02 October 2010

Siapakah ADUN Perak Sertai PPP?

22 Syawal 1431 H

IPOH – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dikatakan akan menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP) dalam masa terdekat, sebaik sahaja mendapat lampu hijau dari kepimpinan tertinggi negeri dan pusat.

Menurut Ketua Pemuda PPP Negeri, Mustafar Rahadi, hasrat itu disampaikan ADUN berkenaan beberapa minggu lalu dalam perbincangan dan kata sepakat yang dicapai bersama antara kepimpinan bahagian dan Pemuda PPP negeri.

Katanya, hasil keputusan itu akan dikemukakan ke peringkat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi mendapat persetujuan serta menetapkan tarikh pengumuman ADUN berkenaan menyertai PPP yang dijangka sehari dua lagi.

“ADUN ini berminat menyertai PPP adalah atas dasar konsep 1 Malaysia yang subur diperjuangkan pemimpin dan ahli PPP peringkat cawangan, bahagian, negeri serta nasional.

“Tambahan pula, dengan kekuatan dan kesatuan pelbagai kaum di bawah PPP, ADUN itu yakin parti ini mampu menjana transformasi kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mustafar berkata, keputusan ADUN itu menyertai PPP juga adalah atas faktor masa depan karier politiknya.

Kata beliau, pihaknya tidak menjanjikan sebarang kemewahan atau ganjaran, tetapi apa yang pasti sokongan moral akan sentiasa diberikan kepada ADUN berkenaan terus bekerja untuk rakyat.

“Saya tidak boleh dedahkan identiti ADUN itu, sama ada dari komponen BN mahupun Pakatan Rakyat (PR), kita tunggu dan lihat pengumuman yang akan dibuatnya dalam masa terdekat.

“Kemungkinan juga ADUN itu akan dilantik sebagai Ketua Bahagian PPP di Perak sebaik sahaja proses pendaftaran keahlian selesai,” katanya.

Menurut Mustafar, ADUN itu terlalu rapat dengan PPP dan apa sahaja masalah yang dihadapinya akan diluahkan serta diselesaikannya.

“Sebab itulah, beliau merasakan hubungan antara kami tidak pernah dirasai sepanjang bergelar ADUN. Ini juga sebagai bukti kami untuk bersama-sama berusaha memperkasakan PPP demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sinar Harian/-

Amal gaya hidup sihat

22 Syawal 1431 H
Oleh: Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 1 Okt: “Eloklah kita tingkatkan kempen-kempen supaya langkah pencegahan dapat diambil, dan supaya rakyat mengamal gaya hidup yang sihat dengan sentiasa memberi penerangan dan mengamalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Umar.

Ini, katanya kerana 43 peratus rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas mengidap penyakit darah tinggi, manakala 13 peratus daripada rakyat Kelantan pula yang berumur 30 tahun ke atas mengidap penyakit kencing manis, berpunca daripada gaya hidup khususnya dari segi pemakanan.

Katanya, keadaan itu menggambarkan betapa teruknya gaya hidup masyarakat kini dilanda penyakit termasuk penyakit jantung, kanser dan strok.

“Semua penyakit itu berpunca daripada gaya hidup kita. Nabi Muhammad saw bersabda: Perut itu sarang penyakit dan banyak makan itu (adalah) punca segala penyakit,” katanya pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Karnival Kesihatan Wanita Peringkat Negeri Kelantan 2010 di Dataran Stadium Sultan Mohamad Ke-IV di sini, semalam.

Beliau berkata, cabaran dihadapi ialah bagaimana untuk mempertingkatkan kesedaran di kalangan orang ramai supaya mereka berusaha menjauhi penyakit, selaras dengan hakikat dan keyakinan bahawa ‘mencegah itu lebih baik daripada merawat’.

“Jangan pula sudah terantuk barulah tengadah, maka demikianlah karnival diadakan hari ini, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya peka terhadap jenis penyakit, kaedah dan cara bagaimana untuk menjauhi penyakit, bahkan hendaklah sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

“Harus mempertingkatkan kempen bahawa untuk hidup secara berkat dan sihat, hendaklah kembali kepada kehidupan berteraskan agama,” ujarnya.

Bersempena dengan majlis itu juga dilancarkan Skuad Kito Cakno.

Harakahdaily/-

Galas: Amaran Khaled tidak selari peredaran zaman

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang memberi amaran agar mahasiswa tidak terlibat dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas adalah suatu kenyataan yang aneh dan tidak selari dengan peredaran zaman.

Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) Universiti Malaya, Ahmad Syazwan Muhammad Hasan berkata, menteri sepatutnya tidak perlu untuk mengeluarkan kenyataan sebegitu, yang seolah-olah terlalu paranoid jika mahasiswa terlibat dalam PRK Galas yang bakal berlangsung.

“Beberapa dekad mutakhir ini, mahasiswa di Malaysia diperlakukan seperti penjenayah yang dikuarantin di dalam kampus dan tidak dibenarkan untuk menghirup udara segar demokrasi dalam negara, sebagaimana anak muda yang seusia luar kampus,” tulis beliau di dalam blognya.

Katanya, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) menjadi hantu kepada mahasiswa dan dijadikan bahan ugutan oleh pihak kerajaan untuk menakutkan mahasiswa sejak kebelakangan ini.

Namun, soalnya adakah mahasiswa seluruhnya memahami Auku secara mendalam.

Beliau sekadar berkongsi idea dan pengalaman dalam berbincang soal Auku dengan pelbagai pihak.

Menurutnya, dalam Auku, perkara yang menjadi subjek perbincangan ialah seksyen 15 (a) yang tidak membenarkan mahasiswa menyatakan sokongan, simpati ataupun bangkangan terhadap mana-mana parti politik dan terlibat aktif dalam politik kepartian.

“Akta ini cukup jelas menyekat mahasiswa untuk terlibat dengan parti politik dalam negara, bukannya sistem politik negara.

“Saya rasa di sini timbul keraguan di antara pelaksana undang-undang yang mentafsirkan seksyen tersebut mengikut selera masing-masing. Akta ini juga yang menjadi point utama dalam perbicaraan saman pemula 4 orang mahasiswa UKM di mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Akta tersebut, jelasnya tidak menyatakan bahawa mahasiswa ‘tidak boleh terlibat dalam pilihan raya’ sama ada umum ataupun kecil.

