23 June 2010

Legenda Mata Air Unta Putih

10 Rejab 1431 H

Etnik Salar merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka kebanyakannya tinggal di Kaunti Autonomi Etnik Salar Xunhua, Provinsi Qinghai. Etnik Salar mempunyai sejarah selama lebih 800 tahun dan kebudayaan yang gemilang.

Bertolak dari Xining, ibu kota Provinsi Qinghai dengan menaiki kereta dan melalui gunung-ganang serta bukit-bukau, tibalah di Xunhua, bahagian tenggara Provinsi Qinghai yang berdekatan Sungai Kuning. Walaupun Xunhua terletak di kawasan dataran tinggi, namun cuacanya amat selesa seperti di kawasan selatan China.

Semakin dekat dengan Xunhua, semakin ramai kelihatan penduduk Etnik Salar berjalan-jalan di kedua-dua belah jalan. Ada wanita etnik tua Salar berjalan sambil memegang sebatang cangkul, nampaknya baru selesai bekerja di ladang dan akan pulang ke rumah. Ada juga pemuda etnik Salar yang menunggang motosikal dengan dibonceng oleh isterinya. Terdapat beberapa orang perempuan etnik Salar sedang bekerja di ladang, dengan tudung mereka telah menyerikan tanah ladang yang menghijau dan luas.

Mukim Jiezi di Xunhua merupakan tempat kediaman terawal bagi etnik Salar selepas mereka berhijrah dari Asia Tengah pada ratusan tahun yang lalu. Sebuah patung batu unta putih yang terletak di tengah persimpangan jalan merupakan mercu tanda Xunhua.

Unta putih dianggap sebagai lambang Etnik Salar. Han Fulin, seorang sarjana etnik Salar telah menceritakan sebuah legenda yang penuh keajaiban mengenai unta putih kepada wartawan. Legenda tersebut tentang penghijrahan Etnik Salar dari Asia Tengah ke timur dan akhirnya menetap di Xunhua sehinggalah sekarang.

"Mengikut ceritanya, lebih 800 tahun yang lalu, terdapat Puak Salar yang tinggal di Samarkand, Asia Tengah. Ketua Puak Salar, Mahmud al-Kashgari amat dihormati dan disayangi oleh rakyat tempatan sehingga beliau dicemburui oleh Maharaja negara itu. Maka puaknya yang dipimpin oleh Mahmud terpaksa berhijrah ke timur untuk mengelakkan malapetaka. Mereka berharap agar dapat mencari sebuah tempat kediaman yang damai dan harmoni.

Mereka bertolak menuju ke timur dengan membawa seekor unta putih. Mereka merentasi gunung-ganang dan merentasi padang pasir dengan keyakinan kepada Allah, sehingga akhirnya mereka tiba di kaki sebuah gunung berwarna merah di pesisir Sungai Kuning. Sewaktu itu, unta putih itu tiba-tiba menghilang. Barang-barang yang diangkut oleh unta putih itu termasuklah air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka serta senaskhah salinan al-Quran tulisan tangan yang sangat berharga, semuanya turut hilang. Mereka berasa sangat cemas dan mencari-cari sepanjang malam. Akhirnya mereka mendapati bahawa unta putih itu sudah menjadi sebuah patung batu di tepi sebuah mata air. Semua barang yang diangkut oleh unta putih itu tetap berada di atas bonggolnya.

Orang ramai berasa terkejut akibat keajaiban yang berlaku itu. Air dan tanah yang terdapat dari tempat asal mereka adalah sama dengan air dan tanah di tepi mata air tersebut. Sejak itulah, mereka telah menetap di tempat yang berdekatan mata air tersebut dan bergaul dengan etnik-etnik tempatan seperti etnik Tibet dan lain-lain. Puak tersebut ialah etnik Salar pada masa sekarang yang penduduknya seramai kira-kira 100 ribu orang. Manakala tempat kediaman mereka adalah Xunhua pada hari ini.

CRI/-

PAS Lenggong desak Ust. Zulkifli dibebaskan.


Haji Muhammad Zakaria (baju puteh), Isteri Ustaz Ibrahim (tudung muka), Haji Mahfudz dan Haji Razman


9 Rejab 1431H.
Khairul Azman Sakri

LENGGONG: PAS kawasan mendesak kerajaan Malaysia melalui Menteri Luarnya menangani isu penahanan seorang rakyat negara ini, Ustaz Muhamad Zulkifli Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir, secara serius kerana mangsa pergi ke negara itu untuk urusan pelajaran.

Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, berkata Ustaz Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Ustaz Ibrahim tidak mempunyai rekod yang beliau terbabit dengan sebarang kegiatan bertentangan dengan undang-undang negara dan tidak menyertai mana-mana jamaah yang diharamkan di negara ini.

Katanya, pemergian Ustaz Zulkifli hanya atas urusan untuk menyambung belajar di Universiti al-Azhar bagi peringkat Master, bagaimanapun ketika proses penerbangan balik pada 13 Jun lalu beliau ditahan pihak berkuasa Mesir.

"Semasa proses check out di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, sewaktu beliau berurusan dengan pihak imigresen, beliau ditahan sedangkan isteri dan dua anaknya tidak tahu apa-apa.

"Akhirnya apabila kapalterbang berlepas, beliau tidak bersama dengan isteri dan dua anaknya yang baru berusia dua dan tiga tahun," katanya sehari selepas pulang dari menemui Ahli Parlimen Pokok Sena, Yang Berhormat Datuk Mahfudz Omar dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen 21 Jun lalu.

Haji Razman berkata, penahanan oleh pihak berkuasa Mesir langsung tidak dimaklumkan kepada keluarga beliau di Malaysia, malah kerajaan sendiri tidak memaklumkan kepada pihak keluarganya.

Katanya, berikutan itu, 20 Jun lalu beliau ditemui bapa Ustaz Zulkifli, iaitu Haji Muhammad Zakaria Abdullah, 62, mengadu hal anaknya, membawa kepada pertemuan dengan Datuk Mahfudz dan Menteri Luar.

Selepas pertemuan itu, katanya Menteri Luar membuat kenyataan akhbar dan berita mengenai penahanan Ustaz Zulkifli yang juga bekas Calon Parlimen PAS Kawasan Lenggong itu disiarkan akhbar arus perdana hari ini (22 Jun).

"Saya mewakili PAS Lenggong, mendesak kerajaan Malaysia menangai masalah Ustaz Zulkifli dengan serius sehingga beliau dibebaskan oleh pihak berkuasa Mesir kerana Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak itu tidak bersalah.

"Saya juga berharap supaya keluarga Ustaz Zulkifli bersabar atas ujian yang dihadapi dan berdoalah supaya Ustaz Zulkifli dapat pulang segera ke pangkuan keluarga," katanya.

Speaker lawan speaker: Rayuan Sivakumar ditolak

9 Rejab 1431H.

Panel hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan tindakan mengheret Speaker Perak yang digulingkan, V Sivakumar, dari kerusi dan dikurung selama dua jam ketika tragedi rampasan kuasa 7 Mei lalu adalah sebahagian daripada prosiding Dewan Undangan Negeri.

Justeru, undang-undang Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk mengadili keganasan berkenaan - demikian keputusan Mahkamah Rayuan sebelum mengugurkan rayuan V Sivakumar.

Panel tiga hakim - Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk KN Segara dan Datuk Abdul Wahab Patail sebulat suara menguatkuasakan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan dalam menolak rayuan saman Sivakumar terhadap speaker lantikan BN, R Ganesan.

K
eputusan berkenaan disepakati sebelum kedua-dua pasukan peguam selesai membuat penghujahan masing-masing.

Panel tiga hakim juga memerintahkan Sivakumar supaya membayar RM20,000 sebagai kos perbicaraan.

Panel hakim itu bagaimanapun tidak memberikan alasan mereka membatalkan saman ADUN Tronoh itu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak saman Sivakumar menuntut pampasan dan ganti-rugi daripada Ganesan kerana mengarahkan serangan dan penahanan tidak sah terhadap dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Azahar Mohamed memutuskan bahawa badan kehakiman tidak boleh mempersoalkan kesahihan mana-mana prosiding Dewan Undangan Negeri seperti yang ditekankan Artikel 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Azahar dalam mengugurkan saman tersebut berkata hal-ehwal perlantikan dan perlucutan Speaker harus dikaji, dibahas dan diselesaikan dalam dewan legislatif dan bukan di mahkamah.

Dalam perbicaraan hari ini, peguam Sivakumar, Chan Kok Keong, berkata perkara yang dikemukakan dalam saman itu boleh dibicarakan bagi menentukan sama ada peristiwa yang didakwa Sivakumar sebagai serangan dan salah penahanan beraku semasa persidangan DUN adalah arahan bagi Ganesan untuk dilindungi uminiti.

