22 May 2010

Demo di Ipoh.

Dewan Pemuda Parti Islam Semalaysia (PAS) mengadakan himpunan aman membantah keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak Pertandingan Piala Dunia 2010 kepada Berjaya Group di perkarangan Masjid Negeri Sultan Idris Shah 11, Ipoh di sini hari ini. Perhimpunan aman yang berlangsung selama 30 minit itu turut dihadiri lebih 1,000 orang termasuk beberapa anggota pertubuhan bukan kerajaan. - Foto BERNAMA

1000 sertai himpunan bantah judi di Perak


IPOH, 21 Mei: Sekurang-kurangnya 1000 Rakyat Perak hari ini melahirkan bantahan terhadap kelulusan lesen judi bolasepak sempena Piala Dunia Jun ini di Masjid Negeri Sultan Idris Shah 11, Ipoh selepas solat Jumaat tengahari tadi.

Himpunan bantahan tersebut telah dianjurkan oleh Pemuda PAS Perak dan turut disokong beberpa badan bukan kerajaan NGO lain.

Antara pimpinan yang hadir berucap ialah Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye, Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan, Ketua Angkatan Muda PKR Perak, Abdul Yunus Jamhari, dan Yang Dipertua ABIM Perak, Haji Suhaimi Latip.

Pimpinan Pemuda Pemuda PAS Perak; pimpinan Angkatan Muda PKR Perak dan pimpinan Badan Bukan Kerajaan antara yang turut bersama dalam himpunan tersebut.

Bagaimanapun pimpinan Pemuda Umno dan yang lain tidak hadir beiarpun jemputan rasmi oleh Pemuda PAS Perak dibuat sebelum ini.

Menurut penganjur, himpunan bagaimanapun sedikit terganggu apabila pihak Polis mengarahkan agar himpunan tersebut di hentikan.

Beberpa pergelutan juga dilaporkan berlaku sewaktu pihak polis cuba menyuraikan peserta himpunan.

Bantahan kemudiannya bersurai secara aman sekitar jam 2.30 tadi tanpa sebarang tangkapan dibuat.

PAS desak menteri, mufti bantah judi

7 Jamadil Akhir 1431 H

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan bantahannya terhadap pengeluaran lesen judi sukan kepada Berjaya Group Sdn Bhd.

"Semalam beliau (Jamil Khir) dengan lantangnya mengeluarkan kenyataan bahawa peguam syarie di mahkamah syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.
"Namun dalam hal judi ini beliau mengambil pendekatan pasif. Di manakah suara lantangnya itu?" soal pembantu ketua pemudanya Herman Samsudeen.

Dalam kenyataan hari ini, Herman juga mendesak semua mufti di negara tampil membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen bola sepak itu dan jangan "menutup mata dan menyembunyikan ilmu mereka".

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berharap para mufti dan golongan yang faham agama bangkit menentang kezaliman akhlak ini. Judi adalah haram dan ianya bukan hanya haram untuk mereka yang beragama Islam (semata-mata), tetapi kepada semua manusia," katanya.

"Walaupun mereka bekerja dengan kerajaan Malaysia yang mana perdana menteri dan menteri kewangannya serta kabinetnya bersatu menghalalkan judi, tetapi para mufti dan mereka yang faham agama harus bangkit menentang dan tidak mentaati keputusan mungkar itu."

Herman menambah, ekonomi negara ini pasti akan bertambah berkali ganda "jika sumber yang berkat digunakan" bagi membangunkannya.
"Menghapuskan judi juga sekali gus akan memisahkan pendapatan dan gaji para menteri dan mufti yang dibayar kerajaan daripada sumber-sumber yang haram," katanya.

Malaysiakini/-

Judi, PERKASA: Najib membisu

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazlan Zakaria

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini enggan mengulas berhubung keputusan kerajaan memberikan lesen judi sukan supaya pertaruhan dapat dibuat menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula Jun ini.

"We are not going to talk about that (Kita tidak akan membincangkannya)," kata Najib kepada wartawan selepas upcara pecah tanah bangunan baru Utusan Malaysia hari ini.

