11 May 2010

Bekas Petugas Pejabat ADUN Titi Serong meninggal dunia.

26 Jamadil Awal 1431H.

Gambar kenangan semasa ADUN titi Serong menziarahi beliau semasa sedang sakit.



Bekas petugas di pejabat ADUN Titi Serong, Abdullah Sani bin Ahmad (gambar semasa hayatnya)telah kembali ke Rahmatullah pada sekitar jam 11.30 malam tadi dirumahnya yang terletak bersebelahan dengan Pusat Tarbiyah PAS Titi Serong.

Blog ini beberapa kali menyiarkan berita mengenai Abdullah Sani yang terkena penyakit misteri sejak akhir Ogos lepas. Sejak itu beliau beberapa kali keluar masuk hospital dan terlantar dirumahnya.

Sejak Abdullah terkena penyakit misteri tersebut dia lansung tidak dapat bercakap. Segala usaha dilakukan oleh keluarga beliau untuk mengubati penyakit misteri itu adakah secara moden atau tradisional.

Abdullah juga adalah salah seorang dari anggota Unit amal PAS Kawasan Parit Buntar yang gigih dalam menjalankan tugasnya setiap kali Unit Amal menjalankan tugasnya dalam setaip program yang dianjurkan oleh parti. Disamping itu beliau telah memberikan tumpuan sepenuh masa untuk membantu kerja-kerja kempen semasa PRK Bukit Gantang pada April tahun lepas.

Jenazah almarhum akan disembahyangkan di Pusat Tarbiyah PAS Titi Serong pada jam 11.00 pagi ini dan akan disemadikan di Perkuburan Islam Tebuk Hj. Musa .

Semuga rohnya dirahmati dan dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dikalangan roh orang yang soleh.

Kami seluruh warga Pakatan Rakyat Titi Serong mengucapkan takziah keatas pemergian beliau dan mengharapkan seluruh keluarganya diberikan kesabaran dalam menempuh ujian ini.

ORANG ASLI: ZAMBRY TIDAK SERIUS

25 jamadil Awal 1431H.
Kenyataan Media (10 Mei 2010)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasakan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak serius terhadap Orang Asli bagi memastikan pembangunan dan kebajikan mereka diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Negeri dapat di lihat setelah majlis perasmian program 'Dekat di mata, lekat dihati’ di Kampung Tangkai Cermin dan Kampung Cenderong Kelubi, Tanjung Tualang hanya dirasmikan oleh Pegawai Khas Menteri Besar, Azhar Ahmad serta di hadiri oleh Pegawai Khas (Hal Ehwal Orang Asli) Menteri Besar, Panjang Ali Sohor.

DPPN Pk melihat Datuk Seri Zambry lebih memberikan keutamaan kepada programnya bersama media pada hari yang sama iaitu program Ekspedisi Royal Belum. Malang sungguh nasib Orang Asli diletakkan kelas kedua oleh kepimpinan Datuk Seri Zambry walaupun telah banyak slogan dan janji telah diberikan tetapi jelas dapat di lihat sekarang ini. Mungkin setelah dekat dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti, barulah Datuk Seri Zambry akan turun bertemu dengan Orang Asli nanti.

Program yang di lihat penting tersebut, nyata tidak diberikan perhatian serius oleh Datuk Seri Zambry. Bagi DPPN Pk berharap, masyarakat Orang Asli akan sedar akan keperihatinan dan pembelaaan sebenar mereka di dalam memastikan kebajikan mereka tidak terpinggir sama sekali di dalam pembangunan sebagai rakyat di Negeri Perak ini.


SALMAN HAJI SALEH
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

K'tan: Kakak dakwa Tengku Anis kawal sultan

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Aidila Razak

Dua orang kakak kepada Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra - hari ini mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mengawal ketat sultan.

Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan para pembantunya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara hari ini, Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) berkata, beliau difahamkan seorang kakitangan hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Sultan Kelantan kini sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu, Kelantan.

Sidang akhbar tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam pergolakan keluarga diraja Kelantan antara Tengku Fakhry Petra dengan abangnya, Tengku Faris Petra, berhubung takhta kerajaan negeri.

