25 July 2010

Harussani terus berselindung ? dialah yang kena umumkan siapa pemimpin PAS yang jumpa dia?

12 Syaaban 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim.
KENYATAAN MEDIA, 24 July 2010.

Berhubung dengan kenyataan Tan Sri Harussani dalan akhbar Sinar Harian edisi Jumaat, 23 July 2010 dengan judul "Siapa pemimpin PAS itu, biar saya sahaja yang tahu", saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :

1. Harussani nampaknya bertegas tidak akan mendedahkan identiti pemimpin PAS yang menemuinya yang didakwanya membincangkan penyatuan orang Melayu. Saya melihat dia terus menyembunyikan sesuatu yang telah diketahui umum termasuk diri saya sendiri dan itulah yang beliau sebutkan dalam pertemuan dengan pelajar Malaysia di Adelaide, yang dilakukan di Islamic Dakwah Centre of South Australia (IDCSA), pada 7.00pm, 9 Jun 2010, dalam kuliah khas TSHZ yang bertajuk “Perpecahan Ummah dan Peranan Kita”. Harussani dalam sembang-sembang dengan pelajar Malaysia dalam lawatan itu dengan jelas menyebut siapakah orang PAS yang bertemu dengannya.

2. Saya sangat hairan dengan Harussani yang menunjukkan sikapnya baiknya yang beria-ia dengan pendirian yang disifatkannya demi untuk menjaga hubungan baik dan amanah yang diberikan kepadanya sehingga bermati-matian menyembunyikan siapakah pemimpin itu sedangkan didedahkan kepada pelajar Malaysia semasa di Australia. Adakah amanah yang beliau maksudkan hanya di Malaysia dan diluar negara di boleh mengkhianati amanah itu. Hukum mana pula yang dia pakai ? Harus atau Haram ?

3. Selain itu bila ditanya mengenai kenyataan saya bahawa tujuan sebenar pertemuan dia dengan individu terbabit adalah membincangkan soal perniagaan dan bukannya penyatuan Melayu beliau mengatakan " kalau Khalil kata saya bohong tentang tujuan sebenar perjumpaan itu, beritahu saya siapa pemimpin PAS yang Khalil maksudkan, Ramai orang berjumpa saya".

Dengan jelas sekali lagi Harussani melepaskan tanggung jawabnya dengan berdolak dalih. Saya cuma berhasrat untuk menegaskan sekali lagi bahawa tujuan pertemuan individu terbabit adalah untuk tujuan perniagaan dan tidak sama sekali untuk penyatuan Melayu. Bukan hasrat saya untuk mendedahkan nama terbabit.

Tambahan pula apa manfaatnya penyatuan assobiayah Melayu yang langsung tidak ada kaitan dengan saya sebagai seorang bukan Melayu.

4. Kerana itu kalau dia mendakwa hanya berkerja dan menjalankan tanggung jawab sebagai seorang Islam, kenapakah dia beria-ia sangat untuk penyatuan Melayu, bukannya penyatuan Islam ?

5. Dengan itu saya mendesak Harussani untuk menunjukkan kematangannya dengan tidak berolak-dalih demi untuk mempertahankan pejuangan assobiyah UMNO yang sempit itu. Kenapakah saya pula diminta untuk memberitahu siapa yang jumpa dia sedangkan dia sudah umumkan di Australia dan dia yang lebih tahu dari saya.

KENYATAAN MEDIA, 24 JULY 2010

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong.

Orang Tengah’ yang ketinggalan zaman

12 Syaaban 1431H.
Abd Shukur Harun

Siapapun atau golongan manapun yang mendakwa diri mereka sebagai “orang tengah” atau mencuba menjadi “orang tengah” konon untuk berusaha mengadakan pertemuan atau hubungan antara PAS dan Umno, sudah tentu sama sekali tidak diiktiraf oleh arus perdana di dalam PAS.

