09 May 2010

EZAM SESUMPAH DAPAT SENATOR, SIAPA YANG MELOPONG?

24 Jamadil Awal 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

AL KISAH, maka mamat Ezam sesumpah pun dilantik menjadi Senator. Sebagaimana kata Mamat sesumpah di atas perlantikannya sebagai Senator adalah kerana `jasa'nya memerangi rasuah sewaktu di dalam GERAK. Berkatalah Mamat sesumpah lagi, betapa beliau menentang OSA dan ISA dan pendedahan rasuah melibatkan bekas Ketua Wanita Umno Rafidah Aziz sehinggakan beliau terperosok ke dalam penjara. Kununnya itulah kehebatannya melayakkan beliau diangkat sebagai Senator.

Terlalu banyak ulasan telah dibuat terhadap perlantikan Mamat yang digelar juga raja kotak ini setelah beliau dilantik sebagai Senator. Apa yang pasti, hampir kesemua ulasan berkaitan perlantikan Mamat Ezam ini bersetuju bahawa perlantikannya hanyalah semata-mata beliau paling galak menyerang DS Anwar. Itu sahaja. Bukti jelas menolak dakwaan perlantikannya adalah kerana perjuangan menentang rasuah, OSA atau ISA terlalu mudah untuk kita sebutkan satu persatu.

Sewaktu beliau memimpin GERAK, cuba sebutkan satu sahaja perjuangannya yang berjaya sehingga perasuah disiasat dan ditangkap terutamanya di kalangan pimpinan Umno. Rafidah masih bebas dan kini `sekelambu' dengan Mamat Ezam. Apakah ini bermakna Rafidah sudah dibersihkan oleh Mamat Ezam? Akta zalim ISA masih kekal dan terus mengganas di bawah kerajaan yang diterajui oleh Umno iaitu parti yang menganugerahkan Mamat Ezam ini Senator. Apakah ini bermakna Akta ISA kini `halal' di sisi Mamat Ezam? Cuba kita imbas kembali, semenjak Mamat Ezam ini keluar dari KeADILan, selepas itu memimpin GERAK, beliau dilihat masih komited menentang rasuah dan sepatutnya ketika itu lah beliau boleh diangkat menjadi Senator oleh Najib jika benar Najib benci kepada rasuah. Selepas itu, Mamat Ezam mengambil keputusan menganuti fahaman Umno yang bersekutu dengan APCO itu. Bermula di saat itu, Mamat Ezam sudah tidak fasih lagi untuk berbicara soal rasuah.

Mengapa? Ini adalah kerana beliau telah dimakan oleh sumpahannya sendiri. Mamat Ezam pernah berkata, "Sila tunjukkan siapa yang menyertai Umno itu ikhlas?". Kata-kata itulah yang menjadi sumpahan buat Mamat Ezam sehinggakan lidahnya keras dan kelu untuk menyebut perkataan `rasuah'. Apa yang mampu diratibkan oleh lidah Mamat Ezam hanyalah menyebut nama DS Anwar. Oleh kerana terlalu ingin mengampu Najib, Mamat Ezam ini sanggup mengaku dirinya `bodoh' dan diperbodohkan oleh DS Anwar dahulu sehinggakan beliau berjuang habis-habisan membela DS Anwar. Mamat Ezam pun merafak sembah ampun dan maaf kepada ahli-ahli Umno kerana telah di`perbodohkan' oleh DS Anwar dahulu.

Siapa yang melopong selepas Mamat Ezam ini mendapat habuannya dari Najib? Sudah tentu yang melopong dan terasa bodoh sangat adalah rakan-rakan spesisnya seperti Ruslan Kassim, Zahid Md Arip, Lokman Adam dan ramai lagi yang lebih dahulu keluar dari KeADILan dan mencium bau Umno dari Mamat Ezam. Mereka dapat apa? Mereka tiada jasakah kepada Najib sebagaimana jasa Mamat Ezam? Zahid Md Arip lagi hebat mengampu Najib sehinggakan tergamak mengeluarkan perkataan lucah terhadap Tuan Guru Nik Aziz. Apa yang dicarutkan oleh Zahid Md Arip itu adalah `barang sulit' maknya sendiri. Beliau sanggup menghina `barang sulit' maknya demi untuk menghina Tuan Guru Nik Aziz semata-mata untuk mengampu Najib. Tapi, apa yang cucu Tun Ghafar Baba ini dapat? Dapat dosa kering adalah.

Tidak pelik jika kedengaran suara-suara dari pimpinan Umno khususnya di kalangan Pemuda Umno yang tidak menyenangi kehadiran Mamat Ezam ini. Mereka tahu, Mamat Ezam bukan tokoh penting untuk membantu Umno kerana terbukti di dalam beberapa Pilihanraya Kecil jika beliau hadir menghentam DS Anwar, Umno pasti terkangkang. Di Hulu Selangor baru-baru ini pun, semua tahu bukan kerana kekuatan pengaruh Mamat Ezam membuatkan Bn menang tetapi kerana pengaruh wang dan rasuah oleh Najib dan Muhyiddin.

