03 June 2010

KENYATAAN MEDIA : Najib nafi kuasa rakyat , tubuh kerajaan mewakil dirinya bukan mewakili rakyat.

20 Jamadil Akhir 1431H.

Dua hari lepas PM 1Malaysia telah mengumumkan sedikit rombakan kabinet seperti yang dijangkakan oleh banyak pihak. Namun pengumuman Najib bagi saya ternyata tidak menggembirakan banyak pihak apabila dari 9 orang yang dilantik itu, lima dari mereka adalah senator dan hanya dua anggota parlimen dilantik sebagai timbalan menteri persekutuan yang baru.

Berhubung dengan itu saya suka untuk mengeluarkan beberapa kenyataan :-

1. Tindakan Najib menambah koleksi Menteri dan timbalan menteri dikalangan bukan Ahli Parlimen iaitu senator yang dilantik adalah bukti nyata bahawa beliau telah menafikan hak rakyat yang memilih wakil rakyat yang sepatutunya didahulukan dalam memilih mereka sebagai anggota kabinetnya.

2. Perkara serupa juga dilakukan oleh beliau apabila mengepalai kudeta di Perak dengan menafikan hak rakyat memilih dan menentukan kerajaan negeri tetapi dinafikan dengan menculik dan membeli wakil rakyat. Keharmonian hidup bermasyarakat dan berpolitik di Perak sesungguhnya telah dirosakkan oleh tindakan kudeta itu.

3. Realitinya jelas sekali bahawa Najib telah membuktikan sikapnya menafikan hak rakyat yang memilih dan menetukan mereka yang dipilih itu membentuk kerajaan. namun apabila Najib mencipta sejarah baru dengan melantik terlalu ramai senator sebagai anggota kabinetnya, sebenarnya menggambarkan kelemahan kerajaan yang bukan mewakili rakyat tetapi mewakil dirinya sendiri.

4. Najib ternyata menafikan orang yang berkelayakan dalam partinya sendiri . Bayangkan ketika Ketua pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau sudah tidak diiktiraf dengan tidak dilantik sebagai Menteri sebagaimana biasanya.

5. Najib ternyata mengadai prinsipnya demi untuk mengambil hati bangsa lain tetapi bagi saya tindakannya sudah terlambat dan sudah di penghujung senja.

6. Oleh itu saya mengesyorkan kepada semua Ahli parlimen UMNO dan pemimpin UMNO disemua peringkat dengan berani membuat bantahan di atas tindakan Najib yang menafikan hak rakyat khususnya dikalangan penyokong UMNO yang telah memilih wakil rakyat untuk mewakili partinya namun tidak dipilih menjadi anggota kabinet..

7. Begitu juga Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat mestilah membuat bantahan kerana tindakan menafikan hak rakyat tersebut bertentangan dengan semangat demokrasi yang sedia ada.

KENYATAAN MEDIA, 3 Jun 2010.

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
Ketua penerangan PAS Perak/
Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Himpunan Sejuta Umat.

Wartawan Kongsi Detik Cemas Diserang Israel

Kesemua 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera rejim Yahudi Israel dua hari lepas mengibarkan Jalur Gemilang setelah dibebaskan rejim tersebut hari ini. Mereka yang ditahan ketika menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza kini dalam perjalanan ke kedutaan Malaysia di Jordan. - Foto BERNAMA


PETALING JAYA: "Kami diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Shamsul (jurukamera, Shamsul Kamal Abdul Latip) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu."

Demikian cerita wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, yang merupakan salah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang diserang tentera rejim Zionis pagi kelmarin.

Dalam satu lintas langsung dengan stesen itu pagi ini, beliau memberitahu, tentera Israel mengepung konvoi Flotila Pembebasan itu di setiap sudut dengan menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter perang, Apache.

Katanya, kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu Nautika di luar perairan Israel pada pukul 4.30 pagi.

"Tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata.

"Jadi saya tidak nampak apa senjata tajam yang digunakan. Melainkan mereka sudah mula melepaskan tembakan, itulah senjata yang terpaksa mereka gunakan iaitu besi-besi yang terdapat di atas kapal bukan senjata berbentuk pisau, parang, pedang samurai dan sebagainya tetapi menggunakan pisau sahaja," ujarnya.

Beliau menambah, para sukarelawan hanya menggunakan air pili bomba bukan meriam air bagi mengelak komando-komando Israel menaiki kapal melalui bot-bot kecil yang telah pun mengepung Mavi Marmara.

Tambahnya, mereka diserang bertubi-tubi oleh komando yang naik ke atas kapal, bagaimanapun beliau dan Shamsul berjaya menyelamatkan diri.

"Hanya dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga bahu.

"Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah... ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian sedangkan koncoi ini membawa orang awam. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan," tambah beliau.

Ditanya keadaan Shamsul, Ashwad berkata, beliau selamat tetapi kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh tentera Israel dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan.

"Shamsul diarahkan duduk di tepi dan saya diarahkan turun ke bawah dan kami terpisah sejak itu dan kami dipenjarakan di Beersheba. Kami dibawa ke Ashdod. Dari Ashdod kami dibawa ke penjara di Beersheba dan dari itu kami tidak bertemu," tambahnya.

