18 May 2010

Sibu: Politik baru terus diperkasa

4 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Dr Dzulkefly Ahmad

Ini adalah komentar ringkas saya tentang keputusan PRK Sibu.
Bagi saya samada pimpinan Umno/BN terima atau tidak kekalahan ini adalah tidak penting. Samada mereka mahu menunaikan pelbagai janji yang telah pun mereka tabur kepada pengundi di Sibu adalah urusan mereka.

Bagi saya yang penting adalah hakikat ‘Politik Baru’ kian terserlah. Saya tidak hanya mengatakan ini setelah kemenangan YB Wong Ho Leng yang mewakili DAP/Pakatan di Sibu. Saya tetap menyebutkan fenomena ini setelah kekalahan tipis Pakatan di Hulu Selangor. Ia tidak bersabit samada Pakatan memang atau kalah.

Antara ciri utama Politik Baru ialah rakyat dan pengundi tidak lagi mampu digula-gulakan oleh pihak yang berkuasa. Pengundi bertindak dengan maklmat. Media baru memerdekakan mereka. Pemberian saat saat akhir meskipun berjumlah jutaan ringgit tidak akan dinilai oleh rakyat/pengundi. Mungkin mereka mengambil segala pemberian tetapi mereka tidak jamin akan memberi undi kepada si pemberi kalau pun mereka itu Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Ini jelas telah disaksikan di Hulu Selangor meskipun tidak merata kepada semua kaum etnik. Kaum Cina lebih tegas dari orang Melayu atau India disegi ini. Kelompok pengundi bandar atau pinggir bandar atau lebih tepat lagi yang memilikki maklumat dan informasi, lebih tegas pendirian mereka tentang hal ini.

Mereka menolak cubaan ’merasuah’ mereka di saat-saat akhir. Mendapat 48% undi bukan satu perkara mudah apatah lagi berdepan dengan sogokan lebih RM 100 juta. RM 3 juta SRJK (C) di Rasa Hulu Selangor dan RM 5jta di Rejang Park di Sibu akan terpahat sebagai tanda aras kekebalan pengundi dalam Politik Baru.

PRK Sibu sekali lagi menunjukkan fenomena kesedaran yang sama. Peningkatan undi kepada calon Pakatan bukan sahaja disaksikan di kalangan pengundi Cina, bahkan di kalangan Melayu-Melanau, walaupun sedikit. Saya berkempen 4 hari di Sibu merentasi semua kaum etnik dan mendapati yang di rumah panjang sekalipun sudah faham siapa yang berkhidmat dan siapa yang hanya beri benda dan wang ringgit pada waktu berkempen sahaja. Umno/BN gagal membawa kembali rakyat/pengundi di negara ini kepada garis dan amalan Politik Lama tajaan mereka.

Ciri kedua paling menggembirakan saya, mereka juga sudah mula mengerti akan nilai-nilai keadilan dan kesaksaman. Mereka celik dengan gelagat pimpinan yang membolot kekayaan negeri. Mereka juga tidak mudah ditakut-takutkan dengan ugutan dan ancaman.

Menakutkan pengundi Cina dengan negara Islam juga tidak semudah itu ditelan mereka. Bogey atau hantu itu tidak lagi mereka terima seperti zaman silam. PAS wajar memahami bagaimana untuk terus meruntuhkan tembok prajudis terhadap Islam dan parti Islam itu. Perjuangan Menegakan Keadilan Untuk Semua sebagai matlamat Syariat adalah konsisten dengan dasar Pakatan. Momokan ‘Satu Undi DAP adalah Satu Undi Untuk Negara Islam’ terkubur di Sibu!

Kini rakyat tahu bahawa masalah utama mereka tidak kian selesai sebab pemimpin tidak peduli dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah mereka. Kalau di Sibu jelasnya ialah masalah banjir, tanah, kemiskinan dan pekerjaan untuk golongan remaja.

Mereka telah sedar bahawa negeri mereka kaya tetapi mereka tetap miskin sementara pemimpin membolot kekayaan. Apabila Politik Baru sudah terbudaya dan capaian maklumat telah mula menular, tidak ada cara lagi gelagat buruk pemimpin mampu diselindungi dengan akta atau undang-undang.

