19 May 2010

PRK SIBU - PENGUNDI CERDIK,SPR CERDIKKAH?

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

MEMALUKAN!! Mungkin itulah yang dibualkan oleh kebanyakan pemimpin di dalam Bn terutamanya Umno akibat `tertonggeng'nya calon Bn di PRK Parlimen Sibu. Di mana Muhyiddin hendak letak muka kerana baru beberapa jam beliau menyindir PKR sebagai parti kian runtuh, calon Bn yang beliau sendiri menjadi bos kempen di Sibu tersembam dengan begitu aib sekali.

Alangkah bernasib baiknya Bn di Sibu kerana adanya undi pos yang dapat mengelak dari Bn menerima majoriti kekalahan yang lebih menyiksakan. Saya sudah dapat meramalkan bahawa DAP akan menang kerana kelewatan media perdana melaporkan keputusan pilihanraya tersebut, bahkan SPR juga terlalu lewat mengumumkan keputusan. Apa pun, tahniah kepada semua pengundi di Sibu kerana semakin bijak dan cerdik.

Seandainya tiada unsur rasuah dan janji-janji seperti di bawah ini, Bn pasti lebih nazak diajar oleh rakyat di Sarawak. Di dalam keadaan berjanji berbagai-bagai, Bn boleh tewas, maka boleh kita simpulkan standard Najib dan Muhyiddin selaku PM dan TPM di mata rakyat.

Berikut adalah janji-janji manis semasa berkempen. (Bukan untuk tatapan SPR mahupun SPRM kerana badan ini tidak mampu menilai adakah perkara di bawah berunsur rasuah atau tidak):

1. RM4 bilion telah diperuntukkan kepada Sarawak bagi sektor Pendidikan dalam RMK9 dengan 1,700 buah sekolah telah dibina termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan.

2. RM1 bilion untuk penebatan banjir di mana RM300 juta telah dilaksanakan dalam fasa pertama.

3. RM99 juta telah diperuntukkan kepada Sibu dalam RMK9 dan akan ditambah dalam RMK10

4. RM28 juta untuk Pulau Bruit bagi faedah 9,000 penduduk yang duduk di 13 Kampung di pulau tersebut dengan pemilihan Pulau Bruit sebagai Kota Agropolitan yang baru di Negara kita dengan bajet RM18 juta dan bagi menjalankan projek bekalan air bersih dengan kos RM10 juta.

5. RM 18 juta diperuntukkan kepada 65 sekolah bantuan Cina dan dua buah sekolah kebangsaan

6. RM6.6 juta untuk kebajikan umat Islam termasuk pembinaan dua masjid

7. RM2 juta telah diperuntukan untuk menaik taraf sistem perparitan dan menurap jalan di 2 buah kampong iaitu Kg Bahagia Jaya dan Kg Jeriah

8. RM 1 juta pemberian Komputer riba percuma bernama “Netbook 1Malaysia” bernilai RM999 untuk 1000 pelajar di Sibu yang mana menjadi sebahagian dari bujet RM1 bilion pemberian netbook percuma kepada pelajar kurang mampu seluruh Negara.

9. RM 500,000 diperuntukkan kepada Sek.Men.Agama Sibu untuk tingkat prasana.

10. Dewan Serbaguna bernilai RM250,000 yang akan dibina dalam kawasan Sek.Men.Kebangsaan Batang Igan, Dalat.

11. RM 100,000 untuk naik taraf dua buah sekolah iaitu Sek.Keb.Rantau Panjang dan Tanjung Penasu, Bawang Assan di mana majoriti pelajar adalah kaum Iban.

12. Kemudahan wifi dengan kewujudan Kampong Wifi Pertama di Malaysia di Kampung Bahagi Jaya, Teku yang akan memberi manfaat kepada 5,000 penduduk.

13. Bekalan eletrik untuk 2,000 penduduk di Sg Rasau sebelum 2012 dengan tambahan RM600 kepada setiap pintu rumah panjang bagi membaik pulih rumah masing masing.

14. Siaran TV satelit percuma untuk 200,000 penduduk pendalaman Sabah dan Sarawak bagi saluran TV1,TV2,TV3 dan beberapa saluran Astro yang akan ditentukan kelak.

15. Projek naik taraf Kolej Laila Taib menjadi Universiti pada tahun 2012

Terasa ingin ketawa pun ada apabila mendengar komen Pengerusi SPR yang menyebut badan itu akan siasat mengapa peratusan keluar mengundi turun. Cuba kita lihat carta di atas, dan bandingkan dengan pilihanraya 2008, ada penurunan ke jumlah atau peratus yang keluar mengundi? Sudahlah mula-mula beliau beritahu peratusan lebih kurang 50 %, kemudian tarik baik beritahu lebih kurang 70 % yang keluar mengundi. Pelik bin ajaib. Yang jelas, hanyalah untuk dijadikan ALASAN mengapa BN tewas kununnya peratusan keluar mengundi rendah. Mereka ingat semua rakyat bodoh di dalam Mathematik walaupun diajar di dalam Bahasa Inggeris?

Di dalam Berita Awani Astro, Pengerusi SPR menyuarakan rasa tidak puas hatinya kerana penyokong-penyokong dari PR buat kecoh semasa hari mengundi. Terang-terang beliau menuduh penyokong-penyokong PR seolah-olah penyokong BN semuanya baik dan tertib. Nampak jelas SPR ini wajar dirombak sebelum Pilihanraya Umum nanti.

Menebarkan Kasih Sayang

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: muhamad agus syafii

Hamba ar-Rahman (Maha Penyayang) adalah mereka yang berjalan diatas muka bumi dengan rendah hati, jika diajak bicara oleh kaum yang jahil mereka mengucap 'Salam Sejahtera.' (QS. al-Furqan : 63).

Ayat diatas menyiratkan bahwa menebarkan kasih sayang dengan kerendahan hati akan memberikan rasa damai pada orang lain. Dampaknya akan mendorong orang lain juga melakukan hal yang sama. MIsalnya, bila kita hendak berangkat ke kantor atau memulai aktifitas memberikan salam dan senyuman kepada pasangan hidup kita atau kepada anak kita tentunya akan memberi kedamaian dihatinya sehingga orang-orang yang kita tinggalkan juga dengan mudah menyebarkan rasa damai itu untuk orang-orang disekelilingnya.

Berbeda bila kita menyebarkan energi kebencian. Justru akan menyumbat saluran kasih sayang dan rasa kedamaian dihati orang-orang sekeliling kita. Misalnya, sewaktu kita berangkat kerja sambil marah-marah dengan pasangan hidup kita atau anak kita selain mereka menjadi sebel dengan kita, kita bekerja juga tidak nyaman karena dihati merasa ada yang mengganjal.

Alangkah indahnya bila hidup kita menyebarkan kasih sayang pada semua. Kasih sayang memberikan dampak kedamaian dan ketenteraman bagi orang lain sehingga dampaknya orang lainpun juga menyebarkan kasih sayang bagi orang sekelilingnya. Sebagai hamba ar-Rahman tugas kitalah menyebarkan sifat ar-Rahman. karena energi kasih sayang senantiasa akan memantulkan kepada semua yang ujungnya berimbas pada diri kita.

Yuk, tebarkan kasih sayang.

JUDI BOLA: SOKONG PEMUDA UMNO PARIT

4 Jamadil Akhir 1431 H
http://www.pemudapasperak.com/

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) menyokong penuh pendirian Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Parit yang membantah kelulusan Kerajaan Pusat membenarkan perjudian pertandingan bolasepak Piala Dunia tahun ini.

Tetapi DPPN Pk sedih dengan sikap dan pendirian Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak yang tidak membuat pendirian yang sama di dalam isu ini. DPPN Pk melihat seolah-olah Pemuda Umno Perak menyokong judi bolasepak tersebut kerana hanya Pemuda Umno Parit sahaja yang tampil menyatakan bantahan mereka.