Dalam pada itu, Ashwad berkata, mereka kini berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Mereka dihantar dengan bas bersama sukarelawan dari beberapa negara lain ke sempadan Israel-Jordan dan kini dalam perjalanan ke Amman.

"Kami berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia, pihak kedutaan (di Jordan) dan masyarakat antarabangsa yang banyak berusaha untuk keluarkan kami," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan agar mereka selamat dan mengadakan sembahyang hajat.

Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah salah satu kapal konvoi Flotila Pembebasan yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata, layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Beliau berkata, kesemua 12 rakyat Malaysia itu akan bertemu dengan Duta Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz sebelum mengatur rancangan pulang ke tanah air.
Mstar/-

Dui Niu Tan Qin

19 Jamadil Akhir 1431 H


Main Kecapi di Depan Lembu

Asal Usul:

Pada zaman dahulu kala, ada seorang pemuzik yang bernama Gong Mingyi. Kepandaiannya dalam memainkan kecapi selalu mendapat pujian orang ramai.

Pada suatu hari, Gong Mingyi keluar untuk menziarahi salah seorang kawannya. Apabila lalu di sebuah lembah yang dikelilingi oleh bukit bukau yang menghijau, dengan bunga-bungaan yang harum semerbak berkembang di mana-mana, dia amat terpesona dengan keindahan pemandangan di situ. Ketika melihat ke hadapan, dia ternampak ada seekor lembu sedang meragut rumput dengan tekunnya. Hatinya tergerak mahu memainkan sebuah muzik dengan kecapinya untuk lembu itu. Maka, dia pun duduk di depan lembu itu, dan mula memainkan kecapinya dengan sepenuh hati dan jiwa. Sayangnya, lembu itu terus menundukkan kepalanya sambil meragut rumput dengan bersungguh-sungguh, dan tidak memberikan perhatian kepada muzik yang dimainkan oleh Gong Mingyi itu walau sedikit pun. Gong Mingyi berasa amat kecewa. Bagaimanapun, fikirnya pula, mungkin muzik yang dipilihnya tadi terlalu susah untuk difahami oleh lembu itu. Maka, dia memutuskan untuk memainkan sebuah lagi muzik untuk lembu itu. Muzik yang dimainkannya kali ini, ada yang mirip bunyi nyamuk yang berdengung, ada juga yang mirip bunyi lembu yang melenguh. Ketika terdengar muzik ini, lembu yang tadinya tekun meragut rumput itu, segera mengangkat kepalanya, dan mula "berkawat" sambil menggoyang-goyangkan ekornya mengikut rentak muzik itu.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Dui Niu Tan Qin" atau "Main Kecapi di Depan Lembu" ini bermaksud, bercakap tanpa melihat sasaran hingga menyebabkan sasaran tersebut tidak faham akan percakapan itu. Sekarang, peribahasa ini juga membawa erti, menjelaskan perkara-perkara yang rumit kepada orang yang bodoh, hanyalah suatu usaha yang sia-sia sahaja. Ia menasihati kita supaya mengenal sasaran sebenar terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan. Dengan yang demikian, barulah usaha yang kita lakukan menghasilkan kesan yang memuaskan.

CRI/-

Qunut nazilah dalam solat lima waktu

19 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan seluruh ahli, kepimpinan dan penyokong PAS serta meminta umat Islam di seluruh dunia agar membaca Qunut Nazilah dalam tiap-tiap solat lima waktu bermula hari ini.

Demikian dimaklumkan oleh setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily, sebentar tadi.

Ini, katanya bagi memohon kepada Allah agar dibinasakan rejim zionis Israel serta diberikan kekuatan kepada kumpulan sukarelawan yang sedang ditahan dan berhadapan dengan rejim zionis itu di Gaza dan seluruh dunia.

Harakahdaily/-

Ahli parlimen BN tidak layak anggotai kabinet Najib

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: IDzulfikar Mashoor

PETALING JAYA, 1 Jun: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyenaraian lebih banyak senator dalam kabinet baru seakan memberi gambaran bahawa ahli parlimen BN tidak layak dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri.

"Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kebanyakan ahli-ahli parlimen yang kanan di Dewan Rakyat mungkin tidak layak menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet baru ini," jelas beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemimpin Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR, Tropicana lewat petang tadi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mencadangkan Najib supaya mengadakan pilihan raya kecil dengan meletakkan para senator yang baru dilantik bertanding dan menjadi Ahli Parlimen bagi menggantikan segelintir ahli parlimen BN yang sedia ada.

"Elok Datuk Seri Najib adakan suatu pilihan raya kecil untuk memilih dari kalangan senator-senator terbabit menjadi ahli parlimen, ganti mana-mana ahli Parlimen BN yang dirasakan Najib tidak layak," ujar beliau yang juga Ketua Umum PKR.

Sebelum pada itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempersoal tindakan Najib melantik banyak senator untuk menganggotai kabinet baru beliau.

Dengan perlantikan tersebut, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, langsung tidak mencerminkan sebuah 'Kabinet Rakyat'.

Ini kerana, menurut beliau, pemilihan beberapa senator terbabit bukannya dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang demokratik, tetapi dipilih oleh Najib berasaskan kepentingan politik sempit parti-parti komponen BN semata-mata.