Percayalah, Mamat Ezam ini tidak akan ke mana selepas ini. Beliau pasti akan dipancung oleh rakan-rakan di dalam Pemuda Umno sendiri nanti. Mukhriz dan KJ sudah pasti tidak akan membiarkan Mamat Ezam ini terus dibuai dan didokong oleh Najib sebilang masa. Mereka telah menghitung bahawa Mamat Ezam ini tiada satu pun agenda untuk memperkuatkan Umno tetapi hanya mempunyai agenda peribadi untuk mengampu Najib yang dulunya beliau anggap lebih teruk dan jahat dari Mahathir. Apa pun, kita simpati dengan rakan-rakan Mamat Ezam yang kini sedang melopong mulut dipenuhi lalat itu. /wfauzdin.blogspot.

Pengawal Istana Kelantan Yang Ditembak Semakin Pulih

24 Jamadil Awal 1431H.

KOTA BARU: Pengawal Istana Kelantan yang parah ditembak individu tidak dikenali dekat Palekbang, Tumpat pada awal pagi 1 Mei lalu dilaporkan semakin stabil dan beransur pulih.

Mangsa, Ramli Mohd, 50, yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menunjukkan perubahan yang baik.

"Keadaan suami saya hari ini semakin stabil, dia sudah mula berikan respon malah boleh mengangkat tangan," kata isteri mangsa, Maznah Mustafa, 50, ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan tahap kesihatan suaminya selepas pembedahan mengeluarkan peluru yang menembusi dada berjaya dilakukan pada Rabu lalu.

Bagaimanapun Maznah berkata keadaan suaminya masih lemah dan tidak boleh bercakap.

"Apa yang saya lihat dia dah semakin pulih berbanding sebelum ini, kalau kita cakap dia sudah boleh bagi tindak balas... cuma dia sendiri masih belum boleh bercakap, katanya.

Jelasnya lagi, hingga kini beliau masih belum menemui doktor bagi mengetahui tahap kesihatan suaminya itu.

Dalam kejadian pada 12.25 pagi Sabtu minggu lalu, Ramli yang juga pesara tentera parah ditembak penyerang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dekat Kampung Sungai Nyior, Palekbang.

Ketika kejadian, mangsa yang sudah berkhidmat selama 17 tahun dengan Istana Kelantan, baru selesai menjalankan tugas di Istana Negeri, Kubang Kerian, kira-kira pukul 12 tengah malam.

Mangsa yang menunggang motosikalnya sendirian, dipercayai diekori sekumpulan empat individu bermotosikal yang melepaskan tembakan ketika tiba di lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra, memerintahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi supaya menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh terhadap kes terbabit.Mstar/-

Ibu sejahtera, Malaysia berjaya

24 Jamadil Awal 1431H.
Wanita Pakatan Rakyat

Ibu adalah nadi dalam keluarga yang membentuk masyarakat dan negara. Ibu berperanan besar dalam menentukan corak dan kehidupan generasi mendatang kerana kebiasaannya ibulah insan paling hampir dengan anak-anak yang akan membesar dan kemudiannya juga berperanan dalam membentuk masa depan masyarakat dan negara.

Persekitaran yang mendorong pembentukan ibu-ibu yang sejahtera merupakan asas kepada sesebuah keluarga, komuniti, masyarakat dan negara.

Kegagalan prasarana yang asas itu akan mengakibatkan berbagai negativiti sosial yang merugikan sesebuah negara bukan sahaja dari perspektif sosial tetapi juga ekonomi, kewangan, dan segala aspek pembangunan negara yang berdaya tahan (sustainable development).

Kegagalan membentuk ibu-ibu yang sejahtera akan melahirkan juga generasi yang bermasalah dan merugikan masyarakat dan negara.

Peranan ibu hanya merupakan separuh dari tanggungjawab sepenuhnya terhadap menentukan pembangunan anak-anak, keluarga, masyarakat serta negara. Separuhnya lagi adalah rakan kongsi ibu, iaitu bapa.

Keduanya harus diingati di hari ini sebagai gandingan yang tidak boleh dipisahkan dalam mencapai sebarang agenda pembangunan masyarakat dan negara.

Kedudukan dan peranan keduanya setakat ini hanya di lihat dalam soal mengawal tabiat dan kelakuan anak-anak supaya tidak mengganggu sesuatu acara atau majlis atau memastikan anak-anak mendapat kecemerlangan dalam bidang akademik atau tidak menambah kepada statistik penagihan dadah, gejala lepak, rempitan, dan yang terkini supaya memastikan anak-anak tidak ditembak oleh polis dengan sengaja atau seumpamnya.

