12 June 2010

Umno bukan pejuang bangsa dan agama

29 Jamadil Akhir 1431H.

KOTA BHARU, 11 Jun: Perwakilan Perak, Drs Khalil Idham Lim Abdullah menolak Umno sebagai parti yang memperjuangkan bangsa dan agama di negara ini kerana sanggup bersekongkol dengan APCO Worldwide.

Beliau berkata, dosa-dosa Umno perlu diterangkan kepada rakyat sehingga mereka merasa jijik untuk terus menyokong parti itu.

Katanya, apabila rakyat faham mengenai kedudukan sebenar, Umno akan menghadapi masalah pada pilihan raya umum ke-13 untuk mengekalkan kuasa.

Ketika membahas usul ucapan dasar Presiden di Putik petang ini beliau berharap PAS terus menggalas usaha untuk memasyarakatkan aktiviti bersama orang ramai.

"Tidak cukup untuk memberitahu rakyat perlu menolak Umno, tetapi hendaklah semua pihak dalam PAS terutama mereka yang menang dalam pilihan raya lalu hendaklah memasyarakatkan PAS, PAS Untuk semua," katanya.

Beliau turut menekankan pentingnya konsep 'parti menerajui kerajaan' sebagaimana
dipertegaskan ketika pemerintahan Pakatan di Perak sebelum ini.

Pakatan Rakyat di Perak, menurut Khalil bermula dari Gagasan Rakyat yang diketuai bekas pesuruhjaya, Ahmad Awang.

Beliau juga berkata, rampasan kuasa yang berlaku di Perak merupakan peristiwa yang sukar dilupakan rakyat di negara ini.

"Namun pengajaran dari rampasan kuasa itu membawa anjakan kepada rakyat memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan," katanya sambil menyifatkan kelainan sambutan terhadap muktamar kali ini.

Perwakilan Terengganu, Saiful Bahri Mohamad berkata, tema PAS Untuk Semua perlu diuar-uarkan dengan seluas mungkin.

Ini kerana beliau yakin bahawa perjuangan atas nama Islam tidak pernah diragukan, bahkan sejak 1959 hingga kini ahli dan pimpinan PAS beristiqamah dengan dasar perjuangan.

Ini berbeza dengan pemimpin Umno yang mengekalkan peraturan penjajah. Bahkan pada 1961, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman tidak mahu campur undang-undang Tuhan dengan undang-undang PAS bagi mengelakkan kononnya negara menjadi kacau bilau.

"Bagaimanapun, Umno pada PRU-12 lalu jelas menampilkan gelagat bagai 'harimau luka' bertindak macam kehilangan panduan. Mereka mencalarkan imej negeri yang dikuasai Pakatan bagi menaikkan imej Najib," katanya.

Justeru beliau mahu ahli dan pemimpin Pakatan menjauhi maksiat kerana ia menghalang kepada kejayaan gerakan Islam. Dan dalam masa sama negeri dikuasai Pakatan hendaklah mempamerkan imej yang baik.Harakahdaily/-

Pelancaran Psuka Pilihan Pemuda PAS Jeli.

29 Jamadil Akhir 1431H.

Drs. Khalil melancarkan Pasukan pilihan sebagai juara Piala Dunia 2010 Pemuda PAS Kawasan Jeli iaitu Argentina sempena dengan Ceramah Isu Semasa yang diadakan di Batu Melintang malam tadi.

Penyampaian sumbangan jersi Argentina dari Pemuda PAS Kawasan kepada wakil-wakil UPU setempat

Drs. Khalil sedang menyampaikan ceramahnya.

Wakil PAS Perak, Kedah dan Terengganu bahas

28 Jamadil Akhir 1431H.
Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Muktamar PAS kali ke-56 pada sebelah petang ini diteruskan dengan perbahasan ucapan dasar presiden.

4.53 petang: Perwakilan Kedah, Ustaz Ahmad Izzat Mohd Shauki sedang membahaskan ucapan dasar presiden.

Beliau menyeru semua pimpinan PAS di semua peringkat menonjolkan keadilan Islam agar PAS dilihat hebat oleh kawan dan lawan.

Pimpinan dan ahli PAS juga digesa menjaga rahsia parti bagi mengelakkan PAS dilihat berbalah sesama sendiri.

"Sekarang semua orang tahu nak jatuhkan Umno perlu naik kapal PAS", katanya.

PAS perlu mempunyai satu mekanisma mengurus kepelbagaian pandangan denga baik agar dilihat bersepakat.

Beliau juga menggesa pimpinan semua peringkat perlu wala' kepada pimpinan walaupun perkara tersebut tidak disukai.

Berhubung PRU-13, beliau mencadangkan calon Pakatan Rakyat ditapis sebelum dipilih bagi mengelak gejala lompat parti.

Selain itu beliau juga mahu pemimpin PAS memberi pandangan tuntas berhubung isu lompat supaya PAS dilihat memandang berat isu tersebut.

PAS juga katanya perlu menggunakan strategi yang disenangi semua kaum pada PRU-13.

4.26 petang: Perwakilan Perak, Drs. Khalil Idham Lim mengemukakan usul tahniah dan penghargaan serta menyokong ucapan dasar presiden.

Beliau berkata keadilan Islam terserlah dengan kehadiran DHPP pada muktamar kali ini sekaligus membuktikan sifat Islam sesuai untuk semua bangsa.

Beliau juga berkata Umno telah membawa malapetaka dahsyat apabila telah menghapuskan tulisan jawi, merobohkan sekolah agama dan meluluskan lesen judi.

Beliau berjanji Pakatan Rakyat Perak akan bekerja kuat merampas kembali pemerintahan negeri Perak.

Dalam pada itu beliau mencadangkan semua pimpinan PAS termasuk ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri berusaha menyampaikan mesej 'PAS for All'.

"Kalau bukan Islam berbondong-bondong menyokong PAS, kenapa orang Islam tak mahu menyokong PAS", katanya.

Beliau turut membentangkan beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh PAS untuk membantu Palestin.

"PAS perlu memainkan peranan yang lebih serius bagi memastikan hak rakayat Palestin dikembalikan kerana rakyat Malaysia masih kabur mengenai penderitaan rakyat Palestin", katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan seberapa ramai pendakwah disediakan bagi memberikan penjelasan mengenai masjid Al-Aqsa di Palestin yang ditawan oleh rejim zionis Israel.

4.05 petang: Perwakilan Terengganu Saiful Bahari Mamat menyokong ucapan terima kasih kepada kepada ucapan dasar presiden yang dikemukakan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah sebentar tadi.

Beliau mengucapkan tahniah kepada PAS yang berjaya mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Beliau berkata golongan bukan Islam telah menerima kepimpinan Ulama' dalam PAS. Ini ujarnya merupakan satu kejayaan PAS membuang momokan yang digunakan Umno Barisan Nasional untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat.

Beliau menyeru pimpinan PAS mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain termasuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi memastikan parti terus kukuh.

Beliau turut menggesa agar tarbiyah di kalangan pimpinan dikukuhkan bagi mengelak isu lompat parti.

"Yang lompat bukan ahli biasa tapi di kalangan pimpinan", katanya.

PAS sebagai parti government in waiting digesa mewujudkan hubungan baik dengan istana dan Sultan.

PAS Terengganu juga katanya yakin dapat mengambil alih pemerintahan negeri itu dan meminta pimpinan PAS mereka strategi.

Nasha:Saya pun tak mahu gambar dipamer

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

"Saya pun tak bagi gambar saya diletakkan (dalam bahan promosi muktamar PAS)."
Begitu reaksi spontan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa (kanan) bagi menjawab tanggapan bahawa beliau tidak diterima di Kelantan apabila gambarnya tidak dipamerkan pada poster atau kain pemidang sempena muktamar itu.

Semalam Bernama melaporkan seorang perwakilan membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS di muktamar dewan itu.

Bercakap dalam sidang media selepas muktamar PAS ke-56 di Pengkalan Chepa berhenti rehat tengah hari tadi, Nasharuddin juga menafikan hubungannya dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lagi mesra seperti dahulu.

