28 June 2010

Judi: Himpunan 3 Julai diteruskan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan keputusan kerajaan membantah judi sebagai keputusan Jemaah Menteri, bukan keputusan melibatkan Majlis Tertinggi Umno semata-mata.

Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, GMJ bersyukur dan menyambut baik keputusan berkenaan namun ianya mesti diumumkan secara jelas kepada rakyat bahawa ianya merupakan keputusan kerajaan Barisan Nasional.

"Kita menerima keputusan ini dengan menyatakan bahawa ia tetap perlu dilontarkan atau diumumkan daripada keputusan jemaah menteri, bukan daripada keputusan satu parti politik (Barisan Nasional) sahaja" katanya pada sidang media di Rumah Pena, di ibu negara hari ini.

Azmi juga menegaskan, GMJ tidak akan dimansuhkan begitu sahaja walaupun kerajaan menarik balik pemberian lesen judi, sebaliknya akan meneruskan kempen membantah judi secara berpanjangan.

Ini kerana, ujarnya keputusan menarik balik lesen judi itu hanyalah keputusan kecil sahaja sedangkan industri membabitkan perjudian sedang berkembang pesat di negara ini.

"GMJ akan berterusan secara berpanjangan kerana keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanya sebahagian daripada isu judi dan industri judi yang sangat besar dan ini tidak bermakna tamat GMJ ini.

“GMJ akan diperkukuhkan di peringkat kebangsaan dan di peringkat negeri dan kita akan lanjutkan kempen dengan lebih agresif supaya hasrat dan matlamat kita tercapai," katanya lagi.

Dalam pada itu, GMJ akan tidak akan membatalkan perhimpunan pada 3 Julai ini, cuma ianya tidak disertakan dengan perarakan bagi menyerahkan memorandum ke Istana Negara.

Azmi memberitahu, perhimpunan akan tetap diadakan di Masjid Negara dimulakan dengan solat Zuhur dan solat hajat dan disusuli dengan ucapan daripada wakil-wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah judi.

Perhimpunan itu dinamakan Himpunan Tak Nak Judi sebagai tanda bantahan rakyat pelbagai kaum terhadap segala jenis judi.

"Kita telah buat keputusan hari ini bahawa perhimpunan 3 Julai ini akan diteruskan kerana berpandangan negara harus diselamatkan daripada judi.

"Kita tidak akan berarak tapi akan berhimpun di pekarangan Masjid Negara selepas solat Zuhur dan solat hajat agar negara kita terselamat daripada musibah akibat judi. Pimpinan parti politik dan wakil NGO akan berucap dan kita sasarkan 10 ribu rakyat untuk hadir," katanya.

Menurutnya juga, semua parti politik termasuk Umno sendiri dialu-alukan untuk menyertai himpunan itu.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Wanita PR Membantah Judi (Sendi), Salbiah Abdul Wahab melahirkan rasa lega dengan keputusan itu kerana ianya sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada wanita-wanita yang mempunyai suami kaki judi.

"Kami bagi pihak wanita sedikit lega dengan keputusan ini kerana bagi mereka yang mempunyai suami yang kuat berjudi, sekurang-kurangnya aktiviti perjudian dapat dikurangkan atau dihentikan apabila tiada lesen judi dikeluarkan. Jika tidak wanita dan anak-amak terpaksa menanggung kesan akibat suami dan ayah yang menghabiskan wang untuk berjudi," katanya yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat.

Turut bersama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi GMJ, Rahimi Abdul Rahim daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, bendahari, Nahar Md Nor daripada Jemaah Islam Malaysia (Jim) dan wakil-wakil NGO yang lain.

Harakahdaily/-

PKR S'gor dirombak, Azmin ganti Khalid

Naib Presiden PKR Azmin Ali dilantik sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan pusat parti itu di Shah Alam hari ini.

Menurut Wan Azizah, rombakan itu dibuat bagi membolehkan Khalid menumpukan tugaskan kepada usaha pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini dimohon oleh Tan Sri Khalid sendiri bagi menumpukan tenaganya untuk disalurkan dalam pentadbiran Selangor," katanya.

Azmin sebelum ini mengetuai PKR Wilayah Persekutuan.

Kekosongan yang ditinggalkannya Azmin di negeri itu akan diambil alih oleh penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, umum Wan Azizah lagi.

Rombakan itu dilihat mengejutkan apabila sejak semalam ramai pemimpin kanan parti itu terus menafikan terdapat desakan supaya Khalid berundur dalam pemukiman PKR.

Anwar nafi cubaan MP guling Khalid

Khalid tidak hadir dalam kesemua sesi pemukiman dua hari sejak semalam di sebuah hotel di Shah Alam.

Selain ditemani Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketiga-tiga Azmin, Khalid dan Zaid hadir bersama dalam sidang media petang ini.

Bercakap soal yang sama, Anwar juga memberitahu dua negeri lagi akan mengalami pertukaran pucuk pimpinan yang akan diumumkan kemudian.

"Ia sedang dimuktamadkan," katanya yang enggan menyatakan terlebih dahulu negeri atau pimpinan terbabit.

Selain itu, Anwar turut menafikan bahawa terdapat pakatan ahli parlimennya yang merancang mahu menggulingkan Khalid sebagai menteri besar.

"Perkara itu tak berbangkit sama sekali. Kita sebulat suara dokong penuh. (Beri) Pandangan itu biasalah.

"Kita tengok Tan Sri Khalid pun tak sensitif sangat. Yang sensitif akhbar Umno," katanya. Malaysiakini/-

Bersedekah Harta yg terbaik

http://akhisalman.blogspot.com/

Sedekah adalah satu keperluan bagi setiap muslim kerna ia menjadi benteng drpada api neraka. Sabda Nabi s.a.w: "Jauhilah kamu daripada api neraka walaupun dengan bersedekah dgn belahan buah tamar."

Sedekah yg dianjurkan oleh Islam adalah seseorang muslim itu memilih hartanya yang terbaik dan paling disukai utk disedekahkan. Firman Allah s.w.t: "Kamu tidak dapat mencapai kebaikan sehingga menginfakkan harta yg kamu kasihi."(92: Ali Imran).

Abu Talhah r.a seorang golongan yg kaya dan mempunyai banyak ladang2 kurma. Harta yg paling disayanginya adalah ladang bairaha. Ianya mengadap masjid Nabi. Rasulullah biasa masuk ke bairuha dan minum airnya yg amat sedap. Apabila turun ayat ini (ayat diatas) Abu Talhah pergi berjumpa rasulullah s.a.w dan berkata: " Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah taala telah menurunkan kepadamu ayat: (ayat diatas) dan harta yg paling aku sayangi adalah bayruha dan ianya aku sedekahkan kerna Allah. Aku mengharapkan kebaikan dan ganjarannya disisi Allah. Maka engkau salurkanlah tanah ini mengikut pandanganmu. Rasulullah s.a.w bersabda: "hebat2; itu adalah harta yg membawa keuntungan . Aku dah dengar ape yg engkau perkatakan. Aku berpandangan bahawa tanah ini disedekahkan sanak saudaramu. Abu Talhah berkata "Aku akan buat hai Rasulullah" Lalu dia membahagi2kan tanah tersebut kepada saudara2nya.

Allah melarang kita daripada bersedekah dgn harta yg tak elok. Firman Allah: "Dan janganlah kamu memilih harta yang buruk untk kamu sedekahkan sedangkan harta tersebut kamu tak ambil jika diberikan kepadamu melainkan dgn kamu memejamkan matamu."(267:Al-Baqarah)

Oleh itu marilah kita memperbanyakkan sedekah harta yg elok di awal bulan zulhijjah ini yg mana palanya lebih besar daripada berjihad di bulan yg lain.

rujukan: Akhlaqul Muslim (mujtama) oleh DR Wahbah Zuhaili.

Hukum Qada solat sunat

http://akhisalman.blogspot.com

Mazhab Hanafi dan Maliki:

Apabila terlepas solat sunat samada mutlak (yg tidak dikaitkan dgn sebab dan waktu) atau muqayyad (dikaitkan dengan sebab @ waktu) maka tiada diqada’ kecuali solat sunat subuh….ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan Maliki..berdasarkan satu peristiwa yang telah diceritakan oleh Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w telah solat asar kemudian baginda masuk kedalam rumahku dan solat dua rakaat..maka aku bertanya : Wahai Rasulullah adakah engkau telah melakukan solat yang tidak pernah engkau lakukan sebelum ini? Maka sabda Nabi s.a.w : Aku sibok menguruskan harta yg datang sehingga tak sempat melakukan solat rawatib lepas zuhur yg biasa aku buat. Maka aku pun buatnya sekarang. Maka aku (ummu salamah) bertanya “Hai Rasulullah adkah aku perlu mengqada solat rawatib yg telah aku tinggal? Nabi s.a.w menjawab “Tidak”(Hr Ahmad)

Hadis ini merupakan dalil bahawa qada’( untuk solat sunat ) tidak wajib bagi kita umat nabi Muhammad…dan ia hanya khusus untuk Nabi sahaja…maka kita tidak termasuk dalam pengkhususan ini.Berdasarkan hadis ini juga….dikiaskan bahawa solat sunat subuh juga asalnya tidak wajib qada’ melainkan kami(mazhab Hanafi dan Maliki) membolehkannya qada’ jika ianya terlepas bersama solat fardhu kerana Nabi s.a.w “melakukannya bersama solat fardhu di malam ta3ris(musafir singgah di hujung malam utk berehat) .(Hr Muslim)

Mazhab Syafie: .

Imam Nawawi dari mazhab Syafie telah berkata: Jika telepas solat sunat yang muaqqat ( berwaktu ) seperti solat hari raya dan solat dhuha…maka sunat qada’ berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim “ Sesiapa yang terlupa solat atau tertidur maka kaffarahnya adalah melakukan solat itu apabila dia ingat.” Ini kerana nabi s.a.w telah qada’ dua rakaat solat sunat subuh ketika Nabi tertidur di wadi dan terlepas solat subuh sehingga naik matahari. Dan baginda qada’solat sunat selepas zohor selepas solat asar kerana ia merupakan solat sunat muaqqatah(berwaktu)…maka di qada’ seperti solat fardhu. Ini samada semasa musafir atau tidak seprtimana yang telah dijelaskan oleh Ibnul Muqri.Ini adalah pendapat yang lebih kuat dalam masalah ini bagi mazhab Syafie.Disana terdapat dua lagi pendapat yang kurang kuat iaitu :1. Solat – solat sunat yang berwaktu tidak diqada’ sebagaimana solat –solat sunat yang tidak berwaktu. 2. Diqada’kan solat sunat yang tidak mengiringi solat-solat lain seperti solat dhuha…dan sekiranya ia mengiringi solat lain maka tidak diqada’ ,contohnya:solat rawatib.

Mazhab Hambali:

Imam Ahmad telah berkata: Tidak sampai hadis kepada kami bahawa Nabi s.a.w telah qada’ solat sunat kecuali dua rakaat solat sunat subuh dan dua rakaat solat sunat selepas zohor yang Nabi kerjakan selepas asar. Al-qadhi dan sebahagian ulama’ mazhab hambali telah berkata : Tidak diqada’kan solat sunat kecuali dua rakaat solat sunat subuh dan dua rakaat solat sunat selepas zohor.