05 August 2010

Awang Hitam jual emas palsu

ABDUL JALIL (kiri) menunjukkan serbuk emas palsu yang dibeli oleh seorang peniaga pada sidang akhbar di Ampang semalam.

24 Syaaban 1431
Kosmo/-

AMPANG – Seorang peniaga kini hidup dalam keadaan tertekan apabila bukan sahaja ditipu sebanyak RM80,000 oleh satu sindiket warga Afrika yang menjual serbuk emas tiruan malah, turut diburu rakan kongsi yang menuduhnya menipu.

Kejadian berlaku 29 Julai lalu di kawasan tempat letak kereta Waterfront, Ampang di sini apabila peniaga berusia 41 tahun dari Mantin, Negeri Sembilan membayar harga tersebut kepada dua lelaki Afrika terbabit untuk membeli serbuk emas yang disangka tulen.

Difahamkan, mangsa telah terpengaruh apabila ditawarkan oleh sindiket untuk menjual satu kilogram emas tulen berharga RM80,000 yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran iaitu RM125,000 sebulan sebelum itu.

Pada pertemuan pada 29 Jun di lokasi yang sama, suspek telah menguji ketulenan sampel serbuk emas tersebut di hadapan mangsa bagi meyakinkan peniaga itu.

Ketika itu, suspek dipercayai membawa serbuk emas tulen.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, mangsa hanya menyedari telah diperdaya selepas melihat serbuk yang diberi sebaik tiba di rumahnya.

“Mangsa terkejut apabila mendapati serbuk tersebut rapuh berbeza ketika ditunjukkan. Dia kemudian baru teringat mengapa suspek terus melarikan diri dan membuang bungkusan yang mengandungi serbuk itu sebaik mendapat wang ketika bertemu di Ampang Waterfront,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Cina Islam : Saya pernah didatangi seorang rakan karib yang bertanyakan mengenai perkara yang sama apabila dia ditawarkan oleh seseorang untuk masuk syer dalam projek memproses serbuk emas di Kelantan. Jawapan awal yang mudah saya berikan ialah ini adalah sindikit yang ada unsur yang meragukan dan hendaklah dielakkan.

Apa logiknya serbuk emas itu dimasukkan ke dalam botol dan dibawa kesana-sini untuk mencari rakan kongsi diluar Kelantan, sedangkan menurut saya di Kelantan berlambak dengan toke emas yang boleh proses sekiranya benar-benar ada.

Lagipun saya faham sangat kalau sekadar menunjukkan serbuk, sebenarnya banyak keraguan kerana untuk memastikan tulen atau tidak emas hendaklah melalui uji cuba dengan bahan kimia terlebih dahulu.

Alhamdulillah dia dengan nasihat, dan terlepas dari sindiket seperti diatas.

Indonesia Kaji Dasar Pengurangan Nilai Tara Rupiah Indonesia

24 Syaaban 1431H.

Agensi Berita Antara Indonesia melaporkan, Wakil Presiden Indonesia, Boediono semalam menyatakan kerajaan negaranya sedang membuat kajian mengenai dasar pengurangan nilai tara Rupiah Indonesia untuk memudahkan urus niaga harian tanpa menggunakan berjuta-juta Rupiah Indonesia. Penyelidikan tersebut bertujuan untuk mengenal pasti apakah rancangan semasa ini akan menyebabkan inflasi.

Menurut Bank Pusat Indonesia, kajian yang mungkin akan memakan masa selama 10 tahun tersebut cuba mencari penyebab kejayaan dan kegagalan dasar pembaharuan mata wang yang dilaksanakan di beberapa negara dan membuat kesimpulan tentang pengaruh pembaharuan mata wang terhadap inflasi.

Gangguan kepada Blog Cina Islam.

24 Syaaban 1431H.


Kelmarian saya menerina beberapa panggilan talifon dan Email yang melaporkan gangguan yang terdapat kepada blog ini. Kebanyakannya merungut tidak dapat membuka blog ini , terutamanya apabila menekan "read more" bagi membaca artikal secara penuh.

Saya menjangkakan gangguan tersebut tidaklah menyeluruh kerana pengunjung kelmarin yang berjaya membukanya tercatat sehingga jam 1.00 pagi tadi berjumlah 11,662 kliks. Namun begitu dengan segala kekurangan dan sedikit kemahiran IT, saya akan cuba menyeleidiki terus kelemahan yang menyebabkan gangguan itu berlalu.

Bagi yang perihatin dan membuat panggilan dan mengirim email, kami mengucapkan berbanyak terima kasih.

Najib Ambil "Cuti" Mengejut Timbulkan Spekulasi Tarikh PRU-13

24 Syaaban 1431H.
Oleh Dzulkarnain Taib
http://suara-keadilan.com/

SHAH ALAM 4 Ogos - Langkah tergesa-gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti ke luar negara bermula 28 Julai lalu sehingga 10 Ogos depan menimbulkan pelbagai spekulasi andaian menarik.

Desas desus di kalangan pimpinan Umno ialah Najib bercuti ke luar negara kerana mahu berbincang secara sulit bersama pasukan perancang strategi beliau mengenai tarikh sesuai pengumuman pilihan raya umum ke-13 yang diuar-uarkan tahun ini.

Firma komunikasi antarabangsa pro-Zionis Israel, Apco Worldwide dikatakan memainkan peranan besar menasihati Najib bagaimana memenangi PRU-13.

Pun begitu, menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, pemergian Najib secara mendadak untuk "bercuti" menunjukkan Perdana Menteri berada dalam keadaan tertekan.

"Ada beberapa faktor besar yang menyebabkan Najib ke luar negara. Dua faktor yang penting yang amat memeningkan kepala PM ialah kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini telah masuk fasa yang amat kritikal yang mendedahkan segala kepincangan kes ini.

"Penyiasatan skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene oleh pihak berkuasa Perancis juga menjadi faktor utama Najib kini amat tertekan kerana beliau tidak ada bidang kuasa untuk menghalang dan menutup penyiasatan sekiranya kes yang sama diadili di Malaysia," jelas Azan kepada Suara Keadilan.

Beliau berkata skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang yang membabitkan pendakwaan ke atas bekas Presiden MCA dan juga mantan anggita Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik serta isu kejatuhan paling teruk pelaburan langsung asing sejak tempoh 20 tahun menambahkan tekanan kepada Najib.

