17 June 2010

Mustapa ganti Najib rasmi Kelantan Fiesta 2010

4 Rejab 1431 H
Oleh: Yusri Amin

KOTA BHARU, 16 Jun: Di sebalik pemulauan kepimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada perasmian Kelantan Fiesta 2010 malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak hadir pada majlis itu.

Walaupun mengikut jadual asal, majlis itu akan dirasmikan oleh Najib, tetapi beliau digantikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Lebih mengecewakan penganjur bersama program itu, Red Carpet Worldwide, apabila hanya kira-kira 300 sahaja yang hadir dalam suasana hujan lebat yang turun mencurah-curah selepas Maghrib.

Bahkan, ada di kalangan pengunjung yang berpatah balik kerana tidak selesa berada pada majlis itu, ditambah pula bekalan elektrik turut terputus.

Ini menyebabkan sistem pembesar suara gagal berfungsi yang memaksa Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno negeri berucap menggunakan loud hailer.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan negeri akan memulau majlis perasmian itu yang sepatutnya disempurnakan oleh Pemangku Raja Kelantan dan dihadiri Najib Tun Razak di pekarangan Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Ini kerana, katanya pihak penganjur mungkir janji dengan tidak membenarkan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berucap.

Tambahnya, penganjur bersama majlis itu, Red Carpet Worldwide Sdn Bhd telah melanggar syarat-syarat perjanjiannya dengan kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau yang juga Adun Bunut Payong berkata, mengikut perjanjian asal, Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra akan merasmikan fiesta itu dan Menteri Besar turut berucap, tetapi keputusan terbaru tidak membenarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berucap di samping tidak dirasmikan oleh Pemangku Raja.

Ekoran itu, jelasnya semua acara melibatkan kerajaan negeri seperti persembahan 1,001pesilat dan pembuatan gendang terbesar turut dibatalkan.

Sementara itu, Perdana Menteri yang membatalkan untuk merasmikan Kelantan Fiesta itu bergegas pulang ke Kuala Lumpur dengan penerbangan pada 10.30 malam.

Ekoran itu, RTM turut membatalkan untuk mengadakan siaran langsung.

Namun, RTM dalam Berita Jam 8 masih lagi mewar-warkan keberangkatan Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan untuk merasmikan program Kelantan Fiesta 2010 di samping menyatakan akan menyiarkan program itu secara langsung melalui TV1.

Tindakan terus menghebahkan keberangkatan Pemangku Raja sebagai strategi untuk menarik rakyat Kelantan ke majlis tersebut dan dilihat sebagai tindakan terdesak serta tidak menghormati institusi istana yang jelas melalui surat memaklumkan ‘atas sebab-sebab tertentu’ di mana Pemangku Raja membatalkan hasrat untuk merasmikan karnival itu.

Tindakan Umno negeri yang menaikkan banner dan bunting gambar Najib dan 1Malaysia sebenarnya suatu tindakan menderhaka walapun merasakan itu perancangan terbaik mereka, sebenarnya lebih memualkan rakyat Kelantan yang sememangnya tidak menyahut seruan 1Malaysia.

Harakahdaily/-

Penggadaian pangkalan TUDM bahayakan negara

4 Rejab 1431 H
http://gemasuara.blogspot.com/

Rancangan untuk menggadaikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kononnya untuk tujuan pembangunan membahayakan negara kerana ia bertentangan dengan konsep pertahanan menyeluruh.

Tindakan itu akan menyebabkan negara akan kehilangan sebuah pangkalan pertahanan di tengah bandar sedangkan ia merupakan satu elemen penting kepada pertahanan nasional yang menepati konsep dan perlaksanaan pertahanan menyeluruh (HANRUH).

Amat tidak wajar pangkalan pertahanan yang begitu strategik digadaikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan kroni pihak yang berkuasa sedangkan pengkalan pertahanan udara seperti di Sungai Besi masih dikekalkan di kebanyakan negara maju.