Baginya, mahasiswa hanya dilarang untuk berkempen dan menyatakan sokongan kepada parti yang bertanding, itu sedia maklum.

“Namun, persoalan saya, jika ada beberapa orang calon Bebas yang bertanding dalam PRK nanti, maka adakah mahasiswa boleh terlibat dalam pilihan raya tersebut sedangkan calon Bebas ini bertanding atas kapasiti individu, bukannya parti?” soalnya.

Maka, katanya tidak ada tindakan yang boleh dikenakan ke atas mahasiswa yang turun berkempen untuk calon Bebas tersebut kerana mereka tidak boleh dikaitkan dengan parti politik yang sah.

“Di sinilah lompang dan tidak relevannya Auku yang hanya memandang parti politik itu subjek, sedangkan objek pilihan raya masih luas dalam sistem demokrasi yang diamalkan.

“Maka saya boleh nyatakan bahawa mahasiswa boleh sama sekali terlibat dalam pilihan raya dan berkempen jika ada calon Bebas yang bertanding dalam PRK nanti,” ujarnya.

Selain itu, katanya lagi jika hanya calon dari parti politik sahaja yang terlibat, maka tidak salah juga bagi mahasiswa untuk ke sana sekadar mengikuti dengan lebih dekat amalan pilihan raya di Malaysia.

Kesimpulannya, ujar beliau mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara sebagaimana yang dijamin oleh Artikel 10 Perlembagaan Negara.

Baginya, menakutkan mahasiswa dengan Auku adalah suatu pendekatan yang lapuk lagi bacul dan pihak kerajaan perlu berfikir secara liberal dan rasional dalam mengambil sesuatu pendekatan.

Menurutnya, liberalisasi dan transformasi ekonomi sahaja tidak cukup untuk memungkinkan Malaysia bakal muncul sebagai negara maju tanpa diselarikan dengan kebebasan sosial khususnya kebebasan akademik dan hak bersuara rakyat termasuklah mahasiswa.

“Saya harap menteri tak perlu takut jika mahasiswa turun ke medan demokrasi kerana kita sepatutnya menyahut kebebasan bersuara sebagaimana yang dibenarkan oleh civil society dan hak yang dijamin dalam Perlembagaan,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Adun Umno dicabar kembalikan elaun

22 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 1 Okt: Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang mencabar 11 Adun Umno di negeri ini mengembalikan semua gaji dan elaun wakil rakyat kepada Perbendaharaan Kerajaan Negeri kerana tiada satu pun yang halal dari Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Pulau Pinang.

"Jika Umno betul-betul pembela dan menitikberatkan tentang kebersihan wang hasil pemberian kerajaan negeri, mereka patut dulu melakukan tiga perkara.

Jangan hanya berlagak teliti dalam hal agama walhal merekalah yang paling membelakangkannya," ujar Setiausaha Angkatan Muda Keadilan negeri, Syed Mikael Rizal Aidid yang membacakan kenyataan sekretariat itu.

Selain beliau, kenyataan bersama itu ditandatangani Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (Dapsy), Ng Wei Aik serta Zamadi Omar yang mewakili Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri.

Cabaran itu adalah antara desakan terhadap Umno agar melakukan tiga perkara jika parti itu terus memfitnah kononnya pemberian wang RM100 kepada warga emas oleh kerajaan negeri tahun ini dari sumber judi.

Mereka juga mendesak Umno agar mengarahkan semua staf dan kakitangan Utusan Malaysia (lidah rasmi Umno) memulangkan semua gaji kerana ada unsur dalam penghasilan gaji menerusi iklan 4 nombor ekor.

Mereka turut mencabar Umno agar mengarahkan semua GLC di bawah pengaruh mereka agar memulangkan semua pendapatan kepada Perbendaharaan Kerajaan Malaysia kerana tidak ada satu pun gaji mereka boleh dipastikan bersih dari percampuran dengan hasil cukai judi, hiburan dan arak.

Menurut Mikael, pendedahan laman web Pisau.Net semata-mata mencari publisiti manakala Umno pula menjadikannya bahan menghentam kerajaan negeri tanpa menyedari sumbangan tersebut untuk Program Rakan Anti Kemiskinan (RAK) dan bukanya untuk Program Penghargaan Warga Emas.

Exco Kebajikan Negeri, Phee Boon Poh telah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan negeri telah menyimpan sebanyak RM24 juta untuk RAK tanpa mengganggu peruntukan program Penghargaan Warga Emas.

Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farizan Darus menjelaskan bahawa sumbangan RM2 juta dari Kelab Lumba Kuda tidak disalurkan kepada umat Islam dalam program RAK.

"Umno nampak lawak bila mengadakan program bersama 40 orang penerima wang RM100 untuk mengembalikan kepada kerajaan negeri," tegas beliau.

Harakahdaily/-

Presiden PAS rasmi Ijtima' Tarbawi malam ini

22 Syawal 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

MARANG, 1 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dijangka akan merasmikan Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS, Peringkat Kebangsaan malam ini.

Persidangan tiga hari bermula petang ini bakal menyaksikan seluruh pemuda PAS berkampung di Masjid Rusila, Marang.

Selain pemuda, Ijtima' tersebut juga turut dibuka kepada muslimat PAS dan pendaftaran boleh dibuat sehingga lewat petang ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang tiba malam tadi di sini berkata, lebih 80 peratus persiapan telah disempurnakan dan bersedia menerima kedatangan peserta.

Biarpun program dijangka bermula selepas solat Maghrib petang ini, bahangnya sudah mula terasa dengan suasana khemah diperkarangan masjid siap dipasang.

Ianya ditambah pula dengan ribuan peserta yang sudah mula tiba seawal pagi tadi.

Mereka masing-masing tidak mahu ketinggalan mengikuti kuliah mingguan pagi Jumaat yang disampaikan Tuan Guru Presiden.

Selain itu, program malam ini akan dimulakan dengan Taklimat kepada peserta, bacaan al Ma'thuuraat dan solat Maghrib berjamaah.

Selepas itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengambil tempat memberikan Taujihat Tarbawi kepada semua peserta.

Manakala acara perasmian pembukaan oleh Presiden PAS dijangka pada jam 10 malam.

Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS kali ini akan berlangsung sehingga Ahad ini.

