23 May 2010

Kelantan perkenal 'pondok pelancongan'

9 Jamadil Akhir 1431H.

Kerajaan Kelantan akan memperkenalkan program perumahan bagi menempatkan penduduk tempatan atau dari luar negeri yang berkonsepkan 'pondok pelancongan', kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata program baru berkonsepkan pondok pelancongan ini berbeza dengan inap desa kerana penghuni boleh membeli dan mendiaminya dengan harga berpatutan untuk menuntut ilmu agama sebagai pemastautin tetap di situ sehingga ke akhir hayat.

Bagaimanapun, peserta tidak boleh menjadikan harta yang dimiliki dan dibeli itu sebagai pusaka apabila meninggal dunia.

Rangka pelan pembangunan projek itu sedang diperincikan sebelum dilaksanakan dalam tempoh terdekat, katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini selepas merasmikan perayaan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Balai Islam, Lundang.

Nik Abdul Aziz berkata tanah bagi tapak pembinaan projek itu sudahpun dikenal pasti di Kampung Kandis, Bachok, bagaimanapun keluasan dan kos pembinaan sedang diperincikan.

Selain itu, beliau juga bercadang memasukkan Pasti dalam kalendar lawatan ke Kelantan bagi membolehkan masyarakat dari luar negeri ini mempelajari kaedah pembelajaran dan pengajaran di pusat asuhan itu.

Nik Abdul Aziz turut meminta para dermawan supaya menghulurkan sumbangan kepada Pasti bagi membantu pusat itu menjalankan aktivitinya.

- Bernama

Pak Lah: Judi bola tak dapat diterima

8 Jamadil Akhir 1431H.

Kerajaan perlu mendengar pandangan rakyat berhubung keputusan meluluskan lesen perjudian bola untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung awal bulan depan.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata rakyat berhak menyuarakan pandangan dan kerajaan juga perlu mendengar pandangan mereka.

"Pihak yang telah meluluskan lesen itu perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya pandangan yang telah disuarakan.

"Bagi orang Islam, judi tak dapat diterima dan bukan sahaja orang Islam agama lain tak suka juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mai...Riuh di Kepala Batas, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung sebelum ini dilaporkan berkata Kementerian Kewangan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kerajaan menarik balik kelulusan itu yang dikhuatiri mengundang gejala negatif di kalangan masyarakat.

Lompat parti: Penjelasan terbuka Adun Kedah malam ini

8 Jamadil Akhir 1431H.
Ali Hashim

ALOR SETAR, 22 Mei: Malam ini akan menyaksikan samada dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, S.Manikumar, Lim Soo Nee (Kulim), Tan Show Kang (Sidam )dan, Lee Guan Aik (Kota Darul Aman) akan isytihar keluar parti atau sebaliknya pada pentas ceramah PAS di Batu 9, Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Walaupun masih terdapat spekulasi akan ada kejutan pada salah seorang daripada Adun tersebut, rakyat dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) khususnya dari negeri Kedah sudah pasti ingin mendapat kebenarannya.

Sebelum ini desas-desus isu tersebut membawa kepada berita pembubaran Dun Kedah sehingga keempat-empat Adun yang dikaitkan perlu membuat penafian.

Namun begitu Kerajaan Negeri Kedah melalui platform PAS telah menyediakan pentas bagi memberi penjelasan kepada rakyat dengan menjemput keempat-empat Adun terlibat bersama-sama dengan Pengerusi PKR Negeri Kedah, Ahmad Kassim untuk bersama-sama menyatakan pendirian mereka.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail ketika menemui Adun-Adun tersebut baru-baru ini di Alor Setar, turut mendapat pengakuan sebenar bahawa tidak akan berlaku lompat parti dikalangan Adun-Adun tersebut.

Isu tersebut katanya hanyalah sengaja diputarbelitkan oleh Umno dan BN bagi mengeruhkan suasana semata-mata bagi merampas kembali kerajaan Negeri Kedah yang kini dipimpin oleh PR.

Malam ini juga akan menjadi penentu samada benar atau tidak dakwaan yang dimainkan oleh Umno dan Gerakan Kedah khususnya serta berjaya atau tidak Umno dan BN mencapai hasrat dan idaman mereka untuk menyaksikan tumbangnya Kerajaan PR di negeri Kedah sebagaimana yang berlaku di negeri Perak.

Harakahdaily/-

Adun Kerdau koma, kembali kritikal

8 Jamadil Akhir 1431H.

ADUN Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim (gambar), kembali koma di Institut Jantung Negara (IJN) dan keadaannya dilaporkan kembali kritikal.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, berkata beliau dimaklumkan perkara terbabit oleh ahli keluarga Zaharuddin, 63, tengahari tadi, lapor beberapa akhbar.

"Anak Zaharuddin memaklumkan mereka diminta datang ke IJN selepas bapa mereka tidak sedar dan berada dalam keadaan koma.

"Doktor juga memaklumkan keadaan jantung dan paru-paru Zaharuddin dalam keadaan lemah," beliau dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.

Zaharuddin dipindahkan ke IJN pada 9 Mei lalu selepas berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Beliau dimasukan ke Hoshas pada 3 April lalu setelah mengadu sakit di bahagian perut.

Sebelum ini Zaharudin diberitakan telah dipindahkan ke wad biasa dan kesihatannya yang beransur pulih.

Bebaskan diri anda daripada tipuan

8 Jamadil Akhir 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Subhanallah, Subhanallah, Subhanallah, Maha Suci Allah daripada sikap manusia yang berkepentingan, Maha Suci Allah daripada kejahilan pengikut yang taasub, Maha Suci Allah daripada ummat yang syirik secara sedar. Ya Allah aku berlindung di sisi-Mu daripada ummat yang sesat atas kebodohan mereka sendiri.

Belumpun seminggu ustaz Ashaari Mohammad meninggal dunia, pelbagai cerita dalaman yang boleh kita dengar. Ada yang dapat dihidu oleh bekas pengikutnya dan banyak lagi yang terus disembunyikan demi muslihat tertentu. Walau apapun semuanya adalah terkandung dalam agenda yang tersembunyi golongan tertentu.