"Najib cuba tiru stail Dr Mahathir, bila ada sahaja skandal besar yang beliau tidak mampu berdepan atau menjawab kepada persoalan yang bakal ditimbulkan rakyat, dia 'cabut' awal-awal lagi. Beginilah cara pemimpin Umno-BN menyelesaikan masalah negara - tinggalkan negara dalam keadaan terumbang-ambing dan serahkan kepada timbalan untuk menghadapi kemarahan rakyat," kata beliau lagi.

Menurut kenyataan akhbar pejabat Perdana Menteri pada 28 Julai lalu Najib akan bercuti ke luar negara mulai tarikh tersebut hingga 10 Ogos.

Kenyataan itu juga memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, tugas-tugas Perdana Menteri akan dijalankan oleh timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Azan mempertikaikan protokol kerajaan yang tidak digunakan oleh Najib apabila seseorang Perdana Menteri itu ingin mengambil cuti.

"Sekurang-kurangnya Perdana Menteri mesti mengumumkan rancangan cuti beliau enam bulan lebih awal tetapi Najib buat cara yang amat tergesa-gesa. Apa yang beliau nak kejar sehingga membuat keputusan meninggalkan pentadbiran negara dalam keadaan terburu-buru?" tanya Azan.

Bergelar Peguam Tapi 'Speaker Haram' Ganesan Tidak Tahu Undang-undang

24 Syaaban 1431H
Oleh Fazli Othman
http://suara-keadilan.com/

SHAH ALAM 4 Ogos - Tindakan 'Speaker Haram' Dewan Undangan Negeri Perak yang menggantung Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin secara sembrono jelas membuktikan beliau cuma boneka lantikan Umno-Barisan Nasional yang bertindak umpama lembu dicucuk hidung

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Drs Idham Lim, tindakan Ganesan itu membuatnya tidak layak langsung menduduki kerusi mulia Speaker DUN seolah-olah beliau tidak belajar undang-undang walaupun seorang peguam.

"Tindakan Ganesan yang menurut apa sahaja kemahuan ADUN Umno-BN menunjukkan beliau sebenarnya dilantik sebagai pengerusi dan bukan Speaker Dewan.

"Beliau sepatutnya menghadapkan Nizar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan bukannya secara melulu mengenakan tindakan terhadap Nizar yang sekarang ini menjadi Ketua Pembangkang di Dewan yang mulia ini," tegas Idham ketika dihubungi Suara Keadilan.

Katanya, jika seseorang ADUN bangun dan mengemukakan usul terhadap Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang, Speaker sepatutnya membawa hal itu ke jawatankuasa tersebut untuk dibincangkan.

"Saya menganggap beliau sebenarnya gagal melaksanakan tugasnya sebagai Speaker, beliau telah bertindak di luar bidang kuasanya tanpa merujuk kepada sesiapa. Beliau nampaknya tidak faham apa yang dikatakan Peraturan Tetap Mesyuarat menyebabkan beliau dengan sesuka hati melanggar peraturan tersebut," jelas beliau.

Tambah beliau, ini tindakan Ganesan itu mencerminkan perbezaan ketara dalam amalan demokrasi semasa Pakatan Rakyat memerintah apabila Speaker, V Sivakumar pernah menggantung ADUN dan Exco 'haram' Umno-BN hanya selepas merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sebelum membuat sebarang keputusan.

Apa yang lebih mendukacitakan kata Idham, Nizar sebagai Ketua Pembangkang hanya diperuntukan 15 minit untuk membahaskan Rang Undang-undang mengenai perbekalan tambahan RM80 juta dan yang menyedihkan setelah tamat tempoh tersebut, Ganesan bertindak mematikan pembesar suara Nizar menyebabkan beliau terpaksa berucap dalam nada yang kuat.

Sementara itu, persidangan yang berlangsung semalam hanya berjaya mengemuka 7 daripada 127 soalan yang telah dihantar kepada Ganesan.

Nizar pula digantung daripada persidangan Dewan selepas didakwa mengengkari arahan Ganesan supaya duduk.

Selepas pertikaman lidah kira-kira 30 minit, Nizar dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain mengambil keputusan meninggalkan Dewan.

Pengurusan kes Sivakumar cabar SPR 3 Sept

24 Syaaban 1431H.

Permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dari Pakatan Rakyat V Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak, ditetapkan 3 September depan untuk pengurusan kes.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mengadakan pertemuan dengan peguam K T Ho yang mewakili Sivakumar dan enam yang lain dan Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa yang mewakili SPR dan tiga responden lain.

Ditanya mengenai perkembangan kes itu, Munahyza berkata mahkamah menetapkan tarikh tersebut kerana peguam memerlukan masa untuk memfailkan afidavit jawapan.

Pada 22 Oktober tahun lepas, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, YB. Chen Fook Chye (Keranji),YB. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang) dan YB. A. Sivanesan (Sungkai) serta tiga pengundi Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Mereka juga turut memohon writ bersifat 'quo warranto' dikeluarkan kepada ketiga-tiga ADUN itu dengan memerintahkan kesemua mereka memberikan tunjuk sebab bagaimana kesemua mereka masih ADUN kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai wakil rakyat.

Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi DUN atas tiket Parti Keadilan Rakyat manakala Hee atas tiket DAP pada pilihan raya umum 2008.

Mereka kemudiannya meninggalkan parti masing-masing dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional sehingga mendorong kejatuhan kerajaan negeri Rakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Rampasan kuasa pada 6 Febriari 2009 itu menyaksikan bermulanya krisis politik yang berlarutan di Perak sehingga sekarang apabila BN menafikan demokrasi dengan membeli 3wakil rakyat ditiga DUN berkenaan.

2 anggota Unit Amal dibebaskan petang tadi.

23 Syaaban 1431H.


Dua lagi anggota Unit Amal yang ditangkap polis pada program Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Changkat Lada, Ahad lepas telah dibebaskan sekitar jam 5.30 petang, demikian pngesahan yang diberikan oleh Pengarah MTD PAS Kampung Gajah, sdr. Azidin.

Menurutnya lagi keduanya dikehendaki hadir di Mahkamah pada 2 September akan datang.

KONVENSYEN PAS PERAK KE - 15: MEMBANGKITKAN KEKUATAN BAGI MENGHADAPI PRU KE 13

23 Syaaban 1431H.
UST. MOHD MISBAHUL MUNIR MASDUKI

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak (BPPN Pk) akan menganjurkan Konvensyen Kali Ke - 15 dan juga Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS pada hari Jumaat dan Sabtu, 6 - 7 Ogos 2010 ini di Dewan Kutien, Ayer Tawar bagi membuat persediaan seluruh Ahli PAS Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke - 13 nanti.