Katanya lagi, tindakan Najib melantik lebih ramai pemimpin MCA walaupun mungkin untuk menangani konflik kepentingan dalam parti perkauman Cina itu, tetapi perlantikan tersebut adalah sia-sia.

"Saya tidak nampak (perlantikan) ini sebagai suatu nilai tambah untuk MCA dan BN tidak mungkin boleh memulihkan keyakinan rakyat dengan perlantikan itu," ujar beliau.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula mengganggap pembentukan kabinet yang baru itu semata-mata untuk memulihkan kepercayaan rakyat.

Perlantikan tersebut menurut beliau, sebenarnya lebih untuk menangani masalah dalaman MCA dan BN sendiri.

Petang tadi, Najib mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, menggantikan Tee Keat.

Beliau juga mengumumkan pelantikan dua ahli parlimen (MP) sebagai timbalan menteri iaitu MP Serian, Datuk Richard Riot Jaem sebagai Timbalan Menteri Luar dan MP Labis yang juga anak Dr Chua Soi Lek, Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani).

Empat senator turut dilantik sebagai timbalan menteri yang baru ialah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G. Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi; Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Maglin Dennis D'Cruz (Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Katanya, Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa hari ini.

Harakahdaily/-

LL4G hargai sokongan Turki

19 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 2 Jun: Pasukan Pengurusan Krisis untuk Lifeline For Gaza (CMT-LL4G) bersama-sama wakil-wakil NGO akan mengunjungi wakil Duta Turki ke Malaysia di pejabat Kedutaan Turki pada jam 10 pagi ini.

Laman web LL4G melaporkan, kunjungan itu bagi menyerahkan memorandum penghargaan dan sokongan kepada kerajaan Turki atas dokongan mereka terhadap misi membantu perjuangan rakyat Palestin.

Kunjungan itu dibuat selepas pihak CMT-LL4G menghubungi pihak kedutaan petang semalam untuk mendapatkan maklumat berkenaan 12 orang anggota konvoi Lifeline4Gaza yang berada di atas kapal yang diserang dan ditawan oleh Israel.

Harakahdaily/-

Pertandingan Merangkak bagi kanak-kanak di Ukraine

19 Jamadil Akhir 1431H.


Kelihatan beberapa orang kanak-kanak anak kecil yang comel sedang menyertai pertandingan merangkak ini.


Pada 31 Mei yang lalu, menjelang Hari Kanak-kanak Antarabangsa, satu pertandingan merangkak bagi kanak-kanak telah diadakan di Kiev, ibu negara Ukraine.

12 rakyat Malaysia ditawan Israel dibebaskan

Gambar terakhir salah seorang rakyat Malaysia yang selamat, Sdr. Jamaluddin Ellias (jaket hitam) dari Yayasan Amal Malaysia di tanahair sebelum berlepas dan menyertai Konvoi LL4G di atas kapal induk Mavi Marmara.GAMBAR/-selesaidulu.blogspot.com



19 Jamadil Akhir 1431H.

Semua 12 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera Israel semasa kapal Mavi Marmara diserang pagi Isnin lalu disahkan selamat.

Perkara itu disahkan oleh wartawan Astro Awani, Ashwad Ismail yang menghubungi bilik beritanya di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Ashwad adalah seorang daripada 12 rakyat Malaysia yang ditahan itu. Senarai penuh rakyat malaysia tersebut ialah :-

1.Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
2.Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluanalestin
3.Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
4.Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
5.Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
6.Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7.Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
8.Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9.Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
10.Mustafa Mansur, Mapim
11.Ashwad Ismail, wartawan Astro
12.Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro

Semua mereka kini berada di sempadan di Jordan sementara menunggu persiapan bagi membawa mereka pulang ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditawan pihak Israel itu.

Beliau berlepas ke Jordan pada jam 10.15 pagi tadi dan dijangka tiba di Amman pada jam 1.30 tengahari waktu Malaysia.

“Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra,” kata seorang pembantu beliau.

Sementara itu menurut laporan AP, seramai 124 aktivis pro-Palestin dari 12 negara Islam termasuk Malaysia tiba di Jordan hari ini selepas dibebaskan oleh Israel.

Kumpulan itu yang ditahan dalam serangan komando Israel ke atas flotila bantuan Gaza kelmarin menyeberangi Jambatan Allenby ke Jordan dengan menaiki lima bas.

Pegawai tentera Jordan, Brigadier Mahmoud Abu Jumaa berkata, negaranya akan membantu menghantar pulang aktivis itu ke negara masing-masing dengan kerjasama kerajaan mereka.

Aktivis yang dibebaskan itu terdiri daripada rakyat Malaysia, Azerbaijan, Indonesia, Pakistan, Algeria, Jordan, Kuwait, Maghribi, Mauritania, Yemen, Oman dan Bahrain.

Isteri syukur suami selamat

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Ismail Hashim

SHAH ALAM, 2 Jun: Semua isteri sukarelawan mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah sebaik mendapat khabar tentang suami mereka selamat selepas kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara diserang tentera rejim haram Israel pagi kelmarin.

