10 October 2010

PRK DUN GALAS - JIKA SAYANGKAN KU LI, UNDILAH PAS

Oleh: WFAUZDIN NS

AKHIRNYA Ku Li menerima tawaran pimpinan Umno untuk menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas. Meskipun PAS seboleh-bolehnya tidak mahu berhadapan dengan Ku Li bukan kerana takut, tetapi ingin menjaga hati Ku Li yang tidak kurang jasanya kepada Kerajaan Negeri Kelantan khususnya di dalam isu royalti minyak. Tetapi, takdir telah menentukan bahawa PAS tetap akan berdepan dengan Umno yang akan diterajui oleh Ku Li di Dun Galas.

Di dalam situasi begini, PAS mungkin berada di dalam dilema kerana PAS amat menyanjungi Ku Li biarpun berada di dalam parti yang berlainan. PAS juga mungkin faham, Ku Li juga turut berada di dalam keadaan dilema kerana pimpinan parti telah menyerahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada beliau. Akhirnya, prinsip serta dasar perjuangan akan menjadi faktor utama mengapa PAS mesti melawan Umno habis-habisan kerana PAS tidak mungkin akan `membantu' Ku Li dan membiarkan keseluruhan rakyat Kelantan teraniaya.

Demi tanggungjawab kepada rakyat, PAS mesti terus mara ke medan perjuangan. Kita sedar bahawa Umno punyai `niat tertentu' mengapa parti tersebut meletakkan Ku Li sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Dun Galas. Bukankah sebelum ini amanah tersebut kebiasaannya dipikul oleh Timbalan Presiden Umno (TPM) malahan juga Presiden Umno (PM) sendiri? Sudah tentu ada yang mahu dilihat oleh Najib dan Muhyiddin apa yang bakal terjadi kepada Ku Li nanti. Hakikatnya, Najib dan Muhyiddin tidak lagi mahu dimalukan seperti sebelum ini. Mungkin kali ini giliran Ku Li pula?

Umno kini sudah bersedia dengan alasannya tidak kira Umno menang atau kalah. Jika Umno menang (Na'uzubillah), maka Umno akan berkata, lihatlah, rakyat kini mula menerima Umno dan menolak PAS/PR. Tetapi sebaliknya, jika Umno tersungkur dan dikapankan lagi maka pemimpin Umno akan menuding jari kepada Ku Li dan menyebut betapa Ku Li tidak layak memimpin Umno sedangkan di Gua Musang sebagai kawasannya pun Ku Li boleh tewas. Maka, seandainya Ku Li mencuba nasib bertanding sekali lagi sebagai Presiden Umno di masa akan datang akan dinilai oleh ahli-ahli Umno sebagai pemimpin yang gagal.

Najib, terutama sekali Muhyiddin sudah tentu tidak mahu melihat Ku Li `come back' ke dalam hiraki kepimpinan Umno. Salah satu kaedah yang `paling lembut' untuk melihat Ku Li di`kubur'kan di arena politik Umno adalah dengan `membunuh' kerjayanya di Dun Galas, kemudiannya diluaskan pula di Parlimen Gua Musang. Mungkin Ku Li sudah tahu mainan politik ini, dan tidak mustahil Ku Li juga ada `strategi' tersendiri untuk bermain dengan mereka ini.

Apa yang dikhuatirkan, sekiranya Umno tewas lagi kali ini, akan timbul pula tuduhan Ku Li menjadi punca dan `mensabotaj' parti sendiri. Sebab itulah PAS seboleh-bolehnya tidak mahu Ku Li menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil di Dun Galas, lebih-lebih lagi sebagai calon Umno. PAS tidak sanggup melihat Ku Li terus di `gurkha'kan oleh Umno./wfauzdin.blogspot.com

Lawatan ADUN Titi Serong ke Taman Desa Mekar.

YB Drs. Khalil Idham Lim sempat bergambar bersama-sama sebahagian AJK surau Al-Hidayah dan AJK taman Desa Mekar.

Sedang menyampaikan tazkirah Maghrib.


1 Zulkaidah 1431H.
http://surautdm.blogspot.com/

Surau Al-Hidayah Taman Desa Mekar telah menerima tetamu istimewa iaitu YB DRS. KHALIL IDHAM LIM BIN ABDULLAH bersama sahabat-sahabatnya, yang bukan sahaja mengimamkan solat Magrib malah turut memberi sedikit tazkirah buat renungan bersama.

Selepas tazkirah YB Drs. Khalil Idham Lim sempat berbincang tentang permasalahan yang dihadapi oleh AJK surau. Beliau juga turut membantu dengan menghubungi pihak-pihak tertentu agar pembinaan Surau Al-Hidayah dapat diteruskan berikutan pertambahan jemaah yang semakin meningkat. YB juga memberi harapan bahawa surau Al-Hidayah ini akan siap dibina sepenuhnya sebelum Hari Raya Haji tahun ini, dengan berkat dan usaha semua AJK surau dalam mengumpulkan dana bagi meneruskan projek pembinaan surau ini, InsyaAllah.

Jamuan PAS Batu Gajah Meriah.



Program sambutan hari raya idil fitri PAS Kawasan Batu Gajah pada hari Jumaat malam telah berlangsung dengan penuh kejayaan dengan sambutan masyarakat sekitar Batu Gajah diluar jangkaan. Lebih 1000 orang telah hadir ke jamuan tersebut. Apa yang menjadi kegusaran sebelum program berlangsung dimana kebimbangan tiada sambutan daripada masyarakat telah dinafikan apabila berlangsungnya program tersebut.

Seawal jam 8.00 mlm kawasan khemah telah dipenuhi orang rami berpusu-pusu hadir, apa yang menarik perhatian adalah kehadiran golongan wanita dan pemuda-pemudi yang hadir pada malam tersebut. Ini melambangkan bahawa PR mendapat sokongan dan dokongan daripada golongan wanita dan pemuda dan memberi impak yang amat baik kepada PR dalam PRU 13 nanti.

Galas: Pemuda PAS lancar jentera hari ini

1 Zulkaidah 1431H.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan melancarkan jentera pilihan raya pemuda peringkat negeri Kelantan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Markaz PAS Kawasan Gua Musang jam 3 petang ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda negeri khususnya di Gua Musang dikerah untuk memulakan gerak kerja setelah jentera dilancarkan petang ini.

"Untuk peringkat kebangsaan kita dah lancar di program ijtima' minggu lepas dan hari ini untuk peringkat negeri Kelantan sendiri," kata beliau.

Menurut beliau, seramai 5000 pemuda di seluruh negara telah dikerahkan untuk turun membantu jentera Kelantan pada PRK kali ini.

"Kita telah sasarkan seramai 5000 pemuda akan turun bertugas mengikut syif yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Ketua DPP Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu, Kelantan telah menyediakan seramai 400 pemuda dari setiap kawasan untuk bertugas.

Jumlah petugas dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.

"Kita telah gerakkan gelombang pertama bermula 7 Oktober lalu. Setiap gelombang akan bertugas mengikut syif iaitu satu syif selama lima hari dan akan berterusan sehingga ke hari membuang undi," katanya.

Majlis pelancaran petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan DPPP.

Ku Li setuju jadi pengarah pilihan raya BN di Galas

1 Zulkaidah 1431H.

Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mengesahkan menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN bagi dewan undangan negeri Galas.

Beliau berkata demikian setibanya daripada bercuti di luar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pagi ini.

Menurut Razaleigh beliau menerima tanggungjawab itu sebagai anggota Umno dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota Parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun pemimpin veteran Umno itu berkata, keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu hanya akan diputuskan Isnin ini apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita belum mengadakan mesyuaratpun. Kita bincang tadi, mungkin saya akan jumpa Perdana Menteri pada hari Isnin depan.

"Selepas itu, kita akan mengadakan mesyuarat, dan selepas mesyuarat, kita akan mengadakan sidang media, memaklumkan apa yang kita bincangkan dalam mesyuarat itu," katanya.

Pelantikan Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lepas, kerana yakin dengan kepimpinan beliau yang amat berpengalaman, berpengaruh serta dihormati pengundi di kawasan itu.

Semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata Ku Li merupakan calon paling layak bertanding di DUN Galas berdasarkan kewibawaan beliau, khususnya di Gua Musang, selain dalam arena politik di peringkat nasional.

Mengenai dakwaan Pas bahawa cadangan menamakan beliau sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu adalah tidak wajar selain merendahkan darjatnya, Ku Li berkata beliau menghormati pandangan parti pembangkang itu.

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, ditetapkan pada 4 November ini, manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 26 Oktober ini.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, dari PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman (3,753 undi) dengan majoriti 646 undi.

Galas terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang dimenangi oleh Razaleigh. Selain Galas, DUN Nenggiri dan Paloh juga terletak di bawah parlimen Gua Musang

Malaysiakini/-

MP Batu Sapi terbunuh dalam kemalangan

1 ZulQaidah 1431H.

Ahli parlimen Batu Sapi Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, hari ini.

Mendiang berusia 54 tahun.

Chong dipercayai menunggang motosikal Kawasaki 750 di jalanSembulan-Tanjung Aru apabila bertembung dengan sebuah kereta Mercedez dari arah bertentangan pada sekitar jam 11.40 pagi ini.

Mayatnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Chong dilahirkan pada 9 April 1956 di Sandakan. Beliau berkhawin dengan Linda Tsen Thau Lindan mempunyai empat orang anak.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Kehilangan besar

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan pemergian Edmund sebagai kehilangan besar untuk rakyat dan negeri Sabah.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang dedikasi dan komited terhadap tanggugjawabnya sebagai Anggota Parlimen Batu Sapi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Queen Elizabeth.

Musa yang juga Pengerusi BN Negeri berkata beliau dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan juga PBS atas pemergian itu.

Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang turut berada di situ, berkata "kehilangannya adalah amat menyedihkan bagi negeri dan negara terutama PBS. Beliau juga kawan rapat saya".