Perdana Menteri juga sekali lagi mengelak menjawap soalan berhubung dakwaan MCA bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) punca Barisan Nasional tumbang di kerusi pilihan raya kecil parlimen Sibu, Ahad lalu.

"It's a whole (bunch) of reasons, cannot just ... ok, never mind lah (Banyak sebabnya, tak boleh hanya ...tak apalah)," katanya dengan ringkas.

Isnin lalu, MCA mempersalahkan PERKASA atas kekalahan SUPP di Sibu dengan berkata ‘hubungan kabur’ BN, khususnya Umno dengan kumpulan pelampau itu punca masyarakat Cina kurang selesa.

PERKASA juga pernah berkata Umno harus meninggalkan masyarakat Cina yang ‘tidak berterima kasih’ dan menghentikan peruntukkan kepada golongan minoriti berkenaan yang mengundi pembangkang.

Malaysiakini/-

Timbalan ketua pemuda MIC dipecat

7 Jamadil Akhir 1431 H

Timbalan ketua pemuda MIC, V Mugilan hari ini dipecat daripada parti itu.
Menurut ketua pemuda MIC, T Mohan, pemecatan Mugilan dibuat oleh presiden parti, Datuk Seri S Samy Vellu setelah berunding dengan timbalannya, Datuk G Palanivel.

Ketua jawatankuasa disiplin parti, Tan Sri KS Nijhar ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia dimaklumkan berhubung pemecatan itu.

Bagaimanapun, katanya, pemecatan itu tidak dilakukan oleh jawatankuasa yang diketuainya.

Menurut perlembagaan MIC, keahlian anggota parti itu boleh ditamatkan oleh jawatankuasa disipilin dan juga melalui kuasa presiden setelah berunding dengan timbalannya.

Menurut Mohan, pemecatan Mugilan bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sering kali membuat kenyataan yang membidas pemimpin MIC, khususnya Samy Vellu.
Katanya, keputusan menyingkirkan Mugilan itu dibuat berdasarkan dua faktor.

"V Mugilan mendakwa bahawa Datuk Seri Samy Vellu tidak membuat apa-apa untuk masyarakat India. Kedua, tindakan Mugilan berkempen demi kepentingan dirinya yang bertentangan dengan hasrat parti sebelum pilihan raya kecil Hulu Selangor," kata Mohan ketika dihubungi.

Katanya, jawatan timbalan ketua pemuda akan dikosongkan sehingga pemilihan parti itu yang dijadualkan pada tahun 2012.
Desas-desus Mugilan akan disingkirkan bertiup kencang sejurus sebelum pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu.

MIC pada mulanya mencalonkan Palanivel di kerusi berkenaan tetapi ia ditolak oleh ahli akar umbi Barisan Nasional, khususnya Umno yang mendakwa timbalan presiden kurang berupaya.

Sebaliknya nama, Mugilan dicadangkan tetapi timbalan ketua pemuda MIC itu ditolak oleh partinya dan sebagai kompromi ketua penerangan MIC, P Kamalanathan dicalonkan.
Sejak itu, Mugilan yang kecewa terus membidas presidennya dan mendesak pemimpin yang telah menguasai MIC hampir 31 tahun supaya berundur.

Terbaru, pagi tadi, dia mencabar Samy Vellu presiden MIC itu untuk berdebat secara terbuka dengannya pada Ahad ini untuk membuktikan sepanjang 11 penggal menerajui parti India itu, Samy Vellu gagal menaikkan taraf hidup masyarakat India.

Semalam, Mugilan pada satu sidang akhbar di Petaling Jaya, berkata bahawa beliau sanggup berhadapan dengan apa-apa tindakan parti setelah merujuk kepada peguamnya.

Malaysiakini/-

Keluarga saksi buat laporan 'cubaan bunuh'

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazlan Zakaria

Keluarga saksi utama kes pelajar 14 tahun yang mati ditembak polis, Aminulrasyid Amzah – Azamuddin Omar membuat laporan polis mengenai apa yang didakwa mereka sebagai percubaan membunuh ke atasnya.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Shah Alam pada jam 2.12 petang hari ini oleh abangnya, Mohd Hafizzuddin Omar.