Bahkan kepimpinan PAS sendiri telah berkali-kali mempertegaskan bahawa PAS tidak akan sama sekali bekerjasama dengan Umno, sebuah parti yang sangat berbeza mengenai dasar dan pendekatannya.

Ini telah diketahui umum dan telah ditegaskan banyak kali oleh pihak PAS, namun perbezaan dasar antara PAS dan Umno ini cuba dipandang sepi atau tidak diberi perhatian oleh pihak yang berhempas pulas untuk menemukan kedua parti tersebut.

Malah pihak yang dikatakan hendak menjadi “orang tengah” ini sendiri tidak berminat untuk melihat perbezaan dasar itu. Yang dihujahkan berkali-kali oleh pihak ini ialah bahawa kerjasama PAS-Umno ini ialah untuk kepentingan Melayu/Islam. Sementara pemimpin PAS berulang kali menegaskan bahawa dengan Islam saja, Melayu akan menjadi kuat di samping kaum-kaum lain yang ada di negara ini.

Inilah program politik baru Malaysia yang dipelopori oleh Pakatan Rakyat. Ia membela semua kaum, bukan berdasarkan kaum tetapi berdasarkan rialiti yang ada. Ia membela Melayu yang miskin, kaum Cina yang miskin, India yang miskin dan kaum-kaum lain yang miskin di bawah semangat Perlembagaan Malayia yang ada sekarang.

Semua status-quo seluruh kaum yang ada di Malaysia dari pelbagai segi kepentingan mereka — anutan agama, budaya tradisi dan lain-lain seperti yang diebut di dalam perlembagaan tidak berubah.

Bahkan kemakmuran Malaysia dibahagi-bahagikan secara adil selaras dengan keadilan yang menjadi tunggak syariat Islam. Gagasan ini telah diterima dan disepakati oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat. Inilah kecemerlangan Islam.

Oleh itu, PAS yang amat selesa dengan Pakatan Rakyat akan terus mempertahankan dasar ini, yang telah diterima oleh majoriti rakyat Malaysia seperti yang terpancar melalui keputusan Pilihan Raya Ke-12 lalu. Dengan kedudukan PAS yang amat kukuh di dalam Pakatan Rakyat ini, sebarang elemen yang cuba mengganggu hubungannya itu tidak mungkin berjaya betapapun diasak oleh pelbagai pihak.

Bagaimanapun, seperti kata Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang bahawa PAS bersedia menggantikan Umno untuk menjadi teras politik Malaysia. Masanya sudah tiba, katanya, bagi Umno/BN untuk berehat.

Menurut Presiden PAS itu lagi, PAS telah berjaya mengubah minda panatik perkauman orang Melayu kepada Islam yang bersifat sejagat dengan mengambil kira hubunan baik dan adil dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Perlu dingat bahawa Pakatan Rakyat menerima Islam sebagai Agama Rasmi Perekutuan, menerima kenyataan akan Hak Istimewa Orang Melayu dengan tidak menzalimi orang lain dan menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Rasmi.

Pelbagai fitnah telah ditaburkan oleh musuh politik PAS bahawa kononnya PAS tunduk dan menjadi alat kepada DAP dalam Pakatan Rakyat. Ini suatu fitnah yang tidak pernah dapat dibuktikan secara terperinci oleh mereka. Pemerintahan Pakatan Rakyat, baik di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang telah menyerlahkan pemerintahan yang adil kepada semua kaum – baik masalah pemberian tanah, peluang pendidikan, perniagaan, pekerjaan dan semuanya walaupun baru dua tahun lebih memerintah.

Semua bukti ini telah dijelaskan oleh semua negeri tersebut melalui mekanisme penerangan mereka — wabe-site negeri, risalah, wabe-tv negeri, ceramah, saluran media alternatif dan sebagainya. Sebahagian besar penerangan ini telah sampai kepada rakyat, walaupun pihak musuh politik Pakatan Rakyat sentiasa menafikan usaha Pakatan ini.