Peranan ibu dan bapa tidak diiktiraf secara rasmi dalam bajet negara dan rancangan-rancangan Malaysia, di mana kedua dokumen itu hanya memperakui sektor yang formal yang mempunyai sumbangan RM terhadap pembangunan dan ekonomi negara.

Para ibu dan bapa kini mengharapkan suatu dasar negara yang boleh menyelamatkan kehidupan kekeluargaan, yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak, aset negara yang paling berharga.

Dalam suatu kajian di Amerika, nilai ekonomi penjagaan anak-anak sahaja ialah hampir RM30 bilion, tidak termasuk hal-hal pengurusan rumahtangga yang lain. Dalam ukuran GDP keseluruhan nilai dikatakan melebihi 50% GDP. Fakta tersebut tidak disebut dalam mana-mana dokumen penting kerajaan berkenaan. Sustainable development dan keutuhan sesuatu bangsa dan negara itu adalah bergantung kepada sektor informal yang didokong oleh para ibu khususnya.

Di Hari Ibu tahun 2010 ini, para pemimpin, khususnya dari kalangan Menteri dan ahli-ahli politik diseru untuk menghentikan selaran terhadap ibu dan bapa dalam melaksanakan tugasan mereka mendidik anak-anak kerana sebenarnya kerajaan yang diamanahkan untuk mengatur kehidupan warga Malaysia telah gagal mewujudkan prasarana, persekitaraan dan jentera kerajaan yang bersepadu (integrated) bagi menjamin kehidupan kekeluargaan yang selamat dan sejahtera, mampu menjana dan menghasilkan warga masa depan yang berhemah, bijaksana, amanah, memiliki jati diri yang jitu, berprinsip, berketrampilan, berperi kemanusiaan dan saling bantu-membantu dan berkasih sayang demi kemaslahatan sesama insan dan juga mampu membawa Malaysia ke mercu kejayaan yang boleh menjadi contoh kepada dunia.

Pengukuhan dan kemantapan kehidupan sosial, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia bergantung kepada sejauh mana kerajaan berjaya melaksanakan tuntutan mewujudkan persekitaran dan prasarana yang bersesuaian bagi para ibu agar mereka mampu melaksanakan tugasan mereka di dalam dan di luar rumah serta memberi sumbangan terbaik kepada seluruh aspek pembangunan fizikal, spiritual, intelektual dan ekonomi negara.

Ibu sejahtera, Malaysia berjaya.

Untuk semua ibu tersayang, Selamat meyambut Hari Ibu 2010.

Berjabat Tangan: Tradisi atau Anjuran Agama?

23 Jamadil Awal 1431H.
Oleh : Dr. H. Rusli Hasbi, MA

Mari kita simak sebuah hadis berikut.

عَنْ أبى الخطاب قَتَادَةَ قَالَ قُلْتُ لِأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ هَلْ كَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Artinya: Dari Abi Khattâb Qatâdah ia berkata: Saya bertanya kepada Anas bin Malik, “Apakah para Sahabat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam biasa berjabat tangan?” Ia menjawab, “Ya.” (HR Bukhari)

Anas adalah seorang sahabat yang pernah tinggal bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam selama 10 tahun. Anas banyak mengetahui kebiasan para sahabat, termasuk kebiasaan mereka berjabat tangan atau mushafahah. Musafahah dalam bahasa Arab artinya memegang dengan tangan yang terbuka penuh. Adanya kebiasaan ini menunjukkan bahwa berjabat tangan merupakan tradisi yang telah dilakukan oleh para sahabat Rasulullah. Tradisi ini kemudian menjadi anjuran agama berdasarkan hadis-hadis Rasulullah.

Asal Usul Tradisi Jabat Tangan

Sebenarnya budaya jabat tangan bukanlah budaya masyarakat Mekkah ataupun Madinah, tetapi merupakan adopsi dari budaya Yaman. Argumen ini didasari sebuah Hadits dari Anas r.a. yang menyatakan bahwa sekelompok orang negeri Yaman mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dan mereka saling berjabat tangan dengan kaum muslimin. Rasulullah bersabda, “Kini telah datang penduduk kota Yaman dan merekalah orang-orang yang pertama kali datang dengan berjabat tangan”. Dengan demikian, kebiasaan berjabat tangan bukan budaya asli penduduk Mekkah ataupun Madinah, tetapi sudah ada pada masa Rasulullah dan diakui oleh beliau. Sesuatu yang diakui beliau merupakan Sunnah atau anjuran agama.

