuh balas’ dengan ‘pancung dikhalayak ramai’ sehingga hukum Islam ini menjadi ‘alergik’ yang ditakuti oleh masyarakat bukan sahaja khusus kepada non-muslim, tetapi juga ditakuti oleh orang Islam yang ‘jahil agama’.

6. Artikel saya yang lepas, sememangnya saya mengfokuskan tentang isu hak pendakwaan dan penyiasatan yang merupakan sebahagian daripada sistem lengkap perundangan Qisas.

Di situ saya membezakan antara hak keluarga dan mangsa dalam sistem perundangan Qisas dibandingkan di dalam sistem perundangan konvensional. Di mana hak asli [tulen] penyiasatan, pembuktian dan pendakwaan adalah hak keluarga mangsa dan dibantu oleh kerajaan.

Namun reality perundangan konvensional, keluarga mangsa bukan sahaja tidak berhak terlibat di dalam penyiasatan, pembuktian dan pendakwaan, malahan tidak berpeluang untuk akses kepada bukti dan cara siasatan.

Lantaran itu , apa yang didakwa [ oleh beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan undang - undang Islam ] bahawa pegawai penyiasat, polis dan hakim boleh dirasuah dan terdedah manipulasi kes sebagaimana dalam sistem hari ini tidak akan berlaku.

Perbezaannya ialah, dalam sistem Islam, siasatan boleh dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa jika mereka berkemampuan.

Jika mereka tidak berkemampuan, mereka boleh melantik golongan atau pihak yang berkemampuan, sama ada dengan sukarela atau dengan upah.

Jika mereka tidak mampu mengupah disebabkan tiada kewangan, maka pada masa itu menjadi kewajipan ke atas kerajaan membantu keluarga mangsa seperti menyediakan kewangan dan kepakaran.

Mereka yang terlibat dengan pembuktian dan penyiasatan mempunyai interest atau kepentingan dengan keluarga mangsa, justeru mereka dilantik atau diupah oleh keluarga mangsa sendiri, bukan oleh pihak kerajaan.

Maka, bagaimanalah pemimpin yang korup boleh merasuah dan menyuap pegawai penyiasat sebagaimana yang boleh berlaku di dalam sistem konvensional, kerana authority siasatan dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa, atau orang yang dipercayai yang dilantik oleh keluarga mangsa.

7. Berasaskan kepada kenyataan ini , tidak timbul isu AG’s Chamber dan polis terdedah kepada sogokan supaya men’declare’kan NFA (no further action) dan ‘lack of evidence’

kerana mereka tidak berauthority membuat pengisytiharan tersebut. Yang berauthority menentukan sama ada NFA atau sebaliknya, atau menentukan ‘lack of evidence’ atau sebaliknya adalah keluarga mangsa, bukan AG’s Chamber atau polis sebagaimana di dalam sistem konvensional.

Dalam kes mendiang Al-Tantuya sebagai contoh, ruang-ruang penyelewengan terbuka cukup luas. Saya terlebih dahulu menghormati keputusan mahkamah dan tidak mahu mempertikaikan keputusan yang telah dibuat.

Tetapi apa yang saya cuba bangkitkan di sini ialah, kita tidak boleh menolak keraguan dan hak mereka yang meragui beberapa isu di sebalik realiti yang berlaku.

Keraguan itu timbul seperti tanda tanya adakah disebalik mereka yang didapati bersalah terdapat dalang yang lain atau tidak? Apakah kepentingan mereka-mereka yang didapati bersalah dengan mendiang Al-Tantuya?

Adakah mereka yang didapati bersalah akan diampunkan? Jika dijatuhkan hukuman, boleh atau tidak kemungkinan mereka sebenarnya akan dibebaskan dengan senyap-senyap dan akan diberikan kemewahan di luar negara?

8. Kesemua kebarangkalian ini sebenarnya boleh berlaku. Jika orang politik yang terlibat, tidak mustahil mereka akan merasuah pegawai penyiasat untuk menutup bukti terhadap dalang di sebaliknya,

tidak mustahil lembaga pengampunan akan memberikan keampunan jika mereka mempunyai hubungan dengan mereka-mereka yang terlibat dengan jenayah, tidak mustahil mereka yagn didapati bersalah dikatakan telah dijatuhkan hukuman tetapi sebenarnya dilepaskan dengan diberikan kemewahan di luar negara seperti Australia dan lain-lain. Semua kemungkinan ini boleh timbul dalam realiti sistem perundangan konvensional.

Semua kebarangkalian ini boleh berlaku justeru disebabkan keluarga mangsa bukan sahaja tidak berhak terlibat di dalam penyiasatan dan pembuktian, tetapi sehinggakan tidak berhak untuk akses kepada maklumat pembuktian.