Perasmian penutup akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Harakahdaily/-

Kisah Tajudin bergaduh dengan pemandunya

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Kisah Pengerusi Felcra, Datuk Tajudin Abdul Rahman, bergaduh dengan seorang pemandunya di hadapan lebih 400 warga Felcra pada 3 Mei lalu kini tersebar luas dan mendapat perhatian ramai.

Ia menarik perhatian kerana kecaman Tajuddin terhadap bekas pemandunya yang juga seorang kakitangan Felcra berlaku di majlis yang berlangsung pada 3 Mei di Ibu pejabat Felcra, Jalan Rejang Setapak Jaya lalu di jawab secara berdepan oleh pemandu berkenaan.

Hasilnya, 15 minit pertama perhimpunan warga Felcra itu menjadi tempat melepaskan geram Tajudin kepada pemandu berkenaan.

Harakahdaily yelah mendapat audio rakaman pertembungan berkenaaan. Berita awal mengenai hal ini telah disiarkan dalam akhbar politik Siasah keluaran hari ini.

"Mana dia, hari ini ada dia datang...mana dia," tanya Tajudin di perhimpunan itu. Orang ramai yang menyertai perhimpunan itu menjawab,"Ada...dia ada."

"Saya yang buat laporan polis," kata pemandu berkenaan yang tampil ke depan di majalis perhimpunan itu.

"Mana dia laporan polis itu," tanya Tajudin.

"Mana dia tanda kena pukul," tanya Tajudin bertalu-talu.

"Ada, ini dia," kata pemandu itu.

"Mari sini," kata Tajudin..."Biarkan perkara ini diselesaikan di sini...mana dia tanda kena pukul itu...mana....mana," tekan Tajudin.

"Mana ada...dah lama," sampuk satu suara yang kedengaran dari rakaman itu.

"Kenapa polis tak datang sampai hari ini...kenapa tidak ada sebarang tindakan (terhadap dia)," tekan Tajudin lagi.

Ekoran itu, pemandu berkenaan tampil ke depan di majlis itu dan kedengaran berkata:-

"Majlis rasmi start pukul lapan, Datuk keluar rumah 9.05 malam....satu jam lewat...Datuk tahu saya orang baru. Dia tunjuk jalan, masuk kiri masuk kanan sampai jumpa jalan mati," kata pemandu itu diiringi tepukan kakitangan Felcra yang hadir di majlis itu.

Ekoran itu, ia telah menaikkan darah Tajuddin dan berkata, "Saya tidak minta tepuk...tak perlu tepuk, ini bukan majlis politik," dengan nada marah.

"Saya minta ambil tindakan mahkamah hari ini juga,....kenapa selepas enam bulan tidak ada tindakan," kata Tajuddin marah dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan terhadap pemandu berkenaan kerana memalukannya.

"Dia kata dia hormat tetapi dia buat laporan polis. Saya sabar hampir beberapa bulan kerana saya fikir dia budak tidak perlu ambil tindakan. Tetapi hari dia nak tunjukkan dia benar, saya tak takut," kata Tajudin.

Menurut sumber Harakahdaily, peristiwa yang membawa pergaduhan secara berdepan di hadapan kakitangan Ibu Pejabat Felcra ini berlaku pada 21 Oktober 2009 lagi.

Ketika itu, dua pemandu Tajudin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak tidak dapat membawanya kerana seorang sakit dan seorang lagi terpaksa cuti secara tergesa-gesa.

Pemandu ini telah diarahkan membawa Tajudin ke satu majlis di rumah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Namun, mereka tidak jumpa rumah berkenaan. Tajudin menyalahkan pemandunya dan memukul kepala pemandunya dan mengambilalih stering kereta.

Ekoran pukulan itu, pemandu itu membuat laporan polis pada keesokan harinya (22 Oktober) di Balai Polis Johor Bahru Central, Johor.

Ekoran kejadian di ibu pejabat Felcra pada 3 Mei itu, pemandu berkenaan dikatakan telah membuat sekali lagi laporan polis iaitu pada 4 Mei sehari selepas keajadian itu. Laporan kali ini dibuat di Balai Polis Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam majlis pada 3 Mei itu, Tajudin yang berucap di majlis itu marah-marah kerana pemandu berkenaan telah membuat laporan polis kononnya dia telah dipukul kira-kira enam bulan sebelum itu.

"Ada laporan kata, saya pukul driver saya....seluruh orang di Perak pun tahu. Kononnya supaya menteri ke, perdana menteri ke tidak dengar cakap saya, dengar cakap dia," mula Tajudin mengaitkan isu ini dalam ucapannya itu.

"Budak driver ini bawa saya pada satu malam nak pergi rumah Tan Sri Muhyidin...ada dalam blog pun...pembangkang gunalah ini, kita dok bagi buahnya," kata Tajudin.

"Nak pergi rumah Tan Sri Muhyidin, dia tak tau jalan...pusing-pusing, dekat satu jam...aik bila nak sampai, majlis nak habis dah...nak suruh saya senyum je dalam motokar...siang tadi kamu tidak pergi recky, mana rumahnya, senang kita nak pergi.

Sudahnya saya pula ambil stering bawa dia, dia jadi bos..kita pula jadi diriver dia, hotlah kita," Tajudin memulakan serangannya kepada drivernya itu dalam perhimpunan bulanan yang disertai oleh semua kakitangan ibu pejabat Felcra termasuk semua pegawai kanannya.

Di majlis itu, Tajudin yang akan tamat kontraknya pertengahan Oktober depan turut memperkenalkan CEO baru Felcra Berhad.

"Esoknya, dia boleh berani pergi buat laporan polis dan dakwa dia kena pukul...tak ada tanda pun," kata Tajudin.

Ekoran itulah, pemandu Felcra itu bangun dan memberikan penjelasan di majlis itu dengan di sambut tepukan gemuruh perserta perhimpunan bulanan di Auditorium Felcra Berhad itu.

Harakahdaily/-

Hadapi PRK Galas dengan kekuatan sendiri

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam pilihan raya kecil Galas dengan kekuatan sendiri, kata Naib Presiden PAS yang juga pengarah pilihan raya itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Atas dasar itu, isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengarah BN bagi pilihan raya kecil DUN Galas atau tidak, tidak berbangkit, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim adalah pengarah pilihan raya ini secara automatik bagi PAS kerana parti itu telah membuat pendekatan tetap untuk menghadapi sebarang pilihan raya kecil.