Pengkalan TUDM di Sungai Besi bukannya sekadar ruang-ruang pejabat malah ia adalah pusat operasi tentera udara serta pusat integrasi maklumat radar pertahanan udara di bawah tanah dengan hubungan terus dari Butterworth di utara, Kuantan di timur dan maklumat 'radar mobile' dari Bukit Ibam yang mana masa yang begitu lama terpaksa diambil untuk memastikan sistem tersebut betul-betul berfungsi dengan baik dan tepat.

Pengkalan itu juga merupakan pusat sistem MADGE (Malaysia Air Defence Ground Environment) yang menggunakan sistem Hughes Air Defence Radar.

Saya ingin mempersoalkan apakah jaminan kerajaan tentang jurang masa pemindahan (transfer gap time) yang mana akan melibatkan beberapa tahun lagi untuk "proofing" dan "commissioning".

Itu belum lagi diambilkira kosnya sedangkan segala kos yang tersembunyi dalam proses pemindahan itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh TUDM, angkatan tentera dan rakyat Malaysia.

Mengapa kerajaan buat-buat tidak sedar mengenai perkara itu sedangkan "electronic warfare" amat penting dan kritikal untuk pertahanan masakini.

Tidakkah pemindahan demi kepentingan komersil beberapa kroni itu akhirnya akan menjejaskan keupayaan sistem tersebut dalam mengumpul, menafsir, menyebar data-data dan memprogramkan semula "electronic warfare" termasuk dalam tindak balas elektronik dan langkah-langkah sokongan.

Saya juga yakin, oleh kerana pengkalan tersebut merupakan pusat operasi tentera udara (POTU), akan wujud tempoh tertentu yang mungkin panjang di mana negara kehilangan kawalan semasa proses pemindahan fasiliti penting itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang maklumat ke mana pemindahan akan dibuat dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengumumkan pangkalan tersebut akan dipindahkan ke satu tempat yang telah dikenal pasti dan beliau akan umumkan apabila tiba masanya kelak.

Bagaimana pula maklumat tentang kos perolehan , kos tidak langsung dan pampasan?

Adakah kerajaan akan mengulangi kesalahan yang dilakukan berkali-kali sebelum ini apabila ia menyisihkan komuniti tentera dari bandar seperti menjual Kem Majidee, Kem Transit Ampang, Markas 2 Div di Pulau Pinang, Kuarters Tentera di Batu Uban sehingga mengakibatkan negara ketiadaan fasiliti "back up" yang penting untuk keselamatan negara.

Adakah tentera negara kita hanya layak tinggal di pendalaman dan dalam kuarters flat tanpa halaman?

Mengapa hendak dimusnahkan keadaan pangkalan Sungai Besi yang kemas dan tersusun dengan binaan kuarters yang selesa dan dengan infrastruktur yang tersedia untuk memberi pulangan kepada beberapa kroni untuk membuat binaan konkrit yang bakal menjadi satu lagi projek gajah putih memandangkan ruang pejabat di Kuala Lumpur pun berlebihan tanpa mengambil kira ruang-ruang yang pejabat yang tidak digunakan di Bangsar South, Petaling Jaya, Cyberjaya dan lain-lain.

Penggadaian pangkalan TUDM di Sungai Besi yang begitu established memusnahkan peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara sedangkan ia adalah pangkalan udara yang pertama di negara ini.

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

Harakahdaily/-

Karnival Kelantan: MB, Exco tidak akan hadir malam ini

3 Rajab 1431H.
Harakahdaily/-

KOTA BHARU, 16 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama dengan Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak akan menghadiri majlis perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 yang akan berlangsung pada malam ini.

Ini kerana, pengurus acara berkenaan, Red Carpet Worldwide, didakwa telah melanggar dan tidak menghormati persetujuan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra yang telah bersetuju untuk berangkat bagi merasmikan fiesta berkenaan sebagaimana yang dipersetujui banginda menerusi surat bertulis 14 Jun lalu juga tidak akan hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengerusi Karnival Kelantan Fiesta 2010, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, kerajaan negeri telah diketepikan dan tidak dihormati dalam membuat keputusan.

“Mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk tidak mengambil bahagian dalam program Fiesta Kelantan yang akan berlansung bermula 16 hingga 19 Jun ini.

“Pihak Red Carpet tidak menghormati persetujuan dan persefahaman yang diberikan oleh kerajaan negeri, antaranya kenyataan rasmi Red Carpet Worldwide, di dalam akhbar mengatakan yang merasmikan program ini adalah Perdana Menteri,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini tengah hari tadi.

Red Carpet Worldwide, melalui siaran-siaran di seluruh bandar, mengatakan mereka adalah penganjur dengan kerjasama sahaja daripada kerajaan negeri.

“Ini satu gambaran jelas perlanggaran persefahaman oleh Red Carpet Worldwide,” ujarnya.

Takiyuddin menambah, beliau turut dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustafa Mohamad, bahawa Menteri Besar Kelantan, tidak dibenarkan untuk berucap dalam majlis berkenaan walaupun juga telah dipersetujui sebelumnya.

Pada 5 Mei lalu, Exco telah bersetuju untuk menganjurkan program itu secara bersama antara kerajaan negeri dengan Red Carpet Worldwide dengan beberapa syarat.

Katanya, sebelum ini program berkenaan dirancang antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan Red Carpect yang bertindak sebagai event management.

“Antara syarat yang dipersetujui bersama antaranya majlis perasmian itu akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan, Muhammad Faris Petra.

“Yang keduanya, antara yang bakal berucap pada majlis itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” ujarnya.

Katanya lagi, Pengerusi Jawatankuasa Induk juga telah melantik empat orang anggota Exco kerajaan negeri bagi mengurus program tersebut.

Jelasnya, antaranya Haji Abdul Fatah Mahmud, Datuk Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, Dr Muhammad Fadzli Hassan dan beliau sendiri mengikut portfolio masing-masing.

Katanya lagi, keempat-empat Exco berkenaan juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk telah diberi tanggungjawab untuk mengangkat surat kepada Pemangku Raja untuk menjemput bagi merasmikan majlis berkenaan pada 16 Jun, iaitu malam ini.

“Alhamdulillah dua hari lepas, iaitu 14 Jun lalu saya telah menerima surat dari istana memaklumkan Pemangku Raja telah menyatakan persetujuan baginda untuk berangkat malam ini di stadium.

“Namun beberapa hari ini, kerajaan negeri mendapat maklum dan telah ditunjukkan bukti yang jelas pihak Red Carpet Wordwide tidak mematuhi persetujuan dan persefahaman yang telah dicapai bersama,” ujarnya lagi.

Katanya, jika Menteri Besar tidak berucap, kemungkinan pihak Red Carpet akan berucap bersama Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengumumkan untuk menarik diri dari menyertai program berkenaan di mana semua pemimpin kerajaan negeri, para pegawainya juga tidak akan hadir malam ini.

Jelas Takiyuddin lagi, acara-acara yang bakal dipersembahkan malam ini melalui TIC seperti persembahan 1,000 pesilat, persembahan gendang besar, kejohanan bola sepak street soccer dan program di bawah majlis kerja raya juga ditarik balik.

UNDI UMNO = SOKONG YAHUDI DAN JUDI

3 Rejab 1431 H
Oleh: Nash Ar-Rawy

Yahudi zionis sememangnya mahu melihat umat Islam rosak dengan judi; sekaligus menjadikannya sumber haram negara yang tiada mendapat barakah . Apalagi, untuk menjadi sebuah negara yang “ Baidatun toiyibatun warabbun ghafur” ( Negara yang makmur, aman damai dan mendapat keampunan Allah)

Di sinilah peranan APCO selaku konsultansi negara ke arah kehancuran ummah, institusi keluarga dan negara. Ternyata Umno tiada agama kerana tergamak untuk merosakkan sistem sosial demi untuk mengaut rasuah politik sebanyak RM525juta; mengaut keuntungan secara haram kepada Negara; demi kelangsungan jelmaan DEB iaitu, MEB untuk mengkayakan lagi kroni seperti Vincent Tan .(taukeh judi).