Bagi bekas pengikut ustaz Ashaari, pengikut al-Arqam (bukan rufaqa dan global ikhwan), apa saja dakwaan yang didengari dari sana tidaklah pelik. Malah mereka sudah dapat menyangkakan apa yang akan terjadi selepas Ashaari meninggal dunia. Oleh sebab itu mereka tidak terkejut dengan dakwaan Khatijah Aam yang mengesahkan bahawa Ustaz Ashaari tidak mati, tetapi ghaib seperti ghaibnya Syeikh Suhaimi dan dia akan kembali sedikit masa lagi sementara anak-anak buah 'ikhwan' melakukan mujahadatunafsi.

Hakikatnya semua dakwaan itu melambangkan betapa mereka terlalu sayang dan cinta kepada pemimpin mereka sekali gus meletakkannya sebagai penyelamat ummah. Sebenarnya peristiwa seperti ini pernah berlaku dalam sejarah silam. Bukankah apabila Rasulullah disahkan wafat, orang pertama yang menolak berita kewafatan itu ialah Umar al-Khattab. Dia tidak boleh terima Rasulullah boleh mati dan tidak sanggup melihat Rasulullah dikebumikan seperti orang lain dikebumikan.

Mujurlah ketika itu datang Abu Bakar as-Siddiq, dia dengan tegas berkata, "Barang siapa menyembah Muhammad, maka Muhammad sekarang telah wafat, dan barang siapa menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah kekal, hidup, dan tidak akan mati."

Dengan penegasan itu Umar dan orang yang seumpama dengannya mula tersedar daripada lamunan taasub, lalu menerima hakikat kewafatan Rasulullah. Tidak ada yang murtad dengan peristiwa itu kerana kepantasan dan ketegasan Abu Bakar dalam tindakan.

Tetapi peristiwa seperti ini kemudiannya turut berlaku dalam kalangan pengikut Syiah iaitu apabila seorang pemimpin mereka dikatakan ghaib dan akan muncul sebagai iman Mahdi kelak. Oleh sebab tidak ada watak Abu Bakar ketika itu, maka pengikut syiah terus tersesat dengan keyakinan itu.

Begitu juga yang pernah berlaku kepada Syeikh Suhaimi, mengikutnya mendakwanya dia juga ghaib bukan mati. Mujur anaknya, Taha Suhaimi juga seorang alim, dia tidak taasub dengan berita itu. Tetapi apa yang berlaku kepada ustaz Ashaari, kematiannya dinafikan oleh isterinya (orang lain saya tidak dengar pula ceritanya), kononnya ghaib dan akan kembali semula. Sayang waktu ini tidak ada watak Abu Bakar lagi. Maka apa yang didakwa oleh isteri Ashaari itu diterima sepenuhnya oleh pengikutnya.

Walaupun kemudiannya dakwaan itu dinafikan oleh menantunya, Loqman al-Hakim tetapi penafian itu masih kabur dan berbau taqiah. Loqman belum menyamai watak Abu Bakar malah lebih jauh untuk dibandingkan dengannya.

Saya dalam tulisan ini tidak berniat untuk memanjangkan kisah khurafat ini tetapi sekadar hendak mengingatkan kawan-kawan juga adik-adik saya yang masih ada iman di hati mereka. Ketahuilah, anda selama ini ditipu oleh orang yang berkepentingan. Yang pasti dia bukan ustaz Ashaari, tetapi saya percaya anda tahu siapa dia.

Bagi mereka yang masih tertutup pintu hati mungkin akan marah kepada saya, itu hak mereka, namun saya tetap doakan agar hidayah Allah sampai juga kepada mereka akhirnya. Namun saya yakin, mereka yang masih ada iman kepada Allah akan mampu mencelikkan hati masing-masing.

Kawan-kawan, sedarkah anda, kenapa anda masih kekal bersama Rufaqa dan kini Global Ikhwan? Saya yakin, anda di sini kerana telah digula-gulakan bahawa daulah akan berlaku di tangan Abuya. Anda termakan dengan janji-janji keramat yang anda yakin datang daripada Abuya. Walaupun Abuya sakit tidak boleh bercakap, anda yakin Abuya masih boleh memberi mesej kepada anda.

Selain itu, Ashaari yang tidak boleh bercakap kerana masalah geraham dan mulut itu didakwa direhatkan Allah daripada berkata-kata. Alasannya, sebelum ini dia sudah lama dan banyak bercakap memberi nasihat, maka sampai masanya dia berehat.

Anda semua percaya dakwaan itu kerana anda percaya kenyataan itu datang daripada Abuya sendiri walaupun anda tahu bahawa dia tidak boleh bercakap. Memang dia tidak boleh bercakap dengan baik tetapi didakwa boleh bercakap dengan orang tertentu atau setidak-tidaknya boleh difahami oleh orang tertentu. Malah orang tertentu itu boleh mentafsirkan yang tersirat daripada apa yang diucapkan olehnya. Anda semua percaya sebab anda yakin Abuya ada karamahnya.

Tahukah anda kenapa dakwaan itu boleh lahir daripada orang yang berkepentingan itu? Saya percaya malah anda juga percaya kalau ustaz Ashaari telah disahkan tidak boleh bercakap dan akan mati dan daulah tidak akan berlaku di tangannya, tidak siapa yang akan sanggup menghabiskan wang setiap bulan menyumbang kepada Ashaari dan keluarganya. Tidak akan ada orang yang mahu bersimpati menginfakkan hartanya untuk perjuangan Ashaari yang belum selesai itu. Tidak akan ada pengikutnya yang sanggup bekerja siang malam dengan syarikat-syarikatnya dengan hanya gaji yang sedikit.