Majlis Perasmian pada 6 Ogos jam 8.00 malam tersebut akan disempurnakan Naib Presiden PAS Haji Salahuddin Haji Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. Sudah tentu perkara yang akan dipertegaskan oleh Haji Salahuddin adalah berkaitan isu perpaduan Umno- PAS yang menjadian isu kini

Tema bagi kali ini adalah 'Islam adil untuk semua' menjadi pilihan PAS Perak bagi memastikan gerakerja parti disemua peringkat menumpukan tawaran tersebut bagi mendekati pengundi-pengundi. Manakala Ucaptama Pesuruhjaya PAS Perak Haji Abu Bakar Hussien akan merungkai agenda PAS Perak melalui tema bersama itu.

Banyak perkara yang akan disentuh oleh para peserta pada kali ini terutama kerjasama Pakatan Rakyat (PR) di Perak, kekuatan Jentera Pilihanraya PAS Perak, kemelut Perak yang masih tidak selesai dan sokongan rakyat kepada PAS / PR. Seluruh pimpinan peringkat parti yang terdiri daripada Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat termasuk daripada 24 PAS Kawasan seluruh Perak.

Kehadiran peserta konvensyen kali ini dijangka lebih seribu orang berbanding tahun lepas, ini kerana Ketua-ketua Cawangan PAS seluruh Perak akan turut menyertai sebagai perwakilan PAS Kawasan-kawasan. PAS Perak memberi peluang kepada seluruh Ketua Cawangan Perak mengikuti konvensyen dari awal hingga akhir, mereka akan mendengar sendiri ucapan-ucapan penting dari Naib Presiden PAS sebagai perasmi, ucaptama Pesuruhjaya PAS Perak, pembentangan dua kertas kerja dan perbahasan dari para perwakilan.

Fokus utama perbahasan dalam konvensyen ini lebih kepada bagaimana meningkatkan sokongan pengundi kepada PAS dan pembinaan pengaruh PAS dalam masyarakat. Konvensyen akan berakhir dengan Resolusi yang berupa tindakan kerja yang mesti dibuat oleh jentera PAS di semua peringkat. Resolusi tersebut akan turut diikrarkan di penghujung program konvensyen ini.

Bagi pihak PAS Perak mengharapkan semua yang terlibat akan menyumbang kebangkitan PAS / PR bagi menghadapi PRU Ke - 13 nanti. Selain pimpinan PR yang akan bersama di dalam majlis perasmian tersebut kelak.

MOHD MISBAHUL MUNIR MASDUKI
Pengarah Program,
Merangkap Setiausaha,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak

Umno bertahan dengan tentera upahan

23 Syaaban 1431 H
Oleh: Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 3 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan keberadaan Umno sehingga kini adalah kerana 'tentera upahan' yang dibayar untuk mempertahankan parti itu agar kekal berkuasa.

Kenyataan Abdul Hadi ini dibuat dalam sessi sembang dengan beliau di pejabat Harakah semalam ketika negara sedang menyaksikan tindakan keras diambil oleh polis terhadap pelbagai program anjuran pelbagai pihak khasnya Pakatan Rakyat.

Ia dikatakan dibuat berdasarkan arahan agar menyekat semua program Pakatan Rakyat termasuklah majlis memperingati 50 tahun ISA di seluruh negara dan Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak, Changkat Lada, Pasir Salak.

36 telah ditangkap polis di majlis memperingati ISA di seluruh negara termasuk di Kota Bharu manakala 16 di perhimpunan Felcra di Pasir Salak.

"Umno sekarang hidup dengan tentera upahan. Mungkin kenyataan saya ini kasar sedikit tetapi itulah realitinya. Bukan aqidah atau ideologinya yang memenangkan Umno tetapi jentera kerajaan," kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, masyarakat tidak akan boleh ditipu Umno untuk selama-lamanya.

"Apa yang perlu adalah kita sabar dalam perjuangan disertakan dengan kerja kuat. Sejarah pilihan raya khasnya pilihan raya kecil di negara ini membuktikan PAS akan menang di kawasan yang kita kuat dan banyak cawangan," katanya lagi.

Beliau memberikan contoh kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Gantang kerana kerja kuat dan cawangan PAS yang banyak di situ.

"Oleh itu, sebagai persiapan saya menyeru supaya PAS memperbanyakkan cawangan di seluruh negara. Kenapa Kelantan dan Kedah kita menang? Kerana di sana banyak cawangan PAS," kata beliau dalam pertemuan itu.

Abdul Hadi menolak teori yang mengatakan pencapaian PAS akan merosot dalam pilihanraya umum ke 13 selepas berjaya besar dalam pilihan raya umum ke 12 lalu.

"Saya tidak percaya kepada teori sebegini termasuk ramalan sotong. Saya yakin kalau kita kerja keras dan betul strateginya kita akan menang lebih besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mengikut sejarahnya, kejayaan PAS akan turun naik dalam pilihanraya umum di mana pencapaian PAS akan jatuh dalam pilihan raya yang melibatkan persempadanan semula kawasan pilihan raya kerana BN sentiasa menggunakannya untuk kepentingan parti yang memerintah itu.

Dalam pertemuan itu juga Abdul Hadi menyeru umat Islam di negara ini memberikan peluang kepada PAS pula untuk mentadbir negara bagi menggantikan Umno yang sudah diberi peluang lebih 50 tahun.

"Melayu dan Islam tetap menjadi teras politik di negara ini. Sudah lebih 50 tahun Umno diberi peluang untuk mentadbir dengan konsep ketuanan Melayu berlandaskan sekularisme barat dan Islam hanya hadir tanpa kuasa.

"Saya rasa sudah tiba masanya Melayu kembali kepada Islam dan memilih PAS untuk menggantikan Umno bagi mentadbir negara ini," kata Abdul Hadi.

Beliau juga berkata, kerajaan BN sekarang sengaja memberikan subsidi kepada rakyat dalam keadaan yang sangat sedikit.

"Subsidi ini sekadar untuk membolehkan rakyat hidup tetapi rakyat tidak boleh berlari. Ia sengaja dibuat untuk mengawal rakyat," kata beliau dalam pertemuan itu.