Suatu hakikat yang dilupakan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka “orang tengah” atau berusaha menjadi “orang tengah” bahawa ini ialah era demokrasi digital, segala maklumat diperoleh secara terbuka dan sangat luas. Ini menyebabkan rakyat menuntut perubahan, di mana mereka melihat politik perkauman Umno/BN, pendekatan dan watak pemimpin mereka sudah ketinggalan zaman dan raakyattelah menolaknya dalam PRU Ke-12 yang lalu.

Sungguh malang, hakikat ini tidak disedari atau duba menafikannya oleh pihak yang beriya-iya sangat hendak menjadi “orang tengah” menghubungkan Umno dan PAS. Usaha ini akan sia-sia atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Pada ketika yang sama PAS sangat selesa dengan Pakatan Rakyat.

Justru jika ada pihak atas nama individu yang berjumpa dengan “orang tengah” untuk berunding cara mana menemukan PAS dan Umno, itu hanya usaha sia-sia. Ini kerana sebarang usaha seperti ini, jika benar-benar ada, tidak mewakili parti, menentang keputusan tiga Muktamat PAS dan tidak walak kepada keputusan parti.

Ini kerana walau apapun hujahnya, namun ini bukan caranya.

Harakah Daily/-

Perawatan berlainan jenis

12 Syaaban 1431H.
Oleh : Akhisalman.

Perempuan merawat lelaki

Terdapat hadis2 yg sohih yg menyebut tentang perempuan merawat lelaki yg bukan mahram. Diantaranya:

1. Rabie' binti Mua'awwiz r.a berkata:

"Dahulu kami berperang bersama Nabi s.a.w melakukan kerja2 memberi minum, merawat tentera2 yg cedera dan membawa balik mayat2 ke Madinah." (Hr Bukhari)


2. Anas bin Malik r.a berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pergi berperang dan turut bersamanya adalah Ummu Sulaim serta beberapa wanita Ansar yg memberi minum dan merawat tentera2 yg luka." (Hr Muslim)

3. Ketika mana Saad bin Muaz ditimpa kecederaan dalam peperangan Ahzab pada tangnnya; Nabi s.a.w menempatkannya di dalam satu khemah dan menenyerahkan urusan perawatan kepada Rafidah al-Aslami r.a. Tentera2 yg lain yg tercedera juga diserahkan kesemuanya kepada beliau utk dirawat." (Hr Bukhari)

Lelaki merawat wanita:

"Ummu Salamah meminta izin kepada Nabi s.a.w untuk berbekam. Nabi s.a.w mengizinkan dan menyuruh kepada Abu Taybah utk membekamnya." (Hr Muslim)

Pandangan Ulama

Harus pengamal perubatan lelaki merawat perempuan yg bukan mahram dan pengamal perubatan perempuan mengubati lelaki yg bukan mahram dgn syarat2 berikut:

1. Tidak ada org yg sama jantina yg boleh merawatnya.

2. Melihat dan menyentuh pada tempat2 yg diperlukan sahaja.

3. Pengamal perubatan kafir yg sama jantina lebih diutamakan darpda pengamal perubatan muslim yg berlainan jantina.

4. Hendaklah perawatan yg berlainan jantina tidak berlakunya khalwat yg diharamkan. hendaklah ditemani dgn mahramnya atau wanita yg dipercayai. Nabi s.a.w bersabda:

"Janganlah seorang lelaki itu berkhalwat dengan perempuan melainkan adanya mahramnya."(Hr Bukhari dan Muslim)

rujukan: Mudawatur Rajul Lil Marah oleh Muhammad Ali al-Bar.

Selawat ke atas Nabi

12 Syaaban 1431H.
Oleh : Akhisalman.


Firman Allah: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi s.a.w. Wahai orang2 beriman hendaklah kamu berselawat ke atas Nabi dan mengucapkan salam kepadanya sebenar2 salam."(Al-Ahzab: 56)

Maksud selawat malaikat adalah doa mendapat rahmat dan selawat daripada Allah ialah rahmat serta pujian.