Ternyata UBN bukanlah parti pemerintah yang bersih dan tiada daya usaha langsung ke arah pembersihan negara daripada elemen-elemen subahah dan dosa kerna bukan kali ini UMNO menerima Yahudi Zionist selaku penasihat Negara. Bahkan, di era Tun Mahadir lagi Umno sudah ‘engaged’ syarikat yahudi Zionis . Iaitu, Sathy and Sathy selaku propagandis kerajaan UBN dan pilihanraya . Tiada hairanlah mantan PM itu selepas menghadiri sidang PERKASA menjadi PERKASA JUDI dan menyokong judi bola dunia; sekaligus Umno memperkasamkan PERKASA.

Tuduhan mantan PM itu bahawa kerajaan PAS Kelantan cuma haramkan judi bola dunia semata-mata dan tidak judi empat ekor . Ternyata lidah putar alam beliau seperti dahulu kerna kerajaan Kelantan mengharamkan semua jenis judi termasuk empat ekor.

Inilah ajaran sesat Umno yang mendayusi para mufti menjadi setan bisu untuk menegurnya . Menteri agama Umno diam seribu bahasa.Umno ternyata tiada menjunjung perintah agama . Justeru itu, ulamak Umno seperti ‘ulamak’ yahudi bersubahah dengan kefasadan dan selama ini di’biro’kan sahaja di dalam Umno. Beristirehat dengan sogokan duniawi diperketiakkan Presiden mereka. Inilah Umno yang menipu penyokong Melayunya secara terang-terangan meninggalkan perintah agama yang bersubahah secara buta tuli kerna kepentingan projek dalam Umno . Itu pun, habuan buat kroni suku-sakat Umno-elitputra sahaja. Kalangan yang miskin dapatlah beras dua tiga kampit habuan bersubahah sokong merebahkan agama.. Lantaran, syirik bertuhankan benda dan manusia. Sekaligus, mengkhianati dan memperkosai kesucian agama Islam yang suci murni.

Umno menyesatkan orang Melayu terumbang ambing tanpa hala- tuju keimanan sekaligus menjadikan umat Melayu lemah tanpa agama. Agamalah yang menguatkan sesuatu bangsa bukannya bangsa yang menguatkan bangsa seperti yang terjadi kepada bangsa Arab yang meninggalkan Islam menjadi ‘subordinate’ Amerika. Tetapi, Amerika dan yahudi zionis gerun kepada Hamas Palestina( Gerakan Islam ) , Iran dan Turki yang berbangsa Parsi dan Turki bukan berbangsa Arab ; kerna dasar dan aqidatul Islamiyyah yang dijiwai dan diperjuangkannya; bukannya nasionalisma atau kebangsaan.

Kesesatan dan keterlanjuran Umno ini sudah tiada bisa ditransformasi lagi ; apalagi untuk direformasi kepada Islam kerna Umno tiada seperti PAS yang mempunyai Dewan Ulamaknya sendiri yang tiada bisa duduk ‘selesa’ ( ‘comfort –zone’) di bawah ketiak Presiden menjadi ‘Yesman”. Bahkan, PAS sebagai satu-satunya Gerakan Islam yang syummul meletakkan Presidennya di bawah pemantauan dan kuasa Majlis Tertinggi PAS . Iaitu, Majlis Syura Ulamak yang menjadikan Kitabullah, Assunnah , Kias dan Ijmak Ulamak sebagai tatacara prinsip perjuangan dan rujukan tertingginya.

Justreru itu , alhamdulillah Gerakan Islam PAS tiada seperti Umno yang terhanyut dengan aqidah sekularnya kerna PAS dipimpin dan dibimbing oleh kepemimpinan para ulamak yang tersohor , berintegriti , berilmu dan beramal dengan ilmu selaku ulamak yang hiraki mempertahankan sistem Islam dan keadilan Islam untuk semua.