Hikmah Berjabat Tangan

Allah sangat menghargai setiap perbuatan baik yang dilakukan dengan ikhlas. Berjabat tangan merupakan perbuatan baik yang akan diganjar pengampunan dari-Nya, sebagaimana disebutkan dalam Hadis berikut:

Dari al-Barra’ r.a. ia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “[Apabila ada] dua orang Islam yang bertemu kemudian mereka berjabat tangan, maka dosa kedua orang tersebut akan diampuni sebelum keduanya berpisah (melepaskan tangan mereka)”. (HR Abu Daud)

Pengampunan dosa itulah yang seharusnya diharapkan seorang muslim ketika ia mengulurkan tangannya kepada saudaranya seagama. Rasulullah sendiri ketika bersalaman tidak pernah melepaskan tangan sahabatnya terlebih dahulu sampai sahabat itu sendiri yang melepaskannya.

Berjabat Tangan dengan Lawan Jenis, Bolehkah?

Saya tidak setuju kalau jabat tangan dilakukan dengan lawan jenis yang bukan muhrim, karena beberapa faktor:

1.Tidak pernah ada Hadis yang meriwayatkan adanya kebiasaan berjabat tangan antara laki-laki dengan perempuan pada masa Rasulullah. Hadis di atas hanya menjelaskan jabat tangan secara umum;
2.Rasulullah sendiri tidak pernah melakukan hal tersebut;
3.Sebagai tindakan preventif terhadap efek negatif yang mungkin ditimbulkan dari jabat tangan, seperti timbulnya nafsu birahi karena bersentuhan kulit secara langsung dengan lawan jenis, mengetahui kekurangan ataupun kelebihan kondisi kulit tangan yang dimiliki lawan jenis, serta hal-hal lain yang sedikit demi sedikit dapat menjadi racun bagi masa depan seorang muslim/muslimah; dan
4.Berjabat tangan bukan hanya simbol dari pengampunan dosa, tetapi lebih dari itu merupakan sebuah perkenalan dan persahabatan. Ketika jabat tangan dilakukan dengan sesama jenis (laki-laki dengan laki-laki atau perempuan dengan perempuan), maknanya mereka telah menandatangani kontrak persahabatan sebagai teman sehidup semati dalam hal kesamaan agama dan akidah yang akan dipertahankan sampai mati. Kontrak semacam ini tidak wajar bila dilakukan dengan lawan jenis yang bukan muhrim atau suami istri.
Bagaimana Tata Cara Berjabat Tangan yang Diakui Nabi?

Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. bahwa ia berkata bahwa Ada seseorang bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, apabila seorang di antara kami bertemu dengan saudara ataupun kawannya apakah ia harus membungkukkan diri?” Beliau menjawab, “Tidak.” Orang tersebut bertanya lagi, “Apakah ia harus mendekap dan menciumnya?” Beliau menjawab, “Tidak”. Ia bertanya lagi, “Apakah ia harus memegang tangannya dan menjabatnya?” Nabi menjawab, “Ya.” (HR Turmuzi)

Menurut Hadis di atas, ada tiga hal yang biasa dilakukan masyarakat Arab ketika bertemu dengan sesamanya, yaitu:

1.membungkukkan badan;
2.mendekap dan mencium dengan mengecupkan mulut; dan
3.berjabat tangan.
Dari ketiga hal di atas, hanya satu yang diakui Rasulullah yaitu berjabat tangan. Namun fenomena yang terjadi sekarang adalah sebaliknya. Masyarakat kita masih melakukan ketiga hal di atas. Tidak jarang kita membungkukkan badan pertanda hormat kepada sesama, ataupun berpelukan tanpa berjabat tangan. Yang paling tidak wajar adalah melakukan ketiga hal tersebut sekaligus.

Kita harus akui bahwa sesuatu yang selama ini kita anggap sepele ternyata mendapat perhatian serius dari Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Saatnya bagi kita untuk merenungkan kembali apakah yang kita lakukan selama ini sudah sesuai dengan anjuran Rasulullah atau tidak.

Bolehkah Bersalaman dengan Mencium Tangan?

Jawabannya terdapat dalam Hadis berikut:

Dari Shafwan bin ‘Assal r,a., ia menceritakan bahwa ada seorang Yahudi berkata kepada kawannya, “Marilah kita pergi menemui Muhammad”. Maka keduanya pun datang menemui Nabi dan menanyakan tentang sembilan ayat. Setelah Nabi menjawab semua pertanyaan tersebut, mereka lalu mencium tangan dan kaki Nabi seraya berkata, “Kami bersaksi bahwa sesungguhnya engkau adalah seorang Nabi.” (HR Turmudzi)

Tindakan kedua Yahudi tersebut didasari oleh keyakinan mereka (setelah mendengarkan penjelasan dari Nabi), bahwa beliau adalah orang yang benar dan pantas untuk dihormati. Jawaban yang beliau berikan mampu memuaskan dan membuka mata hati mereka yang selama ini tertutup.

