27 June 2010

PAS tidak gentar ribuan orang agama sertai Umno

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.

Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat.

“Saya cuba hubungi rakan di Fakulti Islam UKM untuk bertanya seorang yang masuk menyertai Umno itu pensyarah Fakulti Islam, rakan saya beritahu, beliau pun tidak kenal,” ujarnya.

“Jikalau beliau yang menjadi pensyarah senior di Fakulti Islam UKM pun tidak kenal, macam mana pula Pak Mat di Dabong, Gua Musang dan Mak Minah di Hulu Tembeling Pahang hendak kenal,” ujarnya sinis.

Tegasnya, perjuangan PAS bukan menentang peribadi tetapi menentang dasar Umno.

Menurutnya, sesiapa sahaja yang memimpin Umno, PAS akan tentang selagi mempertahankan dasar Umno yang membawa perkara munkar dan mengkhianati amanah negara dan rakyat.

PAS, jelasnya tidak pernah berundur walau setapak untuk menyatakan Umno parti yang tidak betul.

Beliau berkata, PAS yakin mereka yang berlatar belakang agama dalam Umno tidak ke mana akhirnya kerana hanya akan menjadi kupang tembaga yang digunakan ketika hendak melawan hujah PAS.

“Itu pun bukan secara berdepan. Mereka hanya berani bercakap ketika seorang diri tanpa di pihak lawan. Beberapa kali PAS ajak berdebat sampai hari ini tidak pernah disahut,” katanya lagi.

Tambahnya, PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang.

Sekadar menyebut beberapa nama mereka di dalam Umno yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi dan pengaruh yang lebih hebat daripada 40 orang yang baru menyerah borang menyertai Umno, beliau bertanya ke mana perginya mereka yang berkenaan.

Antaranya ialah Dr Hamid Othman (bekas Prof Madya UKM BA Azhar, Phd UK) , Dr Abdullah Mohd Zin (bekas Prof Universiti Sains Islam Malaysia USIM, BA Madinah, Phd UK), Dr Yusof Nor (bekas Prof Madya UKM, Phd Mesir), Brg Jeneral Hamid Zainal Abidin, Dr Ismail Mat (UKM), Ustaz Nakhaei Haji Ahmad di persada politik umno.

Justeru, ujarnya PAS merasa hairan ketika kapal Umno hendak tenggelam dan penyakit barah Umno sudah sampai kepada peringkat keempat untuk ditalqinkan, tiba-tiba ada mereka yang berlatar belakang agama bersama-sama dengan Umno untuk karam sama.

“Sewaktu anak-anak muda yang memakai subang sebelah dan wanita yang tidak bertudung bersama gerakan untuk menukar kerajaan BN kepada kerajaaan Pakatan Rakyat, tiba-tiba mereka yang belajar agama boleh bersekongkol dengan Umno.

“Parti yang rapuh, penuh dengan sarat rasuah, moral yang rendah, mengkhianat wang rakyat dan pembaziran, mengambil APCO Yahudi sebagai penasihat, hak milik negara digadai kepada Singapura dan Brunei,” katanya.

Tegasnya, PAS yang berpegang kepada dasar Islam, ulama yang muttaqin menjadi rujukan akan terus mara ke hadapan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kehancuran.

Malaysiakini/.-

KUMPULAN 40 DIBERI TEMPOH BERPANTANG 40 HARI

WFAUZDIN NS

MAKA, 40 orang (bukan 40 penyamun) budak-budak mengaji agama itu pun memilih untuk bersama dengan gerombolan sekutu Apco Yahudi Laknatullah. Mereka menggelar kumpulan mereka `40 Ulamak' tetapi tidak seekor pun dari mereka yang kita kenal atau popular selaku pendakwah seperti Us Harun Din, Ismail Kamus, Tuan Ibrahim Tuan Man dan paling tidak pun seperti Us Shahril Long mahupun Ustaz Azhar Idrus.