Azammuddin (pertama dari kanan) adalah penumang di bahagian depan ketika kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid ditembak.

Remaja itu juga mendakwa tembakan berulang kali dilepaskan ke arah mereka oleh polis dan dia dibelasah selepas kereta mereka terhenti.

Hafizzudin juga meminta Kementerian Dalam Negeri menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat perkara itu dengan segera.

'Tutup kebenaran'

Serentak dengan laporan polis itu, keluarga Aminulrasyid juga membuat laporan mendakwa pihak polis cuba menutup kebenaran di sebalik kematian remaja itu.

Laporan itu dibuat oleh kakak Aminulrasyid – Norazura Amzah, 39(kiri).

Peguam keluarganya, N Surendran yang hadir pada sidang media berkata laporan polis itu adalah permulaan pusingan pertama tindakan undang-undang oleh keluarga itu bagi membersihkan nama anak mereka.

Menurut Surendran, mereka berharap polis akan memandang berat laporan itu dan menyiasat dakwaan berkenaan.

Katanya, laporan polis itu juga meminta KDN menubuhkan badan bebas untuk menyiasat beberapa kenyataan dikeluarkan pihak polis yang didakwanya seolah-olah bertujuan menutup kes itu.

Malaysiakini/-

MELAYU TIPU MELAYU!

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nash Ar-Rawy

Persepsi: Pengkhianatan UMNO keterlaluan !

Kudeta di Perak dan taktik kotor di selangor menjadi iktibar Pakatan Kedah. Pakatan semakin kukuh dan sibu UMNO SEBU gabra Pakatan ke Putrajaya! Propaganda UBN alah !
Bumiputra melanau, iban dan melayu sudah berani berubah ! Melayu Perak, Perlis, Johor, Negri Sembilan, Melaka dan Trengganu bila lagi?.
Bumiputra Sarawak pun tak bisa dibeli dengan rasuah politik dan permainan perkauman dan pembangunan.

Telaga minyak Negara digadai , Wilayah negara bagi kepada orang, Islam dipermainkan ; diperlesenkan arak dan judi dan terkini lesen judi bolasepak Piala Dunia. DEB dan MEB dasar dan acuan yang sama karya elit-Umnoputra Melayu tipu Melayu atas nama DEB dan jenama baru MEB. Buktinya lesen judi Piala Dunia milik syarikat Vincent Tan : Umno raih keuntungan ada saham !!! Inilah Umno Si Petualang ummah!!
Saham bumipura RM 52 BILLION lesap ! Umno: Melayu tipu Melayu!
Wang Negara: RM 32 BILLION lesap dalam perjudian Forex Rosmah Najib tapi broker untung sapu keliling!.

Dua Blok Minyak Negara lesap kepada Brunei bernilai RM320 BIILION tapi kroni syarikat minyak untung besar pergadaikan Negara: perut buncit!
Ternyatahlah UMNO petualang agama, bangsa dan negara !
Selamatkan Negara Berubah Bersama Pakatan !

Mampukah Kita Menangis Malam ini?

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: muhamad agus syafii

Duhai malam perlahan semakin kelam, Ketika manusia tidur, air mataku bercucuran, jiwaku dirundung kesedihan dan penderitaan. Hilanglah kebahagiaan dalam kegelapan Air mataku bercucuran, teringat beban dosa-dosaku yang telah mengabaikan rahmatMu..

Itulah yang diucapkan oleh Ali Bin Abi Thalib dalam kitab 'Arwa al Asrar', Ali Bin Abi Thalib senantiasa menunaikan sholat malamnya bersama para sahabatnya di Kufah. Saat itu beliau sebagai Amirul Mukminin, tatkala selesai sholat beliau duduk meneteskan air mata, penuh isak tangis dan wajahnya diselimuti dengan kesedihan, Orang-orang yang berada disekitarnya tidak beranjak sedikitpun sampai tiba waktu sholat subuh hingga terbit matahari.