Dari Hadis di atas dapat kita kembangkan beberapa hal, di antaranya:

•Orang yang belum masuk Islam belum tentu musuh kita. Bisa saja mereka tidak memeluk Islam karena mereka belum mendapatkan informasi yang benar tentang agama kita.
•Tunjukkan akhlak mulia kepada mereka sehingga mereka bisa melihat lebih jauh sisi baik Islam dari penganut Islam itu sendiri. Dengan demikian, mereka bisa tertarik untuk mempelajari Islam.
•Yang berhak dicium tangannya hanyalah mereka yang punya kelebihan dalam ilmu pengetahuan, khususnya ilmu agama.
•Diperbolehkan mencium tangan orang-orang yang mempunyai hubungan darah atau hubungan keluarga, seperti anak mencium tangan kedua orangtua atau kakek dan neneknya, menantu mencium tangan mertuanya, dan sebagainya.
•Tidak diperbolehkan mencium tangan orang asing yang tidak dikenal dan orang yang senang berbuat maksiat kepada Allah. Kesalahan yang sering dilakukan oleh para orangtua adalah memaksakan anaknya mencium tangan orang-orang yang tidak mereka kenal, hanya supaya dianggap sebagai anak yang sopan.
Bersalaman Setelah Shalat, Bolehkah?

Bersalaman setelah shalat sering dilakukan terutama di Indonesia. Kadang-kadang, mereka bersalaman dengan antrian yang sangat panjang sehingga menyulitkan dan mengganggu keleluasaan jamaah lain dalam bergerak ataupun berzikir. Apakah itu termasuk bagian dari agama? Saya belum pernah mendapatkan satu dalil pun, baik ayat Al-Qur’an maupun Hadis yang membahas hal tersebut. Namun berhubung ada hadis yang menganjurkan berjabat tangan, maka bersalaman setelah shalat diperbolehkan sebatas tidak mengganggu dan menyulitkan jamaah yang lain.

Satu hal yang perlu kita ingat adalah bahwa berjabat tangan itu bukanlah kewajiban agama yang harus dilaksanakan oleh semua orang. Amalan seperti ini bersifat anjuran. Karena itu, kita tidak boleh berprasangka buruk kepada orang-orang yang tidak berjabat tangan dengan kita.

http://ruslihasbi.wordpress.com

Fatwa: Hukum Merayakan Hari Ibu

23 Jamadil Awal 1431H.
http://al-ahkam.net/

Soal: Apa hukum memuliakan ibu pada hari ibu? Apakah di sana terdapat tegahan dari syarak untuk merayakan perayaan ini?

Jawab (syeikh Faisal Mawlawi): Memuliakan ibu adalah dituntut sepanjang tahun sepenuhnya. Menghormati ibu, menuntut keredhaannya, berkhidmat dan berbuat apa sahaja kebaikan kepadanya adalah dituntut dengan tuntutan yang tegas (wajib) sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Perkara ini sudah diketahui umum oleh mana-mana manusia.

Cuma, orang-orang Barat menjadikan sebagai adat dan budaya dengan menetapkan satu hari dalam setahun untuk dijadikan sebagai Hari Ibu. Di mana pada hari itu anak-anak menghulurkan hadiah kepada ibu mereka untuk memuliakan dan sebagai tanda penghormatan.

Orang Islam pula, dari sudut syarak, tidak ada perayaan/hariraya melainkan Idul Fitri dan Idul Adha. Selain perayaan/hariraya ini, iaitu yang mengambil sempena sesuatu perkara, maka ia tidaklah lebih dari hanya sekadar merayakan sempena sesuatu itu sahaja. Contohnya, seperti apa yang dinamakan sebagai hari ibu, atau perayaan untuk peringatan sesuatu peristiwa tertentu.

Jika kita menganggap bahawa apa yang dinamakan oleh orang-orang barat sebagai hari ibu itu sebagai hari memuliakan/menghormati ibu hanya sebagai tambahan sahaja (kewajipan menghormati ibu telahpun siap kita laksanakan), maka di sana syarak tidak menghalangnya. Yang ditegah oleh syarak ialah jika perayaan berkenaan dianggap sebagai ‘id/perayaan dengan maksud syar’i. Begitu juga ditegah jika pembatasan menghormati dan memuliakan ibu hanya pada hari berkenaan sahaja. Jadi, jika dua perkara ini ternafi, maka tidak ada halangan untuk memuliakan atau menghormati ibu pada hari ibu.

Dilarang juga merayakan hari ibu kerana bertaklid kepada non muslim dan bertasyabbuh/menyerupai/meniru2 mereka.

Kita berpegang bahawa meniru-niru non muslim dan menyerupai mereka adalah tidak dibenarkan pada perkara-perkara yang khusus untuk mereka sahaja serta tidak mempunyai asas di dalam syariat kita. Adapun memuliakan ibu sebagaimana diketahui umum memang mempunyai asasnya di dalam syariat. Oleh itu, perkara ini tidaklah dapat dianggap sebagai meniru-niru/menyerupai non muslim yang ditegah.