Harakahdaily/-

BAJET TAMBAHAN 80 JUTA: HAK SUARA RAKYAT DI NAFIKAN

23 Syaaban 1431 H

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat kesal akan fungsi dan kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang semakin tidak berperanan dengan baik kerana sanggup mengambil tindakan terdesak untuk meluluskan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan (Bajet Tambahan) RM 80 juta yang jelas menafikan hak wakil rakyat untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

DPPN Pk merasakan suara rakyat sudah tidak mendapat layanan sewajarnya apabila persoalan untuk mendapatkan penjelasan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara terang telah dinafikan.

Penjelasan Bajet Tambahan tersebut perlu kerana dengan lulusnya Bajet tersebut akan meningkatkan defisit kewangan kerajaan negeri yang juga merupakan tanggungan rakyat. Mengapa perlu takut membahaskan secara ilmiah jika benar Bajet tersebut demi rakyat?

Justeru, DPPN Pk merasakan bahawa Barisan Nasional (BN) terdesak untuk meluluskan Bajet tersebut demi kekuasaan mereka semata-mata dan bukannya untuk pembangunan rakyat seperti yang didakwa.

Ini jelas dari tempoh persidangan yang begitu singkat dengan hanya menumpukan kepada kelulusan bajet tambahan semata-mata sedangkan masih terlalu banyak isu-isu permasalahan rakyat yang sepatutnya mendapat perhatian DUN. Rakyat boleh menilai sendiri fungsi DUN yang semakin hari semakin gelap.

Rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia sekali lagi dapat melihat satu adegan hitam terkini dari siri ‘kekartunan’ sidang DUN Perak yang sehingga kini masih belum ada kesudahan yang telus.

SIDANG DUN PERAK: GANESAN LANGGAR PERATURAN

23 Syaaban 1431 H

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 1 April yang lalu Datuk R Ganesan yang mendakwa sebagai ‘Speaker’ tidak berkemampuan untuk menjalankan tugas kerana tidak memahami bidang tugas sebagai seorang Speaker dan juga kuasa yang ada kepada seorang Speaker.

Pada hari ini juga Datuk Ganesan tidak berfungsi sebagai seorang pengerusi yang menjalankan tugas yang sepatutnya dan telah menyalah gunakan kuasa yang ada. Salah guna kuasa tersebut sepatutnya di tegur oleh ‘orang lama’ di dalam DUN iaitu Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali yang juga bekas Menteri Besar Negeri Perak namun ianya tidak berlaku.

Janji Datuk Ganesan untuk mengambil tindakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang di katakan tidak tertib atau melanggar peraturan semasa sidang DUN yang lalu langsung tidak diambil tindakan sehingga kini.

Hari ini juga Datuk Ganesan sekali lagi tidak memahami peraturan DUN dengan mengambil tindakan yang bukan dalam bidang kuasanya sebagai seorang 'Speaker'.

Jika terdapat salah laku yang di laporkan, semua ADUN terlebih dahulu perlu di hadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang di ketuai oleh Speaker DUN tetapi ini juga tidak berlaku dan Ini menggambarkan bahawa Datuk Ganesan tidak layak sebagai seorang yang boleh menggunakan kuasanya dengan baik tetapi menyalah gunakan kuasa yang ada.

DPPN Pk meminta rakyat menilai sendiri perilaku yang di tunjukkan oleh Datuk Ganesan yang memalukan rakyat Negeri Perak yang memahami akan keperluan dan fungsi DUN yang sebenar.

AMARAN - JANGAN JADI PEMIMPIN CELAKA !!

23 Syaaban 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA anda baca laporan ini, apa yang mahu anda katakan? CELAKA. Memang celaka bagi mana-mana pemimpin samada dari PAS, PKR mahu pun DAP yang bercadang mahu bersatu dengan Umno, apatah lagi mahu mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

Memang benar jangkaan kita selama ini, Umno tidak akan berubah kerana Umno wujud bukan untuk melakukan keadilan kepada rakyat jauh sekali untuk menegakkan Islam seperti yang PAS impikan.

Umno menyalak ke hulu ke hilir kununnya membela nasib rakyat. Umno bertopengkan Apco kununnya untuk memperjuangkan Islam. Di dalam keadaan Umno sekarang nyawa-nyawa ikan, mereka masih sombong dan angkuh menzalimi rakyat.

Bayangkan jika mereka sudah kembali kuat dan gagah. Adakah terliur lagi pemimpin kita untuk berjabat tangan dengan Umno? Jika ada, memang itulah pemimpin celaka sebenarnya.

Amaran kita berikan kepada mana-mana pemimpin agar menjauhkan diri dari Umno. Umno tidak layak untuk kita jadikan sahabat. Biarlah beribu Mufti mengeluarkan `fatwa' wajib bersatu dengan Umno, persetankan.

Biar Mufti itu memberi hukum di atas apa yang berlaku kepada rakyat yang majoritinya Melayu Islam yang dikasari dan dizalimi sewaktu program Pembangkang baru-baru ini.

Mana Mufti yang selama ini menjerit melolong minta bersatu? Bisu seribu bahasa melihat kezaliman di depan mata?

Petua menjaga kesihatan

23 Syaaban 1431 H
Oleh: Li Fook Gao

Apakah petua penjagaan kesihatan Naib Presiden sekalian dalam menghadapi jadual yang begitu sibuk dan ketat sekali?

TITM: Petua penjagaan kesihatan terbaik ialah mengurangkan makan, cukup rehat dan senyum pada masalah, nescaya masalah akan senyum pada anda. Tapi yang payah apabila setiap program dihidangkan makanan yang heavy (berat), terkadang ceramah satu, makan tiga kali.

Perkara yang utama mesti ada waktu yang kita harus rehat, memenuhi hobi masiung-masing. Saya mempunyai hobi memancing, ke hutan dan ke laut.

Nikmat ketenangan bilamana berada ditepi sungai yang jernih di tengah hutan, dengan air yang jernih tidak disentuh oleh pencemaran; dan jangan lupa ekspedisi memburu kelah dan sebarau.Sesekali bawalah keluarga berkelah sama.

SA: Saya banyak menghabiskan masa lapang dengan membaca dan kadang-kadang mengambil masa untuk bersenam tetapi saya masih tak puas hati lagi dengan masa bersenam saya.

Dari segi pemakanan, saya banyak mengambil pendekatan untuk memakan lebih banyak sayur-sayuran, ulam-ulaman, kurangkan pengambilan nasi dan cuba untuk berpuasa sebanyak mungkin yang boleh.

