09 June 2010

Muktamar Pemuda PAS bahas usul mansuh judi

25 Jamadil Akhir 1431 H

Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat yang akan bersidang Khamis ini dijangka akan membahaskan empat usul antaranya mendesak kerajaan memansuhkan pemberian lesen judi sukan.Menurut pengerusi jawatankuasa usulnya Suhaizan Kaiat, usul daripada Pemuda PAS Johor itu akan dibincangkan kerana "perjudian boleh mempengaruhi kualiti sukan" di negara ini.

"Kita mendesak agar judi sukan ini dimansuhkan kerana ia memberi kesan terutama terutama terhadap institusi keluarga," katanya yang juga setiausaha Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ).Suhaizan berkata muktamar mereka akan turut membahaskan usul bagi mendesak kerajaan menimbangkan kembali tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (BERSIH).

Beliau yang juga ketua penerangan Pemuda PAS berkata, tuntutan BERSIH antaranya berhubung pemansuhan undi pos, penggunaan daftar pemilih yang bersih dan penggunaan dakwat hitam dalam pilihan raya "tidak ada tindakan daripada kerajaan".

"Saya salah seorang yang terlibat secara langsung membongkar kelemahan undi pos, tetapi kerajaan masih tidak memansuhkannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Malaysiakini/-

Judi: Siapa berbohong - Najib atau BERJAYA?

25 Jamadil Akhir 1431 H
Dari: Christine Chan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen jika beliau tidak memberi gambaran yang sebenar berhubung pemberian lesen judi sukan.Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan bercanggah antara Kementerian Kewangan dan BERJAYA Corporation Bhd menimbulkan kontroversi mengenai siapa yang sebenarnya berbohong.

Pada notis kepada Bursa Malaysia 12 Mei lalu, BERJAYA berkata: 'Kementerian Kewangan telah memberikan kelulusan berhubung pemberian semula lesen kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan.Sesalinan notis itu kemudiannya diedarkan oleh Pua kepada wartawan pada sidang medianya di lobi parlimen, pagi ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulisnya di parlimen semalam berkata lesen berkenaan belum dikeluarkan kerana masih menunggu maklum balas orang ramai dan beberapa syarat masih dirangka.

Malaysiakini/-

Pemimpin dan Pemerintah, belajarlah MENDENGAR!

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Solleh Al-Fatimi

Sesungguhnya pemerintah yang soleh dari kalangan salafussoleh dahulu memahami hakikat betapa pentingnya teguran dan nasihat daripada rakyat. Tuntas mereka memberi ruang bagi memudahkan serta melancarkan lagi proses ini tanpa sebarang halangan atau undang-undang yang menyekat dengan mewujudkan pelbagai protokol yang melampau.Bahkan sangat uniknya, kita dapati sebahagian mereka menawarkan dirinya agar seluruh rakyatnya menyiasat serta meneliti setiap tingkah lakunya dalam pengurusan dan pentadbirannya.

Hal ini dilaksanakan bagi memudahkan bagi membetulkan setiap kesilapan yang kadang-kadang berpunca daripadanya selagimana mereka mengikhlaskan dirinya dan mencari keredhaan Allah s.w.t dalam pemerintahannya dan kekuasaannya.Hal demikian bukan sekadar teori indah sebagai pemanis kata-kata atau slogan kosong untuk mendapatkan sokongan ataupun memancing undi, bahkan ia merupakan suatu perkara yang dapat direalisasikan dalam kehidupan.

Kita dapat melihat hal demikian sebagaimana yang direalisasikan oleh Saidina Abu Bakr as-Siddiq r.a dalam ucapan ucaptama beliau tatkala menerima perlantikan sebagai khalifah Islam;

فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِيْنُونِي وَإِن أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُولَهُ فِيكُم

"…sekiranya aku berbuat baik, bantulah aku. Tetapi jika aku melakukan kejahatan, maka luruskanlah aku! Taatilah aku selagimana aku taat kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dalam (mentadbir urusan) kamu".

Tauladan terbaik ini tidak terhenti pada saat itu sahaja, malah diteruskan lagi oleh pengganti beliau. Kita melihat realiti dalam ucapan Amirul Mukminin 'Umar Bin al-Khattab, hayatilah kata-katanya;

مَن رَأَى مِنكُم فِيَّ اعْوِجِاجًا فَلْيُقَوِّمْهُ

"Sesiapa antara kalian yang melihat pada diriku sesuatu penyelewengan, maka hendaklah kamu meluruskannya".

Prinsip Saidina ’Umar menarik Syeikh Abdul Aziz Al-Badri menterjemahkan maksud amanat tersebut; “Tidak terlaksana maksud 'meluruskan' dalam perkara yang membabitkan pemerintahan melainkan dengan cara mengkritik. Islam mewajibkan keatas setiap pemerintah yang menguasai pentadbiran urusan muslimin agar mendengar dan berlapang dada terhadap sesiapa sahaja yang mengkritiknya, sebagaimana ia diperintahkan agar tunduk kepada kritikan ini selagimana ia bertepatan dengan perundangan dan hukum-hukum Islam. Sekaligus Islam melarang sebarang siksaan yang boleh menyakiti dan ancaman terhadap mereka yang mengkritik dan membangkangnya, sekalipun menerima kritikan yang pedas ataupun dengan kata-kata yang keras dan tajam”. (Abdul Aziz al-Badri, al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam; 71)

Memahami hakikat inilah yang membuatkan Khalifah ’Umar mendengar kritikan Arab Badwi dengan lantang menyebut, "Demi Allah s.w.t, wahai ‘Umar! Jika kami dapati kamu melakukan penyelewengan, maka kami akan meluruskan kamu dengan pedang kami yang tajam!"