Isteri Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Jamuliddin Elias, Puan Rosfazilah Mohd Nor dan isteri wakil Muslim Care, Abdul Halim Ridzuan, Puan Nurdalela Abdul Alim ketika dihubungi menyatakan kegembiraan ekoran perkembangan itu.

Mereka mendapat berita itu daripada Pengerusi Pasukan Pengurusan Krisis (CMT) dan Sokongan Keluarga Misi LL4G Malaysia, Zulkifli Mohd Nani petang semalam.

(Gambar:atas Nurdalela dan anaknya, Humaira)

Menurut Puan Rosfazilah, khabar selamat dari Saudara Zulkifli tentang keselamatan semua sukarelawan Malaysia itu bertambah lagi apabila pihak Wisma Putra sedang berusaha untuk membawa mereka pulang.

Katanya, rombongan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Dr Abd Rani Osman seramai lapan orang yang baru pulang dari Turki datang ke kediamannya kami sebaik mendarat dari sana, semalam.

Puan Nurdalela pula bersyukur dan menyatakan terima kasih di atas sokongan kawan-kawan beliau dan suami yang datang menziarahi keluarganya siang semalam.

Petang kelmarin, di dalam sidang akhbar yang mereka hadiri, isteri-isteri sukarelawan Malaysia ini tetap perlihatkan semangat kental meski nasib suami mereka masih lagi belum terjamin selamat.

Namun dengan berkat didikan suami dan jemaah perjuangan Islam yang setiap mereka turut dokongi, menjadikan jiwa mereka kebal, tetap dan tegap.

Kesempatan mendengar luahan rasa isteri Ketua Delegasi Malaysia, Haji Noorazman Mohd Shamsudin, Puan Mazlina Ghazali (kiri), Puan Rosfazilah dan Puan Nurdalela menyerlahkan kekuatan dalaman yang dimiliki.

Mereka masih mampu menzahirkan semangat kuat dan daya juang tinggi melalui perkataan mereka di hadapan hadirin termasuk warga media yang mengikuti perkembangan terkini di dalam sidang akhbar itu.

Beliau bersama empat isteri sukarelawan lain dan dua anak peserta konvoi menyatakan isi hati mereka dalam sidang akhbar yang diadakan di sebuah hotel dekat sini.

Memang ketika itu, nasib suami-suami mereka masih tidak dapat dipastikan sama ada selamat, tertembak atau diapa-apakan oleh zionis Israel.

Kapal yang mereka naiki, Mavi Marmara yang dinaiki sekitar 800 sukarelawan dari 50 negara telah ditembak dalam jarak 65 km di dalam perairan antarabangsa.

Puan Mazlina berkata, mereka semua adalah yang terpilih oleh Allah SWT untuk ke sana dan mereka tetap tabah dalam usaha membantu rakyat Gaza yang telah tiga tahun terpenjara.

Beliau sering berhubung dengan suaminya melalui e-mel dan telefon untuk mengetahui perkembangan terkini suaminya dan sukarelawan yang lain.

Pagi kelmarin, jelasnya, kali terakhir beliau dihubungi suami yang memberitahu ada helikopter berlegar di udara dan kapal mereka dikepung.

“Namun selepas itu hingga kini tiada sebarang hubungan lagi dan saya faham tugas suami sebagai ketua menjaga keselamatan semua sukarelawan," tegasnya.

Rosfazilah pula berkata, beliau memang sentiasa tabah apatah lagi suaminya, Jamuliddin asyik berkata-kata tentang ‘hendak syahid, hendak syahid’ sahaja.

“Saya pasti beliau tidak bergurau dalam hal-hal seumpama itu, jadi kami sekeluarga memang sudah pasrah dan menerima jika apa sahaja kemungkinan bakal berlaku.

“Malah beliau tertinggal pula peralatan penting seperti kamera dan kad pengenalan, hari Jumaat lepas sebelum kapal utama mereka berlepas merupakan kali terakhir saya dapat bercakap dengan suami,” jelasnya.

Pasangan Rosfazilah, 44, kelahiran Sungai Petani, Kedah dan Haji Jamuliddin, 47, dari Batu Pahat, Johor mempunyai 10 cahayamata; Nurul Fathi, 21 belajar di IPDA, Mohd Nur Fathi, 19, Ahmad Afiq, 17, Nur Izzati, 15, Danial Fakri, 13, Farhan Faris, 11, Yasmin Zahira, 9, Luqmanul Hakim, 7, Hassan Nasrullah, 4 dan Nur Hanzalah, 3 bulan.

Beliau menyebutkan pendirian suaminya tentang perjuangan Islam yang mereka bersama yakini ini akan berakhir dengan dua perkara sama ada syahid atau menang.

Menurutnya, suaminya sering mengingatkan tentang kematian yang mesti diingat setiap hari dan bukan hanya ketika berlakunya konvoi ini sahaja.

Namun bila terjadinya peristiwa ini, mereka sekeluarga lebih mendekatkan diri kepada ketentuan Allah SWT yang telah mengaturkan semua perkara di Luh Mahfuz.

“Anak-anak pula tidak banyak kerenahnya kerana mereka udah acap kali ditarbiyah oleh bapa mereka dan sering kali mengikuti program khusus bersama Unit Amal sejak kecil lagi.