Hukum Berselawat:

Ulama telah berbeza pendapat berkenaan dgn hukum berselawat seperti berikut:

1. Fardu ain bagi mukallaf utk berselawat sekali seumur hidup. Adapun yg lain adalah sunat.

2. Wajib ketika dalam solat. Adapun di luar solat adalah sunat. (Imam Syafie)

3. Selawat adlah hanya perkara yg sunat pd semua keadaan. (Ibnu Jarirat at-Tobari)

4. Wajib memperbanyakkan selawat tanpa ditentukan tempatnya. (Abu Bakar bin Bukair dr Mazhab Maliki)

5. Wajib selawat ketika disebut nama Nabi s.a.w. (Tohawi, sebahagian Ulama Hanafi dan Syafie, Hulaimi dan az-Zamahsyari)

kelebihat selawat

Nabi s.a.w bersabda: "Apabila kamu mendengar azan hendaklah kamu ucapkan seperti mana yg muazzin ucap. Hendaklah kamu berselawat kepada aku. Sesungguhnya sesiapa yg berselawat sekali kepada ku maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali." (Hr Muslim)

Maksud Allah berselawat kepada org yg berselawat adalah Allah memberinya sepuluh rahmat.

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yg berselawat kepada aku sekali makan Allah akan berselawat kepadanya sepuluh selawat, akan dihapuskan sepuluh dosa dan dia diangkatkan 3 kali darjat." (Hr Ahmad - sahih)

Nabi s.a.w bersabda: 'Manusia yg paling baik disisiku pada hari kiamat adalah manusia yg paling banyak selawat kepada ku.' (Hr Tirmizi - Hasan)

Daripada Ubai bin Kaab r.a: Adalah Rasulullah s.a.w apabila telah berlalu seperempat malam baginda akan bangkit; seraya berkata: Wahai manusia hendaklah kamu mengingati Allah. Akan datang tiupan sangka kala yg pertama dan diikuti sangka kala yg kedua dimana kematian akan datang pada saat itu. Ubai bin Kaab telah berkata: "Ya Rasulullah.. Sesungguhnya aku memperbanyakkan berselawat kepada mu. Banyak manakah masa yg aku hendak peruntukkan untuk selawat kepadamu?" Nabi s.a.w menjawab "IKut suka kamu" Ubai berkata "Seperempat" Nabi s.a.w berkata "IKut suka kamu tetapi kalau lebih lagi baik." Ubai membalas "Sepertiga" Nabi s.a.w berkata "Ikut suka kamu tetapi jika engkau tambah lagi baik." Ubai berkata "Dua pertiga" Nabi s.a.w menjawab "Ikut suka kamu tetapi jika kamu tambah lagi baik " Ubai menjawab "Ya rasulullah aku kan kesemunya utk masa berselawat kepadamu?" Nabi s.a.w bersabda: "Kalau begitu maka perkara itu akan menghilangkan segala kedukaanmu dan akan mengampunkan dosamu."(Hr Tirmizi - Hasan sahih)

Maksudnya adalah Ubai memperuntukkan segala masa doanya untuk selawat.

Celaan kepada manusia yg tidak berselawat kepada Nabi.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Hinanya manusia yg mana disebut namaku disisinya tetapi dia tidak berselawat kepadaku."(Hr Muslim)

Sesungguhnya Nabi s.a.w menaiki mimbar seraya berkata: "Ameen" kemudian baginda naik lagi dan berkata "Ameen" kemudian baginda naik lagi dan berkata "Ameen." Maka Muaz r.a bertanya sebab apakah berbuat demikian. Maka Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Jibril telah datang berjumpa dgn kepadaku; seraya berkata: "Wahai Muhammad sesiapa yg disebut namamu disisinya dan dia tidak berselawat kepadamu, lalu dia mati. Maka dia masuk neraka, lalu Allah menjauhkannya. Katalah amin hai Muhammad" Aku pun kata ameen..."(Hr Ibnu Hibban - sahih)

Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya org yg bersangatan bakhil adalah org yg tidak berselawat kepadaku bila disebut namaku." (Hr Ahmad - sahih)

Nabi s.a.w bersabda: "Mana2 kaum yg duduk pada satu majlis kemudian mereka bepisah sebelum menyebut nama Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w melainkan mereka mendapat kekurangan daripada Allah. Jika Allah hendak Allah boleh mengazab mereka atau mengampuni mereka." (Hr Ahmad - sahih)

Selawat dan Salam sampai kepada Nabi s.a.w

Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ade org yg mengucapkan lafaz salam kepadaku melainkan Allah akan mengembalikan ruh kepada ku sehingga aku dapat menjawab salam."(Hr Ahmad)

Sabda Nabi s.a.w: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat2 yg bersiar2 di seluruh muka bumi yg menyampaikan salam kepadaku dr ummatku."(Hr Ahmad - sahih)

Sabda Nabi s.a.w: "Hendaklah kamu memperbanyakkan selawat kepadaku pada hari jumaat. Maka sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku."(Hr Abu Daud)

Rujukan: Ittihaf Ahlil Wafa oleh Abdullah at-Talidi dan Targhib wat Tarhib oleh al-Munziri.

Ketakutan org2 soleh tidak diterima amalan mereka

12 Syaaban 1431H.
Oleh : Akhisalman.

Disini dinyatakan beberapa ucapan sahabat2 Nabi yg menunjukkan mereka takut tidak diterima amalan mereka.

Usman b in Affan r. berkata: "Kalaulah aku berdiri diantara syurga dan neraka dan diberi pilihan kepada ku dua pilihan: 1. Menjadi abu api. 2. Dimasukkan salah satu tempat syurga atau neraka. Nescaya akan ku pilih menjadi abu api."

Walaupun beliau beramal dgn amalan yg hebat dan org yg hampir dgn Rasulullah tetapi dia lebih rela memilih menjadi abu daripada memasuk salah satu tempat syurga atau neraka. Ini kerna dgn pilihan kedua beliau tidak pasti layak menjadi ahli syurga atau tidak. Beliau takut jika memilih pilihan kedua menyebabkan beliau dimasukkan ke neraka.

Abu Zar al-Ghifari r.a telah berkata:

"Kalaulah kamu tahu apa yg aku tahu nescaya engkau tidak akan terlampau berseronok2 dgn isteri2 kamu dan tidak terlampau asyik berehat di atas tilam2mu. Demi Allah aku suka kalau Allah cipta aku semasa aku diciptakan dahulu sebagai sebatang pokok yg dimakan buah2nya."

Walaupun Abu Zar diantara sahabat Nabi yg terkenal tetapi beliau takut dgn amanah menjadi manusia keran ia satu amanah yg berat dan beliau lebih suka kalau beliau hanyalah sebatang pokok yg tidak ada apa tanggung jawab di hadapan tuhan.

Abu Ubaidah al-Jarah r.a berkata:

"Aku suka kalau aku hanyalah seekor kambing biri2 lalu disembelih oleh manusia. Kemudian mereka memakan daging aku serta menghirup kuah daging ku."

Beliau amat takut dgn saat dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat sehingga lebih rela menjadi seekor kambing yg pasti tidak dibangkit utk dihisab amalannya pada hari kiamat.

Huzaifah bin al-Yaman r.a

Ketika mana hampirnya saat kematian Huzaifah bin Yaman r.a, beliau telah menangis teresak-esak. Lalu ada yang bertanya "Apa yg kamu tangiskan?" Beliau menjawab:

"Aku tidak menangis kerana kesdihan kehilangan dunia bahkan kematian lebih aku cintai. Namun aku menangis kerana tidak tahu aku mati ini mendapat keredaan Allah atau kemurkaannya."