Apakah tindakan ‘Umar tatkala mendengar kenyataan sekeras ini? Beliau memenjarakan tanpa bicara arab badwi itukah? Atau menarik bantuan kepadanya? Atau menghalau lelaki ini?. Jauh sekali untuk ‘Umar bertindak sedemikian. Saidina 'Umar menerima jawapan itu dengan pujian dan penuh rasa gembira, beliau menjawab;

الحَمْدُ لِلهِ الَّذِي جَعَلَ فِي أُمَّةِ مُحَمَّدٍ مَن يُقَوِّمُ عُمَرَ بِسَيْفِهِ

"Alhamdulillah, pujian bagi Allah s.w.t yang menjadikan dari kalangan umat Muhammad mereka yang sanggup meluruskan 'Umar dengan pedangnya". Demikianlah Amirul Mukminin 'Umar yang merelakan dirinya untuk diperbetulkan dan diluruskan setiap kesalahan sekalipun diperbetulkan kesalahannya dengan pedang! Ya, dengan pedang yang tajam, bukan setakat lontaran kata-kata yang menikam sahaja malah dengan pedang yang menghunus.

Kata-kata Khalifah bukanlah suatu manisan dibibir namun ia adalah suatu hakikat. Mendengar teguran kepada Saidina 'Umar; "Bertaqwalah kepada Allah wahai 'Umar!". Salah seorang yang hadir dalam majlis itu menjawab, "Berani kamu berkata demikian terhadap Amirul Mukminin!". Namun Saidina 'Umar menjawab dengan mutiara kata yang indah;

لَا خَيْرَ فِيكُم إِن لَم تَقُولُوهَا وَلَا خَيرَ فِينَا إِن لَم نَسْمَعْهَا

"Tiada kebaikan bagi kamu (rakyat) jika kamu tidak menyatakannya, dan tiada kebaikan bagi kami (pemerintah) jika kami tidak mendengarnya".

Mungkin kata-kata Amirul Mukminin Saidina 'Ali Bin Abi Thalib tatkala mewasiatkan kepada semua gabenornya yang terakam dalam kitab Siraj al-Muluk dapat disematkan dalam sanubari;

فَطُوبَى لِذِي قَلْبٍ سَلِيمٍ أَطَاعَ مَن يَهْدِيَهُ وَيَجْنِبُ مَن يرْديَهُ وَأَصَابَ السَّلَامَةَ بِبَصْرِ مَن بَصَرَهُ وَطَاعَةِ هَادٍ أَمْرِهِ

"Beruntunglah mereka yang mempunyai hati yang sejahtera, yang taat kepada sesiapa yang menunjukkan jalan hidayah kepadanya dan menjauhi sesiapa yang membawanya kepada kejahatan. Selamatlah sesiapa yang mengikuti petunjuk yang diberi dan selamatlah mereka yang mengikuti perintah yang disampaikan oleh pemberi petunjuk tadi".

Betapa malangnya dan sangat menyedihkan pada hari ni, pemerintah dan menteri-menterinya beserta kuncu-kuncunya tidak merelakan dirinya untuk ditegur dan dinasihati kesilapan mereka walaupun dengan perkataan. Dengan perkataan! Jauh sekali untuk diperbetulkan dengan pedang. Oleh itu, dalam isu judi bola ini, para pemimpin kerajaan, sedarlah tatkala Allah menghantar para ulama' untuk menyedarkan kamu sekalian, sebelum Allah menghantar Malaikat Maut menegur kamu dan menghantar Malaikat Mungkar dan Nakir untuk menyedarkan kamu!

Dari hal kabinet baru

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Subky Latif

ADA pun rombakan baru atau rombakan pertama kabinet Datuk Seri Najib hanya melibatkan tiga orang saja iaitu iaitu satu digugurkan iaitu Datuk Seri Ong Tee Kiat, satu ditukarkan iaitu Datuk Seri Kang Cho Ha dan satu dinaikkan pangkat iaitu Datuk Wira Chor Chee Heung.

Yang ramai lagi itu adalah anggota kerajaan yang bertaraf timbalan menteri. Dengan kedudukan itu mereka bukan anggota kabinet. Anggota kabinet hanya yang berstatus menteri.Orang yang paling malang dan lucu ialah Datuk Seri Ong Tee Kiat, Menteri Pengangkutan. Dia adalah ahli politik yang tidak cerdik.

Gara-gara tsunami politik 8 Mac 2008 dia ditakdir dapat mendaki kedudukan yang tinggi dalam MCA. Kekalahan teruk MCA menyebabkan Tan Sri Ong Ka Ting menerima tanggungjawab, berundur dari pimpinan MCA dan kabinet. Ia memberi peluang baik kepada Ong Tee Kiat dapat menjadi Presiden MCA.

Kiranya dia bijak, dia boleh jadi sehebat Tun Tan Siew Sin, Tan Sri Lee San Choon dan Tun Dr. Ling Leong Sik. Ada lorong untuk dianugerah Tun. Tetapi dia mengambil langkah meminggirkan timbalannya Dr. Chua Soi Lek dan akhirnya dia dikalahkan oleh Dr Chua dengan cara yang memalukan.

Apabila dia kalah, dia sepatutnya belajar dari Datuk Shahrir Samad. Shahrir kalah dalam pemilihan anggota Majlis Tertinggi UMNO, lalu dia berundur. Dia dihormati.

Dr. Chua Soi Lek pernah terlibat dengan skandal, lalu dia berundur dari pimpinan MCA dan kabinet. Kemudian dia datang semula hingga mengalahkan Tee Kiat.