Seorang lagi kakak baginda, Tengku Rozan (kiri dalam foto) berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi sultan ketika baginda dirawat di Singapura sebelum ini.

Beliau mendakwa, mereka dilarang berbuat demikian selama sembilan bulan mereka berada di republik itu.

Pelawat lain, katanya, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia, juga turut dilarang daripada menemui baginda.

Dakwanya lagi, hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda.

Tengku Rozan juga berkata ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.

Malaysiakini/-

Sultan K'tan dibawa pulang dari HUSM

25 Jamadil Awal 1431 H

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada jam 5.15 petang ini.

Baginda diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Hamid dan doktor peribadi, Dr Amir Ramli, lapor Star Online.

Mereka bertolak dari kawasan hospital di Kubang Kerian, di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, menuju ke Istana Mahkota yang terletak kira-kira 900 meter dari situ.

Menurut laporan itu lagi, peguam Gobind Singh Deo mengesahkannya dan berkata beliau akan berbincang dengan pasangan diraja itu sebelum memutuskan tindakan udang-undang selanjutnya.

Gobind adalah salah seorang peguam yang memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Khas Putrajaya Jumaat lalu untuk "membebaskan" sultan dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan pilihannya.

Mahkamah akan mendengar permohonan tersebut esok.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Tuanku Ismail Petra berangkat pulang ke Istana Mahkota hari ini setelah tahap kesihatan baginda di dalam keadaan stabil dan mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata Sultan Kelantan dibawa pulang setelah lima hari menjalani rawatan susulan masalah jantung di HUSM dan setelah panel 10 pakar perubatan menjalankan pemeriksaan ke atas status kesihatan baginda.

"Tuanku Al-Sultan dibawa keluar menerusi perkenaan Pemangku Raja Kelantan yang memberi titah membenarkan Tuanku Al-Sultan dibawa pulang ke Istana Mahkota. Titah itu dibuat selepas tahap kesihatan Tuanku Al-Sultan berada dalam keadaan stabil.

"Tuanku Al-Sultan akan berehat di Istana Mahkota dan baginda kini dalam keadaan stabil serta berada di bawah pengawasan doktor," katanya ketika
dihubungi di Kota Bharu.

Pada malam Selasa lepas, Sultan Kelantan dibawa ke HUSM atas pilihan Pemangku Raja Kelantan untuk baginda menjalani rawatan susulan di situ.

Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan telah melantik panel 10 pakar perubatan untuk memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan dan mereka menjalankan pemeriksaan itu sejak dua hari lepas.

Malaysiakini/-

Kurang korum hakim, habeas corpus sultan ditangguh

25 Jamadil Awal 1431H.

Permohonan habeas corpus di Mahkamah Khas untuk "membebas" Sultan Kelantan yang dijadualkan didengar hari ini, ditangguhkan kerana korum hakim tidak mencukupi.

Pelajar M'sia: 'Gegaran bumi buat saya pening, mual'

25 Jamadil Awal 1431 H

Gegaran bumi yang berlaku akibat gempa berkekuatan 7.2 pada skala Richter di Meulaboh, Aceh telah menyebabkan sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi yang sedang mengadakan aktiviti di Pantai Ujong Batee, Banda Acheh turut menjadi cemas.

Mereka termasuklah empat pelajar Malaysia yang menyertai 160 pelajar Indonesia dari Institut Agama Islam Negeri, Ar Raniri, yang sedang menjalani program Rehlah (Hari Keluarga) Fakulti Usuluddin institut itu di pantai tersebut.

"Waktu itu saya baru selesai makan tengah hari bersama beberapa rakan lain dan nak ke masjid untuk solat, tiba-tiba sahaja kepala saya rasa pening. Tak lama kemudian, bumi bergegar lebih kuat untuk kali keduanya dan pada masa itu bukan sahaja rasa pening malah seperti nak termuntah pula," kata Abdullah Hakimi Zainal Abidin.

Abdullah Hakimi, 21, yang pertama kali mengalami kejadian gempa berkata gegaran kedua itu menyebabkan rakan-rakan mereka yang lain turut cemas.

"Mereka yang sedang mandi manda di laut, terus berlari naik ke daratan dan tak berapa lama selepas itu, siren amaran tsunami turut dibunyikan di pantai itu," katanya ketika di hubungi dari sini.