Tambahan pula, keluarga mangsa lansung tidak ada hak dalam pengampunan si penjenayah dan juga tidak terlibat sewaktu hukuman di jatuhkan.

9. Berbeza dengan sistem perundangan Islam, semua kebarangkalian ini akan tertutup justeru keluarga mangsa adalah pemilik asal kepada authority untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti,

tidak sebagaimana di dalam sistem konvensional. Mereka juga adalah pemilik asal terhadap hak untuk membuat pendakwaan jika cukup bukti dan menarik semula pendakwaan dan pertuduhan jika bukti tidak mencukupi.

Jika tertuduh di dapati bersalah, maka hak mengampunkan adalah hak asli [ tulen ] keluarga mangsa yang mempunyai interest atau kepentingan dengan si mangsa, bukan lembaga pengampunan yang tidak mempunyai interest atau kepentingan dengan mangsa dan keluarganya.

Maka jika keluarga mangsa ingin menuntut qisas, maka perlaksanaan boleh dilakukan sendiri oleh keluarga mangsa, bukan oleh pihak penjara.

10. Dalam kes contoh ini, saya menghormati keputusan mahkamah dan tidak mahu mempertikaikan keputusan mahkamah dalam isu ini.

Tetapi saya cuba membangkitkan tanggapan-tanggapan yang boleh timbul berkenaan isu ini sebelum ia di bawa ke mahkamah dan selepas diputuskan oleh mahkamah, bukan keputusan mahkamah itu sendiri.

Begitu juga dengan hakim yang bukan sahaja perlu seorang yang layak menurut ciri-ciri Islam, tetapi juga mendapat persetujuan daripada mereka yang tertuduh dan menuduh.

Ini seperti hakim dalam kes penghukuman terhadap Bani Quraizah dan Saidina Ali yang menuduh seorang Yahudi mencuri baju besinya. Hakimnya adalah bukan sahaja seseorang yang adil dan baik yang mencukupi syarat hakim, tetapi ianya dipersetujui oleh kedua-kedua pihak yang terlibat.

11. Di dalam Islam, kadangkala penyiasatan boleh berlaku secara terbuka yang melibatkan saksi yang ramai bagi mengelakkan berlakunya manipulasi bukti dan kerelaan saksi dan tertuduh yang terlibat.

Di dalam kitab Tabsirah Al-Ahkam ada meriwayatkan tentang seorang lelaki yang membawa harta yang banyak mengembara dengan sekumpulan lelaki. Tiba-tiba, lelaki tersebut tidak pulang bersama-sama rombongannya.

Rombongan tersebut memberitahu kepada anak lelaki tersebut bahawa ayahnya telah meninggal. Anak itu bertanya ke manakah pergi hartanya yang banyak? Mereka menjawab tidak ada.

Kemudiannya anak kepada lelaki yang hilang tersebut membawa kes itu kepada Saidina Ali yang merupakan khalifah pada waktu itu. Mereka yang terlibat disoal-siasat seorang demi seorang secara berasingan.

Soal siasat itu dihadiri oleh bukan sahaja keluarga mangsa, tetapi dihadiri juga penulis keterangan, saksi-saksi bebas bagi memastikan perjalanan soal siasat itu berjalan dengan adil.

Seorang demi seorang mereka yang tertuduh disoal dan memberikan jawapan dihadapan khalayak. Setiap tertuduh diambil dan ditulis maklumat tentang bagaimanakah keadaan lelaki yang mati itu, pada hari apakah beliau bertolak,

dimanakah beliau singgah, apakah punca kematian, apa yang berlaku kepada hartanya yang banyak, siapakan yang memandikannya, siapakah yang mengkapankannya, siapakah yanag menyembahyangi jenazahnya, di manakah ia dikuburkan dan lain-lain soalan. Setiap seseorang menjawab di hadapan orang ramai dengan jawapan yang berlainan.

Setiap kali selesai penyiasatan setiap individu, Saidina Ali bertakbir yang juga turut disambut oleh orang ramai. Ini menyebabkan, tertuduh-tertuduh yang tidak mengetahui apakah jawapan sahabatnya yang sedang disoal siasat menyangka takbir tersebut dilaungkan oleh Saidina Ali dan orang ramai bersamanya justeru sahabatnya yang sedang disoal siasat sudah mengaku perbuatannya.

Dalam pusingan berikutnya, Saidina Ali dan orang-orang yang bersamanya melakukan perkara yang sama, iaitu melaungkan takbir di setiap akhir sesi soal jawab. Setiap tertuduh terbabit merasakan sahabat-sahabatnya telah mengaku dan setiap mereka akhirnya menceritakan perkara sebenar, iaitu mereka telah merampas harta lelaki tersebut dan seterusnya membunuhnya.

11. Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah, sewaktu soal siasat itu berlansung, ia bukan sahaja di hadiri oleh keluarga si mangsa, tetapi juga di hadiri oleh saksi-saksi bebas, guna bagi mengelakkan manipulasi bukti dan statement pengakuan oleh mereka yang dituduh dan yang terlibat.

Realitinya, di dalam sistem perundangan konvensional langsung tidak memberikan hak keluarga mangsa untuk mengakses bukti-bukti dan juga statement-statement saksi dan tertuduh, berbeza dengan sistem Qisas Islam. Inilah dia ruang rasuah, korupsi dan manipulasi yang terdapat dalam sistem konvensional, tetapi tidak terdapat di sistem Islam.

12. Adapun berkenaan dengan point yang ke tiga, iaitu korupsi yang berpunca daripada akhlak individu, bukanlah sesuatu yang dinafikan.

Tulisan saya yang lepas, tidak pernah sama sekali menafikan tentang akhlak menjadi punca korupsi yang berlaku di dalam negara. Tetapi apa yang ditekankan di dalam tulisan tersebut ialah kita perlu keluar daripada kotak pemikiran bahawa punca korupsi itu hanyalah semata-mata berpunca dan disebabkan oleh moral dan akhlak mereka yang terbabit.

Di samping bersetuju dengan akhlak dan sikap korup individu pemerintah adalah antara punca korupsi, dalam masa yang sama saya mengajak orang ramai berfikir kepada perkara yang di luar dari kotak permasalahan tersebut,

iaitu bagaimana sistem hari ini memberikan ruang dan peluang kepada golongan korup melempiaskan hawa nafsu mereka.

13. Realitinya ialah , akhlak sahaja tidak memadai untuk memastikan negara tidak korup tanpa wujudnya sistem yang baik. Jika apa yang disebutkan pengkritik artikel saya sebelum ini ,

bahawa semua individu terdedah kepada korup tanpa mengira muslim atau non-muslim adalah satu reality tanpa mengira muslim atau non-muslim, ini bermakna sesiapa sahaja yang kita lantik susah untuk dipastikan dia tidak korup, justeru korup atau tidak hanya terbukti selepas ia memerintah.

Kalau yang baru naik memerintah itu cerdik politik , korupsinya akan terselindung, kalau dia ‘bodoh politik’, atau ‘cerdik politik’ tapi pembangkang lebih kuat dan lebih cerdik dari pemerintah, maka korupsinya akan terdedah juga.

14. Dalam statement pengkritik [ yang mengkritik artikel saya yang lalu ] , bahawa semua orang terdedah kepada korup.

Kenyataan itu bermaksud kalau kita tukar pemimpin UMNO sekarang yang kita anggap sebagai korup, adakah kita boleh yakin pemimpin yang akan menggantikan UMNO dalam sistem UMNO yang sama tidak korup macam UMNO?

Pula , kalau kita yakin bahawa muslim atau non-muslim sama ada di dalam PAS, PKR , DAP dan lain-lain parti terdedah kepada korup, lalu bagaimana kita boleh yakin mereka boleh menggantikan UMNO?

Jika non-muslim dan muslim sendiri dalam kontek Malaysia tidak boleh dijamin mereka tidak korup, dan juga justeru tidak ada alat untuk scan bahawa pemimpin alternative tidak korupsi sebagai yang sedia ada,

maka di sinilah relevannya saya mengajak semua rakyat Malaysia berfikir tentang sistem yang boleh menutup ruang naiknya golongan yang korup sebagai pemerintah atau menutup ruang korupsi atau paling kurang tidak memberikan ruang yang luas bagi golongan korup yang terlantik melempiaskan nafsu korupsinya.

15. Dalam Islam, pemerintah adalah “pengurus bagi pihak rakyat” dan ia bukan owner kepada negara, sama ada bukan owner terhadap harta negara, tetapi juga bukan owner kepada perundangan negara.

Pemimpin di dalam Islam seperti ‘pengurus kedai runcit’, di mana ia bukan pemilik kepada hasilan jualan dan juga bukan pemilik kepada sistem dan peraturan syarikat yang diuruskannya justeru dia tidak berhak mengubah sistem dan peraturan yang telah ditetapkan oleh tuannya.