Tee Kiat bukan saja dikalahkan oleh orang yang tidak disukainya, tetapi dia dikaitkan dengan skandal dalam Zon Bebas Pelabuhan Kelang. Namanya sudah tidak elok lagi. Sepatutnya dia berundur sebaik saja kalah.

Bila Najib merombak kabinet, dia saja yang tersingkir. Tidakkah ia malang, lucu dan memalukan. Kalau dia cerdik, dia kosongkan kerusi Parlimennya. Naik sikit namanya. Rasanya dia sudah berakhir.

Orang yang untung dengan nasib malang Tee Kiat itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Chor Chee Heung. Dia dipecat Ong Tee Kiat dari Jawatankuasa Pusat MCA. Dia menang ke jawatan itu semula dalam pemilihan yang terbaru dan dia diangkat menjadi menteri. Kalau Tee Kiat tidak berpolitik kartun, dia belum jadi menteri.

Ternyata orang orang secerdik kancil ialah Dr. Chua Soi Lek. Dengan imej skandal seksnya dia tidak menuntut jawatan kabinet. Dia mahu jad Presiden MCA macam Tan Cheng Lock. Dia tidak duduk dalam kabinet di bawah Presiden UMNO. Sebagai Presiden MCA dia boleh memberi pandangannya tentang kabinet dan kerajaan.

Tetapi dengan pengaruhnya dia dapat menempatkan anaknya Chua Tee Yong yang begitu muda dalam anggota kerajaan sebagai timbalan menteri. Kedudukan itu menjadikan anaknya itu calon pelapis dalam hiraki MCA masa akan datang.

Adakah Soi Lek mahu anaknya diketengahkan atau itu yang Najib fikir baik bagi menghormati Presiden MCA yang tidak dibawa ke kabinet itu? Apa pun ia dikira satu lagi kemenangan politik Soi Lek dalam politik negara.

Tan Cheng Lock tidak jadi anggota Parlimen dan menteri tetapi anaknya Tan Siew Sin jadi anggota Parlimen dan kemudiannya jadi Presiden MCA. Apakah sejarah MCA akan berulang?

Nasib MIC

G. Palanivel dipercayai tidak pernah memikirkan menjadi Timbalan Menteri setelah kalah 8 Mac 2008 di Hulu Selangor. Yang difikirkan untuk bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Justeru itu dia menyumbangkan lembu-lembu korban kepada orang Islam Hulu Selangor. Bagaimana dia boleh menyumbangkan haiwan suci bagi agamanya untuk acara korban agama lain suatu yang saya tidak dapat fikirkan.

Nasibnya baik apabila MP Datuk Zainal Abidin Ahmad yang mengalahkannya dulu meninggal. Maka Samy Vellu cepat-cepat menamakannya. Penamaannya ditolak oleh UMNO. UMNO mahukan MIC lain.

Samy Vellu tidak dapat mempertahankan Palanivel tetapi menuntut supaya Palanivel dijadikan senator dan dimasukkan dalam kerajaan. Ia satu tolak ansur yang diterima oleh Najib.

Maka Najib menjadikannya senator dan timbalan menteri, suatu yang tidak pernah difikirkan kiranya MP PKR tidak mati.

Tetapi Palanivel adalah Timbalan Presiden yang kalau Samy Vellu berundur seperti yang didesak, maka dialah ganti Presiden MIC itu.

Dengan kedudukkannya yang tinggi dalam MIC bagaimana Najib hanya menjadikannya sebagai Timbalan Menteri sedang orang yang lebih junior daripadanya dalam MIC menjadi menteri penuh? Timbalan Presiden MIC sekadar jadi Timbalan Menteri sedang Naib Presiden MIC, Subramaniam menjadi menteri.

Tidakkah ini lucu? Selayaknya Palanivel menjadi menteri penuh atau sebagai seorang senator biasa yang dilihat penting. Bagi membetulkan hiraki MIC itu pilihannya ialah Subramaniam berundur bagi memberi laluan kepada Palanivel atau Najib memberi dua menteri penuh kepada MIC.

Bukan suatu yang baru bagi MIC diberi dua jawatan kabinet. Tunku Abdul Rahman Putra pernah memberi dua menteri kepada MIC iaitu Tun V.T.Sambathan dan Manikavasagam.

Dengan menjadikan Palanivel hanya sebagai timbalan menteri, Najib telah memalukannya kepada menteri MIC yang junior daripadanya. Palanivel yang menerima keadaan itu mungkin kerana dia tidak merasa malu.

Harakahdaily/-

Perwakilan muslimat jadikan PAS lebih dinamik

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nuridah Mohd Salleh

Pertamanya kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan izinnya, kita dapat berhimpun untuk menyampaikan berita-berita terakhir berhubung Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat bagi kali ke-50.

Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) pada kali ini akan dirasmikan serentak dengan lain-lain dewan iaitu Dewan Ulama dan Dewan Pemuda. Perasmian akan dilakukan oleh Yang Amat Berhormat, Datuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 9 Jun 2010 pada jam 8.00 malam di Putik, Kota Bharu, Kelantan.

Muktamar penuh Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-50 akan memulakan sidang muktamarnya pada 10 Jun, Khamis bermula jam 8.00 pagi hingga tamat yang dijangka pada jam 4.00 petang.

Muktamar DMPP pada kali ini akan berlangsung di Dewan Duyung Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan.

Kepada semua Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Ketua-Ketua DMP negeri, perwakilan kawasan-kawasan seluruh Malaysia, pemerhati PAS Pusat, tetamu jemputan, pemerhati muslimat, saya mewakili DMPP mengucapkan ahlan wasahlan kepada semua.

Terdahulu dari itu, semua perwakilan adalah diharapkan agar mendaftarkan perwakilan masing-masing pada 9 Jun bermula 10.00 pagi di Putik, Kota Bharu, Kelantan.