DPPN Pk bersedia untuk berkongsi pentas dengan Pemuda Umno Perak membuat sidang media bersama bagi mengzahirkan bantahan terhadap judi bolasepak tersebut. DPPN Pk berharap Pemuda Umno Perak jangan memalukan masyarakat kaum Melayu / Islam di dalam perkara ini. Kita sepatutnya menyokong bersama pendirian Tan Sri Haji Harussani Haji Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak di dalam perkara ini dengan kenyataan yang jelas dan berani.

Jika sebaliknya, malang sunggup bagi masyarakat kaum Melayu / Islam bahawa sebuah parti Melayu yang mendakwa menjaga kepentingan umat Islam tidak langsung berani membantah akan perkara tersebut. Jika DAP yang bukan dari majoriti masyarakat Melayu / Islam pun sangguh menghantar memorandum bantahan, amat malang bagi Pemuda Umno Negeri Perak yang mengaku sebagai pejuang bangsa dan agama gagal membuat demikian.

MOHD MUNIR ALI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

PERUTUSAN HARI GURU: UMNO HERET SEKOLAH

4 Jamadil Akhir 1431 H
http://www.pemudapasperak.com/

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) membantah tindakan
Datuk Hamidah Osman menggunakan sambutan Hari Guru untuk
berpolitik di sekolah yang sepatutnya tidak berlaku.

Dengan membawa perutusan Hari Guru daripada Datuk Seri Dr Zambry
Abdul Kadir bagi tujuan memasuki sekolah adalah amat bertentangan
dan tidak sepatutnya berlaku.
Bagi DPPN Pk, Umno sudah mula mengheret guru-guru dan pelajarpelajar
untuk berpolitik kepartian.

Jika perkara ini telah di izinkan oleh
kerajaan, bermakna semua parti politik sepatutnya di izinkan bagi
tujuan yang sama.

Umno yang selama ini menuduh PAS dan
Pakatan Rakyat (PR) bertindak tidak demokratik, tetapi sebenarnya
merekalah yang tidak demokratik di dalam perkara ini.
Datuk Hamidah yang seolah-olah sudah terdesak untuk
mendapatkan sokongan di lihat cuba untuk mengheret siapa sahaja
untuk memberikan sokongan kepadanya.

Datuk Hamidah juga akan
menentang siapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya dan
bertindak tidak profesionalisme serta mencampuri urusan pegawaipegawai
yang berkaitan.

DPPN Pk mendesak agar Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Negari Perak menghalang usaha Datuk Hamidah tersebut. DPPN Pk juga
meminta penjelasan JPN Perak di dalam perkara ini. Sikap yang
sedemikian amat melampau dan tidak wajar di biarkan begitu sahaja.

Datuk Hamidah seolah-olah sekarang ini sudah gilakan kuasa dengan tindakan tersebut yang akan merosakkan nama baik
pendidikan Negara.

SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

SIBU-KEMENANGAN DAP TURUT DIBANTU OLEH MAHATHIR?

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: WFAUZDIN

SAHAM MAHATHIR ADA DI DALAM KEJAYAAN DAP

PAGI ini agak-agaknya apa media pencacai mahu laporkan tentang kemenangan DAP di dalam PRK Sibu semalam? Rasa-rasanya Najib dan Muhyiddin mahu beri ulasan bagaimana? Apa pun ulasan atau komen mereka, hakikatnya pengundi-pengundi Cina sudah tidak mempercayai Bn lebih-lebih lagi Umno.

Mungkin selepas ini raja katak PERKOSA Berahim Ali bercakap lagi agar jangan beri sebarang layanan kepada kaum Cina. Lebih baik layan spesis katak seperti mereka yang banyak membantu Umno. Terlalu banyak sebab musabab yang menjadikan Bn di malukan di Sibu dalam keadaan berpuluh juta habis dijanjikan di sana. Mereka silap kerana di Sibu bukan majoriti Melayu atau orang Felda seperti di Hulu Selangor yang senang-senang mereka beri umpan.

Salah satu faktor yang menyebabkan pengundi-pengundi terutamanya kaum Cina menolak Bn adalah kerana hasil dari mulut celupar Mahathir. Baru-baru ini Mahathir menyebut ada baiknya sejarah 13 Mei diingati semula. Peristiwa 13 Mei itu bukan satu peristiwa yang baik untuk sentiasa dingat atau dikenang jauh sekali untuk dibuat majlis sambutan. Sudah berpuluh tahun kita mahu rakyat lupakan sejarah hitam tersebut, tiba-tiba Mahathir mahu kita ingat semula. Sebab apa perlu diingati?

Sebabnya hanya satu iaitu apabila dilihat kaum Cina sudah mula berani menuntut keadilan di dalam negara ini. Lebih tepat, kaum Cina mula dilihat tidak lagi menyokong Bn. Kaum Cina sudah mula melihat hanya PR sahaja mampu berlaku adil ke atas mereka. PAS yang berada di dalam PR tentunya komited untuk melaksanakan keadilan buat kaum Cina termasuk yang Non Muslim kerana Islam mengajar agar berlaku adil. Tidak hairanlah propaganda Bn di Sibu "Satu Undi Kepada DAP, Satu Undi Untuk Negara Islam', gagal menakutkan kaum tersebut.

Sarawak ternyata melalui jalan sukar selepas ini untuk mengekalkan `dinasti Taib'. PR pastinya akan menjadikan kemenangan gemilang ini sebagai momentum buat parti ini bekerja lebih kuat di negeri Bumi Kenyalang tersebut agar penguasaan keluarga Taib terkubur di sana. Rakyat Sarawak perlu dibebaskan dari kesusahan dan penderitaan hasil rejim Taib./mandor.blogspot

Umno-Apco: Anwar hadapi JK Parlimen, 8 Jun

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazlan Zakaria

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar akan dipanggil menghadapi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 8 Jun.

Beliau terpaksa mempertahankan dirinya kerana pada sidang Dewan Rakyat yang lalu mendakwa gagasan 1Malaysia yang diterajui oleh firma Apco Worldwide berkaitan dengan kempen 'One Israel'.

MP Bukit Gelugor Karpal Singh, yang juga anggota jawatakuasa itu berkata mesyuarat pertama hari ini bertujuan menyediakan agenda dan jadual mesyuaratnya.

Anggota lain jawatankuasa itu adalah Razali Ibrahim (BN- Muar), Datuk Seri Foong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Nancy Shukri (BN-Batang Saadong), timbalan speaker, Datuk Ronald Kiandee dan speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
MP Subang R Sivarasa tidak hadir kerana cuti sakit.

Malaysiakini/-

Karpal: Najib cabul undang-undang pilihan raya

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hazlan Zakaria

Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terbabit dalam ‘pembelian undi’ pada pilihan raya keci parlimen Sibu yang berakhir semalam.

Beliau merujuk kepada satu majlis di Rejang Park, sehari sebelum tarikh mengundi seperti mana yang dilaporkan oleh akhbar harian bahasa Inggeris Sunday Eastern Times.

Berikut petikan kata-kata Najib yang dipertikaikan oleh Karpal itu dalam bahasa Inggeris.

“I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me,” kata Najib.

Menurut Karpal, Najib menjanjikan kerajaan persekutuan akan memberi RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu jika BN menang pilihan raya berkenaan.

“Ini jelas mencabuli Akta Kesalahan Pilihan Raya. Jika tidak berhati-hati, PM akan dihumban ke penjara. Kita mungkin terpaksa adakan pilihan raya kecil di Pekan,” kata Karpal.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pertama Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi membincangkan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 1Malaysia diciplak dari One Israel.

Malaysiakini/-

Syed Hussein: Umno bukan PKR bakal karam

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Zulaikha Zulkifli

Tindakan beberapa pemimpin, termasuk ahli parlimen, ADUN dan ahli PKR yang meninggalkan parti itu sengaja dibesar-besarkan oleh media yang dikuasai oleh kerajaan sedangkan hakikatnya ia tidak akan meruntuhkan parti itu, kata Timbalan Presidennya, Syed Hussein Ali.

“Memang diakui imej PKR terjejas sedikit oleh tindakan beberapa orang ahli parlimen dan ADUN yang melompat katak. Akan tetapi mereka adalah anasir-anasir buruk dalam parti yang mempunyai banyak masalah diri dan tidak membuat kerja.