Badan Meterologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia yang mengeluarkan amaran potensi tsunami berikutan kejadian gempa di kedudukan 66km Barat Daya Meulaboh, Acheh pada pukul 12.59 tengah hari itu, telah menarik balik amaran itu kemudiannya.

Belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima berikutan kejadian gempa itu.

Abdullah Hakimi, yang juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh, berkata selepas mendengar siren tsunami itu beliau dan tiga rakan pelajar Malaysia meluru ke motosikal dan bergegas meninggalkan kawasan pantai itu.

Tiga lagi pelajar Malaysia yang ada bersama beliau pada masa itu ialah Muhammad Muslim Amran, 20, Abdul Halim, 27, dan Syed Muzaffar, 24. Mereka telah pergi ke pantai itu pagi ini menaiki dua motosikal.

Pada masa yang sama Abdullah Hakimi berkata beliau juga telah dihubungi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia Datuk Paduka Dr Junaidy Abu Bakar yang menasihatkan mereka semua untuk segera meninggalkan kawasan pantai berikutan amaran tsunami oleh pihak berkuasa Indonesia.

Pelajar jurusan ijazah Sarjana Muda Akidah dan Falsafah itu berkata, dalam perjalanan pulang dari pantai itu beliau melihat ramai sekali penduduk Aceh meninggalkan rumah masing-masing menaiki kereta dan motor sehingga jalan raya menjadi sesak dengan lalu lintas untuk seketika kerana suasana pada masa itu cemas sekali.

Keadaan di Banda Aceh kembali normal sejak pukul 3 petang ini setelah warganya mendapat berita penarikan balik amaran tsunami oleh pihak BMKG.

Abdullah Hakimi berkata, pelajar-pelajar Indonesia yang ada bersama mereka di pantai itu kurang cemas kerana sudah berpengalaman dengan beberapa gempa bumi sebelum ini.

Semasa dihubungi, beliau sedang berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan Pengarah Sukan Kementerian Pengajian Tinggi Dr Shaharuddin Ismail, yang sememang dijadual sampai di Banda Aceh petang ini.

Untuk sementara waktu ini, katanya kesemua pelajar Malaysia di institut itu ditempatkan di rumah Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Aceh di Darussalam sehingga Yang Dipertua persatuan itu mengeluarkan arahan baru.

Sementara itu Dr Junaidy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata ada sejumlah 165 pelajar Malaysia sedang menuntut di Institut Agama Islam Ar Raniri, Aceh.

engarah MSD Indonesia itu berkata selain empat pelajar berkenaan yang berada di tepi pantai, kesemua pelajar Malaysia yang lain berada di lokasai lain yang jaraknya 10km dari pantai.

"Maklumat yang diperolehi daripada pemimpin pelajar, semua pelajar dalam keadaan selamat. Para pelajar telah diberitahu agar mengikuti SOP kecemasan sekiranya berlaku lagi gempa susulan dan tsunami.

"Pihak Jabatan Penuntut Malaysia sedang memantau keadaan para pelajar Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu para pelajar Malaysia sekiranya keadaan semakin buruk," katanya.

Beliau meminta ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat tentang anak-anak mereka di Aceh supaya menghubunginya di talian +6281 80 88 11111 (Dato' Dr Junaidy) atau email jun@ukm.my.

Malaysiakini/-

Kes tembak: Adakah kecuaian atau arahan?

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Ustaz One Ji

"Tembak lagi?" itu keluhan hatiku apabila membaca berita seorang polis menembak seorang remaja yang didakwa melakukan kesalahan jalan raya.

Nampaknya anggota polis dilihat semakin mengganas. Kesalahan jalan raya pun sudah melayakkan polis menembak rakyat. Nasib baik dalam berita itu, tembakan itu kena di perut. Kalau kena di kepala, apa akan jadi pada remaja tersebut.

Alangkah murahnya darah rakyat polis di sisi polis Malaysia. walhal, Islam meletakkan darah adalah sesuatu yang mahal, bahkan wujud hukum Qisas; darah dibalas darah.