Walaupun beliau adalah sahabat yg dipercayai Rasulullah kerana baginda telah menyimpan rahsia kepadanya sehingga beliau digelar 'Sahibu sirri Rasulillah', tetapi beliau amat takut utk berjumpa dgn tuhannya kerana tidak pasti adakah diterima amalannya oleh Allah atau tidak.

Salman al-Farisi telah berkata:

"Tiga perkara yg amat menyedihkan aku sehingga aku menyebabkan aku menangis ialah: 1. Berpisah dgn Nabi s.a.w dan para sahabatnya. 2. Huru hara hari kiamat. 3. Berdiri untuk dibicarakan oleh tuhan dalam keadaan aku tidak tahu kemana aku akan pergi ke syuga atau ke neraka."

Inilah ketakutan sahabat Nabi s.a.w walaupun Nabi s.a.w telah menyatakan kelebihan beliau dlm sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah mengasihi empat org sahabatku dan menyuruhku supaya mengasihi mereka. Mereka adalah 1. Ali 2. Abu Zar 3. Salman 4. Miqdad." (Hr Tirmizi dan Ibnu Majah)

Aisyah r.a Ummul Mukminin

Beliau adalah manusia yg dikasihi oleh Rasulullah s.a.w. Amru bin As pernah bertanya kpd Nabi s.a.w "Siapakah manusia yg engkau paling kasihi?" Baginda menjawab "Aisyah"(Hr BUkhari) Beliau seorang yg berpuasa setiap hari dan kuat bersedekah.

Pernah Muawiyah memberinya seratus ribu dirham dan beliau telah mengagih2kan kepada org2 yg memerlukan sehingga habis dlm masa tidak sampai sehari.

Walaupun begitu beliau manusia yg amat takut kepada Allah taala sehingga beliau berkata: "Demi Allah aku lebih suka menjadi sebatang pokok, demi Allah aku lebih suka menjadi tanah dan demi Allah aku lebih suka supaya Allah tidak menjadikan aku."

Ucapan ini kerana beliau takut utk memikul amanah Islam dr tuhan, takut dihisab amalannya dihari kiamat dan takut tidak diterima amalannya kelak.

kesimpulan Manusia perlu takut tidak diterima amalan baiknya kerana tidak semua amalan diterima oleh Allah taala. Amalan yg ada sifat riya', sombong, ujub dan sum'ah tidak diterima oleh Allah. Hanya Allah sahaja tahu sejauh mana keikhlasan dan kebersihan hati kita. Kita tidak perulah mengaku yg mana kita ni baik, ikhlas atau sebagainya yg menunjukkan kita mengangkat diri kita. Firman Allah:

"Maka janganlah kamu memuji diri kamu sendiri; dan Dia lebih lebih mengetahui siapakah yg lebih bertakwa kepada Allah."(32: an-Najm)

Sesungguhnya Allah telah memuji sifat orang2 yg takut tidak diterima amalannya. Firman Allah s.w.t:

"Dan orang2 yg menginfakkan harta2 yg dikurniakan kepada mereka dan melakukan pelbagai jenis kebaikan tetapi hati2 mereka gementar ketakutan. Ini kerana mereka yakin bahawa mereka akan kembali kepada tuhan mereka."(60: al-Mukminun)

Aisyah telah bertanya pada Nabi s.a.w berkenaan dgn ayat ini " Adakah orang2 yg takut ini adalah orang2 yg meminum arak dan mencuri?" Rasulullah s.a.w menjawab:

"Bukan begitu maksudnya wahai anak perempuan Abu Bakar as-Siddik tetapi mereka adalah orang2 yg berpuasa, mendirikan solat, bersedekah dan mereka takut tidak diterima amalan mereka."(Hr Tirmizi)

Marilah kita meningkat kualiti amalan kita dan sentiasa muhasabah amalan yg telah kita amalkan. Tangisilah kekurangan yg telah berlaku sebelum kita menangis pada hari kiamat.

Rujukan: Makhawifus Solihin Min Adami Qabulil Amal oleh Dr Muhammad bin A'zuz.