Dari segi minuman, kalau minum di luar, saya akan pastikan saya order minuman yang kurang manis dan kurang gula.

Dalam kenduri-kenduri yang dijemput hadir, dari segi ilmu siasah, walau bagaimanapun kena makan sedikit, jangan tidak makan, kena makan tapi dalam jumlah yang sedikit supaya tidak menyebabkan kita terlampau makan dan kenyang.

MO: Petua penjagaan kesihatan mesti mempunyai disiplin yang tinggi, peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi. Ini yang susah untuk saya lakukan - contohnya bersenam, bersukan dan joging susah nak buat kerana tiada disiplin, kadang-kala saya rajin berjoging, apabila malas tak boleh nak kata apa.

Begitu juga dengan permakanan kadang-kadang boleh kurang, tapi kerapnya pantang jumpa. Tambah pula budaya politik Melayu yang sangat mengharap peminmpin kena penuhi semua jemputan kenduri - ini yang sukar bagi kita mendsiplinkan diri dalam persoalan permakanan dan penjagaan kesihatan.

Yang terbaik kalau boleh disusuli dengan puasa sunat - suatu yang sangat baik atau pun amalan permakanan vegetarian. Dalam hal bersenam atau joging untuk saya susah kerana pergerakan masa saya yang tak menentu, pagi petang dalam perjalanan.

Tapi saya cuba atasi dengan permakanan tambahan herba,cuka tamar madu lebah dan sebagainya.

Stres boleh dielak dengan pemikiran positif. Cabaran kesusahan mesti dilihat secara positif. Kalau kita berjaya atasi itu kemenangan. Keletihan bekerja mesti dilihat sebaliknya iaitu ganjatan pahala.

Harakahdaily/-

SRJK (T) terima sumbangan kerajaan negeri

23 Syaaban 1431 H
Oleh: Kamarina

KLANG, 3 Ogos: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyampaikan sumbangan bagi pihak kerajaan negeri kepada SRJK (Tamil) Tepi Sungai, di sini pagi ini.

Sumbangan yang berjumlah RM18,600 itu dalam bentuk dua buah pendingin hawa, sebuah mesin fotostat dan lapan buah meja makan diberikan rentetan lawatan beliau ke sekolah itu pada Jun lalu.

Penyerahan peralatan sekolah itu diterima oleh Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, P Vijayaletchumi dan Yang Dipertua PIBG, R Chandran. Turut sama dalam majlis tersebut ialah pegawai Pejabat Dun Selat Klang, Ketua Kampung Sungai Udang dan Ahli Majlis MPK, Deepakaran.

Dr Halimah juga meninjau sekitar kawasan sekolah bagi mengetahui masalah yang dihadapi di samping bermesra dengan para pelajar.

Ketika berucap pada majlis penyeraha itu, beliau yang juga Adun Selat Klang menyeru hadirin supaya mengutamakan ilmu dan melibatkan diri menulis dalam buku mega gerakan menulis perdana Selangor bagaimana menjadikan negeri ini sebagai negeri yang maju, sejahtera, berkebajikan dan idaman.

Harakahdaily/->

Pemuda bimbang polis pertahan sisa kuasa Umno

23 Syaaban 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

KOTA BHARU, 3 Ogos: Tindakan tidak profesional polis menahan dua wartawan yang bertugas pada program membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohammad ke-IV malam semalam dipertikai Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak polis menahan wartawan yang sedang menjalankan tugas.

Katanya, tindakan polis menahan petugas berkenaan sehingga awal pagi jelas sekali menunjukkan pasukan keselamatan itu seolah-olah diperalat Umno dan Barisan Nasional bagi kepentingan politik mereka.

”Tindakan menahan petugas media menyebabkan pihak polis tidak lagi dihormati masyarakat,” katanya di sini.

Malam semalam dua wartawan akhbar Salmah Mat Hussain dari Harakah dan Rizal Tahir (harakahdaily) ditahan ketika sedang bertugas membuat liputan perhimpunan membantah ISA.

Lebih mengejutkan lagi apabila anak mereka berusia 15 tahun yang berada dalam kereta juga ditahan. Mereka dibawa ke ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan.

Mereka ditahan ketika berjalan ke kereta untuk pulang selepas polis meminta orang ramai yang hadir bersurai.

Orang ramai memberitahu mereka melihat sebuah kenderaan polis cuba menghalang kereta wartawan terbabit setelah diletak di hadapan astaka stadium.

Kereta mereka digeledah bagi mencari risalah berkaitan perhimpunan membantah ISA.Mereka kemudian dibebaskan kira-kira jam 2.45 pagi dengan jaminan polis setelah disoal siasat hampir lima jam.

Semalam Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan polis menahan wartawan yang sedang bertugas.

Seorang pengiat seni yang enggan mendedahkan identitinya bimbang penggunaan pasukan polis secara berleluasa akan menghakis demokrasi yang dipertahan di negara ini.

Perhimpunan membantah ISA yang diadakan di seluruh negara malam semalam berdepan dengan tindakan keras polis dengan menahan pencinta keadilan.

Ahmad Fadhli berharap pihak polis lebih mengutamakan kepentingan awam bagi menjaga keselamatan rakyat dan bukan bertindak menjaga sisa-sisa kuasa dimiliki Umno.

Harakahdaily/-

405 pemegang kad kredit diisytihar bankrap

23 Syaaban 1431 H

Seramai 405 orang pemegang kad kredit diisytiharkan bankrap sepanjang tahun lalu berbanding pemegang kad seramai 3.2 juta orang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim berkata, bilangan mereka yang bankrap ini menurun berbanding 1,656 orang pada 2006.Katanya, secara purata pemegang kad kredit yang diisytiharkan bankrap hanya merangkumi 0.04 peratus daripada jumlah pemegang kad kredit utama pada lima tahun yang lalu.

"Setakat akhir 2009, sejumlah 10.8 juta kad kredit telah dikeluarkan manakala bilangan orang yang memegang kad kredit adalah sebanyak 3.2 juta orang,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd Nor yang ingin tahu bilangan keseluruhan pemegang kad kredit, pemegang kad kredit baru, pemegang kad kredit bermasalah dan bilangan mereka yang diisytiharkan bankrap disebabkan oleh masalah kad kredit untuk tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009.