Persoalannya, kenapa terlalu kerap berlaku tembak menembak ini? apakah ini benar-benar kesilapana anggota polis terbabit, ataupun sebenarnya sememangnya sudah wujud arahan dari pihak atasan?

orang tua-tua dulu pernah kata, "kalau seorang lelaki itu kahwin dengan seorang isteri, lalu tidak dapat anak, mungkin isterinya mandul. Tiba-tiba dia kahwin seorang lain, dan tidak beranak juga. boleh jadi, Isteri keduanya itu mandul. Tapi kalau kahwin isteri yang ketiga masih tidak mengandung lagi. menunjukkan lelaki itu sendiri sebenarnya mandul"

Hebat Malaysia, hebat Israel. inilah jasa berkawan dengan Yahudi.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

Krisis Istana: MB perjelas sebab 'berdiam diri'

25 Jamadil Awal 1431 H

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau gagal mentadbir negeri berikutan tindakannya berdiam diri berhubung kemelut Istana Kelantan.

Katanya walaupun beliau dianggap sebagai penasihat kepada Sultan tetapi berpendapat adalah lebih baik mendiamkan diri daripada mengambil sesuatu tindakan yang tidak disenangi pihak tertentu kerana ia adalah masalah dalaman keluarga.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam Islam mendiamkan diri juga merupakan suatu nasihat daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengeruhkan lagi suasana dalam keluarga itu.

"Bagi saya, sejak mentadbir negeri ini hampir 20 tahun lepas, saya anggap berjaya kerana membangunkan negeri ini. Siapa kata gagal?

"Soal kemelut raja, itu kerja anak beranak, saya sengaja tak campur tangan supaya berlaku di sekitar anak beranak," katanya.

Nik Aziz memberitahu pemberita demikian selepas meraikan orang kelainan upaya (OKU) yang baru pulang dari mengerjakan umrah, di bangunan yayasan itu, di Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang dipetik sebagai berkata, krisis istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya Nik Abdul Aziz memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Nik Abdul Aziz berkata Islam membenarkan seseorang itu berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan, walaupun seseorang itu merupakan penasihat, jika ia boleh memudaratkan keadaan.

Beliau menafikan sikap mendiamkan diri dalam isu itu sebagai tindakan lepas tangan daripada tanggungjawab sebagai penasihat dan beliau tidak mahu campur tangan dalam isu kemelut istana itu kerana ia melibatkan krisis dalaman keluarga.

"Jadi, saya ambil sikap senyap, supaya ianya hanya berkisar di sekitar anak beranak, senyap itu juga, adalah nasihat, ada kalanya Allah Taala suruh senyap.

Ada kalanya suruh nasihat, jadi saya ambil sikap senyap, senyap itupun dianggap nasihat juga...," katanya.

Menurutnya, beliau bersama Exco akan menziarah Sultan, cuma menunggu tarikh yang akan ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias.

Malaysiakini/-

Malaysia lebih baik di bawah Pakatan

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 9 Mei: Pemuda PAS digesa memberi tumpuan kepada pembentukan pemikiran politik Malaysia iaitu menyedarkan masyarakat khususnya golongan belia, bahawa Malaysia akan lebih baik di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemuda PAS di semua peringkat perlu mengambil peluang yang sedang terbuka luas pada hari ini, dikala Umno BN sedang berdepan penolakan rakyat.

"Ini yang harus diberikan keyakinan kepada masyarakat.

"Kita harus menghapuskan terus khurafat yang berakar umbi lebih daripada 50 tahun iaitu ‘khurafat’ yang berada dalam pemikiran masyarakat Islam khususnya di kalangan pengundi-pengundi bahawa seolah-olah mereka menganggap tanpa Umno-BN, negara kita ini akan mundur dan akan menjadi huru-hara," katanya.

Beliau berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan Kali Ke-51 di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan dekat sini kelmarin.

Mengakui ianya satu tugas yang sukar, Mahfuz berkata seluruh tenaga pemuda perlu dikerahkan semaksima mungkin lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangka 2011 nanti.

Pemuda PAS juga perlu mempersiapkan diri khususnya dengan kemahiran-kemahiran terkini selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dunia.

Ianya bagi memastikan golongan sasaran iaitu anak-anak muda dapat didekati sebaik mungkin menerusi kaedah yang tepat.