“Pasti mereka akan diganti kelak dengan calon-calon lebih berwibawa dalam pilihanraya akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Syed Hussein tindakan mereka meninggalkan PKR dianggap terlalu kerdil jika dibandingkan dengan peristiwa presiden Umno seperti Tunku Abdul Rahman Putra dan juga Tun Hussein Onn meninggal parti yang pernah mereka terajui dulu.

“Tentang apa yang didakwa ‘anggota-anggota’ yang konon keluar beramai-ramai, kami telah semak dan dapati kebanyakkan mereka bukan anggota.

“Walau apapun, bilangan anggota PKR yang keluar jauh lebih kecil daripada ribuan ahli Umno yang keluar setelah saudara Anwar Ibrahim tersingkir, dizalimi dan diaibkan,” katanya.

Mengenai tindakan Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda berserta 488 ahlinya yang meninggalkan parti itu, Syed Husin berkata Fauzi dan suku sakatnya sudah lama menjadi duri dalam daging dan tindakan berkenaan adalah sangat dialu-alukan.

“Sekarang cabang itu boleh bersatu di bawah pimpinan yang lebih komited. Fauzi tidak lama dulu telah membuat surat sumpah menuduh PM Najib yang ditemuinya berjanji hendak memberinya banyak wang,” katanya.
Tambahnya, PKR tidak akan runtuh sebaliknya Umno-BN yang sebenarnya sedang karam.

“Insya-Allah mereka akan karam lebih cepat lagi selepas Sibu,” katanya.

Malaysiakini/-

PAS anjur protes lesen judi ke Istana Negara

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Puteri Aida Haryani

PAS akan sekali lagi menganjurkan perhimpuanan bagi membantah tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi pertaruhan bolasepak Piala Dunia yang bakal berlangsung Jun ini.

Perhimpunan kali ini akan dianjurkan oleh dewan pemuda PAS pusat dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa pertubuhan Islam yang lain.

“Perhimpunan kali ini akan berarak ke Istana dan semua rakan ahli Pakatan Rakyat serta NGO akan turut dijemput hadir ke sana,” kata ketua pemuda PAS, Wilayah Persekutuan, Herman Samsudeen.

Menurutnya, perbincangan awal telah dijalankan dengan ketua pemuda PAS pusat, Nasaruddin Tantawi bagi mengadakan perhimpun lebih besar dan bersepadu.

“Selain itu juga, PAS turut menjemput semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana isu ini melibatkan semua kaum di Malaysia

“Kita sememangnya menolak kelulusan judi ini, walaupun dengan alasan sebagai membasmi perjudian haram,” katannya.

Katanya lagi, PAS juga menolak pandangan kerajaan bahawa judi hanya diharamkan kepada umat Islam dan rakyat bukan Islam dikorbankan supaya kerajaan boleh menghalalkan judi itu.

“Mereka yang bukan Islam juga menolak judi, jadi tiada sebab kerajaan perlu menghalalkan perkara yang haram ini,” katanya.

Menurut Herman, tarikh perhimpunan itu belum ditetapkan dan akan dimaklumkan dalam tempoh yang terdekat.

Sehubungan itu juga, semua ahli PAS diminta bersiap sedia untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran berkenaan.

Jumaat lalu, lebih 500 orang berhimpun di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas selesai solat Jumaat bagi membantah tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi itu dan juga penganjuran konsert 12 jam yang membabitkan artis luar negara, Pitbull.

Kementeri Kewangan secara rasminya pada 11 Mei lalu, menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan, memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan keputusan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Sejak pengumuman itu dibuat, pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik, pertubuhan agama dan juga orang perseorangan membidas tindakan kerajaan itu.

Malaysiakini/-

'Bukan Islam jadi peguam syarie' perlu kajian'

4 Jamadil Akhir 1431 H

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad, berkata satu kajian perlu dibuat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur membenarkan seorang peguam bukan Islam mendapatkan semakan kehakiman bagi membolehkannya menjadi peguam syarie.

Katanya, ini kerana Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan yang dikuatkuasakan sejak 1982 dan enakmen pentadbiran Mahkamah Syariah yang digunapakai oleh semua negeri sekarang tidak membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes yang membabitkan undang-undang syariah.

"Kajian atau penelitian perlu dibuat bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung perkara itu berdasarkan perundangan dan Perlembagaan Negara.

"Isu membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes-kes yang membabitkan mahkamah syariah, adalah sesuatu yang agak luar biasa," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau mengulas mengenai seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lalu dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.

Sehubungan itu, Daud meminta pihak yang tidak memahami undang-undang supaya tidak mempersoalkan perkara ini sehingga menimbulkan isu kontroversi kerana ia membabitkan undang-undang.

Malaysiakini/-

'Kemenangan di Sibu cabar pelbagai andaian'

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Regina Lee

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kemenangan sulung DAP di Sibu sebagai sesuatu yang ‘manis’ bagi Pakatan Rakyat, namun mereka masih perlu berhati-hati dalam memperluaskan peluang di Sarawak.

"Sibu merupakan tempat yang sukar. Tidak pernah lagi ada calon dari DAP yang pernah menang di Sibu," katanya yang turut berpandangan bahawa para pengundi kini semakin "matang" dan "bersedia untuk berubah".

Ketua umum PKR itu juga berkata keputusan semalam juga merupakan satu mesej pengundi Sarawak kepada BN bahawa mereka tidak boleh dianggap berfikiran sempit.

“(Anggapan) ini cuma bagus jika mereka (BN) mahu memperkecilkan kebijaksanaan orang ramai.

“Selama beberapa dekad, para pengundi dari luar bandar yang kebanyakannya daripada kaum Melayu, Iban dan Melanau tidak pernah untuk mengundi calon dari DAP yang terdiri dari kaum Cina.

"Bagaimanapun keputusan pada pilihanraya ini menunjukkan mereka telah berfikiran terbuka dan mereka mula untuk menerima manifesto dari DAP," katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu satu delegasi pelabur dari Indonesia.

Kerusi parlimen Sibu dimenangi Wong Ho Leng dengan majoriti sebanyak 398 undi, mengalahkan calon BN Robert Lau Hui Yew yang merupakan anak kepada penyandang kerusi itu sebelum ini.

Mendiang Datuk Robert Lau memegang kerusi itu selama lima penggal sehingga 9 April lalu apabila beliau meninggal dunia akibat kanser.

Sementara itu, keputusan pilihan raya kecil ini menunjukkan DAP berjaya meraih 70 peratus undi dari kaum Cina dan turut mencatat peningkatan sokongan daripada kaum Melanau -- sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini menunjukkan kita telah bersedia untuk menembusi komuniti Bumiputera yang mana ia sesuatu yang amat kami harapkan," kata Anwar.

Beliau juga berharap trend perubahan ini akan kekal dalam pilihan raya akan datang, namun tidak ingin mengambil sikap terlalu yakin dengan peluang Pakatan.

"Kami optimistik sekarang, tetapi perlu realistik. Saya telah bercakap kepada Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang tentang beberapa perkara tetapi ia masih terlalu awal untuk diberitahu," katanya.

Malaysiakini/-

PAS: BN tumbang kerana serah telaga minyak

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

PAS menyifatkan "kemarahan dan kebencian" pengundi di Sibu sebagai punca utama BN tumbang pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu semalam.

"Isu-isu seperti kerugian Sime Darby, Pos Malaysia dan berbagai lagi termasuk penyerahan dua telaga minyak yang sepatutnya memberi hasil royalti kepada Sarawak dan Sabah.

"Kalau 320 bilion hasil yang ada pada telaga itu, Kalau 5 peratus, (maka) jadi 16 bilion akan diperolehi. Jadi ia satu kerugian yang besar kepada Sarawak dan Sabah," kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena juga kesal dengan penyerahan telaga tersebut kepada Brunei yang sudah terkenal dengan hasil minyaknya.