Menyedari hakikat itu, maka pihak yang berkepentingan itu akan mencipta cerita-cerita baru yang kononnya datang daripada Abuya. Sebagai membuktikan dakwaannya, Abuya dibawa ke sana sini untuk berjumpa dengan pengikutnya seluruh Malaysia, malah ke Thailand. Bayangkan dalam keadaan sakit itu dia diusung ke sana ke sini semata-mata untuk memberitahu pengikut bahawa Ashaari masih relevan. Padahal hakikatnya adalah untuk mendapatkan simpati.

Saya percaya kalau ustaz Ashaari boleh bercakap dan berkuasa menepis sesuatu dakwaan, dia akan nafikan apa yang diberitahu oleh orang yang berkepentingan itu. Tetapi dia tidak mampu kerana ada kuasa lain yang mengatasinya. Bayangkan kalau semasa dia boleh bercakap pun ada pihak yang memonitor tutur katanya, apatah lagi sewaktu uzurnya.

Sebenarnya Allah sayangkan ustaz Ashaari, lalu pada 13 Mei, 2010 jam 2.10 petang rohnya diambil di sebuah hospital swasta di Ipoh. Allah tidak mahu dia terus diperalatkan oleh orang yang berkepentingan. Itupun ketika itu, semua pengikut setianya tidak diberitahu berita sebenar. Masing-masing apabila ditanya berkata, berita itu belum sahih sedangkan doktor telah membuat pengesahan.

Tahukah anda kenapa berita itu tidak diberitahu dengan segera? Mereka tahu, kalau pengikut tahu tentu mereka akan kecewa kerana daulah yang diharapkan tidak berlaku. Oleh sebab itu berita itu disembunyikan sementara mencari idea bagaimana untuk meyakinkan pengikut bahawa daulah akan tetap berlaku di tangan Abuya. Di sinilah timbulkan idea bahawa Abuya ghaib dan akan kembali semula setelah semua pengikutnya bertaubat.

Dengan dakwaan ini, pengikut akan kembali yakin dan akan terus memberi sumbangan kepada keluarga Ashaari. Pada masa yang sama pengikut akan bertaubat dan bekerja kuat untuk daulah dan terus menyumbang wang bulanan kepada keluarganya. Hakikatnya pengikut yang memberi gaji kepada mereka.

Inilah agenda sebenar golongan yang berkepentingan ini. Inilah agenda yang tersebunyi yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Tetapi demi menyelamatkan iman pengikutnya yang ikhlas berjuang bersama Ashaari, saya doakan mereka agar kembali kepada kebenaran. Semoga ada pengikut Abuya sudi membaca kenyataan ini dengan hati yang terbuka.

Mengakhiri tulisan suka saya nyatakan bahawa orang yang berkepentingan ini memang berniat jahat terhadap Arwah, maka sebab itulah tidak digalakkan sebarang majlis tahlil dan Yasin atau menghadiahkan al-Fatihah kepada Arwah. Sedangkan orang yang mati, lazimnya dibacakan doa dan tahlil, apatah lagi gurunya, tentu wajar dibacakan tahlil dan Yasin oleh anak muridnya.

Saya doakan Ustaz Ashaari selamat di alam barzah dan damai di sana tanpa gangguan orang yang berkepentingan lagi. Pada masa yang sama, pengikut setia yang masih ada iman itu, diseru sekali lagi agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, semoga kita tidak lagi ditipu sepanjang hidup.
--
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah

Catatan : Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian blog Cina islam. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Pesawat Air India terhempas.

8 Jamadil Akhir 1431H.


Rakaman televisyen menunjukkan bangkai pesawat Air India yang masih terbakar selepas terhempas di Mangalore, India, pagi tadi. - Foto AFP


NEW DELHI: Sebuah kapal terbang Air India dari Dubai terhempas pada pagi Sabtu apabila ia melewati landasan ketika cuba mendarat di selatan India.

Pegawai khuatir sebanyak 160 penumpang terkorban.

Imej televisyen menunjukkan asap berkepul-kepul naik dari kapal terbang tersebut di lapangan terbang bandar Mangalore.

Para penyelamat kelihatan berusaha mencapai penumpang yang terperangkap di dalam pesawat malang itu.

Pegawai di negeri Karnataka berkata mungkin hanya enam atau tujuh penumpang selamat daripada sejumlah 169 penumpang yang dipercayai menaiki pesawat itu.

"Ini adalah kemalangan besar," Menteri Dalam Negeri Karnataka, V.S. Acharya memberitahu media.

Ahli-ahli bomba berkerja keras memadamkan api, katanya.

Pegawai polis di lapangan terbang Mangalore, Seemant Singh memberitahu media bahawa keadaan di lapangan terbang itu adalah buruk apabila pesawat itu melewati landasan kira-kira 6 pagi tadi. - AP

TPM selewengkan peruntukan kerajaan untuk program politik BN Juara Rakyat?

8 Jamadil Akhir 1431H.
Kenyataan Media:
Dr Lo'lo' Hj Mohamad Ghazali

Saya difahamkan TPM Tan Sri Dato Hj Muhyiddin Mohd Yassin merangkap Pengerusi BN Wilayah Persekutuan akan melancarkan program BN Juara Rakyat pada esok hari Sabtu 22 Mei 2010 di PPR Perkasa, Jalan Cochrane KL yang terletak di Parlimen Titiwangsa.

Pada hemat saya UMNO/BN boleh saja mengadakan program-program mereka bersama rakyat, cuma dari apa telah berlaku sebelum ini UMNO/BN seringkali menggunakan kemudahan dan peruntukan kerajaan untk program politik mereka.

Sebagai contoh lebih sebulan yang lalu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menganjurkan Karnival Kerjaya yang memperalatkan segala kemudahan dan peruntukan dari DBKL dan Kementerian Sumber Manusia yang diakui sendiri oleh Timbalan Menteri KSM Dato Maznah dalam jawapan kepada persoalan ini yang saya timbulkan dalam sesi parlimen yang lalu. Malah pada sebelah malamnya pihak polis dengan sewenang-wenangnya telah membenarkan ceramah politik oleh Pemuda UMNO iaitu bekas TKM Pulau Pinang sdra Firdaus, Lokman Adam dan beberapa orang lagi yang lain.