Selesai sholat, Ali menggelengkan kepala, dengan berderai air mata dan penuh kesedihan sambil mengucap, 'Demi Allah, aku telah melihat Rasulullah, apa yang aku lihat hari ini adalah sama halnya yang dilakukan oleh Rasulullah, disetiap sholat malam dimatanya basah dengan linangan air mata dan terdapat bekas-bekas tanda sujud kepada Allah sepanjang malam, Rasulullah senantiasa membaca al-Quran, apabila mengingat Allah sampai condong tubuhnya seperti meliuknya pohon dihembus angin. Rasulullah juga bercucuran air mata sehingga membasahi pakaiannya.

Itulah tangisan orang yang sholeh berharap rahmat Allah bahkan dahsyatnya tangisan itu mampu membuat tubuhnya tersungkur karena takut akan kehilangan rahmat Allah pada dirinya. Begitulah hamba-hamba Allah yang mampu meneteskan air mata penuh harap atas rahmatNya. AIr mata itu tidak akan menetes bila hati kita mengeras.

Mampukah kita menangis malam ini?

Pemuda PAS cabar menteri, mufti bantah judi

7 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengeluarkan kenyataan bagi membantah kelulusan lesen judi yang diberikan kepada Berjaya Group oleh Kementerian Kewangan.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata Jamil Khir semalam dilihat lantang mengeluarkan kenyataan bahawa Peguam syarie di Mahkamah Syariah di negara ini mestilah seorang yang beragama Islam namun dalam hal judi ini beliau mengambil pendekatan pasif.

"Dimanakah suara lantangnya itu?
"DPPWP juga mencabar Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan semua mufti dinegara ini untuk tampil ke hadapan menghalang tindakan kerajaan meluluskan judi bola sepak piala dunia serta semua aktiviti judi dalam negara ini," katanya.

"Kita tidak mahu mereka menjadi mufti yang harus sana harus sini, tetapi bila bertembung perkara yang haram dengan kepentingan periuk nasi mereka, mufti-mufti ini menutup mata dan menyembunyikan ilmu mereka," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau berharap para Mufti dan golongan yang faham agama bangkit untuk menentang kezaliman akhlak ini.
Judi jelasnya adalah haram dan ianya bukan hanya haram untuk mereka yang beragama Islam, tetapi kepada semua manusia.

"Walaupun mereka bekerja dengan Kerajaan Malaysia yang mana Perdana Menteri dan Menteri kewangannya serta kabinetnya bersatu menghalalkan judi, tetapi para Mufti dan mereka yang faham agama harus bangkit menentang dan tidak mentaati keputusan mungkar itu," katanya.

Himpunan Besar 3 Julai - Pemuda PAS

7 Jamadil Akhir 1431 H
http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1. Membantah Lesen Judi Bola atau sukan yang diluluskan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional membawa kepada tindakan tegas dari pihak Dewan Pemuda PAS Pusat

Pertama : Himpunan 3 Julai 2010

Himpunan Besaran-besaran pada 3 Julai 2010 akan diadakan di perkarangan Masjid Negara dan kemudian berarak ke Istana negera mengiringi pimpinan Pemuda Pakatan rakyat untuk menyerahkan memorandum bantah Lesen Judi serta merayu campur tangan Raja-Raja Melayu untuk mendesak agar Kerajaan memansukhkan Lesen Judi Bola atau sukan tersebut.

Kedua : Himpunan 21 Mei 2010 [ Jumaat ]

Himpunan besar-besaran yang mensasarkan penyertaan 5 ribu rakyat di setiap masjid negeri di seluruh negara pada 21 Mei 2010 untuk tujuan menyuarakan bantahan rakyat terhadap tindakan Kerajaan meluluskan Lesen Judi Bola dan sukan ini.

Ketiga : Memorandum kepada Mufti-Mufti Negeri [ tempoh 21 Mei hingga 30 Jun ]

Satu rally Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri akan menganjurkan satu siri penyerahan Memorandum Bantah Lesen Judi tersebut kepada mufti-mufti di setiap negeri sepanjang tempoh sebulan ini dari 21 Mei hingga 21 June 2010. Mendesak agar mufti-mufti negeri membawa isu ini ke Majlis Mufti Kebangsaan lalu mendesak kerajaan agar menarik balik kelulusan Lesen Judi Bola yang telah dianugerahkan kepada Berjaya Group.