Beliau berkata pemilihan Ganesan dan tindakan untuk menyingkirkan Sivakumar dilakukan di luar persidangan dewan kerana ia dilaksanakan sebelum Raja Muda Perak menyampaikan titah ucapan perasmian.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, peguam Ganesan, berkata anak guamnya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Speaker yang sah mengikut kuasa diberikan kepadanya mengikut Perlembagaan Perak, Peraturan Mesyuarat dan amalan persidangan.

Katanya pada hari ini, DUN telah menyelesaikan isu penyingkiran Sivakumar dengan sokongan majoriti 31 wakil rayat dan kemudiannya melantik Ganesan sebagai Speaker.

Firoz berkata selepas Ganesan dilantik sebagai Speaker baru, beliau mengarahkan Sivakumar supaya kembali di tempat duduknya tetapi Sivakumar enggan menyebabkan Ganesan mengambil tindakan bagi memindahkan Sivakumar daripada tempat duduk Speaker.

Malaysiakini/-

PARLIMEN BATU - BERITA BAIK BUAT NAJIB, MENGAPA YB ZUL TURUT GELABAH?

9 Rejab 1431 H
Oleh: WFAUZDIN

"Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ghazali Cha memutuskan tidak perlu disemak semula penghakimannya yang mengurangkan hukuman ke atas ahli parlimen Batu, Tian Chua kepada denda RM2,000.

Bagaimanapun, menurut peguam Tian, hakim turut menegaskan sekali lagi bahawa niat beliau adalah jelas dan beliau tidak mahu pilihan raya kecil diadakan bagi kawasan parlimen berkenaan." (Petikan dari TV Selangor, selanjutnya di sini).

Satu berita baik buat Najib dan sekutunya di dalam Bn. Najib harus mengadakan doa kesyukuran serta berterima kasih kepada Yang Arif Hakim yang secara tidak langsung menyelamatkan maruahnya dan parti yang dipimpinnya. Ketakutan untuk menghadapi Pilihanraya Kecil pada waktu sekarang bukan sahaja dirasai oleh Najib dan gerombolan Bn, tetapi juga turut dirasai oleh gerombolan MP yang bermuka tebal dari Bebas. Bukankah mereka sepakat mengatakan PR kini mulai kehilangan sokongan rakyat? Dan, jika terdapat Pilihanraya Kecil lagi tentunya amat merimaskan mereka.

Bagi kita di dalam PR, samada kerusi Parlimen Batu dikosongkan atau tidak, tidak menjadi masalah buat kita. Meskipun kita tahu bahawa kita bakal berhadapan dengan jentera kerajaan serta propaganda jijik dari puak mereka, namun kita tetap yakin dengan kekuatan rakyat. Saya merasa pening dengan ulasan dari MP Bebas, YB Zul Kulim di dalam blognya bahawa PR terutamanya DAP mahukan agar kerusi Parlimen Batu dikosongkan untuk memberi laluan kepada Dato' Zaid Ibrahim bertanding. Beliau berteori bahawa DAP berhajat mahu mengangkat Dato' Zaid sebagai Ketua PR sekiranya DS Anwar terpenjara.

Saya selama ini tidak pernah menyangka YB Zul Kulim mempunyai pemikiran politik serendah itu walaupun saya tahu beliau bukan seorang ahli politik yang berpengaruh. Baru saya tahu mengapa PAS sejak dulu tidak berminat untuk menyimpan YB Zul, dan mungkin DS Anwar memilihnya untuk bertanding di kerusi Parlimen Kulim Bandar Bharu pun semata-mata atas dasar simpati terhadap YB Zul. Jika beginilah pemikiran politik YB Zul, tidak salah pengundi-pengundi di kawasannya mulai menyesal memilihnya.

Tidakkah beliau tahu bahawa untuk menjadi Ketua PR mestilah dipersetujui sebulat suara di antara DAP dan PAS? Lebih penting dari itu, tokoh itu terlebih dahulu mesti dipersetujui dan disokong penuh oleh partinya sendiri sebelum dipilih oleh parti sekutu di dalam PR. Adakah Dato' Zaid boleh melepasi peringkat awal iaitu disokong oleh partinya sendiri iaitu PKR? Jika partinya tidak bersetuju, mana mungkin beliau boleh memimpin PR? Seandainya PKR bersetuju, belum tentu PAS dan pemimpin lain di dalam DAP akan bersetuju. Yang pasti juga, Dato' Zaid bukan calon paling sesuai mewarisi kerusi di Parlimen Batu.

Saya rasa tidak perlu kita membuang masa untuk memikirkan samada kerusi Parlimen Batu ini kosong atau tidak. Ini adalah kerana kita percaya akan ada usaha untuk mengelakkan Pilihanraya Kecil diadakan kerana Umno/Bn sudah tidak berdaya lagi untuk dimalukan. Itu yang pasti.

Kapal Iran Bersedia "Serang" Genting Gaza.

9 Rejab 1431 H
http://karyasinagarimba.blogspot.com

Negara rejim zionis makin pening kepala sejak kes bunuh 9 orang sukarelawan rakyat Turki atas kapal Mavi Marmara dilakukan tenteranya. Mereka jangka bila ada sukarelawan yang terbunuh. tiada siapa lagi yang berani ke Gaza. Kalau tidak, mereka juga akan terima nasib malang seperti sukarelawan ini.

Rupanya jangkaan rejim zionis ini melesat. Mereka makin naik darah dan tak lena tidur bila dapat tahu musuh no. 1, Iran berani menghantar sukarelawan ke Gaza pada 12Jun lalu dengan sebuah kapal dan masih dalam pelayaran ke Genting Gaza. Malah dalam masa terdekat, dua lagi kapal Iran dijadual berlepas menuju ke sana.

Namun, tak pasti sama ada kapal ini akan diiringi oleh tentera laut Iran. Kemungkinan besar Iran tidak akan menghantar tentera lautnya walaupun sekadar memastikan keselamatan sukarelawan rakyat mereka selamat tiba di Genting Gaza. Walaupun Iran berani berbuat demikian, namun sudah tentu mereka terpaksa memikirkan akibatnya jika sekiranya terjadinya pertempuran antara tentera lautnya dengan komando Israel.

Israel yang terkenal dengan kelicikan perang sarafnya pasti akan mewarwarkan kepada dunia tentera Iran datang dengan niat untuk memerangi tentera Israel. Lantas mereka terpaksa bertindak sehingga mungkin mengorbankan nyawa sukarelawan ini. Jika ada sukarelawan yang terbunuh, isu yang lebih besar ditimbulkan bukannya kezaliman komando Israel membunuh sukarelawan ini tapi agenda sulit kerajaan Iran menghancurkan negara Israel melalui misi serampang dua mata atas nama misi bantuan kemanusiaan.

Amerika, pak turut Israel sudah tentu akan termakan dengan tipu muslihat negara yahudi ini. Iran bukan saja bakal menerima hukuman lebih berat, atas alasan isu tenaga nuklear, yang digembar-gemburkan bakal digunakan untuk memusnahkan negara Yahudi ini, malah lagi dibimbangi isu ini akan digunakan Israel sebagai senjata untuk terus mengetatkan kepungan ke atas Genting Gaza.

Nampaknya keadaan sangat berisiko kalau Iran memutuskan menghantar tentera lautnya. Pertempuran boleh dijangka meletus jika komando Israel menggunakan taktik kejamnya semasa menembak sukarelawan rakyat Turki tempoh hari. Persoalannya, apakah tentera laut Iran akan berdiam diri bila melihat rakyatnya tumbang di muncung senjata tentera Zionis.

Dalam situasi Iran ditekan oleh kuasa besar dunia kerana isu nuklearnya, agak kurang sesuai kalau Iran tetap menghantar tentera lautnya dalam usaha menjayakan misi memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin.

Lagipun kapal bantuan kemanusiaan Iran ini tidak keseorangan. Pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan dan Free Palestine dari Lebanon juga akan menghantar bantuan yang disertai sekurang-kurangnya 50 wartawan dan 25 sukarelawan Eropah ke Gaza.

Pertubuhan Yahudi Jerman juga merancang menghantar kapal dengan 14 aktivis, pertengahan bulan ini.

Begitu juga Pertubuhan Free Gaza dan NGO berpusat di Britain, Viva Palestina yang dijadual menghantar 10 hingga 15 kapal ke wilayah Palestin itu, Oktober depan.