Kenapa tuduh Datuk Dr Hasan Ali?

12 Syaaban 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Sejak 2008, setelah Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, Dr Hasan Ali dilanda pelbagai kontroversi, antaranya berhubung isu penguatkuasaan penjualah arak, hubungannya dengan DAP dan rombakan kontroversi dalam PAS Selangor. Yang terbaru beliau dituduh bertemu dengan Mufti Perak dalam isu kerjasama antara UMNO-Pas.

Siapa yang membuat tuduhan itu? Orang Pas atau media? Kenapa dibuat tuduhan sebegitu? Kenapa tidak bertanya dahulu orang yang terlibat. Kalau betul beliau berjumpa, tanya dulu isu apa yang dibincangkan. Kalau betul pun dia berjumpa kerana isu itu, kenapa hendak marahkan beliau? Kenapa kita tidak bertindak secara profesional dalam menangani isu ini.

Sebagai perjuang kebenaran dan keadilan mereka harus pandai menggunakan strategi yang berkesan, jangan sampai musuh tahu strategi itu. Oleh sebab itu setiap yang berlaku jangan bertindak secara membabi buta atau tergesa-gesa. Jangan gelabah dalam menyelidik punca dan tindakan. Ketika itu barulah terhasil kejayaan yang cemerlang.

Sebagai orang politik, mereka harus tahu sepak terajang musuh mereka. Maka apa yang dikatakan itu bukan itu yang dimaksudkan, tetapi sebaliknya atau kesannya. Kalau kita buat tafsiran lain, yang akan rosak ialah mereka yang kelam-kabutlah.

Sebenarnya isu pertemuan dan perpaduan itu bukanlah besar sangat, tetapi sengaja dibesar oleh pihak tertentu bagi menggoncangkan fikiran ahli-ahli yang tidak faham. Jadi, sebaiknya diamlah daripada menjawab dalam media, sebaliknya membuat penjelasan kepada ahli yang masih tidak faham.

Kalau ahli PAS faham mesej Presiden parti, “Pas dan Umno tidak mungkin bekerjasama” tidak perlu fikir panjang lagi kerana kerjasama parti tidak boleh berlaku. Tetapi ahli kena ingai bahawa presiden juga ada berkata yang perbincangan dari masa ke masa dalam isu umat Islam masih boleh diteruskan. Mesej ini juga jelas.

Daripada mesej itu dapat difahami bahawa pertemuan bukan atas nama parti tidak masalah. Jadi, pertemuan atas nama kerajaan pusat dan negeri tidak masalah. Pertemuan membincang isu rakyat dan kemiskinan tidak boleh dihalan. Apatah lagi berbincang pasal kenduri kendara dan sebagainya, tentu tidak masalah.

Berdasarkan itu kalau pemimpin Pas bertemu dengan pemimpin Umno untuk bincang soal perpaduan ummah apa salahnya, bukankah itu ajaran Islam. Dan ini tentu tidak bercanggah dengan mesej presiden. Tapi kalau pemimpin Pas bertemu dengan pemimpin Umno untuk berbincang soal kerjasama antara Pas dan Umno, awal-awal bismillah lagu sudah salah bahkan bercanggah dengan mesej presiden. Kedua-dua isu ini adalah berbeza.

Saya berharap perjuang-pejuang Islam boleh faham apa yang hendak saya sampaikan. Dan sekali lagi ditegaskan seperti yang pernah disebut sebelum ini (dalam blog ini), perpaduan Melayu tidak mungkin akan terjadi pada saat ini selagi orang yang hendak berbincang itu berdiri atas tiket parti masing-masing. Jika mereka mahu, bukalah baju Pas dan Umno dan buang asabiah parti, barulah boleh berbincang. Kalau tidak, tentu akan berlaku salah faham dan pemikian yang berat sebelah.

Catatan : Tulisan diatas bukan semestinya pandangan kami dan kami tidak bertanggungjawab keatasnya.