Sumber: http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=uQ3lCv
Terjemahan oleh zain-ys

Hukum Makan Ketam Batu/ketam nipah

23 Jamadil Awal 1431H.
http://soaljawab.wordpress.com/

Apakah hukum memakan ketam batu? Haram atau makruh?

jawapan:

Apa yg ditanya adalah perihal binatang 2 alam. Setakat pencarian saya, tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang 2 alam itu haram di makan. Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yg masyhur dalam mazhab syafi’e sepertimana dinukilkan oleh kitab2 an-Nawawi; Imam Rafi’iy dan al-Ghazali. Pendapat ini juga dipegang oleh mazhab Hanbali.

Mereka yg mengatakan binatang 2 alam ni haram di makan berdasarkan hadis berikut:

Dr Abdur rahman ibn Utsman menerangkan, “Dihadapan Rasulullah saw seorang tabib memeperagakan semacam ubat dan dia menyebutkan tentang hal katak yg dimasukkan ke dalam ubat itu. Rasulullah saw melarang kita membunuh katak itu.”[HR Ahmad, Abu Daud dan An-Nasa’I]

Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kpd yg hidup sepertimana katak.

Sabdanya lagi, “Airnya,(iaitu laut) menyucikan dan halal bangkainya.”

Hadis di atas merujuk kpd hidupan laut. Adapun binatang 2 alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat. Maka berdasarkan firman Allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa 2 alam itu haram di makan.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,…..”[5:3]

Di samping itu terdapat juga beberapa hadis yg menjelaskan ayat di atas iaitu:

Rasulullah saw bersabda, “Dihalalkan utk kita 2 jenis bangkai dan dua jenis darah; ikan dan belalang, hati dan limpa.”

Ulama’ mengqiaskan ikan itu kpd segala jenis hidupan laut yg hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.

Walaupun begitu, perlu kita ketahui bahawa dalam Islam, Bahawa asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nash yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’ yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nash yang sahih – seperti ada nash tetapi dengan hadis dha’if – atau nash berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.

Daripada Abi Darda’, Rasulullah saw bersabda, “Apa yang Allah halalkan di dalam KitabNya, maka ia adalah halal. Dan, apa yang Allah haramkan, maka ia adalah haram. Manakala apa yang didiamkan olehNya, maka ia adalah dimaafkan. Oleh itu, terimalah kemaafan dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan lupa sedikitpun.” Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat: “Dan Tuhanmu tidak pelupa.”(Maryam: 64) (HR Al-Hakim, dan dia mensahihkannya dan dikeluarkan oleh al-Bazzar, dia berkata: Sanad yang baik).

Maka, berdasarkan dalil yg dipakai oleh mereka yg mengatakan binatang 2 alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satupun yg khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yg paling hampir ialah mengenai katak. Tetapi berdasarkan kaedah yg telah diutarakan, kalau kita menerima hadis ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kpd semua yg hidup 2 alam itu tidak tepat. Sekiranya kita menerima pendpt haramnya binatang 2 alam, mengapa pula kita boleh memakan ketam/kerang yg pada biasanya dijual di pasar2 dalam keadaan hidup. Bukankah itu membutikan binatang ini mampu hidup di atas darat?

Pendapat yg kuat ialah secara umumnya, binatang 2 alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenal pasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kpd firman Allah swt:

“Hai manusia! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikuti jejak syaitan karena sesungguhnya syaitan itu musuh yang terang-terangan bagi kamu.” (al-Baqarah: 168)

“Katakanlah! Aku tidak menemukan tentang sesuatu yang telah diwahyukan kepadaku soal makanan yang diharamkan untuk dimakan, melainkan bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi; karena sesungguhnya dia itu kotor (rijs), atau binatang yang disembelih bukan karena Allah. Maka barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa dengan tidak sengaja dan tidak melewati batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Belas-kasih.” (al-An’am: 145)

Dari ayat di atas, illat kpd keharaman bangkai, darah yg megalir, babi adalah kotor(bolded). Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kpd apa2 binatang yg mempunyai illat yg sama dgnnya iaitu kotor. Sebagai cth, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, kita perlu ingat, kadang2 uruf dari satu tempat ke satu yg lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat m’sia, binatang itu menjijikkan, ttp pada masyarakat China tidak pula.

Maka, kesimpulannya, setiap apa yg dinyatakan dalam nas yg mengatakan ianya haram, itulah haram. Yg tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yg dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Ttp jgn pula kita menjadi pelik jika ada org yg memakannya di negara lain.Wallahuaklam

Rujukan

Fiqh & Perundangan Islam
Dr Wahbah al-Zuhaily

Koleksi Hadis2 Hukum
TM Hasbi

Al-Halal wal-Haram fi Islam
Dr Yusuf al-Qaradhawi

al-ahkam

Lagi remaja ditembak, konstabel digantung tugas

23 Jamadil Awal 1431H.

Seorang konstabel polis digantung tugas dan ditahan selepas didakwa menembak remaja remaja berusia 17 tahun yang enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda di persimpangan Kampung Ujong Pasir, Jalan Seremban-Jelebu, 3.30 pagi tadi.