"Inilah yang harus dilihat oleh golongan muda yang harus memahami persoalan politik anak-anak muda, persoalan keperluan anak-anak muda serta memahami gaya hidup mereka.

"Dan saya yakin bahawa ia memerlukan kepada kemampuan dan keupayaan untuk memberikan satu keyakinan yang tinggi kepada masyarakat dan rakyat khususnya generasi muda di negara ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Tambahnya lagi, pemuda PAS juga bukan sekadar berdepan Umno BN, malah sedang berdepan strategi pihak asing yang dilantik kerajaan seperti Apco Worldwide.

"Umno-BN tidak terus membiarkan dirinya lemah, cuba mencari ubat dan tempat kebergantungan bagi mempastikan kelangsungan kuasa politiknya, tambahnya.

Turut hadir Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ahmad Subki Yusoff, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan Mohd Zaki Ibrahim (Timbalan Speaker Negeri Kelantan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kelaboran).

Hadir sama Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Abdul Latiff Abdul Rahman (Adun Mengkebang), Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Ahmad Baihaki Atiqullah (Adun Pasir Tumboh) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Abdul Fattah Mahmood (Adun Bukit Panau).

Harakahdaily/-

Rasis: Umno cuba rosakkan perpaduan kaum

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Hashim Abdullah

JERANTUT, 9 Mei: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, perpaduan kaum yang wujud selama ini cuba dirosakkan oleh fahaman rasis Umno terutama setelah mereka kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina dan India selepas pilihanraya umum yang lalu.

Justeru, katanya Pakatan Rakyat (PR) tidak akan membenarkan mana-mana pihak yang memainkan sentimen perkauman yang boleh memecahkan perpaduan kaum yang terdapat di negara ini.

“Pakatan Rakyat tidak akan benarkan mana-mana orang yang mengapi-apikan isu perkauman yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini. Apa yang merosakkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini antara antara orang Melayu dan Cina, Melayu dan India adalah Umno.

“Mereka mengamalkan fahaman rasis yang merosakkan usaha menyatu padukan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam anjuran Pakatan Rakyat Jerantut, di sebuah hotel di sini malam tadi.

Menurut Nizar, isu perkauman yang dimainkan oleh Umno kerana mereka berada dalam keadaan yang amat tersepit apabila kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu terutama masyarakat Cina yang begitu konsisten kepada Pakatan Rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, baru-baru ini.

”Umno sekarang ini berada dalam keadaan yang amat tersepit akibat kehilangan sokongan masyarakat bukan Melayu terutama dari masyarakat Cina di Hulu Selangor. Kita dapati sokongan orang bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat begitu konsisten. Oleh sebab itu mereka mainkan isu perkauman,” katanya.

Mengenai masa depan untuk menguasai politik negara, Nizar berkata Pakatan Rakyat begitu berkeyakinan pada pilihan raya umum akan datang rakyat akan memberikan sokongan sehingga membolehkan berlakunya perubahan politik besar-besaran.

”Kalau kita tengok keadaan semasa dan kalau kita boleh urus sokongan rakyat yang ada kita amat berkeyakinan masa depan Umno BN akan berkubur selepas pilihan raya umum ke 13 akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 500 tetamu kebanyakannya masyarakat Cina dan India memenuhi dewan dan memberikan tepukan gemuruh setiap kali Nizar menyatakan PR akan menang pilihan raya umum akan datang.

Turut berucap ialah Pengerusi PKR Pahang,Datuk Fauzi Abdul Rahman,Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pahang,Balasubramaniam,Pengerusi DAP Johor,Dr Boo Cheng
Hau,Yang Dipertua PAS Jerantut,Dr Hamzah Jaafar serta pimpinan setempat.

Harakahdaily/-

Malaysia bukan negara koboi!

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Herman Samsudeen

Sedikit terkejut dengan berita ini, kerana ia sedikit sebanyak akan menjadi bahan media dan rakyat untuk mempersoalkan kredibiliti Polis yang kini dilihat seperti KOBOI. Sebagai rakyat yang melihat hal ini dari pelbagai sudut, saya memikirkan bahawa Konstabel ini cuba melakukan tugasnya sebaik mungkin.