“Jadi bila ditinggalkan begini, mereka sudah terasa seperti biasa sahaja sebab sudah biasa sangat ditinggalkan oleh bapa mereka yang berminat dengan kerja-kerja lapangan,” tegasnya bersemangat.

Bagi Nurdalela pula berkata, “Jangan bawa pulang mayat abang” adalah antara amanat suaminya, Abdul Halim sebutkan tatkala meninggalkan mereka sekeluarga pada 17 Mei lalu.

"Jangan bawa pulang mayat abang, Jangan bawa pulang mayat abang", ucapan itu masih terngiang-ngiang. Malah bila berita konvoi Flotilla Kemanan diserang, ia menjadi semakin kuat memukul gegendang telinga.

Perkara itu didedahkannya dalam sidang akhbar yang inisiatifnya dibuat CMT selepas kapal utama itu dibedil Israel. Penuh sesak bilik sidang itu dengan warga media dan pendokong NGO berkaitan.

Pasangan Abdul Halim, 40, dari Sungai Besar dan Nurdalela, 34, dari Sabak Bernam tinggal di Meru mempunyai tiga cahayamata, Mohd Taufik, 14, Mohd Shahril, 12 dan Hanis Humaira, 2 tahun.

“Sebelum pergi suami menjemput semua berkumpul saudara mara termasuk ibunya, Siti Fathonah Murad, 54 dan beliau meminta maaf dan menyebutkan kesungguhannya untuk ke Gaza.

“Kali terakhir kami bercakap pada hari Khamis jam 10 malam ketika beliau akan berlepas ke Gaza dengan kapal Mavi Marmara dan katanya, akan hubungi lagi jika selamat di Gaza.

“Kami berpegang teguh dengan takdir-Nya, jika ada jodoh, kami jumpa lagi, kami redho dan bersedia hadapi apa sahaja kemungkinan, sebagai orang Islam, kita mesti ingat mati dan beliau meminta maaf pada semua,” ujarnya lagi.

Anaknya pula, Humaira yang juga kerap ditinggalkan kerana bapa aktif di lapangan berkata, “abah pegi kerja naik kapalterban”’ lantaran sudah biasa kerana bapanya memang sebelum ini pergi pagi dan balik malam.

Harakahdaily/-

Makanan Halal Ningxia di Taman Ekspo Dunia 2010 Shanghai

19 Jamadil Akhir 1431 H

Ekspo Dunia 2010 sedang berlangsung di Shanghai. Ekspo ini merupakan temasya yang sungguh meriah disambut oleh rakyat seluruh dunia bukan sahaja mempamerkan tamaduan manusia, malah menyediakan peluang untuk rakyat berkongsi kegembiraan dan menjalinkan hubungan persahabatan. Lebih-lebih lagi, ekspo dunia merupakan ekspo yang memberi kesempatan kepada para pengunjung untuk menikmati makanan istimewa pelbagai negara di seluruh dunia.

Wilayah Autonomi Hui Ningxia merupakan kampung halaman etnik Hui, salah satu etnik yang beragama Islam di China. Kebudayaan makanan "Qingzhen" yang bermaksud makanan halal mempunyai sejarah yang lama di Ningxia. Syarikat-syarikat makanan halal Ningxia telah membawa makanan yang enak kepada para pelawat Ekspo Dunia Shanghai.

Syarikat Buah Wolfberry Bairuiyuan Ningxia, iaitu sebuah syarikat makanan halal dari Ningxia telah membuka sebuah gerai di "Kawasan Makanan Halal" yang terletak di "Jalan Makanan Enak China" dalam Taman Ekspo Dunia Shanghai. Nignxia kaya dengan buah Wolfberry China disebabkan cuaca Ningxia sesuai bagi pertumbuhan pokok wolfberry China.

Beberapa tahun kebelakangan ini, Ningxia menggalakkan perkembangan industri penanaman pokok wolfberry China bagi membantu para petani tempatan meningkatkan pendapatan mereka. Separuh daripada pendapatan petani tempatan datangnya daripada industri buah wolfberry China. Produk yang dihasilkan daripada buah wolfberry China seperti gula dan teh telah dieksport ke berpuluh-puluh buah negara dan kawasan di seluruh dunia.

Buah wolfberry China biasanya dicampurkan dalam sup daging kambing, mi daging lembu dan hidangan lain bagi menambah rasa manisnya. Selain itu, buah tersebut juga baik untuk kesihatan kerana berfungsi untuk menunrunkan kepanasan dalam badan kita terutama ketika berada pada musim panas.

Wartawan kami membuat liputan di "Kawasan Makanan Halal" dalam taman ekspo, ketika waktu puncak makan tengah hari. Kawasan tersebut dipenuhi dengan para pengunjung. Encik Sun dari provinsi Henan tertarik oleh restoran makanan halal buah wolfberry China Ningxia. Beliau tidak sabar untuk mencuba secawan mi daging lembu yang dicampur dengan wolfberry China. Kata beliau,

"Saya membeli dua cawan masakan, salah satu daripadanya daging lembu campur buah wolfberry China dan satu lagi mi Saozi daging kambing dicampur wolfberry China. Rasanya sedap. Saya suka. Sekarang, orang semakin mementingkan kesihatan melalui makan. Buah wolfberry China ini baik untuk kesihatan."