Nasharuddin sebaliknya menuding jari kembali sambil menyifatkan wartawan yang menanyakan soalan itu "memang macam itu".

Turut hadir dalam sidang media itu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut menyampuk secara berseloroh:

"Kita tak faham soalan itu."

Hadi pula hanya menjawab ringkas: "Itu tidak ada sama sekali."

Harakahdaily/-

Hazizul dapat RM3,000 setelah lukisannya terpilih logo muktamar

28 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 11 Jun: Logo muktamar PAS ke 56 yang dilukis oleh Hazizul Hakim Mohd Jais telah membolehkan beliau membawa balik RM3,000 dari muktamar PAS hari ini.(Gambar: Hazizul menerima mok cek bernilai RM3,000 selepas logo ciptaannya terpilih)

Lukisan Hazizul telah dipilih memenangi pertandingan itu dan kini logo yang dilukis beliau telah digunakan sebagai logo muktamar PAS.

Hari ini Hazizul menerima mok cek beliau dari Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan disaksikan puluhan ribu manusia khasnya yang berhimpun di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik).

Di samping penyerahan cek untuk Hazizul, pentas muktamar PAS PAS kali ini juga menyaksikan pelbagai produk PAS di perkenalkan kepada hadirin.

Harakah melalui anak syarikatnya Telesign Comunication Sdn Bhd memperkenalkan telefon bimbit yang memuatkan pelbagai maklumat tentang PAS dan Islam.

Turut dibentang di pentas muktamar adalah beras organik yang dikeluarkan oleh Sunah Tani yang dihasilkan di sawah padi organiknya di Tunjung.

Turut menerima cenderahati khas berupa beras organik itu Presiden PAS sendiri di samping Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Lim Kit Siang.

(Gambar: Nik Aziz menyerahkan beras organik yang dihasilkan Sunah Tani kepada Presiden PAS)

Sunah Tani adalah projek padi organik yang diusaha atas inisiatif Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri Kelantan. Ia kini sedang dikembangkan di seluruh negara khasnya di Kelantan sendiri.

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali pula memperkenalkan Squad Prihatin dan Jejak Kasih untuk menghadapi gejala buang bayi yang sedang melanda negara ini. Squad ini akan masuk secara langsung kepada kumpulan ini untuk membimbing dan menyelamat mereka.

Presiden PAS juga melancarkan rekabentuk baru Dinar Emas untuk mempopularkan lagi penggunaan emas sebagai mata wanng atau bahan simpanan yang lebih stabil.

Harakahdaily/-

Anwar, Kit Siang sertai muktamar PAS

28 Jamadil Akhir 1431 H

KOTA BHARU, 11 Jun: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang menjadi antara tetamu penting dalam muktamar PAS ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini.

Kedua-duanya berjalan masuk bersama para pemimpin utama PAS yang diketuai Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta lain-lain pimpinan utama.

Turut sertai muktamar kali ini adalah para pemimpin kanan gerakan Islam seluruh dunia termasuklah dari Hamas yang sedang berdepan dengan tentera Zionis Israel sekarang.

Sebelum masuk ke dewan, Abdul Hadi telah memeriksa pembarisan Unit Amal dengan diiringi pasukan gendang Rebana Ubi Kelantan.

Dewan Muktamar Putik penuh sesak dengan perwakilan dan pemerhati serta tetamu dari luar negara. Tahun ini, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menghantar wakilnya buat pertama kalinya menyertai muktamar kali ini.

Sembilan wakil Hamas yang di ketuai Dr Munir Syed Garada turut menyertai muktamar ini walau masih lagi bertembung dengan tentera Zionis Israel.

Turut menjadi sebutan Pengerusi Tetap, Haji Abu Kassim Abdullah adalah sebahagian dari wakil NGO Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera Israel ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Majlis menjadi meriah dengan lagu nasyid Kelantan yang dinyanyikan sebaik sahaja pemimpin duduk selepas berdiri menghormati lagu Negaraku dan lagu PAS.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika memberikan ucapan berkata, ini adalah kali ke - 5 Muktamar PAS diadakan di Putik. Sebelum ini muktamar pernah diadakan di Markas PAS Kedah di Kota Sarang Semut, pada tahun 2008 di Stadium Indramulia, Ipoh manakala tahun lepas di Stadium Malawati Shah Alam.

"Langkah ini diambil supaya ahli dan penyokong kita dapat bersama pemimpin dalam majlis sebegini," kata Mustafa.

Muktamar kali ini juga menjadi sejarah kerana buat pertama kalinya disertai oleh DHPP yang baru sahaja dibentuk pada tahun ini.

Mustafa dalam ucapannya juga meminta semua ahli PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum ke 13 yang bakal diadakan tahun 2011 iaitu tahun depan secepatnya atau selewatnya tahun 2012 kerana BN takut dengan angka 13 dan ia tidak akan diadakan pada tahun 2013.

Harakahdaily/-

Muktamar Kelantan bakal saksikan kelainan

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mohd Rashidi Hasan

Kita amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas kehendak-Nya, Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-56, dapat berlangsung mulai 9 hingga 13 Jun 2010.

Muktamar kali ini diadakan di Kota Bharu, menjelang sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pemilihan Kelantan sebagai lokasi Muktamar kali ini begitu signifikan dan amat bermakna buat PAS, kerana ia merupakan tapak kekuatan PAS yang unggul sejak 20 tahun yang lalu.

Muktamar kali ini diserikan dengan kehadiran sayap baru PAS, iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai puluhan ribu ahli dari seluruh negara.

Melepasi usia setengah abad, menerajui beberapa buah kerajaan negeri, dijatuhkan, menjadi pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama, menjadikan PAS sebuah parti yang matang dan berdisplin.

Kini, PAS bukan sahaja dikenali sebagai sebuah parti Islam yang didominasi orang-orang Melayu, namun ia mendapat kepercayaan kalangan bukan Melayu dan bukan Islam untuk menjadi sandaran.

Keterbukaan kepimpinan PAS dan keadilan dalam pemerintahan PAS di beberapa buah negeri, menjadi asas kepercayaan ini.

Sebagai sebuah parti yang bertunjangkan Islam, memperjuangkan kepentingan Islam dan umatnya, namun PAS berjaya berlaku adil kepada semua golongan, agama dan kaum di negeri-negeri yang diterajuinya.

Keadilan inilah yang menjadi asas kepada kepercayaan. Keadilan inilah yang menjadi simbol perjuangan Islam, iaitu, jika kita mendasari pemerintahan negara dan negeri dengan asas Islam, Insya-Allah semua golongan akan menikmati keadikan yang sebaiknya.

PAS di bawah kepimpinan ulama, berusaha mengasaskan pemerintahannya dengan adil, saksama dan makmur, sebagaimana firman Allah (mafhumnya):

"....Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!" (Surah Saba, ayat 15).

Muktamar kali ini diadakan diketika kemuncak kepercayaan rakyat terhadap PAS dalam beberapa buah negeri yang dikuasainya, beserta dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat, direalisasikan di peringkat yang lebih tinggi.

Rakyat mahu melihat PAS dan Pakatan Rakyat terus mengungguli aspirasi rakyat, menjamin keadilan dan ketelusan, dengan terutama sekali menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Untuk itu, PAS seharusnya membuat persediaan daripada sekarang, PAS mest mempunyai kepimpinan dinamik, ahli yang mantap dan istiqamah.

PAS harus memperkukuhkan sistem tarbiyah dan memantapkan fikrah, agar segala jurang kelemahan dalaman dapat diperbaiki.

PAS juga tidak harus menoleh kebelakang. PAS harus melangkah ke hadapan. PAS harus memperkukuhkan Pakatan Rakyat, untuk bersama-sama menerajui negara.

Maka bersempena dengan Muktamar kali ini, amat diharapkan ia menjadi medan perbahasan yang menambahkan kematangan dan komitmen perjuangan.

Kepada Allah jua kita panjatkan doa agar segala usaha dan kerja-kerja Islam kita direstui dan dirahmati-Nya.

Selamat bermuktamar.