Saya menjangkakan UMNO/BN sekali lagi akan melakukan tindakan tidak bermaruah dengan memperkudakan semua kemudahan kerajaan pusat yang sudah tentu melibatkan kos yang tinggi dengan penganjuran program besar-besaran seperti yang diwar-warkan melalui sebaran medianya dimana peruntukan untuk prasarana sudah pastilah datang dari DBKL, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta lain-lain sumber agensi kerajaan. Ini adalah jangkaan saya berdasarkan 'track record' sebelum ini.

Selaku Ahli Parlimen Titiwangsa saya mewakili seluruh rakyat Titiwangsa yang prihatin dengan ketelusan dan pengurusan serta pentadbiran kerajaan yang baik (Good Governance) menyeru TPM agar mengadakan program parti politik UMNO/BN atas inisiatif dan dana UMNO/BN sendiri, bukannya menumpang dana kerajaan yang merupakan wang pembayar-pembayar cukai. Buktikan UMNO/BN memang "mahu berubah" seperti slogan-slogan yang dilaung-laungkan. Buktikan seperti kata-kata pemimpin UMNO terutama mantan-mantan PM yang mahu rakyat khususnya ahli-ahli UMNO tidak terus-menerus memerlukan tongkat atau sokongan untuk berdiri, ataupun adakah UMNO/BN akan terus dengan mentaliti subsidi, mentaliti 'daddykasi'.

Saya yakin rakyat tidak rela dan tidak menghalalkan cukai yang mereka bayar dan hasil mahsul negara digunakan untuk kepentingan politik UMNO/BN. Jika PAS, PKR, DAP dan seluruh parti komponen PR mampu mengadakan program dengan dana dan inisiatif sendiri tidak ada sebab UMNO/BN tidak mampu melakukan jika benar-benar mahu berubah.

Kepada seluruh penduduk PPR Perkasa Cochrane esok 22 Mei, anda akan menjadi saksi penyelewengan buat kesekian kalinya pemimpin peringkat tertinggi UMNO/BN terhadap dana kerajaan yang merupakan wang rakyat. Anda semua nilailah apakah pemimpin begini yang akan terus dikekalkan untuk menerajui negara pada PRU13.

Dr Lo'Lo' bt Hj Mohamad Ghazali
Ahli Parlimen Titiwangsa

Dakwaan palsu oleh pengeluar alat penjimat tenaga elektrik

8 Jamadil Akhir 1431H.
Alias Mohd Yusof
http://aliasmohdyusof.blogspot.com/

Mungkin anda pernah didatangi oleh jurujual alat penjimat tenaga elektrik (electric energy saver device) yang cuba mempengaruhi anda dengan dakwaan alat yang mereka jual boleh membantu menjimatkan bil elektrik sehingga 30 peratus.

Sebenarnya dakwaan mereka itu tidak pernah pun disahkan oleh mana-mana badan yang berautoriti, kalau ada pun mungkin pengesahan oleh Sirim yang hanya memperakukan alat itu selamat untuk digunakan.

Tenaga elektrik disalurkan kepada perkakasan elekrik di dalam rumah kita seperti lampu, kipas, peti sejuk, mesin basuh, periuk elektrik dan sebagainya, adalah melalui dawai-dawai elektrik.

Dawai-dawai elekrik ini dibuat dari bahan tembaga yang disalut dengan penebat. Setiap talian dawai ini mempunyai sedikit rintangan yang akan menyebabkan sedikit kehilangan tenaga elektrik apabila arus elektrik mengalir melaluinya.

Nilai rintangan dawai elektrik ini bergantung kepada saiz luas keratan rentas dawai dan panjang dawai tersebut. Untuk rumah-rumah, biasanya menggunakan dawai bersaiz luas keratan rentas 1.5 mm persegi untuk lampu dan 2.5 mm persegi untuk soket (plug).

Lagi panjang dawai yang kita gunakan, lagi tinggilah nilai rintangannya, dan lagi banyaklah tenaga elektrik yang akan hilang pada dawai tersebut.

Kehilangan kuasa elektrik pada dawai ini memang tidak boleh dihilangkan kerana tidak mungkin kita dapat menghilangkan rintangan elektrik yang wujud secara semulajadi pada setiap bahan pengalir elektrik. Kita hanya boleh mengurangkan kehilangan tenaga atau kuasa elektrik pada dawai ini dengan cara menggunakan saiz dawai yang lebih kasar (besar) atau menggunakan jarak dawai sependek yang mungkin.

Tetapi kedua-dua faktor ini mempunyai kekangan yang tersendiri. Sebagai contoh, tidak mungkin semua perkakas elektrik di rumah kita mesti terletak berhampiran dengan meter kw-j bagi mendapatkan jarak penyambungan dawai yang pendek.

Selain dari itu, satu lagi cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai elektrik ialah dengan meningkatkan nilai ‘faktor kuasa’ perkakasan elektrik di rumah kita. Selalunya inilah ‘hujah’ yang biasa digunakan oleh jurujual-jurujual alat penjimat tenaga elektrik ini untuk melariskan jualannya.

Apakah faktor kuasa? Apakah kesannya kepada bil elektrik di rumah kita?

Setengah-setengah perkakas elektrik di rumah kita menggunakan elektromagnet untuk berfungsi, seperti motor pada kipas angin, ballast pada lampu fluorescence (selalu kita sebut lampu panjang atau kalimantang), motor pada mesin basuh dan motor pada peti sejuk.

Elektromagnet pada perkakasan elektrik tersebut akan menyebabkan lebihan arus elektrik diperlukan bagi digunakan untuk menghasilkan magnet. Oleh itu arus yang mengalir dalam dawai menjadi lebih tinggi berbanding dengan kuasa sebenar yang digunakan oleh perkakasan tersebut.

Sebagai contoh, kalau faktor kuasa lampu panjang bernilai serendah 0.5, ini bermakna arus elektrik yang mengalir dalam dawai adalah dua kali ganda dari yang diperlukan oleh lampu itu.