Perkara ini disahkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam majlis hari raya Harakahdaily semalam.

Melaui pendekatan itu, seorang naib presiden PAS akan menjadi pengarah pilihan raya kecil untuk kawasan masing-masing. Datuk Mahfuz Omar menjadi pengarah jika berlaku di utara, Salahudin Ayub di selatan dan Tuan Ibrahim di timur.

Sebelum ini, Mahfuz menjadi pengarah pilihan raya kecil Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Salahudin menjadi pengarah dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Bagi Tuan Ibrahim, isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, dan berdasarkan beberapa tindakan mutakhir beliau yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN.

Ini ekoran pendirian beliau dalam isu royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam mentadbir negara.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa beliau tetap akan bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha untuk menyusun kekuatan parti bersama Pakatan Rakyat (PR) dalam menghadapi PRK kali ini, kata Tuan Ibrahim.

"PAS menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, tetapi ini bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU ke 12, dengan kejayaan PAS menawan DUN Galas dari BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan," katanya.

Menurut beliau, dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak kerja pilihanraya kecil kali ini.

Oleh kerana calon PAS hanya mendapat kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang akan menjadi penentu kepada keputusan yang akan berlaku, katanya.

Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat Asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka, tambahnya.

Bagi beliau, faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mood dan sentimen pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding.

Lantaran itu, katanya, pemilihan calon kali ini teramat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK.

Mereka tentulah tidak ingin mendapat seorang wakil rakyat yang hanya menunjukkan muka apabila memerlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang.

"Budaya masyarakat Kelantan yang suka bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilih YB Arwah Che Hashim dalam PRU lalu," katanya.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan Bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut terutamanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan Kesedar diterajui kerajaan Pusat akan menceriakan lagi PRK kali ini.

Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalaskan kemenangan di sana, katanya.

Harakahdaily/-

Menutup aurat

22 Syawal 1431 H

Islam menggariskan aurat wanita melibatkan seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangan. Namun, ramai kalangan wanita Muslim gagal menutup aurat dengan sempurna sebagaimana dituntut syariat.

Walaupun menutup kepala dengan pelbagai fesyen tudung, tetapi pada masa sama mereka menonjolkan potongan tubuh badan kepada awam.

Entah di mana silapnya, wanita sekarang seolah-olah keliru dan dalam dilema antara tuntutan hukum dengan realiti dalam masyarakat.

Kemunculan pelbagai fesyen dewasa ini membuktikan mereka bijak berfesyen, namun pada masa sama mengetepikan soal aurat yang tidak seharusnya didedahkan atau dibuka di hadapan orang yang tidak halal dilihat kepadanya.

Sebagai Muslimah, tidak salah untuk berfesyen, tetapi biarlah fesyen sama ada pakaian mahupun tudung yang diperagakan itu tidak keterlaluan dan boleh menimbulkan fitnah.

Sebenarnya, kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT, bukannya merasakan kaum lelaki tertawan disebabkan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan dalam dirinya.

Islam sebenarnya tidak menetapkan pakaian khusus untuk wanita Islam. Asalkan pakaian yang digayakan itu longgar, tidak jarang, tidak terlalu menarik perhatian (glamour), tidak menyerupai jantina lain dan tidak menyerupai simbolik agama lain, boleh dipakai oleh wanita itu.

Bagaimanapun tidak semua Muslimah berpakaian mendedahkan aurat. Mungkin golongan terbabit tidak memahami tuntutan agama dan hanya tahu pakaian yang digayakan itu satu fesyen sahaja tanpa mengambil kira kehendak Islam itu sendiri.

Jika mereka memahami bahawa hukum menutup aurat adalah wajib, maka tidak timbul situasi wanita berpakaian seksi, sebaliknya Malaysia mampu melahirkan lebih ramai Muslimah sejati serta dapat menjadi hamba terbaik di sisi Allah.

Penulis sendiri pun pun tertanya-tanya mengapa kita kurang pereka busana Muslimah dalam negara. Bukan tidak ada yang mereka cipta pakaian begitu, ada, cuma tidak sekencang pereka fesyen yang menampilkan rekaan untuk peragaan pentas atau majlis-majlis gah seperti digayakan artis, model, orang kenamaan dan golongan berwang.

Mungkin kerana terlalu mengejar keuntungan, nama dan mahukan perhatian segera menyebabkan individu berbakat dalam bidang rekaan fesyen memilih untuk bergelar pereka fesyen moden dan kontemporari.

Tambahan pula, ada kalangan mereka beranggapan sumber pendapatan (rezeki) tidak sehebat berbanding mencipta gaya fesyen terkini. Pengakhirannya, rekaan moden dan stylo menjadi pilihan.

Dalam Islam, apa yang berlaku kehendak Allah. Begitu juga dengan rezeki. Sama ada sedikit atau banyak, bersyukurlah kerana sesungguhnya rezeki itu adalah daripada Allah. Allah yang maha mengetahui segala-galanya mengapa diberinya kadar rezeki kita berbeza-beza setiap hari.

Begitu juga dengan pereka pakaian Muslimah, mereka tidak perlu gusar jika pendapatan tidak seperti yang dimahukan dan bimbang jika gagal bersaing dengan pereka fesyen lain. Itu adalah ujian daripada Allah. Sebagai umat-Nya, mereka perlu ingat, jika menerima rezeki, bersyukurlah dengan memperbanyakkan ibadat, moga Allah akan tambah rezekinya lagi.

Surah 29 Al-Ankabut ayat 62 “Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambanya dan Dia yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Sesuatu.”

Sementara itu, aurat lelaki adalah di antara pusat hingga ke lutut. Aurat lelaki lebih longgar daripada aurat wanita. Namun, lelaki tidak boleh meremeh-remehkan tuntutan menutup aurat. Lelaki yang tidak memakai baju perlu menjaga agar tidak menampakkan aurat mereka.

Hikmah di sebalik menutup aurat ialah dapat mengelakkan kejahatan, maksiat dan menjaga maruah serta harga diri. Oleh itu, cara berpakaian lelaki juga mesti memenuhi tujuan tersebut.