Pada tahun ini, PAS melaksanakan pindaan kepada peruntukan perwakilan muslimat untuk Muktamar DMPP yang telah diluluskan pada Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) dengan melibatkan perwakilan Muslimat seramai 4 orang dari setiap kawasan di seluruh Malaysia. Ada sebanyak 155 buah Dewan Muslimat Kawasan yang berdaftar di seluruh Malaysia, menjadikan jumlah Muslimat yang akan hadir seramai 620 orang.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, perwakilan Muslimat hanya 15 orang bagi setiap negeri. Ini bermakna pertambahan bilangan yang hadir adalah jauh lebih besar dari sebelumnya. Perubahan ini juga menjadikan PAS sebagai satu parti yang lebih demokratik dan dinamik terutama dalam penglibatan kaum wanita.

Pembaharuan ini adalah tepat dengan masanya untuk melebarkan pendedahan kepada Muslimat dalam hal-hal berkaitan pengurusan dan organisasi PAS kepada jaringan yang lebih luas.

Perkembangan ini juga akan melatih pimpinan Dewan Muslimat Kawasan-kawasan bersedia menjadi anggota sebuah parti pemerintah yang peka dan prihatin dengan suasana serta keperluan masyarakat sekitar.

Suka diingatkan bahawa DMPP amat gembira untuk melihat para perwakilan mewakili negeri dan kawasan masing-masing dalam keseragaman warna hijau yang menjadi pakaian rasmi DMPP bertudung warna putih. Ini adalah warna yang amat sinonim dengan Muslimat PAS.

Kita juga telah menerima beberapa usul dari kawasan-kawasan dan berharap perwakilan akan memberikan tumpuan untuk membahas dengan bijaksana dan mengeluarkan hujjah yang baik dan bernas di sepanjang muktamar nanti.

Selain daripada itu, para perwakilan juga akan berpeluang menyaksikan video klip yang mewarnai semangat perjuangan muslimah untuk mengekalkan momentum perjuangan.

Sehubungan itu, kita minta semua perwakilan akan hadir dengan persiapan minda agar dapat dikongsi bersama input dan maklumat bermanfaat yang boleh dijadikan bekalan apabila kembali ke tempat masing-masing.

Pada kesempatan ini, DMPP mengutuk sekeras-kerasnya rejim zionis haram Israel di atas serangan gila yang di luar batas kemanusiaan serta norma masyarakat yang bertamadun ke atas konvoi flotila keamanan bantuan kemanusiaan Gaza.

DMPP bersama-sama penyokong perjuangan rakyat Palestin untuk survival serta mempertahankan hak-hak mereka. Kita menuntut supaya semua kepungan yang dikenakan terhadap Semenanjung Gaza oleh rejim zalim Israel dengan bantuan Mesir dihentikan segera.

DMPP juga menuntut agar kerajaan Malaysia bersama-sama masyarakat antarabangsa memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan hegemoni rejim haram Israel dikekang. Juga menamatkan segera sebarang kaitan dan manipulasi dengan anasir-anasir rejim zionis Israel di dalam negeri seperti APCO sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Nuridah Mohd Salleh,
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Harakahdaily/-

PAS cadang wujud tentera OIC kawal misi kemanusiaan

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar diwujudkan pasukan tentera di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memayungi misi kemanusiaan ke Gaza.

Tegasnya, misi bantuan tersebut mesti diteruskan, namun perlu dipayungi oleh tentera yang diwujudkan oleh OIC atau pihak antarabangsa demi keselamatan anggota misi dan memastikan bantuan sampai ke Gaza.Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang juga mahukan Malaysia menggunakan pengaruh OIC, NAM dan PBB bagi mengheret pemimpin rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun secara paksa.

Ini, katanya kerana tindakan kejam zionis Israel sejak sekian lama adalah tidak bertamadun, mencabul undang-undang antarabangsa, melampau fitrah kemanusiaan dan lebih teruk daripada binatang.

"Fitrah kemanusiaan ada kesihan belas terhadap manusia bahkan kepada binatang," katanya ketika membahaskan usul mengutuk keganasan rejim zionis Israel di Dewan Rakyat, sebentar tadi. Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Tindakan Israel itu juga, katanya aalah manifestasi ideologi zionisme yang mahu membina sebuah negara Israel agung di bumi Palestin sehingga mengenepikan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mempunyai tanggungjawab bersama sangat besar, ketepikan kepentingan politik, bersatu atas sifat kemanusiaan," katanya lagi.

Harakahdaily/-

NKRA belum mampu selesai isu utama rakyat

25 Jamadil Akhir 1431H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mendakwa Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang diperkenalkan kerajaan belum mampu menyelesaikan isu-isu penting yang melibatkan kebajikan rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini memberi contoh dua isu utama yang masih menjadi masalah utama iaitu pendidikan dan pengangkutan awam.

"Isu pengangkutan awam masih menjadi masalah utama di negara ini. Dalam isu pendidikan, adakah Yang Berhormat sedar hari ini PIBG di sekolah-sekolah yang sepatutnya membincangkan isu bagaimana mahu menaiktarafkan guru, murid-murid dan mutu pendidikan terpaksa membincangkan bil elektrik dan air di sekolah. Ini sepatutnya tak berlaku kalau kita bercakap soal NKRA," katanya.

Beliau juga berkata, tidak cukup sekadar kerajaan membentangkan jawapan yang panjang lebar di Parlimen tanpa turun ke lapangan untuk mengambil tindakan bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Adakah kedua-dua isu yang saya bawa pada pagi ini di luar pengetahuan menteri dan saya mengharapkan supaya perkara ini mendapat satu perhatian daripada pihak kerajaan dan bukan hanya jawapan-jawapan yang panjang lebar yang semacam teori yang kita bincangkan namun di luar sana realitinya masih lagi rakyat mengharapkan yang terbaik," katanya.