Mungkin terlalu jauh untuk kita bandingkan dengan Ulamak-Ulamak terkenal yang kita sebutkan tadi. Tetapi, jauh juga untuk dibandingkan dengan orang seperti Hj Nakhaei Ahmad, Firdaus Ismail (bekas Imam Besar Masjid Negara) ataupun Mashitah Ibrahim yang terlebih dahulu mencium hangit dan tengitnya parti sekular yang bersekutu dengan Apco itu. Sekiranya Allah membalikkan hati Us Dr Mohd Asri untuk bersama kumpulan 40 ekor itu, mungkin itulah seorang yang boleh kita kenal dan dianggap popular. Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini Us Dr Mohd Asri masih dilindungi Allah. Mudah-mudahan kekal begitu.

Sempena dengan kemasukan kumpulan 40 ekor itu ke dalam gerombolan sekutu Apco, maka diistiharkan tiada lesen judi sukan akan dikeluarkan. Itu mungkin pra syarat pertama kumpulan 40. Orang kata sekadar mengambil hati kalau pun tidak untuk memperbodohkan kumpulan 40 ekor itu. Kita jangan terperanjat jika di dalam Pilihanraya Umum akan datang nanti, kumpulan 40 ekor ini adalah bakal calon-calon sekutu Apco untuk menunjukkan bahawa sekutu Apco juga berminat dengan Islam.

Apa alasan kumpulan 40 (sebelum ini dikatakan 100 ekor) untuk bersama-sama `berjihad' dengan sekutu Apco? Alasannya sebiji sama dengan alasan beberapa orang yang berkelulusan agama yang lebih awal diperbodohkan seperti Nakhaei, Firdaus dan Mashitah dan terbaru Jamil Khir. Kesemua mereka ingin men`syahadah'kan parti sekular itu untuk kembali kepada Al-Quran. Hasilnya? Bertambah baikkah atau bertambah teruk? Disaat dua tiga ekor yang ternama itu berada di dalam, pemimpin mereka bercita-cita untuk meluluskan lesen judi sukan. Lesen judi yang lain telah lama ada malah pusat judi terbesar kekal tersergam indah di puncak gunung. Apa yang dua tiga ekor ternama di dalam bidang agama ini mampu buat? Jika yang sudah ternama seperti ini tidak mampu buat apa-apa melainkan cukup bulan makan gaji, adakah kumpulan 40 ekor budak ini boleh buat?

Kita tidak mahu bersangka buruk terhadap kumpulan 40 ekor ini. Kita beri masa kepada kumpulan 40 ini tempoh `berpantang' 40 hari juga. Selepas itu, dalam tempoh 100 hari kita mahu lihat apa perubahan yang berlaku di dalam parti sekular yang mereka sokong itu. Jika di dalam tempoh tersebut mereka gagal untuk menjadi lebih cerdik dari kebanyakan yang jahil di dalam parti yang baru mereka sertai itu, kita nasihatkan kepada mereka kembalilah semula ke pondok atau pengajian agama seandainya mereka masih segan untuk berjuang bersama kita.

Satu perkara yang sering disebut, jika mahu mencuci najis di dalam tong, jangan masuk ke dalam tong najis berkenaan kerana kelak tubuh kita dipenuhi najis. /mandor.blogspot.com

Judi Dan Arak Tetap Haram Walaupun Sejuta Ulama Menyertai UMNO

oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com


Sepertimana yang pernah saya persoalkan sebelum ini, adakah benar mereka ini ulama sepertimana yang digariskan oleh Islam? Atau sekadar dilabelkan sebagai ulama? Atau buat-buat ulama? Terpulang untuk memilih mana satukah jawapannya.

Apa nak hairan, di bumi Mesir ini pun “ramai ulama-ulama UMNO”. Di Jordan pun ramai jugak kan? Apa nak dihairankan? Saya rasa pelik, kenapa mereka yang memperjuangkan UMNO di Mesir dan Jordan ini tidak kedengaran ke”ulama”kan mereka apabila di Malaysia?

Setiap tahun, pasti ada mereka yang mengikuti pengajian Islam di Timur Tengah, akan pulang ke Malaysia, dan membawa ideologi UMNO. Tetapi ke manakah mereka di dalam UMNO? Terpulanglah, itu ideologi masing-masing..

Tapi, suka untuk saya memberi nasihat di sini, “jangan salahgunakan istilah ulama”. Kalau istilah ulama disalahgunakan, tak hairanlah kalau sejuta “ulama” akan buat maksiat. Dulu, ada yang mengatakan Ustaz Pirdaus dan Ustazah Masyitah itu sebagai ulama.

Tetapi taring mereka sudah tidak kelihatan hari ini untuk membela UMNO, lebih-lebih lagi isu judi. Saya juga tidak hairan kalau terdapat lebih daripada sejuta “ulama” akan masuk UMNO sekiranya istilah “ulama” itu disalahgunakan.

Saya agak terkilan dengan UMNO apabila isu judi ini semakin membarah. Selain itu banyak lagi isu-isu yang jelas bertentangan dengan Islam. Maka, saya sebagai mahasiswa Islam tidak akan berdiam diri dengan perkara ini.

Saya juga terfikir, kalaulah UMNO itu perjuangkan Islam, alangkah bagusnya.. Tetapi itu sekadar harapan. Sebelum ini mereka menyingkirkan ulama, hari ini mereka berdalilkan “ulama” untuk meraih sokongan. Saya tidak sabar menanti hujah 40 orang ulama ini untuk mengulas isu judi, arak, hudud dan sebagainya.

Satu perkara lagi ingin disebutkan, UMNO berpegang dengan menolak hudud dan menghalalkan judi, kalau sejuta orang ulama menyertai UMNO sekalipun, perjuangan UMNO ini tetap salah dan bercanggah dengan Islam.

Judi tetap haram walaupun sejuta ulama menyertai UMNO.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com

Mahasiswa al Azhar Bersedia Hadapi 100 Ulama Yang Menyokong Kezaliman

oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Lukisan suasana Masjid al Azhar, pusat menimba ilmu

Sepertimana yang telah diberitakan, seramai 100 orang yang dikatakan sebagai ulama akan menyertai UMNO. Baru diberitakan sebentar tadi, seramai 40 orang telah pun menyertainya. Dan isu yang ingin saya bangkitkan di sini bukanlah “kepartian”, tetapi isu Agama Islam dan kezaliman.

Sepertimana yang telah kita ketahui sebelum ini, beberapa unsur percanggahan dengan Agama Islam telah jelas dan terang dilakukan oleh parti tersebut. Bahkan unsur kezaliman juga telah banyak berlaku dan jelas di hadapan mata kita.

Antara bentuk percanggahan dengan Islam ialah perjuangan sekularisme, liberalisme, nasionalisme dan sebagainya. Manakala unsur yang berbentuk kezaliman ialah menolak pelaksanaan hudud, judi, arak, mempermainkan hukum Allah, kehilangan duit negara berbillion-billion ringgit dan sebagainya. Tidak perlu diulas panjang di sini.

Bertambah pelik apabila 40 orang yang dikatakan sebagai ulama telah menyertai parti ini. Bahkan dijangka lagi 60 orang yang dikatakan sebagai ulama akan menyertainya juga.

Maka, sebagai makluman untuk 40 orang yang telah menyertai ini, kami di Mesir, khususnya pengajian Islam di al Azhar sudah bersedia untuk berhadapan dengan ulama-ulama yang menyokong kezaliman ini.

Dan nasihat daripada saya, anda akan menanggung dosa-dosa kezaliman tersebut, dan anda “berpotensi” untuk bergelar ulama bisu. Kalau betul anda menyertainya untuk menyebarkan dakwah Islam, bermakna anda sudah tersilap pilih jalan untuk menyebarkannya.

Saya ingin bertanya, “kenapa baru sekarang terhegeh-hegeh nak mendaftar untuk menjadi ahli?” Kenapa anda tidak perjuangkannya sejak di tempat pengajian anda lagi? Adakah anda menyangka perjuangan untuk menegakkan kezaliman dan percanggahan dengan Islam ini sebagai perjuangan yang suci?

Adakah anda mengamalkan pegangan “taqiyyah” yang diamalkan oleh syi’ah? Adakah anda berani berhadapan dengan azab Allah kepada mereka yang menyokong kezaliman? Adakah anda ingin merealisasikan konsep “terjun dalam lubang najis, untuk bersihkan najis?”. Akhirnya anda akan lemas dengan najis tersebut.

Adakah anda tidak tahu, selama ini perjuangan parti tersebut sudah bercanggah dengan Islam? Adakah anda tidak tahu, sebelum ini parti tersebut pernah menghina sunnah Nabi yang anda perjuangkan? Adakah anda tidak tahu, parti tersebut menolak pelaksanaan hukum Allah?

Atau anda sengaja buat-buat tidak tahu, atau ada udang di sebalik batu? Saya selaku Mahasiswa Universiti al Azhar menantikan ulasan dan hujah anda untuk membolehkan perkara yang haram, dan mengeluarkan dalil untuk bercanggah dengan Islam.

Sekadar inilah nasihat yang mampu saya berikan untuk golongan ini. Ingat, anda perlu kenal musuh sebenar, dan membezakan di antara usul dan furu'. Anda juga perlu tahu kebenaran yang sebenar, dan kebenaran yang palsu.

Kalau anda berselisih pandangan, jangan sampai memilih perkara yang batil. Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, bezakan antara hitam dan putih dahulu sebelum anda bezakan antara biru dan hijau.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar
ibnuirfadzil.blogspot.com

DAP pertikai exco Perak kerap mesyuarat di KL

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zamry Kadir diminta memberikan rasionalnya mengapa mesyuarat exco kerajaan negeri kerap kali diadakan di hotel bertaraf lima binatang di Kuala Lumpur.

Ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang juga setiausaha DAP Perak berkata kali terakhir mesyuarat kerajaan negeri diadakan di Kuala Lumpur ialah pada Rabu lalu.

Katanya, ketika rakyat Perak menghadapi kekangan kewangan dan defisit kerajaan negeri mencecah RM70 juta pada tahun ini, kerajaan negeri pula boros berbelanja.

“Sedangkan bangunan Perak di Ipoh telah siap dengan segala kemudahan. Tindakan Zamry adalah satu pemborosan wang rakyat dengan puluhan ribu elaun, sewa hotel dan kos penginapan serta kos pengangkutan yang terpaksa dibiayai rakyat kerana mesyuarat exco di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Taiping, semalam.

Nga berkata, adalah tidak masuk akal untuk sering-kali mengadakan mesyuarat exco Perak diadakan di Kuala Lumpur, mahupun di tempat-tempat peranginan lain sedangkan hutang negara yang mencecah jumlah RM377 billion semakin membimbangkan.

Perak negeri ke-3 termiskin

“Tambahan lagi, negara kita sedang menghadapi risiko menjadi muflis menjelang tahun 2019 seperti yang diramalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala,” katanya.

Merujuk perangkaan Jabatan Perdana Menteri, Nga berkata 40 peratus daripada keluarga rakyat di negara ini, iaitu 2.4 juta keluarga di seluruh negara berpendapatan kurang dari RM2,000 setiap bulan.

“Perak mempunyai bilangan terbanyak seramai 192,000 keluarga, atau 12.5 peratus dan diikuti oleh Sabah, Johor, Kedah dan Sarawak. Di bawah pemerintahan BN, Perak juga merosot menjadi negeri ke-3 termiskin di Malaysia selepas Sabah dan Terengganu,” katanya.

Nga juga membidas kerajaan yang menasihatkan rakyat berjimat-cermat dan membayangkan kemungkinan subsidi barangan asas ditarik balik atau dikurangkan tetapi pada masa yang sama boros berbelanja.

“Contohnya, kerajaan belanja RM6,700 juta untuk membeli kapal peronda TLDM walaupun Malaysia adalah anggota treati antarabangsa anti perang dan berada di luar zon perang,” katanya.

Beliau berkata pengurusan kewangan yang lemah dan tindakan boros kian serius dan menyeru rakyat berubah untuk menyelamatkan negara daripada menjadi muflis menjelang tahun 2019.

Malaysiakini/-