Kita juga kena akui bahawa tindakan remaja yang agak mencurigai mengundang kepada tragedi ini. Budak-budak zaman sekarang, walaupun baru usia belasan tahun sudah pandai bawa motor sendiri.

Malah ada yang terjun ke dunia rempit. Ibu bapa harus memerhatikan anak-anak mereka, khususnya bila mereka sering keluar malam. Kena pula anak-anak yang sudah diberikan motosikal, panjanglah kaki mereka.

Kita kena jaga bukan sebab apa, kita tak mahu anak-anak yang remaja ini bercampur dengan budak-budak nakal, atau jadi macam ini.

Saya juga ingatkan kepada pihak Polis agar melakukan tugas dengan bijaksana dan tidak tergopoh-gapah menembak rakyat hanya dengan mengunakan alasan bahawa mereka mencurigakan.

Dalam kes ini pun, Polis jelas terburu-buru kerana mangsa tidak memberikan apa-apa ancaman kepada mereka.

Kita semua kena ingat, Malaysia ini bukan negara koboi. Negara ada undang-undang, sama ada rakyat biasa atau polis, semua kena patuhi undang-undang.

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Harakahdaily/-

BN bakal lemas di Sibu

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Othman Inayatullah

Ini adalah hasil kajian rambang dengan merujuk kepada hasil PRK Hulu Selangor:
Pecahan pengundi Sibu

Cina: 36,646

Melanau: 6,016

Bumiputra: 12,033

Jumlah keseluruhan: 59,695

Pecahan pengundi yang diperlukan oleh PR

Cina: 27,484 (75%)

Melanau: 902 (15%)

Bumiputra: 1,804 (15%)

Jumlah keseluruhan: 30,190

Lebihan: 685.

PR perlu berusaha untuk mendapatkan undi bangsa Malaysia Cina sekurang-kurangnya 80% dan bangsa Malaysia Melanau dan Bumiputera 10% untuk memenangi PRK ini.

Ini melemaskan BN sekira bentuk pendirian Bangsa Malaysia Cina di Hulu Selangor terus kekal di Sibu.

PR perlu menerangkan penyerahan wilayah maritim yang kaya dengan minyak dan gas kepada Brunei satu pengkhianatan dan penderhakaan kepada negara ini.

Ingatkan mereka bahawa Ambalat dan Limbang kemungkinan besar akan diserahkan kepada negara asing sekiranya BN terus menguasai parlimen.

Warga Sibu juga harus diterangkan tentang kes rasuah pembelian aset pertahanan sehingga dakwaan rasuah di buat di luar negara. Tentang Yahudi dalam pentadbiran negara.

Salah guna kuasa Ketua Menteri Sarawak yang mengkayakan keturunan beliau sahaja. PR perlu melakukan kaji silidik sepanjang hari tentang penerimaan calon PR.

Kaji selidik hendaklah melibatkan sekurang-kurangnya 70% hingga 80% pengundi Sibu. Dari kaji selidik, PR boleh mengatur gerak tempur kawasan yang penerimaan yang lemah agar mereka berubah hati di saat akhir.

PR juga bersedia menyerang habis-habisan bukan lagi bertahan seperti di Hulu Selangor. Jadikan kedudukan menyerang 80% dan bertahan 20%. Gunakan segala khidmat internet sebaran bacaan kepada para pengundi.

Jangan lakukan sesi penerangan bersebelahan BN kerana ianya menyukarkan rakyat melakukan penilaian.

Jadual penerangan atau ceramah hendaklah boleh ubah kerana pertindihan ceramah antara BN dan PR bakal menyebelahi BN.

Ceramah dalam kelompok kecil iaitu di sebelah petang juga memainkan peranan. Ceramah boleh dilakukan di kedai-kedai kopi terutama sekali di kawasan bangsa Malaysia Cina.

Ceramah sepusat tidak perlu diutamakan kerana ianya melibatkan kos yang besar kecuali di bandar Sibu.

Peringatan juga haru diberikan kepada anggota tentera tentang janji manis PRK Bagan Pinang yang masih belum kunjung tiba.

Akhir sekali calon PR hendaklah menjelajah seluruh kawasan PRK Sibu. Lawatan berterusan dan berulang akan merapatkan calon dengan pengundi. Sampaikan wawasan calon secara konstant dan juga dapatkan maklum balas keperluan rakyat.