Di Sibu amat mudah Pakatan dan DAP berkempen. Satu undi untuk SUPP adalah satu undi untuk TAIB. Bukan sahaja orang Cina suka dan faham slogan DAP ini, ia juga difahami oleh kelompok Melayu-Melanau yang sedang mengalami ’pencerahan’ akibat dari terdedah kepada maklumat dan Media Baru. Melayu-Melanau mengalami sedikit peningkatan undi. Malangya Iban masih ditakok lama.

Apabila DAP dan Pakatan menang di Sibu, meskipun tipis yakni 398 undi sahaja, ia tetap merupakan isyarat bahawa PRU ke-13 akan bakal menyaksikan pertandingan paling sengit dalam sejarah politik pilihanraya. Kita akan saksikan ’prelude’ atau muqaddimahnya dalam pilihnaraya Dewan Undangan Negeri Sarawak. Ingat bahawa Sabah dan Sarawak adalah ’fixed deposit’ BN yang sukar ditembusi dahulu.

Tegasnya, kejayaan calon DAP/Pakatan sekaligus menunjukkan bahawa pola dan landskap Politik Baru tidak pudar dengan kekalahan di Bagan Pinang dan Hulu Selangor.

Sebaliknya, Hulu Selangor dan Sibu membuktikan bahawa pola sistem 2-parti dan Koalisi semakin diperkasa yang sekaligus juga memperkasakan rakyat selaku pemilik utama kuasa di negara ini. Pimpinan BN masih belum faham fenomena Politik Baru ini dan masih dalam penafian untuk menerima realiti ’sistem 2-parti-koalisi’ sejak Mac 2008.

Mereka boleh menyalahkan pelbagai pihak termasuk calon dan jentera serta slogan yang tidak kreatif semacamana yang Najib kata dan lakukan post-mortem kekalahan mereka sehingga ke peringkat mikro. SUPP mendakwa mereka tak tahu mengapa pengundi tolak mereka. Malang. Mungkin Ketua Menterinya pun tak tahu kenapa BN kalah.

Tetapi andainya mereka masih tidak mahu faham tentang fenomena Politik Baru dalam era ’Pencerahan’ ini, maka mereka bakal diturunkan oleh rakyat dalam PRU ke-13 akan datang dan bakal menjadi pembangkang di Parlimen Malaysia.

Pakatan pula jangan selesa kerana jelasnya mereka juga tidak kebal dari ciri-ciri kebobrokan dan kebejatan Politik Lama, peninggalan debu-debu Umno dan pelbagai penyimpangan dari tuntutan ’Fitrah’ yang bersih serta integriti yang tinggi.

Apakah benar Politik Baru akan terus diperkasa?

Harakahdaily/-

Sidang media hari ini..

Assalamualaikum / Salam Sejahtera.

Satu sidang Media akan diadakan pada hari ini seperti berikut :-

Tarikh/Hari : 18 Mei 2010 / Selasa

Jam : 6.00 petang

Tempat : Hotel Hillcity, Ipoh.

Kenyaatan oleh :- 1. Ust. Abu Bakar Hussain- Pesuruhjaya PAS Perak
2. YB. Dato' Seri Muhamaad Nizar jamaluddin - TPJ PAS Perak
3. dr. Khairuddin b. Dato' abdul Malik - TPJ PAS Perak.

Adapun sidang media yang diadakan itu ada kaitan dengan satu pertemua yang dilakukan oleh PAS Perak dengan Persatuan Gereja sekitar Ipoh sebelum dari itu ditempat yang sama. Selain itu berbagai Isu semasa termasuk Piliharaya Kecil Sibu akan diulas oleh Pimpinan PAS yang hadir.

Dengan ini saya menjemput semua rakan media dan rakan blogger untuk hadir dalam sidang media tersebut.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
KETUA PENERANGAN
PAS PERAK.

1Malaysia tidak boleh selesai masalah manusia

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 16 Mei: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hanya fahaman Islam sahaja yang diiktiraf oleh Allah SWT dan bukannya fahaman-fahaman lain termasuk ‘1Malaysia’.