Beliau mengulas faktor kemenangan DAP dan Pakatan Rakyat pada sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Dalam pilihan raya tersebut, calon DAP, Wong Ho Leng, menang dengan majoriti 398 undi setelah memperolehi 18,845 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron, meraih 232 undi.

Mengulas lanjut, Mahfuz (atas, tiga dari kiri) juga menempelak kerajaan kerana tidak bertegas untuk menuntut kedaulatan kawasan minyak itu yang dikatakan kawasan pertindihan.Beliau mempersoalkan sekiranya ia merupakan kawasan pertindihan, mengapa kerajaan tidak mempertahankan kedaulatannya dengan merujuk kepada Mahkamah Antarabangsa seperti pertikaian Pulau Batu Putih."Sedang ini adalah dua telaga minyak, yang dikatakan bertindih oleh kerajaan, yang mempunyai hasil yang lumayan. Sepatutnya diperolehi negara.

Kita tidak pertahankan sehingga ke Mahkamah Antarabangsa. Ini sangat memalukan negara," katanyaSelain itu, Mahfuz yang juga mendakwa kegagalan kerajaan negeri Sarawak untuk menyelesaikan masalah tanah di kalangan Melayu, turut menjadi faktor kemenangan DAP dan Pakatan.

Beliau juga menyifatkan kemenangan Pakatan Rakyat di Sibu adalah satu permulaan untuk menghapuskan bahawa negeri tersebut merupakan "simpanan tetap dan talian hayat" kepada BN dalam pilihan raya."Dahulu ia dijadikan simpanan tetap untuk terus berkuasa. (Kemenangan) Ini satu permulaan kepada Sarawak yang akan menghadapi pilihan raya kecil negeri dan pilihan raya umum di peringkat nasional."(Selepas ini) Ia tidak akan menjadi satu simpanan tetap kepada BN. Ini merupakan satu perkembangan agak baik," katanya.

Katanya, walaupun Pakatan kalah di peti undi Hilir Nangka yang majoritinya adalah pengundi Melayu tetapi terdapat peningkatan jumlah undi Melayu yang diperolehi di kawasan tersebut."Kesediaan pengundi Melayu, yang bukan sahaja bersama dengan PAS tetapi bersama DAP telah menunjukkan satu perubahan baru di Sarawak untuk politik Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, kata Mahfuz, berdasarkan perkembangan tersebut, PAS akan membentuk satu jawatankuasa penaja bagi menubuhkan PAS di kawasan tersebut.Katanya PAS pusat akan berbincang dengan PAS negeri berhubung perkara tersebut selepas Muktamar PAS yang dijadual berlangsung bulan hadapan.

Malaysiakini/-

'Gagal pertahan Sibu bukti Taib Mahmud ditolak'

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Hafiz Yatim dan Salhan K Ahmad

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu yang berpihak kepada Pakatan Rakyat memberi gambaran buruk kepada BN untuk kekal relevan dalam pilihan raya negeri selepas ini, menurut penganalisis.

Gambaran itu dilihat melalui jumlah ayunan sokongan pengundi kepada wakil DAP Wong Ho Leng kali ini, yang membolehkan beliau dipilih ke Dewan Rakyat.


DAP memasuki gelanggang Sibu dengan harapan untuk meraih sekitar 40 peratus undi sahaja bagi memperbaiki prestasi mereka pada Mac 2008, di mana BN menang dengan 3,235majoriti.

Keputuan kali ini bagaimanapun menujukkan DAP menang dengan kelebihan sebanyak 398 undi sahaja, namun ia menunjukkan BN kehilangan sokongan dengan begitu banyak, kata seorang pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak.

Menurut Dr Jeniri Amir, antara faktor utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah perubahan sikap pengundi kepada tindak-tanduk pemimpin BN, sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan pusat.

Penolakan ini, secara lantang, disuarakan masyarakat Cina terhadap SUPP, sebuah parti tertua sekali di Sarawak.

Dr Jeniri, seorang keturunan Iban negeri itu berpendapat, kekecewaan masyarakat ini lahir daripada janji-janji dan juga impian mereka yang tidak ditunaikan oleh pemimpin SUPP sebelum ini.

'Keluarga Lau tidak disukai'

"(Kemenangan DAP) juga kerana kekuatan calon Wong Ho Leng yang dilihat mampu menjadi suara yang lantang dan berani menentang Robert Lau Jr.

"Apatah lagi dia dan keluarga mendiang Robert Lau ini tidak disukai ramai di sini, khususnya oleh masyarakat Foo Chow. (Keadaan) ini berkait langsung dengan penguasaan ekonomi keluarga (Robert Lau) di sini," katanya.

Tambahnya masyarakat yang dikenali dengan sikap berdikari ini menunjukkan sikap yang negatif apabila disogok dengan bentuk-bentuk sumbangan yang mendadak ketika tempoh kempen pilihan raya.

Katanya lagi, golongan ini melihat bentuk bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh BN ini lebih daripada tindakan "ala bomba."

"Maksudnya seperti hendak memadamkan api semasa kebakaran sahaja tetapi tidak memberi kesan jangka panjang," katanya lagi.

Jelasnya, BN walaupun mempunyai kelebihan dari segi sumber kewangan bagi menjalankan jentera dan kempen pilihan raya, namun tidak berjaya mendalami perasaan pengundi Cina di Sibu.

"(BN) tidak lagi boleh teruskan dengan pendekatan ala bomba ini, sebaliknya perlu ambil pendekatan yang ikhlas dan memberi kesan jangka panjang kerana tindakan seperti ini tidak dapat menakluk pengundi Cina.

'Hina pengundi Cina'

"Pengundi Cina ini ada sikap berdikari yang tinggi. Pemberian projek-projek mi segera (seperti diumumkan oleh pemimpin BN) ini dianggap menghina mereka. Apatah lagi, apa saja projek yang diberikan itu, bagi mereka, sememangnya merupakan hak mereka," katanya lagi.

"Sekarang bukanlah soal sumber atau kelebihan wang yang banyak. Yang penting adalah untuk menjaga perasaan pengundi. Jangan biarkan perasaan mereka terluka, apatah lagi sekiranya luka itu sudah terlalu dalam dan berlarutan sejak sekian lama," katanya.

Jelasnya, DAP mampu menjadi alternatif kepada masyarakat di situ kerana tidak mempunyai kebergantungan dengan struktur pentadbiran di Sarawak.

"Mereka tidak perlu menjaga kepentingan pihak tertentu dalam kerajaan, sebab itu mereka boleh bersuara dengan lantang," katanya.

Tambahnya, beliau masih belum berpeluang untuk melihat pola sokongan masyarakat di pedalaman, khususnya daripada kaum Iban.

"Sekiranya benar (trend sokongan kepada pembangkang), ini memberikan satu lagi petanda kepada parti BN yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang," katanya lagi.

Tamparan kepada Taib

Tambahnya, penolakan terhadap calon BN juga merupakan satu tamparan kepada kepemimpinan ketua menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Jelasnya, kekecewaan masyarakat itu timbul daripada kegagalan kerajaan menangani isu tempatan seperti pengangguran dan masalah infrastruktur seperti banjir dan isu hak ke atas tanah adat Bumiputera (NCR).

"Ini merupakan kekecewaan arus bawah yang amat deras, yang perlu difahami betul-betul oleh BN, khususnya SUPP. Jika tidak nasib mereka sama dengan MCA dan Gerakan di semenanjung," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis beranggapan, undi protes daripada masyarakat Cina di Sibu merupakan mesej yang jelas terhadap pentadbiran Abdul Taib Mahmud.

'Muak dengan SUPP'

Professor James Chin daripada Universiti Monash berkata, ia merupakan antara tiga pengajaran utama yang boleh diambil daripada pilihan raya kecil Sibu.

“Pertama sekali, majoriti pengundi Cina menghantar mesej yang jelas kepada Taib supaya meletakkan jawatan. Saya rasa, Taib sudah terlalu lama memegang jawatan ketua menteri," katanya.

Taib menerajui Sarawak sejak tahun 1981, tahun yang sama menyaksikan Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya lagi, pengundi Cina juga telah muak dengan pemimpin-pemimpin SUPP.