Ini menunjukkan bahawa calon mula bekerja walaupun belum dipilih. Maklum balas rakyat hendaklah segera disalurkan kepada agensi kerajaan untuk melihat tindak balas mereka.

Ini boleh dilakukan oleh wakil kepada calon dan segala tindak balas hendaklah direkodkan dan dihebahkan kepada pengundi.

Saya amat berharap ianya dapat membantu PR dan saya doakan agar PR menang di PRK Sibu. Hapuskan penderhaka dan pengkhianat negara ini dengan undi anda.

Harakahdaily/-

Sibu: DAP menongkah arus, Khalid Samad jadi bintang

25 Jamadil awal 1431 H

SIBU, 9 Mei: Calon Pakatan Rakyat dari DAP terpaksa menentang arus dalam pilihan raya kecil Sibu dan mengharapkan keajaiban untuk menang dalam pilihan raya ini.

Ini kerana, mereka terpaksa menentang parti pemerintah yang kuat di negeri Sarawak ini di samping masyarakat Cina yang masih lagi percaya dengan isu seperti negara Islam yang dimainkan oleh BN di negeri ini.

"Jangan terkejut kalau di sini isu negara Islam yang sudah lapok di Semenanjung masih menjadi isu utama di kalangan masyarakat Cina di sini. Jadi peranan penceramah PAS penting untuk menjelaskan isu ini," kata seorang wartawan yang aktif menulis untuk akhbar DAP, Rocket.

Mungkin atas dasar ini, anggota Parlimen PAS dari Shah Alam, Khalid Samad antara tokoh utama yang digunakan DAP untuk berkempen bagi pihak calon mereka.

Khalid hari ini bersama-sama dengan Teresa Kok ke gereja Secret Heart, Sibu untuk menerangkan dasar PAS. Beliau bertemu dengan para penganut Kristian di situ bersama Dr Mariah Mahmud, anggota Parlimen Kota Raja.

"Saya diberitahu, SUPP menggunakan isu PAS adalah parti eksremist di Sibu ini dalam kempen mereka, jadi saya mewakili PAS menerangkan kepada mereka, siapa dan apa perjuangan PAS yang sebenar," kata Khalid kepada Harakahdaily.

"Khalid jadi bintang kan Sibu ini," kata seorang petugas PAS, Wan Johari Wan Omar kepada Harakahdaily.

Sebaik sahaja menang dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Khalid telah memberikan ucapan yang bersejarah dalam sebuah gereja di Shah Alam. Sejak itu, beliau sangat diingati oleh penganut Kristian di negara ini.

Sementara itu, para pemimpin PAS yang lain sibuk berkempen di kawasan Melayu iaitu di dalam Dun Nangka.

Pagi ini, dua naib Presiden PAS, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar berkempen dari rumah ke rumah di Kampung Hilir.(gambar)

Turut serta adalah Firdaus Jaafar, Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS yang juga anggota Parlimen Jerai di samping para Muslimat PAS.

Kesemua mereka turut serta mengiringi calon Pakatan dari DAP, Wong Ho Leng. Selain mereka, turut mengiringi calon itu semalam adalah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Pilihan raya kecil ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Wong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menentang calon BN, Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas, Narawi Haron.

Dalam pada itu, nasib tidak baik berlaku kepada penyelaras pilihan raya PAS untuk pilihan raya kecil ini apabila Datuk Wan Abdul Rahim terpaksa berehat selepas demam.

Beliau yang terpaksa tidur sahaja selepas penamaan calon disyaki terkena serangan virus sebaik sahaja tiba di sini beberapa hari lalu.

"Memang masa nak mari pun dah tak berapa sihat," kata Wan Rahim ketika dihubungi Harakahdaily.

Namun begitu, kempen pilihan raya ini berjalan dengan lancar. Malam ini, Mahfuz dijangka memberikan ceramah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sambutan terhadap ceramah Anwar cukup baik apabila beliau mula datang ke sini semalam," kata Wan Rahim.