Harakahdaily/-

Laporan Muktamar sessi pagi

28 Jamadil Akhir 1431 H

Laporan Muktamar Tahunan PAS ke 56 dari Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) yang dibuat dari masa ke semasa sehingga sebelum berhenti rehat jam 11.40 pagi.

11.40 Muktamar telah ditangguhkan ke petang ini jam 3.00 petang.

11.35 Presiden lancar Dinar Emas dan Beras Tok Guru. Cenderahati juga diberikan kepada Anwar dan Lim Kit Siang.

11.30 Presiden PAS lancar Squad Prihatin untuk menyelamatkan golongan kumpulan yang berpotensi untuk membuang bayi. Squad akan masuk secara langsung kepada kumpulan untuk membimbing dan menyelamat mereka.

11.20 Presiden lancar telefon bimbit PAS yang mengandungi banyak kandungan untuk perkenalkan PAS. ia diijual melalui anak syarikat Harakah, Telesign Comunication SB.

11.15 Presiden PAS menamatkan ucapan dasarnya selepas berucap 1 jam 10 minit.

11.10 PAS kini telah diberikan peluang untuk bersama-sama menyelesaikan konflik yang berlaku di Yaman. Krisis yang sedang berlaku di Yaman boleh cetuskan perang yang dibimbangi jika ia tidak diselesaikan akan menyebabkan campurtangan pihak Barat di bumi para ambiya ini

11.05 Umno akan terus memberikan lesen untuk perjudian bukan setakat judi bola sahaja. Yang menariknya, parti yang bukan Islam dalam Pakatan menentang lesen judi ini tetapi sebaliknya Umno menyokong judi ini.

11:00 Model Ekonomi Baru akan melepaskan tanggungjawabnya kepada swasta. Ini akan akhirnya menekan ekonomi rakyat yang hanya senangkan kroni mereka. Ini selaras dengan apa yang diperkatakan oleh Ibnu Khaldun yang menempelak penglibatan kerajaan dalam perniagaan.

10:38: Biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya. Alhamdulillah PAS terselamat dari mereka yang khianat sebegini. Mereka sebenarnya jahil dan bercakap tanpa pengetahuan. Abdul Hadi juga meminta ahli PAS hanya menerima berita dari mereka yang adil dan tidak fasiq. Mereka juga diminta berhati-hati dengan pihak yang suka membuat fitnah.

10.30: Pilihan raya kecil Sibu telah berjaya merapatkan lagi semangat setiakawan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

10.20: Umno dakwa pembela Melayu dan Islam tetapi secara realitinya Umno sedang menghancurkan Melayu dan Islam. Ini kerana tindak tanduk Umno jelas merosak Melayu dan Islam. Tindakan Umno juga merosakkan negara bahkan juga kaum lain di negara ini. Kehilangan blok minyak rugikan negara ratusan bilion ringgit. Umno juga terperangkap dalam retorik perkauman yang jauhkan kaum lain di negara ini. Inilah kecelaruan yang di bawa Umno.

10.15 : Tema ucapan dasar Presiden PAS kali ini adalah 'Islam Adil Untuk Semua'. Ini kerana mereka yang adil lebih dekat dengan taqwa. PAS mahu keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira siapa mereka.

10.07 : Presiden meraikan tetamu dari Hamas Palestin, Al Adalah Maldives, MILF Filipina serta lain-lain tetamu. Beliau mengucapkan selamat datang kepada mereka dengan berucap dalam bahasa Arab untuk mereka.

10.05: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mula memberikan Ucapan Dasar.

10.00 : Pengerusi Tetap Abu Kassim mula berceloteh sebagaimana biasa. Beliau mengimbau kembali sejarah PAS. Antaranya dah ramai timbalan beliau (timbalan Pengerusi Tetap) yang dah meninggal. Beliau juga mengimbau kembali bahawa tembok PAS dengan bukan Islam yang dibina oleh penjajah dan Umno kini telah roboh. Kini Lim Kit Siang sudah berada di pentas utama muktamar kali ini.

9.45 : Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berucap meraikan para perwakilan, tetamu dan pemerhati. Beliau berkata, muktamar ini banyak mencatatkan sejarah antaranya dengan kehadiran perwakilan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS.

9.23 : Pengerusi Tetap,Ustaz Abu Kassim Abdullah mengambil tempat dan mengalu-alukan kehadiran bagi memulakan upacara perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 56. Ustaz Abu Kassim turut mengumumkan kehadiran 9 wakil Palestin yang diketuai Dr Munir.

9.10 : Ruang dewan dipenuhi perwakilan,pemerhati dan tetamu asing. Diatas pentas kelihatan pimpinan utama memenuhi ruang yang disediakan. Turut kelihatan Penasihat DAP, Yb Lim Kit Siang dan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Majlis dimulakan dengan hadirin berdiri menghormati lagu kebangsaan Negaraku dan lagu tema PAS. Tetamu kemudiannya dihidangkan dengan lagu dikir barat menyambut ketibaan hadirin ke negeri Kelantan.

9.05 : Pengerusi Majlis mengumumkan ketibaan Yab Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat memasuki dewan muktamar di sambut lanungan takbir, Allahhu Akhbar

8. 55 : Presiden PAS Yb Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tiba dan dibawa ke pentas khas bagi membuat pemeriksaan perbarisan Unit Amal

8.50 : Kelihatan perwakilan asing masuk ke dalam dewan mengambil tempat masing-masing. Turut kelihatan memasuki dewan, Ketua Umum PKR, Yb Dato' Seri Anwar Ibrahim memasuki dewan muktamar

8.30 : Dewan mula dipenuhi perwakilan dan pemerhati, turut kelihatan Setiausaha Agong PAS, Dato' Mustapha Ali dan beberapa pimpinan yang lain.

8.00 : Perwakilan dan Pemerhati mula mengambil tempat di dalam dewan.

Harakahdaily/-

Langsung: Muktamar diteruskan dengan sesi pembentangan laporan-laporan

28 Jamadil Akhir 1431 H

PENGKALAN CHEPA, 11 Jun: Muktamar PAS kali ke-56 pada sebelah petang ini diteruskan dengan perbahasan ucapan dasar presiden. REFRESH UNTUK KEMASKINI

4.05 petang: Perwakilan Terengganu Saiful Bahari Mamat menyokong ucapan terima kasih kepada kepada ucapan dasar presiden yang dikemukakan Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah sebentar tadi.

3.49 petang: Perwakilan Kelantan, Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah mengemukakan usul ucapan terima kasih kepada ucapan dasar Presiden.

Beliau berkata muktamar kali ini perlu dijadikan sebagai medan menjadikan harapan mengambil alih pemerintahan Malaysia sebagai realiti selepas pilihanraya ke-13.

Oleh sebab itu PAS di semua peringkat perlu diperkasakan bermula dari pimpinan sehingga kepada penyokong.

Beliau mencadangkan program yang terancang dan tersusun diadakan di semua peringkat selain daripada ceramah untuk memberikan penjelasan dan kefahaman kepada ahli dalam pelbagai isu yang timbul.

Beliau mengingatkan parti agar tidak melupakan pengundi asal iaitu pengundi yang beragama Islam dalam keghairahan menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Beliau juga berharap sebarang perbezaan pandangan diselesaikan secara dalaman dengan tidak menghebohkan kepada orang luar.

3.47 petang: Pengerusi tetap mengesahkan pembentangan laporan tahunan dan laporan kewangan 2009.

3.44 petang: Datuk Mustafa Ali memberitahu cadangan mengenai kad keahlian akan dipertimbangkan dan dibincangkan oleh pimpinan tertinggi.

3.38 petang: Dr Hatta Ramli menjawab persoalan mengenai pengurusan perbelanjaan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut. Beliau juga memberitahu PAS telah menetapkan untuk membina kompleksnya berhampiran dengan Sungai Merab, Selangor seperti yang dicadangkan sebelum ini.

3.30 petang: Perwakilan Kedah, Haji Adnan Saad ingin mengetahui punca peningkatan perbelanjaan pengurusan parti daripada 2008 hingga 2009. Beliau juga mahukan penjelasan berhubung pembinaan kompleks baru PAS.

Beliau mencadangkan kad keahlian yang bermutu tinggi diberikan kepada invidu yang mendaftar sebagai ahli PAS. Beliau juga meminta pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr. Mujahid Yusof Rawa memberi perhatian kepada borang keahlian PAS yang tidak meletakkan agama Hindu di ruangan agama pada borang tersebut.

3.27 petang: Sesi soal jawab dibuka kepada perwakilan sebanyak 3 soalan.

3.22 petang: Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli membentangkan laporan kewangan tahunan 2009.

3.17 petang: Laporan disahkan oleh perwakilan Tampin dengan beberapa pindaan.

3.10 petang: Setiausaha Agung PAS, DAtuk Mustafa Ali membentangkan laporan tahunan PAS 2009 untuk disahkan.

Harakahdaily/-

Islam adil untuk semua jadi tema ucapan dasar

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KOTA BHARU, 11 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menawarkan kepada semua agar bersama-sama Islam yang dibawa PAS kerana 'Islam Adil Untuk Semua" yang dijadikan beliau sebagai tema Ucapan Dasarnya dalam muktamar PAS ke 56 ini.

Tema ini dipilih kerana mereka yang adil lebih dekat dengan taqwa dan PAS mahu keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira siapa mereka, kata Abdul Hadi dalam ucapan dasar yang diberikan beliau dalam muktamar yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) hari ini.

Dewan besar Putik penuh sesak dengan kira-kira 5,000 perwakilan, tetamu dan pemerhati di samping ratusan petugas media dari dalam dan luar negeri mendengar ucapan beliau dengan khusyuk.

Turut menjadi tetamu adalah pemimpin Hamas Palestin walaupun rakan-rakan mereka sedang berdepan dengan tentera regi zionis Israel. Di samping itu, turut serta adalah pemimpin parti Al Adalah Maldives yang kini memerintah negara pelancungan itu.

Selain itu, pemimpin MILF dari Filipina juga turut serta bersama lain-lain tetamu.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, PAS akan memperjuangkan keadilan untuk semua yang diberikan oleh Islam tanpa mengira apa-apa batasan.

Beliau berkata, Umno walaupun berkata akan memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi pada hakikatnya sedang menghancurkan Islam dan Melayu juga.

Ini kerana tindak tanduk Umno jelas merosak Melayu dan Islam, katanya.

Tindakan Umno juga merosakkan negara bahkan juga kaum lain di negara ini. Kehilangan blok minyak rugikan negara ratusan bilion ringgit. Umno juga terperangkap dalam retorik perkauman yang jauhkan kaum lain di negara ini. Inilah kecelaruan yang di bawa Umno, kata Abdul Hadi.

"Akhirnya, umat Islam terus ketinggalan dan berlakunya hakisan kesedaran dan kuasa, adalah hasil dari kesilapan kepimpinan negara kita yang tidak memperkasakan kepimpinan umat Islam dengan hanya melahirkan pemimpin yang tidak bermoral ddengan politik wang tanpa kewibawaan," kata Abdul Hadi.

Bagi beliau, Umno telah mengakibatkan malapetaka dahsyat berlaku terhadap masyarakat Melayu Islam apabila menanam kefahaman salah kepada mereka.

"Umno mendabik dada kononnya merekalah penyelamat Melayu dan Islam.

"Hakikatnya mereka telah gagal dan mengundang padah malapetaka.

"Imej Islam begitu murni telah tercalar akibat dari kegagalan dan ketidakadilan Umno," katanya.

Umno juga katanya menjadikan ekonomi negara sebagai modal pusingan di kalangan pemimpin mereka sahaja.

Blok minyak katanya diserah begitu sahaja kepada negara lain sebagai pertukaran.

Sehubungan itu katanya PAS wajib mentafsirkan Islam secara sempurna dan lengkap bagi membebaskan khurafat pemikiran yang dibawa Umno.

"Keadaan ini mewajibkan kita berusaha sedaya upaya supaya orang Melayu yang majoritinya Islam ini dibebaskan daripada kepompong yang rosak itu.

"Di atas kegagalan Umno ini maka kita perlu mendampingi kelompok orang Melayu supaya mereka dapat bersama dengan PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenar," katanya.

Harakahdaily/-

PAS mula letak calon bukan Islam

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Selepas penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS baru-baru ini, PAS terus melangkah ke hadapan dengan membenarkan penyokong bukan Islamnnya bertanding menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan itu dibuat hasil keputusan mesyuarat majlis syura - badan tertinggi dalam parti itu - kelmarin.

"Bagaimanapun mereka hendaklah faham pada ajaran Islam serta bermoral tinggi," katanya menjelaskan syarat-syarat yang dikenakan bagi melayakkan pemilihan golongan itu.

Abdul Hadi (gambar, tengah) bagaimanapun berkata jumlah kerusi dan kawasan pilihan raya yang diperuntukkan bagi golongan itu setakat ini masih dikenalpasti.

Ditanya kemungkinan tindakan PAS itu bakal menyebabkan pertindihan dengan calon PKR dan DAP, Abdul Hadi yakin akan adanya persefahaman dalam antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat berhubung keputusannya itu.

"Kita akan tanding di tempat PKR dan DAP tidak bertanding," katanya dalam sidang media selepas merasmikan muktamar PAS ke-65 bertemakan "Islam Adil untuk Semua" di Pengkalan Chepa, di Kelantan hari ini.

Dalam pilihan raya umum dua tahun lalu, seorang penganut Hindu Kumutha Raman bertanding 'mewakili' PAS di Johor. Penyokong PAS itu bagaimanapun bergerak sebagai calon bebas.

Tak gopoh tonjol dalam Pakatan

Ditanya tentang mekanisme PAS bagi mengelakkan calon bukan Islam mereka melompat parti, Abdul Hadi berkata kesemua calon dikehendaki mengadakan iqrar atau perjanjian dengan parti.

"Lagi pun, orang yang bermoral tidak akan melanggar perjanjian," katanya.

PAS sebelum ini berjaya mengekang fenomena lompat parti dalam partinya melalui "baiah" (sumpah taat setia) sesama Islam.

Bagaimanapun, mekanisme tersebut tidak boleh dilakukan terhadap penyokongnya yang berbeza agama.

Sementara itu, Abdul Hadi juga menolak tanggapan bahawa PAS cuba mendominasi Pakatan melalui strategi barunya dalam pilihan raya umum itu.

"Kita tidak gopoh untuk menonjolkan diri," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

"Bagi kita, mempertahankan Islam itu lebih penting daripada strategi."

Malaysiakini/-

Muslimat lulus usul tergempar kecam rejim Israel

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Jun: Usul tergempar Dewan Muslimat PAS Pusat mengutuk kekejaman rejim zionis Israel terhadap umat Islam Palestin diluluskan sebulat suara dalam Muktamar tahunan parti itu kali ke-50 sebentar tadi.

Usul yang dibentangkan oleh Umu Aiman Athirah Al-Jundy yang turut mendesak kerajaan Malaysia supaya konsisten terhadap usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Jun lalu itu disokong sebulat suara para perwakilan tanpa bahas.

Bukan itu sahaja, sebaik sahaja usul tergempar itu tamat dibentangkan oleh Aiman, laungan Allahuakhbar bergema di Dewan Duyung, Perdana Resort disamping laungan kutuk kekejaman Israel ‘jahanam yahudi, jahanam Israel, tentera Muhammad pasti datang, selamatkan Gaza' berkumandang silih berganti.

Serentak itu, juga muslimat yang diketuai ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh, sambil diiringi timbalan dan naibnya turut membakar bendera Israel dan Amerika sebagai simbolik kuasa negara terbabit yang menghalalkan kezaliman terhadap bumi Palestin.

Aiman Athirah ketika membentangkan usul berkenaan memberitahu, memandangkan muslimat menginsafi betapa ramai umat Islam Palestin dan aktivis sukarelawan kemanusiaan antarabangsa ramai yang terkorban, Israel melakukan kezaliman yang tiada hentinya, Dewan Muslimat PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis itu.

Sidang muktamar hari ini katanya, menyokong penuh perjuangan para wanita Palestin dan keluarga mereka dalam menegakkan Islam.

Sambungnya, muslimat juga turut menyokong tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membuat pendedahan berhubung isu APCO di Malaysia.

Pada masa yang sama, muslimat berharap PAS dan Pakatan Rakyat menjuarai usaha penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza bersama negara lain.

Harakahdaily/-

Ucapan Kumutha jadi tumpuan perwakilan

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Jun: Ucapan Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS, Kumutha a/p Rama, menjadi tumpuan para perwakilan dan pemerhati apabila beliau sering mengaitkan agama dalam ucapannya.

Kerana semangatnya yang melahirkan rasa syukur berada dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam bersama kepimpinan ulama, kedengaran anggota perwakilan bertakbir.

Kumutha dalam ucapan penangguhannya menegur sikap muslimat sewaktu muktamar yang kadang-kadang agak riuh rendah khususnya sewaktu membahaskan usul.

Menurutnya, sebagai seorang muslimat etika perlu dijaga.

“Sebagai seorang muslimat kita kena sabar, bukankah sabar itu separuh daripada imam,”ujarnya sambil disambut takbir oleh para perwakilan.

Sambungnya, agama Islam memang diakui baik dan murni kerana itu nilainya perlu dijaga oleh para ahli.

“Saya tinggal di Johor, saya dapati kaum muslimat ramai menutup aurat berbanding golongan lain yang tidak mengikuti jemaah ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan anggota parti jangan terpengaruh dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka ada udang di sebalik batu.

Katanya, jangan sekali-kali terpedaya dengan Umno yang tidak pernah jujur, berfikir dulu sebelum bertindak.

Beliau turut mempertikaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini membuat slogan Satu Malaysia.

“Sebelum slogan tu Malaysia ada banyak ka? Satu ni je Malaysia,” ujarnya sambil mendapat tepukan gemuruh para perwakilan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam ucapan penggulungan mencadangkan perwakilan dan pemerhati mengekalkan pakaian rasminya hijau putih.

Menurutnya, keseragaman pakaian itu menandakan kesepakatan dalam perjuangan Islam.

“Walaupun warna lebih kurang pelajar Pasti tak apalah, asalkan kita ada identiti kita dan perpaduan dan kesatuan dalam parti,” ujarnya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh ketika menggulung ucapannya, mengharapkan anak bongsu PAS dapat membantu melebarkan perjuangan PAS di seluruh negara.

Sambungnya, untuk itu Dewan Himpunan Penyokong PAS perlu diwujudkan di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara.

Katanya, warna hijau lembut menggambarkan keceriaan dan bukannya kanak-kanak Pasti.

“Kumutha pun boleh pakai baju warna ni ya,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Susahnya jika lidah Menteri kita "bercabang"

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Tok Pepijat

Malunya Malaysia punya menteri sebegini! Dalam sehari dua ini Parlimen Malaysia menjadi tempat pertunjukkan "spesis" lidah bercabang!

Yang pertamanya PM Najib menyatakan dalam Parlimen,beliau belum lagi keluar lesen judi bola. Beliau tunggu reaksi rakyat dahulu. Manakala diluar Parlimen, dengan bangganya Vincent Tan menyatakan Berjaya telah diberi lesen untuk kegiatan judi bola.

Yang keduanya, Menteri Nazri Aziz menjawab secara bertulis kepada MP Kota Melaka bahawa kabinet telah PUTUSKAN untuk buat bangunan Parlimen baru berharga Rm800juta di Putrajaya. Manakala dalam sidang media di luar Parlimen, Nazri menyatakan kabinet masih BERBINCANG untuk membuat keputusan.

Adakah menteri kabinet kita begitu "bodoh" matematik tidak tahu nilai RM150 juta untuk baiki Parlimen lebih murah berbanding buat bangunan baru dengan harga RM800 juta?

Atau dalam kepala mereka sudah terbayangkan habuan komisen projek RM800 juta?

Benarlah kata Sasterawan Negara A.Samad Said, Malaysia punya menteri yang mempunyai lidang bercabang dua dan telinga satu!

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Muktamar Dewan Ulamak pertahan dasar PAS

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: M Faqih

MACHANG, 10 Jun: Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-49 yang berlangsung hari ini mendesak menteri yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi meletak jawatan.

Selain itu mendesak kerajaan persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional (BN) menutup semua pusat perjudian dalam negara ini.

Wakil Dewan Ulamak PAS Melaka, Ghani Minhat ketika membentang usul berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia mengeluarkan lesen judi dalam semua bentuk perjudian.

Usul tersebut dibangkitkan Dewan Ulamak PAS Melaka dan Kelantan. Usul berkenaan diterima sebulat suara.

Manakala Dewan Ulamak PAS Terengganu pula mengemukakan usul berkaitan lompat parti di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat yang disifatkan boleh menjejaskan kredibiliti parti dan Pakatan.

Seorang wakil yang membentang usul terbabit berkata, tindakan wakil rakyat berkenaan boleh menjejaskan kepercayaan rakyat dan mewujudkan suasana politik tidak stabil di pelbagai peringkat.

”Maka Dewan Ulamak PAS Terengganu mendesak pimpinan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati dan cermat dalam pemilihan calon pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Usul berkenaan kemudian mendapat sokongan sebulat suara.

Manakala usul Ulamak Kuala Nerus pula mendesak kepimpinan tertinggi parti supaya menaikkan taraf Urusan Ulamak PAS kawasan kepada Dewan Ulamak PAS kawasan. Usul berkenaan juga mendapat sokongan padu.

Usul Dewan Ulamak PAS Pusat pula memohon muktamar tersebut mengambil ketetapan dan memastikan dasar dan prinsip pejuangan PAS dipertahankan di samping memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

Sementara itu usul tergempar pula dibentang Ulamak Pengkalan Chepa melalui wakilnya Nik Razi Nik Mat mencadangkan diwujudkan unit khas kaunseling bagi menyedarkan golongan remaja terhadap gejala sosial yang berlaku sekarang.

Katanya, ulama hendaklah tampil berperanan menangani maslah remaja dalam masyarakat. Usul berkenaan juga dilulus tanpa sebarang bantahan.

Keempat-empat usul tersebut diluluskan tanpa sebarang perbahasan. Lebih 400 perwakilan Dewan Ulamak PAS dari seluruh kawasan di negara ini mengiikuti muktamar tersebut yang diadakan di Markas Dewan Ulamak di Labok.

Harakahdaily/-

Pas : Waspada dengan blog, 'luncai' luar parti

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mahu semua anggotanya memberikan ketaatan dan wala' (kesetiaan) kepada parti dan pemimpinnya yang "menjalankan tugas sepanjang masa, bukannya bermusim".

Katanya, kesemua pemimpin tersebut - yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuk ulama dan profesional - dipilih sendiri oleh ahli-ahli dalam muktamarnya tahun lalu.

"Adunan ini jugalah yang memperkasakan PAS untuk memimpin negara, dengan menolak jahiliyah sekularisma yang meminggirkan Islam dan memisahkan urusan dunia daripada Islam," katanya.

Berucap dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya".

"Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya di hadapan kira-kra 2,000 perwakilan dan pemerhati.

Beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat turut hadir dalam muktamar itu, antaranya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh popular DAP Lim Kit Siang, penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim dan wakil-wakil parti Islam daripada luar negara.

Sementara itu, menyentuh soal hubungan dalam Pakatan Rakyat, Abdul Hadi berkata selepas beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, terutamanya di Sibu, telah menunjukkan kesetiaan dan kebersamaan gerak kerja yang baik.

"Oleh yang demikian, pendekatan fekah politik Islam yang dipegang oleh PAS menerusi amalan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dalam Pakatan, dengan model Islam yang sebenar, akan terus
diperkasakan," kata beliau yang juga ahli parlimen Marang.

Bagaimanapun, tambah Adul Hadi lagi, penyertaan parti Islam itu dalam gerakan politik Islam mewajibkannya meneruskan persaudaraan ukhuwah (persaudaraan) dengan semua kumpulan Islam dengan penuh tasamuh.

"Inilah yang mewajibkan semua kumpulan Islam berada dalam saf (barisan) perjuangan Islam bersama PAS.

"Ukhwah yang dibina ini pula, wajar untuk digerakkan ke arah melaksanakan tanggungjawab amal Islami yang syumul (lengkap) di segenap pelusuk negara," katanya.

Malaysiakini/-

Pemuda Pas: Jangan baharui lesen premis judi

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Dewan Pemuda PAS Pusat (DMPP) menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat supaya memberi komitmen untuk memerangi jenayah judi dengan tidak lagi memperbaharui lesen premis perjudian yang beroperasi di bawah "wilayah penguasaan mereka".

"Lantaran kami yakin, pengundi memberi mandat kepada Pakatan Rakyat adalah untuk Pakatan Rakyat melakukan perubahan, menjaga serta memelihara tanahair dan seluruh penghuninya dari terjebak dalam kancah mungkar seperti judi yang mampu membinasakan tamaddun ummah," kata Nasrudin Hasan dalam teks ucapan dasarnya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Beliau juga turut membaca sepotong ayat al-Quran dari Surah Surah al Maaidah, ayat 90hingga 91 untuk mengukuhkan hujahnya.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS menyeru agar negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat tidak memberi kerjasama kepada kerajaan pusat pimpinan Umno dan BN dalam menyuburkan amalan mungkar judi yang keji itu.

"Negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat mesti dilihat lebih baik dan mulia berbanding kerajaan Umno dan BN dengan terlebih dahulu memberi contoh dan tauladan kepada mereka," katanya

Nasrudin berkata, dewan itu memberi komitmen 200 peratus untuk menggerakkan rakyat agar bangkit menentang kemungkaran judi yang tiada agama yang membenarkannya.

"Kini rakyat mula tertanya-tanya, agama apakah yang sedang dianuti oleh kerajaan Umno dan BN tatkala mereka meluluskan lesen perjudian ini .

"Kami turut melahirkan rasa kecewa apabila menyaksikan menteri agama, penasihat agama dan mufti-mufti dalam negara kita membisu sejuta bahasa berdepan dengan kemungkaran yang tiada ruang khilaf dan takwil ini," katanya.
Dalam teks ucapannya juga, Nasrudin turut mencadangkan penubuhan pusat dialog antara agama dan peradaban, melalui Lajnah Perpaduan Nasional.

Katanya, pusat ini akan mempergiatkan aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan diampunkan oleh Allah.

"Pusat ini juga akan melahirkan lebih ramai pemuda yang akan menyemarakkan lagi kegiatan dialog, selain turut menjalin hubungan dengan badan-badan seumpama itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa seperti The Centre for the Study of Terrorism yang dipelopori oleh Dr Kamal al-Helbawi," katanya.

Nasrudin turut mengajak perwakilan termasuk pencinta Islam dari kalangan agamawan dan NGO untuk menggembleng tenaga bagi "menegakkan keadilan Rabbani dan meruntuhkan kezaliman golongan yang melampaui batas".

"Gemblengan tenaga saudara-saudara semua begitu penting untuk meningkatkan sokongan Melayu-Islam sekurang-kurangnya 15 hingga 20 peratus kepada PAS.

"Demikianlah juga kepada para pencinta Islam dari kalangan para agamawan dan NGO. Saya yakin, saudara semua menyedari bahawa Umno bukanlah selayaknya menjadi sandaran untuk mempertahankan Islam sebagai manhaj Rabbani, sebaliknya telah terbukti mengkhianati amanah Allah dan menzalimi rakyat," katanya.

Nasrudin berkata, Umno adalah sebuah bahtera Melayu yang hampir karam, malah disifatkan oleh mantan presidennya Tun Dr Mahathir Mohamad: “Umno kini telah busuk sehingga ke ususnya”.

"Manakala PAS semakin dilihat bersedia untuk menggalang-ganti kedudukan itu dengan mengajak seluruh masyarakat Melayu kembali kepada manhaj Rabbani yang menjamin kesejahteraan, keadilan dan kesaksamaan kepada seluruh manusia.

'Jom sertai PAS'

"Maka dengan ini, saya juga mengambil kesempatan menyeru kepada Datuk Nakhaie Ahmad, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Ahmad Shabery Chik, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan seluruh ahli-ahli Umno yang pernah berkongsi cita-cita menegakkan keadilan berasaskan manhaj Rabbani supaya kembali ke pangkuan perjuangan kita bersama, dengan panggilan Jom Sertai PAS," katanya.

Dalam teks ucapannya juga, Nasrudin turut menggariskan "agenda menyelamatkan negara" antaranya dengan "mengekang penyusupan agen-agen asing khususnya proksi Zionis dari menerobos masuk ke negara".

"Bagi kami, Dewan Pemuda PAS, berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

"Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan pelantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, betapa pula syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kredibilitinya kerana mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel," katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian itu ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gaza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak.

"Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina.

"Terbaru dunia dikejutkan oleh serangan kejam tentera udara Israel ke atas Armada Freedom Flotilla yang sarat dengan bantuan makanan dan ubat-ubatan," katanya.

Malaysiakini/-

'Jalan mudah selesai kemelut ekonomi beban rakyat'

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zulaikha Zulkifli

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melahirkan rasa curiga terhadap penyelesaian kemelut ekonomi yang mengambil jalan mudah dengan strategi yang akan membebankan rakyat.

"Keadaan negara sekarang sebenarnya sebagaimana yang telah digambarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, boleh jadi bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi. Ianya kerana tidak cermat dan telus mengurus strategi pemberian subsidi.

"Kita amat curiga bahawa dalam mencari penyelesaian kemelut ekonomi kerajaan BN yang diterajui oleh Umno, (ia) mengambil jalan mudah dengan strategi yang akan membebankan rakyat.

"Pandangan dan pendekatan serta tindakan yang mereka ambil tidak pernah mengambil kira pandangan kita," kata ketua Muslimat PAS, Nuridah Salleh dalam teks ucaptamanya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Tambahnya, sejak merdeka lagi, strategi pemberian subsidi adalah untuk kebajikan rakyat, tetapi kini ianya dilihat banyak menguntungkan kroni-kroni.

"Konsesi tol lebuhraya dengan perjanjian yang berat sebelah, subsidi gas untuk penjana kuasa letrik dan perjanjian jual-beli dan banyak lagi penyelewengan yang tidak dibentang dalam kajian yang mereka war-warkan kepada rakyat.

"Bagi kita, negara akan muflis bukan kerana subsidi tetapi selagi Umno menguasai kerajaan. Negara akan bankrap kerana dasar 'crony capitalism'- mementingkan suku-sakat, penyelewengan dan rasuah yang sinonim dengan Umno-BN sekarang.

"Kenyataan 1Malaysia rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, hanya satu slogan kosong bagi mengaburi mata rakyat," katanya.

Nuridah berkata, Muslimat tidak akan menyokong sama sekali sebarang kerjasama politik dengan Umno dan BN yang telah mengkhianati amanah rakyat serta sangat memusuhi perjuangan mereka.

Namun, beliau berkata, mereka masih bersedia membuka pintu dialog dengan sesiapa sahaja demi menjaga maslahah (keperluan) dan kesejahteraan ummah.

Sementara itu, beliau turut menasihati Muslimat PAS supaya keluar dari budaya negatif yang akan merugikan jamaah.

"Muslimat PAS mesti keluar dari budaya negatif yang merugikan jamaah kita. Jauhilah sikap mencari kesalahan sahabat seperjuangan di dalam jamaah hanya disebabkan perselisihan pendapat.

"Bagi kita kepelbagaian pendapat dan pendekatan adalah satu rahmat. Ianya perlu bijak diuruskan pada landasan syarak agar menghasilkan rumusan serta natijah yang cemerlang.

"Hindarilah budaya hanya pandai memberi kritikan melulu yang tidak berhemah, menyakiti hati sesama anggota jamaah yang akan menghilangkan rasa hormat terhadap pemimpin dan orang yang dipimpin.

"Semua kritikan bernas mestilah disusuli dengan tindakan yang berkesan dan praktikal. Utamakanlah akhlak berjamaah dalam segala urusan setiap masa, agar kita dapat menghimpun sebanyak mungkin pahala berjamaah untuk bekalan kita di akhirat kelak," tegasnya.

Beliau turut membaca sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah, ayat 195 bagi mengukuhkan hujahnya.

Muktamar Agung PAS kali ke-56 di Kelantan menyaksikan majlis perasmian persidangan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama dilakukan serentak di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa semalam, disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Malaysiakini/-

Serampang tiga mata tangani masalah modal insan

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Aidila Razak

Salah satu perhatian utama Malaysia adalah tahap kekurangan modal insan yang berbakat, kerana sama ada mereka berpindah ke luar negeri atau tidak cukup mahir untuk memenuhi standard industri.

Dengan demikian, kerajaan berusaha untuk melakukan perubahan besar dalam sistem pendidikan dengan harapan untuk menghasilkan bakat kelas dunia bagi memastikan kemampanan ekonomi sepanjang Rancangan Malaysia 10.

Diumumkan hari ini, rancangan untuk mengatasinya melalui pendekatan serampang tiga mata, melibatkan sekolah rendah dan menengah, pendidikan tinggi dan bakat pasaran global.

Perubahan pada sistem pendidikan akan membabitkan semua peringkat, bermula dengan bantuan yuran RM150 sebulan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menghantar anak-anak mereka yang berusia empat dan lima tahun mendapatkan pendidikan pra-sekolah.

Penglibatan swasta dalam pendidikan asas juga datang dalam bentuk "Trust Schools'-sekolah kementerian pelajaran yang dijalankan secara mandiri oleh sektor swasta.

Swasta an atau sebaliknya, sekolah rendah akan menerima kanak-kanak berusia lima ke kelas mereka dengan tahap kemasukan diturunkan satu tahun dari 6 +, bermula dengan sekolah luar bandar

Di samping itu, terdapat juga langkah untuk menjenamakan semula profesyen perguruan sebagai satu profesyen pilihan dengan menaikkan gaji, menjadi para guru antara golongan tertinggi dibayar gaji mula.

Selain itu, guru pelatih tidak akan diserap secara automatik, manakala para guru yang cemerlang berpeluang meningkat dengan
cepat dalam profesyen mereka.

Malaysiakini/-

Muslimat terus dukung dasar kerjasama Politik

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zulaikha Zulkifli

Dewan Muslimat PAS akan terus mendukung dasar tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dilaksanakan oleh PAS pusat bagi mengukuhkan penglibatan dan sumbangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).Ketuanya, Nuridah Salleh berkata, penyokong dan pendukung PAS kini tidak lagi terbatas atau tertumpu pada sesuatu golongan sahaja.

“Kita akan bersama-sama mengukuhkan penglibatan dan sumbangan DHPP dan bersama-sama berperanan dalam Pakatan Rakyat."Kita telah menyaksikan perjuangan PAS telah memecahkan tembok dan melampaui sempadan kaum, budaya dan agama. 'PAS for all' sudah hampir menjadi kenyataan.

"Keyakinan dan sokongan bukan Islam atau belum muslim terhadap kita di dalam DHPP atau NGO di luar akan diperteguhkan," katanya dalam teks ucaptamanya di muktamar Dewan itu di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata, dialog antara budaya dan agama dengan pelbagai golongan dan etnik minoriti bukan Islam akan diadakan bagi mempereratkan hubungan.

Tambahnya, muslimat akar umbi akan diminta mendekati dan menyantuni kalangan minoriti yang tertindas serta melebarkan ruang dakwah Islamiyah.

Beliau berkata, Dewan Muslimat akan terus menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama gerak kerja terancang.

"Agenda membantu rakyat miskin ini akan berterusan tanpa mengira musim. Adalah menjadi tuntutan Islam untuk kita membantu golongan miskin dan tertindas.

"Kemiskinan yang berleluasa terutama di luar bandar dan penempatan peneroka di pinggiran bandar bukan saja dalam bentuk miskin harta malah juga miskin aqidah," ujarnya.

Beliau turut membaca sepotong ayat al-Quran dari surah Al-Maidah, ayat 48, yang membawa maksud supaya berlumba-lumba membuat kebajikan (beriman dan beramal soleh).

Justeru, katanya, Muslimat akan bersama-sama meneruskan misi dakwah dan kuliah-kuliah pengajian awam bagi membantu golongan miskin keluar dari kejahilan.

Malaysiakini/-

Hutang k'jaan pusat RM405.1b

28 Jamadil Akhir 1431 H

Jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangka berjumlah RM405.1 bilion atau 52. 9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010.

Kira-kira 96 peratus daripada jumlah hutang berkenaan dibiayai melalui sumber dalam negeri.Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 5.3 peratus pada 2010 berbanding tujuh peratus pada 2009.

"Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada tahap yang mampan dan memastikan akaun semasa kerajaan sentiasa berada dalam lebihan," demikian menurut EPU dalam Laporan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dikeluarkan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan RMK-10 di Dewan Rakyat hari ini.

Ia berkata bahawa usaha bagi mengukuhkan kedudukan fiskal yang dilaksanakan sejak 2000 telah menambah baik kedudukan fiskal kerajaan Persekutuan, yang mana defisit keseluruhan telah mengecil kepada 3.2 peratus pada 2007 daripada 5.5 peratus pada 2000.

Bagaimanapun, defisit fiskal telah meningkat kepada 4.8 peratus pada 2008 dan tujuh peratus pada 2009 kesan daripada kelembapan ekonomi dunia.

Dalam tempoh tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)(2006-2008), EPU berkata hasil kerajaan Persekutuan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 14.6 peratus setahun, yang disumbangkan terutamanya oleh kutipan cukai pendapatan korporat dan individu yang lebih tinggi berikutan prestasi ekonomi yang memberangsangkan.

Tetapi kelembapan ekonomi dunia pada 2009 telah memberi kesan kepada kutipan hasil yang dijangka menokok hanya tiga peratus setahun dalam tempoh RMK-9, katanya.

Sehubungan itu, hasil kerajaan Persekutuan dianggar meningkat sebanyak 8.6 peratus setahun semasa tempoh RMK-9 (2006-2010), dengan hasil berkaitan minyak menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah hasil pada 2010.

Perbelanjaan mengurus meningkat pada kadar 16.2 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun pertama RMK-9 berikutan peningkatan ketara subsidi minyak dan makanan serta emolumen ekoran pelarasan gaji penjawat awam.

Pelaksanaan dua pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion sebagai langkah kitaran balas pada 2009 dan 2010 turut menyumbang kepada perbelanjaan yang lebih tinggi.

EPU berkata dalam tempoh RMK-9, inflasi dijangka kekal rendah pada kadar purata 2.8 peratus setahun hasil daripada pelaksanaan dasar kewangan yang menyokong dan langkah pentadbiran untuk membendung inflasi meskipun harga minyak dan produk makanan global meningkat tinggi pada 2008.

Sebahagian besar pertumbuhan ekonomi dalam tempoh RMK-9 telah disumbang oleh permintaan dalam negeri. Dalam tempoh 2006-2008, permintaan dalam negeri meningkat 7.7 peratus setahun tetapi dijangka menyederhana dengan ketara kepada 2.5 peratus setahun dalam tempoh 2009-2010, terutamanya disebabkan penguncupan KDNK sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2009.

Pertumbuhan domestik diterajui oleh penggunaan swasta yang berkembang sebanyak 6.5 peratus setahun berikutan harga komoditi yang lebih tinggi, pasaran guna tenaga yang berdaya tahan dan kemudahan pembiayaan kewangan yang lebih baik.

Bagi prestasi mengikut sektor, semua sektor kecuali perlombongan dan kuari mencatatkan pertumbuhan positif yang diterajui oleh sektor perkhidmatan.

Keseluruhan eksport negara juga telah berkembang pada kadar 3.2 peratus setahun, kecuali eksport produk elektrik dan elektronik yang menyumbang 59.1 peratus daripada jumlah eksport pembuatan, merosot sebanyak 0.1 peratus setahun.