Makanan mi merupakan makanan yang paling popular dan paling banyak jenisnya dalam makanan halal Ningxia. Pegawai Syarikat Buah Wolfberry Bairuiyuan Ningxia, Fan Yinfang berkata:

"Sejak taman ekspo dibuka secara rasmi kepada orang awam, makanan halal Ningxia terutamanya mi telah mendapat sambutan terhangat para pengunjung. Lebih-lebih lagi, mi Saozi daging kambing, iaitu sejenis makanan mi istimewa Ningxia adalah paling popular. Lebih 100 cawan mi tersebut dijual semalam (12 Mei)."

Pada awal bulan April tahun lalu, pihak penganjur Ekspo Dunia Shanghai telah memulakan pemilihan yang ketat terhadap semua syarikat makanan yang memohon untuk menyediakan makanan semasa ekspo dunia berlangsung. Syarikat yang dipilih perlulah mencapai piawaian dan boleh mewakili keistimewaan masakan pelbagai tempat seluruh China.

Fan Yifang memberitahu wartawan bahawa saingan amat sengit kerana semua syarikat mempunyai kelebihan sendiri dan mereka semuanya berhasrat mempromosikan makanan halal Ningxia kepada para pelawat dari seluruh dunia. Menurut beliau, semua masakan yang disediakan mereka mengandungi buah wolfberry China.

"Buah wolfberry China merupakan hasil istimewa Ningxia. Sekarang ramai orang dalam dan luar negara lebih mengetahui wolfberry China dari Ningxia. Mereka tertarik oleh gerai kami kerana melihat wolfberry China yang begitu merah dan segar. Saya rasa ekspo dunia kali ini telah memberikan peluang yang amat berharga kepada kami untuk memperkenalkan syarikat kami khususnya dan wilayah Ningxia amnya kepada para pengunjung dalam dan luar negara."

Restoran Hotpot Hongchangxing Shanghai telah ditubuhkan pada tahun 1891 dan merupakan restoran hotpot kambing yang pertama di Shanghai. Pemilik restoran tersebut, Hong Sanba menjemput beberapa orang tukang masak masakan halal yang terkenal dari Beijing pada tahun 1918. Mulai saat itu, hotpot daging kambing menjadi masakan utama restoran tersebut. Restoran Hongchangxing mendapat reputasi yang baik kerana daging kambing yang disediakannya bermutu tinggi dan enak.

Piawaian bagi pemilihan daging kambingnya amat ketat. Mereka hanya menggunakan daging kambing Tasik Tai, iaitu kambing yang diternak di Huzhou, Pinghu dan Zhejiang di sekitar Tasik Tai. Selain itu, bahan-bahan ketika menyediakan makanan hotpot kambing juga amat istimewa. Katanya, bahan-bahan yang digunakan oleh restoran tersebut terdiri daripada lebih 10 jenis bahan termasuk sejenis bahan yang dirahsiakan yang diwarisi turun-temurun yang mana rahsia itu hanya diketahui antara beberapa tukang masak yang tertentu sahaja. Pada awal 1920-an dan 1930-an, restoran Hongchangxing sudah menjadi restoran hotpot makanan halal yang masyhur di Shanghai.

Restoran Hongchangxing telah berjaya mendapat kelulusan untuk menyediakan makanan halal dalam Taman Ekspo Dunia Shanghai. Terdapat 64 orang pelajar dari Akademi Vokasional Industri dan Perniagaan Ningxia sedang bertugas di Restoran Qingzhen Hongchangxing dalam taman ekspo. Restoran tersebut terletak berhampiran Pavilion Arab Saudi. Selepas taman ekspo dibuka secara rasmi, hampir sepuluh ribu pelawat menikmati makanan di restoran tersebut pada setiap hari. Jumlah pelawat yang begitu ramai memang merupakan satu ujian hebat kepada semua pelajar Ningxia. Tetapi, mereka terus menjalankan tugas masing-masing dengan penuh bersemangat. Li Delong, salah seorang tukang masak daripada mereka menyatakan:

"Kami bangun kira-kira pukul 6.00 setiap hari dan datang ke sini dengan menaiki bus. Selepas bekerja sepanjang hari kami rasa letih sangat. Bagi tukang masak lebih susah kerana suhu di dalam dapur ini mencapai sekurang-kurangnya 40 darjah. Namun kami merasa bangga dapat berkhidmat untuk ekspo dunia."

Akademi Vokasional Industri dan Perniagaan Ningxia mempunyai reputasi baik dalam sektor makanan halal di China. Kumpulan perkhidmatan makanan halal yang terdiri daripada pelajar lulusan akademi tersebut pernah memberikan perkhidmatan kepada lebih 6,000 orang Islam dalam dan luar negara semasa Sukan Olimpik Beijing yang berlangsung pada tahun 2008. Mereka dianugerahkan "kumpulan perkhidmatan makanan yang terunggul Sukan Olimpik".

Atas undangan restoran Hongchangxing, 64 orang pelajar yang berkelayakan telah dipilih oleh akademi tersebut untuk menerima latihan sebelum berkhidmat untuk ekspo dunia ini.