Harakahdaily/-

Empat Lelaki Ditahan Cuba Rompak Mesin ATM

25 Jamadil Awal 1431 H

ALOR SETAR: Empat lelaki berusia antara 19 dan 25 tahun hampa apabila cubaan untuk merompak sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Kelang Lama, Kulim gagal apabila disedari oleh polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 4.15 pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata semasa polis tiba di tempat kejadian, seorang suspek yang memandu lori sedang cuba menarik mesin ATM manakala tiga daripadanya sedang menunggu di dalam kereta.

"Apabila menyedari kehadiran polis, keemapat-empat suspek melarikan diri tetapi pemandu lori itu dapat ditahan kira-kira 700 meter dari tempat kejadian manakala tiga lagi melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Saga namun dapat ditahan di Kampung Sungai Limau, Lunas beberapa kilometer dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya lori itu digunakan untuk mengangkut mesin ATM tersebut dan lori itu merupakan lori kepunyaan bapa suspek yang berusia 19 tahun.

"Polis mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menahan keempat-empat suspek di dua lokasi berbeza," katanya.

Beliau berkata, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah atas kesalahan merogol dan baru sahaja dibebaskan.

"Keempat-empat suspek direman bermula hari ini dan akan disiasat di bawah seksyen 457/511 kanun keseksaan kerana pecah bangunan. - BERNAMA

mStar/-

Skuad Piala Thomas Negara Menang Percuma

Pemain-pemain negara melambaikan tangan ke arah penonton kerana menang tanpa bertanding setelah pasukan Nigeria gagal muncul pada perlawanan itu.

25 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Susan Albert Kassim

KUALA LUMPUR: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini memutuskan memberi kemenangan 5-0 ke atas skuad negara ekoran kelewatan pasukan Nigeria tiba sebelum perlawanan pembukaan peringkat Kumpula B yang dijadual berlangsung pada jam 6 petang tadi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi BWF, Thomas Lund, pihaknya masih belum memutuskan sama ada pasukan Nigeria akan dibenarkan menentang Jepun, esok.

"Kita ada kuasa untuk memutuskan sama ada Nigeria layak atau tidak untuk meneruskan pertandingan ini. Namun situasi yang melanda pasukan itu adalah diluar jangkaan dan pihak kami tidak dapat berhubung dengan mereka pada ketika ini," kata pada sidang media sebentar tadi.

Nigeria sepatutnya dijadualkan tiba pada jam 3 petang tetapi hanya kelibat tiga pegawai pasukan itu yang kelihatan kerana mereka menaiki penerbangan berbeza dengan pemain-pemainnya.

Bagaimanapun, penerbangan yang membawa barisan pemain benua Afrika itu dijangka tiba pada pukul 9 malam atau pagi esok. Kelewatan kesemua pemain Nigeria itu berpunca daripada penerbangan yang singgah di Dubai terpaksa ditunda.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Perseorangan Negara, Rashid Sidek menyuarakan rasa kecewa dengan kejadian yang berlaku kerana skuad negara gagal memulakan pertandingan pemanas badan.

"Kami terpaksa menerima keputusan itu. Semua pemain sudah bersedia tetapi mereka tidak boleh beraksi kerana ketiadaan pasukan lawan," katanya.

Rashid berkata, jika perlawanan antara skuad negara dan Nigeria berlangsung sebentar tadi, ia permulaan baik untuk pasukan memandangkan mereka merancang menurunkan barisan pemain terbaik.

Namun, hasrat Malaysia untuk memulakan kempen Piala Thomas peringkat kumpulan tidak kesampaian dan menyebabkan semua pemain terpaksa turun gelanggang untuk sesi latihan semula esok sebelum bertemu Jepun, Rabu ini.

"Semua pemain hanya menunggu tetapi perlawanan tidak dapat dimulakan. Mereka tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi hanya fokus pada perlawanan seterusnya," katanya.

Keesokan harinya, skuad barisan Piala Uber negara dijadualkan bertemu Amerika Syarikat (AS) pada jam 6 petang.

Rashid bagaimanapun merahsiakan senarai pemain yang akan diturunkan esok namun menegaskan mereka perlu mencatat kemenangan di tempat sendiri.

Kita tetap menurunkan pemain terbaik dan apa-apa kita perlu menang perlawanan esok," tegasnya.

mStar/-