"Sekiranya anda lihat, kebanyakan pemimpin SUPP berusia lebih daripada 60 tahun. Malah mendiang Robert Lau memegang kerusi Sibu selama empat penggal.

“SUPP gagal meraih sokongan daripada golongan muda masyarakat Cina dan mereka gagal menghasilkan pemimpin muda yang berkebolehan.

"SUPP kekal tidak berubah semenjak dulu dengan pemimpin-pemimpin lama. Saya rasa pengundi Sibu sedar bahawa mereka mahukan perubahan," katanya.

Sedia tinggalkan BN

Beliau juga beranggapan bahawa masyarakat Foochow itu sudah bersedia dengan komuniti lain di semenanjung untuk meninggalkan BN.

Pengundi Cina menunjukkan perubahan sokongan secara mendadak kepada pembangkang ketika pemilihan Mac 2008.

“Sekarang, ini menjadi satu realiti kepada masyarakat Cina Foochow di Sibu. Mereka (menerima) lebih kesedaran politik," katanya.

Chin juga berkata, keputusan pilihan raya kecil ini mungkin memaksa Abdul Taib untuk menunda tarikh pilihan raya negeri yang dijangka secara meluas akan berlangsung pada Julai tahun depan.

Taib sangkal keputusan ukuran situasi sebenar

“Mungkin tekaan saya salah kerana sukar untuk menjangka bilakah pilihan raya negeri akan diadakan. Tapi saya rasa, berikutan kekalahan di Sibu, Taib akan menyelaraskan pilihan raya negeri dengan pemilihan peringkat persekutuan.

“Saya tidak fikir ia akan diadakan dalam tempoh terdekat disebabkan keputusan semalam," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, berkata BN menerima kekalahannya itu dengan hati terbuka dan keputusan itu harus dihormati kerana ia adalah pilihan rakyat.

Taib, yang juga pengerusi BN negeri, berkata pilihan raya itu dijalankan dengan cukup adil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

innity_country = "MY"; innity_client = "17"; innity_zone = "761"; innity_channel = ""; innity_keyword = "";
Katanya, kekalahan itu tidak seharusnya menjadi kayu ukur kepada situasi sebenar tentang sokongan rakyat Sarawak kepada BN setakat ini.

Malaysiakini/-

Himpunan lebih besar bantah judi bola

4 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Dewan Pemuda PAS akan mengadakan himpunan lebih besar bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung sepanjang Jun ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, perhimpunan yang belum ditetapkan tarikh itu turut akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

"Kita akan bincang perkara tersebut dalam mesyuarat dewan harian pemuda PAS esok.

"InsyaAllah, selepas mesyuarat esok kita akan umumkan tarikh dan maklumat-maklumat lain," katanya.

Menurutnya, perhimpunan kali ini adalah terbuka kepada semua pihak dan dijangka mendapat kerjasama dari beberpa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Isu ini bukan isu agama Islam sahaja, judi ini mana-mana agama pun tidak membenarkannya kerana mengundang banyak keburukan dari kebaikan," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menggesa bukan sahaja orang Islam, malah bukan Islam juga untuk menyertai himpunan tersebut.

Himpunan tersebut bagi mendesak kerajaan menarik balik lesen yang telah dikeluarkan dan menghormati pandangan rakyat negara ini.

Jumaat lalu, lebih 500 menyertai himpunan aman di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan yang meluluskan lesen judi dan konsert 12 jam Pitbull.

Perhimpunan tersebut bagaimanapun diganggu pihak polis sehingga berlaku pergelutan dengan beberapa penyokong yang hadir sebelum diarah bersurai.

Harakahdaily/-

Undi Pos : Senjata makan tuan kepada BN

4 Jamadil Akhir 1431
http://kentong-suhaizan.blogspot.com

Sejak daripada pilihan raya Kecil Bagan Pinang team undi pos telah dibentuk oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran kepada rakyat & petugas, ruang-ruang manipulasi yang berlaku didalam undi pos. Maka kami bergerak daripada Bagan Pinang, Hulu Selangor dan terakhir di Sibu Serawak.

Bukan mudah mengendalikan undi pos. Ia terlalu teknikal untuk difahami. Memakan masa dan tenaga yang banyak.

Undang-undang undi pos terlalu banyak ruang manipulasi. Maka kami turun di Sibu dengan niat untuk mengurangkan risiko manipulasi yang ada pada undi pos sambil memberi kefahaman kepada ahli-ahli Pakatan Rakyat khususnya DAP.

Di Bagan Pinang Pemuda PAS terlibat, di Hulu Selangor team PKR Kuantan dan di Sibu tiba masanya DAP. Semua bangsa, agama dan komponen PR terlibat dalam team undi pos Sibu termasuk isteri calon Puan Irin.

Keputusan PRK Sibu adalah :

PR 18,845 undi
BN 18,447 undi
Bebas 232 undi

Mejoriti 398

Undi pos pula :

Undi pos yang dikeluarkan 2,827
Undi pos yang dikembalikan 2,637
BN telah memperolehi 2,323
PR telah memperolehi 70 undi
Bebas memperolehi 36 undi

BN telah menguasai 82.17% undi pos. PR hanya memperolehi 2.47%. Jika tampa undi pos(undi awam) PR akan menang 18,775 dan BN memperolehi 16,124 orang. Mejoriti PR tampa undi pos adalah 2,651. Tetapi dengan kewujudan undi pos PR menang tipis 398.


Sepanjang 6 hari bertugas dlm team undi pos kami berjaya :

1. Menolak 208 undi pos kerana sebab-sebab teknikal.
2. Mengekang 190 undi pos dari kalangan petugas SPR

Usaha ini membuahkan hasil penolakkan sebanyak 398.

Kejayaan manis team ini adalah DAP daripada PR berjaya dengan mejoriti yang sama iaitu 398. Ini bermaksud jika team undi pos berkeuzuran di Sibu mungkin keputusannya adalah seri 18,845 dengan mejoriti 0. Saya percaya mejoriti pelik seumpama ini akan berpihak kepada BN.

Saya berpendapat angka 398 buka suatu kebetulan. Ia adalah suatu petunjuk daripada Allah kepada masyarakat Malaysia betapa undi pos perlu diberi perhatian untuk di tolak dalam pilihanraya akan datang dan ditukar dengan sistem yang lebih telus.

Selama ini undi poslah yang menyelamatkan BN. Tetapi di Sibu talian hayat ini walaupun mendapat 82.17% undi pos menyokong BN tetapi kekangan team undi pos berjaya mengagalkan usaha mereka. Undi pos sudah menjadi senjata makan tuan kepada BN di Sibu.

Walaubagaimana pun saya tetap bertegas menang atau kalah PR, undi pos tetap mempunyai ruang yang luas untuk dimanipulasi. Undi pos mesti di ubah.

Itulah hadiah buat team undi POS. Tahniah kepada Sdr. Mohzaid, Jesopin, Irin, Hatta, Zaidi, rakan-rakan DAP dan ramai lagi. Tahniah kepada semua. Terima Kasih.

Harakahdaily/-

Jom ke konvensyen gerakan Islam dan persaingan demokrasi

4 Jamadil Akhir 1431 H

Tarikh: 22 mei 10 (Sabtu)
Tempat: Hotel Palma, Ampang
Masa: 8 pagi - 2 petang

Gerakan Islam di abad moden mempunyai sejarah yang rencam dan berliku dalam keberadaannya di tengah masyarakat Islam selepas menghadapi zaman gelap penjajahan.

Dalam konteks gerakan Islam kontemporari, Ikhwnul Muslimin (1928) sebagai pengasas gerakan Islam modentelah muncul untuk mencabar regim dalam tuntutan untuk mengembalikan khalifah Islam yang tumbang pada tahun 1924 dan pada tahun 1941, di benua Indo Pakistan pula muncul Jamiat Islami yang diasakan oleh Maulana Maududi.