Mempamerkan tubuh bukan merupakan satu kesalahan pada asalnya kerana bukan merupakan aurat. Walau bagaimanapun dikhuatiri boleh menjurus kepada perkara kejahatan sekiranya mempamerkan tubuh dengan aksi dan gaya yang tidak sepatutnya untuk tatapan umum tanpa rasa malu apatah lagi sehingga menyalahi hikmah menutup aurat.

Sinar Harian/-

Menjauh

22 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang orang yang bertakwa" (QS. Ali Imran: 133).

Bagaikan sudah menjadi kebiasaan, semakin dekat dengan hari raya, semakin banyak di antara kita yang mencari posisi yang jauh dari tujuan awal, yaitu meraih ketaqwaan. Sebahagian orang semakin menjauhi diri dari ibadah karena sibuk memperindah pakaian, rumah, makanan, dan kendaraan.

Sedangkan saf saf shalat berjamaah pun semakin sedikit di masjid. Sebenarnya kalau tujuan untuk meraih taqwa, seharusnya kita semakin sibuk mendekatkan diri atau memastikan diri melakukan perbuatan perbuatan seperti yang dilakukan orang bertaqwa.

Orang bertqwa, sebagaimana disebutkan dalam Al Qur'an (QS. Ali Imran: 134), senantiasa berusaha untuk menafkahkan hartanya secara ikhlas, baik di waktu sedang memiliki harta banyak maupun di kala sedikit. Orang bertaqwa juga mau menahan amarahnya dan dengan hati yang lapang mau memaafkan kesalahan kesalahan orang.

Orang bertaqwa, sebagaimana juga disebut dalam ayat selanjutnya (QS. Ali Imran: 135), apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa dosa mereka. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu.

Namun anehnya, ada di antara kita yang bukan hanya menjauhi ibadah, tetapi juga ikut perbuatan perbuatan yang berlawanan dengan perbuatan perbuatan atau sikap orang orang bertaqwa.

Ada yang tega merampok harta orang lain atau menyelewengkan milik orang lain, untuk mendapatkan bekal untuk merayakan hari kemenangan Idul Fitri.

Yang lebih aneh lagi, perbuatan seperti itu dilakukan terus tanpa pernah mau peduli siapa yang teraniaya dan kepada siapa berbuat maksiat.

Pengarah p’raya umpama kata dua buat Razaleigh

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 30 Sept: PAS menyifatkan perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya Umno dan BN bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas sebagai kata dua kepadanya yang menyokong tuntutan royalti Kerajaan PAS Kelantan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, jelas ianya tindakan terdesak Umno kerana ternyata parti itu amat bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula Dun berkenaan.

Ini, katanya walaupunUmno tahu Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan perlantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen.

PAS, tambahnya yakin perlantikan Razaleigh juga membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada veteran Umno itu sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada parti itu.

“Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuang untuk kepentingan Umno,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Begitupun, ujarnya, PAS yakin Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan.

Tambahnya, PAS tiada masalah jika beliau menerima perlantikan itu tetapi mahu Razaleigh menggunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

“Jika dalam PRK nanti isu royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan?

“Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno BN demi kepentingan rakyat nanti,” soalnya.

Justeru itu, katanya PAS menyeru agar Tengku Razaleigh mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PAS jika benar beliau berjuang untuk rakyat Kelantan.

Tambahnya, sebelum ini di Manek Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilantik sebagai pengarah PRK namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal di tangan PAS.

Akibat kegagalan itu, katanya, Mustapa dinafikan hak untuk menjadi Pengarah Pilihan raya Dun Galas walaupun beliau adalah pengerusi perhubungan negeri dan menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan.

Menurutnya, Dun Galas di dalam kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh di mana Umno menumpang pengaruhnya untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya umum yang lepas Allahyarham Chek Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno BN, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Katanya, walaupun belum sampai sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN.

Bagi PAS, kata Idris perlantikan Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas pilihan raya umum 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan Kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti dari Kerajaan Persekutuan di bawah BN.

“Malah beliau yang juga mantan Pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan Kelantan kepada Petronas.

“Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat,” kata Idris lagi.

Harakahdaily/-

Penyelewengan Felda bukti Umno khianat Melayu

22 Syawal 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Kemenangan peneroka Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda membuktikan bahawa badan berkanun yang dikuasai Umno itu adalah benar-benar pengkhianat Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembelaan Peneroka (Tindak), Salahuddin Ayub berkata ianya juga menjelaskan lagi bahawa sememangnya berlaku penyelewengan dan penipuan biarpun dinafikan berkali-kali pihak Felda.

"Kemenangan peneroka Felda baru-baru ini memang menampakkan penyelewengan, penipuan serta salah guna kuasa (oleh) Felda ke atas peneroka."

"Kalau benar Umno mengatakan bahawa mereka adalah pejuang Melayu, 99.9 peratus peneroka yang terbabit adalah peneroka-peneroka Melayu," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau mengulas kemenangan kes 10 peneroka dari Felda Sungai Koyan 2 dan 3 semalam.

Mahkamah Tinggi Kuantan semalam memutuskan Felda perlu membayar RM23,800 kepada 10 peneroka tersebut yang dinafikan hak mendapat bayaran tanam semula.

Dalam kes sebelum itu juga, Mahkamah Persekutuan turut mengarahkan Felda menyerahkan RM11 juta kepada 354 peneroka di Felda Kemahang 3, Kelantan ekoran Felda memanipulasi penggredan kelapa sawit.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS Pusat berkata, tindakan Felda menipu peneroka tidak ubah seperti bau busuk yang sedang melanda Felda.

Beliau juga yakin dan percaya, Felda sedang berdepan laluan sukar apabila satu demi satu penyelewengan terhadap peneroka mula terdedah.

Turut serta pada sidang media sama Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Peguam Mohamed Hanipa Maidin.

Di penghujung sidang media itu, beliau juga merayu kepada Felda agar tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam, sebaliknya membayar terus kepada peneroka.

Harakahdaily/-

Umno didesak buktikan penerima kembalikan wang

22 Syawal 1431 H
Oleh: Ali Hashim

GEORGETOWN, 30 Sept: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Umno negeri supaya membuktikan dakwaan mereka bahawa seramai 40 orang warga emas yang menerima wang dalam program sumbangan warga emas sebanyak RM100 seorang sebelum ini telah memulangkan wang tersebut.