Bahkan Majlis Syura Ulamak meluluskan Dewan Himpunan Penyokong PAS , dulunya dikenali dengan nama Kelab Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada bukan Islam yang menyokong keadilan sistem Islam untuk semua melewati batas ras, ethnic dan agama. Bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia yang senantiasa kontemporari sehingga hari kiamat. Sistem Islam lebih kondusif berbanding sistem sekular ciptaan manusia. Sistem Islam langsung daripada Tuhan yang Maha Bijaksana.

Apakah bisa kaum India, Cina, Siam, Kadazan , Iban dan Murut, umpamanya menjadi anggota sayap Pemuda atau wanita Umno ! Pastilah Umno selaku parti perkauman Melayu ( kaumiyyah) akan porak peranda. Sekarang pun sudah jadinya huru hara dengan komponen parti yang bernansakan kaum yang lain dalam BN seperti MCA dan MIC. Apabila setiausaha PM dengan terbuka menyelar kaum Cina sebagai pelacur dan kaum India sebagai pengemis! Namun , Akta Hasutan tiada dikenakan ke atasnya!

Ternyata Umno dengan dasar assobiyyahnya tiada bisa menyatukan komposisi kaum yang plural di negara ini kerna masing-masing adalah parti perkauman. UBN bermain dengan sentimen perkauman di dalam pilihanraya demi untuk meraih undi kaum masing-masing.

Yang terang dan jelas , perkara sekotor dan sejijik ini tiada berlaku dalam PAS yang sudah pun mempunyai sekitar 20,000 anggota DHPP dan juga pada DAP dan Keadilan yang bernaunsakan prinsip universal dan keadilan sejagat sebagaimana PAS : “Islam rahmatan lil’alamiin” ( ‘Islam Just For All’)

Jika dulu PAS di tuduh tiada layak memerintah kerna Malaysia masyarkat majmuk. Tetapi sekarang PAS sudah ada masyarakat majmuk dalam Dewannya. Bahkan sanggup berjuang untuk menegakkan keadilan Islam untuk semua .

Jika Umno Johor kecuali Muftinya , sudah berani menentang Presiden Judi mereka . Nah ! mari Johor bersama-sama dengan negeri-negeri perintah Pakatan Rakyat; Iaitu, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah mengharamkan judi bola. Dengan tiada membenarkan PBT mengeluarkan lesen premis judi . Bahkan negeri –negeri Pakatan tiada akan memperbaharui lesen premis judi yang baru . Kementerian Kewangan dengan sombong dan bongkak berdegil untuk hapus lesen judi sekali pun , masyarkat Cina sendiri daripada kalangan MCA dan DAP menentang judi kerna itu bukan budaya kaum Cina.Tetapi budaya penjudi ! Judi juga menggamit jenayah , Along dan budaya maksiat seperti merogol, zina , bayi longkang, pemabuk dan membunuh kerna darah termakan wang haram .

Umno , eloklah dibubarkan dan masuk Pakatan Rakyat jika Presiden judi mereka bertegak dengan kefasadan judi dan keluarlah daripada Umno beramai-ramai kerna Umno sudah tiada bisa lagi menyelamatkan , Negara , ummah dan agama . Bahkan , Umno menanamkan ajaran sesat lagi menyesatkan . Justeru, merosakkan agama bangsa dan tanah air. Untuk itu orang Melayu hendaklah menyertai Pakatan ; tawan Putrajaya dan Selamatkan Malaysia daripada SMS ( Satu Malaysia Sekular ) .Apalah ertinya menyokong Palestina –Gaza, sedangkan di waktu yang sama . Si hipokrit yang sama juga yang menyokong APCO ( Zionis Yahudi ) dan Judi !!!

BOLA SEPAK PERAK: PEMINAT DIDAHULUKAN

3 Rejab 1431 H
Oleh: safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih dikepimpinan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin selaku bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA) di atas sumbangannya memajukan pembangunan bola sepak Negeri Perak walaupun dengan pelbagai dugaan yang semua peminat sedia maklum.

Walaupun pelbagai usaha bagi membangunkan sukan rakyat iaitu bola sepak bukannya perkara mudah dengan di tambah campur tangan politik ketika Datuk Seri Nizar menerajui PAFA. Hinggakan Pasukan Seladang Perak nyaris-nyaris terlepas menyertai pertandingan Liga Malaysia akibat tekanan politik yang amat kuat ketika itu. Dengan usaha dan tekat yang tinggi Datuk Seri Nizar dan pasukannya, akhirnya Pasukan Seladang berjaya juga bersama Liga Malaysia tahun ini.

DPPN Pk amat bangga dengan iltizam dan semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Nizar walaupun tekanan yang di terimanya amat kuat, amat berkeyakinan akan pembangunan bola sepak tidak harus dipolitikkan. Usaha DPPN Pk bagi membantu Pasukan Seladang ketika kemelut kewangan yang mungkin menggagalkan penyertaan Liga Malaysia dapat sedikit meringgankan beban yang ditanggung oleh PAFA dengan kempen RM1yang telah dijalankan.

DPNN Pk juga berharap, Jawatankuasa sementara yang memangku pengurusan PAFA dapat terus meneruskan kegemilangan bola sepak Perak dan dapat memastikan agar sukan bola sepak negeri ini terutamanya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Majulah Sukan untuk semua.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Judi sukan: GMJ akan hantar memo kepada Majlis Raja-Raja

3 Rejab 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-Raja bagi menuntut kerajaan menarik balik lesen judi sukan yang telah dikeluarkan kepada Syarikat Berjaya Corporation.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen semalam, pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, GMJ akan berusaha untuk bertemu dengan Majlis Raja-Raja yang akan bersidang dalam masa terdekat ini bagi menyerahkan memorandum berkenaan

“Kita akan cuba untuk menyerahkan memorandum ini kepada Majlis Raja-Raja yang kebetulan akan bersidang tidak lama lagi,” katanya.

Semalam, GMJ telah menyerahkan memorandum berkenaan kepada beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional bagi diteliti untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

GMJ juga, ujarnya akan turut menyerahkan memorandum berkenaan kepada semua mufti di negeri-negeri agar mereka dapat mengeluarkan satu fatwa yang jelas mengenai pemberian lesen judi sukan itu.

“Memo juga akan diserahkan kepada mufti-mufti dan ahli-ahli Parlimen untuk diambil tindakan,” katanya lagi.

Memorandum berkenaaan juga mendesak kerajaan menjelaskan secara jujur kepada rakyat mengenai kenyataan yang dilihat bercanggah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menteri kabinet yang lain.

“60 NGO dalam GMJ menyatakan pendirian mendesak kerajaan membatalkan lesen judi ini dan mendesak kerajaan menjelaskan secara jujur kepada rakyat kenyataan mereka yang bercanggah antara satu sama lain. Ada yang kata sudah dikeluarkan, ada yang kata belum dikeluarkan lagi (lesen judi). Jadi rakyat mahu tahu mana satu kenyataan yang betul.

"GMJ turut mendesak semua kerajaan negeri menyemak semula kebenaran mengeluarkan lesen judi di negeri masing-masing dan mencontohi negeri Pakatan Rakyat.

“GMJ turut mendesak semua kerajan negeri menyemak semula kebenaran mengeluarkan lesen judi selain daripada negeri Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu memorandum berkenaan akan turut diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pejabatnya di Putrajaya, 23 Jun ini sebelum mengadakan himpunan ke Istana Negara pada 3 Julai depan.

“Kita juga akan serahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri pada 23 Jun ini dan himpunan ke Istana Negara akan tetap diteruskan seperti yang dirancang.

“GMJ menyeru semua turun dengan memakai jersi dan membawa bola sepak untuk menunjukkan bahawa kita menyokong sukan tetapi menolak judi,” katanya.

Turut bersama dalam sidang media itu dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh dan Ketua Penerangan, Salbiah Abdul Wahab dan beberpa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain.

Harakahdaily/-

Sidang Media Isu ADUN Malim Nawar.

ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim di dampingi oleh ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming (kiri) dan ADUN Tronoh, YB.Sivakumar (bertali leher)serta ADUN Mengelembu, YB. Lim Phek Her (kanan) sedang memberi kenyataan pada sidang media mengenai Isu ADUN Malim Nawar di Wisma DAP Perak di Ipoh pagi ini.

Terkini 10.25 Pagi : Sidang media,ahli parlimen Taiping cabar presiden MCA debat isu judi

YB. Nga Kor Ming dan ADUN lain menunjukkan akhbar berbahasa cina mengenai kenyataa Presiden MCA menyokong pemberian lesen judi bolasepak.

3 Rejab 1431 H

Ipoh : Setiausaha DAP Perak yang juga ahli parlimen Taiping dan adun Pantai Remis,YB Nga Khor Ming mencabar presiden MCA untuk berdebat dalam isu judi dimana-mana tempat dengan apa-apa bahasa pilihan,cina,kebangsaan dan inggeris. Demikian kenyataan media yang dikeluarkan di Wisma DAP disini.

Beliau mengulas kenyataan presiden MCA tersebut yang menyokong pihak kerajaan mengeluarkan lesen judi bola sepak.Katanya lagi dia menunggu jawapan dari presiden PAS itu untuk berdebat mengenai kebaikan dan keburukan judi.

-Catatan : Kenyataan penuh YB. Nga mengenai Isu ADUN Malim Nawar akan diterbitkan kemudian.

Ustaz Hassan kutubkhanah organisasi, perlembagaan PAS

3 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ustaz Hassan Shukri adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hassan ke rahmatullah pada petang semalam.

Menurutnya, sumbangan almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan.

Beliau menambah, sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah.

“Biar pun almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi beliau merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT itu.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, jenazah Ustaz Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih 2, Gombak kira-kira jam 10.25 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di pekarangan Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang disertai pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 1,000 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta.

Harakahdaily/-

Judi: Mahathir fitnah PAS, prejudis pada Cina

3 Rejab 1431 H

KUALA LUMPUR, 15 Jun: PAS kesal dengan komentar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh kerajaan Umno BN.

“Tuduhan beliau bahawa PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi di negara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.

Katanya, PAS jauh berbeza dengan Umno di mana walaupun Umno telah memerintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi.

Jelasnya, selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi, sementara di Kedah pula usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan Rakyat.

“Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat juga tahu bahawa lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tauke judi semasa zaman pemerintahan BN.

Baginya, Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi di negara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi.

“Beliau mungkin berfikir, jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini,” kata Idris lagi.

PAS juga, katanya amat kesal kerana Mahathir masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina di negara ini yang dalam pemikirannya dianggap sebagai kaum yang suka berjudi.

“Beliau hadir dan berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu semalam dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan,” ujarnya.

Menurutnya, tabiat judi adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka dan kerajaan mengambil kesempatan daripada golongan yang tidak berilmu itu dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut hasil perjudian.

Justeru, kata beliau sewajarnya kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah.

“Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi,” katanya lagi.

Idris menambah, rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi.

Katanya, kerajaan harus menjadi kerajaan yang membantu membina rakyat dan masyarakat ke arah yang lebih positif dan proaktif, bukannya menjadi kerajaan yang meruntuhkan akhlak rakyat.

Justeru, ujarnya lagi, jika kerajaan BN dikekalkan, maka sampai bila pun masyarakat di negara ini akan terus dipersendakan dengan dasar-dasar yang tidak progreasif dan hilang sifat holistiknya.

Harakahdaily/-