Malaysiakini/-

Presiden PAS memulakan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar Tahunan PAS Ke 56.

KOTA BAHARU : Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang baru memulakan Ucapan Dasar dan Perasmian Muktamar PAS kali Ke 56 dengan tema "Islam Adil Untuk Semua".

Muslimat PAS lulus usul wanita jadi naib presiden

28 Jamadil Akhir 1431 H

Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS pusat hari ini meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk disandang anggota wanita parti itu.

Usul berkenaan, yang turut mencadangkan diwujudkan jawatan Pesuruhjaya IV peringkat negeri untuk disandang oleh wanita, telah dibentangkan oleh wakil Kubang Kerian, Nurliza Yahya, yang berpendapat jawatan-jawatan itu sebagai satu pengiktirafan kepada sumbangan muslimat terhadap parti.

Semasa perbahasan wakil Selangor, Noraini Hussin, bagaimanapun membantah usul itu kerana berpendapat bahawa selama inipun PAS tidak pernah meminggirkan muslimat dalam urusan parti.

"Saya bantah usul ini untuk diterima kerana selama ini PAS telah iktiraf kekuatan muslimat sama dengan naib presiden," katanya.

Noraini berkata kini terdapat 30 peratus penglibatan anggota wanita dalam urusan Pas termasuk dalam soal menggubal dasar parti.

"Malahan muslimat PAS juga terpilih untuk bertanding dalam pilihan raya sehingga menang dan dilantik sebagai ADUN dan juga ahli parlimen," katanya.

Wakil Padang Rengas, Husna Saidon, pula menyokong usul itu dan berkata jawatan naib presiden untuk muslimat penting bagi mendapatkan pemimpin wanita yang mampu membuat dasar khususnya dalam isu berkaitan wanita.

"Naib presiden muslimat juga penting dalam berperanan menghubungkan kepimpinan wanita dari parti komponen DAP dan PKR (dalam pakatan pembangkang)," katanya.

Malaysiakini/-

Tahanan ISA dapat gantirugi RM3.3 juta

28 Jamadil Akhir 1431 H

Mahkamah Tinggi di Putrajaya memerintahkan agar RM3.3 juta dibayar kepada bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ditahan menyalahi undang-undang atas dakwaaan terbabit dengan pengeluaran permit dan pasport palsu kepada pekerja asing.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berkata mahkamah bersetuju dengan plaintif seorang ahli perniagaan Badrul Zaman P.S. Mohamed (kanan) bahawa penahanannya di bawah ISA 1994, menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan.

Mohd Hishamudin dalam penghakimannya berkata mahkamah telah mempertimbangkan kos kecederaan terhadap reputasi plaintif dengan memerintahkan untuk membayar tuntutan ganti rugi am dan teladan dengan kos kepada beliau.

Beliau berkata setelah membaca dengan teliti autoriti itu, satu gantirugi sebanyak RM20,00 sehari adalah adil dan saksama untuk dibayar kepadanya dengan mengambilkira fakta plaintif yang dialami semasa dalam tahanan.

Katanya dengan mengambilkira 300 hari dalam tahanan, plaintif hendaklah dibayar RM6 juta, bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk memberikan diskaun 50 peratus kepada defendan yang mahkamah fikirkan adalah adil dan munasabah.

Mohd Hishamudin yang kini adalah Hakim Mahkamah Rayuan, juga memerintahkan agar gantirugi teladan RM300,000 diberikan atas dua alasan, pertama kerana penahanan menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan, kedua perintah penahanan terhadap plaintif dilanjutkan selepas pencegahan penahanan pada awalnya selama dua tahun.

Badrul Zaman memfailkan saman itu pada 30 November 1994, menamakan superitenden Pusat Tahanan Kamunting sebagai defenan pertama, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia.

Dalam saman itu, plaintif menyatakan bahawa beliau tidak mencabar kesahihan perintah penahanan pertama mengikut Seksyen 8(1) ISA pada 12 September 1991 di mana beliau ditahan selama dua tahun.

Bagaimanapun, beliau mencabar perintah tempoh lanjutan penahanan itu yang dikeluarkan timbalan menteri untuk tempoh dua tahun lagi berkuatkuasa 14 September 1993.

Plaintif mencabar kesahihan di mana beliau hanya menjalani tahanan itu dengan arahan perintah tahanan tanpa kenyataan bertulis perintah tahanan
tersebut dan fakta dakwaan berdasarkan perintah tahanan berkenaan.

Pada 1994, Badrul Zaman memfailkan satu writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan mahkamah berkenaan membenarkan permohonannya dan membebaskannya.

Mahkamah itu memutuskan bahawa penahanan yang dilanjutkan itu adalah menyalahi undang-undang dan tidak mengikut perlembagaan atas alasan tidak ada pematuhan dengan peruntukan ISA.

Ketika ditemui Badrul Zaman berkata beliau gembira dengan keputusan itu setelah menunggu hampir 16 tahun untuk mendapatkan keadilan bagi membersihkan reputasinya.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Isnan Ishak berkata beliau akan merujuk keputusan ini kepada Pejabat Peguam Negara sebelum memfailkan rayuan. Peguam M. Manoharan mewakili Badrul Zaman.

Malaysiakini/-

Majlis Perasmian Muktamar ke 56 gilang gemilang.




KOTA BAHARU : Majlis persamian Muktamar bermula sebentar tadi dengan perarakan Masuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Bersama masuk ke Dewan tadi ialan Ketua Umum PKR , DS. Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, YB. Lim Kit Siang.

Sebelum itu Presiden PAS mengadakan pemeriksaan Unit Amal di Perkarangan Dewan PUTIK.

Dewan utama yang menempatkan kerusi Tetamu Khas yang dijemput, Perwakilan seluruh negara dan pemerhati telah pun hampir penuh semuanya. Majlis dimulai dengan nyanyian lagu negaraku dan Lagu Rasmi PAS. Sekarang ini berlangsung persembahan Nasyid yang diketui oleh sdr. Azhan Atan.

Johor tarik balik gelaran Datuk Chua Jui Meng

28 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Kuek Ser Kuang Keng & Regina Lee

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Chua Jui Meng telah diarahkan memulangkan dua darjah kebesaran negeri Johor yang masing-masing membawa gelaran Datuk dan Datuk Seri.

Chua yang juga bekas menteri kesihatan mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi setiausaha Istana Johor, Datuk Rahim Ramli supaya memulangkah darjah kebesaran itu hari ini.

Dua darjah kebesaran yang ditarik balik itu ialah "Dato Paduka Makhota Johor" dan "Dato Seri Makhota Johor"."(Abdul Rahim) beritahu saya bahawa dua gelaran datuk saya telah ditarik balik," kata Chua kepada Malaysiakini hari ini.

Chua (gambar) sebelum ini menerima anugerah tersebut daripada Almarhum sultan Johor, Tuanku Mahmud Iskandar.

Anugerah berkenaan membawa gelaran 'Dato Paduka Makhota Johor' dan juga 'Seri Paduka Mahkota Johor".

Chua juga berkata Abdul Rahim enggan memberitahunya sebab di sebalik pelucutan gelaran tersebut kerana istana tidak diwajibkan mendedahkannya.

Chua yang juga bekas ahli parlimen Bakri selama penggal merupakan naib presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu pada 2008 apabila gagal merebut jawatan presiden. Beliau mengganggotai PKR pada 2009.

Masih bergelar 'Datuk'

Chua bagaimanapun masih mengekalkan gelaran Datuk memandangkan beliau menerima dua lagi darjah kebesaran daripada Pahang dan Selangor, masing-masing pada tahun 2002 dan 2003 yang membawa gelaran tersebut.

Tindakan ke atas Chua itu pada mulanya diura-urakan oleh timbalan presiden PKR Senator Syed Husin Ali yang menyebarkannya melalui lawan sosial Twitter beberapa hari lalu.

Chua yang enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu sekadar berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan selepas menerima surat rasmi daripada Istana Johor.

Malaysiakini/-