Mereka dikatakan memulangkan wang tersebut dalam satu majlis yang diadakan oleh Adun Penaga, Datuk Azhar Ibrahim di Pusat Khidmat Dun itu kerana tidak berpuas hati setelah didakwa wang tersebut adalah hasil dari sumber judi Kelab Lumba Kuda.

Exco Kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim dalam sidang media pagi tadi menafikan dakwaan Azhar itu.

Beliau menyifatkan Azhar dan Umno Pulau Pinang cuba menjadi hipokrit dengan memperalatkan warga emas bagi mendapat simpati yang telah hilang terhadap mereka selama ini.

"Telah kita nyatakan bahawa hasil dari penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, maka wang sebanyak RM88 juta pada tahun 2008 dan RM77 juta pada 2009 telah dapat dijimatkan. Ini adalah lebihan hasil dari amalan ketelusan yang kita lakukan.

"Kita juga mengalami kerugian apabila terpaksa membayar sebanyak RM15 juta dalam isu skandal tanah yang melibatkan Tang Hak Jo semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional sebelum ini,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah menafikan bahawa tiada unsur sumber judi yang melibatkan pemberian sumbangan wang kepada warga emas dan program penghargaan waris warga emas.

“Kita mempunyai dana yang cukup dan lebih dari apa yang mereka dakwa," tegasnya lagi.

Abdul Malik juga mencabar Azhar yang juga merupakan Setiausaha Umno Pulau Pinang supaya membuktikan senarai mereka yang menyerahkan kembali wang sebanyak RM100 sepertimana yang didakwa dalam majlis yang diadakan di Penaga semalam itu adalah mereka yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

"Jika mereka itu adalah yang mendaftar dengan kerajaan negeri maka kita akan ambil langkah yang wajar dalam senarai nama tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya nama mereka tidak terdapat dalam senarai yang berdaftar, maka ia membuktikan Umno telah merencanakan sesuatu untuk mencalarkan imej kerajaan negeri.

"Umno sepatutnya jangan memperalatkan warga emas dengan memperdayakan mereka sepertimana yang dilakukan semalam, semata-mata bagi mendapat sokongan," tambahnya lagi.

Harakahdaily/-

Mengapa paksa bukan Islam ikut cara Islam

22 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Okt: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diminta menjelaskan kepada golongan bukan Islam di seluruh negara mengapa pelajar bukan Islam telah dipaksa untuk membuat cara sembahyang (berdoa) orang Islam.

Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa berkata, ini seperti yang berlaku pada 13 April 2008di dewan kuliah Rejimen 515 Askar Wataniah, Jalan Ampang dengan meminta Zahid memberikan identiti pelatih yang terlibat dalam kes tersebut.

“Saya meminta agar Zahid menjelaskan mengapa perkara sebegini boleh berlaku di bawah kepimpinannya,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, katanya, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Wee Ka Siong amat kesal dengan tindakan mengungkitkan semula isu di mana pelajar bukan Islam telah dipaksa untuk meniru cara sembahyang orang Islam.

“Sekiranya Kerajaan BN mengangap kes di atas merupakan satu-satu kes yang berlaku di negara ini, maka saya akan memberikan satu lagi contoh untuk membuktikan kes tersebut bukan satu kes terpencil tetapi merupakan a tip of the iceberg,” ujarnya.

Mengenai kejadian pada 13 April 2008 lalu itu, kata beliau sekiranya pelatih enggan untuk membuat perkara yang sama maka dia akan dipaksa untuk meninggalkan kem.

Selain itu, tambahnya pemberi maklumat juga risau akan dipecat kerana membongkarkan isu itu.Baginya, Askar Wataniah merupakan pertubuhan penting dalam sistem pertahanan negara.

Mereka yang menyertai askar wataniah tidak kira berasal dari mana-mana kaum, matlamatnya adalah sama iaitu mempertahankan kedaulatan negara dan memberikan sumbangan kepada negara.

Malangnya, kata beliau remaja yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bercita-cita untuk mempertahankan negara telah berasa tidak senang hati kerana gangguan ke atas kepercayaan mereka daripada kumpulan fanatik agama yang wujud dalam pasukan.

Menurut statistik yang dikeluarkan pada 2006, kaum Cina hanya membentuk 5% daripada jumlah askar wataniah di mana Rejimen 509 Askar Wataniah yang terletak di Lebuhraya Peel merupakan satu contoh yang baik.

Rejimen ini menerima penyertaan hangat daripada orang Cina. Penyertaannya adalah tidak berasalkan kaum, malah pelatih telah mengadakan road show di setiap sudut untuk menyedarkan golongan remaja bahawa kepentingan untuk mempertahankan kedaulatan negara. Kaum Cina yang menyertai askar wataniah juga terdiri daripada golongan mahasiswa dan golongan profesional.

Program askar wataniah telah memberikan masa yang fleksiber kepada para peserta untuk menggalakkan penyertaan mereka ke dalam perkhidmatan askar wataniah. Mereka akan dilatih pada hujung minggu.

Latihan rekrut adalah lebih kurang seperti latihan sebenar malah mereka juga diberikan gaji.

Peserta boleh memilih Latihan Tempatan atau Latihan Lanjutan apabila latihan rekrut tamat. Mereka akan dibahagikan kepada latihan ketenteraan yang berlainan seperti Kor Armour, Rejiman Askar Jurutera, Rejimen Semboyan dan sebagainya.

“Malangnya, askar wataniah yang tidak membezakan warna kulit, terkenal dengan tindakan tatatertib yang ketat dan reputasi yang baik, kini reputasinya telah dicemari oleh dasar agama Kerajaan BN.

“Situasi yang berlaku kini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Negara yang menjanjikan kebebasan beragama,” ujar Teck Hwa lagi.

Harakahdaily/-

Perkauman: Orang kaya Umno peralat rakyat miskin

22 Syawal 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Orang-orang kaya Umno yang mengapi-apikan perkauman dengan memperalatkan rakyat miskin, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan meningkatkan pertumbuhan dan kekayaan negara untuk mengurangkan perkauman, beliau menyifatkan pandangan tersebut sebagai pandangan yang dangkal.