Begitu juga di negara-negara umat Islam yang lain kesedaran untuk mengembalikan syariat Islam telah diusahakan oleh gerakan Islam namun menghadapai saingan sengit daripada gerakan berideologi lain seperti gerkan sosialis yang kadang kala dibuat penyesuaian setempat seperti Baath di rantau sebelah Arab atau Marhaenisme di rantau alam Melayu.

Gerakan Islam di pelbagai negara telah memainkan peranan politik dan dakwah yang berkesan terutama dalam era perjuangan menghadapi tekanan dan ujian yang dahsyat seperti yang berlaku di rantau arab, Pakistan, Indonesia, Tanah melayu.

Gerakan Islam telah menghadapi fitnah dan pembantaian yang cukup tragis dengan penangkapan dan pembunuhan yang berlaku di Mesir, Algeria, Indonesia, Malaysia dan syiria.

Kebangkitan Islam itu suatu fenomena kesedaran untuk kembali kepada penghayatan Islam sebagai satu cara hidup serta ditandai dengan bersemaraknya institusi-institusi Islam, kesedaran beragama, protes terhadap sistem sekular pragmatis, kerancakan penerbitan bahan-bahan bacaan Islam dan ia juga menjadi fenomena anak muda kelas menengah di negara Dunia ketiga serta gelombangnya bersifat sejagat.

Bermula pada dekad 1970-an, mengalami penyuburan pada dekad 1980-an dan 1990-an dan pelbagai peristiwa dan kejutan dalam masyarakat dunia terutama hegemoni Barat.

Di seluruh dunia Islam, kebangkitan Islam adalah protes dan fenomena yang memberi impak kepada parti-parti politik dan dasar kerajaan yang memerintah, yang terpaksa akur dengan tututan masyarakat atau pun mengimbangi dengan program penerapan Islam yang berlaku di Arab dan Malaysia sendiri.

Gerakan Islam secara langsung adalah pihak yang paling mendapat keuntungan dengan fenomena ini apabila semakin ramai orang Islam terutama daripada golongan yang muda yang terdedah dengan maklumat dan Ilmu berkaitan dengan Islam.

Kesedaran Islam yang bersifat sejagat juga menyebabkan mereka mulai kritis terhadap dasar dan perjuangan parti pemerintah yang tidak mesra Syariah dan berpegang dengan ideologi yang asing dengan Islam

Acara padat,menarik,menguja akal dan intelektual-bermula pendaftaran,tayangan audio visual, perasmian oleh Ust Nasrudin Tantawi, kata aluan YB Iskandar Samad, Pembentang kertas kerja-Dr Zuhdi Marzuki, Prof Dr Redhuan Othman, Pak Nabil daripada PKS. Juga forum QA, dikendalikan oleh Ustaz Riduan M.Noor.

**Makanan, hotel, fail, buku, kertas kerja, ruang selesa berwacana disediakan. Yuran 20 rm sahaja..Anjuran bersama Pejabat ADUN Cempaka, Lujnah Dakwah DPPP, GAMIS.Sila daftar segera, tempat terhad.

Harakahdaily

SELAMAT HARI GURU: Sekali menjadi guru, selamanya kita Guru

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Riduan Mohamad Nor

“Selamat Hari Guru….jasamu tetap dikenang seumur hidup”.” Selamat menyambut hari guru, terimakasih kerana pernah menabur ilmu untuk kami”.

Inilah puluhan mesej yang saya terima hari ini dan mungkin ratusan untuk minggu ini, sempena Hari Guru, 16 Mei. Malangnya, tanpa hadiah kecil dan kuntuman bunga segar diatas meja.

Ada rasa hiba yang menerkam ruang sempit dada, malah mesej ringkas yang diterima menyeruak kembali pengalaman menjadi pendidik selama belasan tahun di Lembah Kelang ini.

Sayangnya ramai bekas anak-anak murid saya tidak tahu saya telah melepaskan jawatan secara rasmi sebagai guru, namun sekali kita menjadi guru, seumur hidup kita adalah guru.

Saya melepaskan jawatan untuk memberikan lebih perhatian kepada kerja amal Islami yang telah saya telusuri hampir dua dekad ini.

Hasan al Banna, Sheikh Ahmad Yasin, Said Ramadhan, Pak Natsir, HAMKA, Khalid Mas’al, Saed Siyyam, Said Hawwa, Dr Zulkifli Muhammad, Dr Burhanuddin , Ustaz Fadhil Noor dan ribuan yang lain aktivis Islam ialah para guru yang mendidik dan membina manusia. Mereka semua melepaskan jawatan demi dakwah dan perjuangan Islam.

“Saya akan terus mendidik selagi mana ada nafas, tetapi untuk masyarakat umum, pelbagai lapisan, jika rindu pada sekolah, masuk ke sekolah untuk program motivasi” janji saya pada kak Aminah sebelum melangkah girang, keluar daripada pagar sekolah.

Melepaskan seribu bebanan tugas rutin yang menambat potensi diri untuk mara sebagai aktivis. Menghela nafas merdeka dengan segudang pengalaman sebagai pendidik muda sekaligus aktivis dakwah.

Kepada teman-teman pendidik yang masih akrab dengan buku rekod, papan putih, kursus dalaman , folio pelajar, teruskan jihad kalian untuk memberikan pencerahan kepada generasi muda kerana ditangan mereka terletak masa depan Islam yang gemilang.

Saya diserbu kenangan yang menggamit perasaan yang bercampur , malah dihempap dengan segunung rasa bersalah apabila mengenangkan kembali masa silam terutama tahun-tahun awal sebagai pendidik.

Ya, seorang anak muda yang sarat dengan idealisme, yang melihat dunia dengan dikotomi hitam putih, iman dan kufur, Islam dan jahiliah.

1998: Goh : Remaja Hilang Bentuk, Melakar Masa Depan Niaga

“ Kamu ikut saya ke surau!” jerkah saya pada seorang pelajar Cina yang bernama Goh, mata saya melotot merah saga. “ kamu degil, kepala batu, ini semua sebab gemar makan bab……” hina saya pada Goh, tanpa berbasa basi.

Sebelum itu Goh dikurung dibawah meja saya didalam bilik guru lelaki. "Lokap ustaz Wan” gelar guru lelaki, tidak ada yang membantah dengan jeriji kecil impian saya di VI itu.

Sekolah yang juga bekas markas Jepun itu sangat sinonim dengan tradisi penderaan dan pemerkosaan hak.

Goh ketakutan seperti anak anjing yang tersimbah air longkang. Sinar matanya mendatar, egonya diluluhlantak dengan jerkahan keras saya, diringi hayunan kaki dan tangan.

Saya pula kepuasan seperti baru membentes kaki pesaing dalam acara tomoi sedunia dan melepaskan siku kencang ke muka pesaing. Pesaing pula berkubang darah, menggeletak kesakitan.

Dia, remaja yang polos, suka bercakap lepas , selekeh ala bohemian, tajam kata-kata pada sang guru. “dia belum kenal aku” raung saya dalam hati menyombong, anak Besut yang sesat di Kuala Lumpur, Bandar metpolis yang angkuh ini. Sebelum dikurung , Goh dibelasah ‘lembik’ seperti kain buruk, semua guru diam, tidak membantah dan tidak juga menyokong.

Goh terkenal sebagai ‘taiko’ muda di sekolah dengan jaringan yang meluas didalam dan luar sekolah .Goh gambaran tipikal remaja Lembah Kelang yang teruja dengan gaya hidup samseng Hong Kong yang disensasikan dilayar perak, generasi ‘young and furious’, dadah, bertetak, menebar pesona untuk mengangkangi gadis-gadis genit yang menyihir mata.

“Kamu tengok saya sembahyang, mengapa kamu tidak minat kepada Islam , Islam agama yang baik untuk kamu” ujar saya pada Goh dengan muka yang cemberut.

Goh hidup tanpa tuhan, anak remaja ini merayakan kehidupannya , seranggi mungkin, bebas bagai kelkatu mengintai kerdipan neon malam yang mempersona.

Goh menapak longlai ke Surau, dihujung bangunan sekolah berwajah kolonial, lusuh tapi elegan. Surau itu sebenarnya ‘pot’ saya, tempat melepas lelah setelah penat dengan aktiviti politik diluar sekolah, berlanglang buana ke seluruh negara untuk meruntuhkan hegemoni daulah.