Anggota polis itu dipercayai baru berkhidmat kira-kira setahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh berkata, anggota polis berkenaan digantung tugas serta merta kerana melepaskan tembakan tanpa sebab kukuh dirinya terancam.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa," katanya.

Cedera parah

Pada kejadian itu, Mohd. Azizi Aziz, 17 cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis keran enggan berhenti.

"Berikutan itu, polis telah melepaskan satu das tembakan dan kena pada bahagian perut sehingga tembus ke bahagian usus," kata Osman kepada pemberita.

Mangsa yang dipercayai berasal dari Senawang itu menjalani pembedahan di perut dan usus kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Os
man berkata mangsa dalam satu kumpulan kira-kira 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Datuk Siamang Gagap dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak dengan sebuah kereta peronda polis, manakala angsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.

"Anggota polis yang melepaskan tembakan ini mendakwa dia melepaskan tembakan amaran tetapi dalam keadaan kereta yang laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.

"Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut."

Mengulas kejadian itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang ditemui Bernama ketika merasmikan lapang sasar polis bantuan Felda di Felda Bukit Rokan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

"Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.

"Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja," katanya.

Bapa terkilan

Abu Seman turut melawat mangsa di HTJS. Beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk melihat keadaan mangsa.

Turut hadir Osman dan dua anggota exco kerajaan negeri Datuk Ismail Lasim dan Datuk Ismail Taib.

Sementara itu, Bernama melaporkan ayah mangsa, Aziz Omar, 42, berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

"Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

"Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik," katanya.

Malaysiakini/-

Bu He Shi Yi : Tidak Secocok dengan Keperluan Semasa

23 Jamadil Awal 1431H.



Asal Usul:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu abad ke-4 sebelum Masihi, ada sepasang suami isteri yang tinggal di negeri Lu. Si suami itu ialah seorang tukang kasut yang mahir, manakala isterinya pula sangat pandai menenun kain tafeta. Pada suatu hari, selepas berbincang, pasangan tersebut memutuskan untuk mencari rezeki ke negeri Yue.

Apabila mendengar berita tersebut, salah seorang jiran mereka pun memberikan cadangan,

"Janganlah pergi ke sana! Nanti susah bagi kamu berdua untuk mencari nafkah di negeri itu."

Pasangan itu bertanya dengan hairan,

"Kami faham apa maksud awak. Kami berdua menguasai kemahiran membuat kasut dan menenun kain. Mengapa awak mengatakan, kami tak boleh mencari rezeki dengan kemahiran sebegitu. Janganlah membodoh-bodohkan kami!"

Jiran mereka itu terus memberikan penjelasan,

"Memanglah awak berdua mempunyai kemahiran membuat kasut dan menenun kain. Bagaimanapun, kasut dibuat untuk dipakai oleh orang. Tetapi, setahu saya, orang di negeri Yue lebih suka berkaki ayam. Kain tafeta yang awak tenun itu pula digunakan untuk membuat topi, tetapi orang di negeri itu lebih suka membiarkan rambut mereka menggerbang. Tidak ada seorang pun di sana yang suka memakai topi. Fikirlah, siapakah yang akan membeli kasut dan kain tafeta yang awak buat itu?"

Mendengar penjelasan tersebut, barulah pasangan itu mula menyedari bahawa apa jua perkara, jika tidak sesuai dengan keperluan semasa, tidak akan ada gunanya.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Bu He Shi Yi" ini membawa erti, tidak sesuai dengan keperluan semasa atau keadaan yang sebenar. Ia jjuga digunakan untuk mempersenda perbuatan yang melanggar kelaziman.CRI/-

'Rosmah derhaka anggap dirinya Wanita Pertama'

23 Jamadil Awal 1431H.

Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin hari ini menggesa isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor membuat permohonan maaf secara terbuka kerana merujuk dirinya sebagai “wanita pertama” atau "first lady" - satu tindakan yang dianggap menderhaka.

“Kenyataan ini dilihat tidak wajar dikeluarkan oleh beliau kerana jika merujuk kepada Perlembagaan Negara, Artikel 32, gelaran itu sepatutnya diberikan dan dipegang oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agung selaku isteri kepada Pemimpin Tertinggi Negara

“Gelaran ini sama sekali tidak harus menjadi pertikaian dan juga hasrat bagi sesiapa sahaja untuk memilikinya kerana ia jelas tertulis dari sudut Perlembagaan Negara,” katan Zuraidah (kanan) dalam kenyataan media hari ini.

Iklan yangt maksudkan yang diterbitkan the New York Times/Gambar Malaysian Today.