Katanya, fahaman ‘1Malaysia’ tidak boleh dibawa ke akhirat serta tidak boleh menyelesaikan permasalahan manusia.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian ‘mengetam’ padi di Taman Organik, sawah padi Tunjung, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi, serta kakitangan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut Tuan Guru lagi, hanya aqidah Islam yang diiktiraf oleh Allah serta mampu menyelesaikan urusan hidup sama ada politik, ekonomi, bidang pertanian dan sebagainya.

“Kita seharusnya menggunakan kaedah Islam yang dibawa oleh Rasulullah dalam dalam semua urusan hidup termasuk mentadbir negara dan bukannya hanya 1Malaysia,”ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau mengucapkan tahniah pada pengusaha tanaman padi cara organik di bendang padi Tunjung hingga ianya berjaya dikenali sebagai tempat pelancongan ilmiah.

“Saya dapat tahu kawasan tanaman ini telah dikunjungi ramai pihak termasuk pelajar universiti untuk membuat kajian, tahniah,”ujarnya.

Sambungnya, pihak perancang penanaman padi di sini telah menggunakan akal fikirannya untuk memajukan negeri ini dengan pertanian.

“Kita tidak seharusnya bergantung pada pihak luar khususnya barat yang hanya mencipta sesuatu perkara untuk memusnahkan alam bukan sahaja pemikiran manusia,”ujarnya lagi.

Tuan Guru memberitahu, biarpun mengetam padi hanya secara simbolik dilakukan olehnya, namun beliau begitu seronok kerana ianya telah mengembalikan zaman kegemilangan masyarakat kampung yang segar menuai hasil tanaman padi masing-masing.

Harakahdaily/-

Kelantan bakal laksana 90 hari cuti bersalin

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 16 Mei: Selepas Selangor, Kelantan bakal memberikan cuti 90 hari kepada ibu bersalin khususnya kakitangan kerajaan negeri bagi memberi peluang mereka berehat sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, Wan Ubaidah Omar, berkata bagaimanapun cadangan itu akan dibawa ke mesyurat exco terlebih dahulu.

Beliau berkata demikikan ketika ditemui selepas merasmikan majlis 90 Hari Untuk Ibu anjuran Kesatuan Kebajikan pekerja-Pekerja Bank Semenanjung Malaysia (NUBE).

Program ini turut mendapat kerjasama Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

NUBE antara lain sedang berusaha mengumpul 1 juta tandatangan untuk menyokong usaha cuti 90 hari dilaksanakan di peringkat persekutuan.

"Kerajaan negeri menyokong usaha ngo ini khususnya bagi mendapatkan tandatangan 1 juta rakyat di negara ini untuk dihantar pada Perdana Menteri bagi membolehkan ianya dilaksanakan di negara ini,"ujar Ubaidah lagi.

Kelantan sebelum ini menjadi negeri perintis memperkenalkan cuti bersalin 60 hari yang kemudiannya turut dipakai di peringkat pusat.

"Mungkin kita agak terkebelakang dari soal ini, sebab Kelantan telah menjadi perintis pada cuti bersalin 60 hari yang bertama di negara ini," katanya.

Sambungnya, jika ianya dilaksanakan di negeri ini, kakitangan awam khususnya di bahagian sokongan akan mendapat manfaatnya, memandangkan 90 peratus tenaganya terdiri dari kaum wanita.

Turut berucap pada majlis itu Naib Presiden NUBE Malaysia, Daufkafli Nor Ghazali, Pengerusi Persatuan NUBE Kelantan, Azhar Yusof, Dr Rosnani Mohammad dan Penolong Kanan Sek Men Agama (A) Amir Inderaputera, Ustaz Nasir Mohammad.

Harakahdaily/-

DAP rampas kembali Sibu, bayangan benci Taib

3 Jamadil Akhir 1431 H

SIBU, 16 Mei: Calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Wong Ho Leng berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Sibu menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil kawasan parlimen ini, hari ini. Beliau yang juga Adun Bukit Assek mendapat 18,845 undi, calon BN memperolehi 18,447 undi. Manakala calon Bebas, Narawi Haron sekadar mengutip 232 undi dan hilang deposit.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.