Dengan dua bilik yang selesa untuk mengambil tenaga yang terkuras.Saya menyimpan rapi kuncinya, dengan sejadah lusuh sebagai bantal yang paling mendamaikan mimpi –mimpi rusuh aktivis politik oposisi.

Saya dan pelajar muslim solat zuhor berjemaah. Rutin kami jika saya tidak berkuliah zuhor di Lembah Kelang. Goh seperti taukeh getah kalah judi duduk terperuk dihujung pintu surau.
Terjelepuk sambil membilang jari, matanya terus meliar ke arah kami yang berzikir sebelum berdoa. Mata saya tidak terlepas memandang Goh, sesekali dia menguap kemalasan. Hati saya jengkel bercampur kasihan.

“ Ustaz, nanti besar saya mahu masuk Islam, boleh ke?” kata Goh bergetar. Saya merenung jauh kedalam mata sepet goh, seperti angin berlalu, saya tidak melihat ada kesungguhan melainkan untuk mencairkan hati saya, menjinakkan bongkah kemarahan.

“Boleh, nanti kamu belajar dengan kawan-kawan Melayu tentang Islam” jawab saya malas. Goh berkawan rapat dengan budak-budak Melayu, pengaruhnya besar terhadap pelajar menengah rendah.

Beliau pandai memposisikan diri sebagai kesatria barisan hadapan, jika ada acara kecoh bertumbuk maka dialah paling kehadapan.” Dah , pergi balik” herdik saya pada Goh, tergesa-gesa Goh menghilangkan diri, seperti keretapi ekspres malam.

Dia menciut dibelakang pelajar muslim lain. Pelajaran moral hari itu ialah jangan permainkan guru, Goh mendapat pengajaran yang membekas tajam, mungkin untuk seumur hidup. Itu pun , jika beliau tidak pernah diinterogasi pihak polis atas kesalahan jenayah berat.

“Mengapa ustaz mengamuk tadi, Goh buat apa?, memang budak tu selalu cari pasal” tanya Cikgu Zuraidi , anak muda kelahiran negeri ‘cik siti wan kembang’ itu menjaring soalan, menebak punca kekecohan di sekolah hari itu.

Dia guru penyokong tegar reformasi, setia di jalanan di hujung minggu. Sudah kalih dihambat aparat keamanan bertopi merah di Jalan Tunku Abdul rahman.

“Tak, budak itu , mengembek macam kambing kat hujung kelas,nak perli janggut ana la tu, kurang ajar sekali” jawab saya malas.

Bersusun kesalahan Goh sebenarnya jika nak disenaraikan, dia pesalah konsisten undang-undang sekolah.

Mempunyai bakat terpendam dalam menyusun makar paling sarkastik, terbit dari sisi gelap otaknya yang sentiasa merancang. Nanar sekali demi mencuri perhatian warga sekolah.

GOH menjelma kembali
Beberapa tahun selepas menamatkan alam persekolahan, Goh datang menziarahi saya kembali, penampilannya jauh berbeda. Dengan kereta bergengsi dan pakaian yang rapi , anak muda ini berjaya dalam perniagaannya yang pelbagai.

Perkataan yang keluar daripada mulutnya disusun rapi, santun dan bervisi. Goh sentiasa bertanyakan khabar saya pada guru yang lain, jika melawat sekolah.

Saya terharu, rasa tertampar dengan sikap ego dan mazmumah yang menggebu terhadap Goh.Saya gagal sebagai guru muslim untuk seorang pelajar Cina yang luarbiasa nakalnya. Kepongahan tidak membantu dalam berdakwah dan menarik manusia.

Pelajaran moral yang pertama ialah, jangan memandang rendah pelajar kita, apa pun kesalahn dan latar sosial mereka, semua manusia ada potensi untuk berubah dan berjaya dalam hidup.

Hari ini setelah berbelas tahun , saya sangat merindui sosok remaja seperti Goh. Beliau mengajar saya erti guru yang penyabar dan mendepangkan dada serta telinga untuk mendengar.

Kalaulah Goh hari ini menjadi salah seorang anak murid saya di kelas PERKIM setiap Ahad, saya akan tekun mendidiknya untuk menjadi kader dakwah, sayang kerana saya melepaskan peluang itu belasan tahun yang lalu.

Tololnya saya pada masa itu, tanpa hikmah dunia ini kehilangan sinarnya yang indah meranum.

“Selamat Hari Guru” kepada semua pendidik, saya merindui dunia keguruan, merindui barisan anak murid yang tenang ingin menyerap ilmu. Kalaulah masa boleh diundur, saya tidak akan berdiri sebagai guru yang pongah dan melulu.

*Penulis adalah Exco Dewan Pemuda Pas Pusat, Pendakwah dan Perunding Motivasi.

Harakahdaily/-

Sibu: Isyarat jelas rakyat tolak Umno BN

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 17 Mei: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyifatkan calon Pakatan Rakyat yang menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu semalam sebagai isyarat jelas rakyat telah menolak Umno dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kempen Umno dan BN sebelum ini yang memburukkan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, namun dengan jelas membuktikan rakyat telah menolak perjuangan mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan IT Tayyibah di Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.

Katanya, Umno hanya memperjuangkan ketuanan Melayu sebagai wadah penting dalam perjuangan umat namun tidak berjaya mengumpulkan mereka.

“Kempen sebut 1Malaysia, tetapi pada masa yang sama menyebut ketuanan Melayu, usahkan orang Cina, orang Umno sendiripun tak faham bagaimana boleh berlaku dalam satu masa perkara yang berbeza.

Sedangkan, menurutnya Islam mengajar umatnya supaya mencari satu kefahaman yang sama, iaitu menuju ke syurga dan bukannya 1Malaysia.

Tuan Guru juga turut mengucapkan syukur kepada Allah kerana kemenangan PAS di Kelantan telah menyebabkan golongan bukan Islam di negara ini tidak percaya lagi kepada kerajaan Umno dan BN.

Menurutnya, kempen memburukkan Umno terhadap PAS dan Pakatan Rakyat berhubung kerajaan Islam, nampaknya tidak berhasil apabila pengundi di Sibu sudah kenal perjuangan parti itu.

“Saya tahu, Umno dan BN telah memperbesar-besarkan Negara Islam yang akan dilaksanakan PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya di Sibu baru-baru ini.

“Kempen yang mengharapkan pengundi bukan Islam takut pada perjuangan PAS nampaknya tidak berhasil dan rakyat telah menolak calon mereka dalam pilihan raya itu semalam,” ujarnya lagi.

Tambah Tuan Guru lagi, kejayaan PAS di Kelantan mentadbir negeri itu sejak 20 tahun lalu, nampaknya benar-benar telah menjadi model yang paling baik untuk masyarakat luar khususnya golongan bukan Islam untuk menerima dasar parti itu.

Tambahnya, golongan bukan Islam sebenarnya telah lama faham Islam bukan sesuatu perkara yang buruk sebagaimana yang digambarkan mereka sebelum ini seperti ganas, ekstrem, tiada kemajuan dan berbagai lagi.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut mengucapkan tahniah kepada semua jentera parti dalam Pakatan Rakyat di seluruh negara kerana telah bekerja keras bagi menangkis dakwaan tidak bermoral pihak lawan.

Dalam pilihan raya kecil semalam, calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mengutip 232 undi.

Harakahdaily/-

Tsunami pengundi Cina

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Syed Imran

Bagilah apa saja, mereka terima. Berpuluh malah beratus juta ringgit diturunkan atas nama bantuan dan pembangunan serta dalam semangat 1 Malaysia. Semua orang tentu menerimanya dan yakinlah pucuk pimpinan bahawa mereka akan sokong (undi) parti pemerintah.

Pengundi Cina di Hulu Selangor dapat lebih daripada durian runtuh, malah pokok durian tumbang di kampung-kampung baru dan penempatan majoriti Cina. Tetapi majoriti pengundi Cina tidak mengundi parti pemerintah walaupun calonnya menang.