Sebelum itu, wakil Arau, Datuk Ismail Kasim meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah pencapaian NKRA sejak ianya diperkenalkan Perdana Menteri dan apakah tahap pencapaian kakitangan kerajaan dalam mendukung NKRA itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam jawapannya memberitahu kerajaan amat menitikberatkan soal NKRA.

Harakahdaily/-

Serang ekonomi rejim zionis Israel

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa meminta kerajaan Malaysia melakukan serangan ekonomi ke atas rejim zionis Israel.Malaysia, katanya perlu melakukan usaha kolektif bersama negara antarabangsa bagi melumpuhkan ekonomi Israel.

"Maka usaha kolektif perlu dilakukan bagi menyekat dan melumpuhkan ekonomi negara haram Yahudi," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok semasa membahaskan usul mengecam tindakan rejim zionis Israel terhadap misi kemanusiaan ke Gaza di Dewan Rakyat, petang ini. Usul itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.

Kempen boikot juga, katanya perlu diperhalusi dan dijalankan secara sistematik dengan mengambil kira nasib pekerja negara ini di syarikat berkaitan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Malaysia memenuhi kebajikan pelajar Palestin di Malaysia seperti bantuan biasiswa dan kesihatan sebagai sokongan perjuangan rakyat Palestin.

"Bagaimana kita harus membantu rakyat Palestin khasnya golongan muda. Saya ingin mendapatkan penjelasan berapa banyakkah biasiswa atau kemudahan pelajaran yang diberikan kepada rakyat Palestin yang datang belajar di Malaysia," katanya.

Tambahnya, pintu sempadan Rafah yang kini dibuka perlu digunakan sebaik mungkin menyalurkan bantuan perubatan seperti dibuat kepada negara Bosnia.

Beliau juga menggesa agar kerajaan Malaysia menjadikan isu Palestin sebagai agenda kerajaan dan memperhebat program kesedaran kepada rakayat.

Menurutnya, kerajaan juga perlu mengurangkan program hiburan agar anak muda tidak lupa isu Palestin ini.
"Anak muda di sana dibunuh dengan peluru, di sini dengan hiburan," ujarnya.

Harakahdaily/-

Usul kecam Israel serlahkan ‘talam dua muka’

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail (gambar) petang tadi menganggap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘talam dua muka’ dalam melayani protes rakyat serta pembangkang berhubung usul mengecam kezaliman zionis Israel menghalang bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Baginya usul yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat pagi tadi semata-mata untuk menonjolkan wajah positif Umno BN kononnya anti pada layanan zionis Israel ke atas umat Islam di Gaza.

Selain mahu dilihat positif oleh rakyat, beliau yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, ucapan Najib dan Muhyiddin seakan mahu mengekalkan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang nyata dilihat dunia sebagai proksi pada zionis Israel.

“Saya berasa tidak ada yang berbeza kecuali Najib dan timbalannya (Muhyiddin) cuba serlahkan dua wajah masing-masing atau talam dua muka,” ujarnya.

Pertama, menurut beliau, Najib mahu rakyat melihat kerajaan Umno BN bersama-sama mereka dalam menentang zionis Israel.

Kedua, katanya lagi, Najib mahu Amerika Syarikat melihat Malaysia kelak setia menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara hegemoni tersebut.

Kalau anggapan itu tidak benar, menurut Saifuddin, Najib sudah tentu bersedia menyahut cabaran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan usul khas, iaitu pendirian Malaysia berhubung dasar-dasar luar dengan negara hegemoni AS.

“Anwar cabar dia (Najib) untuk menyatakan pendirian Malaysia dalam dasar-dasar luar seperti negara (Malaysia) dengan Amerika Syarikat juga merupakan sekutu kuat Israel zionis,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, sepatutnya Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas terhadap hubungan tidak langsung Amerika Syarikat dan zionis Israel supaya tindakan negara itu mampu membantu dunia melemahkan zionis Israel di Gaza.

“Zionis Israel mungkin lemah di Gaza kalau tidak dengan sokongan diplomatik (serta) ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan itu yang wajar Malaysia pertegaskan dalam usul pagi tadi,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mempersoal inti utama Najib, iaitu Turki digesa membawa zionis Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Buat apa Najib minta Turki pula yang membawa isu keganasan Israel ini ke ICJ, sedangkan kita hanya boleh buat lebih dari itu bekerjasama dengan Turki mengepalai dunia untuk menentang keganasan zionis Israel sekarang,” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, Najib sehingga sekarang belum bersedia memutuskan hubungan korporatnya dengan firma perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) walaupun banyak pihak mendedahkan tentang keterlibatan agen zionis Israel dalam firma tersebut.

“Kalau APCO pun, Najib tidak bersedia dengan satu wajah yang jujur, tidak sukar bagi Najib serta timbalannya (Muhyiddin) untuk mempunyai dua wajah asalkan rakyat terus sokong Umno BN (dan) pihak luar terbabit boleh tolong tunjuk ajar kepada kita apa yang terbaik untuk kita,” ujar beliau.

Harakahdaily/-

Usul mahu tindakan ketenteraan terhadap Israel

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub akan menghantar satu usul di Dewan Rakyat bagi meminta Kerajaan Malaysia mencadangkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka semakin berani menindas umat Islam di Palestin."Kalau tidak ada peluang berucap, saya tetap akan menghantar satu usul untuk dibahaskan di Dewan Rakyat untuk meminta kerajaan Malaysia mengambil langkah ke hadapan dengan membuat satu proposal kepada PBB.

"Sudah sampai masanya tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel. Sudah sampai masanya era diplomasi ditamatkan dengan Israel kerana mereka tidak faham lagi bahasa diplomasi. Jadi kita mahu tindakan ketenteraan diambil terhadap Israel dan Amerika perlu diambil tindakan serius," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan usul khas di Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman zionis Israel.

Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar pula mencabar kerajaan untuk menghentikan khidmat APCO sekiranya benar-benar membenci tindakan kejam Israel itu.

"Kenapa kita takut nak menunjukkan kebencian kita dengan menamatkan APCO? Sekarang seolah-olah tangan kanan kita memberi sesuatu kepada Palestin dan dalam masa sama tangan kiri kita mendakap APCO iaitu proksi kepada Isrel dan Amerika," katanya yang juga ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut mendesak kerajaan memanggil pulang duta ke PBB sebagai membuktikan kekecewaan Malaysia terhadap sikap berdiam diri PBB.

"Saya menggesa kerajaan menterjemahkan kekecewaannya kepada PBB dengan memanggil balik duta Malaysia ke PBB. Jika benar-benar tidak bersetuju dengan PBB, panggil balik duta kita," tegasnya.

Beliau turut menyifatkan usul itu sebagai bersifat kecaman semata-mata tanpa ada pendirian yang jelas untuk Malaysia bertindak dalam isu itu.

"Usul hari ini bersifat mengecam semata-mata, cadangan-cadangan untuk orang lain bertindak, bukan untuk Malaysia bertindak. Memang kita bersama dalam isu ini tapi sesuatu perkara yang melucukan bagi saya.

"Walaupun kita menyokong usul ini namun sebagai kerajaan perlu lebih praktikal dengan menunjukan sikap yang jelas. Kalau setakat kecam macam ni jadi macam tok penghulu Kampung Pening Lalat lah," katanya.

Harakhdaily/-

Dewan Rakyat sebulat suara lulus usul kutuk Israel

25 Jamadil Akhir 1431 H

Persidangan Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31Mei lalu.

Usul yang dibentang pada 11.30 pagi tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan setelah perbahasan lebih lima jam oleh wakil kerajaan, pembangkang dan bebas.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee ketika majoriti anggota parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk anggota parlimen Parit Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.

Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota dengan 137 mewakili Barisan Nasional, 77 pembangkang dan lapan anggota Bebas. Pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan
Rakyat (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (lapan).

Seramai 28 anggota, masing-masing 12 daripada BN dan 13 daripada Pakatan Rakyat serta dua anggota Bebas membahaskan usul berkenaan.

Malaysiakini/-

Kalau stadium boleh runtuh, apa lagi loji nuklear?

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Christine Chan

Menteri Tenaga, Teknologi hijau dan Air, Datuk Peter Chin, hari ini diasak berhubung keupayaan kerajaan menjamin keselamatan orang awam sekiranya negara meneruskan hasratnya menubuhkan sebuah loji tenaga nuklear.

"Bagaimana kita pastikan stesen nuklear itu akan selamat, sedangkan stadium, masjid dan stesen bas yang kita bina juga runtuh?” soal ahli parlimen Bagan, Lim Guan Eng ketika sessi soal jawap di Dewan Rakyat.

Selain langkah-langkah keselamatan, Lim juga mendesak Chin supaya menjelaskan mengapa kerajaan tidak sebaliknya mengkaji kemungkin menggunakan sumber tenaga lain yang boleh diperbaharui.

Lim juga ingin tahu kos loji nuklear yang bakal diwujudkan pada 2021, lokasi dan impaknya kepada kawasan sekitar, serta langkah keselamatan dan kaedah pembersihan sisa nuklear yang akan dipraktikkan.

Mengenai lokasi, Chin berkata janakuasa itu dijangka dibina di Semenanjung berdasarkan permintaan elektrik yang tinggi di kawasan tersebut pasca 2020.

Bagaimanapun lokasi tepat bagi membina loji nuklear tersebut belum ditentukan, katanya.

Beliau berkata kerajaan akan mengguna pakai piawaian antarabangsa bagi menentukan lokasi loji janakuasa itu dengan mengambil kira ciri-ciri seperti kepadatan penduduk, alam sekitar dan keadaan geogologi.

Selain itu katanya, kerajaan juga akan menggunakan khidmat Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dalam memastikan peraturan berkaitan keselamatan loji dipatuhi jika ia dibina di negara ini.

"Justeru lesen tapak loji berkenaan hanya akan dikeluarkan setelah semua kajian dilakukan termasuk penilaian kesan alam sekitar dan radiasi," katanya.

Chin juga berkata rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan loji janakuasa nuklear memandangkan pelbagai proses penambahbaikan telah dilakukan kepada teknologi itu pada masa ini.

"Ia termasuk kebolehan menghentikan tugas rektor nuklear dalam masa yang cukup pantas iaitu dalam tempoh beberapa saat sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini," kata beliau.

Malaysiakini/-

GMJ: Protes judi sukan 3 Julai tetap diteruskan

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan tetap meneruskan usaha untuk mengadakan protes bagi membantah pemberian lesen judi sukan, walau kerajaan berkata lesen tersebut masih belum dikeluarkan kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd.

Pegawai media GMJ Fadhil Osman berkata tindakan itu diambil memandangkan kerajaan tidak mengumumkan untuk membatalkan pemberian lesen tersebut."Jadi kita akan teruskan dengan protes pada 3 Julai ini," kata Fadhil ketika diminta mengulas mengenai jawapan bertulis kerajaan di Parlimen berhubung pemberian lesen tersebut.

"(Kerajaan) cuma mahu dapatkan pandangan, dia tidak kata batal," tambahnya.
Manakala rancangan untuk jelajah seluruh negara berhubung itu tersebut juga akan diteruskan, kata Fadhil.

Kementerian kewangan dalam jawapan bertulisnya hari ini berkata kerajaan belum "memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma perlesenan" kepada syarikat yang dikuasai jutawan Tan Sri Vincent Tan itu.

Fadhil bagaimanapun berkata jawapan seperti itu tidak memadai, malah mendakwa aktiviti perjudian itu telahpun bermula.

"Cuma terma dan syarat-syarat itu yang belum didedahkan, padahal, perkara ini sudah berjalan."Kalau sudah batal, (kerajaan) akan umumkan bahawa mereka akan batalkan (pemberian lesen judi).

"Jika tidak, takkanlah (Tan Sri) Vincent Tan keluarkan kenyataan untuk pujuk kerajaan Pakatan Rakyat supaya terima cadangan mereka," katanya.

Malaysiakini/-

Hasmy Agam pengerusi baru Suhakam

25 Jamadil Akhir 1431 H

Pengerusi Eksekutif Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL), Kementerian Luar Tan Sri Hasmy Agam hari ini dilantik sebagai pengerusi baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan pelantikan anggota-anggota baru Suhakam, iaitu Muhammad Sha'ani Abdullah, Profesor Datuk Dr Khaw Lake Tee, James Deva Nayagam, Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi A.Majid, Jannie Lasimbang dan Detta anak Samen.

Pelantikan itu untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 26 April lepas, menurut Perdana Menteri dalam kenyataan akhbar beliau kepada Bernama hari ini.

Perdana Menteri berkata menurut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan anggota Suhakam tersebut.

"Selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan Tan Sri Hasmy Agam dilantik sebagai pengerusi Suhakam," katanya.

Pengerusi Suhakam sebelum ini ialah bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.

Malaysiakini/-

Anifah: Brunei pemilik sah Blok L dan M

25 Jamadil Akhir 1431 H

Walaupun Brunei merupakan pemilik sah dua blok minyak, iaitu Blok L dan M, namun Malaysia tetap menerima bahagiannya bagi hasil minyak dan gas di kedua-dua kawasan minyak berkenaan, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Menjelaskan pertikaian berhubung kedua-dua kawasan minyak itu, beliau berkata perkongsian hasil adalah sesuatu yang tidak mustahil menerusi perjanjian komersial yang dimeterai pemimpin kedua-dua negara dalam Pertukaran Surat pada 16 Mac, tahun lepas.

Bagaimanapun, kedua-dua negara masih membincangkan nisbah kerana Brunei mempunyai hak kedaulatan ke atas kedua-dua blok minyak tersebut, katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

"Jika kita melihat dengan teliti tafsiran undang-undang berdasarkan UNCLOS (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut) 1982 adalah jelas kedua-dua blok itu milik Brunei.

"Kita telah mendapatkan pandangan beberapa pakar perundangan dan peguam maritim mengenai perkara ini," katanya ketika diminta mengulas jawapan beliau kepada soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar meminta kerajaan menyatakan kesahihan keputusan kerajaan persekutuan menyerahkan blok-blok tersebut kepada Brunei dan isu mengenai hak kedaulatan sempadan perairan di kawasan berkenaan tidak dirujuk kepada Parlimen.

"Kesemuanya (blok-blok berkenaan) milik mereka jadi bagaimana kita mahu mengarah mereka berbuat sesuatu? (Brunei mungkin berkata) jika anda mempunyai permintaan yang berpatutan, maka saya akan menimbangnya...tetapi jika anda mendesak, sudah tentu kami akan kata ia milik kami, mengapa kami patut tunduk kepada kemahuan anda?"

"Apa yang dipersetujui Brunei pada prinsipnya ialah mengenai perkongsian...tidak kisah banyak manapun, tetapi paling penting ialah mereka menawarkan isyarat persahabatan, ia bukan tentang wang ringgit," kata beliau.

Terdahulu ketika menjawab soalan Anwar (PKR-Permatang Pauh) di Dewan Rakyat, Anifah menjelaskan elemen yang terkandung dalam pertukaran surat pemimpin kedua-dua negara, terutamanya yang melibatkan persempadanan maritim dan darat Malaysia-Brunei, adalah sah dan tidak bercanggah dengan peruntukan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Beliau juga menegaskan bahawa elemen itu juga tidak mengubah sempadan mana-mana negeri yang berkaitan, malahan mengesahkan sempadan yang wujud di antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei.

Pertukaran Surat itu mengandungi empat elemen penyelesaian bagi isu tuntutan bertindih antara Brunei dan Malaysia iaitu persempadanan maritim, aturan komersial, persempadanan darat serta akses maritim.

Anifah berkata pada masa ini, kedua-dua pihak sedang melaksanakan kesemua elemen penyelesaian seperti yang terkandung dalam Pertukaran Surat itu.

Malaysiakini/-

'Jelaskan penyerahan Blok L dan M'

25 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: S Pathmawathy

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut penjelasan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyerahan dua zon yang kaya dengan minyak di luar pantai Laut China Selatan kepada Brunei tahun lalu.

Kementerian Luar sebelum ini telah mengakui dalam satu kenyataan bahawa blok minyak L dan M di luar pantai Sabah kini milik Brunei.Beliau mendesak perdana menteri menyatakan secara jelas di Parlimen mengenai keputusan kerajaan persekutuan menyerahkan wilayah negara, khususnya Blok L dan M, kepada Brunei.

Katanya, penyerahan tersebut selesai pada 16 Mac 2009, hanya 17 hari sebelum ahli parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi, melepaskan jawatan perdana menteri pada 3 April 2009.

Kontroversi mengenai Blok L dan M tercetus selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh Abdullah 'menyerah' dua blok minyak itu bagi menyelesaikan pertikaian sempadan Limbang di Sarawak.

Dalam blognya April lalu, Dr Mahathir mendakwa bahawa tindakan penggantinya itu telah mengakibatkan negara kehilangan sekurang-kurangnya AS$100 bilion atau sekitar RM320 bilion pendapat dari minyak.

Abdullah, bagaimanapun, dalam satu kenyataan akhbar, menafikan dakwaan tersebut dengan berkata langkah itu dibuat 'tanpa merugikan Malaysia' dan Malaysia akan dibenarkan menyertai pembangunan bersama secara komersil di dua blok tersebut selama 40 tahun.

Menurutnya lagi, perjanjian itu dilakukan dengan persetujuan kabinet sebelum ianya ditandatangani dengan Brunei pada 2009 dan sebelum beliau melepaskan jawatan perdana menteri kepada Najib.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata pendedahan mengenai penyerahan dua blok tersebut 'mengejutkan' kerana ia melibatkan kedaulatan negara serta kepentingan maritim dan ekonomi negara.

Katanya sewaktu pembentang undang-undang sempadan maritim 2006, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata Malaysia telah menyatakan sempadannya melalui pengumuman Peta Baru Malaysia sejak 21 Disember 1979.

Menurut Anwar, peta tersebut diterbitkan dalam dua set, satu untuk Semenanjung dan satu untuk Sabah dan Sarawak.

Menurut peta Sabah dan Sarawak, Blok L dan M itu terletak di dalam sempadan dan perairan Malaysia. Ini telah diumumkan secara rasmi sebelum Brunei merdeka pada 1980, kata Anwar.

Dalam sidang akhbar selepas ucapannya di Parlimen itu, Anwar berkata rakyat hanya tahu tentang 'penyerahan' itu apabila Murphy Oil berkata kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan Malaysia telah ditamatkan dan kawasan berkenaan bukan lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Kita hanya mendapat tahu apabila Murphy Oil dimaklumkan oleh Petronas untuk menghentikan operasi. Ini salah kerana ia menjejaskan kepentingan nasional," kata Anwar sambil menambah, paling tidak pun, harus ada pakatan kuasa pembangunan bersama.

Malaysiakini/-

Kenyataan bercanggah : Benarkah lesen judi sukan belum dikeluarkan ?

25 Jamadil Akhir 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Kementerian Kewangan dilihat mengeluarkan kenyatan berupa jawapan bertulis yang saya anggap mengelirukan banyak pihak, malah pada tahap yang diragui apabila dikatakan kerajaan masih belum mengeluarkan lesen pertaruhan sukan kerana kerajaan masih mendapatkan maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara berkenaan.

Dalam satu jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat, kementerian itu berkata, kerajaan belum lagi mengeluarkan/ memberi lesen kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd untuk menjalankan operasi pertaruhan di Malaysia.

Kekecohan dan kehangatan mengenai isu judi ini bermula apabila Timbalan Menteri Kewangan menyatakan Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Kata Awang Adek lagi jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Tidak berapa lama selepas itu tersebar BERJAYA telah diberikan lesen tersebut. Gelombang kemarahan rakyat memuncak dengan siri-siri demonstrasi diseluruh negara bagi menyatakan bantahan. Mereka terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Selain itu negeri-negeri di bawah kerajaan Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor menyatakan bantahan dengan melarang judi tersebut beroperasi dimana-mana permis BERJAYA yang sedia ada menjual TOTO. Kelantan sudah lama mengharamkan semua judi beroperasi disemua permisnya.

Tiba-tiba kita dikejutkan dengan kenyataan di Parlimen kelmarin sebagaimana di petik berkata "Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di malaysia.

"Kerajaan masih mendapatkan maklumbalas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia," kata kenyataan bertulis itu.

Jawapan bertulis itu dikeluarkan bagi jawapan soalan Datuk Ibrahim Ali (Pasir Mas), Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Tian Chua (Batu) dan Loke Siew Fook (Rasah).

Pada sidang medianya, Tian Chua yang menerima jawapan bertulis itu mempertikaikan kenyataan awam Ascot Spot yang dibuat oleh pemiliknya, Tan Sri Vincent Tan (kanan).

"Ini adalah jawapan yang mengejutkan kerana sejak seminggu lalu, Vincent bercakap seolah-olah dia telah memiliki lesen itu. Malah dia dilaporkan berkata yang Pakatan Rakyat akan diheret ke mahkamah, jika negeri-negeri itu mengharamkan pertaruhan sukan,” katanya di lobi parlimen.

Tambahnya, jawapan itu tidak menjelaskan keadaan yang sebenar dan ada pihak yang menipu.

Pengarah strategi PKR itu juga mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan yang mengubah pendiriannya kerana gusar dengan kemarahan rakyat ataupun mungkin Tan tidak bercakap benar.

"Jawapan itu amat berlainan dengan gambaran yang diberikan oleh Vincent, adakah beliau begitu yakin akan diberikan lesen berkenaan?” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan pemilik BERJAYA, Vincent Tan beberapa hari lepas telah berjanji akan mendermakan lebih setengah bilion untuk tujuan kebajikan. Katanya wang sejumlah RM525 juta itu akan didermakan melalui yayasannya Better Malaysia Foundation.

Bagi saya BN sedang menyelamatkan kapalnya yang semakin karam dan dibenci oleh rakyat Malaysia akibat dari isu judi tersebut. Kenyataan bercanggah dengan realiti yang berlaku adalah membuktikan BN sudah sangat menggelabah mengahadapi gelombang rakyat yang bencikan kepada dasar kerajaan tersebut.