Keempat : Roadshow Mendidik rakyat [ sepanjang tempoih 21 Mei hingga 30 Jun ]

Dewan Pemuda PAS Pusat juga akan mengadakan Roadshow ke seluruh negara dalam tempoh sebulan ini bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai keburukan dan kesan negatif judi bola yang akan dilaksanakan ini sekaligus mendidik rakyat agar tidak terjebak dalam perangkap judi yang diharamkan oleh semua agama.

Kelima : Edaran Risalah Hindari Judi

Risalah Hindari Judi [ Ya untuk Bola , Tidak untuk Judi ] akan diedarkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri kepada semua khasnya peminat sukan bolasepak terutamanya di sepanjang musim FIFA WORLD CUP dan EPL pada musim depan.

2. Dewan Pemuda PAS Pusat juga akan memanafaatkan segala ruang dan peluang yang wujud sepanjang tempoh itu untuk menganjurkan apa jua tindakan berkesan ke arah mendesak Kerajaan menarik balik lesen judi yang telas diluluskan itu. Dalam masa yang sama peranan besar Dewan Pemuda PAS Pusat ialah mendidik rakyat agar menyedari keburukan judi lantas menjauhkan diri daripadanya.

3. Saya selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan penyertaan semua warga prihatin termasuklah badan-badan bukan kerajaan dan juga golongan non muslim agar turut menjayakan hasrat rakyat yang insaf dan sedar tentang implikasi buruk dari angkara judi tersebut.

Keterangan lanjut boleh hubungi sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat di talian : 03 269 25000 HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI

Harakahdaily/-

Mahasiswa 21 tahun berhak berpolitik

7 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 20 Mei: Pengerusi Pusat Perkembangan Budaya LLG, Datuk Dr. Toh Kin Woon berkata, tindakan empat mahasiswa Sains Politik UKM yang terlibat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor seharusnya digalakkan dan bukan diambil tindakan oleh pihak Universiti.

Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan empat pelajar tersebut sebenarnya selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihanraya.

"Oleh itu, penyertaan politik ialah satu hak yang sah menurut perlembagaan, tiada sesiapa orang termasuk menteri berkuasa mencabuli hak mereka," katanya.

Empat mahasiswa jurusan Sains Politik UKM iaitu Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai akan didakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ekoran terlibat pada PRK Hulu Selangor.

Selain itu, Kin Woon berkata tindakan keempat-empat mereka juga wajar dipuji kerana berani mempraktikkan hak demokrasi mereka dikala mendapat tekanan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Menurutnya, kekurangan ruang demokrasi di universiti telah menjadikan ramai mahasiswa tidak prihatin terhadap masyarakat.
Namun empat pelajar UKM tersebut telah membuktikan keprihatinan mereka terhadap Masyarakat.

"Dengan suasana intimidasi dan amaran Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin, 4 orang mahasiswa yang mengikuti kursus politik masih berani mempraktikkan hak demokrasi mereka, tindakan ini harus digalakkan dan mendapat sokongan masyarakat.

"Sebab tindakan mereka menunjukkan pemikiran yang matang, rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap masyarakat dan pembangunan negara, ” katanya lagi.

Justeru, beliau menggesa Timbalan Canselor UKM Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggugurkan dakwaan terhadap ke empat-empat yang dituduh dan menghentikan prosiding yang dijadual 4 Jun hadapan..

Pusat Perkembangan Budaya LLG juga katanya menyarankan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghormati hak demokrasi mahasiswa yang termaktub di dalam perlembagaan, mengusulkan pemansuhan Auku serta merta.

Khaled katanya juga perlu merancang pelan pembaharuan pendidikan pengajian tinggi jangka masa panjang untuk menunjukkan janji ikhlas beliau dalam peningkatan kualiti IPTA.

Harakahdaily/-

SPR kata boleh sogok masa pilihan raya?

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Angkasanuri

SPR nampaknya makan bercelaru dan haru biru di era 1Malaysia. Mereka bermati-matian mempertahankan tindakan pemimpin Umno-BN memberi rasuah dan sogokan sewaktu pilihanraya.