Dengan menggunakan alat-alat tertentu, faktor kuasa ini boleh dibaiki atau ditingkatkan menjadi 0.9, malah hingga ke nilai satu pun boleh. Apabila faktor kuasa lampu tadi mencapai nilai satu, ini bermakna arus yang mengalir dalam dawai sekadar cukup membekalkan kuasa yang digunakan oleh lampu itu sahaja tanpa ada lebihan arus. Secara teorinya perkara ini adalah betul dan boleh dilakukan.

Tetapi kita kena ingat, bukan semua perkakas elektrik di rumah kita mempunyai faktor kuasa rendah atau mempunyai elektromagnet untuk beroperasi. Sebagai contoh, periuk elektrik, cerek elektrik, seterika dan oven elektrik, adalah perkakasan elektrik yang berkuasa tinggi dan mempunyai faktor kuasa bernilai satu. Oleh itu untuk perkakasan elektrik seperti itu, tidak ada cara kita dapat lakukan mengurangkan arus elektrik yang mengalir melalui dawainya dengan cara mengubahsuai faktor kuasanya.

Yang boleh kita gunakan secara berkesan untuk mengurangkan arus elektrik yang mengalir dalam dawai menggunakan kaedah peningkatan faktor kuasa ini, hanyalah kepada lampu-lampu panjang, kipas, mesin basuh, penyaman udara dan peti sejuk.

Katakan kita ambil satu keadaan yang paling ekstrim (the worst case); untuk satu talian dawai yang menghubungkan 10 buah lampu panjang yang berkuasa 40 watt setiap satu, yang jaraknya antara satu sama lain adalah 10 meter dan fator kuasanya 0.5, didapati kehilangan kuasa elektrik pada dawai itu adalah tidak sampai 3 peratus.

Lampu adalah perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa yang bernilai rendah, selain dari kipas angin, lampu juga adalah antara perkakasan elektrik yang lama penggunaannya dalam sehari. Oleh itu sangat sesuai kalau kita ambil lampu sebagai contoh kajian kita di sini.

Kalau kita menggunakan alat penjimat tenaga elektrik yang boleh membaiki faktor kuasa lampu kepada satu, kita dapat mengurangkan arus yang mengalir dalam dawai kepada hampir separuh dan dapat mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai sebanyak 75%.

Memang bunyinya besar, 75%. Hakikatnya 75% daripada kuasa yang hilang pada dawai. Sedangkan kuasa yang hilang pada dawai tidak pun sampai 3% dari seluruh jumlah kuasa yang digunakan oleh perkakasan elektrik dirumah kita.

Ini bermakna dengan menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, paling bagus pun ia hanya boleh mengurangkan kehilangan kuasa pada dawai elektrik sebanyak 2.25% (75% dari 3%) daripada jumlah penggunaan kuasa elektrik di rumah kita.

Katakan kita menggunakan 300 unit tenaga elektrik setiap bulan yang harga bil elektriknya sebanyak RM90.00 sebulan (andaikan harga 30 sen untuk satu unit tenaga). Maka jumlah tenaga yang dapat dijimatkan oleh alat penjimat tenaga elektrik yang paling bagus ialah 8.25 unit (2.75% dari 300 unit). Oleh itu jumlah bil yang dapat dijimatkan pula sekitar RM2.50 sebulan.

Semua kiraan di atas adalah berdasarkan kes yang terburuk (the worst case), untuk keadaan yang sebenar, harga bil yang dapat dijimatkan mungkin lebih kecil lagi. Sedangkan jurujual yang menjual alat penjimat tenaga ini mendakwa alat tersebut boleh menjimatkan bil elektrik anda hingga 30%, bermakna bil RM90 sebulan akan turun menjadi RM63 sebulan. Dakwaan jurujual ini adalah mustahil boleh berlaku.

Palsu

Malah ada setengah pengguna mendakwa bil elektrik mereka bukan saja tidak berkurang tetapi sebaliknya meningkat bila menggunakan alat penjimat tenaga ini. Adalah tidak mustahil alat penjimat tenaga ini boleh bertindak sebaliknya.

Umpama seperti hendak menutralkan cairan yang bersifat alkali, kita perlu menambah sejumlah asid kepada cairan tadi. Tetapi kalau kita tambahkan asid kepada cairan yang sudah pun nutral sifatnya, ini akan menjadikan cairan nutral tadi bersifat asid.

Begitulah juga kalau kita memasang alat penjimat tenaga ini kepada perkakasan elektrik yang asalnya mempunyai faktor kuasa satu seperti periuk, cerek dan seterika, ia akan menyebabkan faktor kuasa perkakas tersebut menjadi kurang dari satu, dan sudah tentu arus elektrik yang mengalir dalam dawai bertambah dari yang sepatutnya.

Oleh itu tidak hairanlah kalau alat penjimat tenaga ini boleh juga menyebabkan bertambahnya kehilangan kuasa pada dawai jika ia dipasang pada perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa satu.

Tetapi kalau ada juga pengguna yang mendakwa penggunaan tenaga elektrik di rumah mereka kurang 20% sejak menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, bagaimana ini boleh terjadi?
Seperti yang telah saya terangkan tadi, secara teorinya tidak mungkin alat penjimat tenaga elektrik ini dapat menjimatkan tenaga lebih dari 3%.

Tetapi kalau ada yang membuktikan ia boleh jimat sampai 20%, kemungkinan alat penjimat tenaga tersebut melakukannya dengan cara menyusutkan voltan yang dihubungkan ke perkakasan elektrik di rumah kita.

Sebagai contoh, kalau kita menggunakan lampu suluh (torch light) yang mendapat bekalan 4 buah bateri, setiap bateri berkadar 1.5 volt, jadi jumlah voltah keseluruhannya ialah 6 volt. Kalau kita gunakan 3 buah bateri sahaja, jumlah voltannya kurang menjadi 4.5 volt. Walaupun jumlah voltan berkurang tetapi lampu suluh itu masih menyala, yang berbeza hanya kecerahan cahaya sahaja. Dengan voltan 4.5 volt, cahaya lampu menjadi kurang cerah berbanding voltan 6 volt.

Begitulah juga kalau alat penjimat tenaga elektrik yang dijual ini telah berfungsi sebagai penyusut voltan, ia akan menyebabkan kuasa operasi lampu, kipas, mesin basuh, seterika dan perkakasan elektrik di rumah kita tidak berada pada tahap kuasa penuh.

Kalau sebuah lampu berkuasa 32 watt, kalau dikurangkan kepada 26 watt sekalipun dengan menyusutkan sedikit voltan yang dihubungkan kepadanya, masih sukar untuk mata kita mengesan pengurangan kuasa ini.

Ini bukanlah cara penjimatan kuasa yang sebenar yang kita mahukan, sebaliknya ia lebih tepat dinamakan alat pengurang kuasa.

Apabila hari-hari kita makan dua pinggan nasi, kemudian kita kurangkan kepada satu pinggan nasi sahaja, sudah tentu perbelanjaan kita akan berkurang, tetapi apakah satu pinggan itu dapat memenuhi keperluan kita sebenar. Ini bukan penjimatan tetapi pengurangan.

AIR TANGAN ORANG YANG TAK SOLAT

8 Jamadil Akhir 1431H.
Email : Savvy Merah

Semua orang tahu bahawa kalau meninggalkan solat adalah dosa besar dan malahan lebih hina daripada khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa as. Begini kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam." Nak dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun senang hati, menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi. Lihatlah, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah, belum air tangan lagi. Menyentuh bab air tangan, selalu kita suka makan masakan ibu; isteri kita.

Jadi, kepada muslimat sekalian, peliharalah solat kerana kalau meninggalkan solat (kalau tak uzur), air tangan akan menitik ke dalam basuhan makanan; nasi, dsb. Anak-anak, suami pula yang akan makan makanan yang dimasak. Takkan nak biarkan suami dan anak-anak gelap hati minum air tangan orang tinggalkan solat. Tak gamak ' kan ? Tapi lain pula halnya dengan kita ni. Pagi petang, mamak! Teh tarik satu, roti canai satu. Ada pulak segelintir tukang masak yang tak solat. Kita pun makan bekas air tangan dia.. Gelaplah hati kita, sebab tu liat nak buat kerja-kerja yang baik.

Beware (berhati2) apa yang kita makan. Betapa beratnya amalan solat ni hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui Isra' Mikraj sedangkan kewajipan-kewajipan lain memadai diutus melalui Jibril as. Ketika saat Rasulullah nazak, sempat baginda berpesan kepada Saidina Ali (dan untuk umat Islam), "As-solah as Solah wa amalakat aimanukum". Maknanya, "Solat, solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu" .

Jadi, sama-samalah kita pelihara solat dari segi zahir & batinnya kerana amalan solatlah amalan yang mula-mula akan ditimbang di neraca Mizan kelak. Sahabatku, Jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dgn amaran2 Allah. Jika ku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dgn tarbiah Pencipta. Jika ku lemah sedarkanlah agar aku berubah. Dan jika esok ku lena tanpa terjaga, iringlah lenaku dgn kalungan doa.. Berjanjilah sahabatku, ukhwah kita utk selamanya.. ~

Persepsi : Parti Islam Satu Malaysia dan Dewan Himpunan Penyokong PAS

8 Jamadil Akhir 1431H.
Oleh : Nash Ar- Rawy
(www.nasharrawy.blogspot.com)

PAS sebagai Parti Islam Satu Malaysia telah sukses untuk sekian lama menggabung rakyat daripada apa keturunan dan agama pun yang belum Islam menganggotai Dewan Himpunan Penyokong PAS ( DHPP) setaraf dan sehak dengan anggota lain dalam Dewan Pemuda , Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat dalam PAS.

Satu pengiktirafan yang dinanti-nantikan oleh masyarakat belum Islam yang menyokong perjuangan PAS ; iaitu ‘ PAS FOR ALL ‘. Pembuktian yang praktis yang dilakukan PAS bahawa Gerakan Islam sedunia amnya dan Gerakan Islam di nusantara ini ; khasnya PAS bisa menyayingi demokrasi ciptaan manusia kerna sistem Islam itu adalah ‘rahmatanlil alamin ‘ dengan motto ‘Peace’ ( keselamatan dan Keamanan) dan ‘Justice For All” selaras dengan tuntutun Al-Qur’an : “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu(hamba Ar-Rahman [ialah] orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil( Jahilun ) menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik: Salamun . ‘Peace’ ( Al Furqon: ayat 63 ).

Malaysia negara yang majmuk tiada seperti di negara Arab yang mempunyai Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin atau di Pakistan dan India yang mempunyai Gerakan Islam Jamaat Islami yang hanya menumpukan masyarakat yang majoriti daripada satu bangsa sahaja iaitu Arab dan bangsa Bangladesh dan Pakistani.

Sebenarnya masyarakat yang plural di Malaysia adalah satu aset anugerah tuhan kepada Gerakan Islam di Malaysia ( PAS) untuk membuktikan bahawa Sistem Islam adalah kontemporari dengan zaman moden dan tiada ketinggalan zaman sampai hari kiamat dan membawa kepada masa depan yang sebenar di akhirat.

Demokrasi ciptaan manusia ternyata gagal menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum dan agama dan tiada upaya memberikan sistem ekonomi, sistem pemerintahan, sistem perundangan dan sistem sosial yang baik kepada manusia.

Ideologi cipataan manusia menggamit kelahiran bayi longkang, penderaan bayi, anak dan isteri , melahirkan masyarakat yang tahi judi , tahi arak . Korupsi di dalam sistem pemerintahan , kroni, monopoli , nepotisma , autokrasi dan sentimen perkauman yang ketara dan berleluasa sebagai permainan dan umpanan politik kotor dan jahat yang samasekali bukan daripada Islam tetapi daripada kerapuhan sistem sekular manusia. Yang terkini, kemungkaran ekonomi lesen judi bolasepak piala dunia yang menguntungkan kroni Vincent Tan dan Umno yang merosakkan sistem sosial dan keluarga serta mengggamit berlakunya jenayah .

Ini dapat di lihat sendiri kepada sistem pemerintahan UBN yang tiada upaya menyatukan rakyat yang berbilang kaum walaupun dengan rasuah politik jutaan ringgit kerna politik Umno bukan siasah Islam tetapi berasaskan kaumiyyah : Melayu( Umno) Cina ( MCA) dan India ( MIC) .Keadilan tiada berlaku dalam sistem kehakiman kerna campurtangan eksekutif dan polikus . Kes DS Anuar berhubung pemecatan mantan Timbalan Perdana Menteri dikatakan Raja tiada kuasa kerna PM yang berkuasa. Dalam kes DS Nizar mantan MB Perak pula, Sultan ada kuasa manakala Mahkamah tiada kuasa.

Sementara sistem DEB dan MEB adalah sama sahaja daripada acuan yang sama untuk kroni bukan untuk rakyat marhein .
Melayu tipu Melayu, Cina tipu Cina, India tipu India . Melahirkan Anaconda Krishnan, Mukhriz dan Vincent Tan yang kaya lagi dengan lesen judi bola.

Rakyat sudah mulai sedar akan hal ini dan mulai menerima kerajaan pimpinan Pas/Pakatan di Kelantan dan Kedah begitu juga dengan asas kerjasama politik ( ‘Tahaluf Siasi ‘) dengan DAP dan Keadilan yang tiada berteraskan perkauman seperti di Selangor dan Pulau Pinang mendapat sokongan dan dokongan yang padu daripada Parti Islam Satu Malaysia atas keadilan untuk semua yang selaras dengan tuntutan Islam yang memberikan hak kepada orang bukan Islam . Membantu sesiapa sahaja yang miskin tanpa mengira kaum dan agama .Bukti kerjasama Pas di Sibu jadikan Umno sebu terus.

Justeru itu sistem Islam bakal menjadi sistem dunia iaitu alternatif kepada sistem ciptaan manusia seperti demokrasi dan komunisma tanpa memaksa bukan Islam masuk Islam seperti yang pernah dimaterialisasikan oleh Muhammad s.a.w. mengikut kitabullah dan assunnah yang melahirkan Piagam Madinah;Negara kebajikan Madinah untuk semua kaum dan agama tanpa apa-apa perbezaan ke atas mereka yang dijamin oleh Sistem Islam . Tiada toleransi kepada nationalisma, rasis, rasuah , autokrasi dan salahguna kuasa. DHPP dipercayai akan berkembang pesat untuk semua rakyat Malaysia . “ PAS FOR ALL “ God Is The Greatest! Oleh : Nash Ar- Rawy/21.5.10

MUGILAN, TUNGGU APA LAGI? MARI KE SEBERANG!!

8 Jamadil Akhir 1431H.
WFAUZDIN NS

MUGILAN, Timbalan Ketua Pemuda MIC sah telah dipecat oleh MIC. Nampaknya ramalan ramai pihak sebelum ini tepat kerana semua sudah arif dengan perangai Presiden MIC itu. Berita pemecatan Mugilan tidak memberi apa-apa makna kepada MIC kerana MIC sudah lali dengan pecat memecat ini semenjak Sammy Vellu memimpin MIC.

Nama Mugilan agak popular ketika Bn sedang pening untuk memilih calon dari MIC bertanding di PRK Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. Dikatakan beliau adalah pilihan pemimpin Umno di Hulu Selangor, tetapi Sammy Vellu tetap mahukan Palanivel sebagai calon. Palanivel pula tidak disokong oleh pimpinan utama Bn. Maka, timbang punya timbang, Si `Kamal' yang terpilih. Untungnya si Kamal, tetapi lebih beruntung lagi Palanivel kerana buta sahaja dapat Senator lantikan seperti Ezam Sesumpah.

Si `Kamal' dapat jadi YB, manakala Palanivel dapat Senator tanpa berbuat jasa apa pun kecuali tewas di dalam Pilihanraya Umum yang lalu. Mugilan pun dapat juga iaitu dapat `habuan' dari Sammy Vellu. Kini, ke mana arah Mugilan mahu pergi? Jika benar Mugilan ikhlas mahu berjuang untuk rakyat India dan ingin melihat bagaimana pemimpin boleh dikritik dan ditegur, tiada pilihan lain kecuali Mugilan menyertai PR. PR tidak seperti Bn, lebih-lebih lagi seperti Umno atau MIC. Pimpinan PR boleh dikritik asalkan kritikan itu mempunyai keikhlasan untuk menegur demi kebaikan parti.

Mugilan tidak lagi harus berfikir panjang. Mari kita bersama tegakkan keadilan untuk semua dan kita bakal menyaksikan Bn termasuk MIC akan tersungkur nanti./wfauzdin.blogspot

"Rakyat boleh mati" jika percaya Taib Mahmud

8 Jamadil Akhir 1431H.
WFAUZDIN NS

MAKA, Taib Mahmud KM Sarawak pun berkata bahawa dunia boleh terlingkup jika percaya kepada DAP. Bila baca kenyataannya di Bernama, terang lagi bersuluh bahawa KM yang sudah usang itu patut di `muzium'kan kerana pemikirannya amat tidak tenteram sekali. Mungkin juga akibat `virus' kekalahan BN yang amat memalukan baru-baru ini di Sibu membuatkan KM uzur itu merepek tidak ketahuan.

Apa yang dizahirkan oleh kebanyakan rakyat di Sarawak sekarang adalah sebaliknya. Jika KM itu berkata, `dunia akan terlingkup' jika percaya kepada DAP, maka lebih dahsyat lagi `Rakyat akan mati katak' jika terus berada di bawah kuku Taib Mahmud. Tidakkah Taib Mahmud terasa sekarang rakyat amat membencinya sehinggakan rakyat tidak lagi termakan umpan duit yang ditaburkan? Siapa manusia tidak mahu duit, tetapi kerana teramat jijiknya mereka dengan Taib Mahmud maka duit yang ditaburkan pun mereka anggap seperti najis jalanan.

Sewajarnya, lebih tepat dan lebih bermoral jika Taib Mahmud berundur dan insaflah, kerana kekayaan yang beliau telah kumpulkan bersama keluarga tidak akan dapat dibawa ke mati. Rakyat akan mengingati dan mengasihi pemimpin yang berjiwa rakyat, bukan yang sombong dan riak dengan kemewahannya. Jika sampai ajal, rakyat akan mendoakan pemimpin yang disayangi bukan semata-mata bersedekah membaca Yaasin melalui hand set atau kaset dari jauh sahaja./wfauzdin.blogspot

APALAH NASIB GURU-GURU AGAMA DI PENDIDIKAN KHAS?

8 Jamadil Akhir 1431H.
Naninu Sakun

Baru-baru ini beberapa orang sahabat saya yang merupakan guru-guru agama di dalam pendidikan khas telah meluahkan beberapa perkara yang mereka rasa terpinggir. Mungkin ada yang kurang arif tentang pendidikan khas. Pendek cerita ialah KANAK-KANAK ISTIMEWA. Kerajaan telah mewujudkan 1 kelas di sekolah-sekolah yang memerlukan bila adanya anak-anak istimewa di kawasan sekolah terlibat yang dinamakan kelas pendidikan khas. Berbagai pelajaran diajar kepada mereka-mereka ini oleh guru-guru yang telah diberi latihan khusus ataupun kursus khas untuk memudahkan mereka mengajar kanak-kanak istimewa ini termasuklah guru-guru agama yang pernah mengajar di aliran normal diserapkan di pendidikan khas bila ada kekosongan dan permintaan. Kalau dulu waktu kelas-kelas ini diwujudkan telah diberi elaun kepada guru-guru ini sebanyak RM60. Ketika itu tidaklah ada guru-guru yang berminat sangat namun setelah elaun dinaikkan RM250 permintaan untuk menjadi guru-guru pendidikan khas telah meningkat. Begitulah serba sedikit tentang pendidikan khas yang diceritakan oleh kawan-kawan saya itu.

Namun begitu, apa yang ingin saya kupaskan pada hari ini ialah NASIB GURU-GURU AGAMA YANG MENGAJAR PENDIDIKAN KHAS INI. Mengikut hasil kajian yang dibuat oleh kawan saya itu, hanya 1peratus sahaja guru-guru agama ini dinaikkan ke jawatan Penyelaras atau Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas berbanding guru-guru lain. 1 PERATUS SAHAJA?

Perkara ini yang menghairankan. Bila ditanya kepada pihak jabatan mereka mengatakan sebab guru agama ini bukan ofsyen. Namun kalau begitu kenapa 1 peratus tu boleh naik jawatan? Ada 1 tempat di Utara semenanjung ini lagi menggemparkan. Seorang guru di pendidikan khas yang baru berkhidmat 3 tahun telah dinaikkan ke jawatan PENYELARAS sedangkan di daerah tersebut terdapat ramai lagi guru-guru senior yang lebih berpengalaman di dalam pendidikan khas ini dipandang sepi sahaja. KENAPA? Bukan 1 kes menurut guru tersebut.

Begitu juga dengan nasib guru-guru agama ini. Setiap tahun mereka berjaya mengharumkan nama negeri masing-masing apabila pertandingan Tilawah Pendidikan Khas dijalankan dan setiap tahun juga mereka bertungkus lumus tapi nampaknya segala pengorbanan mereka ini tidak dihargai oleh pihak jabatan apatah lagi untuk dinaikkan jawatan. Tanyalah ibu bapa penjaga anak-anak istimewa ini tidak kira beragama apapun mereka tetap menantikan pertandingan tilawah ini kerana di sini bakat anak-anak mereka telah digilap dengan sebaik-baiknya oleh GURU-GURU AGAMA PENDIDIKAN KHAS.

Mungkin ada yang tidak tahu akan kata pertandingan tilawahpun orang Cina boleh masukke? Sebenarnya nama sahaja pertandingan Tilawah tetapi didalamnya terangkum pertandingan bercerita kisah Nabi, Khat, Nasyid dan lain-lain yang terbuka kepada semua kecuali membaca Al-Quran dan Tahfiz sahaja.

Mungkin juga ada yang kata sabarlah guru-guru agama tapi bila melihatkan situasi-situasi ini membuatkan semangat guru-guru agama ini mulai pudar dan mula rasa perlu keluar dari pendidikan khas ini agar mereka boleh lebih berkembang maju demi anak bangsa. Yang lebih mengejutkan guru tersebut bila ada pegawai-pegawai pendidikan khas tidak membenarkan guru-guru pendidikan khas ini melibatkan aktiviti dengan pelajar normal di sekolah. Cuba kita fikir, guru dapat arahan dari pentadbir menyuruh tolong latih bolasepak, pegawai pendidikan khas kata jangan tapi markah prestasi diberikan oleh pentadbir.

Jadi guru-guru pendidikan khas nak ikut arahan siapa? Segala fenomena ini mungkin masih kita di Malaysia tidak ketahui. Walaubagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru pendidikan khas terutama guru-guru agama di dalam pendidikan khas yang sabar dalam mendidik insan-insan istimewa ini. Tanpa kalian siapalah ANAK-ANAK ISTIMEWA...

ANAK KOMANDO REJIMEN 1

Permohonan Maaf dari Sinar Harian.

8 Jamadil Akhir 1431H.

Akhbar Sinar Harian telah membuat permohonan maaf secara terbuka dalam edisi Jumaat 21 Mei kelmarin di halaman PK2/Sentral. Selain itu pihak Sinar Harian juga menyiarkan dihalaman yang sama kenyataan rasmi dari Timbalan Pesusuhjya PAS Perak, Dr. Khairuddin bin Dato' Abdul malik yang juga moderator dalam dailog antara pimpinan PAS Perak dengan paderi kristian itu.Harapan saya perkara sebegini tidak akan berulang lagi di masa akan datang.