Dengan berpuluh-puluh kapal dari pelbagai negara bersedia "menyerang" kepungan Israel ke atas Genting Gaza, apakah negara Israel dan komando mereka berani mengapa-apakan sukarelawan ini. Kalau komando Israel masih mencari pasal, tidak mustahil negara mereka juga bakal menghadapi tentangan keras dari negara-negara yang terlibat dalam konvoi ini.

Judi Itu Haram TUN!

9 Rejab 1431 H
http://karyasinagarimba.blogspot.com

Saya agak terkejut bila baca komen bekas PM kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkaitan kelulusan lesen judi oleh kerajaan yang jadi kontroversi baru-baru ni.
Baginya, isu lesen judi sukan yang dibantah oleh Pakatan Rakyat untuk kepentingan politik semata-masa bukanlah disebabkan ajaran agama.

Katanya "Bantahan itu politik, bukan kerana Islam. Takkan DAP dokong Islam. Ini politik pembangkang, (sengaja) hendak cari isu," katanya pada perhimpunan Melayu Bangkit di stadium tertutup Kuala Terengganu pagi semalan. Walaupun tetamu khasnya Tun Dr. mahadhir tapi cuma dihadiri sekitar 600 orang sahaja.
Apa ni Tun. Jangan jatuhkan reputasi Tun sebagai negarawan terulung dengan kenyataan tidak islamik sebegini.

Isu judi ni tak boleh buat komen main-main. Benda yang diputuskan haram secara mutlak dalam Al-Quran tidak boleh tidak perlu diharamkan. Halal kena kata halal. Haram kena kata haram. Bukan agama Islam saja haramkan judi, agama lain juga menegah penganutnya terlibat dengan judi. Sebabnya banyak kerosakan bakal berlaku bukan saja kepada diri individu dan masyarakat bahkan juga kepada keharmonian sesebuah negara angkara judi.

Mungkin Tun perlu baca balik ayat Al-Quran ni.
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, judi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan kejitermasuk perbuatan syetan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu. (QS. Al-Maidah: 90)

Matlamat sesungguhnya tidak menghalalkan cara. Bila ALLAH dah berfirman, judi itu haram, kita wajib patuh tanpa cari alasan untuk menjustifikasi benarnya tindakan kita. Alasan takut berleluasanya perjudian haram itu beralaskan pemikiran sekular yang tidak diukur dari kaca mata Islam.

Cara penyelesaian Islam sangat jelas. Bukanya tidak ada jalan keluar bagi atasi masalah ini. Cara Islam mengawal sesuatu perkara maksiat dan dosa, Islam ajar umatnya dengan menyekat, mendidik, menjelaskan bahaya dan risiko dan akhirnya ancaman balasan pedih yang bakal diterima pelaku di akhirat jika tidak bertaubat dan berterusan melakukan perkara maksiat ini.

Tengok cara Islam atasi masalah zina. Bila Islam haramkan zina, Islam tidak kata jangan berzina tapi “jangan dekati zina”. Mukaddimah zina pun awal-awal lagi islam tutup rapat tak bagi dekat, apa lagi buat zina.

Dalam kes Islam larang Nabi Adam makan buah Khuldi, Allah katakan “Jangan dekati pokok buah Khuldi”, bukannya Allah katakan “Jangan makan buah”.
Inilah indahnya tarbiyah dalam Islam. Cuma kita yang butakan mata hari untuk terima penyelesaian cara Islam.

Kepada Tun, Serahlah kepada orang yang lebih arif - ulamak khasnya mufti untuk putuskan kedudukan lesen judi ni walaupun dah jelas haramnya.
Mungkin Tun begitu hebat sebagai negarawan terulung tapi hal-hal agama terutamanya yang berkaitan dengan sudut halal haram ni serahlah kepada yang lebih arif. Bukannya main redah jer bagi kenyataan walaupun kenyataan itu bakal menggugat akidah Tun sendiri.

Datuk Mana Kena Tarik Gelaran Lepas Ni?

9 Rejab 1431 H
http://karyasinagarimba.blogspot.com

Datuk pun dah tak selamat!

Nampaknya sehari dua ni musim Datuk kena malu. Apa taknya kalau gelaran yang glamour ni tiba-tiba terlucut dari badan pemunya. Tiada angin tiada ribut tiba-tiba beberapa orang individu bergelar Datuk kena tarik balik anugerah berprestij ni. Terkejut beruk siapa yang terlibat.

Ini yang kecoh sehari dua ni. Hari ini Kelantan ikut jejak langkah Johor menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada tujuh individu oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
Pada masa yang sama, Tengku Muhammad Faris juga turut menarik balik pelantikan Jaksa Pendamai (JP) terhadap tiga individu lain.

Antara yang terlibat adalah bekas Pegawai Kewangan Negeri, Shkori Mohamed,ahli perniagaan, Mohd. Raihan Datuk Seri Dr. Eusuff Teh, Senator Ahmad Rusli Iberahim dan beberapa orang lagi.

Sebelumnya, Johor terlebih dulu menarik balik gelaran Datuk kepada 4 individu. Selain Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, yang lain wanita Asia pertama yang merentasi kutub Utara dan Selatan Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Shaftdean Lufty Rusland dan Peguam Hassan Yunos.

Kita pun tidak tahu apa alasan pihak istana di kedua-dua negeri ini menarik balik gelaran Datuk kepada individu tersebut. Mereka tentunya tidak memberi alasan konkrit takut individu tersebut mendapat malu dan menjejaskan reputasi mereka. Oleh kerana ini kuasa raja atau sultan, tiada sesiapa yang berhak mempertikainya.

Bagus juga kalau pihak istana kaji balik anugerah gelaran Datuk kepada mana-mana individu. Sebabnya, dah bersepah orang yang pakai title Datuk kat Malaysia. Bila dah ramai pakai, gelaran ini dianggap tidak esklusif lagi. Kurang memberi nilai dan impak.

Ada orang memandang sinis gelaran Datuk ni. Kalau pergi mana-mana pasar besar dekat KL ni, kalau lempar je batu, mesti ada yang terkena kepala datuk ni. Betapa ramainya individu di Malaysia bergelar datuk walaupun sumbangannya tak seberapa. Umur baru 30-an tapi dah dapat title Datuk.

Pastu jasa yang mereka sumbangkan pun buat kita tersenyum "bangga". Berenang dalam lautpun dapat Datuk. Main sukanpun dapat Datuk. Panjat gunung pun dapat Datuk. Kan ke senang tu dapat Datuk kat Malaysia.

Sepatutnya kreteria penganugerahan gelaran Datuk perlu dikaji balik. Hanya individu yang memberi sumbangan besar kepada negara dalam tempoh yang agak lama wajar dianugerahkan gelaran Datuk ataupun Datuk Seri . Selayaknya mereka perlu berumur 40-an ke atas. Umur ini dianggap tempoh sesuai menilai iltizam, komitmen dan impak yang terhasil kepada negara dan masyarakat hasil dari jasa yang mereka taburkan.

Walaupun tempoh masa jasa yang mereka boleh taburkan tiada menghadkan dari segi kreteria umur, bahkan memang jelas hanya dari sudut kesetiaan, kerajinan dan perkhidmatan terpuji yang jadi pertimbangan utama untuk seseorang bergelar Datuk, tapi ukuran dari segi umur juga penting supaya Datuk muda ini mampu menjaga title Datuk agar tidak disalahguna dan terus dihormati masyarakat.

Sepatutnya jawatankuasa bahagian protokol istana harus telus dan teliti dalam menilai individu yang benar-benar layak dianugrahkan Datuk. Tujuannya supaya tidak menjejaskan imej institusi beraja itu sendiri.

SEKUTU APCO MEMELIHARA KATAK, SEKARANG MENCARI ULAR DALAM SEMAK PULA

9 Rejab 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

MUSIM untuk `shopping' MP-MP dari PR telah berakhir atau mungkin ke penghujungnya. Kini, `Shopping' terarah kepada para `alim ulamak' yang bersikap seperti `ular dalam semak'. Ular dalam semak seperti ini adalah juga `Syaitan bisu' yang digambarkan di dalam kitab yang mana mereka itu arif tentang agama tetapi bisu tatkala berdepan dengan penguasa.

Setelah mereka menyedari bahawa tidak berbaloi wang jutaan ringgit dibelanjakan untuk `membeli' spesis katak yang kini ada beberapa ekor, mereka terpaksa beralih arah kepada mereka yang sering memakai `kopiah putih' atau `bersongkok hitam' serta memegang sijil/ijazah tinggi di dalam bidang agama. Sehingga ke tahap Phd mereka akan cuba pikat dengan umpannya sudah pastilah untuk menyelamatkan umat Melayu dan Islam.

Kaedah itu sudah kita jangka kerana memang menjadi stail sekutu Apco ini akan melakukan apa jua agar cita-cita mereka tercapai. Cuma, mereka yang bijak dan pintar sahaja boleh membaca gerak tari sekutu Apco ini. Alim di dalam bidang ugama bukan bererti bebas dari godaan Syaitan.

Justeru itu, kita akan lihat nanti benarkah `shopping' ke atas ular dalam semak ini nanti berjaya mencapai ke tahap 100 orang atau mungkin lebih. Di saat kita dihidangkan di depan mata segala macam salah laku dan maksiat Penguasa, tidak terfikir oleh kita golongan agama ini terpedaya dengan tipu muslihat sekutu Apco. Memang benar, golongan Yahudi itu tidak kuat dan segagah mana tetapi mereka tersangat pintar untuk menipu. Jika tidak, masakan mereka masih menungkat langit di tanah umat Islam di Palestine.

Apa yang hendak dikisahkan jika ular dalam semak ini akan merayap ke dalam kem sekutu Apco. Bukankah sebelum ini mereka banyak membisu terhadap pemerintah? Kita tidak boleh melarang mereka untuk menjadi ular, kita hanya boleh mengingatkan sahaja. Kini, di pihak mereka sudah ada spesis `katak' dan tidak lama lagi ada pula spesis `ular'. Kita tunggu sahaja.

PAS Kedah sasar 20 kerusi DUN untuk PRU 13

9 Rejab 1431 H

HULU SELANGOR, 21 Jun: PAS Kedah mensasarkan kemenangan di 20 kerusi DUN dalam pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Untuk itu, usaha telah dibuat oleh Jabatan Pilihan raya Negeri (JPN) Kedah yang dipimpin beliau untuk mendaftarkan pengundi baru seramai mungkin bagi membantu rancangan PAS itu.

Phahrolrazi yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pelancaran gerakkerja Institut Latihan Pilihan raya PAS (Ilpas) dekat Batang Kali semalam.

Di majlis itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan empat modul latihan Ilpas untuk dilaksanakan pengarah JPN seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ke empat-empat modul itu adalah dasar PAS, undang-undang pilihan raya, teknikal dan strategi pilihan raya.

Phahrolrazi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang meramalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dan Selangor akan jatuh jika usaha untuk mendaftarkan pengundi baru tidak dibuat.

Menurut Phahrolrazi, kejayaan PAS memenangi 16 kerusi Dun dalam pilihan raya lalu di Kedah adalah kerana sokongan pengundi bukan Melayu.

"Sebab itu, kita menang di kerusi 60:40 (60 peratus Melayu) bukannya di kerusi yang pengundi Melayunya melebih 80 peratus," kata beliau.

Menjawab komen Abdul Halim itu, beliau bersetuju jika usaha untuk mendaftarkan pemilih baru tidak dibuat, kerajaan negeri Kedah boleh jatuh.

"Sebab itu, kita telah memulakan gerak kerja ini sejak awal tahun ini di Kedah. Hasilnya akan kita lihat Julai nanti apabila laporan suku kedua pendaftaran pemilih baru dikeluarkan oleh SPR," kata beliau.

Buat masa sekarang, katanya, pandangan Abdul Halim itu adalah berdasarkan angka sebelum ini.

"Saya harap angka itu akan berubah Julai ini. Namun secara peribadi, saya belum berpuashati dengan jumlah pengundi baru yang kita daftarkan di Kedah hatta untuk DUN saya sendiri," kata Adun Pengkalan Kundor yang juga Exco kanan kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Razak itu.

Harakahdaily/-

Isu Lompat Parti, Pengundian Semula Adalah Cara Terbaik

9 Rejab 1431 H
oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Isu yang hangat di Negeri ku ketika ini ialah isu lompat parti, dan saya rasa suka untuk mengulas perkara ini tanpa cenderung kepada mana-mana parti politik. Apabila seseorang itu melompat dari A ke B, pastinya terdapat sebelah pihak yang mendakwa sebagai khianat, dan sebelah pihak lagi akan bertepuk tangan.

Semalam, seorang sahabat saya bertanya tentang perkara ini, lalu saya menjawab mudah bahawa “cara yang terbaik ialah dengan pengundian semula”. Bermaksud, sekiranya terdapat calon di sesebuah tempat itu “melompat parti” tidak kira samada parti A ke B, atau B ke A, maka cara yang paling adil ialah dengan melakukan pengundian semula.

Ini adalah susulan daripada kepercayaan rakyat yang berada di bawah naungan calon tersebut, mencalonkannya atas dasar parti yang dipegangnya, bukan disebabkan dirinya secara peribadi. Namun, masih ada yang mempertikaikan, “apabila rakyat mengundi saya, bermakna mereka menyokong saya walaupun apa jua parti saya”.

Maka, jawapan sebegini boleh dijawab dengan “sila datangkan bukti rakyat sokong anda kerana diri anda, bukan disebabkan parti”. Maka, bukti yang paling sesuai ialah dengan mengadakan pengundian semula. “tanpa mengira arah lompat parti tersebut”.

Saya yakin, dengan membuat pengundian semula, ia akan meraikan banyak pihak, dan sistem demokrasi diamalkan dengan telus. Sekiranya tidak, rakyat seolah-olah ditipu dan dipermainkan. Bahkan lompat parti tanpa pengundian semula adalah di antara perbuatan zalim yang jelas menindas masyarakat yang mengundinya.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Dewan Rakyat tiada hak putuskan kes Tian Chua

9 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Dewan Rakyat tidak berhak untuk masuk campur bagi menentukan Tian Chua masih anggota Parlimen yang sah atau tidak.

Pengerusi Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, Edmund Bon (gambar) berkata, perlembagaan telah dipinda sebelum ini yang menetapkan Parlimen tidak berhak untuk campur tangan.

"Ia terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memilih pandangan denda RM2,000 sudah gugurkan hak Tian Chua sebagai MP Batu atau menyokong pandangan Hakim Ghazali Cha bahawa denda RM2,000 itu menyelamatkan kerusi itu dari kosong," kata Edmund kepada Harakahdaily.

Edmund mengulas pandangan Timbalan Spaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata ahli parlimen Batu itu boleh memilih untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika beliau tidak mahu kehilangan kerusi parlimennya itu.

Ini berikutan dari pandangan umum bahawa denda RM2,000 itu sudah menghilangkan kelayakan Tian Chua sebagai MP. Pandangan ini turut dikongsi oleh Karpal Singh.

Bagaimanapun, Edmund berkata, dalam satu kes di Mahkamah Persekutuan,
PP v. Leong Ying Ming (1993), hakim Gan Chit Tuan telah membuat tafsiran yang jelas dalam kes ini.

Dalam kes itu, hakim itu mentafsirkan, hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun bermakna lebih dari lima tahun iaitu lima tahun satu hari.

"Dalam kes Tian Chua, tidak kurang dari RM2,000 bermakna lebih dari RM2,000. Ini bermakna denda RM2,000 melepaskan Tian Chua dari kehilangan kerusi ini," kata Edmund.

Pagi tadi, dua peguam Tian Chua, Ranjit Singh dan Amir Hamzah telah menemui Hakim Ghazali Cha.

Dalam pertemuan itu, kedua-duanya memaklumkan hakim itu kes 1993 itu. Ini telah menguatkan lagi keputusan hakim itu yang berkata dalam penghakimannya sebelum ini, keputusan menurunkan denda kepada RM2,000 itu untuk membolehkan tidak ada pilihan raya kecil berlaku.

Ketika ditanya, apakah yang akan berlaku selepas ini, Edmund berkata, kini bergantung kepada SPR.

"Jika SPR putuskan Tian Chua hilang kerusinya, maka saya nasihatkan Tian Chua membantah keputusan SPR itu di mahkamah menggunakan kes 1993 ini ini.

"Lagipun, jika ini yang dipakai SPR bermakna Tian mesti lawan kerana jika beliau bersetuju bermakna beliau menerima untuk tidak menyertai sebarang pilihan raya dalam tempoh lima tahun dari sekarang kerana jika ini terpakai Tian hilang hak untuk menyertai sebarang pilihan raya selama lima tahun," katanya.

Harakahdaily/-

Wujudkah ulama tulen dalam Umno?

9 Rejab 1431 H
http://sauhdibongkar.blogspot.com

Bekas MB Perlis berkata, Umno bakal dimasuki oleh sekumpulan ulama tulen. Baginya ulama tulen adalah ulama yang sebelum ini tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

Di Malaysia, Umno telah mengenal pasti 100 ulama tulen yang bakal menyertai Umno. Salah seorang daripadanya adalah bekas Mufti Perlis.

Sama ada bekas Mufti itu bakal menyertai Umno atau tidak itu soal lain, tetapi beliau sebelum ini adalah ulama tulen kerana tidak menyertai mana-mana parti politik.

Kalau beliau masuk Umno, maka ketulenannya sebagai ulama terhakis sebab dia terikat dengan Umno.

Mengikut lojik bekas MB itu, maka Yusof Nor, Hamid Othman, Firdaus Ismail, Shamsul Najmi dan terbaru Jamil Khir (kalau boleh dikatakan ulama) adalah bukan ulama tulen kerana mereka terikat dengan Umno. Nakhaei juga bukan ulama tulen sebab menyertai Umno.

Maksudnya di dalam Umno tidak ada ulama tulen dan yang ada adalah ulama Umno atau ulama politik atau lebih kasar lagi ulama cari makan.

Wujudkah penghayatan agama dalam Umno?

Bekas MB itu menyarankan agar para ulama menyertai Umno untuk memperkukuh agama dalam parti itu. Soalnya ialah, adakah wujud penghayatan agama di dalam Umno? Adakah sekian banyak ulama yang ada dalam Umno sekarang tidak menyumbang untuk pengukuhan penghayatan agama dalam parti itu?

Maksudnya, Umno terpaksa menunggu 100 ulama itu menyertai Umno barulah wujud kekukuhan penghayatan agama.

Kalau mereka tidak menyertainya, tiadalah kekukuhan penghayatan agama itu. Nampaknya para ulama yang berada di dalam Umno selama ini tidak melakukan apa-apa untuk pengukuhan agama dalam parti itu.

Kalau penghayatan agama dalam Umno wujud dan kukuh, mengapa ulama Umno diam mengenai judi bola? Maknanya tak kukuhlah.

Betulkah 100 Ulama Akan Sertai Umno?

Saya fikir ini gimik politik murahan Umno. Saya yakin tidak ada seratus orang ulama yang akan menyertai Umno seperti yang diuar-uarkan itu. Tetapi kalau yang dimaksudkan ulama itu adalah guru-guru agama Kemas, ustazah Tadika Kemas, guru-guru kelas al-Quran, jangankan 100, melebihi angka itu pun boleh.

Namun, 100 ulama setaraf bekas Mufti Perlis, atau setaraf Nakhaei, kenyataan pemimpin Umno itu sekadar gimik sahaja, tidak lebih daripada itu.

Sekurang-kurangnya kenyataan itu menjadikan orang bercakap mengenai Umno, menumpu kepada Umno.

Itu juga sebagai usaha membentuk persepsi umum bahawa Umno juga mengutamakan agama. Politik adalah persepsi.

Dengan persepsi itu, diharap orang Melayu akan terus setia mengundi Umno dalam PRU akan datang dengan hujah Umno juga adalah parti agama.

Harakahdaily/-

Anda Tidak Akan Mampu Hentikan Putaran Bumi

9 Rejab 1431 H
oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com


Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lagi di takuk hari-hari semalam. Hari ini anda belum boleh mengubah diri anda walaupun masa itu sentiasa berubah dari saat ke saat. Semalam anda membuang masa, hari ini anda mengulangi perkara yang sama. Masa berubah, dan anda masih lagi belum berubah.

Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lena tidur. Bumi bergerak, dan ada masih lagi tidur. Masa tidak menunggu anda, tetapi anda menganggap masa itu terlalu lapang sehingga anda membuangnya. Anda menunggu hari esok sedangkan hari ini belum lagi habis tempohnya. Anda ingin mempercepatkan putaran bumi, sedangkan anda akan menyesali hari yang telah lepas.

Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lagi malas. Bumi tidak pernah berehat, dan anda sentiasa mengatakan “tidak cukup rehat”. Ia bergerak, dan anda malas untuk mengejar hari-hari yang berlalu. Anda masih ingin cuba menghentikan putaran bumi, sedangkan anda tidak pernah terfikir untuk mengejarnya.

Bumi sentiasa berputar, dan anda masih lagi tidak bertindak. Anda menyesal dengan hari semalam, tetapi tiada tindakan untuk “sekarang” dan esok. Anda mempertikaikan itu dan ini, sedangkan bumi akan terus berputar tanpa mempedulikan penyesalan dan pertikaian anda. Anda mengatakan “kalau begini.. kan bagus”, tetapi bumi tetap tidak menghentikan putarannya dengan keluhan anda.

Bumi sentiasa berputar, tetapi anda tidak berpijak pada realiti. Anda suka mencari fantasi sedangkan bumi tidak menghentikan putarannya untuk memberi laluan kepada anda untuk berfantasi. Setelah selesai berfantasi, anda akan menyesali kerana masa itu berlalu. Tetapi anda masih lagi mengulangi fantasi tersebut di esok hari.

Wahai manusia yang kerdil, anda tak mampu hentikan putaran bumi.

Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Fakulti Usuluddin, Jabatan Akidah dan Falsafah
Universiti al Azhar

Serangan pengganas talian hayat akhir untuk Umno

9 Rejab 1431 H
http://gemasuara.blogspot.com

Kenyataan ketua Polis negara kononnya akan ada serangan kumpulan pengganas ke atas rumah kuil Batu Caves dan kuil Kuan Yin Air Itam adalah sangat dikesali.

Kenyataan tersebut menunjukkan satu pakatan politik jahat antara Umno/BN dan Polis untuk menimbulkan ketakutan dan kemarahan masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan kumpulan-kumpulan Islam sekaligus secara halus untuk menjauhkan masyarakat bukan Islam dari PAS yang merupa Parti Politik Islam yang mendapat tempat di kalangan masyarakat bukan Islam.

Inilah kebimbangan yang menghantui Umno bila PAS secara terbuka menyatakan pada rakyat tentang gerakan persediaan PAS bersama PR mengambil alih Putrajaya.


Umno mengharap bantuan Musa Hassan serta PDRM bagi melindungi kepentingan kuasa politik mereka daripada gerakan PAS untuk ke Putrajaya bersama PR bagi membawa perubahan ke arah Malaysia baru yang lebih maju.Bagi Umno isu serangan pengganas adalah antara talian hayat terakhir Umno.

Kenyataan Musa juga sudah pasti akan disusuli dengan penahanan di bawah ISA ke atas individu yang takkan dapat dibukti sebarang bentuk pengakuan yang bakal diskripdramakan untuk tujuan politik murahan Umno.

Tindakkan ini sama seperti isu provokasi kalimah Allah bila mana Umno cuba menampil diri sebagai juara mempertahan Islam dalam usaha terdesak untuk mendapatkan kembali sokongan orang melayu Islam pada Umno.

Isu tersebut berakhir dengan pembakaran gereja dan surau untuk menimbulkan ketegangan dan menakutkan rakyat.semua itu berlaku hasil dari provokasi jahat Umno,tetapi ternyata rakyat mengambil tindakkan bijaksana dalam isu kalimah Allah dengan menolak provokasi jahat umno.

Kini sekali lagi Umno/BN cuba membawa pendekatan lapuk yang dirangka olih majlis keselamatan negara puluhan tahun lalu untuk menakutkan rakyat dengan isu isu keselamatan dan pembanggunan(KESBAN).

Ternyata Umno masih tidak berubah dalam usaha mempertahankan kuasa sedangkan pemikiran rakyat sudah beganjak jauh meninggalkan umno.Rakyat meminta integriti,demokrasi dan reformasi dalam urus tadbir negara.Tetapi Umno/BN membawa pendakata autokerasi dan kuku besi.

Rakyat perlu menghentikan perbuatan Umno mengadu dombakan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Sebaliknya rakyat mesti menunjuk jalan keluar pada umno untuk meninggalkan politik negara untuk diurus tadbir olih PR bagi membawa pembaharuan untuk negara dan rakyat yang lebih sejahtera.

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS,
Ahli Parlimen Pokok Sena.

Harakahdaily/-

Umno membisukan ulama

9 Rejab 1431 H
http://episodeperjuangan.blogspot.com

1. Kesempatan saya menziarahi bumi Sana'a dimanafaatkan sepenuhnya untuk bermujaalasah bersama ulama' - ulama' al amilin yang hebat dan terbilang di Yaman . Insyaallah , saya akan ceritakan kemudian beberapa mutiara ilmu dan berkongsi pengalaman berharga dengan sahabat - sahabat sekelian.

2. Ulama' adalan insan yang dimuliakan oleh Allah swt dengan ilmu dan keperibadiannya yang menepati ilmu yang dimiliki . Pun begitu , sebahagian ulama' ada yang mendapat kemurkaan dan kutukan Allah swt lantaran mereka mengkhianati ilmu yang dimiliki.

3. Menjual agama demi mendapatkan habuan dunia , mendiamkan diri tatkala berdepan maksiat dan mungkar , menyembunyikan kebenaran dan bertindak tidak berasaskan ilmu adalah contoh pengkhianatan terhadap ilmu Islam . Ulama' yang mengkhianati ilmu dan agama Islam ini turut digelar sebagai ulama' as Suu' [ jahat ] atau Syaithan Akhras [ bisu ] .

4. Sehari dua ini riuh rendah negara dengan berita kononnya 100 ulama' yang bertaraf sarjana dan memiliki Phd akan menyertai Umno . Berita ini sekali lagi menjadi fenomena sensasi negara, mungkin untuk menghiburkan rakyat yang sedang menderita ekoran peningkatan kadar jenayah dan kemungkaran yang melampau atau mengalih pandangan rakyat dari isu - isu negara [ seperti : rasuah , judi dll ] yang menuntut kesedaran dan kebangkitan mereka untuk membuat perubahan .

5. Umno dan BN adalah sebuah parti yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan mereka malah aktiviti mereka kadangkala tidak menghiraukan dosa dan pahala . Bahkan kerajaan yang mereka pimpin juga sering menganjurkan kemungkaran tanpa sedikitpun rasa bersalah sebaliknya mereka pertahankan segala dasar yang bertentangan dengan wahyu Allah swt .

6. Ulama' sebagai institusi yang hampir dengan agama dan dekat pula dengan Allah swt sewajarnya arif dan faham , dimanakah wajarnya untuk menempatkan diri mereka agar diredhai oleh Allah swt . Mereka jua selayaknya bijak menilai flatform manakah sesuai untuk mereka berperanan dan menjalankan tugas mengimarahkan ilmu yang mereka miliki .

7. Umno dan BN bukanlah sukar untuk dinilai . Malah sebelum ini UMNO pernah dianggotai oleh para alim ulama' sehingga wujudnya biro agama dalam Umno . Tetapi sejarah telah memahat satu iktibar yang perlu diinsafi sepanjang zaman oleh semua termasuk para alim ulama' sendiri . Membantah kemungkaran yang dilakukan oleh UMNO pada waktu itu termasuk judi yang dihalalkan oleh UMNO , maka sekumpulan ulama' yang dipimpin oleh Al Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Hassan , Al Fadhil ustaz Hj Ahmad Maliki , Al fadhil ustaz Hj Ahmad Badawi , Al Fadhil Tuan Guru Tuan Hj Ahmad Tuan Husein , Al Fadhil Tuan Hj Mansur dan ramai lagi telah keluar daripada UMNO lalu menubuhkan persatuan Ulama' Se Malaya dan kemudiannya menjadi Persatuan Islam Se Malaya dan kini PAS [ Parti Islam Se Malaysia ] .

8. Realitinya UMNO tidak sesuai untuk ulama' berperanan dan berfungsi sebagai pejuang , pemimpin serta penyelamat ummah yang meletakkan kepentingan agama mengatasi segalanya. Kecuali ulama' kelas kedua seperti ulama' dunia , ulama' jahat , ulama' cari makan , ulama' kuda kepang , ulama' terompah kayu dan ulama' bisu .

9. Ulama' yang masih kekal berada di dalam UMNO sehingga hari ini ialah ulama' bisu yang hanya mampu melihat kemungkaran dan kemaksiatan berlaku dihadapan mereka tanpa mereka mampu berbuat apa - apa . Sebaliknya ulama' - ulama' ini dijadikan alat untuk menyerang PAS . Mereka diam membisu tanpa sepatah kalimah apabila kerajaan menambah dan meluluskan lesen judi . Mereka membutakan mata dan memekakkan telinga tatkala berdepan dengan aktiviti mungkar yang dianjurkan oleh kerajaan UMNO dan BN . Lebih menyedihkan apabila ulama' ini diperlaku bagaikan lambakan kain buruk yang tidak bernilai dan hanya digunakan bila perlu . Itu pun sekadar untuk membaca doa di majlis keraian , mengeluarkan fatwa menyokong tindakan kerajaan dan berhujjah menghadapi hujjah dari PAS .

10. Menyertai UMNO seperti terperangkap di pasir jerlus . Sukar untuk menyelamatkan diri . Nilai hebat sebagai ulama' tidak diiktiraf sebaliknya mereka tidak ubah seperti orang awam malah lebih rendah daripada itu apabila peranan mereka dibatasi dan dihalang . Entah tidak diketahui sejak bila pula UMNO tahu menilai dan menghargai ulama' kecuali ulama' sering menjadi bahan cercaan pemimpin - pemimpin mereka . Hanya sehari dua ini UMNO berteriak mencari sokongan dan menggamit alim ulama' menyertai parti mereka. Jelas kelihatan mereka sangat desprade untuk mengekalkan pengaruhi mereka dikalangan ummat Islam .

11. Bagaimana mahu menambah 100 orang lagi ulama' ? jika ulama' yang sedia ada seperti Datuk Jamil Khir , mufti - mufti seluruh negara , Datuk Mashitah , Datuk Nakhaei , Hamid Othman , Yusuf Noor dan ramai lagi tidak dilihat mampu berfungsi dan berperanan membawa UMNO keluar dari perangkap jahiliyyah moden yang bertunjangkan fahaman sekular .

12. Isu ini menjadi menarik apabila sahabat saya Al Fadhil Dr Asri Zainal Abidin turut dikaitkan sebagai salah seorang dari 100 ulama' yang akan menyertai UMNO . Saya berdoa agar Dr Asri dan para alim ulama' tidak menyertai UMNO untuk meperkasakan dan memperkuatkan lagi perjuangan UMNO dan BN yang bathil . Bahkan hati kecil saya merasakan bahawa Dr Asri tidak akan menyertai UMNO . Kerana menyertai UMNO dan BN akan mencemarkan kewibawaan beliau sebagai seorang ulama' yang disegani dan dihormati oleh pelbagai lapisan masyarakat . Wallahua'lam bissowab , hidayah dan petunjuk adalah milik Allah swt dan ia mengurniakannya kepada siapa yang ia kehendaki .

13. Platform yang paling sesuai dan terbuka sebagai ruang untuk mereka para alim ulama' berfungsi dan berperanan mendaulatkan syariat dan memartabatkan syiar agama Allah swt ialah Parti Islam Se Malaysia [ PAS ] .

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Harakahdaily/-

JI dan militan, tanda pilihan raya dah dekat?

9 Rejab 1431 H
Oleh: Angkasanuri

Saya agak pelik dan keliru dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan perdana Menteri tentang kewujudan anasir Jemaah Islamiah JI dan militan di IPT dalam negara dan di Timur Tengah.

Pertama, mengapa kerajaan beria-ria mengumumkan dan mempertahankan ada pelajar dan pensyarah terlibat dengan JI?

Sepatutnya kerajaan melalui pihak keselamatan bertindak dengan menangkap pihak yang terlibat.

Bukankah Malaysia ada pihak polis yang cepat dan pantas bertindak? Bukankah Kerajaan 1Malaysia ada ISA yang sering digunakan kononnya dalam menangani kegiatan pengganas?

Mengapa kena dedahkan pada media tentang anasir JI yang didakwa wujud? Bukankah jika dakwaan tersebut benar maka pihak yang terlibat akan bertindak untuk menutup aktiviti yang dilakukan ataupun menghapuskan bukti.

Jika ada bom c4 misalnya pastinya bom itu telah disorok atau dibuang.Jika tidak pun seolah-olah memberi ruang kepada pihak yang mungkin terlibat untuk melarikan diri.

Maka sekarang menjadi tanggungjawab Menteri Dalam Negeri untuk membuktikan dan mengheret mereka yang terlibat dengan JI seperti yang didakwa.

Sekaligus pendedahan anasir JI yang didakwa satu tindakan tidak bijak dan menimbulkan 1001 persoalan.

Maka kerajaan 1Malaysia tidak boleh melenting seperti reaksi yang ditunjukkan Dato Hishamudin yang marah-marah apabila Dato Seri Anwar berkata isu JI adalah usaha Umno-BN untuk mengalih isu dalam negara.

Spekulasi bahawa isu JI ada motif tertentu semakin hangat apabila Perdana Menteri 1Malaysia terpaksa berusaha meyakinkan rakyat di negara ini bahawa anasir JI memang wujud. Umpama cerita Panglima Bujang Lapuk...Ini betul-betul...bukan cubaan.

Maka saya turut berspekulasi adakah pilihanraya umum ke 13 sudah semakin hampir? Skrip dan dialog yang macam sama.