Paling ketara apabila PM secara terbuka merasuah pengundi seperti yang berlaku dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar , di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang secara umum menjurus kepada kesalahan dilakukan oleh calon atau ejen mereka, pihak-pihak lain yang membuat janji pilihan raya termasuk anggota Kabinet tidak boleh didakwa telah melakukan kesalahan menyogok atau melakukan rasuah pilihan raya.

Bagi saya satu kenyataan yang sangat merbahaya yang akan menjadikan pilihanraya di Malaysia akan menjadi pesta rasuah kerana ternyata kini SPR sendiri telah menafsir undang-undang mengikut nafsu dan telunjuk pemimpin Umno-BN bagi memastikan mereka akan membuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

Kenyataan yang cukup tidak bertanggungjawab dan amat memalukan. Malah SPR cuba tutup sebelah mata dengan mengatakan “Kami tidak boleh melakukan siasatan sebagaimana perkara-perkara lain diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya.kami tiada kuasa (menyiasat)

Kenyataan ini ternyata sebagai satu penghinaan kepada amalan demokrasi di negara ini kerana suruhanjaya ini dilantik untuk mengendali, mengurus dan memastikan perjalanan pilihanraya berlangsung dengan adil dan telus.

Maka amat wajar semua ahli SPR meletak jawatan kerana ternyata mereka sendiri selama ini terang-terang mencabuli dan mengkhianati amanah dan tanggungjawab sebagai sebuah badan bebas seperti yang termaktub apabila dilantik oleh DYMM Agong.

Di samping itu amat wajar BERSIH kembali aktif dan proaktif untuk memastikan drama dan wayang SPR memihak kepada calon Umno-BN tidak lagi berlaku dalam pilihanraya akan datang.

Bagi saya dalam pilihanraya akan datang dalam suasana sokongan rakyat yang sekarang ini semakin melonjak kepada Pakatan Rakyat faktor penghalang utama kemaraan ke Putrajaya ialah SPR.

Mereka akan melakukan apa sahaja untuk memastikan Umno-BN kekal berkuasa. Mereka sama sekali telah menghakis kepercayaan rakyat kepada amalan demokrasi di negara ini.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Undi pos, undi keramat BN

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Mutaligat

Penyokong PR menanti dengan penuh debaran malam Ahad lalu, ketika menanti pengumuman Keputusan PRK Sibu yang dijadualkan pada jam 9.00 malam.

Namun selepas 2 jam menunggu baru ianya diumumkan. Memang kita tahu jika BN kalah sudah tentu keputusan lambat diumumkan. Akhirnya ia terpaksa diumumkan setelah segala 'usaha' untuk 'memenangkan' BN gagal.

Menurut Ketua DAPSY, YB Anthony Loke dalam kenyataannya baru-baru ini, pengiraan undi pos yang selesai jam 8.30 tetapi ia tidak diumumkan malah Borang 15 iaitu borang pengesahan parti-parti yang bertanding tentang keputusan pengiraan di sesuatu peti undi juga tidak diserahkan kepada wakil parti. Setelah didesak beberapa kali barulah ianya diberikan.

Sebelum dicampurkan dengan undi POS, DAP mendahului dengan kelebihan undi sebanyak 2,590 sahaja. Manakala undi pos ialah sebanyak 2,571 yang dikembalikan.

Maknanya dari maklumat Polling Agent DAP bahawa memang 2,571 undi pos sahaja yang dikeluarkan. Iaitu terdapat kira-kira 300 undi pos tidak dikembalikan.

Ini bermakna jika keseluruhan pengundi pos membuang undi jumlahnya adalah 2,800 lebih. Andaikata semua undi pos dikira dan dicampurkan dengan undi biasa sudah tentu BN akan menang.

Sebab itulah DAP bertegas tidak mahu membenarkan peti undi pos dialihkan selagi Borang 15 yang mengesahkan keputusan pengiraan undi pos diserahkan kepada agen pengiraan undi DAP.

Mereka bimbang jumlah undi pos akan ditambah dari jumlah sebenar undi yang dikembalikan iaitu 2,571 sahaja. Jika berlaku penambahan undi pos sudah tentu ianya tidak dapat bantah kerana Borang 15 tiada di tangan DAP.