Tuan dan pemilik rangkaian - rangkaian perniagaan kedai runcit yang bijak, ia akan lebih menekankan sistem yang digunapakai seperti 'Pos System', mempertingkatkan Standard of Procedure (SOP),

memasang CCTV di kaunter wang dan lain-lain, guna untuk memastikan pengurus tidak menyalahgunakan kuasa dan melarikan wang jualan. Lalu, sistem itu mestilah sistem yang boleh memberikan peluang yang minimum atau mensifarkan peluang kepada pengurus untuk melakukan penyelewengan. Kemudian barulah isu akhlak dan moral pengurus dibangkitkan.

16. Kalau owner kepada rangkaian runcit tadi hanya memikirkan pekerjanya yang terbukti sudah menyeleweng, kemudian memikirkan siapakah bakal calon yang akan ditemuduga tidak menyeleweng,

bagaimana mahu dikenalpasti bakal pengganti kepada pengurus rangkaianya yang telah dibuang disebabkan penyelewengan, maka masalah penyelewengan dalam business yang besar tidak akan selesai melainkan ownernya juga mesti mencari sistem dan cara terbaik untuk menutup ruang penyelewengan pengurus-pengurus yang dilantik.

Oleh kerana itu, kita melihat kedai-kedai runcit kecil yang biasapun sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi membeli sistem audit dan sistem rekod seperti Pos Sistem dan lain-lain, guna bagi mengelakan berlakunya penyelewengan.

17. Begitulah ibarat yang boleh dilihat dalam kontek mengenengahkan pentingnya sistem di samping akhlak dan moral mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab. Bahkan sebenarnya,

sistem yang baik di dalam negara adalah jauh lebih penting berbanding sistem yang baik di dalam rangkaian perniagaan justeru urusan negara jauh lebih rumit, besar dan penting berbanding urusan perniagaan.

Ringkasnya, step utama dan pertama yang terbaik untuk menangani korupsi ialah sistem itu sendiri mestilah dipastikan dapat meminimumkan atau mengsifarkan peluang perasuah dan penyeleweng dariapda merasuah dan melakukan penyelewengan.

Selepas kita memastikan sistem kita adalah sistem terbaik, barulah kita pergi kepada moral dan akhlak mereka yang mengunakan, menjalankan atau terlibat dengan sistem tersebut.

Tambahan pula, korupsi atau tidak seseorang pemerintah bukanlah sesuatu yang senang untuk dikesan. Hari ini, kita mungkin tidak berpuashati dengna moral dan akhlak pemimpin UMNO,

selepas ini kita belum tahu pemimpin yang akan kita lantik ,. tidak seperti akhlak dan moral pemimpin UMNO pada hari ini justeru tidak ada alat yang boleh scan dan detect hati dan niat seseorang, sama ada dia adalah orang yang korup, berkepentingan atau tidak.

Adalah tidak wajar kita hanya memperjudikan nasib kita untuk menunggu orang yang kita lantik terbukti korup atau tidak tanpa kita juga bergantung kepada sistem yang baik.

18. Menurut Islam, mencegah berlakunya rasuah dan korupsi itu bukan sahaja nilai moral dan akhlak individu pemegang amanah. Tetapi benteng utama penutupan pintu rasuah dan korupsi ialah sistem,

kemudian barulah individu pelaksana sistem. Justeru itu, isu korupsi yang terdedah dalam kes pembunuhan, terlebih awal dicover oleh sistem Qisas itu sendiri bagi menutup mereka yang korup, berkuasa, kaya dan sebagainya memanipulasi kes yang akhirnya menjadikan mangsa jenayah tidak terbela.

Justeru itu, rakyat sepatutnya diajak berfikiran lebih terkehadapan, iaitu selain kita memikirkan untuk mencari pemimpin yang bermoral dan berakhlak, kita perlu mula memikirkan tentang sistem terbaik bagi menggantikan sistem yang sebenarnya sudah terbukti kegagalannya dalam mencegah jenayah, menginsafkan penjenayah dan juga menutup ruang pemimpin korup melempiaskan nafsu mereka.

19. Saya sebenarnya sangat bersetuju dengan beberapa pandangan pengkritik , yang menyatakan punca korupsi hari ini ialah moral mereka yang terbabit. Tetapi apabila mereka menyatakan muslim corrupt, non-muslim juga corrupt, llalu macamana sebenarnya kita nak mencegah corruption ini?

Jika non muslim tidak corrupt, kita boleh melantik non-muslim. Kalau non-muslim juga korup, lalu kita nak lantik siapa? Kalau tidak ada orang yang tidak terdedah kepada korup dan tidak ada alat yang boleh scan siapa corrupt dan siapa tidak corrupt, jadi bagaimana kita mahu mengatasi korupsi ini ?

Justeru persoalan-persoalan ini sebenarnya menyebabkan artikel saya yang lepas mengajak rakyat supaya menganjak paradigma daripada berbincang tentang korupsi individu-individu pemimpin kepada perbincangan sistem terbaik di samping isu akhlak dan moral pemerintah.

20. Saya berpendapat bahawa, sistem yang korup melahirkan pemimpin yang korup dan memberikan peluang yang luas kepada golongan korupsi melempiaskan nafsu mereka. Manakala sistem yang baik menjadikan orang yang korup tidak berpeluang melakukan korupsi manakala orang yang bijak menyembunyikan korupsinya juga tidak berpeluang untuk melempiaskan nafsu korupsinya.

Sejarah Islam seperti yang diceritakan di dalam surah Saba’, pemimpin yang korup jika ingin melempiaskan nafsu korupsinya, maka perkara pertama yang dia perlu buat ialah, membuang sistem Islam tersebut. Selepas sistem itu tidak ada atau tidak diguna pakai, kemudian barulah pemerintah yang korup boleh melempiaskan nafsu korupsi dan menyembunyikannya daripada orang ramai.

21. Terakhirnya ialah, pengalaman ‘dark age’ barat yang menjadi mimpi ngeri sehingga menyebabkan mereka terlalu takut untuk menyebut ‘god’s law’ , tidak boleh di samakan dengan sistem pemerintahan Islam.

Cuma saya tidak mahu panjangkan isu sejarah ini untuk tidak melarikan fokus asal berkenaan dengan Qisas dan perbandingannya dengan realiti undang-undang konvensional. Selepas selesai isu ini, jika ada kelapangan masa yang sesuai , kita boleh bincangkan perbezaan besar realiti God’s Law di dalam sejarah Eropah dan Shariah Law di dalam sejarah Khilafah Islam.

PENUTUP.

Ringkasnya, negara yang adil, kuat dan makmur akan tercapai bukan sahaja bergantung kepada pemerintah yang bermoral, tetapi juga bergantung kepada sistem yang diguna pakai.

Oleh itu, apabila jenayah yang semakin menjadi-jadi, korupsi semakin jelas kelihatan, pemerintah yang korup tidak berhenti bahkan bersilih ganti.

Maka tibalah masanya kita sama-sama membuka dan menganjak paradigma kita untuk memikirkan tentang sistem. Lalu saya cadangkan sistem Islam sebagai sistem terbaik jua sebagai alternatif di atas kegagalan sistem yang sedia ada untuk membendung rasuah dan jenayah .

Juga apa yang saya seru ialah, supaya kita semua cuba berbahas perkara dan realiti ini secara harmoni, tanpa prejudis, tanpa meletakkan ‘taji’ dikaki, supaya kebenaran dapat dinilai tanpa ada pihak yang terguris.

Harakahdaily/-

Razaleigh tetap jadi saksi tuntutan royalti

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 12 Okt: Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, Tengku Razaleigh Hamzah tetap akan menjadi saksi berhubung tuntutan royalti minyak kerajaan negeri terhadap Petronas.

Katanya, kedudukan Ku Li sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Umno BN Dun Galas perkara yang berbeza dengan kedudukannya sebagai saksi dalam tuntutan royalti itu.

“PAS tidak akan berkompromi berhubung perkara itu, lawan tetap lawan,” ujarnya ketika menjawab soalan media kemungkinan PAS akan bertolak ansur dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata Umno Pusat tidak yakin dengan kemampuan sendiri menyebabkan pemimpin tertinggi parti itu bertegas meletakkan Ku Li yang anggota Parlimen Gua Musang sebagai pengarah pilihan raya kecil itu.

Tambahnya, tidak sebagaimana biasa, mana-mana pilihan raya kecil akan diketuai Timbalan Presiden Umno sendiri termasuk pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Katanya, oleh kerana Umno sendiri tidak yakin dengan peluang mereka di Dun Galas, menyebabkan mereka melantik Ku Li sebagai pengarahnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Dewan Harian PAS negeri di JKR 10, di sini petang tadi.

Harakahdaily/-

N Patmanabhan, 3 lain dituduh bunuh Sosilawati

05 Zulkaedah 1431 H

Peguam, N Patmanabhan dan tiga yang lain dituduh di Mahkamah Majistret di Banting, membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Peguam berusia 41 tahun itu didakwa bersama-sama pekerja ladang T Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Khatavarayan, 30.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Tiga daripada mereka dibawa ke mahkamah itu untuk menghadapi pertuduhan dengan sebuah van manakala Patmanabhan dibawa dengan kereta Waja yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Beberapa minit kemudian pasukan pendakwaan yang mengandungi Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohamad Yusof, Idham Abdul Ghani and Saiful Edris Zainuddin tiba di mahkamah.

Tiada pengakuan diambil daripada keempat-empat tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Sebutan semula 16 Disember ini

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh bersama-sama membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos lalu.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula kes tersebut setelah Timbalan Pendakwaraya Ishak Mohamad Yusof meminta tempoh dua bulan bagi mendapatkan laporan tertentu seperti laporan kimia.

Tiga daripada tertuduh dibawa ke mahkamah dengan sebuah van manakala Patmanabhan dibawa dengan kereta Waja yang tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 8.30 pagi.

Selain Ishak, pendakwaan turut diwakili Idham Abdul Ghani and Saiful Edris Zainuddin manakala Pathmanabhan diwakili peguam Ravi Nekoo, R Pushpa, Datuk Ng See Teong dan Amer Hamzah Arshad.

Tiga tertuduh lain tidak diwakili peguam. Ahli keluarga tertuduh juga tidak kelihatan di kawasan mahkamah.

Kes itu mendapat perhatian umum apabila Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting atas urusan pembelian tanah.

Kereta BMW

Pada 6 September lalu, dua kereta iaitu BMW M5 dipercayai milik Sosilawati, ditemui di parkir kenderaan Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala sebuah lagi kereta BMW milik Ahmad Kamil pula dijumpai berhadapan sebuah rumah teres yang terletak berhampiran sebuah hotel di Banting.

Misteri kehilangan keempat-empat individu terbabit terungkai pada 12 September lalu apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar, manakala abunya dicampakkan ke sebatang sungai berhampiran.

Pathamanabhan dan tujuh lagi suspek ditahan polis antara 9 September dan 12 September.

Berikutan laporan kehilangan Sosilawati, suspek siasatan kes pembunuhan ini turut dikaitkan dengan beberapa kes orang hilang, pembunuhan dan jenayah komersial di daerah Kuala Langat, termasuk ahli perniagaan dari Chennai, India, Allal Kanthan Muthuraja yang tiba di negara ini pada 18 Januari lalu.

Malaysiakini/-

Sultan Kelantan lucutkan gelaran 'Datuk' Ibrahim Ali

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Istana Kelantan hari ini melucutkan gelaran ‘Datuk’ yang dianugerah kepada presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali.

Selain Ibrahim yang juga ahli parlimen Pasir Mas, gelaran Datuk bekas setiausaha kerajaan negeri, Datuk Wan Hashim Wan Daud juga ditarik balik.

Sementara itu, dalam reaksi spontannya, Ibrahim ketika dihubungi oleh Malaysiakini mengesahkan beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pagi ini bahawa DMSK yang membawa gelaran ‘Datuk’ yang dianugerahkan kepadanya telah dilucutkan.

Pingat itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

“Saya tidak tahu sebab-sebabnya tetapi pada 7 Oktober lalu, saya ada menziarahi Sultan Ismail di Istana Mahkota. Sejak Sultan Ismail gering dan pulang ke Kelantan, inilah pertama kali saya melawat kerana hubungan peribadi saya amat rapat dengan Sultan Ismail.

Apapun, ia tidak menjadi hal pada saya dan saya terima dengan hati terbuka,” katanya dalam pesanan ringkas SMS kepada Malaysiakini.

Menurut presiden PERKASA itu lagi, taat setianya kepada Sultan Kelantan sekarang, Tuanku Muhammad V tidak berbelah-bagi.

“Saya tetap dengan pendirian mempertahankan institusi raja kerana ia asas perlembagaan negara dan sebahagian daripada budaya Melayu menjunjung kedaulatan raja. Ampun Tuanku,” katanya.

Ibrahim juga menjelaskan beliau masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Malaysiakini/-

Jangan Percaya Rayuan Presiden Umno

05 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia PAS menyeru rakyat Malaysia jangan terima rayuan Datuk Seri Najib Razak supaya rakyat member mandat kepada Umno BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Beliau mengajak rakyat berkongsi impiannya untuk menjadikan Malaysia negara kelas pertama bertaraf dunia pada abad ke-21.

Katanya lagi kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10 dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.

PAS menyeru rakyat menggembelingkan tenaga untuk menolak kerajaan Umno BN, kerana sudah cukuplah setengah abad, kehidupan rakyat semakin tenat dengan tekanan hidup yang memuncak.

Indeks pengguna semakin menekan rakyat terutama, yang berpendapatan rendah. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan Umno BN jujur dan amanah dalam mentadbir negara. Pemimpin Umno BN pada hari ini merasa tidak berdosa dengan pengkhianatan amanah yang diberikan kepada mereka.

Sepatutnya pemimpin Umno BN merasa malu kenapa negara jiran seperti Singapura walaupun tidak mempunyai khazanah alam tetapi mampu memacu ekonomi setaraf dengan negara maju.

Rakyat perlu bangkit menolak BN untuk membentuk kuasa politik baru dengan meninggalkan kerajaan yang ada pada hari ini. Sukar untuk mengubat penyakit misteri yang tidak boleh dikesan dengan x-ray, penyakit ini hanya dapat diketahui apabila kerajaan BN jatuh.

Pengalaman kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang apabila bertukar kerajaan baru kita mengetahui banyaknya” jerangkap samar” yang ditanam dalam pentadbiran BN selama ini.

Kelantan yang telah lama memerintah sejak 1990 terpaksa membuang jerangkap samar secara berdikit-dikit seperti hutang yang ditinggal sebanyak RM740 juta.

Alhamdulillah dengan berkat kebijaksanaan dan ketelusan hutang lapok yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno dapat diselesaikan sikit demi sedikit.

Begitu juga dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang baru mengambil alih telah menjumpai terowong yang tersembunyi sewaktu 51 tahun memerintah, sekarang cuba untuk menutup kembali.

Rakyat sudah mual dengan janji dan slogan pemimpin Umno BN untuk membela rakyat, tetapi dari segi amalannya tidak berlaku. Malahan kesusahan rakyat iniah yang dikeskploit untuk memancing undi.

Tambahan pula dengan Perdana Menteri pada hari ini yang kaya dengan slogan yang retorik tetapi, keberhasilannya tidak ada. Rakyat tidak boleh menerima dengan tindakan Perdana Menteri hari ini dalam menyelesaikan tanah Keretaapi Tanah Melayu yang diberi kepada Singapura seluas 217 hektar dan menyerahkan telaga minyak RM320 bilion blok L dan M kepada Brunei dalam sekelip mata.

Orang mula membandingkan dengan kepimpinan Tun Abdulllah Ahmad Badwi walaupun nampak lembut tetapi sekurang-kurangnya sewaktu hendak menyerahkan Pulau Batu Putih beliau tidaklah menyerah selepas makan buah durian sahaja.

Sekurang-kurangnya ada juga usaha membawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa, walaupun terpaksa berbelanja berjuta-juta ringgit untuk mempertahankan maruah negara. Kenapa perkara ini tidak dilakukan oleh Datuk Seri Najib, hanya Allah dan beliau sahaja yang mengetahui.

Bersatu bukan mesti berada dalam satu parti

05 zulkaedah 1431 H
0leh: Ahmad Baei Jaafar

Saya percaya ramai yang bersetuju dengan pandangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang katanya, perpaduan nasional tidak akan tercapai selagi bumiputera dan orang Melayu tidak bersatu. Realiti yang berlaku pada hari ini cukup menguatkan hujahnya.

Memang pun, kalau orang Melayu bersatu, cakap satu bahasa, bertindak satu nada, apa lagi yang menghalang mereka berpadu. Tidak lagi caci mencaci, hina menghina, umpat mengumpat dan fitnah memfitnah, dan jatuh menjatuhkan, apakah ada lagi pergeseran sesama mereka?

Saya yakin kalau beginilah sikap orang Melayu (tidak termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak), bukan sahaja Melayu menjadi tenang, malah orang bukan Melayu akan hormat kepada orang Melayu. Malah dengan keadaan itu mereka akan tertarik kepada Islam yang diamalkan oleh orang Melayu.

Walau bagaimanapun teori yang dibawa itu menimbulkan sedikit kebimbangan, bolehkah bersatu itu direalisasikan dalam masa terdekat. Siapakah yang boleh menjadi penggerak utama yang cakapnya boleh menjadikan orang Melayu bersatu?

Adakah Datuk Ibrahim Ali layak di tempat itu? Secara peribadi, saya tidak yakin kebolehannya ke arah itu kerana realiti perjuangannya tidak pernah menampakkan hasil yang baik. Pendek kata, cakap tak serupa bikin. Lain yang dicakapkan lain pula yang dibuatnya, akhirnya masyarakat menjadi kelam kabut.

Menyentuh isu ini suka saya hendak ingatkan Datuk Ibrahim Ali (kalau beliau tidak membaca maka sesiapa yang hampir dengan beliau bolehlah sampaikan kepadanya), kalau hendak mengajak orang Melayu bersatu, beliau kenalah ubah perangai buruknya. Demikian itulah kunci kegagalannya selama ini.

Antara yang boleh saya cadangkan kepadanya ialah:

1. Hentikan kutuk orang Melayu yang tidak sehaluan dengannya.

2. Mana yang tidak betul pada orang Melayu itu, jumpa empat mata dan betulkan segera.

3. Komunikasi yang berkesan ialah saling memberi dan menerima pandangan yang baik untuk ummah.

4. Tidak berat sebelah dalam memberi pandangan hanya kerana kita bersetuju dengan satu kumpulan.

Selagi Ibrahim Ali tidak membuat perubahan itu tidak perlulah beliau bercakap soal perpaduan. Nanti semua pihak akan berasa meluat dan jijik untuk mendengarnya. Apakah rasionalnya pandangan saya ini? Cuba anda menilai sendiri, dalam bercakap fasal perpaduan, dia boleh secara terang-terangan mengutuk PAS dan PKR. Tetapi tidak pula mengutuk UMNO atas dasar nasihat.

Ibrahim bercakap di Forum Perpaduan Melayu Dalam Menjamin Masa Depan Bangsa, peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini Isnin lalu cuba menyalahkan PAS kerana bersama DAP. Tetapi tidak salahkan UMNO yang bersama dengan MAC dan MIC, padahal kedua-duanya ada persamaan.

Jadi, Ibrahim Ali perlu menjadi orang yang adil bagi menyelesaikan perpaduan orang Melayu. Cuma perlu diingatkan, perpaduan Nasional bukan sahaja mengajak orang Melayu supaya bersatu tetapi seluruh rakyat Malaysia. Manakala bersatu pula tidak bermakna perlu bergabung dalam satu kumpulan. Malah dalam satu parti pun tiada jaminan ahlinya boleh bersatu terutama semasa berebut jawatan.

Berdasarkan itu, tidak perlulah UMNO risaukan PAS bersama DAP kerana dalam keadaan itu tidaklah menjadi penghalang kepada orang Melayu bersatu. Apatah lagi orang UMNO Islam dan PAS juga Islam, agama yang sama, aqidah yang sama sudah tentu boleh bersatu. Bersatu di sudut ini sudah kuat. Yang menjadi masalahnya, mengapa atas dasar Islam orang UMNO kutuk PAS atau sebaliknya? Tidak bolehkah berbincang dengan baik untuk sesuatu isu? Berlainan parti sepatutnya tidak menghalang mereka bersatu dan berbincang untuk kebaikan Melayu dan Islam.

Oleh sebab itu Ibrahim Ali perlu menilai semula ucapannya, sama ada relevan atau tidak pada zaman ini di Malaysia. Saya memang tidak akan bersetuju kalau UMNO dan PAS bersatu dalam satu kumpulan atas nama perpaduan. Tetapi saya amat bersetuju kalau mereka kekal dalam keadaan sekarang tetapi jiwa mereka tetapi bersatu.

Jika ini boleh berlaku, orang Melayu akan terus berbaik sangka dan saling menyokong pemerintahan yang ada. Mana yang baik disokong dan mana yang salah perlu dibetulkan dengan segera bagi menyelamatkan ummah. Ingatlah kalau usaha ini berjaya, orang bukan Melayu dan Islam akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang memerintah baik negeri mahupun pusat.

Gementarkah hati anda ?

05 zulkaedah 1431 H

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman kepada Tuhannya” (QS. Al Anfaal: 2).

Seorang hamba duduk bertafakkur, seraya mengajukan sejumlah pertanyaan kepada dirinya. Di antaranya: “Jika hati ini tidak pernah bergetar di saat nama Allah disebutkan dengan panggilan azan, maka patutkah diri ini disebut orang beriman? Bukankah orang-orang yang sebenarnya beriman sentiasa bergetar hatinya bila disebut nama Allah?”

“Jika memang tidak, bukankah sudah cukup banyak umur diri ini berlalu tanpa getaran sedikitpun di hati tatkala nama Allah disebutkan? Maka, apakah itu berarti selama ini hamba hidup tanpa iman dan tidak sempurna?”

“Jika memang tidak bergetar di hati, sampai bilakah harus menunggu, sedangkan sisa umur hamba ini semakin sedikit?” “Ya Allah, maafkanlah hamba ini yang selama ini terlalu keras hati dari menuruti panggilan untuk menghadap-Mu.”

“Ya Allah, jadikan hati ini selalu tergerak untuk selalu memenuhi panggilan-Mu.” “Ya Allah Yang Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosa hamba ini yang telah lalu, baik yang tersengaja atau tidak.”

“Ya Allah Yang Maha Pengampun, jika bukan kerana ampunan-Mu, maka sungguh tersesat hamba ini.” “Ya Allah, tetapkanlah hambaMu ini selalu dalam keadaan beriman.”

Demikianlah renungan dan doa seorang hamba yang merasa belum satu haripun dirinya mampu berada dalam keimanan yang sempurna. Meskipun shalat wajib telah dilaksanakannya, ia merasa belum maksima melakukannya. Sebab, hati tidak gementar ketika nama Allah disebutkan.