Apabila ada isu militan seperti Tragedi Bukit Jenalek tidak lama dahulu maka tak lama kemudian parlimen dibubarkan.Lebih-lebih lagi kajian Merdeka Centre yang sering menjadi alat Umno-BN mengumumkan populariti Najib meningkat 70 %.

Jika betul itu angkanya maka istiharkan pilihanraya kecil di Parlimen Batu dan Kota Siputeh.Kita tunggu ihat nanti siapa yang dapat 70% sokongan rakyat.

Setakat ini saya melihat Umno-BN cukup bermadah dan berhelah untuk menghadapi pilihanraya kecil. Tetapi saya menjangkakan selewat-lewatnya selepas perbicaraan Liwat 2 DSAI berakhir. Kenapa dan mengapa anda pasti ada jawapannya.

Harakahdaily/-

Judi Sukan: Umno sokong, DAP dan Gerakan bantah

9 Rejab 1431 H
http://kentong-suhaizan.blogspot.com

Umno sebuah pertubuhan yang pernah mengelarkan dirinya sebagai pertubuhan orang Islam terbesar dan paling berpengaruh di Malaysia suatu masa dahulu tiba-tiba menjadi penyokong kuat kepada judi sukan.

Bermula dengan kenyataan Y.B Dato’ Dr. Awang Adek Hussin Timbalan Menteri Kewangan, kemudian disokong oleh Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad dan Dato' Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri . Mereka berhujah bahawa judi sukan adalah untuk orang bukan Islam.

Masyarakat Cina katanya memang sangat suka bermain judi. Oleh itu orang Islam mesti menghormati orang bukan Islam dengan cara menghalalkan judi sukan. Hujah kedua UMNO adalah jika judi sukan tidak dihalalkan pun judi tersebut berlaku secara haram dalam negara.

Pada pandangan Kerajaan Persekutuan judi sukan perlu dihalalkan bagi membolehkan kerajaan mendapat pendapatan daripadanya. Bermaksud judi itu menjadi haram jika tiada lesen, judi akan menjadi halal jika mempunyai lesen.

Setakat ini kita belum lagi mendengar kenyatan rasmi daripada sebarang pertubuhan orang-orang cina yang menyokong judi kecuali penyokong setia UMNO iaitu MCA.

Itupun sokongannya bersyarat iaitu mahu kerajaan memberi penekanan kepada penguatkuasaan undang-undang judi. MCA tidaklah menyokong judi sukan secara membuta tuli sahaja. Kalaupun orang-orang cina suka bermain judi tetapi mereka tidak mahu dilihat oleh masyarakat Malaysia sebagai pemain judi tegar.

Mereka sendiri tahu kesan kepada judi, boleh meruntuhkan keluarga dan masyarakat. Mereka juga faham bahawa berjudi adalah suatu tabiat tidak baik. Mereka pun malu kalau digelar tahi judi.

Penyokong paling setia UMNO dalam isu judi sukan adalah Tan Sri Vincent Tan. Beliau telah melaporkan kepada Suruhanjaya Securitii (SC) bahawa Syarikat miliknya Ascot Sport Sdn Bhd telah diberikan hak semula melakukan operasi judi sukan.

Oleh itu syarikat tersenarai BSKL, Berjaya Group sanggup membeli 70% sahamnya bernilai RM525juta. Kalau tidak kerana lesen judi, tidak mungkin Berjaya Group akan membeli saham Ascot Sport Sdn Bhd.

Tambahan pula Ascot adalah sebuah syarikat yang rugi mengikut laporan tahunan 2008. Bagi membersihkan diri Tan Sri Vincent Tan maka hasil jualan saham Ascot akan dihadiahkan kepada Yayasan Better Malaysia Foundation. Tan Sri Vincent Tan macam tidak dapat apa-apa daripada hasil jualan saham Ascot.

Adat orang berniaga kalau RM525 juta diderma maka yang bakal untung adalah berbilion-bilion. Masakan orang seperti Tan Sri Vincent Tan sangguh rugi kerana sebuah yayasan.

Kalaupun judi menjadi kegemaran masyarakat cina tetapi ia adalah suatu nilai yang tidak baik dalam masyarakat negara kita. Sepatutnya UMNO mendidik masyarakat Cina membenci judi. Itulah ajaran Islam sebenar.

Islam memang jelas menentang. Islam menganggap judi adalah amalan keji daripada perbuatan Syaitan. Orang yang bermain judi adalah melakukan amalan Syaitan. Maka wajib ditentang. Tidak mungkin UMNO suka rakyat Malaysia melakukan amalan Syaitan.

Enakmen negeri-negeri seluruh negara melarang orang Islam berjudi. Tapi semua orang pun tahu setakat mana enakmen ini berjaya menghalang orang Islam berjudi. Peraturan hanya setakat peraturan sahaja.

Akhirnya judi sudah membarah dalam masyarakat. Salah satu punca keruntuhan rumah tangga adalah judi. Judi yang ditafsirkan halal oleh pihak kerajaan persekutuan pun bersepah-sepah dalam negara.

Setiap pekan ada sahaja kedai ramalan ini kecuali Kelantan. Kerajaan Pakatan selain Kelantan sedang berusaha keras mengurangkan amalan ini. Malangnya kerajaan Persekutuan mahu meluluskan satu lagi lesen judi sukan.

Yang menariknya pertubuhan politik yang didominasi oleh masyarakat Cina seperti DAP dan Gerakan menentang judi sukan. Ahli Parlimen Rasah yang juga Ketua Pemuda DAPSY YB Loke Siew Fook menyatakan bahawa judi adalah suatu kebiasaan sesetengah orang Cina.

Judi bukan budaya masyarakat Cina. Beliau pun faham bahawa judi adalah tabiat tidak baik yang ada pada masyarakat Cina. Beliau merupakan pemimpin muda DAP yang secara konsisten menentang judi sukan di Parlimen.

Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan bahawa judi boleh mendatangkan kesusahan hidup kepada sesiapa yang terlibat termasuk masalah moral dan sosial. GERAKAN mengambil pendirian menentang promosi pertaruhan dan perjudian kerana mereka menyatakan bahawa rakyat Malaysia adalah penganut agama-agama terhebat di dunia.

Tan Sri Koh Tsu Koon menggunakan hujah agama bagi menentang judi sukan tetapi UMNO menggunakan hujah ekonomi untuk menyokong judi. YB Loke Siew Fook menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap kerajaan persekutuan yang tidak mengasingkan pendapatan hasil judi ini.

Beliau bimbang hasil duit judi ini akan digunakan untuk membina Masjid. Siapa yang lebih beragama antara UMNO, GERAKAN dan DAP?

Sebenarnya membunuh judi sukan adalah macam menembak menggunakan peluru penabur. Tembak menggunakan satu peluru sahaja tetapi yang kena bukan seekor tetapi lebih daripada seekor tupai yang mati.

Rakyat Malaysia menggunakan satu peluru sahaja iaitu peluru judi sukan. Rupanya bukan judi sukan yang mansuh, UMNO pun menggelupur kerana judi sukan termansuh. Barulah rakyat Malaysia faham rupanya ada kaitan antara Tan Sri Vincent Tan, judi sukan, UMNO dan Menteri Kewangan.

Seperti kata Dato Chua Jui Meng eloknya Umno kita beri kad merah sahaja dalam pilihan raya ke-13.

Harakahdaily/-

Kes enjin jet: Jual rumah untuk bayar ikatjamin

9 Rejab 1431 H
Oleh: Gavaskar Brian Raj

Keluarga sarjan tentera udara, N Tharmendran yang dituduh mencuri dua enjin jet pejuang, bercadang menjual rumah mereka untuk mengumpulkan wang bagi membayar ikatjaminnya sebanyak RM150,000.

Bapanya, N Nagarajah, 71 (kiri) berkata, mereka berhasrat untuk menjual rumah keluarga mereka di Kg Jiboi Ampangan, Seremban, kerana mereka tidak mempunyai cara lain untuk mengumpul wang tersebut.

"Anak saya meminta saya jangan menjual rumah keluarga, tapi saya tidak ada cara lain untuk mengumpul wang untuk membayar ikatjamin tersebut," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tharmendran, yang didakwa Januari tahun ini dengan tuduhan mencuri dua enjin J8521-jenis dari pangkalan TUDM di Sungai Besi, ditahan reman di penjara Sungai Buloh, menunggu perbicaraannya pada 19 Julai depan.

Nagarajah bagaimanapun menghadapi kesulitan untuk mencari pembeli rumah kos rendah mereka, yang dibelinya kira-kira 40 tahun lalu.

Bahkan, jika beliau berjaya menjual rumahnya, Nagarajah - seorang pesara - hanya boleh menjualnya sekitar RM95,000 - dan masih kekurangan RM65,000 untuk membayar ikatjamin anaknya itu.