Zuraidah merujuk kepada iklan dua muka surat yang disiarkan di New York Times, bulan lalu yang mengucapkan tahniah kepada “Rosmah, Wanita Pertama Malaysia” sempena dikurniakan Anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Iklan 16 April itu juga dilaporkan oleh agensi berita nasional, Bernama yang mendapat perhatian blog Malaysia Today, yang dikendalikan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin yang kini diburu kerajaan.

Laman web itu juga melaporkan iklan yang dianggarkan bernilai RM10 juta itu juga memuatkan gambar besar Rosmah dengan tajuk “Malaysia berbangga dengan anda”.

Menurut Bernama, kos berkenaan ditampung oleh “keluarga dan sahabat Rosmah di Amerika dan Malaysia”.

Zuraidah berkata sikap Rosmah yang kerap mengganggap dirinya sebagai “The First Lady” bukan sahaja dilihat sesuatu yang tidak sopan tetapi menunjukan beliau seolah-olah cuba membelakangi Istitusi Diraja.

“Amat dikesali apabila seorang isteri Perdana Menteri begitu dangkal dan cetek fahaman politiknya sehinggakan bagi menaikkan diri, beliau sanggup membelakangi Raja Permaisuri Agung dan sekaligus dilihat sebagai satu tindakan yang menderhaka.

“Kami ingin menasihati kepada semua rakyat agar tidak mencontohi kelakuan biadap sebegini semata-mata ingin meraih sokongan politik sehingga sanggup melanggar Perlembagaan Negara,” katanya lagi.

Rosmah juga didesak supaya tidal lagi menggunakan gelaran tersebut di mana-mana sahaja beliau berada. Malaysiakini/-

Mufti diminta nyatakan hukum judi bola sepak

23 Jamadil Awal 1431H.
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 8 Mei: Para mufti di negara ini diminta mengulas dan menyatakan hukum berhubung cadangan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 khususnya dari sudut agama Islam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata sekiranya terdapat seorang mufti mengulas dari sudut hukum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah meminum arak sebelum ini sebagai haram, PAS dan rakyat meminta mufti mengulas dari sudut yang sama berhubung perkara itu.

Katanya, mufti jangan berdiam diri dalam soal itu kerana sudah jelas dan nyata Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui ayat yang sama bahawa minum arak dan berjudi adalah haram dan dosa besar.

Katanya lagi, keputusan kerajaan itu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan ianya telah disiarkan oleh televisyen.

Kelmarin, Awang Adek dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Tambahnya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

“Saya sebenarnya tidak menonton televisyen, sudah hampir 10 tahun saya tidak menontonnya, saya mengetahuinya melalui satu sms.

“Antara yang terkandung dalam sms itu, apa sudah jadi Datuk? Awang Adek dah lulus lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010, kononnya tidak mahu adanya aktiviti judi haram tanpa lesen,” ujar Husam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga seterusnya membertahu, malang sekali rakyat Kelantan khususnya sekiranya masih memberi undi kepada Awang Adek sehingga tidak tahu perjudian tetap haram biarpun berlesen.

Sambungnya, perkara yang sedemikian (haram dianggap halal) akan berlaku dan terus berlaku sekiranya Umno memisahkan agama dengan politik.

“Adakah rakyat di negara ini masih memandang remeh terhadap keputusan kerajaan ini apa lagi ianya membabitkan soal agama, tak rasa sensitif dan jijik ke terhadap tindakan itu?

“Malang sungguh kita sekiranya membiarkan perkara ini berlaku,”ujarnya lagi.

Husam memberitahu, berikutan keputusan kerajaan meluluskan lesen tersebut, ada seorang wanita Cina menghubunginya supaya bertindak menahan agar lesen tersebut tidak berjaya dilaksanakan.

Katanya, menurut wanita Cina itu lagi, masyarakatnya akan lebih kemaruk sekiranya aktiviti itu dibiarkan sehingga akan berlaku huru hara dalam keluarga.

“Kalau orang Cina boleh berfikiran sedemikian, kenapa kita orang Islam memandang remeh serta turut menyokong apa yang dibuat oleh kerajaan BN,” ujarnya lagi.

Harakahdaily/-

Pertandingan tiga penjuru di Sibu

23 Jamadil Awal 1431H.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Ahad depan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Richard Wong Ho Leng; dan calon Bebas, Narawi Haron.

Kelayakan ketiga-tiga calon itu bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sibu, Wong See Meng, di pusat penamaan calon di Dewan Suarah di Sibu pada jam 11.25 pagi tadi

Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.

Pagi tadi, ribuan penyokong bagi semua calon, termasuk kira-kira 5,000 dari BN, berhimpun di bandar Sibu sejak awal pagi ini, menyebabkan kesesakan trafik di jalan-jalan yang menuju ke pusat penamaan calon.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.

Muhyiddin bersama rombongan penyokong BN tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.

Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.

Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Hadir bersama ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid ibrahim.

Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.

BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.

Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.

Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau. Malaysiakini/-