Katanya tahap pinjaman tidak berbayar (NPL) kad kredit pula masih terkawal di mana pada akhir tahun lalu, NPL telah menurun kepada dua peratus berbanding 4.3 peratus pada akhir 2005.

Malaysiakini/-

TPM akui rakyat tak faham 1Malaysia

23 Syaaban 1431 H

Langkah untuk memberi penjelasan mengenai konsep 1Malaysia memang wajar dilakukan dan sedang dijalankan oleh kerajaan untuk memberi penerangan secara terperinci kepada rakyat mengenainya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak menjangkakan rakyat akan dapat memahami konsep itu selepas setahun ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pentadbirannya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat rakyat yang sudah mula dapat memahaminya."Kerajaan memberi penjelasan, mengadakan pelbagai program untuk rakyat agar lebih memahami tentang apa yang dimaksudkan tentang gagasan 1Malaysia.

"Kita jangka mungkin dalam satu tempoh akan datang, semua orang akan dapat memahami ertinya yang sebenar, tidak ada salah tafsiran tentang apa yang dimaksudkan gagasan 1Malaysia," katanya kepada selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Dr Mahathir semalam yang mahu kerajaan menjalankan program penerangan secara menyeluruh bagi memperjelaskan konsep 1Malaysia secara terperinci kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi mengelak berlakunya kekeliruan.

Muhyiddin berkata, wujud kecenderungan tafsiran mengenai konsep itu dibuat mengikut pandangan kelompok tertentu berbanding yang dijelaskan oleh Perdana Menteri.

"Perdana Menteri menjelaskan gagasan ini adalah gagasan yang berteraskan perlembagaan negara. Itu yang paling kukuh dan apa pun tafsirannya, ia tidak seharusnya lari daripada apa yang terkandung dan semangat yang ada dalam perlembagaan.

"Baik dalam soal hak Bumiputera, bahasa, budaya, kedudukan raja dan agama. Apapun ia tidak seharusnya lari daripada itu," katanya.

Beliau berkata, yang pastinya gagasan 1Malaysia adalah satu perkara yang dinamik, ia bukan statik dan pasti ada pihak yang cuba mentafsirkan mengikut kehendak masing-masing.

Malaysiakini/-

Orang mati pun disenaraikan penerima zakat

23 Syaaban 1431 H

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) kesal kerana berlaku kepincangan dalam pengagihan bantuan zakat Hari Raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata terdapat orang yang tidak layak seperti golongan muda, sihat dan yang sudah meninggal dunia turut disenarai sebagai penerima zakat.

Beliau berkata pemilihan penerima bantuan raya tahun ini dibuat oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Jawatankuasa Masjid dan Amil.

"Kita harap selepas ini senarai penerima yang layak disemak terlebih dahulu sebelum diserah kepada Maidam, untuk memastikan hanya yang layak sahaja menerima bantuan zakat,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu hari ini.

Pada tahun ini seramai 30,846 penerima layak menerima bantuan dari Maidam yang melibatkan peruntukan RM10.5 juta.Kadar bantuan adalah RM300 seorang berbanding RM250tahun lalu.

Wan Harujan berkata Daerah Kuala Terengganu mencatat bilangan penerima tertinggi iaitu 9,369 orang, Besut (5,400), Marang (5,256), Kemaman (3,661), Dungun (3,435), Hulu Terengganu (2,735) dan Setiu (990).Pengagihan bantuan bermula semalam hingga 10 Ogos.

Malaysiakini/-

Suhakam, NGO kesal protes anti-ISA dihalang

23 Syaaban 1431 H

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan anti-ISA di Petaling Jaya kelmarin kerana tindakan itu melanggar hak orang awam untuk berhimpun secara aman.

"Pemerhatian Suhakam mendapati bahawa hak untuk berhimpun telah dinafikan apabila pihak berkuasa menghentikan perhimpunan itu dan menyuraikan orang ramai dengan tergesa-gesa," kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam.

"Amaran yang sebaiknya dan masa yagn cukup tidak diberikan oleh pihak berkuasa, yang menyebabkan 22 lelaki dan lapan wanita ditahan kerana disyaki menjadi peserta acara nyalan lilin."

Sempena 50 tahun ISA diperkenalkan, aktivis NGO dan pembangkang berkumpul di pelbagai tempat bagi menyalakan lilin tanda bantahan terhadap akta kontroversiti itu.

Tindakan itu menyebabkan polis menahan 30 orang di Petaling Jaya, empat di Pulau Pinang dan dua di Kelantan atas alasan terlibat dalam perhimpunan tanpa permit.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hasmy mengingatkan polis terhadap cadangan yang dibuat hasil daripada pendengaran awam kes perhimpunan di lebuh raya Kesas dan KLCC - atau dikenali sebagai 'Bloody Sunday' (kiri) - sebelum ini.

"Suhakam mencadangkan dalam suatu keadaan apabila polis perlu mengawal atau menyuraikan orang ramai, waktu yang cukup dan cara yang tidak ganas hendaklah digunapakai," katanya sambil mendakwa Suhakam memerhatikan secara langsung demonstrasi di Petaling Jaya pada malam minggu sebelum ini.

NGO: Bongkar muka munafik

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa hak orang ramai untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Sementara itu beberapa kumpulan NGO hari ini turut mengecam tindakan polis membuat tangkapan "besar-besaran" dengan mendesak Menteri Dalam Negeri Tan Sri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan.

Tiga badan itu - Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) dan NGO pendidikan Pusat Pembangunan LLG - mendakwa Hishammuddin 'melanggar' janjinya pada Jun lalu bahawa pindaan ISA akan menjamin hak berhimpun.

"Tetetapi kami berpendapat, tangkapan besar-besaran (pada) 1 Ogos telah bercanggah dengan janji kerajaan dalam pemindahan (pindaan) ISA, membongkarkan muka munafik kerajaan yang mengabaikan hak-hak sivil rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, Pemuda PKR Pulau Pinang pula menyifatkan justifikasi polis bagi menghalang perhimpunan itu dengan mengatakan sebagarai ‘haram' merupakan tindakan yang cukup simplistik.
"Pihak polis barangkali buat-buat lupa terhadap pengisytiharan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini telah menyediakan Speakers Corner khas untuk rakyat menyatakan sebarang ekspresi diri terhadap apa jua isu semasa yang berlaku," kata setiausahanya Syed mikael Rizal Aidid.

"Penganjur juga telah menuruti arahan kerajaan negeri untuk tidak menggunakan sebarang pembesar suara.