"Jika saya mendapatkan menjua rumah ini, saya akan berpindah ke rumah anak sulung saya," kata Nagarajah.

Jumaat lalu, Nagarajah membuat laporan polis, mendakwa yang anaknya itu telah 'dipukul seperti lembu' oleh pegawai TUDM ketika ditahan di pangkalan Sungai Besi.

Malaysiakini/-

Wanita bantah disuruh buka hijab semasa temuduga

9 Rejab 1431 H

Seorang wanita Islam tidak berpuas hati kerana disuruh membuka hijab ketika menghadiri sesi temuduga di sebuah hospital di Northern Territory, Melbourne.

Akhbar Northern Territory News melaporkan bahawa berikutan aduan wanita berkenaan, pegawai Suruhanjaya Antipenindasan Northern Territory telah menjalankan penyiasatan berhubung kes itu.

Bagaiamanapun, pemangku pesuruhjaya Lisa Coffey enggan mengesahkan sama ada pihaknya telah menerima aduan tentang perkara tersebut.

Seorang doktor dikatakan meminta wanita berkenaan membuka hijabnya ketika menghadiri temuduga bagi jawatan dalam bidang pentadbiran di Royal Darwin Hospital tetapi wanita itu enggan berbuat demikian dan membuat aduan rasmi mengenainya.

Undang-undang Australia melarang perbuatan menindas seseorang kerana agama yang dianutinya.

Malaysiakini/-

GMJ pohon permit polis adakan protes 3 Julai

9 Rejab 1431 H
Oleh: Puteri Aida Haryani

Penganjur perhimpunan Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan memohon permit polis bagi mengadakan protes membantah lesen judi sukan pada 3 Julai di ibu negara.

Jurucakapnya, Suhaizan Kaiat berkata GMJ akan memohon permit itu Khamis ini untuk membolehkan peserta protes itu berhimpun di tiga lokasi - Masjid Negara, Masjid Jamek dan kompleks Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Beliau yang ketua penerangan pemuda PAS berkata, GMJ juga akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung isu yang sama kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Rabu ini.

Manakala pada 3 Julai ini, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong supaya lesen tersebut dimansuhkan.

"Kalau betul lesen belum dimansuhkan, kenapa kerajaan kata hendak tangguhkan (pemberian lesen). Maknanya lesen belum dimansuhkan.

"Tahun 2003, sebelum Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) meletak jawatan, dia anugerahkan semula lesen (judi sukan) kepada Ascot Sports Sdn Bhd. Malangnya semasa (Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri), tidak dibenarkan beri lesen itu.

"Apabila (Datuk Seri) Najib (Razak) jadi perdana menteri, beliau hendak buat pembaharuan semula. Kerajaan hendak teruskan (pemberian lesen) tapi desakan rakyat sebabkan ia ditangguhkan.

"Jika tiada desakan yang dibuat oleh rakyat, mungkin ianya akan diluluskan. Sebab itu kita tuntut supaya lesen itu terus dimansuhkan," katanya lagi.

Suhaizan berkata, beliau mensasarkan seramai 100,000 orang akan menyertai protes kali ini, selepas protes yang sama dijalankan di seluruh Semenanjung bulan lalu.

"Dari segi pemakaian, kita minta (peserta protes) memakai baju bola," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi, jawatankuasa penganjur tersebut akan bermesyuarat sekali lagi Rabu ini untuk membuat persiapan mengadakan protes tersebut.

"Jawankuasa tertinggi masih dalam perbincangan, masih belum dapat dipastikan lagi (NGO yang akan sertai)," katanya lagi.

Malaysiakini/-

Keshvinder: DAP Perak kutip tandatangan pengundi

9 Rejab 1431 H
Oleh: Humayun Kabir

DAP Perak akan melancarkan kempen mengutip tandatangan dari rumah ke rumah di Malim Nawar "untuk menuntut peletakan jawatan segera" ADUN Keshvinder Singh, yang keluar parti itu minggu lalu untuk menjadi Bebas yang mesra BN.

Ini akan memberikan peluang kepada pengundi di Malim Nawar untuk menentukan masa depan politik ADUN mereka, tegas naib presiden DAP yang juga timbalan pengerusi DAP Perak, M Kulasegaran (kiri).

"Kita akan kembali kepada para pengundi untuk mendapatkan keputusan mereka kerana mereka yang memilihnya atas tiket DAP dan merekalah yang harus memutuskan masa depan politiknya," katanya.

Kulasegaran menegaskan bahawa Keshvinder (kanan), yang tidak dikenali sebelum ini, memenangi kerusi tersebut bukan atas kekuatan personaliti politiknya, ketika bertanding kerusi tersebut pada Mac 2008.

Dengan demikian, katanya, Keshvinder harus meletak jawatan supaya pilihan raya kecil dapat diadakan bagi menguji populariti di kalangan pengundi.

Selepas keluar dari DAP, tambahnya, Keshvinder harus berani keluar berjumpa pengundi di kawasannya untuk melihat bagaimana reaksi mereka "pengkhianatannya" terhadap kepercayaan dan keyakinan mereka kepadanya.

Kulasegaran menegaskan di majlis anjuran parti itu di pasar basah Malim Nawar Sabtu lalu.

Beberapa pemimpin DAP negeri turut hadir untuk memperjelaskan mengenai "pengkhianatan" Keshvinder terhadap para pengundi.

ADUN Sungkai, A Sivanesan pula mencabar Keshvinder untuk menemuinya di bandar Malim Nawar pada jam 11 hari Sabtu atau hari Ahad untuk menjelaskan keputusannya kepada para pengundi, tetapi Keshvinder tidak tidak muncul.

Malaysiakini/-

Seorang Rakyat Malaysia Ditahan Di Mesir

9 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia berumur 41 tahun ditahan oleh pihak berkuasa Mesir pada 13 Jun lepas, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

"Wisma Putra menerima laporan pada 13 Jun daripada Kedutaan Malaysia di Kaherah mengenai penahanan seorang rakyat Malaysia, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, 41, oleh pihak berkuasa Mesir pada hari yang sama (13 Jun)," katanya dalam satu kenyataan di sini Iisnin malam.

Beliau berkata Muhamad Zulkifli ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum menaiki penerbangan pulang ke tanahair.

Katanya Muhamad Zulkifli masih dalam tahanan pihak berkuasa Mesir untuk siasatan lanjut dan Kedutaan Malaysia di Kaherah sudah membuat beberapa representasi konsular ke atas pihak berkuasa berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan itu.

"Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir sedang berusaha untuk menggesa pihak berkuasa Mesir untuk menyegerakan proses siasatan. Sekiranya tiada bukti yang kukuh untuk beliau didakwa, Wisma Putra akan menggesa kerajaan Mesir agar membebaskan Muhamad Zulkifli," katanya.

Menurutnya Wisma Putra akan terus memantau perkembangan kes itu dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Mesir.

mStar/-

Ulama Masuk Umno Hanya Mengorek Kubur Sendiri - PAS

9 Rejab 1431 H
Oleh: SIRA HABIBU

PETALING JAYA: PAS tidak gentar dengan strategi Umno untuk menarik lebih ramai ulama menyertai parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata parti itu tidak akan lemah walaupun lebih seribu ulama menyertai Umno.

"Ulama yang menyertai Umno itu akan hanya 'mengorek lubang untuk menguburkan' diri mereka sendiri kerana parti itu tidak akan memberi jawatan penting kepada pemimpin berkenaan.

"Kami tidak berasa terancam kerana akhirnya ulama yang menyertai Umno itu akan menjadi lemah,” katanya di sini hari ini.

Idris berkata demikian sebagai mengulas artikel Umno Online yang mendakwa 100 ulama termasuk bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan menyertai parti itu Jumaat ini.

Dalam entri terbaru yang dimuat turun di blognya semalam, Mohd Asri berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib ragu-ragu dengan dakwaan bahawa bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno.

“Saya tidak yakin Dr Asri akan bekerjasama dengan Umno. Jika beliau menyertai Umno maka tanggapan saya mungkin silap,” katanya.

Harun berkata ulama yang menyertai Umno adalah golongan yang tidak bertakwa.

“Ulama yang bertakwa tidak akan menyokong sebuah parti yang membenarkan judi dan penjualan minuman keras secara terbuka. Ulama yang tidak bertakwa adalah golongan yang tidak beriman kepada Allah,” ujarnya.

Jelasnya, PAS tidak merasa terancam dengan langkah Umno merekrut ramai golongan ulama.

“Umno telah lama mempergunakan semua mufti untuk kepentingan mereka selama ini,” katanya.

mStar/-