Seramai 37,919 atau 69.33 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian.

Bilangan itu meningkat jika dibandingkan dengan 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan yang merupakan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

Mengulas keputusan itu, Jeniri Amir, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu membayangkan kebencian kepada Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, rakyat muak dengan dengan Taib yang melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa di negeri ini.

Jeniri memberikan contoh ketiadaan poster atau gambar Taib yang dinaikkan di Bandar Sibu.

Tsunami politik Cina bermula di Sarawak dalam pilihan raya negeri 2006 apabila enam calon DAP menang di Kucing.

“Kini ia sudah melarat ke Sibu dan saya yakin lepas ini akan merebak ke Miri dan seterusnya seluruh Sarawak,” kata seorang penganalisis politik dalam analisis pilihan raya kecil Parlimen Sibu di Astro Awani.

Harakahdaily/-

Pemuda PAS tuntut hapus undi pos

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

SIBU, 17 Mei: Dewan Pemuda PAS Pusat menuntut agar undi pos dihapuskan kerana pengamalannya sudah tidak lagi relevan malah bertentangan dengan matlamat asal ia diwujudkan.

Ketuanya, Nasruddin Hassan (gambar) berkata, undi pos pada waktu ini hanya semata-mata dijadikan talian hayat Umno BN untuk memenangi pilihan raya.

"Walaupun Pakatan Rakyat menang di Sibu, tapi kita tetap tuntut undi pos dimansuhkan," katanya selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu diumumkan malam tadi.

Selain itu, kekalahan BN di Sibu, katanya sangat memalukan kerana undi pos yang sering digunakan untuk talian hayat mereka, gagal memenangkan parti pemerintah itu.

Jika pun BN menang dengan mengeksploitasi undi pos ujarnya, ia bukan sesuatu yang hebat bagi BN malah calon BN itu tidak layak digelar wakil rakyat namun layak dipanggil wakil pos.

"Kalah malu besar kerana undi pos tidak dapat cover, dan kalau menang pun tidak hebat.

"Orang tak panggil wakil rakyat, tapi orang panggil wakil pos," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pemuda PAS menyampaikan ucapan tahniah kepada Pakatan Rakyat khususnya DAP yang telah menang PRK Sibu melalui calonnya, Wong Ho Leng.

Wong yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.

Bagaimanapun kata Nasruddin, Pakatan Rakyat tidak perlu mendabik dada malah lebih penting adalah terus berbakti kepada rakyat dengan penuh amanah dan dedikasi.

"Semoga dapat laksanakan tugas dan amanah dengan penuh dedikasi dan berbakti kepada rakyat dan tidak mendabik dada. Tugas Pakatan Rakyat masih banyak dan sukar," ujarnya.

Harakahdaily/-

Kerjasama erat PAS-PKR-DAP menangkan Pakatan di Sibu

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

SIBU, 17 Mei: Kerjasama erat antara PAS, PKR dan DAP tidak boleh dinafikan antara faktor penyumbang kemenangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam.

Timbalan Pengarah III Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmod (gambar) berkata seluruh peringkat bermula dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti hingga ke peringkat jentera, mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi sepanjang kempen di sini.

"Kita sangat berpuas hati dengan keputusan yang kita dapat.

"Pilihan raya ini kita dapat lihat kerjasama cukup padu dan jitu dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Usaha kuat ketiga-tiga jentera parti dalam Pakatan Rakyat ini juga jelasnya turut dirasai calon DAP yang telah menang, Wong Ho Leng dan diakui oleh Setiausaha DAP, Lim Guan Eng sendiri.

Dengan keadaan masyarakat Sibu yang kurang terdedah dengan maklumat dan hanya mendengar sebelah pihak, kemenangan kali ini dianggap berbaloi dengan usaha yang telah dilakukan jentera Pakatan Rakyat.

Ianya juga membuktikan, strategi kempen rumah ke rumah sangat berkesan menangkis tohmahan BN yang meggunakan seluruh saluran yang mereka ada.

"Kalau melihat kepada bendera di rumah-rumah, kita rasa memang kita kalah.

"Rupa-rupanya mereka tidak mahu dilihat bersama dengan Pakatan Rakyat, tetapi mereka sebenarnya mengundi kita," katanya.

Selain itu, mengulas ringkas kekalahan memalukan BN pula beliau berkata, antara lain dilihat berpunca dari protes kaum Melayu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, masyarakat Melayu di beberapa tempat sepeti di Nangka, Pelawan dan Seduan kecewa dengan layan tidak sama rata Najib yang beberapa kali datang berkempen.

Najib, katanya seperti meminggirkan masyarakat Melayu Melanau di situ kerana mungkin yakin mereka pengundi tegar BN.

"Saya belum lihat secara keseluruhan lagi, cuma mungkin pengundi Melayu protes terhadap Najib.

"Najib datang tiga kali tapi bertemu dengan bukan Melayu dengan menawarkan pelbagai insentif," ujarnya.

Dalam pilihan raya kecil semalam, Wong Ho Leng yang juga Adun Bukit Assek, memperoleh 18,845 undi menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron memperoleh 232 undi.

Harakahdaily/-

PRK Sibu: Kenapa BN kalah?

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Pena Suasa

Pada pilihan raya umum 2008, peratusan mengundi ialah 67 peratus
Manakala Peratusan pengundi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu selepas proses pengundian berakhir pada pukul 5 petang adalah seperti berikut:

Jumlah pengundi berdaftar sebanyak 54,695 (termasuk 2,537 pengundi pos).
Jumlah yang mengundi: 32,742
Peratusan pengundi: 59.86 peratus

Faktor penurunan peratusan pengundi antara punca kekalahan BN pada pilihan raya kecil kali ini.

Dan satu lagi faktor yg perlu diberi perhatian adalah mengenai isu lesen judi bola sepak yg sedang hangat diperkatakan kini.

Ada kemungkinan kemenangan DAP ini berpunca dari kemarahan masyarakat cina yg menentang judi bola sepak yg baru-baru ini dilesenkan kerajaan.

Bagi masyarakat yg bermoral dan sedar tentang bahaya judi dan kesannya pada diri, keluarga dan masyarakat isu ini sangat memberi kesan pada kehidupan harian.

Menolak BN adalah suatu cara supaya BN menilai semula keputusan meluluskan judi bola sepak dalam negara Malaysia.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Kalah di Sibu, mimpi ngeri BN!

3 Jamadil Akhir 1431 H
Oleh: Perakite

Kemenangan DAP menumpaskan calon BN di PRK Parlimen Sibu merupakan satu mimpi ngeri bagi PM DS Najib Tun Razak dan TPM TS Muhyiddin Yassin.

Ia satu tamparan memalukan kerana seluruh jentera BN turun padang untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi BN pada pru 12 2008 lepas. Hanya lebih sedikit daripada dua tahun kerusi itu berpindah tangan kepada Pakatan Rakyat (DAP).

Gelak sorai kemenangan PRK Hulu Selangor nampaknya tidak berpanjangan.
DAP tidak menaruh harapan besar untuk memenangi kerusi Sibu memandangkan bertanding di kawasan yang dikuasai BN. Taburan janji dan projek umpama mee segera oleh Najib dan Muhyiddin ternyata disantap dengan baik oleh pengundi SIBU, dan keadaan ini menakutkan pemimpin veteran DAP LKS yang mengatakan harapan tipis.

Namun jelas umpan dimakan, ikan tak lekat. Apakah mungkin dendam BN membara pada penduduk SIBU ?

Apapun yang jelasnya hanya 60 peratus yang keluar mengundi. Satu angka peratusan yang amat rendah bagi satu pilihan raya kecil. Secara am, ia menunjukkan bahawa mereka memprotes dengan tidak keluar mengundi.

Kemenangan DAP adalah satu mimpi ngeri kepada BN, akan menakutkan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti. Ia membuktikan bahawa rakyat sebenarnya belum mengubah pendiriannya terhadap Pakatan Rakyat sejak pru 12. Mereka sekadar menyimpan kuku.

Persepsi rakyat berketurunan Cina terhadap sikap Umno tersangat kritikal. Mereka telah dapat membandingkannya dengan peranan dan pendirian PAS. Mereka telah dapat menerima PAS meskipun dilemparkan oleh UBN dengan pelbagai kecaman.

Senjata telah mula memakan diri. Pendekatan Umno melalui Perkasa juga mulai menikam diri. Padah kerana sikap Umno sendiri yang menyakini bahawa Umno itu adalah dominan.

Ringkasnya pada pru mendatang nanti... di mana jua Umno bertanding ... Umno akan berhadapan dengan masalah besar apabila sesuatu kawasan itu mempunyai 30-40 peratus pengundi bukan Melayu.

Apatah lagi jika jumlahnya melebihi anggaran itu. Yang kuat dan nampak kuat dalam BN kini hanyalah Umno, manakala komponen-komponennya sekadar menumpang kekuatan Umno itu sendiri.

Seandainya Umno rebah, maka akan rebahlah seluruh BN. Sesungguhnya BN telah rebah di Sibu. Rebah yang tidak akan kebah.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Kemenangan mengejutkan semua pihak?

3 Jamadil Akhir 1431 H
http://msomelayu.blogspot.com

SYABAS diucapakkan kepada DAP, dan syabas juga kepada Pakatan Rakyat dan syabas juga kepada pengundi Sibu di atas kemenangan calon DAP, Wong Ho Leng dalam pilihan raya kecil Sibu. Kemenangan itu seperti mana dikatakan ia adalah satu kejutan. Kejutan itu bukan saja kepada DAP tetapi kepada BN.

DAP harus terkejut kerana mungkin mulanya mereka merasakan sukar untuk menang apabila BN telah sedia menurunkan Perdana Menteri, Najib Razak untuk memenuhi apa saja kehendak rakyat.

Najib tanpa merasa malu dan segan menawarkan RM18 juta untuk sekolah Cina. Masyarakat Cina bijak dan arif segala pemberian instant itu, mereka menerimanya sebagai tanggungjawab tetapi bukan untuk mengikut heretan Najib dan BN. Dalam erti kata lain orang Cina tidak sedia menjadi lembu.

Ternyata janji untuk menatahkan bumi Sibu dengan intan berlian ditolak oleh pengundi di Sibu khasnya orang Cina. Dalam pada itu kemenangan itu memberi gambaran bahawa politik baru yang mengemukakan harapan baru oleh Pakatan Rakyat mula 'menjelira' ke dalam hati masyarakat di sana.

BN harus berwaspada dengan apa yang berlaku. Kekalahan mengejutkan dan di luar dugaan itu perlu diberi tumpuan yang mendalam. BN tidak boleh cuba mencari helah-helah lain untuk tidak menerima kekalahan itu. Segala janji yang telah ditaburkan dan termasuk replika cek yang diberikan harus ditunaikan.

Kekalahn itu memberi peringatan kepada BN bahawa politik wang yang diagungkan selama ini bukan menjadi modal dan penentu kepadanya. Rakyat tidak dapat menirima projek dan wang untuk melindungi keburukan pentadbiran kerajaan BN yang lain.

Kepada Taib Mahmud pula kekalahan calon SUPP-BN itu mungkin memberi ilham kepadanya untuk membuat penilaian semula bagi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak. Sudah pasti kemenangan DAP dengan meraih 398 undi itu memberi isyarat yang parti itu akan menjadi parti alternatif bagi masyarakat Cina terbaik di Sarawak untuk masa akan datang.

Sudah pasti persepakatan DAP bersama PKR dan Pas ia juga akan turut memberi keuntungan bersama kepada Pas dan DAP di negeri Bumi Kenyalang itu. Pas yang bertungkus lumus untuk mempengaruhi undi Melayu Melanau khasnya di Dun Nangka itu tentu tumpang bergembira dengan kemenangan itu

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

PAS terus beri sokongan dalam isu Palestin

3 Jamadil Akhir 1431 H

KUALA LUMPUR, 17 Mei: Ustaz Nasharuddin Mat Isa menegaskan bahawa PAS telah dan akan terus memberikan sokongan dalam isu Palestin pada kadar kemampuan yang dimiliki.
Beliau menyatakan demikian di dalam pertemuan dengan pemimpin utama Hamas, Khaled Misy'al di Damsyik, baru-baru ini.

Turut serta pada pertemuan itu ialah Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, dalam pertemuan itu, beberapa isu besar telah dibincangkan termasuklah perkembangan terkini keadaan di Palestin khasnya di Gaza.

Katanya, Khaled telah merakamkan sekali ucapan terima kasihnya mewakili Hamas dan rakyat Palestin kepada PAS dan rakyat Malaysia melalui agensi rasmi ataupun NGO yang sentiasa bersama dengan rakyat Palestin.

“Beliau amat menghargai sumbangan-sumbangan yang telah diberikan dan yang lebih penting dari itu adalah pendirian yang tidak berbelah bagi PAS dan rakyat Malaysia dalam isu isu di Palestin,” ujarnya kepada Harakahdaily, pagi ini.

Tambahnya, Khaled menjelaskan kepada ahli-ahli PAS bahawa qadiah (permasalahan) Palestin adalah keutamaan, kedua selepas kerja-kerja Islam dan parti di Malaysia yang harus diberikan tumpuan.

“Saya telah menegaskan bahawa bagi pihak PAS, kita telah dan akan terus memberikan sokongan dalam isu Palestin pada kadar kemampuan yang kita miliki,” ujarnya.

Harakahdaily

Ceramah malam terakhir kempen, lonjak undi untuk calon DAP.

3 Jamadil Akhir 1431H.
Gambar oleh Topeng Perak.

Lautan manusia yang hadir di perkarangan Bank Rakyat Sibu di Kg. Dato yang membariskan penceramah terdiri dari Calon DAP Wong Ho Leng, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang, Lim Kit Siang,Dato Seri Anwar Ibrahin, Karpal Singkh, Nga Kor Ming, dan beberapa orang yang lain dikatakan merupakan program kempen terakhir Pakatan Rakyat yang telah melonjakkan undi untuk calonnya. Kehadiran sekitar 10,000 orang itu dikatakan sejarah baru di Sibu yang tidak pernah berlaku sebelum dari itu.

Semangat waja mereka tidak mudah luntur dengan mereka terus mengikuti program yang dimulai dari jam 8.30 malam sehingga 12.00 malam walaupun sekali-sekala hujan turun renyai-renyai.

Sediakan Bank Untuk Di Rompak!

3 Jamadil Akhir 1431 H
http://solleh-alfatimi.blogspot.com/

Kecoh sekarang ni soal Judi sempena World Cup. satu respon yang patut kita beri perhatian adalah terhadap satu respon dari MP Kota Belut yang menyokong pemberian lesen judi ini.

1. "Lagipun perjudian haram banyak melibatkan sindiket jenayah, jadi kami cuba untuk mengurangkan jenayah itu berlaku".

2. "Kenapa mesti berikan duit itu kepada underground yang mempunyai hubung kait dengan jenayah. Lebih baik kerajaan yang pantau agar penipuan tidak berlaku."

3. Dengan pemberian lesen, syarikat terbabit akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang penyelewengan. Selain itu, syarikat berkenaan juga tertakluk kepada bayaran cukai yang wangnya boleh digunakan untuk negara. “Bila mereka membayar cukai dan penipuan berlaku, mereka boleh dipertanggungjawabkan,''

Demikianlah kenyataan yang dikeluarkan Ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika mempertahankan tindakan kerjaan membenarkan pertaruhan bolasepak Paiala Dunia 2010 ini. (http://malaysiakini.com/news/131861)

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang yang bergelar muslim. Dan saya percaya beliau akan marah dengan sekuat hati sekiranya terdapat orang yang mempertikaikan keislamannya atau menuduh dia seorang jahil atau buta agama!

Saya suka untuk mencadangkan kepada beliau sebagaimana reaksi beliau terhadap isu ini, agar beliau mencadangkan kepada kerajaan yang disokongnya melaksanakan perkara di bawah ini:

1. Sekiranya 'perjudian haram banyak melibatkan sindiket jenayah, jadi kami cuba untuk mengurangkan jenayah itu berlaku'.
Maka saya mencadangkan kepada beliau dan kerajaan sokongannya agar menubuhkan sebuah bank khas untuk dirompak. Dengan mewujudkan bank tersebut, kerajaan dapat mengawal dan mengurangkan kes jenayah rompakan bank-bank dan kedai-kedai emas yang berleluasa berlaku di dalam negara kita. Dan para perompak sendiri dapat memfokuskan rompakan mereka pada sebuah bank sahaja. Emm...bertuah kerajaan malaysiaku tercinta mampu mengurangkan kes rompakan. Inilah kerajaan yang sangat berjaya kan? Kerajaan 1 Malaysia kan!

Dan saya juga mengesyorkan kepada beliau dan kerajaan beliau agar menubuhkan pusat pelacuran yang berlesen. Dengan penubuhan tersebut, bukankah kerajaan mampu mengurangkan jenayah perdagangan orang secara haram dan secara tidak langsung kerajaan mampu mengurangkan jenayah haram tersebut. Haa...disebabkan lesen yang diberikan, semua jadi halal...Lepas ni, pejabat agama boleh berehat la. Polis pun tak perlu susah payah nak serbu. Para pelacur pun akan 'dihormati' kan. Kan cadangan bagus bagi kerajaan 1 Malaysia!

2. "Kenapa mesti berikan duit itu kepada underground yang mempunyai hubung kait dengan jenayah. Lebih baik kerajaan yang pantau agar penipuan tidak berlaku."
Haa...ini juga alasan yang sangat baik dari MP kita. Lebih baik kerajaan beri lesen buka bank untuk dirompak, dan perompak mesti membayar cukai. Duit yang dirompak pun tidak jatuh ke tangan undeground yang mempunyai hubung kait dengan jenayah. Lebih mantap lagi sekiranya, kerajaan sendiri yang menubuhkan dan meluluskan 'pertubuhan perompak'. Ini lagi mantap. Kerajaan dapat pantau rompakan yang berlaku dan pendapatan negara juga bertambah.

Begitu juga dalam kes pelacuran. Daripada duit jatuh ketangan undergroud yang berhubungkait dengan jenayah, lebih baik beri lesen je...lebih cantik lagi, kerajaan sendiri yang meluluskan 'pertubuhan pelacur' dan kerajaan sendiri yang menjadi 'bapa ayam'. Kan dapat kawal penipuan dan penyelewenan berlaku terhadap pelacuran. Ini cadangan bagus untuk 1 Malaysia!

3. “Bila mereka membayar cukai dan penipuan berlaku, mereka boleh dipertanggungjawabkan,''
Tanya sikit kat MP kita ini, judi mana tu yang tiada penipuan? judi mana yang tidak menindas? judi mana yang tidak menjadikan ramai orang fakir? Judi mana ye? Kalau ada, nak belajar la juga dengan MP kita yang cerdik ni. Dan syarikat mana pula yang bertangungjawab penipuannya? kalau ada, nak cari juga ni. Mungkin syarikat judi yang MP kita ni yang tubuhkan kot! Baiknye lah syarikat perjudian tu!

Kesimpulan...kita bertambah bodoh bila menggunakan akal yang dangkal untuk membantah hukum Tuhan. Bukan MP Kota Belut seorang sahaja yang ada akal. Ramai lagi orang yang bukan mempunyai akal, bahkan mempunyai akal yang cerdik. Lebih cerdik dari dia...jangan kerana kumpulan atau puak, MP Kota Belut buta mata, buta mata hati...

Ingat lah...Kita HIDUP bukan untuk HIDUP, tapi kita HIDUP untuk YANG MAHA HIDUP. Kita HIDUP bukan untuk MATI, tetapi kita MATI untuk HIDUP... macam mana hidup kita nanti selepas mati? saat kita hidup untuk selama-lamanya...

Ingat lah kita, tak selamannya kita hidup di dunia ini...akhir sekali tersungkur di hadapan Allah. Jika sombong, jika bongkak dengan ALLAH di dunia ini, jangan terkejut dan menyesal kalau ALLAH akan tunjukkan 'kesombongan-Nya' dan 'kebongkakkan-Nya' depan kamu di akhirat nanti! Saat itu, tiada gunanya lagi.