"Berdasarkan keadaan ini, pihak polis sewajarnya menghormati perhimpunan dan hak rakyat ini, dan bukannya menimbulkan lagi suasana tegang.

Malaysiakini/-

PBT S'gor haramkan pusat hiburan ambil pekerja Islam

23 Syaaban 1431 H

Kira-kira dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, sudah ada pihak berkuasa tempatan (PBT) tertentu di negeri itu yang mengharamkan pemilik premis hiburan daripada mengambil pekerja beragama Islam, dakwa PAS negeri.

Ketua penerangannya Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, tindakan itu ekoran cadangan penambahbaikan yang diperkenalkan oleh wakil PAS dalam PBT.

"Malahan dalam tempoh singkat pemerintahan kerajaan Pakatan ini telah ada PBT di Selangor yang mengharamkan pemilik-pemilik lesen premis seumpama ini dari menggaji atau mengambil sebagai pekerja dari kalangan penganut bergama Islam.

Tambahnya, PAS Selangor peka dan sentiasa memantau serta memberi perhatian agar penguatkuasaan agensi negeri, termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditingkatkan sebagai usaha "amar makruf nahi mungkar" (menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran).

Beliau menjawab cabaran timbalan pengerusi Umno negeri Datuk Seri Noh Omar hari ini supaya PAS Selangor mendesak kerajaan Pakatan memastikan pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu ditutup sepanjang Ramadan.

Noh (kanan) dilaporkan berkata tindakan itu perlu dilaksanakan oleh kepimpinan Pas yang diterajui Pesuruhjaya Pas Negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, sekiranya parti berkenaan betul-betul ikhlas dalam perjuangan Islamnya.

Katanya, tindakan itu juka dapat membuktikan PAS tidak berada bawah telunjuk parti komponen lain, khususnya DAP.

Dalam satu kenyataan hari ini, Roslan berkata kerja-kerja "amar makruf nahi mungkar" yang diusahakan oleh PAS melalui Pakatan terbukti lebih membawa makna berbanding dengan pentadbiran yang terdahulu.

Justeru, Roslan berkata Noh tidak perlu membuang masa melontarkan cabaran agar ditutup pusat hiburan dan rumah urut di Selangor sepanjang Ramadhan "kerana pusat maksiat ini sememangnya tidak wajar dikunjungi oleh umat Islam sepanjang masa."

"Yang anehnya tiada pula usaha yang sama dibuat semasa BN diterajui Umno memerintah negeri Selangor sebelum ini," bidasnya.

"Sesungguhnya apa yang penting adalah seluruh umat Islam di negeri ini dididik dan faham bahawa sebagai seorang Muslim mereka wajib menjauhkan diri dari sebarang aktiviti dan kerja-kerja mungkar.

"PAS melalui kerajaan negeri akan memastikan yang aktiviti penguatkuasaan terus dilaksanakan sehingga maksiat dapat dibendung di negeri ini," katanya.

Malaysiakini/-

Hukum bela anjing

23 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

من اتخذ كلبا إلا كلب ماشية أو صيد أو زرع انتقص من أجره كل يوم قيراط
Maksudnya: “Sesiapa yang memelihara anjing akan berkurangan pahalanya dua qirat pada setiap hari melainkan anjing menjaga binatang ternakan, anjing buruan dan anjing menjaga tanaman.” (Hr Muslim dan Nasaie - sahih)

Qirat adalah kadar yang diketahui disisi Allah (Imam Nawawi)

Memelihara Anjing

Imam Nawawi berkata:Mazhab kami (syafie) berpendapat haram memelihara anjing tanpa ada keperluan dan harus memelihara untuk tujuan perburuan, menjaga tanaman dan menjaga binatang ternakan. (Syarh sahih muslim)

Ulama maliki berpendapat:“Makruh memeliharanya dgn tujuan selain dari menjaga tanaman, menjaga binatang ternakan dan berburu.”

Sebahagian ulama Maliki mengatakan harus.Pelihara untuk jaga rumah dan tujuan lain (selain 3 tujuan yg disebut dlm hadis)

Imam Nawawi berkata:Pendapat yg lebih kuat الأصح menyatakan harus memelihara anjing untuk menjaga rumah-rumah, jalan-jalan dan sebagainya kerana diqiaskan dgn 3 tujuan yang dibenarkan Nabi saw. Ini berdasarkan illat (sebab) pengharusan yang difahami dari hadis. (Syarh Sahih Muslim)

Imam Abdul Bar berkata:“Termasuk dalam berburu dan sebagainya yang mengharuskan membela anjing adalah membelanya untuk mendapat manfaat dan menghindari kemudaratan. Ini diambil dari qias. Makruh membelanya hanya kerna membela tanpa keperluan. “ (Fathul Bari)

Ibnu Quddamah (hambali) berkata:Haram membela anjing untuk menjaga rumah kerana hadis yang lepas.”

Imam Nawawi juga berkata:“Pendapat yang أصح dalam mazhab Syafie adalah harus memelihara anak anjing dengan tujuan untuk menggunakannya bagi tujuan yang diharuskan apabila ia besar.”

Kesimpulan: Ini termasuk dalam perkara khilaf. Mazhab syafie membenarkannya untuk tujuan keperluan seperti berburu, menjaga rumah dan sebagainya dan haram membelanya saja-saja.

Hukum wanita memakai purdah

23 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Pendapat pertama:

Ulama terdahulu dikalangan mazhab Hanafi, mazhab Maliki dan mazhab Syafie dalam pendapat yang lemah disisi mereka telah berpendapat bahawa wanita boleh membuka muka dan tapak tangannya. Had muka adalah dari tempat tumbuh rambut (kebiasaannya) sehingga dibawah dagu dari segi panjang. Dari segi lebar adalah diantara dua cuping telinga.

Ini juga pendapat sebahagian sahabat dikalangan Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan sebahagian tabi’ien seumpama Sa’id bin Jubair dan ‘Ata.Kata-kata ulama tafsir yang menyokong pendapat ini,Dalam mentafsirkan ayat 31 surah an-Nur, Imam at-Tobari telah berkata:

“Pendapat yang paling benar ialah pendapat yang mengatakan bahawa perhiasan wanita yang zahir yang boleh ditunjukkan ialah muka dan tapak tangan. Ia termasuklah celak, cincin, gelang dan inai.