Pengundi Cina di Hulu Selangor mengundi calon Melayu yang diletakkan oleh parti gabungan yang disebut sebagai pembangkang di Dewan Rakyat tetapi pemerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Jelas sekali pengundi Cina tidak mengundi mengikut kaum. Mereka mengundi siapa sahaja yang bukan mewakili parti pemerintah, iaitu Barisan Nasional.

Berkat daripada pilihan raya kecil di Hulu Selangor, masyarakat Cina tiba-tiba merasai yang mereka dihargai. Perkampungan dan penempatan mereka dikunjungi pemimpin-pemimpin besar negara dan negeri, yang mewakili kerajaan BN di peringkat persekutuan dan kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat negeri.

Minta apa saja, mereka dapat. Inilah untungnya jika ada pilihan raya kecil. Tetapi, apabila mengundi, itu hak mereka, itu kuasa yang ada di tangan mereka. Ia tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan kepada parti memerintah (BN).

Pengajaran di Hulu Selangor nampaknya tidak dijadikan teladan oleh pihak BN apabila menghadapi pilihan raya kecil untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Rakyat di Sibu, Sarawak.

Sekali lagi berduyun-duyun pemimpin BN peringkat persekutuan dan negeri di Semenanjung turun ke Sibu dan seperti biasa, banyak peruntukan dan bantuan diturunkan ke sana yang dikatakan beratus juta ringgit.

Stesen-stesen penyiaran milik kerajaan dan yang dikawal oleh gergasi media mesra pemerintah, tidak habis-habis menyiarkan berita berkaitan Sibu. Tidak kurang hebat juga liputan media cetak mesra pemerinrtah. Tiba-tiba Sibu menjadi begitu hebat. Ada saja berita yang nak disalur dan disampaikan kepada rakyat tentang sokongan rakyat Sibu kepada BN.

TV3 sekali lagi mengundang calon BN untuk diwawancara (satu bentuk kempen) dalam rancangan Soal Jawab. Hebat sungguh Sibu, sebuah kawasan atau daerah undi yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan dikatakan sebagai kubu kuat BN.

Kepimpinan BN cukup yakin rakyat di Sibu akan menyokong parti mereka. Kenapa tidak, apa saja yang diminta ditunaikan seolah-olah kerajaan persekutuan menyediakan cek kosong untuk membelanjakan wang rakyat untuk rakyat dalam semangat 1 Malaysia!

Yang jelas, majoriti pengundi Cina di Sibu tidak menyokong BN. Mereka memilih DAP yang mewakili Pakatan Rakyat.

Pengajaran yang diberi oleh pengundi Cina di Hulu Selangor masih kabur dan tidak jelas di kalangan pemimpin-pemimkpin BN seperti Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin apabila mereka berdepan dengan pilihan raya kecil di Sibu.

Pengundi masih di gula-gulakan dengan bantuan-bantuan segera untuk sekolah-sekolah Cina dan projek-projek pembangunan yang sebelum ini tidakpun mendapat perhatian. Itulah yang dapat dirumuskan.

Pemimpin BN tidak sedar akan tsunami pengundi Cina yang bermula pada pilihan raya umum lalu dan diulangi di Hulu Selangor.

Pemimpin BN terutama UMNO masih tidak sedar yang rakan mereka iaitu MCA, Gerakan, SUPP dan LDP tidak mampu mendapatkan sokongan orang Cina manakala MIC gagal memikat pengundi keturunan India.

Pengundi Melayu pula berpecah tiga, ada yang menyokong UMNO, ada yang menyokong PAS dan ada yang menyokong Parti KeAdilan Rakyat.

Untuk memenangi pilihan raya, parti-parti politik memerlukan sokongan semua kaum, bukan satu kaum. Untuk itu, mereka mesti bersikap adil dan saksama kepada semua kaum. Politik perkauman sudah basi.

Sekirahnya BN masih leka akan kedudukan politik semasa dan kehebatan ledakan teknologi maklumat yang melahirkan media baru, maka BN seharusnya bersedia untuk menghadapi nasib malang yang menimpa LDP di Jepun yang seusia dengan UMNO.
Pisau dan mentimun ada di tangan pemimpin BN.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Keangkuhan, kesombongan BN dibalas di Sibu

4 Jamadil Akhir 1431 H
http://misabah.blogspot.com

PRK Hulu Selangor Umno BN gunakan segala keangkuhan, kesombongan dan ketakabburannya bagi menolak sokongan rakyat kepada PR.

Dalam kempen-kempen BN di Hulu Selangor, mereka mengelabui rakyat kononnya PR di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan juga Perak tidak melakukan apa-apa untuk rakyat.

2o tahun PAS perintah Kelantan, selama itulah kerajaan PAS Kelantan dinapikan oleh BN pusat, seolah-olah 20 tahun perintah Kelantan tidak ada apa-apa yang dibuat oleh Kerajaan Kelantan.

Rakyat Kelantan tidak tertipu, mereka hanya mahu menipu rakyat di tempat lain. 2 tahun PR memerintah 3 negeri juga dinapikan oleh Umno BN. Sama jugalah di Perak, 11 bulan PR memerintah Perak, banyak perubahan yang telah PR buat, tetapi semuanya dinapikan oleh Umno BN.

BN mendabik dada dengan sombong dan angkuh kononnya hanya UMNO BN sahajalah yang boleh membangun dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Kenyataan sombong ini dengan jelas menolak adanya kuasa yang maha besar iaitulah ketentuan Allah swt.

Sombong, angkuh, dan takabburnya mereka di Hulu Selangor dan sebelumnya di Bagan Pinang dibalas oleh rakyat Sibu.

Rakyat Sibu menolak propaganda murahan Umno BN, menolak amalan rasuah Najib, menolak politik sempit BN, menolak sentimen perkauman, menolak tawaran-tawaran berjuta ringgit semata-mata mahu memancing undi, menolak kepimpinan Taib Mahmud, menolak 1 Malaysia.

Pendek kata semua propaganda dan kempen jahat mereka yang bernilai ratusan juta ringgit ditolak oleh kecerdikan dan keterbukaan rakyat Sibu.

PAS yang tidak ada satu cawangan pun di Sibu, tidak ada pimpinan PAS di Sibu, ahlinya pula cuma belasan orang sahaja, apatah lagi program PAS tidak pernah dianjurkan di Sibu, tetapi pendekatan PAS dalam kempen-kempen di Sibu ternyata lebih disenangi oleh penduduk tempatan berbanding dengan Umno yang turut membantu calon BN.

Ini merupakan petanda baik PAS boleh bertapak di Sibu dan menjadi saingan kepada parti yang dipimpin oleh Taib Mahmud.

Rakyat di negeri lain terutamanya negeri-negeri yang masih diperintah oleh BN di Semenanjung wajar belajar berpolitik dengan rakyat Sibu.

Rakyat Sibu lebih terbuka dan cerdik pemikiranya. Berpuluh menteri kabinet berkampung di Sibu, berulang aliknya PM dan TPM ke Sibu menjanjikan program dan melaburkan projek ratusan juta untuk rakyat Sibu, namun ditolak mentah-mentah oleh rakyat Sibu.

Majoriti 398 walaupun kecil angkanya, tetapi besar artinya kepada perubahan yang lebih besar pada pilihanraya akan datang. Ia juga satu isyarat kepada BN untuk membuat persiapan dan bekalan menuju hari kehanjuran.

PR jangan pula sombong dan angkuh dengan kemenangan ini. Jadikan ia satu perangsang ke arah pengukuhan ikatan sesama PR, juga pengukuhan ikatan hati ke atas rakyat, rakyat sentiasa didekati, diambil tahu kesusahannya, dihiburkan hatinya, diperjuangkan nasibnya dan dihargai nilai harga dirinya, Insya Allah PR akan sentiasa di hati rakyat.

Kemenangan Sibu adalah penebus kekalahan di Bagan Pinang dan Hulu Selangor dan perangsang kemenangan besar PRU akan datang.

Ustaz Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Datuk Seri Nizar.

Harakahdaiy/-