Di saat genting seperti itu apa sahaja boleh berlaku dan sudah banyak peristiwa kontroversi yang berlaku sebelum ini.

Disebabkan petugas-petugas kita tidak mahir tentang undang-undang dan peraturan pilihanraya maka kita ditipu dan diperdaya.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Isteri kedua dibenar lawat Sultan Kelantan

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 20 Mei: Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah di sini membenarkan isteri kedua sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31 melawat suaminya, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra.

Panel tiga hakim diketua Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohamad membenarkan lawatan itu setelah mengadakan semakan terhadap afidavit pihak Elia Suhana dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Hakim lain yang turut bersidang iaitu Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Wan Hassan Wan Muhamad.

Daud berkata, keputusan penangguhan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 4 April lalu tidak sepatutnya berlaku kerana perintah itu dikeluarkan ke atas isteri yang sah.

Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya untuk bertemu suaminya.

Dan pada 21 Februari lalu mahkamah mengarah ketiga-tiga defendan hadir untuk tunjuk sebab.

Sedangkan sebelum itu pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu membenarkan isteri kedua melawat Sultan Kelantan setiap Sabtu sehingga pagi Isnin.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Syariah menangguhkan kes permohonan Elia Suhana bagi mendapatkan hak lawatan kekal ke atas suaminya kepada 13 Jun depan.

Penangguhan itu disebabkan Mahkamah Tinggi Syariah mahu permohonan itu didengar selepas kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan ke atas Elia Suhana diputuskan pada 23 Mei ini.

Elia Suhana memfailkan permohonan interlokutori pada 21 Mac lalu untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap dirinya yang difailkan seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60.

Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak ke atas Elia Suhana pada 12 Februari lalu ketika menjalani rawatan di Singapura.

Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Elia Suhana, manakala Raja Perempuan Kelantan diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar.

Harakahdaily/-

Najib mungkin dikenang sebagai Bapa Judi

7 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

“Kita tidak akan membincangkannya,” kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bangunan ibu pejabat sebuah akhbar harian yang menjadi penyebar fikiran Umno hari ini.

Tindak-tanduk Najib itu boleh menyebabkan beliau dikenang sebagai Bapa Judi selepas bapanya sendiri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein digelar sebagai Bapa Pembangunan, kata Mohamad.

"Tetapi, kita tidaklah terkejut kalau akhirnya Perdana Menteri digelar Bapa Judi sebab dalam kabinet hari ini pun ada dua orang cucu tauke judi.

"Orang yang sudah biasa dengan duit judi tentu tidak mempunyai sebarang masalah untuk memberi lesen kepada judi bola sepak Piala Dunia itu," katanya tanpa menyebut nama mana-mana tokoh.

Mengenai kesan dari tindakan kerajaan memberi lesen judi bola sepak kepada syarikat yang dikuasai Vincent Tan itu, Mohamad berkata, hanya orang tidak berakal sahaja yang boleh mempersetujui perkara itu.

"Tak perlu ulas panjang-panjanglah, Cina MCA pun tak setuju," katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Michael baru-baru ini dipetik sebagai berkata: "Kebanyakan orang ramai yang membuat pinjaman dari ah long adalah untuk berjudi dan saya risau akan ramai lagi orang meminjam dengan ah long untuk berjudi semasa (pertandingan bola sepak) Piala Dunia bulan depan".

Dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu beliau akan bertemu pelbagai pihak untuk meningkatkan lagi tekanan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) berikutan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terhadap gelagat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk dalam pengendalian undi pos dalam pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu .

"Pelbagai pihak kini semakin tidak mempercayai SPR dan adalah tidak adil jika kita tidak himpunkan rakyat yang tidak berpuas hati atau marah kepada SPR itu dalam satu suara yang lebih padu.

"Walaupun saya tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Bersih, tetapi saya yakin akan dapat memainkan peranan ke arah itu," kata beliau yang pernah menjadi Pengarah Himpunan Bersih 10 November 2007 lalu.

Di dalam PAS sendiri, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS, Mohamad memberitahu, beberapa tindakan bagi menyatukan suara rakyat yang tidak berpuas hati atau marah kepada SPR sedang digerakkan.

Harakahdaily/-