Pegawai akademi tersebut, Song Guoqing berkata:
"Pelajar kami juga dapat meningkatkan taraf masakan mereka melalui tugas ini. Selain itu, kami juga berharap masakan Ningxia dapat diterima oleh para pengunjung."

Ketua Pengarah Restoran Hotpot Hongchangxing Shanghai, Ma Zongli menyanjung tinggi pelajar-pelajar akademi tersebut. Kata beliau,

"Mereka berjaya membentuk imej orang Ningxia yang rajin bekerja kepada para pengunjung dalam dan luar negara. Kami bersedia menjalinkan hubungan kerjasama jangka panjang dengan akademi tersebut."

CRI/-

Makan Tanah: Kanak-Kanak Dirujuk Pakar Psikologi Jika Sebab Tabiat

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh EMBUN MAJID


Yogeswary (kiri) dan sepupu Vikneswary (kanan) serta dua adik perempuannya, Ganggademi (tengah) dan Nageswari (dua, kanan) bersama nenek mereka N. Bathumalai, 61 (kiri, belakang), Penolong Setiausaha MIC Bahagian Jerai, A.P Muniandy (kiri, belakang) dan Supramaniam. Empat kanak-kanak perempuan berkenaan dimasukkan ke hospital apabila salah seorang daripada mereka dalam keadaan lemah selepas memakan tanah. Foto G.C. Tan / The Star.

ALOR SETAR: Empat kanak-kanak perempuan yang memakan tanah yang didakwa rasa seperti coklat akan dirujuk kepada pakar psikologi kanak-kanak sekiranya tindakan itu berpunca daripada tabiat dan bukan disebabkan oleh kelaparan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzuki Md Isa berkata, doktor-doktor yang memeriksa mereka di Hospital Sultan Abdul Halim Hospital di Sungai Petani akan melakukan penilaian terhadap kes tersebut.

“Kami akan menyoal dan meneliti latar belakang mereka bagi mengenal pasti punca mereka memakan batu. Jika ia disebabkan oleh tabiat, mereka akan dirujuk kepada pakar psikologi kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menambah, jika ia disebabkan oleh kelaparan, pihaknya akan membantu memberikan kaunseling kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan tentang nutrisi yang lengkap.

Terdahulu, I. Yogeswary, 10, dua adik perempuannya iaitu Nageswari, 8 dan Ganggadevi, 6 serta sepupu mereka N. Vikneswary, 9, dimasukkan ke hospital selepas salah seorang daripada mereka ditemui dalam keadaan lemah oleh Pengerusi MIC Bahagian Jerai, R. Supramaniam pada Jumaat lepas.

Semua kanak-kanak perempuan yang berasal daripada Kampung Padang Lembu itu telah dimasukkan ke hospital berkenaan di bawah Unit Rawatan Rapi (ICU), namun kemudiannya dipindahkan ke wad pemerhatian pada Sabtu.

Yogeswary dilaporkan mengatakan dia memakan tanah sejak tahun lepas dan tambahnya, tanah-tanah itu rangup dan rasa seperti coklat.

Mengakui dia yang memperkenalkan tabiat itu kepada tiga pelajar perempuan daripada SJK (T) Kalaivani di Kampung Padang Lembu itu berkata, perbuatan itu dirahsiakan tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

“Saya mengumpulkan tanah-tanah dan menyoroknya di dalam beg sekolah dan akan memakannya di dalam bilik. Suatu hari, Nageswari telah melihat saya memakannya dan menyertainya, manakala yang lain-lain turut melakukannya selepas itu.

“Saya bersama dua adik perempuan dan sepupu tidak pernah kenyang menjamu makanan yang disediakan ibu. Kami hanya kenyang selepas makan tanah,” dakwa Yogeswary.

Dr. Marzuki berkata, keadaan kanak-kanak terbabit menunjukkan perkembangan bertambah baik selepas melalui pemindahan darah berikutan paras hemoglobin mereka terlalu rendah.

“Tanah-tanah yang dimakan mereka mengandungi telur cacing dan telah menetas di dalam perut mereka. Cacing menghisap darah di dalam badan mereka, menyebabkan mereka lemah, sakit perut dan muntah,” katanya.

Beliau menambah, adalah sesuatu di luar kebiasaan pada masa kini bagi seseorang itu mati disebabkan oleh penyakit seumpama itu kerana mereka mudah mendapatkan rawatan bagi membunuh cacing-cacing terbabit.

Bagaimanapun katanya, jika mangsa mempunyai komplikasi kesihatan lain keadaan itu boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

“Berdasarkan kes terhadap empat kanak-kanak perempuan ini, mereka tidak mempunyai sebarang komplikasi kesihatan, maka mereka akan dibenarkan pulang ke rumah selepas pulih daripada masalah cacing di dalam badan,” tambahnya.

mStar/-

Hadits Pilihan.

19 Jamadil Akhir 1431H.

Dan daripada Abu Hurairah ra juga katanya, Rasulullah saw bersabda "makanan untuk dua orang mencukupi untuk tiga orang dan makanan untuk tiga orang mencukupi untuk empat orang." (AlBukhori dan Muslim)

BOIKOT BARANGAN AMERIKA & ISREAL: LANCAR KEMPEN KESEDARAN

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) membantah sekeras-kerasnya kekejaman serangan berdarah tentera rejim Zionis Israel terhadap kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza pagi semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang sukarelawan yang memerlukan sokongan bantahan semua pihak.