"Barangkali kerana pandangan sedemikianlah Umno, Utusan Malaysia, Perkasa malah Dr Mahathir sendiri memperalatkan cakap-cakap bahawa ekonomi orang-orang Melayu masih ketinggalan untuk mengapi-apikan perkauman.

"Mereka menghalalkan pemikiran dan tindakan mengapi-apikan perkauman dengan alasan orang-orang Melayu ketinggalan dari segi ekonomi tetapi pada masa yang sama mereka mahu memaksa rakyat mengekalkan kuasa Umno yang terbukti tidak berminat membantu orang-orang Melayu," kata Mahfuz.

Sebelum ini, beliau menyifatkan Umno terbukti tidak berminat membantu orang-orang Melayu apabila Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi menyatakan bahawa data dan statistik terkini membuktikan bahawa kedudukan orang Melayu di dalam ekonomi dan pelbagai sektor masih ketinggalan.

Mahfuz juga menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu tidak ubah seperti desakan supaya gaji polis dinaikkan untuk membasmi rasuah di kalangan mereka.

"Saya sokong kenaikan gaji polis. Tetapi menaikkan gaji polis bukanlah cara untuk membasmi rasuah di kalangan mereka.

"Malah, yang didedahkan paling rakus dengan rasuah ialah pegawai-pegawai tinggi yang lebih besar pendapatannya, bukan anggota bawahan," kata beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu bagaimanapun berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana secara tidak langsung mengakui bahawa ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini berada dalam keadaan yang sangat lemah.

"Sebab itulah perkauman menjadi-jadi di zaman Najib terutama yang dicetuskan oleh Umno sendiri," katanya.

Tetapi, katanya, itu tidak bermakna beliau mahu negara ini kembali kepada ekonomi cara Dr Mahathir.

"Ekonomi cara Dr Mahathir yang tidak pro-rakyat mengakibatkan negara rugi sehingga sebesar RM100 bilion seperti yang didedahkan dalam buku 'Malaysian Maverick' oleh Barry Wain," kata Mahfuz.

Harakahdaily/-

Lim: Pendedahan RM5 juta beli ADUN betul

22 Syawal 1431 H
Oleh: Susan Loone

Dua tahun sudah berlalu dan ADUN Kulim dari PKR, Lim Soo Nee masih menunggu tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan yang dibuatnya mendakwa ditawarkan RM5 juta untuk berpaling tadah kepada BN.

Bagaimanapun, Lim berkata beliau tidak akan ‘mengejar’ SPRM supaya bertindak kerana adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menghubungi beliau atau bertindak apabila siasatan mereka selesai.

"Saya telah berikan segala butiran dan menyerahkan semua bukti kepada pegawai Suruhanjaya, jadi terpulang untuk mereka bertindak sekarang,” katanya.

Lim berkata beliau telah berjumpa beberapa pegawai Suruhanjaya itu, daripada pengarah kepada pegawai penyiasat, tetapi sehingga sekarang belum mendapat sebarang khabar.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pegawai yang beliau berhubungan tetapi mendakwa sesetengah daripada mereka telah dipindahkan ke cawangan lain selepas beliau membuat laporan.

Malaysiakini masih belum mendapat pengesahan berhubung perkara itu daripada SPRM.

Lim juga mengesahkan artikel terbaru oleh penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung beberapa kertas siasatan mengenai laporannya ke SPRM sebagai benar.

Kertas berjudul 'Laporan Siasatan Awal' (No. 11/2008) dikeluarkan oleh SPRM cawangan Seberang Perai dan ditandatangani oleh seorang pegawai kanan, Mahani Din bertarikh 10Disember, 2008.

Menurut laporan itu, siasatan dipercayai tertumpu kepada bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahazir Khalid (kanan) dan ‘orang tengahnya’ Tan Yak Siew.

Menurut laporan itu lagi, pada 9 September 2008, sebuah mesyuarat diadakan di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Perai, antara Lim and Mahazir.

Mahazir didakwa mengesahkan bahawa beliau akan membayar RM5 juta kepada Lim (untuk berpaling tadah) dan sekiranya beliau menuntut bayaran lebih, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut laporan itu, Lim, yang sekarang ini exco kerajaan negeri Kedah dimaklumkan bahawa beliau akan ditawarkan ‘beberapa projek’ jika menyertai BN.

Sebelum ini, timbul ura-ura bahawa Lim, bersama beberapa ADUN PKR yang lain - Tan Show Kang (Sidam), S Manikumar (Bukit Selambau) - dan ADUN DAP Lee Guan Aik (Kota Darulaman), akan berpaling tadah.

Malaysiakini/-

Pensyarah: Pelantikan Ku Li lebih efektif jejas undi BN

22 Syawal 1431 H
Oleh: Regina Lee

Para penganalisis berpendapat, pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai jentera BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas bergantung kepada peranan yang bakal dimainkan oleh veteran Umno itu.

Seorang pemerhati politik berkata, Tengku Razaleigh yang juga wakil rakyat bagi kawasan parlimen itu akan memberikan kelebihan kepada PAS berdasarkan keadaan semasa.

"(Tengku Razaleigh) lebih efektif dalam menjejaskan undi BN, bukannya menarik lebih banyak undi," katanya pensyarah fakulti ekonomi dan sains polisi UCSI Ong Kian Ming.

Jelasnya, perkara itu dilihat apabila Tengku Razaleigh giat bercakap mengenai isu royalti minyak dan ini membuka peluang kepada serangan oleh PAS kerana BN tidak banyak membuat penjelasan mengenai isu berkenaan.

“Kalau (Razaleigh) bijak, dia boleh (pengaruhi) BN atau Umno supaya bersetuju untuk menyemak semula pendirian mereka tentang isu royalti minyak," katanya lagi.

Bagaimanapun, timbalan presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat perkiraan yang baik dengan melantik Tengku Razaleigh ke jawatan tersebut, katanya.

"Ia juga akan beri sedikit perlindungan kepada Muhyiddin sekiranya BN tewas," katanya lagi.

Bagi penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Mohammad Agus Yusoff pula berkata, 'faktor Ku Li' tetap memainkan peranan dalam pilihan raya kali ini.

“Ia bergantung kepada (ruang) autonomi yang diberikan kepadanya untuk mengetuai (jentera pilihan raya). Kalau hanya 'pengarah kosong', dia masih boleh boikot kalau dia mahu," kata Agus.