Imam al-Jassas dalam mazhab Hanafi telah berkata:Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Mujahid, ‘Ata yang mengatakan maksud ayat tersebut (ayat 31 surah an-Nur) adalah sesungguhnya muka dan tapak tangan, inai dan celak termasuk dalam perhiasan zahir yang boleh ditunjukkan.

Imam Abu Bakar bin al-Arabi dari mazhab Maliki telah berkata ketika mentafsirkan ayat yang sama:“Perhiasan zahir yang dibenarkan untuk ditunjuk ada dua bahagian. Perhiasan zahir yang asal dan yang dibuat. Yang asal adalah mukanya yang asal bagi kecantikan dan keelokan semula jadi. Perhiasan yang dibuat adalah apa yang cuba dilakukan wanita untuk mengelokkan kejadiannya seperti pakaian, barang kemas , celak dan inai.

Dalam ayat yang sama, ibnu kathir dari mazhab Syafie menyatakan:“Berkemungkinan Ibnu Abbas dan orang yang mengikutinya telah mentafsirkan ayat “Melainkan perhiasan yang zahir (boleh ditunjukkan).” Adalah muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat yang masyhur menurut jumhur ulama.

Kata-kata ulama fekah yang menyokong pendapat ini.

Al-Qaduri dari mazhab Hanafi telah berkata:“Dan haram seorang lelaki memandang perempuan yang bukan mahram melainkan muka dan tapak tangan.”

Ad-Dirdiri dari mazhab Maliki dari mazhab Maliki telah berkata:“Aurat perempuan yang merdeka bersama lelaki yang bukan mahram adalah semua melainkan muka dan tapak tangan.”

Imam at-Tohawi dari mazhab Hanafi berkata:“Ditegah wanita muda mendedahkan muka kerana ditakuti fitnah, bukan kerana ianya aurat.”

Syed Muhammad Zaki Ibrahim berkata:“Menutup muka dengan niqab yang menutup semua muka adalah perkara yang bukan wajib dan bukan sunat yang kuat tetapi ia adalah hanya perasaan dan emosi peribadi sahaja.”

Pendapat kedua:Haram mendedahkan muka dan tapak tangan. Ini adalah pendapat mazhab Hambali dan sebahagian mazhab Syafie.

Syeikh Mansur bin Yunus al-Bahuti berkata:“Wanita yang merdeka seluruh tubuhnya adalah aurat didalam solat sehinggalah kuku dan rambutnya. Ini berdasarkan sabda Nabi saw “Wanita adalah aurat” Hr Tirmizi.”

Syeikh Sulaiman al-Jamal dari mazhab syafie berkata:“Aurat wanita dihadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan.”

Menutup muka kerana timbulnya fitnah.Para ulama empat mazhab bersepakat bahwa wajib wanita menutup mukanya kerana takut fitnah dan berlakunya keburukan.

Imam Kauthari ra berkata:“Pendapat ulama yang mengharuskan menunjukkan muka adalah sekiranya tidak timbulnya fitnah.”

Kesimpulan: Ini adalah perkara yang khilaf dikalangan ulama. Kita hendaklah terbuka dalam masalah khilaf yang kuat dikalangan ulama.

hukum menanam rambut (hair Transplant)

23 Syaaban 1431 H
Oleh: AKHISALMAN

Pandangan Ulama

Ulama masa kini telah berselisih pendapat berkenaan dgn hukum menanam rambut kepada dua pendapat:

PENDAPAT PERTAMA: MENGHARUSKAN

Ini adalah pendapat kebanyakan ulama masa kini yang terdiri Prof Dr Ali Muhyiddin al-Qarahdagi ketua Jabatan Fekah dan Usul Fekah Universiti Qatar, Dr Muhammad Uthman Syaibir, Dr Muhammad as-Syed Dusuqi di www.islamiconline.net , Dr Muhammad as-Sartawi, Dr Muhammad al-Hajji al-Kurdi www.islamic-fatwa.net dan ulama-ulama yang lain.

PENDAPAT KEDUA: MENGHARAMKAN

Diantara ulama yang mengegeluarkan fatwa ini adalah Syeikh Abdur Rahman Abdul Khaliq dan Dr Yusuf al-Ahmad.

DALIL PENDAPAT PENDAPAT YANG MENGHARUSKAN.

1. Rasulullah saw bersabda:

إن ثلاثة في بني إسرائيل أبرص وأقرع وأعمى ، فأراد الله أن يبتليهم ، فبعث ملكا ... ، فأتى الأقرع فقال : أي شيء أحب إليك؟ قال : شعر حسن ، ويذهب عني هذا الذي قذرني الناس ، قال : فمسحه ، فذهب عنه قال : وأعطي شعرا حسنا.
Maksudnya: “Sesungguhnya 3 orang dikalangan bani Israel yang tediri dari sisopak, sibotak dan sibuta. Allah hendak menguji mereka. Lalu Dia mengutuskan satu malaikat …. (diringkaskan) … Malaikat tadi bertanya “Apa yang paling engkau sukai?” Sibotak menjawab “Rambut yang cantik dan hilang botak yang menyebabkan manusia memandang jijik kepada ku.” Lalu malaikat menyapu kepalanya, lalu hilang botak pada kepalanya dan diberikan rambut yang cantik…”(Hr Bukhari dan Muslim – sahih)

2. Sesungguhnya menanam rambut adalah satu cara untuk mengubat botak. Botak adalah perkara yang mengaibkan. Berubat adalah perkara yang dituntut oleh Syara’ seperti hadis berikut:

عباد الله تداووا فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء غير داء واحد، قالوا وما هو يا رسول الله ، قال الهرم
Maksudnya: “Hai hamba Allah berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan Allah meletak bersamanya penawar melainkan satu penyakit . Para sahabat bertanya “Apa dia hai Rasulullah?” Baginda menjawab “Tua”(Hr Tirmizi, Abu Daud dan Bukhari di adabul mufrad)

DALIL PENDAPAT YANG MENGHARAMKAN

Mereka mengatakan menanam rambut adalah termasuk daripada menyambung rambut yang diharamkan. Menanam rambut adalah diharamkan berdasarkan hadis berikut:

لعن الله الواصلة والمستوصلة
Maksudnya: “Allah melaknat tukang penyambung rambut dan orang yang menyambung rambutnya.” (Hr Bukhari dan Muslim – sahih)

Kesimpulannya: Kebanyakan ulama masa kini mengharuskan untuk menanam rambut bagi orang yang mengalami masalah rambut.