Jesteru itu, DPPN Pk mendesak agar kerajaan memboikot seluruh barangan berkaitan Amerika / Isreal serta membatalkan sebarang urus niaga berkaitan. DPPN Pk juga mendesak agar kerajaan tidak mengadakan sebarang hubungan perniagaan atau sebagainya termasuk membatalkan kontrak syarikat perundingan APCO yang menjadi perunding komunikasi kerajaan.

DPPN Pk meminta agar Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak turut bersama mendesak Kerajaan Pusat melalui Kerajaan Negeri Perak agar membatalkan kerjasama dengan syarikat perundingan APCO dengan segera. Syarikat perundingan APCO yang jelas ada kaitan dengan Amerika / Isreal perlukan ketegasan daripada rakyat dan kerajaan Malaysia agar ianya dibatalkan dengan segera.

Jika syarikat perundingan APCO masih bertapak juga, bermakna gagal lah Pemuda Umno Perak untuk membantah kekejaman rejim Isreal. Kalau itu pun Pemuda Umno tidak mampu lakukan, apakah maknanya bantahan tersebut di buat yang hanya cuba mengaburi mata rakyat yang membenci rejim Isreal.

SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Syeikh Wajdi (Mesir) Menyeru Jihad Menentang Israel

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

Mengenakan seragam militer dan syal khas Palestina, seorang da'i asal Mesir, Syaikh Wajdy Ghanaim menyerukan jihad untuk melawan Israel dalam menanggapi pembantaian yang di lakukan Israel terhadap aktivis kemanusiaan pro-Palestina yang berada di armada kebebasan yang menuju ke Gaza.

Seruan jihad tersebut disampaikan oleh Syaikh Ghanaim sewaktu di wawancarai oleh saluran televisi Al-Jazeera.

Syaikh Ghanaim mengatakan bahwa seruan Jihadnya itu merupakan reaksi langsung dalam menanggapi aksi brutal Israel.
Ia juga mengecam Mesir dan Aljazair, yang lebih memilih ribut gara-gara sepak bola dan tidak memperdulikan kekejaman aksi Israel terhadap relawan kemanusiaan.

Syaikh Ghanaim juga mengkritik Ban Ki-moon, Sekretaris Jenderal Perserikatan Bangsa-Bangsa, dan berkata:

"Saya bersumpah demi Allah Yang Mahakuasa, jika ada mayat kucing atau anjing yang mati, PBB akan lebih banyak bergerak daripada yang mereka lakukan terhadap korban pembantaian Israel di kapal armada kebebasan,

dan ia juga bertanya-tanya di mana kepedulian masyarakat internasional terhadap warga Gaza yang telah terperangkap selama hampir empat tahun yang tidak bergerak bersatu untuk memberikan dukungan kepada mereka.(fq/imo)

Sumber (link)

DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT KUTUK SERANGAN ZALIM REGIM ISRAEL

19 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Tarmizi Mohd Jam

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan ganas oleh komando rejim Israel ke atas misi bantuan kemanusiaan Freedom Flotilla yang membawa sejumlah 535 penumpang menuju ke Gaza melalui perairan laut antarabangsa.

Kekejaman regim Israel memang telah diduga. Pihak Israel telah mengadakan beberapa sekatan ke atas mana-mana konvoi yang menghantar bantuan kemanusiaan atau barangan keperluan hidup harian untuk sampai kepada penduduk Gaza melalui jalan darat.

Telah terbukti kekejaman demi kekejaman yang mereka agendakan terhadap kependudukan Palestin dan tidak pernah berhenti. Tekanan ketenteraan, ekonomi dan kemanusiaan oleh rejim Israel ke atas penduduk Palestin telah mendapat simpati dari masyarakat antarabangsa.

Dan jelas mereka menyalahi undang-undang antarabangsa dari segi hak asasi kemanusiaan dan dengan kejadian ini lebih jelas lagi, mereka menyalahi undang-undang maritim perairan antarabangsa, kerana bertindak selaku pengganas di laut antarabangsa.

Tidak terkira jahatnya mereka dan tidak manasabahnya mereka lantas kerajaan Malaysia juga tidak dapat memberi tekanan kepada Israel yang menjadi pakar rujuk kerajaan Malaysia.

Kepada ahli keluarga aktivis Malaysia yang turut serta dalam misi ini, bersabarlah dan ini adalah ujian getir bagi semua umat Islam. Kita masih mampu memohon do’a dan berdo’alah agar Allah memberi kepada konvoi misi bantuan kemanusiaan ini kekuatan azam dan tetap cekal menghadapi saat ini.

Kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam seluruhnya, marilah kita bersatu dan berdo’a dengan melakukan solat hajat dan membaca qunut nazilah memohon pertolongan Allah swt. agar menyelamatkan semua sukarelawan yang menyertai LL4G (Lifeline For Gaza) dan menghancurkan Israel.

SALBIAH ABDUL WAHAB
KETUA PENERANGAN
DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT