14 May 2010

Ashaari Muhammad meninggal dunia

28 jamadil Awal 1431H.

Bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad (gambar) meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada jam 2.10 petang kerana jangkitan paru-paru.

Menurut Utusan Malaysia Online, jenazah beliau akan dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.

Ashaari yang juga Pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di Ipoh dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Bernama memetik seorang kakitangan syarikat berkenaan, Marzuki Hussein bahawa jenazah Ashaari yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Katanya, Ashaari berada di Ipoh selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lalu selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkenaan sementara itu berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang tadi.

"Ini siri lawatan biasanya ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan," kata Marzuki kepada Bernama selepas jenazah Allahyarham Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di Ipoh.

Marzuki berkata rumah berkenaan adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau berlepas dari rumah berkenaan pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Kira-kira 200 pengikut Allahyarham turut berada di rumah berkenaan.

Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malaysiakini/-

'MIC bukan milik Samy Vellu' - Barathmaniam dipecat

28 Jamadil Awal 1431 H

Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, Subramaniam V atau yang lebih dikenali sebagai Barathmaniam, yang dipecat semalam berkata beliau masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai pemecatannya daripada parti itu.

"Saya masih tidak pasti, Saya akan memikirkannya... saya bukannya pengemis untuk merayu kepada beliau (Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam semalam.

Barathmaniam berkata beliau mengetahui mengenai pemecatannya menerusi surat yang diterimanya.

Katanya antara alasan pemecatannya daripada MIC adalah berkaitan dengan satu SMS yang dihantar kepada Samy Vellu (kiri) minggu lalu, antara lain memberitahu presiden parti itu bahawa MIC bukan milik Samy Vellu atau anggota keluarganya.

Barathmaniam berkata dengan pemecatan berkenaan, beliau mencatat sejarah dalam parti itu kerana menjadi anggota yang dipecat sebanyak tiga kali sejak menyertai MIC pada 1978.

Barathmaniam pertama kali dipecat pada 1984 dan kemudian pada 1994.

Beliau mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh beliau menerima surat untuk mengemukakan rayuan kepada MIC.

Malaysiakini/-

Pemuda PAS demo bantah konsert, lesen judi

28 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (WP) akan menganjurkan demontrasi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sukan bolasepak Piala dunia dan penganjuran konsert 12 jam yang membabitkan artis luar Pitbull.

Pemangku ketua Pemuda PAS WP, Herman Shamsudeen berkata, demonstari itu akan diadakan esok bertempat Masjid Jamek Kampung Baru selepas solat Jumaat.

Menurutnya, perhimpunan itu akan turut disertai oleh Setiausaha Pemuda PAS pusat, Kamaruzzaman Mohamad dan Exco Pemudanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Herman berkata, pihaknya tidak memohon permit kerana berhasrat berhimpun secara aman untuk menunjukkan rasa tidak puas hati dengan tindakan kerajaan itu.

Katanya, ia diadakan ekoran kegagalan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) untuk memberi reaksi terhadap bantahan yang dikemukakan oleh Pemuda PAS Pusat, yang dihantar dua minggu lalu.

Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa sebelum ini dilapor mendakwa penganjuran konsert panjang daripada jam 7 petang sehingga 7 pagi itu "telah melanggar garis panduan durasi persembahan sesebuah konsert" dan mendesak Puspal memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.

Malah akar umbi Umno turut dilaporkan membantah penganjuran konsert yang panjang sebegitu kerana "masih tidak dapat diterima oleh kebanyakan rakyat Malaysia".

Mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan mengeluarkan lesen judi sukan, Herman berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Pemuda PAS pusat bagi menentukan tindakan selanjutnya sama ada untuk menghantar memorandum bantahan atau berbincang terus dengan kerajaan.

Perbincangan dengan Pemuda PAS Pusat dijangka diadakan minggu depan, tambahnya.

"Saya juga berharap NGO Islam dan bukan Islam akan turut membantah pengeluaran lesen judi ini, kerana ia melibatkan isu moral.

"Kita juga mahu mendapatkan reaksi kerajaan, agar rakyat ambil peduli perkara ini," katanya.

Malaysiakini/-

Hadi: Pemimpin bukan Islam Pakatan sokong haram judi

28 Jamadil Awal 1431 H

Langkah kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan merupakan tindakan yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima masyarakat Malaysia, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sedangkan, tambahnya, dalam Pakatan Rakyat, pemimpin bukan Islam daripada DAP dan PKR sendiri menyokong pengharaman judi.

"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam," kata Abdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang.

Semalam, kerajaan dilaporkan meneruskan keputusannya untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan walaupun dibantah banyak pihak.

Dalam kenyataannya petang semalam, Kumpulan Berjaya mengesahkan mendapat lesen tersebut, sekaligus membolehkan pertaruhan secara sah dilakukan sebelum kejohanan berprestij itu bermula pada 11 Jun ini.

Abdul Hadi, dalam satu kenyataan hari ini berkata, Umno sebagai tulang belakang kerajaan, telah membawa semakin banyak perkara negatif sejak selepas kemerdekaan negara lebih 50 tahun lalu.

"Ia menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada sekarang ini telah muflis idea dan membawa negara mundur ke belakang, ke arah yang lebih jauh daripada ajaran Islam," katanya.

Malaysiakini/-

Hukum melewatkan solat Isya

28 Jamadil Awal 1431 H
http://akhisalman.blogspot.com/

HADIS-HADIS YANG BERKENAAN

1. Abdullah bin Umar ra berkata:

مكثنا ذات ليلة ننتظر رسول الله صلى الله عليه وسلم لصلاة العشاء الآخرة فخرج إلينا حين ذهب ثلث الليل أو بعده فلا ندري أشيء شغله في أهله أو غير ذلك فقال حين خرج
إنكم لتنتظرون صلاة ما ينتظرما أهل دين غيركم ولو لا أن يثقل على أمتي لصليت بهم هذه الساعة.
ثم أمر المؤذن فأقام الصلاة وصلى

“ Suatu malam kami duduk menanti Rasulullah saw untuk menunaikan solat Isya. Lalu Nabi saw keluar dari rumahnya semasa sudah berlalu sepertiga malam yang awal atau selepas itu. Kami tidak mengetahui Nabi saw lambat disebabkan urusannya dengan isteri atau yang lain. Baginda saw bersabda semasa keluar:

“Sesungguhnya kamu semua telah menantikan solat yang tidak dinantikan oleh mana-mana penganut-penganut agama selain kamu . Kalaulah tidak memberati terhadap umatku nescaya aku akan solat pada masa ini.”

Kemudian baginda saw menyuruh supaya tukang azan untuk iqamah dan beliau pun solat.

Hadis sahih Bukhari (570) dan Muslim (639)

2. Jabir bin Abdullah ra berkata:

والعشاء أحيانا يؤخرها وأحيانا يعجل كان إذا رأهم قد اجتمعوا عجل وإذا رأوهم قد أبطأوا أخر

“ Rasulullah saw kadang-kadang melewatkan solat Isya dan kadang-kadang menyegerakannya. Apabila melihat para sahabat sudah berhimpun maka baginda akan mneyegerakan. Apabila baginda melihat mereka lambat datang maka Nabi saw melewatkannya.”

Hadis sahih riwayat Bukhari (565) dan Muslim (646)

3. Zaid bin Khalid mendengar Rasulullah saw bersabda:

لو لا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل صلاة ولأخرت صلاة العشاء إلى ثلث الليل

“ Kalaulah tidak menyusahkan ummatku nescaya aku akan wajibkan mereka untuk bersiwak setiap kali solat dan melewatkan isya ke sepertiga malam yang pertama.”

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi.

PANDANGAN ULAMA

Para Ulama telah berselisih pendapat terhadap perkara ini seperti berikut:

Pendapat pertama:

Disunatkan melewatkan solat isya sehingga sepertiga malam yang awal. Ini adalah pendapat Mazhab Hambali, Hanafi , sebahagian ulama mazhab Maliki dan pendapat lemah dalam mazhab Syafie.

Ulama mazhab Hambali mensyaratkan keredaan para makmum sekaliannya atau sebahgiannya. Imam Ibnu Quddamah berkata:

“Adapun sekiranya melewatkan solat isya itu memayahkan sekalian makmum atau sebahgiannya maka tidak disunatkan lewatkan isya bahkan ianya adalah makruh.”

Pendapat kedua:

Disunatkan menyegerakan solat isya seperti solat-solat yang lain. Ini adalah mazhab Maliki mengikut pendapat yang masyhur dan mazhab Syafie mengikut pendapat yang kuat mereka.

Pendapat ini menyatakan bahawa kebiasaan yang dilakukan oleh Nabi saw adalah di awal waktu. Hadis-hadis yang menunjukkan perlu dilewatkan adalah perkara yang bukannya selalu Nabi saw buat. Pendapat ini menggunakan dalil secara umum berkenaan dengan kelebihan solat awal waktu.

PENDAPAT TERPILIH

Imam Nawawi berpendapat dalil-dalil pendapat pertama lebih kuat. Beliau berkata dalam kitabnya majmuk:

“ az-Zubairi memilih pendapat yang menyatakan lebih baik melewatkan isya dalam kitabnya (al-Kafi). Pendapat ini adalah pendpaat yang lebih kuat dari segi dalil.”

Disunatkan cepat atau lambat solat isya bergantung kepada perkara-perkara berikut:

1. Ia bergantung kepada berkumpulnya para jemaah. Sekiranya mereka cepat berkumpul maka sunat dicepatkan. Jika para jemaah lambat sampai maka sunat dilewatkan . Realitinya pada masa sekarang adalah jemaah dibuat awal waktu jadi bagi orang lelaki sunat untuk solat Isya di awal waktu berjemaah di masjid.
2. Ia bergantung kepada keredaan para jemaah. Sekiranya sebahgiannya tidak reda maka disunat disegerakan solat Isya.
3. Bagi orang yang solat bersendirian disunat melewatkan solat ke sepertiga malam yang awal sekiranya dia tidak tertewas dengan sikap malas atau tertidur hingga menyebabkan dia solat terlewat sangat.

Waktu yang sunat:

Perlu difahami para pembaca sekalian, waktu yang sunat dilakukan isya adalah setelah sepertiga malam yang awal. Iaitu dengan kita bahagikan malam tiga bahagian. Bila habis waktu sepertiga malam yang pertama dan masuk waktu sepertiga malam yang kedua itulah waktu yang sunat. Kalau untuk di mesir untuk tarikh hari ini 12/5/2010 adalah lebih kurang pukul 10.30 malam.

Iman Nawawi berkata dalam syarh sahih Muslim:

" Melewatkan isya yang disebut dalam hadis tidak lebih dari tengah malam."
"Tidak seorang Ulama pun yang menyatakan afdal melewatkan isya sehingga melebihi pertengahan malam."
Oleh itu tidur lepas magrib sehingga lepas tengah malam baru bangun untuk solat isya adalah tidak afdal menurut semua ulama dan ditambah lagi makruh tidur lepas magrib seperti disebut dalam hadis lain.

Rujukan: Mawaqit al-Ibadah al-Makaniah waz Zamaniah oleh Dr Nizar Mahmud dan Majmuk oleh Imam Nawawi.

PELAWA MASUK UMNO: BUKTI ZAMBRY PEMIMPIN LEMAH

28 Jamadil Awal 1431H.
Kenyataan Media (13 Mei 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mengucapkan terima kasih di atas pelawaan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk masuk menjadi Ahli Umno terbukti menunjukkan Umno sudah mula di tolak oleh generasi muda yang kini bersama dengan PAS untuk menegakkan keadilan sebenar. Sudah tentu generasi muda akan terus menolak Umno yang disifatkan sebagai kekotoran yang masih tidak dapat dibersihkan.

Pertamanya, pelawaan ini juga membuktikan ketidakmampuan kepimpinan Pergerakkan Pemuda Umno Negeri Perak di bawah ketuanya Maslin Sham Razman yang di tolak hampir 18 Pemuda Umno Bahagian seluruh Negeri Perak yang memaksa Datuk Seri Zambry untuk mengambil alih tugas Maslin sekarang ini. Keduanya, pelawaan ini menunjukkan Umno ketandusan pengaruh golongan orang muda dan terpaksa menjadikannya kempen kemasukkan keahlian baru di dalam Umno.

DPPN Pk juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak menyiasat tawaran tersebut kerana ianya sebagai tawaran politik. Selepas daripada ini akan kedengaran bahawa Ahli Pemuda PAS akan memohon untuk menjadi keahlian Pemuda Umno tidak lama lagi, kaedah strategi dan tektik ini sudah menjadi kebiasaan dengan cara Umno sebenarnya.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Dakwaan rasuah Mike ke Selcat

28 Jamadil Awal 1431

SHAH ALAM, 12 Mei: Kerajaan Negeri Selangor akan merujuk aduan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam tentang wujud unsur rasuah dalam syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

"Kami berharap Pengerusi Selcat Teng Chang Kim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor dapat bertindak terhadap aduan tersebut dengan segera supaya satu sesi pendengaran awam dapat dijalankan,"kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Samad dalam satu kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri memberi arahan kepada semua kakitangan jabatan kerajaan dan pegawai KSSB untuk memberi kerjasama penuh kepada SELCAT dalam pendengaran tersebut.

Manikavasagam atau lebih dikenali sebagai Mike membuat beberapa dakwaan kononnya berlaku aktiviti rasuah di kalangan pegawai KSSB.

Beliau meminta kerajaan negeri bertindak sekurang-kurangnya kepada tiga pegawai kanan anak syarikat kerajaan negeri Selangor itu.

"Kami berpendapat Selcat adalah forum terbaik untuk membincangkan dakwaan itu kerana ia dilakukan secara terbuka dan maklumat serta fakta yang diberikan tidak disembunyikan dari pengetahuan umum.

"Keputusan ini telah dibuat setelah kami meneliti aduan yang telah diterima secara rasmi oleh Ahli Parlimen Kapar sendiri dalam satu pertemuan pagi tadi," kata Khalid.

Dalam pertemuan itu, kata khalid, mereka telah menasihatkan Ahli Parlimen Kapar untuk membuat laporan polis tentang perkara tersebut supaya tampak lebih telus lagi.

Katanya, Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran serta menyokong semua usaha untuk membanteras gejala rasuah. Oleh itu kami berterimakasih kepada Ahli Parlimen Kapar atas keprihatinannya dalam pentadbiran Negeri Selangor.

Kerajaan Selangor mengambil berat dakwaan ini dan mahu tindakan sewajarnya diambil untuk memelihara imej KSSB yang mempunyai peranan penting menjayakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, katanya.

Harakahdaily/-

Pendedahan Saiful buktikan konspirasi - Anwar

28 Jamadil Awal 1431 H

KUALA LUMPUR, 12 Mei: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan terbaru penglibatan beberapa individu lain oleh saksi utama, Saiful Bukhari Azlan mengesahkan wujudnya satu konspirasi politik.

Bercakap kepada media (gambar) selepas perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan ke esok, beliau memberitahu bahawa Khairul Anas adalah pembantu khas Datuk Seri Najib, manakala Datuk Mumtaz Jaafar pula pegawai khas kepada Datin Sri Rosmah Mansor.

"Hari ini kita dengar lagi tambahan selain nama-nama yang disebut (sebelum ini) seperti Datuk Mumtaz, Khairil Anas.

"Ia mengukuhkan lagi pendirian kita selama ini tentang penglibatan dan konspirasi untuk menjatuhkan musuh politik dengan cara kotor dan jijik," katanya.

Terdahulu, dalam keterangannya, Saiful memberitahu ada membuat panggilan telefon kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 25 Jun 2008 iaitu sehari selepas pertemuan dengan Najib.

Panggilan itu katanya bagi mengadu masalah, namun hanya sempat bercakap selama seminit sebelum dimarahi Musa dan diberi amaran supaya tidak menelefonnya lagi.

Selain Musa, Saiful juga memberitahu ada bertemu bekas Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada malam 27 Jun hingga pagi keesokannya.

Pertemuan itu atas tujuan sama, iaitu mahu pengadu 'pengainayaan' terhadapnya yang didakwa dibuat Anwar.

Khairil Anas pula menurut Saiful adalah individu yang membawanya ke kediaman persendirian Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Sebelum itu kata Siful, dia ada menemui Khairil Anas bagi mengadu perkara tersebut tetapi kemudian pembantu khas Najib itu memutuskan untuk membawanya berjumpa dengan Najib.

Dalam pada itu, Datuk Mumtaz Jaafar (gambar), individu yang namanya disebut dalam keterangan Saiful hari ini dilihat tiba di mahkamah jam 2.30 petang tadi.

Dalam pada itu, Datuk Mumtaz Jaafar (gambar), individu yang namanya disebut dalam keterangan Saiful hari ini dilihat tiba di mahkamah jam 2.30 petang tadi.
Beliau juga adalah Pengarah Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) badan yang Rosmah adalah penaungnya.

Harakahdaily/-

Politik kuno Taib Mahmud

28 Jamadil Awal 1431 H
http://msomelayu.blogspot.com/

HARI ini imigresen Sarawak buat kali kedua telah menghalang ahli Parlimen Padang Serai, G Gobalakrishan untuk memasuki neegri berkenaan.

Gobala yang tiba di lapangan terbangan Sibu dengan pesawat Airasia ditahan dari memasuki negeri berkenaan. Gobala difahamkan memasuki Sarawak untuk berkempen membantu calon DAP, Wong Ho Leng.

Sebelum ini Gobalakrishan pernah dihalang untuk memasuki negeri berkenaan.

Halangan itu menunjukkan politik kuno Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud. Walaupun halangan itu atas arahan imigresen tetapi sudah pasti Taib Mahmud selaku Ketua MB yang membuat arahan itu.

Bukan saja Gobalakrishan tetapi beberapa individu lain juga penah dihalang dari memasuki Sarawak.

Mana-mana individu yang dikira boleh mengugat kestabilan politik Sarawak dan Taib Mahmud akan dihalang.

Tindakan ini menyebabkan timbul persoalan apakah kuasa Sarawak untuk menghalang sesiapa yang tidak disukai olehnya.

Rasanya Semenanjung atau mana-mana kerajaan negeri lain tidak pernah bertindak demikian ke atas rakyat Sarawak.

Sudah sampai rasanya Taib Mahmud membatalkan kuasa politik kuno ini kerana ia ternyata menyalahi undang-undang dan hak kebabasan rakyat negara ini untuk memasuki ke mana saja negeri yang menjadi Persekutuan Malaysia.

Tindakan dan kuasa itu juga boleh disifatkan sebagai double standard dan Taib seolah-olah merasakan bumi Sarawak adalah bumi datuk neneknya.

Penahahan orang seperti Gobalakrishnan memasuki Sarawak juga menjelaskan siapa sebenarnya Taib Mahmud. Beliau seorang ketua menteri yang tidak percaya kepada kuasa yang dimilikinya.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Demo aman bantah lulus judi, konsert esok

28 Jamadil Awal 1431 H

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak seluruh anggota Pakatan Rakyat, Barisan Nasional, NGO dan rakyat keseluruhannya, khususnya di sekitar Lembah Klang untuk menyertai satu demonstrasi aman di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, esok.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, demonstrasi aman selepas solat Jumaat itu diadakan bagi membantah sikap Kerajaan Malaysia yang enggan membatalkan kelulusan lesen judi Piala Dunia dan Konsert 12 jam Pitbull.

Katanya, walaupun pelbagai pihak telah menyuarakan bantahan, namun kerajaan berdegil untuk meluluskan dua agenda gejala sosial yang pastinya memberikan impak yang negatif kepada rakyat di negara ini.

Tegasnya, rakyat tidak boleh duduk diam dan memerhatikan pemimpin negara membuat keputusan yang jelas melanggar hukum Islam dan norma agama-agama lain.

“Kelulusan ini adalah satu penghinaan kepada nilai-nilai tatasusila rukun negara dan satu kebiadapan kepada perintah Allah SWT.

“Justeru itu, DPPWP mengajak semua pihak untuk hadir ke demonstrasi ini sebagai menunjukkan ketegasan rakyat menolak sikap buta tuli pemimpin negara,” ujarnya.

Beliau berharap semoga pemimpin negara mengambil sikap yang lebih serius terhadap pandangan rakyat.

Harakahdaily/-

Menghalang fungsi masjid bererti meruntuh masjid

28 Jamadil Awal 1431 H
http://presiden.pas.org.my

Firman Allah S.W.T dalam ayat 114 Surah Al-Baqarah bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."

Para mufassirun atau ulama-ulama tafsir khilaf (berselisih pendapat) dalam menyatakan sebab nuzulnya atau sebab turunnya ayat 114 surah al-Baqarah di atas.

Mengikut riwayat al-Kalbi daripada Ibnu Abbas katanya, ayat ini bersempena dengan serangan Putlos iaitu seorang Maharaja Rom ke atas Masjid Al-Aqsa, lalu masjid itu dirobohkan.

Mengikut satu riwayat yang lain daripada Qatadah, sebab turun ayat ini bersempena dengan serangan Bakhtanuso ke atas masjid tersebut di mana rumah Allah itu dibakar hangus.

Mengikut riwayat Ibnu Abbas dalam satu riwayat yang lain, ayat ini bersempena dengan tindakan yang dilakukan oleh orang-orang kafir Makkah yang menghalangi Nabi Muhammad s.a.w. bersembahyang dan mengajar agama di masjid Makkah.

Walaupun ayat ini sebab nuzulnya ada tetapi mengikut kaedah hukum yang berdasarkan kepada Usul Tafsir iaitu pengajaran itu diambil daripada lafaznya yang umum, bukan daripada sebabnya yang khusus.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah di sini seperti yang dinyatakan oleh as-Syawkani dan beberapa mufassirun (ahli-ahli tafsir), termasuk di dalamnya bersembahyang, membaca al-Quran, berzikir, menghalang orang mengajar dan belajar agama di dalam masjid termasuk di dalam ayat ini.

As-Syawkani mengatakan, "dan dikehendaki menegah masjid bahawa disebut nama Allah padanya, Allah mencegah perkara yang berlaku padanya termasuk sembahyang, membaca al-Quran berzikir dan mengajar.

Dikehendaki dengan meruntuhkan masjid itu bukan dengan makna merobohkan bangunannyasahaja, tetapi juga berusaha untuk meruntuhkan tujuan-tujuan masjid itu dibina kerananya, umapamanya mengganggu ketaatan-ketaatan yang dilakukan padanya yang didasarkan masjid ke atasnya, merupakan suatu yang umum."

Berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Abu Jahal kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana Abu Jahal menghalang Nabi s.a.w. beribadat di masjid, menghalang baginda ntuk mengajar dan menerangkan hukum agama di dalam masjid.

Oleh kerana itu, menjadi amalan kepada Nabi s.a.w. dan para sahabatnya, tidak melarang orang mengajar agama di dalam masjid. Apabila dilihat seseorang yang diragui mengajar agama di dalam masjid dan bimbang kalau mengajar perkara yang tidak benar, dia perlu dipanggil dan disoal siasat tentang apa yang diajarkannya.

Kalau apa yang diajar itu perkara yang benar, dia tidak boleh dihalang dan dicegah. Barang siapa yang mencegah orang yang mengajar adalah hukuman yang termasuk dalam meruntuhkan masjid dan mencegah manusia daripada mengingati Allah di dalamnya.

Termasuk juga dalam mencegah manusia mengingati Allah dalam masjid ialah mereka yang mengunci masjid kononnya untuk menjaga keselamatan masjid.

Jaga keselamatan masjid bukan cara menguncinya. Jaga keselamatan masjid ialah dengan menghidupkan masjid itu dengan zikrullah serta melakukan kerja-kerja kebajikan yang ada hubung kaitnya dengan kegiatan masjid.

Satu kekeliruan apabila Islam hanya di masjid

Boleh jadi ada orang yang berkata, sekiranya masjid itu tidak dikunci nanti ia akan dimasuki penagih dadah, pencuri dan seumpanya. Sebab berlaku begitu kerana kita merasakan Islam itu hanya di masjid sahaja.

Antara sebab lain ialah kerana di luar masjid, Islam tidak dilaksanakan, dengan sebab itu hubungan antara masjid dengan luar masjid tidak dapat diselaraskan.

Mengapa orang yang melakukan kejahatan suka masuk ke dalam masjid untuk melakukan kejahatan? Ini kerana di luar masjid berjalan undang-undang jahat yang tidak berlandaskan kepada hukum Allah SWT, sebab itulah huru-hara boleh berlaku dalam masjid dan di mana-mana sahaja.

Kita mestilah mengetahui bahawa hukum agama Allah ini bukan sahaja dilaksanakan dalam masjid, tetapi juga di luar masjid.

Yang menjadi kacau-bilau hari ini kerana kita bimbang kalau-kalau masjid diganggu kerana kita tidak melaksanakan Islam di luar masjid.

Apabila Islam tidak dilaksanakan di luar masjid, maka berlakulah perkara yang tidak selaras dalam masalah keselamatan masjid sehingga kita membuat undang-undang sendiri dan undang-undang yang bercanggah dengan Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Kita hendaklah memhami bahawa yang dikatakan memakmurkan masjid itu ialah seperti yang disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya hanya yang memakmurkan masjid itu ialah seseiapa yang beriman dengan Allah dalam erti kata yang sebenarnya ( Surah at-Taubah, ayat 18).

Bukan dalam makna yang tidak sebenar iaitu beriman dengan sebahagian sahaja daripada ajaran Allah dan yang sebahagian lagi tidak beriman.
Orang yang beriman sebahagian sahaja daripada ajaran Allah SWT tidak layak untuk memakmurkan masjid dan disebut ayat berikut iaitu mereka yang beriman dengan hari akhirat.

Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang percaaya kepada hari akhirat bukan sebaliknya, dan mereka yang mendirikan solat. Iaitu orang yang mendirikan solat inilah orang yang memakmurkan masjid. Orang itu mestilah mendirikan solat, kalau kerajaan, kerajaan itu hendaklah mendirikan solat juga.

Apa makna kerajaan mendirikan solat? Makna memakmurkan masjid ialah kerajaan yang jemaah menterinya dan ketua-ketua negaranya menunaikan solat lima waktu, bukan solat sunat hari raya dan solat Jumaat sahaja.

Mereka juga hendaklah menjalankan undang-undang yang memerintah supaya orang mengerjakan solat. Kalau dalam negara itu tidak ada undang-undang demikian serta menghukum orang yang tidak solat, maka tidak dinamakan pemerintah yang mendirikan solat. Kerajaan seperti itu tidak layak untuk memakmurkan masjid.

Dan juga ciri terakhir ialah mengeluarkan zakat. Orang yang memakmurkan masjid ialah orang yang menunaikan zakat. Apa kena mengena memakmurkan masjid dengan menunaikan zakat? Orang yang menunaikan zakat ini ialah orang yang tahu tanggungjawab harta bendanya dengan menunaikan zakat mengikut hukum-hukum agama yang ditetapkan Allah dan Rasulullah s.a.w.

Harakahdaily/

Jenayah menjadi-jadi, hukum Allah penyelamat manusia

28 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Anak Melaka

DARI sehari ke sehari, kita amat-amati jenayah semakin menjadi-jadi. Kes-kes yang dilaporkan luar biasa termasuk yang membabitkan keganasan rumah tangga. Ada suami mencurah asid ke muka isteri, mengelar kemaluan dan membunuh pasangan sendiri.

Kes bunuh menjadi kebiasaan. Mangsa termasuklah bayi yang dibiar mati dalam tong sampah. Kita menjadi bimbang dan bingung, apa sebenarnya telah menimpa negara kita yang didakwa pemimpin sebagai paling pesat pembangunannya malah menjadi contoh terbaik di kalangan negara-negara Islam.

Apabila disebut negara contoh, sewajarnya jenayah dalam negara terkawal tetapi perkembangan semasa membuktikan sebaliknya. Dari sehari ke sehari keadaan menjadi semakin buruk, oleh itu kita berpendapat adalah penting untuk semua pihak termasuk pemimpin negara bermuhasabah, melakukan semakan agar negara tidak terjerumus ke lembah hina. Kita tidak ingin apa yang kita bina bersama selama ini hancur berkecai disebabkan kealpaan dan kesombongan kita sendiri.

Kenapa jenayah menjadi-jadi? Kenapa orang tidak takut melakukan jenayah? Kenapa suami tergamak mencurah asid atau mengelar kemaluan isteri? Kenapa anggota polis boleh menembak (atau tertembak) seorang pelajar berusia 15 tahun? Kenapa orang boleh membunuh dan membuang bayi sesuka hati?

Jawapannya kerana hukam-hakam Allah SWT yang menciptakan manusia tidak tertegak di negara ini. Dalam hukum-hakam Allah ada kehidupan, itu jaminan-Nya tetapi kita tidak mengendahkannya. Kita berlaku zalim, menggubal dan menuruti hukum-hakam berasaskan nafsu-nafsi manusia. Apabila manusia berani menolak hukum-hakam Allah, mereka sudah menempa kebinasaan diri.

Hukum jenayah Islam terbahagi kepada hukum hudud, qisas dan ta’zir. Hukum qisas yang dari segi bahasanya bermaksud memotong dan dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana kesalahan-kesalahan melibatkan hak individu.

Kesalahan-kesalahan yang diwajibkan hukuman qisas ialah membunuh dengan sengaja dan mencederakan anggota tubuh badan seperti mata, hidung dan telinga.

Mengikut hukum qisas seseorang penjenayah mesti diikuti dengan hukuman yang sama sepertimana dia lakukan ke atas mangsanya. Kalau ia membunuh maka dia mesti dihukum bunuh.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya maka menjadilah ia penebus dosa baginya.” (Surah al-Maidah ayat 45)

Dengan tidak tertegaknya hukum-hakam Allah ini, masyarakat tidak menjadi gerun; tidak ada ketakutan bagi mereka melakukan jenayah. Cuba bayangkan bagaimana gentarnya anggota masyarakat untuk membunuh jika mereka tahu pengakhiran mereka dibunuh juga, seorang suami yang mencurah asid ke muka isterinya akan menerima pembalasan yang sama manakala yang mengelar kemaluan mangsa, akan dikelar juga kemaluannya.

Masyarakat juga perlu disedarkan akan mahalnya diat (denda) yang wajib dibayar kerana kesalahan jenayah sebagai ganti qisas. Kadar diat dikira mengikut bilangan unta iaitu harta yang paling bernilai. Kadar penuh diat 100 ekor unta; jika seekor unta RM3,000, nilaian diat adalah RM300,000!

Bagi jenayah membunuh dengan sengaja, ada dua hukuman iaitu qisas dan diat. Diat hanya boleh dilaksanakan jika dipersetujui oleh waris. Jika tidak, qisas bunuh dikenakan. Pemerintah tidak ada kuasa dalam pengampunan.

Demikianlah hukum-hakam Islam adalah untuk menjaga keselamatan semua; Islam menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunan. Apabila itu terjaga, terselamatlah semua, bukankah kedatangan Rasulullah s.a.w membawa rahmat kepada seluruh alam. Jadi mengapa kita menolak hukum-hakam-Nya? Tidak sombong dan takaburkah kita?

Harakahdaily/-

Zambry sudah habis modal bila pelawa Pemuda PAS masuk UMNO

28 Jamadil Awal 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Menteri Besar Perak yang disahkan di Mahkamah, Zambry Abdul Kadir nampaknya sudah kehabisan modal dengan melakukan sesuatu yang sangat tidak masuk akal bila mempelawa Pemuda PAS di Perak meninggalkan parti dan menyertai UMNO dengan alasan Pemuda PAS ada minat yang tinggi terhadap UMNO sejak kebelakangan ini.

Zambry berkata kepimpinan Pemuda PAS Perak sentiasa memberi komen dan pandangan terhadap perkembangan UMNO dan dengan alasan itu Zambry mengatakan "mereka berminat kepada UMNO".

Sebenarnya Zambry diminta mengulas beberapa kenyataan Pemuda PAS Perak termasuk dakwaan bahawa UMNO Perak kini lemah dan tenat apabila perasmian serentak mesyuarat UMNO Cawangan tidak mendapat sambutan, kenapa pula sampai sejauh itu Zambry mengelamun , malah tidak menjawab soalan sebenar dari wartawan. Berikut adalah beberapa kenyataan saya dalam perkara berkaitan.

1. Saya sangat terkejut dengan kenyataan Zambry yang saya sifatkan sebagai sangat terdesak dan kehabisan modal untuk bercakap bila mengajak Pemuda PAS untuk masuk UMNO sedangkan apa yang dikeluarkan dalam banyak kenyataan Pemuda PAS selama ini bukan bermasud Pemuda PAS minat kepada UMNO, tetapi saya tegaskan adalah kenyataan-kenyataan yang menyatakan kebencian dan jijiknya UMNO dimata sayap kanan Parti PAS.

2. Sesunggunya pemuda PAS telah melalui proses tarbiyah yang terancang dan telah disusun rapi oleh PAS bagi memastikan mereka dihiasi dengan akhlak Islam dan jauh sekali untuk mencium "bau busuk UMNO" yang memiliki kepimpinan yang jauh sekali dari akhlak Islam.

3. Adakah kerana baru sekali mengadakan "usrah" dikediamannya Zambry sudah naik perasan sudah jadi pemimpin gerakan Islam dan lebih baik dari PAS. Kalau baru sekali Usrah sudah perasan jadi baik, bagaimana pula yang ada pada Pemuda PAS yang setiap minggu berusrah tentunya jauh kedepan dari Zambry yang baru melakukan Usrah. itupun saya yakin kerja sebeigitu adalah diluar kotak pemikiran UMNO yang Sekular itu.

4. Sepatutnya Zambry sedar golongan muda di Perak dan Malaysia amnya semakin benci dan muak kepada pemimpin UMNO yang menjadi "makluk perosak" di Malaysia. Selepas dibuktikan bersekongkol dengan yahudi laknatullah , menggadaikan Blok L dan M kepada Brunei dengan kerugian RM 320 Billion, sekali lagi malang datang lagi untuk golongan pemuda di Malaysia bila judi bolasepak diberikan lesen secara sah oleh menteri kewangan kepada Syarikat Berjaya.

5. Tidakkah pemimpin UMNO sedar bahawa indek dalam apa saja kegiatan salah laku dan jeyaah dijuarai oleh anak-anak muda Melayu, sedangkan pemimpin UMNO semacam membenarkan mereka rosak serosaknya, bila kegiatan sukan yang sihat itupun dibenarkan dalam bentuk perjudian di lebih 200 kedai TOTO seluruh negara bermula hari ini, saya tidak dapat bayangkan dosa yang tertanggug oleh Pemimpin UMNO yang membenarkan judi yang jelas haram disisi Islam. Malah menyokong UMNO berarti menyokong Judi yang "dihalalkan" dengan lesen oleh UMNO.

6. Kalau begitulah, sebenarnya Zambry selepas mengadakan usrah mestilah menyuruh Pemuda UMNO untuk masuk PAS untuk mengelakkan mereka terus dirosakkan oleh Pemimpin UMNO. Kedudukan UMNO yang bukan lagi penyelamat kepada Agama Islam dan bangsa Melayu mengesahkan bahawa UMNO mestilah ditinggalkan secapat mungkin.

7. Kerana itu saya mengesahkan bahawa Pemuda PAS memang berminat kepada UMNO, tetapi berminat untuk menyaksikan ianya cepat dikuburkan dibumi tercinta ini. Selamat tinggal UMNO !

Kenyataan Media, 13 Mei 2010

DRS. KHALIL IDHAM LIM
KETUA PENERANGAN PAS PERAK

Kerajaan mangsakan rakyat dengan ketagihan judi

28 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan tindakan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberi lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya sebagai satu perbuatan zalim ke atas rakyat.

"Kerajaan Najib hakikatnya menzalimi dan memangsakan rakyat dengan ketagihan judi. Setelah diberi lesen oleh kerajaan Malaysia, lebih ramai yang akan jadi kaki judi dan lebih ramai yang akan ketagih berjudi.

"Mula-mula memanglah kaki-kaki judi akan berjudi dalam perjudian yang berkaitan dengan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010, tetapi mereka akhirnya akan ketagih dan selepas itu akan beralih kepada judi yang tidak diberi lesen pula, mungkin yang berkaitan dengan Piala Malaysia atau apa sahaja sukan asalkan boleh berjudi," kata Ahli Parlimen Pokok Sena.

Malah, katanya, kemajuan sukan di Malaysia akan terancam jika kaki-kaki judi, sama ada yang berlesen atau tidak, berjaya mempengaruhi keputusan permainan.

"Bayangkan jika kaki-kaki judi berjaya mempengaruhi keputusan Piala Malaysia dan liga-liga yang berkaitan dengannya, akan hancurlah kemajuan bola sepak negara ini.

"Akhirnya ranking bola sepak merudum teruk, ranking Malaysia sebagai syurga judi pula yang akan naik," kata Mahfuz.

Kesan dari tindakan kerajaan Umno BN memberi lesen judi itu bukan setakat mengancam kemajuan sukan di negara ini, malah lebih buruk lagi akan mengancam keharmonian institusi keluarga, memiskinkan lagi lebih ramai rakyat ketika Kumpulan Berjaya yang merupakan kroni Umno BN meraih keuntungan malah akhirnya akan menjadi ancaman sosial yang sangat mengerikan.

"Sebab itulah kita tegaskan bahawa tindakan kerajaan memberi lesen judi semasa Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan Berjaya itu adalah perbuatan zalim yang sangat kejam terhadap rakyat dan keharmonian sosial dalam negara ini," katanya.

Dalam nada sini, katanya Kumpulan Berjaya mungkin akan memohon logo halal pula daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Menteri Kewangan kelmarin secara rasminya memberi lesen judi tersebut kepada Kumpulan Berjaya yang sekaligus bermakna kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) telah menghalalkan aktiviti yang haram di sisi agama dan mengancam keharmonian sosial itu.

"Apabila kerajaan Umno BN telah menghalalkan aktiviti yang haram itu, agaknya Kumpulan Berjaya akan memohon logo halal pula dari Jamil Khir atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berada di bawah bidang kuasanya," katanya sinis.

Harakahdaily/-

Gambar dan peristiwa 12 Mei 2010.

28 Jamadil Awal 1431H.

Ceramah bersama Sdr. Mazlan Aliman dan YB. Anuar Sudin di Pusat Aktiviti Sosial Cenderong Balai Pasir Salak malam tadi.

Singah dan bertanya khabar kepada seorang warga DUN Titi Serong yang sedang menjala ikan.

makan pagi dengan kepala ikan sembilang di Kedai Abag Razak Pekan Tanjung Piandang

Ziarah kematian disebelah SMK Raja Lope Tanjung Piandang.

Konservatif kembali memerintah

CAMERON (kiri) bersama Timbalannya, Clegg di luar 10 Downing Street di London, semalam selepas membentuk kerajaan.


28 Jamadil Awal 1431H.

David Cameron PM Britain paling muda dalam tempoh hampir 200 tahun

LONDON: David Cameron, pemimpin muda yang memodenkan parti berhaluan kanan yang pernah dipimpin ikon politik Britain Margaret Thatcher, dilantik Perdana Menteri kelmarin berikutan peletakan jawatan Gordon Brown, sekali gus menamatkan kemelut pilihan raya yang menyaksikan kembalinya parti Konservatif mengetuai kerajaan campuran selepas 13 tahun di bawah pemerintahan Parti Buruh.

Mengikut amalan, Ratu Elizabeth II melantik Cameron sebagai Perdana Menteri di Buckingham Palace – yang menandakan berakhirnya tarik tali di antara Cameron dan Brown untuk mendapatkan kerjasama parti ketiga Britain, parti Liberal Demokrat berikutan pilihan raya yang tidak memberi majoriti kepada mana-mana parti. Dalam beberapa minit saja, Cameron, yang berusia 43 tahun, dilantik ke Nombor 10, Downing Street, pejabat dan kediaman Perdana Menteri, untuk menjadi Perdana Menteri paling muda dalam tempoh hampir 200 tahun, sejak Lord Liverpool memegang jawatan berkenaan pada usia 42 tahun.

Pemimpin Parti Liberal Demokrat, Nick Clegg kemudian diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, selepas beberapa hari mengadakan perbincangan dengan bekas musuh politiknya. Empat ahli parlimen Liberal Demokrat lain juga dilantik sebagai menteri.

Cameron dan Clegg bersetuju mewujudkan kerajaan campuran selepas parti Konservatif menang kerusi terbanyak dalam pilihan raya nasional Britain pada 6 Mei lalu, tetapi tidak memperoleh majoriti di Parlimen. Persetujuan itu dicapai berikutan rundingan tegang sebanyak lima kali, berjaya menghasilkan kerajaan campuran penuh pertama di Britain sejak Perang Dunia Kedua.

“Nick Clegg dan saya adalah pemimpin politik yang ingin mengetepikan perbezaan parti dan bekerja keras untuk kebaikan dan kepentingan nasional,” kata Cameron.
Presiden Barack Obama menghubungi Cameron melalui telefon untuk mengucapkan tahniah dan mempelawanya melawat Washington musim panas ini, menurut Rumah Putih. Obama memberitahu Cameron beliau berharap dapat mengadakan pertemuan pada sidang kemuncak ekonomi yang akan diadakan di Kanada bulan depan.

Dengan kerajaan baru itu, Britain mungkin akan menyaksikan perubahan dalam perhubungannya dengan negara asing.

Kedua-dua Cameron dan Clegg memberi isyarat bahawa mereka lebih suka mempunyai perhubungan longgar dengan Washington berbanding zaman Brown dan pemimpin sebelumnya, Tony Blair. Cameron dan Clegg menyokong misi Afghanistan tetapi Cameron berharap dapat mengundurkan pasukan Britain dalam tempoh lima tahun. Clegg berkata beliau tidak selesa dengan angka kematian yang semakin meningkat.

Perhubungan dengan jiran mereka di Eropah juga mungkin bermasalah. Parti Cameron agak ragu-ragu berhubung kerjasama di Eropah dan menarik diri daripada pakatan dengan parti Angela Merkel di Jerman dan parti pimpinan Nicolas Sarkozy di Perancis. Clegg, yang pernah menjadi ahli parlimen Eropah, sejak itu berpendirian pro-Eropah.

Parti Konservatif berkata bekas pemimpinnya, William Hague akan memegang jawatan Setiausaha Luar, ahli parlimen kanan, George Osborne sebagai ketua perbendaharaan dan ahli parlimen, Liam Fox sebagai Setiausaha Pertahanan. Jawatan lain sedang dikemas kini.

Kerajaan campuran itu mencapai persetujuan untuk menetapkan tempoh Parlimen selama lima tahun, kali pertama Britain menetapkan tarikh pilihan raya akan datang lebih awal. – AP