Katanya, pilihan raya kali ini bukan saja penentu untuk sokongan Umno di Galas, tapi juga kepada Tengku Razaleigh sebagai wakil parlimen Gua Musang.

"Dia sangat berpengaruh (sebab) itu kan kawasan dia?" katanya dan menambah Tengku Razaleigh kini perlu menjelaskan pendiriannya dalam dasar-dasar kerajaan.

Menurutnya, Tengku Razaleigh mempunyai pandangan berbeza berhubung isu-isu dasar dan pilihan raya kali ini merupakan peluang untuk veteran Umno itu menjelaskan pendiriannya.

Tengku Razaleigh yang masih berada di luar negara setakat ini masih berdiam diri sama ada akan menerima jawatan tersebut walaupun timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan sebaliknya.

Beliau dijangka kembali negara ini pada 9 Oktober depan.

Malaysiakini/-

Warga emas pulang wang 'haram' hanya sandiwara

22 Syawal 1431 H
Oleh: Susan Loone

Tindakan sekumpulan warga emas yang memulangkan semula wang bantuan RM100 setiap seorang kepada kerajaan Pulau Pinang hanyalah satu sandiwara, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Abdul Malik Abul Kassim.

Beliau berkata, ada kemungkinan warga emas yang memulangkan wang ehsan itu tidak mendaftar lagi dalam sistem yang disediakan oleh kerajaan negeri dan mereka mungkin dipengaruhi oleh sesetengah pihak.

"Mungkin ada pihak yang telah mendesak mereka," katanya bagi mengulas tindakan 40 warga emas memulangkan semula wang bantuan daripada kerajaan negeri itu kerana wang itu dikatakan daripada sumber judi lumba kuda.

Isu status wang itu didedahkan oleh sebuah blog yang mendakwa ia dari sumber judi, dan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penerima beragama Islam.

Isu hangat

Abdul Malik berkata, wang itu bukan daripada hasil judi sebaliknya hasil yang diperoleh kerajaan negeri daripada amalan perbelanjaan berhemah sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri.

Pemberian wang ehsan kepada warga emas itu menjadi hangat apabila akhbar arus perdana yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang menggunakan wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda negeri itu untuk disalurkan ke program membasmi kemiskinannya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng bagaimanapun menafikan laporan berkenaan dan berkata wang sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda itu diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Lim berkata Umno cuba meneruskan fitnah dan tohmahan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

“Selepas gagal membuktikan program penghargaan warga emas terbabit dengan hasil judi haram, Umno pula cuba mengalihkan perhatian daripada fitnah mereka dengan menyatakan program rakan anti-kemiskinan (RAK) membasmi miskin tegar datangnya dari sumber judi haram. Bukti Umno adalah derma RM2 juta daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang,” kata Lim.

Menurut beliau, wang derma RM2 juta itu telah disahkan oleh pegawai kewangan negeri, Datuk Farizan Darus bahawa ia telah diasingkan dan dikhususkan kepada orang bukan Islam dan tidaknya kepada orang Islam.

Tidak haram

Mengulas perkara yang sama, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dua hari lalu berkata wang yang diterima daripada bantuan kewangan kerajaan yang hasilnya diperolehi dari sumber perjudian adalah tidak haram.

“Rakyat yang mendapat bantuan kerajaan tersebut tidak haram. Sebabnya mereka bukan berjudi, mereka mendapat bantuan atas kemiskinan mereka.Transaksi itu atas bantuan, bukan atas judi,” katanya.

Menurut Dr Asri, kesalahan ditanggung oleh kerajaan dan syarikat judi.

“Sama dengan mereka yang mendapat gaji dari kerajaan atau penjual yang menjual makanan lalu dibayar dengan wang judi. Wang itu halal kerana dia tidak berjudi tetapi berniaga makanan.”

Malaysiakini/-

PERKOSA - PENDEKAR TAHI MINYAK ATAU SAMSENG KAMPUNG DUSUN?

22 Syawal 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

`PENDEKAR Taik Minyak' Perkosa akan mengikuti seluruh program yang dijalankan oleh Namewee, seorang pemuda yang telah berjaya menggerunkan NGO yang kununnya terlalu tinggi semangat `Melayu-Kelayuannya' itu.

Bayangkan sebuah NGO yang dipimpin oleh raja katak yang kununnya hebat dipuja pula oleh mantan PM Tun Mahathir, punyai `standard' berdepan dengan seorang pemuda bernama `Namewee'? Memalukan. Baca di sini.

Memalukan lagi apabila Namewee pernah mencabar sesiapa sahaja termasuk Perkosa untuk berdebat dengannya berkaitan isu yang dikatakan mencemar kedaulatan negara serta mempunyai unsur-unsur perkauman itu, malangnya seperti biasa Perkosa bukan anak jantan.

Anak jantan bukan bererti pandai menyalak di luar halaman orang. Setakat pandai menyalak, anjing betina kurap pun boleh menyalak.

Sebelum ini pun Perkosa mempamirkan sifat `betina'nya apabila enggan menyahut cabaran YB Nurul Izzah untuk berdebat tentang isu Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan.

Jika dengan YB Nurul Izzah seorang wanita muda pun Perkosa kecut perut, apatah lagi untuk berdepan dengan ayahandanya DS Anwar.

Itulah sebenar wajah Perkosa yang menuduh kununnya Namewee berselindung di sebalik pihak Polis. Siapa yang menjemput Polis datang? Bukan Namewee, tetapi pihak Polis tahu untuk bertanggungjawab.

Siapa pula yang `mengadu' dengan Polis apabila YB Nurul Izzah mencabar Perkosa berdebat? YB Nurul Izzah cabar berdebat, Perkosa pun lintang pukang membuat laporan Polis. Pendekar kah itu? `Pendekar Taik Minyak' atau pun `Samseng Kampung Dusun'? Kesihan Perkosa serendah itu.

Bukan kita mahu menyebut Namewee itu benar, tetapi kita mahu sebut bahawa cara Perkosa itu bukan cara `anak jantan'. Kita tidak tahu bila masa Perkosa akan menjadi `jantan sejati'.

Mungkin selama-lamanya Perkosa akan terus pandai `menyalak' walaupun gigi taringnya tiada.